Bab 16
AWAL PAGI Lydia mengetuk pintu kamar Basyira bertalu-talu. Basyira terkejut mendengar ketukan yang penuh dengan gesaan itu. Hatinya sudah membayangkan bahawa akan ada khabar buruk yang akan disampaikan kepadanya. Dia cuba menenangkan dirinya namun dadanya tetap juga berdebar dengan lebih kencang dari biasa. Sekonyong-konyong ingatannya melayang ke peristiwa petang semalam.
Dia dan Lydia telah ke hospital untuk melawat Yani Azhan. Tetapi kehadiran mereka disambut Nordin dengan muka menyinga. Belum sempat menegur, mereka sudah dimaki hamun.
“Kenapa engkau datang ke sini?” Tengking Nordin. “Sukalah hati engkau tengok dia dalam keadaan tenat, sedang bertarung dengan maut?”
“Ya Allah! Kenapalah tuduh ibu macam tu? Niat kami baik datang nak melihat keadaannya dan mendoakan dia supaya cepat sembuh!” Lydia menjawab dengan segera. Dia memandang Nordin dan Basyira silih berganti. Basyira menundukkan muka, tidak berani menentang wajah Nordin yang garang. Memang kedatangannya ke situ satu kesilapan. Tetapi niatnya baik, hanya untuk melihat keadaan gadis itu bukannya mendoakan sesuatu yang tidak baik.
“Berambus dari sini! Aku tak izinkan kau melihat dia!” Kata Nordin dengan kasar. “Keluar!!!”
“Jomlah kita keluar ibu…” Ajak Lydia. Basyira membisu seribu bahasa. Dia tidak sepatutnya datang ke situ, biarpun hatinya bagai dijentik ingin melihat keadaan gadis itu. Dia tidak tahu apakah perasaannya kini terhadap Yani Azhan. Simpati? Atau dalam hatinya sedang merayakan satu kemenangan?
“Ada apa Diya?” Tanya Basyira sebaik sahaja pintu dibuka.
“Ibu! Ada berita tak baik.” Kata Lydia sambil memegang tangan Basyira. “Ryean baru terima panggilan daripada ayahnya…”
“Ya, apa kata Nordin?”
“Katanya, Yani Azhan dah meninggal di hospital pada pukul 5.30 pagi tadi.”
“Ya Allah. Innalillahi wainna ilaihirojiun.” Ucap Basyira perlahan, menahan getar dalam dadanya. Dia benar-benar tidak sangka gadis itu sudah tiada lagi. Jika ada pun rasa dendam dan benci semuanya luruh mendengar pengkhabaran itu. Spontan mulutnya terkumat kamit membaca surah al-fatihah.
“Dan ibu jangan terkejut kalau-kalau polis datang ke sini, sebab pakcik Nordin mengancam hendak mengemukakan tuduhan ke atas ibu!”
“Apa?” Kali ini Basyira benar-benar terperanjat seperti dihempap seketul batu besar dia jatuh terduduk di lantai.
Ryean Eiman yang berada di belakang Lydia meluru masuk dan terus memeluk Basyira. “Ibu! Ibu bertenang. Kami akan mempertahankan ibu. Saya dah pun hubungi peguam untuk mendapatkan nasihat. Lagipun ayah tak boleh tuduh dan dakwa ibu sesuka hatinya, walaupun ibu dan Yani pernah bersengketa dan bergaduh di kedai kek itu.”
Airmata Basyira mengalir lebat, dia tidak tahu mengapa Nordin masih ingin mengaitkan dirinya dengan Yani Azhan. Mimpi ngeri Basyira benar-benar jadi kenyataan apabila pada jam sembilan pagi, pihak polis yang diketuai oleh Inspektor Jamaludin datang ke rumahnya. Dia dibawa ke balai untuk disoal siasat. Ryean Eiman dan Lydia menyertai Basyira. Mereka tidak akan membiarkan Basyira sendiri.
“Kita mesti tahu hak-hak kita…” Kata Azman peguam keluarga Datuk Rustam. Ryean Eiman menghubungi lelaki itu untuk mendapatkan nasihat. “Saya percaya polis memanggil puan Basyira bukan untuk menahannya tapi untuk membantu siasatan. Dia tidak akan dimasukkan ke lokap sesuka hati. Saya akan datang membantu…” Janji peguam muda itu.
Dua jam kemudian Basyira keluar, menemui anaknya yang menunggu. Ryean Eiman menyongsong kedatangan ibunya. Muka Basyira kelihatan merah padam kerana marah. Dia diajukan dengan bermacam-macam soalan yang menyakitkan hati. Perceraiannya dengan Nordin, kepulangannya ke kampung Bukit Penak dan pergaduhannya di kedai kek itu habis diungkit dan disoal. Tetapi semuanya dapat dijawab oleh Basyira dengan tegas dan berani. Dia tidak harus takut kerana sememangnya dia tiada kaitannya dengan kejadian yang berlaku ke atas Yani Azhan.
Di luar mereka bertembung dengan Nordin. Nordin meludah beberapa kali ke tanah apabila melihat Basyira dan Ryean Eiman. Dia kelihatan benar-benar marah. Kedua-dua insan yang pernah hidup di bawah satu bumbung dengannya itu dipandang dengan rasa penuh benci dan dendam. Dia lupa segala kebaikan hati bekas isterinya itu. Dia juga lupa kasih sayang terhadap anak lelaki tunggalnya itu.
Ryean Eiman sedar, Nordin telah menjadi seorang lelaki yang pendendam. Dia kesal kerana kasih sayang telah luntur antara mereka. Dia memimpin Basyira keluar dari kawasan balai. Di saat itu dari sebalik bangunan tidak jauh dari tempat pertemuan antara tiga beranak itu, seseorang memerhati. Pandangannya tajam, penuh pengawasan bagai harimau sedang menjebak mangsa.
Basha tidak berani hendak keluar menemui Basyira. Dia amat takut rahsianya terbongkar. Dia tidak boleh keluar menemui sesiapa pun! Kebanyakan orang di bandar itu memang tidak tahu status dirinya di balai itu. Disebabkan dia telah lama berkhidmat di situ, mereka menyangka dia masih bekerja di situ sehingga pencen!
Basyira tidak boleh tahu! Bisik hati Basha. Ryean Eiman juga tidak boleh tahu hakikat ini. Jika mereka tahu, dia akan mendapat malu. Tidak. Dia tidak akan keluar menemui mereka meskipun dia amat ingin mengetahui mengapa Basyira datang ke balai. Dan mengapa pula kelihatan Nordin meludah dengan marah ke tanah. Nyata masih ada sengketa di antara mereka. Basha tahu sesuatu telah berlaku, tetapi apakah dia?
Di dalam kamar Inspektor Jamaludin menghadapi muka Nordin yang kelihatan bengis. Rasa marah Nordin masih belum hilang meskipun Basyira sudah lama berlalu pergi.
“Kami tak ada sebab untuk menahan dia, Encik Nordin. Kami sudah pun menyoalnya. Dia memang tiada kaitannya dengan serangan itu. Lagipun kami percaya serangan itu dilakukan oleh lelaki…” Kata Inspektor Jamaludin tenang. “Cara serangannya sama dengan yang dilakukan terhadap Datuk Rustam tempohari. Dia mencederakan kepala mangsa, menoreh muka dan kemudian meninggalkan mangsa supaya mati di tempat yang sunyi…”
Nordin diam. Penerangan itu sedikit sebanyak telah membuat dia tersedar bahawa dia keterlaluan menuduh Basyira, tanpa usul periksa. Dia masih belum dapat menerima kenyataan kehilangan Yani Azhan yang akan dikahwini pada hari minggu hadapan. Hatinya marah, sedih dan kecewa terhadap apa yang berlaku.
“Janganlah bimbang, kami akan meneruskan siasatan. Encik Nordin pulang dulu, tenangkan fikiran. Sekiranya ada perkembangan terbaru, kami akan menghubungi encik semula.”
Nordin mengangguk lantas meninggalkan balai polis daerah itu.
BASYIRA cuba melupakan apa yang berlaku ke atas dirinya hari itu. Dia menyibukkan diri dengan membuat kerja-kerja rumah. Setelah pulang dari balai, dia membersihkan dapur, mengemop lantai dan membersihkan kabinet. Kemudian dia membuat kek coklat untuk hidangan minum petang. Selepas semua kerja dapurnya selesai barulah dia naik ke bilik untuk menunaikan salat zohor. Dia cuba tidur sejenak selepas zohor tetapi matanya enggan terlelap. Dia bagaikan terpanggil untuk kembali menghadapi komputer. Ketika dia melihat fail di atas meja, dia tersenyum sendiri kerana manuskripnya sudah semakin tebal. Dengan hasrat dan keinginan yang kuat jari-jarinya lincah menari-nari di atas keyboard.
“Wah!” Tegur Lydia sewaktu dia pulang dari kerja petang itu. “Dah banyak ibu menulis. Nampaknya ilham ibu mengalir deras macam air sungai pada musim tengkujuh.”
“Al-hamdulillah.” Akui Basyira sambil tersenyum. Kini segala kegiatannya bukan lagi rahsia. Lydia telah tahu bahawa dia sedang menyudahkan novel kedua. Sudah beberapa kali Lydia meminta hendak membaca manuskrip Basyira tetapi wanita itu tidak mengizinkan.
“Bolehlah ibu…” Pujuk Lydia. “Sekurang-kurangnya Diya boleh beri pandangan dan idea. Macamana?”
Basyira sebenarnya memang ingin memberi manuskrip itu untuk dibaca oleh Lydia. Tetapi masalahnya dia belum menukarkan nama-nama watak itu kepada nama-nama lain. Dia masih menggunakan nama-nama Lydia, Ryean, Basha dan dia sendiri sebagai watak utama. Jika boleh dia tidak mahu nanti Lydia akan mengaitkan cerita itu dengan kehidupan mereka.
Setelah berfikir sejenak, Basyira memberikan syarat kepada Lydia.
“Apadia?”
“Jangan beritahu atau ceritakan pada Ryean apa yang ibu sedang tulis. Sebenarnya cerita ni berkisar tentang sekitar kehidupan kita di sini…Malah ibu masih menggunakan nama Diya, Ryean, Basha dan ramai lagi. Jadi, tolong rahsiakan ya?”
“Oh ya ke? Nama-nama kami ada di dalam cerita ibu?” Lydia agak terkejut. “Apakah ibu berhasrat menggunakan nama-nama itu?”
Basyira menggeleng. “Tidak. Ini hanya sementara saja. Selepas siap cerita itu nanti ibu akan delete dan replace dengan nama-nama lain.”
“Wow! Ibu pun dah pandai gunakan ‘bahasa’ komputer.” Kata Lydia sambil tersenyum. Dia berjanji tidak akan menceritakan apa-apa pada Ryean. Itu adalah rahsia mereka berdua sahaja.
Setelah membaca sebahagian daripada manuskrip Basyira, Lydia semakin teruja untuk mengetahui cerita seterusnya. Di waktu lapang mereka akan berbincang. Lydia suka memberikan pandangan-pandangan serta idea kepada Basyira supaya wanita itu dapat menulis dengan lebih giat. Jika ada sesuatu yang tidak kena dia akan segera menegur dengan penuh hemah.
Lydia masih duduk di belakang Basyira yang tekun menghadapi komputernya. Matanya melirik ke arah susunan buku di tepi meja komputer Basyira. Biarpun buku-buku itu sudah sering dilihatnya sebelum ini, tetapi tidak tergerak langsung hendak menyentuhnya.
“Buku-buku ni semua ibu punya?” Tanya Lydia ingin tahu.
“Bukan. Ibu pinjam dari pakcik Basha. Sudah agak lama juga ibu pinjam, masih belum dipulangkan lagi.”
Lydia mengambil salah sebuah buku, meneliti kulitnya lantas membuka halaman pertama. Dia membacanya sekali imbas kemudian menyelak halaman-halaman belakangnya secara rambang. Dia berhenti menyelak helaian buku itu apabila melihat ada ayat-ayat yang digaris dengan pen merah.
“Eh, kenapa tulisan ni digaris?” Dia bertanya penuh teka teki. Sekali imbas dibacanya ayat-ayat yang telah digaris dengan pen merah itu. Aneh rasa hatinya kerana tulisan itu digaris sedemikian rupa.
“Mungkin dia merasakan bahagian itu penting.” Kata Basyira sambil memandang ke arah buku yang terbentang. “Yalah… Dia seperti ingin mengulangi bacaan dan menghafal tulisan-tulisan itu. Seperti dia ingin belajar dari buku ini…”
“Mengapa ya?” Tanya Lydia ingin tahu. “Takkanlah dia hendak belajar cara-cara untuk memukul orang? Mangsa akan lemah sekira dipukul dirusuk, perut, seterusnya dada sekiranya datang dari hadapan. Tetapi kalau dari belakang, tengkuk mangsa harus dipukul terlebih dahulu. Kemudian barulah bahagian belakang, pinggang dan kaki. Mangsa tidak akan dapat melawan.”
“Ehhh…” Dahi Basyira berkerut. “Mungkin dia ingin tahu cara mempertahankan diri. Jika dipukul begini, cara mengelaknya begini… Dia kan anggota polis. Katanya dia berpangkat sarjan di situ…”
“Hari tu semasa ibu ke balai, ada ibu nampak pakcik Basha?
Basyira mengerut keningnya lagi. Dia memang tidak melihat Basha dan terlupa hendak bertanya pada polis yang bertugas.
Esoknya Basyira keluar berjogging setelah agak lama tidak berbuat demikian. Dia ingin merehatkan mindanya sebelum mulai menulis kembali. Saat dia berjalan pulang ke rumah dia bertembung dengan Basha. Seperti biasa, Basha menunggang motorsikal hondanya. Dia mengenakan jaket kulit berwarna coklat. Zip jaketnya sengaja dibiarkan terbuka, dan Basyira terlihat dia mengenakan uniform polis.
Basha turun dari motorsikalnya dan berjalan mendekati Basyira.
“Selamat pagi Syira…” Tegurnya dengan mesra.
“Pagi abang keluar hari ni…” Balas Basyira.
“Sebenarnya abang baru balik dari kerja. Tiga hari out-station, mengiringi pesalah ke sempadan.” Beritahu Basha sambil tersenyum mesra. “Dapat cuti dua hari lepas outstation. Dengar cerita Syira ke balai hari tu… Kenapa?”
Basyira tersenyum, dia tidak terus menjawab pertanyaan Basha.
“Jom lah ke rumah.” Ajak Basyira. “Boleh Syira cerita panjang.”
Basha menganggukkan kepalanya. Memang itulah tujuannya datang ke situ, untuk mengetahui cerita Basyira.
MIRINDA pulang ke Kuala Lumpur untuk menerima satu berita mengejutkan. Baru dua hari dia meninggalkan rumah, pelbagai peristiwa didengari daripada Saerah dan Pak Man. Dia terduduk di sofa tanpa suara.
“Datuk Rustam ke pejabat.” Beritahu Saerah. “Nampaknya dia dah sembuh. Agaknya ubat Doktor Badri benar-benar menyembuhkan dia.”
Tak mungkin! Tak mungkin! Kepala Mirinda tergeleng-geleng. Dia berlari naik ke tingkat atas, segera membersihkan diri dan bersiap-siap untuk ke pejabat juga. Datuk Rustam berada di dalam biliknya semasa Mirinda masuk. Lelaki itu kelihatan tenang dan bersahaja. Mirinda berdiri lama di hadapan pintu tanpa suara.
Datuk Rustam juga tidak menegurnya. Dia tekun meneliti fail-fail yang berlambak-lambak di atas meja. Nampaknya dia sedang memeriksa sesuatu. Tidak lama kemudian salah seorang pegawai kewangan syarikat masuk ke bilik Datuk Rustam. Mirinda ingin berkata sesuatu tetapi Datuk Rustam meminta Mirinda keluar.
“I dah sihat. Jadi I akan terajui syarikat semula.” Katanya dengan suara yang tenang dan terkawal. “You boleh keluar dan jalankan kerja lama you di bahagian pentadbiran.” Suaranya mengandungi perintah.
Mirinda tidak berkata apa-apa. Hatinya benar-benar rusuh melihat kejadian yang tidak disangka-sangka. Dia kembali ke biliknya yang terletak di tingkat yang sama. Sebaik duduk dia mencapai telefon dan terus mendail nombor seseorang.
“Ya.” Jawab lelaki itu dengan suara yang tegas.
“Datuk sedang memeriksa akaun bersama dengan Chew. I bimbang dia akan perasan bahawa akaun itu telah dipalsukan. Akaun sebenar ada di dalam laci I. I tak tahu apa nak buat. Macamana ni?”
Lelaki itu terdiam beberapa ketika kemudian menjawab; “Jangan panik! Dia takkan tahu akuan tu palsu.”
“You cakap senang!” Jawab Mirinda. “Bukan you yang akan bersoal jawab dengan dia!”
“You dah mula takut ke?” Sinis pertanyaan daripada lelaki itu. “Tangan berani mencincang takkan bahu tak sanggup memikul…”
“Ryean! Jangan nak salahkan I seorang! You juga terlibat.”
“I nak berhenti. Dah lama nak hentikan semua ini!”
“Ryean!!” Dia terjerit. Talian telah pun putus. Mirinda juga meletakkan gagang, lantas membuka laci dan melihat fail yang masih tersorok di situ.
Mirinda termenung beberapa saat, otaknya ligat memikirkan sesuatu. Ryean Eiman memang tak boleh diharap! Marahnya di dalam hati. Dia harus mencari jalan keluar. Dia mesti lakukan sesuatu. Dia tidak mahu Datuk Rustam dapat mengesan penyelewengan yang berlaku. Sekarang ada dua data akaun… yang satu benar sementara yang satu lagi palsu. Apa akan jadi bila akautan mulai membuat audit pada penghujung tahun nanti?
Mirinda benar-benar risau. Dia menekan nombor telefon, menghubungi seseorang.
“I nak jumpa you! Ada sesuatu yang nak I bincangkan tentang syarikat. Malam ni jumpa di Kondo Permai… I tunggu.” Dia menunggu jawapan. Lelaki yang dihubunginya itu bersetuju untuk bertemu.
Malam itu Mirinda benar-benar gelisah. Dia serba salah hendak keluar. Datuk Rustam seperti mengawasi setiap langkahnya. Sedikit sebanyak Mirinda rasa menyesal kerana meninggalkan Datuk Rustam. Sepatutnya dia tidak ke Pahang pada malam minggu itu. Kini Datuk Rustam telah pun kembali sihat seperti dahulu, seolah-olah tiada satu apa pun yang kurang.
Jam semakin beranjak dari pukul lapan ke jam sembilan. Mirinda masih belum keluar dari bilik mandi. Datuk Rustam bergerak ke almari lantas mengeluarkan beberapa helai bajunya. Baju itu dimasukkan ke dalam beg pakaian. Tidak lama kemudian Mirinda keluar dari bilik mandi. Dia terkejut melihat Datuk Rustam bersiap-siap.
“You nak ke mana?” Tanya Mirinda kehairanan.
“I nak ke tapak projek dekat Kampung Bukit Penak. I nak lihat perkembangan projek tu. I juga nak jumpa Lydia dan Ryean.” Kata Datuk Rustam.
Mirinda diam beberapa ketika kemudian bertanya lagi; “Mengapa tidak esok saja? Kan dah malam?”
“Tak mengapa. I akan pergi dengan Pak Man. I takkan memandu seorang diri macam dulu lagi.” Kata Datuk Rustam sambil menyisipkan sepucuk pistol revolver berwarna perak di pinggang seluarnya. Perlakuannya itu langsung tidak dilihat oleh Mirinda. Dia segera menutupnya dengan baju batik yang dibiarkan terlepas keluar dari seluar panjang berwarna hitam.
Mirinda menganggukkan kepalanya. “Oklah.”
Datuk Rustam meninggalkan kamar itu. Mirinda menghantar pemergiannya dengan senyuman panjang. Sejurus selepas Datuk Rustam berlalu, Mirinda bersiap-siap untuk pergi menemui rakan subahatnya.
SEJURUS selepas Datuk Rustam meninggalkan rumah, Mirinda memandu menuju ke Permai kondo. Kondo itu memang milik Mirinda yang dihadiahkan oleh Datuk Rustam sempena ulangtahun perkahwinan mereka. Kondo yang dilengkapi perabot itu amat jarang dikunjungi oleh Datuk Rustam dan Mirinda. Tetapi tanpa pengetahuan suaminya itu, Mirinda memang kerap ke situ bersama Ryean Eiman. Kini dia telah berjanji hendak bertemu dengan seseorang di situ malam itu.
Mirinda masuk ke rumah yang gelap gelita. Lampu dinyalakan satu persatu sehingga rumah itu terang benderang. Dia berjalan menghala ke bilik tidur. Katil besar saiz queen dan beralaskan cadar berwarna putih susu itu kelihatan kosong dan dingin. Dia memerhati sejenak ke atas katil, kembali mengingat bilakah kali terakhir dia beradu di situ, dalam dakapan Ryean Eiman.
Mirinda menggigit bibir, tertanya-tanya sendiri apakah masa itu berulang lagi. Dia semakin meragui sikap Ryean Eiman. Lelaki itu memang berhasrat hendak meninggalkannya, tetapi dia bijak memujuk dan merayu. Ryean Eiman selalu kalah pada pujukannya. Dia seorang perempuan yang hebat! Mirinda tersenyum, mencampakkan tas tangannya ke atas katil lantas melemparkan tubuh kurusnya ke atas tilam. Dia berbaring terlentang. Menanti dan mengharapkan adalah saat-saat sangat menyakitkan baginya. Dia tidak tahu berapa lama harus menunggu!
Ketukan di pintu mengejutkannya dari lamunan. Mirinda bergerak ke pintu lantas membuka. Dia tersenyum melihat kedatangan lelaki itu.
“Masuklah…” Pelawa Mirinda lembut.
“Mengapa nak jumpa I di sini?” Tanya lelaki itu sambil melabuhkan punggung di atas sofa. “Mengapa tidak di pejabat saja…”
Mirinda menjawab pertanyaan itu hanya dengan tawa. Dia duduk di hadapan lelaki itu sambil berkata; “Di sini lebih selesa untuk berbual. Tiada gangguan. Tiada sesiapa yang akan mendengar apa yang hendak kita bincangkan.”
“OK. Apa yang hendak you katakan?” Lelaki itu memerhati sekeliling. Matanya terhenti ke arah bilik tidur yang pintunya kelihatan terbuka luas. Dapat dilihatnya suasana bilik yang indah dan menggamit perasaan.
“You peguam syarikat. Hubungan you dengan Datuk Rustam agak rapat. Banyak rahsia syarikat dalam tangan you…” Kata Mirinda sambil membubuh ais ke dalam gelas dan menuang Brandy yang ada di sudut bar kecil yang terdapat di ruang tamu.
“You tahu hidup I ni sungguh membosankan. Selama enam belas dengan orang tua tu, I masih belum dapat apa-apa! Pegangan I dalam saham syarikat tu amatlah rendah beberapa peratus sahaja…” Kata Mirinda memulakan perbualan.
Lelaki itu mengangguk.
“Salahkah kalau I mengharap lebih?”
“Tak salah. Sebab you berhak untuk mendapatkannya. You adalah isterinya yang sah. Sekiranya dia mati…”
Mirinda segera memotong kata-kata yang belum habis. “Sekiranya dia mati… I akan jadi janda kaya kan? Tapi I harus pastikan dia meletakkan nama I sebagai pewaris semua hartanya. Semasa dia sakit dulu, memang dia dah lantik I sebagai proxynya tapi I rasa dia akan ubah wasiatnya, Azman!”
“Dia tak ada hubungi I…” Jawab Azman. “Lagipun baru hari ni dia ke pejabat setelah lebih tiga bulan berada di rumah.”
“I pun terkejut sebab dia kelihatan sihat. Padahal kata Doktor Badri ubat yang diberikannya akan membuat dia hilang ingatan sedikit demi sedikit…”
“Tapi tidak menjadi seperti yang dirancang.” Balas Azman.
“Ya! I syak dia sebenarnya tak makan ubat tu!” Kata Mirinda perlahan. Diperhatinya Azman yang merenungnya tidak berkelip. Wanita di hadapannya itu amat cantik dan anggun. Memang sudah lama dia menaruh minat terhadap Mirinda. Namun Mirinda langsung tidak pernah memberi perhatian kepadanya. Hatinya memang rasa hairan kerana Mirinda menghubunginya malam itu, semata-mata untuk memperkatakan tentang perihal syarikat di tempat yang tidak sepatutnya. Tetapi dia yakin bukan hanya itu tujuan Mirinda.
“Oklah. Sebenarnya ada satu rahsia!” Kata Azman separuh berbisik. “Tetapi sebelum I pecahkan rahsia itu, I mahukan sesuatu sebagai balasannya…”
“Apadia?” Tanya Mirinda benar-benar berminat ingin tahu.
Mata nyalang lelaki itu menjeling ke arah bilik. Mirinda segera mengerti. Dia menggoyangkan tangannya sambil memberi amaran; “Tidak! I tak semurah itu!”
“Oklah. Sorry. I hormat pada wanita bermaruah. Sebenarnya Datuk Rustam tidak sakit. Dia bukannya menghidap amnesia. Dia hanya berpura-pura sahaja! Dia syak you ada kekasih. Tapi dia masih belum tahu siapa kekasih you tu! Benarkah you ada kekasih?”
Muka Mirinda sedikit pucat. Dia tidak langsung menduga Datuk Rustam mengetahui hal itu. Kedudukannya benar-benar tergugat. Kini Datuk Rustam dalam perjalanan hendak menemui Lydia dan Ryean Eiman. Tidak sia-sia dia cuba mengorek rahsia daripada Azman. Nyata dia tidak tahan menyimpan rahsia.
“Jadi, Doktor Badri dan Datuk Rustam permainkan I selama ni?”
“Begitulah!” Jawab Azman. “Tapi I jujur terhadap you. I kasihan pada you, Mirinda!”
Mirinda merengus kasar. Dia menyangka dirinya bijak tetapi ternyata Datuk Rustam lebih cekap. Dia benar-benar tersepit kini. Dia mesti menghubungi Ryean Eiman untuk memecahkan berita itu. Sekurang-kurangnya Ryean Eiman bersedia menghadapi Datuk Rustam.

No comments:
Post a Comment