Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 23

Bab 23

HARIS tidak mengambil masa yang lama untuk menyedari betapa murni dan baiknya hati Basyira. Haris dapat melangsaikan segala hutang piutangnya yang membelenggunya selama bertahun-tahun. Kini Haris memandang Basyira bukan lagi sebagai seorang kawan baru yang baik tetapi umpama dewi yang telah menyelamatkan nyawanya dari ancaman-ancaman yang selalu memburunya saban malam. Dia kini menyedari betapa cantiknya Basyira walau dalam keadaan apa sekali pun. Basyira memang gadis naif, mempercayai kawan yang baru dikenali belum pun genap sebulan. Dan kini Haris mengakui bahawa dia sudah jatuh cinta pada Basyira.
Dia tidak peduli siapa Basyira. Isteri seorang lelaki dan ibu kepada seorang anak. Apa yang penting akhirnya dia punya hati sekali lagi untuk menyintai seorang wanita. Namun satu sahaja yang merunsingkannya, apakah Basyira mempunyai rasa yang sama dengannya. Bagaimana jika dia hanya bertepuk sebelah tangan?
Basyira seorang gadis Melayu yang sungguh cantik dan anggun. Sayangnya dalam usia yang semuda 21 tahun dia sudah mempunyai suami dan seorang anak. Haris kesal kerana terlewat menemui Basyira. Sepatutnya mereka tidak bertemu dalam keadaan ini. Keadaan yang penuh dengan konflik dan kesukaran. Mereka tidak boleh menjadi lebih rapat… Ada tembuk yang tidak boleh dipecahkan
“Syira… Kau pernah bertanya kepadaku, pernahkah aku jatuh cinta? Ya, aku memang pernah jatuh cinta. Kataku cinta itu seperti berjudi. Malangnya sekali lagi aku akan menghadapi kekalahan. Sekarang aku ingin bertanya kau pula… pernahkah kau menyintai seorang lelaki dengan sepenuh jiwa ragamu?”
Basyira tidak menjawab.
“Jawablah Syira…Aku perlukan jawapan kau untuk membuat tidurku jadi lena.”
Basyira tetap tidak mahu menjawab.
“Pernahkah kau menginginkan aku walaupun hanya sekali, menjadi lebih daripada seorang kawan?”
Basyira masih enggan menjawab. Soalan Haris itu benar-benar menganggu fikirannya. Entah mengapa soalan-soalan Haris itu menjadi sukar untuk dijawab. Berhari-hari dia memikirkannya. Dan dia takut hendak memberikan jawapan…
Tanpa sebarang berita ataupun panggilan telefon, tiba-tiba Nordin pulang setelah empat bulan berada di Jepun. Menurut Nordin dia bercuti selama seminggu. Dia mahu menghabiskan masa cutinya bersama keluarga.
Nordin benar-benar mengotakan janji. Mereka pulang ke kampung Bukit Penak. Seperti biasa Nordin akan membawa hadiah untuk mentuanya. Dan segala pujiannya pun melambung tinggi buat menantu tunggalnya itu. Basyira tidak berkata apa-apa. Dalam diam dia memerhati suaminya berbual-bual mesra dengan bapanya. Nordin tidak pernah berbual begitu mesra dengan Basyira. Kalau bersama Basyira dia lebih banyak berdiam diri, menonton televisyen ataupun membaca surat khabar.
Nordin tidak suka berbual hal-hal yang remeh temeh dengan Basyira. Semua itu dirasakannya tidak perlu. Amat jarang sekali wujudnya senda gurau antara mereka. Nordin hanya menunjukkan kemesraan apabila mahu mengajak Basyira ke kamar tidur.
Entah mengapa tiba-tiba hati Basyira merindui Haris. Mereka berbual setiap hari dan malam di telefon walaupun hanya sepuluh minit. Kadang-kadang Haris mengajak Basyira berbual-bual di ruang berenda depan rumah mereka. Selalunya dia akan berani mengajak Basyira berbual di luar, lewat dinihari ketika semua jiran tetangga mereka sedang lena diulit mimpi. Basyira cepat-cepat memarahi dirinya sendiri. Mengapa dia harus merindui insan yang hanya dianggap kawan.
Cuti Nordin begitu cepat berakhir. Nordin harus kembali semula ke Jepun untuk menyambung kursus. “Kursus tu sebenarnya bukanlah setahun tapi dilanjutkan ke setahun setengah!” Beritahu Nordin.
Basyira tidak berkata apa-apa. Suka hatilah. Dia seperti tidak kisah lagi samada Nordin balik ataupun tidak. Apa yang dia bimbangkan kini, apakah Haris ada di rumah bila dia pulang ke Singapura nanti. Bukan dia bimbang Haris tidak akan membayar wang dipinjamkannya dulu. Wang boleh dicari. Tetapi dia takkan dapat mencari lelaki seperti Haris lagi.
Keesokan hari selepas Nordin berlepas ke Jepun semula, Basyira mendapat panggilan telefon daripada ibupejabat, syarikat perkapalan tempat suaminya itu bekerja. “Sudah tiga bulan Nordin tak datang kerja, tanpa notis.” Kata suara lewat corong telefon. “Kami ingin tahu apa yang berlaku? Apakah dia tidak mahu bekerja lagi?”
Basyira lebih terkejut mendengar pertanyaan itu. “Tak datang kerja? Bukankah syarikat menghantar dia ke Jepun untuk berkursus?”
Perempuan di telefon menafikan penglibatan suaminya dalam kursus tersebut. Basyira duduk terhenyak ke kerusi. Nyata dia benar-benar telah ditipu oleh Nordin. Ke manakah sebenarnya Nordin pergi? Bukankah dia menghantar suaminya ke airport? Dan dia tidak tahu apakah yang sebenarnya terjadi! Alangkah dungunya… Menelan segala apa yang dikatakan oleh Nordin sebagai benar.
Mengapa suaminya itu langsung tidak mengasihani dirinya? Dalam usia yang masih hijau, dia dibawa jauh dari lingkungan keluarga dan kampung halaman. Dia benar-benar tidak tahu apakah niat di hati suaminya memperlakukan dia seumpama itu.
Dia mengadu semua itu kepada Haris. Kepada siapa lagi dia harus meletakkan kepercayaan? Kepada siapa lagi dia harus mengadu kalau bukan pada teman baiknya itu.
“Itulah, aku dah katakan dulu suami kau tu penipu!” Kata Haris mengapi-apikan dirinya. “Entah-entah dia bersama perempuan lain. Barangkali dia masih berada di Singapura, memadu asmara tanpa pengetahuan engkau…”
“Entahlah…” Sahut Basyira lemah. “Ada kau nampak dia di kelab sejak kebelakangan ini?”
Haris menggeleng. “Memang sudah lama aku tidak nampak dia datang.”
“Apa gunanya dia menipu aku begini? Kalau dia nak kahwin sekalipun aku akan izinkan… Nikahlah. Satu, dua, atau tiga sekalipun! Duitnya banyak… Aku langsung tak kisah.”
“Kau ni terlalu baik. Tak ada perempuan yang sanggup bermadu, tetapi engkau pula tak kisah.”
“Aku tak ada pilihan lain.” Kata Basyira. “Kalau aku ada pilihan yang lain dah tentu aku tidak akan bernikah dengan Nordin.”
“Mungkin dulu benar kau tak ada pilihan. Tapi sekarang kau punya pilihan Syira. Aku ingin menyunting dirimu dengan cinta dan kasih sayang. Aku ingin jadikan kau milikku…”
“Kau gilakah Haris?” Tanya Basyira sambil merenung ke dalam mata anak muda itu. “Aku kan masih isteri Nordin.”
“Aku tahu… Bila dia pulang nanti, kau minta saja perpisahan darinya. Apa guna dinanti kepulangan lelaki yang tidak setia. Aku sedia menjadi temanmu, kekasih dan suamimu buat selama-lamanya Syira. Aku sayangkan kau…” Kata Haris penuh yakin. “Kita pasti akan menjadi pasangan yang bahagia.”
Basyira menggeleng. “Itu hanya satu khayalan indah… Aku tidak akan meninggalkan Nordin. Aku tidak mahu melukai hati ibubapaku. Nordin tu menantu kesayangan mereka, walaupun dia bukan suami yang kucintai.”
Haris tidak berkata apa-apa lagi. Dia cuba memahami pendirian Basyira, walaupun tidak bersetuju dengannya. Suatu malam diajaknya Basyira melihat dia bermain muzik di kelab. Basyira enggan kerana dia tidak biasa mengunjungi tempat-tempat demikian. Namun akhirnya dia tewas juga pada pujukan demi pujukan. Malah sanggup dia meninggalkan Ryean Eiman seorang diri di rumah. Setelah anak itu tidur, dia menyelinap keluar, mengikut Haris ke kelab.
Hari demi hari yang berlalu, dia tidak dapat menentang rontaan perasaannya sendiri. Rasa ingin bersama, saling berdekatan dan bermesra akhirnya tercetus dengan sendiri. Ditambah suasana di kelab yang merangsang fikiran untuk berdampingan dengan lelaki. Hatinya yang selalu tertanya-tanya, fikiran berkecamuk memikirkan di manakah sebenarnya Nordin berada. Sudah sebulan pula berlalu tanpa sebarang berita. Kehampaan yang membelenggu diri telah menjadikan dia seorang yang pessimis.
“Kau takkan menyesal kerana menyerahkan cintamu kepadaku,” bisik Haris lewat subuh hari itu, tika buat pertama kali dia berkongsi katil dengan lelaki lain. Basyira segera menolak selimut, mengutip coli, baju dan seluarnya lantas meluru ke pintu. Dia melangkah pulang, menutup pintu rumahnya dengan cepat lantas segera masuk ke kamar tidur. Fikirannya tambah berserabut ketika berbaring di atas tilam yang dingin, di sisi Ryean Eiman masih tidur nyenyak.
Dia rasa bersalah yang amat sangat, biarpun malam tadi dia merasakan satu keseronokan hasil pujukan dan rangsangan iblis. Haris memang seorang kekasih yang hebat di ranjang, jauh lebih baik daripada Nordin. Belaiannya, dakapannya dan bisikannya benar-benar mengasyikkan wanita yang ketandusan kasih sayang itu. Basyira mendakap selimut dengan kuat, dia teringat segala yang berlaku. Airmatanya mengalir. Airmata penyesalan bercampur kegembiraan yang dia sendiri tidak mengerti.
Basyira masih merasakan bahawa malam tadi satu mimpi, tetapi dia tidak dapat menghapuskannya dengan mudah. Selama berhari-hari, ingatan itu mengekorinya saban waktu. Apa yang dibimbanginya telah pun berlaku. Benar kata Haris, cinta itu satu perjudian yang tidak menguntungkan. Dia kalah pada pujukan sang iblis. Cinta terlarang antara mereka telah mengheret dia ke pintu neraka.
Kini dia telah menjadi seorang perempuan yang hina, dilontar jauh dari mendapat rahmat Tuhan. Dua minggu lamanya dia tidak keluar dari rumah, rasa bersalah dan berdosa yang amat sangat. Telefon yang menjerit-jerit tidak dijawab, dibiarkannya berlarutan lantas berhenti sendiri. Dia tahu, kalau telefon berbunyi pada waktu dinihari pastilah datangnya daripada Haris.
Esoknya awal pagi telefon berbunyi lagi. Emaknya menegur dan bertanya mengapa dia tidak menjawab panggilan pada malam semalam. Basyira diam tidak terkata apabila ibunya menyampaikan bahawa ayahnya sakit tenat.
Mahu tidak mahu, Basyira terpaksa pulang. Kepulangan itu adalah yang terakhir kali dia melihat wajah orang tuanya. Dia tidak tahu apakah perasaannya yang sebenar. Dia tidak tahu apakah keputusan bapanya itu benar, mengahwinkan dia dengan Nordin hingga terjebak dalam kemelut yang demikian dalam. Jika bapanya tidak mengahwinkannya dengan Nordin, dia tidak akan bertemu dengan Haris. Dan dia masih seorang perempuan yang suci.
Setelah segalanya selesai, Basyira ambil keputusan untuk kembali ke Singapura. Dia tidak mahu berada di rumah itu lebih lama. Tiba-tiba dia benci hendak mengenang suratan nasibnya yang dicorakkan oleh kedua-dua orang tuanya. Mak Leha melarang, meminta dia menemani barang sehari dua, tetapi Basyira tetap berkeras hendak balik ke Singapura.
Basyira terus menerus menyepikan diri daripada menghubungi Haris. Lelaki itu selalu berdiri di hadapan pintu sambil memandang ke arah rumahnya sebaik pulang dari kerja ataupun setiap kali dia hendak keluar rumah. Tetapi dia tidak pernah sekali pun berani mengetuk pintu rumah Basyira. Dia amat takut dilihat oleh jiran-jiran tetangga yang lain.
Sebulan berlalu. Basyira merasakan dirinya tambah terseksa apabila dia belajar merindui Haris. Dan malam itu dia cuba menghubungi lelaki itu lagi, cuba menterjemahkan rasa gundah gulana yang melanda diri. Dan pengertian selalu didapatkannya daripada lelaki yang menyintainya sepenuh jiwa.
“Malam ni aku balik kerja lebih awal dari biasa… Kau datanglah ke rumahku. Aku sangat merindui kau Syira…”
Basyira teruja dengan kata-kata Haris. Malam itu mereka bertemu lagi, menikmati makan lewat malam berteman cahaya lilin di rumah Haris. Mereka berbual dengan riang pelbagai perkara dan akhirnya tetap disudahi dengan perkara yang satu;
“Semakin hari aku semakin menyintaimu Syira.” Kata Haris. “Tadi semasa aku sedang bermain gitar aku teringatkan engkau. Dan aku telah mengarang sebuah lagu khusus untukmu…”
Dan sekali lagi setelah tiada apa lagi hendak diperkatakan, dinihari pun semakin jauh merangkak, sepertiga malam telah berakhir. Impian Haris hanyalah ingin mengajak Basyira ke kamarnya. Basyira akan bingkas pulang sebelum subuh. Dan seperti biasa dia berbaring lagi di sisi Ryean Eiman yang nyenyak tidur… Menangis dan menyesali apa yang terjadi. Kali ini tangisannya lebih pendek dan akhirnya dia tertidur hingga matahari meninggi.
Dua bulan pun beranjak lagi dengan pantas. Basyira tidak kuasa menghitung hari-hari yang berlalu penuh getir. Dia mengharap sesuatu akan terjadi kepadanya tetapi dia tetap bernafas dan terbangun setiap hari dari tidur yang tidak pernah lena. Pagi itu dia berlari ke bilik air kerana perutnya memual lantas memuntahkan air kuning dan pekat. Matanya berair. Dia syak sesuatu… mengandung?
Anak siapa? Soalan itu melantun dengan cepat dari bibirnya. Dia buru-buru ke klinik untuk membuat pemeriksaan. Nyata memang dia sudah hamil tiga bulan. Anak siapa? Soalnya lagi bertalu-talu pada dirinya.
Hari dan bulan terus berganti. Dan kini Basyira sudah dapat melihat perutnya yang semakin bulat setiap kali dia bangun dari tidur. Dia tidak berani keluar rumah untuk berdepan dengan Haris. Dia takut. Haris setiap malam menghubunginya ingin berjumpa, mengajaknya keluar makan atau menonton tetapi Basyira memberikan seribu satu macam alasan.
Haris sendiri tidak tahan dengan sikap Basyira, akhirnya memberanikan diri mengetuk pintu rumah wanita itu. Dia sudah bersiap-siap hendak pergi bekerja di kelab. “Syira, tolonglah keluar sekejap…” Rayunya lembut ketika Basyira hanya membuka tingkap yang terdapat di sebelah pintu masuk.
“Mengapa engkau enggan berjumpa dengan aku lagi? Apa salahku? Cakaplah Syira… Jangan seksa aku begini! Biar aku mati, tetapi jangan sesekali sisihkan aku.” Akhirnya Basyira membuka pintu seluasnya dan mereka pun saling berhadapan.
Dia terkejut melihat perut Basyira yang tidak dapat disembunyikan lagi dari sebalik gaun tidur yang dipakainya. Beberapa ketika dia diam, kemudian tangannya terangkat lantas mengusap perlahan-lahan perut Basyira sambil berkata; “Aku berharap anak ini anakku… Mungkinkah ianya anakku?”
“Aku tak tahu!” Jawab Basyira dengan cepat, membendung rasa bersalah yang amat besar. Jika boleh dia tidak mahu mengingati kesilapan yang pernah dilakukannya.
“Aku rasa aku ni tak ubah macam seorang perempuan jalang…”
“Shhh…” Haris meletakkan jarinya di bibir Basyira lantas berkata lagi; “Jangan seksa diri, Syira. Aku cinta kau. Aku harap kita akan bertemu lagi. Kalau Nordin menolak kau nanti, aku sedia dan sentiasa menanti walau apapun yang terjadi…”
Basyira tersenyum. Senyuman yang menyimpan satu harapan. Haris berpaling dan bergerak tetapi terhenti di pertengahan jalan. Dia menoleh ke arah Basyira yang masih memerhati lantas mendekatinya semula. Dia nampak amat berat hendak meninggalkan Basyira malam itu.
Disentuhnya pipi Basyira dengan telapak tangan sambil berkata; “Aku yakin anak ini milikku. Bila lahir nanti, namakan dia dengan namaku… bolehkah Syira? Aku selalu berangan-angan jika aku punya anak, aku mahu menamakannya Harith Rafeeq.”
Airmata Basyira berlinangan. Dia tidak menjawab. Basyira memerhati Haris yang berjalan dengan laju menuju ke pintu lif. Dia memandang Basyira sekali, tersenyum dengan galak dan mesra. Itulah kali terakhir Basyira melihat wajah Haris. Wajah itu tidak pernah ditatapnya lagi.
Sejak malam itu Haris tidak pernah pulang.

KELAB tutup lewat pukul dua pagi. Setelah mengucapkan selamat jalan kepada teman-teman seperjuangan, Haris meneruskan langkah untuk pulang. Namun langkahnya ditahan lima lelaki yang sudah lama tidak muncul di hadapannya.
“Boss nak jumpa…” Kata salah seorang dari lelaki itu. “Kau masih berhutang dengannya. Dulu kami tersilap. Sebenarnya hutang kau masih ada lebih kurang lapan ratus dolar.”
“Mana boleh!” Jawab Haris. “Aku sudah langsaikan semua hutang-hutangku dulu.”
“Tidak! Masih ada bunganya yang belum dikira!”
Dia diheret ke dalam kereta dan dibawa pergi secara paksa. Haris menemui lelaki yang dipanggil ‘bos’ oleh anak-anak buahnya. Pertemuan itu berlangsung di gudang lama di sebuah pelabuhan. Dia dipaksa melangsaikan hutang yang dikatakan masih bersisa, tetapi Haris enggan berbuat demikian.
“Mahu mati kah?” Kata bos dengan marah. “Kalau lu mahu mati, kita kasi lu mati.”
Dia dibawa ke tengah laut dengan bot kecil. Kedua-dua tangan dan kaki Haris diikat dengan tali berserta seketul batu. Haris mendongak ke langit malam yang tidak berbintang. Saat Haris menjeritkan nama Basyira sekuat hatinya, dia ditolak ke laut. Bunyi air berdeburan menerima tubuhnya. Dalam masa beberapa minit sahaja tubuh itu tenggelam meninggalkan buih-buih putih di permukaannya. Dan dalam masa beberapa saat pula tiada lagi sebarang riak melainkan semuanya kembali tenang dan damai.

SEMINGGU lagi genap kandungan Basyira sembilan bulan. Nordin terus menyepi diri. Basyira bagaikan mengharap Nordin tidak akan pulang pada saat perutnya hampir-hampir meletup.
“Kak Jun… Saya mahu memberikan anak saya pada orang.” Kata Basyira pada suatu petang. Hati Basyira hancur berkeping-keping, menjadi debu yang berterbangan. Kedua-dua lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya hilang begitu sahaja bagai angin. Nordin tidak pernah mengirim berita dan Haris pun entah ke mana.
Terkadang Basyira merasakan Haris sudah tiada lagi di dunia ini. Dia sangat merindui Haris. Jika dia pandai melukis, mahu dilukisnya setiap inci wajah Haris di atas kanvas supaya dia tidak akan lupa pada raut wajah ceria dan sentiasa tersenyum itu. Haris amat pandai menyimpan duka dan kesedihannya. Dia tidak pernah mahu mempamer kesukaran hidup yang telah ditempuhinya sekian tahun.
“Mengapa?”
“Kakak tengoklah sendiri, bapa budak ni tak pernah balik. Jadi saya rasa lebih baik sekiranya saya beri saja anak ini pada orang. Adakah orang yang mahu?”
“Kau ni Syira… Cakap tu biarlah betul-betul.” Kata Kak Jun tidak percaya pada kata-kata Basyira. “Macamana kalau Encik Nordin balik nanti?”
Basyira terdiam. Lama. Kemudian baru dia bersuara; “Kak Jun! Saya memang tak mahukan anak ini!” Katanya tegas sambil merenung wajah Kak Jun. Wanita itu turut memandangnya. Basyira menggigit bibir. Dia tidak sanggup hendak membuka pekung di dada. Memang Kak Jun tidak tahu menahu tentang hubungannya Haris. Jadi, wanita itu tidak akan syak apa-apa!
Kak Jun termenung panjang. Dia hairan dan curiga.
“Memang ada orang kampung Kak Jun yang tidak mempunyai anak. Sudah lama dia inginkan anak. Kalau betul kau hendak memberikan anak kau kepada orang, esok kakak bawa kau balik ke kampung.”
“Elok benar…” Jawab Basyira. “Saya memang ingin bersalin di kampung. Saya tak mahu bersalin di hospital.”
Basyira menyiapkan secukup pakaian untuk dia dan Ryean Eiman lantas mengikut Kak Jun pulang ke kampungnya di Johor awal pagi keesokan harinya.
Seminggu kemudian dia melahirkan seorang anak lelaki di rumah keluarga Kak Jun. Basyira memeluk anaknya dengan erat, merenung seluruh muka anak itu yang banyak menyalin raut wajahnya. Mata, hidung dan mulut anaknya benar-benar serupa dengan Basyira. Dia tercari-cari di manakah persamaannya dengan Haris. Barangkali rambutnya yang hitam dan lebat. Atau kulitnya yang sedikit gelap. Atau jari-jarinya yang runcing dan kuku yang putih. Atau… atau… Agh! Terlalu banyak kebarangkalinya! Bisik hati Basyira tidak keruan.
Anak itu sama comel dan manisnya, persis Ryean Eiman. Jika diikutkan hatinya dia tidak ingin menyerahkan Harith Rafeeq kepada orang… Dia mahu melakukan apa yang dikatakan oleh Haris. Menunggu kepulangan lelaki itu dengan cinta dan harapan. Lantas meninggalkan Nordin tanpa sebarang penyesalan. Dia sudah bertemu cinta sejati.
Dia cuba membayangkan reaksi suaminya itu. Dia hampir-hampir pasti dan yakin Nordin tidak akan percaya anak itu adalah anaknya… Dia takut anak itu terhasil dari benih Haris. Dia memejam mata, sambil menciumi anaknya beberapa kali. Basyira dan bayi kecilnya sama-sama menangis, menyedari bahawa perpisahan semakin menghampiri mereka. Untuk selama-lamanya mereka tidak akan bertemu.
“Daftarkanlah anak ini, supaya boleh mendapat surat beranak.” Pinta ibu angkat bayi yang diberi nama Harith Rafeeq itu. Basyira sendiri yang meletakkan nama itu. Dia teringat pada permintaan Haris yang begitu yakin anak itu miliknya.
“Supaya senang untuk saya memberikan pelajaran apabila dia besar nanti.”
Basyira mengangguk. Dia harus membenarkan anak itu didaftar atas nama dia dan suaminya untuk mendapatkan sijil kelahiran. Memang sijil kelahiran itu penting demi masa depan Harith Rafeeq kelak.

NORDIN akhirnya pulang setelah menghilang diri hampir setahun tiga bulan. Kepulangannya mendapat sambutan dingin daripada Basyira. Sebenarnya dia sudah tidak mengharap lagi akan kepulangan suaminya itu. Basyira sudah mulai berjinak-jinak mencari pekerjaan walaupun hanya sebagai seorang jurujual di supermarket.
Nordin marah-marah kerana Basyira keluar bekerja.
“Orang suruh duduk di rumah, dia keluar bekerja pula. Berapa sangat gaji sebagai jurujual itu?” Marah Nordin.
“Aku masih mampu untuk menyara hidup kau Syira. Mengapa kau bekerja? Bukankah setiap bulan aku tak pernah abaikan nafkah untuk kau dan Ryean? Duit elaunku sentiasa dimasukkan ke dalam akaun setiap bulan.”
“Abang! Ini bukan soal duit!” Jawab Basyira. Dia sudah pandai menjawab setelah begitu lama tidak dipedulikan. Dia sudah tahu bagaimana caranya melawan. Dia sudah pandai bergaul dan mempunyai kawan-kawan.
“Betul memang abang ada masukkan duit setiap bulan. Tapi saya tidak tahu duit halal ataupun tidak? Bukankah abang tidak bekerja?”
“Siapa kata duit tu duit haram?” Balas Nordin dengan marah. Matanya menikam mata Basyira. “Aku mendapat elaun bulanan yang tinggi.” Jawab Nordin.
“Orang yang tidak bekerja mendapat elaun bulanan…” Basyira tertawa sinis.
“Tengok sini!” Nordin mencampakkan gambar-gambarnya semasa berada di Jepun. Basyira menjeling dan mendapati memang benar suaminya itu berada di luar negara berdasarkan gambar-gambar yang ditunjukkan kepadanya. Dia merasa hairan dan takjub.
“Tapi… mengapa ada orang menelefon bertanya mengapa abang tak datang bekerja… Katanya dah tiga bulan abang tak kerja dan…”
“Oh itu!… Pihak pentadbiran memang telah tersalah orang. Mereka tersilap mendail nombor telefon. Orang yang dikatakan berhenti kerja itu namanya Nordin juga tetapi bekerja sebagai pemandu. Apakah suami kau ni seorang pemandu, Syira? Kau tak ingatkah yang aku ni belajar di luar negara…. Kau ni memang bodoh! Sebab itulah aku malas hendak bercakap banyak dengan engkau. Engkau tak faham, apa yang aku katakan. Engkau selalu salah anggap dan salah faham. Entahlah. Perkara mudah seperti itu pun kau anggap susah. Mengapa tidak kau bertanya dengan lebih lanjut? Mengapa semuanya engkau iyakan saja…”
Basyira tidak mendengar apa-apa lagi. Dia rasa terhina. Kata-kata Nordin amat menyakitkan hatinya. Tuduhan menyatakan dia bodoh, tolol dan tak mengerti apa-apa itu memang sudah biasa didengarinya. Jadi ianya tidak menjadi satu stigma yang menyakitkan hatinya lagi. Dia menerimanya sebagai perkara biasa yang tidak perlu dihiraukan sangat.
Nordin sangat bangga dia belajar diluar negara sedangkan isterinya seorang suri rumah yang berkelulusan hanya setakat SPM. Terkadang dia merasakan bahawa Basyira langsung tidak layak berdampingan dan bernikah dengannya. Lantaran hinaan yang selalu dilontar oleh Nordin, Basyira mulai mencari jalan keluar. Tetapi jalan keluar yang dipilihnya bukanlah berlaku curang lagi… Dia tidak akan mengulangi kekhilafannya itu. Dia sudah bertaubat, tidak akan jatuh cinta lagi. Biarlah hanya ada kasih sayang. Biar dengan kasih sayang itu dia hidup bahagia bersama anak dan suaminya.
Jalan keluar yang dicarinya itu adalah dengan mendampingi buku-buku, untuk menambah ilmu pengetahuan dan mengingatkan dirinya selalu bahawa dia bukanlah seorang yang dungu dan bodoh!
Begitulah dia menutup sejarah cintanya dengan Haris, melupakan kehadiran Harith Rafeeq sebagai anak yang tidak diperlukan hasil daripada hubungan terlarang. Antaranya dan Haris hanya tinggal kenangan cinta yang penuh dengan noda dan dosa. Dia tidak pernah bertanya pada dirinya bagaimana jika sekiranya Harith Rafeeq adalah anaknya dan Nordin?

No comments: