Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 6

Bab 6

WANITA muda itu duduk termenung menjauh di ruang menunggu hospital, tidak menghiraukan kesibukan yang ada di sekelilingnya. Ada sesuatu yang mengusutkan fikirannya saat itu. Dia kalut memikirkan perkara itu, hingga tidak peduli sama sekali pada hal-hal lain. Dia mengenakan kot pendek berwarna oren, berseluar warna yang sama. Dia kelihatan begitu menyerlah di tengah-tengah para petugas yang beruniform putih bersih di ruang itu. Sejak tadi dia duduk termenung, sambil memegang gelas kertas yang masih terisi air di dalamnya.
Suasana pagi di ruang lobi hospital tampak sibuk, para jururawat baru bertugas shif pagi dan para doktor pula kelihatan membuat lawatan dari wad ke wad dengan ditemani oleh dua orang jururawat.
Mirinda kalut dalam kocakan arus fikirannya. Dia baru tiba dari Kuala Lumpur, sebaik sahaja menerima panggilan menyatakan bahawa Datuk Rustam kemalangan. Tanpa lengah lagi dia menghubungi Lydia. Gadis itu datang bersama wanita yang diperkenalkan kepadanya sebagai ibu Ryean Eiman. Dia terkejut, hilang tingkah apabila berhadapan Basyira.
Wajah Basyira tenang dan bersih. Dia tersenyum ramah semasa mereka bersalaman, tetapi Mirinda tidak punya hati untuk tersenyum. Dia memaksa dirinya melemparkan secebis senyuman walaupun payah. Ryean Eiman tiada bersama Basyira dan Lydia. Menurut gadis itu Ryean Eiman pergi ke tapak projek terlebih dahulu bagi menyelia pekerja dan hanya akan datang kemudian. Mirinda hampa. Dia perlu bertemu dan bercakap dengan Ryean Eiman. Tetapi dia tidak boleh menghubungi lelaki itu melalui telefon bimbit.
Lydia dan Basyira duduk di suatu sudut lain di ruang itu. Mirinda mengangkat muka memerhati mereka. Sudah hampir sejam mereka menunggu dengan resah apa yang akan berlaku. Sekumpulan doktor diketuai oleh seorang doktor pakar bedah otak masih di dalam bilik pembedahan. Mereka tidak dapat menjangka apa pun, hanya terus menunggu sambil berdoa.
“Puan Mirinda?”
Mirinda dikejutkan oleh sapaan. Suara itu terdengar amat asing, spontan dia berpaling untuk melihat siapa yang menegurnya.
“Ya. Saya.” Jawabnya sambil bangun berdiri apabila terpandang seorang anggota polis yang beruniform lengkap.
“Saya Inspektor Jamaludin.” Lelaki itu memperkenalkan diri dengan penuh hormat.
“Saya hendak bertemu dengan suami puan. Apakah dia sudah boleh memberikan keterangan tentang kemalangan yang menimpanya?”
“Maaf, dia tidak boleh berbuat demikian.” Kata Mirinda dengan suara yang terkawal. “Dia masih di dalam bilik pembedahan.” Mirinda memandang ke arah Lydia dan Basyira. Mereka berdua datang mendekati, turut mengakui kebenaran kata-kata Mirinda.
“Kami belum tahu apa-apa, doktor masih belum memberikan sebarang penjelasan.” Beritahu Lydia pula.
“Awak siapa?” Tanya Inspektor Jamaludin dengan wajah serius.
“Saya anak Datuk Rustam.”
Inspektor Jamaludin menganggukkan kepalanya.
“Ada sesiapa yang awak syak?” Tanya inspektor itu, matanya memandang ke wajah Lydia. Kemudian beralih ke wajah Mirinda dan Basyira. Mereka bertiga membalas pandangan matanya penuh tandatanya.
“Apa maksud inspektor?” Lydia lebih dahulu mengemukakan soalan kembali.
“Kami mengesyaki kes ini adalah satu cubaan bunuh. Di manakah bapa you menginap malam tadi? Mengapa dia ditemui di Kampung Bukit Penak?”
Lydia terkejut. Dadanya berdebar kencang. Bunuh? Kenapa? Kenapa manusia sebaik bapanya itu mahu dibunuh? Datuk Rustam yang dia kenal adalah seorang yang bertimbangrasa, baik dan mesra dengan sesiapa saja, termasuk semua para pekerjanya. Tiada sesiapa pun yang membencinya. Kebanyakan para pekerja sangat menyanjungi Datuk Rustam. Bapanya tidak mempunyai musuh.
Lydia memang tidak tahu di hotel manakah bapanya check in semalam. Bukankah Ryean Eiman keluar untuk menemui bapanya. Barangkali Ryean Eiman tahu sesuatu.
“Saya tak tahu.” Jawab Lydia dengan kepala tergeleng. Dia teringat pada Ryean Eiman. Di manakah lelaki itu kini?

BILIK nombor 103 berkunci dari dalam, ketika seorang petugas mahu masuk untuk mengemas bilik pada pagi itu. Di pintu tergantung dengan sekeping kertas ‘don’t disturb.’ Petugas itu tidak jadi hendak masuk, lantas menolak troli ke bilik sebelah. Dia tidak akan menggangu penghuni bilik itu.
Seorang lelaki kelihatan sedang sibuk mencari sesuatu di dalam bilik 103, Hotel Paradise. Puas setiap sudut dicari tetapi barang yang diingininya tetap tidak ditemui. Tubuhnya sudah berpeluh dingin. Dia tidak tahu di manakah barangnya itu keciciran. Jika tiada di dalam bilik itu, pastilah ianya tercicir di tempat lain. Dia buntu. Dihenyakkan tubuhnya di atas tilam. Hanya sejenak. Dia tersentak. Dia tidak boleh lama di situ.
Dia bimbang pihak berkuasa akan datang ke bilik itu apabila mereka dapat mengesan di mana Datuk Rustam menginap. Pihak polis memang cekap dalam menjalankan tugas mereka. Selalunya maklumat dari orang ramai banyak membantu. Tidak lama lagi pasti mereka akan dapat mengetahui di manakah Datuk Rustam menginap malam tadi. Hotel di bandar itu tidak banyak. Satu-satunya hotel yang agak mewah hanyalah Hotel Paradise. Hotel yang lain tidak akan menjadi pilihan seorang usahawan berjaya dan kaya seperti Datuk Rustam. Dia tidak akan sudi memilih hotel murahan untuk menginap.
Dia mengintip di celahan daun pintu. Ruang itu lengang. Kelihatan troli petugas house keeping ada di bilik sebelah. Dia menarik pintu, mencabut kertas bertanda ‘don’t disturb’ lantas membuangnya ke bahagian dalam. Daun pintu ditarik dan pintu terkunci sendiri dari dalam. Dia berjalan laju menuju ke tangga. Daun pintu menghala ke tangga ditarik segera lantas dia menyelinap turun ke tingkat bawah dengan cepat. Dia mesti meninggalkan kawasan hotel itu tanpa dilihat oleh sesiapa.
Segalanya berjalan lancar. Dia berharap Datuk Rustam akan mati. Tiada bukti yang akan ditinggalkan untuk mengaitkan pembunuhan itu dengan dirinya. Dia amat berhati-hati. Tiba di tepi tong sampah di suatu sudut kawasan hotel itu dia membuang sarung tangannya. Sekejap lagi pasti sampah itu akan dikutip oleh Alam Flora. Peraturan pertama dalam setiap ‘kerjanya’; tiada bukti.
Dia berjalan laju melalui pintu pagar belakang hotel. Dia tidak mahu menemui dan melihat sesiapa sehinggalah dia tiba di tempat yang dirasakannya selamat.

“YOU kat mana?” Suara Lydia bergetar perlahan. Dia tahu suara itu mengandung sebak yang tertahan.
“I masih di pejabat.” Jawab Ryean Eiman sambil menggulung kertas yang terbentang di hadapannya. Dia sedang meneliti pelan yang baru siap dilukis. Projek harus berjalan lancar walaupun Datuk Rustam ditimpa bencana. Segala impian lelaki itu harus direalisasikan. Itu janjinya. Dia tidak boleh mungkir, tidak boleh mengecewakan lelaki itu meskipun Datuk Rustam tidak akan mengetahui segala kegigihannya.
“Bila you nak datang ke hospital?”
“Datuk dah sedar?” Dia bertanya perlahan.
“Masih koma.” Beritahu Lydia. “Masih berada di dalam unit rawatan rapi. Sekiranya keadaan dia ada sedikit perubahan yang menggalakkan, I dan Mirinda sepakat hendak memindahkan dia ke hospital KL.”
“Hospital daerah ni pun antara yang terbaik di Malaysia Lydia. Janganlah bimbang. Kecanggihannya setanding dengan Hospital Selayang. Janganlah terlalu khuatir. I yakin Datuk seorang yang kuat dan mampu bertahan.”
“I pun harap begitu.” Jawab Lydia. “I tunggu you datang.”
“OK.” Ryean Eiman mematikan panggilan, bangun lantas terus keluar dari pejabatnya. Dia memerhati sejenak ke arah tapak projek yang masih kosong. Kawasan luas itu sudah rata keseluruhannya. Kelihatan lapan buah lori memunggah tanah, keluar masuk dari kawasan itu. Tanah-tanah yang tidak diperlukan dibuang di suatu tempat lain. Dalam masa seminggu dua lagi mereka akan mulai membawa masuk bahan-bahan binaan.
Di situ telah didirikan tiga buah kabin, untuk dijadikan pejabat. Ryean Eiman telah mengambil beberapa orang kerani untuk melancarkan operasi. Esok ada mesyuarat dengan kontraktor binaan, kontraktor memasang paip serta elektrik. Persetujuan perlu dicapai sebelum memulakan projek. Dia tidak mahu projek tergendala menghadapi kerenah kontraktor pula. Ryean Eiman akan bertambah sibuk pada minggu hadapan. Barang-barang binaan penting yang harus didahului adalah berupa besi pancang, kayu-kayu, tiang dan simen. Besi adalah bahan paling penting untuk memastikan kekukuhan sesebuah rumah. Besi yang baik, kukuh dan kuat tidak akan menyebabkan rumah runtuh.
Pesanan sudah dibuat sebulan yang lepas. Dia tidak boleh meninggalkan tapak projek semasa barang-barang tiba, bagi memastikan semuanya mencukupi. Walaupun sudah ditugaskan seorang penyelia, tetapi dia tetap mahu memastikan sendiri bahawa semuanya mengikut kehendak. Dia tidak mahu wujudnya penyelewengan.
“Tak boleh masuk?” Tanya Ryean Eiman, setelah sejurus mereka berada di luar bilik unit rawatan rapi, memerhati hanya dari jauh. Dari tingkap cermin itu mereka dapat melihat katil Datuk Rustam. Kelihatan lelaki itu terbaring dengan ditemani pelbagai wayar di badan. Mesin ventilator kelihatan memaparkan denyutan jantungnya. Apakah dia akan selamat? Sempat pertanyaan itu singgah di hati Ryean Eiman. Apa akan jadi pada empayar perniagaannya. Lydiakah yang akan mewarisinya? Atau Mirinda yang akan mendapat syer terbesar syarikat. Mirinda bertugas sebagai pengurus HR. Sebenarnya wanita itu tidak pandai mengendalikan kerja, selalu menyerahkan segalanya pada orang bawahannya. Sementara Lydia lebih bijak dalam menguruskan segala hal berkaitan dengan syarikat.
Apakah Datuk Rustam sempat membuat wasiat, sekiranya sesuatu berlaku kepadanya? Soalan-soalan itu tiba-tiba menerjang tempurung kepalanya. Dia tidak dapat menjawab soalan-soalan yang datang. Dia berharap dia tahu jawapannya! Tetapi dia sendiri tidak pasti.
“Hanya ahli keluarga.” Jawab Lydia. “Itupun terpaksa memakai baju khas.”
Ryean Eiman mengangguk. Sebenarnya dia tidak perlu berada di situ, kerana tiada apa-apa yang dapat dilakukan untuk membantu. Kehadirannya hanya dapat mententeramkan perasaan Lydia yang gelisah. Dia sangat takut kehilangan bapanya itu setelah dia kehilangan ibu kandung pada usia lima tahun. Lima tahun kemudian Datuk Rustam berkahwin dengan Mirinda yang ketika itu berusia dua puluh satu tahun.
Usia antara anak tiri dan ibu tiri itu hanya berjarak sebelas tahun. Memang patutlah mereka kelihatan seperti adik dan kakak. Ryean Eiman memerhati Mirinda yang duduk di kerusi bersama Basyira. Kelihatan mereka berdua mulai membuka perbualan. Ryean Eiman memerhati wajah Lydia yang muram, mata gadis itu terus tertanjap ke arah katil Datuk Rustam dari sebalik cermin.
“Bertenang… papa you akan selamat.”
Lydia mengangguk. “Semua orang mendoakan kesejahteraannya kan?” Tanya Lydia berpaling ke arah Ryean Eiman. “Mengapa ada orang yang mahu membunuhnya, Ryean?”
Ryean Eiman terkejut mendengar kata-kata Lydia. “Siapa yang kata macam tu? Bukankah dia kemalangan?”
“Pihak polis. Mereka syak ada orang cuba bunuh papa.”
“Siapa?”
Lydia geleng. “Barangkali ada kaitannya dengan tanah, tempat kita mahu bina projek tu. Tiba-tiba saja ingatan tu menerpa I tadi. Pasti ada orang tak suka…”
Ryean Eiman terdiam. Dia termenung, kemudian berpaling pada Lydia. “Siapa yang tak suka?”
“Entahlah.”
“I baru teringat Datuk pernah kata, sebahagian tanah tapak projek adalah miliknya yang diwarisi daripada emak saudaranya. Bermakna you masih ada saudara mara di kampung Bukit Penak. Tapi siapa?”
“Papa tak pernah beritahu I, kami ada saudara mara di sini.” Kata Lydia. “Nampaknya banyak perkara yang I tak tahu tentang asal usul papa. Salah I juga, selama ini tidak pernah peduli, tak pernah ambil tahu…”
Lydia melentokkan kepalanya ke bahu Ryean Eiman. Lelaki itu membiarkan sahaja apabila merasakan tubuh Lydia bergegar menahan tangis. Biarpun dia cuba untuk tidak menangis tetapi akhirnya dia tetap menitiskan airmata dalam pelukan lelaki itu. Mirinda memerhati ke arah mereka berdua. Dia tidak mendengar lagi suara Basyira berkata sesuatu. Matanya terus terpaku ke arah kedua-dua insan itu yang kelihatan berpelukan erat.
Basyira ikut memandang perlakuan mereka. Hatinya turut rasa tidak senang. Dia amat takut sekiranya terlibat dalam perbuatan yang subhah. Dia tidak suka anak lelakinya itu memeluk wanita yang bukan muhrim. Jika hanya diikat dengan tali cinta, tidak semestinya seseorang itu boleh sewenang-wenangnya memeluk dan mendakap kekasihnya tanpa segan silu. Jikalau tidak tahu takut dan malu kepada Tuhan, sekurang-kurangnya rasa malu kepada manusia lain yang memandang.
Basyira bangun, lantas mendekati Ryean Eiman. Ditepuk bahu anaknya perlahan. “Hantar ibu balik.” Pintanya perlahan. “Dah lewat tengahari, ibu nak balik memasak.”
Ryean Eiman mengangguk, melepaskan tubuh Lydia.
“You nak terus tunggu di hospital?” Ryean Eiman bertanya.
Lydia mengangguk.
“Mirinda, you nak balik berehat di hotel? Atau you nak ke rumah I?” Ryean Eiman bertanya Mirinda yang juga sudah bangun.
“I belum check in di mana-mana.” Jawab Mirinda. “Di rumah you… boleh juga.”
“Kalau begitu marilah…” Ajak Basyira. “Dah separuh hari di hospital ni. Kalau balik boleh juga berehat. Lepas zohor nanti awak datang semula.” Cadang Basyira sambil berjalan mendahului Ryean Eiman keluar dari lobi.

KEPULANGAN Basyira sudah ditunggu Basha. Lelaki itu kelihatan tercangak-cangak duduk seorang di bawah pergola yang redup diteduhi bunga kertas yang rimbun. Apabila melihat kereta Ryean Eiman yang bergerak memasuki halaman, lelaki itu bangun berdiri. Dia tersenyum dari jauh.
“Boyfriend ibu dah tunggu rupanya…” Ryean Eiman cuba mengusik ibunya. Sepanjang perjalanan mereka semua membisu. Jadi dia sengaja mengusik untuk memecahkan kebisuan antara mereka.
“Mulut tu jangan celupar sangat!” Kata Basyira agak marah. “Dia bukannya boyfriend ibu. Hanya kawan sekampung. Ibu pun pelik apa yang dia mahu, setiap hari datang ke sini?”
“Dia nak mengorat ibu.” Jawab Ryean Eiman sambil ketawa. Enjin kereta dimatikan. Basyira tidak menjawab, dia keluar dari kereta lantas bergerak ke pintu hadapan. Disuruhnya Mirinda masuk sementara dia bergerak ke sisi rumah untuk mendapatkan Basha yang menunggu di situ.
“Syira ke mana?” Tanya Basha, wajahnya diwarnai kebimbangan yang jelas.
“Ke hospital.”
“Hospital?”
“Laaa… Abang Basha belum tahu lagi? Dah heboh satu kampung bercerita tentang lelaki yang cedera di hujung jalan kampung kita. Saya yang jumpa, dan pergi tengok keadaannya di hospital. Rupa-rupanya lelaki itu adalah boss Ryean, Datuk Rustam. Perempuan tu tadi isterinya.”
“Oh! Begitu rupanya. Abang memang tak tahu, sebab abang kerja pagi. Ni baru balik.” Beritahu Basha. “Bagaimana keadaannya? Parah?”
“Parah.” Beritahu Basyira sambil melepaskan keluhan. “Dia bukannya kemalangan dilanggar kereta, tetapi dipukul. Tempurung kepalanya retak. Sekarang ni dia koma. Tak tahulah bila akan sedar.”
Basha mengangguk. “Kata pihak polis, barangkali kes ini kes cubaan bunuh. Eh, abang bekerja di balai, mengapa abang tak tahu hal ni?”
Basha menelan air liur pahit kemudian berkata; “Barangkali kerana abang keluar meronda dan tidak ada di pejabat sepanjang pagi ni.”
Basyira mengangguk. “Oh ya… Kenapa abang datang ke sini?” Basyira baru teringat hendak bertanya tujuan Basha datang ke rumahnya tengahari itu.
“Tak ada apa-apa. Hanya nak jumpa Syira saja. Tengok rumah berkunci, tak tahu ke mana Syira pergi. Abang jadi risau…”
“Risau?” Basyira ketawa. “Kenapalah abang nak risaukan Syira?”
Basha pula ketawa malu. Mukanya yang merah tidak dapat disembunyikan lagi. “Tak apalah. Biarlah abang balik dulu…”
Basyira menganggukkan kepalanya. Dia memerhati Basha bergerak ke arah motorsikal Hondanya. Basha melambai. Basyira buat tak tahu sahaja, dia masih tersenyum sendiri semasa berjalan ke arah pintu hadapan.
Di ruang tamu Mirinda tidak kelihatan. Hanya beg tangannya sahaja yang tertinggal di atas sofa. Basyira tidak tahu ke manakah Mirinda pergi. Ryean Eiman juga tidak kelihatan. Pintu kamar tidur anaknya kelihatan bertutup rapat dan tiada suara terdengar dari dalam biliknya.
Basyira tertanya-tanya ke manakah Mirinda pergi. Namun dia bergegas ke dapur apabila melihat jam sudah menunjuk ke angka 12.30 tengahari. Dia mesti memasak dengan cepat. Ryean Eiman tentu sudah kelaparan. Dia juga akan membawakan nasi dan lauk untuk Lydia. Kasihan… Pasti gadis itu tidak lalu makan di cafe. Dia sanggup memasak untuk bakal menantunya itu.

“SHHH… Tolong, jangan cakap kuat-kuat.” Kata Ryean Eiman. “Ibu I tu telinga lintah. Dia boleh dengar kalau orang bercakap walaupun jaraknya sebatu!”
“Wow!… Macam bionic women!” Kata Mirinda sambil menahan gelak.
“Duduk diam-diam!” Ryean Eiman mengintai dari celah pintu dan mendapati emaknya sedang sibuk memasak di dapur.
“Dia di dapur.” Kata lelaki itu sambil duduk di sisi Mirinda di tubir katil. “Selalunya dia memasak lebih kurang satu jam. Kita ada masa untuk berbual sekejap. Lepas tu you naik atas, berehat kat bilik Lydia yang terletak di atas bilik I ni. So apa yang you nak cakapkan pada I? Tak sabar sangat…”
“I rindu you Ryean. Sejak you tinggalkan KL kenapa tak telefon I langsung?”
“Nak mampus. Lydia sentiasa bersama I.”
“Ibu you sukakan dia?”
“Yes, definitely! Dia mahu I kahwini Lydia secepatnya.”
Wajah Mirinda yang manis segera masam mencuka. Dia duduk membelakangi Ryean Eiman sambil memeluk tubuh.
“Ya, kahwinlah dengan dia dan tinggalkan I.”
“Oh dear…” Keluh Ryean Eiman sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Apa nak jadi dengan kita? Hubungan kita takkan ke mana Inda! I rasa bersalah pada semua orang tahu? Pada Lydia… Pada Datuk… Sudahlah. Kita hentikan semua ini, OK?”
“I tak sangka you cakap macam tu? Dulu you kata benar-benar cintakan I. You akan tinggalkan Lydia. You sanggup tinggalkan dia kerana I.”
“Tolonglah Inda…” Rayu Ryean Eiman bersungguh-sungguh. “Ibu I sukakan dia. Dia dah anggap Lydia bakal menantu. Apa yang boleh I katakan lagi?”
“You cintakan I ataupun dia?” Kata Mirinda dengan suara sebak menahan tangis.
“Dua-dua pun I sayang.” Jawab Ryean Eiman perlahan.
“Jika Datuk meninggal, I akan bebas. Kita boleh bersama. Tidakkah itu akan membuat mimpi kita jadi nyata Ryean?”
Ryean Eiman diam. Dia termenung. Mirinda berpaling, menggosok lembut belakang lelaki itu. Tangannya terus lincah meraba-raba tengkuk Ryean Eiman. Bibirnya mencari bibir lelaki itu. Ryean Eiman ingin mengelak tetapi seperti selalu dia tewas pada kebijaksanaan Mirinda menundukkannya. Terkadang dia tidak suka berkeadaan begitu. Dia benci apabila dia tewas kepada kehendak wanita itu.
Dan dia selalu menyesali sesudah selesai permainan yang pada mulanya asyik kemudian dipenuhi dengan rasa berdosa dan rasa bersalah pada kedua-dua manusia yang sangat dihormatinya. Kini hal itu berlaku pula di dalam rumah ibunya. Dia menjeling Mirinda yang masih berbaring.
“Bangunlah…” Gesanya. “Pergi naik sebelum ibu I perasan you ada di dalam bilik I.”
“Tak laratlah… Penat.” Keluh Mirinda sambil cuba untuk bangun.
Ryean Eiman tidak peduli, ditariknya Mirinda supaya bangun dari katil. Mirinda mencapai bajunya satu persatu. Bangun untuk menyikat rambut yang kusut, sementara Ryean Eiman masuk ke kamar mandi. Dia mandi sepuas-puasnya. Dia ingin melupakan Mirinda dan senyumannya yang penuh dengan kepuasan.

No comments: