Thursday, June 26, 2008

Antara Dua Hati - Bab 24

Bab 24

AKU benci menunggu, kerana aku tidak punya kesabaran yang tinggi… Bentak hati Harith Rafeeq. Sudah tiga gelas minuman yang diisi dan dituang kedalam mulutnya dengan rakus. Namun insan yang dinanti tidak kunjung tiba. Tangannya memberi isyarat meminta segelas lagi. Bar tender menuang minuman lagi ke dalam gelas. Ini gelas terakhir! bisik hatinya. Jika Mirinda tidak datang… Lupakan saja!
Tapi wanita itu istimewa. Dia tidak boleh dilupakan begitu saja. Isteri seorang hartawan tua, memiliki syarikat perumahan gergasi, mempunyai seorang anak gadis yang jelita. Dalam masa beberapa hari dia sudah tahu segalanya tentang Mirinda. Pertemuan di hadapan bank beberapa hari lalu adalah satu kebetulan yang menguntungkannya. Rupa-rupanya setiap peristiwa itu saling kait mengait dan saling jalin menjalin. Dia agak terkejut sebenarnya melihat kaitan antara mereka.
Dia tahu gadis itu bernama Lydia atau panggilan manjanya Diya. Dia juga maklum siapa Diya di sisi Ryean Eiman. Dia tahu segala-galanya. Dia adalah seorang pemerhati yang cekap, pemburu yang tidak pernah tewas dan kekasih yang tidak pernah kenal erti kecewa. Tidak. Dia mesti terus menanti Mirinda, biarpun masa terus berputar…
Harith Rafeeq mengerti benar bahawa hidup bukan mudah. Namun dia belajar menjadi seorang yang mudah menghadapi segala-galanya. Tiada yang sukar dalam hidup ini, selagi kita percaya ianya punya jalan untuk diselesaikan. Siapa yang percaya, dia akan berjaya mencapai apa yang dihajati. Lihat sajalah dirinya sendiri… Dari manakah dia datang?
Bermula dengan sepasang kaki yang lemah dan kecil, akhirnya dia dapat mengumpul begitu banyaknya jumlah kekuatan hingga dapat berlari dengan tangkas dan akhirnya bisa terbang umpama burung.
Dia minum lagi, kali ini dia tidak tahu gelas yang ke berapa. Tidak kuasa dia mengira lagi. Matanya semakin berpinar-pinar dan dia hampir-hampir jatuh daripada bangku tinggi yang sedang didudukinya.
“You were drunk, Mr…” Kata seorang pelayan kelab itu sambil memegang bahunya. “Let me help you walk to your car.”
“No!” Dia menggoyangkan tangannya. Dia tidak mahu dibantu. Harith Rafeeq duduk semula dengan tegak, memandang sekeliling dan matanya terpaku pada seorang wanita yang baru muncul memakai sepasang baju berwarna merah lada. Antara mabuk dan tidak dia melihat wanita itu tersenyum.
“Sorry… lambat.” Seru Mirinda, datang mendekatinya lantas duduk. “I sukar untuk meloloskan diri dari rumah tadi. Ada majlis di rumah. Dan I berkonfrontasi dengan hubby I yang tak mahu I keluar meninggalkan tetamu. So, I terpaksa tunggu sehingga majlis usai.”
“Yes, of course. Apa-apa alasan pun you boleh berikan sebab I takkan tahu perkara sebenar…”
“Hei…” Mirinda tidak suka cara Harith Rafeeq yang nyata sukar untuk meletakkan kepercayaan. “Bertenang. You mabuk ni…” Kata Mirinda sambil meletakkan tapak tangannya di dada Harith Rafeeq. Dia cuba menenangkan fikiran lelaki itu yang sedang bercelaru. Arak memberikan impak yang negatif kepada diri dan mindanya. “Mari I bawa you ke suatu tempat yang boleh beri you ketenangan.”
Harith Rafeeq tidak menyahut lagi, dia benar-benar sudah mabuk. Dia membiarkan sahaja Mirinda memimpinnya pergi meninggalkan tempat itu.

TIADA sesiapa yang marah pada kau Harith Rafeeq. Kami hanya menghukum untuk menyedarkan kau. Kau mesti belajar untuk memahami diri kau sendiri dengan lebih baik. Kau bukannya anak kandung kami. Jadi kau mesti tunjukkan yang kau seorang anak yang tahu membalas kebaikan dan budi kami selama ini. Kemudian kau akan faham mengapa kami lakukan ini semua padamu.
Dia tidak pernah mengerti, mengapa dia terus dihukum. Dia merasakan setiap apa yang dilakukannya itu betul, kerana setiap kanak-kanak lain turut melakukannya. Tetapi ibubapanya tetap menunjukkan sikap dingin, tiada kemesraan dan selalu sahaja menyalahkan dirinya.
“Kami bosan dengan sikap kau Harith Rafeeq. Kau ni terlalu nakal. Kau ni memang seorang anak yang susah diurus.” Demikian ibubapanya selalu berkata; “Kami menyesal mengambil engkau sebagai anak kami. Kau tak pandai membalas jasa kami, kau sebenarnya tidak tahu menghargai apa yang kami berikan pada kau. Kami dah berikan kesenangan, kasih sayang dan perlindungan. Semuanya cukup…”
“Kalau kau tetap degil, melawan dan tidak mahu mendengar kata-kata kami, kami terpaksa menghukum kau lagi. Kali ini hukumannya lebih berat…”
Harith Rafeeq tidak pernah peduli, dia tetap membuat apa yang disukainya. Kalau dihukum sekali pun dia tetap menerimanya. Dia malah selalu bersedia untuk dihukum. Terkadang dia sendiri membawa rotan kepada bapanya lantas menghalakan punggungnya supaya dipukul.
Harith Rafeeq merasa satu kekurangan apabila mengetahui dia bukanlah anak kandung ibubapanya. Dia anak entah siapa… Ibunya tidak menginginkan dirinya lantas memberinya kepada orang lain. Sejak itu dia mulai menanam rasa benci pada ibu kandungnya. Suatu masa dia akan mencari ibubapa kandungnya, menghukum mereka di atas kesilapan mereka menyerahkannya kepada orang lain. Dia akan menghukum mereka kerana tidak menyayangi dan memberikan perlindungan kepada tubuh kecilnya selalu dipukul, dicaci dan dimaki.
Dia pernah mendengar orang berkata bahawa anak itu adalah amanah dari Tuhan. Tetapi mengapa ibubapanya tidak menjaga amanah tersebut. Setiap kali dia memikirkan tentang kedua-dua ibubapa kandungnya, dia akan menangis dan berjanji pada dirinya sendiri akan datang mencari mereka.
“Tunggulah ibu! Tunggu! Aku akan datang! Akhirnya aku akan dapat cari kau, ibu! Kau kejam! Sekarang kau akan tahu, anakmu datang untuk menuntut kembali masa-masa lalu yang telah hilang!”
Tiba-tiba dia mendengar suara Mirinda. “Cubalah minum kopi ni, pasti boleh buat mabuk kau hilang.”
Dia mengangkat kelopak matanya, terkejut apabila menyedari dia sudah berada di tempat lain yang amat asing sekali. Tetapi bau kopi yang mencucuk hidung membuat perutnya rasa senak. Dia bangun, sambil memekup mulut. Mirinda terus menunjuk arah bilik air kepadanya. Harith Rafeeq terus muntah di dalam mangkuk tandas.
Tidak lama kemudian dia keluar dari bilik mandi, perutnya rasa selesa walaupun tekaknya agak perit.
“Malam tadi, I tidur di sini?” Dia bertanya sambil memerhati sekeliling sekali lagi.
Mirinda mengangguk. “Ya.” Jawabnya sepatah.
“You?”
“I langsung tak boleh lelap. Macamana I nak tidur, bila you asyik bermimpi. Menjerit dan melolong, marah dan entah apa-apa. Nampaknya you ada masalah dengan ibu bapa you hingga terbawa-bawa dalam tidur. Kenapa? I tak sangka lelaki sekacak you ni punya masalah demikian. You marah betul dengan ibu bapa you. Dalam tidur you mengancam mereka…”
Wajah Harith Rafeeq jadi masam, matanya memandang tajam ke arah Mirinda. Namun begitu cepat pula wajahnya menjadi tenang dan manis semula. Dia bersuara tenang dan selamba; “You nak dengar peraturan tentang hidup tak?”
“Apa?” Tanya Mirinda tidak berminat. Dia sebenarnya bencikan peraturan-peraturan! Dia suka buat apa saja.
“Hidup kita kena ada peraturan. I diajar tentang peraturan ni sejak berumur dua tahun. Peraturan yang ke enam; jangan percaya apa yang dikatakan oleh orang mabuk!”
“Oh! Ada ke peraturan macam tu!” Kata Mirinda sambil mengangkat kening.
Tangan Harith Rafeeq bergerak mencapai cawan kopi. Diminumnya dengan rakus. Dia tidak tahu sejauh manakah dia telah membuka rahsia dirinya di hadapan Mirinda. Harapannya dia tidak meracau perkara yang bukan-bukan. Sepatutnya dia tidak minum sampai mabuk semalam dan tidak perlulah dia tidur di tempat yang asing seperti rumah ini.
“Walau macamana pun I ucapkan terima kasih sebab bawa I balik. Sebenarnya dah lama tak minum sebab tu lah minum sikit aje dah mabuk.” Harith Rafeeq mengakui bahawa dia memang mabuk teruk semalam.
“Tak mengapalah…” Balas Mirinda. “You dah sedar, I tinggalkan kunci rumah di atas meja. I nak balik dulu. Kalau you nak keluar nanti, letak saja kunci dibawah pintu.”
Harith Rafeeq mengangguk hanya memerhati sahaja Mirinda membalikkan badannya, berlenggang ke pintu sambil tersenyum. Dia dah tahu rahsiaku… Bisik hati Harith Rafeeq. Buat pertama kalinya dia merasa dirinya tidak selamat!

No comments: