Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 22

Bab 22

BASYIRA sering kali bertanya pada dirinya sendiri satu soalan yang tidak pernah ada jawapan pasti. Mengapa? Mengapa harus dia yang menempuh ini semua? Mengapa tidak Lina, Zainon, Milah dan lain-lain kawan sekampungnya. Mengapa dia? Apakah ini takdir yang sudah tersurat buatnya, yang sudah tertulis di Luhil Mahfuz? Dalam usia menginjak 17 tahun, dia sudah punya tunang. Ketika itu dia masih bersekolah dalam tingkatan lima. Bukan seperti ibubapa lain, Pak Rahman dan Mak Leha tidak menaruh harapan yang tinggi padanya dalam soal pelajaran. Samada dia lulus atau pun tidak, bakal suaminya sudah menunggu.
“Habis tahun ni kita nikahkan saja Syira tu…” Kata Pak Rahman. “Belajar tinggi-tinggi pun buat apa? Orang perempuan akhirnya duduk di dapur juga.”
Mak Leha selalu sependapat dengan suaminya. “Betul. Budak zaman sekarang susah nak jaga. Dilepas karang jadi liar, kalau dikurung takut jadi anak dara tua.”
“Harun dah tak sabar nak menerima menantu. Katanya Nordin pun dah habis belajar. Sebulan dua lagi baliklah dia dari luar negara.” Sambung Pak Rahman lagi sambil mencapai tangkai cawan untuk menghirup kopinya.
“Minggu lepas dia ada telefon, katanya nak datang ke mari. Nak berbincang. Syira pun dah habis periksa. Nak tunggu apa lagi. Saya memang suka dia berhenti sekolah dan kahwin aje. Bukan senang nak dapat menantu macam Nordin tu… Harun tu pula orang senang, maklumlah berniaga. Haaa… Apa yang hendak difikirkan lagi? Anak kita senang, kita pun senang juga.”
“Betul kata awak, tu abang Man. Saya setuju. Anak kita pun hanya dia seorang. Kalau dia kahwin cepat… haaa… cepatlah kita dapat cucu!” Kata Mak Leha sambil ketawa.
“Sebenarnya saya nak nikahkan dia cepat-cepat tu, ada sebab… Bukan sebab nak cepat dapat cucu! Saya menyampah tengok anak-anak muda kacang hantu kat kampung ni…”
“Kenapa?”
“Haaa… Takkanlah awak tak tahu? Kalau lalu dengan motorsikal depan rumah ni, mata asyik menjeling dan tersengih-sengih dekat anak kita. Lalu pula berpuluh kali sehari. Baru-baru ni ada pula yang berani hantar surat cinta… letak dalam peti surat depan rumah tu… habis saya koyakkan!” Kata Pak Rahman sambil merengus.
“Anak kita tu cantik bang…” Kata Mak Leha. “Kulitnya putih kuning… Ramailah orang minat. Kalau dibandingkan dengan Zainon, Lina ataupun Milah… jauhlah berbatu-batu! Kalah mereka tu semua! Hai, macam saya masa muda-muda dulu, kan awak tu pun tergila-gilakan saya?”
Pak Rahman ketawa. “Awak ni ke situ pula…” Kedua-dua ibubapanya tergelak.
Basyira membatu diri di tepi dinding, mendengar sahaja setiap perbualan ibubapanya dengan hati kesal. Dia tidak punya kekuatan untuk membantah. Hitam kata bapanya hitamlah. Putih kata bapanya putihlah. Keputusan memang di tangan mereka berdua.
Biar bagaimana besar dan tinggi hasratnya ingin melanjutkan pelajaran tidak mungkin akan kesampaian. Di dalam kelasnya dia adalah pelajar cemerlang. Dia amat yakin pada keputusan SPMnya. Namun apalah ertinya keputusan yang baik, jika sijil yang ada hanya akan disimpan.
Apa yang dikatakan oleh bapanya memang benar-benar menjadi satu kenyataan. Pada penghujung tahun itu, tika umurnya baru tiga bulan genap mencapai angka 17 tahun dia telah diijabkabul dengan Nordin. Pesta perkahwinannya sangat meriah, jemputan hampir seribu orang. Ayahnya memang orang berada di kampung itu, mempunyai banyak tanah kebun dan ladang getah. Memiliki puluhan ternakan lembu dan kambing. Jadi kenduri perkahwinannya memang tidak mudah dilupakan orang.
Seminggu selepas bernikah dia dibawa bertandang ke rumah mertuanya iaitu kenalan bapanya di Johor. Di sana majlis juga diadakan secara besar-besaran. Dia bagaikan puteri disanding dan dirai.
Sebulan kemudian dia mulai menjalani kehidupan sebenar seorang isteri. Dia tidak tahu, menjadi seorang isteri amat membosankan! Nordin membawanya berpindah ke Singapura. Ketika itu Nordin mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat perkapalan, bertugas sebagai seorang jurutera. Gajinya amat lumayan. Justeru itu Nordin tidak menolak tawaran yang diterima. Mereka tinggal di rumah flat yang tinggi menjulang.
Flat itu mempunyai ruang tamu yang luas, tiga bilik tidur yang selesa serta ruang dapur serba lengkap. Malah Nordin telah menggaji seorang pembantu rumah. Pembantu rumahnya tidak tinggal bersama Basyira dan Nordin. Dia datang setiap pagi dan pulang lewat petang setelah semua kerja-kerjanya selesai. Basyira tidak membuat apa-apa kerja, hanya berehat sepanjang hari.
Keadaan itu amat menekan perasaannya. Dia tidak biasa duduk berehat sahaja. Kalau di rumahnya di kampung Bukit Penak dia akan melakukan pelbagai kegiatan. Menanam bunga, berkebun dan memelihara arnab adalah antara kegiatan-kegiatan yang sudah sebati dengan diri. Tetapi tinggal di rumah itu apa yang boleh dia lakukan? Apa yang hendak dicangkul, dibaja dan disiram?
“Cangkullah simen!” Kata Nordin apabila dia mengadu tentang kebosanannya itu.
“Agh!” Dia merengus, sakit hati mendengar jawapan Nordin.
“Habis, Syira nak sangat berkebun, nak mencangkul segala.” Nordin tidak mahu mengerti kebosanan Basyira. Setiap malam selepas makan malam, Nordin tidak pernah lekat di rumah. Setiap malam ada-ada sahaja kerjanya di luar.
Basyira terpaksa menelan kenyataan itu dengan pahit. Dia tidak pernah mengenal cinta, kemesraan dan kasih sayang. Antaranya dengan Nordin hanyalah satu perhubungan yang direncana oleh kedua-dua ibubapa mereka.
Setahun kemudian dia mendapat anugerah. Sesuatu yang memang ditunggu-tunggu. Kebosanannya mulai menghilang dengan kehadiran Ryean Eiman. Pada anak itu dicurahkan segala kasih sayang. Nordin tetap dengan kebiasaannya. Kerja pada waktu siang dan keluar pada waktu malam. Pulang tidak menentu, kadang-kadang lewat malam, kadang-kadang dinihari dan kadang-kadang awal pagi.
Basyira tidak pernah mengadu kepada sesiapa akan kegundahan hatinya. Dia sentiasa tersenyum seolah-olah tidak punya masalah. Nordin selalu menghamburnya dengan wang yang banyak. Hendak membeli apa saja yang dihajati tidak pernah dihalang. Tetapi Basyira lebih suka menyimpannya sahaja.
Kalau pulang ke kampung, dia selalu memberitahu Pak Rahman dan Mak Leha, hidupnya sangat bahagia. Nordin seorang suami yang baik dan penyayang. Nordin juga akan menunjukkan sifat-sifat terpuji dengan membelikan pelbagai hadiah kepada mentuanya.
Begitulah empat tahun berlalu tanpa sebarang protes, rungutan dan pertengkaran. Basyira hanya menerima seadanya dan mulai biasa dengan rentak hidup yang dilaluinya bersama Nordin. Dia mengaku sayangkan suaminya tetapi tidak pernah merindui jika Nordin tiada di sisi.
Suatu hari Nordin berkata; “Abang akan pergi kursus ke Jepun. Syarikat hantar abang ke sana selama setahun.”
“Setahun?” Dia terkejut. Setahun adalah satu jangka masa yang lama. Macam-macam perkara boleh berlaku dalam masa setahun.
Nordin menganggukkan kepalanya.
“Bagaimana dengan Syira?”
“Syarikat tidak membenarkan membawa isteri dan anak bersama…” Kata Nordin kemudian menyambung; “Syira tinggallah di sini… Abang sayangkan rumah ni. Ianya amat strategi. Dekat dengan stesen tren dan supermarket. Kalau Syira balik kampung, kita takkan dapat menyewa rumah ni lagi bila abang balik dari Jepun nanti.”
Memang Basyira berhasrat ingin balik kampung sahaja. Dia mendapat tahu bapanya tidak sihat. Tetapi disebabkan Nordin mahu dia terus tinggal di situ, maka dia menurut sahaja.
“Setahun tak lama. Abang akan balik tiga bulan sekali…” Janji Nordin. Basyira tidak banyak membantah. Memang sejak bernikah dia hanya menjadi seperti kayu yang akan mengikut jika diheret ke kiri dan ke kanan. Nordin sangat menyenangi sifat isterinya yang tidak banyak soal itu.
Pada minggu pertama dia ditinggalkan Nordin, Basyira langsung tidak keluar ke mana-mana. Benar-benar dia berkurung di dalam rumah. Semua barang-barang pasar dibeli oleh Kak Jun setiap pagi. Setiap kali dia kehabisan barang dapur, Kak Jun ditugaskan ke pasaraya.
Masuk minggu kedua dia mulai bosan. Jika Nordin ada, mereka akan keluar pada malam minggu bersama. Makan-makan di luar, sesekali menonton wayang ataupun bersiar-siar. Tetapi kini dia benar-benar terpenjara bagaikan burung di dalam sangkar.
Suatu pagi dia bersiap-siap. “Saya nak keluar Kak Jun.” Kata Basyira. “Tolong tengokkan Ryean.”
“Kau nak ke mana?” tanya Kak Jun.
“Jalan-jalan…”
“Jangan jauh-jauh sangat. Kau tu bukannya tahu jalan. Kalau sesat telefon ke rumah.”
Dia mengangguk. Tahulah dia mencari jalan pulang. Disebabkan dia tidak tahu hendak ke mana-mana dia pergi sahaja ke tempat yang selalu Nordin membawanya keluar. Orchard Road. Itulah satu-satunya tempat yang dia tahu!
Asyik melihat orang dan membeli-belah dia tidak sedar masa yang berlalu. Penat tidak terkira tubuhnya kerana telah berjalan sehari suntuk sehingga lupa segala-galanya. Tiba di luar kompleks dia mendapati alam gelap pekat. Langit kelam ditaburi hujan.
Dia menggelabah. Tiba-tiba ketakutan dan tidak ingat lagi jalan pulang. Orang terlalu ramai dan suasana bagaikan sudah berubah sama sekali. Di mana aku ni? Keluhnya sambil terus berkeliaran tidak tentu arah, mencari tempat berteduh.
Puas dicari telefon awam, tetapi tiada satupun ditemui. Dia mulai takut. Macamana dia hendak pulang? Dia berjalan lagi, mencari stesen tren. Barang-barang di tangannya terasa semakin berat, langkah kaki semakin perlahan. Tiba-tiba semua barang-barangnya berlambakan jatuh ke lantai. Dia tidak berdaya hendak mengutipnya.
Tanpa diduga seseorang membantunya mengutip barang-barang yang jatuh. Muka mereka saling bertatapan dan anak muda itu menegurnya; “Apa dah jadi? Sakit?”
Dia menggeleng lemah. Airmatanya bertakung di dalam kolam mata hampir-hampir sahaja turun ke pipi; “Saya… sesat!” Beritahunya tergagap-gagap.
“Sesat? Tinggal di mana?”
Dia lantas memberitahu tempat tinggalnya. “Hei… Saya pun tinggal di situ… Oh! Awak ni jiran saya!” Kata anak muda itu sambil tersenyum. Patutlah semasa pertama kali dia melihat muka Basyira tadi, dia seolah-olah mengenali perempuan itu.
“Tak apa. Saya pun nak balik. Mari kita balik bersama-sama.”
Begitulah perkenalan pertama antaranya dengan Haris, anak muda yang telah lama menjadi jirannya. Selama ini mereka tidak pernah bertegur sapa hanya memandang dari jauh, padahal rumah mereka terletak saling bertentangan pintu.
Lantaran kesepian dan bebanan perasaan yang bertimbun-timbun dalam hatinya dengan mudah dia meluahkan segala perasaan, kesakitan, keperitan, kesengsaraannya kepada anak muda yang baru dikenali. Dan Haris menjadi pendengarnya yang setia siang dan malam, lewat telefon atau saling berhadapan.
Dua minggu kemudian Haris mulai mengajak Basyira keluar. “Ada cerita bagus di panggung.” Katanya lewat corong telefon. “Hanya sekali saja. Aku pun tak tahu nak buat apa pada hari minggu macam ni…”
Basyira setuju untuk keluar. Sebenarnya dia mulai dibayangi rasa ingin selalu bertemu dengan Haris biarpun mereka tinggal berdekatan.
“Sebenarnya aku kenal sangat dengan suami kau tu Syira…” Kata Haris selepas mereka menonton wayang. Kini mereka duduk saling berhadapan menghadapi meja di dalam sebuah restoran makanan segera.
“Dia selalu datang berhibur di kelab tempat aku bekerja.”
Basyira agak kaget mendengar kata-kata Haris. Apakah maksud Haris ‘kenal sangat’ dengan suaminya. Mengapa baru sekarang dia menceritakan hal itu setelah beberapa minggu mereka saling berkawan.
Basyira tahu, di waktu siang Haris bekerja di sebuah kilang sementara di sebelah malam dia bermain muzik di kelab. Kelab yang didakwa Haris selalu dikunjungi oleh Nordin…
“Percayalah Syira… Nordin tu bukanlah seorang suami yang baik.” Katanya perlahan seolah-olah takut didengari orang lain. “Aku bukan sengaja hendak memburuk-burukkan dia. Engkau pun dah ceritakan bagaimanakah perangainya kan? Jadi biarlah aku terus-terang, dia tu kaki perempuan. Sentiasa bawa perempuan ke kelab setiap malam… bertukar ganti!”
Basyira semakin terkejut, langsung tidak menyangka suaminya seorang lelaki yang tidak setia. Selama ini dia berdiam diri kerana menyangka suaminya bekerja, sebagaimana yang dikatakan Nordin. Tetapi setelah mendengar kata-kata Haris itu, rasa hatinya benar-benar kecewa. Selama ini dia telah ditipu. Rasa hatinya terhadap Nordin hari demi hari semakin tawar, ditambah pula Nordin jauh di mata. Lelaki itu pula amat jarang menghubungi. Janjinya untuk pulang tiga bulan sekali tidak pernah ditunaikan.
Mujur juga wang sentiasa dimasukkan ke dalam akaunnya setiap bulan untuk meneruskan hidup. Dalam kesepian itulah dia mulai terjebak dengan pujukan iblis. Kelunakan sikap Haris, kemesraan dan gurau sendanya segera menyatu lantas sebati dalam jiwanya.
“Haris, kau pernah jatuh cinta?” Suatu hari dia bertanya Haris lewat corong telefon. Dia selalu menelefon Haris, apabila mendengar anak muda itu pulang. Selalunya Haris pulang jam lima petang, berehat sejam dua sebelum bersiap-siap untuk ke kelab untuk bermain muzik.
“Mengapa?” Soal Haris semula.
“Sengaja nak tahu, sebab aku tak pernah jatuh cinta…”
“Suami kau tu?”
“Pilihan orang tua.” Jawab Basyira berterus-terang.
“Aku dah agak. Patutlah engkau bertanya soalan itu kepadaku. Bercinta seperti bermain judi. Ada kalanya menang dan adakalanya kalah. Aku kalah… Bawa diri ke sini.” Kata Haris dengan suara merendah.
Basyira mengerti.Setiap insan ada cerita duka dan ada cerita ria. Itu semua silih berganti.
“Apakah mungkin kau akan jatuh cinta lagi?” Tanya Basyira.
“Entahlah.” Jawab Haris jujur. “Kalau jatuh cinta lagi mungkin pada perempuan yang secantik dan sebaik kau Syira.”
“Tapi aku isteri orang…”
“Cinta tak mengenal siapa… isteri orang ke, emak orang ke… Kalau sudah jatuh cinta, persetankan itu semua.” Kata Haris sambil ketawa lembut. “Tapi aku tahu, kau takkan jatuh cinta pada jantan brengset seperti aku!” Perbualan malam itu terhenti apabila Haris harus bersiap untuk menghadapi kerjanya tepat jam sembilan.
Basyira bangun dari katil, menolak selimut ke tepi dan berjalan ke tingkap bilik tidur yang menghala ke rumah Haris. Rumah itu masih gelap. Dia menjeling jam, tepat pukul 2 pagi. Haris belum balik. Kebiasaannya Haris sudah balik dan anak muda itu akan menelefon sekiranya dia melihat bilik tidur Basyira masih terang. Kebelakangan ini dia cenderung menunggu kepulangan Haris setiap malam.
Basyira tidak dapat tidur. Ryean yang baru berusia 3 tahun selalu tidur awal dan amat jarang terjaga di tengah malam. Anak itu memang tidak banyak kerenah sejak semakin membesar. Basyira tidak perlu bangun untuk membuat susu lagi berbanding waktu dia masih bayi.
Basyira masih berdiri di tepi tingkap memerhati ke arah ruang legar yang kosong. Kenapa dia masih belum balik? Duga hatinya risau. Entah mengapa dia harus bimbang pada anak muda yang sudah sekian lama tinggal sendirian di kota singa itu? Tanpa disangka tidak lama kemudian Haris muncul, berjalan laju ke arah pintu, mukanya kelihatan cemas. Dia cuba membuka pintu rumahnya dengan cepat tetapi gagal. Anak kunci jatuh di tepi kakinya. Dia kelihatan menggelabah, ketakutan. Dia mengutip kunci cuba sekali lagi memasukkannya ke dalam lubang pintu.
Saat itu muncul lima orang anak muda berlari-lari ke arahnya. Salah seorang membawa kayu. Tidak sempat Haris masuk ke rumah, mereka menyerangnya tanpa belas. Tubuh Haris dipukul, ditumbuk dan diterajang. Basyira terjerit sendiri, tetapi tidak berani untuk membuka pintu.
Setelah mereka merasa puas dan tubuh Haris sudah lembik dikerjakan, anak muda itu ditinggalkan terkapar di hadapan pintu. Basyira menanti beberapa saat, amat takut hendak keluar untuk menolong Haris. Setelah yakin bahawa kelima orang lelaki itu sudah pergi dan tidak akan kembali, barulah dia pergi ke pintu depan lantas membukanya. Dia separuh berlari ke arah pintu rumah Haris lantas menyeru namanya dalam nada perlahan; “Haris!”
Haris membuka matanya perlahan-lahan. Bibir dan hidungnya berdarah. Matanya nampak lebam. Dia cuba bangun tetapi tak berdaya. Basyira memimpinnya perlahan-lahan membawa Haris masuk ke dalam rumahnya sendiri.
Dia mengubati setiap luka yang ada. Hanya itu pertolongan yang mampu diberikan. Tidak lama kemudian Haris sudah boleh bangun dan duduk di sofa. Basyira memberinya segelas susu panas. Haris cuba untuk minum biarpun bibirnya sakit dan bengkak.
“Kenapa mereka memukul engkau, Haris? Siapa mereka?” Tanya Basyira ingin tahu.
Haris diam. Dia rasa malu hendak memberitahu Basyira masalah yang sedang dihadapinya.
“Aku… Aku berhutang dengan mereka.” Beritahu Haris perlahan, seolah-olah hanya pada dirinya sendiri sahaja. “Aku tak mampu bayar… Pendapatanku bukannya banyak.”
“Berapa?”
“Seribu dolar singapura.”
“Banyak tu…”
Haris mengangguk. “Ya. Memang banyak. Sekarang bunga hutangku itu sudah dua tiga kali ganda. Aku memang benar-benar teruk. Mulanya aku hanya meminjam lima ratus dolar Singapura sahaja, tetapi disebabkan aku tak mampu bayar akhirnya bunganya pun bertambah setiap bulan. Hutang pokoknya pun aku tak bayar, inikan pula bunganya yang sentiasa bertambah.”
“Kalaulah aku boleh menolong engkau…”
Haris menggeleng. “Tidak. Syira… aku tak mahu menyusahkan engkau. Biarlah, aku akan usahakan sendiri nanti. Percayalah…” Kata Haris sambil berusaha untuk bangun, dia ingin kembali ke rumahnya.
“Mereka beri aku tempoh dua minggu. Kalau tidak…” Haris tidak menghabiskan kata-katanya. Dia sudah terjerat di atas kesilapan diri sendiri.
“Di mana kau nak cari duit sebanyak tu dalam masa yang singkat?”
Haris tidak menjawab. Dia sendiri tidak tahu…
“Tak mengapalah! Kalau aku dibunuh sekalipun oleh mereka kerana tak mampu bayar hutang, aku rasa berbaloi. Sebab aku takkan kembali ke kampung. Apa lagi dalam keadaan seperti ini…” Suara Haris tersekat. Basyira menutup mulut Haris yang sedang berkata-kata; “Jangan jadi bodoh! Kenapa nak serahkan diri, dipukul mati oleh mereka? Kau masih ada jalan penyelesaian. Pinjam saja duit aku Haris…” Kata Basyira bersungguh-sungguh.
Haris menggeleng. Bukan prinsip hidupnya mengambil duit dari seorang wanita yang lemah, tidak bekerja pula. Basyira hanya mengharap duit daripada suaminya.
“Terima sajalah. Aku menolong engkau dengan ikhlas. Di sini hanya engkau satu-satunya kawan yang aku ada… Lagipun kau di dalam kesusahan. Manalah tahu tiba giliran aku nanti, kau pula yang akan membantuku.”
Haris diam. Dipandangnya sahaja wajah Basyira yang merenungnya sambil tersenyum mesra. “Tawaranku hanya sekali… Lebih baik kau cepat-cepat setuju!” Basyira cuba bergurau.
Haris tertawa.

No comments: