Bab 20
DIA masih ingat saat-saat gembira semasa zaman kanak-kanak. Dia anak tunggal dan sering dimanja. Bapanya sudah lama tiada, begitulah menurut Mak Limah, seorang ibu tunggal yang tidak pernah bernikah selepas kematian suaminya. Dia tidak pernah menyoal kenapa dan mengapa ibunya enggan berkahwin lain. Mereka hidup berdua beranak penuh harmoni di rumah itu. Segalanya mencukupi. Dia seperti kanak-kanak lain juga di kampung Bukit Penak. Apa yang diingini selalu terpenuh. Kalau dia inginkan basikal, maka dia akan mendapatkannya keesokan hari.
Begitulah keadaannya sehingga dia remaja. Makan pakai tidak pernah berkurang. Hidup mereka berdua beranak boleh dikatakan senang. Ibunya mempunyai tanah kebun, ladang getah dan juga paya. Setiap rumah di Kampung Bukit Penak mempunyai sekurang-kurangnya satu relung paya. Tetapi sudah sekian tahun penduduk kampung tidak lagi mengerjakan sawah dan menanam padi. Jadi, ibunya lebih banyak berharap pada hasil tani dan menoreh getah. Mak Limah rajin berkebun. Tidak pernah dia duduk goyang kaki demi untuk membesarkan anak tunggalnya itu.
Mak Limah tidak begitu suka bergaul dengan penduduk kampung. Orang kampung suka mengata, mengumpat dan memfitnah, kata Mak Limah. Dia lebih suka bersendiri, mengerjakan tanah kebun daripada berkumpul dan bercerita hal orang setiap petang.
Tika usianya menginjak 17 tahun dia teringin hendak memiliki motorsikal seperti kawan-kawannya yang lain. Maka dia pun memujuk ibunya supaya membelikannya sebuah motorsikal. Selama ini hasrat dan keinginan Basha selalu terpenuh tetapi kali ini Mak Limah enggan melayani permintaannya.
“Kenapa emak tak mahu belikan saya motorsikal?” Dia bertanya agak keras. Semua kawan-kawannya di kampung memiliki motorsikal, mereka bebas ke mana saja. Tetapi dia tidak dapat menuruti langkah teman-temannya itu kerana tidak mempunyai motorsikal sendiri.
Mak Limah diam. Dia seolah-olah tidak mendengar permintaan Basha.
“Mak! Saya nak mak belikan motorsikal! Senang saya nak berulang alik ke sekolah.” Desak Basha.
“Mak tak suka engkau naik motorsikal… bahaya! Tak tengok dalam televisyen tu… ramai orang mati sebab kemalangan motorsikal.” Jawab Mak Limah.
“Agh! Itu alasan mak saja!” Bantah Basha. “Kalau ada motorsikal senanglah mak. Kalau mak hendak ke kedai saya hantarkan. Begitu juga kalau emak hendak ke surau, saya boleh hantar. Tak payah berjalan kaki lagi. Emak belikan motorsikal… Bukannya mahal. Beli yang terpakai pun jadilah.” Dia terus memujuk. Tidak berputus asa.
“Mak tak ada duit.” Mak Limah terus memberi alasan.
“Getah tengah meluruh sekarang. Susu tak banyak. Orang menoreh pula tak ada. Kau tu pemalas… Minta tolong kutip getah buku pun tak mahu!” Kata Mak Limah separuh merungut.
Basha naik radang mendengar kata-kata Mak Limah. “Yalah, kalau emak belikan motor saya tolonglah! Saya minta motor, mak tak mahu beli! Mak buatlah kerja sorang!” Jawab Basha masih mengawal rasa marah. Suaranya semakin keras, kepalanya rasa panas dan berangin. Jelas emaknya enggan menurut kehendaknya kali ini. Orang tua ni duit banyak tapi kedekut! Gerutunya di dalam hati.
“Itu cakap engkau sebelum dapat. Kalau dah dapat motor nanti entah ke mana dunia engkau pergi. Ni tahun ni nak ambil periksa. Sepatutnya engkau tumpu perhatian pada pelajaran, ni tidak. Sibuk nak beli motor…” Leter Mak Limah.
“Agh! Mak ni kedekut!!” Kata Basha dengan marah sambil bangkit. Dia berjalan laju ke pintu depan. “Entah nak buat apa duit banyak tu… Anak mak bukannya ramai, saya seorang je! Apasalahnya kalau emak keluarkan duit dua ribu untuk beli motor saya tu. Bukannya saya nak yang baru, yang secondhand aje.”
“Kau ingat dua ribu tu sikit, Basha? Kau ingat aku ni cop duit?” Balas Mak Limah.
“Sudahlah!!!” Basha terus meluru turun, tidak ingin dia bertekak dengan emaknya lagi. Dia terus hilang untuk bertemu dengan kawan-kawan. Lewat jam sebelas baru dia pulang. Hatinya masih marah biarpun Mak Limah menunggu kepulangannya. Orang tua itu belum menjamah nasi kerana menanti kepulangan Basha.
“Engkau ke mana? Marilah kita makan. Mak belum makan lagi sebab menunggu engkau balik.” Kata Mak Limah separuh memujuk. Dipandangnya wajah si anak menagih simpati. Tetapi muka Basha masam mencuka.
“Mak makanlah seorang. Saya tak mahu makan, selagi emak tak belikan motorsikal!”
Mak Limah diam tidak terkata.
“Bila emak nak belikan saya motorsikal?”
“Kan mak kata, mak tak ada duit!”
“Mak tipu! Kedekut!” Jerit Basha dengan kuat. Dia masuk ke dalam bilik lantas mengemas kain bajunya. Dia keluar bersama sebuah beg kain kecil yang kelihatan buncit isinya.
“Kau nak ke mana pula?” Tanya Mak Limah dengan wajah gusar.
“Saya nak pergi dari sini. Mak tak sayangkan saya. Anak orang lain tu, semuanya ada motorsikal tapi saya tak ada!”
“Basha!” Mak Limah meneriak tetapi Basha langsung tidak menghiraukan teriakan ibunya. Dia benar-benar marah dan merajuk.
Begitulah seminggu dia tidak balik ke rumah. Dia benar-benar mogok. Dia juga tidak ke sekolah. Basha menumpang di rumah kawannya di Kampung Tok Embun. Mak Limah datang memujuk Basha dengan airmata berjuraian. Mak Limah sedih melihat Basha merajuk sehingga tidak mahu balik ke rumah.
“Yalah… Esok emak keluarkan duit, beli motorsikal.” Kata Mak Limah mengalah.
Seperti yang dijanjikan keesokan harinya Basha mendapat motorsikal. Hatinya bukan kepalang gembira. Apa yang dihajati akhirnya dapat diraih. Tetapi kegembiraannya tidak lama. Pada cuti semester akhir sekolah, Rustam balik bersama sebuah kereta. Kereta itu adalah pemberian daripada bapanya. Basha terkejut melihat Rustam sudah memiliki kereta. Rustam yang baru menghabiskan peperiksaan STPMnya mendapat hadiah sebuah kereta. Keputusan belum keluar tetapi bapanya amat yakin dengan pencapaian anak muda itu.
Basha benar-benar iri. Apalagi pujian Mak Limah terhadap Rustam melambung tinggi. “Kau ni memang anak yang baik dan bijak, Tam.” Kata Mak Limah sambil mengurut-urut bahu anak saudaranya itu. “Bertuah ibubapa kau dapat anak macam kau ni…”
“Ala, Mak Usu… Saya ni pun macam anak Mak Usu juga. Sebab itulah setiap kali cuti sekolah saya mesti datang ke sini untuk melawat Mak Usu. Tahun depan kalau keputusan saya baik, mungkin saya tak dapat melawat Mak usu lagi.”
“Ehhh… Kenapa?”
“Ayah akan hantar saya belajar ke luar negara.”
“Baguslah Tam. Mak Usu doakan engkau berjaya dalam hidup. Semoga engkau selamat dunia akhirat nak!”
Basha merengus dengan kuat. Album yang masih terkembang di tangannya direnung. Seraut wajah bersih Mak Limah terpapar di muka album itu. Rasa amarahnya masih jua belum surut. “Mak tak sayangkan saya. Mak tak pernah doakan sesuatu yang baik untuk saya. Emak lebih sayangkan Rustam!” Basha bercakap sendiri dengan marah. Album dicampakkannya ke dinding.
