Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 12

Bab 12

SELEPAS menikmati makan malam, Ryean Eiman menghilang ke ruang depan. Senangnya menjadi lelaki, bisik hati Lydia. Selepas makan, boleh tinggalkan meja yang kotor dan berselerak. Dulu Lydia juga akan segera meninggal meja untuk dikemas oleh pembantu rumah, tetapi di sini dia tidak boleh berbuat demikian. Dia terpaksa melupakan kebiasaannya di rumah. Dia harus belajar menjadi seorang perempuan yang sebenar-benarnya. Sejak duduk di rumah Basyira, dia sudah pandai memasak, belajar daripada Basyira yang sentiasa senang memberinya ilmu.
Lydia mencuci pinggan di dalam sinki sementara Basyira menyimpan sisa lauk di dalam peti ais. Malam itu Basyira memasak ikan kerapu kukus bercampur halia, bawang putih serta cendawan butang. Bersama hidangan itu disajikan juga sayur campur, sambal udang dan ulam pegaga yang dikutip dari belakang rumah.
Lydia menjerang air selepas selesai mencuci pinggan. Biasanya Ryean Eiman memang ingin menikmati kopi dan snek sambil menonton televisyen. Dia mencapai teko ingin membancuh kopi tetapi terhalang oleh suara Basyira; “Biar ibu yang buat kopi. Pergilah ke depan…”
Lydia tersenyum, mengangguk dan terus berjalan ke ruang depan. Ryean Eiman tiada di ruang tamu. Dilihatnya pintu hadapan terdedah, angin malam memburu masuk ke dalam rumah. Lydia menjenguk ke luar dan mendapati Ryean Eiman sedang duduk di bangku kayu di luar. Lampu luar sengaja tidak dinyalakan dan Ryean Eiman duduk sendiri di dalam suasana yang samar-samar.
Lydia menyalakan lampu, membuat lelaki itu terkejut dan menoleh ke arahnya. Dia duduk di hujung berenda. Berenda itu agak panjang, lebih kurang 15 kaki, menganjur ke bahagian kanan rumah. Di sekeliling berenda kini terdapat banyak bunga-bunga gantung, semuanya hidup subur hasil tangan Basyira merawatnya setiap pagi dan petang.
“Kenapa duduk di dalam gelap?” Tegur Lydia.
“I suka duduk di dalam gelap, sambil berfikir.” Balas Ryean Eiman.
“Apa yang sedang you fikirkan? Sejak bila jadi seorang pemikir pula?”
Ryean Eiman gelak kecil. Dia tidak menjawab soalan Lydia. Diperhatinya Lydia yang duduk agak jauh darinya, di atas sebuah kerusi goyang yang diperbuat daripada rotan. Lydia menggoyangkan kerusi itu.
“Jauh sangat… Duduk dekat sikit.” Kata Ryean Eiman tersenyum dan menepuk kerusi yang kosong di sisinya.
Lydia bangun dan duduk di sisi Ryean Eiman. Tapi masih ada jarak yang memisahkan lebih kurang 1 kaki. Sejak akhir-akhir ini Lydia sendiri hairan pada sikapnya yang terdorong mengikut kehendak Ryean Eiman.
“Dekat lagi…” Pinta Ryean Eiman sambil menjangkau tangannya memaut bahu Lydia.
“Haaa… Gatal! Ingat you tu kat mana? Kejap lagi ibu keluar, kan naya?” Balas Lydia sambil membuang tangan Ryean Eiman.
“Ibu merestui kita kan?”
“Benar… I harus membataskan diri, sebagai seorang gadis I bukannya semurah yang you sangka.”
“Marah?” Tanya Ryean Eiman. “OK, Sorry.” Ryean Eiman pula yang menjauhkan diri. Dia bangun, berdiri di sisi berenda yang dikepung dinding separas pinggang. Dia mendongak ke langit malam yang kelam dan gelap.
Lydia memerhati tubuh Ryean Eiman yang tinggi, dibaluti sehelai sweater kuning lembut dipadankan dengan seluar trek. Lelaki itu memang tinggi lampai. Binaan tubuhnya tegap dan kukuh. Betapa dia ingin menyerah dalam pelukannya tetapi dia tidak boleh berbuat demikian. Harga diri menghalangnya. Dia tidak ingin dikatakan gadis tidak tahu malu. Biarpun ada sedikit rasa kesal, Ryean Eiman kini berada jauh dari sisinya, kerana dia yang menginginkannya begitu.
“Sebenarnya I sedang fikirkan sesuatu…” Kata Ryean Eiman.
“Apadia?”
Memang sukar baginya hendak memberitahu Lydia. Dia tidak tahu bagaimana harus memulakannya. Dia takut jika Lydia mengetahui hakikat itu kelak, dirinya akan dibenci. Siapa yang tidak benci apabila mengetahui kebenaran itu? Dia sedang membina hubungan dengan isteri orang dan di masa yang sama sedang menjalin cinta pula dengan anak lelaki itu. Pastilah dia akan dibenci oleh Lydia dan Datuk Rustam. Bahkan Basyira juga akan turut membencinya.
Basyira sangat menyukai Lydia. Mereka begitu cepat serasi, bagaikan kunyit bertemu kapur. Dia tidak seharusnya merosakkan hubungan yang murni ini. Tapi bagaimanakah dia harus memutuskan hubungannya dengan Mirinda? Bagaimana? Godaan Mirinda begitu besar. Pengaruhnya juga kian bertambah. Datuk Rustam sudah menjadi orang yang tidak punya apa-apa lagi, melainkan seorang tua yang tidak berkuasa dan tidak berpengaruh lagi ke atas syarikatnya sendiri.
“I sedang fikirkan papa you…” Kata Ryean Eiman. “Apa akan jadi sekiranya dia tidak sembuh? Ingatannya tidak pulih. Apa akan jadi?”
“I juga sentiasa fikirkan hal itu. Tadi I fikir, hendak bawa papa ke sini…”
“Bawa ke sini? Untuk apa?”
“Di sini banyak kenangan manis yang pernah dilalui papa. Di sini juga tempat dia mendapat kemalangan itu. Mungkin jika dia berada di sini semula, dia akan ingat segala-galanya. I pun hairan kenapa Mirinda beria-ria nak bawa dia balik ke KL.”
“I tak fikir Mirinda setuju dengan rancangan you ni!”
“I mesti bawa papa ke sini. Apakah ibu benarkan dia tinggal di rumah ni?”
“Jangan buat kerja gila! Mana boleh papa you tinggal di sini. Ibu tu janda dan papa you tu suami orang. You nak dia tinggal di sini? Gila… Tanpa bertanya ibu pun I dah tahu ibu takkan setuju!”
Dalam diam Lydia mengakui kebenaran kata-kata Ryean Eiman.

BASYIRA mengintai, mendapati Lydia dan Ryean Eiman sedang rancak berbual. Biarlah… Bisik hatinya. Dia telah meletakkan teko kopi di atas meja di ruang tamu bersama sepiring biskut. Bila penat berbual nanti, pasti mereka masuk untuk minum kopi. Basyira mengatur langkah naik ke kamarnya. Tanpa lengah lagi dia menghidupkan komputer, ingin menyambung penulisannya malam itu.
Sudah sebulan pula dia menulis. Setiap kali selesai satu bab dia akan mencetak lantas menyimpannya di dalam satu fail. Dia selalu membuka fail itu mendapati ianya bertambah tebal hari demi hari. Dia senyum sendiri. Senang hatinya kerana ilhamnya datang dengan laju. Cuma kadang-kadang sahaja ilhamnya tidak mahu datang. Lebih-lebih lagi kalau Basha datang mengganggu perasaannya!
Sejak petang itu, Basha tidak pernah datang ke rumahnya lagi. Buku yang dulu ingin dipinjam dari Basha, dihantar oleh anak lelaki Zainon ke rumahnya. Basyira tidak berkata apa-apa. Apakah Basha tersinggung dan tidak mahu menghantar sendiri buku itu ke rumahnya? Dia belum membaca buku-buku yang dipinjam dari Basha. Diperhatinya sahaja buku-buku yang bersusun di sisi meja komputernya itu.
Dia terdorong hendak mencapai salah satu buku tersebut. Dibelek kulit buku itu dan ternyata ianya adalah sebuah novel berbahasa Inggeris. Kulit novel itu yang berwarna hitam pekat dan bertulisan merah amat memikat. Basyira membacanya perlahan; “The Glory Game.” Ehhh… penulisnya perempuan. Bisik hati Basyira sendiri. Dia membelek novel itu bersama rasa kagum. Timbul semangat dalam dirinya untuk menulis lagi dengan lebih giat. Dia ingin menulis sebuah buku yang tebal dan memberikan kepuasan kepada pembaca, bukan hanya kepuasan pada dirinya sendiri.
“Aku tidak tahu samada aku menyintaimu atau pun tidak Abang Basha. Hatiku resah gelisah. Sudah dua hari kita tidak bertemu. Aku merasakan satu kejanggalan kini, apabila kau tidak muncul pada waktu-waktu kau sepatutnya datang ke rumahku. Di manakah kau sekarang Abang Basha?
Aku mengharapkanmu di sisiku kini…
Aku berjalan mundar mandir di dalam kamar tidurku yang luas. Aku merasakan satu kekosongan. Tiada sesiapa pun di sini untukku ajak berbual. Aku rindu untuk berbual dengan seseorang. Ku pandang telefon di sudut ruang, aku mesti menghubungi abang Basha untuk bertanya khabar tentang dirinya.
Abang Basha menyambut panggilanku. Suaranya lunak dan lembut. Suara itu amat menyentuh hatiku. “Maafkan Syira bang…” Kataku dalam sendu. Entah mengapa aku harus merasa sedih. “Syira tidak sepatutnya buat begitu pada abang… Sebenarnya Syira juga menyukai abang. Tapi wajarkah kita bercinta pada usia kita sekarang ni bang? Syira dah empat puluh tahun abang pula dah berusia empat puluh lima tahun ni…”
Abang Basha tergelak. Girang kedengaran tawanya di telingaku. “Tidak Syiraku sayang. Cinta itu tidak kenal usia. Tidak kira berapa pun umur kita, kita berhak untuk menyintai dan dicintai. Walaupun umur kita seratus tahun sekali pun, kita tetap memerlukan kasih sayang…”
Ah! Indahnya kata-kata Abang Basha. Aku terpegun dan kagum mendengarkannya. Aku terpesona dengan suaranya yang lunak dan lembut. Aku benar-benar telah jatuh cinta pada Abang Basha.”
Basyira mengeluh. Jari-jarinya terasa dingin dan menggeletar. Dia bimbang akan ikut terpengaruh dengan cerita yang sedang dikarangnya itu. Akhirnya Basyira menerima cinta Basha. Benarkah akhirnya begitu? Tidak. Rasa kasihnya pada Nordin masih menebal hingga ke hari ini!
Basyira memerhati sekeliling kamarnya yang sepi. Spontan matanya tertuju ke arah jam dinding. Pukul sebelas malam. Dia keluar dari bilik, lantas menuruni tangga. Ruang tamu sudah gelap. Ryean Eiman sudah masuk ke kamarnya. Dia bergerak ke kamar tidur Lydia. Bilik gadis itu gelap dan katilnya kosong. Ke mana dia?
Basyira menggaru kepala. Apakah Lydia berada di kamar Ryean Eiman? Gila! Dia tidak akan mengizinkan hal itu berlaku. Dia berlari turun, ingin mengetuk pintu bilik anaknya tetapi tidak jadi. Lampu ruang tamu dinyalakan. Dia memandang ke arah pintu depan. Dahinya berkerut kerana mendapati pintu itu kelihatan renggang.
Mengapa pintu ini tidak berkunci. Dia menjenguk keluar. Lampu luar menyala terang. Dan dari kejauhan dia melihat susuk tubuh sedang bergerak perlahan menuruni bukit berteman sebuah lampu picit. Siapa pula? Lydia? Bisik hati Basyira tidak keruan. Ke mana dia hendak pergi?
Basyira buru-buru menuju ke dapur, mengambil lampu picit di dalam laci kabinet dan terus keluar melalui pintu depan. Dia mengekori jejak orang yang kini sedang bergerak menuruni jalan berlereng menuju ke jalan raya di bawah bukit. Basyira sengaja tidak mahu menghidupkan lampu picit. Biarpun suasana agak gelap, tetapi lampu jalan membantu pergerakannya.
Tubuh itu kelihatan berjalan laju ke satu arah, akhirnya berhenti di hujung jalan. Basyira ikut berhenti melangkah, berlindung di sebalik pokok mempelam renek di tepi jalan.
Ehhh… Ini tempat bapa Lydia mendapat kemalangan tempohari. Bisik hati Basyira. Mengapa Lydia ke situ? Apa yang dicarinya? Dan mengapa dia pergi seorang diri di malam-malam buta begini? Ternyata gadis itu seorang yang sungguh berani.
Lydia terhenti melangkah. Dia mendapati ada seseorang yang berada di lereng paya itu, sedang menyuluh sesuatu. Kedatangan Lydia membuat orang itu menyuluh ke arahnya. Lydia menjerit; “Hoi!!!”
Orang itu terkejut, lantas lampu picitnya terjatuh. Dia melarikan diri secepat kilat lantas menghilang dalam kegelapan malam.
Lydia menahan nafas. Terkejut bukan kepalang kerana dia terasa bahunya ditepuk dari belakang. Lydia terjerit lantas menyuluh ke arah belakangnya.
“Ibu!!” Serunya kuat.
“Ya. Ibu… Kenapa kau keluar ke sini malam-malam buta macam ni? Bahaya…” Kata Basyira. “Jom kita balik!”
“Ibu…” Kata Lydia sambil memegang tangan Basyira. Wanita itu dapat merasakan tangan Lydia yang dingin. Dia tahu Lydia sebenarnya takut…
“Ibu tahu tak, selama ini ada orang yang sentiasa mengintip rumah ibu.”
“Mengintip?”
“Ya. Diya rasa dah lama dah dia mengintip ibu. Semasa hendak masuk tidur tadi, Diya terdengar bunyi orang memanjat. Diya keluar perlahan-lahan dan jenguk ke bahagian sisi rumah melalui berenda. Diya nampak orang itu sedang panjat tangga yang disandarkan ke tepi tingkap bilik ibu. Sebab tak mahu kejutkan dia, Lydia mengawasi dia di dalam gelap. Sejurus lepas tu dia turun, simpan tangga di setor. Bila dia keluar dari kawasan rumah ni, Diya ikut. Dia berhenti di sini, dan terbongkok-bongkok cari sesuatu… Itu yang Diya sergah dia hingga dia lari!”
“Kenapa kau keluar seorang? Kenapa tak kejut Ryean? Nasib baik ibu nampak kau keluar sebab pintu depan renggang, tak berkunci.”
Lydia terdiam. Dia sengaja tidak mahu memberitahu Ryean tentang hal itu. Dia sebenarnya mahu menyiasat sendiri.
“Siapa agaknya orang yang suka mengintip ibu?” Tanya Lydia. Mereka sama-sama berjalan menghala ke rumah semula. “Mengapa pula dia berhenti di tempat papa mendapat kemalangan hari tu? Dia berhenti di situ, seperti mencari sesuatu…”
“Entahlah…” Bisik hati Basyira. Dia benar-benar tidak tahu jawapannya.
Basyira menyuruh Lydia tidur. “Tak usah terlalu fikirkan sangat hal itu…” Basyira menasihati. “Siapa pun yang melakukan perbuatan mengintai itu, pasti akan menerima balasannya nanti. Ianya adalah satu perbuatan yang buruk.”
“Kita pula kehilangan privasi… Hak bersendirian yang telah dicabul.” Sambung Lydia melangkah masuk ke kamar tidur tetapi sebelum menutup pintu dia mendengar Basyira berpesan; “Lain kali jangan keluar malam seorang diri macam tu lagi, Diya. Mungkin lelaki tu merbahaya. Mungkin dia punya niat tertentu. Jadi, kalau Diya nampak dia di kawasan rumah ni lagi, beritahu ibu dan Ryean.”
Lydia mengangguk.
Basyira kembali menghadapi komputer. Tiba-tiba dia mendapat ilham untuk meneruskan penulisannya kembali. Dia semakin teruja ingin melihat manuskrip itu siap!

No comments: