Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 21

Bab 21

MIRINDA duduk setelah mengambil nombor giliran. Suasana di dalam bank yang sibuk, membuat kepalanya terasa pening. Dia tidak suka berada dalam keadaan sibuk, penuh dengan orang. Kedinginan di dalam ruang itu sudah tidak terasa lagi. Kini apa yang bermain di fikirannya adalah segumpal duit yang ada di dalam tasnya. Wajarkah dia melakukan apa yang diminta Ryean Eiman. Memasukkannya semula ke dalam akaun syarikat. Bodoh! Bentaknya sendiri. Kenapa wang itu harus dimasukkan semula? Biar saja… Datuk Rustam tidak akan tahu. Semalam dia bertanya pada Chew tentang perbincangan antara Datuk Rustam dengan lelaki itu.
Menurut Chew, Datuk Rustam sedang memeriksa akuan enam bulan terakhir sebelum dia jatuh sakit. Mirinda menelan airliur. Memang Datuk Rustam tidak akan perasan aliran wang keluar, kerana setiap sesuatu disertakan dengan bil dan resit, walaupun itu semua palsu belaka.
Mirinda terkejut dari lamunan apabila mendengar angka gilirannya dipanggil. Dia berjalan ke arah kaunter. Handphone di tangan diletakkan di atas kaunter, lantas tangannya menggagau tas tangan dan mengambil seikat duit kertas. Dia menghulur duit itu ke arah kerani bertugas, lantas menghulurkan sebuah buku akaun. Buku akaunnya sendiri. Dia tidak akan memasukkan wang itu ke dalam akaun syarikat.
Mirinda terburu-buru keluar. Dadanya rasa lapang. Wang itu sudah selamat berada dalam akaunnya sendiri. Dia terus berjalan laju melalui dua blok kedai sebelum melintasi jalan yang terbentang di hadapannya. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Handphonenya tiada di dalam genggaman. Dia berpatah semula ke belakang, mengarah ke bank. Matanya melilau ke arah kaunter yang tadi disinggahi. Dia terlihat seorang lelaki berdiri di kaunter, sedang berurusan dengan kerani bank tersebut. Dia mendekati sambil mata melilau mencari. Lantas matanya menangkap handphone yang ada di atas kaunter benar-benar terletak di sebelah lelaki itu.
Mirinda mencapai handphone itu dengan pantas, tanpa disedari lelaki yang sedang berkata sesuatu dengan kerani bertugas. Dia terus bergerak keluar, kembali ke pejabat.
Tiba di biliknya dia termengah-mengah. Nafasnya turun naik tidak menentu. Dia berjalan pantas seperti lipas kudung. Mengapa hari itu dia merasa segala yang dibuatnya serba tidak kena? Dia bersandar sambil merapatkan kedua-dua kelopak mata, ingin mencari ketenangan. Tetapi ketenangan yang dicari tidak ditemui. Handphone berbunyi, terdengar satu irama yang tidak pernah didengari. Dia mencapai handphone dan terus menjawab tanpa melihat nama di skrin.
“Hello.”
“Siapa ni?” Tanya suara lelaki di hujung sana.
Mirinda mengerut kening apabila mendengar suara asing itu. “Ada apa? Saya yang patut bertanya siapa awak.” Kata Mirinda marah.
“Awak ambil handphone saya…” Kata lelaki itu.
“Mengarut! Apa awak cakap ni?”
“Awak terambil handphone saya semasa di bank tadi. Handphone awak ada pada saya sekarang.”
“Apa?” Kini baru dia mengerti mengapa dia mendengar nada ‘ringing’ yang pelik. Dia membelek telefon di tangan, memang sama jenis dan warna dengan telefon bimbitnya sendiri. Dia mengeluh. Memanglah hari ini hari yang paling teruk, keluhnya sendiri selepas memutuskan panggilan daripada lelaki itu. Mereka berjanji untuk bertemu bagi memulangkan telefon bimbit masing-masing.
Mirinda bergegas bangun hendak meninggalkan biliknya. Tetapi suara setiausaha Datuk Rustam yang bergema melalui interkom membantutkan hasrat. Mirinda menjawab panggilan itu. “Datuk nak jumpa sekarang…”
“Baik.” Jawab Mirinda sepatah lantas berjalan ke bilik suaminya.

DADANYA terus berdebar-debar, sehinggalah dia duduk berhadapan dengan suaminya itu. Mata Datuk Rustam memandang tepat ke dalam mata Mirinda, cuba mencari sesuatu di wajah cantik yang rapi bersolek.
Dia sedang menduga-duga aksi dan lagak wanita di hadapannya itu. Memang dia menaruh syak wasangka, tetapi dia tidak dapat membuktikannya. Hati kecilnya berkata; wanita itu pernah bertakhta di hati dan sehingga kini pun masih terus merajai hati sanubarinya. Dia tidak mahu percaya pada nalurinya sahaja. Selagi belum terbukti isterinya berselingkuh dengan lelaki lain, dia akan cuba mempertahankan perkahwinannya itu.
“Mirinda…” seru Datuk Rustam perlahan. “You tahu sejak kebelakangan ini bermacam perkara berlaku. Kemalangan yang menimpa I, penyakit yang tak pernah I harap dan kehidupan hari tua yang sangat menakutkan. Tetapi I bersyukur I mempunyai isteri yang setia…” Dia menekan perkataan ‘setia’ sambil matanya memanah tajam ke dalam mata Mirinda; “Justeru itu I nak buat satu majlis…”
“Majlis? Maksud you parti?” Sampuk Mirinda dengan cepat, menarik nafas kelegaan.
Datuk Rustam menggeleng. “Satu majlis kesyukuran. I nak buat kenduri doa selamat, panggil orang masjid salat di rumah.”
Dahi Mirinda berkerut. Tidak pernah sepanjang perkahwinan mereka, majlis seumpama itu diadakan. Tidak, dia tidak akan sama sekali menjemput kawan-kawannya. Dia menggigit bibir, suaranya tersekat. Dia tidak suka pada rancangan Datuk Rustam. Sejak sihat kembali, Datuk Rustam cenderung melakukan perkara-perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Dah gila agaknya… gerutu hatinya sendiri.
“Siapa yang akan you jemput?” Tanya Datuk Rustam. “Berikan senarai nama jemputan pada Zarina.” Katanya merujuk kepada setiausaha yang setia menanti arahannya.
Mirinda mengangkat bahu. “I tak rasa kawan-kawan I berminat dengan majlis yang akan you anjurkan. You saja jemput kawan-kawan you… I… berkecuali.”
“Macamana dengan Doktor Badri?”
“Kenapa dengan dia?” Tanya Mirinda pura-pura tidak mengerti.
“Takkan tak nak jemput dia?”
Mirinda mengangkat bahu. “Dia kawan you… bukannya kawan I. Lebih baik you yang jemput.” Jawab Mirinda, berlalu keluar apabila tiada apa-apa lagi yang ingin dikatakan oleh Datuk Rustam.
Mirinda bergegas menuju ke lif sambil berungut sendiri; “Buang masa! Ingat apa yang hendak dia katakan tadi. Itulah kalau dah buat salah, selalu rasa macam orang dah tahu.” Dia tergelak sendirian. Mentertawakan ketakutan yang bermukim dalam hatinya sejak Datuk Rustam kembali sihat. Namun dia lega kerana Datuk Rustam langsung tidak menyentuh soal duit.
Sebaik pintu lif terbuka, telefon bimbitnya berbunyi. Sekali lagi irama yang pelik di telinganya kedengaran. “Ya!” Sahut Mirinda tegas.
“Dah lama I tunggu you. Tolong datang cepat… I banyak urusan ni!” Kedengaran suara itu seperti marah.
“OK.” Mirinda rasa meluat kerana digesa begitu. Lelaki itu seorang yang tidak dikenalinya tetapi amat berani menggesa dan memerintah. Menyampah! Walaupun belum bertemu, dia sudah tidak sukakan lelaki itu. Bagaimanakah agaknya rupa orang itu? Tadi dia memang tidak perasan kerana lelaki itu berdiri membelakanginya.
Mirinda berjalan laju menuju ke tingkat bawah pejabat lantas meninggalkan bangunan yang tinggi menjulang itu. Dia berjalan kaki sahaja ke arah bank yang letaknya lebih kurang dua blok daripada tempat dia berdiri.
Suasana di dalam pejabat terasa panas dan tegang sekali. Kini berjalan di bawah terik mentari yang garang itu, tubuhnya semakin panas dan berkeringat. Mukanya rasa melekit. Dia meraba-raba mukanya, mengelap peluh yang meleleh di dahi. Tidak perlu dia kelihatan menawan apabila bertemu dengan lelaki itu nanti! Entah-entah rupa lelaki itu teruk. Jangan mudah terpedaya dengan suara yang lunak….
Selalunya lelaki yang tampan mempunyai suara garau, langsung tidak menarik di pendengaran… Fikirnya sambil mencampakkan tisu yang sudah lencun ke tanah. Dia meneruskan langkah menghala ke bank yang hanya dipisahkan oleh sebuah blok bangunan kedai.
Dia teringat kata-kata Datuk Rustam sebentar tadi. Suaminya itu seperti menyindir dia berkawan rapat dengan Doktor Badri. Siapa yang teringin pada lelaki tua seperti itu? Gerutu Mirinda sendiri. Aku hanya ingin memperalatkan dia untuk kepentingan sendiri. Jika ingin mencari kekasih pun, biarlah muda, kacak dan berkarisma.
Mirinda berjalan laju hingga tidak sedar bahawa dia sudah melepasi bangunan bank yang ingin ditujuinya. Dia mendengar telefon bimbit berbunyi lagi, kali ini dia sudah semakin peka dengan irama yang bergema; “You di mana?” Tanya Mirinda.
“Di depan bank.” Jawab lelaki itu. “You pula di mana?”
“Juga di hadapan bank!”
Saat itu Mirinda berlanggar dengan seseorang. Kedua-duanya terkejut, berundur ke belakang secara spontan. Mirinda merenung lelaki itu yang masih melekapkan handphone di telinga. Dia segera menjatuhkan tangannya mematikan handphone dan berkata; “Handphone?”
Lelaki itu turut menyuakan handphonenya. “Sama!”
Mereka tertawa serentak. “Jadi ini handphone you…” Kata lelaki itu sambil mengunjukkan handphone berwarna hitam itu ke arah Mirinda. Dia mengambil kesempatan merenung muka Mirinda yang kelihatan berpeluh. Cantik, bergaya tetapi kelihatan agak berusia. Agh! Siapa peduli? Yang penting dia kaya. Wajah itu memang pernah dilihat. Siapa ya? Oh! Dia isteri Datuk Rustam, ibu tiri tiri Lydia dan kekasih Ryean Eiman! Dia tahu jalinan perhubungan antara mereka.
Bibir lelaki itu tersenyum lebih mesra.
“Ya. Dan ini handphone you…” Mirinda tersenyum manis ke arah anak muda itu. Kacak… bisik hatinya. Sepasang mata yang tajam, hitam dan galak. Keningnya lebat dan hitam. Wow! Matanya tidak mahu beralih daripada merenung lelaki di hadapannya itu. Tubuhnya cukup tinggi, seperti Ryean Eiman. Tetapi kulitnya sedikit gelap, sekitar bibirnya ditumbuhi rerambut halus. Ada sedikit janggut tipis. Lelaki itu berambut lurus dan agak panjang tetapi kemas.
“Helloooo…” Lelaki itu menggoyangkan tangannya di hadapan muka Mirinda apabila wanita itu terus terpegun merenung mukanya. Dia tertawa kecil melihat aksi Mirinda. Dia tahu sesiapa saja pasti mudah tertawan pada penampilan dan wajahnya. Dia senyum senang. Bangga dan rasa egonya memuncak.
“Opps… Sorry. Muka you mengingatkan I pada seseorang.”
“Siapa?” Tanya lelaki itu cuba memancing. “Mesti boyfriend ni…”
Mirinda menjawab dengan tertawa. Dia rasa dirinya seperti seorang wanita muda yang masih bebas, tidak pernah bersuami.
Lelaki itu ketawa sporting. “Saya… Harith. Harith Rafeeq.” Dia memperkenalkan dirinya sambil menghulur tangan. Mirinda menyambutnya. Genggaman tangan lelaki itu erat dan lama. Mirinda membiarkan tangan mereka saling bertaut. “Mirinda.”
“Hmmm…Mirinda. Apa pula nama manja you?” Dia bertanya sambil tertawa semula, separuh menggoda.
“Panggillah apa saja.” Jawab Mirinda.
Harith merenung wajah Mirinda. “Well, Mirinda… Gembira berkenalan dengan you. Sayang sekali… I nak cepat, kalau tidak mahu I belanja you minum. Mana mungkin I akan lepaskan peluang untuk berkenalan lebih rapat dengan wanita secantik you.”
Mirinda tersenyum melerek. Dia tidak bersuara apa-apa hanya menanti. Dia tertarik dengan penampilan lelaki itu, tetapi tidak ingin mengorak langkah terlebih dahulu. Jika lelaki itu tertarik padanya, pastilah dia tidak akan melepaskan peluang yang ada. Jika sebaliknya, dia lebih suka pertemuan itu berakhir di situ sahaja.
“Macamana kalau malam ni kita jumpa. Itu pun kalau you sudi…”
Ahhhh… Dia ni seperti main tarik tali dengan aku! Gerutu hati Mirinda. Dia tidak lekas-lekas memberikan sebarang keputusan.
“You call I dulu.” Kata Mirinda. Mereka bertukar-tukar nombor telefon dengan janji akan saling berhubung apabila diri tidak lagi dibelenggu kesibukan.

DI HUJUNG berenda Ryean Eiman duduk termenung. Kakinya berlunjur, sementara kepalanya bersandar damai di kerusi malas. Matanya terpejam rapat. Petang itu dia pulang awal. Lydia belum kembali dari KL walaupun berjanji akan pulang pada hari itu.
“Bosan ya?” Kata Basyira sambil meletakkan dulang berisi jus mangga dan goreng keledek di atas meja. “Diya tak ada, ibu pun terasa sunyi. Dah sebati dengan kehadirannya di rumah ni. Ibu harap projek engkau lambat selesai, lamalah dia di sini.”
Ryean Eiman membuka matanya, menoleh ke arah Basyira. “Memang lambat lagi. Mungkin 12 bulan lagi barulah benar-benar siap.” Jawab Ryen Eiman sambil memandang ibunya dan melanjutkan kata; “Petang ni ibu tidak mengadap komputer?”
“Itulah masalahnya…” Jawab Basyira. “Kadang-kadang ibu buntu untuk menyudahkan cerita ibu.”
“Itulah namanya cabaran ibu. Setiap kali menulis pasti ibu berdepan dengan cabaran demi cabaran untuk menggarap hinggalah ke jalinan episod akhir cerita ibu itu. Sudah sampai chapter berapa?”
“Agh! Masih cukup banyak.” Jawab Basyira acuh tak acuh. Dia menuang minuman ke dalam gelas Ryean Eiman dan juga gelasnya sendiri.
Ryean Eiman ingin memberitahu Basyira tentang pertemuannya dengan Nordin. Malam itu selepas pulang daripada rumah Basyira, Nordin keluar pula dengan seorang gadis muda belia. Dia ingin memberitahu Basyira segala-galanya tetapi suaranya tersekat. Dia amat takut hati Basyira terluka lagi. Dan dia juga bimbang Basyira tidak mempercayainya. Namun akhirnya dia cuba juga berkata dengan nada perlahan; “Ibu ingat tak malam semalam lepas ayah balik, saya keluar ke Mentakab.”
“Ya. Kau langsung tak makan malam.” Jawab Basyira. “Mengapa kau bersikap begitu dengan ayah kau, Ryean?”
“Saya bukan bencikan ayah.” Jawab Ryean Eiman. “Tapi bencikan perangainya. Ibu tahu malam tu, selepas balik ke sini… Saya terserempak lagi dengan ayah bersama seorang gadis.”
Basyira memandang Ryean Eiman dengan tajam, kemudian membalas; “Kalau marah sekalipun tak baik memfitnah dia begitu Ryean.”
“Bukannya fitnah ibu… Ini kenyataan. Saya kasihankan ibu dan tak mahu ibu terluka lagi.”
Basyira diam. “Ayah kau bukanlah jahat sangat. Ibu tak salahkan dia sepenuhnya.” Katanya perlahan. “Ramai perempuan suka padanya. Walaupun mereka tahu dia dah kahwin, dah ada anak bini perempuan masih suka memburunya. Ibu tak salahkan dia seratus peratus... Apa yang berlaku dalam perkahwinan kami, sudah takdir. Ibu juga ada buat salah… buat dosa terhadapnya!”
Ryean Eiman merenung ibunya lantas berkata; “Ibu yang saya kenal adalah seorang wanita yang sangat baik, rajin, setia dan beriman.” Kata Ryean Eiman dengan penuh keyakinan.
Basyira menggelengkan kepalanya dengan lembut. “Tidak.” Basyira terus menafikan apa yang dikatakan oleh Ryean Eiman tentang dirinya tidak benar. Memang sukar untuk mengakui kesalahan sendiri. Sekian tahun dia menanggung beban dosa itu. Biarpun dia cuba menghapuskan rasa berdosa dan bersalah itu dengan bersalat, mengaji dan memohon ampun dia tetap merasakan bahawa dia tidak dapat menjernihkan cermin hatinya. Barangkali jika dia mengakui di hadapan Nordin kesilapan itu, dia akan merasa lebih tenang.
Dan Nordin tidak akan merasa dirinya tertipu, seperti Basyira merasa sering tertipu dan terperdaya dengan kelunakan sikap bekas suaminya itu.
“Ibu bukannya sempurna, Ryean. Ibu juga ada buat silap!”
“Ibu! Berhentilah menyalahkan diri sendiri. Ayah bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ibu. Ibu seorang isteri yang setia, yang sentiasa menyintai dan menyayanginya sepanjang hayat. Tetapi apa yang ibu dapat? Hanya kelukaan… Kalau ibu ingin kembali lagi ke pangkuan ayah, saya takkan setuju!”
Basyira termenung jauh. Kata-kata Ryean Eiman bagaikan tidak didengarinya.
“Ibu pernah menyintai lelaki lain semasa masih menjadi isteri ayahmu, Ryean. Ibu bukan seorang isteri yang baik.” Kata Basyira perlahan dan beberapa titis airmatanya tergenang.
Ryean Eiman terkejut, memandang tepat ke wajah Basyira. Dia menghulur tangan, lantas menggenggam tangan ibunya. Kehangatan tangan anaknya terasa menjalar ke seluruh urat saraf dan nadinya, memberikan dia satu kekuatan untuk berkata benar tentang perasaannya; “Ibu… Siapa dia ibu? Pakcik Basha?”
Basyira menggeleng. “Bukan.”
Semakin usianya meningkat dan semakin dekat pada hari-hari tua, dia merasakan dirinya kian terhimpit oleh dosa-dosa masa lalu. Nordin masih lagi boleh dianggap ‘baik’ kerana isterinya tahu segala tingkah lakunya. Tahu nama kekasih demi kekasih yang diulitinya. Dan tahu pula sejauh mana perhubungan mereka berdua. Tetapi sebenarnya nasib Nordin lebih malang, kerana lelaki itu tidak pernah tahu siapa kekasih isterinya dan sejauh mana hubungan mereka telah berlangsung.
Beberapa titis airmata Basyira gugur perlahan menuruni pipinya. Dia tidak sanggup mengingati peristiwa itu. Tetapi dalam masa yang sama dia juga tidak tahan lagi menyimpan rahsia yang telah berusia melebihi dua puluh tahun…

No comments: