Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 36

Bab 36

PAGI itu Basha dibebaskan. Dalam gembira mendapat semula kebebasan dirinya, Basha tetap merasa sedih. Kehilangan Lydia masih menjadi tandatanya. Tiada sesiapa pun tahu. Takkanlah tiada sesiapa pun yang pernah nampak Lydia di mana-mana pada malam dia hilang, fikir Basha sambil berjalan keluar dari pintu pagar IPD Mentakab. Setelah bebas, Basha pergi menemui Datuk Rustam.
Mereka bertiga duduk berbincang sambil minum pagi di coffee house hotel tempat Datuk Rustam menginap.
“Aku percaya malam tu, Lydia melarikan diri…” Kata Basha.
“Mengapa?” Tanya Ryean Eiman. Biarpun Basha dapat mengagak sebab-sebab Lydia melarikan diri tetapi dia tidak akan memberitahu lelaki itu. Dia bimbang akan disalah anggap. Sudahlah dirinya dipandang tidak jujur oleh Basyira akibat perbuatannya mengintip wanita itu, walaupun dia tidak pernah berniat jahat.
“Dia hilang kepercayaan pada aku, seperti ibu engkau…” Kata Basha. “Sebab aku yakin pembunuh tu takkan tahu rumah kawan aku tu. Memang susah sesiapa saja hendak ke sana. Barangkali lelaki itu memang berkeliaran mencari mangsanya…”
“Aku percaya satu sahaja… Lelaki itu adalah orang yang kita kenal.” Kata Ryean Eiman.
“Mungkin. Aku juga percaya begitu.” Jawab Basha.
“Boleh jadi siapa saja, Basha… Ryean. Sebab memang ramai orang yang kita kenal di sini! Kita takkan tahu siapakah dia.”
“Macamana kalau kita pergi setiap pub, kelab, supermarket dan pusat karaoke. Tunjukkan gambar Lydia. Apakah mereka ada melihat Lydia pada malam itu. Manalah tahu jikalau bernasib baik ada orang ternampak di mana-mana.”
Mereka mencapai kata sepakat. Idea itu kedengaran baik dan boleh dikerjakan secepatnya. Sehari suntuk mereka menjelajah setiap sudut di bandar itu tetapi tiada sebarang perkembangan langsung. Semua orang tidak tahu dan tidak pernah melihat Lydia pada malam dia hilang.
Akhirnya Basha teringat sesuatu. Dia sudah lama tidak ke pub itu yang terletak di taman industri. Satu-satunya pub yang ada yang amat jarang dikunjungi orang. Hanya mereka-mereka yang inginkan privasi sahaja yang pergi ke situ. Mereka akhirnya pergi ke sana. Pub itu baru sahaja dibuka pada jam 5 petang. Kelihatan beberapa orang pekerja sedang membersihkan meja dan carpet, terkejut menerima pelanggan yang datang terlalu awal.
“Belum buka encik.” Kata pelayan yang sedang mengelap meja.
“Kami hanya ingin tumpang bertanya…”
Remaja yang bekerja sebagai pelayan di situ mengangguk. Ryean Eiman menunjukkan gambar Lydia ke penatapannya. “Ada Pernah tak tengok tak perempuan ni dua malam lepas?”
Remaja itu menggelengkan kepala, sambil meneliti gambar Lydia. Ryean Eiman kecewa melihat riak muka anak remaja itu. Dia tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Dia bergerak ke pintu tetapi langkahnya terhenti apabila mendengar remaja itu berkata; “Bang! Sekejap bang!” Katanya pantas.
Ryean Eiman berpaling semula ke arahnya. Remaja itu melihat sekali lagi gambar Lydia lantas berkata; “Ya… Ya! Saya ingat. Dia pernah datang bersama seorang lelaki pada malam selasa lalu. Saya ingat mukanya sebab dia datang hendak pinjam telefon… Ya, dia pinjam telefon tetapi tidak dapat bercakap dengan orang yang cuba dihubunginya.”
“Apa?” Ryean Eiman terperanjat besar. Dia terus mencapai handphone di dalam poket seluarnya dan terus membuka kotak panggilan tidak berjawab.
“Inikah nombor pub ni?”
“Ya.”
“Ya Tuhan… Rupa-rupanya Diya yang call malam tu.” Kata Ryean Eiman sambil menepuk dahi. Semasa panggilan itu diterima dia sedang memandu. Jadi dia tidak menghiraukan panggilan itu. Apabila dia berhenti, dia melihat satu nombor asing. Dia tidak menghiraukan nombor itu kerana mengira ianya tidak penting. Selalunya dia memang mengabaikan panggilan sekiranya datang dari nombor yang tidak direkodkan di dalam handphone.
“Jadi, dia ada datang ke sini?” Kata Soal Basha.
“Dia datang bersama seorang lelaki kacak. Lelaki tu pun kerap datang ke sini… Kadang-kadang seorang dan kadang-kadang berteman. Selalu dia datang bersama seorang perempuan yang nampak lebih tua berumur sikit dari dia nya…”
Kepala Ryean Eiman mulai pening kerana tidak dapat menggagau dalam ingatannya siapakah lelaki bersama Lydia. Siapa? Siapa? Dan siapa? Soal hatinya bertalu-talu.
“Macamana rupa orang tu?” Tanya Datuk Rustam pula.
“Tinggi dan tegap serta dan kacak. Lebih kacak dari abang ni…” Kata remaja itu sambil tersenyum.
Ryean Eiman tidak berkata apa-apa, dia merenung Basha. Basha mengangguk.
“Itulah orangnya! Orang yang aku nampak lihat mengintai rumah Syira sekian lama. Tetapi ibu engkau tak percaya…”
“Mengapa pakcik tak beritahu saya? Ibu pun tak cerita apa-apa…”
“Orang tak percayakan kita, nak buat macamana.” Kata Basha.
“OK…OK…” Sampuk Datuk Rustam sambil bertanya lagi pada remaja itu; “Apa yang mereka buat di sini malam tu?”
“Mereka makan dan minum. Nampak macam dua orang kawan… Berbual. Lepas tu perempuan ni datang nak guna telefon.” Remaja itu perlahan mengingat semula segala yang berlaku kerana malam itu tidak ramai pelanggan. Hanya tiga meja sahaja yang ada pelanggan dan kedua-dua orang manusia yang sedang diperkatakannya itu menarik minatnya. Pasangan yang sama cantik dan sama kacak.
“Tak lama lepas tu, perempuan tu tiba-tiba nampak macam sakit. Saya tengok kepalanya terlentuk lentok ke meja. Lelaki itu cepat-cepat bayar bil.. dan terus memimpin perempuan tu keluar dan naik kereta. Mereka pun terus pergi…”
“Dia diberi dadah. Celaka!!!” Ryean Eiman menggenggam penumbuk.
Datuk Rustam mengeluh.
Kini Ryean Eiman semakin yakin, Lydia bersama orang yang dikenali. Tapi siapa? Lelaki yang kacak… Bisik hati Ryean Eiman. Lebih kacak daripada abang… Kata remaja itu. Hai, siapa pula yang lebih kacak dari aku yang menarik perhatian Lydia hingga sanggup mengikutnya pergi? Siapa? Aduhhhh… pening kepalanya memikirkan semua ini. Lelaki bersama Lydia itu bukan sembarangan orang pula… Seorang pembunuh.

PETANG ITU Basyira bersama Nordin berbual di ruang tamu ketika Ryean Eiman pulang. Bersamanya ada Datuk Rustam dan Basha. Mereka bertemu dan bersalam-salaman.
“Ayah dah keluar dari wad? Bila?” Tanya Ryean Eiman.
“Pagi tadi.” Beritahu Nordin. Dia senyum ke arah Basha. Dia juga sudah tahu apa yang berlaku terhadap lelaki itu. Cuma Basyira yang tidak berani senyum ataupun menegur Basha. Dia rasa malu dan bersalah kerana menuduh Basha dengan pelbagai tuduhan.
“Baguslah!” Jawab Ryean Eiman.
“Macamana pencarian kau?” tanya Nordin ingin tahu.
“Kami pergi ke merata-rata tempat. Memang ada orang nampak Lydia pada malam tu, di sebuah pub terpencil kat taman industri. Tapi orang yang nampak dia tu tak tahu ke mana dia dibawa pergi selepas tu…”
Nordin mengangguk. “Dia dengan siapa ke situ? Buat apa?”
“Kami rasa dia dah diperdaya oleh pembunuh tu… Kami yakin benar pembunuh itu adalah orang yang Lydia kenal.”
“Ya Allah!” Basyira menyeru kuat nama Tuhan sambil mengurut dadanya. “Siapalah agaknya?”
Sekonyong-konyong dia teringat pada Harith Rafeeq. Mengapa ingatannya harus tertumpah ke sana. Apakah kaitannya? Apakah ini semua perbuatan Harith Rafeeq? Dia tidak mengerti. Tangannya menggeletar. Dia terlalu ingin memberitahu Ryean Eiman tentang kedatangan lelaki itu ke biliknya. Tapi bagaimana dia harus memberitahu Ryean Eiman dan bekas suaminya itu? Dia terpaksa membongkar semula sejarah silam yang mahu dikuburkannya.
“Itulah yang kami tengah pening memikirkannya.” Kata Basha.
“Setahu saya, Lydia tak pernah berkawan rapat dengan lelaki selain daripada Ryean. Dia memang amat setia dalam soal ini…” Sampuk Datuk Rustam.
Ryean Eiman mengiyakan. Hanya dia yang tidak setia dan pernah berlaku curang pada Lydia. Kini jika dia ditawarkan seribu perempuan cantik sekalipun, dia tetap akan memilih Lydia.

MALAM itu perutnya terasa sangat lapar. Tubuhnya lemah dan tidak bertenaga langsung. Hendak berdiri pun terasa tidak larat. Dia hanya meneguk air mineral yang ditinggalkan oleh Harith Rafeeq. Tengahari tadi Harith Rafeeq datang, membawakan makanan dan minuman. Langsung dia tidak menyentuhnya. Dia tidak pun memandang ke muka lelaki itu. Dia amat bencikan Harith Rafeeq kini. Dia tidak sudi memandang muka lelaki itu… Lelaki yang dipuji-pujinya sangat kacak, lebih kacak daripada kekasihnya sendiri. Sehingga Ryean Eiman cemburu dan hilang mood. Lelaki itu merajuk apabila dia memuji Harith Rafeeq. Airmatanya mengalir apabila teringatkan peristiwa itu.
Sudah berapa lama dia tidak bertemu Ryean Eiman. Rindu usah dikata, tidak terhitung rasanya. Hatinya setiap saat mahu kembali ke pangkuan lelaki itu. Tetapi kini apakah daya, dia terkurung di bilik yang langsung tidak mempunyai tingkap. Sudah dua hari dia tidak mandi. Bilik itu sangat panas. Tiada kipas di siling. Mujur juga ada lampu jika tidak dia akan bergelap dan bertemankan nyamuk sepanjang malam.
Lydia menarik bekas nasi yang ditinggalkan tidak berusik di dalam beg plastik berwarna merah. Dikeluarkannya bekas nasi itu. Dibukanya perlahan-lahan dengan tangan yang menggigil. Dia kelaparan. Dia harus makan untuk memastikan dia terus hidup. Dia harus punya tenaga untuk melindungi dirinya sendiri.
Dia menghidu nasi yang mengeluarkan bau yang kurang enak. Nasi itu sudah basi dan sedikit berlendir kerana bercampur baur dengan sayur dan kuah. Dia mencapai pula ayam goreng. Masih elok. Dia makan perlahan-lahan tanpa selera. Dia memamah makanan itu untuk terus bernafas malam ini… sekurang-kurangnya!

MALAM itu Ryean Eiman terus bersama Datuk Rustam kembali ke hotel. Namun sebelum ke hotel mereka pergi menemui Inspektor Jamaludin untuk menyampaikan cerita yang mereka dapatkan daripada remaja yang bekerja di pub tersebut.
Sementara Basha pula mengambil keputusan untuk balik ke rumahnya sendiri. “Dah lama tinggalkan rumah…” Kata Basha sambil bangun dan bersalam dengan Nordin.
Basyira menghantar Basha ke pintu. “Abang Basha… saya minta maaf.” Kata Basyira perlahan, namun tetap sampai juga ke telinga Nordin yang masih duduk di ruang tamu. “Saya tak percayakan abang…Saya curiga pada abang.”
Basha mengangguk. “Tak mengapa Syira.” Jawab Basha. “Yang penting sekarang kita cari lelaki yang bertanggungjawab tu sampai jumpa.”
Basyira mengangguk. Dia kembali duduk bersama Nordin di ruang tamu. Nordin meminta diri hendak balik, tetapi Basyira menahannya. “Abang…” Katanya perlahan. “Sebenarnya ada satu rahsia yang saya simpan sekian lama daripada abang. Semasa kita masih lagi suami isteri, saya takkan berani berterus terang dengan abang begini. Tetapi sekarang ikatan antara kita sudah pun terlerai. Tiada apa lagi yang hendak saya takutkan. Sebelum saya ceritakan apa-apa pada abang saya minta maaf dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki…”
Dahi Nordin berkerut, dia tidak tahu apakah maksud Basyira.
“Abang ingat tak lagi semasa abang pergi kursus selama setahun setengah ke Jepun…” Basyira memulakan ceritanya sambil memandang tepat ke muka Nordin.
Nordin mengangguk, tetapi masih tidak faham apa yang ingin disampaikan oleh Basyira.

“SEJAK kebelakangan ini, memang ada seorang lelaki misteri yang selalu ada di bandar ini…” Kata Inspektor Jamaludin. “Saya telah meminta orang bawahan saya meninjau dan mereka menyatakan bahawa memang ada seorang lelaki yang baru datang ke bandar ni. Dia kerap kali bertukar-tukar hotel. Sikapnya mencurigakan. Dia tidak pernah menginap lama di suatu tempat. Di hotel sini seminggu, di sana seminggu dan… merata-rata. Dia ni memang mencurigakan kerana tak tahu apa yang dia buat, bisness apa yang dijalankannya. Dia memakai kereta mewah, BMW hitam.”
“BMW hitam?”
“Ya. Saya juga dapat laporan daripada orang awam, lelaki ni selalu berada di kawasan taman industri. Malam dia lepak di Pub Reno. Dan dia juga selalu masuk ke Kampung Bukit Penak tetapi bukan melalui jalan biasa. Keretanya selalu dilihat mengikuti jalan rentas dekat pejabat kaji cuaca tu, lepas tu tembus ke jalan tanah merah di dalam kebun getah… Lepas tu kereta tu hilang begitu saja.”
“Pelik…” Kata Ryean Eiman.
“Memang mencurigakan. Orang saya pun dah siasat dan kami dah jumpa tempat dia simpan keretanya tu. Awak tahu, tempat dia simpan kereta, dekat dengan rumah ibu awak! Kami buat rumusan dia yang serang Lydia. Dia juga mungkin serang bapa awak. Kami dah check tarikh bapa awak diserang. Dia menginap seminggu di situ, biliknya bersebelahan dengan bilik bapa awak.”
“Apa?”
“Dia simpan kereta dalam semak dekat dengan kebun getah milik emak awak. Lepas tu berjalan kaki ke rumah awak. Tak jauh. Lebih kurang 20 meter sahaja.”
“Oooo… Begitu!”
“Ya.” Jawab Inspektor Jamaludin. “Malam ni kami dah pun buat satu rancangan. Jangan bimbang. Kalau malam ni dia datang ke kampung tu, dia pasti akan tertangkap. Saya akan periksa identitinya berdasarkan plet keretanya tu. Kita akan check dengan JPJ. Tapi tak pasti lagi kalau-kalau plet tu adalah nombor palsu…” Inspektor Jamaludin mengeluh. “Dia menggunakan pelbagai nama di setiap hotel yang disewanya. Antara nama-nama yang digunakan ialah; Mungo, Rufus, Damian, Harith…”
“Apa? Harith Rafeeq?”
“Ya, Harith Rafeeq… You kenal?”
Ryean Eiman bagaikan hendak pengsan mendengarkan nama Harith Rafeeq. Kini dia tahu sudah angkara siapakah semua petaka yang berlaku. Patutlah dia tidak langsung menyukai lelaki itu.
“Siapa Harith Rafeeq?” Tanya Datuk Rustam tidak mengerti.
Ryean Eiman mengangguk. “Saya bukanlah kenal secara peribadi, cuma pernah berjumpa dengannya sekali sahaja.”
Dia lantas menceritakan pertemuan antaranya dengan Harith Rafeeq tidak lama dulu yang diperkenalkan oleh Mirinda. Datuk Rustam terkejut apabila mengetahui Mirinda berkawan dengan Harith Rafeeq lelaki yang berusia sepuluh tahun lebih muda darinya. Jadi, lelaki itulah kekasih rahsianya selama ini… bukannya doktor Badri, bisik Datuk Rustam sendiri di dalam hati.
“Kalau begitu, kita akan cuba hubungi isteri datuk, Datin Mirinda untuk membantu siasatan. Di manakah dia berada sekarang?” Tanya Inspektor Jamaludin.
“Saya tak tahu. Benar-benar tak tahu dia di mana.” Kata Datuk Rustam sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Malam itu, hati kedua-dua lelaki itu bertambah bimbang setelah mengetahui siapakah musuh mereka. Mereka mengerjakan bersalat Isyak berjemaah, kemudian sama-sama mendoakan keselamatan Lydia walau di mana dia berada.

LEWAT malam itu Lydia mendengar pintu hadapan dibuka dan ditutup. Dia tahu Harith Rafeeq datang untuk menghantar makanan. Dia berbaring mengerekot di atas surat khabar yang dibawa Harith Rafeeq pagi tadi. Lelaki itu tidak mempedulikan dirinya. Dia datang dan pergi tanpa sepatah kata.
Lydia pun tidak berani berkata apa-apa. Lelaki tu gila… Memang sah gila! Kutuk Lydia sendiri. Harith Rafeeq masuk dan meletakkan bungkusan nasi dan air.
“Malam ni kau baik…” Katanya sambil tersenyum. “Jangan menjerit-jerit lagi macam semalam OK? Buat apa nak jerit-jerit, buat penat aje. Bukannya orang dengar…”
“Aku di mana?” Lydia bertanya perlahan, masih terus berbaring.
“Masih di daerah yang sama, bukan di mana-mana.”
“Mengapa kau lakukan ni semua Rafeeq? Sebab duit? Lepaskanlah aku… papa akan bayar kau duit, walau berapa pun yang kau minta.”
“Aku bukannya nak duit saja…” Kata Harith Rafeeq. “Duit tak pernah cukupkan?”
“Yalah… tapi mengapa kau kurung aku? Apa salah aku pada engkau?”
Harith Rafeeq diam. Dia teringat semula rancangan Mirinda yang ingin membunuh Lydia supaya dapat memiliki Ryean Eiman. Mirinda juga mahu Datuk Rustam mati supaya semua harta jatuh ke tangannya.
Bagi Harith Rafeeq kematian Lydia akan merugikannya. Dia akan kehilangan Mirinda, seorang wanita dan kekasih yang hebat. Bila Lydia dan Datuk Rustam tiada lagi, Mirinda akan kembali mencari Ryean Eiman. Dia akan memburu dan menggoda lelaki yang pernah menjadi kekasihnya itu. Dan dia juga tahu, sisa-sisa rasa cinta dan kasih sayang Ryean Eiman masih ada buat Mirinda. Sekiranya Mirinda merayu dan menggoda semula, dia pasti akan menerimanya! Itulah yang membuat dia belum menghabiskan riwayat Lydia.
Keadaan di luar sana, agak mengganggu sekarang. Polis berkeliaran di mana-mana. Kegiatan malamnya terganggu. Dia tahu polis kini ada berkawal di setiap persimpangan di kampung Bukit Penak. Dari jam sebelas hingga lima pagi mereka akan berkawal bersama rukun tetangga dan RELA. Sebab itulah dia tidak ke sana pada malam itu, sebaliknya mengunjungi Lydia. Dia tidak tahu apakah dia akan ke hotel ataupun tidak? Dia juga tidak berani hendak memandu keretanya lagi. Petang tadi dia menghantar keretanya ke workshop untuk diservis.
Dia belum mengambil keretanya itu. Dia menaiki teksi dan turun di hadapan Reno’s Pub. Kemudian berjalan kaki merentasi dua blok bangunan kedai yang kosong, barulah dia tiba di rumah itu. Malam ini dia tidak akan ke mana-mana. Sebenarnya dia takut hendak ke mana-mana, kerana dia tahu polis sudah pun datang ke pub itu. Dia akan ‘menemani’ Lydia dan bercerita apa saja dengannya.
“Engkau memang dah buat salah…” Kata Harith Rafeeq ketawa. “Engkau silap kerana bercinta dengan Ryean Eiman.”
“Agh!” Lydia memaling muka.
“Engkau tak percaya? Engkau tahu Ryean Eiman tu kekasih siapa?”
Lydia memandang muka Harith Rafeeq.
“Dia kekasih emak tiri engkau… Mirinda. Dah lama mereka bercinta.”
“Bohong!!!” Tengking Lydia. “Engkau sengaja hendak memburuk-burukkan dia supaya aku benci. Bukan aku tak tahu tujuan jahat engkau! Aku tak percaya walaupun sepatah kata-kata engkau…”
“Tak percaya? Engkau hendakkan buktinya?” Tanya Harith Rafeeq.
Muka Lydia masam mencuka. Dia tidak sudi memandang Harith Rafeeq yang ketawa terus menerus.
“Mirinda seorang wanita yang menawan, tetapi tidak pernah setia. Tidak pernah setia pada satu lelaki. Dia jalin hubungan dengan Ryean Eiman, dia juga jalin hubungan dengan aku. Tak percaya? Nah! Baca mesej yang dia hantar kepada aku petang tadi.. Ambik! Baca!!” Tengking Harith Rafeeq sambil menyuakan handphonenya.
Dia membaca mesej yang terpapar di permukaan skrin handphone Harith Rafeeq. Memang itu adalah nombor telefon Mirinda.
Mesej itu berbunyi; SELESAIKAN KERJA ENGKAU CEPAT. BUNUH MEREKA BERDUA. AKU SUDAH TERLALU RINDUKAN RYEAN, INGIN SEGERA BERSAMANYA!
Lydia membuang handphone Harith Rafeeq ke tepi. Dia menangis semahu hatinya. Saat itu dia merasakan lebih rela mati daripada terus hidup.

No comments: