Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 15

Bab 15

DATUK RUSTAM masih berbaring dengan pijama tidurnya meskipun jam sudah pun melebihi pukul sembilan pagi. Sejak kebelakangan ini dia selalu rasa mengantuk dan lemah. Fikirannya kini tenang dan tidurnya sangat lena. Malah tidak pernah diganggu mimpi pun. Terkadang dia cuba membaca buku, tetapi sering ketiduran bersama buku yang tidak habis dibaca. Apabila dia membelek semula buku itu, ingin menyambung pembacaannya dia sudah tidak ingat apa yang telah dibaca.
Pagi itu dia menolak apabila Saerah datang membawakan makanan serta ubat untuknya. “Dalam badan saya ni sudah banyak dipenuhi ubat. Saya bukannya merasa bertambah sihat bahkan rasa sakit pula…”
“Tapi… tapi Datin Mirinda akan marah kalau dia tahu saya tak berikan ubat ni pada datuk.”
“Dia takkan tahu. Dia tak ada. Ke mana dia pergi?”
Saerah menggeleng. Dia tidak tahu apa-apa. Malam semalam Mirinda keluar ternyata tidak pulang hingga ke pagi.
“Awak boleh keluar. Tinggalkan saja dulang tu di situ, kalau saya berselera nanti saya akan makan.” Kata Datuk Rustam. Saerah menurut sahaja. Dia keluar tanpa banyak bicara.
Datuk Rustam memerhati pil di dalam genggamannya. Pil yang dikata oleh Doktor Badri adalah vitamin tambahan itu, direnungnya dalam-dalam. Sejak memakan vitamin itu dia merasa sesuatu yang tidak kena. Banyak perkara yang dia tidak ingat lagi. Semuanya hilang dari ingatannya sedikit demi sedikit. Apakah dia sedang mengalami satu proses yang dipanggil nyanyuk? Tapi dia baru berusia lima puluh tahun, masakan sudah nyanyuk.
Datuk Rustam bangun dan berjalan ke tingkap. Pil ditangan masih digenggam. Dia memandang telefon di atas meja di tepi katil. Dia kembali ke katil, menjangkau tangan untuk mencapai telefon yang ada di situ. Puas dicuba mengingati nombor telefon lelaki itu tetapi dia tidak ingat apa-apa. Berapa nombornya? Fikir Datuk Rustam. Mengapa aku tak ingat? Berapa? Dia memerah ingatan. Tangannya pantas mencari buku telefon. Setelah buku telefon ditemui dia mencari nombor telefon lelaki itu di dalam buku. Tetapi nombor telefonnya tidak pernah dicatat.
Akhirnya dia bergerak ke pintu, ingin memanggil pembantu rumah. Tetapi pintu pula terkunci dari luar. Datuk Rustam benar-benar marah kerana Saerah mengunci pintu bilik tidurnya itu. Perempuan itu terlalu menurut kata Mirinda. Ini semua perbuatan Mirinda.
Datuk Rustam menjerit-jerit memanggil Saerah. Pintu ditendangnya beberapa kali sekuat tenaga yang ada. Tidak lama kemudian barulah Saerah datang membukakan pintu.
“Mengapa kunci pintu? Kenapa awak kurung saya macam binatang? Dalam rumah ni saya masih lagi majikan awak, bukannya Mirinda… Awak faham? Awak mesti patuh pada saya bukannya pada perempuan tu! Awak ingat saya sakit… Gila?” Datuk Rustam benar-benar marah dan mengamuk. “Dengar sini baik-baik Saerah. Kalau awak masih patuh pada Mirinda, berambus keluar dari rumah ni! Saya pecat awak!!”
“Mmmaafkan saya datuk… Saya hanya ikut apa yang datin suruh…”
“Sekarang awak dengar cakap saya. Awak faham tak, saya masih lagi tuan rumah ni dan majikan awak, faham? Saya yang bayar gaji awak, bukannya Mirinda! Pergi panggil Pak Man ke sini. Saya nak cakap dengan dia… Pergi!” Tengking Datuk Rustam. Selama ini dia tidak pernah meninggikan suara terhadap pembantu rumahnya, tetapi hari itu dia benar-benar marah. Saerah pergi meninggalkan Datuk Rustam dengan wajah yang pucat ketakutan. Dia separuh berlari memanggil Pak Man. Pak Man datang ke bilik Datuk Rustam tidak lama kemudian.
“Awak pergi ke farmasi…” Kata Datuk Rustam. “Awak bawakan pil ni dan tunjukkan pada ahli farmasi. Katakan saya mahu sedikit lagi bekalan. Tapi awak tanyakan juga kesan sampingan ubat ni… Saya nak tahu!”
Pak Man menganggukkan kepalanya. Tetapi sebelum meninggalkan bilik itu Datuk Rustam berkata; “Kalau Mirinda tanya, jangan beritahu dia apa-apa.”
Pada Saerah juga Datuk Rustam berpesan perkara yang sama. Jangan beritahu Mirinda apa-apa terhadap kelakuannya pada hari itu. Dan dia sempat meminta maaf daripada Saerah kerana menengking pembantu rumah yang sudah sepuluh tahun berkhidmat dengan setia di rumah itu.
Sebelum menjelang tengahari Pak Man datang ke bilik Datuk Rustam membawakan sebungkus pil yang sama jenis dengan pil yang diberikan oleh lelaki itu pagi tadi.
“Inilah ubatnya datuk…” Kata Pak Man. “Saya juga sudah tanyakan pada ahli farmasi itu. Katanya ubat ini adalah ubat untuk menenangkan fikiran dan merehatkan otak. Tapi tak boleh diambil lebih dari sekali sehari. Kesan sampingannya tak merbahaya, kita hanya akan terlupa beberapa perkara… Setiap kebaikan itu ada keburukannya, datuk.” Kata Pak Man dengan penuh hemat.
“Oh… Jika diambil berterusan aku akan jadi orang yang hilang ingatan…!” Keluh Datuk Rustam sendiri. Jadi, ini sebenarnya rancangan Mirinda dan Doktor Badri! Datuk Rustam menggenggam tangannya dengan kuat. Dia tidak sangka kawan dan isterinya sanggup menganiayai dirinya. Mengapa mereka sanggup berbuat begitu? Mengapa? Bukankah atas cadangan Doktor Badri juga yang mahu dia berpura-pura sakit. Apa yang dia dapat dengan berpura-pura begitu? Apa? Dia jadi orang bodoh dengan menyerahkan kuasa kepada Mirinda. Dia harus bangun. Dia harus keluar dari bilik itu dan dia mesti kembali ke Pahang untuk melihat projek yang sedang dijalankan.
Datuk Rustam menyimpan bungkusan ubat di dalam laci di tepi katil lantas dikuncinya laci itu.

SEPANJANG malam itu, Lydia tidak boleh tidur. Matanya terus dibayangi oleh aksi Mirinda yang menciumi pipi Ryean Eiman dengan penuh mesra dan hangat. Ryean Eiman menerima ciuman itu bersama rasa serba salah. Beberapa kali lelaki itu memandang ke arahnya yang berpura-pura tidak mengerti. Hatinya rasa bengkak. Mengapa ibu tirinya dengan berani dan penuh mesra mencium kekasihnya? Bukankah tidak wajar Mirinda bertindak begitu, tanpa rasa malu pada Basyira dan Basha?
Lydia malu sendiri memikirkan tindakan Mirinda. Selama ini memang Mirinda dan Ryean Eiman begitu mesra di hadapannya. Malah dialah yang memperkenalkan mereka berdua. Ketika itu Ryean Eiman belum menyertai syarikat Datuk Rustam. Lelaki itu masih memburu kerja setelah tamat belajar. Lydia yang beria-ria meminta Ryean Eiman datang menemui bapanya, kerana kebetulan Datuk Rustam memang memerlukan seorang arkitek untuk syarikatnya.
Ryean Eiman diterima bekeja bukan kerana hubungan baik antara mereka, tetapi kerana kebolehan yang ada pada dirinya. Kebolehan itu telah dibuktikan oleh Ryean Eiman, sehingga Datuk Rustam menyerahkannya mengendalikan projek-projek besar. Dia juga tidak sedar, bilakah saat dan ketikanya hubungan Mirinda dan Ryean Eiman jadi begitu mesra.
Kepala Lydia benar-benar pening pada pagi itu, tetapi dia tetap meneruskan niat hendak keluar berjogging. Sudah lama dia tidak keluar. Kebetulan hari itu hari minggu. Ketika matahari masih belum terbit, Lydia sudah keluar seorang diri. Dia berlari-lari anak di sepanjang jalan hingga tiba di hujung simpang. Dia berhenti sejenak di situ, kembali teringat bahawa di situlah orang yang mengintip rumah mereka berhenti sambil menyuluh sesuatu. Apakah yang orang itu cari? Fikir Lydia sambil membongkok dan menuruni cerun yang menghala ke paya.
Musim hujan baru bermula dan paya itu tampak berair. Biarpun paya itu tidak dalam tetapi dia merasa jijik hendak memijak tanah yang lembik. Kelihatan paya itu dipenuhi ilalang dan rumpai yang menghijau. Bunyi katak terdengar berdendang riang memanggil hujan. Dan kelihatan juga serangga kecil berlarian di atas permukaan air yang tenang tidak berkocak. Tiada apa-apa di sini.. Bisik hati Lydia, sambil kembali bergerak memanjat cerun yang landai serta ditumbuhi rumput itu.
Dia tidak mahu kasutnya jadi basah sekiranya terkena air paya yang berwarna kuning bagaikan teh susu itu. Geli geleman rasanya apabila dia teringatkan lintah yang lembek dan sejuk. Dia terus berjalan kembali ke atas jalan raya. Saat itu dia terpandang seutas rantai tangan perak yang terselit dicelah-celah rumput yang baru dipijak.
Lydia membongkok lantas mengambil rantai tangan itu. Jalinan rantai perak itu besar dan kasar, menanda ianya memang kepunyaan lelaki. Siapa punya agaknya? Apakah hak lelaki yang mengintip rumah Basyira tempohari? Dia membelek-belek rantai tangan itu. Tidak langsung terdapat sebarang tanda nama. Rantai tangan itu dimasukkan ke dalam poket seluar treknya. Dia berlari pulang ke rumah.
Ketika tiba di hadapan rumah, dia baru menyedari bahawa kereta Ryean Eiman tiada di halaman. Ke mana lelaki itu keluar pada pagi-pagi buta begini? Dadanya berdebar-debar. Seluruh perasaannya jadi lemah tidak bermaya, memikirkan apa yang dilakukan oleh Ryean Eiman tanpa pengetahuannya. Biarpun tinggal serumah tetapi banyak yang tidak ketahuinya tentang lelaki itu.
Tiba-tiba timbul keinginan di hatinya hendak memasuki kamar tidur Ryean Eiman. Dia ingin mengetahui apa yang ada di dalam kamar lelaki itu. Apakah Ryean Eiman menyembunyikan sesuatu darinya? Apakah lelaki itu benar-benar menyintainya? Bolehkah dia percaya pada janji Ryean Eiman yang akan melamarnya…
Lydia menyelinap masuk perlahan-lahan sambil matanya mengawasi ke bahagian dapur. Basyira tidak kelihatan. Barangkali wanita itu masih menghadapi komputer setelah menunaikan solat subuh. Biasanya kalau hari minggu, Basyira akan menyediakan sarapan agak lewat.
Lydia menutup pintu perlahan, sambil matanya memandang ke katil. Namun dia terkejut apabila melihat Ryean Eiman ada di katil, masih berbaring dan berselimut. Tetapi lelaki itu sudah pun terjaga, dia memandang sahaja ke arah Lydia yang sedang berdiri di belakang pintu yang bertutup rapat. Kamar itu hanya diterangi sebuah lampu tidur yang malap yang terletak di tepi katil Ryean Eiman.
“Hai… Selamat pagi.” Tegur Ryean Eiman tersenyum memandang Lydia.
Lydia terperanjat mendengar sapaan itu. Dia hilang suara beberapa ketika. Rupa-rupanya Ryean Eiman ada di kamar. Tapi mengapa keretanya tiada? Tiba-tiba dia baru teringat bahawa Ryean Eiman menyimpan keretanya di dalam garaj bersama-sama kereta Basyira. Bodohnya dia! Kerana cemburu dia bertindak semberono!
“You…ada…” Dia tidak dapat berkata-kata dengan lebih lanjut, masih terkejut dan niatnya hendak ‘memeriksa’ kamar tidur Ryean Eiman hancur berkecai. Dia terpaksa memberikan alasan mengapa dia menyelinap masuk ke kamar lelaki itu pada awal pagi begini… Apakah alasan yang sebaik-baiknya?
“Kenapa datang ke kamar I pagi-pagi buta ni… Nak pagi I hadiah? Semalam you belum bagi apa-apa kan?” Lelaki itu sengaja menduga. Namun dalam kepalanya tepu dengan persoalan mengapa Lydia menyelinap masuk ke kamarnya pagi itu? Dia bagaikan ingin mencari sesuatu di situ? Apakah Lydia mulai syak sesuatu? Apakah perasaannya terganggu dengan aksi Mirinda semalam…
Lydia masih berdiri di belakang pintu tidak tahu hendak berbuat apa-apa.
Ryean Eiman bangun, menolak selimutnya ke tepi. Ryean Eiman bergerak ke arahnya. Lydia terperanjat melihat Ryean Eiman mendekatinya lantas memegang tangannya. Bukan pegangan itu yang mengejutkannya. Tetapi dia gentar dan menggigil melihat Ryean Eiman hanya mengenakan seluar dalam dan tidak berbaju. Tubuh sasa lelaki itu terserlah. Dia semakin rasa takut dan bimbang apabila Ryean Eiman menariknya ke arah katil. Seluruh tubuhnya dingin dan seakan membeku…. Dia tunduk, tidak berani menentang muka Ryean Eiman.
“Rule number eleven… Tak boleh masuk bilik lelaki pada waktu pagi-pagi macam ni… You tak tahu apa yang akan berlaku!” Kata Ryean Eiman lembut sambil menciumi pipinya. Tangan lelaki itu sudah berlengkar dikedua-dua bahunya dengan kukuh. Tubuhnya sudah dipeluk dengan erat.
“You dah langgar peraturan…” Kata Ryean Eiman. Ditolaknya tubuh Lydia perlahan ke atas katil. Melihat tubuh Lydia yang kaku bagaikan kayu, tangannya menjadi sejuk dan dingin, Ryean Eiman menghentikan perbuatannya, mulai tertawa terbahak-bahak. Mata Lydia yang terpejam rapat perlahan-lahan terbuka mendengar tawa Ryean Eiman
“Lydia… Lydia…” Katanya dengan kepala tergeleng-geleng.
Lydia memandang lelaki itu kini yang sudah bangun lantas membuka almari pakaian untuk mencari baju dan seluar.
“Relaks… I takkan buat apa-apa pada you lah! I tahu batasannya…”
Lydia bangun dan duduk ditubir katil. Perlahan-lahan tubuhnya mulai menjadi panas semula, hilang rasa takut dan gentar. Dipandangnya Ryean Eiman yang kini duduk semula disisi tetapi badannya sudah dibaluti sehelai t.shirt dan seluar bermuda.
Tangan Ryean Eiman mencapai tangan Lydia, mengucup tangan itu yang sudah semakin hangat kembali. “Lydia… Seorang lelaki yang benar-benar menyintai, tidak akan menodai bakal isterinya… sayang! Percayalah. I memang nakal tapi I takkan sampai hati mengambil sesuatu tanpa kerelaan you.”
Lydia terharu mendengar kata-kata Ryean Eiman, lantas dia menyerah diri ke dalam pelukan lelaki itu. “Terima kasih Ryean. I benar-benar menyintai you kerana diri you, seadanya. Maaf sebenarnya I cemburu… I cemburu melihat kemesraan you dan Mirinda malam semalam. I tak boleh tidur semalaman.”
“Aha! Peraturan nombor dua belas; Jangan cemburu buta. Cemburu buta akan merosakkan sesuatu perhubungan. Lelaki takkan suka pada perempuan yang cemburu tak tentu arah.” Ryean Eiman mengeratkan pelukan dan berkata lagi; “Tapi cemburu bagus juga kan… Tandanya you benar-benar sayangkan I dan takut kehilangan I.”
Lydia mengangguk. “I memang amat takut kehilangan you, Ryean.”
“I juga begitu Lydia. I juga tak mahu kehilangan you.” Bisiknya perlahan. Dalam hatinya sudah nekad hendak memutuskan perhubungannya dengan Mirinda sebelum diketahui oleh Lydia dan Datuk Rustam.
Sebaik sahaja Lydia keluar dari kamarnya, Ryean Eiman menghubungi Mirinda. Wanita itu masih belum kembali ke Kuala Lumpur. Dia menginap di hotel Sakura pada malam itu. Lewat dinihari semalam sebelum kembali ke hotel, beberapa kali Mirinda berbisik mengajak dia ke hotel menemaninya tetapi Ryean Eiman menolak dengan tegas. Mujur dia tidak terpengaruh dengan godaan Mirinda.
Hari ini dia ingin mengatur pertemuan dengan Mirinda bagi mengakhiri hubungan mereka yang penuh dengan skandal dan noda. Dia tidak ingin lagi terus terjerumus dalam kancah penuh maksiat. Dia mesti kembali menjadi seperti dulu, seorang anak muda yang baik di mata ibunya dan juga Lydia.
Ryean Eiman menekan nombor telefon Mirinda tetapi tiada jawapan. Lantas dia menghantar pula mesej berbunyi; “JUMPA DI SAKURA CAFÉ, JAM SEBELAS. ADA HAL PENTING YANG INGIN I KATAKAN.”
Dia meletakkan handphonenya di atas meja setelah selesai menghantar mesej itu. Spontan matanya tertuju ke arah bungkusan hadiah yang belum dibuka yang diberikan oleh Mirinda semalam. Reyan Eiman merebahkan badannya, tidak punya hati hendak membuka hadiah daripada Mirinda…

“PERNAHKAH ibu lihat rantai perak ni?” Tanya Lydia sambil menunjukkan rantai perak itu kepada Basyira. Wanita itu menoleh memandang Lydia. Saat yang sama tangannya menutup suis komputer. Memang waktu sudah pun hampir pukul lapan pagi. Dia harus turun ke dapur untuk menyediakan sarapan.
“Di mana kau dapat ni, Diya?” Tanya Basyira sambil membelek rantai perak itu. Dia memang tidak pernah melihatnya sebelum ini.
“Di lereng cerun tepi paya. Dekat hujung simpang jalan ke rumah ni…” Kata Lydia.
“Tempat yang sama lelaki malam tu menyuluh sesuatu…. Lepas tu lampu picitnya terjatuh ke dalam paya.” Kata Basyira.
“Ya.”
“Hak diakah?” Tanya Basyira dengan dahi berkerut.
Lydia menggelengkan kepalanya. “Tak tahulah. Barangkali juga hak orang yang terjatuh… Ada dua kemungkinan.” Katanya kemudian.
“Di situ juga papa kau mendapat kemalangan…” Sambung Basyira.
“Dia bukan kemalangan di situ ibu. Dia dipukul di tempat lain tapi diletakkan di situ… Nasib baik ibu jumpa dia. Kalau terlewat tak tahulah apa jadi pada papa.” Kata Lydia sambil merenung jauh.
“Perkara ini pasti ada kaitannya bukan? Ada orang yang cuba mencederakan papa kau… Orang yang selalu mengintip ibu. Ibu terfikir apakah dia orang yang sama?”
Lydia mengeluh. “Entahlah…”
“Ibu percaya selepas kita mengekorinya malam hari itu, dia tidak pernah lagi datang mengintip. Malah ibu dah jumpa lubang tempat dia mengintip ibu selama ini. Besar juga lubang tu…”
“Siapalah agaknya ya?” Keluh Lydia.
“Apakah kau rasa orang yang menyerang papa kau sama dengan orang yang mengintip ibu? Apakah kaitannya? Ibu tak kenal papa kau sebelum ini Lydia…”
Mereka berdua termenung beberapa saat memikirkan kaitan antara kedua-duanya. Basyira tidak percaya mereka punya kaitan antara satu sama lain. Orang yang menyerang Datuk Rustam pastilah seorang yang ganas, tidak berperikemanusiaan dan kejam. Sementara orang yang mengintip pula… Dia tidak tahu dan tidak dapat mengagak karektor lelaki itu. Barangkali dia adalah orang yang sama? Tapi mengapa?
“Hei! Gadis-gadis jelita… Bila lagi nak sediakan sarapan ni! Perut dah lapar…” Sapaan Ryean Eiman dari arah pintu mengejutkan mereka berdua. Basyira segera bangun mengarah ke pintu. Lydia juga ikut bangun, mengikut Basyira ke dapur. Persoalan yang menggangu tadi, hilang dari kotak fikiran mereka.

PERATURAN pertama; tanpa bukti. Peraturan kedua; tanpa belas kasihan. Peraturan ketiga; tanpa penyesalan. Lelaki itu tersenyum sendiri sambil berdiri di hadapan cermin. Dia telah melakukan tugas itu dengan jaya. Tiada bukti yang ditinggalkan. Kes itu sudah dilupakan orang. Pihak berkuasa tidak dapat menangkap atau pun mengesyaki sesiapa. Tiada dakwaan yang dapat dibuat.
Namun misinya telah gagal. Lelaki yang sepatutnya menemui ajal masih hidup dan bernafas. Lelaki itu sudah kembali sihat dan bertenaga. Apakah dia akan menyelesaikan misi itu? Tidak. Dia tidak akan mengulanginya lagi, sebab peraturan ke empat; Tiada kesilapan. Tidak boleh mengulangi perbuatan yang sama terhadap mangsa yang sama…. Apabila perbuatan itu berlaku, pasti akan berlaku kesilapan. Kesilapan itu akan membuat diri terheret ke muka pengadilan. Kesilapan itu akan dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Lagipun lelaki itu sebenarnya bukan lagi satu ancaman kepadanya.
Dia tersenyum lagi sambil menyikat rambutnya yang memang sudah kemas. Namun di sebalik cermin itu dia terbayangkan seraut wajah. Wajah itu tiba-tiba amat menyakitkan hatinya. Wajah itu sungguh cantik dan senyumannya manis tetapi hatinya langsung tidak tertawan. Hatinya dipenuhi rasa benci terhadap perempuan itu. Mengapa dia berperasaan begini? Mengapa dia tidak dapat melupakan wajah perempuan itu. Mengapa hatinya jadi semakin benci apabila teringatkannya?
Dia meletakkan sikat ke atas meja. Berpaling ke pintu bilik yang bertutup rapat. Dia mesti lakukan sesuatu, tanpa pengetahuan sesiapa!

YANI AZHAN berjalan sendirian memasuki lif yang akan membawanya ke basement. Dia meninggalkan keretanya di basement kompleks beli belah itu. Parking di bahagian luar amat sukar didapati pada hari minggu seperti ini. Justeru itu dia terpaksa parkir di medan letak kereta bawah kompleks.
Banyak barang-barang yang dibeli, memenuhi troli. Ini pun masih belum mencukupi… bisik hatinya sendiri. Hari itu dia perlu membeli beberapa barang lagi. Hari perkahwinannya sudah semakin hampir. Nordin juga sibuk. Sepatutnya lelaki itu menemaninya shopping.
Yani Azhan menolak troli apabila dia tiba di lantai bawah. Bunyi troli yang ditolaknya terdengar kuat memecah ruang basement yang sepi. Tidak banyak kereta yang parkir di situ. Dia memerhati sekeliling, ruang itu memang langsung tiada orang. Cepat-cepat dia membuka boot kereta hendak memasukkan barang-barang. Namun perbuatannya terhenti. Dia terdengar bunyi tapak kasut di belakangnya. Pantas dia menoleh.
Terkejut bukan kepalang apabila dia melihat seorang lelaki berdiri betul-betul di belakangnya begitu dekat. Lelaki itu memakai jaket kulit. Mukanya dilindungi topeng. Yani Azhan benar-benar terperanjat, namun tidak sempat menjerit lelaki itu sudah mencengkam mulutnya dengan kuat. Yani Azhan meronta-ronta hendak melepaskan diri.
Lelaki itu memaut pinggangnya lantas memukul tengkuknya dengan kuat. Tubuh kecilnya tersembam ke tepi tayar kereta. Lelaki itu menunduk lantas memegang mukanya dengan sebelah tangan. Beberapa kali pipinya ditempeleng, hingga kepalanya rasa pening. Darah mulai keluar dari mulutnya.
“Tolongggg… Jangannnn…” Rayu Yani Azhan perlahan dan lemah.
“No evidence.” Bibir lelaki itu bergerak perlahan mengucapkan kata-kata itu. Dia mengeluarkan sebilah pisau dari poket seluarnya. Pisau itu dihalakan ke wajah Yani Azhan yang kini sudah lebam dan berdarah. Pisau itu ditoreh perlahan di pipi gadis itu. Kelihatan darah merah mulai meleleh. Yani Azhan merintih perlahan, kesakitan yang amat sangat.
“Tolonggggg… Jangan apa-apakan saya!” Rayuan Yani Azhan bertambah lemah. Matanya hampir terpejam. Airmatanya mengalir lebat bersama darah merah.
“No mercy.” Bisik lelaki itu lagi pada dirinya sendiri. Kakinya diangkat hendak menghentak dada perempuan itu yang kelihatan berombak kencang kerana takut.
“Kasihani saya…” Yani Azhan meneruskan rayuannya. Suaranya kian lemah. Pandangannya berpinar-pinar dan kepalanya yang sakit terkulai ke sisi.
Tiba-tiba lelaki itu merasa kasihan. Dia tidak sepatutnya melepaskan marah dan geram pada perempuan itu. Dia memerhati sekeliling ruang yang sunyi. Dilihatnya kepala perempuan itu terkulai lemah. Yani Azhan telah jatuh pengsan. Saat itu dia melompat ke satu arah, dengan pantas berlari meninggalkan ruang basement. Dia bimbang sekiranya ada orang yang masuk ke ruang itu. Dia meninggalkan saja tubuh Yani Azhan yang pengsan di tepi keretanya sendiri.
Tidak lama kemudian terdengar telefon bimbang gadis itu berbunyi tetapi Yani Azhan tidak bergerak, terlentang tidak sedarkan diri di atas lantai basement yang hitam dan kotor.

MIRINDA memerhati jam di tangannya. Sudah hampir sejam dia menunggu, Ryean Eiman belum muncul. Hatinya mulai rasa meradang. Dia cuba menghubungi nombor telefon bimbit, tetapi telefon lelaki itu tidak aktif. Ke mana pula dia? Dah naik jemu dan jelak dia menunggu. Hasrat hatinya hendak menuruti Ryean Eiman ke Kampung Bukit Penak. Dia sudah nekad. Biar Lydia tahu perhubungan mereka. Biar mereka semua tahu!
Sampai bila mereka harus berhubungan secara bersembunyi seperti ini? Tiada apa yang harus ditakutkannya lagi. Syarikat itu berada dalam genggamannya. Datuk Rustam tidak akan berupaya menanganinya lagi. Lelaki itu akan segera menjadi seorang tua nyanyuk tidak lama lagi. Hasil ubat yang diberinya akan membuat Datuk Rustam benar-benar hilang ingatan.
Terima kasih doktor Badri… Bisik hatinya tersenyum sendiri. Doktor Badri telah memberikan cadangan supaya memberikan Datuk Rustam ubat itu. Pengaruh ubat itu amat kuat. Memang Datuk Rustam kelihatan tenang dan boleh tidur dengan nyenyak sepanjang malam. Tiada kegelisahan dan tiada kerungsingan lagi. Dan Mirinda akan bebas untuk keluar malam bersama sesiapa saja!
Dengan sedikit godaan, Doktor Badri sudah sanggup menganiayai sahabat baiknya sendiri. Dengan sedikit duit juga, doktor itu berpaling tadah dengan mudah! Mirinda tersenyum lagi sendiri. Matanya memerhati ke pintu masuk dan di saat itu dia terlihat Ryean Eiman mengangkat tangan. Mirinda membalas. Mereka bertemu dan saling bertukar senyum beberapa ketika.
Ryean Eiman tidak mahu memesan minuman. Dia hanya ingin bercakap; “Apadia?” Tanya Mirinda. Kelihatan Ryean Eiman benar-benar ingin bercakap sesuatu yang amat serius.
“Hal kita…” Kata Ryean Eiman.
“Kenapa?”
“I nak putuskan hubungan kita.”
“Cubalah kalau you berani!” Bentak Mirinda dengan marah.
“I sudah buat keputusan…” Kata Ryean Eiman tidak menghiraukan ugutan Mirinda. “Kita putus. Kita takkan berjumpa lagi secara bersendirian. Hubungan kita selepas ini adalah hubungan kekeluargaan semata-mata.”
“Tidak. I tak setuju.”
“Setuju atau tidak… terpulanglah. Tolong jangan ungkit atau sebut lagi perkara yang dah lepas. I rayu pada you Mirinda. Tolonglah… Ini semua untuk kebaikan kita bersama.” Kata Ryean Eiman sambil bangun. “I harap hubungan you dengan datuk akan pulih. I harap…”
Mirinda menjerit dengan kuat tidak menghiraukan orang-orang di sekeliling mereka. “Jangan cakap apa-apa lagi! I tak mahu dengar. Tapi I nak beritahu you satu perkara saja Ryean! You takkan dapat kahwin dengan Lydia! Jangan berangan-angan nak kahwin dengan dia!!!”
Ryean Eiman tidak menghiraukan kata-kata Mirinda.
“You akan menempuh perjalanan yang sukar selepas ini Ryean! Ingat! Banyak rahsia you di tangan I. Satu demi satu akan I sebarkan… You akan musnah perlahan-lahan!”
Ryean Eiman menggertap bibir mendengar kata-kata Mirinda. Dia sedikit gentar mendengar ugutan Mirinda itu. Dia sedar dia tidak dapat melarikan diri daripada Mirinda. Tetapi dia tidak akan mengalah; “Cubalah. Jangan you ingat I tak kenal dan tak tahu siapa you Mirinda!” Balas Ryean Eiman dengan suara yang tenang tetapi dadanya bergetar hebat.
Ryean Eiman terus meninggalkan meja dan Mirinda yang masih ingin meneruskan kata. Dia berjalan laju keluar dari kafe itu, seterusnya dia ingin keluar daripada hidup Mirinda untuk selama-lamanya.
Mirinda pantas mengejar Ryean Eiman. Baju lelaki itu ditarik tanpa segan silu. Pandangan orang sekeliling tidak dihiraukan. Ryean Eiman berusaha melepaskan diri. Mirinda mencengkam kuat tangan Ryean Eiman, menyekat langkah lelaki itu dengan tubuhnya.
“Jangan tinggalkan I… Please.” Dia merayu sambil kedua-dua tangannya mengurut dada lelaki itu. Airmatanya mulai berjuraian ke pipi. Tubuh sasa lelaki itu dipeluk. Ryean Eiman memandang sesekeliling. Orang terlalu ramai tetapi tiada yang peduli pada mereka. Ruang legar hotel itu memang menjadi tumpuan.
Ryean Eiman menarik Mirinda ke suatu sudut yang agak terlindung. Perempuan itu menurut. Dia masih tidak mahu melepaskan belitan tangannya di pinggang lelaki itu.
Apa yang harus dia lakukan? Perempuan itu bukan jenis yang mudah mengalah dan menerima sahaja segalanya dengan rela. Apa yang harus dia lakukan? Fikirannya benar-benar buntu. Matanya merenung wajah Mirinda yang basah dengan airmata. Pandangan itu mengandungi rasa simpati dan kasih…
Ryean Eiman memeluk Mirinda. “OK…OK. Bertenang!” Dia memujuk. Sebenarnya kata-kata itu lebih merupakan pujukan pada diri sendiri.
“You tak mahu I tinggalkan you. You tahu apa jadi kalau Lydia dan Datuk Rustam tahu hubungan kita? Habislah kita… tahu tak? You kehilangan segala-galanya.”
Mirinda mendongak memandang Ryean Eiman. “I juga akan kehilangan segala I yang miliki!” Sambung Ryean Eiman lagi.
“Kalau tak mahu kehilangan apa-apa… Kita mesti hapuskan Datuk Rustam!” Kata Mirinda dengan suara yang perlahan tetapi jelas.
“What?” Ryean Eiman terkejut mendengar saranan Mirinda.
“SUNYI pula rumah ni… Televisyen langsung tak buka!” Kata Basyira. “Ryean ke mana?” Lydia yang sedang membaca akhbar pagi minggu itu yang belum habis dibaca, mengangkat muka dan menggelengkan kepala.
“Tadi dia cuci kereta, lepas tu keluar… Dah lama dah juga. Dia keluar lebih kurang pukul sebelas pagi.” Kata Lydia.
“Kau tak tanya dia nak ke mana?”
Lydia menggeleng. Dia tidak mahu bertanya nanti dikatakan cuba mengongkong pergerakan lelaki itu. Dia tidak mahu Ryean Eiman merasakan kebebasannya disekat.
“Ibu tak sambung menulis?” Tanya Lydia kehairanan melihat Basyira duduk di sofa sambil menekan punat remote control.
“Malaslah. Lagipun dah dekat pukul 12. Kejap lagi nak memasak makan tengahari. Nak masak apa pun tak tahu lagi.” Kata Basyira sambil memandang ke kaca televisyen. Saat itu berita terkini sedang ke udara. Matanya tertumpu ke arah berita yang sedang dipaparkan.
“Ini berita yang baru kami terima. Seorang wanita muda ditemui cedera parah di ruang basement di sebuah kompleks beli belah. Wanita muda itu dikenali sebagai Yani Azhan Khan, berusia 24 tahun. Dia telah dipukul teruk, cedera di bahagian rusuk, pinggang dan juga mukanya calar serta luka. Dipercayai diserang. Motif masih belum diketahui kerana barang-barang serta beg tangannya langsung tidak diusik. Kini mangsa dimasukkan ke wad rawatan rapi… Kepada sesiapa yang melihat kejadian atau mengetahui tentang serangan itu diminta tampil memberikan keterangan di balai polis berdekatan atau menghubungi nombor ….”
“Ehhh… Yani Azhanlah!” Kata Basyira terkejut, remote control di tangannya terlepas. Dia terperanjat mendengar berita yang menimpa perempuan itu.
“Ibu kenal?” Tanya Lydia sambil memandang muka Basyira.
Basyira mengangguk. “Ingat tak kita jumpa dia di coffee house malam semalam. Dia tu bakal isteri ayah Ryean…”
“Ohh!” Lydia terkejut. Tetapi dia memang tidak ingat raut wajah perempuan itu tetapi dia tahu serba sedikit persengketaan antara Basyira dan Yani Azhan.
“Siapa yang serang dia?” Pertanyaan itu terbiar tidak berjawab. Basyira sendiri tidak tahu siapa. Dia masih memerhati ke muka televisyen yang sedang memaparkan tempat kejadian. Kelihatan tubuh perempuan itu diusung masuk ke dalam ambulans.
Basyira mengeluh. Dia memandang Lydia yang masih menonton televisyen.
“Menakutkan.” Kata Basyira. “Di mana-mana pun rasa tak selamat…”
Lydia mengeluh sambil meletakkan majalah ke atas meja. Dia mendekati Basyira lantas memeluk wanita itu dengan lembut. “Jangan cakap macam tu ibu. Diya pun rasa takut sejak ada orang mengintip rumah ni dulu… Tapi kita harus teruskan hidup kan? Tak boleh terus dikuasai rasa takut dan bimbang!”
Basyira mengangguk, bersetuju dengan kata-kata Lydia.
“Apakah kita patut pergi melawat Yani?” Tanya Basyira sambil memandang tepat ke muka Lydia. Dahi gadis itu berkerut mendengar pertanyaan Basyira. Dia hanya mengangkat bahu.

“APA yang kita perlukan adalah satu perancangan rapi.” Kata Mirinda sambil memerhati Ryean Eiman menuang minuman ke dalam gelas berisi ais. Sudah dua jam lelaki itu berada di dalam kamar Mirinda di salah sebuah bilik di hotel Sakura. Di ruang lobi tadi Mirinda tidak mahu melepaskannya pergi. Hati Ryean Eiman bergalau melihat kelakuan Mirinda. Akhirnya Ryean Eiman mencadangkan mereka naik ke bilik Mirinda, supaya wanita muda itu dapat menenangkan jiwanya yang gelisah.
Ryean Eiman tidak menjawab, dia membiarkan sahaja Mirinda menguasai perbualan itu. “Kita buat seolah-olah ianya adalah satu kemalangan.”
“You ni memang sadis, lepas satu kesalahan nak buat satu lagi kesalahan.” Balas Ryean Eiman sinis. Jelas dia tidak menyukai rancangan Mirinda.
“Habis, dia lambat sangat mati!” Balas Mirinda. “Kematian dia bawa seribu kenikmatan pada kita, sayang.” Katanya sambil memaut bahu Ryean yang berdiri di tepi tingkap dengan memegang gelas di tangannya. Mirinda memeluk belakang Ryean Eiman dengan asyik. Lelaki itu berusaha melepaskan pelukan itu, dia berjalan ke arah sofa tunggal di kamar itu lantas duduk.
“Cuba you bayangkan, kalau Datuk Rustam sihat… Kalau dia check akaun memang teruk kita!” Sambung Mirinda dengan suara terganggu. “Ingat! You pun terlibat sama. Jangan nak salahkan I saja tahu.”
“OK, itu betul! Tapi janganlah sampai membunuh pula!”
“Oh! Sayangnya you pada bakal bapa mertua you ya?” Sindir Mirinda.
“Bullshit!” Sumpah Ryean Eiman.
“Jadi you tak nak kahwin dengan Lydia? Kasihan. Dia sangat cintakan you. I rasa dia akan jadi anak dara tua. Kecewa kerana tak dapat kahwin dengan puuuujaan hatinya.” Ejek Mirinda sambil tergelak kuat. Dia bergerak ke meja, menuang minuman ke dalam gelas lantas meneguknya dengan rakus.
“Buatlah apa you suka!” Jawab Ryean Eiman sambil meletakkan gelas yang sudah kosong. Mirinda mendekati lantas menuang lagi minuman ke dalam gelas yang sudah kosong.
“Kita mesti rancang… sayang. Tanpa perancangan segalanya akan gagal.”
Ryean Eiman diam sahaja, seboleh mungkin dia tidak mahu terlibat. Dia bangun lantas berdiri dan bersedia hendak pergi. Minuman yang sudah ditambah tidak dihiraukannya.
Ryean Eiman benar-benar risau melihat Mirinda benar-benar nekad hendak menghancurkan hidup Datuk Rustam. Apa yang harus dilakukannya? Kepada siapakah dia harus memihak kini? Datuk Rustam terlalu baik untuk disakiti. Lelaki itu sentiasa menganggap dirinya sebagai anak, wajarkah dia membalas segala kebaikan dengan kejahatan?
Selama ini sudah sekian banyak dosa yang dilakukannya, dia tidak mahu menambahnya lagi. Tetapi apakah pilihan yang dia ada. Meninggalkan Mirinda bermakna dirinya terdedah kepada bahaya. Bersama Mirinda pula dia tetap berhadapan dengan sesuatu yang lebih mengancam.

No comments: