Bab 30
DUNIA adalah umpama tempat persinggahan sementara, bagi menyediakan bekalan untuk menuju ke alam yang kekal abadi, iaitu alam akhirat. Dia semakin mengerti benar akan hakikat itu. Sudah sekian banyak masanya dipersia-siakan sehingga pada penghujung usia 40 an ini dia masih orang yang sama seperti 20 tahun yang lalu.
Di saat dia terlantar di atas katil hospital seperti ini, tiada sesiapa pun yang datang menjenguk setelah hampir seminggu di situ, hatinya semakin pilu. Ryean Eiman hanya datang sekali sahaja, pada hari pertama dia sedar dari koma. Basyira juga tidak pernah datang lagi. Dia memang keseorangan.
Dalam keseorangan ini dia telah banyak berfikir tentang hidup.Pengertian hidup baginya selama ini adalah menikmati keseronokan, berhibur dan mendampingi wanita-wanita cantik. Di saat yang sama dia tetap mahu terus punya anak isteri dan keluarga bahagia. Dia sedar, Basyira seorang isteri yang baik. Dia telah kehilangan seorang isteri yang setia kepadanya, selama hampir 27 tahun hidup bersama.
Selama sekian tahun dia buta untuk melihat keunggulan isterinya itu, menganggap bahawa Basyira adalah seorang wanita bodoh dan kampungan yang dikahwini atas desakan keluarganya. Masihkah ada waktu untuknya menemui Basyira lagi? Masih ada peluang untuk menebus masa-masa yang hilang. Di saat dalam kesakitan begini, dia tiba-tiba rasa rindu untuk mengerjakan salat yang sudah lama ditinggalkan. Dia rindu hendak mendengar suara orang mengalunkan ayat-ayat Allah.
Tengahari itu keinginan ingin mengerjakan salat menggebu dalam jiwanya. Dia terlalu ingin kembali memegang dan membaca al-Quran. Dia mengangkat tangannya perlahan ke atas, bagaikan berdoa semoga Tuhan memberikan dia peluang untuk bertaubat.
Airmatanya menitis laju ketika dia selesai berdoa. Dia tidak ingat lagi bilakah kali terakhir dia mengangkat tangannya ke langit memohon doa kepada yang Maha esa. Tengahari itu dia berazam hendak mengerjakan salat zohor biarpun harus bersalat di atas katil hospital.
Jururawat masuk ke biliknya membawa makanan tengahari. Tetapi dia tiada selera hendak menjamah makanannya.
“Dah masukkah waktu zohor?” Bertanya pada jururawat itu.
“Belum. Baru pukul 12.45 tengahari.” Beritahu jururawat itu dengan mesra.
Dia menganggukkan kepala, memerhati jururawat itu keluar dari bilik. Dia memerhati ke arah pintu yang bertutup rapat. Sebelah tangan kanannya mulai mencapai sudu. Tangan kirinya berbalut. Mukanya masih bengkak dan lebam. Lehernya juga tidak boleh berpaling ke kiri ataupun ke kanan. Dia tidak tahu apakah dia dapat mengerjakan salat dalam keadaan dirinya sekarang? Kakinya juga cedera. Patah dan disimen. Memang penyerangnya itu nekad hendak mencederakannya dan mahu melihat dia menderita terkedang di hospital.
Dia cuba untuk memamah makanan tengahari yang disediakan, tetapi seleranya benar-benar hilang. Lantas dia menolak pinggan ke tepi, kembali berbaring di atas katil. Dia memejamkan mata hingga akhirnya dia terlelap.
“SEDAP ibu…” Kata Lydia sambil tersenyum. “Bubur ayam yang ibu buat ni memang sedap. Tak pernah Diya rasa bubur yang sesedap ini.”
Basyira tersenyum sambil menambah sesenduk lagi bubur ayam ke dalam mangkuk Lydia. Gadis itu tampak berselera makan makanan yang dibawanya dari rumah.
“Hari ni doktor dah buat pemeriksaan? Apa katanya?”
“Diya dah boleh keluar esok.” Kata Lydia. “Memang Diya dah jemu duduk di sini.” Kata Lydia sambil cuba mengalih tangannya yang dipasang anduh.
“Jangan gerakkan tangan tu, kan bahu tu masih sakit.” Basyira menegur.
Lydia tersenyum kelat. Dia rasa lenguh, tangannya tidak dapat bebas bergerak.
“Lepas makan ni Diya nak keluar. Kita keluar duduk di bangku depan wad ni ya ibu?” Basyira mengangguk.
Basyira ke surau hospital sebaik sahaja masuk waktu asar. Dia selalunya akan menunggu sehingga Ryean Eiman datang. Lydia berkali-kali menyatakan bahawa tidak perlu menemaninya setiap malam. Tetapi Basyira enggan meninggalkan Lydia keseorangan.
“Tak apa ibu… Diya dah ok.” Katanya menyakinkan Basyira. Malam itu giliran Ryean Eiman menunggu Lydia. Selalunya anak itu tiada bantahan kalau Basyira menyuruh dia menemani Lydia. Sanggup tidur di kerusi panjang di dalam bilik itu semata-mata kerana kekasih hatinya.
Pulang dari surau, Basyira sengaja turun ke wad lelaki. Walaupun sudah beberapa hari berada di situ, hatinya belum tergerak hendak melawat Nordin. Ketika dia berdiri di hadapan meja jururawat sambil matanya memerhati ke arah carta nama pesakit dia mendapati nama Nordin masih ada.
“Masih belum keluar…” Dia bercakap seorang diri lantas terus berjalan ke arah lorong di mana terdapat deretan bilik-bilik yang saling berhadapan dan bertutup rapat. Akhirnya dia tiba di pintu bilik Nordin. Basyira membuka pintu perlahan-lahan dan menjenguk. Dilihatnya Nordin sedang tidur.
Basyira masuk perlahan-lahan lantas duduk di kerusi di tepi katil. Tangan Nordin dipegangnya dengan lembut. Nordin terjaga apabila merasai ada tangan yang menggenggam tangannya.
“Syira…” Serunya perlahan, dia tersenyum.
“Syira datang.”
Basyira mengangguk. “Macamana keadaan abang?”
“Masih belum sembuh sepenuhnya. Tengok kaki dan tangan yang masih berbalut dan bersimen. Nak bergerak pun susah.”
“Sabarlah…” Kata Basyira perlahan. Pada mulanya Basyira tidak mahu memberitahu Nordin tentang kemalangan yang menimpa Lydia. Dia tidak mahu lelaki itu susah hati, tetapi bibirnya bergerak juga memberitahu; “Sebenarnya saya dah beberapa hari ada di sini. Lydia masuk wad lima hari yang lalu.”
“Kenapa? Sakit apa?”
“Dia… diserang.” Kata Basyira dengan suara setenang mungkin.
Nordin terkejut. Lama dia termenung dan terdiam. Basyira menyesal kerana memberitahu hal itu kepada Nordin. Pasti Nordin rasa susah hati.
“Di mana?” Tanya Nordin setelah sejurus mendiamkan diri.
“Dekat rumah saya.”
Nordin semakin terkejut. Dia memandang Basyira tajam, spontan tangannya mengenggam tangan bekas isterinya itu dengan lebih erat. Matanya terbayangkan kawasan rumah Basyira yang luas, di atas bukit dan agak jauh dari rumah orang lain. Jika menjerit pun jiran terdekatnya tidak akan mendengar. Biarpun jalan berdekatan rumah itu sentiasa dilalui orang, tetapi di seberang tiada rumah orang, melainkan kawasan paya yang luas terbentang.
“Pindahlah dari rumah tu…” Kata Nordin tiba-tiba.
Basyira memandang Nordin, berkata lemah; “Nak pindah ke mana? Rumah itu rumah saya. Saya takkan ke mana-mana, bang. Selama ini saya tak pernah takut tinggal di rumah itu walaupun seorang diri.”
Nordin terkilan mendengar kata-kata Basyira; “Maafkan abang… Abang sebenarnya menyesal kerana meninggalkan Syira.”
“Penyesalan biasanya datang terlewat waktunya bang. Kalau diingat-ingat saya juga menyesal tentang banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya.”
“Abang minta maaf… Selama menjadi suami Syira, abang bukan seorang suami yang baik.”
“Tak mengapa bang. Saya juga minta ampun dari hujung rambut ke hujung kaki. Saya juga bukan seorang isteri yang baik.” Airmata Basyira menitis, dia tidak sanggup lagi hendak meneruskan kata. Dia terus bangun meninggalkan bilik Nordin. Nordin terpinga-pinga melihat aksi Basyira.
AKU telah temui jalan hidupku, aku telah memilihnya dengan berani. Dan tiada apa yang aku kesalkan sehingga kini… Harith Rafeeq memandu dengan laju. Dia ingin memulakan hari barunya dengan pergi ke kediaman wanita yang ‘dikasihinya’.
Sampai di sana, dia menyimpan keretanya di dalam semak. Dia berjalan sejauh 20 meter. Rumah itu sudah kelihatan di pandangannya dari sebalik semak samun yang baru diredah. Dia terus menuju ke pintu pagar belakang rumah, membukanya perlahan dan lantas menghampiri garaj. Kereta Basyira tiada, kereta Ryean Eiman juga tidak kelihatan dan suasana di rumah begitu sunyi.
Dia terus berjalan ke arah pintu dapur. Dia menolak perlahan. Nyata berkunci. No problemo…Bisiknya di dalam hati sambil mengeluarkan master key dan terus membukanya dengan mudah. Pintu ditutup rapat. Dia kini berdiri di ruang dapur rumah yang pengap. Rumah itu lapang dan besar, silingnya tinggi. Dan di setiap bahagian atas tingkap yang banyak, terdapat lubang angin yang menyuntik cahaya ke dalam rumah. Dia berjalan beberapa langkah, terkejut mendengar derap kakinya sendiri.
Di atas lantai mozek di dapur sudah tercetak bunga tapak kasutnya. Dia tidak boleh meninggalkan kesan kotoran seperti itu. Dia menanggalkan kasutnya lantas mencucinya di dalam sinki hingga tapak kasutnya bersih. Kemudian kasut itu dipakainya semula. Dia tidak ingin menanggal kasut, terlalu bahaya meninggalkan kasut di situ. Bagaimana jika Basyira atau Ryean Eiman pulang? Dia tidak sempat hendak melarikan diri dan meninggalkan bukti!
Dia memeriksa tapak kasutnya yang tidak lagi meninggalkan kesan di lantai. Dia mulai mengitari sekeliling rumah itu dengan bebas. Di ruang tamu sofa antik kayu jati kelihatan tersusun kemas dan seekor kucing sedang tidur dengan selesa. Dia mendekati kucing itu, lantas menyepaknya sekuat hati.
“Kau ni jahat! Tidur di sini. Kau mengotorkan sofa ibuku yang cantik...” comot yang sedang lena tidur terkejut, ia mengiau kesakitan. Matanya liar memerhati orang asing yang berada di dalam rumah tuannya. Dia mengiau lagi lebih kuat lantas terus melarikan dirinya entah ke mana.
Harith Rafeeq duduk sebentar di situ, matanya meneliti setiap barang yang ada. Perhiasan dan gambar-gambar yang tergantung di dinding.
“Aku hendak lihat bilik abangku…” Dia menjenguk ke bilik Ryean Eiman. Bilik lelaki itu kelihatan kemas. Tiada yang menarik minatnya. “Sekarang mari kita lihat bilik ibu…” Dia bercakap sendirian sambil berjalan naik ke tingkat atas. Dia arif benar letak bilik tidur Basyira.
Dia masuk. Matanya tertumpu ke arah katil yang dialas cadar berwarna merah lembut. Lantas dia menghempaskan tubuh di situ dengan senang hati. Hidungnya menghidu bantal Basyira. Bantal itu berbau harum. Hmmmm… Sedapnya bau rambut dan tubuh ibu! Bisiknya sendiri.
Matanya tertumpu pula pada komputer yang terletak di hujung katil, menghadapi tingkap. Dengan pantas dia bergerak ke sana. “Mari kita tengok apa yang ibu buat setiap pagi, petang dan malam menghadap komputer ni…” Katanya seolah-olah bercakap dengan seseorang.
Dia memetik suis komputer. Matanya terus merayap ke sisi monitor, di situ terdapat sebuah fail. Dia mencapainya dan mendapati ianya adalah sebuah manuskrip novel yang belum siap. Jadi, ibu sedang menulis novel yang kedua… Bisik hati Harith Rafeeq. Dia mencapai manuskrip itu, lantas membalik-balikkannya dengan cepat.
Agh! Aku mesti buat satu salinan. Aku ingin tahu apa yang ibu tulis… Bisiknya. Dia membuka setiap fail di dalam komputer Basyira. Dia mendapati novel itu belum mempunyai tajuk.
Dengan pantas dia membuat cetakan setiap bab dari manuskrip itu. Nasibnya baik kerana Basyira menyimpan lima hingga enam rim kertas yang bersusun rapi di atas meja kerjanya.
Dengan rasa tidak sabar dia menunggu setiap cetakan selesai. Jam terus berputar dengan cepat. Segalanya siap. Dia memerhati jam dengan cemas. Baru pukul 3 petang. Basyira akan balik pukul lima petang nanti. Dia arif benar. Sejak Lydia masuk ke wad Basyira akan balik setelah Ryean Eiman datang menemani Lydia.
Harith Rafeeq turun ke dapur. Perutnya terasa lapar. Dia membuka kabinet. Di dalam kabinet sebelah atas, terdapat barang-barang dalam tin yang bersusun dengan rapi. Ada susu, milo, sardin, kacang panggang, tomato puri, dan pelbagai lagi. Semuanya tersusun dengan teratur. Ibu seorang yang kemas… Katanya sendiri.
Dia mengambil setiap tin yang ada mengalihkannya secara rambang. Ada juga yang disusun terbalik. Ada yang dikeluarkannya lantas diletakkan di mana-mana sahaja. Biar berselerak sikit… Bisik hatinya.
Dia mendapati tin biskut masih penuh. Dibawanya tin biskut ke meja makan. Punat flash elektrik kelihatan menyala. Dia mengambil mug, lantas mencari gula dan kopi di dalam kabinet lain. Di manakah letaknya gula? Tangannya hendak mencapai gula tetapi tidak jadi. Dia terlihat bungkusan minuman coklat 3 in 1. Bagus. Ini lebih baik. Tuang sahaja dan dia akan dapat menikmati coklat panas yang enak.
Dia minum seenaknya, menikmati biskut. Perutnya terasa kenyang. Dia terus mencuci mug, meletakkanya kembali di tempat asal. Dia memerhati sekeliling. Puas. Manuskrip Basyira yang terletak di meja diambil dan dibawa keluar. Pintu ditutup rapat dan dikunci semula. Dia berjalan tenang ke pintu pagar belakang rumah, lantas memasuki semak dengan mengepit manuskrip dengan hati puas.
Dia memandu ke bandar semula. Hatinya girang. Dia memasang lagu dengan kuat, mulutnya bersiul-siul. Matanya menjeling jam di dashboard. Hampir jam lima. Hari ini Mimi Ainina kerja sebelah pagi. Dia akan menjemput gadis itu. Lepas itu dia akan membawanya minum dan bersiar-siar sebelum menghantarnya pulang.
“Kertas apa tu?” Tanya Mimi Ainina semasa dia masuk ke kereta dan terpandang manuskrip Basyira yang terletak di atas kusyen belakang.
“Manuskrip ibu I. Dia minta I hantar binding.” Kata Harith Rafeeq selamba. Dia senyum galak.
“Ibu you penulis?”
Dia mengangguk dan tersenyum mesra.
BASYIRA masuk ke dapur. Setiap kali balik dari hospital dia kepenatan. Biarpun tidak sakit, tetapi berada di wad sepanjang hari membuat dia rasa bagaikan turut terbelenggu dengan kesakitan orang lain.
Dia rasa lega kerana Lydia akan pulang esok. Sebelum balik tadi, doktor datang membuat pemeriksaan dan menyatakan Lydia boleh pulang berehat di rumah. Doktor akan membekalkan ubat. Luka itu belum sembuh sepenuhnya, dia tidak digalakkan membuat kerja. Luka dibahunya harus sentiasa dicuci, dibalut semula dan dilarang sama sekali terdedah kepada kekotoran. Luka yang dijangkiti kuman akan lambat sembuh. Jika kuman itu masuk ke dalam saluran darah, keadaan akan menjadi bahaya. Pesakit akan mengalami demam. Pesakit digalakkan mengambil antibiotik sehingga sembuh.
Lydia belum memutuskan samada hendak pulang ke Kuala Lumpur atau pun tidak. Basyira tidak akan menghalang sekiranya Lydia mahu balik ke rumahnya sendiri. Dia tahu Lydia takut untuk berada di rumah itu lagi. Keselamatannya tidak terjamin! Basyira membuka tingkap dan pintu kerana hari masih siang. Dia tercengang melihat situasi di dapur.
Masih diingatnya semasa dia pulang menyediakan bubur ayam untuk Lydia, dia telah mengemas segalanya. Dahinya berkerut melihat tin biskut masih ada di atas meja, remah dan sisa biskut di permukaan meja kini dihurungi semut. Dia menggelengkan kepala. Pasti Ryean balik untuk minum petang sebelum ke wad menemui Lydia tadi.
Dia melihat tin susu dan tin sardin terbiar berdekatan dengan flash air. Spontan dia membuka kabinet dan melihat semua tin-tin itu tunggang terbalik. Ehhhh… rungutnya sendiri. Apa yang Ryean cari dalam kabinet ni?
Dan di sinki kelihatan air masih menitis perlahan kerana paip tidak ditutup rapat. Ryean ni memang cuai! Rungut Basyira lagi. Dia mengemas semula dengan cepat. Dia tidak suka melihat suasana yang tidak teratur, fikirannya akan berserabut kalau melihat dapur yang berselerak.
Basyira membancuh teh untuk dirinya sendiri. Dia minum sambil menikmati beberapa keping biskut. Kemudian dia teringat bunga-bunganya belum bersiram pada petang itu lantas dia bingkas bangun. Tiba di muka pintu, dia mendongak ke langit. Kelihatan langit berwarna biru kekelabuan. Hujan akan turun. Selamat. Bisiknya sendiri. Tidak perlu menyiram bunga. Dia senyum sendiri kerana tidak lama kemudian hujan rintik-rintik mulai turun.
Basyira naik ke bilik. Dia memasang lampu. Sekali lagi dia terkejut kerana mendapati katil tidak kemas, seperti ada orang yang berbaring di situ. Basyira masih ingat dia tidak langsung berbaring di situ pagi tadi. Dia amat sibuk di sepanjang pagi. Pukul sebelas dia sudah keluar ke hospital membawakan bubur ayam untuk Lydia.
Dahinya terus berkerut. Dia terpandang ke arah komputer dan cahaya kuning masih menyala di punat monitornya. Sejak Lydia dimasukkan ke wad dia langsung tidak memasang komputer.
Dia meraba-raba mesin pencetak dan mendapati ianya masih panas, seperti baru lepas digunakan. Monitor komputernya juga masih panas. Dahinya terus berkerut seribu. Dia membuka fail di mana terdapat manuskrip yang belum siap. Dia membelek dan mendapati ianya tidak luak. Pelik… bisik hatinya.
Ada orang masuk! Itulah perkataan yang terlantun dari bibirnya. Apakah Ryean Eiman yang masuk ke biliknya lantas membuka komputernya itu? Tapi mengapa? Tidak pernah Ryean Eiman menggunakan komputernya untuk membuat kerja kerana dia memiliki laptopnya sendiri.

No comments:
Post a Comment