Rupa-rupanya aku hanya anak angkat! Setelah sepuluh tahun pemergian Mak Limah, barulah dia tahu siapa dirinya yang sebenar di sisi wanita itu. Patutlah dia tidak mewarisi harta peninggalan Mak Limah yang banyak. Hanya tapak rumah sekangkang kera itu diberikan kepadanya. Sedangkan semua tanah kebun getah dan tanah yang belum diterokai itu diberikan kepada Rustam. Rustam punya pertalian darah dengannya, tetapi Basha hanya seorang anak pungut.
Hati Basha benar-benar sedih. Airmatanya menitis. Setelah berpuluh-puluh tahun dia tidak menangis, petang itu dia menitiskan air mata semahu hatinya. Seperti hujan musim tengkujuh, airmatanya terus deras menuruni pipi hampir setengah jam lamanya. Dia meraung dan berguling di atas lantai, sendirian.
KOSONG dan sunyi… bisik hati Basyira. Dia yakin rumah Basha tidak berpenghuni. Matanya membelingas sekeliling, mencari motorsikal Basha. Dia terlihat motorsikal Basha tergolek di bawah rumah, langsung tidak bertongkat. Apa dah jadi? Cetus hatinya sendiri sedikit bimbang. Keadaan motorsikal itu menunjukkan bahawa Basha meninggalkannya dalam keadaan tergesa-gesa, naik ke rumah.
Ada sesuatu yang berlaku… Bukankah Basha amat cermat orangnya dan sangat sayangkan motorsikal honda yang sudah tua usianya.
Di halaman yang tidak berumput kelihatan kesan bunga-bunga tayar kereta jelas tercetak. Pasti kereta Datuk Rustam… Bisik hati Basyira. Rupa-rupanya lelaki itu sudah meninggalkan rumah Basha. Disangkanya Datuk Rustam masih ada di situ. Tidaklah terasa segan sangat dengan kehadiran orang lain di rumah itu. Dia amat takut peristiwa dahulu berulang semula. Dia datang hendak memulangkan buku Basha. Sudah terlalu lama buku itu berada di rumahnya. Sudah sepatutnya buku itu dikembalikan kepada tuannya.
Sejak peristiwa itu, Basha tidak pernah lagi datang ke rumahnya. Basha terus menyepi diri. Lelaki itu tidak pernah menelefon Basyira. Mereka juga tidak pernah terserempak seperti dahulu. Apakah Basha sengaja menjauhkan diri? Dijentik keinginan mahu melihat keadaan Basha, wanita itu memberanikan diri datang seorang diri.
“Assalamualaikum!” Teriak Basyira dari arah tangga hadapan. Dia memandang ke arah pintu dan tingkap yang bertutup rapat. Basha memang selalu menutup pintu dan tingkap rumahnya, seolah-olah dia tidak gemarkan suasana yang terang. Dia pun hairan memikirkan lelaki yang satu ini. Terkadang sikap Basha memang aneh…
Basyira memberi salam diikuti dengan meneriak nama Basha; “Abang Basha! Syira ni… Bukalah pintu!” Dia meneriak dari arah tangga.
Basha tersentak mendengar teriakan Basyira. Dia masih berbaring menggerekut seperti kedinginan. Dia tidak terus bangkit, sebaliknya memasang telinga. Suara Basyira terus bergema kuat; “Abang Basha ada di rumah? Syira datang nak pulangkan buku abang…” sambung Basyira lagi.
Perlahan-lahan Basha membuka pintu. Dia mengintai dari celah pintu yang renggang sambil berkata; “Letakkan saja buku tu di berenda.”
Basyira mengangguk. Nampaknya kedatangan Basyira kali ini tidak begitu dialu-alukan. Dia memerhati muka Basha yang kelihatan basah. Matanya nampak bengkak. Dahi Basyira terus berkerut kehairanan. Apa yang Basha sedihkan sehingga airmata lelaki itu kelihatan masih bersisa di pipinya.
Dia tahu, hati lelaki amat sukar tersentuh… Tangisannya hanya di dalam diam. Tetapi jika sehingga airmatanya menitis, pastilah kelukaan di hatinya sangat dalam.
“Kenapa bang? Abang Basha sakit?” Dia menyoal penuh simpati.
Basha diam. Menggeleng tidak mengangguk pun tidak. Cuma matanya memandang sayu dari celah rekahan pintu yang terbuka hanya beberapa inci sahaja.
“Abang… Kenapa bang? Cakaplah… Kalau-kalau Syira boleh tolong!” kata Basyira. Di wajahnya terpancar rasa simpati yang bukan sedikit.
Basha menggeleng. “Tak payahlah… Bukannya abang sakit. Cuma sedih…” Jawab Basha berterus terang. Basyira naik melalui tangga lantas duduk bertenggek di tepi berenda.
“Sedih? Kenapa?” Tanya Basyira kehairanan.
“Abang baru tahu siapa diri abang…”
Basyira kelihatan tambah hairan. Dia renung lagi ke wajah Basha. Dilihatnya airmata kembali bertitisan di pipi lelaki itu. Basyira ingin memujuk tetapi ada sesuatu yang menghalangnya dari berbuat demikian. Tidak. Rasa kasihan yang hadir akan melebarkan ikatan antaranya dan Basha. Dia tidak mahu sesuatu yang lebih dari itu… Tetapi dia tidak suka melihat airmata lelaki itu terus bertitisan di pipi. Hatinya sudah tersentuh, terasa dia pun seperti hendak menangis.
“Apa maksud abang?” Basyira terus bertanya. Tapi pertanyaan itu tidak mendapat balasan daripada Basha. Tiba-tiba Basha menutup pintu rumahnya rapat-rapat. Basyira terkejut. Dia menunggu beberapa ketika kalau-kalau Basha membuka pintu tetapi lelaki itu tidak berbuat demikian. Basyira turun perlahan-lahan lantas kembali ke rumah dengan kepala yang masih tepu dengan persoalan.
NORDIN meletakkan jambangan bunga lili yang baru dibelinya dengan penuh hati-hati ke atas kusyen kereta. Dia akan mengunjungi Basyira lalu menghadiahkan jambangan bunga itu buat bekas isterinya. Bukan hanya bunga yang dibawa. Sebuah kotak berbentuk ‘love’ dihiasi bunga dan reben berisi coklat juga dibawa sama. Semua itu hadiah untuk Basyira. Suatu masa dulu coklat itu menjadi kegemaran Basyira. Dia sudah nekad hendak memenangi semula hati Basyira. Dia memandu laju ke rumah Basyira seolah-olah tidak sabar hendak menemui wanita itu. Lega hatinya apabila dia tiba di halaman rumah. Pintu kelihatan terbuka luas, menandakan Basyira ada di rumah.
Nordin keluar sambil membawa jambangan bunga lili putih yang sudah digubah di dalam bakul yang besar. Memang indah gubahan bunga itu. Tidak sabar dia hendak melihat reaksi Basyira tika menerima bunga itu nanti. Sukakah dia? Tangan kanannya pula membawa kotak berisi coklat.
Nordin tersenyum mesra melihat Ryean Eiman berdiri di muka pintu seperti menyambut kedatangannya. Senyuman Nordin tidak berbalas. Lelaki itu hanya merenung kosong.
“Ibu kau ada di rumah, Ryean?” Tanya Nordin lembut.
“Kenapa ayah datang? Nak sakitkan hati ibu lagi…”
Nordin menggeleng. “Bukan! Bukan itu tujuan ayah datang.” Terang Nordin dengan lembut. “Ayah datang nak minta maaf. Bunga ni untuk ibu kamu, Ryean!”
Ryean Eiman tersenyum sinis. “Oh! Untuk ibu? Saya rasa ibu tak sudi menerima bunga ni! Ayah baliklah. Tak guna ayah datang ke sini lagi. Pergi!!!”
“Ryean! Jangan biadap. Aku ni ayah kau Ryean. Benarkan ayah berjumpa dengan ibu kamu.”
“Tidak! Ibu takkan mahu bertemu dengan ayah lagi. Sudah cukup kelukaan yang ayah berikan padanya. Biarkan dia bahagia, ayah!” Jerit Ryean Eiman. Dia memang tidak suka Nordin datang ke situ lagi. Dia tahu keinsafan Nordin hanya sejenak, apabila kemaafan diberikan dia akan kembali melukai hati ibunya. Itu yang tidak sanggup Ryean Eiman lihat dan hadapi lagi!
“Kebahagiaan ibu kamu hanya bersama ayah Ryean. Beri ayah peluang untuk membuktikannya.”
Nordin masih belum berganjak. Matanya tertinjau ke ruang tamu mencari kelibat dan wajah Basyira. Basyira berada di tingkat atas di dalam biliknya. Dia terdengar Ryean berbual dengan seseorang.Suara itu tenggelam timbul. Suara itu bagaikan suara Nordin. Benarkah Nordin datang lagi? Untuk apa?
Basyira turun untuk melihat. Benar sangkaannya memang Nordin berada di ambang pintu.
“Syira!!” Panggil Nordin sambil mengangkat tangannya.
Basyira datang mendekat. Ryean Eiman menoleh memandang Basyira. Dia tidak suka melihat Nordin dan Basyira bertemu. Hati ibunya itu pasti akan cair dengan kelunakan sikap Nordin. Dia amat mudah tertawan pada pujukan bekas suaminya itu.
“Syira… Abang datang nak minta maaf dengan Syira.” Kata Nordin tanpa menghiraukan renungan tajam Ryean Eiman.
Basyira tidak menyahut, tetapi matanya tersangkut pada raga bunga lili yang terhias indah. Matanya terus melekat ke situ beberapa saat, sebelum kembali memandang ke arah Nordin.
“Syira… Maafkan abang ya? Kalau Syira tak suka abang datang… Abang takkan datang lagi. Tapi terimalah bunga ini sebagai tanda abang benar-benar menyesal dengan apa yang telah abang katakan pada Syira…”
Nordin menghulur bakul bunga tersebut. Basyira mengangkat tangannya ingin menyambut bakul bunga yang indah itu. “Bunga ni bunga lili kan?” Tanya Basyira dalam nada lembut. Tiada kemarahan dan tiada dendam lagi dalam matanya.
“Ya… Bunga lili.” Jawab Nordin tersenyum.
Ryean Eiman menepuk dahi. Dia meninggalkan pasangan itu. Langkahnya laju menuju ke biliknya sendiri. Pintu ditutup kuat menunjukkan tanda protes. Tetapi Basyira langsung tidak peduli. Keduanya sudah pun bergerak ke arah pergola di luar rumah. Ryean Eiman berdiri di tepi tingkap biliknya. Dalam remang cahaya mentari petang yang sudah semakin condong, dia melihat bebayang orang di celah-celah pohon mempelam berdekatan dengan stor di belakang rumah. Dia mengecilkan mata. Saat itu dia tidak memakai kaca mata jadi dia tidak dapat melihat dengan jelas siapakah orang itu. Kelihatan binaan tubuh lelaki itu tinggi dan tegap bukan seperti Basha. Kalau bukan Pakcik Basha, siapa pula?
Ingatannya kembali tertumpu pada Basyira dan Nordin. Pasti Kalau Pakcik Basha melihat Basyira dan Nordin kembali bersama, berbual panjang di bawah pergola itu, bagaimanakah perasaannya? Pasti hatinya robek dan luka. Ryean Eiman amat mengerti. Tidak mungkin hati dapat dibahagi dua, dalam satu masa. Dia dapat mengagak apa yang akan terjadi seterusnya. Basyira akan memberikan kemaafan dan melupakan apa yang terjadi.
PERATURAN ke empat; Tiada maaf. Orang yang memberi maaf akan membuka peluang kepada orang yang dimaafkan untuk melukai hatinya semula. Dia merenung mukanya dengan pandangan tenang, teduh dan asyik. Sepasang matanya cukup menawan. Keningnya hitam dan lebat. Kacak. Dia memang kacak, tiada suatu apa pun yang kurang pada fizikalnya.
Dia telah memberikan kemaafan kepada lelaki itu… Memang hatinya mudah lembut, selalu kalah pada rayuan dan pujukan. Namun mengapa… Mengapa ibu tidak pernah berfikir dua kali sebelum sesuatu keputusan itu dibuat? Kenapa dan mengapa?
Dia mencapai satu demi satu pakaiannya. Sepasang pakaian hitam yang diperbuat daripada kulit. Dia gemarkan pakaian yang diperbuat daripada kulit. Selain kelihatan mahal, berkilau ianya juga tahan lama. Akhir sekali dia mengenakan topeng muka. Dia sudah selesai mengenakan ‘uniformnya’. Tugasnya sudah bermula.
Jam berdetik perlahan. Dia menoleh ke arah jam. Hampir jam sebelas tiga puluh malam. Masa yang tepat untuk keluar. Malam yang gelap seperti pakaian yang dikenakannya itu akan memudahkan pergerakannya. Tiada yang perlu ditakutkan. Dia cekap dalam menjalankan tugasnya. Bukan seperti pertama kali dahulu… Banyak kesilapan sehingga misi itu gagal. Misi keduanya berjaya!
Ini adalah misi ketiga. Tetapi kali ini dia tidak akan membuat mangsanya mati. Dia masih mahu melihat mangsanya hidup. Dia hanya ingin memberi pengajaran! Pengajaran paling berguna. Jangan persia-siakan masa… Jangan dekati api, nanti terbakar diri. Dirinya adalah api. Apabila api menjadi ‘marah’ ia akan membesar, membakar dan memusnahkan!
NORDIN pulang lewat malam. Setelah beberapa bulan dia tidak merasa air tangan Basyira, malam itu seleranya benar-benar dijulang. Dia makan dengan banyak bertambah hingga dua pinggan. Ryean Eiman tidak menyertai mereka makan. Hanya dia dan Basyira menghadapi meja makan.
Semalam Lydia pulang bersama Datuk Rustam ke Kuala Lumpur. Jadi rumah itu sunyi sekali. Tiada orang yang akan menghabiskan makanan yang ada, lantas Basyira mengajak Nordin makan malam. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Nordin samasekali tidak menolak ajakan tersebut.
Ryean Eiman terus mendiamkan diri di dalam kamar. Dia tidak mahu keluar untuk menemui bapanya itu. Kelihatan dia benar-benar marah di atas tindakan Basyira memaafkan perbuatan Nordin. Dia lebih rela berlapar di dalam kamar daripada keluar makan. Di atas katil dia baring telentang, menunggu Nordin pulang. Tetapi Nordin benar-benar memanfaatkan peluang yang ada, sengaja berlengah-lengah di meja makan. Kemudian menunggu kopi dihidangkan pula di ruang depan.
Hati Ryean Eiman benar-benar sakit. Dia memasang telinga, tidak percaya Basyira mulai berbual dengan Nordin tentang kisah-kisah lama, di saat mereka baru bernikah dan tinggal di kota singa. Nordin sempat juga mengimbas saat menerima kehadirannya dalam hidup mereka berdua.
“Itulah saat-saat yang terindah… Melihat wajah zuriat abang sendiri!” Kata Nordin. “Entah mengapa, sekarang baru abang terfikir, mengapa dulu kita tidak mempunyai anak yang ramai. Hanya Ryean seorang.”
Basyira tidak menyahut. Bibirnya sahaja digigit dengan kuat.
Ryean Eiman benar-benar meluat. Dia menggertapkan bibirnya. Jika diikutkan hatinya dia mahu keluar dan menyeranah bapanya itu. Cukuplah berpura-pura! Marah hatinya. Baru beberapa minggu lepas bapanya itu menuduh Basyira dengan bermacam tuduhan. Malam ini boleh bergurau begitu tanpa rasa bersalah.
Nordin bersiul-siul girang ketika keluar dari kereta. Dia memusing badan seperti berdansa sambil tangan menekan kunci automatik. Bunyi kunci ‘berdecit’ kuat, menyakinkan dirinya bahawa keretanya kini berada dalam keadaan selamat. Maklumlah kereta barunya itu ditinggalkan di bahagian basement. Nordin berjalan ke arah lif. Matanya memerhati sekeliling ruang basement yang sepi. Entah mengapa, dia terasa dirinya seperti diintip. Cepat-cepat dia menekan punat di tepi pintu lif.
Pintu terbuka dengan cepat. Dia terkejut apabila bertembung dengan seseorang yang berada di dalam lif tersebut. Lelaki itu ingin turun ke ruang basement. Berderau darahnya. Namun lega apabila tubuhnya dikepung lif yang sudah pun bergerak naik.
Dari sebalik tiang besar di ruang basement itu, kelihatan sesusuk tubuh berpakaian serba hitam sedang mengepal penumbuk. Geram. Kehadiran orang yang keluar dari lif itu telah membantutkan rancangannya. Malam itu Nordin selamat…
Dia tiba di ruang lobi. Langkahnya diatur perlahan ke kaunter penyambut tetamu, untuk mengambil kunci bilik. Dia senyum ke arah penyambut tetamu yang bertugas; “Lewat balik malam ni encik Nordin.” Tegur penyambut tetamu yang manis dan murah senyuman itu sambil menghulur kunci. Sudah hafal benar dia nombor bilik Nordin.
“Ya.” Jawabnya sambil mengenyitkan mata.
“Ada apa-apa ke, Encik Nordin?”
Nordin ketawa lunak. “Hmmm… Biasalah, entertain client.” Bohong Nordin sambil tersenyum mesra.
“Ya ke? Berapa lama lagi agaknya Encik Nordin akan menginap di sini?”
“Itu terpulanglah pada keadaan. Mengapa? Janganlah bimbang, saya akan selalu ke sini, sebab layanan hotel ni yang terbaik!” Kata Nordin sambil mengangkat ibu jari.
“Terima kasih, encik Nordin!”
“Eh, dah dekat sebulan saya duduk di hotel ni, awak masih berencik-encik dengan saya. Panggillah Nordin aje ataupun abang Nordin…” Kata Nordin sambil tersengih.
Gadis itu tersipu-sipu malu.
“Jom minum di coffee house. Masih buka lagi tu…”
“Tak boleh… Masih dalam tugas.” Jawab gadis penyambut tetamu yang bernama Mimi itu.
“Pukul berapa habis bertugas?”
Mimi memerhati jam di tangannya dan berkata; “Lima belas minit lagi.”
“OK. Saya naik ke bilik dulu… mandi sekejap. Awak tunggu tau! Saya memang dah lama nak belanja awak minum!”
Mimi mengangguk dan tersenyum.
Tepat seperti yang dijanji lima belas minit kemudian Nordin turun menemui Mimi. Dalam kepala Nordin sudah terancang sesuatu. Dia ingin membawa Mimi makan dan berhibur di tempat lain. Jadi, dia cepat-cepat mempelawa perempuan itu meninggalkan ruang lobi.
“Nak ke mana?” Tanya Mimi. “Kata tadi nak minum di coffee house hotel ni aje…”
“Agh! Kita pergi tempat lainlah. Awak tak segan ke dengan staff-staff lain yang kenal dengan awak?” Tanya Nordin. Mimi mengangguk. Kata-kata Nordin itu ada betulnya. Mimi mengekori Nordin turun semula ke ruang basement. Memang sudah lama dia mengidam hendak menaiki kereta baru lelaki itu. Dia tahu siapa Nordin. Seorang ahli perniagaan yang kaya dan baru menjadi duda!
MEMANG sudah lama dia tidak menghidupkan malamnya dengan keluar berpesta, hadir ke majlis-majlis atau pun sekurang-kurangnya ke pub. Entah mengapa malam itu dia mengunjungi sebuah pub, duduk di atas bangku yang menghadap ke bar sambil mendengar alunan lagu dan menikmati segelas coke. Penyanyi pub itu seorang perempuan tionghua yang punya suara yang agak bagus. Lagu-lagu yang didendangkan kebanyakannya bernada riang, ghairah dan rancak.
Ramai juga pengunjung yang menjerit dan bersiul. Setiap kali habis menyanyi dia mendapat tepukan bergemuruh.
“Goyanglah lagi!” Teriak satu suara, bersama iringan siulan panjang.
“Tadi sudah goyang…” Dia menjawab dalam nada pelat. Siulan terus bergema dengan kuat. Ryean Eiman berpaling, ikut bersiul apabila muzik bergema semula. Penyanyi itu menyanyikan sebuah lagi lagu rancak dan mula menggoyangkan punggung dan bahunya. Jika tadi Ryean Eiman hanya mendengar suara, kini dia teringin hendak melihat penyanyi itu berjoget.
Dia ikut bertepuk tangan. Hatinya terhibur dan segala kegundahan hilang seketika.
Penyanyi itu telah selesai menyanyi. Dia menghilang ke dalam bilik rehat. Ryean Eiman masih memandang ke pentas, seorang penyanyi lelaki naik menggantikannya. Muzik bertukar, lembut dan syahdu. Suara siulan tidak kedengaran lagi. Pengunjung bagaikan terpukau dengan alunan lembut irama intro lagu ‘winter sonata.’
Ryean Eiman ikut terdiam menikmati lagu itu penuh emosi. Hati dan perasaannya terbuai rindu. Aduh… Mengapa hatiku jadi begini! Baru semalam dia pulang ke KL. Aku rindu. Wah! Begini rupanya apabila insan benar-benar jatuh cinta!
Hanya beberapa saat dia teringatkan Lydia, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dia melihat di skrin, terpapar nama Lydia. Hatinya melonjak. Punat terus ditekan dan alat komunikasi itu dilekapkan di telinga; “Hello!”
“Ryean! You kat mana? Bisingnya…” Suara Lydia tenggelam timbul di pendengarannya. Ryean Eiman bergerak cepat menghala ke pintu masuk. Dia terus menerjah ke luar.
“I kat pub.” Jawab Ryean Eiman.
“Apa? Kat pub? Oooo… I tak ada, you pandai pergi ke pub. Kalau I ada tak pernah ajak I keluar malam.”
“Malam ni I benar-benar boring.” Jawab Ryean Eiman. Dia memerhati ke arah pintu pub yang sentiasa terbuka dan tertutup. Ramai orang yang keluar masuk. Matanya memandang ke arah pasangan yang kelihatan mesra, berjalan seiring masuk ke situ.
Setan! Bisik hatinya apabila dia terpandang Nordin bersama seorang gadis cantik, muda dan manja. Memang bapanya itu tidak pernah berubah!
“Sabarlah… Esok I akan balik ke Pahang.”
“OK. Balik ke sini cepat!” Ryean Eiman mesti memerintah.
Lydia tergelak. “Hmmm… belum jadi suami, dah kuat memerintah. Kalau dah jadi suami nanti tak tahu macamana.”
Ryean Eiman cuba tertawa tetapi tidak menjadi. Hatinya masih rusuh melihat Nordin bersama seorang gadis cantik. Pasti itu kenalan baru… duga hatinya. Ingin rasanya dia pergi menemui Nordin. Dia mahu melihat rupa bapanya yang pucat dan menggelabah. Tetapi dia tidak akan berbuat demikian. Dia ada cara tersendiri untuk mengajar bapanya itu. Rahsia bapanya itu tidak akan bertahan lama.
“Ehhh… I baik. Entah-entah you yang queen control. Macam lagu P. Ramlee tu… Suaminya dulu handsome kini dah jadi botak!”
Lydia gelak lagi. “Perasan! You tu handsome ke?”
“Memanglah, lebih handsome daripada Brat Pit.”
“Hmmm! Masuk bakul angkat sendiri!” Ejek Lydia.
“Habis, you tak mahu angkat. I nak angkat you! Kalau you ada kat sini dah lama I peluk dan kiss you. Apalagi udara malam ni sejuk sangat.”
“Hujan?” Tanya Lydia bersungguh-sungguh.
“Ya… I rasa macam nak berlari-lari dalam hujan sambil meneriakkan nama you. Diya, I love you.” Ryean Eiman sekadar berbisik.
Lydia terdiam sejenak kemudian berkata perlahan; “Tolong ulang sekali lagi… I tak puas dengar.” Pinta Lydia dalam nada yang perlahan. Sungguh lama dia menunggu ungkapan itu terbit dari bibir Ryean Eiman.
“I love you. I love you and I love you with all my heart.”
“Sayang… I love you too.” Saat itu jika dia punya kepak dia ingin terbang pulang ke dalam dakapan Ryean Eiman.
Mirinda berdehem keras, membuat Lydia berpaling. Sudah lama dia berdiri di tepi pintu balconi, mencuri dengar perbualan Lydia dan Ryean. Hatinya cemas, gelisah dan marah bercampur baur. Kepulangan Lydia dan Datuk Rustam amat tidak disenanginya. Datuk Rustam berubah secara drastik. Lelaki itu tidak menghiraukannya langsung sejak kembali dari Pahang.
Mirinda gelisah seperti cacing kepanasan. Dia tidak betah berada di rumahnya sendiri. Mirinda tidak tahu apa yang harus dilakukan. Patutkah dia memujuk Datuk Rustam? Bagaimanakah dia hendak mengambil hati lelaki itu? Agh! Tak perlu dia berbuat demikian. Terlalu lama dia bersabar, mungkin saat dan ketika sudah tiba untuknya meninggalkan lelaki tua itu.

No comments:
Post a Comment