Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 17

Bab 17

BUNYI motorsikal posmen yang kuat berhenti di hadapan pagar Basyira membuat wanita itu bangun menjenguk. Perasannya melonjak riang apabila posmen itu melambai tangan meminta Basyira datang. Basyira berlari ke arah pintu pagar, membukanya dengan rasa tidak sabar.
“Ada surat berdaftar puan. Tolong turunkan tandatangan.”
Basyira menerima surat itu dengan dada berdebar-debar. Dia membuka surat yan baru diterima sambil berjalan menghala ke rumah. Betapa terkejutnya Basyira dia telah menerima sekeping cek daripada pihak penerbit. Nilai yang tertulis di atas cek itu amat mengejutkannya. RM45,000.00! Tanpa sedar dia menjerit keriangan.
Biarpun baru enam bulan bukunya berada di pasaran tetapi bayaran royalti sudah mulai diberi oleh penerbit. Betapa Basyira bersyukur mendapat wang yang tidak disangka-sangka. Dia tidak pernah bermimpi menerima wang sebanyak itu.
Apa yang akan dilakukannya dengan wang sebanyak itu? Pergi melancong atau membeli kereta baru? Tidak. Bisik hatinya. Dia tidak boleh membazir wang pada perkara-perkara yang tidak berfaedah. Dia harus menyimpannya dengan sebaik mungkin untuk masa-masa tua yang pasti datang.
Sepanjang hari itu benar-benar gembira. Sudah lama dia tidak merasa kegembiraan itu menyentuh hatinya. Terlalu banyak peristiwa berlaku kebelakangan ini yang membuat kegembiraan itu menjauh. Kini rasa ria itu datang semula menjenguk bagaikan mentari pagi yang perlahan-lahan mengelopak daripada dilindungi awan mendung.
Jika hatinya gembira, dia akan memasak makanan yang enak. Dia menyediakan masakan dan kuih kegemaran Ryean Eiman. Dia memasak dalam jumlah yang agak banyak tatkala teringat Basha sedang bercuti. Lantas dia mendekati meja telefon untuk menghubungi lelaki itu.
Basha amat gembira menerima panggilannya. “Makan malam di rumah Syira malam ni? Boleh… apa salahnya.” Jawab Basha dengan nada girang.
“Tapi sempena apa? Hari jadi Syira ke?”
Basyira ketawa dan menidakkan tekaan Basha. “Bukan harijadi Syira. Sebenarnya Syira baru menerima royalti buku pertama. Jumlahnya agak banyak…”
“Tahniah.” Jawab Basha sambil tertawa. “Buku-buku hari tu dah habis baca? Nak pinjam yang lain, datanglah!” Dia mempelawa. “Abang pun tak buat apa-apa hari ni. Kalau Syira datang, boleh juga kita berbincang tentang buku-buku yang sudah Syira baca…”
“Maaflah… Belum habis baca semuanya. Tapi ada dua buah yang sudah dibaca. Syira akan kembalikan pada abang malam nanti. Sekarang ni Syira tak boleh ke rumah abang, sebab sibuk.”
“Oklah abang faham. Abang pun tak mahu ganggu Syira… Teruskanlah berkarya.” Perbualan berakhir di situ. Setelah Basyira meletakkan gagang telefon dia mulai rasa kesal kerana tidak menerima pelawaan Basha supaya datang ke rumahnya. Hari itu, dia tidak membuka komputer kerana kehabisan ilham. Semalam dia menulis sehingga jam dua belas.
Basyira turun ke dapur, lantas membuka pintu sejuk. Masih ada kek coklat tersimpan di dalam bekas bertutup. Dia membuka dan memotong kek coklat itu dengan cermat lantas memasukkannya ke dalam tupperware. Dia akan menghantarnya sedikit ke rumah Basha. Dia juga akan membawa dua buah buku yang sudah dibaca.
Tidak perlu dia menelefon. Apa salahnya jika dia terus pergi tanpa perlu memberitahu, supaya dapat memberikan kejutan terhadap lelaki itu.
Basyira cuma berjalan kaki. Jarak rumahnya dan rumah Basha tidak begitu jauh. Basyira berjalan merentasi kebun, kerana jalan itu lebih dekat. Jika dia mengikut jalan raya, jaraknya lebih jauh dan dia tidak ingin bertembung dengan sesiapa. Melalui jalan kebun itu dia hanya perlu menyusup di bawah pagar.
Tapi itu semua tidak menjadi halangan, asalkan dia tidak terserempak dengan sesiapa dan tiada orang tahu dia telah mengunjungi rumah Basha saat itu.
Setelah 15 minit berjalan, rumah Basha mulai kelihatan di ruang matanya. Dia kini berjalan melalui bahagian belakang rumah. Bahagian belakang rumah Basha terang dan bersih. Terdapat batas-batas sayur yang terjaga rapi. Terdapat juga pokok kacang botol yang subur, mengeluarkan buah yang lebat. Teringin Basyira hendak memetik kacang botol yang cantik menghijau, pasti rangup apabila dimakan.
Kecur airliurnya melihat tanaman yang menghijau. Dia tidak menyangka langsung Basha seorang yang rajin bercucuk tanam. Daun pintu dapur kelihatan bertutup rapat. Semua tingkap juga bertutup rapat bagaikan tidak berorang. Dahi Basyira berkerut sambil memandang ke arah rumah yang sunyi sepi tanpa sebarang bunyi itu. Tiada suara radio ataupun televisyen. Dia memerhati ke bawah rumah dan mendapati motorsikal Basha ada di situ.
Basyira menarik nafas lega, yakin bahawa Basha ada di rumah. Barangkali dia sedang tidur. Basyira memberi salam dan memanggil nama Basha bertalu-talu tetapi tiada jawapan. Dia cuba menolak pintu dapur dan mendapati ianya tidak berkunci. Basyira menjenguk ke dapur dan mendapati suasana di situ juga kemas dan bersih. Basyira naik perlahan-lahan sambil matanya meninjau ke bahagian dalam rumah yang gelap kerana semua pintu dan tingkap bertutup rapat.
Suasana di ruang anjung kelihatan samar-samar. Ada cahaya yang mencuri masuk dari celah-celah kekisi. Basyira terpegun, berdiri di tengah-tengah rumah yang kosong dan sunyi. Di manakah Basha? Matanya tertuju ke arah pintu bilik yang bertutup rapat. Apakah lelaki itu sedang tidur siang, sengaja menutup seluruh rumah agar kegelapan mengelilinginya. Justeru itu dia dapat tidur dengan lena…
Tiba-tiba dia merasakan ada pergerakan di belakangnya. Dia tertoleh dengan cepat. Kesal di atas kekhilafan diri menafsir bahawa rumah itu kosong dan Basha sedang tidur. Basha berdiri begitu dekat di belakangnya dan dalam beberapa saat sahaja tangan sasa lelaki itu sudah pun berlengkar di pinggangnya.
“Abang tak sangka Syira datang…” Bisik Basha di telinganya dengan lembut.
Tupperware dan buku yang sedang dipegang Basyira, jatuh ke lantai. Dia terkejut dengan aksi Basha yang berani memeluknya dari belakang. Isi di dalam tupperware itu bertaburan ke lantai. Basha terkejut, tangannya terungkai. Basyira bersyukur dia terlepas daripada godaan Basha. Buru-buru dia mengutip kek yang jatuh ke lantai dan berharap Basha turut melakukan sesuatu.
“Mmmaafff…” Kata Basha tergagap-gagap. Dia mengutip buku-buku yang jatuh dan meletakkannya di atas meja. Pantas dia bergerak ke tingkap lantas membukanya satu persatu. Basyira pura-pura tidak menghiraukan pernyataan maaf dari Basha sebaliknya dia bersuara; “Syira yang harus minta maaf. Datang ke sini tanpa beritahu. Syira tak tahu jika abang mahu berehat dan tidur…”
Basyira sudah bergerak ke pintu dapur yang terbiar dan terbuka luas. Basha mengejar Basyira ke dapur.
“Jangan balik lagi, Syira…” Pintanya bersungguh-sungguh. “Maafkan abang. Abang terlalu menurut perasaan. Syira marah?”
Basyira tidak menjawab. Dia sendiri buntu, tidak tahu apakah perasaannya yang sebenar. Marahkah dia atau bencikah dia di atas perbuatan Basha tadi?
“Mungkin Syira datang tak kena pada masanya.” Kata Basyira. “Biar Syira balik dulu!”
“Syira!” Basha masih memanggil tetapi Basha tidak peduli.
Dia terus berjalan pulang dengan langkah yang laju menghala ke jalan raya. Kali ini dia tidak ingin meredah semak belukar lagi. Biar dia berjalan sendirian di jalan yang lapang dan terbuka itu untuk menenangkan dirinya sendiri. Kehadiran orang lain yang lalu lalang dengan motorsikal dan kereta, sedikit melegakan perasaannya, menyedarkan dirinya bahawa dia tidak keseorangan.
Dadanya masih bergementaran dan seluruh tubuhnya terasa seram sejuk. Sudah sekian lama dia tidak merasakan sentuhan tangan lelaki di tubuhnya. Dia merasa gentar ingin merasai lagi sentuhan kasih seorang lelaki. Dia takut akan terkecewa lagi seperti yang berlaku antaranya dengan Nordin. Dia tidak akan membenarkan dirinya dipermainkan dan cinta sucinya dipersia oleh seorang lelaki yang tidak setia.

LYDIA membantu Basyira menyusun pinggan di atas meja makan di ruang luar. Mereka akan mengadakan makan malam istimewa. Basyira telah menjemput Basha datang pada malam itu, tetapi wanita itu tidak tahu apakah Basha akan datang. Entah mengapa Basyira seperti dapat merasakan bahawa Basha akan menolak pelawaannya itu setelah apa yang berlaku pagi tadi.
Basyira memerhati ke arah set pinggan berjenama Johnson Bros yang mempamerkan garapan gambar istana lama berwarna biru, sudu, garfu dan gelas kristal berkaki panjang yang sudah disusun dengan teratur di meja makan. Memang amat jarang dia mengeluarkan pinggan mangkuk yang mahal lagi berjenama untuk kegunaan harian. Set pinggan dan gelas itu hanya diguna untuk acara tertentu, seperti malam itu. Hidangan memenuhi meja. Malam itu dia menyediakan nasi bukhari berlaukkan kurma daging, ayam goreng madu dan acar timun. Dia juga turut menyediakan puding karamel serta buah-buahan.
Basyira memerhati segalanya dengan pandangan kosong. Lydia memandang Basyira yang termenung panjang lantas bertanya; “Kenapa ibu termenung?”
“Tak ada apa-apa. Pergi tengok Ryean di bilik…” Kata Basyira sambil melirik ke arah jam dinding. “Dah dekat jam sembilan malam. Sepatutnya pakcik Basha pun dah datang ni.”
Lydia bergerak ke bilik Ryean Eiman. Tiba di hadapan pintu dia mengetuknya beberapa kali tetapi tiada jawapan. Dia menolak daun pintu yang tidak berkunci dan mendapati lelaki itu tiada di dalam bilik. Ke manakah dia? Dahinya berkerut. Dia tidak sedar bilakah Ryean Eiman keluar. Mereka pulang awal pada petang tadi. Ryean Eiman terus masuk ke bilik tidur langsung tidak keluar. Sementara Lydia pula naik ke tingkat atas untuk berehat. Dia hanya turun selepas isyak dan menyangka bahawa Ryean ada di bilik tidur.
“Dia tak ada ibu!” Beritahu Lydia, masih tidak percaya bahawa Ryean Eiman benar-benar tiada di kamarnya. Dia berjalan keluar untuk memastikan bahawa Ryean Eiman berada di luar rumah. Lydia mendapati dia kehilangan jejak Ryean Eiman. Keretanya tiada di garaj. Lelaki itu keluar secara diam-diam, menuju destinasi yang tidak diketahui olehnya.
Basyira duduk menghadapi makanan yang memenuhi meja. Laratkah mereka berdua menghabiskannya?
“Cuba call pakcik Basha.” Kata Basyira. Dia tidak akan menghubungi Basha. Rasa hatinya tidak keruan, malu hendak berhadapan dengan Basha. Masih diingatnya pelukan Basha pagi tadi. Masih dirasakan nafas hangat yang berhembus lembut di tengkuknya. Dia merasa seluruh tubuhnya kembali meremang kedinginan.
“Telefonnya tidak berjawab ibu! Dia tak ada di rumah….” Beritahu Lydia. Dia duduk di hadapan Basyira, menghadapi meja yang sarat dengan pelbagai makanan.
“Macamana? Laratkah kita berdua menghabiskannya?” Tanya Basyira sambil memandang tepat ke muka Lydia. Gadis itu mengangkat bahu.
“Kita makan ajelah ibu. Kalau tak habis nasi dan lauk ni boleh simpan dalam peti sejuk. Esok boleh dimakan lagi…” Dia mulai menyenduk nasi, meletakkannya ke dalam pinggan. Hatinya rasa gundah saat memandang kerusi yang kosong. Ke manakah Ryean Eiman pergi dan mengapa dia menghilang tanpa pamitan kepada sesiapa?
Baru beberapa suap nasi melalui kerongkong, Basyira terdengar bunyi kereta di hadapan rumah. Dia berhenti menyuap, segera bangun dan bergerak ke pintu depan. Mungkinkah Ryean Eiman pulang. Pintu depan segera dibuka, setelah dia menyalakan lampu luar. Sebuah kereta berhenti di halaman. Kereta itu bukan kereta milik Ryean Eiman. Basyira benar-benar terkejut melihat kehadiran Nordin malam itu.
Di saat yang sama tidak jauh di bawah bukit kelihatan sebuah motorsikal menderam perlahan. Motorsikal itu ingin bergerak memanjat bukit tetapi tidak jadi. Dilihatnya kereta berwarna merah menyala tersadai di halaman dan seorang lelaki sedang bergerak keluar menghala ke rumah. Sementara di muka pintu dia mendapati Basyira berdiri seolah-olah sedang menanti kehadiran lelaki itu.
Siapa pula tu? Macam Nordin bekas suami Basyira… Bisik hati Basha tidak keruan. Apakah Basyira turut mengundang Nordin untuk makan malam itu? Basha tidak jadi hendak ke rumah Basyira. Dia memusing motorsikalnya meninggalkan tempat itu dengan hati yang kecewa.
Wajah Nordin kelihatan muram. Dia memandang Basyira, cuba melemparkan senyum walaupun sebenarnya senyuman itu penuh dengan kepura-puraan. Tiada keikhlasan. Basyira tidak mempedulikan senyuman itu lantas bertanya dengan nada yang agak keras; “Ada apa ni Nordin?” Dia tidak akan mengizinkan lelaki itu memasuki rumahnya lantas menyakitkan hatinya lagi.
“Aku… Aku datang ni nak minta maaf…” Kata Nordin perlahan dan lambat-lambat. “Aku menuduh kau tanpa usul periksa. Maafkan aku.”
Kata-kata maaf yang meluncur dengan susah payah dari bibir Nordin, membuat Basyira terdiam beberapa ketika. Patutkah dia memberikan kemaafan kepada lelaki yang telah banyak melukai hatinya? Kata-katanya yang pedas dan sinis belum dapat dilupai oleh Basyira sepenuhnya. Kini dia datang dengan kata-kata maaf dan harapan semoga kemaafan diberikan dengan mudah?
“Tak perlulah minta maaf.” Jawab Basyira setelah agak lama diam. “Asalkan kau tak ganggu hidupku lagi, dah cukup.” Basyira bergerak mahu menutup pintu tetapi dihalang oleh suara Nordin; “Nanti! Nanti dulu…” Serunya dengan nada yang agak kuat.
“Apa lagi?”
“Aku nak jumpa Ryean.”
“Dia tak ada.” Jawab Basyira dingin. “Kenapa nak jumpa dia? Kenapa masih datang ke sini lagi? Dah lupa semua tuduhan-tuduhan engkau terhadap aku, Nordin?” Tanya Basyira sengit. “Biar aku ingatkan engkau Nordin. Ryean tu anak aku, dia bukan anak engkau lagi…”
Nordin diam beberapa saat sebelum menjawab. “Aku sedar kesalahan aku Syira. Sebab itulah aku datang. Mungkin ini balasan tuhan. Dulu aku lupa diri… Aku sombong dengan apa yang aku miliki. Sekarang aku dah tak ada apa-apa. Kematian Yani benar-benar menginsafkan aku Syira… Maafkanlah aku. Aku mahu kita kembali seperti dulu!”
“Jangan mimpi!” Balas Basyira. “Lebih baik kau balik. Lupakan niat kau tu! Ini bukan masanya.”
“Aku akan tunggu masa yang sesuai, Syira… Aku akan tunggu.” Kata Nordin lagi mendekati Basyira yang masih berdiri di ambang pintu. Tiba-tiba dia berlutut di hadapan wanita itu. “Aku tunggu engkau memaafkan aku, tidak kira berapa lama sekalipun Syira.”
Bibir Basyira tercebik. Dia rasa menyampah melihat muka Nordin yang muram itu. Dahulu muka itu dipenuhi dengan dendam dan benci terhadap dirinya. Kini mengapa dia harus berubah dalam waktu yang singkat. Mengapa? Soal hati Basyira bertalu-talu.
“Sudahlah. Lebih baik kau balik aje, Nordin. Sia-sia kau mengharap kemaafan dariku. Aku mungkin akan memaafkan engkau tetapi aku tidak akan dapat melupakan kelukaan yang engkau hadiahkan sepanjang 26 tahun perkahwinan kita…”
“Syira! Janganlah cakap macam tu!”
Basyira memandang Nordin yang masih berlutut di hadapannya. Semakin lama Nordin berlutut di situ hatinya semakin goyah. Bukan dia tidak kasihan. Hatinya bukanlah sekejam itu, untuk membiarkan lelaki itu terus merayu. Dia tidak suka membuat hati orang lain luka dan remuk.
“Bangunlah Nordin!” Kata Basyira perlahan. “Tak payahlah berlutut dan menyembah aku macam tu! Aku bukannya Tuhan. Lebih baik kau balik saja. Balik sembahyang dan perbanyakkan doa kepada Tuhan.” Basyira buru-buru menutup pintu. Jika lebih lama dia mendengar rayuan Nordin, dia takut hatinya akan mulai cair lantas menerima kembali lelaki itu di dalam hidupnya.
Basyira bergerak semula ke meja makan, menghadapi nasi yang baru luak. Tetapi seleranya terus tertunda, tidak mampu menghabiskan nasi yang masih banyak memenuhi pinggan. Dia bangun lantas terus naik ke biliknya tanpa suara. Lydia juga diam tidak terkata melihat perubahan pada diri Basyira.

NORDIN tidak tahu hendak ke mana lagi. Dia benar-benar rasa kehilangan. Kematian Yani Azhan mengejutkannya dari mimpi-mimpi indah. Kini dia sedar dia sudah tidak punya sesiapa. Suatu masa dia punya seorang isteri yang setia, anak yang patuh dan kekasih yang muda dan manja. Tetapi kini satu demi satu hilang dari genggamannya. Dia merasa satu kekosongan yang tidak bertepi.
Pemergian Yani Azhan adalah kehilangan yang abadi yang tidak mungkin kembali lagi. Tetapi dia masih punya harapan untuk membina kembali hubungannya dengan Basyira dan Ryean Eiman. Mereka masih hidup di dunia ini. Dia tidak boleh berputus asa terhadap mereka. Memang dia akui sendiri bahawa dia banyak melukai hati Basyira dan mengabaikan Ryean Eiman. Dalam diam dia berjanji pada dirinya dia akan cuba mendekati mereka semula. Dia akan cuba sedaya upaya untuk mengembalikan kegemilangan masa lalu yang telah sirna. Dia mesti membayar kembali segala kesakitan dan kesengsaraan yang diberikan kepada Basyira. Dia berjanji pada dirinya sendiri tidak akan melukai hati Basyira lagi, sekiranya dia diberi peluang untuk berbuat demikian.
Nordin berjalan longlai kembali ke bilik penginapannya. Sudah dua minggu dia menginap di hotel. Dia tidak akan pulang ke JB, selagi hasratnya untuk kembali berbaik-baik dengan Basyira tidak tertunai.
Apa yang harus dia lakukan untuk menambat hati Basyira semula? Bunga… bisik hatinya. Basyira sukakan bunga. Tiada perempuan di dunia ini yang tidak sukakan bunga! Nordin berbaring di atas katilnya sambil memandang siling yang putih bersih. Esok dia akan ke kedai bunga… Semoga dengan sejambak mawar merah dapat menyemarakkan kembali perhubungan yang retak dan mengembalikan ingatan Basyiran pada masa lalu mereka, di mana kebahagiaan masih dalam genggaman.

No comments: