Tuesday, August 5, 2008

Rahsia Cinta Semalam 1-15


Bab 1

BAHAGIAN I
RAHSIA HATI JULIA AFIQAH

AKU merasa diriku bodoh, biarpun sedang dikelilingi buku-buku yang banyak di dalam perpustakaan ini. Bodoh kerana menyembunyikan perasaanku kepadanya. Aku juga merasa cukup kerdil dan hina kerana punya hati untuk menyintai dan merinduinya. Sedangkan dia tidak pernah punya sebarang ‘rasa’ terhadapku. Dia hanya melihatku sebagai seorang adik. Adik manis yang pernah dikendungnya suatu masa dulu. Maklumlah antara aku dan dia berbeza usia sepuluh tahun. Dia pernah menjulang dan mendakap tubuh kecilku penuh kemesraan. Aku bukan adik kandungnya. Aku hanya orang menumpang di rumah ini sejak aku berusia lima tahun. Aku ditinggalkan emak dan ayah tercinta yang lebih dahulu menyahut seruan Ilahi. Pun sikapnya tika meladeniku sejak kecil tidak pernah kulupa. Mengingati kisah lama itu membuat mataku berair dan pedih. Sebenarnya aku tidak ingin mengenangnya, tetapi di saat-saat begini aku akan mulai teringatkan emak dan ayah. Alangkah bagusnya jika ayah dan emak masih ada. Pasti aku punya tempat mengadu. Punya tempat untuk berteduh bukannya menumpang di rumah orang, walaupun orang itu adalah kakak emakku sendiri. Dan kini aku terpaksa menurut apa saja keputusan Mak Lang demi rasa terhutang budi. Kesunyian kian melebar apabila seorang demi seorang anak-anak Mak Lang berkahwin. Kak Teh Nora dan Kak Su sudah lama bernikah, meninggalkan rumah ini mengikut suami masing-masing. Aku tiba-tiba jadi takut. Apakah aku juga akan menurut jejak Kak Su... Terpaksa bernikah dengan lelaki yang tidak kukenal dan kucintai. Kupejamkan mata rapat-rapat, cuba melupakan peristiwa minggu lepas. “Keluarkan piring dan cawan yang baru Kak Rita tu.” Kata Mak Lang apabila melihat aku ingin mengambil cawan dan piring yang biasa digunakan. Aku mengerti maksud Mak Lang. Cawan jenama vantage berbunga ros merah itu yang dimaksudkan. Cawan pemberian menantunya, Zarita isteri Abang Yahya beberapa bulan lepas masih belum ‘dirasmikan’ lagi. Aku mengangguk. Aku mengerti bahawa tetamu yang datang petang itu pastilah istimewa. Petang itu juga Mak Lang tidak membenarkan Kak Sabita memasak apa-apa. Sejak jam dua Kak Sabita berada di kamar tidurnya. Petang itu Mak Lang sendiri yang menyediakan bubur kacang bercampur durian. Bau bubur kacang menyengat hidung semasa ianya dituang ke dalam sebuah mangkuk besar. Mak Lang segera ke bahagian luar, bimbang hati tetamunya tersinggung jika ditinggalkan lama. Aku diarah membawa minuman dan bubur kacang tersebut ke ruang depan. Entah mengapa Kak Sabita tidak dibenarkan membawa minuman dan bubur itu. Di manakah Kak Sabita? Aku mengangkat dulang minuman terlebih dahulu. Kudengar suara perbualan yang begitu jelas sekali diiringi tawa. Saat tiba di ruang tamu kulihat dua lelaki berkupiah serta dua orang wanita berselendang sedang berbual dengan Mak Lang. Rancak sekali. Sementara di sebuah kerusi lain terlihat seorang lelaki dalam lingkungan 30an, mengenakan pakaian yang kemas. Aku hanya memandang sekilas pada semua yang ada sebelum meletakkan dulang. Cawan dan piring kuletakkan di atas meja kopi yang kosong. Saat itu baru aku menyedari bahawa Mak Lang dan Kak Sabita ada bersama tetamu-tetamu yang tidak kukenali pada petang itu. “Ini siapa? Masih ada anak dara yang lain di rumah ini rupanya?” Tanya wanita yang mengenakan selendang panjang berwarna hijau, sambil memandang padaku dengan senyuman yang tidak putus-putus. “Ni anak saudara saya. Anak arwahnya ada saya Mariam.” “Ooo… Anak Mariam rupanya!” Sahut lelaki tua berkupiah sambil menganggukkan kepalanya. Nyata dia kenal pada almarhum ibuku. Aku memandang mereka sekilas, memberikan senyuman ikhlas sebelum berlalu ke dapur semula. Tapi masih kudengar mereka mengemukakan pertanyaan; “Masih sekolah?” “Dah setahun lebih berhenti. Sekolah pun setakat tingkatan lima aje. Sekarang ni dia menolong saya di rumah ni, mengurus apa yang patut. Boleh diharap budak tu… rajin.” Jawab Mak Lang, begitu berterus terang tentang diriku. Tetapi tiada sesiapa pun menduga sikap terus terangnya itu telah menjerat diriku. Segala kebenaran ini amat pahit untuk kumamah. Bukan aku ingin membebankan Mak Lang. Jika boleh aku mahu mengorak langkah mencari kerja, tetapi Mak Lang dan Pak Lang tidak pernah mengizinkan. Mengapa ini harus terjadi? Pertanyaan itu tidak henti-henti menimpa diri. Mengapa sanggup Pak Lang dan Mak Lang melakukan ini semua padaku? Mereka tidak mahu menyimpan seorang lagi anak gadis di dalam rumah mereka. Mereka lebih rela melihat aku dinikahkan tanpa rasa cinta dan kasih sayang terhadap lelaki asing itu. Apakah mereka ingin melepaskan tanggungjawab yang selama ini membelenggu lantas menghilangkan rasa bersalah terhadap ibubapaku yang telah tiada itu? Kuseka airmata yang tiba-tiba mengalir. Kupandang tingkap cermin yang kelihatan kabur dibilas titisan hujan. Sejak kebelakangan ini hujan sering turun saban petang. Kesunyian kian terasa mencengkam. Rumah ini seolah-olah tidak berpenghuni. Aku tidak tahu apakah Kak Sabita masih di dapur. Apakah juadah yang disediakannya petang itu. Mak Lang pasti di kamarnya meladeni Pak Lang yang selalu sakit kebelakangan ini. Aku tahu Mak Lang amat mengasihiku. Dia melayanku dengan baik sekali. Apa saja yang dibeli untuk Kak Sabita, Kak Teh Nora dan Kak Adibah, aku akan turut mendapatkannya. Kadang-kadang Kak Teh Nora dan Kak Adibah memberikan aku baju-baju mereka yang kononnya sudah tidak muat lagi, padahal sebenarnya mereka menginginkan yang baru. Dan aku tanpa rasa malu menggayakannya ketika keluar bertemu dengan kawan baikku Umaira. Kulemparkan pandangan ke arah deretan eksiklopedia milik Abang Imran. Ada buku-buku agama kepunyaan Abang Yahya. Abang Yahya pernah belajar di Mesir, kini menjadi ustaz di sebuah sekolah agama di Kedah. Dan aku tidak pernah cuba hendak membaca buku-buku tersebut. Otakku cepat menjadi berserabut, cuba memahami apa yang tertulis di dalamnya. Dan aku selalunya tak faham! Hanya yang menarik minatku adalah novel-novel yang sering dibeli Kak Teh Nora. Dia amat meminati novel-novel Adibah Amin dan Khadijah Hashim. Semua novel-novel itu menjadi kesayangannya. Semasa aku masih kecil aku dilarang sama sekali menyentuh novel-novelnya. Apabila aku berusia tiga belas tahun barulah aku dibenarkan membaca novel tersebut. Antara novel-novel yang kubaca Seroja Masih Di Kolam dan Badai Semalam. Tetapi aku tak begitu memahaminya. Lantas ku katakan begini pada Kak Teh; “Tak sedaplah cerita ni Kak Teh. Adik tak faham pun. Best lagi cerita Nancy Drew ataupun Hardy Boys…” Kak Teh Nora hanya ketawa. “Memanglah kau belum faham baca kisah cinta begini. Belum masanya, sebab tulah Kak Teh tak benarkan kau membacanya lagi. Tunggulah umur kau dah lima belas tahu nanti, kau akan faham.” “Tiga tahun… Lambat lagi.” Rungutku sendiri, bagaikan tidak sabar untuk menjadi dewasa. Aku selalu melihat Kak Teh Nora berdandan dan terdorong untuk mengikutnya. Dan Kak Teh Nora dengan senang hati memakaikan aku bedak dan gincu kemudian mentertawakan lagak dan gayaku. “Tiga tahun tu lamalah adik. Pejam celik pejam celik dah tiga tahun. Ada apa-apa ke? Adik macam tak sabar nak bercinta ya?” Usik Kak Teh Nora. Mukaku jadi merah padam mendengar kata-kata Kak Teh Nora. Sekonyong-konyong seraut wajah itu datang menerpa ingatanku. Wajah Abang Imran yang tampan. Bagiku dia lelaki paling kacak dalam keluarga Pak Lang. Kulitnya agak gelap, tetapi hidungnya mancung. Matanya bersinar dan bibirnya sederhana, tidak tebal dan tidak nipis. Sempurna. Suaranya juga memikat. Dia suka berjenaka tetapi tatkala dia serius hatiku kecut juga dibuatnya. Pernah sekali Abang Imran muncul di hadapan pintu bilik tidur ketika aku sedang menyanyi dan menari di hadapan cermin selepas didandan Kak Teh Nora. Aku terkejut, jadi malu sekali. Cepat-cepat aku bersembunyi di bawah katil. Entah mengapa aku rasa malu pada Abang Imran. Pelik. Betul-betul pelik. Dengan orang lain aku boleh tahan, tapi kalau Abang Imran menatapku aku jadi tak keruan. Puas Kak Teh Nora memujukku tetapi aku tetap enggan keluar dari bawah katil. Dan semasa makan tengahari Abang Imran terus terusan mengusikku hingga dia dimarahi oleh Mak Lang. “Cantiklah adik bersolek tadi. Macam muka pelakon opera Cina.” Sindiran Abang Imran menusuk hingga ke hati. Aku bertambah malu. Bukan sindiran yang aku harapkan tetapi pujian darinya. Kadangkala Abang Imran memang sinis. Tetapi aku tetap suka padanya. Aku segera berharap dia akan berhenti menyindir dan membuat lelucon yang akan membuat semua orang ketawa. Cinta… Aku tidak tahu apa ertinya cinta. Apalah yang kutahu tika usia baru menginjak lima belas tahun. Selain daripada rasa malu ketika memandangnya namun gembira dengan usikan-usikannya dan merinduinya apabila dia tiada di rumah ini. Dan aku seringkali juga menyelinap masuk ke kamarnya ketika dia tiada. Mencari sesuatu yang aku sendiri tidak pasti. Dan aku tidak menemukan apa-apa… jauh sekali sebuah diari yang mencatatkan isi hati. Sedangkan aku, diari adalah teman setia tempat aku mencurah rahsia hatiku. Bersama waktu yang beranjak aku mulai mengerti bahawa dialah lelaki yang aku kasihi lebih daripada saudara sepupu. Setelah tamat tingkatan lima, aku membuat keputusan untuk berhenti sekolah. Aku sedar siapa diriku di rumah ini. Aku juga memahami kesusahan Mak Lang, sejak Pak Lang pencen. Aku rela untuk melupakan cita-citaku. Aku bersyukur kerana Pak Lang sanggup membiayai aku belajar walaupun hanya setakat tingkatan lima. Walaupun keputusan SPMku amat memberangsangkan tetapi aku tidak punya kekuatan untuk menyuarakan hasrat hatiku yang ingin menyambung pelajaran. Lagipun tiada sesiapa lagi yang boleh diharapkan untuk menguruskan rumah. Kak Sabita yang kini sudah berusia 35 tahun masih jua belum dipinang orang, meskipun adik-adik perempuannya sudah beranak pinak. Dia hanya terperuk di dapur sepanjang masa. Terkadang kulihat dia menangis sendiri, menghadapi tingkap yang terbuka luas. Apabila Mak Lang memanggilnya dia segera menyeka airmata dan pura-pura sibuk melakukan sesuatu. Aku cuba memahami Kak Sabita. Sejak kebelakangan ini dia jadi bertambah dingin enggan melayan aku berbual. Hendak tak hendak sahaja dia bersuara apabila ditanya. Dia seperti tidak suka aku masuk ke dapur, mengganggu kerja-kerjanya. Entah apa sebabnya. Jelas dia lebih senang bersendirian di dapur ataupun di kamar tidurnya. Tanpa sedar, kami berbahagi tugas di rumah ini. Kak Sabita menguruskan dapur, sementara aku membersihkan ruang tamu, bilik tidur, ruang halaman dan menguruskan pakaian kotor. Sebenarnya kerja-kerjaku tidak banyak. Pakaian kotor hanya sedikit, milik Mak Lang, Pak Lang dan aku sendiri (Kak Sabita membasuh pakaiannya sendiri). Kalau ramai yang pulang pada musim cuti sekolah, sibuklah sikit kerjaku. Ampaian pasti penuh dan tergeliatlah tangan aku melipat baju yang bertimbun-timbun. Kalau anak-anak Mak Lang semuanya balik, pasti aku keletihan membersihkan setiap bilik yang akan digunakan oleh mereka. Dan apabila mereka pulang, aku terpaksa membasuh semua cadar dan selimut yang telah digunakan. Aku seringkali menghabiskan masa terluangku diperpustakaan kecil di rumah ini. Meskipun semasa aku masih kecil aku dilarang sama sekali memasuki perpustakaan ini kerana ianya adalah tempat kesukaan Pak Lang menghabiskan masa. Pak Lang suka membaca. Dia bekas seorang ustaz dan mengajar di sekolah berdekatan rumahnya selama hampir tiga puluh tahun. Di sini juga tempat anak-anak Pak Lang yang seramai lima orang itu belajar (kecuali Kak Sabita yang tidak dapat menamatkan persekolahannya, dia hanya belajar setakat darjah enam sahaja). Pak Lang punya prinsip yang kolot, kurasa. Dia tidak menyukai anak-anak perempuannya belajar tinggi-tinggi. Dia lebih senang anak-anak perempuannya belajar menguruskan rumahtangga. Paling tinggi pun hanya Kak Teh Nora yang berjaya memasuki maktab perguruan dan menjadi guru. Kak Teh Nora gagal untuk memasuki universiti. Pada mulanya Pak Lang tidak menyetujui hasrat murni Kak Teh yang ingin menyambut pelajaran. Dia mahu Kak Teh Nora berkahwin sahaja. Tetapi Kak Teh Nora tetap berkeras hendak memasuki maktab perguruan di Melaka. Akhirnya Pak Lang terpaksa beralah. Kak Adibah pula hanya belajar sehingga tingkatan tiga sekolah Arab. Kak Adibah sebenarnya terkandas, gagal untuk menaiki tingkatan empat. Pak Lang begitu marah lantas menyuruh Kak Adibah berhenti sekolah sahaja, menolong kerja-kerja di dapur. Kak Adibah adalah anak Pak Lang yang paling cantik lantas dia menjadi rebutan ramai anak teruna sebaik sahaja dia berhenti sekolah. Tidak sampai setahun Kak Adibah berhenti sekolah, dia telah dipinang orang. Sejak dulu anak-anak lelaki Pak Lang memang tidak pernah ada di rumah ini. Abang Yahya, Abang Yusof dan Abang Imran semuanya belajar di asrama dan meninggalkan rumah ini dalam kesunyian. Apabila mereka pulang barulah suasana menjadi riuh rendah. Malah aku sendiri merasa cukup seronok kalau mereka pulang, terutama sekali apabila Abang Imran ada. Abang Imran suka melawak, mengusik sesiapa sahaja terutama sekali aku. Kak Sabita pula tidak putus-putus merungut kerana harus memasak dalam jumlah yang banyak. Dia tidak menang tangan di dapur dari pagi hingga ke malam. Kak Teh Nora dan Kak Adibah amat jarang membantu Kak Sabita. Aku seringkali bermurah hati membantu biarpun bantuan itu tidak dihargai langsung oleh Kak Sabita. “Kau tu menyibuk! Pergilah keluar…” Kak Sabita selalu menghalauku keluar dari ruang dapur. Namun aku tetap berdegil. Aku tetap ingin membantunya membasuh pinggan dan mangkuk. Aku suka melihat dia memasak. Masakan Kak Sabita sedap. Dia suka mencuba resepi-resepi baru yang dibacanya dari majalah wanita. Dia juga suka membuat kek dan menghiasnya dengan cantik. Dan aku akan curi-curi mencolek krim yang putih lagi gebu. Pernah ketika sedang menjilat jari-jariku yang dipaliti krim, aku disergah oleh Kak Sabita. Hampir-hampir aku jatuh pengsan dibuatnya. Kak Sabita benar-benar marah kerana keknya sudah tidak cantik lagi selepas dicolek oleh jari-jariku yang nakal. Kak Sabita seperti membenciku sejak itu. Dia tidak memanggilku ‘adik’ seperti semua orang di rumah ini. Sebaliknya dia memanggilku dengan namaku yang panjang. Julia Afiqah. Dia ingin mempamerkan betapa rasa tidak senangnya terhadapku bertambah besar dari sehari ke sehari. Dia ingin memberikan aku satu tanda bahawa dia sesekali tidak akan bermesra dengan aku seperti dulu lagi. Benarkah semuanya kerana sebuku kek? Atau ada sebab-sebab lain? Di rumah sekarang hanya tinggal kami berempat sahaja. Rumah ini cukup besar, setiap orang mempunyai bilik tidur sendiri. Rumah Pak Lang dibina sekitar tahun 60an. Rumah ini pada mulanya terdiri daripada rumah kayu bertiang tinggi. Zaman dahulu, orang suka membina rumah dengan tiang batu yang besar dan tinggi. Terkadang boleh masuk kereta di bawah rumah. Setelah anak-anak Pak Lang semakin membesar dan dia memperoleh rezeki yang berlebihan, Pak Lang mulai mengubahsuai rumahnya. Bahagian bawah rumah dijadikan ruang tamu, bilik tidur dan dapur. Di tingkat atas juga ada ruang tamu dan bilik tidur. Tapi aku lebih senang duduk di tingkat bawah. Begitu juga Pak Lang dan Mak Lang. Tambahan pula Pak Lang sudah semakin uzur untuk turun naik tangga seperti dulu. Jadi semua orang lebih tertumpu di bahagian bawah sahaja. Namun di setiap kesempatan aku selalu naik ke tingkat atas kerana di sini terletaknya perpustakaan. Hidupku jadi tidak sempurna jika tidak masuk ke sini. Selalunya aku akan mengemas, membersihkan habuk di meja ataupun dicelah-celah rak buku. Terkadang aku tertidur di sofa Cleopatra yang baru dibeli oleh abang Imran. Sofa itu diletakkan di ruang perpustakaan itu kerana di ruang tamu sudah tidak punya tempat lagi. Ah! Betapa aku menggemari sofa ini. Aku yakin abang Imran pernah berbaring dan tidur di situ. Justeru itu sofa itu menjadi kegemaranku untuk berbaring sambil membaca novel. Terkadang aku berharap aku akan bermimpikan Abang Imran dengan berbaring di sini. Atau aku merasakan bagaikan berbaring di atas lengan Abang Imran. Sudah tentu di sofa itu ada sentuhan-sentuhan tangannya yang tegap itu. Gilanya perasaanku ini! Sejak kebelakangan ini aku semakin cenderung berangan-angan tentang Abang Imran. Abang sudah hampir setahun bekerja di Kuala Lumpur. Dia amat jarang pulang ke kampung. Jika pulang pun hanya semalaman kemudian akan segera berangkat kembali ke bandar. Hanya Abang Imran dan Kak Sabita sahaja yang lebih berkahwin. Tetapi abang Imran lelaki. Dalam usia 28 tahun Abang Imran boleh dikira masih muda. Lain halnya dengan Kak Sabita yang sudah mencapai usia 35 tahun. Siapa yang mahu memperisterikan dia? Ahhh… Tiba-tiba terasa sejuk semacam. Hujan di luar terus menderu dengan lebatnya. Apakah yang dimasak oleh Kak Sabita petang ni? Aku terus keluar dari perpustakaan, melalui satu lorong yang dikepung bilik-bilik tidur. Tiba di hujung koridor menghala ke tangga, aku terdengar suara Mak Lang dan Kak Sabita berbual. Pintu yang menghala ke dapur memang tidak dilengkapi daun pintu justeru itu suara mereka terdengar agak jelas diselangi bunyi hujan di luar rumah. “Bukan Ta tak suka mak… Tapi mereka datang tu kerana nak tengok Ta? Mengapa alih-alih pinangan tu ditujukan pada Fiqah? Mak sepatutnya biarkan Fiqah tu di dapur saja, mengapa mak suruh dia keluar?” Suara Kak Sabita melengking dengan kuat. “Ta rasa terhina bila jadi macam ni mak. Ta tahu Ta dah tua. Tapi tak patut mereka buat macam tu! Ta ada maruah dan harga diri.” “Mak serba salah Ta. Memang ibubapa Rahim tu nak jodohkan Ta dengan anaknya. Tapi Rahim sendiri yang bertanya tentang Fiqah. Lagi pun tujuan pertemuan hari tu bukannya nak merisik tapi hanya nak berkenal-kenalan saja. Tiba-tiba si Rahim tu terpikat pada Fiqah pula, apa lagi yang mak nak kata.” Jawab Mak Lang tenang dan jelas cuba menerangkan duduk perkara sebenar pada Kak Sabita. “Ta sedih…” Luah Kak Sabita. Suaranya mulai mengendur, dibauri tangisan. Aku tidak jadi hendak masuk ke ruang itu. Aku mengerti kini apa yang terjadi. Patutlah Kak Sabita bersikap dingin padaku. Aku amat simpati pada Kak Sabita. Jika boleh aku ingin meminta Mak Lang menolak pinangan daripada Rahim. Aku tidak berniat langsung untuk berkahwin dalam usia yang masih mentah. Aku baru berusia 18 tahun. Biarlah aku menikmati masa remajaku yang datang hanya sekali dalam hidup. Aku tidak mahu terikat dengan perkahwinan. “Ta sukakan Rahim?” Tanya Mak Lang. Pertanyaan itu tidak dijawab oleh Kak Sabita. Tidak perlu dia menjawab pertanyaan itu. Kak Sabita sendiri sudah tahu sebenarnya Rahim lebih berminat padaku. Jika aku punya kuasa memilih aku ingin meminta Mak Lang menolak pinangan mereka. “Mak dan abah dah sepakat nak terima pinangan mereka tu, Ta. Biarlah Fiqah nikah dengannya. Fiqah pun tak bantah.” Jawab Mak Lang. “Mak dah telefon semua adik beradik kau suruh mereka balik minggu depan, bincang tentang majlis pertunangan Fiqah. Sabarlah Ta… Jodoh kau belum tiba. Kau ingat Mak tak sedih? Mak pun sedih tengok kau macam ni Ta…” “Mengapa Mak lebihkan Fiqah dari Ta, anak mak sendiri?” “Ta… Kau pun tahu, Fiqah tu amanah. Dia anak yatim piatu.” Aku tak sanggup untuk mendengar perbualan mereka berdua lagi. Lebih baik aku masuk ke kamar lantas menumpangkan airmataku di atas bantal. Sesungguhnya aku merasakan bahawa aku telah terhukum dengan kesalahan yang tidak pernah kulakukan.
Bab 2

IMRAN memperlahankan kereta, sebelum memasuki satu simpang berturap jalan tar hitam yang kecil dan berliku. Di kiri kanan jalan kecil itu terdapat rumah-rumah papan yang agak rapat antara satu sama lain. Pepohon buah-buahan mengeliling setiap rumah. Nampak sungguh harmoni dengan buah-buah rambutan yang sedang ranum, memerah dan lebat. Sejurus kemudian dia tiba di hadapan sebuah rumah bercat biru kusam. Sebatang pohon mengkudu yang rendang menaungi jalan, tidak jauhnya terdapat pagar besi yang terbuka luas. Rumah itu yang dikelilingi dengan pokok buah-buahan yang tampak berbuah lebat dan sedang masak.
Dia memandang ke arah rumah papan dua tingkat yang kelihatan lengang. Tidak terlihat langsung kereta datsun tua berwarna putih di situ. Barangkali ibunya keluar ke pasar ataupun ke supermarket. Hari pun masih pagi, mentari belum tinggi di dada langit. Dia sengaja bertolak awal selepas subuh. Niat di hati hendak menikmati buah rambutan sepuas hati. Maklumlah datang dari kebun sendiri. Pasti enak. Buah-buahan rambutan yang manis dan tebal isinya. Terdapat juga pokok durian di belakang rumah. Sekarang sudah tiba musim buah. Di jalanan tadi dia turut terlihat orang berjualan rambutan dan durian.
Imran tertanya-tanya apakah hal penting yang ingin dibicarakan ibunya Latipah sehingga meminta mereka semua pulang. Ini bukan semata-mata kerana buah-buahan yang sedang masak ranum. Pasti bukan! Walaupun bapanya agak uzur kebelakangan ini, tetapi dia masih boleh bangun dari katil, berjalan-jalan mengambil angin di luar rumah. Imran benar-benar tidak tahu mengapa Latipah meminta mereka semua balik.
Dia cuba meneka apakah yang berlaku. Matanya mendongak ke tingkat atas. Daun jendela bercat putih itu kelihatan terkuak dari dalam. Matanya menangkap seraut wajah Julia Afiqah yang menjenguk di situ, memandang tepat ke arahnya. Namun apabila Imran membalas pandangan itu, dia segera melarikan diri pula. Julia Afiqah bagaikan malu untuk terus menentang muka saudara sepupunya.
Hmmmm… Sikap malunya bertambah menjadi-jadi sekarang, fikir Imran. Dengan aku pun dia nak malu? Imran menggelengkan kepala sambil tersenyum sendiri. Saat itu fikirannya menerawang teringatkan sesuatu. Akhirnya dia tertawa sendiri. Memang patutlah dia merasa malu, fikir Imran lagi. Dia kini bukan lagi budak-budak tetapi sudah tumbuh menjadi seorang gadis remaja. Malah Julia Afiqah sentiasa menutup kepalanya dengan skaff. Tidak pernah dia melepaskan rambutnya. Imran tidak ingat lagi bilakah kali terakhir dia melihat rambut Julia Afiqah yang hitam berkilat terurai panjang.
Dia juga tidak ingat bagaimanakah rupa sebenar Julia Afiqah tanpa tudung yang membungkus rambutnya. Namun gadis itu tetap ayu di matanya. Wajah lembut, mata yang bulat dan bersinar, bibir tipis yang seakan tersenyum sentiasa. Pipinya halus dan bersih tanpa diganggu jerawat. Kau telah menjadi gadis yang cantik dan manis, dik… Bisik hati Imran, dilanda kekaguman.
Bertuah sesiapa yang memilikimu. Kau gadis pingitan. Mak memang tak pernah mahu melepaskan kau bebas ke mana-mana. Demi keselamatanmu jua adikku sayang. Kau sebenarnya seorang anak yang amat baik yang tidak pernah pandai membantah dan meninggikan suara.
Imran masuk ke ruang depan. Tiada sesiapa pun di situ. Ruang kosong dan sepi. Barangkali ayahnya masih tidur, kerana jam baru pukul sembilan pagi. Selalunya bapanya itu akan tidur selepas makan pagi dan mengambil ubat. Dia memandang ke arah tangga yang menghala ke tingkat atas. Dia tahu Julia Afiqah berada di dalam kamar, sedang sibuk menukar cadar baru di setiap bilik yang ada. Mereka semua akan bermalam di situ malam itu.
Imran terus masuk ke dapur, bagi menyahut seruan perutnya yang lapar. Dia tidak singgah pun di mana-mana tadi. Sebenarnya rindukan masakan kakaknya. Dia rasa tidak sabar untuk menikmati sarapan pagi. Dan saat tudung saji dibuka dia mendapati Sabita menyediakan nasi dagang berlaukkan ikan tongkol dan acar timun.
“Wah! Kegemaran aku ni…” Dia bercakap sendiri sambil mengambil pinggan, pantas mengaut nasi hingga membukit. Amat jarang dia makan banyak begitu. Sesekali balik kampung selera naik mendadak. Dia terus makan dengan rakus. Terlupa bahawa dia tidak mengambil air untuk melancarkan perjalanan makanan yang tersangkut di kerongkong. Dia terbatuk-batuk dan tersedak.
“Kenapa?” Tanya Sabita yang baru masuk ke ruang dapur.
“Air… Air.” Kata Imran dengan muka yang merah menahan kesakitan yang melanda tekaknya. Sabita segera memberikan Imran segelas air. Lantas air itu digogoknya dengan sekali teguk.
“Makan gelojoh sangat. Agaknya tak baca bismillah.” Kata Sabita sambil duduk di hadapan adiknya.
Imran tidak menjawab, dia jadi malu pada kata-kata kakaknya yang mengandungi kebenaran itu. Kali ini dia mulai makan dengan perlahan dan tertib.
“Sedap nasi dagang kakak ni.” Kata Imran sambil meneruskan suapannya.
Tiba-tiba Imran melihat Julia Afiqah masuk ke dapur, langsung menuju ke arah mesin basuh yang terletak berhampiran dengan bilik air. Dia membawa sebuah bakul besar berisi cadar-cadar kotor. Pantas dia memasukkan cadar itu ke dalam mesin basuh. Sabita memerhati sahaja, langsung tidak menegur Julia Afiqah.
Hatinya masih sakit, walaupun dia tahu benar bahawa apa yang berlaku bukan salah gadis itu. Tetapi entah mengapa dia tidak boleh memandang wajah polos itu lagi dengan penuh mesra seperti dahulu. Entah mengapa dia semakin membenci Julia Afiqah. Puas dia memujuk hati supaya bersikap adil pada gadis itu. Tapi perasaan itu datang tanpa dia pinta. Dia sedar, dia tidak patut bersikap dingin begitu.
“Adik! Dah makan?” Tegur Imran sambil memandang Julia Afiqah yang sedang berdiri membelakanginya. Julia Afiqah berpaling, tersenyum manis lantas menggeleng lembut.
“Mari makan sekali.”
“Abang makanlah dulu, saya nak siapkan kerja saya dulu.”
Dahi Imran berkerut mendengar kata-kata Julia Afiqah. Saya? Sejak bila Julia Afiqah membahasakan dirinya ‘saya’ bila bercakap dengan Imran. Mengapa dia tidak lagi menyebut dirinya ‘adik’ seperti biasa dengan manja dan mesra. Mengapa?
“Tinggalkan kerja tu, dik. Mak tak marah, percayalah. Mari makan dulu!” Imran bagaikan mendesak tetapi Julia Afiqah tidak berganjak dari tempat dia berdiri.
“Tak apalah, saya belum lapar.” Jawab Julia Afiqah acuh tak acuh sahaja. Memandang Imran pun dia bagaikan tidak sanggup. Pagi itu dia merasakan abang Imrannya begitu segak walaupun hanya mengenakan t.shirt kuning lembut dengan kolar bewarna biru dan seluar jean. Dia tahu Abang Imran suka memakai t.shirt jenama Calvin Klein. Ada banyak t.shirt abang Imran di dalam almari bajunya mempunyai jenama yang sama. Ada pelbagai warna. Abang Imran sesuai memakai warna apa sahaja, tetapi paling menyerlah kalau dia mengenakan warna kuning lembut seperti yang dia pakai sekarang.
Tidak lama kemudian Julia Afiqah mulai bergerak ke dalam semula dengan membawa bakul yang sudah kosong. Imran mengangkat kening, bertanya tanpa suara ke arah Sabita. Dia hairan dengan perubahan diri Julia Afiqah.
“Kenapa tu? Mood tak baik nampaknya…” Kata Imran. Julia Afiqah tidak berpaling meskipun dia mendengar kata-kata itu.
“Mengada-ngada. Dah sombong… Maklumlah ada orang kaya berkenan kat dia. Dah masuk meminang minggu lepas.”
“Meminang?” Dahi Imran berlapis-lapis mendengar kata-kata itu. Tiba-tiba seleranya sudah menurun hingga ke angka nol. Secara mendadak dia tidak berselera untuk menghabiskan nasi di dalam pinggan yang masih banyak.
“Siapa?”
“Saudara mak… Kononnya nak merapatkan saudaralah. Kata mak mereka tu kaya, duduk di Kuala Lumpur.” Jawab Sabitah sambil mencebirkan bibirnya.

SELEPAS makan malam, Latipah masih jua belum buka mulut. Yahya yang keletihan sudah tersengguk-sengguk di sofa. Dia baru tiba petang tadi dari Kuala Terengganu bersama keluarganya. Anak-anak Yahya sudah pun tertidur. Zarita masih melayani kerenah si kecil yang merengek meminta susu.
“Tidur dalam biliklah bang…” Gesa Zarita sambil menepuk bahu suaminya. Yahya terperanjat lantas menegakkan badannya. Dia menggeliat.
“Mak mana? Katanya nak ajak bermesyuarat tadi…” Kata Yahya sambil memerhati sekeliling. Di ruang menonton kelihatan keluarga Khadijah dan Aisah sedang menonton televisyen berukuran 29 inci. Anak-anak adik perempuannya itu leka bermain congkak sambil ditunjuk ajar oleh suami Khadijah. Imran tidak kelihatan. Begitu juga dengan Yusof dan isterinya yang masih belum mempunyai anak. Barangkali Yusof dan isterinya berehat di bilik tidur.
“Mak dalam bilik. Tadi masa saya jenguk dia sedang beri abah makan ubat. Abahkan mesti makan ubat dulu sebelum tidur.”
Yahya mengangguk. Tidak lama kemudian dia melihat Imran turun dari biliknya. Adik lelakinya itu kelihatan segak dengan pijama tidur berjalur-jalur warna biru. Dia senyum melihat Imran yang baru masuk ke ruang itu.
“Kau tahu mak ajak mesyuarat pasal apa?”
“Hmmm…” Imran mengangguk. “Pasal adik …”
“Fiqah?” Yahya membulatkan matanya.
“Kenapa?” Tanya Yahya ingin tahu.
Imran hanya tersenyum. “Apa-apa hal pun tunggu mak dulu. Aku tak mahu pecahkan rahsia.” Kata Imran tergelak kecil walaupun dia tahu hal tersebut daripada Sabita yang tidak dapat menyimpan rahsia.
Imran bergerak keluar. Sejak lepas makan tadi dia tidak melihat Julia Afiqah. Dia mencari Julia Afiqah di dapur tadi tetapi tidak berjumpa dengan sesiapa. Dapur kelihatan kemas. Semua pinggan kotor yang digunakan semasa makan malam sudah dibersihkan semuanya. Dia turut mengetuk pintu bilik tidur adik ‘bongsunya’ itu tetapi tiada jawapan. Kini Imran menjenguk keluar berenda yang gelap gelita. Julia Afiqah tiada di situ. Ke mana pula dia pergi, sengaja menyembunyikan diri?

MATA pena terus menari-nari dengan rancak. Kata-kata yang terungkap dalam hatiku cuba diterjemahkan ke atas sekeping kertas. Kutulis rahsia hatiku ini dengan penuh ketulusan. Bukan sedikit rakan taulan yang memuji tulisanku yang indah. Aku sentiasa ingin memastikan tulisan tanganku indah dan punya nilai artistik. Manalah tahu suatu hari nanti seseorang itu pasti akan menatap dan membaca curahan hatiku di atas cebisan kertas ini.
Narmi,
Kesedihan hatiku ini tak bisa kuungkap dengan kata-kata. Biar kutulis di dada kertas putih ini sayangku. Puisi cintaku padamu harus kubuang jauh ke lautan tak bertepi. Harus kubunuh rasa yang baru tumbuh di jiwa. Rasa yang kusebut cinta. Waktu bakal memisahkan kita kekasih. Dengarkanlah bicara jiwaku ini. Sesungguhnya kau tidak mungkin kumiliki. Dan diriku bakal menjadi kepunyaan dia, walaupun hatiku tidak rela!
Julia Afiqah

Kurenung tulisan yang baru kutulis. Apakah aku akan mengutuskan cebisan kertas ini kepada pemiliknya? Tidak. Aku tak sanggup. Kujunjung maruahku setinggi langit. Biar aku derita menyimpan bebanan perasaan ini. Satu perasaan yang sakit tetapi di saat sama terasa demikian indahnya. Cinta adalah bahagia yang sempurna.
Ku pandang ensiklopedia abang Imran yang berderet-deret di atas rak. Tiba-tiba sahaja aku terfikir hendak menyelitkannya di dalam buku tebal itu. Pasti tiada sesiapa yang terjumpa akan cebisan kertas itu. Bukannya ada penghuni rumah ini yang berminat untuk membelek ensiklopedia. Kuambil jilid 3, di mana di situ terdapatnya abjad C. Ahh… Ini seesuai sekali kerana ianya adalah mesej cinta.
Hanya aku sahaja yang tahu di mana aku menyelitkan setiap curahan hatiku. Setelah menyelitkan cebisan kertas itu aku kembali menutup ensiklopedia tersebut dan menyimpannya di tempatnya kembali. Aku kembali menulis lagi.
Narmi sayangku,
Tak pernah ku bayangkan bagaimana hidupku bila kau tiada di sisi. Jika kau tiada, pada siapakah akan ku dendang melodi cinta. Pada siapa akan ku serahkan hatiku yang pilu dan gelisah selalu. Dan nama siapa akan kuseru bagi menyatakan rindu. Wajah siapa yang akan kurenung di dada bulan yang mengambang. Pada siapa akan kubisikkan kata-kata cinta, kalau bukan padamu seorang.
Julia Afiqah
Hatiku resah gelisah. Malam ini aku seperti sedang menanti satu hukuman berat. Aku tahu Mak Lang sudah merancang untuk mengikatku dengan tali pertunangan. Dia telah pun mengabarkan padaku dua hari lepas, bahawa aku akan ditunangkan dengan Faruk, lelaki yang pernah datang ke rumah ini. Lelaki yang pada mulanya ingin dijodohkan dengan Kak Sabita.
Faruk berusia pertengahan tiga puluhan. Kurasakan dia begitu tua, langsung tidak sesuai dengan aku yang baru menginjak usia 18 tahun. Mengapa Mak Lang sanggup menerima Faruk untuk dijodohkan dengan aku? Mengapa Mak Lang tidak menjodohkan saja dia dengan Kak Sabita. Justeri Kak Sabita tidak perlu memusuhi aku.
Aku ingin membantah, menyatakan pada Mak Lang bahawa aku langsung tidak sukakan Faruk. Wajahnya serius tika menatapku menuang minuman tempohari membuat aku benar-benar gementar. Mata Faruk kulihat seperti helang, garang dan menakutkan. Mengapa aku merasakan begitu? Barangkali kerana aku benar-benar tidak sukakan dia. Mungkin kerana dalam hatiku sudah ada insan lain. Dia yang kucinta!
Catatan kedua yang kutlis malam ini kuselitkan lagi di dalam ensiklopedia Abang Imran. Ahhh… Apa sebenarnya yang aku harapkan dari catatan-catatan bodoh itu? Ianya tidak akan mengubah apa-apa. Aku tetap akan dinikahkan kerana aku tak berani hendak bersuara. Memandang tepat ke dalam mata Mak Lang pun aku takut. Pak Lang memang tiada kuasa dalam hal ini. Kuasa sepenuh sudah berpindah dari tangan Pak Lang, sejak lelaki itu uzur. Dia mengalami masalah jantung, darah tinggi dan kencing manis. Di samping itu dia juga mengalami masalah gout, menyebabkannya sukar untuk berjalan jika tidak menggunakan tongkat..
Satu-satu insan yang bersikap lunak di rumah ini hanya abang Imran. Aku tidak takut padanya, tapi aku dihalang pula oleh rasa malu. Perasaan maluku padanya bertambah dari sehari ke sehari, kian berganda-ganda besarnya. Sejak aku merasakan suatu getar halus dalam dadaku ini… Aku jadi serba tidak kena. Jadi takut untuk berhadapan dengannya, bagaikan dia dapat membaca seluruh perasaan dan isi hatiku. Tubuhku jadi seram sejuk dan separuh menggigil apabila disapa.
Aku bangun dan meletakkan ensiklopedia di tempatnya semula seperti tadi. Namun aku benar-benar terperanjat apabila terdengar dehem dan suara Abang Imran di muka pintu yang baru ditolak dari luar. Suaranya yang lembut mesra menyapaku, kurasakan seperti seluruh dunia bergegar dan aku bakal rebah ke bumi. Bagai hendak kiamat rasanya apabila dia kulihat dia berdiri di muka pintu sedang memandang mesra padaku.
“Ooo… Di sini rupanya adik. Puas abang cari…”
Lidahku kelu dan buku ensiklopedia yang tebal itu hampir sahaja tersalah letak lantas menimpa kepalaku. Tapi mujur tanganku tidak selemah hatiku. Masih terkumpul tenaga kerana aku baru membelasah sepinggan penuh nasi berlaukkan kari ayam kampung yang dimasak Kak Sabita. Masakannya benar-benar enak, ditambah pula makan beramai-ramai pada malam itu. Selalunya aku mengelak untuk makan malam yang berat-berat, takut menjadi gemuk.
Sekarang dadaku yang bergelora tidak cukup kuat untuk menerima kejutan begitu.
Abang Imran sedang menatapku, meneliti wajahku yang pucat kerna terperanjat. Dia nampak terkejut demi terpandang aku memegang ensiklopedia yang tidak pernah kuminati sejak dulu.
“Wah! Apa yang adik cari dalam ensiklopedia tu?” Dia terus bertanya tanpa mempedulikan wajahku yang merah padam kerana malu.
“Errr… Tak ada apa-apa.” Jawabku terus mengelak dari menatapnya. Namun mataku yang jahat masih mencuri-curi pandang padanya yang tergelak kecil. Nampak giginya yang tersusun putih bersih. Wajahnya berseri-seri.
“Macam nak temuduga saja.” Usik Abang Imran. “Tapi rasanya tak payahlah adik cari kerja. Kerja sudah menunggu adik.”
“Kerja? Kerja apa?”
“Suri rumah sepenuh masa.” Jawab Abang Imran selamba.
Aduh! Abang Imran sudah tahu rupanya. Hatiku mulai dilanda sedih apalagi terlihat senyuman yang terus berbunga di bibirnya. Mengapa dia harus gembira dengan ‘hukuman’ yang bakal dijatuhkan ke atasku? Tahukah dia bahawa aku tidak rela sama sekali menjadi seorang isteri dalam usia yang baru setahun jagung. Bukan aku yang layak untuk bernikah saat ini tetapi Kak Sabita. Mengapa tiada sesiapa pun yang melihat hakikat ini?
“Cepatlah! Semua orang dah tunggu. Nanti mak marah pula kalau adik lambat. Adik perlu ada dalam mesyuarat ni…”
“Mesyuarat?”
“Laaa… Janganlah buat-buat terkejut. Kami semua balik kerana nak berbincang pasal adik yang akan kahwin tak lama lagi.”
Kata-kata Abang Imran buat aku kian menggelabah. Nampaknya Mak Lang memang sudah nekad untuk melepaskan aku ke tangan orang lain. Ini bermakna aku tidak mungkin dapat lari lagi daripada lelaki itu.
“Cepat keluar…” Gesa Abang Imran sambil berlalu pergi.
Aku takkan keluar secepatnya dari perpustakaan ini semata-mata untuk mendengar hukuman yang bakal dijatuhkan ke atasku. Tuhan! Bagaimanakah aku harus menghindari?
Bab 3

“TAK perlu tanya adik sendiri setuju ke dia dengan pinangan ni?” Tanya Imran sambil memandang tepat ke wajah Latipah. Hati Julia Afiqah berbunga. Kiranya ada juga ‘pembelaan’ dari Imran. Julia Afiqah memandang Latifah dan Imran silih berganti. Berharap Latipah mempertimbangkan semula keputusannya. Bukankah masih belum terlewat. Pertunangan belum dilangsungkan. Hal itu pun belum dihebohkan kepada orang lain selain daripada anak beranak Latifah sahaja. Sesungguhnya belum terlewat untuk menarik diri.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Latipah membuat keputusan-keputusan penting dalam rumah itu. Mansur lebih banyak menghabiskan masanya dengan berehat, makan ubat dan tidur sahaja. Terkadang amat payah untuk mendengar suaranya. Memang dia seorang yang pendiam, suka menyendiri. Kini dia bagaikan tidak ada di rumah itu bila hanya terperuk di kamar. Hanya sesekali dia keluar mengambil angin di luar. Berjalan pula terpaksa menggunakan tongkat. Sebenarnya dia bukanlah tua benar, baru mencecah enam puluh tahun. Tapi sejak pencen, dia dihinggapi pelbagai penyakit.
Latipah tidak berniat untuk melepaskan Julia Afiqah begitu cepat, tetapi permintaan daripada keluarga Faruk tidak boleh dipandang sepi. Walaupun mulanya tujuan kedatangan mereka untuk berkenalan dengan Sabita, tetapi nyata Mahani, ibu Faruk terpikat pada kelembutan dan keayuan Julia Afiqah. Dia pun baru mengetahui bahawa Julia Afiqah adalah anak Mariam. Latipah tidak kisah. Kalau Faruk tidak berkenan dengan Sabita, dia rasa bangga kalau Julia Afiqah jadi pilihan. Jangan sampai tak jadi sudahlah!
Malam itu tujuannya memanggil semua anak-anaknya pulang untuk berbincang tentang perbelanjaan yang akan dikeluarkan untuk mengadakan majlis pertunangan Julia Afiqah. Sebenarnya dia ingin meminta ‘sponsor’ daripada anak-anaknya.
Julia Afiqah memandang Imran, mengharap simpati. Matanya seolah-olah berbicara begini; Bang, tolonglah beritahu mak lang yang adik tak mahu berkahwin. Adik masih muda. Mengapa tidak Kak Ita yang kahwin? Bukankah tujuan mereka datang sebetulnya untuk meminang Kak Ita? Bukannya adik. Adik tak mahu!! Batinnya menjerit tetapi tiada sesiapa pun yang ada di situ mendengar jeritannya. Dia tertunduk lesu apabila Latipah bersuara dengan jelas dan penuh wibawa.
“Tak perlu. Dah tentu adik setuju. Semua yang mak buat adalah untuk kebaikan dia. Dia pun tahu tujuan mak baik dan murni.” Kata Latipah yakin.
Dia tidak langsung memandang ke arah Julia Afiqah meskipun gadis itu ada bersama mereka. Kehadiran Julia Afiqah di situ umpama tunggul. Terkadang Julia Afiqah merasakan lebih baik dia duduk di bilik sahaja daripada menyertai perbincangan ini. Lebih baik dia menjadi pendengar dari jauh.
“Berapa agaknya duit yang mak perlukan?” Yahya bertanya, bersama harapan dia tidak perlu mengeluarkan duit yang banyak demi untuk melancarkan majlis pertunangan adik sepupunya itu.
“Beginilah. Mak pun tak boleh nak kata berapa. Kata mereka, nak datang selepas zohor. Jadi kita akan buat jamuan makan tengahari.”
Semua yang ada mengangguk.
“Berapa ramai agaknya mak nak jemput?” Tanya Kak Teh Nora.
“Hmmm… Semua saudara mara terdekat, termasuk semua penduduk kampung.”
“Oi, ramai tu mak!” Sampuk Adibah. “Buat kecil-kecilan sudahlah. Kalau nak buat majlis besar-besaran boleh buat masa kenduri kahwinnya nanti.”
“Yalah, semua penduduk kampung ni saudara mara kita… Kalau tak jemput karang terasa hati pula.” Balas Latipah.
“Tak apalah. Semuanya biar Im yang support. Mak sebut aje berapa.”
Yahya segera bersetuju. “Baguslah. Memang engkau patut sponsor Im. Sebab engkau belum kahwin, tak ada tanggungjawab. Lagipun gaji engkau empat lima ribu sebulan.”
Wajah-wajah yang ada mengelilingi meja itu nampak lega dan senang mendengar usul Imran yang sanggup mengeluarkan duitnya. Mereka tak perlu susah payah lagi untuk mengeluarkan duit demi Julia Afiqah. Terlintas di fikiran Adibah, buat apa beria-ria sangat hendak buat kenduri besar-besaran sedangkan Julia Afiqah bukannya anak kandung ibunya. Buat ala kadar sudah memadai. Lagipun sudah sekian lama dia hidup menumpang, harus tahu diri dan membalas jasa. Bukannya menyusahkan orang.
Imran hanya tersenyum. Demi adiknya dia sanggup berkorban. Lagipun ini semua hanyalah wang semata-mata, bukannya susah hendak dicari. Apa yang diharapkan adalah kebahagiaan hidup Julia Afiqah kelak. Sebenarnya bukan kerana dia terlebih duit sehingga sanggup memberi sponsor. Dia tidak suka melihat wajah ibunya yang akan masam mencuka jika kehendaknya tidak dituruti. Kalau emaknya kata hendak jemput habis sekampung, terpaksalah diturutkan. Itu lebih baik daripada emaknya merajuk panjang. Kalau dah emaknya merajuk bukan senang hendak dipujuk. Nasib tak baik, emak tak menjemput orang langsung! Biar tetamu datang hidangkan teh dan biskut tawar saja masa pertunangan Julia Afiqah nanti, kata mak sambil membentak. Bukan Imran tidak hati budi emak. Kan Julia Afiqah juga yang akan jadi mangsa. Biar dia ringankan bebanan itu dengan memberikan apa saja yang Latipah inginkan.
Dia memang benar-benar sayangkan Julia Afiqah. Jika sudah muncul lelaki yang akan memberikan cinta dan kebahagiaan kepadanya, dia harus dilepaskan pergi. Tidak seharusnya dia terus diikat dengan tanggungjawab di rumah itu. Lebih-lebih lagi Julia Afiqah anak yatim piatu.
Julia Afiqah tiba-tiba bangun lantas berlari-lari ke biliknya. Imran memerhati tubuh adik sepupunya segera hilang ditelan pintu. Dapat dilihatnya ada titisan air jernih yang baru bergolek ke pipinya. Seboleh mungkin Julia Afiqah tidak mahu airmatanya itu dilihat orang.
Hati Imran tersentuh. Jelas Julia Afiqah tidak suka dirinya dijodohkan. Apakah Julia Afiqah punya pilihan hati sendiri? Mengapa ibunya tidak bertanya Julia Afiqah dari hati ke hati. Mengapa Julia Afiqah juga harus dipaksa seperti ibunya memaksa Adibah berkahwin dalam usia muda. Mengapa emaknya beria-ria mahu menjodohkan dia dengan Faruk yang kononnya masih mempunyai hubungan saudara antara mereka.
Imran sendiri tidak pernah mendengar nama ibubapa Faruk iaitu Datin Mahani dan Datuk Mokhtar sebelum ini. Dia juga tidak tahu bahawa keluarga Faruk terkenal di kalangan ahli perniagaan besar di Kuala Lumpur. Begitu banyak yang dia tidak tahu tentang Faruk, Datuk Mokhtar dan Datin Mahani. Latipah pun hanya tahu sedikit-sedikit sahaja. Namun disebabkan mereka bersaudara, semasa kecil Mahani pernah tinggal di Jambu Rias dan bermain-main bersamanya justeru itu dia meletakkan sepenuh kepercayaan pada keluarga itu.
“Saya serahkan anak saudara saya pada awak, Ani…” Kata Latipah lewat corong telefon. “Saya percayakan awak. Fiqah anak yatim piatu. Saya telah menjaga dia sejak berumur lima tahun. Kami sekeluarga amat sayangkan dia. Anak-anak saya semuanya menganggap dia seperti adik mereka sendiri. Kasih sayang kami padanya sentiasa mekar. Diharap awak sekeluarga dapat menyayangi dia pula.”
“Dah tentu Ipah. Tak usah awak gaduhkan itu semua. Sekali pandang Fiqah hari tu hati saya memang berkenan, memang saya terus sukakan dia. Maksudnya bukan pula saya tak sukakan Sabita. Niat hari tu memang nak kenalkan Faruk dengan Sabita… saya harap awak tak kecil hati. Agaknya jodoh Faruk dengan Sabita tak ada.”
“Tak apa Ani. Saya pun sedar Ita tu dah berumur. Entahlah…” Latipah mengeluh. “Memang patut saya lepaskan Fiqah. Biarlah. Saya yakin dia akan bahagia dengan Faruk. Faruk tu dah berumur, tentu dia dapat bimbing Fiqah jadi isteri yang baik.”
Datin Mahani diam sejenak kemudian tertawa lembut sambil berkata; “Tentu Ipah. Dah tentu boleh. Bukan hanya Faruk, kami akan sentiasa membimbing dan memberi tunjuk ajar padanya. Tapi rasanya Fiqah tu seorang gadis yang bijak dan baik, hasil didikan awak, Ipah!”
“Terima kasih. Saya harap kita dapat kembali merapatkan tali silaturahim antara kita dengan terjadinya perkahwinan ni.”
“Insya Allah.” Jawab Mahani.
Hati Latipah benar-benar lega. Perbincangan dengan anak-anaknya sudah selesai. Malah dia sudah merancang menu yang akan disediakan pada hari pertunangan Julia Afiqah kelak. Latipah meninggalkan meja telefon. Matanya melilau mencari kelibat Julia Afiqah. Tetapi gadis itu tidak kelihatan di dalam rumah. Dia menjenguk keluar. Dilihatnya pakaian dan cadar memenuhi ampaian. Julia Afiqah sudah menjemur pakaian pada hari itu.
Ke mana dia pergi? Barangkali ada di biliknya, bisik hati Latipah sambil berjalan ke bilik Julia Afiqah tetapi tetap tidak ditemuinya gadis itu di situ. Kamarnya kosong. Cadar katilnya nampak kemas. Dahinya berkerut apabila terpandang sebuah kotak kecil berupa sebungkus hadiah diam kaku di atas katil. Bungkusan berbalut cantik itu berwarna merah jambu, siap dihiasi reben organza menarik perhatian Latipah.
Apakah Imran yang meletakkannya di situ? Pasti Imran. Siapa lagi? Begitu besar perhatian anak bujang bongsunya itu terhadap Julia Afiqah. Sejak dulu Latipah sudah tahu perhatian dan kasih sayang Imran terhadap Julia Afiqah tidak berbelah bahagi. Sedikit sebanyak hatinya tergugah jua. Perhatian itu dirasa berlebihan. Pada ibunya sendiri tidak pernah Imran memberikan hadiah serta kejutan begitu. Mengapa hanya Julia Afiqah yang selalu mendapat perhatian?
Apakah kerana dia muda dan cantik, dapat menawan hati sesiapa saja. Di rumah ini hanya Imran seorang yang amat menyukai Julia Afiqah. Tapi anak-anaknya lain tidak pula memberi perhatian demikian banyak terhadap gadis itu. Julia Afiqah tidak tahu ada hadiah menunggunya di kamar. Ke mana dia pergi?
Dari arah tingkap kamar yang terbuka dia terdengar suara. Latipah menjengukkan mukanya. Dia terdengar suara riuh Imran yang berada di atas pokok rambutan. Di bawah pokok rambutan itu terlihat Julia Afiqah terbongkok-bongkok sedang mengutip buah rambutan. Imran akan kembali ke kota keesokan harinya. Imran mengambil cuti lebih lama daripada kakak dan abang-abangnya. Ternyata rindu Imran pada kampung halamannya masih belum terubat.
Benarkah begitu? Benarkah dia sekadar rindu pada kampung, rumah dan ibubapanya. Atau dia kepingin berada di sini lebih lama kerana seseorang? Hati Latipah berdetak. Dia cuba menyelami hati anak lelaki bongsunya itu. Walaupun tidak tahu dengan pasti mengapa Imran mengambil cuti lebih panjang, tetapi hatinya mulai rasa kurang senang. Hati ibu selalu merasa apa yang dirasai oleh anaknya. Lebih-lebih lagi jika perhubungan antara mereka rapat dan akrab.
Rumah itu terasa meriah dengan kehadiran Imran. Usikan Imran mampu jua meledakkan gelak tawa Julia Afiqah. Kebelakangan ini memang dilihatnya Julia Afiqah muram dan sedih. Sabita juga sudah semakin jauh membawa dirinya dalam kesedihan, keseorangan dan kesepian hidupnya. Latipah melepaskan keluhan. Entah bagaimana dia harus mencarikan pasangan hidup buat Sabita, bila keluarga Faruk memilih Julia Afiqah sebagai bakal menantu mereka.
Dia memerhati Imran yang kini sudah pun turun dari pokok, bersama-sama memasukkan buah rambutan ke dalam bakul. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu… Imran juga harus mencari pasangan hidup kerana anaknya itu sudah pun berusia 28 tahun. Tetapi siapakah yang sesuai untuk dijodohkan dengan anaknya yang bertugas juruanalisis komputer itu? Siapa? Soal hati Latipah bertalu-talu.

“ADIK, lepas kita kutip buah rambutan ni, apa kata kalau kita pergi cari buah durian pula.” Ajak Imran sambil memerhati Julia Afiqah yang tekun memungut buah-buahan rambutan lantas memasukkannya ke dalam bakul.
“Hmmm… Rasanya Mak Lang dah kutip buah durian pagi ni… Saya dengar Mak Lang minta tolong dengan Pakcik Mail supaya jualkan durian-durian yang sudah banyak terkumpul.”
“Tak apalah kita pergi cari lagi. Manalah tahu kalau-kalau ada yang baru gugur.” Balas Imran. Sebenarnya dia ingin bersama dengan Julia Afiqah lebih lama. Terasa Julia Afiqah bagaikan sengaja ingin melarikan diri darinya. Dan dia harus mengikat gadis itu untuk bersamanya lebih lama. Perlahan-lahan dia akan cuba mengorek apakah yang membuat wajah Julia Afiqah tidak lagi seceria dahulu.
Julia Afiqah sekadar mengangguk.
Bakul yang sudah penuh diisi dengan buah rambutan dibawa pulang ke rumah. Bakul itu sekadar diletakkan di ruang berenda. Latipah tidak membenarkan buah-buah rambutan dibawa masuk ke dalam rumah. Buah yang manis itu akan mengundang semut. Jadi sesiapa yang hendak makan buah rambutan, harus makan di luar rumah dan kulitnya dikumpul di dalam beg plastik supaya mudah dibuang. Latipah amat menitik beratkan kebersihan dalam rumah. Dia jenis manusia yang cerewet. Kebersihan menjadi keutamaan, tiada seorang pun anak-anaknya berani membantah.
Imran mendapati ada empat biji lagi durian yang gugur pada pagi itu. Gembira hati Julia Afiqah apabila mendapat empat biji durian yang besar saiznya.
“Rezeki abang agaknya, sebab semalam saya dapat kutip yang kecil-kecil saja, lepas tu kulitnya pecah pula.” Beritahu Julia Afiqah.
Sesungguhnya Imran terus terusan merasa janggal setiap Julia Afiqah membahasakan dirinya ‘saya’. Dia benar-benar tidak suka. Mengapa harus ada perubahan dalam setiap perhubungan. Dia rindu untuk mendengar Julia Afiqah membahasakan dirinya ‘adik’. Panggilan itu begitu manja.
Masih diingatnya semasa abang sulungnya Yahya mendapat anak pertama. Masing-masing sibuk hendak menggelar diri mereka bapa saudara kepada si kecil yang baru lahir. Imran senang dengan panggilan ‘Pak Anjang.’ Sementara Julia Afiqah tetap jua mahu dipanggil adik.
“Mana boleh…” Bantah Yahya. “Anak abang long dah jadi anak saudara pupu Fiqah.”
“Kalau macam tu panggil Mak adiklah!” Jawab Julia Afiqah dengan penuh semangat. Sehingga kini anak-anak abangnya semua memanggil Julia Afiqah, Mak adik.
“Adik suka makan lempuk durian tak? Nanti boleh tak adik tolong buatkan untuk abang?”
“Saya tak tahu buat lempuk. Susah. Kena kacau lama, sampai lenguh tangan. Abang suruh Mak Lang buat. Dia pakar kalau buat lempuk.”
“Kalau macam tu tak merasalah abang, air tangan adik. Tak lama lagi adik dah nak kahwin.”
Bila sebut saja soal kahwin, muka Julia Afiqah serta merta menjadi kelat. Kepalanya tertunduk lesu. Suaranya terus hilang buat beberapa ketika. Julia Afiqah bergerak menjauhi Imran. Imran cukup bimbang kalau-kalau Julia Afiqah melarikan diri dengan juraian airmata seperti malam semalam.
“Adik buatkan bubur kacang durian ajelah. Lebih senang kan?”
Julia Afiqah menggigit bibir. Permintaan itu tidak akan ditunaikannya. Dia teringat bubur kacang durian yang dibuat oleh Mak Lang. Memang sedap. Tetapi hatinya jadi tawar apabila teringat pada petang itu Faruk datang dan dia menghidangkan bubur kacang durian. Kehadiran keluarga Faruk petang itu telah mengubah haluan hidupnya buat selama-lamanya. Tak semena-mena dia jadi tak suka pada segala jenis makanan yang diperbuat daripada durian.
Julia Afiqah jadi tambah pendiam dan termenung pula. Tiba-tiba mengutip buah durian bersama Imran pagi itu tidak lagi menggembirakan hatinya. Beberapa tahun lepas, dia dan Imran berebut hendak mengutip buah durian yang gugur hampir setiap pagi. Dia selalu bangun awal bagi memastikan dia mengutip buah durian paling banyak. Macam ada pertandingan pula. Terkadang Imran menyakatnya, dengan mengikat kulit durian yang sudah dikupas, lantas melemparkannya berdekatan pokok durian. Biar dia menyangka buah durian itu baru saja gugur. Imran tertawa dari dalam semak apabila melihat muka Julia Afiqah yang kelat kerana tertipu.
Julia Afiqah memerhati ke arah Imran yang girang apabila terlihat sebiji lagi buah durian di celah-celah semak samun yang mengeliling kebun durian yang agak luas di belakang rumah Latipah.
“Tengoklah! Besarnya buah ni…” Kata Imran berpaling padanya sambil tersengih.
Namun Julia Afiqah tidak peduli, dia terus berlari-lari meninggalkan Imran sendiri di tengah-tengah kebun.
Imran terpinga-pinga tidak berupaya untuk meneriakkan nama Julia Afiqah.
Julia Afiqah berlari pulang, tidak menoleh lagi ke belakang. Dia tidak sanggup untuk berpura-pura girang, bilamana hati kecilnya terlalu sedih. Dia tidak sanggup membilang hari-hari mendatang, menyedari bahawa dia semakin jauh daripada abang Imrannya. Lelaki yang paling dia sayangi…

Aduhai malam tiada bintang menghiasi taman kasih ini
Hanya aku sendirian tak berteman keseorangan
Kekasihku
Hanya aku yang memuja sisa cinta ini
Seandainya ombak laut surut lagi
Aku pergi
Dari mata dari jiwa berapi
Makin ku mengerti istilah percintaan ini
Moga nanti ada seru menyatakan
Kau kekasih sehingga ke akhirnya
Suara Siti Norhaliza mendendangkan lagu terasa semakin sayu menyelusup ke sanubariku. Terasa seperti akulah yang berdendang buat kekasihku… Buat abang Imran yang sangat kusayangi. Namun tidak berani kunyatakan hasrat hatiku. Malah kusengaja ciptakan satu nama. Sebenarnya kuterbalikkan nama abang Imran menjadi Narmi. Supaya tiada sesiapa pun yang akan tahu. Supaya segalanya tetaplah menjadi satu rahsia selama-lamanya.
Narmi kekasihku,
Aku akan tinggalkan sebuah kenangan luka. Akhirnya aku akan pergi meninggalkanmu. Meninggalkan kenangan yang pernah kita ukir bersama. Sejak kecil tidak kukenal erti kasih sayang, selain daripada kasih sayang yang kau curahkan untukku. Engkaulah cinta pertama dan terakhir. Tiada yang lain selain daripada dirimu selama ini bertakhta di hatiku.
Buat ke sekian kalinya aku menulis cacatan ini lantas kuselitkan lagi di celah-celah buku ensiklopedia abang Imran. Kuharap, kalau suatu masa aku meninggalkan rumah Mak Lang, catatan itu tidak akan ditemui sesiapa. Dan apabila aku punya kesempatan untuk pulang akan kucari kembali catatan itu untuk kubaca dan ulang mengenang kisah-kisah lalu yang pernah menemaniku. Suatu masa ku pernah lalui jalan-jalan yang penuh dengan kemanisan dan kini jalan yang kutempuhi penuh kepahitan.
Begitulah hidup yang kata orang umpama roda. Dan roda ini akan terus berputar bersama hadirnya masa yang sentiasa berlari. Wajarkah aku berharap supaya masa ianya berhenti berputar. Atau patutkah aku meminta kepada Tuhan supaya aku berhenti daripada menjadi manusia?
“Adik… Dah buka hadiah yang abang bagi?” Teguran abang Imran mengejutkanku. Aku segera menutup ensiklopedia yang baru kuselitkan dengan cacatan hatiku. Dahi Abang Imran nampak berkerut kerana aku masih lagi ‘berminat’ dengan ensiklopedianya. Bukankah ensiklopedia itu tertulis dalam bahasa Inggeris. Setiap perkataan yang tertulis di dalamnya tidak kufahami sepenuhnya. Melainkan perkataan-perkataan yang mudah sahaja. Dah tentu aku faham makna ‘I love you’ dengan jelas sekali. Heeee… Hatiku tercuit dan senyuman tanpa sengaja terukir di bibir.
“Haaa… senyum pula. Macam tulah… Kan manis!” Puji Abang Imran lalu berjalan masuk ke dalam perpustakaan.
“Terima kasih. Saya dah buka. Kerongsang tu cantik. Rasa tak sesuai pula dengan saya.” Balasku, lantas aku cepat-cepat bangun, menyimpan ensiklopedia di tempatnya semula sebelum abang Imran jadi bertambah hairan. Nanti disangkanya aku dah bertukar jadi orang lain yang minat dengan buku-buku tebal begitu. Sedangkan aku hanyalah seorang pencinta novel kisah cinta. Itupun setelah aku tersentuh oleh rasa cinta yang dianugerahkan Tuhan kepadaku. Sayangnya perasaan itu hanya dimiliki aku seorang… Perasaan yang tidak mungkin berbalas.
“Tak sangka pula adik dah jadi ulat buku. Kalau abang tak nampak adik di mana-mana, abang dah tahu adik mesti ada di sini.” Abang Imran kini sudah duduk di seberang meja, benar-benar di hadapanku.
“Oh! Bukan hanya di sini...” Balasku cuba mengelak. “Saya ada tempat lain yang lebih seronok dari tempat ni. Yang pasti ianya sunyi. Tak ada sesiapa berani kacau.”
“Di mana?” Tanya abang Imran ingin tahu.
“Rahsia.”
“Ooo… Dah pandai berahsia.” Jawab abang Imran bagaikan kecewa pula kerana gagal mengetahui apa-apa.
“Dulu memang saya tak minat membaca. Tapi rupa-rupanya betul kata orang tak kenal maka tak cinta. Jadi saya sebenarnya sudah jatuh cinta dengan buku.” Lanjutku kemudian, supaya abang Imran tidak mendesakku supaya bercerita tentang tempat rahsia yang aku maksudkan.
Sebenarnya tempat yang aku maksudkan adalah di dalam kamarku sendiri. Sejak aku tahu tentang jodoh yang diatur Mak Lang, aku gemar membuka jendela pada waktu malam, lantas merenung bulan dan bintang. Memang aneh. Kerana aku kini lebih suka bercakap dengan bulan berbanding dengan manusia. Lagipun di rumah ini tiada sesiapa yang boleh dijadikan teman berbual. Kak Sabita tenggelam dalam masalah sendiri. Hari demi hari kian kalut mengenang nasib yang bakal menjadi anak dara tua.
Barangkali dia terfikir bahawa dia akan ditinggalkan keseorangan di rumah itu setelah Mak Lang dan Pak Lang meninggal dunia. Kasihan Kak Ita. Aku sebenarnya sanggup menemani Kak Ita. Tapi sayangnya dia seperti membenciku.
Mengapa Mak Lang tidak mahu memberikan pengertian? Sepatutnya Faruklah yang harus menjadi suami Kak Sabita. Dan izinkan aku mencari cintaku.
Tapi cintaku kini berada di hadapanku. Mengapa aku tidak dapat meraihnya? Mengapa aku merasakan dia terlalu jauh. Dan aku merasa kecewa sebelum sempat berjuang untuk mendapatkannya. Wahai cintaku… Benarkah kau tidak mungkin jadi milikku?
Abang Imran ketawa. Begitu manis dan mesra tawanya menyentuh telingaku.
“Jatuh cinta dengan buku? Ensiklopedia? Hai… Mujur hanya dengan buku…”
“Hai… Kenapa pula? Tak boleh ke kalau saya jatuh cinta pada seseorang?” Tanyaku kembali, seakan-akan mencabar.
Aku sendiri pun tidak tahu mengapa malam ini aku hilang rasa segan dan berbicara lebih terbuka dengan abang Imran. Abang Imran nampak terkejut. Benar dia sudah tidak kenal pada Julia Afiqah yang sentiasa berubah sikap.
“Abang tu tak pernah jatuh cinta ke?” Tanyaku kembali untuk menghilangkan rasa menggelabah. Aku menyimpan kembali ensiklopedia yang ada dua buah lagi di atas meja. Niatku hendak menulis lagi tapi kehadiran abang Imran membantutku hasratku. Lagipun aku tidak mahu dia menyangka aku hanya menyelerakkan buku-buku yang amat dia sayangi.
Abang Imran tergelak. “Kerap sangat jatuh cinta…”
Dadaku berdebar. Tak sangka abang Imran sudah kerap kali jatuh cinta. Ahhh… Lelaki! Dia muda, periang dan bebas. Pergaulannya tidak terbatas seperti aku. Sudah tentu ramai gadis-gadis yang ditemui di kota sana. Aku pula sekadar gadis kampung yang terperuk di rumah, tidak pernah keluar melihat dunia luar. Tidak pernah mengenali dunia Abang Imran. Tidak akan berpeluang walaupun sekali untuk memasuki dunianya yang indah dan bebas itu.
Abang Imran sudah jauh menerokai dunia. Dia pernah belajar di luar negara. Tidak mustahil kalau-kalau dia sudah punya pilihan hati. Mengapa selama ini aku tidak pernah terfikir tentang hal itu?
“Yalah, agaknya abang tu hidup di kelilingi wanita…” Jawabku berani, bercampur cemburu yang tidak mampu aku kuasai lagi. Terserlah rasa cemburu melalui wajahku yang memerah dengan bibir yang kugigit kuat.
Abang Imran ketawa lagi lebih kuat dari tadi. Dia merasa kata-kataku penuh kelucuan. Ironinya aku merasa sangat pahit dan menyakitkan.
“Kenapa? Abang ni nampak macam playboy ke?” Dia bertanya. Keningnya yang lebat dan hitam terangkat.
“Entah.” Jawabku sambil mengangkat bahu. Pura-pura tidak peduli namun dalam hati berharap dia akan terus bercerita tentang gadis yang mengisi hatinya, yang berjaya menakluki jiwanya.
“Baru-baru ni abang jatuh cinta dengan motorsikal besar, lepas tu dengan sebuah kereta. Tapi yang paling hebat dan sukar untuk dilupakan abang jatuh cinta dengan kereta Hyundai model terbaru. Berwarna hitam lagi. Bodynya sangat menggoda. Kereta yang ada sekarang ni rasa hendak jual aje.” Jelas abang Imran sambil tertawa lagi.
Oh! Jahatnya… Rupanya dia bercakap tentang kereta, bisik hatiku sambil menarik nafas dalam-dalam.
Kutahu abang Imran sedang memerhati wajahku. Aku pura-pura tertawa sama walaupun tawaku penuh kepuraan. Aku merasa dipermainkan oleh abang Imran saja. Aku rasa abang Imran sedang membaca wajahku yang cemburu. Dan aku jadi takut kalau-kalau abang Imran tahu bahawa aku telah lama menyimpan rasa cinta buatnya.
“Abang tak rasa sayang pada kereta yang ada sekarang? Kereta tu pun baru aje abang beli tak sampai dua tahun.”
“Memanglah… Tapi abang betul-betul teruja nak memiliki kereta tu. Bolehlah abang bawa adik jalan-jalan!” Balas Abang Imran.
Nampaknya dia benar-benar serius hendak menukar kereta baru. Mengapa abang Imran harus bersikap boros begitu? Bukankah sikap boros perbuatan syaitan. Takkan abang Imran tidak tahu? Pak Lang kan seorang ustaz. Rasanya sudah banyak pelajaran yang diberikan Pak Lang pada anak-anaknya. Sejak dulu aku juga selalu diingatkan tentang perbelanjaan. Tapi Mak Lang tetap jua tak berubah… Suka boros berbelanja. Agaknya Abang Imran menurut jejak Mak Lang!
“Saya rasa lebih baik abang simpan duit untuk masa depan.”
Abang Imran bertepuk tangan. “Wah! Adik dah pandai bercakap tentang masa depan.”
Aku mulai tidak senang mendengar kata-kata sinisnya. Aku rasakan bahawa dia akan mulai bercakap tentang masa depanku pula. Apakah aku punya masa depan yang baik? Aku akan diserahkan pada sebuah keluarga yang aku tidak kenali dan aku rasa macam hendak bunuh diri. Tahukah abang Imran hatiku sedang rusuh. Tawaku hanya pura-pura. Dan aku semakin takut apabila malam menjelma. Kedatangan malam akan membuat hadirnya pagi dan hari terus berganti lagi.
Mengapa malam tidak kekal, seperti malam ini. Malam aku bersama abang Imran dan kami akan terus berbual-bual hingga ke larut malam. Kalaulah boleh malam ini aku tak mahu tidur. Aku mahu terus berbual kerana esok abang Imran akan pulang ke kota.
“Saya ada masa depan ke?” Tanyaku dengan mata yang mulai berair.
Abang Imran mempamerkan wajah kesalnya sebaik terlihat ada takungan air jernih dalam kolam mataku.
“Dah tentu. Adik corakkan sendiri masa depan adik.” Pujuk abang Imran perlahan.
Aku menggeleng.
“Tak bang. Warna-warna pelangi tiada dalam kanvas hidup saya.” Aku terus bangun meninggalkan abang Imran termangu buat ke sekian kalinya.


Bab 4

IMRAN tidak tahu bagaimanakah caranya dia harus berbicara dengan Latipah tentang hal itu. Dia tidak dapat melupakan wajah duka Julia Afiqah meskipun sudah seminggu dia kembali ke kota. Ada sesuatu yang tidak kena. Julia Afiqah bagaikan tidak rela dia dijodohkan dengan Faruk. Hati kecil Imran juga merasa ada sesuatu yang tidak beres.Walaupun tidak pernah bertemu Faruk, tetapi Imran tidak menyukai nama itu langsung.
Imran tidak berani berhadapan dan mengemukakan rasa tidak puas hatinya pada Latipah. Dia tahu benar sikap ibunya yang tidak suka dibantah. Ibubapanya telah mendidik mereka adik beradik menjadi anak yang patuh. Setiap keputusan tidak boleh dipersoalkan. Dalam mendidik memang ada baiknya sikap keras mereka itu. Buktinya adik beradik lelakinya semua berjaya dalam hidup.
Memang terasa ada ketidakadilan dalam percaturan hidup mereka adik beradik. Anak-anak lelaki nyata lebih beruntung. Mereka dibiar mengembangkan sayap, mencari ilmu sebanyak yang mungkin sedangkan anak-anak perempuan terpaksa tunduk dengan setiap keputusan. Sebenarnya Imran tetap bersyukur kerana emaknya masih memberikan dia sedikit kelonggaran untuk memilih kerjaya yang diminatinya.
Dia sebenarnya takut untuk memikirkan tentang jodohnya pula. Dia takut Latipah sudah merancang sesuatu. Kesedihan Julia Afiqah amat dia kesali. Kesal kerana tidak banyak yang dapat dia lakukan untuk membantu adik kesayangannya.
Jangan sampai emak cari jodoh untuk aku pula… Ini lagilah kes naya! Fikir Imran sambil meletakkan tangannya di atas dahi. Sejurus selepas menunaikan maghrib dia kembali terbuai dalam laut kenangan. Dia kembali menimbang-nimbang keputusan emaknya menerima pinangan daripada Datin Mahani dan Datuk Mokhtar. Di mana rasionalnya bila emak tidak bertanya pendapat Julia Afiqah langsung. Mengapa emak memperlakukan anak saudaranya begitu? Tidakkah emak sayang anak yatim piatu itu? Apakah Julia tidak berhak untuk memilih jalan hidupnya sendiri.
Perlahan-lahan Imran bangun. Matanya memandang kalendar yang tergantung di hujung katil. Esok Sabtu, bisik hatinya sendiri. Esok tak kerja. Balik? Apa kata emak nanti? Mengapa balik? Agh! Pedulikanlah. Aku mesti lakukan sesuatu untuk adik. Kasihan dia. Dia benar-benar sedih diperlakukan begitu oleh emak. Emak macam memaksa dia kahwin dan menyingkirkan dia jauh dari rumah tu! Tapi mengapa mesti buat macam tu? Mengapa?
Imran bergerak ke almari, mencari baju dan seluar. Kain pelekat dan t.shirt yang tadi dipakai semasa sembahyang segera dipecat dari tubuh. Dia menyarung seluar jean dan t.shirt. Tak boleh tunggu pagi esok. Malam ni juga aku harus balik. Biarlah mak terkejut tengok muka aku muncul di depan pintu.
Imran menjeling jam. Belum pun pukul sembilan malam. Perut terasa berkeroncong. Dia mencapai kunci kereta dan terus meninggalkan rumah teres yang dihuninya sendiri. Bukan dia tidak mahu mencari teman serumah. Baginya susah jika memiliki kawan, bakal berdepan dengan pelbagai masalah. Dia pula bekerja tidak ketentuan masa. Kalau dia sibuk kadang-kadang dia tidak balik langsung ke rumah.
Imran singgah makan terlebih dahulu di sebuah gerai tidak jauh dari taman perumahan tempat dia tinggal. Lebih kurang pukul sepuluh malam barulah dia bertolak pulang. Agh! Jam dua belas malam nanti sampailah… Kalau dia lari lebih laju, satu jam setengah pun dah tiba! Bisik hatinya sambil menjeling jam yang terdapat di dashboard kereta.
Separuh perjalanan yang ditempuh, tiba-tiba hujan gerimis menegur kereta-kereta yang baru datang dari Kuala Lumpur. Imran memandu perlahan, jalan licin dan dia tidak mahu mengundang kemalangan. Dia paling takut sekiranya terjadi sesuatu yang boleh membahayakan nyawa orang lain, bukan hanya nyawanya sendiri.
Tiba-tiba kereta Imran menyuluh sebuah kereta tersadai di tubir jalan. Seorang perempuan berdiri dengan payung terkembang sambil tangan dihulur ke arah jalan. Dapat dilihat wajah cemas perempuan itu yang memerlukan pertolongan. Tapi siapakah yang mahu berhenti di tengah-tengah highway begini…
Jika tiada sesiapa yang mahu berhenti, bagaimana pula nasib perempuan itu? Malam kian larut. Hati Imran tidak tenteram dibuatnya. Keretanya diperlahankan akhirnya berhenti lebih kurang tiga meter dari kereta perempuan itu. Imran keluar dari kereta lantas berjalan ke arah perempuan itu.
“Kenapa cik?” Dia bertanya pantas.
“Kereta saya rosak.” Jawab perempuan itu cemas. “Handphone tak berfungsi, tak ada line di sini. Aduh… Macamana ni? Tolonglah saya encik.”
Imran meneguk airliur. Dia tidak boleh berdiri lebih lama. Gerimis terasa semakin melebat. Nanti dia akan kebasahan jika terus berada di bawah langit yang terbuka.
“OK. You nak ikut saya? You nak balik ke mana? Mungkin saya boleh turunkan you di bandar terdekat.”
Perempuan itu mengangguk dengan cepat. Dia bergerak pantas menghala ke but kereta, lantas mengeluarkan sebuah beg yang agak besar. Tanpa lengah dia terus mengekori Imran yang sudah kembali ke keretanya. Imran membuka but kereta, membenarkan perempuan itu meletakkan beg pakaiannya.
Sejurus kemudian kereta Imran sudah kembali berada di atas jalan raya.
“Nak balik mana?” Imran bertanya, tanpa memandang perempuan di sisinya. Walau wajahnya kurang jelas, tetapi hidung Imran terhidu haruman yang datang dari tubuhnya. Perfume yang dipakai perempuan itu memang jenis jenama yang mahal. Baunya kekal harum, manis dan mententeram sesiapa saja. Imran terdorong memerhati wajahnya. Dia percaya perempuan itu punya wajah yang jelita dan walaupun suaranya agak kasar.
Perempuan itu tertawa kecil sebelum menjawab; “Sebenarnya I nak ke Kuantan. Outstation. Tapi tak sangka kereta boleh rosak. Hmmm… Nampaknya I terpaksa batalkan temujanji dengan client esok. ” Katanya melahirkan rasa kesal.
Imran tersenyum. “Rasanya tak perlu. I pun nak ke sana.”
“Apa?” Dia tersenyum manis sambil memandang ke wajah Imran. Mata mereka bertatapan dari dekat, Imran cuba meneka tampang wajahnya.
“I tak tahu nak kata apa. Ini satu kebetulan atau I sememangnya bernasib baik?”
Imran hanya tertawa.
“Nama I Irma. Irma Zamila Tan Sri Muluk.”
“Wow!” Imran tidak dapat menyembunyikan rasa kagum. “Nama I Imran.” Balasnya dengan suara mendatar.
“Imran saja?” Balas Irma Zamila seperti tidak puas hati.
“Imran bin Haji Mansur. Anak seorang bekas ustaz. Bapa I dah pencen.” Kata Imran dengan harapan Irma Zamila akan puas hati dan tidak akan bertanya lagi.
“Okey. Anak seorang ustaz rupanya. I rasa ayah you mesti seorang yang bersikap konservatif, suka mengongkong dan tidak suka hidup mewah apalagi bermegah-megah. Am I right? Itu pengalaman I sendiri berkawan dengan anak gadis seorang ustaz. Kasihan. Dia tidak bebas menentukan hidupnya, terutama sekali yang berkait rapat dengan jodoh.”
“Oh! Tak…Tak semestinya.” Jawab Imran sambil menggoyangkan kepalanya. Walaupun tekaan Irma Zamila ada kebenaran ibubapanya mengamalkan sikap suka mengongkong dan kolot, tetapi dia tidak suka. Sikap terus terang begitu menyakitkan hatinya apalagi mereka baru sahaja berkenalan. Dapat dia meneka bagaimana perwatakan gadis itu. Mesti dia seorang yang keras kepala, degil dan selalu merasa dirinya betul. Dengan pantas dia membuat rumusan. Begitu cepat sekali gadis itu menonjolkan sikapnya tanpa perlu berselindung.
“Oh! Barangkali bapa you lebih moden… Yalah. Kebanyakan ibubapa sekarang banyak yang sporting, seperti papa I.”
“Siapa nama bapa you tadi?” Ulang Imran mencari kepastian.
“Tan Sri Muluk.” Jawab Irma Zamila dengan bangga. Kebanyakan orang kenal pada nama itu. Bapanya salah seorang tokoh politik terkenal. Kalau Imran tidak perasan, memang dia bukan orang yang meminati bidang politik atau orang yang tidak suka menonton berita.
“Oh… Sekarang baru I ingat. Bapa you… Ya. Salah seorang menteri kabinet. Wah! Bertuah malam ini I berkenalan dengan anaknya. Jadi, kalau I orang jahat… I akan culik you dan minta wang tebusan, bagaimana?”
Irma Zamila ketawa. “I percaya you orang baik. Sebab naluri I menyatakan you memang seorang lelaki yang boleh dipercayai. Kalau tak, takkan you sanggup berhenti bilamana orang lain tak mahu menolong I yang dalam kesusahan tadi? Sebenarnya dah hampir setengah jam I cuba tahan kereta tapi tiada yang mahu berhenti.”
“Terima kasih, kerana tumpangkan I.” Kata Irma Zamila lagi sambil membetulkan duduknya. “Sebenarnya I cukup penat. Tapi I rasa tak senang nak tidur. Melainkan kalau you pasang lagu…”
“Okey…” Banyak kerenah pula anak gadis Tan Sri ni. Orang dah bagi tumpang dia nak dengar lagu pula. Macam-macam! Rungut Imran di dalam hati.
Imran memasukkan CD Engerbert Humperdink ke dalam radio CD keretanya. Tidak lama kemudian berkumandang suara penyanyi latin itu membawakan lagu yang sungguh membuai perasaan. Irma Zamila menyandarkan kepalanya, memejam mata kemudian menoleh sejenak ke arah Imran.
“You tak kisah kalau I tidur?”
Imran mengangguk. Dia sebenarnya rasa tidak begitu selesa juga kerana Irma Zamila melayaninya begitu seolah-olah mereka sudah lama kenal. Tetapi tak mengapa, dia harus mengikut sahaja rentak anak gadis Tan Sri Muluk.


MALAM INI bulan menerangi langit. Begitu indah cahayanya yang tertumpah ke bumi. Namun hatiku gundah. Ingin kuajak bulan itu bercanda tetapi bagaimana mungkin. Hatiku sedih mengenangkan abang Imran yang sudah tiada di sisi, menemani malam-malamku yang sepi.
Bumi yang indah terbentang tidak pernah menjadi milikku. Kata orang dunia yang indah ini hanya milik insan yang bercinta. Cinta membuat segalanya menjadi sempurna. Cinta itu menyempurnakan hidup manusia. Cinta itu memberi rasa bahagia, tenang dan semangat untuk menempuh hidup di alam perkahwinan. Dengan semangat apakah yang aku ada untuk menempuh perkahwinanku kelak.
Wahai bulan… Berikan ku satu tanda, apakah aku akan memiliki cinta sejati suatu hari nanti. Aku belum kehilangan rasa sabar dalam menempuhi hidup yang penuh dugaan ini. Walaupun saban hari mendung berarak ke dalam hidupku, aku tetap tabahkan hatiku. Selagi dia ada bersamaku, dalam jaga ataupun dalam mimpiku.
Alangkah indahnya lamunanku malam ini. Malam yang panjang seperti tidak akan berakhir. Mataku masih segar bugar entah bila akan rasa diulit lena yang panjang. Di sisiku segelas air suam yang tadi penuh kini sudah kosong. Turut kubawa ke bilik sebiji epal hijau yang rangup.
Entahlah. Barangkali dalam masa tiga bulan lagi aku tidak berpeluang melakukan ini semua lagi. Merenung bulan yang bercahaya, bersendirian di dalam kamar ini. Dan aku tidak tahu bagaimanakah kehidupanku setelah aku meninggalkan rumah Mak Lang. Rasanya aku lebih rela tidak berkahwin sampai bila-bila pun, jika itu saja pilihan yang aku ada.
Abang Imran sudah seminggu pulang. Terkadang ada juga timbul niat di dalam hatiku untuk menghubungi abang Imran. Tapi aku takut hendak menggunakan telefon di rumah. Takut Mak Lang akan bising-bising kalau bil yang datang lebih tinggi dari biasa. Di rumah ini dia memantau segalanya. Bil air dan elektrik tidak boleh sama sekali naik lebih tinggi dari biasa. Justeru itu amat jarang aku menonton televisyen.
Mak Lang memang cerewet sekali, kalau melibatkkan soal wang. Tapi dia sanggup mengeluarkan duit yang banyak jika mahu membeli gelang baru atau rantai emas yang menjadi idamannya.
Abang Imran… Pulanglah. Saat ini aku tiba-tiba jadi rindu padamu. Ingin mendengar suaramu lagi dan berbicara denganmu di malam sunyi begini.
“Adik!!”
Telingaku menangkap satu suara. Suara itu seakan-akan suara Abang Imran. Mustahil. Oh! Tuhan apakah aku sudah gila, terdengar-dengar suara abang Imran lewat malam-malam buta begini. Lebih baik aku tutup tingkap ni sekarang…
“Adik!!!” Teriakan itu terdengar lebih kuat datang dari sisi rumah. Spontan aku menjengukkan kepalaku dalam takut-takut. Aku tidak yakin pada mataku sendiri tatkala terlihat sesusuk tubuh sedang berjalan ke arah tingkap bilikku. Susuk tubuh itu tidak jelas sehingga aku menggosok mataku berkali-kali. Aku hampir terjerit, benar-benar terperanjat apabila Abang Imran muncul di hadapanku dalam jarak yang lebih dekat. Tangannya berada di atas jenang tingkap, menghalangku daripada terus menutup tingkap.
“Abang? Terkejut saya!”
“Adik… Mujur adik belum tidur. Abang baru sampai dari KL.”
“Kenapa abang balik malam-malam buta macam ni?” Tanyaku kehairanan. Tidak pernah abang Imran bersikap begini.
“Shhh… Adik tolong bukakan pintu hadapan dulu!” Pintanya perlahan. “Abang tak mahu bangunkan emak. Kalau adik sudah tidur pun, abang memang nekad akan tetap bangunkan adik. Mujurlah adik belum tidur…”
Aku mengangguk lantas menutup tingkap kamarku. Perlahan-lahan aku menyelinap keluar lantas membukakan pintu hadapan untuk Abang Imran. Tidak lama kemudian kami ke dapur. Abang Imran memintaku menyediakan kopi panas. Dia menutup pintu yang menghala ke dapur, bimbang cahaya lampu yang terang akan membangunkan Mak Lang.
Tentu Mak Lang terkejut melihat Abang Imran balik mendadak begitu. Entah apa yang mengganggu fikiran abang Imran sehingga dia sanggup pulang. Aku tak mengerti. Tapi aku yakin abang Imran akan memberitahuku jua apa yang merunsingkan hati kecilnya.
“Abang balik sebenarnya semata-mata kerana adik…”
“Sebab saya?” Soalku sambil meletakkan telapak tanganku di dada. Benar aku terkejut mendengar ungkapannya yang tulus itu.
Abang Imran mengangguk. “Abang melihat ada duka di wajah adik sejak mak menerima pinangan orang tu. Abang tahu adik tak rela menerima lelaki yang tidak adik kenali. Abang yakin yang adik belum bersedia untuk berkahwin.”
Aku mengangguk mengiyakan sahaja kata-kata abang Imran.
“Abang sedang fikirkan cara bagaimana hendak memujuk emak supaya membatalkan pertunangan tu. Tapi abang juga takut emak mengamuk. Nampaknya emak beria-ria mahu melihat adik menikah dengan Faruk. Emak memang macam tu… Suka memaksa. Adik tengoklah Aishah. Dia pun kena paksa kahwin tapi mujur hidupnya bahagia.”
Aku mengangguk. “Kak Su sukakan abang Nizam. Walaupun mereka tak kenal mesra, tapi mereka bercinta selepas berkahwin.” Jawabku perlahan. “Saya tak mungkin mengalaminya. Faruk tu jauh lebih tua dari saya. Sebenarnya Faruk dan keluarganya datang untuk berkenalan dengan Kak Sabita, tapi saya pula yang mereka suka…”
Abang Imran terkejut. “Betul ke?”
Aku mengangguk dengan penuh yakin.
“Patutlah Kak Sabita pun nampak sedih bukan main…”
“Dalam rumah memang kami berdua sedang bersedih. Hanya seorang saja yang gembira.” Ujarku perlahan antara dengar dan tidak saja.

LATIPAH duduk di kerusi kesukaannya yang terletak berdekatan dengan tingkap. Sebuah meja tulis yang sederhana besar, menghadapi tingkap yang dihiasi dengan langsir sheer berwarna merah samar. Dia sedang leka mengira keuntungan hasil jualan durian dan kelapa.
Pak Mail yang ditugaskan menguruskan ladang kepala yang luasnya lebih kurang sepuluh ekar, menunjukkan hasil jualan yang amat baik pada tahun ini. Baru-baru ini Pak Mail meminta dibelikan lori pikup yang lebih besar. Hasil kelapa bertambah banyak. Lagipun lori yang sedia ada selalu mendatangkan masalah.
Latipah belum dapat memastikan apakah dia akan menurut permintaan Pak Mail itu. Namun memang dia akui lori itu sudah hampir sepuluh tahun digunakan, dibawa ke sana ke mari mengangkut kelapa dari kebun ke pasar. Kadang-kadang hingga ke luar daerah lori itu dibawa Pak Mail bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Selepas subuh tadi tidak tidur. Dia perlu melakukan sesuatu pada awal hari itu. Barangkali tidak keterlaluan kalau dia mencari sebuah lori lain bagi menggantikan lori lama itu. Lagipun hasil jualan kelapa memang meningkat. Jualan durian juga amat memuaskan.
Latipah menggigit pen. Dia teringat sesuatu. Malam tadi dia terdengar suara perbualan datangnya dari arah dapur. Perlahan-lahan dia bangun dan mengintip dari celahan pintu yang tertutup. Dia mendapati Imran dan Julia Afiqah sedang rancak berbual. Dia terkejut melihat Imran pulang pada tengah malam buta. Apakah topik yang dibincangkannya dengan Imran? Latipah benar-benar ingin tahu…
Malam semalam tidurnya tidak begitu lena. Dia bangun awal, terus menunaikan salat subuh kemudian menghadapi meja tulis. Dia tidak tahu apa yang harus difikirkan lagi tentang Imran dan Julia Afiqah. Rasa hairannya tambah menggunung. Dia boleh saja bertanya pada anaknya Imran. Atau mendesak Julia Afiqah menceritakan hal sebenar…
Tapi dia tidak boleh berbuat begitu. Tak boleh… Dia harus menyiasat sendiri. Setiap gerak laku mereka berdua tidak akan terlepas dari tatapan matanya. Dalam diam dia akan memerhati mereka.

Bab 5

JULIA AFIQAH meletakkan baju dan seluar Imran yang baru diseterika di atas katil. Katil Imran nampak berselerak, letak bantal kepala dan bantal golek tunggang langgang. Selimut tidak berlipat. Hmmm… Lasak juga abang Imran ni tidur, bisik hatiku sambil menggelengkan kepala.
Abang Imran sedang mandi. Bilik air terletak di hujung dapur, tapi dari bilik itu terdengar jelas suara Abang Imran yang menyanyi lantang. Lagu yang tidak langsung kufahami. Lagu Inggeris tentunya. Aku selalu kagum pada abang Imranku yang amat fasih berbahasa Inggeris. Dia tahu tahu bahasa Perancis. Kalaulah aku boleh bertukar dalam banyak bahasa alangkah bagusnya… Itu semua hanya angan-anganku saja!
Saat aku hendak melangkah keluar dari kamar itu setelah mengemas katil Abang Imran secantik yang mungkin, telefon bimbit lelaki itu berbunyi. Langkahku terhenti, kepalaku tertoleh ke arah telefon bimbit yang terletak di atas almari solek. Dengan teragak-agak aku melangkah ke arah telefon itu, sambil memerhati ke skrin. Tiada nama, hanya nombor telefon tercatat di sana.
Aku menekan punat, lantas meletakkan telefon itu di telinga.
“Imran?” Terdengar satu suara asing, suara perempuan! Dadaku jadi berdebar, terkejut. Selama ini aku tidak tahu bahawa Abang Imran ada teman wanita. Siapakah dia? Aku tidak patut melupakan hakikat bahawa Abang Imranku seorang lelaki bujang yang kacak. Tubuhnya tinggi lampai, cergas dan menarik. Dia punya aset yang boleh memikat hati ramai wanita. Salah satu darinya adalah kereta honda miliknya yang pasti menjadi kekaguman ramai. Disamping kerjayanya sebagai seorang juruanalisis sistem di sebuah syarikat komputer bertaraf antarabangsa yang mempunyai banyak cawangan di seluruh dunia.
“Bukan. Dia sedang mandi.” Beritahuku dengan suara terkawal meskipun dadaku terus bergetar hebat. Kakiku terasa lemah memijak lantai beralas karpet di bilik itu. Siapakah dia? Soal hatiku bertalu-talu.
“Oh! Boleh beritahu dia, I menunggunya di hotel Hyatt, jam sembilan.”
Spontan aku memerhati ke arah jam dinding di dalam kamar Abang Imran. Lima belas minit lagi! Nampaknya perempuan itu benar-benar terdesak.
“Saya akan beritahu dia. Kakak ni siapa?”
Pertanyaanku tidak berjawab. Kudengar talian telefon dimatikan. Aku letak telefon bimbit Abang Imran di tempatnya kembali. Di pintu aku terdengar suara siulan Abang Imran. Dia terkejut melihat aku berada di dalam kamar. Matanya memandang ke arah katil. Di situlah meletakkan baju dan seluarnya licin tanpa sebarang kedutan sesudah disterika. Dia senyum, mengerti mengapa aku masuk ke kamarnya saat itu.
“Siapa call abang?” Dia bertanya.
Aku mengangkat bahu. Benar-benar tidak tahu. Kemudian timbul rasa ingin mengusik untuk mengetahui suatu rahsia. Manalah tahu kalau-kalau perangkapku mengenang. Abang Imran mengakui sesuatu…
“Kekasih abang agaknya?”
Abang Imran tergelak cuma.
“Dia minta abang jemput dia di hotel Hyatt jam sembilan.”
“Ooo…” Abang Imran tiba-tiba jadi menggelabah. Dia memandang padaku yang masih terpaku di sisi almari soleknya. Mataku juga tepat memanah tubuhnya yang kelihatan masih basah. Dia hanya bertuala sahaja.
“Adik keluar dulu. Abang nak pakai baju!”
Serta merta aku jadi malu sendiri. Aku telah menghalang dia daripada bersiap-siap. Sepatutnya aku cepat-cepat meninggalkannya. Pasti dia juga rasa malu terhadapku. Aku bukan lagi anak kecil yang sering bermain-main di dalam kamarnya suatu masa dulu. Malah aku tidak pernah masuk ke kamar tidurnya tanpa sebarang tujuan.
Namun sempat ku perhati wajhanya yang terpamer garis-garis ceria yang tidak dapat disembunyikan. Kini aku mengerti mengapa dia meminta aku menyerika bajunya pada awal pagi itu. Aku yakin dia punya janji. Janji dengan gadis yang sebentar tadi baru menghubunginya.
Sepanjang hari itu aku gelisah. Aku tiada mood untuk berbuat apa-apa melainkan menghadapi meja yang kosong di dalam perpustakaan. Aku juga tiada mood untuk menulis cacatan pada hari itu. Kuperhati kertas sebesar tapak tangan yang berwarna kuning terang itu. Tiba-tiba aku terasa ingin menulis secebis ayat. Satu ungkapan pendek namun pedih menusuk hatiku.
Narmi,
Ku percaya cinta abadi selamanya tidak akan ternoda. Tidak akan kuserahkan cintaku untuk dilukai dan dikecewakan. Sayangku, usah lukai hatiku dan jangan sesekali kau buang aku dari hidupmu. Sesungguhnya aku tidak boleh hidup tanpamu…

GERAI di pinggir pantai Telok Cempedak tidak begitu sibuk sore itu. Waktu sudah terlalu lewat untuk bersiar-siar di tepian pantai. Matahari nampak kian condong. Laut kelihatan begitu damai, disimbah percikan cahaya kuning tembaga. Deru ombak terdengar begitu jauh dan malas. Pelanggan hampir-hampir tiada. Hanya dua meja terisi. Imran dan Irma Zamila pun sekadar minum, untuk membasah tekak. Sebenarnya Imran yang mengajak gadis itu minum, masih cuba mencari kesempatan untuk berbual.
Imran memerhati sekeliling, bagaikan mencari sesuatu sebelum matanya singgah semula ke wajah Irma Zamila di hadapannya. Solekan Irma Zamila kian sirna dimamah hari. Namun wajahnya masih tetap berseri. Wajah yang cukup sempurna. Rambutnya yang mencecah bahu berkali sudah disapa angin. Dia membiarkan sahaja. Tampak dia suka dengan suasana di situ.
“Sunyi tempat ni ya?” Irma Zamila bersuara, matanya memerhati jauh ke arah pantai yang lengang, tidak berorang.
Mata Imran juga turut memerhati sekeliling kemudian beralih ke arah Hotel Hyatt yang terletak tidak jauh dari situ. Irma Zamila menginap di situ semalam. Sepanjang hari itu dia telah telah menjadi ‘drebar’ tidak rasmi gadis itu. Entah mengapa dia sanggup berbuat demikian sedangkan mereka baru sahaja kenal. Dia sanggup menghantar pulang ke hotel. Namun sebelum melangkah pulang, diajaknya Irma minum terlebih dahulu.
“Ya. Selalunya memang macam ni. Kalau hari minggu baru ramai orang.” Beritahu Imran berlagak tahu saja. Sebenarnya dia pun sudah lama tidak mengunjungi pantai Teluk Cempedak walaupun tinggal tidak jauh dari situ.
“Esok you ada buat apa-apa tak?” Tanya Irma Zamila sambil memandang tepat ke wajah Imran. Mata mereka bertentangan sejurus. Imran menggeleng dengan cepat, bagaikan dapat merasa sesuatu. Dia seperti tidak mahu melepaskan peluang yang terbentang di hadapan mata.
“Tak.” Jawab Imran sambil tersenyum. Walaupun kepulangannya ke kampung semata-mata kerana ingin merungkaikan masalah Julia Afiqah, namun apabila ketemu gadis semanis Irma Zamila begitu mudah rencananya berantakan.
“Esok I free. Apakata you bawa I jalan-jalan? Kereta I masih lagi di bengkel. Sekurang-kurangnya Isnin baru siap.”
“Hmmm… Tak ada masalah. I masih sendiri. I takut you tu, jangan-jangan nanti ada orang yang marah!” Jawab Imran.
Irma Zamila tidak membalas kata-kata Imran, dia hanya tersenyum. Dicuitnya sedikit tangan Imran yang ada di atas meja. “I dengar steak kat coffee house hotel Hyatt sedap!”
Imran tertawa.
“Hmmm sedap lagi masakan kakak I… Kalau dia masak, asam pedas ikan parang, mak mertua lalu pun nampak!” Jawab Imran.
“Betul ke? I memang minat makan asam pedas.” Kata Irma Zamila sengaja memasang perangkap.
Imran menggigit bibir. Terlanjur dia berkata begitu, rasa tidak selesa kalau tidak mempelawa datang ke rumah. Walaupun hanya ajak-ajak ayam.
“Kalau you betul-betul nak rasa, I boleh minta dia masak. Tapi bukan malam ni…”
“Apa kata malam ni I belanja you makan steak? Sebagaiman ucapan terima kasih kerana sanggup tolong I. Sejak malam semalam I menyusahkan you…”
“Tak apa. Sebenarnya I senang sekali dapat menolong you.” Jawab Imran sambil melebarkan senyuman.
Dia pandai menggunakan daya penarik yang ada pada dirinya… bisik hati Imran. Bukan kerana dia anak orang ternama, kaya dan cantik. Ada sesuatu yang lain pada dirinya yang membuat hati begitu mudah terpaut. Aduh! Apa sudah jadi dengan diriku. Takkanlah aku jatuh cinta pada pandangan pertama. Begitu cepat hatiku terusik dengan kemesraan dan layanannya. Terasa seperti sudah kenal lama.
Imran pulang tika maghrib sedang berkumandang dari televisyen yang terpasang di ruang tamu. Latipah sudah siap memakai telekung ketika Imran masuk melalui pintu hadapan. Ibunya memandang curiga padanya lantas pantas sahaja menegur; “Kau dari mana? Sejak pagi tadi hilang… Balik pun tak beritahu. Tak sempat mak nak tanya apa-apa kau terus lesap.”
“Ada hal lah mak.” Jawab Imran acuh tak acuh lantas terus masuk ke kamar. Sebaik masuk, dia mendapati sehelai kain pelekat, sejadah dan kupiah sudah siap diletakkan di atas katil. Ini mesti kerja adik… bisik hatinya sambil menggelengkan kepala.

IRMA ZAMILA menyerbu minyak wangi ‘poison’ di pergelangan tangannya. Kemudian disemburnya pula minyak wangi itu ke lehernya yang jinjang yang dihiasi dengan seutas kalung. Kilauan kalung mutiara itu jelas terpancar tika beradu dengan lampu yang tergantung di siling.
Irma Zamila menyanyi kecil biarpun hatinya pedih. Dia teringat segala yang berlaku sebelum keberangkatannya ke Kuantan. Dia merenung mukanya yang sudah siap bersolek. Dia bertambah cantik dan anggun dalam usia yang belum mencapai angka tiga puluhan. Dulu semasa remaja, tubuhnya terlalu kurus. Dadanya leper dan tidak menarik langsung. Tiada lelaki yang sudi memandang. Malah dikatakan perempuan yang paling hodoh dalam senarai adik dan kakaknya yang jelita. Saat itu dia terasa seperti hendak mati sahaja. Dia mengenakan cermin mata tebal sejak kecil…
Kini bersama perubahan masa dan era yang bertukar, segalanya bagaikan satu mimpi indah buatnya. Dia telah bertukar daripada seekor anak itik hodoh, menjadi angsa putih yang memukau. Irma Zamila berdiri di cermin sambil memusing badannya. Gaun biru, dengan selendang organza yang menutup sebahagian daripada bahunya terdedah bisa memukau siapa saja. Dia yakin Imran juga pasti terpukau…
Tidak susah untuk memikat hati lelaki. Hanya dengan senyuman, sedikit sentuhan akan cairlah hati mereka. Dia tersenyum. Dia benar-benar tidak menyangka, malam semalam dia bertemu dengan seorang lelaki yang lurus seperti Imran. Sayangnya Imran terlalu lewat hadir ke dalam hidupnya.
Mengapa tidak bertemu dengan Imran lima tahun yang lalu? Mengapa baru semalam mereka dipertemukan oleh Tuhan. Entah mengapa pertanyaan itu mengetuk pintu hatinya. Gila kau ni Irma! Ingat sikit siapa diri kau tu… Kutuk dirinya sendiri.
Ya… Balasnya perlahan, bibirnya yan disapu dengan lipstik warna merah menyala bergerak-gerak. Aku ingat siapa aku… Tapi malam ni aku mahu jadi orang lain. Sama sekali lain. Aku mahu melupakan kewujudan dia di sana. Biar dia mampusss… Ungkap hatinya lagi, mulai dipenuhi rasa marah.
Irma Zamila memerhati jam. Hampir pukul sembilan. Sudah saatnya dia turun ke lobi. Barangkali Imran sudah tiba. Dia tidak boleh membiarkan Imran menunggu lama.
Irma Zamila bergegas bergerak menghala ke pintu.
“IMRAN keluar lagi?” Tanya Mak Lang apabila melihat aku meletakkan tiga biji pinggan di atas meja makan kecil di dapur. Aku mengangguk. Kak Sabita yang sibuk memanas gulai tidak mempedulikan soalan Mak Lang. Aku mengisi nasi ke dalam tiga biji pinggan.
“Kakak tak mahu makan.” Kata Kak Sabita. Aku memandang Kak Sabita yang sedang meletakkan gulai ikan tenggiri bercampur dengan peria. Ada sambal belacan dan ulam raja. Tapi masakan itu tidak memancing seleraku langsung. Biasanya aku pantang jumpa sambal belacan dan ulam raja. Tapi malam ini aku tiba-tiba rasa kenyang dengan hanya melihat semua makanan yang sudah terhidang.
“Kenapa tak mahu makan?” Tanya Mak Lang sambil memandang Kak Sabita. Pandangannya tajam, menuntut jawapan. Kak Sabita menjawab tanpa menoleh pada ibunya; “Tak ada selera.”
Dia mengambil dulang, mengisi nasi dan gulai ke dalam dulang tersebut. Dia sedang menyediakan makan malam untuk Pak Lang. Diletakkannya juga segelas air di dalam dulang tersebut.
“Mak makanlah. Biar Ita bawa nasi abah.”
Pak Lang memang tidak keluar bilik. Dia makan malam di dalam bilik sambil menonton televisyen kecil di sana. Selepas makan malam dia akan mengambil ubat lalu tidak sampai setengah jam kemudian dia sudah pun tertidur.
“Mak pun tak ada selera.” Mak Lang terus berlalu ke dalam.
Aku memerhati tiga pinggan nasi yang baru kuisi. Akhirnya aku terpaksa memasukkan nasi ke dalam periuk semula. Menutup makanan yang ada dengan tudung saji, kemudian memadamkan lampu dapur. Aku bawa segelas milo panas ke dalam bilik.
Lantaran aku amat jarang menonton televisyen pada waktu malam, ingatan langsung tidak tertarik pada rancangan yang ditayangkan. Malah aku tidak kenal pun pelakon dan penyanyi pujaan remaja masa kini. Aku ini seperti perempuan tua yang tidak ambil tahu tentang perkembangan muzik dan filem. Bukan sengaja aku mengasingkan diri. Memang diriku benar-benar terasing dan hidup bagaikan dalam penjara di rumah ini.
Salah siapa sebenarnya? Apakah semua ini salah Mak Lang yang suka mengongkong aku? Tidak pernah membenarkan aku membuat perkara yang aku gemari? Tidak pernah bertanya apakah minat dan kecenderungan yang aku miliki. Perlahan-lahan aku menyedari bahawa tiada sesiapa pun peduli pada aku…
Hanya abang Imran yang prihatin. Tapi sejak kutahu wujudnya seorang perempuan dalam hidupnya, dia juga sudah semakin jauh dariku. Sedihnya… Keluhnya sambil membuka jendela kamar.
Bunyi cengkering bernyanyi girang terdengar tidak jauh dari tepian jendela. Dapat kulihat kunang-kunang sedang berterbarangan di udara. Kudongak ke langit yang nampak sangat kelam malam ini. Aduh… Tiada bulan? Di manakah bulan bersembunyi. Mengapa malam ini semua harus meninggalkan aku sendiri?
Puas kutunggu hadirnya rembulan, tetapi tetap ia tidak muncul. Kemudian baru kutahu mengapa. Saat itu langit dicakar dengan kilat yang amat garang. Dan guruh pun berdentum dengan kuat. Angin bertiup dengan kuat, menerbangkan puing-puing debu dalam gelap malam. Saat itu kurasakan seperti ribut akan melanda. Cemas hatiku melihat daun tingkap yang kuat dihempas angin. Aku menutup daun tingkap. Malam ini aku sendiri tanpa bulan. Suara angin terus menggila di luar rumah diikuti deru hujan.
Angin dan hujan. Kedinginan yang kau bawa, tidak akan meredakan kehangatan cintaku pada Abang Imran. Aku berbaring, mengingati detik-detik Abang Imran ada di sisiku. Entah ke mana Abang Imran pergi malam ini…
Bab 6

RASA terpaut, ingin terus bersama lebih lama dan mengenali wanita muda itu dengan lebih mendalam, membuat Imran menuruti sahaja kehendak Irma Zamila. Setelah makan gadis itu mengajaknya berjalan-jalan ke tepian pantai.
“Petang tadi kita tak sempat jalan-jalan di pantai...” Kata Irma Zamila sambil memaut lengan Imran tanpa rasa malu. Imran pula yang rasa semacam apabila ada mata yang memandang ke arah mereka berdua yang beriringan sambil tangan bertaut.
“Janganlah… segan.” Bisik Imran sambil berusaha melepaskan pegangan Irma Zamila.
“Alah! Bukannya ada orang kenal pun.”
“Jangan lupa I orang sini. Manalah tahu terserempak dengan orang yang dikenali tanpa diduga.”
“Okey… Kena jaga reputasi! Maklumlah anak ustaz.” Balas Irma Zamila sinis.
Imran terdiam. Dia mengikut sahaja Irma Zamila yang berjalan laju menghala ke tepian pantai. Irma Zamila meninggalkan kasutnya di tepi pantai, kemudian berlari-lari ke gigi air membiarkan gaun labuhnya terseret dan dipaliti pepasir. Cahaya lampu dari ruang laman belakang hotel sampai jua ke arah pantai. Imran menuruti jejak gadis itu perlahan-lahan. Dia juga meninggalkan kasutnya. Kakinya yang tenggelam ke dalam pasir terasa hangat. Sisa-sisa kehangatan mentari masih ada, terperangkap di dalam pasir. Haba panas perlahan-lahan naik ke udara pada waktu malam.
“Boleh I tanya sesuatu?” Tanya Imran setelah dia benar-benar berada di belakang Irma Zamila.
“Apadia?” Tanya Irma Zamila tanpa memandang Imran. Dia terus berjalan. Semakin jauh dari kawasan hotel, pantai jadi semakin kelam. Irma Zamila berhenti melangkah.
“You dah berpunya?”
Irma Zamila tersenyum sinis. Dipandangnya Imran sekilas kemudian memulangkan pertanyaan; “You nak jawapan betul atau jawapan bohong…”
“Dah tentu jawapan yang jujur, sejujur yang mungkin.”
“Macam ni lah. I tanya you dulu, tapi I nak you bohong.”
Imran tergelak. “Apalah you ni…”
“You ada kekasih?”
“Ada.” Jawab Imran.
“Siapa kekasih you?”
“Youlah!”
“You suka pada I?”
“Suka.” Jawab Imran, memerhati Irma Zamila yang sedang merenung tepat ke dalam matanya. Mata mereka bertentangan. Di dalam samar-samar cahaya itu masih dapat dia melihat ada kerdip sinar keceriaan lahir dari sepasang mata lelaki itu.
“Kenapa you suka I?”
“Sebab you seksi, cantik, bijak…” Kali ini dia memberikan jawapan yang sebenarnya tanpa dia sedari. Dia mengungkapkan kata-kata tanpa berfikir, tanpa sengaja melontarkan pujian pada simanis yang berjaya mencuri hatinya dalam masa yang begitu singkat. Selama ini Imran tidak pernah menyukai mana-mana wanita. Tapi bila berhadapan dengan Irma Zamila dia terasa satu kelainan. Entah mengapa.
Wanita muda itu bijak menggoda, menjebak hati yang memang kekosongan. Suara tawa Irma Zamilah terdengar agak kuat. Imran menarik nafas dalam-dalam, sedar bahawa dia sudah terperangkap. Dia tidak dapat mengelak lagi. Walaupun pada awalnya jawapan yang diminta adalah satu pembohongan tetapi Irma Zamila dapat meneka kebenarannya.
Imran menepuk dahi. Dia sudah terlanjur berkata.
“Kebanyakan lelaki suka wanita seksi, manja, cantik, bijak dan berdikari untuk dijadikan kekasih. Tapi kalau memilih isteri, mengapa mereka mahukan perempuan yang berlawanan dengan sifat-sifat seorang kekasih. Mengapa? Mereka menginginkan seorang yang innocent, sedikit kolot, yang menutup seluruh tubuh daripada tatapan lelaki…” Soal Irma Zamila perlahan. Soalan yang bagaikan satu rintihan. Hanya dia sahaja yang tahu kepedihannya. Kerana dirinya tidak pernah dihargai walaupun dia memiliki sejumlah kekaguman yang tiada pada wanita lain.
“Ego.” Jawab Imran sepatah. “Lelaki rasa selamat punya seorang isteri yang bersifat lemah, bergantung padanya seorang. Dia merasakan bahawa dia diperlukan selalu, tidak boleh hidup tanpanya. Dan perempuan itu akan merana kalau dia tiada di sisi…”
Saat itu tiba-tiba dia teringatkan Julia Afiqah. Entah mengapa wajah polis ‘adik’nya menjelma dan sekonyong-konyong dia merasakan Julia Afiqah perlukannya saat itu. Mengapa dia harus bersama wanita muda yang baru dikenali ini? Bukankah tujuan dia pulang adalah untuk menolong Julia Afiqah keluar daripada kemelut masalah? Dia sayangkan Julia Afiqah.
“Hmmm… begitu rupanya. Patutlah!” Bisik Irma Zamila hanya pada dirinya sendiri.
Angin kuat bertiup dari laut tiba-tiba menerpa mereka. Pasir-pasir halus berterbangan tanpa sebarang amaran dan tanda.
“Nak hujan!” Kata Imran. “Cepat masuk ke dalam.”
Mereka berdua berlari-lari menghala ke arah pintu pagar dan kembali memasuki perkarangan hotel. Imran menghantar Irma Zamila hingga ke lobi. Irma Zamila mengambil kunci lantas terus berlalu pergi.
Diluar hujan lebat dan angin terus mengamuk. Imran termenung sendiri di hadapan pintu utama, teragak-agak hendak meredah hujan menghala ke keretanya yang parkir di ruang hadapan hotel.
Dia tidak tahu bilakah hujan itu teduh. Cekalkah dia meredah hujan lebat dan memandu pulang? Ribut sedang melanda, menggoyangkan pepohon palma yang berbaris di hadapan hotel. Tiada sesiapa di luar. Dia memerhati ruang lobi. Kebanyakan orang berehat sahaja di sofa yang ada sambil menunggu hujan teduh. Dia bergerak perlahan menghala ke arah salah sebuah sofa kosong. Tangannya mencapai surat khabar yang terletak di atas meja kopi.
Belum sempat membaca headline akhbar di tangan, dia terasa bahunya disentuh. Pantas dia menoleh. Irma Zamila berada di belakangnya.
“I tahu you tentu tak jadi balik. Hujan lebat… ribut tengah melanda.” Kata Irma Zamila sambil duduk di hadapan Imran.
Imran mengangguk.
“Biar I temankan you hingga hujan berhenti.”
“I rasa lebih baik kita ke coffee house semula, boleh juga minum-minum.”
Irma Zamila segera bersetuju. Terhibur jua dia bertemankan Imran menyaksikan persembahan penyanyi amatur yang berdendang di coffee house itu. Dia memang bencikan kesepian dan keseorangan. Kalau di rumah dia seringkali ditinggal-tinggalkan. Dia selalu menebusnya dengan keluar mencari hiburan. Sehingga saat ini dia masih menjaga dirinya dengan sebaik mungkin.
Dia selalu mengingatkan dirinya walaupun bebas tetapi harus tahu batas. Apakah dengan Imran dia yang akan tertewas? Lelaki itu walaupun simple tetapi menawan. Hatinya tertanya-tanya juga, benarkah hati lelaki itu sudah terpikat? Selalunya lelaki yang didampingi sukar melepaskan dia begitu saja… Sampai ke tahap manakah dia harus menggoda Imran. Dia sudah menggunakan segala muslihat dan taktik.
Pertama dia menyatakan dia anak seorang Tan Sri… Selalunya lelaki sering kali lemah kalau dia berkata begitu. Anak seorang Tan Sri. Mereka lekas teruja untuk kenal dengannya lebih rapat. Kali ini dengan berani dia menyebut nama Tan Sri Muluk yang terkenal itu. Imran percaya? Memanglah dia lelaki yang lurus bendul! Irma Zamila tersenyum manis, memerhati Imran yang sedang meneguk minumannya perlahan-lahan sambil mata memerhati ke arah penyanyi yang sedang berdendang.
Kedua dia menyatakan dia tidak pernah ke Kuantan. Padahal Kuantan ini adalah tempat kelahirannya, walaupun tiada rumah saudara maranya di sini. Ibubapanya telah menjual harta dan tanah yang ada lantas berpindah ke Kuala Lumpur. Justeru itu dia mengakui sahaja bahawa dia orang KL. Glamorlah kononnya!
Ketiga dia akan cuba memancing Imran ke kamarnya. Terima kasih kepada hujan dan ribut yang sedang menggila.
Irma Zamila memegang tengkuknya, memicit-micitnya perlahan. Kepalanya tertunduk. Imran memandang lantas terus bertanya; “Are you ok?”
“Errr… Tengkuk I rasa sakit. Tiba-tiba pening…”
Imran menyentuh tangannya dengan lembut, berkata; “Mungkin terkena hujan sikit tadi. You nak naik ke bilik?”
Irma Zamila hanya mengangguk. Dia cuba untuk bangun tetapi pura-pura rebah semula, lantas terus kepalanya mendarat di atas bahu Imran. Imran berusaha untuk bangun, berdiri sambil memapah Irma Zamila.
“I temankan you ke bilik. Itupun kalau you tak marah.”
“Marah? Taklah. Malah I berterima kasih. I rasa tak larat sangat ni… Sakit sangat kepala macam dihempap batu. Ubat ada kat bilik.” Beritahu Irma Zamila dengan suara yang perlahan, seakan-akan merengek.
Imran memimpin Irma Zamila memasuki lif. Mereka terus bergerak menghala ke kamar Irma Zamila. Pintu kamar dibuka dari luar. Tubuh Irma Zamila terus dipimpin menghala ke katil. Lampu meja di sisi katil sudah sedia terpasang semasa Irma Zamila meninggalkan kamar itu tadi. Suasana suram dan romantis itu membangkitkan rasa ghairah yang menjentik hati Imran secara tiba-tiba. Dan suara rengekan manja Irma Zamila membuat dia disimbah peluh dingin. Irma Zamila membaringkan tubuhnya yang lesu di atas katil.
Apalagi tatkala melihat bahagian dada Irma Zamila yang membukit, sedikit terdedah. Astaghafirullah! Apa aku buat ni? Bisik hati Imran segera tersedar daripada perangkap iblis yang menggodanya sejak tadi. Imran segera membuka lampu di siling supaya kamar itu menjadi terang benderang. Irma Zamila membuka matanya menentang cahaya lampu yang terang.
“Di mana ubat you?” Tanya Imran, matanya mencari-cari di manakah beg tangan Irma Zamila.
“I tak perlukan ubat.” Kata Irma Zamila. “I perlu tidur untuk legakan kesakitan ni.”
“Okey. Kalau begitu I tinggalkan you untuk berehat. Selamat malam…” Imran terus berlalu ke pintu. Irma Zamila memerhati sahaja Imran sudah berjalan menghala ke pintu lantas membukanya. Saat itu hatinya cukup marah dan rusuh. Rasanya dia ingin menjerit ke arah Imran supaya kembali kepadanya. Tetapi yang terdengar hanyalah bunyi ‘klik’ yang jelas datang dari pintu yang baru tertutup. Imran sudah meninggalkannya… Imran si kuda jantan yang disangkanya jinak rupa-rupanya adalah kijang liar yang tidak mudah digoda.
“Selamat malam Im…” Bisik Irma Zamila hanya pada dinding bisu di kamar tidurnya yang dingin.
Irma Zamilah memejamkan matanya rapat-rapat walaupun rasa mengantuk belum datang menyerang. Namun dia tersentak oleh bunyi dering telefon bimbit. Dia menghulur tangan bagi mencapai telefon yang terletak di atas meja sisi katil. Dia menjeling skrin, terlihat nama dan nombor telefon orang yang amat dikenalinya.
Irma Zamilah teragak-agak. Perlukah dia menjawab panggilan itu? Dia mengambil keputusan untuk mematikan sahaja panggilan telefon tersebut. Lantas jari-jarinya pantas menekan punat ‘off’.
Padan muka… bisik hatinya puas. Dia tersenyum sendiri.

Bab 7

TIADA sesiapa di dapur ketika aku masuk. Aku kehairanan mengapa Kak Sabita tidak menyediakan sarapan pagi seperti selalu. Mood Kak Sabita sukar diramal kebelakangan ini. Dia tidak lagi patuh menguruskan ruang dapur itu. Pinggan dan mangkuk di dalam sinki tidak berbasuh sejak semalam. Bau makanan semalam yang sudah basi terhidu oleh hidungku. Ketika kubuka tudung yang ada di atas meja makan kudapati semangkuk gulai lemak ikan sembilang mulai mengeluarkan buih serta bau yang memualkan tekak. Bakul sampah yang ada dekat sinki juga penuh belum dibuang, menebarkan aroma yang menyesakkan. Suasana di dapur nampak kelam kabut, bukan lagi sekemas biasa.
Aku bergerak cepat membuka semua tingkap-tingkap yang ada supaya bau yang kurang enak itu cepat menghilang. Aku membawa mangkuk gulai ikan yang sudah basi itu lantas mencurahkannya ke dalam sinki. Lincah aku membersihkan pinggan mangkuk yang memenuhi sinki lantas menelangkupkannya supaya cepat kering.
Kutahu Kak Sabita mewujudkan satu protes secara diam-diam. Kak Sabita tidak pernah bersikap begini. Jelas dia mengalami satu tekanan yang dahsyat. Aku merasa cukup simpati padanya. Kami bagaikan mengalami kemelut yang sama.
Kalau aku boleh lari, tentu saja aku mahu melarikan diri daripada terus berada di rumah itu. Pertunanganku dengan lelaki itu sudah pun diatur Mak Lang. Tarikhnya sudah ditetapkan iaitu pada hari Ahad, seminggu dari sekarang. Ahhh… Mengapa begitu cepat masa berputar? Moga saja jarum jam boleh berhenti, doaku sendiri. Berdoa sesuatu yang mustahil terjadi. Siang dan malam tetap silih berganti datang dan pergi. Aku terpaksa menelan semua kepahitan ini.
Aku tidak tahu apakah Abang Imran akan pulang lagi pada hari ini. Sekarang dia selalu muncul pada waktu-waktu yang tidak munasabah. Sekarang dia rajin balik ke rumah, setiap minggu. Kadang-kadang dia muncul pada malam Sabtu. Terkadang petang Jumaat sudah terjongol, dengan senyum dan tawa yang ceria.
Sikapnya semakin aneh. Apakah ini semua ada kaitannya dengan wanita muda yang pernah menelefonnya dulu? Tiba-tiba rasa ingin kenal pula pada wanita yang berjaya ‘mengubah’ diri Abang Imran jadi angau dan sasau!
Aku tersenyum sendiri. Ada ke patut aku kata Abang Imran sudah angau dan sasau. Kulihat dia biasa-biasa saja, tersenyum dengan mesra dan melambai riang padaku sewaktu dia mahu berangkat pulang. Walaupun aku malas hendak menyediakan bubur kacang yang dimintanya, tetapi di saat-saat akhir tetap jua aku buatkan bubur tersebut walaupun tanpa dibubuh durian. Buah durian sudah tiba penghujung musim.
Aku berjalan lambat menghala ke bilik Kak Sabita yang terletak bersebelahan dengan dapur setelah selesai membersihkan ruang dapur. Daun pintu kuketuk perlahan. Namun tiada sebarang jawapan dari dalam kamarnya yang bertutup rapat lagi sepi.
“Dia tak ada di bilik.”
Suara Mak Lang yang lantang mendadak muncul dari arah pintu dapur mengejutkanku. Aku berpaling dan terlihat Mak Lang baru keluar dari bilik. Tangannya sedang menyanggul rambutnya yang panjang. Dia mengenakan baju kurung baru. Aku meneka dia akan keluar.
Dia bergerak menghala ke kabinet dapur lantas mengeluarkan sekampit bihun.
“Kak Ita ke mana?” Tanyaku sambil memerhati dia meletakkan bihun di atas meja yang sudah kubersihkan tadi.
“Entah. Pagi-pagi lagi dia sudah keluar tak beritahu apa-apa pun.”
Aku diam. Nampaknya Kak Sabita semakin jauh dan lebih suka membawa perihal hidupnya sendiri. Sedikit sebanyak aku merasakan yang Kak Sabita sebenarnya merajuk panjang. Dia mahu dirinya dipujuk. Tetapi melihat sikap Mak Lang yang keras itu tidak mungkin dia akan memujuk Kak Sabita. Malah dia akan terus membiarkan Kak Sabita sendiri tenggelam dalam rajuk panjang.
“Goreng bihun ni…” Kata Mak Lang, bagaikan memerintah saja. “Mak Lang nak pergi menjemput orang kampung.”
Aku diam. Faham benar maksudnya, lantas aku tak perlu bertanya apa-apa. Menyampah! Bisikku sendiri. Mak Lang seolah-olah sengaja hendak mengingatkan aku bahawa seminggu lagi majlis pertunanganku dengan Faruk akan berlangsung. Tanpa berlengah aku mengambil sebuah besen untuk merendam bihun tersebut.
“Mak Lang mungkin lambat balik. Kau tolong beri Pak Lang makan. Buatkan dia susu suam dan beri dia ubat. Sekarang dia masih tidur. Pukul sembilan nanti kau kejutkan…”
Aku mengangguk lagi.
“Kau memang patut belajar memasak. Jangan harapkan Kak Sabita seorang. Tak lama lagi kau nak kahwin. Jadi memang wajar kau tahu memasak supaya tak malu. Tak dipandang hina oleh mentua dan ipar duai.” Kata Mak Lang lagi, kata-kata itu menusuk jantungku sehingga aku merasa nafasku jadi sesak.
Aku cuba menenangkan diriku. Aku berdiri tegak, berjalan ke sinki lantas membuka paip. Paip sengaja kubuka dengan kuat, sambil berharap Mak Lang tidak akan berkata apa-apa lagi bila dia melihat aku sibuk mengerjakan perintahnya. Airmataku mengalir tidak mampuku tahan. Tidak berani aku berpaling memandang wajah Mak Lang. Aku berharap dia segera meninggalkan dapur, membiarkan aku larut dalam kesedihanku sendiri.
Harapanku bagaikan terpenuh apabila Mak Lang tidak berkata apa-apa lagi. Dia terus masuk ke dalam semula.
Sayangku Narmi,
Di sebalik senyumanku ini terlindung seribu luka. Bahtera cintaku telah karam di lautan samudera. Aku lemas sendiri. Di manakah kau di saat aku memerlukanmu? Mengapa kau tidak menjawab rintihanku Narmi. Kejamnya engkau kerana membiarkan aku sendiri begini. Mengapa Narmi? Berikan secebis harapan, hulurkan sekelumit cinta. Itu sudah cukup untuk buatku bahagia…
Aku kembali ke perpustakaan setelah kerja-kerjaku di dapur selesai. Aku menulis lagi cacatan rahsia hatiku lantas kuselit lagi di celah-celah buku milik Abang Imran. Sudah banyak sekali catatanku, aku sendiri sudah lupa buku yang mana satukah aku meletakkannya. Sekian banyak buku yang ada, tidak terhitung. Aku akan terus menulis sehingga akhirnya aku pergi meninggalkan rumah ini…
Dari kejauhan ku dengar sayup-sayup bunyi kereta yang berhenti di hadapan rumah. Aku menjenguk di jendela yang menghala ke halaman. Hatiku terlonjak riang apabila melihat muncung kereta Abang Imran memasuki halaman. Aduhai! Kau balik… Sudah lama kutunggu kepulanganmu.
Namun kegembiraanku terpancung serta merta apabila terlihat seorang perempuan keluar daripada perut kereta. Abang Imran membukakan pintu kereta untuk si gadis penuh setia, lagaknya seperti melayan seorang puteri raja. Jantungku rasa terhenti berdenyut sejenak. Istimewanya layanan Abang Imran terhadap wanita muda berambut keperangan, mencecah bahu. Mesra tawa dan gurau senda, sempat singgah di telingaku dari kejauhan.
Patutlah Abang Imran terlewat tiba hari ini. Petang baru dia muncul. Rupa-rupanya dia datang bersama merpati putihnya yang manja. Dia sudah melupakan kenari rimba yang pernah dulu disayanginya. Kenari rimba ini gemar hidup menyendiri, tidak pandai bergaul dan pemalu. Apa yang harus dia banggakan? Tiada apa-apa. Aku bukan siapa-siapa di matanya.
“Ni adik I Julia Afiqah.” Kata Abang Imran memperkenalkan aku pada si merpati putih yang manja dan jinak itu. Agh! Mengapa aku tak habis-habis memujinya? Tak mungkin dia begitu sempurna, tidak punya sebarang kelemahan.
Irma Zamila mengangguk, memandang mukaku sekilas cuma. Entah mengapa dia bagaikan tidak sudi untuk bersalaman denganku. Lantas aku pun ikut mengeraskan hati enggan menghulurkan tangan padanya biarpun mata Abang Imran memberi isyarat supaya aku menjabat tangan perempuan itu. Tapi aku pura-pura tidak mengerti.
“Mak ke mana?”
“Ada di bilik tengah salat asar. Dia baru balik. Sehari suntuk dia pergi menjemput orang.” Kataku, tanpa menunjukkan rasa marah ataupun geram. Aku selamba sahaja seolah-olah aku menyukai pertunangan yang bakal berlangsung.
“Ooo…”Abang Imran mengangkat kening, berkata pada Irma Zamila. “Adik akan bertunang minggu depan.”
“Hmmm…” Irma Zamila mengangguk, kali ini dia memandangku lebih lama kemudian tersenyum. Aku tidak begitu galak untuk membalas senyumannya itu, lantas cepat-cepat meminta diri dengan alasan ingin menyediakan minuman. Semasa membancuh kopi aku begitu teringin hendak mengenakan Irma Zamila yang sombong itu dengan meletakkan garam di dalam kopi. Tetapi kasihan pula pada Abang Imran…
Kudengar suara Mak Lang di ruang depan. Aku yakin Mak Lang sudah pun keluar dari bilik dan sekarang sedang berbual-bual dengan Irma Zamila dan Abang Imran. Semasa menghantar minuman aku terkejut mendengar Mak Lang mempelawa Irma Zamila makan malam di rumah pada malam itu.
Hisy… Apalah Mak Lang ni! Rungutku merasa tidak senang mendengar ajakan Mak Lang. Akulah yang akan jadi mangsa! Itu sudah kutahu. Kak Sabita tidak pulang-pulang. Aku pun tertanya-tanya sendiri ke mana Kak Sabita pergi? Mengapa dia mengambil keputusan untuk pergi bilamana majlis pertunanganku akan berlangsung tidak lama lagi. Tiba-tiba aku merasakan yang Kak Sabita tidak akan ada bersama semasa majlis pertunanganku berlangsung.
Mak Lang sukakan Irma Zamila. Itulah rumusan yang kubuat. Tidak pernah Mak Lang berbual begitu rancak dengan orang yang baru dikenali. Atau memang wanita muda itu benar-benar istimewa, pandai melayani perempuan cerewet dan tegas seperti Mak Lang. Sebagai anak saudara Mak Lang, aku sendiri tidak pernah berbual panjang melainkan jika ada hal-hal yang penting.
Abang Imran menghantar Irma Zamila pulang selepas makan malam. Aku masuk ke perpustakaan untuk menulis dan mencurah rahsia hatiku lagi. Malam ini aku menulis lebih panjang dari biasa. Dan aku rasa puas kerana segala rintihan hatiku terlahir di atas sekeping kertas yang kuselit lagi di dalam ensiklopedia Abang Imran.
Abang Imran mencampakkan kunci keretanya di atas meja berdekatan dengan buku yang sedang kutatap, sengaja hendak mengejutkan aku yang sedang leka. Aku memandangnya, terlihat wajahnya yang lesu namun ada kepuasan yang begitu terserlah. Geram hatiku lantas aku bertanya; “Seronok? Cemburu saya tengok abang begitu gembira.”
Abang Imran memandangku, berkata dalam nada lembut. “Dik… Apa maksud adik cakap macam tu?”
“Tak ada apa-apa.”
“Masakan tak ada apa-apa. Adik ejek abang ya? Adik kata abang seronok… Seronok kerana berkawan dengan perempuan cantik macam Kak Irma.”
“Cantik ke dia? Saya tengok biasa-biasa aje.” Kataku sengaja meremehkan kecantikan perempuan itu. Aku benar-benar cemburu kerana tidak memiliki kecantikan sepertinya. Harus kuakui penampilannya yang elegen, moden dan bebas. Aku tidak tahu bermake-up apalagi mewarnakan rambut. Namun tidak pernah pun aku terfikir hendak mengubah ciptaan Tuhan. Biarlah aku begini. Tampil dengan gaya yang semulajadi.
“Adik… Adik macam marah dengan abang. Apa salah abang dik?”
Aku ingin nyatakan begitu banyaknya kesalahan Abang Imran padaku. Tapi aku telah memaafkan semua kesilapan dan kesalahannya itu tanpa perlu dia memohonnya. Bagiku dia segalanya. Dia tidak perlu merasa khuatir walaupun sedikit. Sekiranya dunia kiamat, dia tetap lelaki yang aku dambakan. Lelaki yang akan kuserahkan jiwa ragaku.
“Saya tak boleh marah pada nasib dan takdir saya bang. Saya perlu belajar menerimanya dengan tabah. Saya tahu saya tak mungkin dapat mengelakkan diri lagi. Saya perlu laluinya dengan berani. Saya berharap abang bahagia… Itu saja.” Balasku sambil bersiap sedia untuk bangun. Namun Abang Imran pantas memegang pergelangan tanganku meminta aku duduk semula.
Pegangan yang hanya beberapa saat itu, membuat tubuhku terasa hangat. Ada aliran elektrik yang terasa bagaikan terus mengalir ke dalam urat, darah dan nadi, membuat jantungku mendenyut lebih keras dari tadi. Aku lemah, duduk semula dengan tenang. Membuka seluruh hati dan mindaku untuk mendengar kata-kata Abang Imran.
“Abang minta maaf. Memang dulu abang janji nak tolong rundingkan dengan emak. Nak tolong lengahkan pertunangan adik dengan Faruk. Tapi… Tapi abang tak buat apa-apa… Abang…”
“Abang sibuk dengan perempuan tu! Abang ada apa-apa dengan dia?”
Abang Imran menggeleng. “Hanya kawan…”
“Tapi abang dah bawa dia ke rumah, berkenalan dengan Mak Lang. Saya rasa dia cukup istimewa di mata abang.”
Abang Imran tidak menjawab.
“Mungkin jodoh adik dengan Faruk…” Kata Abang Imran perlahan dan hampir saja tidak terdengar. “Siapa tahu, adik akan bahagia hidup dengan dia. Lagipun adik tak ada sesiapa. Hati adik belum terbuka untuk bercinta. Barangkali Faruklah yang akan mengetuk pintu hati adik.”
Hatiku membisik dalam tangisan yang dalam, hanya dalam batinku sahaja; pintu hatiku sudah lama kubuka, seluas-luasnya hanya menunggu kedatanganmu. Tapi kau tak pernah pun datang menghampiri. Dan kau tetap berpaling dan semakin jauh dariku.
“Yalah, abang doakan saja…” Pintaku sambil bangun. Abang Imran tidak menghalangku dari keluar. Memang tiada gunanya aku mengharap pada si dia yang tidak mengerti, tidak pernah merasai getar rasa bermain dalam hatiku. Mana mungkin aku berani menyuarakan rasa hati. Dia tidak pernah memandangku sebagai seorang perempuan yang punya rasa, punya jiwa…

IMRAN masuk ke kamarnya setelah ditinggalkan Julia Afiqah. Dia membersihkan diri, menukar baju tidur dan berbaring di katilnya. Saat dia berguling-guling dengan penuh nikmat dan selesa, dia terpandang sesuatu di tepi tiang katil besi. Seutas anting-anting terjatuh di situ. Anting-anting siapa ni? Pasti milik Julia Afiqah, siapa lagi? Dia yang selalu keluar masuk ke kamar itu.
Imran membelek-belek anting-anting kecil itu. Tiada yang istimewa melainkan sebuah anting-anting comel yang dihiasi dengan sebutir berlian kecil yang sudah pudar. Barangkali berlian ini bukan berlian asli, bisik hatinya. Entah mengapa saat itu dia merasa malas hendak bangun untuk memulangkan anting-anting itu kepada pemiliknya.
Dia tidak mahu mengganggu Julia Afiqah yang sudah pun tidur. Esok dia akan mengembalikannya. Imran menggenggam anting-anting itu. Matanya sudah mulai mengantuk pula. Dia tertidur dalam masa tidak sampai lima minit.
“Adik… Ni milik adik kan?” Tanya Imran sambil mendekati Julia Afiqah yang sedang lincah memasak di dapur. Dilihatnya Julia Afiqah amat berlainan pada pagi itu. Tiada tudung yang menutup rambutnya. Malah rambutnya yang panjang, diikat ekor kuda terhurai ke belakang. Dia mengenakan kain batik dan t.shirt berlengan pendek.
Hati Imran teruja melihat lengannya yang dihiasi dengan bulu roma yang panjang, cantik tersusun. Dia berdiri begitu dekat dengan Julia Afiqah, menyentuh bahunya dengan lembut. Memang dilihatnya hanya sebelah telinga Julia Afiqah dihiasi anting-anting.
“Di mana abang jumpa?”
“Di bilik kita…” Bisik Abang Imran ke telinganya. “Mari abang pakaikan.”
Julia Afiqah membiarkan saja jari-jari Imran menyentuh telinganya. Imran meletakkan anting-anting tersebut dengan cekap. Kemudian dengan sengaja bermain-main dengan telinga Julia Afiqah sehingga dia menjerit kegelian.
“Tepilah! Fiqah sibuk ni…” Marah Julia Afiqah sambil menolak Imran ke tepi. Tetapi Imran tetap tidak peduli, dia semakin berani. Dia mulai menyuakan hidungnya ke pipi Julia Afiqah dan tangannya yang tegap memaut pinggang ramping gadis muda itu yang hanya dipaluti t.shirt dan kain batik.
“Janganlah…” Pinta Julia Afiqah manja.
“Sayang…” Seru Imran lembut, mendayu-dayu.
Julia Afiqah mencubit lengan Imran. Cubitan itu terasa kuat.
Lengan Imran sakit dan lenguh, dia terjaga. Imran terpinga-pinga, kehairanan. Mimpi indahnya terpancung dengan serta merta. Dia mengibas-ngibas lengan yang lenguh. Rupa-rupanya tangannya terhulur dan tergantung di udara, masih menggenggam anting-anting Julia Afiqah.
Astaghafirullah… Merepek betul mimpiku. Mengapa aku bermimpi begini? Pelik. Kemesraannya dengan Julia Afiqah terasa benar-benar terjadi. Mereka bagaikan pasangan yang sedang bercinta, baru bernikah? Aduh… Anehnya mimpiku! Dadanya berdebar-debar. Kenapa ni? Bisik hatinya tidak dapat melupakan mimpinya tadi.
Dia memerhati jam. Lampu di dalam kamarnya masih belum dipadamkan. Tadi dia tertidur, sempat pula bermimpi. Baru setengah jam dia tidur sudah mimpi yang bukan-bukan. Kini mata Imran terkebil-kebil memandang siling. Matanya sudah segar bugar, tidak mungkin dia akan tertidur semula.


Bab 8

MEREKA menikmati hidangan pagi itu tanpa sebarang perbualan. Hanya bunyi cawan dan piring saling berlaga antara satu sama lain. Mak Lang lebih dahulu menyudahkan sarapannya. Dia makan sedikit sahaja nasi goreng yang disediakanku. Barangkali nasi gorengku tidak sesedap nasi goreng yang dibuat oleh Kak Sabita, lalu seleranya hilang begitu saja.
Mak Lang tergesa-gesa keluar setelah meninggalkan pelbagai pesanan padaku. Aku sekadar mengangguk. Aku tidak tahu samada Abang Imran akan pulang atau tidak pada pagi ini. Kulihat dia duduk diam-diam, menikmati nasi gorengnya perlahan-lahan sambil membaca akhbar. Entah akhbar bila… Aku pasti dia membaca akhbar lama yang tarikhnya sudah jauh tertinggal di belakang.
Aku memerhati Abang Imran yang menundukkan mukanya, begitu asyik membaca. Apakah Abang Imran benar-benar tekun membaca atau sekadar berpura-pura. Tika dia mengangkat mukanya kerana terasa aku sedang merenung, kulihat matanya merah.
“Abang tak cukup tidur?” Terus saja aku bertanya.
“Kenapa?” Dia bertanya kembali.
“Mata abang merah.”
“Ya ke?” Dia seperti tidak tahu bahawa matanya memang nampak merah dan letih. “Oh, agaknya sebab tidur lewat. Malam tadi tak boleh tidur. Lepas tu abang hubungi kawan, kami berbual lama sampai jam dua pagi.” Sambungnya kemudian.
Aku pura-pura tidak mendengar, dengan cepat mengangkat pinggan berisi nasi goreng yang gagal kuhabiskan. Terasa memang nasi goreng itu kekurangan sesuatu, tapi entah apa. Barangkali kurang masin… ataupun kurang pedas sehingga ia jadi tidak menyelerakan langsung.
Aku sudah mengagak siapa kawan yang dihubungi. Tidak mungkin dia akan berbual lama dengan seorang kenalan lelaki.
Mengapa jadi begini? Hidupku kian hambar. Segala yang kubuat menunjukkan betapa tidak bersemangatnya aku. Agh! Seronoknya mimpiku semalam. Mengapa cepat sangat berakhir? Kupandang Abang Imran. Aneh, dia juga sedang memandangku.
“Adik ada hilang sesuatu?”
Aku diam. Apa maksud Abang Imran? Soal hatiku. Aku tidak kehilangan apa-apa. Hanya rasa cintamu sudah semakin jauh dan hilang dari hidupku. Tidak lama lagi aku akan menjadi orang asing bagimu. Dan aku tidak akan dapat berpaling lagi, kembali ke masa sekarang. Tak mungkin!
“Tak ada apa-apa.” Jawabku sambil terus berjalan meninggalkannya.
Petang itu kudengar Mak Lang bertanya pada Abang Imran semasa dia masuk dalam kamar ibunya. Abang Imran menemui bapanya sebelum pulang. Dia berbual sebentar dengan lelaki tua itu. Pak Lang tidak suka berbual panjang. Dia hanya mengangguk dan meminta Abang Imran berhati-hati ketika memandu.
“Kau balik sorang?” Tanya Mak Lang ingin tahu. Aku sengaja memasang telinga. Aku mahu tahu apakah Abang Imran balik sendirian atau ditemani Irma Zamila.
“Dengan kawan. Sekejap lagi nak pergi ambil dia di hotel.” Kata Abang Imran.
“Anak Tan Sri tu?” Tanya Mak Lang lebih lanjut. “Mak suka budak tu. Cantik, baik dan pandai mengambil hati. Dia sudah berpunya ke?”
Abang Imran menggeleng. “Tak tahu…”
“Apalah engkau ni… Berkawan saja. Mengapa tidak kau tanya? Entah-entah dia isteri orang atau pun tunang orang. Paling tidak pun kekasih orang!”
“Yalah mak… Nanti Im tanyakan.” Kata Abang Imran seolah-olah berjanji.
“Mak suka budak tu. Kalau dia belum berpunya kan bagus kau buat isteri.”
Abang Imran pantas menjawab; “Hmmm… Mak! Im belum fikir soal kahwin. Biar adik kahwin dan Kak Ita kahwin dulu. Im kahwin last sekali. Masa tu mak kena buat besar-besaran dan meriah sebab Im ni anak lelaki bongsu mak.”
“Yalah.” Kata Mak Lang sambil ketawa. “Kalau mereka berdua tu dah kahwin, kau harus ikut pula. Masa tu kalau kau tak ada calon, biar mak yang cari…”
Abang Imran hanya tertawa kecil. Dia tidak mahu bercakap soal jodoh. Cepat-cepat dia bersuara; “Ini duit yang Im janjikan dengan mak dulu. Rasanya RM2 ribu tu lebih dari cukup. Mak dah boleh mulai beli barang sikit-sikit. Im pun dah cakap dengan Pak Mail, panggil budak-budak yang bekerja di ladang tu tolong angkat barang-barang nanti…”
“Bila kau balik lagi?”
“Petang Jumaat depan, Insya Allah.”
Lebar senyuman di bibir Mak Lang.
“Im nak jumpa adik kejap…”
Mendengar kata-kata itu aku cepat-cepat beredar dari tepi pintu dan terus keluar ke halaman. Paip yang ada di tepi tangga segera kubuka, pura-pura menyiram bunga yang ada di halaman. Kudengar Abang Imran meneriak namaku. Aku menyahut dari luar. Nampaknya seperti ada sesuatu yang mahu dia katakan padaku.
“Kak Irma ada beritahu abang dia akan uruskan pakaian adik. Kawannya ada butik di KL. Jadi adik tak perlu susahkan diri tempah baju ataupun beli baju baru. Petang Jumaat depan abang balik, bawakan baju tu. Cakap aje adik mahu warna apa?”
Aku diam. Hisy, Abang Imran ni! Macam tak mahu faham hatiku. Bukannya dia tidak tahu aku tidak suka pertunangan ini berlangsung. Mengapa dia beria-ria hendak membelikan baju? Bagiku tak perlu langsung…
“Adik, berikan abang ukuran badan supaya Kak Irma boleh cari saiz yang sesuai.”
“Saiz S.” Balasku acuh tak acuh saja.
Abang Imran memerhati tubuhku sekilas. Takkanlah sekecil itu…
Mujur saat itu aku mengenakan jubah jadi dia tidak akan dapat meneka dan membayangkan bentuk tubuhku yang sebenar. Aku ingin membantah. Tapi mulut dan lidahku terkunci. Aku ingin memberitahu Abang Imran yang aku takkan suka pada baju pilihan Kak Irma. Citarasa kami pastilah berlainan. Dia seorang yang berfikiran moden. Pastilah dia akan memilih baju yang menjolok mata, yang membuka aurat supaya ditonton orang. Huh! Memalukan sungguh! Bagiku sepasang jubah putih bersih, tanpa sebarang sulaman yang sarat, sudah sedia ada di dalam almari bajuku. Jubah itu sudah cukup untuk menghadapi majlis pertunangan yang tidak pernah aku impikan.
Beberapa hari kemudian Kak Irma sendiri menghubungiku. “Betul ke adik pakai saiz S?” Aku meluat mendengar Kak Irma memanggilku adik seolah-olah dia sudah mesra denganku. Aku lebih senang kalau dia memanggilku Julia Afiqah. Bukankah pada pertemuan pertama kali dulu dia begitu dingin terhadapku?
“Tak.” Balasku dingin.
“Kak Irma akan carikan sehelai kebaya dari kain satin, bersulam manik dan permata, okey tak? Atau adik nak yang berwarna pink atau peach? Warna-warna tu selalu dipakai bakal pengantin di majlis pertunangan.”
“Entah.” Kataku. Aku ingin katakan yang aku lebih gemar mengenakan jubah dan aku tidak suka menerima budi orang yang akan menghancur dan merobekkan hatiku yang cuma ada sekeping. Tetapi aku tidak dapat menghamburkan sebarang kata. Suaranya yang lunak lembut dan penuh prihatin itu buat aku jadi lemah. Apakah aku terlalu berprasangka padanya?
“Jangan macam tu adik… Kalau tak suka kebaya, kurung moden pun ada. Majlis pertunangan sama pentingnya dengan perkahwinan. Ianya adalah permulaan pada dunia baru yang bakal adik tempuh.”
“Tanya saja pada Abang Imran kerana dia pasti tahu buat keputusan untuk saya. Terima kasih.” Kataku sambil meletakkan telefon. Hatiku agak puas juga. Sekurang-kurangnya aku dapat membalas perbuatan tidak sopannya pada satu masa dulu…

“I RASA adik you tak sukakan I.” Kata Irma Zamila sambil menunjukkan wajah sedihnya ketika dia bertemu Imran pada malam itu. Mereka keluar bersama untuk menikmati makan malam di sebuah restoran ekselusif yang terletak di Jalan Ampang. Selepas itu mereka merancang hendak menonton filem di KLCC.
Imran sebenarnya jarang sekali menonton wayang. Tetapi dia terdorong untuk mengikut rentak hidup Irma Zamila.
Imran memandang Irma Zamila dengan dahi berkerut kemudian bertanya; “Kenapa?”
“I sedang bercakap dengannya tiba-tiba dia hempas telefon.”
Dahi Imran berkerut. Dia tidak percaya Julia Afiqah akan berlaku kasar dan keras hati seperti itu. Dia mengenal gadis itu sejak kecil. Julia Afiqah tidak akan berani bersikap kurang ajar pada sesiapa pun. Dia telah dididik oleh ibubapanya supaya menghormati orang lain, terutama orang yang lebih tua darinya.
Julia Afiqah tidak membantah kata-kata ibubapa Imran. Malah Julia Afiqah amat menghormati semua adik-beradik Imran yang lain. Julia Afiqah adalah sebaik-baik manusia. Dia tidak akan pernah menyakitkan hati orang.
“Mungkin panggilan tu terputus…” Ujar Imran cuba membela Julia Afiqah.
“Taklah! I bukannya bodoh. Dia sengaja hempas telefon kerana tidak mahu bercakap dengan I lagi. Entah mengapa dia buat macam tu!”
Imran mengeluh. “Maafkanlah dia. Barangkali fikirannya sedang kusut. Dia sebenarnya tidak sukakan bakal tunangnya…”
Irma Zamila tidak mengerti. Dia merenung tepat ke wajah Imran, sebelum melanjutkan pertanyaan. “Tak suka? Kalau tak suka mengapa harus dia mengikat tali pertunangan tu?”
“Mak I yang aturkan jodohnya.”
“Oh! Sekarang baru I faham.” Kata Irma Zamila sambil menganggukkan kepala. “Jangan-jangan jodoh you nanti juga diatur oleh mak you…”
Imran tersenyum. Dia mengenyitkan matanya sambil berkata; “Mak I minta I tanya you, samada you dah berpunya ataupun belum.”
Irma Zamila tertawa lunak. “Mak you yang nak tahu atau you sendiri?”
Imran ambil keputusan untuk berterus terang. “Kami sama saja, anxious… Takut kecewa bila tahu you ni dah jadi milik orang.”
Irma Zamila menggeleng. Mudah saja dia membohongi Imran dengan sekali gelengan kepala. Dia mengakui dia belum punya sesiapa, sedangkan hakikat sebenarnya dia masih terikat dengan seorang suami. Walaupun lelaki itu tidak menghargainya, menyakiti hatinya selalu tetapi dia tetap saja isteri orang.
Imran tersenyum. Dia menghulur tangan ingin menyentuh tangan Irma Zamila yang damai di atas meja. Wanita muda itu membiarkan sahaja Imran menggenggam tangannya dengan erat.
“I harap you datang pada majlis pertunangan adik I nanti.”
“Boleh saja…” Jawab Irma Zamila sambil tersenyum. Yakin dia akan dapat mengekal perhubungan yang baru terjalin antara mereka.

Bab 9

JULIA AFIQAH berdiri di tepi pintu dapur, memerhati orang yang kelihatan sibuk membuat kerja. Pagi-pagi lagi rumah itu sudah dikunjungi saudara mara terdekat. Suara mereka riuh berbual sambil membuat kerja. Julia Afiqah tidak turun ke dapur pada pagi itu untuk menyediakan sarapan. Semuanya sudah dikerjakan orang lain.
Latipah paling sibuk. Banyak kerja hari yang akan dilakukan hari itu. Bangsal kecil didirikan berhampiran dapur. Orang lelaki sibuk memasak kari ayam dan gulai ikan tongkol untuk buat lauk nasi dagang. Orang perempuan di dapur sibuk menyediakan acar dan nasi. Turut dihidangkan nanti buat jemputan dan tetamu adalah wajik dan dodol yang sudah dikacau dua hari lalu.
Ruang tamu mulai penuh. Pak Lang tidak memerap di bilik tidurnya hari ini. Dia duduk di ruang tamu, menyambut tetamu. Tapi cuma sebentar saja dia duduk berbual tidak lama kemudian kepalanya terlentuk diserang mengantuk setelah ubat-ubat yang dimakannya mulai meresapi ke dalam saluran darah.
Julia Afiqah memerhati semua kesibukan itu dan dia tidak dapat melibatkan dirinya pun. Dia jadi pemerhati setia. Setelah jemu melihat kesibukan orang yang langsung tidak peduli sama sekali kepadanya, dia membawa diri ke perpustakaan. Dadanya terasa semakin sebak. Tetapi dia menahan diri dari mengalirkan airmata. Apa guna ditangisi nasibnya lagi. Dia harus terima. Dia mesti redha. Dia harus ikhlas menerima Faruk dan keluarganya sebagaimana ikhlas mereka menerima dia sebagai bakal ahli keluarga.
Julia Afiqah melepaskan keluhan sambil memerhati deretan ensiklopedia yang ada tersusun cantik di atas rak buku. Hari ini dia rasa malas hendak menulis cacatan sebagaimana biasa. Dia kembali ke bilik tidurnya. Di atas katilnya tersusun barang-barang hantaran yang sudah digubah. Tujuh dulang semuanya. Dia memandangnya tanpa sebarang perasaan ria. Irma Zamila tiba-tiba menjenguk masuk, membawakan sepasang baju kurung moden berwarna pink.
“Nak cuba dulu?” Tanya Irma Zamila sambil tersenyum.
Julia Afiqah menggeleng. Dia membelek saiz yang terdapat pada baju tersebut. “Saiz M, tak muat, terlalu besar. Biar saya pakai jubah putih kepunyaan saya, lebih selesa walaupun tidak cantik.” Jawabnya sambil bergerak mendekati jendela yang terbuka luas. Dia melepaskan pandangannya ke luar jendela. Di situ suasana damai, jauh dari keriuhan. Jendala kamarnya menghadap ke kebun durian. Kebun durian kelihatan sedikit semak. Daunnya banyak yang gugur. Tiada buah lagi di setiap dahan. Tidak sangka cepatnya musim bertukar… bisik hatinya.
Begitulah jua hidupnya. Tiga bulan lagi dia tidak akan tinggal di rumah itu lagi. Entah bagaimana kehidupan yang menantinya? Satu kehidupan yang tidak pernah dia bayangkan selama ini. Dia menyangka dia akan terus berada di rumah itu, selagi hayat masih ada. Dia pernah membayangkan dia akan menjadi seperti Sabita, tiada sesiapa pun tahu akan kewujudannya.
Ke mana Sabita pergi? Tiba-tiba Julia Afiqah teringatkan Sabita yang merajuk. Entah ke mana membawa hatinya yang lara. Dia sudah menduga sebenarnya Sabita tidak sanggup menghadapi majlis pertunangannya. Bagaimana bila dia bernikah nanti? Dapatkah Sabita menerima kenyataan itu?
Tiada sesiapa pun yang bertanya tentang Sabita. Malah Latipah sendiri langsung tidak menyebut perihal anak gadisnya itu. Barangkali Latipah tahu ke mana Sabita. Mungkin juga dia pernah menghubungi Latipah tanpa pengetahuan Julia Afiqah. Sebab itulah Latipah tak kisah…
“Nanti biar Kak Irma make-upkan adik.” Suara Irma Zamila mengejutkan Julia Afiqah. Gadis itu berpaling menghadapinya. Tiada senyuman di bibir. Hanya matanya yang sayu bagaikan cuba berbicara. Irma Zamila tidak peduli. Dia hanya mahu menggembirakan hati ibu Imran. Nampaknya Latipah benar-benar sukakan dirinya. Latipah beria-ria menyambut kedatangannya dengan pelukan dan ciuman di pipi kiri dan kanan. Teruja sekali hati Irma Zamila dia dilayan istimewa biarpun itu adalah kunjungan kali kedua. Tapi kemesraan yang ditunjukkan Latipah seperti mereka sudah kenal lama.
“Tak perlu. Saya tak suka bersolek. Boleh tak kakak keluar saja dari bilik saya, tinggalkan saya bersendirian.”
Julia Afiqah bertekad, sekiranya Irma Zamila terus memaksa, dia akan melawan. Dia rasa ingin memberontak, menunjukkan tanda protes pada wanita muda itu yang dirasakannya hanya menyibuk. Rasa cemburunya melaut apabila melihat Irma Zamila keluar dari kamar lantas terus mencari Imran. Dia tidak tahu apa yang dikatakan oleh Irma Zamila kepada Imran. Imran memerhati Julia Afiqah dari jauh. Pandangan itu mengandungi pertanyaan yang tidak berjawab.
Selepas zohor, Julia Afiqah diminta bersiap-siap. Latipah sendiri yang masuk ke kamarnya, meminta dia mengenakan pakaian yang dibawa oleh Irma Zamila.
“Jangan melawan! Mak Lang tengok sejak akhir-akhir ni Fiqah suka melawan dalam diam. Jangan cuba nak memalukan Mak Lang.” Herdik Latipah. Tidak pernah Latipah bersikap sekeras itu pada Julia Afiqah. Airmata Julia Afiqah mengalir perlahan. Dia tidak sangka Maklangnya akan bersikap keras seperti itu. Apakah ini semua berlaku kerana aduan Irma Zamila?
Latipah meletakkan baju yang kurung moden yang dibeli Irma Zamila. Tidak lama kemudian Irma Zamila muncul membawa bersamanya beg berisi alat-alat make-up. Julia Afiqah terpaksa memakai baju itu dan membenarkan mukanya disolek. Baju itu memang cantik, kena dengan tubuhnya walaupun dia pernah mendakwa baju itu besar.
Dia paling benci bersolek. Rasa tidak selesa apabila bibir tipis dan munggilnya disapu lipstik. Kemudian seluruh tubuhnya disembur dengan minyak wangi.
Kenapa beria-ria sangat? Bentak hati Julia Afiqah. Hidungnya rasa tidak selesa. Hendak terbersin disebabkan haruman yang menyengat kuat itu. Naik pening kepalanya. Bertambah pening apabila pihak keluarga Faruk masuk untuk menyarungkan cincin pertunangan. Kamar kecilnya diserbu orang. Dia lemas, rasa seperti hendak pitam. Dia sedar kini dia tidak boleh lari ke mana-mana lagi…
Pasrah. Itulah perkataan yang paling sesuai. Dia harus pasrah dan menyerahkan nasib dan masa depan. Dia hanya mampu berdoa semoga Faruk akan menjadi seorang suami yang baik kepadanya. Dan akan cuba sedaya upaya menjadi sebaik-baik isteri, walaupun bukan sebaik dan sesempurna isteri para nabi.

Bab 10

“ADIK! Hari ni kita keluar ke Kuantan, abang bawa adik pergi shopping. Adik boleh beli apa saja yang adik mahu. Semuanya ditanggung beres.” Kata Abang Imran pada satu pagi ketika kami sedang duduk menghadapi sarapan.
“Kalau mak nak pergi, boleh ikut sekali…” Pelawa Abang Imran sambil memerhati emaknya. Kemudian dia memandang pula pada Kak Sabita yang diam membatu seolah-olah dia tidak wujud di situ. Kak Sabita menghilang selama dua minggu. Entah ke mana dia pergi langsung tidak dikhabarkan kepada sesiapa. Dia pulang setelah seminggu aku menjadi tunangan Faruk. Tiada sesiapa pun jua yang berani bertanya ke mana dia menghilang diri.
Mak Lang buat tak tahu saja. Mak Lang berlagak seolah-olah Kak Sabita tidak pernah meninggalkan rumah itu. Kak Sabita kembali menguruskan dapur. Dia memasak seperti biasa, mengemas, memberi makan kucing-kucing yang berkeliaran dan kerja-kerja lain yang lazim dilakukan selama ini. Dia seolah-olah tidak pernah meninggalkan rumah.
Kak Sabita juga tidak menegur aku. Tapi sesekali kulihat dia memerhati jari-jariku. Kak, janganlah bimbang. Aku sebenarnya tidak memakai pun cincin pertunangan daripada Faruk. Cincin itu tersarung di jari manisku selepas asar dan pada waktu maghrib aku sudah membuka dan menyimpannya ke dalam bekas. Aku tidak akan memakainya.
“Taklah. Mak sibuk. Uruskan lembu dan kebun kelapa. Pak Mail ni makin culas pula. Katanya nak lori baru, sudah dibelikan. Mak tengok lori tu jarang bergerak, membawa hasil keluar dari kebun. Lepas ni Mak nak pergi jumpa Pak Mail. Entah apa yang tak kena dengan orang tua tu! Tak puas lagi dengan upah yang mak beri… Orang tua tu makin lama makin menyakitkan hati.”
Hatiku merungut dan memperlecehkan omelan Mak Lang. Pak Mail dan Mak Lang hampir-hampir saja sebaya. Tetapi mengapa Mak Lang menyebut Pak Mail ‘orang tua.’? Mak Lang terasa dia masih muda ke? Umur Mak Lang pun dah dekat enam puluh tahun. Sudah tua. Tapi Mak Lang suka bergaya, sentiasa berpakaian cantik. Leher dan lengannya digayuti rantai dan gelang emas berkilauan.
Imran mengangguk sahaja. Dia memandangku sambil berkata; “Pukul sepuluh nanti bersiap-siap ya?”
Aku tidak menjawab. Abang Imran yakin sangat yang aku akan setuju untuk keluar ke Kuantan. Membeli belah? Apa yang hendak aku beli? Tak tahu… Rasanya aku tak perlukan apa-apa. Di hari pertunanganku beberapa seminggu lalu, aku telah menerima sebentuk cincin, dua pasang pakaian, sehelai telekung dan sejadah. Juga sehelai selendang panjang. Barangkali aku boleh pergi menempah pakaian. Menurut Mak Lang kain pasang dari satin dan lace berwarna krim akan dijadikan baju nikah.
Hmmm… Aku telah diingatkan untuk membuat tempahan awal kerana majlis perkahwinanku tiga bulan lagi. Takut tak sempat. Oh Tuhan! Alangkah baiknya jika aku boleh memetik jari kemudian menghilangkan diri dari rumah Mak Lang. Aku memandang Abang Imran yang sedang merenungku. Dia menanti aku memberikan jawapan.
“Pergilah tempah baju nikah itu.” Kata Mak Lang, menjeling padaku. Aku tidak berani membalas kerlingan tajamnya itu “Pergi tempah di Kedai Jahit Ainun. Mak Lang selalu tempah baju di situ sejak dulu…”
“Baiklah Mak Lang.” Jawabku perlahan.
Barangkali inilah kali terakhir aku keluar dengan Abang Imran. Diam-diam aku berhasrat ingin menghabiskan sepanjang hari bersamanya. Dan aku tidak harus melepaskan peluang ini. Kuyakin dan percaya, hari ini adalah hari terakhir aku tersenyum dan bergembira.
Hmmm… Mengapa aku selalu menyangka perkara yang bukan-bukan? Barangkali nasibku berubah sebaik sahaja menjadi isteri Faruk. Mungkin aku akan lebih gembira daripada sekarang. Hanya Tuhan yang tahu. Dia telah menentukan jalan hidupku dan aku harus tabah menjalaninya. Selama lapan belas tahun hidupku, aku tetap bahagia dengan caraku sendiri. Walaupun tanpa kasih sayang ayah dan ibu, aku masih hidup dengan satu kekuatan yang luar biasa. Dengan cinta yang subur di jiwa ini, aku mampu tersenyum. Dan tangisan hatiku bisa aku sembunyikan.
Tiba-tiba aku teringat zaman persekolahan yang lalu. Terkenang pada sahabat baikku Umairah yang sudah setahun lebih meninggalkan kampung. Kudengar Umairah sudah bekerja, walaupun hanya bekerja di sebuah kilang elektronik di Petaling Jaya. Umairah jarang balik kampung. Kalau dia balik sekali sekala, dia akan mengunjungiku. Hari ini tiba-tiba aku jadi rindu kepadanya dan sangat berharap dia akan balik supaya dapat aku curahkan cerita tentang pertunanganku! Barangkali dia akan terkejut kerana dalam usia yang begitu muda aku akan bergelar seorang isteri.
Tiga bulan lagi… bisik hatiku beberapa kali. Kejam sungguh. Aku tidak dapat melupakan tarikh itu. Tarikh yang sudah pun ditetap untukku diijab kabul dengan lelaki yang tidak kukenali hati budi jauh sekali kucintai…
“Sejak akhir-akhir ini adik jadi pendiam.” Kata Abang Imran semasa di dalam kereta. “Bosan juga abang balik ke rumah. Kak Ita dah jadi macam tunggul, adik pun lebih kurang juga…”
Aku menjeling Abang Imran, terasa hati kerana dia menyatakan aku seperti tunggul.
“Habis, kenapa abang balik setiap minggu?” Tanyaku kembali. “Dulu bukan main susah lagi nak balik. Kalau Mak Lang telefon barulah abang muncul…”
Abang Imran senyum. Dia tidak segera menjawab. Lebih baik dia buat muka innocent. Handsome sangatlah buat muka cakap tu! Ejekku di dalam hati.
Sekarang setiap kali aku memejamkan mata, aku selalu terkenangkan Abang Imran. Kegelisahanku bertambah dan tidur tidak pernah lena. Jika boleh mahu perkahwinan aku mahu perkahwinan ini dibatalkan atau sekurang-kurangnya ditangguhkan.
“Adik ada kawan lelaki?” Tiba-tiba Abang Imran bertanya.
“Kenapa abang tanya macam tu? Bukan abang tak tahu saya tak pernah keluar. Dunia saya hanya di rumah. Kalau saya tak keluar dengan Mak Lang atau dengan abang, saya akan tetap duduk di rumah dari pagi hingga ke petang…” Jawabku perlahan.
Abang Imran diam lagi. Kami sudah tiba di hadapan Kompleks Teruntum. Abang Imran terus memandu. Dia menghala ke pusat beli belah yang terkenal di Kuantan ini. Kulihat bangunan hijau yang tersergam dari jauh. Kami menghala ke sana. Sudah lama aku tidak mengunjungi Mega Mall. Memang aku teringin ke situ, cukup sekadar untuk melihat-lihat saja.
Abang Imran menarikku masuk ke sebuah kedai handphone.
“Saya nak beli sebuah handphone yang canggih untuk adik saya.” Katanya tersenyum kepada jurujual handphone tersebut.
“Hmmm… di sini banyak model-model baru keluar.” Jawab jurujual itu sambil menunjuk ke arah handphone di dalam cermin. Aku diam sahaja. Hatiku dijentik rasa gembira apabila Abang Imran berhasrat untuk membelikan aku handphone. Walaupun aku tak punya sesiapa pun untuk dihubungi, sekurang-kurangnya aku akan mudah menghubungi Abang Imran sekiranya aku rasa sunyi kelak.
Mak Lang pun tidak benarkan aku menggunakan telefon di rumah, sebab itulah aku tak ada contact dengan kawan-kawan sekolahku. Selepas ini bolehlah aku mencari kembali di dalam diariku nombor telefon kawan-kawan yang pernah rapat denganku. Aku akan cuba menyambung semula perhubungan yang terputus.
Abang Imran memasukkan nombor telefonnnya di dalam telefon bimbit yang baru dibelikan untukku. “Adik boleh hubungi abang pada bila-bila masa…” katanya sambil menyerahkan telefon bimbit itu ke dalam genggamanku. “Jangan risau pasal bilnya. Abang akan daftarkan nombor telefon ni untuk adik, dan alamatkan bilnya ke alamat rumah sewa abang di KL. Jadi mak takkan tahu yang adik ada telefon.”
Agh! Sportingnya Abang Im. Rasanya aku seperti ingin memeluk Abang Imran yang sangat kusayang. Tetapi kutahu itu semua tak mungkin dapat kulakukan. Antara kami ada batasannya. Jika terlanjur bersentuhan pun, kami akan terjebak dalam dosa dan maksiat. Kini bersamanya berjalan disamping aku merasakan aku sudah menjadi seorang perempuan jahat yang mendamba lebih kemesraan darinya.
Aku mulai memperlahankan langkah, membiarkan abang Imran berjalan dahulu. Abang Imran menoleh ke belakang, menyedari aku tidak lagi disampingnya. Dia segera menarik tanganku agar berada di sampingnya semula.
“Cepat! Kita masuk ke sini!” Gesanya sambil menarik lembut tanganku menghala ke sebuah kedai pakaian.
Abang Imran memujukku supaya membeli baju tetapi tiada satupun yang aku minati. Lantas kami keluar masuk dari satu kedai ke satu kedai tanpa membeli apa-apa. Akhirnya Abang Imran berhenti di hadapan kedai emas.
“Abang tengok adik tak pakai pun cincin tunang adik tu? Kenapa? Tak suka?”
Aku mengangguk. “Batunya terlalu besar.” Aku memberi komen.
“Okey. Kita cari yang comel dan kecil. Hari tu abang pernah tanya adik, ada tak adik hilang sesuatu? Abang jumpa anting-anting di bilik abang…”
“Oh!” Aku baru teringat memang sebelah dari anting-antingku hilang. Lantas aku pun membuka anting-anting yang satu lagi dan menyimpannya saja. Tidak sangka Abang Imran menemui anting-antingku yang hilang.
Abang Imran memilih sebentuk cincin yang indah. Berliannya kecil tetapi berkilau. Bentuknya sangat cantik. Dia juga memilih sebuah anting-anting kecil, yang amat sesuai dengan citarasaku.
“Cukuplah bang…” Kataku sambil menahan Abang Imran yang masih ingin memilih seutas rantai tangan. Abang Imran memandangku sambil tersengih.
“Ini bukan untuk adik.” Katanya sambil tersenyum. Mukaku jadi merah padam. Api cemburu mulai menyala perlahan-lahan dalam dadaku. Aku mengerti dia mahu membelikan rantai tangan itu untuk siapa. Pastinya untuk Irma Zamila. Perlahan-lahan aku berdoa impian itu tidak akan terlaksana.
“Yang ini cantikkan? Rantai tangan dengan locengnya yang berbentuk hati.” Kata Abang Imran girang sambil meminta jurujual mengambilnya dari dalam almari. Aku tidak mampu menjawab. Rasa geramku menjalar dan terus membesar. Rasanya aku sudah hilang mood untuk ke mana-mana lagi selepas ini. Mengapa Abang Imran harus merosakkan hari indahku dengan membeli rantai tangan untuk Irma Zamila?
Abang Imran memerhati jam setelah kami keluar dari kedai emas.
“Kita pergi makan.” Ajak Abang Imran sambil menarik aku menghala ke sebuah restoran. Waktu makan tengahari sudah tiba, tapi perutku terasa kenyang. Abang Imran bagaikan memaksa aku menghabiskan makanan yang ada. Namun seleraku benar-benar tertunda. Dia langsung tidak tahu hatiku yang sedang dilanda amarah. Enak saja dia makan dan menghabiskan minumannya dengan rakus.
Aku memerhati sekeliling, ruang restoran berkonsep terbuka. Masih dapat kulihat orang ramai yang membeli belah, turun naik escalator menghala ke tingkat atas. Tiba-tiba aku terpandang seseorang, persis Irma Zamila sedang berjalan dengan seorang lelaki. Mereka menuruni escalator, kini sedang bergerak ke arah restoran tempat kami makan.
Abang Imran tidak melihat wanita muda itu yang kelihatan sedang dikepit oleh seorang lelaki. Alangkah baiknya jika Abang Imran melihat dengan mata kepalanya sendiri. Spontan Irma Zamila memandang ke arahku. Aku terus merenungnya. Dia kelihatan menggelabah, terus mengajak lelaki bersamanya beredar pergi dari situ.
“Abang! Kak Irma tu orang mana?” Tanyaku tiba-tiba, membuat Abang Imran tersenyum kemudian tertawa.
“Kenapa? Tiba-tiba saja nak tahu pasal dia.”
Aku mengangkat bahu. Aku tidak akan beritahu Abang Imran bahawa aku baru melihat Irma Zamila bersama seorang lelaki. Entah siapa lelaki itu? Mereka berjalan sambil berpegangan tangan. Aku yang dungu dan bodoh ini pun sudah tahu, bahawa perhubungan mereka bukan sekadar kawan biasa.
“Katanya dia orang KL. Dilahirkan dan dibesarkan di sana…”
“Tapi kenapa dia selalu ada di Kuantan?” Soalku seakan-akan mencabar pula.
“Hmmm… Dia datang ke sini kerana tugas. Syarikat milik ayahnya buka cawangan baru di sini. Dan dia dilantik jadi pengurus. Lagipun dia sedang cari client baru.”
“Jadi abang rasa dia seorang wanita yang hebat?” Tanyaku setengah menduga. Aku teringat kembali mesranya Irma Zamila bersama lelaki itu sebelum dia terlihat aku yang sedang memandang tajam padanya.
Waduh! Dia pasti bukan wanita sembarangan. Dan aku takut dia mempermainkan hati dan perasaan Abang Imran. Namun Abang Imran yang sedang ‘mabuk’ cinta takkan mudah percaya pada kata-kataku sekiranya aku memberikan komentar tentang wanita pujiannya itu. Pun aku tak patut membiarkannya saja. Sebelum sempat Abang Imran menjawab soalanku yang berbau sindiran itu aku terus menambah; “Dan saya tak mungkin akan menjadi seorang wanita hebat sepertinya.”
Abang Imran diam sahaja. Dia tidak melanjutkan bicara dengan bertanya tentang cita-cita yang telah lama kusimpan. Barangkali dia menganggap aku seorang perempuan bodoh yang tidak punya cita-cita. Sesungguhnya walaupun sekecil mana pun hasrat dan impian, selagi kita masih berpegang pada cita-cita yang satu, kita pasti punya semangat untuk meraihnya. Dan itulah yang sedang aku usahakan sekarang… Cuba mencapai impianku walaupun hal itu hampir-hampir mustahil.
“Mengapa saya selalu gagal untuk mendapatkan apa yang saya inginkan, bang?” Tanya ku setelah lama membiarkan arus fikiran kami menerawang sendiri.
“Kau bukannya gagal dik. Tiada sesiapa pun merancang untuk gagal tetapi mereka gagal untuk merancang. Bukankah itu dua perkara yang amat berbeza?”
Aku mengangguk. “Ya mungkin betul. Saya gagal untuk merancang. Sebenarnya saya tak ada rancangan masa depan, hanya menunggu saja apa yang datang.”
“Sebab itulah kita mesti ada rancangan yang teliti, pastikan matlamatnya dan kita pasti akan dapat meraihnya bersama usaha yang tidak kenal jemu.” Kata Abang Imran. Lama dia terdiam kemudian bersuara lagi; “Sebenarnya abang suka juga adik keluar dari rumah. Bermakna adik terlepas dari satu belenggu. Percayalah adik akan berhadapan dengan dunia baru. Semoga dunia baru itu kelak akan mematangkan diri adik.”
Diam-diam aku juga mengharapkan perkara yang sama. Sesungguhnya perubahan itu akan membuat manusia dewasa. Pengalaman pahit apabila dikenang, pasti aku akan tersenyum. Memanglah kenangan untuk direnung kemudian hari. Yang pahit pasti hilang yang tinggal hanya satu kemanisan.
“Kita balik. Masih sempat salat zohor di rumah.” Kata Abang Imran sambil bangun mendahului aku menghala ke pintu.
Kami berjalan menuju ke petak parking. Abang Imran mendahului menghala ke kereta dan aku mengekorinya. Tiba-tiba langkah Abang Imran terhenti. Dia melihat Irma Zamila bersama seorang lelaki. Lelaki itu membukakan pintu untuknya. Abang Imran terpaku melihat Irma Zamila yang berlalu pergi bersama lelaki itu yang memandu sebuah Ferrari GTB Fiorano merah menyala. Model yang sangat menarik perhatian dengan harga USD$250,000 yang hanya mampu dimiliki oleh seorang jutawan.

IMRAN termenung panjang sambil berbaring di dalam kamar selepas salat asar pada petang itu. Pertemuan tidak disangka dengan Irma Zamila yang menaiki sebuah kereta mewah, terus-terusan buat dia dibuai pertanyaan yang tiada jawapan pasti. Siapa lelaki itu? Mengapa mereka kelihatan mesra. Apakah tadi Irma Zamila ternampak dia dan Julia Afiqah?
Apakah wanita muda yang menawan itu sengaja pura-pura tidak melihat mereka? Atau memang benar dia tidak perasan. Fikiran Imran kalut. Dia menggagau tangan, mengambil kotak yang diletakkan di sisi katil. Dia membuka kotak itu, di dalamnya terdapat rantai tangan yang baru dibelinya di Mega Mall tadi.
Apakah dia akan menyerahkan rantai tangan itu kepada Irma Zamila lantas membuka rahsia hatinya? Perlukah dia berbuat begitu setelah dia melihat wanita muda itu bersama lelaki lain? Dia rasa malu, di samping rasa kerdil dan hina. Apakah dia tidak layak mendampingan Irma Zamila, anak seorang Tan Sri. Puteri seorang ahli politik yang amat terkenal.
Ahhh… Dia mengeluh berat. Selama ini dia berani bermimpi ingin memeluk gunung, ternyata tangan tak sampai. Mengapa dia harus berangan-angan sejauh itu? Sudah pasti angan-angan itu tidak akan tercapai. Dia kembali berbaring sambil meletakkan rantai itu di atas dadanya. Tidak. Tidak mungkin dia akan memberikan rantai tangan itu kepada Irma Zamila. Biar dia simpan saja…
Dia bingkas bangun menarik laci almari rendah yang ada di sisi katil. Dia menyimpan kotak berisi rantai tangan itu di situ. Entahlah… Keluhnya. Rantai tangan dengan loceng berbentuk hati itu akan jadi milik siapa.
Imran berbaring lagi, memejamkan mata. Dia berhasrat hendak tidur sekejap. Rasa malas hendak balik ke KL pada petang itu. Kalau dia pulang pada awal pagi esok selepas subuh, masih sempat untuk masuk ke pejabat pada jam sembilan pagi. Hasrat untuk tidur tergendala apabila telefon bimbitnya berbunyi. Dengan malas dia bangun untuk menjawab panggilan. Rasa hatinya jadi tawar apabila melihat di skrin nama Irma Zamila.
Selama ini dia selalu rasa teruja kalau Irma Zamila menghubunginya. Setelah dia melihat wanita muda itu bersama lelaki lain tadi, sedikit rasa kagumnya mulai luntur.
“You kat mana?” Tanya Irma Zamila lembut.
“Rumah mak I di kampung.”
“Betullah I terlihat you tadi di depan Mega Mall.” Kata Irma Zamila langsung tidak teragak-agak. “I ingatkan I salah tengok. Tapi masa tu I betul-betul nak cepat. I bersama pelanggan I tadi.”
“Pelanggan?” Imran pura-pura terkejut walaupun hatinya langsung tidak percaya.
“Ya.” Jawab Irma Zamila dengan penuh keyakinan.
“Yang bawa kereta mewah tadi client you? Amboi! You nampak mesra sekali dengannya…”
“You cemburu ke?”
“Untuk apa I cemburu?”
“You macam marah saja.”
“Marah? Taklah. I tak ada hak nak marah. Antara kita pun bukannya ada apa-apa. Kita kawan biasa je.”
“Alaaa… tak seronoklah you cakap macam tu. Macam marah aje. I rasa bersalah ni… Sorry, sebab tak tegur you tadi. I nak cepat.”
“Tak perlu rasa bersalah.” Jawab Imran. Separuh dari kepercayaannya terhadap Irma Zamila semakin luntur dan sirna. Semakin lama dia merasakan terlalu banyak rahsia yang dia tidak tahu tentang wanita muda itu.
“Okeylah, call I bila-bila masa. I akan balik ke KL petang. Kita jumpa di KL nanti.” Pinta Irma Zamila lembut dan manja.
Imran tidak menjawab. Dia mematikan talian lantas mencampakkan handphone ke atas tilam. Dia tidak tahu apakah dia akan menghubungi Irma Zamila. Imran berbaring telentang. Dalam dadanya ada sekelumit rasa marah dan geram. Terbayang-bayang kereta merah berkilat yang dinaiki Irma Zamila bersama lelaki yang dikatakan sebagai pelanggannya itu.
Dia memejamkan mata sambil menyoal hatinya. Aku marah? Aku rasa cemburu dan tergugat? Kenapa? Dia bingkas bangun. Matanya memandang ke arah laci almari kecil di sisi katil di mana rantai tangan dengan loceng berbentuk hati mengeram di dalamnya.
Bab 11

JARUM jam menunjukkan ke pukul tujuh setengah malam ketika Imran berjalan keluar dari bangunan pejabatnya yang sunyi. Dia menghala ke parking lot di hadapan bangunan yang tersergam tinggi terletak di Jalan Sultan Ismail.
Jalanraya di hadapan bangunan itu nampak sedikit lengang. Sengaja dia pulang lewat untuk mengelakkan jam. Di ruang parkir masih ada beberapa buah kereta. Tapi keadaan sekeliling sunyi, tidak berorang. Lampu dari dalam bangunan tidak sampai ke ruang parkir. Di ruang itu ditanami dengan sebaris pepohon, bertujuan untuk meneduhkan kawasan dari sinar matahari.
Imran suka parkir kereta di situ berbanding parkir di kawasan bawah tanah bangunan pejabatnya. Dia terus berjalan ke arah kereta sambil menekan punat kunci automatik. Dia berhasrat untuk terus pulang kerana belum menunaikan salat maghrib. Walaupun perut terasa lapar tetapi dia malas melayan nafsu. Biasanya dia makan pada pukul sembilan malam. Kalau dia rajin dia akan memasak nasi goreng. Tapi selalunya dia lebih cenderung memasak sesuatu yang ringkas seperti menyediakan cucur ikan bilis. Dia memang suka makan cucur ikan bilis bercicah sos cili sambil menonton televisyen. Tidak sedar sepinggan penuh boleh habis dibahamnya seorang diri.
Kalau terlalu penat dia tidak akan masuk ke dapur langsung. Cukup dengan menelefon pizza, dalam masa setengah jam makanan sudah dihantar ke muka pintu.
Semasa dia sedang membuka pintu kereta dirasakan bahunya ditepuk. Terbang semangatnya kerana terkejut. Dia menoleh cepat. Dalam suram cahaya lampu yang datang dari jalan raya dapat dia melihat sesusuk tubuh lelaki yang besar agam, lebih tinggi darinya, berada begitu dibelakang. Wajah lelaki itu nampak bengis, tiada senyuman di bibir.
Imran tidak kenal lelaki itu. Dia tahu dengan pasti tidak pernah melihat lelaki itu sebelumnya. Dia bukan staff yang bekerja di bangunan pejabat yang tinggi menjulang. Walaupun staff di situ ramai, lebih kurang 500 orang tetapi dia amat yakin lelaki itu bukan bekerja di situ.
“Ada apa encik?” Tanya Imran, memberanikan diri walaupun sebahagian daripada fikirannya menyatakan bahawa lelaki itu berniat tidak baik padanya. Cara dia datang dari arah belakang, tiada sapaan mesra ataupun huluran salam. Dia memerhati ke arah pintu bangunan pejabat, terlalu jauh dari tempat parkir. Pasti pengawal keselamatan tidak akan dapat melihat jika sesuatu berlaku kepadanya.
Mahu tidak mahu dia terpaksa menghadapi lelaki itu bersendirian.
“Awak bernama Imran?” Tanya lelaki itu dengan suara garau dan bengis.
“Ya… Saya.” Jawab Imran mengakuinya dengan tenang. Dadanya berdebar-debar mendengar suara lelaki itu yang keras dan tiada sebarang kemesraan itu.
“Awak kenal Irma? Irma Zamila?”
Pertanyaan itu benar-benar mengejutkan Imran. Tekaknya terasa kering. Lidahnya jadi kelu. Apakah kaitannya Irma Zamila dengan lelaki di hadapannya itu. Imran teragak-agak untuk menjawab soalan yang amat mudah. Kenal atau tidak?
Apakah sesuatu yang buruk telah menimpa wanita muda dan seksi itu. Apakah dia sedang dalam kesusahan? Fikiran Imran kusut umpama benang-benang yang berselirat. Dia tidak dapat berfikir dengan pantas lantas memberikan jawapannya.
Lelaki di hadapannya itu merengus dengan kasar, pantas tangannya yang tegap dan kuat itu mencengkam leher baju kemeja Imran. Imran terperanjat, tidak menyangka lelaki itu bertindak dengan begitu pantas. Lelaki itu menolak tubuhnya hingga tersandar ke kereta sambil berkata dengan nada ancaman; “Kau ada hubungan dengan dia? Engkau tahu siapa dia? Engkau ni memang sengaja cari penyakit!”
Imran tidak dapat menjawab. Lehernya rasa tercekik dek cengkaman yang kuat itu. Lelaki itu gagal menguasai rasa amarah yang sedang beramukan dalam dadanya. Imran meronta-ronta cuba untuk melawan, membuat rasa marah lelaki itu kian menjadi-jadi. Dia mendengus kuat. Dengusannya seperti seekor beruang yang dalam kemarahan, bersedia hendak mencakar-cakar muka mangsanya.
“Engkau tahu dia tu isteri aku! Kau dah tidur dengan dia kan? Engkau betul-betul jantan kurang ajar. Nah! Ambik ni!”
Tangan lelaki itu menggenggam penumbuk lantas ditujukan ke perut Imran. Tumbukannya begitu kuat menghentam perut Imran. Diulangnya beberapa kali sehingga Imran terduduk, jatuh ke atas tanah. Perut Imran senak dan sakit. Tambahan pula perutnya memang lapar, dia tiada tenaga langsung untuk melawan. Dia terus terjelepuk ke atas tanah. Lelaki itu masih belum puas. Dia duduk membongkok sambil memegang kepala Imran, menarik rambutnya supaya kepalanya yang tertunduk terdongak ke atas.
“Aku beri kau amaran. Jangan dekati dia lagi! Ingat!... Ini bukan apa-apa. Kalau kau degil, kau memang menempah maut.”
Lelaki itu berlalu pergi dengan pantas, hilang menghala ke jalan raya. Imran tidak kuasa memandang. Perutnya terasa begitu sakit. Dia menekan perutnya, perlahan-lahan bangun lantas membuka pintu kereta. Sejurus dia duduk di dalam kereta, sebelum memandu pulang.
Setelah berehat beberapa ketika, kesakitannya masih belum hilang, kini rasa sakit itu saling bertindih dengan rasa marah dan kesal yang tiada kesudahannya. Mengapa dia harus terjebak dengan perempuan seperti Irma Zamila? Mengapa dia langsung tidak menyiasat latar belakang perempuan itu. Dia main percaya sahaja pada apa yang dikatakan olehnya. Kini dia juga yang menerima padahnya.
Tak mengapa! Bisik hatinya. Aku takkan terjebak lagi Irma. Kau boleh berlalu pergi begitu saja. Walaupun di hati ini wujud sekelumit rasa, tapi akan segera kubuang segalanya. Kau bukan wanita yang baik, itu sudah pasti. Mengapa aku begitu cepat tergoda pada manisnya senyuman dan manjanya lagak gayamu, Irma? Kau hanyalah butiran batu tidak berharga yang hadir dicelah-celah pepasir. Ku sangkakan kau permata…
Agh! Betapa aku khilaf menilai seorang perempuan. Imran berbaring telentang, meraba-raba perutnya yang masih terasa sedikit senak. Malam itu dia tiada selera hendak menjamah makanan. Biar dia tidur sahaja untuk melayan hati dan tubuh yang tidak enak. Dia terlelap beberapa ketika namun terjaga apabila terdengar loceng pintu rumah yang ditekan orang.
Siapa pulak yang datang? Bisik hatinya sendiri sambil mata memerhati jam. Sudah lewat. Pukul sebelas malam. Huh! Mengapa datang pada waktu-waktu begini. Apakah lelaki yang menyerangnya tadi dapat mencari rumahnya pula? Perlukah dia menghubungi polis? Dia mulai rasa bimbang.
Imran membuka lampu porch, dia mengintai dari tepi tingkap berdekatan pintu. Kelihatan pintu pagar rumahnya tidak berkunci. Dia terlupa menutup pagar semasa pulang tadi. Kini dia melihat Irma Zamila ada di hadapan pintu rumahnya.
Imran membuka pintu tetapi tidak membuka gril. Dia tidak mahu melayan Irma Zamila. Kalau boleh dia mahu menghalau sahaja perempuan itu dari rumahnya.
“Kenapa datang ke sini?”
“Im… Tolong I.” Rayu Irma Zamila.
Imran memerhati wajah Irma Zamila. Bibir wanita itu bengkak. Pipinya lebam dan ada kesan darah yang sudah kering di dahi. Pakaian Irma Zamila pula tidak secantik biasa. Dia hanya mengenakan jean dan t.shirt yang lusuh. Rambutnya kusut masai.
“I dipukul… dihalau suami I dari rumah.”
Imran menggelengkan kepalanya. “Bukan di sini tempat you mengadu Irma. Pergilah pejabat kadhi. Ini masalah rumahtangga you. I tak mahu terlibat dengan masalah rumahtangga you, okey? I kena pukul dengan suami you maghrib tadi, you tahu tak?”
“I tahu. Dia balik pukul I pula…” Jawab Irma Zamila, airmatanya bertitisan di pipi.
“Sorrylah, I tak mahu terlibat dengan you lagi. I tak mahu cari penyakit. You pergilah cari lelaki lain yang pernah jadi kekasih you atau client you. Atau sesiapa saja! I tak sangka you ni penipu.”
“Im… Tolonglah I tak ada sesiapa! I tak ada tempat nak pergi. I takkan balik ke rumah ibubapa I dalam keadaan macam ni!” Irma Zamila teresak-esak melepaskan tangisan sayunya dengan kepala tertunduk. Bibirnya yang bengkak tidak lagi disapu lipstik nampak sudah hilang tarikannya. Wajah yang sembab dan muram ditabiri airmata berjaya juga menumpahkan rasa simpati di hati lelaki itu.
Apalagi tangan Irma Zamila terhulur melalui gril lalu memegang tangan Imran. Imran menarik tangannya. Dia tidak mahu bersentuhan tangan Irma Zamila.
Imran diam membatu. Dia tidak tahu apakah dia akan membiarkan Irma Zamila berlalu atau membantunya. Jika dia membantu Irma Zamila bermakna dia sengaja masuk ke dalam sangkar harimau. Dia tidak mahu mencipta masalah. Dia sepatutnya tidak terlibat dengan wanita muda itu sejak dulu lagi…
Tapi memang tidak patut sekiranya membiarkan Irma Zamila berlalu. Dia bukanlah seorang lelaki yang kejam. Hatinya cepat merasa kasihan melihat airmata yang berjuraian di pipi.
“Okeylah.” Kata Imran setelah berfikir sejenak. “I tak boleh ajak you masuk sebab I tinggal seorang di rumah ni. Biar I hantar you ke hotel saja… You boleh rehat dan tidur di sana. Tadi you datang sini naik apa?” Kata Imran sambil memerhati ke arah pagar, tiada kereta yang selalu digunakan oleh Irma Zamila.
“Dengan teksi.” Jawabnya perlahan, walaupun rasa malu untuk berterus terang tetapi dia terpaksa. Ini bukan masa untuk berlagak. Kereta yang selalu digunakannya sudah diambil kembali oleh suaminya. Suaminya menghalau dia keluar dari rumah sehelai sepinggang selepas dia dipukul sepuas hati.
Dia malu pada Imran. Akalnya mulai bekerja keras bagaimanakah dia harus menarik simpati dan perhatian Imran. Dia mesti lakukan sesuatu. Memang besar sekali hasrat yang tumbuh di hatinya. Dia tidak akan mudah mengalah. Dia tahu Imran mempunyai sedikit ‘rasa’ terhadapnya berdasarkan layanan lelaki itu yang sentiasa lunak terhadapnya.
Hanya itu sahaja harapan yang dia ada, berpegang pada sekelumit rasa yang mengisi dada Imran. Dia tidak akan membiarkan Imran meninggalkannya begitu sahaja. Dia tidak punya apa-apa lagi sekarang. Hanya kekecewaan dan kesakitan. Dia tidak boleh melepaskan Imran dari sisinya. Hanya Imran satu-satunya lelaki yang baik, prihatin dan boleh dipercayai.
Imran mengambil kunci rumah lantas membuka gril. Dia terus berjalan ke arah kereta yang berada di bawah porch. Dia harus membawa Irma Zamila pergi dari situ secepatnya. Dia tidak mahu kedatangan wanita muda itu disedari jiran sebelah menyebelah.
Imran membukakan pintu kereta untuk Irma Zamila. Tiba-tiba tubuh wanita itu melorot perlahan, lantas rebah ke atas lantai porch. Imran benar-benar terperanjat. Dia terus membongkok, mengangkat kepala dan muka Irma Zamila sambil menyeru namanya.
“Hei! Bangun! Bangunlah!! Jangan pengsan kat sini!” Seru Imran kalut.
Mata Imran membelingas ke kiri dan ke kanan. Pintu rumah jiran sebelah menyebelah bertutup rapat dan lampu juga sudah dipadamkan. Biarpun dipisahkan tembok tetapi tembok itu terlalu rendah. Sekiranya jirannya menjenguk pasti dapat dilihat tubuh layu Irma Zamila yang tergolek di situ.
Imran memerhati ke arah pintu yang ditutup rapat. Apa yang harus dia lakukan? Soal hatinya kalut. Memasukkan dia ke dalam kereta kemudian menghantarnya ke hospital atau membawa dia ke dalam rumah?
Imran menepuk-nepuk pipi Irma Zamila, berharap wanita muda itu akan membuka matanya. Namun harapannya tidak terpenuh. Matanya yang bengkak tertutup rapat. Hanya nafas yang nampak turun naik dari dadanya. Imran menarik nafas sedikit lega. Hanya pengsan… bisik hatinya. Bukannya mati!
“Eee… Kenapalah pengsan kat rumah aku…” Rungut Imran sambil mencempung tubuh Irma Zamila masuk ke dalam rumah.
Tubuh Irma Zamila dibaringkannya di atas sofa. Kelam kabut Imran berlari dapur, lantas menadah air di dalam besen. Hanya itu saja cara yang dia tahu untuk menyedarkan orang yang sedang pengsan. Imran berlari ke ruang tamu semula, lantas menyapu air ke muka Irma Zamila. Tangannya menepuk-nepuk pipi Irma Zamila sambil menyeru namanya. Tapi mata Irma Zamila tetap jua terpejam rapat.
Apa nak buat ni? Imran bingung. Dia berjalan mundar mandir di ruang tamu itu. Bertenang! Bisik hatinya. Dia berhenti di hadapan meja telefon sambil mata memandang ke arah buku telefon. Dia harus menghubungi doktor.
Irma Zamila membuka sedikit matanya, mengawasi gerak laku Imran. Sejak tadi dia pura-pura pengsan. Dia tidak tahu apakah cara lain lagi yang akan membuat Imran membenarkannya masuk ke rumah.
Imran sedang mengangkat gagang telefon. Irma Zamila dapat mengagak lelaki itu akan menghubungi seseorang. Dia mesti berpura-pura sedar semula. Dia tidak mahu melibatkan orang lain. Irma Zamila mengerang perlahan. Imran memandang ke arahnya yang terbaring di sofa. Kelihatan tubuhnya bergerak-gerak. Imran tidak jadi hendak menghubungi doktor. Lega kerana Irma Zamila sudah sedar.
Imran berjalan mendekati Irma Zamila. Saat itu Irma Zamila membuka matanya perlahan-lahan.
“Dah sedar pun…” Kata Imran.
“Apa dah jadi? Kenapa?” Irma Zamila pura-pura terkejut, bangun lantas terus duduk di sofa.
“You pengsan.” Kata Imran.
“Ohhh…” Irma Zamila memegang kepalanya. Dia merebahkan tubuhnya semula di atas sofa. “Peningnya… I tak boleh angkat kepala I ni…”
“Tak apalah. You rehatlah kat situ.” Kata Imran sambil berjalan menghala ke dapur. Dia harus memasak sesuatu. Perutnya terasa sangat lapar. Silap-silap nanti dia pula yang pengsan.

SEJAK memiliki telefon bimbit comel pemberian Imran, Julia Afiqah selalu menghubungi abang sepupunya itu. Dia selalu mengejutkan Imran kala subuh. Terkadang dia hanya menghantar mesej. Terkadang dia akan menelefon.
Sebaik sahaja selesai menunaikan salat subuh, dia mulai mencapai gagang lalu menghubungi telefon Imran. Dia tahu Imran pasti menutup telefon bimbitnya pada awal pagi begini, justeru itu menggunakan telefon rumah.
Pada deringan yang ke lima barulah telefon di angkat. Julia Afiqah terkejut tatkala terdengar suara perempuan menjawab panggilannya. Suara itu kedengaran berat, serak dan malas, menandakan bahawa dia baru terbangun dari tidur. Julia Afiqah terdiam, dia tidak berani bersuara. Hatinya tertanya-tanya apakah dia tersalah menekan nombor telefon? Mengapa ada suara perempuan di rumah abang Imrannya?
“Hello…” Seru suara itu beberapa kali. Dia terdengar begitu berat dan malas masih dikuasai rasa mengantuk. Apabila tiada jawapan daripada Julia Afiqah dia terus meletakkan gagang sambil merungut-rungut marah.
Mesti aku tersalah dail tadi… Fikir Julia Afiqah sambil sekali lagi menekan punat telefon bimbitnya. Kali ini deringannya lebih panjang dan lama. Dan akhirnya terdengar suara yang sama menjawab panggilan itu. Kali ini suara itu lebih ringan dan tenang.
“Hello. Siapa ni? Cakaplah! Dah call kenalah bercakap!” Kata suara itu dengan nada yang amat bosan.
Julia Afiqah tersentak. Dia mulai dapat mengecam suara itu. Irma Zamila! Mengapa dia ada di rumah Abang Imrannya pada pagi-pagi buta begini? Mengapa? Tidak! Tak mungkin! Batinnya menjerit. Takkanlah Abang Imran ada hubungan dengan Irma Zamila? Mustahil perhubungan mereka boleh jadi sejauh ini. Irma Zamila tidur di rumah Abang Imran?
Ah! Abang! Di manakah akalmu bang? Mengapa abang sanggup melakukan dosa? Mengapa bang? Sedihnya hati Julia Afiqah menyangka Abang Imrannya sudah jauh terpesong dibawa arus kota.
“Tak nak cakap, jangan call…” Gagang telefon dihempas kuat. Julia Afiqah tersentak. Airmatanya terasa hangat menuruni pipi.

Bab 12

“I HARAP ini adalah kali pertama dan terakhir you datang ke rumah I. Selepas ini I tak mahu you datang lagi. Kita tak ada sebarang hubungan lagi lepas ini.”
“Sampai hati you cakap macam tu Im. Berkawan dengan I pun you tak sudi lagi?” Tanya Irma Zamila dengan airmata yang berlinangan.
Imran tidak memandang muka Irma Zamila. Dia telah siap berpakaian, bersedia untuk keluar dari rumah sementara Irma Zamila masih duduk di sofa tidak bersedia hendak ke mana-mana.
“Kita berkawan atas dasar kejujuran Irma. Tapi apa yang you berikan pada I selama beberapa bulan kita berkawan, hanyalah satu pembohongan.”
“I mengaku memang I bohong pada you. I dah bersuami. Tapi perkahwinan kami tak bahagia, hanya menunggu masa untuk berpisah. Kami berkahwin hampir 3 tahun tapi tak pernah I mengecapi kebahagiaan seperti pasangan lain. Suami I kaki pukul, kuat cemburu dan…”
“Dahlah I tak nak dengar masalah you.” Kata Imran tegas sambil berjalan ke pintu. “Dah cukup baik I benarkan you tinggal di rumah I malam tadi. I harap you pergi dari sini. I nak pergi kerja ni, nanti terlambat pula…”
Irma Zamila masih tidak berganjak dari sofa. Dia duduk memeluk lutut, sambil matanya memandang sayu ke wajah Imran. Imran bagaikan tidak sudi memandang Irma Zamila. Dia terus membuka pintu, namun dia teragak-agak hendak melangkah keluar ketika terlihat jirannya Shukri bersama isterinya Hayati yang sedang bergerak menghala ke kereta. Shukri tersenyum sambil mengangkat tangan padanya.
“Lewat keluar pagi ni Encik Imran?” Tegur Shukri ramah.
“Ya, lewat sikit.” Jawab Imran sambil tersenyum. Mujur! Bisik hatinya sambil mengurut dada. Jika Irma Zamila keluar tadi, pasti Shukri dan Hayati terlihat ada perempuan bermalam di rumahnya. Dia tidak mahu rasa hormat dan kemesraan mereka pudar. Dia tidak suka jiran tetangga menyimpan prasangka. Masyarakat Melayu memang tebal dengan sikap prejudis. Belum soal siasat betul-betul sudah menyangka yang bukan-bukan.
Dia tidak mahu jiran-jirannya menganggap dia anak muda yang nakal, yang suka membawa teman wanita pulang ke rumah. Hakikatnya dia bukan anak muda seperti itu.
Imran menutup pintu perlahan-lahan, duduk di salah satu sofa kosong. Dia bingung. Ini bukan masa yang sesuai untuk keluar. Biarkan jiran-jiran terdekatnya keluar dulu barulah dia akan meminta Irma Zamila keluar dari rumah itu.
“Im, kenyataan hidup memang pahit. Memang sukar untuk I menerima keadaan diri I dulu dan sekarang. Bukan niat I nak membohongi you. I selalu berharap apa yang I katakan pada you adalah benar. I sepatutnya tidak berkahwin dengan lelaki tu! Tapi kita takkan kenal seseorang selagi tidak duduk satu bumbung.”
Imran diam sahaja. Dia seolah-olah membenarkan Irma Zamila membuka kisah hidupnya. Dia sebenarnya tidak begitu bersedia untuk mendengar apa-apa. Memandang Irma Zamila pun dia rasa meluat kini. Wajah itu tidak disaluti solekan. Kosong dan hambar.
“I memang bersalah pada you. I harap you sudi maafkan I. I harap kita masih boleh berkawan. I janji tidak akan berbohong lagi pada you Im. You seorang lelaki yang baik. I tak pernah jumpa lelaki yang baik dan jujur macam you.”
Imran menggigit bibir. Dia masih diam.
“Ada satu lagi perkara I bohong you Im. I sebenarnya bukan anak Tan Sri Muluk, ahli politik yang terkenal tu. Memang bapa I bernama Muluk… Hanya nama saja tapi tidak mempunyai pangkat apa-apa. Bapa I dah pencen, sekarang ni tinggal di PJ.” Beritahu Irma Zamila dengan suara tenang.
Imran sudah mengagak perkara itu akan dibangkitkan oleh Irma Zamila. Kalau dah bohong, pasti semuanya hanyalah satu sandiwara saja… Bisik hati Imran. Imran membuang pandang ke arah Irma Zamila. Tiba-tiba dia merasakan bahawa dia tidak kenal lagi pada wanita di hadapannya itu. Segala memori indah yang pernah mereka ukir bersama tiba-tiba sirna.
Irma Zamila yang dipandangnya penuh kekaguman selama ini, rupa-rupanya bukan sesiapa. Wajah yang indah hanya disaluti topeng semata-mata. Dan tiada kata-kata yang dapat diungkapnya bagi menterjemah rasa marah dan hampa.
“I bekerja di syarikat tu… bukan syarikat bapa I. I makan gaji. Tapi I tak bohong tentang jawatan I. Memang I pengurus pemasaran, sebab tu lah I selalu keluar outstation.”
“Jadi, hari ni you tak nak pergi kerja?” Tanya Imran setelah lama diam.
Irma Zamila diam. “Entahlah, tak ada mood nak pergi kerja.”
“Kalau macam tu, eloklah you balik rumah ibubapa you.” Kata Imran sambil menjeling jam di pergelangan tangannya. Dia tidak boleh berlengah lagi. Nanti dia pula terlewat. Ada mesyuarat pada jam sepuluh pagi nanti. Dia bergerak ke pintu, membukanya sambil berkata kepada Irma Zamila; “I nak pergi kerja sekarang. I ada meeting pukul sepuluh pagi ni. Tak boleh lewat. I harap bila I balik petang nanti, you dah tak ada. Tolong kunci pintu dan letakkannya di bawah alas kaki.”
Imran mulai menyarung stoking dan kasut. “I harap you hargai apa yang I minta Cik Irma Zamila. Itupun kalau you masih mahu I menganggap you sebagai kawan. Dan tolong hormati permintaan I ni… I tak mahu perbuatan you akan merosakkan nama baik I dengan jiran-jiran I. Keluarlah bila keadaan dah sunyi sikit, semasa semua orang dah bertolak ke tempat kerja.”
Imran tidak menunggu jawapan Irma Zamila. Dia yakin perempuan itu memahaminya. Imran menutup pintu dan terus menghala ke kereta. Tidak lama kemudian dia memandu pergi meninggalkan kawasan rumahnya.
Imran menemukan secebis kertas yang ditinggalkan Irma Zamila di atas meja kopi semasa dia pulang dari kerja petang itu. Irma Zamila mengucapkan terima kasih kerana membenarkan dia bermalam di situ. Dia juga memohon kemaafan daripada Imran dan berjanji akan bersikap jujur demi sebuah persahabatan ikhlas antara mereka.
Imran senyum sendiri. Sebenarnya dia tidak pun mengharapkan apa-apa daripada Irma Zamila. Biarlah perempuan itu berlalu pergi dari hidupnya buat selama-lamanya. Tiada apa yang perlu dia pertahankan. Setelah dia tahu segalanya, dia merasakan dia tidak berminat lagi dengan Irma Zamila. Apalagi seorang wanita yang masih lagi menjadi isteri orang.
Dia masih muda. Usianya tahun ini baru mencecah 28 tahun. Justeru itu dia tidak perlu terburu-buru untuk mencari kekasih. Dia sedikit serik, bimbang bertemu wanita seperti Irma Zamila lagi. Mujur dia tidak terlibat lebih jauh dengan Irma Zamila. Mujur dia belum menyerahkan hatinya. Jika tidak pasti dia akan terluka menelan kenyataan. Barangkali dia perlu menyerahkan soal jodoh kepada ibunya…
Ciri-ciri wanita bagaimanakah yang diingininya? Dia sendiri tidak pernah terfikir. Dia memerhati sekeliling ruang tamu rumah yang sepi. Ya… tiba-tiba dia merasakan dia perlukan seseorang di rumah itu. Tiba-tiba rasa ingin berbual dan bergembira mengetuk pintu hati. Sudah lama dia hidup bersendirian. Barangkali sudah tiba masanya dia mencari teman serumah.
Imran tidak menunggu lama untuk merealisasikan hasrat yang baru tersemat di hati. Baru semalam dia menampalkan satu iklan di seven eleven, hari ini dia menerima panggilan telefon yang bertalu-talu. Imran terpaksa menetapkan satu hari yang sesuai untuk bersemuka dengan bakal ‘teman serumahnya’.
Hari Sabtu adalah hari yang sesuai. Dia tidak bekerja. Justeru pagi-pagi lagi dia sudah membuka pintu, menanti beberapa orang anak muda yang menghubunginya bertanya tentang bilik yang ingin disewa. Hari itu Imran akan bertemu dengan lima orang anak muda. Dia telah mengatur waktu yang berlainan agar mereka semua tidak bertembung.
Lewat petang Imran masih belum membuat keputusan apakah dia akan menerima empat orang anak muda yang datang pagi tadi. Dia masih menunggu seorang lagi calon. Wah! Macam nak temuduga kerja pula… bisik hati Imran.
Tepat jam lima seorang anak muda datang, dengan sebuah motorsikal honda lantas berhenti di hadapan pagar rumahnya. Anak muda itu berjalan ke arah pintu yang terbuka luas lantas terus memberi salam.
Imran mempersilakan dia masuk. Nama anak muda itu Adie. Wajahnya kacak, tinggi lampai dan berkulit cerah. Umurnya masih muda dalam lingkungan 23 tahun.
“Kerja apa?” Imran bertanya.
“Model.” Jawab Adie sambil tersenyum mesra. Terserlah lesung pipi di pipi kirinya. Wajahnya memang manis, ramah dan mudah mesra.
Waduh! Imran agak terperanjat. Tidak sangka langsung! Adie tergelak kecil melihat wajah Imran yang terperanjat.
“Model sambilan aje bang. Muka pun hanya beberapa kali masuk majalah. Tapi saya sebenarnya bekerja sebagai pembantu khidmat pelanggan di sebuah syarikat courier. Gaji kecil bang kenalah cari alternatif lain untuk tambah pendapatan.” Kata Adie menerangkan satu persatu hal peribadinya.
“Rumah abang ni dekat dengan pejabat saya… Juga dekat dengan agensi modelling saya tu. Lagipun saya jenis orang yang tak suka makan di luar. Sebab itulah saya perlukan rumah yang ada dapur.” Terang Adie lagi. Menurutnya lagi kini dia tinggal bersama kawan-kawan. Dapur mereka tidak pernah berasap. Semua pakat makan dan minum di luar sahaja. Memang parah! Belum cukup bulan duit dah licin…
Imran mengangguk. Antara mereka seolah-olah ada persamaan. Imran pun jenis manusia pembersih, yang tidak begitu suka makan di luar. Dia lebih gemar makan dengan memasak sendiri. Sejak kecil dididik supaya makan di rumah.
“Okey. Abang setuju untuk ambil kamu duduk di rumah ni. Ada dua bilik kosong. Satu di atas satu di bawah. Kau pilihlah nak duduk di mana.” Kata Imran. “Tapi bilik di bawah kecil sikit dari bilik atas.” Kata Imran sambil mengajak Adie melihat bilik dan layout rumah teres dua tingkat itu.
Adie memilih bilik atas, terletak bersebelahan dengan bilik Imran. Selama ini Imran menjadi bilik itu bilik salat dan perpustakaan. Jadi esok dia akan memindahkan buku-bukunya ke bilik bawah, menjadikan bilik bersebelahan ruang tamu sebagai perpustakaan pula.
“Banyak barang kamu?” Dia bertanya.
“Ada katil, tilam dan almari plastik.” Kata Adie tergelak kecil. “Itu sajalah yang mampu buat masa ni!”
Imran tersenyum. “Bila kau dah pindah ke sini, dah jadi penghuni rumah ni automatically kau boleh guna semua barang-barang elektrik yang ada. Ada satu saja syarat yang perlu yang kau patuhi. Jaga kebersihan.”
“Okey, bang.” Jawab Adie girang. Dia berjanji akan pindah pada hari esok.
Imran rasa senang. Dia sukakan Adie. Anak muda itu nampak sopan. Katanya baru enam bulan datang ke ibukota setelah mendapat kerja. Rumah yang sedang dihuni bersama-sama kawan sekampung terlalu jauh dari tempat kerja. Hidup di ibukota perlu berjimat cermat.
Imran yakin Adie tidak akan membawa masalah kepadanya. Dia juga yakin Irma Zamila akan segan untuk datang ke rumahnya lagi apabila dia tahu kini Imran punya rakan serumah.


Bab 13

DARI berenda rumah Mak Lang yang luas lagi kosong, aku memandang jauh. Jalan kecil di hadapan rumah walaupun kerap kali dilalui kereta tetapi tiada kereta yang memasuki halaman. Sudah tiga Abang Imran tidak pulang. Penghujung April yang membosankan itu, aku sudah malas menulis catatan lagi. Aku jadi bosan pada segalanya. Mengingati detik yang kian mendekat, aku semakin gundah gulana.
Tubuhku telah susut beberapa kilogram. Selera makanku benar-benar hilang. Aku tidak lalu untuk makan seperti suatu masa dulu. Pantang jumpa nasi lemak dan sambal sotong masakan Kak Sabita. Sekarang, kalau aku disuakan dengan rendang daging dan pulut kuning, lagilah aku rasa nak termuntah. Bukan kerana masakan Kak Sabita tidak sesedap dulu. Tubuhku yang sebenarnya sedang menolak makanan.
Sepanjang hari di kamarku yang pengap, aku hampir-hampir jadi gila. Justeru itu untuk membuang sedikit rasa bosan yang menerjah hati, kubawa diri bermenung-menung di berenda petang ini. Bunga-bunga kertas pelbagai warna, tidak berseri lagi. Semuanya sudah gugur berselerakan ke tanah. Daun-daun pokok bunga itu juga meninggalkan batang dan ranting-rantingnya yang togel.
Hidupku persis bunga itu, sudah hilang keindahan dan serinya. Abang Imran sibuk dengan Irma Zamila, tiada masa untuk pulang ataupun menelefon. Aku pula tidak pernah menghubungi dia setelah aku mendengar suara Irma Zamila yang marah-marah kerana aku yang membatu diri. Apakah dia tahu panggilan itu datangnya dariku?
Entahlah. Manalah aku dapat meneka dan menebak hatinya. Barangkali juga dia dapat mengagak. Mungkin daya instincnya begitu kuat? Ahhh… Pedulikanlah perempuan yang satu itu. Aku pun muak hendak mengingati wajahnya yang manis manja. Aku bukan cemburu dengan sekian banyak kelebihan yang ada padanya. Sedangkan Tuhan juga menganugerahkan aku banyak kelebihan. Cuma aku yang tidak bersyukur…
Benarkah aku manusia yang tidak bersyukur? Tanya hatiku sambil memerhati tapak tanganku yang putih kemerahan. Kulitku putih bersih dan mulus. Apalagi yang aku tidak puas hati pada anugerah yang diberi Tuhan. Aku diberi wajah yang sempurna tiada cacat cela. Mengapa aku masih lagi merungut, merasa tidak puas hati dengan hidup ini? Aku punya tempat berlindung, rumah yang besar dan selesa. Walaupun sesekali aku merasa aku hidup menumpang, tetapi hakikatnya Mak Lang, Pak Lang dan Kak Sabita adalah saudaraku, keluargaku yang paling rapat.
Dalam darah Mak Lang, mengalir darah yang sama. Justeru itu untuk apa aku merasa terpinggir?
Aku memerhati ke halaman dan terlihat Mak Lang baru pulang dengan kereta datsun tuanya. Petang itu dia pergi ke bandar. Entah atas urusan apa. Aku jarang bertanya, melainkan dia memberitahu arah dan tujuannya. Mak Lang melambai ke arahku apabila melihat aku ada di berenda.
“Fiqah! Tolong angkat barang, banyak ni…” Seru Mak Lang.
Memang banyak barang yang Mak Lang beli tidak dapat dinafikan. Aku pun tidak tahu mengapa begitu banyak barang yang diborongnya. Ada jualan murahkah? Sempat hatiku bertanya.
“Malam Jumaat ni nak panggil orang bermesyuarat.”
“Mesyuarat apa?” Tanyaku seperti orang bodoh.
“Laaa… Mesyuarat berbahagi tugas pada majlis pernikahan kau nantilah. Mak Lang panggil orang kampung bergotong royong memasak dan membuat bangsal. Tinggal dua minggu aje lagi kau akan kahwin Fiqah! Kau ni mengigau ke?”
“Ohhh…” Aku mengangguk lambat. Tidak lagi menyoal apa-apa. Semua barang-barang yang banyak berlonggok-longgok di dalam beg plastik kubawa satu persatu ke dapur. Semuanya diletakkan di satu sudut, atas arahan Mak Lang tentunya.
Kak Sabita ada di dapur. Dia memerhati sahaja tanpa suara. Dia sibuk mengemas dan mencuci piring dan gelas. Walaupun hanya dua tiga biji gelas yang kotor dia pura-pura sibuk.
“Ita! Kau jangan nak lari-lari lagi macam dulu. Masa hari kahwin Fiqah nanti mak perlukan kau. Siapa yang akan masak lauk pauk pengantin kalau bukan engkau.” Kata Mak Lang agak keras sambil memandang tepat ke muka Kak Sabita. Aku turut memandang Kak Sabita. Aku rasa simpati padanya. Kalau boleh aku mahu Mak Lang bercakap lemah lembut dengannya bukan memaksa. Kasihan dia.
Kak Sabita diam sahaja.
“Jangan nak membisu seribu bahasa gitu. Kau sanggup masak lauk pengantin tu? Jangan sampai kau lari, lepas tu tak orang lain yang boleh diharap.”
“Entahlah mak…” Jawab Kak Sabita akhirnya.
“Kenapa entah? Engkau jangan buat hal macam-macam.”
“Mak carilah orang lain. Bukan Ita sorang yang pandai masak.”
“Haaa… Nak lari lagilah tu!” Tuduh Mak Lang tanpa simpati.
Hatiku tertanya-tanya. Mengapa Mak Lang bersikap kian keras dan ‘kejam’ pada Kak Sabita. Apakah kerana Kak Sabita memalukan Mak Lang? Sebagai anak sulungku Kak Sabita menyumbang terlalu banyak waktu dan tenaganya dalam keluarga ini. Demi kesejahteraan keluarga Mak Lang. Sejak dulu dia menjadi ‘tukang masak’ tidak bergaji. Dia setia di dapur, melainkan hari pertunanganku dulu.
Dan aku merasakan Kak Sabita patut diberikan kebebasan. Aku mengerti hatinya. Dia akan lebih tertekan apabila berdepan orang ramai. Mereka tertanya-tanya mengapa Kak Sabita belum bertemu jodoh dalam usia yang demikian lewat. Siapa yang naksir padanya, anak dara tua yang sudah berusia 35 tahun. Sedihnya… Bisik hatiku. Kalau aku jadi kak Sabita, aku pun tidak akan tertangiskan nasib diriku yang malang.
Kak Sabita diam. Dia bergerak laju menghala ke bilik tidur, daun pintu dihempasnya dengan kuat. Mak Lang merungut-rungut; “Melawan orang tua!” Katanya berulang-ulang kali.
Walaupun baru pulang Mak Lang keluar semula selepas itu. Sejam kemudian dia balik bersama beberapa orang lelaki. Suara mereka berbual di luar rumah kedengaran riuh. Mereka sedang berbincang tentang sesuatu. Aku memasang telinga. Dan aku mendapati Mak Lang sedang merancang hendak mengecat seluruh rumah.
Aku mulai rasa tidak senang hati. Persiapan menghadapi perkahwinanku terasa kian dekat dan dekat. Ditambah lagi dengan pertengkaran dan perbalahan yang baru tercetus antara Mak Lang dan Kak Sabita. Semuanya disebabkan aku….
Kalau aku tak keluar pada petang itu… Kalau Datin Mahani tidak melihatku tentu Kak Sabita lah yang akan jadi menantu mereka. Dan Kak Sabita tidak akan mengalami tekanan demi tekanan sehingga dia membenciku. Hatiku berbaur dengan seribu satu macam rasa. Dan aku pun bergerak masuk ke kamarku, lantas menghamburkan airmata di atas bantal.
Di saat-saat begini aku teringatkan Abang Imran. Aku perlukan dia untuk memberikanku sedikit kata-kata perangsang. Hatiku sarat dengan rindu, ingin mendengar suaranya berbicara. Lantas perlahan-lahan ku capai telefon bimbit dan mulai mendail nombor telefon rumahnya. Namun belum sempat telefon itu diangkat aku telah mematikan panggilan. Aku amat aku takut sekiranya panggilan itu dijawab oleh Irma Zamila. Aku akan dimarahi lagi kerana aku hanya akan membisu…
Namun rasa rindu yang meledak-ledak di jiwaku membuat aku menekan lagi nombor lantas menunggu dalam debar yang tidak berkesudahan. Hingga akhirnya panggilan itu dijawab oleh suara lelaki yang amat kurindui. Kedengaran suara Abang Imran girang tatkala mendengar suaraku yang lemah masih dibauri tangisan.
“Kenapa dik? Sedih aje…”
“Mak Lang bergaduh dengan Kak Ita.” Kataku tanpa berselindung. “Semuanya kerana saya.”
“Apa maksud adik?”
Aku lalu menceritakan apa yang menjadi punca kemarahan dan penyebab Mak Lang memaksa Kak Sabita sebentar tadi. Abang Imran diam beberapa ketika kemudian melepaskan keluhan. Tiada kata-kata yang terbit dari bibirnya. Aku lantas bertanya; “Mengapa abang dah lama tak balik kampung?”
“Oh, sekarang ni sibuk sangat. Ada projek baru. Abang kena bangunkan sistem baru untuk pelanggan. Sampai tak ada masa nak makan tengahari. Kadang-kadang balik pun dah tengah malam.” Terang Abang Imran panjang lebar. “Badan pun dah susut sikit, sebab kurang makan.”
Samalah denganku…bisikku sendiri. Aku pun kurus bukan kerana diet. Tapi kerana memikirkan nasib diriku yang tidak ketentuan hala tujunya. Telingaku terdengar suara sayup-sayup dari kejauhan. Ada orang lain di rumah Abang Imran saat itu. Mulalah aku berfikir yang bukan-bukan. Entah-entah Abang Imran sedang ditemani Irma Zamila kala ini. Dia hanya memberi alasan sibuk, tapi sebenarnya sibuk meladeni wanita muda itu.
“Macam ramai orang di rumah abang…” Aku bertanya penuh hemat. “Siapa dia?”
“Hmm, abang dah dapat housemate. Dah 3 bulan dia tinggal di sini.”
“Betul ke? Saya dengar macam suara perempuan aje!” Kataku sengaja hendak menduga.
“Hei! Mana ada perempuan. Tak percaya nanti abang panggil dia supaya dia bercakap dengan adik. Tapi janji dulu, jangan cakap yang bukan-bukan pada Mak Lang. Terutama sekali cerita mengarut yang abang bawa perempuan masuk ke rumah.” Kata Abang Imran.
Hisy! Mengarut apa? Kan dulu tu abang pernah bawa Kak Irma? Abang ingat saya tak tahu? Kataku cuma di dalam hati sahaja. Mana aku berani menuduh abang Imranku begitu. Ku tahu juga Abang Imran takkan mengaku.
“Yalah, kalau saya cerita pada Mak Lang abang ada girlfriend, mesti Mak Lang percaya.”
“Jangan merepeklah adik.” Pinta Abang Imran bersungguh-sungguh. “Abang bukan jenis lelaki yang pandai cari girlfriend. Jodoh abang nanti biar mak tentukan. Itu lebih baik daripada abang cari sendiri…”
Aku terdiam mendengar kata-kata Abang Imran. Apakah maksud di sebalik kata-katanya itu. Apakah benar dia tidak punya apa-apa hubungan dengan Irma Zamila. Ah! Lelaki begitu pandai memutar lidah membelitkan kata…
“Tunang adik ada call adik tak?” Tiba-tiba Abang Imran bertanya tentang Faruk.
Ya Allah. Apa yang hendak aku jawab? Tidak pernah sekali pun Faruk menghubungiku. Wajahnya pun aku ingat-ingat lupa. Dia pernah datang pada hari kononnya Datin Mahani hendak berkenalan dan merisik Kak Sabita. Tiba-tiba semuanya tak menjadi. Risikan itu beralih kepadaku. Aduh, pening kepalaku mengingati kejadian itu. Bertambah pening dua minggu lagi aku akan bernikah dengannya.
Datin Mahani ada beberapa kali menghubungiku. Kutahu dia kerap kali menelefon untuk bercakap dengan Mak Lang. Mereka kan kawan lama dan juga mengaku masih punya talian persaudaraan.
“Bang…” Bisikku menahan tangis. “Saya tak mahu kahwin. Saya tak mahu kahwin dengan dia. Sampai bila-bila pun saya tak mahu dimiliki.”
“Adik, mengapa cakap macam tu?”
Aku mulai menangis lagi teresak-esak. Puas Abang Imran memujuk. Akhirnya dia berjanji akan pulang pada hari esok semata-mata untuk membuat aku rasa tenang. Tapi aku menghalang. Kenapa dia harus balik dengan meninggalkan pekerjaan yang penting untuk masa depannya. Aku ni bukan siapa-siapa, bukan penting kepadanya. Dia tidak perlu susahkan diri. Dia tidak perlu terlalu prihatin. Aku rasa bersalah. Aku telah buat dia rasa tidak senang. Perangaiku sungguh kebudak-budakan walaupun tak lama lagi akan menjadi seorang isteri.
“Maafkan saya bang… Saya tak dapat kawal perasaan saya sendiri.” Ujarku kemudian.
Abang Imran menjawab; “Adik… Tabahkan hatimu, sayang. Dengarlah kata-kata abang ni. Jalan menuju kebahagian itu tidak ditaburi dengan bunga mawar yang harum melainkan penuh onak dan ranjau berduri. Hari ini adik menangis, tetapi suatu hari nanti adik akan ketawa gembira… selama-lamanya.”
Kata-kata Abang Imran berjaya mengeringkan airmataku. Malam itu ketika berbaring di atas katilku, memandang lelangit kamar yang sudah ditelan kegelapan aku mengenang kembali pada kata-kata Abang Imran. Aku tersenyum sendiri, penuh harapan. Harapan sama seperti kepercayaan. Ia tidak bererti sekiranya tidak melibatkan ketabahan, tidak bererti sekiranya tidak bersifat mustahil.

Bab 14


PAGI Jumaat yang cerah, rumah Mak Lang mulai hidup dan bising. Keluarga Abang Yahya, Abang Yusof dan Kak Teh Nora baru tiba di ibubapa mereka. Tidak lama kemudian keluarga Kak Adibah pula menyusul. Suara anak-anak mereka riuh berlarian di halaman. Anak-anak itu gembira bermain di bawah bangsal yang baru didirikan semalam.
Di dapur suasana juga tidak kalah dengan di luar rumah. Beberapa orang jiran terdekat sedang membuat pelbagai kerja. Ada yang sedang memesin kelapa untuk membuat kerisik, ada yang membersihkan pinggan mangkuk yang baru dikeluarkan oleh Mak Lang daripada almari. Semua orang sibuk dan suara riuh membumbung tinggi memenuhi rumah.
Tiga hari lagi perkahwinanku. Aku tidak kuasa menghitung. Pagi ini aku ‘diperintah’ oleh Mak Lang supaya mandi lulur. Mak Simah yang juga Mak Andam (kawan baik Mak Lang tentunya) datang untuk melulur badanku. Aku terpaksa merelakan semuanya biarpun hatiku enggan.
“Kulit kau ni dah memang halus mulus… “ Kata Mak Simah. “Kalau tak dilulur pun tak mengapa. Tapi lulur ni juga untuk kebersihan dalaman.” Bisik wanita itu sambil memberitahu bahawa aku juga dikehendaki minum jamu.
“Pahit…” Kataku sepatah menunjukkan muka kelat.
“Tapi baik untuk orang perempuan. Kau tengok Mak cik ni dah tua tapi masih cergas. Sebab Makcik amalkan makan jamu sejak umur sebaya engkau ni lagi.”
Aku diam sahaja. Tidak perlu aku memberikan apa-apa komen.
“Tengok badan makcik ni… Walau pun anak sembilan orang tapi tubuh badan tak banyak beza dengan masa anak dara dulu, kau percaya tak?”
Aku mengangguk. Kalau dia bohong sekali pun apa aku peduli. Aku tidak kenal dia. Inilah pertama kali dan mungkin terakhir kali bertemu.
“Kau ni beruntung. Makcik dengar kau akan jadi menantu orang kaya…”
Mukaku jadi bertambah kelat dan masam. Aku tidak suka mendengar apa yang dituturkannya itu. Di manakah beruntungnya nasib bila aku tak suka dan tidak pernah cintakan bakal suamiku. Entah apa yang bakal terjadi nanti!
Tiga hari lagi… Gumam hatiku. Kutahu tiga hari ini bakal menjadi hari-hari yang sibuk dan aku tidak akan punya kesempatan untuk bersendiri. Kesibukan kian terasa setiap detik. Dan aku tidak mungkin dapat melarikan diri ke mana-mana.
Kutahu, Kak Sabita telah pergi sekali lagi tanpa pengetahuan Mak Lang. Dia hilang begitu sahaja dua hari lepas. Mak Lang sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Dia telah memanggil tukang masak yang lain yang sanggup memasak apa saja kehendak Mak Lang. Aku tertanya-tanya ke manakah Kak Sabita pergi. Kuharap dia akan bertemu dengan apa yang dicari. Dan kuharap juga dia akan pulang sebaik sahaja aku meninggalkan rumah ini bersama suamiku…
Aku sebenarnya menunggu kepulangan Abang Imran. Dari pagi hingga ke petang Abang Imran belum jua pulang. Dan akhirnya maghrib itu ketika semua ahli rumah ini baru selesai mengerjakan salat berjemaah di ruang tamu, kudengar orang memberi salam. Akhirnya Abang Imran pulang..
Saudara mara Mak Lang dan Pak Lang semakin ramai datang dari jauh dan dekat. Aku disuruh Mak Lang berpindah ke bilik tidur berdekatan rumah tamu. Sudah menjadi satu ‘tradisi’ di rumah itu, bilik hadapan yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu, dijadikan bilik pengantin bagi semua anak-anak Mak Lang yang sudah berkahwin. Kamar itu lebih luas, mempunyai banyak tingkap. Kamar itu sudah indah dihiasi. Semuanya serba baru dari langsir, cadar dan karpet.
Hatiku tambah sedih terpaksa meninggalkan kamar kecilku yang telah aku huni sekian tahun. Terpaksa meninggalkan barang-barang kesayanganku. Dan buat pertama kalinya aku harus tidur di kamar ‘istimewa’ ini. Tak sangka, akhirnya aku juga akan bernikah dan melalui kehidupan seorang isteri sebelum hatiku benar-benar bersedia untuk menempuhinya.
Setiap detik-detik yang beranjak ke hadapan, kurasakan semuanya seperti sebuah mimpi ngeri. Dan akhirnya hari ‘keramat’ itu tiba jua. Paluan kompang terdengar dari jauh, semakin lama semakin dekat. Kalau setiap bakal pengantin merasakan debar dan getar gembira tapi aku sebaliknya. Kegelisahan dan kekalutan telah menjadi teman paling setia. Airmata usah diceritakan lagi. Namun kutahan ianya dari menitis… Biarlah kusimpan airmataku dan tangisan cuma di dalam hati.
Saat aku mahu melangkah keluar dari kamar pengantin, diarak menuju ke pelamin aku terpandang wajah Abang Imran yang ada di muka pintu. Entah mengapa kali ini kulihat wajah Abang Imran lain daripada biasa. Pandangan matanya begitu sayu. Ada kepiluan dan kesedihan di wajahnya. Buat pertama kalinya kurasakan saat itu kami berkongksi perasaan yang sama, kami sedang menangis di dalam hati masing-masing.
Mengapa aku rasakan perasaan itu tiba-tiba menyentuh tangkai hatiku? Mengapa aku merasakan ada perkongsian antara aku dan Abang Imran. Aku tertunduk lesu. Beberapa saat menarik nafas, berharap aku tidak akan merosakkan majlis yang sedang meriah. Dan saat mataku sekali lagi mencari wajah Abang Imran, ternyata dia sudah tiada lagi di ambang pintu.
Hanya Tuhan yang tahu hatiku. Apabila hati terlalu pedih dan sedih, airmata enggan berhamburan lagi di pipi. Tangisan di dalam dada ternyata lebih hebat daripada airmata yang bercucuran. Aku tidak dapat tidur sepanjang malam biarpun Faruk di sisiku sudah lama berdengkur keras. Akhirnya aku bangun perlahan-lahan, keluar dari kamar pengantin yang indah itu. Aku terhendap-hendap mahu masuk ke kamarku sendiri. Aku rindu bantal dan tilam yang telah lama mengulit tidurku.
“Kau buat tu?” Teguran Mak Lang benar-benar buat aku terkejut. Saat itu tanganku sedang menolak daun pintu kamar tidurku yang bertutup rapat.
“Nak… Nak ambil barang dalam bilik ni…”
Mak Lang mengangguk sahaja. Tapi aku yakin matanya sedang mengawasi biarpun dia berjalan masuk ke dalam bilik tidurnya selepas itu. Aku masuk ke kamarku. Terkejut melihat keadaan bilik yang bersepah-sepah seperti tongkang pecah. Bilik itu tiada rupa bilik tidur lagi melainkan tak ubah seperti stor. Banyak barang-barang, kain baju dan beg pakaian. Di atas katilku ada orang tidur. Hmmm… Aku menggelengkan kepala. Memang aku tiada tempat lagi di sini.
Aku masuk semula ke kamar pengantin. Hatiku jadi kosong dan hampa. Kuperhati Faruk yang terus tertidur dengan nyenyak. Aku duduk di atas sofa bersayap yang terletak dihujung katil, memerhati lelaki yang baru menikahi siang tadi.Aku tak mengerti langsung perasaanku padanya. Tiada rasa benci padanya… Tiada sebarang rasa yang dapatku terjemahkan.
Aku memejamkan mata, berharap untuk terlelap beberapa jam sebelum menjelangnya subuh.
Suara azan terdengar begitu dekat. Rupa-rupanya Abang Imran melaungkan azan di ruang tamu. Semua orang telah pun bangun. Perlahan-lahan aku menurunkan kakiku ke lantai. Lampu memang terpasang sepanjang malam. Dan mataku terarah ke katil, di mana Faruk masih terus berselimut. Kusentuh hujung kakinya, meminta dia bangun untuk bersalat subuh. Tapi dia langsung tidak bangun sehingga selesai salat subuh berjemaah di ruang depan.
Pagi Isnin itu ramai saudara mara yang akan beransur pulang. Akhirnya hanya tinggal anak-anak Mak Lang sahaja. Esok semua akan berangkat ke Kuala Lumpur. Ada majlis menjemput menantu. Kudengar Faruk memberitahu Mak Lang semalam majlis akan dibuat di sebuah hotel. Hatiku pedih mendengarkannya. Faruk tidak memberitahuku apa-apa. Sehingga saat ini kami sebenarnya masih belum bercakap apa-apa…
Datin Mahani dan Datuk Mokhtar datang pada hari Selasa bersama ahli keluarganya yang lain. Kedatangan mereka adalah untuk membawaku pergi. Faruk gembira menyambut kedatangan keluarganya. Datin Mahani terus mencariku di kamar. Tubuhku dipeluk dan diciuminya dengan mesra. Aku memaksa diri tersenyum menghadapi ibu mertuaku. Apa boleh buat aku terpaksa hidup dalam kepura-puraan.
Hatiku sedih sekali. Selama ini di rumah Mak Lang, sekurang-kurangnya aku masih boleh menjadi diri sendiri, tidak perlu berpura-pura. Kini aku merasakan aku bukan lagi Julia Afiqah yang dulu. Aku telah menjadi orang lain yang aku sendiri kadang-kadang tidak kenal.
Aku masuk ke kamar Pak Lang untuk mengucapkan selamat tinggal padanya. Kusalami tangan dingin Pak Lang, lantas menciuminya agak lama. Airmataku hangat menimpa tangannya. Dia mengusap kepalaku yang dibaluti tudung sambil berkata dengan lembut. Biarpun Pak Lang jarang bercakap tetapi sesekali dia bersuara, kata-katanya menusuk jantungku; “Fiqah. Semoga kau selamat dan rumahtanggamu berkah. Ingatlah pesan Pak Lang. Kau menggenggam maruah keluarga suamimu. Jagalah ia jangan sampai ada rahsia yang terburai. Rahsia rumahtanggamu harus kau simpan sebaik-baiknya. Jangan sesekali ada aib yang akan menimpa suami dan keluarganya. Jangan sesekali engkar pada perintah suami, sebab syurga kau sekarang ni berada di telapak kakinya…”
Aku menangis mendengar kata-kata Pak Lang. Aku terduduk di hujung kakinya beberapa ketika, sebelum menciumi lututnya kiri dan kanan. Aku berlalu keluar dari kamar dengan airmata yang lebat di pipi. Hampir-hampir aku berlanggar dengan Abang Imran yang rupa-rupanya ada di luar kamar Pak Lang.
“Dik… Kenapa dik?” Tanya Abang Imran, sambil menyentuh sedikit bahuku. Kami berdiri berhadapan. Lututku benar-benar lemah. Ingin rasanya aku meletakkan kepalaku di dadanya, berada dalam dakapannya. Tapi semua itu tidak mampu kulakukan. Biarpun jarak kami begitu dekat tapi hakikatnya ada benteng yang memisahkan. Benteng yang tidak mungkin dapat kuruntuhkan sampai bila-bila.
Dari jauh ada mata yang mengawasiku. Aku sedar hal itu. Faruk melihat setiap gerak laku. Dan aku tidak dapat membalas pun kata-kata Abang Imran.
Keraian telah pun berakhir. Semua sudah kembali kepada keadaan asal. Aku dan Faruk berada di kamar besar lagi indah di rumah Datin Mahani. Baru kutahu Faruk tidak punya ramai adik beradik, hanya tiga orang. Dua orang kakaknya sudah berkahwin. Salah seorang menetap di luar negara. Rumah banglo Datin Mahani sunyi sepi. Datuk Mokhtar sudah lama ke pejabat. Begitu juga dengan Faruk yang bangun begitu awal, langsung menghilangkan diri. Selepas salat subuh aku tertidur di atas sejadah. Selama hampir seminggu aku tidak dapat tidur dan kini rasa mengantuk menyerangku pada waktu-waktu yang tidak sepatutnya.
Aku terjaga pada jam tujuh pagi, mendapati tiada lagi jejak Faruk di kamar itu. Dia telah keluar. Semua orang tiada di rumah kala itu. Aku terpegun berdiri di tengah-tengah ruang tamu yang dipenuhi perabot tetapi tiada seorang manusia pun!
Aku bergerak lambat menghala ke bahagian dapur yang terletak di bahagian banglo itu. Kudengar suara orang berbual. Dua orang pembantu rumah sedang berbual sampai membuat kerja. Mereka terkejut melihat aku muncul di hadapanku.
“Cik, Cik nak sarapan?” Salah seorang yang lebih tua bertanya. Kemudian dia memperkenalkan diri sebagai Kak Lijah dan temannya Azimah.
Aku menggeleng lembut, lantas bertanya ke mana semua orang pergi.
“Macamana ni biasanya setiap hari Cik. Datuk keluar ke pejabat. Macam tu juga dengan Encik Faruk. Datin juga keluar… Tak ada sesiapa pun yang makan pagi di rumah.”
Aku mengangguk.
“Kalau cik nak makan, biar saya sediakan.” Balas Azimah sambil tersenyum.
“Tak apalah. Biar saya buat sendiri. Di mana gula dan teh?” Tanyaku sambil memerhati ke arah kabinet dapur yang cantik dan kemas. Tiada langsung barang-barang yang berselerak.
“Tak apa… Tak apa! Biar saya buat.” Bantah Azimah sambil bergerak membuka kabinet untuk mengambil tehe dan gula. Aku duduk di meja berusi empat yang ada di ruang dapur, sambil memerhati Kak Lijah yang sedang membersihkan ikan dan udang. Ada longgokan sayur di sisinya. Mungkin dia baru balik dari pasar pagi itu.
“Cik suka manis atau kurang manis?” Tanya Azimah sambi menoleh padaku.
“Janganlah panggil cik. Panggil saya Afiqah saja.” Balasku sambil tersenyum mesra.
Azimah dan Kak Lijah sama-sama membalas senyumanku. Kini mereka tidak lagi berbual seperti tadi sebaliknya sibuk dengan kerja. Azimah mengambil dulang berisi air, diletakkannya juga beberapa keping roti yang sudah disapu mentega dan jem. Dia ingin membawa dulang itu ke ruang makan di luar.
“Saya minum di sini saja…” Pintaku perlahan. Sekurang-kurangnya aku boleh berbual-bual dengan mereka. Taklah aku rasa bosan sangat.
“Jangan cik. Minum di luar. Kalau Datin tahu cik minum di sini, nanti kami yang kena marah.” Kata Azimah jelas dia nampak takut.
Aku menggelengkan kepala. Ada-ada saja… Rupa-rupanya di rumah ini segalanya ada peraturan tersendiri. Aku pun tidak dapat membantah apabila Azimah terus membawa dulang ke ruang makan. Aku terpaksa mengikut. Lalu aku duduk sendirian di meja yang besar, menghadapi dulang sarapan pagiku yang langsung tidak membangkitkan selera.
Aku meneguk teh perlahan-lahan. Kemudian kuambil sekeping roti dengan susah payah kukunyah dan kutelan perlahan-lahan. Langsung seleraku tiada, sekadar untuk mengisi perut yang kosong. Beberapa titis airmataku gugur di pipi. Selama ini tidak pernah aku menangis di hadapan rezeki. Tapi mengapa pagi ini hatiku pedih?
Apa yang harus aku lakukan di rumah besar yang sepi ini? Biarpun ada orang lain di sini, tetapi aku sebenarnya terasing dan terpinggir. Bagaimanakah aku harus hidup sehari lagi di rumah ini, tanpa manusia-manusia yang sudah sekian lama bersamaku, terutama sekali Abang Imran. Saat ini aku teringatkan suasana di rumah Mak Lang dan nasi lemak sambal sotong masakan Kak Sabita. Aku menghela nafas dalam-dalam.
Jika hidup sentiasa gembira, hati akan bosan. Jika hidup sentiasa derita hati akan rawan. Demikianlah kata pujangga. Tetapi kurasakan hidupku akan sentiasa berada di dalam penderitaan walaupun di mana aku berada…
Bab 15

LATIPAH cuba untuk menumpukan seluruh perhatian pada kerja yang ada di hadapannya. Meja itu dipenuhi dengan bil-bil yang perlu dia lunaskan. Di situ juga terdapat sebungkal wang kertas yang hanya diikat dengan getah gelang. Wang itu belum dikira. Pagi tadi Pak Mail baru menyerahkan wang kepadanya. Wang hasil jualan kelapa untuk bulan itu. Juga wang hasil kutipan sewa rumahnya yang ada di Taman Makmur.
Pak Mail memang orang suruhannya yang boleh diharap. Biarpun terkadang Latipah tidak puas hati dengan kerja Pak Mail, tetapi dalam soal duit lelaki itu jujur. Latipah tahu, Pak Mail takut hendak menyeleweng. Walaupun Latipah kerap kali juga mengata-ngata di belakang lelaki itu, tetapi apabila di hadapannya Latipah menunjukkan sikap yang baik dan mesra.
Latipah memang tidak berniat hendak mencari pengganti Pak Mail. Biarlah lelaki itu bekerja dengan sampai bila-bila, selagi dia mahu. Sesekali Latipah memanjang leher melalui pintu perpustakaan yang sengaja dibuka. Dia bimbang suaminya Mansur terjerit-jerit meminta sesuatu. Sabita ada di dalam bilik. Pagi ini Sabita tidak langsung menyediakan sarapan. Latipah pun tidak memaksa. Dia hanya memberi Mansur makan roti berinti kaya.
Semalam Sabita balik. Matanya liar memerhati sekeliling dapur, mencari sisa-sisa barang atau kekotoran yang tertinggal setelah kenduri selesai. Nyata dapur berkeadaan kemas seperti sedia kala.
Periuk belanga besar sudah disimpan di stor. Begitu juga dengan pinggan mangkuk. Latipah mengerjakannya seorang diri selepas semua orang pergi. Dia perlu berbuat sesuatu, daripada duduk menghadap Mansur sepanjang hari.
Latipah membiarkan saja semua aksi Sabita, walaupun dalam hatinya ingin menempelak dan memulangkan paku buah keras. Namun bila terpandang muka Sabita yang sedih itu, Latipah membatalkan niatnya. Dia membiarkan Sabita berbuat sesuka hati setelah dia pulang.
Hati Latipah benar-benar lega. Salah satu beban yang paling berat yang terpikul di atas bahunya sudah pun terlepas. Perkahwinan Julia Afiqah telah membebaskan dirinya dari bebanan amanah dan tanggungjawab. Pun dia mengakui mudah sekali untuk membesar dan menjaga Julia Afiqah. Anak itu tidak banyak kerenah, selalu menurut kata. Dia bukan jenis remaja yang suka memberontak. Anak yang baik itu langsung tidak menyusahkan sebenarnya!
Dia senyum memandang ke arah gumpalan duit berwarna hijau dan merah yang masih belum dikira. Dia menggigit batang pen, sambil memerhati angka-angka yang tercatat di dalam buku yang sedang terbentang. Di situ juga terdapat dua buah buku akaun simpanan.
Aku mesti masukkan duit hari ni… Bisik hati Latipah. Tangannya mencapai salah sebuah buku akaun, lantas membukanya. Dia tersenyum sendiri. Jumlah yang tertulis di dalam buku itu amat menggembirakan hatinya. Belanja perkahwinan Julia Afiqah mencecah hampir sepuluh ribu. Duit itu dikumpul daripada sumbangan anak-anaknya. Ternyata Imran paling banyak menyumbangkan duit… Semuanya tercatat di dalam diari di hadapannya.
Latipah seorang yang sangat teliti. Dia mencatat setiap aliran wang keluar dan masuk. Dia mahu tahu ke mana wang sudah dihabiskan. Hasil wang hantaran Julia Afiqah masih berbaki dua ribu ringgit. Wang itu dikira hangus. Memang dia tidak menyerahkan langsung pada Julia Afiqah baki duit hantaran yang ada. Ahhh! Aku dah besarkan dia… Aku yang beri makan dia sejak umurnya lima tahun, bisik hati Latipah cuba menyakinkan diri sendiri bahawa perbuatannya tidak menyerahkan duit itu kepada Julia Afiqah adalah betul.
Sebenarnya hasil duit pemberian orang ramai semasa kenduri juga banyak terkumpul. Ada lebih kurang lima ratus ringgit. Belum lagi dikira nilai hadiah yang diberi. Masih banyak hadiah yang berbalut cantik tidak berusik dalam bilik pengantin. Nampaknya Faruk dan keluarganya seperti tidak kisah langsung pada bungkusan-bungkusan hadiah itu.
Julia Afiqah lagilah pula… Budak bodoh dan dungu tu apa yang dia tahu! Bisik hati Latipah, bibirnya terukir senyum puas. Berbaloi juga hasil penat lelahnya memelihara anak adiknya itu. Bukan itu sahaja… Semua harta peninggalan arwah ibubapa mereka jatuh ke tangannya seorang.
Memang Julia Afiqah langsung tidak tahu menahu bahawa arwah ibunya Mariam mempunyai tanah warisan daripada neneknya. Tetapi Latipah telah menukar semua nama-nama tanah dan kebun getah yang diwariskan kepada Mariam atas namanya selepas kematian adiknya itu. Nama Mariam sudah lama terpadam, bersama hilang jasadnya di muka bumi ini.
Nasib Julia Afiqah tetap beruntung dan bertuah! Bisik hatinya lagi. Aku dah carikan dia seorang lelaki kaya. Apa lagi yang dia hendak? Harta yang ada memang sudah jadi hakku, sebagai balasan di atas kesanggupan aku memelihara anak itu. Sebenarnya tanah tapak rumahnya sekarang juga, sebahagiannya adalah hak Mariam. Itu pesan ibunya sebelum pergi. Tanah tapak rumah dan kebun durian di belakang rumah di bahagi dua. Tetapi Julia Afiqah memang membesar di sini… Memang di sini tanahnya juga, walaupun tidak punya nama di dalam geran. Rumah itu terbuka untuknya… Demikian Latipah berbisik lagi dalam hatinya. Tapi selepas ini barangkali Julia Afiqah tidak akan menjejakkan kakinya lagi di rumah ini. Rumah bapa mertua jauh lebih besar dan indah. Rumah agam umpama istana. Barangkali dia sudah lupa pada rumah yang pernah dihuninya sejak kecil.
Latipah memang suka kalau Julia Afiqah tidak balik lagi. Untuk apa balik ke sini lagi? Tiada sesiapa di sini, Fiqah…. Kata Latipah di dalam hati. Aku pun tidak begitu sayangkan kau. Aku sudah tunaikan amanah adikku. Dia mahu aku memelihara engkau baik-baik, kemudian berikan jodoh yang baik juga. Semua sudah kulakukan.
Latipah mencapai gumpalan wang itu lantas mengira-ngiranya dengan berhati-hati. Puas. Dia mendapat hasil yang lumayan setiap bulan. Disisihkannya tiga ratus ringgit untuk membayar bil air dan elektrik. Bulan ini bil air dan elektrik tinggi, maklumlah lepas selesai kenduri.
Setelah selesai mengira duit dan memasukkan ke dalam beg tangan, Latipah berniat hendak keluar. Dia ke dapur mencari Sabita tapi anaknya itu tiada. Ke mana pula? Dijengah ke bilik tidur juga tak ada… ke mana pula? Hatinya tertanya-tanya. Namun saat dia melintasi kamar depan, dia terlihat dari rekahan pintu Sabita berada di dalam. Dia mengintai dan terlihat Sabita sedang mengoyakkan bungkusan hadiah perkahwinan Julia Afiqah yang berlonggok di suatu sudut.
“Hei! Engkau buat apa tu?”
Sabita tersentak. Mukanya berubah pucat. Dia terkejut melihat muka bengis emaknya yang baru terjongol di hadapan pintu.
“Kenapa engkau koyak-koyakkan pembalut hadiah tu? Kalau nak buka pun bukalah elok-elok. Lagipun mengapa engkau buka hadiah yang bukan hak engkau?”
Sabita diam. Dia bangun berdiri tegak seolah-olah hendak menentang wajah emaknya.
“Ita nak duit!” Katanya dengan suara yang tegas dan berani. Matanya tajam memandang muka Latipah.
“Dalam bungkusan tu tak ada duit…” Latipah separuh menyindir. “Nak duit kena bekerja, bukannya menyelongkar macam ni.”
Latipah memerhati seluruh ruang bilik pengantin yang masih berhias indah. Cadar katil masih belum dibuka, masih utuh sebagaimana waktu hari perkahwinan Julia Afiqah seminggu yang lalu. Saat dia memerhati ke arah almari solek, didapatinya semua laci-laci yang ada di situ terbuka. Apa yang Sabita cari? Mengapa dia menyelongkar almari solek itu?
“Ita nak mak beri bahagian Ita. Takkan harta mak yang bertimbun-timbun ni tak ada sikit pun bahagian Ita? Selama ni Ita tak pernah minta apa-apa. Ita tahu tanah ni pun sebenarnya ada bahagian Fiqah, warisan emaknya dulu. Tapi mak dah tukar semuanya atas nama mak kan?”
Latipah terkejut mendengar kata-kata anak sulungnya itu. Dia memang tersilap jika menyangka tiada sesiapa pun tahu. Mansur suaminya juga tahu akan kebenaran ini. Kini hal itu ketahuan juga oleh Sabita. Dia menyangka anak sulungnya itu tidak tahu apa-apa. Sabita anak sulung, maka dia masih ingat semasa ibu Afiqah dan neneknya hampir-hampir meninggal dulu. Semasa Mariam meninggal dunia, Sabita sudah pun berusia 22 tahun. Malah Sabita sempat menjaga Mariam sebelum wanita itu menghembus nafas terakhir.
“Selama ni Ita macam kuli, hari-hari memasak, hari-hari mengemas. Apa yang Ita dapat? Sampai bila Ita kena mengharapkan belas ehsan emak? Ita ni kuli ke atau anak mak?” Suara Sabita melengking kuat, menghamburkan semua rasa tidak puas hatinya terhadap tindak tanduk Latipah.
“Kau mengungkit Ita? Engkau kata kau tu kuli dan bukannya anak emak? Ita… Ita… engkau tahu tak apa yang engkau buat tu ada ganjaran pahalanya. Kau masak, kau membersihkan rumah setiap apa yang kau buat tu pahala. Tapi kalau dah mengungkit macam ni habislah semuanya…”
“Ita tak peduli. Ita nak bahagian Ita…” kata Sabita setengah membentak.
“Nak buat apa?” Tanya Latipah juga keras.
“Ita nak berniaga, nak buka restoran. Ita dah pakat-pakat dengan kawan. Kami dah dapat pun kedai. Sekarang ni hanya perlukan modal.”
Latipah terdiam. Rupa-rupanya selama ini Sabita menghilang diri, untuk mencari sesuatu. Dia ingin meninggalkan dunia sepinya di rumah ini. Selama ini dia merasa dirinya terkurung dan terperangkap dalam penjara yang dibina oleh ibunya sendiri. Mana masa depannya? Tiada. Biar dia runtuhkan tembok yang mengelilingnya selama ini.
“Mak beri Ita sepuluh ribu. Lepas tu Ita akan pergi dari rumah ni… Mungkin Ita takkan balik lagi.”
Kata-kata Sabita membuat Latipah tersentak. Baru saat itu dia baru tersedar bahawa Sabita memang nekad hendak meninggalkan rumah itu. Hatinya serta merta jadi pilu. Dia telah melakukan sesuatu yang melukai anaknya itu. Dan kini rajuk Sabita telah tiba di kemuncaknya. Dia tidak boleh dibiarkan terus begitu. Latipah harus memujuk dan memberikan apa yang dimahukan oleh Sabita. Dia tidak mahu tambah melukai hati anak sulungnya itu. Dia tidak mahu kehilangan anaknya…
Latipah mengangguk. “Mak boleh beri…” Kata Latipah lembut. “Jom ikut mak ke bank.”
Sabita tidak percaya emaknya boleh lembut hati begitu. Dia mengangguk. Cepat-cepat keluar dari bilik itu lantas masuk ke kamarnya sendiri untuk bersiap-siap. Tidak sampai sepuluh minit dia sudah pun siap berpakaian, mengenakan sepasang baju kurung dan bertudung ringkas.
Latipah menjenguk Mansur, memberitahu bahawa dia hendak keluar ke bank sekejap. Bimbang juga dia meninggalkan Mansur seorang diri di rumah. Tapi dia berjanji dengan suaminya itu akan segera balik.
Semasa keluar dari bilik tidur, dia melihat Sabita sedang berbual-bual dengan Pak Mail di tepi jalan. Pak Mail datang dengan lori yang baru dibeli Latipah. Apa hal pula Pak Mail ni datang? Latipah terus keluar dari rumah mendekati Sabita dan Pak Mail.
“Tak perlulah hantar. Ita keluar dengan mak.” Dia mendengar Sabita berkata. “Kami nak pergi bank.”
Dilihatnya Pak Mail mengangguk. Lelaki itu terus berjalan ke arah lori, lantas masuk. Lori terus dipandu pergi, tidak sempat Latipah bercakap dengan Pak Mail. Hati Latipah tertanya-tanya sejak bila Sabita berbaik-baik dengan Pak Mail. Selama ini tidak pernah dia melihat Sabita bercakap dengan lelaki tua yang hampir sebaya dengannya itu. Ahhh… Banyak perkara yang terlepas dari pandangan dan pengetahuan aku! Bisik hatinya. Nampaknya Sabita semakin pandai simpan rahsia.
“Mak setuju berikan Ita sepuluh ribu ringgit untuk buat modal buka restoran tu…” Kata Latipah semasa dalam perjalanan ke bank. “Tapi Ita janganlah tinggalkan rumah. Sekarang ni di rumah hanya tinggal kita anak beranak. Fiqah pun dah kahwin. Jadi mak harap kau baliklah tinggal di rumah seperti dulu.”
“Tengoklah dulu macamana. Ita belum boleh nak cakap apa-apa.” Jawab Sabita. Dia tidak mahu menghampakan ibunya. Semua hasrat dan cita-citanya tidak akan kesampaian jika dia melawan Latipah. Dia tahu kedudukannya masih tidak stabil sehinggalah dia mendapat wang modal tersebut.
“Kalau restoran tu dah dibuka nanti, Ita yang akan memasak sendiri. Buat masa ni kami takkan pakai ramai pekerja. Semuanya buat sendiri. Jadi masa tu mungkin Ita akan sibuk sikit. Tapi Ita akan balik ke rumah pada waktu malam.”
Latipah mengangguk. Dia tahu dia tidak boleh memaksa Sabita.
“Di mana restoran tu?” Tanya Latipah semasa kereta Datsun tua itu mulai merayap perlahan memasuki pusat bandar. Dari situ dapat dilihat bangunan hospital yang tinggi menjulang terletak benar-benar di tepi jalan utama.
Sabita hanya menelan airliur pahit. Bagaimana dia harus berterus terang bahawa restoran yang akan dibuka kelak bukannya terletak di Kuantan? Dia benar-benar ingin meninggalkan bandar itu, memulakan hidup di tempat lain. Tetapi Latipah tidak boleh tahu sehinggalah dia mendapat duit dari tangan emaknya.
Dia teringat segala rancangan yang sudah diatur. Rancangan itu tidak boleh gagal. Ada beberapa rancangan lain selepas restoran itu dibuka. Dia belum boleh memecahkan rahsia itu. Masih terlalu awal… bisik hati Sabita. Kalau Latipah tahu, barangkali niatnya itu tidak akan direstui. Biar dia buat satu persatu penuh hati-hati. Dia tidak boleh terburu-buru memberitahu segalanya pada Latipah. Bukan dia tidak kenal pada emaknya itu.
Latipah amat kedekut dengan anak-anak. Semua harta yang ada seolah-olah haknya seorang. Dia pura-pura sentiasa tidak berduit, padahal duit hasil jualan kelapa begitu lumayan. Apalagi harga kelapa sekarang melonjak naik. Bukan hanya duit jualan kelapa, dia juga ada kebun getah dan rumah sewa. Pendapatan bulanan Latipah banyak, mengalahkan gaji Yahya, Yusof ataupun Imran. Tapi emaknya lebih suka berkereta buruk sejak dari zaman Mansur masih mengajar dulu.
Kononnya dia ingin berjimat cermat. Tapi setiap membeli gelang dan rantai emas tidak pula dia berkira. Semua perhiasan itu tidak pula diberikan pada anak-anak perempuannya melainkan disimpan saja. Sabita sendiri tidak memakai walaupun seutas rantai dan gelang emas.
“Di Jalan Haji Abdullah Rahman.” Jawab Sabita tegas, tidak teragak-agak langsung.
Latipah mengangguk. Dia menyatakan hasrat hatinya untuk melihat kedai yang bakal dijadikan restoran oleh Sabita.
“Tak payahlah mak! Masih dalam peringkat perundingan dengan tuan punya kedai. Dah ada duit dalam tangan barulah berani buka langkah seterusnya. Kalau duit tak ada cakap pun tak guna…” Jawab Sabita dengan cepat.
Latipah mengangguk, jawapan Sabita kedengaran logik dan boleh diterima akalnya.

No comments: