Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 9

Bab 9

“PERASAN tak, sejak ibu dapat komputer, dia tidak pernah lagi sediakan sarapan pagi.” Kata Ryean Eiman sambil meneguk minumannya. Pagi itu mereka minum di gerai berdekatan dengan tapak projek. Sejak mendirikan projek di situ, sudah wujud dua buah gerai di tepi jalan berdekatan. Ramai para pekerja binaan makan dan minum di kedua-dua gerai. Ryean Eiman dan Lydia tidak ketinggalan minum di situ.
Terkadang mereka keluar juga minum dan makan di Mentakab. Tetapi itu semua amat jarang dilakukan. Ryean Eiman selalu sibuk dengan kerja dan tidak suka buang masa. Begitu juga dengan Lydia. Mereka seboleh mungkin ingin melihat projek perumahan itu siap segera.
Empat bulan sudah berlalu sejak mereka datang ke situ. Rangka-rangka rumah sudah didirikan, atap juga sudah dipasang. Kini kerja-kerja memasang dinding bata dan mengemas lantai sedang dijalankan. Tidak lama lagi kerja-kerja plaster dinding luar dan dalam akan menyusul. Saat itu kontraktor bahagian elektrik akan mulai mengambil tempat memasang pendawaian di dalam rumah.
“Dijangka kurang dari sepuluh bulan…” Kata Ryean Eiman sambil memandang jauh. “Projek ni akan siap.”
“Lebih cepat dari yang kita jangka.” Balas Lydia.
Ryean Eiman mengangguk. “Esok I akan ke Kuala Lumpur. Nak ikut?”
Lydia menggeleng. “Ada mesyuarat dengan kontraktor. Belum buat keputusan tentang qoutation yang ditawarkan. Kebanyakannya harga tinggi. Mereka menyatakan barang-barang mahal sekarang, jadi mereka tak dapat offer harga yang lebih rendah pada kita…”
Ryean Eiman mengangguk. “I nak ke ibu pejabat. Run out of money…” Katanya perlahan. “Mirinda belum luluskan lagi beberapa tuntutan. I akan pergi jumpa dia. I juga nak jenguk Datuk. Bagaimanakah keadaannya sekarang? Barangkali dia sudah ingat beberapa perkara.”
“Bulan lepas I balik, tetap tak ada sebarang perubahan. Sesekali Mirinda bawa juga dia ke pejabat, tapi dia tidak boleh buat apa-apa kerja. Semuanya terpaksa diajar, diterangkan satu persatu. Mirinda tu cepat sangat naik angin, langsung tak kasihan papa. Jadi, I katakan pada Mirinda; walau pun papa tak seperti dulu lagi, tolong jangan hina dan tengking-tengking dia!”
Ryean Eiman diam sahaja, dia hanya mendengar.
“I bertengkar hebat dengan Mirinda. Rasa tak nak balik lagi ke rumah tu!” Kata Lydia, mengingati kembali segala kata-kata Mirinda yang pedas. “Entah kenapa sejak akhir-akhir ini I merasakan hubungan kami kian tegang. Dulu tak macam tu… Dia baik.”
Ryean Eiman terus diam. Dia tahu mengapakah Mirinda berubah sikap terhadap Lydia. Suatu masa dulu Lydia dianggapnya sebagai anak, tetapi kerana cinta telah mengubah hati dan perasaannya. Akukah yang bersalah? Tercetus pertanyaan itu dalam kepala Ryean Eiman. Jika dia tidak menyertai Syarikat Datuk Rustam, mereka tidak akan bertemu. Dia dan Mirinda tidak akan menjalin hubungan. Dan Lydia juga tidak akan jatuh cinta padanya. Barangkali Lydia akan menyukai dan menyayangi insan lain yang jauh lebih baik daripadanya.
“Malah I anggap dia sebagai pengganti ibu I yang dah tiada lagi. Sayangnya sekarang semuanya dah berubah. Papa dah tak macam dulu. Anaknya sendiri pun dia tidak kenal. Bagaimana dia hendak menyayangi I semula, jika dia tidak ingat dan kenal pada I lagi?”
“Sabarlah. Suatu masa dia pasti ingat…” Jawab Ryean Eiman.
“Tapi bilakah masanya? I terseksa tengok keadaan papa macam tu. Macam orang bodoh. Dulu papa seorang yang bijak, dihormati dan sekarang ni dia tak ubah macam patung, menjadi orang yang tidak berguna…”
Ryean Eiman diam, dia tidak mahu memberikan sebarang komen.
“Mengapa setiap sesuatu harus berubah. Ryean?”
“Perubahan sentiasa berlaku tanpa dapat kita sekat dan halang. Dunia berubah, bumi pun berubah inikan pula insan yang punya pelbagai ragam. Apa yang you harapkan? Tiada yang kekal, kecuali Tuhan.”
“I harap hati you takkan berubah hati terhadap I, Ryean.”
Ryean Eiman diam, dia ingin menyatakan bahawa dia tidak mahu berjanji apa-apa. Tetapi kata-kata itu tersekat di kerongkongnya. Dia takut sebenarnya untuk memberi harapan. Dia bimbang harapan itu akan musnah oleh masa dan keadaan. Dia takut Lydia terkecewa. Dia tidak ingin melihat hati Lydia terluka.
Akhirnya dia mengangguk lambat-lambat.
“Terima kasih…” Kata Lydia menghulur tangannya lantas menggenggam tangan Ryean Eiman dengan erat. Lelaki itu tersenyum. Dia memandang tangan Lydia yang erat dalam genggamannya. Saat itu hatinya tidak keruan. Aku tidak tahu apakah kau akan jadi milikku Diya. Atau diri dan hatiku ini milik dia?

BASYIRA merenung skrin yang ada di hadapannya. Skrin itu masih kosong. Dia buntu, tidak dapat meneruskan karangannya lagi. Bagaimana? Bisik hatinya. Dia telah mendirikan watak-watak itu, seolah-olah ianya hidup. Hidup di hadapan matanya. Hidup di dalam mindanya.
Disebabkan dia inginkan penghayatan yang sebenarnya, dia menggunakan nama-nama mereka tanpa menukarkannya dengan nama-nama lain. Ryean adalah watak utama dalam ceritanya. Diikuti dirinya sendiri Lydia, Basha, Mirinda dan Datuk Rustam. Siapa sebenarnya Datuk Rustam? Mengapa nama itu seakan-akan pernah didengarinya. Dari manakah asal usul lelaki itu dan mengapa dia harus mendapat kemalangan di Kampung Bukit Penak. Menurut Lydia, pihak polis menyatakan bahawa ada orang yang cuba membunuhnya. Siapakah orang itu? Percubaan bunuh itu telah menghadapi kegagalan. Datuk Rustam masih hidup, walaupun kini berdepan dengan Amnesia. Apakah pembunuh itu akan melakukan cubaan demi cubaan untuk menghapuskan Datuk Rustam?
Dia boleh memasukkan satu lagi watak. Seorang Pembunuh. Apakah nama yang sesuai untuk pembunuh ini. Siapa? Agh! Dia buntu. Untuk sementara waktu ini dia akan menggunakan nama watak ‘Pembunuh’ sahaja, tanpa menggunakan nama sesiapa. Barangkali pembunuh itu adalah terdiri daripada watak-watak utama yang telah diciptanya.
Barangkali pembunuh itu adalah Ryean, Lydia, Basha dan Mirinda sendiri… Dia hanya menggunakan nama-nama mereka buat sementara waktu sahaja. Dia akan menukarkannya kemudian. Basyira termenung sejenak kemudian jari-jarinya mulai menari-nari lagi di atas keyboard.
“Jam terus beranjak perlahan. Suasana malam kian sunyi, menghampiri dinihari. Mataku masih belum mengantuk. Udara di dalam kamarku panas sekali, lantas aku bergerak ke jendela. Daun tingkapku buka perlahan-lahan, sambil mata meliar ke luar rumah. Gelap. Angin malam menerobos masuk melalui jendela yang baru kubuka, lantas menggoyangkan langsir organza putih yang tadi kaku sahaja. Mataku merenung ke luar rumah yang gelap gelita. Tiba-tiba hatiku jadi kecut. Kuterlihat bayang-bayang orang sedang bergerak di antara pokok-pokok mangga yang berbaris mengelilingi rumahku.
“Siapa?” Aku ingin menjerit kuat tetapi suaraku tersekat di kerongkong.
Kulihat susuk tubuh lelaki berpakaian serba hitam. Dia kini memandang ke arahku. Wajahnya berselindung di sebalik topeng, namun matanya tepat memanah ke dalam mataku. Aku ketakutan dan terjerit kuat. “Aghhhhh… Tolong!”
Anakku Ryean berlari datang ke bilikku dan bertanya; “Kenapa ibu?”
Basyira tersentak. Dia kembali ke dunianya semula. Jari-jarinya terhenti dari menekan keyboard. Dia benar-benar terdengar bunyi sesuatu di tepi tingkap bilik tidurnya. Dada Basyira berdebar-debar. Dia terkejut, serta merta matanya memandang ke arah jam dinding yang tergantung di kepala katil. Kurang lima minit ke pukul satu pagi. Debaran di dadanya terus menjadi lebih kencang.
Dia berlari ke bilik Lydia lantas terus mengejutkan gadis itu.
“Ada apa ibu?” Tanya Lydia dengan suara yang berat. Apabila Lydia terjaga dan duduk berlunjur di atas katil, Basyira merasakan dirinya benar-benar bodoh. Kononnya dia ingin menyelami dunia penuh mistik… dunia pembunuhan dan kriminal. Kini dia dikuasai oleh rasa takut. Cerita yang sedang direkanya telah mempengaruhi hati dan perasaannya. Selama ini dia tinggal seorang diri di rumahnya itu tanpa rasa takut, kenapa dia merasa begitu gentar bila hanya terdengar bunyi di tepi tingkap bilik tidurnya?
“Tak ada apa-apa…” Jawab Basyira. “Maaflah… Ibu mengejutkan kamu Diya, sebab… sebab…” Basyira tidak dapat memberikan sebab musababnya. Dia rasa malu, lantas menyuruh Lydia tidur semula. Gadis itu tidak membantah, dia berbaring dan terus terlelap semula.
Basyira kembali ke biliknya lantas duduk semula menghadapi komputer. Dia memasang telinga, menunggu jika ada bunyi yang datang dari tepi tingkap biliknya, tetapi tiada apa-apa. Semuanya senyap sahaja.
“Cukuplah untuk malam ni.” Bisiknya sendiri, sambil menggosok mata. Dia mematikan suis komputer, lantas terus bergerak ke atas katil. Esok dia akan menyambung semula penulisannya itu. Dia menguap beberapa kali. Kepenatan semakin terasa. Belakangnya sakit. Dia berbaring dan berharap akan terlelap dengan segera.
Selepas subuh itu dia kembali menghadap komputer hingga hari meninggi. Perut pun sudah terasa lapar. Lebih baik turun sarapan. Apa yang ada sajalah… Dia sudah malas hendak melayan selera yang tidak pernah puas. Namun puas dibelek di dalam kabinet dia mendapati tiada suatu apa pun yang boleh dimasak. Mee segera pun dah licin… bisiknya sendiri. Ini mesti kerja Ryean yang suka berjaga malam menonton bola sepak. Dia ingat benar dia menyimpan bekalan yang banyak tapi habis dalam masa yang singkat. Dia terpaksa berpuas hati dengan meminum coklat panas sahaja…
Ketika Basyira sedang menjerang air, dia terdengar bunyi motorsikal. Sekarang telinganya sangat peka terhadap bunyi motorsikal Basha. Dia tahu Basha datang. Matanya mengerling jam. Belum pukul dua belas. Basha balik lebih awal dari kebiasaannya. Basyira keluar melalui pintu dapur dan berjalan melalui pergola. Basha juga sedang berjalan ke arahnya dan mereka benar-benar bertembung di bawah pergola, berdekatan dengan meja besi tempawan bercat putih. Dada Basyira melonjak girang melihat Basha menjinjit sesuatu.
“Bawa apa tu?” Tanya Basyira dengan pandangan mata jinak ke arah kampit di tangan Basha.
“Rojak.” Jawab Basha. “Ingat nak ajak Syira makan rojak.”
“Memang elok benarlah bang. Memang Syira lapar ni… Pucuk dicita ulam mendatang nampaknya.” Balas Basyira sambil tersenyum mesra.
Basha tergelak, meletakkan bungkusan rojak di atas meja. Tanpa suara Basyira masuk ke dalam untuk mengambil pinggan, sudu dan garfu. Dia turut membancuh coklat panas untuk mereka berdua. Semuanya dibawa keluar. Mereka makan bersama di bawah pergola yang redup.
“Sekarang ni abang tengok Syira tak lagi keluar jogging. Juga tak menanam bunga lagi. Apa yang Syira buat di rumah? Menjahit?” Basha sengaja memancing cerita. Padahal dia tahu semua kegiatan Basyira. Setiap malam dia mengintip Basyira yang asyik menghadapi komputernya. Entah apa yang Basyira buat… Malam tadi dia hampir-hampir terjatuh kerana terlalu asyik memerhati Basyira. Jika dia terjatuh dari tangga dan terjerembab di tanah, habislah rahsianya diketahui Basyira.
Bukan sahaja rahsianya akan terbongkar, barangkali tubuhnya juga akan patah riuk. Maklumlah jatuh dari tempat yang tinggi, lebih kurang sepuluh kaki. Jika nasib tak baik, dia mungkin boleh maut! Tapi demi Basyira dia sanggup menghadapi risiko.
Basyira ketawa lembut. “Abang! Abang masih ingat tak lagi pada zaman persekolahan kita dulu?”
Basha tersenyum. “Takkan tak ingat. Zaman persekolahan, alam remaja adalah waktu-waktu yang sangat indah. Masa yang tidak akan berulang.” Kata Basha seperti kesal. Kini masa itu sudah kembali sekali lagi… Bisik hati Basha. Syira, kau kini keseorangan dan aku pun begitu. Alangkah baiknya jika kita dapat menjalin satu hubungan yang lebih bererti. Mahukah kau Syira? Bagaimana jika aku melamar kau… Mahukah kau menerimaku sebagai suamimu? Ohhh… Jika Basyira menolaknya, pastilah dia akan malu besar. Dia tidak sanggup mendapat malu buat kali kedua! Dulu Basyira pernah menolaknya…
“Masa sekolah dulu, Syira minat menulis sajak. Banyak sajak-sajak Syira yang dimuatkan dalam majalah sekolah. Setiap tahun menang peraduan menulis sajak…”
Basha mengangguk. Dia masih ingat segalanya. Dia tahu Basyira memang berbakat. Sajak-sajak tulisan Syira turut diminati oleh sepupunya yang tinggal di Kuala Lumpur. Dia selalu datang ke rumah Basha setiap kali musim cuti sekolah. Sepupunya beria-ria hendak berkenalan dengan Basyira yang ketika itu berusia 15 tahun. Tetapi Basha tidak pernah mengizinkan, malah Basha memberi amaran bahawa Basyira hanya miliknya seorang.
Tetapi sepupunya itu tidak putus asa. Dengan berani dia menulis surat kepada Basyira dan meletakkannya di dalam peti surat hadapan rumah. Mereka berdua sama-sama mengendap di dalam semak, ingin tahu siapakah yang akan mengambil surat itu. Kecewa hati Rustam tidak terkata. Basha pula tertawa puas.
Surat itu tidak sampai ke tangan Basyira sebaliknya dibaca oleh ayah Basyira. Orang tua itu marah-marah dan mengoyakkannya hingga hancur.
“Sebenarnya… Syira sedang menulis novel.” Kata Basyira separuh berbisik, seolah-olah takut orang lain mendengar kegiatan barunya itu.
“Menulis novel?” Dahi Basha berkerut. Dia nampak terkejut. Rasa ingin tahunya menjulang. Cerita apa yang sedang Basyira tulis? Soal hatinya bertalu-talu.

HARI ini betul-betul buntu, tak ada ilham… Bisik hati Basyira sambil menutup komputernya. Dia berhasrat ingin keluar ke kedai buku. Dia perlu mencari bahan-bahan tambahan untuk rujukan. Apabila menulis dia merasakan dia kurang pengetahuan tentang banyak perkara. Seharusnya seorang penulis itu serba tahu segalanya!
Basyira ke bandar, lantas singgah di Pustaka Jasmin. Laju langkahnya menghala ke bahagian fiksyen kedai itu. Leka dia membelek-belek novel-novel yang ada di bahagian itu. Dia tersentak apabila ditegur lembut oleh suara yang amat dikenalinya; “Nak beli novel?”
Basyira menoleh dan tersenyum ke arah Basha. Hatinya rasa tidak keruan melihat Basha berdiri di sampingnya. Jarak mereka begitu dekat. Basyira cuba untuk mencari ruang bagi mengelak dari berada begitu dekat dengan Basha, tetapi dia tidak dapat ke mana-mana dicelah ruang yang sempit terkepung rak-rak buku itu.
“Abang Basha pun nak beli novel ke?”
Basha menggeleng. “Beli majalah tadi, tapi ternampak Basha masuk dan menuju ke sini. Tak nampak abang dekat bahagian majalah tadi?” Tanya Basha dengan muka mesra. Padahal memang dia mengekori Basyira tanpa disedari wanita itu.
Basyira menggeleng. Memang dia tidak perasan. Namun hatinya gembira dengan pertemuan itu. Bolehlah dia bertanya pendapat Basha tentang buku-buku yang ada. Barangkali Basha turut berminat membaca buku-buku bercorak fiksyen.
“Memang minat membaca.” Jawab Basha dengan berhati-hati. “Tapi bukan novel yang bercorak fiksyen tapi cerita kisah benar.”
“Kisah benar?”
Basha mengangguk. “Banyak buku-buku kisah benar di rumah abang. Tapi kebanyakan berbahasa Inggeris. Amat sedikit buku-buku yang ditulis oleh penulis berbahasa Malaysia tentang buku-buku nonfiksyen. Agaknya tak berapa dapat sambutan. Kalau buku masakan ataupun buku motivasi mungkinlah laju jualannya.”
Basyira mengangguk lantas terus memilih. Akhirnya dia memilih sebuah buku fiksyen dan dua buku rujukan. Dia tidak suka pulang dengan tangan kosong, setelah berada begitu lama di dalam kedai buku itu.
“Syira nak pinjam buku-buku abang? Mungkin berguna sebagai panduan untuk Syira menulis novel. Novel apa yang sedang Syira tulis?” Secara tidak langsung dia mengorek rahsia.
“Kisah pembunuhan…” Balas Basyira.
“Hmmm… Bagus. Abang pun minat pada cerita-cerita pembunuhan. Maklumlah lama duduk dalam jabatan polis. Memanglah minat dengan cerita-cerita bercorak penyiasatan. Tetapi macam abang cakap tadi, abang suka baca kisah-kisah benar tentang kriminal yang berlaku di Barat.”
Basyira mengangguk.
“Di barat pembunuhnya hebat, amat sukar tertangkap. Tapi di sini, penjenayah tak boleh bertahan lama… Dah kena cekup.” Kata Basha tertawa.
“Barangkali, polis kita cekap?”
Basha menganggukkan kepalanya. “Memang cekap. Bila dah keluar muka anak bini merayu dalam televisyen suruh serah diri… Suruh taubat. Apalagi, tak lama kemudian masing-masing keluar untuk menyerah. Mereka tu mengharap akan dapat pengampunan setelah melakukan pelbagai jenayah.” Tambahnya.
Basyira ketawa. “Memang betul. Lemahlah bila dah tengok muka anak isteri menangis-nangis dalam tv.” Basyira bersetuju.
“Jom kita pergi minum dulu sebelum balik.” Ajak Basha. Basyira mengangguk. Memang tekaknya terasa kering. Mereka berjalan seiring ke arah restoran di hadapan kedai buku tersebut. Tanpa sebarang prasangka, Basyira terus melayani Basha berbual-bual kosong semasa minum sehingga berlarutan sejam lamanya.
Petang kian larut dan Basyira terburu-buru pulang kerana waktu asar sudah semakin tiba di penghujungnya.

No comments: