Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 4

Bab 4

PETANG, sebaik sahaja masuk waktu asar Basyira mengerjakan salat kemudian turun ke dapur. Disediakannya goreng pisang nangka buat anak dan bakal menantunya. Hatinya gembira kerana dapat ‘memanja’kan anak lelakinya itu. Bukan hanya Ryean Eiman, dia turut mahu Lydia menikmati layanan istimewa. Dia pasti anak itu dilahirkan dalam keluarga yang berada, hidup penuh dengan kemanjaan. Ryean Eiman sempat memberitahunya siapakah Lydia. Dia adalah anak majikannya, Datuk Rustam. Lydia kematian ibu sejak kecil tetapi mempunyai seorang ibu tiri. Lydia dan ibu tirinya walaupun tidak rapat tetapi tidak pula bermusuhan.
Sungguh pun Basyira tidak pernah bertemu dengan Datuk Rustam, tetapi dia tahu lelaki itu pastilah orang yang baik kerana meletakkan sepenuh kepercayaan pada anaknya. Ryean Eiman turut memberitahu bahawa Datuk Rustam menganggap dirinya seperti anaknya sendiri.
Justeru itu dia memberikan layanan yang serupa terhadap anak gadis itu. Lydia tidak diizinkannya kembali ke hotel. Kebetulan bilik tidur di sebelah biliknya di tingkat atas sudah dibersihkan semalam, jadi dia menyuruh Lydia berehat di situ. Sementara Ryean Eiman senang memilih bilik di tingkat bawah. Dia tidak suka turun naik tangga. Terkadang dia lebih suka tidur di kerusi panjang di ruang tamu setelah menonton televisyen hingga lewat malam.
Basyira gemar memasak apa sahaja yang jadi makanan kegemaran anaknya. Itu adalah satu cara dia mengikat anaknya agar tidak keluar ke mana-mana. Dia suka apabila melihat pinggan yang licin, semuanya habis dimakan dengan lahap.
Selera makan Ryean Eiman selalunya baik kecuali kalau dia jatuh sakit. Tetapi semasa sakit seleranya hilang dan selepas baik selalu pula seleranya akan menjulang.
Petang itu dia menghidang minuman dan pisang goreng di meja dan kerusi besi di bawah pergola. Petang itu cuaca redup seperti ingin menitiskan hujan tetapi tidak jadi. Angin yang bertiup dengan kencang, mengarak awan mendung ke arah lain. Mereka bertiga merasa senang berada di luar rumah. Teh O panas yang dihidang segera dapat memanaskan badan. Pinggan berisi pisang goreng sudah pun kosong.
“Tinggal di kampung ni seronok ya ibu. Buah-buahan mewah. Pisang ni pun sangat sedap dan besar buahnya. Semasa kita tinggal di kat Johor, jarang dapat makan goreng pisang nangka. Lagi-lagi goreng pisang nipah bercicah sambal kicap.” Kata Ryean Eiman cuba mengingat kembali kehidupan mereka yang lalu.
“Goreng pisang tu juga terkenal di Kuala Lumpur.” Sampuk Lydia.
“Tapi I takkan mudah lupa pada goreng pisang hasil tangan ibu I sendiri.”
Basyira ketawa. Dia senang mendengar pujian anaknya.
“You harus belajar memasak dengan ibu. Suatu hari nanti, you barangkali akan jadi isteri I.” Kata Ryean Eiman tanpa rasa malu. Muka Basyira pula yang memerah mendengar kata-kata si anak. Dia pasti Lydia juga terasa malu.
“Tak baik cakap begitu. Anak gadis sekarang kebanyakannya memang pandai memasak sebab kerana mereka terdedah dengan pelbagai ilmu.”
“Benar Betul tu makcik. Dia selalu memperleceh Diya, kononnya Diya tak tahu memasak.” Adu Lydia pada Basyira. Nadanya kedengaran manja biarpun mereka baru sahaja saling kenal mengenali antara satu sama lain. Dengan lancarnya dia berbahasa ‘Diya’ bila bercakap dengan Basyira. Sesuatu yang berlaku tanpa sengaja…
“Cubalah tunjukkan bakat you tu!” Ryean Eiman mencabar.
“I pantang dicabar…” Jawab Lydia tegas. Basyira mulai bimbang mereka akan bertengkar. Dia mengangkat tangannya, ingin berkata sesuatu tetapi terhalang oleh suara Ryean Eiman; “OK. Malam ni you masak. I nak rasa masakan you. Apa yang you nak masak untuk makan malam?”
“OK. I masak speghati, bersos daging.”
“Ibu dengar tu?” Kata Ryean Eiman sambil bertepuk tangan. “Jom kita keluar ibu. Kita pergi shopping. Biar Lydia memasak… Kita balik makanan dah tersedia. Macamana ibu?”
Mendengar kata-kata Ryean Eiman itu, muka Lydia menjadi kelat. Tidak disangkanya lelaki itu benar-benar serius. Tetapi dia tidak boleh menarik balik kata-katanya. Dia mesti membuktikan pada Basyira dan Ryean Eiman bahawa dia tahu memasak dan boleh menjadi seorang isteri yang ideal.

LYDIA termenung sendiri menghadapi bungkusan speghati, setin sos tomato puri dan barang-barang lain. Terdapat juga daging cincang, sayur-sayuran campur serta sebotol oregano. Dia memandang sahaja ke arah buah tomato yang masak ranum, nampak berkilat kulitnya. Sungguh menyelerakan! Fikirnya sambil mencapai buah tomato itu lantas menggigitnya sedikit. Dia memang gemarkan buah tomato dimakan begitu sahaja.
“Bertenang Lydia. Mula-mula, kupas bawang besar…” Bisik hatinya sendiri setelah dia menghabiskan sebiji tomato. Dia mengambil papan pencincang lantas meletakkannya di atas meja. Perlahan-lahan dia mulai mengupas bawang besar dan bawang putih. Tin tomato puri sudah dibuka. Juga tin berisi sup cendawan.
“Apalagi… Aha! Cuci daging cincang bersih-bersih, toskan airnya.” Dia bercakap sendirian. Matanya memandang ke arah dapur. Sebentar tadi dia telah menjerang air dan memasukkan sedikit marjerin dan garam. Air kelihatan sudah menggelegak. “Dah boleh masukkan speghati.” Dia bercakap sendiri.
Rumah itu benar-benar sunyi. Dia tidak sukakan suasana yang sunyi sepi seperti itu. Dicuba melawan rasa takut dengan bercakap-cakap sendiri, seolah-olah ada orang lain di situ. Terkadang timbul juga rasa radang dalam hatinya. Ryean Eiman sengaja hendak membulinya. Mentang-mentanglah dia bersama dengan ibunya… Tetapi dia sukakan Basyira. Wanita itu nampak baik dan penyayang. Tak mengapa! Dia sanggup berkorban demi memenangi hati Basyira. Rasanya tidak susah hendak memenangi hati wanita itu yang baik sepertinya.
Semasa dia sedang mengangkat periuk berisi speghati dari atas api, dia terdengar bunyi. Terkejut bukan kepalang hatinya. Hampir periuk panas itu terjatuh ke lantai. Nasib baik dia sempat memegang periuk itu dengan kuat. Jika tidak pastilah spagheti yang baru masak dan belum ditapis itu berlambak ke lantai.
Lydia buru-buru berlari ke arah datangnya bunyi tersebut. Dia mengintai dari celah-celah cermin tingkap nako yang ada di dapur itu. Di luar suasana agak gelap. Matanya menangkap bagaikan ada bayang-bayang sedang bergerak-gerak diikuti bunyi ranting-ranting patah dipijak orang. Dia juga terdengar bunyi orang berlari di sekeliling rumah.
“Tolong! Pencuri!!!!” Dia menjerit sekuat hati, senduk di tangannya jatuh dan seluruh tubuhnya menggigil. Dia duduk bersandar di tepi dinding, menutup muka dengan kedua-dua belah tangan.
Bertenang! Bertenang… Bisik hatinya memujuk diri sendiri. Dia memerhati sekeliling ruang yang kaku. Hanya perabot-perabot yang mengelilingi rumah itu. Tiada objek yang bergerak. Hanya suara angin terdengar di luar rumah, menggoyangkan daun-daun mempelam dan mangga yang terdapat di belakang dapur.
“Tiada sesiapa. Hanya perasaanku saja…” Katanya seorang diri, sambil bangun dan bergerak ke arah dapur. Dia menghidupkan dapur gas dan mulai menyediakan sos daging untuk speghati. Lima belas minit kemudian sos yang disediakannya masak. Dia meletakkannya ke dalam kaserol, lantas menghidangkannya di atas meja makan di luar. Dia menyusun pinggan, sudu dan garfu. Semuanya sudah tersedia… serunya sambil memerhati meja yang dipenuhi makanan dan tersaji dengan kemas.

LELAKI ITU berjalan terhendap-hendap mengelilingi rumah Basyira. Rumah itu sunyi sepi. Kereta Ryean Eiman tiada di hadapan rumah menandakan bahawa dia tiada di rumah. Kereta Basyira tersimpan di dalam garaj. Lampu bahagian hadapan rumah terpasang terang. Dia mendapati lampu di bahagian ruang tamu juga terang benderang. Telinganya turut menangkap bunyi pinggan mangkuk berlaga di dapur.
Basyira tinggal seorang diri… Bisiknya sendiri. Dia tersenyum. Dia berjalan terhendap-hendap mendekati dinding, mencari lubang untuk mengintai. Matanya dapat menangkap susuk tubuh seseorang. Dia menajamkan pandangan dan mendapati gadis itu bukanlah Basyira. Siapa pula gadis ini?
Basha berjalan perlahan-lahan dan memintas melalui bahagian sisi dapur. Di situ terdapat tingkap dan pintu dapur. Pintu bertutup rapat. Tiba-tiba kakinya terpijak ranting mangga yang baru gugur. Berderap bunyi kasutnya memijak ranting yang garing itu. Telinganya menangkap bunyi gerakan tingkap dibuka dengan keras. Kemudian terdengar jeritan kuat datangnya mulut gadis itu.
Basha ikut terkejut mendengar jeritannya yang amat kuat. Kalah suara tarzan! Gerutu Basha di dalam hati. Dia cepat-cepat berlari meninggalkan rumah Basyira. Dia bimbang jeritan itu akan terdengar hingga ke rumah Milah yang terletak tidak jauh dari rumah Basyira. Termengah-mengah Basha berlari menuruni bukit untuk mendapatkan motorsikalnya. Enjin dihidupkan dan dia terus memacu motorsikalnya meninggalkan tempat itu.
Celaka betul! Gerutunya sendiri, benar-benar geram kerana gadis itu menjerit dengan kuat. Siapakah gadis itu? Mengapa dia tinggal sendiri di rumah Basyira? Dua hari dia tidak datang ke rumah Basyira, ternyata sudah ada seorang lagi penghuni rumah itu yang tidak dikenalinya.
Basha menghalakan motorsikalnya menuju ke Mentakab. Malam masih awal. Dia berhasrat hendak berjalan-jalan ke pasar malam lantas melupakan hasratnya untuk mengintip pergerakan Basyira. Biarpun niatnya hendak ke pasar malam tetapi ternyata Basha menyimpang ke arah lain. Dia masuk ke coffee house, untuk minum dan melihat gelagat orang.
“Hei… Boss, seorang malam ni?” Tegur Aru sambil menepuk bahunya.
“Aku mana pernah berteman.” Jawabnya malas.
“Sampai bila kau mahu ini macam? Carilah satu perempuan baik-baik, buat bini.” Kata Aru bersemangat sambil meneguk staut pekat berwarna hitam dan berbuih tinggi di hadapannya. Buih putih kelihatan melekat di misainya yang tebal, dibiarkan sahaja ia kering sendiri.
“Ada satu perempuan aku suka… Tapi…” Basha tidak menghabiskan kata-katanya. Wajah Basyira menari-nari dalam ingatannya. Malam itu dia tidak dapat mengintai Basyira. Sejak Basyira balik, wanita itu langsung tidak tahu, hampir setiap malam dia datang mengintip melalui lubang rahsia yang dikoreknya sendiri semasa dia membaiki paip rumah Basyira. Sayang sekali lubang itu hanya dapat dilihat dari arah dapur sahaja. Dia tidak dapat mengintai Basyira sekira wanita itu berada di dalam bilik tidur. Basyira tidur di tingkat atas. Dua malam dia tidak datang mengintip kerana dihalang hujan.
Malam itu cuaca amat baik, Basyira pula tiada di rumah. Entah ke mana wanita itu pergi. Basha tahu Basyira sudah pun bercerai dengan suaminya. Basha terpengaruh oleh fikiran dan perasaannya bahawa dia masih punya peluang kedua untuk memiliki Basyira. Dia telah menunggu begitu lama untuk menikmati saat-saat seperti ini…
“Kenapa?” Tanya Aru ingin tahu.
“Dia baru bercerai. Aku takut dia menolak sekiranya aku cepat-cepat membuka langkah…”
“Bagi dia masa… Tapi kau mesti cepat. Nanti kalau suami dia datang balik, kau juga susah.”
Basha mengangguk. “Lelaki itu tidak seharusnya datang semula mencari Syira…” Katanya perlahan hanya pada dirinya sendiri.

“MACAMANA dengan baju ni bu?” Tanya Ryean Eiman sambil menunjukkan sehelai baju berwarna merah samar.
Basyira menggelengkan kepala. “Hisy, janganlah! Merah sangat… tak sesuai dengan ibu, Ryean. Kan ibu ni dah tua…”
“Janganlah anggap macam tu, ibu. Bagi saya ibu tidak pernah tua. Ibu tetap cantik. Yang biru ni macamana ibu? Saya rasa amat sesuai dipadankan dengan seluar warna biru pekat. Ya… Ibu ambillah yang ini. Dah dekat sejam kita memilih tak ada satu pun yang ibu berkenan.”
“Haaa… Siapa yang ajak ibu shopping tadi? Kan dah bosan…”
“Bukan bosanlah ibu. Cuma letih…” Jawab Ryean Eiman. “Hmmm… Tadi Lydia telefon. Katanya dia dah siap memasak.”
“Baguslah. Kita balik?”
“Macamana dengan baju tu?”
“Tak jadi ambil.” Kata Basyira dengan cepat. “Lain kali.”
Diam-diam Ryean Eiman mengambil baju biru dan merah lantas menyerahkannya kepada jurujual. “Tolong bungkus…” Bisiknya perlahan. Dia tidak ingin Basyira tahu bahawa dia telah membelikan baju itu untuk ibunya. Niat di hatinya tulus ikhlas ingin melihat ibunya cantik bergaya. Dia tidak ingin ibunya tenggelam dalam kesedihan mengenang bapanya yang tidak setia.
“Ada ayah kau telefon, Ryean?” Tanya Basyira di dalam kereta semasa dalam perjalanan pulang. Ryean Eiman agak terkejut mendengar pertanyaan Basyira. Dia tidak menyangka Basyira akan bertanya soalan itu.
Ryean Eiman mengangguk. “Ada… Cuma sekali.”
“Apa katanya?”
“Dia bertanya pasal tentang keadaan ibu. Saya katakan ibu sihat…”
“Lagi?”
“Tiada apa-apa lagi. Kami berbual sekejap aja. cuma sebentar. Ayah sibuk sekali dan tidak dapat berbual panjang.”
“Dia sudah bernikah dengan perempuan tu?” Tanya Basyira. Pertanyaan itu meletus dengan mudah di bibirnya tetapi terasa amat pahit dan menyakitkan di hati. Namun naluri ingin tahunya terlalu dalam. Dia masih menyimpan harapan bahawa Nordin belum bernikah…
“Baru bertunang. Dengar khabar akan bernikah enam bulan lagi. Pihak perempuan mahu membuat persiapan terlebih dahulu… Agh! Sudahlah ibu. Tak perlulah ibu bertanya lagi tentang perkara itu. Bukankah hanya menyakitkan hati ibu aja?”
Basyira tidak mempedulikan kata-kata Ryean Eiman sebaliknya terus bertanya; “Ayah kau jemput undang kau ke majlis perkahwinannya dia nanti?”
“Kalau dia jemput, saya takkan pergi.” Jawab Ryean Eiman sambil menggigit bibirnya dengan kuat. “Sudahlah ibu…” Rayunya perlahan. “Buat apa lagi ibu nak tahu tentang ayah. Biarkan saja dia. Ibu teruskan saja hidup ibu, walau pun tanpa ayah. Saya akan selalu ada di sisi ibu.”
Basyira menangis teresak-esak. Sudah lama dia tidak menangis di hadapan anaknya itu. Dia sebenarnya tidak cukup kuat, hanya berpura-pura sahaja melawan hatinya yang sedih. Dia cuba untuk bergembira dan tersenyum ataupun bergurau tetapi itu hanya topeng. Ryean Eiman memberhentikan keretanya di tubir jalan, memeluk emaknya yang sedang menangis beberapa ketika sehingga tangisan Basyira reda.
Dia menghidupkan semula enjin kereta beberapa ketika kemudian, meneruskan perjalanan pulang ke rumah.
Lydia menunggu di muka pintu sebaik sahaja mendengar bunyi deru kereta di hadapan rumah. Dia tersenyum melihat kedua-dua beranak itu baru pulang.
“Lamanya I tunggu…” Kata Lydia, separuh merungut.
“Takut kah tinggal seorang?” Tanya Basyira.
Lydia menggeleng, enggan bercerita betapa takutnya dia hingga terasa bagaikan dirinya sedang diintip. Tetapi sebenarnya tiada apa-apa, cuma suara angin dan ranting yang jatuh dari pokok.
Mereka makan dalam suasana senyap. Belum habis speghati di pinggannya, telefon bimbit Ryean Eiman menjerit minta dilayani.
“Alamak! Datuk Rustamlah…” Kata Ryean Eiman sambil menjawab panggilan daripada bosnya itu.
Dia terus meminta diri dan bergerak ke pintu tanpa sempat menghabiskan makanannya; “I keluar kejap. Papa you nak jumpa, dia dah sampai ke Mentakab.” Katanya lantas terus meluru keluar.
“Apa hal?” Tanya Basyira yang masih terpinga-pinga tidak mengerti.
“Kalau papa telefon tu mesti ada hal penting.”
Basyira menganggukkan kepalanya. “Diya tidur di sini ajelah malam ni…” Pujuk Basyira dengan lembut. Dan Lydia tidak dapat menolak pujukan demi pujukan dari bakal emak mertuanya itu. Dia mengangguk.

BASHA keluar dari coffee house dengan kepala yang berat dan pening-pening lalat. Namun dia masih boleh mengecam dengan jelas. Dia yakin dia boleh balik dengan motorsikalnya itu tanpa sebarang masalah.
Semasa dia sedang berjalan ke arah motorsikalnya dia terlihat Ryean Eiman sedang berbual dengan seseorang di hadapan hotel bertaraf sederhana itu. Perbualan itu kelihatan rancak sekali. Cahaya terang di hadapan hotel itu membuat dia dapat mengecam siapakah lelaki bersama Ryean Eiman. Abang Rustam? Bisik hatinya sambil menggosok-gosok mata untuk memastikan pandangannya tidak berbohong.
Benarkah itu abang Rustam? Basha terus berjalan lebih dekat untuk memastikan pandangannya itu benar. Dia mengendap di tempat yang agak gelap supaya lebih selesa untuk memerhati mereka berdua.
Ryean Eiman kelihatan menunjuk ke arah hotel itu, dan Datuk Rustam menganggukkan kepalanya. Mereka berdua bergerak masuk dan menghilang di dalam. Basha mengambil keputusan untuk mengekori mereka. Tetapi dia gagal menjejaki mereka sebaik sahaja tiba di dalam. Lantas Basha bertanya pada petugas di kaunter.
“Ada Rustam Basir menginap di sini?”
Petugas itu membuka komputer dan melihat nama-nama penginap yang ada di situ.
“Datuk Rustam?”
“Ya…Yaa…” Jawab Basha. “Berapa nombor biliknya?”
“Encik siapa?” Tanya gadis yang bertugas di kaunter.
“Saya kawannya.” Balas Basha.
“Nombor biliknya 103. Tingkat 1.”
Basha mengangguk. Dia berjalan laju menuju ke tangga. Dia mahu mengejutkan Datuk Rustam dengan kedatangannya. Basha terus membuka pintu yang memisahkan ruang tangga dengan ruang legar hotel. Dia berjalan di tengah-tengah lorong itu, mencari nombor yang diingininya. Tetapi langkahnya terhenti. Dia baru teringat bahawa Datuk Rustam bersama dengan Ryean Eiman. Dia tidak boleh menemui Datuk Rustam sekiranya Ryean Eiman ada bersama. Basha mengintai dan menunggu Ryean Eiman keluar dari bilik Datuk Rustam kemudian barulah dia mengetuk pintu bilik lelaki itu.
Datuk Rustam benar-benar terkejut melihat wajah Basha. Dia memang masih mengenali lelaki itu biarpun mereka tidak bertemu dalam tempoh yang lama.
“Basha?” Serunya masih lagi terkejut.
“Abang Rustam! Abang dah kaya sekarang…” Kata Basha sambil tersenyum.
Datuk Rustam tidak menjawab.

No comments: