Bab 29
KETIKA Lydia melintasi ruang dapur yang terang, dia mendapati Basyira sudah naik ke tingkat atas. Lampu dapur masih terpasang terang. Lydia bergerak mendekati suis, ingin memadamkan cahaya lampu itu tetapi terhenti apabila terdengar bunyi di tepi pintu. Tentu comot mencakar daun pintu, hendak masuk… bisik hati Lydia.
Memang kebanyakan kucing suka keluar memburu pada waktu malam. Deria baunya sangat kuat, pendengarannya tajam dan matanya akan bertukar menjadi besar dan terang, amat peka kepada cahaya. Namun apabila ia sudah puas menjelajah di luar, comot suka tidur di hujung katil Lydia, merasai kehangatan kaki gadis itu.
Ia akan mengerang perlahan, menandakan ia benar-benar selesa berada bersama gadis itu setiap malam hingga ke pagi. Selalunya apabila pagi menjelma, ia akan berbunyi dengan kuat untuk membangunkan Lydia. Sejak berada di rumah itu Lydia amat menyenangi comot.
Lydia bergerak ke pintu untuk membenarkan comot masuk. Namun ketika pintu terbuka, comot tiada di situ sebaliknya sepasang tangan yang bersarung tangan hitam memekup mulutnya lantas mengilas tangannya ke belakang tanpa sempat dia berbuat apa-apa. Dia meronta-ronta sekuat tenaga yang ada. Daun pintu ditutup perlahan oleh lelaki itu membuat suasana di luar terus gelap gelita.
Mulutnya terus ditutup dan diheret beberapa meter ke belakang rumah. Lydia benar-benar ketakutan, seluruh tubuhnya lemah. Kakinya yang tidak beralas apa-apa terasa basah, melekit dengan lumpur bercampur air. Petang tadi hujan turun dengan lebatnya. Dia mulai menggigil kerana kedinginan. Di luar malam gelap pekat ditambah rintik-rintik hujan yang menitis dari perut langit.
Penyerangnya memusing badan Lydia supaya menghadapinya dan dengan pantas menampar mukanya. Kepala Lydia terasa pening dan nanar, tetapi dia masih belum rebah. Mulutnya terasa panas, darah keluar membuak perlahan. Telinganya juga rasa berdengung dengan kuat. Dia ingin menjerit tetapi suaranya tersekat.
Penyerangnya mengeluarkan sebilah pisau lantas mengacukan ke dadanya, membuat dia tidak mampu menjerit. Tiba-tiba dia mendengar suara lelaki itu berbisik di telinganya; “Saat-saat akhir sudah tiba bagi engkau… Lydia binti Datuk Rustam. Engkau akan mati malam ini.” Suara itu terdengar berbisik garau.
Lydia mendapat kekuatan apabila mendengar perkataan ‘mati’. Dia tidak mahu mati. Dia masih muda dan harapannya menggunung tinggi untuk terus menghirup nafas di bumi ini. Jika dia harus mati, biarlah berjuang habis-habisan untuk menentukan bahawa dia tidak akan mati dengan begitu mudah.
Hatinya berbisik dan berdoa. Tuhan! Selamatkan aku daripada petaka ini! Dia hanya mengagak sahaja lantas terus menendang. Tendangannya tepat mengenai celah kelangkang lelaki itu. Lelaki itu terperanjat. Lydia menggagau ingin melarikan diri dalam kegelapan yang pekat itu. Dia lari tidak tentu arah sambil menjerit kuat. Lelaki itu menerkam, lantas membuat tikaman secara rambang. Lydia merasa bahunya pedih yang amat sangat. Dia melolong kuat, sambil meraba bahunya yang terasa basah dengan darah, tubuhnya terus rebah ke atas rumput. Segalanya hilang begitu sahaja…
Lydia menjerit lagi. Segala yang berlaku berulang semula dalam mimpinya yang panjang. Dia membuka mata, menyangka bahawa dia masih lagi berada di dalam kepekatan malam dan kedinginan yang mengelilinginya. Namun dia terperanjat merasai dia berada dalam suasana terang, dan sebuah tangan yang hangat sedang menggenggam tangannya.
“Ibu!” Serunya lantas terus bangkit untuk memeluk Basyira. “Diya takut!” Tubuhnya bergegar. Bahunya rasa sakit akibat gerakan keras yang dilakunya tanpa sedar.
“Shhh… Jangan takut. Ibu ada di sini…” Seru Basyira.
“Sakit ibu…” Adu Lydia sambil mengaduh, airmatanya berjuraian kerana rasa sakit yang menggigit kuat disertai dengan rasa takut yang masih menguasai dirinya.
“Baring semula Diya… Bahu kau cedera. Jangan banyak bergerak.”
Lydia mulai tenang semula lantas meletakkan kepalanya di atas bantal. Tangan Basyira terus menggenggam tangannya dengan erat. Tangan kiri Basyira mengelap airmata Lydia dengan penuh kasih dan berkata perlahan; “Ibu dah call papa kau malam tadi tapi Mirinda beritahu yang papa sudah berangkat ke Makkah mengerjakan umrah.”
Lydia mengangguk perlahan. Dia tahu papanya akan mengerjakan umrah tetapi tidak menyangka pemergiannya adalah pada hari dia ditimpa malang. Tidak lama kemudian Ryean Eiman datang membawa bakul berisi buah-buahan dan sejambak bunga mawar merah yang besar. Basyira bangun membiarkan Ryean Eiman bersama Lydia. Dia sudah semalaman menemani gadis itu. Malah malam tadi dia tidur di hospital.
Dan pagi ini dia tidak tahu apakah dia akan pulang ke rumah ataupun terus berada di situ. Apa yang menimpa Lydia memang mengejutkan semua orang, seolah-olah di Kampung Bukit Penak kini tidak lagi selamat untuk didiami.
Basyira memerhati Ryean Eiman dan Lydia yang hanya saling merenung antara satu sama lain, tiada bicara yang tercetus antara kedua-duanya. Ryean Eiman tidak akan mendesak Lydia bercerita apa yang berlaku kerana dia tahu gadis itu masih berada dalam trauma. Dia menggosok tangan Lydia dengan lembut, kemudian membongkok lantas menciumi dahi gadis itu.
Lydia tersenyum pahit. Ryean Eiman berpaling kepada ibunya lantas berkata; “Semalam saya ajak Pakcik Basha ke hospital tetapi dia tidak mahu. Dia hanya berkirim salam.”
Basyira diam dan hanya mengangguk sahaja. “Pagi tadi dia ada datang ke rumah, bertanya tentang Diya. Saya kata Diya dah dimasukkan ke wad. Sekali lagi saya ajak dia pergi, tetapi dia tidak mahu. Hanya menitipkan salam saja pada Diya dan ibu.” Ryean Eiman menelan airliur, diam sejenak dan berkata lagi; “Pakcik Basha beritahu tadi, Rukun tetangga di kampung akan mulai berjaga malam ini. Anggota polis dan rela juga akan menyertai, berkawal di kampung. Perkara ini memang tidak boleh dibiarkan. Nampaknya Pakcik Basha amat prihatin terhadap keselamatan you, Diya.”
Lydia menganggukkan kepalanya. “Kata papa, pakcik Basha tu sepupunya.”
“Ya. I tahu. Datuk ada beritahu hendak beri dia sepuluh buah unit rumah.” Kata Ryean Eiman pula sambil berpaling pada ibunya; “Ibu baliklah, biar saya temani Diya hingga ke petang. Nah! Ambil kunci kereta saya ni…”
Basyira mengangguk. Memang dia perlu mandi dan berehat sebentar di rumah. Basyira mendekati Lydia yang terbaring. Dia mencium dahi gadis itu dengan lembut, memberikan senyuman tulus dan berkata; “Ibu balik dulu. Nanti ibu datang lagi pada sebelah petang.”
Lydia mengangguk. Dia menggosok bahu Ryean Eiman perlahan menganggukkan kepalanya dan terus berjalan keluar dari bilik itu. Basyira memandu pulang dengan kereta Ryean Eiman.
Tiba di rumah dia merasakan suasana rumah begitu sepi dan terasing. Kemalangan yang menimpa Lydia membuat hatinya rasa risau berpanjangan. Melihat kepulangannya, beberapa orang jiran terdekat dengan rumah Basyira datang untuk mengetahui tentang keadaan Lydia. Basyira memberitahu Lydia selamat dan masih dirawat di hospital. Tidak lama selepas kepulangannya, Basha pula muncul bersama motorsikal honda buruknya.
Tetapi lelaki itu tidak masuk ke perkarangan rumah Basyira. Dia mengelilingi bahagian luar pagar rumah Basyira, bergerak hingga ke belakang rumah. Pintu pagar bahagian belakang rumah memang tidak pernah berkunci. Pintu pagar itu menghala ke kebun pisang. Memang di situ semak samun agak tebal, sudah lama Basyira tidak mengupah orang menebas lalang dan semak.
Basha kelihatan sedang memeriksa pintu pagar belakang. Kemudian dia bergerak ke arah tempat Lydia di temui di luar pagar, berhampiran dengan kebun pisang. Basyira memerhati sahaja aksi Basha dari arah tingkap dapur rumahnya. Basha tahu Basyira sedang mengawasinya. Tidak lama kemudian dia berjalan masuk melalui pintu pagar dan menghala ke pintu dapur Basyira yang terbuka luas.
“Syira! Elok pintu pagar belakang tu dipasang kunci.” Katanya tanpa menunggu jawapan Basyira dia menyambung. “Syira baru balik dari hospital?”
Basyira mendekati pintu dan berkata; “Ya.”
“Macamana keadaan Lydia?”
“Dia mengalami luka di bahu. Lukanya tidak begitu dalam. Kata doktor tiada apa yang perlu dikhuatirkan. Paling lama pun seminggu dia akan berada di wad.”
Basha mengangguk. “Baguslah.” Jawabnya.
“Apa yang abang cari di belakang tu tadi?”
“Tak apa-apa… tengok-tengok aje… Tak ada apa-apa bukti yang ditinggalkan oleh penyerang tu.” Kata Basha. “Cekap betul. Hari tu kan abang dah cakap pada Syira ada orang yang sedang mengintip rumah ni!”
Bibir Basyira tercebik. Orang lain ataupun engkau sendiri, Basha… Gerutunya di dalam hati. Sengaja engkau reka-reka cerita untuk tutup perbuatan buruk engkau yang suka mengintai orang. Hmmm… Aku takkan letak kepercayaan pada engkau lagi.
“Oklah.” Kata Basha. “Balik dulu. Syira seorang diri aje kan? Tutup semua pintu dan kunci dari dalam. Kalau ada apa-apa hal yang mencurigakan telefon polis segera.” Pesannya.
“Tahulah saya!” Jawab Basyira agak kasar.
Basha berpaling. Hatinya tersayat. Dia tahu Basyira masih belum memaafkannya.
HARITH RAFEEQ duduk di sofa, di ruang lobi hotel, menunggu untuk membuat daftar keluar dan menyelesaikan bayaran. Biarpun dia memberitahu akan menginap selama tiga hari tetapi dia melanjutkannya ke seminggu. Tempoh itu sudah habis, dia membuat keputusan untuk meninggalkan hotel itu.
Pagi itu Mimi Ainina tidak bertugas. Dia memang sengaja memilih untuk keluar pada saat gadis itu tidak bertugas. Biarpun Mimi Ainina tidak bertugas, tetapi dia tahu Harith Rafeeq akan pulang ke Kuala Lumpur. Sebaik selesai membuat bayaran nanti, mereka akan bertemu.
Penyambut tetamu memanggil Harith Rafeeq, menyerahkan semula kad kreditnya dan memberikan resit bayaran hotel selama seminggu. Harith Rafeeq tersenyum menerima ucapan mesra daripada penyambut tetamu lelaki itu; “Selamat jalan dan datang lagi ke hotel kami!”
Tak perlulah kau ucapkan selamat jalan kepadaku… bisik hati Harith Rafeeq kerana aku belum mahu meninggalkan daerah ini! Cuma aku bertukar hotel lain, tidak boleh dikenali dan dilihat orang di tempat yang sama lebih lama daripada seminggu.
Sepuluh minit kemudian dia sudah pun meninggalkan kawasan hotel itu dan memandu menuju ke rumah sewa Mimi Ainina. Dia akan menghabiskan masanya bersama gadis itu sepanjang hari sebelum mencari tempat menginap yang lain menjelang malam nanti. Dia sudah pun merancang hendak menginap di mana.
“You pernah pergi ke air terjun Teladas?” Dia bertanya Mimi Ainina yang sudah pun duduk di sampingnya. Gadis itu berpakaian ringkas, hanya jean biru muda dipadankan dengan baju singkat yang ketat, menampakkan lekuk-lekuk di badannya. Mata nakal Harith Rafeeq sempat menjeling dan terlihat pangkal payu dara gadis itu dari sebalik bajunya yang berleher luas.
Kulit Mimi Ainina sedarhana, tidak terlalu putih dan tidak pula gelap. Dia agak cantik, cuma rambutnya kelihatan mengganggu. Kepalanya nampak besar kerana rambutnya yang panjang dan tebal.
Mimi menggelengkan kepalanya.
“Kita pergi ke sana.” Kata Harith Rafeeq. “Tetapi sebelum tu kita pergi ke salon rambut dulu…”
“Buat apa?” Tanya Mimi Ainina tidak mengerti.
“You perlukan fesyen rambut baru. Kepala you nampak besar. Muka you tak sesuai berambut panjang…” Katanya tersenyum dan mengenyitkan mata. “Percayalah, you akan lebih cantik bila berambut pendek.”
Mimi Ainina diam. Dia tidak boleh marah. Hatinya memang amat menyukai anak muda di sisinya itu. Justeru itu dia akan menurut sahaja. Mereka pergi ke salon rambut, Harith Rafeeq melihat dan menunggu Mimi Ainina memotong rambutnya. Dia menanti dengan sabar, sejam berlalu begitu saja. Duduk di situ dengan hanya membelek majalah, tidak langsung membuat dia bosan. Malah dia sempat memasang telinga, mendengar perbualan antara Mimi Ainina dan perempuan cina yang menggunting rambutnya di salon itu.
“Boyfriend you?” Dia bertanya.
Mimi Ainina hanya tersenyum.
“Baik dan kacak. Sanggup tunggu girlfriend potong rambut.” Harith Rafeeq yang mendengar perbualan itu tersenyum dari jauh. Dia tahu apa yang dilakukannya. Dia adalah seorang pemuda yang baik dan berhemah tinggi. Dia mempunyai citarasa yang tinggi, pemilih dan amat sukakan kesempurnaan.
“Kan betul apa yang I cakap… You nampak lebih cantik dengan berambut pendek.” Kata Harith Rafeef ketika mereka berjalan keluar daripada salon rambut. Kali dia memegang tangan Mimi Ainina dengan mesra dan berkata; “Kita pergi beli ayam goreng dulu, supaya dapat dibawa ke tempat perkelahan. I nak bersama you dalam tempoh yang lama di sana. OK?”
Mimi Ainina hanya mengangguk. Mereka berjalan melalui kaki lima kedai yang panjang. Tiba di sebuah kedai pakaian, Harith Rafeeq menarik Mimi Ainina supaya masuk. “I yakin you tak bawa baju spare untuk mandi nanti. Biar I belikan you sehelai baju, untuk kenangan supaya you takkan lupa pada hari-hari yang indah yang pernah kita lalui bersama.”
Bagai lembu dicucuk hidung sekali lagi Mimi Ainina hanya mengikut.
Lewat tengahari baru mereka tiba di air terjun Teladas yang terletak di Maran. Suasana memang mengasyikkan, dari jauh sudah terdengar bunyi airterjun yang tinggi bertingkat-tingkat. Suasana hutan yang menghijau mengelilingi mereka, bunyi ungka, kera dan unggas saling tingkah meningkah.
Harith Rafeeq membawa makanan dan minuman lantas meletakkannya di atas meja kayu yang disediakan. Hari itu bukanlah hari minggu. Jadi kawasan itu benar-benar lengang dan hampir-hampir tidak berorang langsung. Jika hari minggu tempat itu selalu penuh dengan orang yang mandi manda dan berkelah.
Di hilir sungai yang cetek kelihatan beberapa orang budak lelaki leka mencari ikan-ikan kecil. Suara mereka begitu riuh dan girang. Selain daripada budak-budak itu tiada sesiapa lagi di situ. Tiada sebuah kereta pun yang parkir di tempat letak kereta, melainkan kereta milik Harith Rafeeq.
Mimi Ainina memerhati sekeliling kawasan itu. Kemudian matanya beralih ke arah Harith Rafeeq yang sedang merenungnya tidak berkelip.
“Kenapa?” Tanya Mimi Ainina hairan melihat lelaki itu menatapnya begitu.
“You sebenarnya seorang gadis yang cantik…”
Mimi Ainina tersenyum, kembang hatinya menerima pujian itu. Dia juga tidak menyangka perhubungan antaranya dengan Harith Rafeeq berlanjutan. Sudah dua kali mereka bertemu. Dia tidak sangka dia akan keluar lagi dengan pemuda itu.
“Ceritakan pada I tentang keluarga you.” Pinta Harith Rafeeq sambil membuka kotak ayam goreng. Dia turut membuka botol minuman dan menuang air coke ke dalam gelas kertas di hadapan mereka. Mereka mulai makan perlahan-lahan.
“I mempunyai enam orang adik beradik…” Mimi Ainina bercerita tentang keluarganya penuh ceria. Betapa gembiranya kehidupan yang dilalui di samping ibubapa dan adik-beradiknya. Mereka saling sayang menyayangi. Apabila lama tidak bertemu Mimi Ainina tidak sabar untuk pulang ke kampung menemui ibubapa dan adik-adiknya. Dia anak sulung. Jadi dia tidak pernah lupa untuk membeli makanan kegemaran adik-adik. Dia juga akan memberikan emaknya sedikit wang hasil daripada gajinya walaupun emaknya enggan menerima wang itu. Emaknya mahu dia membelanjakan wang gajinya untuk kegunaan sendiri. Atau pun disimpan untuk masa-masa susah.
“Emak you sayangkan you… Pernahkah dia membeza-bezakan antara you dan adik beradik yang lain?”
Mimi Ainina menggelengkan kepalanya. “Emak tak pernah beza-bezakan kami. Malah emak sayang semua anak-anaknya. Kasih sayang yang diberi sama rata. Apabila salah seorang anaknya tiada pada waktu makan, mulalah emak susah hati. Emak akan ambil sedikit lauk dan sayur untuk disimpan supaya boleh dimakan oleh anaknya apabila dia balik nanti.”
“Emak you memang baik kalau begitu.” Kata Harith Rafeeq.
“Emak you?” Tiba-tiba Mimi Ainina bertanya. Pertanyaan itu membuat Harith Rafeeq tersentak. Dia diam sahaja sambil matanya memerhati ke bawah tebing. Budak-budak tidak kelihatan lagi. Entah ke mana pula mereka bergerak. Barangkali sudah meninggalkan kawasan itu.
“Eh, budak-budak dah tak ada. Bolehlah kita mandi tanpa gangguan.” Kata Harith Rafeeq tanpa menjawab soalan Mimi Ainina.
Mereka berdua turun mandi dan bermain seperti dua orang kanak-kanak, saling simbah menyimbah air, berkejaran di air yang cetek hingga kepenatan. Mereka akan naik ke atas batu besar, berjemur sejenak untuk mengeringkan baju yang basah kemudian turun mandi semula. Bila bermain air begitu, perut cepat menjadi lapar. Mereka naik semula ke darat, menikmati sisa ayam goreng yang masih ada. Saling berebut dan ketawa apabila yang tinggal hanya tulang-tulang ayam yang berselerakan di meja.
Tiba-tiba Harith Rafeeq mengeluarkan sebiji epal merah yang besar dan berkilat dari dalam poket jaketnya digantungkan ke kerusi kayu. Digigitnya dengan rakus, kemudian berlari turun lagi ke sungai sambil dikejar oleh Mimi Ainina. Mereka saling berebut epal nan sebiji namun akhirnya berkongsi makan bersama.
Harith Rafeeq benar-benar gembira, bukan kegembiraan yang pura-pura sahaja. Naluri keanak-anakannya kembali menguasai diri. Dia terasa bagaikan kembali menjadi kanak-kanak berusia tujuh tahun, baru mengenal kawan dan kegembiraan menikmati dunia yang terbentang.
Zaman kanak-kanak yang indah tidak pernah dinikmatinya. Saat itu dia tidak ingin mengingati betapa sejak kecil dia didera dengan kejam oleh kedua-dua ibubapa angkatnya. Mereka selalu menyatakan dia jahat, anak yang tidak tahu diuntung, anak yang hanya menyusahkan mereka. Mereka menyata penyesalan yang tidak berkesudahan kerana memelihara Harith Rafeeq dan sentiasa mahu menyerahkannya kembali kepada Basyira dan Nordin. Tetapi mereka tidak pula pernah berbuat begitu, mereka lebih senang terus mendera perasaan Harith Reafeeq dan memaksa dia menuruti semua kehendaknya.
Ketika berusia 15 tahun bapa angkatnya meninggal dunia. Selepas kematian bapa angkatnya, ibu angkat Harith Rafeeq mulai menyesal. Dia berubah menjadi seorang ibu yang baik, selalu menasihati Harith Rafeeq supaya belajar dengan tekun, kerana hanya ilmu yang akan membuat hidup dihormati orang. Saat itu kasih sayang Harith Rafeeq buat ibu angkatnya sudah lama hilang, yang ada hanya dendam dan benci. Dia tetap meneruskan pelajarannya kerana dia tidak mahu menjadi orang yang bodoh dan dungu. Suatu hari dia mesti tumbuh menjadi seorang yang berilmu…
Tepat jam empat Harith Rafeeq menghantar Mimi Ainina pulang. Mereka bertukar-tukar senyum dan saling melambai riang. Harith Rafeeq tidak tahu apakah dia akan mencari Mimi Ainina lagi. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Matanya memerhati jam. Masih sempat untuk pergi ke makmal tempat dia membuat ujian Deoxyribonuclerc Acid atau DNA dahulu. Dia sebenarnya terlupa untuk mengambil hasil ujian tersebut.
Apakah benar Nordin adalah bapa kandungnya sebagaimana yang tercatat di dalam sijil kelahirannya. Jika benar, bermakna pencariannya sudah pun tiba ke penghujung. Saat untuk membalas dendam sudah pun semakin hampir. Rasa hatinya lega apabila dia tiba di makmal itu yang masih dibuka.
Petugas di situ memberikannya sebuah sampul surat bergam setelah dia memperkenalkan diri. Harith Rafeeq mengambil sampul surat itu, dia terus membukanya sambil berjalan kembali ke kereta. Dia membaca bahagian yang paling penting di dalam surat itu; “MATCH. YOU ARE THE SON OF NORDIN BIN HARUN.”
Dia memerhati isi surat itu dengan airmata berlinangan. Memang dia telah bertemu dengan ibubapanya. Tetapi mereka tidak mahukan dirinya, tidak pernah mengingatinya dan mencampakkannya ke sebuah neraka dunia.

No comments:
Post a Comment