Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 40#

Bab 40

ENAM bulan kemudian.
Kelihatan seorang lelaki dan wanita sedang duduk di bawah pergola, menikmati teh dan goreng pisang. Keceriaan bertamu di wajah masing-masing. Mereka kelihatan rancak berbual disulami tawa dan usik mengusik Di hujung jari wanita itu masih terlihat inai yang memerah. Lelaki itu memegang tangan isterinya, mengucupnya perlahan dan berbisik; “Tak sangka akhirnya kita kahwin juga…”
Isterinya mengangguk. “Kali ini perkahwinan saya yang terakhir… Untuk selama-lamanya.”
Tidak lama kemudian kelihatan seorang lelaki keluar dari rumah besar itu, sambil diperhati oleh lelaki dan wanita yang ada di bawah pergola.
“Dia hendak ke mana pula?” Tanya wanita itu kepada suaminya.
“Barangkali ke taman Bukit Indah… Dia berjalan kaki sahaja tu! Dia memang suka bersiar-siar di situ setiap petang, agaknya dia puas melihat hasil kerjanya.”
“Bukan sebab itu… sebenarnya dia belum dapat melupakan Lydia.” Jawab isterinya kemudian menyambung lagi; “Saya harap dia tak apa-apa…”
“Bagaimana agaknya keadaan Nordin?” Tanya suaminya pula.
“Dah pulih. Tidak lagi bertongkat. Dia dah pindah ke Kuala Lumpur. Tak mahu duduk di JB lagi.” Jawab Basyira.
Basha mengangguk. Tersenyum lagi ke arah Basyira yang dilihatnya semakin ceria. Malah wajah isterinya kelihatan sedikit tembam. “Syira nampak sihat…” Kata Basha.
“Memang sihat.” Balas Syira sambil tertawa.
“Maksud abang Syira makin gemuk. Pipi dah tembam!”
“Ooh!” Basyira meraba-raba pipinya. “Bang… ada sesuatu yang buat saya sedikit khuatir.”
“Apadia?”
“Dah beberapa bulan saya… saya tidak didatangi haid.”
“Ha? Apakah… Apakah Syira mengandung?”
“Tak mungkin. Saya kan dah 45 tahun? Barangkali nak menopause…” Wajah Basyira menjadi sedikit muram.
“Tak mengapa Syira. Setiap wanita mengalaminya apabila tiba masanya. Abang tak kisah. Abang bersyukur memiliki Syira sebagai isteri. Abang harap abang boleh hidup tiga puluh tahun atau empat puluh tahun lagi sekiranya diizinkan Allah SWT.”
Basyira mengangguk. Dia mencapai sekeping goreng pisang lantas menyuapkannya ke mulut suaminya. Basha tertawa. Kemudian dia pula makan goreng pisang tersebut, tetapi tiba-tiba perutnya rasa memual. Ehhh… Kenapa ni? Bisik hatinya tidak keruan. Dia meletakkan goreng pisang kembali di piring dan berlari-lari masuk ke rumah lantas menuju ke bilik air.
Dia muntah. Apakah dia mengandung pada usia 45 tahun? Sudah terlalu tua untuk punya anak lagi. Tetapi anugerah Allah itu akan diterimanya dengan senang hati. Dia lantas mengajak Basha ke klinik untuk mengesahkan perkara itu. Benar! Dia hamil. Basha amat gembira. Berita itu diterima penuh dengan kesyukuran.

RYEAN EIMAN berjalan-jalan sendirian, mengitari kawasan perumahan yang telah siap terbina. Dua ratus lima puluh buah unit rumah yang dibina, sudah habis terjual. Dia memerhati bersama hati yang puas. Rumah yang cantik dan indah, hasil lakaran kreativitinya. Dia terus berjalan lagi bersendirian. Melintasi rumah demi rumah. Ada rumah-rumah yang sudah berpenghuni, ada juga yang masih kosong.
Kawasan itu kini semakin meriah. Ada pelbagai kemudahan di situ. Ada taman bunga yang cantik, padang dan juga taman permainan kanak-kanak terletak di bahagian tengah kawasan itu, dikelilingi oleh blok-blok rumah. Jika berjalan kaki memang tidak akan terlarat, mengitari kawasan yang luas itu.
Dia ada terdengar, kerajaan akan membina sekolah rendah dan sekolah menengah berdekatan kawasan perumahan itu. Kawasan itu akan menjadi sebuah taman perumahan yang strategi, lengkap dengan segala kemudahan.
Semuanya sempurna… Yang tidak sempurna adalah hidupku! Bisik Ryean Eiman sendiri.
Setelah projek selesai, dia mengambil keputusan berhenti kerja. Dia telah membuka syarikat sendiri dua bulan lepas. Wang komisyen yang diberi Datuk Rustam hasil projek taman perumahan itu, dijadikannya modal untuk memulakan syarikat. Datuk Rustam tidak melarangnya dari berhenti, malah mengalu-alukan keputusannya itu. Terkadang Ryean Eiman merasakan bahawa lelaki itu sudah tahu hubungan sulitnya dengan Mirinda, walaupun perhubungan itu telah ditamatkannya.
Tak mengapalah! Sekurang-kurangnya hatinya senang. Dia berada begitu dekat dengan keluarganya. Kini dia menetap bersama ibu dan bapa tirinya, Basha. Bapa kandungnya juga setiap minggu akan datang menemuinya.
Lydia terus menyepi diri. Biarpun mereka bersua muka beberapa kali, tetapi gadis itu berlagak tidak mengenalinya langsung. Apabila dia menegur atau memanggil namanya, Lydia langsung tidak memberikan sebarang reaksi. Dia benar-benar marah. Aku yang bersalah kerana mempermainkan perasaannya! Keluh Ryean Eiman sambil berjalan ke arah taman, lantas melabuhkan punggungnya di salah satu bangku yang ada di situ.
Aku seorang lelaki yang tidak setia… Inilah balasannya! Ditinggalkan oleh wanita yang benar-benar aku cintai. Dia bersandar malas, matanya merenung langit. Langit gelap seperti hendak hujan. Tadi cuaca amat cerah kini bertukar mendung. Ingatannya mengembara ke peristiwa dua bulan lalu, kata-kata Datuk Rustam kembali terimbas; “Ada sebuah rumah saya nak hadiahkan kepada kamu, Ryean…”
“Rumah?” Tanya Ryean Eiman, tidak percaya apa yang didengarinya.
“Ya. Salah sebuah rumah baru di taman Bukit Indah. Saya ingin hadiahkannya kepada kamu. Ini kuncinya. Ambillah. Memang saya berniat hendak buat begitu…”
Ryean Eiman tidak percaya, matanya memandang sahaja ke arah kunci yang diletakkannya di situ. “Rumah itu adalah hadiah perkahwinan dari saya…”
Perkahwinan… Bisik Ryean Eiman perlahan. Sehingga kini dia tidak berkahwin dengan Lydia. Apalah ertinya hadiah itu? Apa gunanya? Dia tidak pernah teringin pergi ke rumah itu untuk melihatnya. Tiada sesiapa yang akan menghias dan menyerikan rumahnya itu. Lydia sudah pergi. Menurut Datuk Rustam yang menghubunginya semalam, Lydia telah pun berangkat ke luar negara, menyambung pelajaran.
“Kamu pergilah ke rumah tu esok. Tengok dan buat apa yang patut. Kalau rasa tak mahu tinggal di situ, jual saja. Saya tak marah. Memang rumah tu hak kamu… Buatlah apa yang kamu suka. Pergi tengok rumah tu petang esok, OK?”
Rintik-rintik hujan mulai turun menimpa mukanya. Dia bingkas bangun, berlari-lari anak ke jalan raya. Dia terus berjalan pantas ke rumah yang letaknya tidak jauh dari taman itu.
Ryean Eiman meraba-raba poket seluarnya. Memang dia ada membawa kunci. Apa salahnya dia pergi berlindung di rumah itu. Rumah yang dihadiahkan kepadanya bernombor; 15 Jalan 9/20. Inilah rumahnya… Bisik hati Ryean Eiman sambil memerhati ke arah rumah yang kosong dan sepi itu. Dia terus berlari masuk dan berteduh di bawah porch. Hujan kian lebat. Dia sempat memandang ke rumah di sebelah kanannya sudah terisi, sementara rumah di sebelah kiri juga begitu… Kelihatan ada sebuah kereta di situ.
“No. 15… Jalan 9/20.” Katanya sendiri apabila terpandang nombor yang terletak di atas pintu. “Macam tarikh pertemuan antara aku dan Lydia. Kami bertemu pada 15 hb September 2000. satu kebetulan…” Dia terus memasukkan anak kunci dalam lubang pintu. Daun pintu ditolak perlahan.
Rumah itu agak gelap, kerana alam di luar kian muram dan suram ditimpa hujan. Pantas dia mencari suis lampu. Dia tahu di mana kedudukan suis tersebut. Lampu menyala terang. Dia benar-benar terkejut kerana ruang tamu sudah terisi dengan sofa kulit berwarna krim. Dinding dicat kuning dan merah samar, dihiasi kertas sempadan berbunga-bunga di bahagian tengahnya. Dia tercengang. Dia memandang ke arah meja makan sudah tersedia hidangan.
Apakah dia tersalah masuk ke rumah orang? Tapi kunci ni… Dia berlari ke dapur.
Lydia! Pasti ini semua kerja Lydia! Patutlah datuk Rustam beria-ria menyuruh dia datang pada petang ini.
“Lydia!” Serunya apabila tiba di dapur. Tetapi tiada sesiapa di situ. Dia menepuk dahi. Di manakah Lydia? Matanya memandang ke arah tangga yang menghala ke tingkat atas. Dilihatnya ada taburan kelopak bunga mawar merah. Dia tersenyum. Taburan kelopak mawar merah itu menghala ke tingkat atas. Dia mengikuti jejaknya. Dia terus masuk ke kamar tidur utama. Kamar tidur itu sudah dihias indah, bagaikan kamar pengantin.
Di sana Lydia menantinya.
“Lydia!” Serunya sambil mendekati, hendak memeluknya. Lydia terundur ke belakang dan berkata dengan pantas; “Haaa… Nanti dulu!!”
Ryean Eiman ketawa. “OK.OK… Sorry!”
“Tapi… Kenapa kau lakukan ini semua dalam diam, Lydia?”
“Hari ini perayaan apa, Ryean?”
“Perayaan apa?” Dahi Ryean Eiman berkerut. “Hari pertama kita bertemu! Ya! Hari ini 15 September 2005!”
“Ya… Genap lima tahun. Hari ni I buat keputusan untuk memaafkan you, Ryean.”
“Terima kasih. Kita mulakan sekali lagi? Kita padamkan memori yang lepas-lepas. Hari ni hari pertama kita saling mengetahui kewujudan masing-masing!”
“OK.” Lydia mengangguk.
“Nama I Ryean Eiman… And you?”
“Lydia Datuk Rustam.” Jawab Lydia sambil menghulurkan tangannya.
“Lydia Datuk Rustam. Sudikah you menjadi isteri Ryean Eiman Nordin?”
Lydia terperanjat, melihat Ryean Eiman sudah berlutut, tangannya yang terhulur masih tidak dilepaskan. “Genap lima tahun perkenalan kita, sudikah you mengahwini I. I berjanji akan setia pada you, selagi ada hayat ini. Maafkan apa jua kesalahan I, kekhilafan I. Diya. I menyintai you selamanya. You adalah wanita terakhir dalam hidup I… Dan takkan ada wanita lain selepas you Diya.”
Lydia menyambutnya dengan berkata; “I juga begitu Ryean. I amat menyintai you.”
Mereka saling merenung, namun tidak pernah ada lagi sentuhan-sentuhan yang akan mendekatkan diri mereka ke pintu neraka. Ryean Eiman mengingatkan dirinya bahawa mereka akan bernikah secepatnya. Sesungguhnya dia tidak sabar untuk memiliki Lydia buat selamanya.
Ketika mereka menikmati hidangan pada awal maghrib itu, tiba-tiba handphonenya berbunyi. Ianya adalah panggilan daripada Basyira. Basyira dan Basha baru pulang dari klinik; “Ryean! Kau percaya tak yang kau akan mendapat pengganti, insan yang hilang?”
“Bagaimana ibu tahu?” Tanya Ryean Eiman. “Memang saya sedang bersamanya sekarang…”
“Ha… Apa maksud kau, Ryean?” Tanya Basyira.
“Saya akan bernikah dengan Lydia secepatnya.”
“Al-hamdulillah. Sebenarnya ibu juga hendak memberitahu kau satu berita gembira. Kau akan mendapat adik…”
“Ibu! Tahniah ibu.”
“Dan adikmu ini akan ibu namakan Harith Rafeeq.”


SELESAI [END]
Jumaat 2 Disember 2005

No comments: