Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 18

Bab 18

KERETA MERCEDES hitam milik Datuk Rustam terus dipandu laju meninggalkan Kuala Lumpur. Sejam berlalu dalam keadaan senyap, Datuk Rustam tidak bersuara walaupun sepatah. Tiba di sempadan Pahang dan Selangor, tiba-tiba Datuk Rustam berkata; “Kita singgah makan. Saya belum makan malam.”
Pak Man menganggukkan kepala lantas mereka singgah di Genting Sempah untuk makan dan berehat. Datuk Rustam juga mengambil kesempatan untuk mengerjakan salat isyak. Selepas itu perjalanan diteruskan ke destinasi.
Datuk Rustam cuba melelapkan matanya barang sebentar, biarpun dia belum mengantuk. Dia ingin melupakan apa yang sedang bergalau dalam kepalanya. Memang sudah lama dia mengesyaki Mirinda mempunyai kekasih. Tetapi bukan itu sahaja yang disyakinya. Banyak perkara menghantui fikirannya kini. Dia yakin kekasih Mirinda adalah orang yang dikenali dan rapat dengannya. Tapi siapa? Doktor Badri atau Azman? Dia berharap itu semua hanya mimpi, tetapi alangkah sedih rasa hati kerana semuanya itu adalah kenyataan yang amat pahit untuk ditelan.
Dia sudah tua. Mirinda kini menjalin hubungan dengan seorang lelaki. Siapakah dia lelaki itu? Bisik hati Datuk Rustam tidak keruan. Datuk Rustam cuba memejamkan mata untuk tidur. Tetapi di dalam tidur ingatannya terus mengembara…
Datuk Rustam berjalan menghala ke pintu kondo dan mendapati ianya tidak berkunci. Apabila dia menjenguk ke dalam didapati ruang tamu tidak berorang. Tetapi dari dalam bilik dia mendengar suara perbualan. Suara itu milik Mirinda.
“Kita hapuskan Datuk…” Kata lelaki itu. “Dia hanya mengancam perhubungan kita. Lebih baik kalau dia mati.”
“Betul! Lebih baik dia mati daripada hidup. Hidupnya hanya menyusahkan orang…” Mirinda ketawa.
Datuk Rustam mengintip dan terlihat Mirinda sedang berbaring santai bersama seorang lelaki. Lelaki itu amat dikenalinya. Doktor Badri? Bisik hati Datuk Rustam.
“Percubaan pertama dulu gagal…. Pastikan kali ini kita berjaya membunuhnya.” Kata Mirinda lagi meneruskan tawanya.
Perempuan jalang! Gerutu Datuk Rustam. Saat itu dia terlanggar sesuatu. Bunyi bising memecah. Kedua-dua insan yang berada di dalam kamar berlari ke luar. Mereka terlihat kelibat Datuk Rustam yang berlari pantas ke muka pintu.
“Kejar!!” Jerit Mirinda.
Datuk Rustam berlari ke pintu lif. Kebetulan lif sedang terbuka, dia terus masuk dan pintu tertutup dengan segera. Dia berharap lif itu tidak akan terbuka semula. Sekira ianya terbuka dia sudah bersedia dengan pistol di tangan. Pintu lif terbuka dan Datuk Rustam menarik picu pistolnya… Dummmmmm!!! Bunyi tembakan bergema.
Datuk Rustam terperanjat, menjerit dengan kuat; “Tidakkkkk!!!”
“Datuk!” Panggil Pak Man dengan kuat. “Kenapa datuk?”
Datuk Rustam terjaga dari tidur. Dia terkejut, mendapati ianya hanya mimpi. Mengapa mimpi itu begitu jelas dan nyata. Mirinda dan Doktor Badri? Mustahil… Bisik hatinya dengan kepala tergeleng. Dia bermimpi telah menembak rakannya Doktor Badri. Dia melihat lelaki itu terkapar di lantai berlumuran darah.
“Oh! Saya bermimpi.” Kata Datuk Rustam sambil menggesek matanya.
“Di mana kita ni? Jauh lagi ke?”
“Setengah jam lagi sampai. Datuk akan menginap di mana nanti?” Tanya Pak Man ingin tahu.
“Kita ke Kampung Bukit Penak. Bermalam di rumah sepupu saya saja. Lebih selamat daripada bermalam di hotel.” Jawab Datuk Rustam yakin.
Pak Man mengangguk sahaja.

RYEAN EIMAN menguap beberapa kali. Dia hampir-hampir selesai menulis laporan. Laporan itu harus lengkap. Semua bil disertakan. Dia tidak mahu menyeleweng lagi. Untuk apa duit yang tidak halal itu? Jika boleh dia tidak mahu menggunakannya. Dia mahu membuangnya sejauh mungkin. Tiada guna kemewahan sekiranya didapati dengan jalan yang haram.
Dia meneliti pelan yang baru dilukis. Projek itu belum dibincangkan secara terperinci dengan Datuk Rustam. Apabila lelaki itu sembuh kelak dia akan mengajukan satu cadangan. Di sebelah barat projek yang sedang dikerjakan mereka sekarang, terdapat sebidang tanah hutan. Sekiranya ianya dibuka dan dijadikan sebuah lagi taman perumahan, keuntungannya pasti berlipat kali ganda. Tempat itu akan menjadi satu kawasan perumahan yang terbesar di bandar itu.
Ryean Eiman punya impian dan cita-citanya yang tersendiri. Jika dia punya modal dia ingin membuka firma arkiteknya sendiri. Dia tidak mahu lagi bekerja dengan Datuk Rustam. Dia tidak ingin terikat dengan Mirinda lagi. Dia lebih senang terus berada bersama Basyira. Sekurang-kurangnya dia dapat menjaga dan mencurahkan kasih sayang kepada ibunya yang kehilangan suami dan kasih sayang.
Dia amat kasihan pada Basyira. Tidak patut Nordin memperlakukan Basyira seperti sampah. Memang melampau perbuatan bapanya itu menuduh Basyira mencedera dan membunuh Yani. Apa buktinya? Pihak berkuasa gagal mengaitkan kes itu dengan Basyira biarpun ada sengketa antara mereka.
Apakah Nordin sudah lupa selama 26 tahun lebih mereka hidup bersama? Mengapa mesti segala pengorbanan Basyira dipersia dan kasih sayangnya dikhianati. Sejak dari muda lagi hati Basyira didera. Bukan hanya Yani seorang kekasih Nordin. Ryean Eiman tahu bapanya sentiasa ada kekasih sepanjang masa. Tetapi dengan Yani Azhan, Nordin semakin nekad, sanggup bernikah lantas menceraikan Basyira. Sedikit sebanyak Ryean Eiman gembira di atas kematian Yani Azhan. Rasakan… Ianya bagaikan satu pengajaran! Bisik hatinya sambil tersenyum sendiri.
Dia berhasrat juga hendak mendirikan rumah besar di tapak rumah Basyira sekarang. Rumah yang didiami ibunya kini adalah rumah lama yang dibina pada tahun 70an dulu. Sudah lebih 35 tahun usianya. Walau bagaimana pun rumah itu masih kukuh.
Basyira sayangkan rumah itu. Barangkali ibunya takkan setuju sekiranya ianya diruntuhkan. Ryean Eiman membuka gulungan kertas yang terletak di sisinya. Dia merenungnya sambil tersenyum sendiri. Dia mencapai pen dan mulai mencoret. Dia berangan-angan hendak membina rumah yang besar, serta siap jazuki di dalamnya. Alangkah seronoknya dapat berendam bersama Lydia… Gadis itu pasti sudah pun menjadi isterinya saat itu!
“Ryean!” Dia mendengar suara Lydia.
Agh! Gila… Bisik hatinya. Aku baru teringatkan dia sudah terdengar-dengar suaranya di sini. Memang aku semakin sayangkan dia berbanding Mirinda. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini dia mengakui hubungannya dengan Lydia semakin rapat. Mereka bagaikan tidak dapat dipisahkan lagi. Hubungan itu pula mendapat restu daripada Basyira. Hatinya benar-benar bahagia melihat keakraban perhubungan antara Lydia dan Basyira.
“Ryean!” Dia mendengar lagi suara Lydia. Kali ini gadis itu benar-benar muncul dari sebalik pintu.
“Rupanya you di pejabat.” Kata Lydia sambil masuk dan duduk di hadapan mejanya. “Mengapa keluar senyap-senyap tak beritahu ibu langsung?”
“Sorry.” Balas Ryean Eiman. “I sebenarnya nak keluar sekejap je nak siapkan laporan. Tapi asyik pula lukis pelan ni, langsung tak sedar masa yang berlalu.”
“Pelan apa yang you lukis?”
“Pelan rumah.”
“Rumah siapa?”
“Rumah kita.” Bisik Ryean Eiman. Dia tersenyum mesra. Lydia kelihatan terkejut.
“Rumah kita? Tengok…” Dia bergerak datang lantas duduk di sisi lelaki itu. Matanya merenung ke arah pelan yang separuh siap. Dia tidak percaya apa yang dilukis oleh Ryean Eiman. Rumah impian mereka? Ryean Eiman menerangkan satu persatu kedudukan bilik tidur, ruang tamu, dapur…
“Ini bilik anak-anak…” Kata Ryean Eiman. “You tahu, I mahukan empat orang anak sahaja. Dua lelaki dan dua perempuan.”
Lydia tersipu-sipu. Ryean Eiman memeluk bahunya sambil berkata; “I sebenarnya tak sabar nak kahwin dengan you, Lydia.”
Lydia mendongak, mata mereka saling bertatapan begitu dekat. Dan beberapa ketika kemudian bibir mereka saling bertaut. Kali ini Lydia membalas kucupan Ryean Eiman dengan penuh bersemangat.
“Huh! Kita mesti segera balik.” Kata Lydia. “Ibu tengah bersedih. Ibu menyediakan hidangan makan malam yang istimewa tapi you tak ada. Pakcik Basha pula tak datang sebaliknya ayah you yang muncul. Tak tahu apa yang mereka bualkan, mood ibu berubah. Mukanya masam sahaja lantas terus mengurung diri di bilik.” Cerita Lydia panjang lebar.
“Ehhh… Betul ke? Kenapa you tak hubungi handphone I tadi?”
“You tahu handphone you kat mana? Kat atas katil…”
“Oh… I lupa bawa.” Kata Ryean Eiman sambil menepuk dahi. “Oklah. Jom balik. I pun lapar sangat ni dah pukul sebelas lebih.”
Mereka sama-sama keluar dari pejabat. Ryean Eiman membawa golongan kertas lukisan pelan ‘rumah impian’nya supaya dia dapat menyambung kerjanya di rumah.
Mereka tiba di rumah lebih kurang pukul 12 tengah malam. Suasana sudah sunyi, bilik Basyira nampak gelap gelita.
“Ibu dah tidur, biliknya dah gelap. Nampaknya dia tak menulis malam ni.”
Ryean Eiman menganggukkan kepalanya. “Biar I sajikan makanan untuk you.” Kata Lydia terus berlalu ke dapur untuk memanaskan lauk pauk dan nasi yang sudah pun disimpan di dalam peti sejuk.
Ryean Eiman baru ke kamar, membuka lampu lantas terus mencapai telefon bimbitnya. Dia terlihat ada 3 panggilan tidak berjawab semuanya datang dari Mirinda.
Dia menekan nombor telefon bimbit Mirinda. Lama panggilannya tidak berjawab. Hati lelaki itu mulai risau. Dia terus mendail buat kali ke dua. Barulah panggilan itu dijawab. “Dah tidur?” Tanya Ryean Eiman perlahan.
“Belum.” Jawab Mirinda sepatah.
“Mengapa lambat sangat jawab?”
“Sengaja! You risau bila I lambat jawab? You takut I bersama orang lain atau takut sesuatu berlaku pada I?”
Ryean Eiman diam. Mirinda suka memerangkap dirinya. Dia tahu Ryean Eiman masih menyayanginya, cuma kini kasih itu sudah terbahagi dua.
“Mahu I tak risau. You tu jenis nekad…”
“Tahu pun you. Biar I mati, jika you tinggalkan I, Ryean.”
“Sudah. Jangan mengarut, I tak mahu dengar. Kenapa you call I?”
“Tak boleh? You tahu mengapa I call you? I rindu sangat dengan you. Bila you nak ke KL?” Balas Mirinda.
Ryean Eiman mengeluh. “Sayang… Sebenarnya I memang nak balik ke sana tapi…
“Sudahlah! You lebih suka bersama Diya kan?”
Mirinda merengus, marah. “Esok you datang ke sini. Ada sesuatu I nak beritahu you tapi tak boleh dalam telefon, bahaya. You tahu, datuk ke Mentakab malam ni. Esok you mesti ke KL, jika tidak you takkan jumpa I lagi buat selama-lamanya!”
“Sayang… Janganlah cakap gitu! Rasa macam kena senggugut perut I ni bila you cakap macam tu!”
“Banyaklah you punya senggugut!” Balas Mirinda, menggigit bibir menahan gelak. Hilang rasa marah yang melanda diri. Sesekali mendengar Ryean Eiman buat lelucon dia bagaikan ingin ketawa. Ah! Betapa dia sayangkan lelaki ini lebih dari segalanya… Memang tidak punya hati untuk menerima cinta daripada lelaki lain meskipun dia tahu ada lelaki yang menginginkan dirinya!
“Yalah, esok I akan ke KL, puas hati?” Ryean Eiman bersuara tenang. Dia sendiri tidak pastikan apakah dia akan menunaikan janjinya itu.
“I love you…” Bisik Mirinda, lantas mengucup telefon bertalu-talu. Bunyi kucupannya hinggap di telinga Ryean Eiman. Lelaki itu tersenyum.
“I love you too. Bye.” Talian diputuskan. Ryean Eiman masih menggenggam telefon bimbit. Hanya itu caranya untuk menenangkan Mirinda. Melayani sahaja rentak dan tarian yang ingin dimainkan. Dia tidak boleh berkasar dan tidak boleh menolak secara terang-terangan. Tapi dalam waktu yang sama dia akan cuba untuk menarik diri? Bagaimanakah caranya? Kusut fikirannya memikirkan hal itu. Situasi yang dihadapinya kini bagaikan menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Oh! Dia melepaskan keluhan berat.
Ryean Eiman terkejut apabila mendengar suara Lydia yang berada di celah rekahan pintu. “You cakap dengan siapa tadi?” Dia bertanya lembut.
Ryean Eiman gugup sejenak tetapi bibirnya segera tersenyum. “Kawan.”
Dia bangun berdiri lantas menggeliat malas. “Dah panaskan makanan? I laparlah.”
“Marilah.” Ajak Lydia sambil berjalan dahulu menuju ke dapur.
Ryean Eiman menarik nafas lega. Sempat dia berdoa di dalam hati semoga Lydia tidak mendengar perbualannya dengan Mirinda sebentar tadi.

BASHA sedang menghadapi mee segera yang masih panas ketika dia terdengar bunyi kenderaan memasuki halaman rumahnya. Dia terkejut apabila saat itu juga terdengar bunyi hon. Siapa pula yang datang malam-malam buta begini? Dia tertanya-tanya sendiri sambil bergerak menghala ke pintu hadapan.
“Assalamualaikum.” Dia mendengar suara orang memberi salam. Suara itu terdengar begitu lembut.
“Waalaikumsalam.” Jawab Basha sambil membuka pintu. Dia turut membuka lampu yang ada di ruang berenda rumahnya itu untuk melihat siapa tetamu tidak diundang.
“Abang Rustam?” Dahinya berkerut melihat kehadiran Datuk Rustam bersama pemandunya. Dia tidak menyangka kunjungan lelaki itu ke rumahnya setelah berbelas tahun Datuk Rustam tidak datang ke situ.
“Ya. Basha. Boleh aku naik?”
“Naiklah.” Dia masuk terlebih dahulu ke ruang dalam. Lampu ruang tamu dinyalakan supaya ruang itu jadi lebih terang. Dia memandang sahaja ke arah Pak Man yang membawa beg pakaian yang agak besar kepunyaan Datuk Rustam.
“Nak bermalam di rumah kau sehari dua Basha.” Kata Datuk Rustam.
“Ehhhh… Boleh bang. Apa salahnya.” Jawab Basha tersenyum. “Abang boleh tidur di bilik abang dulu, tapi biar saya kemaskan dulu esok. Malam ni abang tidur di luar sajalah dulu.”
Datuk Rustam mengangguk. “Di mana-mana pun boleh Basha…”
“Aku dengar cerita abang sakit.”
“Ya.” Jawab Datuk Rustam. “Memang benar. Tapi sekarang al-hamdulillah dah sihat.”
“Apa yang berlaku pada abang pada malam tu? Bukankah abang berjanji hendak bertemu dengan aku esoknya. Aku tunggu-tunggu juga, tapi aku dengar cerita abang kemalangan. Tak sempat aku datang melawat ke hospital, abang dah dibawa balik ke Kuala Lumpur.”
“Aku pun tak tahu. Sebab itulah datang ke mari untuk menyiasat. Mengapa ada orang yang hendak mencederakan aku. Soalnya mengapa? Aku pelik dan hairan macam aku ada buat salah pada orang-orang kampung ni. Padahal aku buat projek tu untuk menyenangkan mereka, untuk menaikkan taraf kampung ni menjadi taman perumahan.”
“Entahlah. Orang ni macam-macam hal bang…” Jawab Basha sambil bangun.
“Biar saya buat air. Karang kita boleh berbual lagi…” Kata Basha sambil bangun.
“Tak usah susah-susah Basha…”
Tetapi Basha bangun juga untuk ke dapur.
Datuk Rustam memerhati sekeliling, tiada perubahan di dalam rumah itu. Masih sama… bisik hatinya. Hidup Basha tiada sebarang perubahan dari dulu hinggalah sekarang. Dia tetap sendirian, tidak pernah bernikah dan tidak berhasrat untuk membina keluarga. Benar-benar Basha kecewa kerana tidak dapat berkahwin dengan… Agh! Siapalah nama gadis yang menjadi idaman Basha. Datuk Rustam benar-benar tidak ingat nama gadis itu. Tetapi apa yang dia ingat dia turut meminatinya. Malah dia pernah mengirimkan surat cinta tetapi tidak sampai ke tangan gadis yang diminatinya itu.
“Basha…” Seru Datuk Rustam setelah lelaki itu datang semula membawa minuman.
“Mengapa kau tak mahu kahwin?”
Soalan itu amat mengejutkan Basha. Lama dia terdiam. “Kau masih ingatkan gadis itu? Siapa namanya? Bukankah kau beritahu aku yang dia dah pun bernikah.”
Basha merenung Datuk Rustam. “Abang tak tahu lagi?”
“Tahu apa?” Tanya Datuk Rustam.
“Tentang Basyira.”
“Basyira?”
“Gadis yang aku suka itulah. Sejak dulu hingga kini aku masih menunggunya.”
“Ya. Kenapa?”
“Dia dah berpisah dengan suaminya dan balik ke sini.” Cerita Basha. “Dia ada anak dengan suaminya itu. Sekarang anak itu ada bersamanya di rumah besar kepunyaan ibubapanya. Abang tahu siapa anaknya?”
Datuk Rustam menggeleng.
“Ryean!”
“Ryean Eiman bin Nordin?”
Basha menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Anak abang pun sekarang ni tinggal di rumah Syira, bersama Ryean.”
“Betul kah begitu?” Tanya Datuk Rustam inginkan kepastian. “Ryean itu anak Basyira?” Dahinya berkerut. Benar-benar dia tak sangka! Rasa hatinya melonjak. Jika boleh malam itu juga dia mahu ke rumah Basyira untuk bertemu dengan Ryean Eiman dan Lydia. Dan dia turut teringin hendak melihat gadis yang pernah menjadi pujaan hatinya. Bagaimanakah rupa Basyira sekarang, setelah dua puluh enam tahun berlalu? Masihkah dia semanis dan secantik dulu, tika berusia 16 tahun… Gadis pingitan yang menjadi idaman ramai teruna di kampung itu, termasuklah dia dan Basha.

No comments: