Bab 1
CINTA itu memang aneh, penuh misteri dan datang tanpa diduga. Kita takkan tahu bila kita akan jatuh cinta, dengan siapa dan mengapanya ianya terjadi. Dan cinta itu lahir tanpa sebarang sebab yang pasti. Puas sudah kucari apakah sebabnya aku tertawan padanya. Apakah kerana kelunakan suaranya, penampilannya atau ilmu yang dimilikinya?
Sebenarnya aku amat mengagumi dia. Semakin lama dan semakin dalam kuketahui tentang dirinya, semakin hatiku teruja. Aku jadi tamak, ingin tahu segalanya tentang dia. Dan akhirnya aku ingin tahu tentang siapakah wanita-wanita yang pernah hadir dan menyentuh cintanya.
Aku tak seharusnya berperasaan begini. Tapi aku tidak dapat menahan hatiku dari terus bertanya… Aku tak dapat menahan diriku dari terus menerus merindui kehadirannya. Aku tidak sepatutnya jatuh cinta pada seseorang sepertinya… Pada waktu yang salah pula. Namun itulah cinta yang lahir tanpa syarat dan tanda. Cinta itu yang amat menyakitkan dari awal sehinggalah ke penghujungnya…
KITA hanya boleh mengenang dia yang pergi dari hidup kita, berdoa untuk mereka yang akan datang, tetapi masa yang kita punya, adalah segala yang kita miliki hari ini… Alyssa Delaila tersentak membaca ungkapan yang tertulis di dalam kad hari jadinya yang baru diterima dari ibunya Safura, menyedari satu kebenaran yang selama ini tidak pernah terlintas di kotak fikirannya. Benar, umurnya masih muda dan hijau, seperti kata kebanyakan orang. Amat sukar dia mengerti hasrat dan keinginan Safura. Pun dia seharusnya bersyukur kerana setelah 19 tahun berlalu, mereka masih hidup berdua penuh gembira. Setakat ini tiada rahsia yang dia sembunyikan dari ibu yang sangat disayangi.
Alyssa Delaila sedar satu perkara, episod demi episod hidup harus dilalui jua penuh getir, kerana hanya itulah satu-satunya pengalaman yang mendewasakan. Alyssa Delaila tidak perlu menyesali apa yang terjadi dalam keluarganya walaupun amat perit untuk terima kepincangan ini. Sejak lahir dia hidup tanpa kasih sayang seorang ayah! Dia tidak tahu bagaimanakah rasanya punya seorang ayah.
Seringkali Alyssa Delaila ingin bertanya pada Safura kenapa dan mengapa perpisahan terjadi antara ibubapa, tetapi tidak sampai hati untuk berbuat demikian. Lantas hasratnya yang satu itu terus terbenam di lubuk jiwanya sahaja. Dia selalu memujuk hati, menyatakan bahawa bukan dia seorang yang kehilangan ayah. Masih ramai yang senasib dengannya. Malah ada di kalangan rakannya yang kehilangan bapa buat selama-lamanya. Alyssa Delaila masih beruntung kerana memiliki seorang ayah, walaupun tidak diketahui di mana dia berada… Dia sudah cukup bertuah! Walaupun sesekali Alyssa Delaila diusik rasa rindu, tetapi perasaan itu akan segera berlalu.
Alyssa Delaila memerhati Safura yang sedang sibuk mengelilingi meja, bagi memastikan hidangan petang itu mencukupi buat semua orang. Dia mahukan majlis yang sempurna. Begitulah setiap tahun. Sebuku kek harijadi terletak di tengah-tengah meja, dikelilingi aneka kuih muih dan snek. Terdapat juga semangkuk besar meehon goreng. Di meja panjang itu juga sudah tersedia gelas, pinggan dan piring yang tersusun dengan kemas. Sementara di atas siling tergantung seikat belon pelbagai warna yang bergoyang-goyang rancak disapa angin.
Loceng pintu membuat Alyssa Delaila tersentak. Alyssa Delaila dan Safura saling berpandangan.
“Laila! Tolong buka pintu… Mereka dah sampai!” Safura menyeru dengan mesra sambil melempar senyuman. Dia berjalan laju ke dapur, masih ada kerja yang belum disudahkan sedangkan tetamu-tetamu sudah pun tiba.
Alyssa Delaila menyambut kedatangan rakan-rakannya dengan wajah ceria. Di luar beberapa orang rakan sekelas termasuk Syazwina menjerit riang melihat muka Alyssa Delaila. Mereka menjerit kegembiraan seperti selalu apabila bertemu, saling berpelukan dan berlaga pipi. Mereka semua berdandan dengan rapi dan berpakaian cantik berseri. Sebulan tidak bersua menerbitkan rindu yang bukan sedikit. Alyssa Delaila segera menjemput rakan-rakannya masuk.
“Belum mula lagi kan?” Tanya Syazwina sambil mengerling jam.
Alyssa Delaila mengangguk. “Masih ada yang belum tiba.” Kata Alyssa Delaila sambil memberitahu bahawa rakan-rakan pejabat Safura turut diundang.
“Jadi sempatlah aku untuk ceritakan sesuatu pada kau…”
“Apadia?” Tanya Alyssa Delaila dengan dahi berkerut. Syazwina menariknya ke suatu sudut, duduk di atas kerusi kayu jati yang disusun bersebelahan dengan meja konsol, jauh dari rakan-rakan yang sudah pun duduk mengelilingi meja makan.
“Apa yang kau buat di rumah sepanjang cuti ni?” Tanya Syazwina ingin tahu.
“Tak buat apa-apa. Hanya tengok televisyen dari pagi hingga ke malam… Tak ada cerita yang aku tak tengok. Telenovela Sepanyol, Korea, Filipina, Thailand… Ha, belum lagi dicampur dengan drama Melayu dan Cina!” Kata Alyssa Delaila sambil tertawa kecil.
“Kau tak bosan?”
“Bosan juga. Nak kerja sambilan ibu tak benarkan. Katanya dia masih mampu tanggung segala-galanya.”
“Aku ada satu cadangan.” Katanya sambil tersenyum. “Apa kata kalau kita ikuti kursus menulis skrip filem dan drama?” Dia berkata sambil membuka beg kecil yang diselempangkan di bahu lantas mengeluarkan keratan akhbar. Keratan akhbar yang sudah renyuk itu dibentang di atas riba.
Dahi Alyssa Delaila berkerut. Mulutnya terkumat kamit membaca apa yang tertulis di dada akhbar tersebut. Kemudian Alyssa Delaila termenung panjang setelah membaca iklan itu. Biar betul! Dia pernah cuba untuk menulis skrip tetapi tidak menjadi. Alyssa Delaila merasakan dia perlukan ilmu sebelum melakukan sesuatu supaya apa yang ingin dilakukan akan kesampaian.
Melihat teman baiknya yang diam membatu, Syazwina menyambung; “Bukankah kau berminat hendak menulis, tetapi tidak tahu bagaimana caranya. Inilah masanya. Kursus tu berlangsung selama seminggu. Jadi, sebelum cuti berakhir kita dapat satu ilmu… Bukan hanya makan tidur dan menonton televisyen saja sepanjang cuti ini.”
“Ya tak ya juga…” Sahut Alyssa Delaila sambil mengangguk.
“Tapi bayarannya agak mahal…”
“Tiada benda percuma dalam dunia ini. Percayalah setiap sesuatu yang berharga, tidak akan rugi kalau kita membayar lebih. Anggap saja sebagai satu pelaburan.” Kata Syazwina sambil tersenyum. “Yang penting ilmu yang akan kita dapati.”
“Oklah. Walau bagaimana pun aku harus berbincang dulu dengan ibu.” Kata Alyssa Delaila sambil tersenyum tidak dapat membayangkan rasa seronok yang baru timbul dalam hatinya saat itu. Entah mengapa keinginannya jadi begitu tinggi hendak menghadiri kursus itu.
Tetamu semakin ramai memenuhi rumah teres dua tingkat milik Safura. Suara perbualan dan gelak tawa saling bertingkah. Biarpun majlis harijadinya yang ke 19 tahun terasa kemeriahannya, tetapi tetap wujud sekelumit rasa tidak puas di hati. Masih ada yang kurang… Mengapa? Apakah ayah tahu bahawa hari ini adalah hari lahirku? Keluhnya sendiri sambil mengemas pinggan mangkuk yang berselerak lantas membawanya ke sinki. Mengapa sejak akhir-akhir ini aku semakin kerap mengharapkan kehadirannya dalam hidupku?
Mengapa? Tidak pernahkah dia terkenang padaku? Tidak pernahkah dia merinduiku sepertimana aku merinduinya saban waktu? Tidak pernahkah dia terfikir hendak kembali? Apakah bapanya pura-pura tidak ingat kewujudannya di dunia ini? Apa gunanya dia menggunakan nama Alyssa Delaila binti Borhan tetapi lelaki itu tidak pernah menginginkannya? Beberapa titis airmata Alyssa Delaila gugur tanpa disedari. Mangkuk kaca yang sedang dipegang jatuh menimpa pinggan yang berlonggok di dalam sinki. Perlagaan kuat itu menyebabkan mangkuk itu pecah. Safura yang sama-sama berada di dapur mengemas menoleh pada Alyssa Delaila.
“Sorry, ibu…” Seru Alyssa Delaila. “Mangkuk ni dah pecah.”
Safura hanya menggelengkan kepala. “Tak mengapa. Hanya mangkuk yang pecah. Tentu boleh diganti lagi bila ada rezeki. Laila tak apa-apa?”
“Tak ibu.” Jawab Alyssa Delaila sambil mencuci tangan yang dipenuhi sabun di bawah cucuran air paip.
“Sudahlah mencuci tu, tentu Laila dah penat. Berehatlah dulu… Biar ibu yang sambung mencuci pinggan mangkuk yang ada. Hari ni, tak ada rancangan menarikkah di tv?”
Alyssa Delaila menggeleng. “Tak ada… Lagipun jemulah. Hari ni kalau boleh nak buat sesuatu yang lain pula…” Jawabnya sepatah sambil duduk di kerusi makan yang ada di ruang dapur comel itu. Safura mencuri pandang ke arahnya sambil tersenyum lantas berkata; “Hai mengapa pula jemu tengok tv ni? Sejak cuti, ibu tengok itu aje lah kegiatan Laila. Pelik juga, hari ni tiba-tiba Laila kata nak buat sesuatu yang lain…”
“Hmmm…” Alyssa Delaila hampir-hampir ingin menuturkan bahawa dia ingin tahu tentang bapanya. Tetapi kata-kata itu terluah dari bibirnya, sebaliknya dia berkata; “Yalah…Kadang-kadang cerita yang dipaparkan tak adalah bagus sangat. Tengok pun kalau ada pelakon yang Laila minati…”
Safura tertawa pula. “Macam zaman ibu muda-muda dulu…Sukalah dapat tengok wayang, kena pula hero yang kita minati. Dulu mana ada televisyen di rumah atuk kamu. Kalau nak tengok wayang terpaksa sorok-sorok. Kalau dia tahu, matilah… Lebih-lebih lagi kalau keluar dengan teman lelaki… Zaman ibu dulu, minat sangat dengan Amitabh Bachachan.” Cerita Safura lagi meneruskan tawanya.
“Teman lelaki ibu… ayah ke?” Tanya Alyssa Delaila tidak melepaskan peluang. Dia memandang tepat ke wajah Safura yang ceria. Mendengar pertanyaan itu, wajah Safura segera berubah. Keriangannya hilang berganti dengan wajah mendung yang tidak dapat disembunyikan lagi. Dia tunduk. Alyssa Delaila sedikit kesal melihat wajah ibunya yang berubah menjadi muram. Bukan niat hendak membuat ibunya bersedih.
Safura menggeleng lemah. “Bukan…” Katanya sepatah kemudian cuba ketawa pula walaupun tidak bersungguh-sungguh lagi. Hatinya mulai sebal dan bimbang. Dia tidak mahu menyebut perkara lama itu lagi; “Ibu ramai teman lelaki tahu? Kebanyakan pemuda kampung tergila-gilakan ibu, tapi…” Suaranya tergantung lagi. Dia pura-pura sibuk mencari sesuatu di dalam kabinet rendah berdekatan denganya.
“Tapi akhirnya ibu kahwin dengan ayah.” Kata Alyssa Delaila masih belum mahu melenyapkan ingatan terhadap lelaki yang menjadi bapanya itu. Wajah lelaki itu tidak pernah dikenalinya. Dia meninggalkan Safura ketika Alyssa Delaila masih di dalam kandungan. Menurut Safura, ketika sedang sarat mengandungkannya, bapanya tergila-gilakan perempuan lain. Safura benar-benar terluka akibat perbuatan bekas suaminya itu.
Di rumah itu tiada satupun gambar bekas suaminya itu. Dia memang tidak ingin Alyssa Delaila mengenali wajah Borhan. Safura telah membuang semua kenangan yang ada, yang akan mengingatkan dia kepada bekas suaminya itu. Pun dia memang tidak dapat menghindarkan diri daripada terus mengingati lelaki yang pernah bertakhta di hati, kerana wajah Alyssa Delaila begitu mirip dengan bapanya.
Safura menelan airliur pahit. Dia tidak menyahut. Tangannya terus lincah mengemas, memasukkan sisa-sisa kek ke dalam bekas lantas menyimpannya di dalam peti sejuk. Alyssa Delaila menanti Safura berkata sesuatu tetapi wajah Safura terus keruh. Alyssa Delaila tahu Safura tidak senang mendengar kata-katanya tadi. Betapa dia kesal kerana mengungkit perkara tentang bapanya hari itu yang membawa kekeruhan di wajah ibunya pula. Kelukaan masih membaluti hati Safura. Walaupun bagaimanapun, bukankah tanpa kehadiran bapanya, dia tidak akan wujud di dunia fana ini?
“Agh! Sudahlah buat apa diingat lagi perihal ayah kau tu, Laila.” Safura kesal apabila hal bekas suaminya itu diungkit. Jika boleh dia memang ingin menutup kisah itu selama-lamanya. Memang sudah agak lama Alyssa Delaila tidak menyebut tentang bapanya. Safura tiba-tiba jadi gentar, jika harus bercerita tentang lelaki itu. Akibat perbuatan bapa Alyssa Delaila, dia tidak lagi mempercayai insan lelaki dan mengambil keputusan untuk terus membujang. Biarpun ramai yang menginginkan dirinya dan sudi mengambilnya sebagai isteri tetapi dia sudah serik hendak berumahtangga lagi.
“Pergilah buka hadiah harijadi kau tu, Laila…” Kata Safura cuba menukar tajuk perbualan.
“Biarlah dulu, masih ada hal yang ingin Laila cakapkan dengan ibu.”
Dada Safura terus berdebar lagi amat bimbang sekiranya Alyssa Delaila masih ingin memperkatakan hal yang berkaitan dengan Borhan. Dia melepaskan keluhan berat. Jika hal itu diungkit lagi, barangkali dia akan mulai hilang sabar.
“Apadia?” Tanya Safura dengan suara yang agak keras.
Alyssa Delaila tertawa kecil melihat ibunya berdiri tegak dengan tangan diletakkan di pinggang. “Janganlah bercekak pinggang macam tu, ibu! Laila tahulah pinggang ibu tu masih ramping… macam kerengga.”
Safura tertawa pendek, menjatuhkan tangannya. Mukanya yang tegang mulai tenang semula. Alyssa Delaila mendekati ibunya lantas memeluk bahunya dengan lembut lantas berkata; “Sya ajak Laila menghadiri kursus…”
“Ehhh…kursus apa pula? Bukan kursus perkahwinan kan?” Safura cuba mengusik supaya ketegangan yang baru terjadi antara mereka hancur berantakan. Anaknya sudah besar. Hari ini sudah berusia 19 tahun, bisik hatinya. Tetapi penat lelah membesarkannya sendirian bagaikan masih terasa…
“Hisy… Ibu ni ke situ pula!” Kata Alyssa Delaila sambil merengek manja dan melentukkan kepalanya di bahu Safura.
Sudah hampir sebulan Alyssa Delaila cuti panjang menunggu keputusan STPM. Mengapa baru kini dia berhasrat hendak menghadiri kursus. Kursus apakah yang menarik perhatian anak gadisnya itu.
“Kursus menulis skriplah ibu!”
Safura mengangguk, cuba memahami minat yang baru bercambah di hati anaknya. Jika kursus itu dapat memberikan manfaat dia tidak akan sama sekali menghalang, malah dia akan memberikan sokongannya yang padu.
“OK.” Safura mengangguk. “Pergilah.”
Alyssa Delaila merangkul Safura lebih kemas dan bibirnya mencium pipi wanita itu bertalu-talu. Safura hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.
ALYSSA DELAILA memerhati kereta proton putih yang baru berhenti di hadapannya. Di dalam kereta Syazwina melambai riang ke arahnya. Namun sebelum keluar dari kereta bapanya itu, dia menyalami dan mencium tangan lelaki itu. Alyssa Delaila tersentak, matanya enggan lari dari memerhati kelakuan teman sekelasnya itu. Dia lihat bapa Syazwina mengucup pula dahi gadis itu dengan penuh mesra.
Dada Alyssa Delaila sebak. Dia menahan airmatanya dari menitis. Tidak… Dia tidak boleh menangis hanya kerana melihat kemesraan antara Syazwina dan bapanya. Sampai bila dia harus berkeadaan begini, merindu bapanya yang entah di mana?
“Sorry lambat sikit… Dah lama kau tunggu?”
“Baru.” Jawab Alyssa Delaila berbohong. Sebenarnya dia sudah hampir sejam berada di perhentian bas yang terletak berdekatan dengan SOGO dan Kompleks Pertama itu. Dia sengaja keluar awal untuk mengelakkan dari tersepit di dalam trafik jam. Tidak disangka pula Syazwina yang terlewat.
“Papaku ajak makan pagi dulu tadi, barulah hantar aku ke sini. Dia nak hantar aku terus ke Ulu Klang tadi, tapi aku yang menolak. Aku katakan kau dah tunggu di sini…”
Alyssa Delaila hanya diam. Untunglah kau dapat seorang bapa yang baik dan penyayang, bukan seperti aku! Keluhnya sendiri di dalam hati. Sehingga kini aku tak pernah merasai kasih seorang ayah. Aku tak punya kenangan bersamanya. Aku masih kecil sewaktu ditinggalkan…
“Hei! Bas dah datang…” Kata Syazwina mengejutkan Alyssa Delaila dari lamunan.
Perjalanan mengambil masa empat puluh lima minit. Semasa mereka berjalan menghala ke bangunan yang besar agam itu, jam sudah pun beranjak ke angka sembilan lima belas minit pagi. “Nampaknya kita terlambat…” Kata Syazwina.
“Ini semua kau punya pasallah!” Balas Alyssa Delaila sambil menjeling temannya itu. Ada riak cemburu yang masih menghantui dirinya. “Nasib baiklah kaunter pendaftaran tu masih dibuka…”
“Yalah. Semuanya salahku!” Syazwina menjawab seolah-olah merajuk. Mereka berdua melangkah laju menuju ke meja pendaftaran.
Sepuluh minit kemudian kedua-dua gadis itu dibawa masuk ke studio yang dijadikan sebagai kelas toturial. Kelas sudah pun bermula. Seorang lelaki berpakaian kemas, berkemeja putih bersih bertali leher biru dan berseluar slack hitam memandang ke arah kedua-dua gadis yang baru tiba. Dia membetulkan kaca mata berbingkai emas sebelum bersuara dengan nada tegas; “Mengapa lambat?”
Spontan kedua-dua gadis itu terdiam. Mereka berdiri sahaja di muka pintu, teragak-agak untuk meneruskan langkah. Lelaki itu tersenyum, mengangkat tangannya mengisyaratkan mereka berdua supaya masuk dan mengambil tempat duduk yang kosong. Malang sekali mereka terpaksa duduk di kerusi paling hadapan, betul-betul di hadapan muka pensyarah itu.
“Kalau di dalam kelas tutorial saya di universiti, saya dah suruh berdiri di luar…” Kata lelaki itu sambil tertawa lembut.
“OK. Kita teruskan… Tapi sebelum tu…” dia memandang lembut ke arah Syazwina kemudian matanya jatuh ke wajah Alyssa Delaila. Sejurus dia merenung muka gadis itu tanpa suara. Alyssa Delaila juga begitu, ada sesuatu yang menambat perhatiannya terhadap wajah pensyarah itu. Dada Alyssa Delaila terus berdebar kencang. Mengapa dia direnung? Ada sesuatu yang tidak kena pada mukanya? Apakah solekannya terlalu tebal? Rambutnya kusut? Fikirnya kalut. Failnya pula tiba-tiba terjatuh dari atas meja kecil itu. Pensyarah itu menolong dia mengutip kertas dan menyerahkan kembali kepadanya.
“Perkenalkan diri kamu…” Pintanya kemudian.
“Saya?” Alyssa Delaila meletakkan telapak tangannya ke dada, seperti terperanjat.
“Ya. Kamu datang lambat dan kamu belum memperkenalkan diri.” Kening lelaki itu terangkat. “Nama saya Prof. Dr. Ismadi Salam. Saya akan membimbing kelas ini selama seminggu. Saya tak suka pelajar yang datang lambat dan saya juga tidak suka pelajar yang tidak membuat homework!” Sambungnya kemudian. Alyssa Delaila mendapati suara itu mengandungi keangkuhan dan keegoan yang tinggi.
Mujur juga dia seorang lelaki yang sudah berumur… Kalau dia seorang anak muda yang sebaya dengan Alyssa Delaila pasti dia akan menolak permintaan lelaki itu mentah-mentah dan terus meninggalkan kelas toturial itu.
Mahu tidak mahu Alyssa Delaila terpaksa bangun dan berdiri, memperkenalkan dirinya kepada seisi kelas yang dihuni oleh lebih kurang 20 orang.
“Nama saya Alyssa Delaila binti Borhan. Umur 19 tahun. Sekarang sedang menunggu keputusan STPM.”
“Mengapa awak menghadiri kursus ini?”
“Kerana… minat. Saya berminat ingin menjadi seorang penulis skrip.”
“Terima kasih dan selamat datang. Semoga awak akan menjadi seorang penulis skrip yang baik…” Jawab Prof. Dr. Ismadi sambil tersenyum. Senyuman yang menguntum itu membuat segala rasa marah dan geram Alyssa Delaila pada permulaan tadi, hilang dibawa angin. Dia kembali duduk perlahan-lahan dengan dada yang lega.
Bab 2
“MENGAPA dia asyik tanya soalan kat aku? Lepas tu asyik renung aku semacam aje…” Tanya Alyssa Delaila kehairanan sambil meletakkan fail di tepi meja. Mereka baru sahaja meninggalkan bilik kuliah, menikmati minuman petang di cafeteria. Dalam masa sejam lagi program kursus akan tamat untuk hari itu.
“Engkau ni perasanlah…” Jawab Syazwina sambil menjeling Alyssa Delaila. Muka gadis itu mulai merah padam kerana malu dikatakan ‘perasan’.
“Aku tengok dia layan semua orang sama je. Engkau tu yang asyik renung dia, dengan senyum menggoda. Kenapa? Engkau minat dengan dia ya?” Duga Syazwina sambil ketawa.
“Eh, tak adalah. Takkanlah aku suka dengan professor tua macam tu! Eee…” Kata Alyssa Delaila sambil mengangkat bahunya. “Berapa umurnya ya?” Balas Alyssa Delaila ingin tahu. Barangkali awal 40an atau lebih. Namun dia masih kelihatan menarik, badannya tegap dan suaranya mantap.
“Engkau tak baca ke biodata dia? Umurnya 49 tahun, 30 tahun lebih tua daripada kita, tahu?” Kata Syazwina sambil tergelak kecil. “Tapi kata orang lelaki lebih tua, lebih tinggi sahamnya! Mereka biasanya dah mantap dalam segalanya. Maksudku, dari segi kewangan, intelektual, emosi....”
Alyssa Delaila terdiam beberapa ketika, tangannya pantas membuka fail dan membelek buku nipis yang mengandungi jadual program kursus. Di dalamnya terselit biodata yang dimaksudkan oleh Syazwina.
“Hmmm… Hebat orangnya! Aku tak sangka…” Tanpa sedar Alyssa Delaila memuji lelaki itu, setelah membaca biodata Prof. Dr. Ismadi.
Syazwina mentertawakan Alyssa Delaila lantas berkata; “Jangan terlebih memuji, siapa tahu nanti hati kau pun terpaut.”
“Kau ni merepek sajalah. Malam sikit! Tak bolehkah sekadar memuji? Kalau aku mengeji nanti kau marah pula…”
“Oklah.” Balas Syazwina tidak mahu bertengkar dengan Alyssa Delaila. Memang dia sedar dalam kelas itu Alyssa Delaila yang paling menyerlah. Mereka peserta paling muda. Memang patut mendapat perhatian tapi ternyata Prof. Dr. Ismadi memang gemar menyoal Alyssa Delaila. Syazwina tidak ingin mengakui hakikat itu. Dia tidak mahu Alyssa Delaila menjadi egois. Memang gadis itu cantik, kecantikan yang dia sendiri tidak memilikinya. Tetapi mereka sudah lama berkawan baik. Sesungguhnya dia tidak cemburu di atas kelebihan yang dianugerahkan Allah kepada temannya itu.
Syazwina memerhati sekeliling dan terlihat salah seorang lelaki yang menjadi peserta kursus, kelihatan duduk di meja café itu bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Satu kelompok wanita yang duduk di satu meja lain, kedengaran amat riuh bercerita antara sesama mereka.
“Kau tengok lelaki tu… Aku perasan dah dua hari dia selalu bersendirian. Pelikkan? Dia seperti tidak suka bercampur dengan orang lain…”
“Hmmm… Tak ada yang peliknya. Sikap orang seni memang begitu. Suka menyendiri… Kalau dah rapat, kau akan terkejut sendiri betapa dia akan berubah menjadi seorang yang ramah. Itulah firasat yang boleh aku baca dari mukanya.”
“Banyaklah kau punya firasat. Hatiku rungsing hendak kembali ke kelas ni lagi esok. Tadi Prof. Dr. Ismadi bagi tugasan, aku tak tahu aku boleh buat ke tidak! Dia kan tak suka kalau pelajar tak buat homework.” Kata Alyssa Delaila sambil memerhati ke pintu café yang kelihatan ditolak dari luar. Dia lihat Prof. Dr. Ismadi bersama anaknya Haiqal yang turut menyertai kursus masuk ke café. Mereka berjalan seiring menghala ke meja berdekatan dengan meja Alyssa Delaila.
“Berfikiran positiflah sikit, Laila. Pasti boleh buat!”
Alyssa Delaila menggigit bibir, matanya mengawasi Prof. Dr. Ismadi yang duduk membelakanginya. Kelihatan lelaki itu sedang berbual perlahan sambil meneguk teh panas. Di dalam kelas toturial memang luar biasa dingin. Ditambah pula dengan tayangan telemovie Korea ‘winter sonata’. Terasa salji bagaikan turun mengelilingi mereka apabila melihat para pelakonnya memakai kot panjang dan marfela. Masing-masing memang tidak sabar untuk keluar minum setelah hampir dua jam berada di dalamnya.
Suara Prof. Dr. Ismadi hampir-hampir tidak kedengaran. Kalau di dalam kelas toturial suara itu kedengaran bertenaga dan bersemangat sekali, bercerita tentang dunia perfileman dan mereka yang terbabit di dalamnya. Masih diingatnya Prof. Dr. Ismadi memberikan definisi filem; Filem adalah sebuah pemikiran.
Selama ini setiap kali menonton, dia tidak pernah menghiraukan tentang sebuah pemikiran yang cuba diterapkan di dalam sesuatu filem itu. Dia menontonnya untuk keseronokan semata-mata. Peduli apa dengan itu semua? Filem diperlihatkan untuk memberi hiburan, itulah difikirkannya sebelum datang ke kelas toturial ini. Tetapi setelah dua hari berada di dalam kelas bimbingan Prof. Dr. Ismadi, mindanya mulai terbuka dan cuba mengenal apakah yang dikatakan sebagai sebuah filem yang baik.
“Filem yang baik haruslah mempunyai gagasan yang besar, menonjolkan warisan dan mengangkat budaya. Filem harus mewakili bangsanya…” Kata Prof. Dr. Ismadi lagi dengan penuh wibawa. “Sebuah filem yang kecil tetapi pengisiannya haruslah besar. Kos produksinya pula rendah. Itulah sebenarnya filem yang dikatakan sebagai sebuah filem yang baik. Seperti filem Iran atau filem Perancis yang mampu mengangkat bangsanya. Filemnya dikenali diperingkat antarabangsa. Memenangi pelbagai anugerah. Tapi siapakah yang mahu menonton filem sebegitu? Kebanyakannya lebih tertarik dengan filem cinta. Ada apa dengan cinta? Siapa boleh jawab??”
“Ahhhh…” Alyssa Delaila mengeluh cuba melupakan kata-kata Prof. Dr. Ismadi yang masih melekat diingatannya. Dia memandang ke arah belakang lelaki itu yang duduk tegak, masih menghadapi meja.
“Pasal konsep idea tadi… Kau nak buat cerita apa?” Tiba-tiba Syazwina bertanya.
Alyssa Delaila diam, tidak tahu apa yang harus dijawab. Dia benar-benar tidak tahu. Tiada suatu pun yang datang dalam fikirannya saat itu.
“Engkau?” Dia memulangkan pertanyaan.
“Kisah cinta?”
“Yalah tu!” Kata Alyssa Delaila sambil tertawa pendek. “Engkau banyak pengalaman dalam bercinta…”
“Tapi aku tak sebanyak engkau. Setiap tahun menjalin cinta…”
“Cinta monyet!” Jawab Alyssa Delaila dengan pantas.
“Aku rasa surat cinta engkau kalau dikumpul dan dibakar, boleh masak nasi seperiuk…”
Kedua-duanya ketawa serentak. Mereka lupa alam sekeliling seketika.
“Amboi! Sedapnya ketawa… Tak toleh kiri kanan lagi!” Tawa mereka serentak terhenti apabila mendengar suara itu. Kedua-duanya memandang ke wajah Prof. Dr. Ismadi yang sedang memandang sambil tersenyum. Syazwina menggigit bibir kemudian berkata; “Prof! Maaflah… kuat sangatkah kami ketawa tadi?”
Prof. Dr. Ismadi tergelak kecil berkata; “Kuat, mengalahkan stereo empat speaker.”
Alyssa Delaila tidak menunggu lama, dia bangun lebih dahulu meninggalkan Syazwina yang masih berkata sesuatu dengan Prof. Dr. Ismadi. Entah mengapa dadanya berdebar tidak keruan. Dia tidak suka mendengar teguran Prof. Dr. Ismadi. Dan dia rasa semakin tidak selesa melihat renungan mata lelaki itu setiap kali berada di dalam kelas toturial. Ah! Bilalah kelas ni nak habis agaknya? Keluhnya sendiri sambil mengambil tempat duduk.
Prof. Dr. Ismadi paling akhir masuk ke dalam kelas, lantas terus menyambung perbincangan pada petang itu sebelum kelas berakhir pada jam lima petang.
“Esok kita menonton filem. Saya akan tayangkan salah satu filem yang pernah saya tulis skripnya dan saya juga pengarah filem tersebut. Sampai jumpa lagi esok…”
“DAH dua hari Laila hadiri kursus tu… Macamana?” Tanya Safura sambil mendekati anaknya yang sedang duduk menghadapi komputer. Dilihatnya layar monitor masih kosong, tiada tertulis apa-apa. Sudah hampir sejam Alyssa Delaila cuba menulis sesuatu tetapi sentiasa tidak kena. Sudah puas dia membelek-belek buku dan majalah mencari ilham tetapi ilham tidak kunjung datang.
“Entahlah ibu…” Keluh Alyssa Delaila. “Esok kena hantar tugasan. Tapi Laila belum dapat idea lagi. Laila kena tulis konsep idea dan sinopsis cerita. Cerita apa nak ditulis? Cerita yang baru dan segar. Kalau tulis cerita mengarut, nanti diketawakan pula.”
Safura termenung, seboleh mungkin ingin membantu anaknya itu. Namun hampa memenuhi dada apabila dia tidak dapat memberikan apa-apa inspirasi kepada anak itu. Dia mengurut bahu Alyssa Delaila dengan lembut dan berkata; “Tulislah sesuatu tentang diri kamu sendiri…”
“Tentang Laila?” Dahi Alyssa Delaila berkerut.
Safura mengangguk. “Kan lebih senang bercerita tentang diri sendiri…”
“Tapi… Tapi malulah!” Katanya perlahan. Saat itu dia terbayangkan wajah-wajah yang ada di dalam kelas toturial itu. Spontan dia terbayangkan wajah Prof. Dr. Ismadi yang tertawa panjang. Dia memejamkan matanya. Dia tidak mahu ditertawakan. Dia mesti membuat yang terbaik. Dia mahu dirinya dikagumi. Dan dia mahu dirinya dipuji. Aduh… mengapa dia berperasaan begini?
“Fikirkanlah dulu dalam-dalam…” Nasihat Safura. “Dah pukul sebelas lebih ni. Ibu nak tidur. Kau tu jangan tidur lewat sangat. Nanti susah nak bangun esok pagi…”
Alyssa Delaila mengangguk. Dia memandang keyboard dan skrin komputer. Jari-jarinya mulai menari-nari di atas keyboard dengan lincah.
PROF. DR. ISMADI membalik-balikkan kertas yang baru diterima di mejanya, sambil tercari-cari nama gadis itu. Dia terlihat nama Alyssa Delaila di antara kertas-kertas yang ada, lantas meletakkan kertas milik gadis itu ditempat yang teratas, menandakan tugasan itulah yang akan dibacanya terlebih dahulu.
“Kita akan bacakan idea cereka dan sinopsis dari…” Dia menunduk meneliti kemudian membuang pandang ke arah gadis yang duduk setentang dengannya. Hari itu Alyssa Delaila memakai sepasang baju kurung berwarna merah darah. Manis sekali. Warna itu amat sesuai dengan kulitnya yang putih melepak. Matanya bulat, besar dan bersinar. Hidungnya mancung dan bibirnya munggil. Wajah itu memang sempurna bagaikan sebuah lukisan. Rambutnya lurus dan hitam dipotong sama, menyentuh bahu. Wajahnya dibayangi cemas namun dia cuba menyembunyikannya di sebalik senyuman. Senyumannya cukup manis biarpun dalam keterpaksaan, dihiasi dengan lesung pipit di pipi.
“Alyssa Delaila.” Kata Prof. Dr. Ismadi lagi sambil menundukkan muka dan mulai membaca tulisan yang terpapar di hadapannya itu. Dia menarik nafas setelah selesai membacanya dengan nada suara yang terkawal, tenang dan bersahaja.
“Jelaskah idea cerekanya?” Dia bertanya kepada seisi kelas, sambil matanya memandang sepintas lalu lantas kembali lagi ke wajah Alyssa Delaila. Gadis itu spontan menunduk, tidak rela mukanya direnung. Dadanya terus berdebar-debar.
“Sekarang kita baca sinopsisnya pula…” Dia membacanya dengan tertib, mengulas di mana-mana yang perlu kemudian menyudahkan bacaan dengan secebis senyuman.
“Cerita yang baik.” Katanya lantas terus meletakkan kertas tersebut, tiada lagi ulasan yang ingin diberikan. Dia kelihatan sedang membalikkan beberapa kertas lain dan memilih tugasan orang lain.
Cerita yang baik… gerutu Alyssa Delaila di dalam hatinya. Tahukah kau, aku menulis sinopsis cerita hingga pukul dua pagi? Mulanya aku tak tahu, samada aku harus bercerita tentang kepiluan yang melanda hatiku kerana ditinggalkan seorang ayah ataupun bercerita tentang cinta? Apa yang dia tahu tentang cinta? Sehingga kini pun dia tidak tahu benarkah dia cintakan Irfan… teman sejak kecil yang tinggal di hadapan rumahnya.
Di manakah Irfan? Sejak memasuki universiti tahun lepas, mereka bagaikan terputus hubungan. Irfan sentiasa sibuk dengan kuliah, langsung tiada masa hendak menghubunginya. Dirinya sudah dilupakan.
Alyssa Delaila tersentak apabila terdengar bunyi hon yang kuat. Seluruh tubuhnya menjadi kaku, terkejut yang amat sangat. Dia tidak sedar dia berdiri benar-benar di tengah-tengah jalan yang sibuk dan sebuah kereta berwarna hitam hampir-hampir melanggarnya. Darahnya berderau, dadanya berdebar terasa seluruh tubuhnya melayang. Dia hampir-hampir maut akibat tenggelam dalam angan-angan. Saat itu dia merasakan sebuah tangan yang tegap sedang menariknya, membuat dia terdorong ke belakang. Alyssa Delaila menoleh ke arah lelaki di sisinya. Dia amat terkejut kerana melihat Prof. Dr. Ismadi yang berdiri di sampingnya begitu dekat. Malah tangan lelaki itu masih mencengkam lengannya.
“Awak tak apa-apa?” Dia bertanya.
Alyssa Delaila belum pulih dari rasa terkejut. Dia menggeleng lemah. Kini dia sudah boleh berdiri dengan betul di tubir jalan, biarpun kepalanya terasa berpinar-pinar.
“Biar saya tolong tahan teksi.” Kata Prof. Dr. Ismadi sambil memandang ke arah jalan yang sibuk. Sejurus menunggu tetapi teksi tidak langsung muncul. Hujan renyai mulai turun perlahan-lahan menimpa mereka.
“Tak ada teksi nampaknya… biar saya hantarkan awak. Saya memang hendak ke Kuala Lumpur.” Kata Prof. Dr. Ismadi, menawarkan pertolongan yang tidak pernah diimpikan oleh Alyssa Delaila samasekali.
Alyssa Delaila tidak berganjak meskipun hujan kian lebat menimpa tubuhnya. Dia memandang ke arah tempat menunggu bas yang berada tidak jauh dari situ. Tempat itu kelihatan lengang tidak berorang.
“Apa lagi? Cepatlah!” Gesa Prof. Dr. Ismadi yang sudah pun berada di sisi keretanya. Mahu tidak mahu Alyssa Delaila terpaksa menurut. Dia tahu jika hujan turun, trafik jam pasti lebih teruk. Belum tentu menjelang pukul 7 malam dia dapat sampai ke rumah. Untuk memburukkan lagi keadaan, hujan pula semakin lebat setelah sepuluh minit dia berada di dalam kereta mercedes professor itu.
“Sebenarnya saya tertarik dengan idea awak tadi…” Kata Prof. Dr. Ismadi sambil terus memandu tenang dalam hujan lebat yang kian menggila mencurah ke atas aspal hitam. Alam sekeliling diselimuti kabut, terlihat kerlipan lampu merah dari kereta-kereta yang berada tidak jauh di hadapan kereta yang sedang bergerak itu.
“Kisah seorang anak yang rindukan ayahnya. Kisah awak sendiri?” Dia kelihatan benar-benar ingin tahu dan dengan cepat membuat rumusan yang tersendiri.
Alyssa Delaila diam sahaja, dia sebenarnya tidak suka hal itu disebut-sebut. Prof. Dr. Ismadi menjelingnya sambil berkata; “Tak perlu malu… Di sini hanya kita berdua sahaja. Ceritalah. Sekurang-kurangnya dengan meluahkan apa yang awak rasa, ia akan membuat awak rasa lega.”
Alyssa Delaila melempar senyum dengan wajah yang memerah. “Biarlah saya bercerita di dalam skrip saya yang pertama nanti.”
Prof. Dr. Ismadi ketawa. “Bagus! Saya suka dengar awak bersemangat begitu. Saya juga suka membaca pemikiran dan ilham orang muda seperti awak.”
Namun sepanjang perjalanan itu, Prof. Dr. Ismadilah yang lebih banyak berbual, sementara dia hanya menjadi pendengar setia. Kereta terus menyusur perlahan di sepanjang Jalan Ampang menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Jika diikutkan hati Alyssa Delaila, dia lebih senang berjalan kaki kerana kereta itu hampir-hampir tidak bergerak. Kereta yang ada di sekeliling, semuanya tersangkut dalam jam yang teruk.
Prof. Dr. Ismadi menggelengkan kepala, lututnya terasa benar-benar lenguh.
“Jam ni boleh buat orang jadi gila… sepatutnya saya ikut jalan highway tadi.” Katanya sambil mengangkat cermin mata, lantas menyapu matanya yang letih.
“Apakah saya dah menyusahkan Prof.?”
“Tak… Tak! Bukan itu maksud saya. Awak tak menyusahkan saya langsung. Di mana saya nak turunkan awak ni?”
Alyssa Delaila menggigit bibir. Bolehkah kalau saya tidak meninggalkan Prof.? Soalan itu hanya bergema di dalam hatinya sahaja. Saya suka mendengar cerita-cerita Prof. tentang kejayaan yang telah dicapai… tentang apa saja!
“Di hadapan Sogo.” Balas Alyssa Delaila lambat-lambat. Prof. Dr. Ismadi mengangguk. Dia memperlahankan kereta, berhenti di tubir jalan. Namun sebelum Alyssa Delaila turun dari keretanya dia sempat berpesan; “Hati-hati! Hujan masih turun. Ada payung di belakang. Ambillah! Awak tak boleh absent kelas esok…”
Alyssa Delaila tersenyum dan mengangguk. Dia tidak akan ponteng kelas. Walaupun harus datang dalam keadaan merangkak, dia tetap akan hadir untuk menemui Prof. Dr. Ismadi sekali lagi…
HARI-HARI yang berlalu bagaikan tidak terasa. Dia tidak sedar bahawa perpisahan sudah semakin menghampiri. Setiap hari menghadapi wajah itu, mendengar suaranya bercerita, berjenaka dan mengusik, Alyssa Delaila mulai rasa sebati. Dia terasa sayang hendak meninggalkan kelas toturial yang sudah seminggu dihadiri. Malangnya hari itu adalah hari terakhir…
Sepanjang hari itu pula, dia lebih banyak diam dan memerhati. Dia mahu melihat sepuas-puasnya wajah Prof. Dr. Ismadi. Dia mahu mendengar suara lelaki itu bercerita lagi. Dan membaca setiap gerak tangan dan tubuhnya selagi dia dapat dipandang. Dia tahu mereka tidak akan bertemu lagi. Dan kerinduan ini akan hanya membebani fikiran dan hatinya seorang. Dia pasti tentang itu! Lantas tiba-tiba hatinya diusik seribu rasa, sedih, nyilu… Dan dalam debaran yang memburu, dia berharap untuk bertemu dan bercakap tanpa dikelilingi orang lain!
“Berilah bentuk atau genre kepada setiap cerita yang hendak dibina. Elemen yang selalu diterapkan di dalam filem-filem barat yang berjaya adalah elemen aksi, humor, cinta dan seks. Gabungan ini dapat memberi tenaga kepada cerita.” Suara Prof. Dr. Ismadi terus berkumandang, tetapi Alyssa Delaila semakin hanyut dalam arus fikiran dan lautan emosinya.
Tiba-tiba dia mendengar namanya disebut; “Laila! Apakah erti cinta bagi awak?”
Semua mata tertumpu kepadanya yang terpinga-pinga memandang sekeliling kemudian kembali ke wajah Prof. Dr. Ismadi yang menantikan jawapan.
“Cinta…” Alyssa Delaila mengulangi perkataan itu perlahan kemudian menyambung dengan nada perlahan tanpa terburu-buru. Dadanya terus berombak, gentar dan bimbang tetapi dia cuba bersuara setenang yang mungkin. Tetapi suaranya tetap kedengaran seperti menggigil. Apakah kerana penghawa dingin yang bertebaran di dalam studio itu atau kerana hatinya yang berdebar-debar tidak keruan.
“Cinta membawa pengertian, pertemuan dan perpisahan.” Jawabnya dengan suara yang jelas.
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “Itu lumrah hidup. Ada pertemuan dan ada perpisahan.” Jawabnya.
“Amboi! Bukan main lagi beri definisi tentang cinta… macam sungguh-sungguh je!” Giat Syazwina dari sisinya. Alyssa Delaila hanya menjeling namun tidak bersuara apa-apa kerana sedar Prof. Dr. Ismadi sedang mengawasi mereka.
Prof. Dr. Ismadi kemudian bertanya pada para peserta yang lain di dalam kelas itu. Ada pelbagai definisi yang terdengar dari pelbagai sudut dan pandangan menurut tahap umur dan pemikiran. Akhirnya soalan itu dipulangkan semula kepada Prof. Dr. Ismadi; “Bagaimana dengan Prof. sendiri?” Tanya suatu suara yang duduk tidak jauh dari Alyssa Delaila. Gadis itu mengangkat muka, ingin mendengar pendapat Prof. Dr. Ismadi tentang cinta.
“Hmmm… Cinta membawa makna yang sangat besar. Untuk menghidupkan cinta, memerlukan tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan. Tanpa tiga elemen ini cinta tidak membawa erti. Cinta yang dipenuhi nafsu dan keghairahan semata-mata tidak akan kekal selama-lamanya.” Katanya sambil memandang setiap wajah yang ada di hadapannya. Semuanya terdiam.
“Sesetengah orang berkata, cinta itu terlalu abstrak!” Tiba-tiba Alyssa Delaila berkata. Prof. Dr. Ismadi memandangnya, tersenyum dan bertanya; “Abstrak?”
“Tidak, saya tidak setuju. Untuk menyintai seseorang kita memerlukan masa untuk saling mengenal antara satu sama lain. Barulah cinta itu akan berputik”
“Bagaimana kalau cinta itu cinta pandang pertama? Kita takkan tahu bila dan dengan siapa kita akan jatuh cinta… Kita hanya tahu apabila kita merasai denyutan cinta itu di dalam hati.” Sambung Alyssa Delaila.
“Cinta itu buta! Ia tidak kenal sesiapa!” Sampuk Syazwina sengit lantas menyiku Alyssa Delaila di sisinya. Muka Alyssa Delaila merah padam. Malu, terasa disindir.
“Fuittt!” terdengar siulan dari arah belakang kelas. Suasana membingit sejenak dan Prof. Dr. Ismadi mengangkat tangannya meminta mereka semua bertenang.
“OK. OK! Saya suka pendapat awak semua!” Kata Prof. Dr. Ismadi untuk meredakan keadaan. “Apa kata kita tonton filem sebelum minum petang? Lepas minum nanti akan diadakan satu majlis penyampaian sijil. Nampaknya kita sudah hampir dengan perpisahan bukan? Ada apa-apa soalan lain berkaitan dengan apa yang telah dipelajari? Saya tahu kursus ini terlalu singkat, memang tidak mencukupi untuk menjadikan awak semua seorang penulis skrip… Tapi sekurang-kurangnya awak semua sudah punya asas untuk memulakannya.” Saat itu dia memandang ke arah Alyssa Delaila.
Alyssa Delaila tidak lagi tersenyum. Ada segaris duka bermain di wajahnya. Mereka saling bertatapan seketika, Alyssa cepat-cepat menoleh ke arah Syazwina yang juga sedang menjelingnya. Syazwina senyum mengejek. Beberapa orang peserta bertanya pelbagai pertanyaan, yang satu pun tidak masuk ke dalam fikiran Alyssa Delaila. Apa yang menghantui fikirannya kini hanyalah perpisahan ini tidak akan diulang lagi dengan pertemuan kembali. Mengapa hatinya pedih mengenangkan hakikat itu?
Majlis penyampaian sijil penghargaan berjalan dengan lancar. Tidak lama selepas itu semuanya bersurai dan bergerak keluar. Seperti biasa Alyssa Delaila dan Syazwani berjalan seiring menuju ke tepi jalan utama.
“Selepas ni kita mesti tulis skrip sampai berjaya ditayangkan di televisyen. Setuju tak?” Tanya Syazwina.
“Entahlah aku masih belum yakin. Rasanya masih banyak yang harus dipelajari. Apa yang kita dapat dalam masa seminggu ni sebenarnya hanya asas, yang terlalu sedikit…” Balas Alyssa Delaila sambil menjeling Syazwina yang berjalan di sisinya.
“Hmmm… Memanglah. Kalau hendak lebih mendalam ambil saja kursus di U nanti. Kau dah buat keputusan kursus apa yang akan kau ambil?”
Alyssa Delaila mengangguk perlahan. Kini dia semakin yakin akan hala tuju masa depannya. Tiba-tiba dia teringat sesuatu; “Eh, baju sejuk aku tertinggal di kelas tu tadi. Biar aku pergi ambil. Nanti hilang pula… Lagipun tak mungkin kita akan ke sini lagi lain kali.”
“OK.” Syazwina menganggukkan kepalanya. “Kau mahu aku temankan ke? Ehhh… Nampaknya kereta ayahku dah datang tu. Sorry… Aku tak dapat nak temankan kau masuk ke dalam semula.”
“Tak mengapa. Aku pergi seorang.” Kata Alyssa Delaila lantas cepat-cepat memusing badan kembali ke bangunan besar agam di belakang mereka. Dia berjalan laju menghala ke pintu cermin lantas menolaknya. Tiada sesiapa di hadapan meja reception. Dia terus berjalan laju menghala ke studio yang dijadikan kelas toturial. Lampu masih terpasang, tetapi kelas itu lengang sahaja. Dia melihat baju sejuknya memang tergantung di bahu kerusi. Segera baju sejuk diambil dan dimasukkan ke dalam beg kertas.
Spontan dia memandang ke arah meja Prof. Dr. Ismadi. Di sana masih ada laptop, baju kot dan buku-buku milik lelaki itu. Dia masih belum balik? Bisik hati Alyssa Delaila sambil berjalan mendekati meja. Satu persatu barang-barang yang ada direnungnya. Di meja itu terdapat sekotak rokok bersama lighter di atasnya, beberapa bungkusan gula-gula yang selalu dimakan oleh Prof. Dr. Ismadi untuk mengelakkannya dari mengantuk semasa menyampaikan ceramah, terdapat juga sebuah botol air mineral yang telah kosong isinya.
Perlahan-lahan tangannya terangkat, mengutip bungkusan plastik gula-gula itu, membeleknya lantas memasukkannya ke dalam beg tangan. Dia menghulur tangan lantas menyentuh pula kotak rokok lelaki itu, digoncang-goncangnya untuk memastikan isinya kosong. Dia membuka kotak rokok itu, menghidunya perlahan-lahan. Bau itu amat menyenangkan hati, menerbitkan satu kepuasan yang tidak terhingga. Kotak rokok itu juga dimasukkannya ke dalam beg tangan, sambil matanya memerhati sekeliling ruang yang lengang itu. Akhir sekali dia menjangkau air botol mineral yang selalu diminum oleh Prof. Dr. Ismadi. Botol itu dimasukkannya ke dalam beg kertas yang terisi dengan baju sejuk. Kemudian dia berjalan keluar dari studio itu dengan langkah besar dan panjang, sambil berharap orang lain tidak melihat kehadirannya di situ.
Tanpa sedar, di tepi sudut yang terlindung Prof. Dr. Ismadi memerhati aksi gadis itu. Dia sebenarnya pergi ke bilik air sebentar, kemudian masuk semula untuk mengambil barang-barangnya yang ditinggalkan di studio sebelum berlalu pulang. Dia hairan bercampur terkejut melihat gadis itu berdiri di sisi mejanya. Dia sengaja bersembunyi untuk melihat apakah yang mahu dilakukan oleh Alyssa Delaila. Mengapa gadis itu masih belum pulang? Sempat hatinya bertanya. Dia bertambah hairan melihat gadis itu mengutip sisa-sisa barang yang hendak dibuang… Kenapa? Hatinya dibuai pertanyaan.
Bagaimana kalau cinta itu cinta pandang pertama? Kita takkan tahu bila dan dengan siapa kita akan jatuh cinta… Kita hanya tahu apabila kita merasai denyutan cinta itu di dalam hati. Kata-kata Alyssa Delaila kembali bergema. Eh, budak ni! Biar betul! Gerutunya sendiri sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
Bab 3
BUNYI enjin motorsikal yang kuat di awal pagi, mengejutkan Alyssa Delaila dari tidur. Sudah lama dia tidak mendengar enjin motorsikal yang kuat mengaum. Bunyi motorsikal itu amat dikenalinya. Dia menolak selimut ke tepi, lantas berjingkit-jingkit ke tingkap lantas membukanya. Di seberang jalan terlihat sebuah motorsikal besar yang sedang mengaum-ngaum kuat, asap mengepul ke udara sementara di atasnya kelihatan seorang pemuda sedang rakus memulas handle motosikal tersebut.
“Ehhh… Tu macam Irfan! Mengapa rambutnya panjang begitu? Bila dia balik?” Tanpa sedar soalan itu melantun dari dua ulas bibirnya. Dia memerhati Irfan yang kini sudah turun dari motosikal, sedang memeriksa sesuatu. Tidak lama kemudian enjin motorsikal itu dimatikan. Wajahnya nampak tegang dan marah lantas motorsikal itu ditendangnya beberapa kali.
“Apa dah jadi? Mesti motorsikalnya bermasalah lagi…” Cetus Alyssa Delaila sendiri sambil memerhati lelaki itu kini sedang menyorong motorsikal masuk ke bawah porch lantas menghilang ke dalam rumah. Rumah mereka terletak bertentangan. Mereka telah mulai berjiran sejak Alyssa Delaila berusia 15 tahun dan Irfan 16 tahun. Tahun lepas Irfan berjaya memasuki UUM di Sintok, lantas mereka tidak bertemu hampir enam bulan. Semasa cuti panjang penghujung tahun ini, Irfan juga tidak pulang. Hati Alyssa Delaila dipenuhi dengan pertanyaan yang tidak ketemu jawabannya.
Alyssa Delaila tahu kalau Irfan balik pasti dia akan datang sendiri ke rumahnya. Dia segera mandi dan menukar pakaian bersih kemudian turun ke dapur untuk mengisi perut yang kelaparan. Itulah! Siapa suruh bangun meninggi hari, kalau bakal emak mertua nampak, tidak jadi dia hendak masuk meminang! Alyssa Delaila senyum sendiri mengingatkan kata-katanya sendiri. Dia memamah sandwich sardin yang disediakan oleh Safura sebelum keluar bekerja awal pagi tadi.
Kemudian dia bergerak ke ruang tamu dengan semug nescafe panas lantas menghidupkan televisyen. Dia duduk menghadapi televisyen sambil tangannya lincah menekan remote control mencari rancangan yang menarik hati. Tetapi tiada satu pun yang menambat minat. Dia terpandang jam yang sudah pun beranjak ke angka sebelas pagi. Tangannya terus lincah bermain dengan remote control. Tiba-tiba jarinya berhenti menekan butang remote control apabila terpandang sepotong nama. Prof. Dr. Ismadi Salam.
“Aku tak percaya….” Bisiknya sendiri. “Drama dia rupanya.”
Alyssa Delaila tidak berganjak dari hadapan televisyen menonton drama hasil karya Prof. Dr. Ismadi. Dia terpegun melihat setiap gerak pelakon dan rentetan peristiwa dan cerita yang terjalin.
Tiba-tiba dia teringat bahawa dia belum jua mula menulis apa-apa. Dia tidak mampu hendak menjalin cerita. Dia tidak tahu bagaimana harus memulakannya. Itulah… Kutuknya sendiri. Kalau drama atau cerita orang lain, pandai sangat kau buat komentar, tapi sekarang baru tahu dan mengerti bahawa menulis skrip drama bukan semudah yang disangka!
Ketukan di muka pintu mengejutkan Alyssa Delaila dari lamunan. Dengan malas dia bangun membuka pintu. Dalam hatinya merungut-rungut, tidak suka diganggu ketika dia sedang menonton drama hasil karya Prof. Dr. Ismadi. Pintu terbuka, dia melihat seraut wajah Irfan yang murung sahaja.
“Hai…” Tegur Irfan.
“Hai!” Balas Alyssa Delaila hendak tak hendak sahaja. Dia kembali duduk menghadapi televisyen. Drama yang sedang ditonton belum selesai. Mengapa Irfan harus datang di saat dia sedang menonton drama tersebut. Lantaklah! Aku tak ada masa nak layan engkau! Lebih seronok menonton drama karya seorang lelaki yang dikenali… bekas ‘sifu’nya.
Irfan melangkah masuk tanpa dipelawa, lantas duduk di sofa yang paling hampir dengan pintu. Dia memerhati sekeliling sejenak sebelum matanya beralih semula ke wajah Alyssa Delaila. Gadis itu langsung tidak memandang ke arahnya. Dia sedikit hampa kerana mata Alyssa Delaila tertumpu ke kaca televisyen. Irfan mengeluh dengan kuat untuk menarik perhatian Alyssa Delaila. Gadis itu memandangnya, dia mendapati wajah Irfan benar-benar kusut, rambutnya agak panjang dibiarkan sahaja lepas bebas. Dagunya ditumbuhi rerambut liar, langsung tidak kemas.
“Kau baru balik hari ni?” Kata Alyssa Delaila, matanya beralih sejenak dari kaca televisyen.
Irfan mengangguk. “Aku sebenarnya banyak masalah…” Katanya perlahan.
“Masalah?”
Irfan diam beberapa ketika sebelum melanjutkan kata-katanya yang terhenti; “Aku dah berhenti belajar di UUM. Dah tiga bulan…”
“Apa?” Alyssa Delaila nampak terperanjat. Dia merenung wajah anak muda itu tidak percaya. “Kenapa?”
“Aku tak tahan. Disiplin terlalu ketat. Aku tak tahan dengan tekanan demi tekanan. Aku buat keputusan berhenti, walaupun mendapat tentangan hebat daripada keluargaku.”
“Keputusan kau tu memang drastik. Kau dah fikir baik-baiknya sebelum buat keputusan? Aku takut kau menyesal di kemudian hari, sebab peluang begini hanya sekali dalam hidup.” Kata Alyssa Delaila, matanya terus terpaku ke kaca televisyen.
Irfan menundukkan muka, tidak berkata apa-apa lagi. Dia diam beberapa ketika kemudian tertawa kecil tanpa sebab; “Aku sebenarnya dah lama balik ke KL, cuma keluarga ku sahaja yang tidak tahu. Aku takut nak balik ke rumah. Jadi aku tinggal menyewa dengan kawan-kawan di Setapak.”
Alyssa Delaila mengangguk sahaja tanpa suara
“Aku sebenarnya rasa malu sangat.” Irfan bangun dan melangkah ke pintu. Dia tidak mahu menganggu Alyssa Delaila yang asyik menonton televisyen. “Hei! Aku bekerja di Bob’s Snuker, Off Jalan Ipoh. Kau tahu Wisma MLS tu?”
Alyssa Delaila mengangguk, dia tahu bangunan itu walaupun tidak pernah menjengah ke sana. Dia tiada urusan apa-apa di situ. Menurut Irfan di situlah dia bekerja sejak dua bulan yang lalu. Setelah Irfan bergerak keluar barulah dia memerhati langkah anak muda itu yang kini sudah menghampiri pintu pagar.
Tak sangka! Bisik hatinya sendiri. Dulu Irfan adalah seorang pelajar yang pintar, baik dan berdedikasi. Tetapi mengapa dia harus berubah? Apakah yang telah mengubah pendirian anak muda itu? Dia bingung. Apakah kehidupan sebagai siswa di menara gading, penuh dengan tekanan dan disiplin sehingga dia tidak kuat untuk menghadapinya? Pun dia sedar kecekalan dan kegigihan perlu ada untuk menempuh hidup sebagai seorang pelajar, jika ingin mencapai kejayaan. Dia tidak mahu menjadi seperti Irfan. Dia akan pastikan bahawa dia akan kuat menempuhi dugaan, kerana dia tidak punya apa-apa melainkan ilmu untuk meningkatkan kehidupannya. Perjuangan tidak seharusnya terhenti di tengah jalan.
DUA bulan kemudian impiannya untuk bergelar siswi menjadi nyata. Dia diterima memasuki UKM di Bangi. Berita itu diterima Safura penuh kesyukuran. Malah sempat pula emaknya mengadakan kenduri doa selamat dengan menjemput jiran tetangga terdekat pada malam sebelum keberangkatannya. Dia sedar harapan Safura terlalu tinggi terhadapnya dan dia harus merealisasikan impiannya itu… Dia mesti berjaya menempuhi dugaan demi dugaan dan berada di puncak jaya dengan menggenggam segulung ijazah. Tetapi itu semua tidak semudah yang disangka apabila dugaan pertama mulai datang mengintainya setiap saat…
Alyssa Delaila masuk ke dewan kuliah yang mulai penuh lantas mengambil tempat duduk di bahagian hadapan. Dia memang suka duduk di hadapan. Saat itu dia terdengar perbualan beberapa orang pelajar perempuan yang tidak dikenalinya. Memang di situ dia belum punyai kenalan. Kawannya saat itu hanya Syazwina, rakan sebiliknya. Tetapi Syazwina mengambil kursus yang berlainan dengannya. Dia sudahpun memilih untuk mengambil kursus bidang Komunikasi Massa dan menjurus kepada jurnalis. Dia memang berminat hendak menjadi seorang wartawan.
Salah seorang dari pelajar itu berkata; “Dia memang hebat, seorang pengarah filem, penulis skrip yang telah meraih pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa. Di zaman mudanya dia adalah seorang pelakon yang berkeliber. Siapa yang lebih hebat darinya? Masih kacak lagi tahu…”
“Tapi dia dah berumur kan? Aku rasa umurnya dah hampir 50 tahun. Ehhhh… dah hampir sebaya dengan bapaku!”
“Peduli apa? Bukan senang hendak bertemu dengan lelaki yang hebat macam dia.”
“Hmmm… Aku tak sangka kau minat lelaki tua?”
“Ehhhh… salah ke? Sekadar minat saja bukannya apa-apa!”
Terdengar hilai tawa yang agak kuat. Alyssa Delaila tersentak mendengar perbualan dan tawa yang singgah di telinganya. Dadanya berdebar-debar. Meminati lelaki tua? Agh! Mengapa rasa hatinya tidak keruan? Ada seraut wajah yang terimbas di matanya. Hairan, wajah itu tidak mahu hilang.
Dia membuka beg sambil mengeluarkan buku nota. Suara sapaan seseorang yang baru duduk di sebelahnya membuat dia berpaling. Matanya bertemu pandang dengan seraut wajah putih bersih, berambut lurus dan mempunyai senyuman yang memikat. Anak muda itu mengenakan jaket kulit berwarna coklat tua; “Rasanya aku kenal engkau… Alyssa Delaila kan?”
“Ya… Haiqal!” Sahut Alyssa Delaila sambil tersenyum mesra. Lega hatinya di tengah-tengah pelajar yang masih asing itu, ada seseorang yang dikenali dan mengenalinya.
Haiqal tersenyum dan menghulur tangannya. Tangan itu segera disambut. Mereka bertukar-tukar senyum beberapa ketika, ingin menyambung perbualan tetapi terhenti. Seorang lelaki kelihatan berjalan masuk menuju ke meja yang terletak di tengah-tengah dewan. Mata Alyssa Delaila terbelalak memandang ke arah lelaki yang baru masuk itu. Suara lelaki itu bergema lembut mengucapkan salam kepada para pelajar di dalam dewan. Alyssa Delaila menoleh ke arah Haiqal berkata; “Prof. Dr. Ismadi?”
“Ya. Ayahku pensyarah sambilan di sini.”
Alyssa Delaila tidak berkata apa-apa lagi, bibirnya terasa kering. Dia memerhati ke arah Prof. Dr. Ismadi yang lincah memulakan pengajarannya hari itu. Suaranya yang garau memikat terus berkumandang memecah dewan yang sunyi. Setiap pelajar menghayati apa yang cuba disampaikan oleh lelaki itu penuh khusyuk.
DIA tidak mengerti mengapa dia bersetuju untuk bertemu dengan Irfan pada petang itu. Memang dia agak sibuk setelah tiga bulan bergelar siswi. Kelas toturial, kuliah dan tugasan sentiasa memburunya. Jika ada waktupun hanya pada hujung minggu. Irfan sudah beberapa kali mendesak, mengajak bertemu. Katanya ada satu perkara penting yang ingin dibincangkannya. Justeru itu, di tengah-tengah kesibukannya, dia bersetuju juga untuk bertemu dengan anak muda itu.
Alyssa Delaila berjalan lambat menghala ke Wisma MLS yang tersergam tinggi. Bangunan itu walaupun bukanlah bangunan tertinggi di kawasan itu, tetapi reka bentuk dan keindahannya tetap mengalahkan bangunan-bangunan lain yang ada. Dari jauh dia sudah melihat kelab snuker tempat Irfan bekerja. Sudah beberapa bulan pula anak muda itu bekerja di situ. Nampaknya dia betah bekerja di tempat itu. Barangkali tiada tekanan seperti yang didakwa sebelumnya.
Alyssa Delaila terlihat Irfan menunggunya di hadapan kelab tersebut. Gadis itu berjalan lambat mendekati Irfan yang bersandar lesu ke dinding bangunan. Dari kejauhan Irfan tersenyum melihat kehadirannya.
“Kita masuk ke dalam?” Ajak Irfan sambil menunjuk ke arah kelab snuker di belakangnya. Alyssa Delaila menggeleng. Masakan dia mahu masuk ke kelab seperti itu. Dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke tempat-tempat begitu. Sejak kecil dia diasuh supaya menjauhi tempat-tempat yang boleh membawa manusia ke jurang maksiat. Dia tidak cukup berani untuk melanggar ajaran-ajaran yang dibekalkan oleh Safura kepadanya. Jika Safura tahu dia bertemu dengan Irfan di situ, pastilah dia akan dimarahi. Tetapi dia tidak dapat mengelak daripada pertemuan itu. Lambat laun dia harus berbicara juga dengan Irfan tentang status perhubungan mereka. Dia pun ingin menetapkan pendiriannya supaya tiada sesiapa yang akan terkecewa.
“OKlah!” Irfan mengangguk lantas mengajak Alyssa bergerak ke arah sebuah pintu yang terbuka. Terdapat tangga di situ, yang menghala ke tingkat atas. Irfan menapak lantas duduk di atas anak tangga, sementara Alyssa Delaila hanya berdiri sahaja di ruang yang sempit berukuran 1 meter kali 1 meter persegi itu. Alyssa Delaila memandang ruang tangga yang sunyi, tiada orang yang turun naik ke tingkat atas. Petang itu juga agak sunyi, hanya kelab itu satu-satunya yang beroperasi. Sementara pintu-pintu lain di bangunan itu tertutup kemas. Di jalan itu juga sunyi, hanya kereta yang parkir hampir di setiap lot yang ada.
Langit nampak mendung. Tidak lama lagi pasti hujan akan turun. Alyssa Delaila gelisah sambil memerhati jam yang hampir menunjukkan ke angka 6 petang. Menyesal dia keluar terlalu lewat tadi. Sepatutnya dia keluar lebih awal kerana dia tahu setiap petang pasti hujan akan turun menyiram bumi Kuala Lumpur.
“Sorry Irfan…” Kata Alyssa Delaila. “Aku tak boleh lama. Cepatlah cakap apa yang hendak engkau katakan.”
“Engkau dah berubah!” Tuduh Irfan. “Kenapa? Apakah kerana aku bukan lagi orang intelek seperti engkau? Apakah kerana aku kini hanya seorang lelaki yang telah gagal dalam hidup?” Tiba-tiba Irfan berubah menjadi emosional.
“Mengapa engkau ni? Kan aku dah katakan, aku tak ada banyak masa. Lepas ni nak balik ke Selayang. Lagipun dah lewat petang ni… Mengapa kita tak bertemu di rumah saja?”
“Kau tak tahu ke yang aku dah pindah rumah? Emak ayahku halau aku keluar setelah tahu apa yang terjadi. Mereka masih marah dengan tindakan aku berhenti belajar. Mereka tak boleh terima. Aku takkan balik ke sana…”
“Tidakkah kau fikir apa yang mereka buat tu betul?”
“Betul? Kau tak tahu aku menghadapi tekanan sejak aku di tingkatan tiga lagi? Apa yang mereka mahu hanyalah melihat aku mencapai kejayaan. Peperiksaan yang diambil mesti dapat keputusan yang terbaik, barulah mereka puas. Mereka bangga bercerita sana sini anak mereka dapat 8 A… Dapat apa yang mereka inginkan. Mereka bangga apabila anak mereka berjaya masuk U. Tapi mereka tak tahu… Mereka tak tahu apa-apa tentang kehidupan di universiti tu penuh dengan tekanan, buat aku hampir-hampir jadi gila. Aku rasa pelajaran terlalu sukar dan aku tak mampu hendak menangani setiap pelajaran dengan baik. Mereka dah keluarkan banyak duit untuk biayai pelajaranku dan aku rasa aku akan gagal...”
“Tak baik cakap ibubapa kau macam tu! Mereka hanya ingin melihat kejayaan kau saja. Lagi pun kehidupan di kampus taklah teruk sangat…” Jawab Alyssa Delaila. “Kita harus tahu hala tuju dan matlamat kita, Irfan. Tekanan itu memang tidak dapat dielakkan, tapi apa yang penting adalah cara kita menanganinya.”
“Wah! Engkau dah bijak sangatlah bercakap. Baru beberapa bulan aje masuk U, bercakap bukan main lagi!” Tempelak Irfan sambil mendengus kasar.
Alyssa Delaila tidak menghiraukan tempelakan Irfan, sebaliknya bertanya; “Oklah mengapa engkau ajak aku jumpa di sini, hari ini?”
“Takkan tak tahu… Aku nak bercakap pasal kita. Bagaimana sudahnya perhubungan kita ni?”
“Entah, aku pun tak tahu!” Alyssa Delaila malas hendak berfikir lagi tentang perhubungan mereka yang entah apa-apa tetapi seperti ada apa-apa.
“Aku… Aku masih sayangkan engkau dan mahu kita terus bersama seperti dulu.”
Alyssa Delaila diam, dia seperti tidak yakin lagi pada keinginan dan nalurinya sendiri. Dia melepaskan keluhan berat. Kini antaranya dan Irfan bagaikan sudah ada benteng yang memisahkan. Jika dulu, matlamat dan tujuan mereka sama, ingin mencapai kejayaan dalam pelajaran dan akhirnya berada di menara gading, kini dia merasakan bahawa mereka berada di dua jalan terpisah. Irfan telah memilih jalan hidupnya sendiri, dengan meninggalkan kampus. Sementara dia mahu meneruskan perjuangannya mencari ilmu sehingga ke tahap yang paling tinggi yang dapat dicapai tangannya.
Alyssa Delaila menggelengkan kepala tanpa di sedarinya dia berkata; “Kita sekarang berada di jalan yang terpisah, Irfan… Aku rasa lebih baik kita lupakan perhubungan yang entah apa-apa ni.”
“Engkau ada lelaki lain?” Tanya Irfan sambil bangun dan berdiri di hadapan Alyssa Delaila.
Alyssa Delaila menggeleng. Bukan soal wujudnya lelaki lain. Tiada lelaki dalam hidupnya. Satu-satunya lelaki yang dia harap-harapkan tidak mungkin dapat dimiliki. Dia sudah kehilangan, sebelum dia dapat meraih cinta itu. Bolehkah itu dinamakan cinta?
“Apa? Kau nak tinggalkan aku?”
“Ya… Lebih baik kita lupakan semuanya. Aku hendak tumpukan perhatian dan masaku pada pelajaran.” Jawab Alyssa Delaila perlahan.
“Tidak! Aku tak percaya!” Mata Irfan memanah tepat ke dalam mata Alyssa Delaila. “Apakah sebab aku bukan lagi pelajar U? Aku dah tak setaraf lagi dengan engkau, Laila?”
“Bukan macam tu Irfan… Bukan itu maksudku!”
“Habis apa? Apa maksud engkau? Aku yakin ada lelaki lain yang berjaya menarik perhatian engkau… Engkau lupa pada janji-janji kita!” Irfan mulai diamuk rasa marah. Tidak disangkanya langsung Alyssa Delaila ingin meninggalkannya dan memutuskan hubungan yang sudah terjalin sejak mereka masih di tingkatan 3 lagi. Mengapa harus Alyssa Delaila mengucapkan perpisahan? Bukan itu yang dimintanya. Tujuan dia ingin mengatur pertemuan pada petang itu adalah untuk mempereratkan perhubungan mereka yang sudah tampak renggang benar… Tetapi langsung tidak diduga, kerenggangan itu akan terus meleraikan sebuah ikatan yang sudah lama terjalin.
Alyssa Delaila tidak menjawab. Tiba-tiba dia merasa gentar melihat kemarahan yang bermain di wajah Irfan. Lelaki itu berdiri menghadapinya. Wajah Alyssa Delaila direnung dengan tajam dan dengan tidak semena-mena Irfan membenamkan bibirnya ke pipi Alyssa Delaila. Tangannya mencengkam kuat pinggang gadis itu. Pelukan yang kemas itu menyesakkan nafas Alyssa Delaila. Dia benar-benar terkejut dan diburu ketakutan. Tidak pernah Irfan bertindak begini selama mereka berkawan rapat…
“Irfan! Apa yang engkau nak buat ni! Lepaskan aku! Jangan buat kurang ajar macam ni!!…” Alyssa Delaila meronta dengan sekuat tenaga, namun tenaga Irfan juga amat kuat. Dia tidak mudah untuk melepaskan gadis itu.
“Irfan!! Lepaslah!” Seru Alyssa Delaila dengan nafas termengah-mengah berusaha menolak tubuh Irfan yang semakin kuat melekap ke tubuhnya yang turut dihimpit dinding. Kesempatan datang tanpa diduga, digigitnya bahu Irfan dengan kuat, membuat lelaki itu terkejut dan melepaskan belitan tangannya.
“Irfan! Sampai hati kau buat aku macam ni! Selama ni aku percayakan kau!” Kata Alyssa Delaila sambil berlari ke satu arah. Irfan mengejar dan menarik bajunya dari belakang. Tarikan yang kuat menyebabkan baju Alyssa Delaila terkoyak sedikit di bahagian bahu. Alyssa Delaila terkejut dengan tindakan Irfan. Irfan juga terpaku, tidak sedar dia telah bertindak begitu jauh melukai diri Alyssa Delaila.
Gadis itu menangis teresak-esak melihat bajunya yang terkoyak. Dia berlari pantas menghala ke arah deretan kereta yang parkir di hadapan wisma tersebut. Saat itu hujan gerimis baru termuntah dari langit, tubuh Alyssa Delaila rela menerima siraman hujan itu. Dia terus melangkah, sebelum berlanggar bahu dengan seseorang yang sedang berjalan laju menghala ke kereta.
Alyssa Delaila terkejut, mata mereka saling bertatapan. Dahi lelaki itu berkerut, tidak dapat bersuara apa-apa bila melihat muka Alyssa Delaila yang dipenuhi airmata. Alyssa Delaila juga diam tidak terkata, airmata dibiarkan melebat lantas bercampur baur dengan hujan gerimis yang sedang turun.
“Alyssa Delaila!!!” Serunya masih diingatnya sepotong nama itu.
“Prof.!” Sahut Alyssa Delaila perlahan dan hampir tidak terdengar.
“Apa awak buat di sini? Mengapa baju awak koyak?”
Pertanyaan itu tidak berjawab. Hujan kian lebat dan kedua-duanya mulai basah. Prof. Dr. Ismadi bergerak pantas membuka pintu kereta lantas mengajak Alyssa Delaila masuk. Setelah duduk, Alyssa Delaila tercari-cari kelibat Irfan. Dia melihat Irfan masih ada di hadapan kelab, sedang memandang tajam ke arahnya yang sudah pun duduk di sebelah Prof. Dr. Ismadi, di dalam kereta mercedes lelaki itu. Prof. Dr. Ismadi turut memandang Irfan, menoleh pada Alyssa Delaila lantas bertanya lembut; “Siapa budak lelaki tu? Awak kenal?”
Alyssa Delaila mengangguk cuma, tidak ingin menerangkan siapakah Irfan pada lelaki itu. Prof. Dr. Ismadi tidak mengerti tetapi dia tidak suka mendesak ingin tahu segala-galanya. Dia sedar ketakutan yang bermukim di hati dan di wajah gadis itu. Dia bersuara perlahan dan terkawal; “Teman lelaki awak? Nampaknya dia cuba buat sesuatu…” Kemudian lelaki itu ketawa lembut.
Alyssa Delaila mengangguk lambat. “Ya, nasib baik dia tak sempat buat apa-apa…” katanya sambil menahan sendu.
“Terima kasih Prof. Saya tak tahu apa akan berlaku tadi. Saya betul-betul takut… Hmmm, saya benci lelaki macam tu!” Jawab Alyssa Delaila setelah mengumpul kekuatan.
“Kita hidup ni, jangan lekas meletakkan kepercayaan pada seseorang….” Nasihatnya ikhlas. “Walau dah lama kenal sekali pun, kita takkan tahu niat yang terkandung di dalam hatinya.”
Alyssa Delaila meraba-raba bahunya, cuba menutup kulit yang terserlah. Spontan Prof. Dr. Ismadi menjangkau tangan mengambil jaket yang ada di kusyen belakang kereta lantas menyerahkannya kepada Alyssa Delaila. Tanpa suara jaket itu disarungkannya ke tubuh. Kereta Prof. Dr. Ismadi mulai bergerak meninggalkan tempat itu.
“Saya hantar awak balik…” Kata Prof. Dr. Ismadi, setelah mereka berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman. “Di mana rumah awak?”
“Tak payahlah hantar. Rumah saya jauh.” Jawab Alyssa Delaila sambil menelan airliur pahit.
“Kalau macam tu, apa yang patut saya buat?”
“Buatlah apa-apa saja…”
“Awak ni…” Prof. Dr. Ismadi tidak meneruskan kata, dia hanya menggelengkan kepala. Kereta terus menyusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sesak. Tiba di satu persimpangan lantas kereta itu membelok ke Highway Jalan Kucing. Prof. Dr. Ismadi tidak tahu ke mana hendak dituju, dia hanya mengikut instinct sahaja. Mereka tidak bersuara beberapa ketika, membiarkan fikiran masing-masing hanyut dalam arus yang tidak ketentuan. Alyssa Delaila lebih banyak berfikir tentang kejadian yang baru berlaku kepadanya sebentar tadi, sementara Prof. Dr. Ismadi memikirkan tentang kali terakhir dia bertemu dengan Alyssa Delaila di studio Jalan Ulu Klang. Sehingga kini dia belum mendapat jawapan mengapa gadis itu mengutip sisa-sisa barangan yang hendak dibuang…
“Laila… Saya nak tanya awak sesuatu.”
Alyssa Delaila menoleh, memandang lelaki yang sedang tekun memandu. Mata lelaki itu tertumpu ke jalanraya yang luas terbentang. Kereta kelihatan masih bertali arus walaupun tidak lagi sesesak tadi.
“Saya…” Dia tidak dapat meneruskan kata-katanya. Ada sesuatu yang tidak kena. Dia tidak mahu Alyssa Delaila merasa malu di atas pertanyaannya itu. Tetapi naluri ingin tahunya begitu kuat.
“Prof.! Tolong masuk ke lorong tu!” Tunjuk Alyssa Delaila tiba-tiba. Kereta membelok lagi, tiba di satu bulatan dan terus memasuki Jalan Batu Caves.
“Awak tinggal di mana?” Ulang Prof. Dr. Ismadi sekali lagi.
Alyssa Delaila tidak menjawab. Dia hanya menggigit bibir dan berkata; “Prof., keluarga saya miskin. Emak saya ibu tunggal. Kami tinggal di kawasan orang Melayu yang susah.”
“Oh ya ke? Bukankah sekarang tiada lagi sting garden?” Kata Prof. Dr. Ismadi mengusik, menoleh sejenak ke arah gadis itu dan tersenyum sendiri. “Itulah yang membuat awak kelihatan berbeza…” Lanjutnya kemudian.
“Berbeza? Apa maksud Prof.? Prof. nak katakan yang saya ni seorang gadis yang pelik kan? Hanya ada satu dalam seribu!!” Katanya sambil tersenyum manis.
“Memang pun!” Sahut Prof. Dr. Ismadi sambil tersenyum lagi.
“Apa yang nak saya katakan, ibu saya seorang wanita yang tabah.” Katanya perlahan seolah-olah pada diri sendiri sahaja. “Kami dah banyak harungi kesusahan. Memang kami pernah tinggal di rumah setinggan. Tetapi ibu saya gigih berusaha untuk meningkatkan taraf hidup kami. Dia menyimpan duit sehingga dapat memiliki rumah teres yang kami duduk sekarang.”
Prof. Dr. Ismadi mengangguk.
“Sekarang ibu awak pasti gembira kerana awak telah berjaya menjadi seorang siswi. Bukankah begitu?”
Alyssa Delaila memandang Prof. Dr. Ismadi. Dahinya berkerut. “Saya tahu. Saya nampak awak di dewan kuliah pada hari pertama awak di sana. Awak duduk bersebelahan dengan Haiqal.”
Alyssa Delaila benar-benar takjub. Alyssa Delaila mengangguk. Dia tidak menyangka Prof. Dr. Ismadi sedar kehadirannya. Prof. Dr. Ismadi tiba-tiba ketawa lembut sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Selalukah awak ke sana? Maksud saya berada di bangunan MLS tu?”
Alyssa Delaila menggeleng. “Itulah kali pertama dan terakhir.”
Dia ingin bertanya mengapa Prof. Dr. Ismadi berada di kawasan itu pada petang-petang begini, tetapi tidak sempat bertanya Prof. Dr. Ismadi menyatakannya sendiri; “Saya memang selalu berada di kawasan itu, terutama pada petang Sabtu dan Ahad. Saya ada sebuah studio di tingkat empat bangunan itu.”
“Studio?”
Dia mengangguk. “Studio tu adalah seperti satu tempat pelarian bagi saya. Kalau saya tension dengan kerja dan tekanan, saya akan ke situ seorang diri. Cuba tenangkan fikiran… Cari ilham untuk menulis skrip, atau melukis. Atau sekadar datang untuk mendengar muzik. Saya akan menghabiskan masa dengan melukis hingga larut malam, kadang-kadang tidur di situ. Saat itu saya tidak suka diganggu sesiapa. Handset akan saya tutup. Saya tidak pernah beritahu sesiapa tentang tempat itu…”
“Prof ada keluarga? Isteri tak marah?” Kata Alyssa Delaila sambil ketawa kecil, menutup rasa dadanya yang bergetar. Entah mengapa hatinya tidak keruan apabila menyebut tentang isteri lelaki itu.
“Hmmm… Dia seorang yang sangat memahami jiwa seni suaminya.” Kata Prof. Dr. Ismadi sambil ketawa lembut. Ah! Betapa tawa itu terdengar begitu mersik dan lembut menyentuh hatinya
Alyssa Delaila terus menerus menahan debar yang melanda dadanya. Dia menggenggam tangannya yang kedinginan. Bibirnya yang menggeletar digigit, dengan kuat. Dia menjeling Prof. Dr. Ismadi yang tekun memandu di sisinya. Rasa tidak selesa bila bersama berdua sahaja dengan lelaki itu semakin menghilang, diganti dengan rasa berat hendak melangkah pergi meninggalkannya.
Kini kereta lelaki itu memasuki simpang masuk ke taman perumahan Alyssa Delaila. Akhirnya dia memberitahu juga di mana tempat dia tinggal. Jika boleh dia ingin lebih lama berada di dalam kereta lelaki itu tetapi malang sekali rumahnya yang terletak di Jalan 14, sudah semakin hampir. Mahu tidak mahu dia terpaksa mengucapkan selamat jalan dengan hati yang berat.
Harapannya mereka akan dipertemukan semula secepatnya… bukan bertemu di kelas toturial atau di dewan kuliah.
Awal Isnin yang cerah itu, Prof. Dr. Ismadi masuk ke kelas toturial dengan wajah ceria. Dia memandang mesra ke arah Alyssa Delaila yang duduk di meja paling hadapan, benar-benar bertentangan dengan mejanya. Hati Alyssa Delaila melonjak riang setiap kali bertatapan dengan lelaki itu. Senyuman menguntum mesra di bibir. Tetapi saat itu hatinya langsung tidak pernah terfikir akan usia yang membentengi mereka berdua. Apa yang difikirkannya adalah keseronokan setiap kali bertemu dan pertemuan itu telah membibitkan kemesraan yang tidak bisa ditafsirkan oleh sesiapa.
Bab 4
“IBU engkau tu, bagaimanakah orangnya? Apakah dia cantik dan baik? Apakah dia seorang wanita yang hebat? Apakah dia orang seni?” Alyssa Delaila menyoal bertalu-talu, tidak sabar ingin mengetahui tentang peribadi ibu Haiqal. Dahi Haiqal berkerut. Dia tertawa lembut, merenung tepat ke dalam mata gadis itu yang amat dahagakan maklumat tentang emaknya. Kenapa? Hatinya sempat berbisik.
Terbit rasa hairan di hati. Sejak sebulan dua kebelakangan ini memang mereka agak rapat. Sering ke cafeteria dan ke librari bersama. Mereka kerap kali berbincang tentang pelajaran namun tidak pernah sekalipun tersasar ke arah lain. Dia mengakui memang Alyssa Delaila seorang gadis yang cantik. Kalau berjalan bersamanya ada sahaja mata yang memandang cemburu. Tetapi itu semua tidak pernah dia pedulikan. Baginya persahabatan antara dia dan Alyssa berlandaskan kejujuran dan keikhlasan.
Mengapa Alyssa Delaila begitu terdesak ingin mengetahui segalanya tentang ibunya? Namun dia tidak akan menghampakan gadis itu. Dia juga menyukai Alyssa Delaila. Dia yakin tentang sesuatu, Alyssa Delaila juga punya hati dan perasaan terhadapnya. Sebagai gadis timur pastilah dia tidak akan membuka langkah terlebih dahulu!
“Sabarlah. Biar aku jawab satu persatu. Tapi sebelum tu aku ingin tahu kenapa kau berminat hendak tahu pasal ibuku?” Kata-kata Haiqal bagaikan mencabar Alyssa Delaila. “Aku bukannya kedekut ataupun perahsia. Aku cuma hairan mengapa tiba-tiba saja kau nak tahu?”
Alyssa Delaila menggigit bibir, wajah Haiqal ditenungnya. Anak muda itu tertawa lembut, menampakkan barisan gigi yang putih bersih.
“Salahkah? Aku hendak tahu tentang seorang wanita yang…” Dia terdiam sejenak kemudian menyambung; “Seorang wanita yang melahirkan seorang lelaki kacak dan bijak macam engkau. Bolehkan?”
Haiqal tergelak mendengar pujiannya itu. Hatinya kembang. Bukan mudah untuk mendapat pujian secara terus terang begitu…
Engkau jahat Laila! Hatinya mengutuk diri sendiri. Sebenarnya dia hendak tahu bagaimana rupa wanita yang dicintai oleh Prof. Dr. Ismadi. Wanita yang dikatakan seorang yang amat memahami, tidak langsung mencemburui suaminya. Hatinya benar-benar didesak ingin tahu ciri-ciri yang dimiliki oleh isteri kepada lelaki itu.
Alyssa Delaila tersenyum kemudian mencapai minuman lantas meneguknya perlahan-lahan.
“Oh! Sebab itu rupanya! Jadi, aku ni kacak? Bijak?” Balas Haiqal masih lagi ketawa. Dia gembira mendengar pujian itu. Tidak disangkanya Alyssa Delaila memujinya setinggi langit. Sedangkan dia merasakan bahawa dia hanya seorang pemuda yang sederhana dari segi rupa paras dan penampilan. Walaupun dia anak salah seorang tenaga pengajar di universiti itu tetapi dia tidak pernah bangga diri.
“Aku ni punya satu kelemahan, iaitu tak pandai bercerita. Kalau hendak kenal dengan ibuku, datang saja ke rumah pada hari Sabtu ni, bagaimana? Boleh aku kenalkan pada mama… Aku akan katakan begini; Mama, ini dia bakal isteri Haiqal…” Dia pula mengusik sambil merenung muka Alyssa Delaila yang berubah menjadi merah padam.
Alyssa Delaila buru-buru mencubit lengannya. Bibir gadis itu tercebik. “Kalau kau cakap macam tu, aku tak mahulah pergi rumah engkau. Selama-lamanya tidak!” Katanya pura-pura merajuk.
“OK.OK… Habis nak cakap apa pada mamaku nanti?”
“Cakaplah kawan… Kawan biasa je…”
“Tak bestlah kalau cakap kawan!” Kata Haiqal perlahan.
“Memang betul kita kawan kan? Buat apa nak tipu? Tak baik… berdosa tau!”
‘Tapi aku tak mahu menganggap engkau hanya sebagai kawan…’ tutur Haiqal di dalam hatinya. Dia terpaksa memberikan persetujuan biarpun hatinya meronta-ronta tidak ingin berbuat demikian. Dia tidak harus menangguhkan peluang yang ada.
“Tapi hari Sabtu ni aku nak balik ke Selayang.” Kata Alyssa Delaila kemudian.
“OK.” Haiqal mengangguk. “Masih ada minggu depan…”
HARI SABTU dia pulang ke Selayang Baru. Rasa rindu untuk pulang dan menemui ibunya mengisi dada. Dia rindukan masakan Safura. Dia teringatkan kamar tidurnya yang sudah lama ditinggalkan. Dan lebih penting dari segalanya… Sudah lama dia tidak membelek-belek ‘memori’ indah yang ditinggalkannya di kamar itu.
Dia tertanya-tanya sendiri apabila tiba di rumah, terdapat sebuah kereta di hadapan pagar. Kereta itu tidak dimasukkan ke bawah porch. Kereta siapa? Bisik hatinya sendiri sambil menolak pintu pagar besi setinggi 1 meter itu. Kereta kancil milik Safura ada di porch. Dari arah pintu yang terbuka luas dia mendengar suara perbualan. Suara lelaki terdengar begitu jelas berbual-bual dengan Safura.
Alyssa Delaila menjenguk ke pintu sambil memberi salam. Safura yang ada di ruang tamu itu terkejut melihat kepulangannya. Dia segera bangun menyambut kepulangan anak gadisnya itu.
“Ibu tak sangka Laila balik minggu ni!” Kata-kata Safura kedengaran aneh. Alyssa Delaila merasakan tiba-tiba Safura tidak suka dia balik. Dia dapat rasakan bahawa Safura sedang menyembunyikan sesuatu.
Alyssa Delaila tidak menjawab. Dia memandang ke arah lelaki ada di ruang tamu itu yang hanya mendiamkan diri. Siapakah dia? Soal hatinya bertalu-talu. Sudah kerap kalikah lelaki itu datang semasa ketiadaannya? Mata mereka saling beradu. Tiba-tiba Safura menyuruh dia naik ke tingkat atas.
Alyssa Delaila tidak membantah walaupun dia tidak ingin tahu apa yang sedang mereka bincangkan. Tiba di kamarnya dia menghempas tubuh di atas tilam. Sebentar kemudian dia bangun perlahan-lahan menuju ke meja studi. Laci paling atas meja itu ditarik. Matanya tertuju ke arah bungkusan gula-gula berperisa oren yang tersimpan di situ. Dia tersenyum sendiri. Satu persatu memori itu terakam kembali di ruang matanya. Di dalam laci itu juga terdapat sebuah kotak rokok berjenama DUNHILL. Dia turut memandang ke arah botol mineral yang kosong isinya tergolek di sudut laci.
Semua barang-barang itu diambil dan diletakkannya di atas meja. Ditatapnya satu persatu. Aku meminati dirimu… Bisiknya tanpa sedar. Aku merinduimu. Suaramu sentiasa menghantuiku. Setiap aksi dan gerakan yang kau pamerkan buat jantungku berdegup dan bergetar lebih kuat dari biasa…
Alyssa Delaila tersentak, mendengar bisikan suara hatinya sendiri. Benarkah dia sudah jatuh cinta pada lelaki itu? Apakah dia menyukai Prof. Dr. Ismadi kerana rasa kehilangan kasih sayang seorang bapa? Dari lelaki tua itu dia mendapat kemesraan dan perhatian. Tidak… kepalanya tergeleng-geleng sendiri. Dia bukan sekadar menyukai lelaki itu. Dia mengharapkan lelaki itu hadir dalam hidupnya, mengisi kekosongan jiwanya dan mengubati luka perasaannya… Titisan air jernih mulai menabiri mata. Dia memejamkan mata, tidak ingin memikirkan lagi tentang hal itu. Tetapi alangkah mustahil, perkara itu bagaikan sudah sebati, dalam darah dan daging…
Oh! Tuhan… Jangan ada sesiapa yang terseksa dengan cinta seperti ini. Cinta yang terlarang dan terbuang. Cinta terhadap seorang lelaki yang telah pun berkeluarga, punya anak isteri yang sangat disayangi. Dan dia akan terbiar hanya merasai kepedihannya sendirian.
Lelaki itu lain dari yang lain… Dia memang bukan lelaki biasa. Dia istimewa. Dia mempunyai karisma, satu daya penarik yang bukan terdapat pada semua orang. Segala yang ada pada dirinya menambat hati. Aku rasa macam nak gila… Gerutu hatinya sendiri, sambil meraba-raba handset di dalam beg yang tadi diletakkan di atas katil. Dia menulis SMS ditujukan kepada Syazwina.
“Sya!” Tulisnya dengan jari-jari yang gementar. “Hatiku pedih terhiris, mataku dipenuhi airmata…”
Beberapa minit kemudian telefon bimbitnya yang bergetar dan berbunyi. Dia mendapat balasan daripada Syazwina. “Apa dah jadi pada kau? Siapa yang telah menyakti hati sahabatku?” Tanya Syazwina.
“Cinta ini bukan milikku Sya… Kalau kutahu cinta itu sakit, tak ingin aku jatuh cinta. Tetapi kita takkan tahu bila dan mengapa kita jatuh cinta. Memang pelikkan? Cinta buat manusia bahagia, dan cinta bisa buat manusia derita.”
“Jangan buat kerja gila. Ini bukannya main-main. Kita ada tanggungjawab terhadap ibubapa masing-masing. Lupakan dulu soal cinta!” Nasihat Syazwina.
“Aku tahu, Sya! Tapi dia adalah sumber inspirasiku. Tapi aku terpaksa melupakannya…”
“Baguslah. Tapi boleh aku tahu siapakah dia jejaka yang bertuah itu. Jejaka yang berjaya mencuri hati kau. Aku yakin dia bukanlah Irfan.”
Alyssa Delaila merenung tulisan yang tertera. Dia tidak sanggup untuk memberitahu Syazwina rahsia hatinya. Belum masanya. Dia tahu Syazwina tidak akan menyokong dirinya andai gadis itu tahu segala yang tersimpan di sanubari. Tiba-tiba dia rasa malu. Jatuh cinta pada pensyarah sendiri memang tidak wajar, apalagi lelaki itu sudah punya keluarga. Punya anak isteri dan punya kehidupan yang bahagia. Kehadirannya hanya sebagai pengacau! Dia tidak sanggup untuk menghancurkan keluarga orang lain.
Tidak! Dia mesti membuang perasaan ini jauh-jauh. Alyssa Delaila melepaskan keluhan berat. Kini dia digayuti perasaan bersalah. Bersalah terhadap Haiqal dan keluarganya. Dia tidak seharusnya menyimpan perasaan ini. Oh! Tuhan… Keluhnya. Mengapa aku jadi begini? Mengapa aku jadi seperti orang yang tidak rasional lagi selepas bertemu dengan Prof. Dr. Ismadi? Mengapa pertemuan ini harus terjadi. Pertemuan yang disusuli dengan perpisahan. Kusangka itulah penamatnya. Tetapi siapa sangka sekarang kami semakin kerap pula dipertemukan. Apakah ini takdir yang sudah tersurat? Apakah ini namanya dugaan yang harus ditempuh? Aku tak sanggup meneruskannya…
Pintu kamarnya diketuk kuat. Alyssa Delaila tersentak, meletakkan handsetnya di atas meja lantas berjalan ke pintu. Safura ada di luar. Wanita itu merenungnya sejenak dan berkata; “Laila tahu siapa di bawah tu?”
Alyssa Delaila menggelengkan kepala.
“Marilah turun. Biar ibu kenalkan Laila padanya.”
Alyssa Delaila terperanjat sedikit mendengar suara Safura yang serius sahaja. Namun dia menurut langkah ibunya yang sudah pun mendahului menuruni tangga.
“Laila… Inilah bapa kandung engkau.”
Alyssa Delaila benar-benar terkejut. Dia hilang kata-kata beberapa saat, matanya memandang lelaki yang duduk tenang di sofa. Kepala Alyssa Delaila tergeleng-geleng.
“Tidak…” Pandangannya mulai berbalam-balam digenangi airmata. Anehnya tiada perasaan gembira yang hadir di hatinya meskipun itulah saat yang dinanti-nanti, ingin melihat wajah bapanya yang selama ini hanya satu misteri. Setelah berhadapan, mengapa tiada sekelumit pun rasa bahagia saat itu? Dia memandang kosong, langsung tidak punya hati untuk mendekati biarpun sebelum ini dia amat merindui kehadiran lelaki itu. Setelah pertemuan yang tidak diduganya itu berlaku, hatinya menjadi beku.
“Laila!” Seru Borhan perlahan seraya bangun. “Marilah dekat ayah, nak…”
Tiba-tiba Alyssa Delaila merasa jijik. Bibirnya tercebik mendengar permintaan Borhan. Dia meluru ke pintu. Tidak ingin dia melihat wajah lelaki itu lebih lama. Dia lebih rela sekiranya lelaki itu tidak datang langsung ke situ. Dia tidak ingin memanggil lelaki yang tidak bertanggungjawab itu dengan panggilan ayah.
“IBU tidak ajar kau menjadi biadap.” Kata Safura menahan marah. Dia memang langsung tidak menyangka Alyssa Delaila melarikan diri setelah memperkenalkan Borhan kepadanya. Bukankah selama ini Alyssa Delaila mengharapkan kehadiran lelaki itu?
“Mengapa kau melarikan diri? Ayah kau tunggu hingga ke petang. Dah pukul sepuluh malam baru kau balik. Ibu ingat kau dah tak mahu balik lagi ke sini…”
Alyssa Delaila tidak menjawab. Dia menundukkan mukanya, memandang lantai. Dia tahu Safura marah. Memang dia sengaja balik lewat. Dia menghubungi Prof. Dr. Ismadi. Lelaki itu berada di studionya seorang diri. Kedatangan Alyssa Delaila sangat dialu-alukan. Pada pensyarahnya itu diceritakan tentang pertemuan tidak disangka dengan bapanya. Prof. Dr. Ismadi menasihatinya supaya pulang. Jika diikutkan hatinya dia tidak mahu balik-balik lagi ke rumah Safura.
“Laila…” Seru Safura perlahan setelah diam beberapa ketika. “Beri dia peluang.”
“Peluang kata ibu? Mengapa baru sekarang dia datang menjenguk Laila? Dia tak tahu Laila ni wujud?” Tanya Alyssa Delaila perlahan, cuba menentang muka ibunya. “Selama ini dia tidak pernah hiraukan Laila? Kenapa dia datang ke mari?”
Safura diam lagi beberapa ketika kemudian berkata; “Sebenarnya sejak dua tahun ke belakangan ni dia selalu datang.”
“Tapi dia datang masa Laila tak ada kan? Selama ini Laila ingatkan ibu dan ayah dah terputus hubungan. Rupa-rupanya Laila tertipu…”
Safura menggigit bibir. “Tidak Laila. Ibu bukannya menipu engkau.”
“Habis apa?”
“Engkau tak faham!”
“Jangan anggap Laila bodoh ibu! Laila bukannya bodoh…” Alyssa Delaila bosan melihat cara Saafura melayaninya tak ubah seperti seorang anak kecil yang boleh dibohongi dan diperbodohkan selalu. Dia sudah cukup dewasa untuk memahami situasi itu sekiranya ibunya bersikap lebih terbuka dengannya.
“Ayahmu datang memohon bantuan, dia dalam kesusahan sekarang, berdepan dengan berbagai masalah. Masalah kewangan dan masalah anak-anak… Sekarang masalah isterinya…”
“Ooo… Bila susah baru datang cari ibu? Dia tak malu ke? Selama ini kalau kita susah, tak ada pula dia datang menolong. Ibu dah lupa pada semua kesedihan ibu? Laila tak pernah lupa ibu. Laila tengok sendiri kesedihan ibu. Ibu pernah kata, sebab Lailalah ibu jadi kuat untuk menempuh hidup walau tanpa ayah.”
“Laila! Kau tak faham! Kau fikir mengapa ibu tak pernah bernikah lagi walaupun ramai yang mahu? Ibu masih cintakan ayah kau…”
Kata-kata itu membuat Alyssa Delaila tersentak. Perkataan cinta yang baru diungkap oleh ibunya itu membuat dia terfikir sesuatu. Ibunya seorang wanita yang setia pada hanya satu cinta… iaitu bapanya. Tetapi adakah lelaki itu menghargainya?
Mereka sama-sama terdiam sejenak. Safura mengerti kemarahan yang bersarang di dalam diri Alyssa Delaila. Direnungnya wajah anak gadis itu. Ada kesedihan dan kepiluan yang bertamu. Dia turut merasainya. Bukan dia mengharap untuk kembali kepada Borhan. Tidak sama sekali. Dia hanya ingin menolong setakat yang termampu. Kini hidupnya agak senang. Tuhan telah memperluaskan rezekinya kerana dia rajin berusaha. Jika dahulu dia hanya pembantu tadbir, tetapi disebabkan dia rajin belajar dan bekerja dengan tekun dia telah dinaikkan pangkat demi pangkat sehingga kini berjaya menjawat jawatan sebagai pegawai.
“Laila, walau bagaimana pun dia tetap ayah Laila.”
Alyssa Delaila diam membatu.
“Bila ada kelapangan, kau boleh ke rumah ayahmu Laila. Kau boleh mengenali adik-beradikmu yang lain. Mahukah kau mengenali mereka?”
Alyssa Delaila terdiam. Rupa-rupanya dia punya adik beradik lain yang tidak pernah dikenalinya. Memang bapanya meninggalkan Safura untuk bernikah dengan wanita lain ketika dia masih di dalam kandungan. Kini hatinya bertambah marah dan rusuh… Tetapi Safura dengan mudah memberikan kemaafan pada bekas suaminya itu.
“Sudahlah! Tak ingin Laila nak berbaik-baik pula dengan adik tiri! Huh!!!” Alyssa Delaila mengeluh kuat dan berlari naik ke biliknya. Daun pintu bilik tidur dihempas kuat.
Safura menggelengkan kepala. Dia tidak sangka hati Alyssa Delaila menjadi begitu keras, setelah sekian lama tidak mendapat belaian dan kasih sayang seorang ayah. Dia tidak menyalahkan Alyssa Delaila. Dia sedar, Borhan juga bersalah. Harapannya lambat laun Alyssa Delaila akan memberikan kemaafan kepada bapanya itu.
Bab 5
“BETULKAH rumours yang aku dengar. Sekarang kau sedang bercinta dengan Haiqal? Rupa-rupanya dialah jejaka yang engkau cuba rahsiakan dari aku. Sampai hati tak mahu beritahu sahabat kau ni, sehingga aku harus mendengarnya dari mulut orang lain!”
“Taklah. Kami hanya kawan.” Alyssa Delaila menafikan khabar angin yang baru dikatakan oleh Syazwina.
“Kawan biasa? Tapi hari ni dia jemput kau seorang ke rumahnya.”
“Kau nak ikut? Jom lah! Taklah aku rasa segan sangat.”
“Ah! Aku tak mahu kacau daun.” Syazwina bersorak sambil bertepuk tangan. “Kalau dah sampai menjemput ke rumah tu… Pastilah akan terjadi sesuatu yang lebih serius selepas ni. Kalau Prof. ada bersama nanti… sampaikan salamku padanya ya?”
Alyssa Delaila kaget mendengar permintaan Syazwina. Dia tidak tahu dari mana gadis itu mendapat cerita bahawa dia dan Haiqal sedang berkasih. Huh! Jauh panggang dari api…serunya di dalam hati. Dia tidak pernah punya sebarang perasaan terhadap Haiqal. Tidak terlintas di mindanya hendak menganggap Haiqal sebagai kekasih walaupun mereka selalu ke hulu ke hilir bersama. Haiqal juga tidak pernah mengungkapkan apa-apa pengakuan. Mereka berdua hanya sahabat baik. Sekurang-kurangnya itulah anggapannya selama ini.
Syazwina yang tadi berbaring kini sudah bangkit dan duduk sambil memeluk bantal. Mukanya nampak berseri-seri gembira.
“Ehhh… Haiqal tu tak ada abang ke? Cubalah kau tinjau-tinjau nanti ya?”
“Gilalah engkau ni! Malulah. Aku takkan buat begitu. Kalau kau nak sangat dekat Haiqal tu pun, ambil lah! Kan aku dah cakap aku dan dia hanya kawan. Jadi, tak perlulah kau nak cari abangnya...”
“Hisy… Engkau ni! Cakap tu biarlah betul sikit!” Balas Syazwina sambil mengibas tangannya.
“Betullah…” Jawab Alyssa Delaila. Aku bukan mahukan Haiqal tapi bapanya… bisiknya di dalam hati. Serentak tangannya terhenti dari memilih baju. Tiba-tiba segumpal rasa bersalah menyelinap di dalam hati. Dia menggelengkan kepala, lantas duduk di atas katil yang dipenuhi dengan timbunan kain baju. Sudah dua tiga kali menukar baju. Semua baju yang sudah dicuba dilambakkannya ke atas katil.
Janji hendak ke rumah Haiqal terpaksa ditunaikan hari itu, walaupun hatinya berat hendak berbuat demikian. Hampir sejurus lamanya dia berdiri di hadapan cermin membelek diri. Kalau setakat mahu ketemu Haiqal, tidak perlulah dia menyusahkan diri. Tapi dia berhasrat hendak bertemu dengan insan lain di rumah itu kelak… Dia mahu kelihatan cantik. Dia mahu menjadi seorang wanita yang anggun, bukannya seperti anak hingusan!
Ah! Dia teringat kembali peristiwa pada minggu lepas. Dia menangis bagaikan anak kecil di hadapan Prof. Dr. Ismadi tanpa rasa segan silu. Dia meluahkan segala kesakitan yang membekam dalam dadanya. Prof. Dr. Ismadi setia mendengar, melemparkan pelbagai nasihat sehingga dia rasa tenang semula. Selepas itu dia dihantar pulang.
“Hai… Susahnya nak buat pilihan, maklumlah nak pergi mengadap bakal emak mertua!” Syazwina semakin galak memerli sambil tersenyum. Dia bangun lantas berdiri di hadapan almari Alyssa Delaila yang terbuka luas. “Ni pakai baju hitam berbunga oren ni. Memang cantik dan sesuai sekali dengan kulit engkau.” Katanya sambil mengambil baju itu dan meletakkannya di atas riba Alyssa Delaila.
“Tak mahulah!” Balas Alyssa Delaila sambil bangun dari atas katil. Dia kebingungan sudah. Hatinya rasa tidak keruan memikirkan masa sudah semakin hampir untuknya berangkat pergi. Beberapa kali dia mengerling jam. Haiqal akan datang mengambilnya di hadapan pagar. Dia mesti bersiap-siap segera supaya anak muda itu tidak akan menunggu lama.
Akhirnya dia memilih sepasang baju kurung yang pernah dipakainya semasa menghadiri kursus di Ulu Klang suatu masa dulu. Dia memakai baju itu pada hari pertama dia menghadiri kursus. Pada hari itu dia dan Syazwina terlambat datang…
Segalanya kembali terimbas semula dalam fikirannya saat dia menyarungkan baju itu ke badan. Dia menyikat rambut yang sememangnya langsung tidak kusut kemudian sekali lagi membelek dirinya di cermin. Barulah dia merasa puas hati.
Haiqal memujinya ketika dia masuk ke dalam kereta lelaki itu. “Cantiklah engkau hari ni!” Kata anak muda itu sambil tersenyum.
“Terima kasih.” Jawab Alyssa Delaila sambil tersenyum mesra.
“Aku betul-betul tak sangka kau setuju untuk datang ke rumahku … Aku ingat kau main-main saja. Untuk pengetahuan engkau, inilah kali pertama aku bawa balik kawan perempuan.” Kata Haiqal meneruskan senyumannya.
Dia menjangkau tangan mengambil mawar merah yang terletak kusyen belakang lantas menyerahkannya kepada Alyssa Delaila.
“Bunga ni untuk engkau… Aku juga tak pernah beli bunga untuk perempuan, tak tahu samada engkau suka mawar merah atau tidak.” Alyssa Delaila menyambut bunga itu sambil berkata; “Sebenarnya aku suka bunga anggerik. Walau bagaimana pun terima kasih banyak-banyak. Aku juga sebenarnya tidak pernah terima bunga dari mana-mana lelaki!”
‘Tak sangka, Haiqal ni romantis juga, walaupun kadang-kadang kata-katanya agak kasar dan suka bertengkar, untuk menegakkan pendapatnya. Apakah Prof. Dr. Ismadi juga romantis orangnya? Ah! Mengapa aku asyik membuat perbandingan antara mereka berdua? Gerutu hati Alyssa Delaila.
Alyssa Delaila mengulum senyum, dia mencium bunga yang ada di pangkuannya.
“Sama-sama.” Jawab Haiqal tersenyum senang.
“Betulkah engkau tak pernah terima bunga dari lelaki lain?”
“Kenapa? Engkau tak percaya?”
“Susah nak percaya…” Jawab Haiqal meneruskan gelak. Kereta mulai dipandu pergi meninggalkan tempat itu.
“Sebenarnya aku tak pernah bercinta, walaupun ramai kawan perempuan… Tak pernah ada yang serius. Hanya kawan biasa. Tapi bersama engkau aku rasa lain…”
Alyssa Delaila menjeling Haiqal kemudian menjawab; “Janganlah. Aku belum bersedia ke arah tu!” Jawab Alyssa Delaila seboleh mungkin mengelak. “Eh, cakap hal lain boleh? Emak engkau tahu aku nak datang?”
“Tentulah dia tahu…” Jawab Haiqal. “Tapi dia tidak berapa sihat.”
“Sakit apa?” Alyssa Delaila benar-benar ingin.
“Emakku sebenarnya dah lama sakit. Kanser.”
“Kasihan…” Keluh Alyssa Delaila perlahan. Dia tidak tahu sebenarnya rasa kasihan itu tertumpah kepada siapa. Kepada emak Haiqal yang menanggung sakit atau kepada bapanya yang kesepian? Patutlah dia suka menghabiskan masa seorang diri di studio…
“Memang kasihan. Dah beberapa tahun dia mengidap kanser. Hospital dah jadi rumah kedua.” Beritahu Haiqal perlahan.
“Kanser? Kanser apa?”
“Kanser rahim.”
Mereka diam beberapa ketika, Haiqal seperti enggan bercerita tentang penyakit emaknya lagi. Alyssa Delaila dapat merasakan bahawa anak muda itu sebenarnya sedih hendak bercerita. Siapa yang tidak takut kehilangan ahli keluarga terutama sekali seorang ibu. Apalagi kalau perhubungan antara mereka sangat rapat.
Rumah Haiqal terletak di satu kawasan elit di pinggir kota. Pada tiang pintu pagar tertulis kata; Casa Cempaka. Alyssa Delaila memandang ke arah atap genting berwarna merah terang. Terdapat sebuah wakaf berbumbung tinggi seperti rumah minang. Wakaf itu terletak di sisi rumah, di situ terdapat pula kolam ikan koi. Rumput hijau memenuhi halaman yang luas.
“Mari!” Ajak Haiqal sambil berjalan mendahului menghala ke pintu utama. Namun mata Alyssa Delaila tertambat ke arah wakaf yang cantik terbina dari kayu resak itu. Matanya memandang ke arah sisi wakaf. Terdapat sebuah pintu gelongsor dan di hadapan pintu yang separuh terbuka itu dia melihat seorang wanita sedang berbaring di atas kerusi malas sambil matanya asyik memerhati ikan di dalam kolam.
Siapakah wanita itu? Apakah dia ibu Haiqal?
Alyssa Delaila bergerak masuk apabila dipanggil oleh Haiqal yang sudah pun membuka pintu utama seluas-luasnya. Sofa fabrik warna merah hati menyambut kedatangan tetamu. Mata Alyssa Delaila tertawan melihat ruang hiasan dalaman yang sungguh menawan dan cantik. Haiqal meminta diri untuk masuk ke dalam, menemui ibunya yang berada di dalam kamar.
Mata Alyssa Delaila tertambat pada potret yang disusun kemas di atas meja konsol. Dia bergerak ke arah meja tersebut, meneliti foto yang diletakkan di dalam bingkai.
Satu demi satu foto di dalam bingkai itu dibeleknya. Dia melihat gambar-gambar sewaktu Prof. Dr. Ismadi masih muda. Terdapat juga foto-foto ahli keluarga itu. Dia memerhati setiap satu dengan penuh asyik. Sebenarnya mata Alyssa Delaila lebih banyak tertambat pada seraut wajah Prof. Dr. Ismadi. Dia memegang foto Prof. Dr. Ismadi, tersenyum sendiri sambil jari-jarinya mengusap foto tersebut.
“Haiqal!!” Suara Prof. Dr. Ismadi yang muncul secara tiba-tiba dari bahagian dalam mengejutkan Alyssa Delaila. Bingkai gambar yang sedang dipegangnya terlepas, jatuh ke atas lantai lalu pecah berderai. Prof. Dr. Ismadi kelihatan terkejut melihat kehadiran Alyssa Delaila di rumahnya. Keningnya bercantum. Buat beberapa ketika dia hilang kata-kata. Matanya menatap sebenar ke arah bingkai gambarnya yang pecah. Suaranya kedengaran cemas, bertanya; “Awak buat apa kat sini?”
“Saya datang dijemput Haiqal…”
“Oh!” Barulah dia kelihatan lega. “Mana Haiqal?” Tanya Prof. Dr. Ismadi sambil matanya melilau sekeliling ruang tamu yang lengang. Saat itu dia melihat pembantu rumah datang membawa dulang berisi minuman dan kuih. Dulang itu diletakkannya di atas meja kopi di ruang tamu.
“Minah! Awak bersihkan kaca ni!” Kata-katanya seperti perintah. Alyssa Delaila memandang muka Prof. Dr. Ismadi yang kelihatan kelam kabut. Wajahnya tegang. Apakah dia marah kerana bingkai gambarnya pecah? Atau ada sebab-sebab lain yang membuat wajah mesra proffesor itu tidak terpamer lagi.
Minah terburu-buru ke dapur mengambil penyapu dan penyodok sampah.
“Maafkan saya…” Kata Alyssa Delaila, rasa bersalah yang amat sangat.
“It’s ok. Tak apa!” Sahutnya pantas. Mengapa Alyssa Delaila datang? Untuk apa? Mengapa dia harus menggelabah melihat gadis manis itu hadir tanpa diduga di hadapan matanya? Gadis itu memang selalu muncul dan hilang dalam hidupnya kini, seperti sebuah mimpi yang panjang. Dia bergerak naik ke tingkat atas, berlagak seolah-olah Alyssa Delaila tiada di situ. Sebenarnya dia sedang menyembunyi rasa gementar.
Haiqal muncul tidak lama kemudian lantas bertanya; “Aku dengar suara papaku tadi…”
“Ya… Dia panggil engkau! Tapi dia dah naik ke tingkat atas semula.” Beritahu Alyssa Delaila. Haiqal memerhati Minah yang sibuk membersihkan kaca tetapi tidak berkata apa-apa. Minah bergerak masuk membawa penyapu ke bahagian dapur setelah membersihkan kaca-kaca tersebut.
“Ibuku tak boleh keluar dari bilik. Doktor menasihatkannya supaya banyak berehat.”
“Ohhh… Begitu. Kasihan ya?” Alyssa Delaila tidak tahu apa lagi yang harus diucapkan. Ingatannya masih berselirat bagaikan rambut tersimpul mati, matanya dibayangi wajah Prof. Dr. Ismadi yang dingin, seolah-olah tidak menyenangi kehadirannya. Bukankah pada minggu lepas dia sangat baik dan prihatin? Aku tak faham perangai lelaki ni… Cepat sangat berubah. Sekejap begitu, sekejap begini!! Keluh Alyssa Delaila di dalam hatinya.
Haiqal diam sahaja. Dia memang berharap ibunya kembali sihat tetapi kesihatan wanita itu semakin merosot kebelakangan ini. Keluar masuk hospital sudah menjadi perkara biasa.
Alyssa Delaila menyesal datang ke situ. Mengapa segala yang dibuatnya serba tidak kena. Kini dia tidak senang duduk. Apa yang difikirkannya sekarang adalah meninggalkan rumah besar agam milik Prof. Dr. Ismadi supaya dia tidak terus berfikir lagi tentang lelaki tua itu. Dia cuba mententeramkan perasaannya yang berkecamuk dengan menyatakan bahawa dia tidak menyukai Professor tua itu. Dia bencikan sikapnya yang mudah berubah, mempunyai dua personaliti bila berada di dua tempat berbeza. Dia hanya mahu mendampingi Haiqal, anak muda yang kacak dan sebaya dengannya.
“Aku harap dia cepat sembuh.” Kata Alyssa Delaila seakan-akan memujuk sambil tangannya mencari tangan Haiqal. Tangan anak muda itu digenggamnya erat.
Haiqal tidak melepaskan peluang, bukan selalu hatinya dipujuk seperti itu!
Haiqal mengangguk walaupun dia merasakan bahawa emaknya tidak akan sembuh sepenuhnya. Bila-bila masa sahaja dia akan pergi meninggalkan dia dan adik beradiknya yang lain. Doktor sudah pun menjelaskan bahawa harapan untuk ibunya terus hidup amat tipis. Paling lama pun dia hanya dapat bertahan selama setahun.
Mereka masih saling berpegangan tangan beberapa ketika, tersentak apabila terdengar suara Prof. Dr. Ismadi muncul sekali lagi. Serta merta tangan mereka terlerai seraya muka masing-masing tertoleh serentak ke arah suara itu. Prof. Dr. Ismadi muncul dari tingkat atas. Lelaki itu berpakaian kemas. Baju kemeja biru muda dipadankan dengan seluar panjang hitam. Kotnya berlipat kemas, tersangkut di lengan. Dia menuruni tangga dengan langkah gagah, berhenti di hujung tangga dan berkata kepada Haiqal tanpa memandang wajah Alyssa Delaila langsung; “Papa dah nak pergi…” Katanya dengan suara yang mersik seperti biasa.
Kau memang aneh! Fikir Alyssa Delaila. Diluar kau sangat baik terhadapku, prihatin dan sentiasa bersedia menolong. Tetapi mengapa di rumah ini, di hadapan anakmu, kau pura-pura tidak mengenaliku? Kau kejam! Tahukah kau sebab musababnya aku sanggup datang ke rumah ini? Tujuanku hanyalah untuk bertemu dan mengenalimu dengan lebih dekat…
“Pastikan mama kau mengambil ubat-ubatnya mengikut waktu. Jika ada apa-apa, lekas-lekas call doktor. Harap kau tidak akan ke mana-mana!”
Haiqal mengangguk. “Tidak.” Sahutnya lembut. “Saya memang tidak akan ke mana-mana. Barangkali petang nanti baru saya akan hantar Laila balik…”
Kening Prof. Dr. Ismadi terangkat namun tidak berkata apa-apa.
“Jangan biarkan mama bersama orang gaji saja.” Pesan Prof. Dr. Ismadi. “Kalau nak keluar, pastikan kakak kau ada.”
“Kak Long memang akan datang sekejap lagi. Katanya mahu makan tengahari di sini…” Beritahu Haiqal lagi. “Kau pun makan tengahari di sini, Laila.” Kata Haiqal menoleh pada Alyssa Delaila di sisinya.
Prof. Dr. Ismadi terus berlalu keluar dengan terburu-buru. Kehadiran gadis itu di situ mengganggu fikirannya. Dia berlagak seperti tidak perasan pada Alyssa Delaila langsung. Dia belum pulih dari rasa terkejut melihat Alyssa Delaila dan Haiqal saling berpegangan tangan sebentar tadi. Apakah perhubungannya dengan Haiqal? Mereka kini semakin rapat… barangkali sudah menjadi pasangan kekasih?
Dia terus berjalan laju menghala ke pintu. Alyssa Delaila memandang dengan hati bengkak. Mengapa lelaki itu enggan menegurnya? Dia tertunggu-tunggu teguran mesra dan senyuman dihadiahkan kepadanya. Marah benar dia rupanya kerana bingkai gambar itu telah dipecahkannya tanpa sengaja. Baiklah Prof. Dr. Ismadi! Janganlah bimbang kerana aku akan mengganti bingkai gambar itu, supaya kemarahan kau hilang. Tolonglah maafkan aku!
Hatinya semakin pedih. Dia bagaikan ingin menangis di situ juga. Tetapi dia menahan kesedihannya itu dengan terus meneguk minuman di hadapannya hingga habis. Telinganya menangkap bunyi kereta Prof. Dr. Ismadi mengaum kuat meninggalkan perkarangan rumah banglo dua tingkat itu.
“Papa ada pengambaran pagi ni…” Beritahu Haiqal tanpa dipinta. “Pasti dia balik jauh malam. Malam semalam dia balik pukul tiga pagi. Memang perkara biasa bagi kami. Sebab itulah aku dipertanggungjawabkan menjaga mama.”
“Adik beradik kau yang lain mana?” Dia bertanya sekadar untuk menyambung perbualan itu.
“Kak long sudah berkahwin dan menetap di rumah mereka sendiri, tetapi kerap ke sini, hampir-hampir setiap hujung minggu. Di rumah ni hanya aku, mama dan papa serta tiga orang pembantu rumah.”
Alyssa Delaila menggangguk. Tangannya terasa masih menggigil. Sejurus selepas Prof. Dr. Ismadi berlalu keluar, dia meminta Haiqal menghantarnya pulang.
“Mengapa cepat sangat? Kau tak mahu kenal dengan kakakku dulu?” Tanya Haiqal tidak mengerti.
Alyssa Delaila menggeleng lemah. “Lain kali saja…” Jawabnya lemah. Dia tidak ingin berada lebih lama di rumah itu lagi. “OK. Marilah kita ke bilik tidur mamaku sekejap, untuk memberitahunya yang kau dah nak pulang.” Kata Haiqal sambil merenung mukanya. Alyssa Delaila tidak dapat menolak permintaan itu. Dia bersetuju untuk bersemuka dengan wanita bernama Yang Rashidah itu setelah didesak oleh Haiqal berkali-kali.
Mukanya kelat ketika bertemu pandang dengan Syazwina yang selesa lepak di atas katil. Dahi Syazwina berlapis-lapis melihat mood Alyssa Delaila berubah sudah. Sangkanya gadis itu akan pulang dengan muka ceria tetapi sebaliknya pula yang terjadi. Lebih menghairankan gadis itu pulang awal sebelum menjelang waktu makan tengahari.
“Hei! Kenapa ni? Haiqal menyusahkan kau ke? Dia tak jadi datang?”
“Datang…” Jawab Alyssa Delaila sepatah sambil menghempas tubuh di atas tilam.
“Habis tu, kenapa muka engkau muram?”
“Tak ada apa-apa…” Jawab Alyssa Delaila sambil menelengkupkan mukanya ke bantal. Dia cuba melupakan wajah yang muncul dalam ingatannya saat itu. Wajah tulus, mesra dan baik milik Yang Rashidah. Walaupun dia sakit, tetapi dia tetap tersenyum. Wanita itu sangat baik… bisik hati Alyssa Delaila. Aku pun takkan mampu jadi baik dan tabah seperti dia.
“Masakan tak ada apa-apa! Mesti ada masalah ni, kalau tak, takkanlah engkau macam marah aje.”
Alyssa Delaila menelentangkan badannya, mukanya merenung siling. Sebentar kemudian matanya beralih pula ke wajah Syazwina yang sedang memandangnya tidak berkelip.
“Engkau percaya pada cinta?”
Syazwina mengangkat bahu. “Entahlah… aku tak pernah bercinta.” Jawabnya selamba.
“Kalau aku tahu cinta itu sakit, rindu itu seksa dan cemburu itu seperti api yang membakar, aku takkan jatuh cinta!”
“Wah! Feeling habis…” Kata Syazwina sambil tergelak kecil. “Engkau ni dah benar-benar jatuh cinta pada Haiqal.”
Alyssa Delaila menggigit bibir. Bukan dengan Haiqal! Sama sekali bukan… bisik hatinya. Dia ingin berterus terang tetapi amat takut dan malu. Walau bagaimana pun dia tidak suka dengan anggapan Syazwina itu.
Dia dan Haiqal tidak mungkin jadi kekasih, mereka hanya sahabat. Persahabatan itu lebih jujur dari cinta. Aduh! Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Memang dia sudah gila kerana berperasaan begini, sedangkan orang yang diharapkannya langsung tidak peduli. Mustahil lelaki itu akan peduli padanya! Dia sudah punya seorang isteri yang baik. Dia memiliki sebuah keluarga yang sempurna. Masakan dia akan menyukai seorang gadis hingusan sepertinya!
Tidak! Dia bukan budak hingusan! Dia adalah seorang wanita yang sedang menuju ke alam dewasa. Alyssa Delaila tiba-tiba bangkit. Dia tidak ingin menjadi gadis emosional lagi. Dia harus bangkit untuk membuktikan keunggalan diri. Dia mesti lakukan sesuatu supaya dirinya dipandang dan dikenang oleh lelaki itu!
PROF. DR. ISMADI memandang ke arah pintu apabila terdengar ketukan. Dia menyahut lambat; “Masuk!” Serunya sambil mengemas kertas-kertas yang berlambak di hadapannya. Dia agak terkejut melihat seraut wajah muncul di hadapannya. Wajah gadis itu memandang tepat ke mukanya. Dia cuba mengukir senyum lantas mempersilakan gadis itu duduk di kerusi di hadapan mejanya.
Gadis itu memang tidak pernah datang ke biliknya. Entah apa yang membuat hari itu dia datang. Selalunya jika ada sebarang masalah ataupun kemusykilan dia memang menerima kedatangan pelajar-pelajar di bilik kerjanya itu. Dia seorang yang mudah bertolak ansur, ingin memberikan pengajaran dan pengetahuan yang terbaik terhadap pelajar-pelajarnya di universiti itu.
“Ya? Apa yang boleh saya bantu?” Dia bertanya apabila melihat gadis itu hanya diam.
“Maaf, kalau saya mengganggu Prof.”
Dia ketawa mendengar pertanyaan itu. Entah mengapa dia harus mentertawakan Alyssa Delaila. Kata-kata itu kedengaran sangat formal.
“Tak. Duduklah.” Jawab Prof. Dr. Ismadi sambil tersenyum. “Menurut Haiqal awak balik awal hari tu, sedangkan dia dah suruh pembantu rumah memasak sesuatu yang istimewa.”
Alyssa Delaila tidak menjawab. Dia tunduk sambil membuka beg yang diletakkan di atas riba. Perlahan-lahan dia mengeluarkan bungkusan yang sudah berbalut dengan cantik. Bungkusan itu diletakkannya di atas meja dan disuakannya ke hadapan Prof. Dr. Ismadi.
“Apa ni? Seingat saya hari ni bukan hari jadi saya. Atau awak hendak menyogok bakal bapa mertua awak?” Prof. Dr. Ismadi ketawa. Tawa itu penuh dengan kepahitan.
Alyssa Delaila menggeleng lantas berkata dengan nada dingin; “Siapa kata? Saya tak pernah menyogok untuk dapatkan sesuatu. Lagipun saya tak tahu bila tarikh lahir Prof. Dan bungkusan ni bukannya hadiah. Saya hanya ingin menggantikan barang yang sudah saya pecahkan dulu. Tapi saya tak jumpa bingkai yang serupa. Harap Prof. tak kisah!”
Wajah Prof. Dr. Ismadi berubah mendengar kata-kata Alyssa Delaila. Dia tidak berkata apa-apa sejenak.
“Sebenarnya… awak tak perlu ganti bingkai tu!” Katanya perlahan, kesal. Dia tidak sangka Alyssa Delaila berkecil hati. Keterlaluankah dia selama ini?
“Tapi hati saya tak senang. Prof. seperti marahkan saya. Saya rasa bersalah. Manalah tahu bingkai tu ada sentimental value… Maafkan saya.” Kata Alyssa Delaila sekali lagi.
“Sudah, cukuplah minta maaf. Nanti saya minta awak buat sesuatu yang bukan-bukan, sanggupkah awak buat supaya saya maafkan awak?” Tanya Prof. Dr. Ismadi sambil tertawa kecil.
Alyssa Delaila menggigit bibir, hilang kata-kata. Dia memang tidak mengerti tingkah laku lelaki ini. Hatinya marah dan geram tetapi sebaik sahaja bertemu semua rasa yang beramukan dalam dadanya hilang. Lebih-lebih lagi apabila melihat lelaki itu ketawa.
Prof. Dr. Ismadi memerhati jam di tangannya. “Sebenarnya saya belum makan tengahari, walaupun dah hampir pukul tiga petang. Jom?”
Alyssa Delaila serba salah namun akhirnya dia mengangguk.
“Awak menyintai dia?” Tanya Prof. Dr. Ismadi semasa mereka dalam perjalanan menuju ke Bandar Baru Bangi.
“Apadia? Saya tak faham?”
“Apa sebenarnya hubungan awak dengan Haiqal?”
“Kenapa Prof. bertanya begitu?”
“Saya bertanya sebagai seorang ayah…” Balas Prof. Dr. Ismadi. “Saya nak tahu sejauh mana perhubungan kalian berdua.” Itu hanya satu alasan. Sebenarnya dia ingin tahu untuk menenangkan dirinya sendiri.
Dia memerhati jari-jari Alyssa Delaila yang saling bertaut antara satu sama lain. Masih kuat melekat diingatannya tangan itu bertaut erat dengan jari-jari Haiqal. Dia cemburu. Namun segera sedar sesuatu… Mengapa harus cemburu? Dia bukan siapa-siapa… Hanya seorang lelaki tua! Dan gadis di sisinya itu muda belia… Jurang usia yang memisahkan antara mereka terlalu jauh.
“Sebenarnya saya tak ada perhubungan apa-apa dengan Haiqal. Kami hanya kawan baik…” Terang Alyssa Delaila tegas. Kata-kata itu jelas membuat hati Prof. Dr. Ismadi tenang sedikit, mengharapkan kata-kata itu adalah benar bukannya satu pembohongan.
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. Tetapi mengapa hari itu kulihat kalian berpegangan tangan? Soalnya di dalam hati. Soalan itu tidak berani ditanya secara terang-terangan.
“Kalau kami ada apa-apa… Prof. akan menghalang?” Pertanyaan Alyssa Delaila berbau cabaran.
Prof. Dr. Ismadi ketawa menutup debaran yang tiba-tiba sahaja melanda hatinya.
“Mengapa saya patut menghalang? Berikan sebab-sebabnya…” Balasnya pula. Dia menjeling Alyssa Delaila yang kelihatan tersenyum sendiri. Dia merasakan senyuman itu begitu sinis.
“Saya tak tahu… Prof. kan lebih arif dan bijaksana. Saya rasa kedudukan saya tak setaraf langsung dengan Prof. Saya lahir dalam keluarga yang berpecah belah. Bukan macam keluarga Prof. Isteri Prof cantik dan baik…”
Prof Dr. Ismadi tertawa pahit. Dia tidak memberikan sebarang komentar terhadap kata-kata Alyssa Delaila sebentar tadi.
Dia harus bijak mengawal perasaan sendiri. Bagaimana aku boleh menyukai gadis ini? Prof. Dr. Ismadi kalut memikirkan keanehan dirinya sendiri. Memang dia menyukai setiap pertemuan yang berlaku, malah berharap untuk bertemu selalu. Dan takdir selalu mendekatkan mereka semula setelah berpisah…
Dilihatnya Alyssa Delaila dan Haiqal memang rapat. Dia tidak percaya mereka hanya berkawan biasa. Salah seorang daripada mereka mesti mempunyai perasaan halus, yang mengikat mereka supaya terus bersama. Seperti yang dia rasakan sekarang…
“Masalah awak dengan bapa awak dah selesai?” Dia bertanya, sengaja mengubah arus perbualan. Alyssa Delaila mengangkat kening. Lelaki itu cuba mengheret dia kembali kepada masalahnya sendiri. Sebenarnya dia tidak ingin bercerita tentang bapanya langsung.
Alyssa Delaila mengeluh. “Ibu minta saya memaafkan dia. Ibu begitu mudah menerima ayah semula ke dalam hidupnya… Katanya itu semua kerana cinta. Benarkah? Saya tak mahu percaya walaupun barangkali ianya satu hakikat.” Katanya setelah diam beberapa ketika. “Dia muncul semula di saat saya tidak menduganya. Mengapa dia harus tidak pedulikan saya kalau benar-benar dia sayang dan ambil berat? Sebenarnya dia tidak pernah sayangkan saya…Prof rasa dia sayangkan saya tak?” Kata-kata itu lebih ditujukan kepada lelaki di sebelahnya berbanding bapanya sendiri.
“Kadang-kadang kita kena kembali kepada takdir. Memang sudah begitu kehendak tuhan. Saya percaya, ibubapa awak bukannya suka-suka untuk bercerai berai. Pasti ada sebab mengapa perpisahan terjadi antara mereka.”
Kata-kata Prof. Dr. Ismadi membuat hati Alyssa Delaila sedikit tenang. Dia mengakui kebenarannya. Tiada sesiapa pun yang mahu keluarga yang dibina hancur berantakan. Mahukah dia melihat rumahtangga lelaki itu hancur gara-gara cinta yang tumbuh dalam hatinya? Tidak. Dia tidak sanggup untuk menghancurkan kerukunan rumahtangga lelaki itu.
“Terima kasih Prof.” Kata Alyssa Delaila. “Saya mengerti dan saya berjanji tidak akan menyalah bapa saya ataupun takdir.”
“Bagus. Saya gembira awak mengerti apa yang saya maksudkan.” Kata Prof. Dr. Ismadi lagi.
Beberapa minggu kemudian, Prof. Dr. Ismadi melihat satu perubahan pada diri Alyssa Delaila. Gadis itu lebih banyak berdiam diri di dalam kelas toturialnya. Kalau Prof. Dr. Ismadi masuk untuk mengajar, dia tidak pernah lagi bertanya apa-apa soalan. Dia hanya tekun menyalin nota. Walau bagaimanapun dia masih berdampingan dengan Haiqal. Mereka kelihatan sangat rapat ke mana-mana selalu berdua. Dan dia mulai rasa kehilangan. Seringkali apabila handphonenya bergetar menandakan masuknya pesanan ringkas, dia selalu berharap ianya datang dari Alyssa Delaila. Tetapi seringkali dia hampa. Dia harus belajar melupakan perasaan yang semakin jauh menjalar dalam hatinya sebelum terlambat. Kelak dia juga yang akan merana.
Prof. Dr. Ismadi semakin terganggu melihat keakraban mereka berdua. Bila bersendirian di studio dia sering terbawa-bawa pada ingatan terhadap Alyssa Delaila. Gadis itu seorang yang periang dan selalu tersenyum. Apakah sesuatu yang ditakutinya akan terjadi? Apakah kini Alyssa Delaila dan Haiqal benar-benar sedang memadu kasih? Cetus hati Prof. Dr. Ismadi dengan hati yang pedih.
Kau telah melupakan aku Laila… siapa yang harus aku persalahkan? Haiqal atau diriku sendiri? Atau takdir yang melingkari hidup kita ini!
Bab 6
“PERGILAH Laila. Inilah masanya…” Pujuk Safura dengan lembut. Dia memasukkan baju-baju Alyssa Delaila ke dalam sebuah beg pakaian kecil. Gadis itu tidak membantah. Dia membiarkan sahaja ibunya mengemas pakaiannya. Dia tahu sudah lama Borhan menunggu di ruang tamu. Jika boleh dia mahu menghabiskan cuti semester pertama itu di bersama Safura, tetapi ibunya beria-ria menyuruh dia ke rumah Borhan.
“Bukankah kau memang ingin mengenali ayahmu?”
Hati Alyssa Delaila sudah lama tawar, namun apabila teringatkan kata-kata Prof. Dr. Ismadi yang berharap dia memberikan kemaafan kepada bapanya itu, dia bersetuju. Tetapi bukan bermakna dia akan memberikan kasih sayang… Tiada sebarang rasa yang menyentuh hatinya, walaupun kini dia tahu lelaki di sisinya itu adalah bapa kandungnya.
Perjalanan yang panjang di dalam kereta itu, sepatutnya dihabiskan dengan berbual untuk membina kemesraan tetapi Alyssa Delaila lebih senang tidur. Borhan tidak marah. Dia bersyukur kerana Alyssa Delaila sanggup mengikutnya balik ke Bachok.
Tiba di rumah Borhan, dia agak terkejut melihat suasana di situ. Rumah itu walaupun besar, tetapi bersepah-sepah. Suara riuh terdengar dari dalam rumah, seakan-akan suara orang sedang bergaduh. Tidak lama kemudian terdengar bunyi kaca pecah dan dua orang anak muda bertolak-tolak hendak keluar daripada pintu hadapan yang terbuka luas.
“Bergaduh lagi…” Gerutu Borhan sambil merungut sendiri.
Alyssa Delaila menggelengkan kepala melihat kedua-dua anak muda itu bergumpal di atas simen di ruang berenda yang dikepung dengan batu botol. Dia tidak tahu apa yang harus dibuat, justeru itu dia hanya duduk di dalam kereta. Borhan bergerak ke luar lantas menyergah kedua-dua anaknya yang sedang berkelahi.
“Sudah! Siang malam asyik bergaduh! Tak malu ke?”
Suara Borhan yang kuat, membuat kedua-dua anak muda itu berhenti bertumbuk. Mereka bangun dan berdiri menikus di tepi dinding. Melihat keadaan mulai reda, barulah Alyssa Delaila keluar dari kereta.
“Zamani! Pergi keluarkan beg pakaian kakak engkau dari dalam kereta!” Perintah Borhan. “Dia akan tinggal dengan kita selama seminggu…”
Zamani tidak berganjak. Dia menjeling abangnya yang berdiri di sisinya. Anak muda itu membalas jelingan matanya itu. Zamani menyepak kaki abangnya dengan kuat, tetapi anak muda tidak melawan. Dia takut bapanya yang sedang marah itu akan mengamuk. Tetapi apabila Borhan tidak memandangnya, dia menyiku rusuk Zamani sekuat hati. Zamani terjerit.
“Pergi ambil!” Sergah Borhan.
Zamani terpaksa bergerak. Mukanya cemik sahaja. Saat itu abangnya mempamerkan muka penuh ejekan. Borhan sedar akan hal itu lantas dia menyergah pula anak itu; “Jalil! Engkau pergi kemas ruang tamu! Ayah nampak ada tingkap yang pecah…”
“Mengemas tu kerja orang perempuan!” Sahut Jalil.
“Apa engkau cakap? Bukankah tadi engkau berdua yang buat sepah? Engkau pergi kemas sekarang…”
Borhan memandang ke arah Alyssa Delaila, tersenyum dan berkata lemah; “Macam ni lah keadaan mereka sejak makcik engkau tak ada.”
Alyssa Delaila memang sudah tahu daripada Safura bahawa emak tirinya itu melarikan diri dari rumah. Ayahnya sendiri tidak tahu apakah yang menyebabkan wanita itu lari. Dia cuma mengetahuinya beberapa hari lepas, isterinya itu punya kekasih. Memang gila! Pada usia hampir mencecah empat puluh tahun, wanita itu sanggup lari meninggalkan anak-anak untuk bersama dengan lelaki lain.
Dari dalam rumah terdengar suara tangisan. Borhan menjengah masuk dan terus menuju ke bilik tidur. Anak bongsunya yang berusia dua tahun menangis, baru terbangun dari tidur. Keadaan di dalam rumah tunggang langgang. Jalil dengan gaya malas, sambil menjeling pada Alyssa Delaila, cuba mengemas. Kusyen yang bertaburan disusunnya lambat-lambat dan berlengah-lengah.
“Tiga orang adik-adik kau yang lain keluar bermain…” Kata Borhan mengagak-agak sendiri. Ke mana lagi di waktu petang-petang begini, kalau bukan ke padang bola.
“Berapa orang semuanya dalam rumah ni?” Tanya Alyssa Delaila.
“Termasuk ayah, ada tujuh. Semuanya lelaki.”
“Lelaki? Maksudnya saya tak ada adik perempuan?” Tanya Alyssa Delaila tidak percaya.
Borhan mengangguk. Alyssa Delaila mulai memahami sesuatu. Patutlah rumah itu bersepah seperti tongkah pecah. Dan dia juga faham mengapa ‘makcik’nya tidak sanggup lagi melayan kerenah anak-anak yang nakal dan degil. Melihat keadaan rumah itu dia tidak sanggup untuk duduk walaupun sehari. Tetapi apakan daya, dia terpaksa menghadapi ini semua. Dia tiada tempat hendak lari… Demi ayah yang baru kembali dalam hidupnya, dia terpaksa mengharungi ini semua.
“Esok ayah akan masuk hutan…” Terang Borhan. Dia juga baru mengetahui bahawa bapanya bertugas sebagai renjer dalam Jabatan Perhutanan. Dalam sebulan, dua kali bapanya terpaksa bertugas di hutan. Dia bertugas selama seminggu di hutan, barulah kembali semula ke pejabat di bandar.
“Kau tolonglah tengok-tengokkan adik-adik. Yang penting sekali, menyediakan makanan buat mereka. Sejak makcik kau tak ada, ayah benar-benar susah. Zamani dan Jalil tidak boleh diharap, mereka hanya tahu berkelahi… sentiasa berebutkan barang yang tidak berfaedah.”
“Zamani masih bersekolah?”
Borhan menggeleng. “Sekolah hanya setakat tingkatan lima. Jalil lagi teruk, tahun ni baru tingkatan 3, tapi dah tak mahu sekolah lagi…” Borhan mengeluh. Dia tidak sangka akan berdepan dengan pelbagai masalah selepas isterinya lari. Kalaulah dia tahu, isterinya akan bertindak begini, dia tidak akan mengahwini perempuan itu dulu.
Dia teringat pada Safura. Wanita itu masih baik, lembut dan penyayang… Dia tidak pernah berubah. Memang sudah lama dia menyesal kerana meninggalkan Safura. Direnungnya anak gadis yang kini sudah pun bergerak ke dapur. Dia rasa sedikit bangga kerana anak gadis itu seorang yang bijak, cantik dan baik… persis Safura.
Kalaulah aku tak kahwin dengan Normah, pastilah aku sedang menikmati bahagia dengan Safura sekarang. Dia tersentak apabila terdengar suara Jalil dan Zamani yang kembali bertengkar.
“BETULKAH engkau ni kakak aku?” Jalil bertanya sambil matanya tidak lepas dari memerhati Alyssa Delaila yang lincah menyediakan sandwich telur sebagai sarapan untuk adik-adiknya. Borhan sudah lama bertolak ke tempat kerja. Hari itu bapanya berpergian selama seminggu. Maka dia terpaksa tinggal bersama-sama dengan ‘keluarga’ barunya. Dia berharap tidak akan berdepan dengan kerenah yang menyakitkan hati.
“Ya.” Jawab Alyssa Delaila sepatah.
“Tapi muka engkau lain. Kulit engkau putih…” Kata Jalil enggan percaya, matanya terus mengawasi gerak laku Alyssa Delaila.
“Sebab aku lahir dari ibu yang lain…”
“Ohhh… Jadi kita ni adik beradik satu ayah?” Tanya Jalil inginkan kepastian. Alyssa Delaila tidak menjawab. Dilihatnya Jalil sudah bangun dari kerusi dan kini bergerak ke arahnya. Dia berdiri rapat di sisi Alyssa Delaila. Walaupun umur Alyssa Delaila dua tahun lebih tua, tetapi tubuh Jalil jauh lebih besar dan tinggi daripadanya.
“Jauh sikitlah!” Marah Alyssa Delaila. “Kau kacau aku nak buat kerja!”
“Aku tak percaya kita adik beradik. Entah di mana ayah kutip engkau, mengaku sebagai anak!”
“Jangan kurang ajar!” Kata Alyssa Delaila sambil mengangkat pisau yang ada di meja lantas menghalakannya ke arah Jalil. Jalil terundur ke belakang.
“Wooo… Wooo… Ganas!” Katanya sambil tersengeh-sengeh. “Sayang sekali kau ni kakak aku, kalau tak mahu juga aku mengorat engkau.”
“Pergi jahanamlah! Aku dah ada boyfriend.” Jawab Alyssa Delaila.
“Betul ke?” Sampuk Zamani yang baru muncul dari dalam. Anak itu baru bangun tidur. Rambutnya kelihatan tegak dan matanya terpisat-pisat. Dia hanya berkain pelekat. Tubuhnya yang kurus kelihatan jelas menampakkan tulang-tulang dada.
“Aku rasa aku dengar mesej dari telefon bimbit engkau. Agaknya pakwe engkau yang hantar SMS.”
Alyssa Delaila buru-buru masuk ke biliknya meninggalkan kerja yang belum selesai.
“Mengapa engkau beritahu dia?” Marah Jalil.
“Biarlah.” Balas Zamani dengan bibir terjungkit.
“Aku ingat nak curi handphone dia tu!”
“Agh! Buat apa? Dia kan kakak kita? Nak curi pun, biar curi harta benda orang…”
“Kakak apa? Itu semua bohong! Dia tu sebenarnya orang gaji!”
“Tapi aku suka dia. Dia cantik…” Kata Zamani tidak mahu mengalah. “Kau jangan kacau dia. Kalau kau kacau, aku tumbuk muka engkau.”
“Alah! Nak tumbuk orang… Badan kurus kerempeng, ada hati nak tumbuk orang. Sekali aku tunjal aje kau dah tumbang.” Kata Jalil sambil menunjal dahi Zamani. Dia sempat pula menyekeh kepala adiknya itu dengan buku limanya.
Zamani menjerit. Dia ingin membalas perbuatan Jalil namun tidak jadi apabila melihat Alyssa Delaila muncul semula di dapur. Sedikit sebanyak dia rasa malu pada kakaknya itu.
Jalil masih cuba mengacah-acah tetapi tidak dihiraukan oleh Zamani. Untuk mengelakkan kedua-dua anak itu bertelagah, Alyssa Delaila meminta Zamani membancuh kopi. Dia pun telah selesai menyediakan sandwich telur. Dia akan mengejutkan empat orang lagi adik lelakinya yang masih tidur.
Alyssa Delaila mengeluh. Namun hatinya sedikit lega kerana semalam dia telah mengemas ruang dapur itu sehingga sedap mata memandang. Tidak disangka, di rumah itu dia jadi rajin. Dia sebenarnya tidak suka melihat barang-barang berselerak.
Setelah selesai melayani adik-adik lelakinya makan dan minum, baru Alyssa Delaila dapat berehat. Saat itu adalah kesempatan baginya untuk berbalas pesanan ringkas dengan Syazwina. Setelah puas berbual dia berniat hendak menjemur pakaian yang sudah siap dicuci. Kemudian dia akan memasak pula. Tapi sebelum itu dia perlu menyuruh Jalil ke pasar. Dia ada motorsikal.
Tetapi Jalil enggan ke pasar. Dia asyik menonton televisyen. Zamani pula tidak kelihatan. Ternyata anak itu telah keluar tanpa pengetahuannya. Jadi, Alyssa Delaila terpaksa ke pasar.
“Kau tengok-tengokkan Boboy.” Kata Alyssa Delaila. Boboy adalah adik bongsu mereka.
“Agh! Jangan nak memerintahlah. Aku tahu… Sebelum engkau datang, aku yang jaga adik aku!” Jawab Jalil dengan angkuh.
Alyssa Delaila tidak mempedulikan kata-kata Jalil. Dia terus bersiap-siap ala kadar sahaja. Seluar jean biru dan t.shirt merah berlengan pendek. Skaff berbunga-bunga diikat ringkas, disimpul dibawa dagu. Anak rambut di dahi dibiarkan terbuai-buai keluar, di sapa angin. Alyssa Delaila berjalan keluar dari halaman rumah, melintas jalan lantas menunggu bas di seberang jalan. Sebenarnya ini adalah pertama kali dia datang ke Bachok, tetapi Borhan telah membawanya mengelilingi pekan kecil itu. Dia sudah tahu di mana letaknya pasar. Jadi, dia tidak suka mengharapkan bantuan Jalil yang angkuh dan sombong itu. Biarlah dia pergi ke pasar dengan teksi ataupun bas.
Alyssa Delaila membeli ikan, udang dan sayur. Dia rasa sungguh gembira dan teruja kerana harga makanan di sini cukup murah. Dia tahu, ikan mudah diperolehi kerana pekan Bachok terletak berdekatan dengan pantai. Ikannya selain murah, ianya juga masih segar.
Hmmm… Hidupku sekarang ni tak ubah macam suri rumah! Bisiknya kemudian tergelak sendirian sambil membawa bakul yang sarat dengan ikan dan sayur menuju ke pondok menunggu bas. Semasa dia sedang berjalan masuk ke perkarangan halaman rumah yang terletak di tepi jalan itu, telefon bimbitnya bergetar.
Dia mengeluarkan handphone dari dalam poket, lantas terlihat satu pesanan ringkas. Nombor itu tidak pernah direkodkan dalam handphonenya. Nombor siapa ni? Bisik hatinya sendiri lantas terus menekan butang untuk masuk ke kotak mesej; “Awak di mana Laila? Apakah awak berada di Bachok sekarang?”
“Siapa ni? Ya, memang benar saya di Bachok.” Jawab Alyssa Delaila.
“Cuba pandang ke seberang jalan…”
Alyssa Delaila memandang ke arah yang dimaksudkan. Dia benar-benar terperanjat apabila melihat kereta mercedes hitam itu. Tidak semena-mena bakul berisi ikan dan sayur jatuh menimpa kakinya. Dia tidak langsung merasa sakit, sebaliknya dada Alyssa Delaila berdenyut lebih laju.
“Mengapa ikut saya?”
“Tak.” Jawab lelaki itu. “Saya memang ada hal di sini, meninjau kawasan yang cantik ni…”
Alyssa Delaila mengangkat tangan dan tersenyum dari jauh. Dadanya terus bergetar hampa melihat kereta mercedes itu perlahan-lahan bergerak pergi meninggalkannya. Telefon bimbitnya bergetar semula.
“Kalau ada masa, saya datang jumpa awak, boleh?”
Pertanyaan itu tidak memerlukan jawapan. Alyssa Delaila tidak akan teragak-agak untuk menyatakan ‘Ya’.
“JADI, awak dah memaafkan dan menerima ayah awak?” Tanya Prof. Dr. Ismadi, sambil matanya memandang jauh ke laut lepas. Pantai Irama lengang tidak berorang. Pepohon rhu indah berbaris di sepanjang pantai. Terlihat juga beberapa perahu nelayan yang baru pulang dari laut, tersadai di tepian pantai.
Laut tenang. Matahari semakin condong. Cahayanya tidak sekeras tengahari tadi, pasrah pada hukum alam. Sebentar lagi ia akan kehilangan sinar gemilangnya, lantas tidur sambil menanti datangnya esok.
“Ya.” Alyssa Delaila mengangguk. “Saya ikut nasihat Prof. Setelah memaafkan dia, perasaan saya lebih damai. Walau bagaimana pun saya belum dapat memberikan kasih sayang.” Gadis itu bersuara tenang.
“Itu semua memerlukan masa. Percayalah. Suatu hari nanti awak akan menyayangi ayah awak tu. Bukankah awak sudah pun memaafkan dan melupakan apa yang dia telah lakukan pada awak suatu masa dulu.”
“Saya harap apa yang Prof. cakap tu betul. Suatu masa saya boleh mengasihi dia, menerimanya dengan sesungguh hati. Dia bapa saya. Dalam darah saya mengalir darahnya juga.”
“Saya betul-betul terperanjat lihat awak menunggu bas di perhentian depan pasar tadi.” Kata Prof. Dr. Ismadi.“Untuk memastikannya, saya ikut awak.”
“Jadi, benarlah Prof. Dr. ikut saya?”
Prof. Dr. Ismadi terdiam, rasa terperangkap. Cepat-cepat dia ketawa. “Ya dan tidak.”
“Macamana pula tu?” Tanya Alyssa Delaila sambil tertawa kecil.
“Ya… saya ikut awak dari pasar tadi hinggalah ke rumah bapa awak tu. Tidak… Saya tak ikut awak datang ke Bachok. Saya tak tahu pun awak ada di sini.”
“Rupanya Prof. Dr. tahu nombor telefon saya.”
“Tahu. Awak lupa yang awak pernah isi maklumat diri awak serta nombor telefon awak semasa awak mengikuti kursus di Ulu Klang dulu…”
Alyssa Delaila diam. Dia mengutip seketul batu lantas membalingnya jauh ke tengah laut. Prof. Dr. Ismadi memerhati sahaja aksi gadis itu. Dia sendiri tidak menduga, pelawaannya mendapat sambutan daripada Alyssa Delaila. Dia sengaja cuba mengajak gadis itu bersiar-siar ke Pantai Irama. Memang pemandangan di situ indah dan mendamaikan jiwa, fikir Prof. Dr. Ismadi. Apakah kedamaian itu dirasai apabila Alyssa Delaila ada di sisi?
Alyssa Delaila leka membaling batu. Dia tertawa sendiri melihat balingannya yang tidak ke mana perginya. Akhirnya kepenatan sendiri. Mereka mencari tempat duduk. Alyssa Delaila duduk di atas sebuah tunggul kayu, sementara Prof. Dr. Ismadi berdiri sahaja. Tiada tempat untuknya duduk.
“Tak penat ke?” Tanya Alyssa Delaila sambil memerhati lelaki itu yang berdiri tidak jauh darinya. Petang itu Prof. Dr. Ismadi berpakaian ringkas sekali, hanya slack hitam dan baju batik berwarna biru. Alyssa Delaila perasan lelaki itu amat meminati warna biru. Kebanyakan bajunya mesti ada warna biru. Biru itu romantis… fikir Alyssa Delaila.
“Penat! Tadi awak ajak saya ukur pantai ni dari hujung sana sampai ke mari!” Jawab Prof. Dr. Ismadi selamba.
“Duduklah!” Pelawanya sambil mengesot sedikit. Dia sendiri kaget, tidak menyangka dirinya seberani itu mempelawa dan mengajak. Apa dah jadi pada dirinya? Dia dah dirasuk syaitan agaknya?
“Tak muat untuk duduk berdua…” Balas Prof. Dr. Ismadi sambil memandang ke arah Alyssa Delaila, mencari kesungguhan di wajah polos gadis itu. Dia terlalu muda dan naif, bisik hati Prof. Dr. Ismadi. Gadis itu sebaya anak lelakinya… Bagaimana kalau dia ketemu lelaki hidung belang, yang hanya akan mengambil kesempatan?
Gadis itu mengesot sedikit, memberi ruang. Sebenarnya sentiasa saja ada ruang, kalau hati mengizinkan. Prof. Dr. Ismadi enggan duduk di sisi Alyssa Delaila, walaupun ada sedikit ruang. Dia tidak ingin bersentuhan bahu dengan gadis itu. Dia ingin memberikan sedikit nasihat pada gadis manis itu. Hatinya, entah mengapa semakin sayang padanya dan amat takut sekiranya dia dikhianati lelaki tidak bertanggungjawab.
“Tak ada yang marah, kalau saya duduk?” Prof. Dr. Ismadi sengaja menduga.
“Marah? Ehhh… Siapa yang marah? Barangkali isteri Prof.”
“Mengapa awak cakap macam tu? Dah tentu dia tak marah sebab dia tak ada di sini.”
Kata-kata itu langsung tidak disambut oleh Alyssa Delaila.
“Laila… Awak terlalu muda. Tahun ni umur awak 19 atau 20?” Tanpa sedar dia mengungkapkan kata-kata itu walaupun hatinya ingin berkata perkara lain.
Laila tersenyum. “Mengapa tiba-tiba Prof. berbicara pasal umur?” Tanya Alyssa Delaila, meneruskan senyumannya. “Saya memang masih muda tetapi saya bukan budak hingusan, Prof.!”
“Awak ni baik hati, walaupun kadang-kadang cepat melenting… Kematangan dinilai melalui cara kita berfikir, bertindak dan membawa diri. Jangan biarkan emosi menguasai hati dan fikiran. Kebaikan jangan terlalu berlebihan nanti orang lain mengambil kesempatan!”
“Prof.! Prof. ni memuji dan sekali gus mengutuk.” Alyssa Delaila bangun, hatinya sedikit tersinggung. Dia merasakan ajakannya sebentar tadi disalahertikan. Tiba-tiba dia merasa malu. Alyssa Delaila memaling mukanya, tidak sanggup memandang lelaki itu.
“Laila…” Serunya lembut sambil bahu Alyssa Delaila disentuh perlahan.
Laila menoleh ke arah lelaki itu. Saat itu mata Prof. Dr. Ismadi terpaku ke dalam mata Alyssa Delaila yang indah itu kini dipenuhi airmata. Tangisan tanpa suara, menusuk ke sanubarinya. Dia hilang kata-kata. Cepat dia melarikan pandangannya. Tidak… Dia tidak boleh punya perasaan terhadap gadis itu.
“Laila! Maafkan saya. Keringkan airmata awak.” Katanya sambil menghulur sehelai sapu tangan. “Bukan niat saya hendak menggores perasaan awak. Saya hanya memberikan nasihat yang ikhlas.”
Alyssa Delaila menyambut sapu tangan yang terhulur, mengeringkan airmata yang membasahi pipi. Entah mengapa hatinya tiba-tiba merasa pilu dan sedih. Lelaki di hadapannya itu merenung mukanya tidak berkelip. Pandangan itu menembusi dadanya, menikam terus ke dalam hati. Mengapa hatinya harus terpaut?
“Sebenarnya sudah demikian lama hati saya tertanya-tanya Prof.! Walaupun amat berat untuk saya ucapkan hal ini, tetapi harus juga saya katakannya. Saya tidak mahu terus hanyut dalam arus fikiran sendiri. Saya sedar saya ada tanggungjawab terhadap ibu saya yang mengharapkan kejayaan saya dalam pelajaran. Amat besar harapan seorang ibu untuk melihat anaknya berjaya menggenggam ijazah. Tetapi ini soal hati dan perasaan… Selagi hati tidak tenteram, kejayaan apa yang dapat dicapai?”
Prof. Dr. Ismadi hanya diam mendengar.
“Prof. pasti lebih berpengalaman dalam soal hati… perasaan. Kata orang, cinta yang suci penuh dengan dugaan dan rintangan. Saya tidak tahu apakah jenisnya cinta saya ini, tapi saya dapatkan rasakan bahawa cinta saya ini adalah sebuah cinta yang penuh luka dan airmata. Saya…”
Tidak sempat Alyssa Delaila menghabiskan kata-kata, telefon bimbit Prof. Dr. Ismadi berbunyi. Dia meraba-raba handset di dalam poket. Panggilan itu datangnya daripada Haiqal. Dadanya sempat berdegup, memandang Alyssa Delaila yang tidak sempat mengungkap kata.
“Sekejap ya…” Dia meminta izin untuk menjawab panggilan.
Dia menekan punat dan menjawab panggilan daripada Haiqal. Dia menangkap suara Haiqal yang sebak dan tersekat-sekat; “Papa! Balik segera papa! Mama tenat…”
“Baik.” Jawabnya sepatah, terburu-buru menutup handsetnya dan terus berjalan laju menuju ke kereta. Namun dia baru teringat bahawa dia bersama Alyssa Delaila. Gadis itu kelihatan bingung melihat Prof. Dr. Ismadi yang terburu-buru meninggalkannya.
Prof. Dr. Ismadi melambai mengajaknya ke kereta.
“Kenapa?” Tanya Alyssa Delaila kebingungan.
“Saya harus balik ke Kuala Lumpur sekarang juga.” Kata Prof. Dr. Ismadi. Wajahnya terus cemas. Sepanjang perjalanan menghantar Alyssa Delaila pulang ke rumah Borhan, dia membisu.
Bab 7
TIGA hari kemudian barulah dia tahu apa yang sebenarnya berlaku pada petang itu. Prof. Dr. Ismadi terburu-buru balik ke Kuala Lumpur kerana isterinya sakit dan dimasukkan ke wad semula. Haiqal menghubungi Alyssa Delaila, memberitahu dia hal itu.
“Aku takut sekali…” Luah Haiqal. “Aku takut kehilangan ibuku, Laila.”
“Kalaulah aku ada di KL sekarang, aku mahu menemani engkau, Haiqal.” Balas Alyssa Delaila.
“Bila kau akan balik ke sini?”
“Dua tiga hari lagi.” Jawab gadis itu lambat-lambat.
“Aku memang berharap engkau ada di sini. Kehadiran engkau sekurang-kurangnya memberikan aku sedikit kekuatan.”
“Pasti aku akan datang menemui engkau bila aku kembali ke KL nanti. Aku harap kau bersabar menghadapi ujian ini Haiqal. Banyakkan berdoa untuknya.”
Suara Haiqal terus hilang. Alyssa Delaila tahu anak muda itu benar-benar diruntun kesedihan. Hati dan fikiran Alyssa Delaila juga sudah tiada lagi di situ… sebenarnya dia pun terlalu ingin pulang ke Kuala Lumpur. Perhubungannya dengan adik-adik terutamanya Jalil tidak pernah baik. Dia pun tidak ingin berada di rumah bapanya lebih lama. Dia ingin pulang apabila mengetahui Prof. Dr. Ismadi tiada lagi di Bachok. Dia sentiasa teringat pada lelaki itu… Satu-satunya lelaki yang berjaya mencuri hatinya.
Kepulangan Borhan cukup melegakan hati Alyssa Delaila. Dia sudah boleh kembali ke Kuala Lumpur. Borhan nyata sedih untuk melepaskannya pulang. Dia gembira rumahnya terurus sejak kehadiran Alyssa Delaila. Dia berharap gadis itu datang lagi, tetapi Alyssa Delaila tidak mahu berjanji apa-apa.
Jalil memang menunggu saat-saat Alyssa Delaila ‘nyah’ dari rumah bapanya. Walau bagaimana pun baiknya gadis itu, dia tidak mudah menyukainya. Zamani yang agak rapat dengan Alyssa Delaila merasa sedikit sedih. Walaupun tempoh seminggu itu terlalu singkat, tetapi dirasakan bahawa dia menyukai gadis itu.
Jalil langsung tidak bersalam-salaman dengannya semasa dia berangkat pulang. Pun hati Alyssa Delaila tidak tersinggung. Dia tahu, memang sukar hendak menerima seseorang dengan mudah, dalam waktu yang singkat. Seperti mana sukarnya dia menerima kemesraan daripada bapa kandungnya Borhan. Apabila berhadapan dengan lelaki itu dia akan menjadi pendiam dan kaku…
HAIQAL buru-buru bangun apabila melihat kemunculan Alyssa Delaila. Gadis itu merapatinya lantas terus bertanyakan tentang keadaan ibu lelaki itu. Haiqal bercerita sedikit demi sedikit, dengan wajah sedih.
Alyssa Delaila memegang lengannya dengan lembut, memberikan dia kata perangsang dan berharap segalanya akan kembali seperti sedia kala. Perbualan mereka terhenti apabila terlihat Prof. Dr. Ismadi yang baru keluar dari bilik tempat isterinya dirawat. Wajahnya keruh. Dia memberikan isyarat pada Haiqal, supaya pemuda itu masuk.
Prof. Dr. Ismadi duduk tidak jauh dari Alyssa Delaila. Dia tunduk sahaja, langsung tidak menegur gadis itu. Alyssa Delaila memahami keadaan itu. Dia dapat membaca wajah sugul Prof. Dr. Ismadi. Sesungguhnya kerisauan yang bermukim di hatinya terpancar pada wajah lelaki itu.
Dia amat sayangkan isterinya… bisik hati Alyssa Delaila. Aku sebenarnya tidak punya tempat langsung di hati Prof. Dr. Ismadi. Ibarat kata orang, melukut di tepi gantang. Apa guna diharap kasih yang tidak ketentuan. Lebih baik dicari insan yang menyayangi…
“Aku nak masuk sekejap…” Kata Haiqal, menyentuh bahu Alyssa Delaila dengan lembut. “Lepas aku keluar nanti, kau boleh jumpa mama.”
“Perlukah aku jumpa dia?” Tanya Alyssa Delaila. Hatinya tercuit rasa curiga.
“Engkau tak mahu jumpa mama?” Tanya Haiqal. Ada riak kehairanan di wajahnya. Jika gadis itu tidak ingin berjumpa ibunya mengapa dia datang pada hari itu?
Alyssa Delaila mengangguk perlahan. “OK. Engkau masuklah dulu…”
Beberapa minit selepas Haiqal masuk, Prof. Dr. Ismadi masih tidak bersuara. Dia hanya duduk mematung, matanya terpejam rapat seperti tidur. Tetapi Alyssa Delaila tahu, lelaki itu bukanlah tidur. Dia cuma cuba merehatkan mindanya yang kusut dan berserabut.
“Prof.! Prof. dah makan? Atau Prof. nak minum? Biar saya beli minuman sekejap!”
Prof. Dr. Ismadi membuka mata, menoleh ke arah Alyssa Delaila. Dia menggeleng.
Tetapi Alyssa Delaila tetap bangun ke arah mesin minuman berdekatan, lantas membeli dua gelas kopi panas.
“Minumlah sedikit Prof. Kesihatan Prof. pun perlu dijaga. Jika tidak, bagaimana Prof. hendak menghadapi hari-hari yang penuh dugaan seterusnya?”
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “Terima kasih.” Ucapnya sambil menyambut gelas yang terhulur. Dia meneguk minumannya perlahan-lahan. Kopi itu terasa amat enak, membuat matanya yang lelah terasa segar. Lagipun penghawa dingin di hospital itu sangat kuat dan membuat tubuhnya terasa begitu sejuk sekali biarpun sudah dilapisi dengan kemeja dan sweater.
“Saya faham Prof., Prof. amat sayangkan dia.” Kata Alyssa Delaila perlahan. “Seperti ibu saya, walaupun dilukai berkali-kali, dia tetap ingin memberikan pertolongan kepada ayah setakat yang terdaya.”
“Dua puluh lima tahun kami hidup bersama.” Kata Prof. Dr. Ismadi. “Kasih sayang itu tidak dapat digambar dan diungkap dengan kata-kata. Macam yang awak pernah kata, Kita hanya tahu apabila kita merasai denyutan cinta itu di dalam hati!”
Alyssa Delaila tertawa lembut, begitu bersungguh-sungguh hingga mukanya jadi merah. Tawa itu membuat hati Prof. Dr. Ismadi yang disentuh kesayuan hilang dibawa angin. Dia tersenyum. Entah mengapa dia harus meminjam kata-kata gadis itu. Itulah yang membuat Alyssa Delaila tertawa berderai.
Prof. Dr. Ismadi memejam jelekkan matanya beberapa kali. Kehadiran Alyssa Delaila selalu membuat semangatnya berkobar-kobar semula.
Haiqal keluar tidak berapa lama kemudian. Dia mendapati Prof. Dr. Ismadi dan Alyssa Delaila sedang berbual perlahan-lahan sambil menikmati kopi panas. Dia bergerak ke arah mesin minuman, turut membeli segelas kopi panas. Kemudian dia datang menyertai mereka. Hatinya senang melihat kemesraan bapanya dengan Alyssa Delaila.
Tidak lama kemudian Alyssa Delaila masuk pula menemui ibu Haiqal. Sesiapa saja yang masuk ke bilik itu harus mengenakan pakaian khas dan menutup mulut dan hidung. Wanita itu tidak boleh terdedah kepada sebarang kuman ataupun bahan radiasi.
Bibirnya tersenyum apabila melihat Alyssa Delaila melangkah masuk lantas terus merapati katil. Sebenarnya hati Alyssa Delaila tidak keruan melihat wajah pucat wanita itu, yang terbaring lesu dengan pandangan mata yang mengandungi kepiluan. Entah mengapa dia harus datang hari itu? Kedatangannya bukanlah untuk berkongsi kesakitan yang dialami. Pun dia tidak pula mendoakan kehancuran, jauh sekali kematiannya.
“Kamu kawan Haiqal yang datang hari tu kan? Juga student abang Is?” Dia bertanya lembut. Alyssa Delaila cemburu mendengar Yang Rashidah menyebut Prof. Dr. Ismadi sebagai ‘abang Is.’ Yalah… Kan lelaki itu suaminya yang tersayang.
Alyssa Delaila mengangguk.
“Kamu menyintai anak saya?”
Alyssa Delaila tidak berupaya menjawab soalan itu. Manakah yang lebih kuat, naluri seorang ibu atau seorang isteri? Hati Alyssa Delaila terasa kecut, merasakan seluruh hati dan perasaannya dapat dibaca oleh wanita itu, bagaikan sedang membaca sebuah buku yang terbentang.
Apa yang dia tahu perhubungan antara Alyssa Delaila dan dua lelaki yang amat disayanginya itu? Fikir Alyssa Delaila.
“Jangan lukai hati Haiqal… Dia selalu bercerita tentang kamu dengan penuh bersemangat. Dia menyukai kamu. ” Katanya perlahan.
Airmata Alyssa Delaila tergenang. Dia hanya diam, kebisuan yang hanya dimengerti oleh dirinya sendiri.
“Haiqal seorang anak yang baik dan patuh. Semasa kecil hingga dewasa dia tidak pernah menyusahkan saya. Saya amat sayangkan dia.... Bila melihat kamu pertama kali, saya sudah menduga kamu adalah seorang gadis yang istimewa, cantik dan baik hati.”
“Saya tidak sehebat itu.” Balas Alyssa Delaila perlahan, dia tidak pernah mengharapkan pujian yang tinggi datangnya dari wanita itu. Dia merasakan dia selalu akan kalah jika mereka bersaing. Mengapa dia memikirkan tentang persaingan? Tidak akan wujud sebarang persaingan! Tetapi entah mengapa dia mulai membandingkan dirinya dengan wanita yang terbaring itu.
“Ya… Kamu hebat. Saya selalu mendengar tentang kamu sebelum kamu muncul di hadapan saya. Abang Is pernah juga bercerita tentang kamu sebenarnya…”
Yang Rashidah terfikir bahawa dia tidak memiliki apa yang dimiliki oleh Alyssa Delaila, iaitu usia yang muda remaja dan kesihatan yang memberangsangkan. Dua perkara paling berharga bagi manusia di dunia ini tetapi tiada sesiapa pun sedar akan hakikat itu. Apabila kesihatan sedang merosot, barulah orang memikirkan tentang penjagaan kesihatan. Apabila sudah tua, barulah orang mulai menyesali apa yang dilakukan semasa muda. Saat itu masa tidak akan kembali lagi. Justeru itu, Yang Rashidah semakin sedar bahawa dia tidak boleh membazirkan masa yang ada.
Alyssa Delaila nampak terkejut. Dia menelan airliur cuba menghadiahkan senyuman dan berkata; “Dah tentu… Saya pelajarnya.”
Wanita itu menggelengkan kepala. “Dia jarang bercerita tentang pelajarnya jika dia bukan seorang yang istimewa. Saya kenal suami saya, begitu lama. Amat mudah untuk saya menyelami hatinya. Saya cemburukan kamu… Benar-benar cemburu!”
Alyssa Delaila terkejut mendengar kata-kata wanita itu. Matanya terbelalak. Lelaki itu bercerita tentang dirinya pada isterinya? Mengapa? Hal itu memang mengejutkan! Dia tidak tahu apakah cerita yang disampaikan oleh Prof. Dr. Ismadi. Fikirannya berkecamuk benar.
“Saya telah serahkan seluruh hidup saya hanya untuknya. Saya korban semua yang dimiliki untuk menggembirakan dia. Saya tahu saya tak punya cukup waktu lagi… Hari demi hari saya kian lemah.”
“Makcik, jangan cakap macam tu!”
“Saya perempuan pertama dan terakhir dalam hidupnya! Walaupun sentiasa ramai perempuan yang mengejar dan menghambatnya, tapi akhirnya dia tetap kembali kepada saya. Abang Is… seorang lelaki yang hebat! Tiada perempuan yang bertakhta di hatinya melainkan saya seorang!”
Bibir Alyssa Delaila menggeletar. Dia terkejut mendengar kata-kata itu. Mengapa hatinya sakit? Mengapa dia tidak dapat menerima kenyataan ini? Alyssa Delaila bergerak keluar dengan air mata basah di pipi. Kata-kata ibu Haiqal amat menusuk hatinya. Dia terus keluar, meninggalkan kedua-dua lelaki yang sedang memandangnya tidak berkelip.
Bab 8
SETIAP kali merenung pantun yang tercatat di dalam diari isterinya, matanya pasti digenangi air jernih. Dan hatinya pun menangis. Itu adalah catatan terakhir yang ditulis sendiri oleh isterinya. Tulisan wanita itu amat cantik dan berseni. Tidak jemu-jemu dia membacanya meskipun sudah diulang berkali-kali. Dia tidak boleh melupakannya, kata-kata di dalam pantun itu berkait rapat dengan dirinya. Pantun itu bagaikan satu pesanan. Pesanan terakhir…
Burung merpati dari hulu
Dipukul angin Laut Cina
Sampai ke pantai merasa lelah
Terdampar tubuhnya di negeri jauh
Hingga meratap perasaan hati
Rasa hendak balik ke negeri mula;
Sudah kau tahu dari dahulu
Kekanda seorang yang kucinta
Membawa aku bermimpi indah
Terkenang selalu walaupun jauh
Dengan iman dan budi yang tinggi
Ingin bertemu di dalam syurga
Dia menutup diari itu perlahan-lahan. Airmatanya terus berderai di pipi dan jatuh di atas permukaan diari yang sudah tertutup. Dia membuka cermin mata, meletakkannya di atas meja lantas menyapu mata. Namun tersentak apabila terdengar bunyi dipintu. Cepat-cepat dia memakai semula cermin matanya dan memandang ke arah seraut wajah yang baru muncul.
“Ya?”
“Tahlil dah nak mula papa.” Kata Haiqal. Anak muda itu memerhati wajah bapanya yang masih sugul. Sudah seminggu ibunya pergi. Malam itu mereka mengadakan kenduri dan majlis tahlil yang dihadiri oleh saudara mara dan sahabat handai.
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “OK, papa datang…” Katanya sambil bergerak keluar dari kamar tidur itu.
PROF. DR. ISMADI dikerumuni oleh para pelajarnya. Semuanya datang mendekati bagi mengucapkan takziah di atas kehilangan isterinya. Seminggu dia tidak hadir menghadapi pelajarnya tetapi dia sedar, hidup harus diteruskan. Kegiatan harian tidak boleh ditinggalkan. Masih ada tanggungjawabnya di universiti itu.
Dia menerima ucapan dan huluran salam dengan senyuman, sambil berusaha mententeramkan hatinya sendiri. Dia tahu ramai yang bersimpati. Namun rasa simpati itu hanya akan hadir sebentar cuma. Masa akan terus berlalu, peristiwa sedih itu akan dilupakan orang, walaupun tidak mungkin dilupakan dia serta anak-anaknya.
Dari kejauhan Alyssa Delaila melihat Prof. Dr. Ismadi berjalan longlai menuju ke kamar setelah dikerumuni dan ditinggalkan oleh para pelajarnya. Kini dia bersendirian. Airmukanya amat keruh, membayangkan kesedihan yang masih wujud di hati. Entah mengapa hati Alyssa Delaila tidak mengizinkan dirinya mendekati lelaki itu lagi. Dia tidak ingin wujudnya sebarang kenangan antara mereka. Biarlah semuanya berlalu… Seperti pemergian isterinya juga. Berlalu dan akan dilupakan.
Walaupun amat berat pula baginya untuk melupakan kenangan yang terukir. Antara mereka memang tidak pernah termeterai apa-apa ikatan, hanya dia seorang yang merasakan bahawa adanya talian halus tempat dia berpaut. Berpaut pada dahan nan rapuh! Dan hanya dia sendiri yang rebah, menyembah bumi.
Alyssa Delaila berjalan keluar dari kawasan kampus, kembali ke bilik. Suasana sekeliling begitu lengang. Dia memerhati ke arah koridor yang sepi, sebelum membuka pintu bilik. Hanya dia seorang yang balik awal. Bilik penginapannya sepi, Syazwina masih belum pulang. Alyssa Delaila mengambil keputusan untuk berbaring dan tidur walaupun sebenarnya dia tidak mengantuk. Jam tiga petang nanti dia akan ke librari, sendirian. Sudah seminggu juga dia tidak bertemu Haiqal. Anak muda itu menelefonnya pada hari kematian ibunya, tetapi Alyssa Delaila tidak datang menziarah. Alasannya dia tidak sihat…
Haiqal bagaikan merajuk, tidak menelefon langsung selepas itu. Dia juga tidak hadir ke dewan kuliah hari itu. Alyssa Delaila tidak kuasa hendak mencarinya ataupun bertanya pada Prof. Dr. Ismadi. Dia benar-benar mahu menjauhkan diri…
Daun pintu bilik ditolak dari luar. Alyssa Delaila pura-pura memejamkan mata. Dia mengagak Syazwina yang pulang. Telinganya mengawasi setiap gerak. Dia mendengar bunyi pintu ditutup perlahan. Bunyi tapak kaki sedang bergerak ke arah katilnya, terdengar nafas yang ditahan. Hidungnya menangkap bau wangian. Bau itu bukan bau wangian Syazwina. Serta merta matanya terbuka. Dia terkejut melihat seraut wajah Haiqal.
“Haiqal?” Alyssa Delaila terbangun dari pembaringan, terkejut melihat kehadiran anak muda itu.
“Shhh…” Haiqal meletakkan jari telunjuknya di bibir.
“Mengapa kau masuk ke bilik aku? Kau dah hilang akal ke?” Tanya Alyssa Delaila agak kuat kerana masih terkejut.
Haiqal berlutut di hadapannya. Wajah itu jelas amat muram dan sedih. Dia menggigit bibir, tidak menjawab kata-kata Alyssa Delaila.
“Kenapa Haiqal?” Tanya Alyssa Delaila.
Haiqal menundukkan mukanya. Bahunya kelihatan bergerak-gerak. Suara tangisannya terdengar perlahan. Tiba-tiba dia menyembamkan mukanya di ribaan Alyssa Delaila. Terkejut Alyssa Delaila dengan tindakan drastiknya itu. Dia membiarkan Haiqal menangis di ribaannya. Tangan Alyssa Delaila tidak berganjak, tiada niat hendak membelai rambutnya supaya anak muda itu beroleh sedikit ketenangan. Dia masih tergamam, tidak tahu apa yang harus dibuat.
Bagaimana jika Syazwina tiba-tiba balik? Alyssa Delaila cepat-cepat mengangkat kepala Haiqal. Wajah anak muda itu ditatap. “Bertenang Haiqal. Kau tahu kau tak boleh buat macam ni…” Pujuk Alyssa Delaila.
“Kau kena balik sebelum semua orang lain tahu. Mujur masih ramai budak-budak yang belum pulang, kalau tak mati kita… tahu?”
“Aku tahu… Aku tunggu engkau tadi. Aku tahu mereka belum balik. Aku nampak kau balik seorang. Aku juga tahu Syazwina masih ada satu lagi kelas…”
“Aku faham, kau sedih. Tapi lebih baik kau balik sekarang, Haiqal. Kita kena jaga reputasi kita. Jangan hancurkannya. Bapa engkau tenaga pengajar di sini… Tolong jangan malukan dia.”
Haiqal menggigit bibir, mengunyah kebenaran kata-kata Alyssa Delaila.
“Hari Sabtu ni kita jumpa di Taman Tasik KL.” Kata Alyssa Delaila. “Aku sedia dengar semua luahan hati engkau. Tabahkan hati kau Haiqal. Aku tahu kehilangan ini amat pahit bagi engkau. Bawa bertenang dan tabah hadapi segalanya.” Sekali lagi Alyssa Delaila terperanjat apabila tubuhnya dirangkul kemas oleh Haiqal.
Airmata lelaki itu jatuh di atas bahunya pula. Dia dapat merasakan tubuhnya yang terus bergegar.
“Sudah… Sudah!” Pujuk Alyssa Delaila sambil mengusap belakangnya.
Haiqal mengangguk. “OK.” Haiqal menyapu sisa airmata. Dia tidak sangka dia boleh menangis begitu di hadapan Alyssa Delaila. Selama seminggu airmatanya tidak mahu keluar. Dia meratapi kematian ibunya hanya di dalam hati. Tidak disangka hari ini dia boleh menangis sepuasnya! Namun hatinya mulai lega… Kepiluan dan kesayuan itu sudah meninggalkannya perlahan-lahan, bak airmata yang tertumpah, mengering begitu saja tanpa meninggalkan bekas.
Dia bergerak lambat ke pintu. Sebelum keluar, dia memandang Alyssa Delaila yang masih duduk di bibir katil. Gadis itu memberi isyarat supaya dia cepat-cepat keluar. Alyssa Delaila mengeluh kelegaan sebaik sahaja Haiqal menghilang. Nasib baik anak muda itu mendengar kata-katanya. Dia mengerti hati dan perasaan Haiqal. Kehilangan ibunya telah membuat kehidupannya berubah sama sekali. Kehilangan ini buat dia nanar, hilang arah dan haluan bagaikan layang-layang putus tali.
Tiada sesiapa pun yang bersedia untuk kehilangan, tetapi setelah kita kehilangan kita akan lebih tabah sebenarnya. Justeru itu kita haruslah menerima segalanya sebagai ketentuan Ilahi.
SEBAGAIMANA yang dijanjikan, Alyssa Delaila menunggu Haiqal di taman tasik. Dia duduk sendirian menghadapi tasik yang membiru jernih. Bangku yang disinggahinya teduh dinaungi pohon.
Dia bukanlah seorang yang sabar, lebih-lebih kalau harus menanti begitu. Akhirnya dia ambil keputusan untuk berjalan-jalan sendirian di celah-celah lorong yang ditumbuhi dengan pohon-pohon anggerik mekar berbunga. Jenis-jenis orkid yang ditanam di situ terdiri daripada Dendrobium Sri Siam, Oncidium Golden Shower, Aranda Christine dan banyak lagi. Bunganya yang indah pelbagai warna memukau mata Alyssa Delaila. Bunga orkid jenis bunga yang tahan lama dan tidak mudah layu.
Alangkah baiknya cintaku bagaikan bunga-bunga orkid ini. Indah, dapat bertahan lama. Bukan seperti mawar yang mudah gugur kelopaknya. Jika dia selama ini menganggap bunga mawar amat sinonim dengan cinta, tetapi kini tidak lagi. Dia tiba-tiba meminati orkid-orkid yang ada di sekelilingnya, terpukau dengan haruman dan keindahannya. Leka dia berada di taman orkid itu, tidak sedar masa yang berlalu serta janjinya dengan Haiqal. Telefon bimbitnya yang berlagu nyaring dan suara Haiqal muncul di telinga, membuat dia tersedar bahawa dia telah membiarkan anak muda itu menunggunya di tepian tasik.
“Aku di taman orkid.” Katanya pada Haiqal. “Boleh kau datang ke sini?”
Haiqal bersetuju. Lagipun jaraknya dengan tasik itu bukanlah jauh benar. Sepuluh minit kemudian Haiqal muncul dari pangkal lorong dan terus menuju ke arahnya yang sedang duduk menanti di salah satu bangku. Hari itu agak ramai orang yang bersiar-siar di taman orkid, namun mereka tidak mengendahkan sesiapa.
Wajah Haiqal tampak lebih tenang dan ceria berbanding tiga hari lepas, ketika dia datang secara sembunyi-sembunyi ke bilik Alyssa Delaila. Dia duduk di sisi Alyssa Delaila sambil tersenyum mesra.
“Aku rasa kau dah OK sedikit.” Tegur Alyssa Delaila. “Tiga hari lepas kau betul-betul teruk. Aku terkejut, masih lagi tak percaya yang kau benar-benar menangis… Macam budak umur dua tahun tak dapat permainan!” Alyssa Delaila tertawa perlahan tiba-tiba tidak dapat menahan geli hati apabila teringatkan peristiwa tiga hari lalu.
“Nak gelak, gelaklah puas-puas!” Balas Haiqal sambil menjelirkan lidahnya kemudian ketawa, namun mukanya tetap merah padam. Dia malu kerana gagal mengawal perasaan. Dulu dia rasa benar-benar tidak keruan, sedih yang amat sangat. Malangnya dia tidak dapat meluahkan kesedihannya itu pada sesiapa. Dia tidak akan menyatakannya pada kakak-kakaknya yang seramai tiga orang itu. Mereka semuanya punya pasangan hidup masing-masing. Mereka punya tempat untuk mengadu, meminjam bahu untuk menangis.
Dia tidak punya sesiapa… hanya Alyssa Delaila, satu-satunya gadis yang rapat dengannya, yang dianggapnya sahabat dan ‘kekasih’? Dia tidak tahu pula apa anggapan Alyssa Delaila padanya? Mereka memang rapat dan Alyssa Delaila tidak pernah berkawan dengan lelaki lain selain darinya. Dan dia memang menaruh hati pada gadis ini walaupun tidak pernah menyatakan secara terang-terangan.
Alyssa Delaila pernah berjanji ingin mendengar luahan hatinya. Apakah dia tergamak dan berani untuk berterus terang menyatakan perasaannya? Bagaimana jika Alyssa Delaila hanya simpati? Dia baru kehilangan ibu… Mungkin Alyssa Delaila tidak akan sampai hati untuk menolak cintanya!
Haiqal masih ingat, dia tidak langsung menangis pada hari kematian ibunya. Dia kelihatan sangat tabah. Sebenarnya dia menyimpan kesedihan itu sendiri, sehingga dia tidak tahan lagi menanggungnya. Dia harus melepaskan kesedihan itu pada seseorang. Dan setelah airmatanya berhamburan, barulah dia merasa tenang. Dia sudah boleh tersenyum dan menerima usikan Alyssa Delaila.
‘Haiqal…Janganlah marah! Bukan niatku nak gelakkan kau. I just want to make you happy. Sebenarnya aku gembira tengok kau dah boleh tersenyum. Hari ni muka kau nampak ceria… kacak macam biasa!”
“Oh! Ya ke?” Haiqal memandang tepat ke dalam mata Alyssa Delaila. Aku sebenarnya ceria kerana pertemuan kita ini! Bisik hati Haiqal sambil terus merenung wajah Alyssa Delaila. Gadis itu pula yang tertunduk, menguis sehelai daun yang jatuh di hujung kaki yang beralas kasut kulit bertapak rendah. Hari itu mengenakan jean dan blouse berlengan panjang warna kuning. Penampilannya sungguh menyerlah.
“Aku pula lupa nak puji engkau. Engkau nampak cantik berseri-seri hari ni. Ada apa-apa ke? Aku rasa kau nak jumpa buah hati engkau kan?”
Alyssa Delaila ketawa. “Buah hati? Merepeklah! Mana ada…”
“Ehhh… Aku ni bukan buah hati engkau ke?”
Alyssa Delaila menjelingnya, ketawa dan menjawab; “Lambat lagilah! Mungkin tunggu hingga kucing bertanduk.”
“Alamak! Kasihan kat aku! Aku bersedia bila-bila masa pun…”
Alyssa Delaila tiba-tiba bangun. Dia sebenarnya ingin mengelak daripada berbicara tentang status perhubungan mereka.
“Jom kita jalan-jalan. Taman ni masih luas tahu. Masih banyak spesies bunga-bunga orkid yang belum kita lihat.” Alyssa Delaila sudah bangun dan berjalan ke arah lorong yang ditumbuhi dengan bunga-bunga orkid yang pelbagai jenis dan spesies.
Haiqal ikut bangun, berjalan menyaingi gadis itu. Sepanjang jalan sempit itu, sesekali tangan mereka bersentuhan. Alyssa Delaila bagaikan tidak menyukai sentuhan itu. Dia berjalan sambil berpeluk tubuh bagaikan kesejukan.
“Engkau suka orkid?”
“Ya. Dulu aku tak sedar, yang bunga orkid ni sangat cantik dan indah. Aku sangka hanya mawar punya pelbagai warna dan kelopak yang lembut serta harum baunya. Tapi sebenarnya orkid lebih istimewa, kerana ianya tahan lama, tidak mudah layu.”
Haiqal mengangguk. “Ceritalah lagi apa yang kau suka. Warna apa yang kau paling minati? Makanan apa yang kau suka?”
“Warna?” Kening Alyssa Delaila bercantum, dia terdiam. Sekonyong-konyong dia teringat pada Prof. Dr. Ismadi yang gemar berkemeja warna biru. Pasti warna biru adalah warna kegemarannya.
“Biru…” Tanpa sedar dia menuturkan kata-kata itu.
“Biru.” Balas Haiqal sambil tersenyum. “Aku juga suka biru, kuning, merah dan hitam.” Kata Haiqal.
“Kenapalah banyak sangat warna yang kau suka?”
“Sebab… Hmmm… Sebab kau suka biru, aku pun sukalah. Baju kau hari ni kuning, bibir kau merah dan rambut kau hitam. Aku suka semuanya!”
“Kau ni merepeklah Haiqal!”
Kini dia berjalan mengundur ke belakang kerana ingin mengadap wajah Alyssa Delaila. Gadis itu berhenti melangkah. Dia meletakkan tangannya di pinggang, geram melihat gaya Haiqal yang bagaikan budak-budak sahaja.
“Mengapa kau jalan mengundur?”
“Supaya aku dapat tengok muka engkau.” Kata Haiqal sambil ketawa.
“Macamana kalau aku berlari?”
“Aku akan kejar.”
“Kau ni gila…”
Haiqal menyambar tangan Alyssa Delaila lantas menggenggamnya dengan erat. “Laila, aku sayang dan cinta kau.” Bisiknya perlahan ke telinga Alyssa Delaila.
Gadis itu pura-pura tidak mendengar, dia merentap tangannya dan terus berjalan laju ke hadapan. Haiqal mengejar.
“Aku laparlah.” Kata Alyssa Delaila sambil bergerak keluar dari taman orkid dan menghala ke restoran KFC tidak jauh dari situ. “Jom kita makan. Aku suka ayam goreng.”
“OK. Aku juga suka. Tapi jangan makan terlalu banyak. Ayam mempunyai kolesterol yang tinggi. Jadi, harus berjaga-jaga, jangan makan selalu.” Balas Haiqal sambil berjalan menyaingi gadis itu lantas masuk ke restoran tersebut. Mereka duduk di suatu sudut. Dari situ terlihat pelbagai spesies burung di atas dahan. Kicauannya jelas terdengar nyaring. Pelbagai bunyi yang ada, memang mengasyikkan.
Selepas makan, aku nak balik.” Kata Alyssa Delaila sambil menyedut minumannya. “Dah lama di sini.”
Haiqal merenungnya sebentar, tidak ingin melepaskan gadis itu pulang dengan begitu cepat. “Lepas ni kita ke rumahku sekejap.” Pintanya perlahan.
“Buat apa?”
“Aku nak beri kau sesuatu.”
“Apadia? Mengapa tadi kau tak bawa sekali?”
“Aku lupa…” Jawab Haiqal selamba. Sebenarnya dia bukan lupa cuma sengaja mahu mengajak Alyssa Delaila ke rumahnya yang sepi dan sunyi sejak ibunya tiada. Prof. Dr. Ismadi pula selalu hilang dari rumah, menyibukkan diri dengan kerja.
Alyssa Delaila tidak berkata apa-apa. Ada-ada saja Haiqal ni! Rungutnya di dalam hati. Mahu tidak mahu dia terpaksa juga menuruti kehendak Haiqal. Ini adalah kali kedua dia datang ke rumah agam itu. Ternyata rumah itu sunyi sekali. Kemuraman begitu jelas menyelubungi rumah itu. Entah mengapa dadanya bergementaran ketika melangkah masuk ke ruang tamu. Dia merasakan satu kekosongan…
Wanita itu telah tiada, tetapi kata-katanya amat sukar dilupakan. Bukankah dia meminta agar anaknya tidak dilukai? Apakah Alyssa Delaila tidak akan menghampakan Haiqal yang begitu mengharap? Tetapi bagaimanakah dia hendak menerima cinta anak muda itu apabila hatinya tidak merasai apa-apa. Dia hanya mengharap satu persahabatan suci… Tidak mampukah Haiqal memberikan apa yang diingininya?
Haiqal menghilang ke dalam sebentar, meninggalkan Alyssa Delaila sendiri di ruang tamu. Dan gadis itu melangkah ke arah meja konsol, tempat deretan gambar keluarga itu tersusun kemas. Dia mencari-cari sesuatu. Ya! Bingkai gambar pemberiannya sebagai ganti bingkai yang telah pecah itu ada di situ. Tangannya mengambil dan memegang bingkai gambar itu yang terisi dengan gambar Prof. Dr. Ismadi seorang. Saat itu dia terdengar bunyi kereta di hadapan rumah. Dia tidak tahu siapa yang datang. Dia memerhati ke dalam, Haiqal masih belum muncul. Mengapa anak muda itu mengambil masa yang lama di dalam kamar tidurnya?
Daun pintu ditolak dari luar. Terjengul wajah Prof. Dr. Ismadi. Lelaki itu terkejut melihat kehadirannya. Dahi Alyssa Delaila berkerut apabila terdengar satu suara perempuan di belakang Prof. Dr. Ismadi. Lelaki itu masuk diikuti oleh temannya.
Alyssa Delaila memandang mereka berdua tidak berkelip. Wanita bersama Prof. Dr. Ismadi bertanya dengan nada sedikit angkuh; “Siapa gadis tu? Dia bukan anak perempuan you kan? Apa dia buat di sini?”
Prof. Dr. Ismadi menggeleng. “Kawan Haiqal, juga student I.” Jawabnya. “Laila! Dah lama awak datang?”
“Saya dah nak balik Prof.!” Jawab Alyssa Delaila sengit. Dia tidak sukakan wanita bersama Prof. Dr. Ismadi. Baru seminggu kematian isteri, sudah ada pengganti? Bisik hatinya marah dan cemburu.
“Duduklah dulu… Saya yakin awak belum duduk pun! Agh! Awak jangan jatuhkan bingkai gambar itu, nanti saya minta ganti lagi! Sanggupkah awak?” Kata Prof. Dr. Ismadi menentang matanya dengan pandangan dingin. Sindirannya terasa amat tajam menusuk. Hati Alyssa Delaila terasa pedih tersayat. Tidak disangka itu yang dituturkan. Mengapa lelaki itu seperti memusuhinya? Mengapa? Keluhnya sendiri, cuba mengingat kali terakhir mereka berjumpa. Sikapnya sentiasa berubah-ubah… fikir Alyssa Delaila.
Alyssa Delaila meletakkan bingkai gambar itu kembali di tempatnya sambil menggigit bibir. Dia tidak berkata apa-apa. Baginya kata-kata tidak berguna lagi.
“Mari kita ke librari, Sonia. Banyak perkara yang harus kita bincangkan.” Prof. Dr. Ismadi berkata kepada wanita yang sejak tadi berdiri tercegat sahaja. Mata Sonia memandang dingin ke muka Alyssa Delaila. Gadis itu juga membalasnya dengan pandangan yang sama.
‘Mari kita ke librari, Sonia…’ Ejeknya di dalam hati sambil mengajuk cara Sonia berlenggang lenggok sambil memaut lengan Prof. Dr. Ismadi.
Hati Alyssa Delaila rasa amat tergores. Dia bencikan lelaki yang ada di hadapannya itu. Dia sungguh-sungguh merasa benci dan tidak ingin berada lebih lama di situ. Alyssa Delaila berjalan ke pintu yang terbuka lantas terus menerobos keluar. Dia separuh berlari menghala ke pintu pagar.
Dari arah tingkap librari itu, Prof. Dr. Ismadi menguak langsir sheer putih jernih. Dia lihat Alyssa Delaila yang berjalan laju keluar dari perkarangan rumah. Gadis itu langsung tidak menoleh. Sekelip mata dia hilang dari pandangan. Prof. Dr. Ismadi memandang sahaja, tanpa bersuara apa-apa. Namun fikirannya kian terbelenggu dengan satu persoalan. Alyssa Delaila berubah selepas bertemu dengan isterinya di dalam wad dahulu. Dia tidak tahu apa yang mereka berdua perkatakan. Semasa kematian isterinya Alyssa Delaila tidak datang, meskipun Haiqal memaklumkan kepadanya. Gadis itu juga tidak datang menemuinya, sekurang-kurangnya mengucapkan takziah kerana tidak datang berziarah pada saat paling sedih dalam hidup dia dan Haiqal…
Sebetulnya dia tidak harus menuntut simpati dari gadis itu.
Ada sesuatu yang tidak kena… fikirnya. Dia berjalan keluar dan melihat Haiqal yang baru keluar dari dalam, membawa sebuah kotak yang siap berbalut cantik.
“Papa nampak Laila tak?” Tanya Haiqal kebingungan melihat ruang tamu yang kosong.
“Papa rasa Laila dah balik…”
“Balik?” Haiqal kelihatan bingung.
“Mungkin dia masih ada di tepi jalan sana… Tak tahu apa sebabnya tiba-tiba saja dia keluar.” Kata Prof. Dr. Ismadi.
Haiqal buru-buru mendapatkan keretanya yang parkir di halaman lantas terus keluar. Tetapi dia tidak melihat jejak yang ditinggalkan Alyssa Delaila di mana-mana. Memang gadis itu sudah tiada. Entah mengapa hatinya berdetik menyatakan bahawa dia sudah kehilangan Alyssa Delaila… selama-lamanya.
Bab 9
“APA yang you tengok lagi di tepi tingkap tu?” Tanya Sonia tidak puas hati. Dia sedar, sejak tadi Prof. Dr. Ismadi resah. Setelah masuk semula ke dalam librari itu, dia masih mengelak langsir sekali lagi meninjau keluar. Entah apa yang menarik perhatiannya di luar sana.
“Tak ada apa-apa…” Jawabnya sambil menjatuhkan langsir semula. Fikirannya masih dibelenggu persoalan yang tidak mahu hilang. Apakah Haiqal bertemu dengan gadis itu? Mengapa dia harus melarikan diri? Mengapa antara mereka seperti ada permusuhan. Perhubungan antara mereka benar-benar aneh. Terkadang mereka boleh berbaik-baik seperti dua orang sahabat, terkadang mereka seperti sedang bermusuhan. Dan terkadang Alyssa Delaila kelihatan seperti seorang pelajar yang langsung tidak bermasalah. Dia menangani segalanya dengan tenang. Alyssa Delaila memang pelik.
Tidak… Bukan! Sebenarnya dialah yang berperangai pelik kebelakangan ini kerana tidak mampu membendung perasaan sendiri. Dia pernah katakan pada isterinya bahawa dia menyukai gadis itu. Entah mengapa dia harus menceritakan perihal Alyssa Delaila pada isterinya itu. Pasti isterinya tersinggung dan jauh hati. Namun wanita itu tenang sahaja dan tersenyum.
Kini isterinya telah tiada. Apakah dia akan memburu gadis itu? Tidak! Haiqal lebih berhak. Mereka sama-sama muda remaja. Mereka punya masa depan untuk bersama. Prof. Dr. Ismadi mengeluh perlahan, dia duduk di kerusi di hadapan Sonia yang menunggu ulas bicaranya. Melihat dia hanya diam, Sonia bersuara; “Biar I uruskan semuanya…”
“Nanti dulu!… Kebanyakan koleksi yang ada tu dah lama. Yang terbaru pun, setahun yang lepas. Sejak Yang sakit, I memang tak melukis langsung. I tak tahu mencukupi ataupun tidak.”
“Tak mengapa.” Balas Sonia.
“Galeri itu agak luas.” Beritahu Sonia. “I yakin ianya dapat memuatkan beratus-ratus lukisan.”
Prof. Dr. Ismadi ketawa. “Koleksi yang I ada tak sampai pun seratus.”
“Tak mengapa. Boleh digabung dengan beberapa orang pelukis lain. Mana koleksi lukisan you tu? Ada di rumah ni?”
“Sebahagiannya ada di rumah ni dan sebahagian lagi di studio I…”
“OK.” Sonia mengangguk.
Prof. Dr. Ismadi termenung panjang. Dia terdiam beberapa lama. Sonia menghulur tangannya menyentuh tangan lelaki itu, dia tersentak.
“I tahu…” Kata Sonia. “You masih sedih. Apakata kalau you lepaskan kesedihan you tu? Kadang-kadang dengan meluahkannya you akan mendapat ketenangan.”
Prof. Dr. Ismadi menggeleng. “I terima segalanya sebagai takdir.” Balasnya perlahan. Bangun dan berjalan mundar-mandir di ruang itu. Dia teringat pada lukisan-lukisannya. Ada potret wajah isterinya. Potret itu tidak akan dipamerkan. Biarkan ianya menjadi koleksi peribadi yang tidak akan dipertontonkan kepada sesiapa.
Sonia bangun mendekati Prof. Dr. Ismadi dan memegang bahunya dengan lembut. “Is, kita dah lama berkawan. Sejak you dengan Yang belum kahwin lagi. Jadi, janganlah malu sekiranya you hendak menangis di bahu I.”
Prof. Dr. Ismadi ketawa lembut, tidak bersungguh-sungguh. “I am not that kind of man. Menangis di bahu you… Tidak.” Katanya tegas dengan kepala tergeleng. “Bila I kata I terima segalanya sebagai takdir, I dah boleh terimalah. Memang mula-mula masa dia tiada dulu, I amat terasa. Tetapi kini I dah OK. Cuma…”
“Apadia?” Tanya Sonia sambil meramas-ramas bahunya. Dia rasa senang sekali. Urutan lembut di bahunya melegakan ketegangan yang dialami.
Dia tidak dapat melupakan aksi Alyssa Delaila. Dia tidak dapat melupakan segala yang berlaku antara mereka. Kadang-kadang dia bingung. Apakah dia hanya merasai seorang diri ataupun gadis itu pun turut merasainya? Dia mengeluh. Tiba-tiba dia bangun. Sonia terkejut. Dia tahu fikiran Prof. Dr. Ismadi benar-benar terganggu, tetapi bukan kematian isterinya yang jadi puncanya…
HAIQAL mengejar Alyssa Delaila yang berjalan laju, seolah-olah menghindarinya. Mereka terserempak di hujung lorong menuju ke librari, tetapi Alyssa Delaila terus masuk ke tandas di sebelah kanannya. Haiqal menanti Alyssa Delaila keluar dari tandas. Dia mesti bercakap dengan Alyssa Delaila. Sudah dua minggu gadis itu mengelakkan diri dari bertemu dengannya.
Hatinya memang tertanya-tanya apakah yang telah terjadi antara mereka? Mengapa setelah dia meluahkan rahsia hatinya, Alyssa Delaila harus berubah? Sekiranya dirinya ditolak, mengapa tidak berterus terang sahaja? Mengapa membiarkan dia terkapai-kapai sendiri mencari arah dan pegangan?
“Laila!” Panggilnya. Alyssa Delaila yang sengaja berlama-lama di dalam ladies room, tidak disangka Haiqal setia menunggu di luar. Disangkanya Haiqal sudahpun berlalu pergi.
“Laila! Kita mesti bercakap…”
Alyssa Delaila terpaksa bersetuju. Dia mengangguk. Memang tidak seharusnya dia membiarkan Haiqal terus tertanya-tanya. Dia mesti berterus terang tentang hati dan perasaannya. Mereka bergerak ke arah bangku yang disediakan di situ. Bangku itu mengadap ke sebuah taman mini yang terjaga rapi. Petang itu kawasan kampus tetap meriah, ramai pelajar yang berkeliaran, ke librari ataupun lain-lain kegiatan. Ada juga yang duduk-duduk sahaja, berbual berpasangan atau berada dalam satu kumpulan.
“Cakaplah.” Kata Alyssa Delaila setelah sejurus mereka duduk. Alyssa Delaila tidak memandang langsung wajah anak muda di sisinya itu. Haiqal memandang jauh, sesekali menjeling Alyssa Delaila yang kelihatan tenang sahaja.
“Kau kata kau sedia mendengar luahan hatiku. Tapi setelah aku meluahkan segalanya, mengapa kau membisu? Mengapa kau berubah Laila? Apa sebenarnya anggapan engkau terhadap aku? Apakah aku hanya bertepuk sebelah tangan?”
Alyssa Delaila sudah menduga apa yang hendak dikatakan oleh Haiqal. Dia diam beberapa ketika mencari kata-kata yang tidak akan menyinggung perasaan anak muda di sisinya itu. Tetapi alangkah mustahil. Dia tetap akan menggores hatinya… Itulah yang membuat dia melarikan diri dan mengelak dari bertemu muka.
“Maafkan aku Haiqal.” Kata Alyssa Delaila. “Selama ini aku… aku hanya menganggap engkau sebagai sahabat. Aku tidak mungkin dapat menyintaimu. Aku menyayangimu seperti aku menyayangi Sya dan kawan-kawan yang lain…”
“Tapi mengapa? Selama ini kau biarkan aku mengharap! Kau kejam.”
Alyssa Delaila menggeleng. “Haiqal! Maaf sekali lagi. Bukan maksudku untuk melukaimu, Haiqal…Aku sayangkan kau…”
“Aku tak perlukan kasih sayang seorang sahabat. Tidak Laila! Aku tak mungkin boleh terima ini semua. Kau hanya berniat hendak mempermainkan aku selama ini kan? Mengapa kau sanggup datang ke rumahku, menemui ibuku… Mengapa???”
“Haiqal…” Alyssa Delaila tidak dapat bersuara, hanya matanya menentang wajah lelaki di sisinya itu. Aku menyintai papamu! Hampir-hampir sahaja dia meluahkan kata-kata itu. Maafkan aku Haiqal. Aku tahu aku jahat, aku mengambil kesempatan di atas kebaikanmu untuk dekat dengan papamu. Tapi semua usahaku itu gagal. Percayalah aku tidak akan berusaha untuk mendekati dia lagi. Aku akan menyintai diriku sendiri sebelum menyintai orang. Menyintai insan yang bernama lelaki amat rumit kerana mereka adalah manusia yang sukar untuk difahami.
“Dalam hatimu ada orang lain, Laila? Siapakah dia?” Tanya Haiqal tiba-tiba. Dia langsung tidak berpaling. Matanya memandang jauh ke tengah taman mini tersebut. Kelihatan rumpun-rumpun keladi kecil di dalam pasu bergoyang disapa angin petang.
Alyssa Delaila tersentak mendengar pertanyaan itu.
“Aku ingin tahu jika kau menyintai seseorang… Sebab itulah kau enggan menerima cintaku.” Kata Haiqal masih tidak berputus asa. Jika dalam hati gadis itu belum ada sesiapa, barangkali dia masih punya peluang.
Alyssa Delaila mengangguk dan berkata “Ya. Dalam hatiku memang ada seseorang. Aku menyintai dia di dalam diam. Dia pun tidak tahu hati dan perasaanku ini.”
Haiqal nampak terperanjat, menoleh memandang wajah gadis di sisinya yang sedang tertunduk. “Mengapa insan yang kau cintai itu bukan aku….Alangkah sedihnya. Kalau aku tahu, Laila… Tidak ingin kucurah kesedihanku di ribaanmu dulu. Tidak ingin aku mengangap kau teman istimewa. Oklah Alyssa Delaila. Aku tidak mahu bertemu dengan engkau lagi buat selama-lamanya. Kalau kita terserempak di mana-mana bahagian di universiti ni, anggap aje kita tak pernah kenal. Jangan kau cuba menegur atau tersenyum lagi padaku. Aku… benar-benar kecewa dengan sikap engkau ni. Kau hanya mempermain-mainkan aku!”
Alyssa Delaila diam dan menggigit bibir. Dia memerhati wajah Haiqal yang tertunduk. Lelaki itu memandangnya lama, pandangan itu seolah-olah renungan kali terakhir. Selepas ini dia nekad untuk melupakan gadis itu.
“Haiqal! Maafkan aku!” Ulang Alyssa Delaila untuk ke sekian kalinya, cuba menggapai tangan Haiqal, tapi anak muda itu menolaknya.
“Selamat tinggal.” Haiqal bangun berdiri. Alyssa Delaila ikut bangun.
“Haiqal!” Dia cuba menyentuh bahu anak muda itu yang ingin bergerak pergi meninggalkannya. Haiqal tidak menjawab, seolah-olah tidak mendengarkan kata-katanya lagi.
Anak muda itu bergerak meninggalkan Alyssa Delaila. Haiqal rasa malu di atas penolakan gadis itu. Tetapi tidak mengapa, bunga bukan sekuntum dan kumbang bukan seekor. Walaupun hatinya terluka hari ini tetapi esok pasti ianya akan sembuh. Di sini tidak susah untuk mendapat kawan atau kekasih. Dengan kedudukannya sebagai anak salah seorang pensyarah terkenal, dia boleh mendapatkan sesiapa saja! Kau tengok sajalah Alyssa Delaila! Bukan engkau seorang gadis cantik di sini…
Dia berjalan laju tidak menoleh lagi ke belakang, menuju ke arah kereta yang parkir di hadapan bangunan. Alyssa Delaila cuma memerhati dari jauh. Dia masih belum berganjak. Tiba-tiba dia merasa seperti diperhati orang. Dia menoleh ke belakang. Tidak semena-mena dia terlihat kelibat seseorang yang berdiri di tepi bangunan di belakangnya. Apabila dia menoleh, tubuh itu terus bersembunyi di sebalik bangunan tersebut.
Alyssa Delaila bangkit, berjalan laju ke arah sudut bangunan itu. Dia tahu ada seseorang yang berdiri di sebalik tiang besar di situ. Setiap kali Alyssa Delaila bergerak, dia akan turut bergerak, hingga mereka tidak mungkin dapat bersemuka. Alyssa Delaila mengambil keputusan untuk menyeru namanya, kerana dia amat yakin siapakah yang mengintipnya itu.
“Sya! Aku tahu kau ada kat situ. Lebih baik kau keluar!”
“Bagaimana kau tahu?” Tanya Syazwina, tidak dapat mengelakkan dirinya lagi. Dia terpaksa keluar menghadapi Alyssa Delaila.
“Aku tahu… kerana naluri aku menyatakannya.”
“Hmmm… Aduhai naluri Alyssa Delaila! Pandainya engkau!” Kata Syazwina sambil tergelak. “Tapi apa dah jadi dengan Haiqal. Aku nampak dia pergi tadi macam frust je….”
“Sya! Aku menolak cintanya. Kami bukan lagi sahabat. Persahabatan kami telahpun terlerai. Aku telah melukai hatinya.” Kata Alyssa Delaila dengan airmata berlinangan. Tidak disangka hatinya tersentuh mengingati wajah Haiqal yang penuh mengharap. Masih diingatnya Haiqal yang pergi penuh kekecewaan. Dia telah melukai hatinya biarpun arwah ibunya meminta agar Alyssa Delaila tidak berbuat demikian. Tapi dia tak mungkin dapat menunaikan permintaan wanita itu. Cinta tidak dapat dipaksa.
“Mengapa kau menolak cintanya Laila? Kau memang menyukai dia sejak… Hmmm, aku rasa sejak pertemuan pertama di studio Jalan Ulu Klang. Kau bimbang Prof. Dr. Ismadi tidak merestui engkau? Janganlah takut, Prof. tu baik orangnya, penuh simpatik. Dia pasti mementingkan kebahagiaan anaknya.”
“Jangan sebut-sebut lagi nama Prof. Dr. Ismadi! Aku tak suka! Petang ni aku nak tutup semua kisah mereka anak beranak!” Kata Alyssa Delaila. Dia berharap kata-katanya itu mengandungi kebenaran. Dia tidak akan memikirkan lagi tentang mereka berdua. Buang masa saja! Sesungguhnya ada banyak perkara ‘bodoh’ lain yang hendak dilakukannya. Contohnya… Menulis dalam diari sebanyak yang mungkin dengan kata-kata; ‘Aku tidak lagi menyintaimu, Prof. Dr. Ismadi’ sebanyak seribu kali atau sejuta kali. Aku membencimu setengah mati!
Agh! Lebih baik dia menyiapkan assignment dan menghadapi ujian supaya dia tidak akan kandas. Supaya dalam tempoh masa tiga tahun berada di situ dia akan dapat meraih ijazah Bachelor Of Arts. Semoga dia akan meraih kejayaan dalam pelajaran, walaupun harus gagal memperjuangkan cinta pertamanya. Dia meluru ke arah bangku menyambar beg yang tertinggal di situ kemudian dia berjalan laju untuk balik ke bilik.
Syazwina agak terkejut mendengar kata-kata itu. Dia terkejar-kejar langkah Alyssa Delaila, berharap untuk mengorek rahsia yang masih menjadi misteri.
“Hei! Tunggu aku Laila! Apa maksud kata-kata engkau tadi?”
Namun kata-kata temannya itu tidak dihiraukan oleh Alyssa Delaila.
Bab 10
CUTI semester kedua baru bermula. Kebanyakan penghuni kolej itu mulai meninggalkan bilik masing-masing. Begitu juga dengan Alyssa Delaila. Dia terlewat beberapa minit keluar dari kolej. Apa yang dapat dilihat dari kejauhan hanyalah bontot bas yang sudah meninggalkannya. Dia mengusung beg pakaian sederhana besar ke atas bangku perhentian bas, terpaksa menunggu satu jam lagi untuk mendapatkan bas berikutnya.
Syazwina sudah lama pulang dijemput oleh bapanya. Sebenarnya dia boleh menelefon Safura meminta ibunya menjemput dengan kereta kancil miliknya, tetapi dia tidak mahu menyusahkan wanita itu. Walaupun hari itu hari Sabtu, dia tahu Safura tetap bekerja pada hari tersebut.
Dia mengeluarkan novel dari dalam beg pakaian. Dengan membaca sekurang-kurangnya dia tidak akan merasakan masa yang berlalu. Belum satu muka surat novel itu dibaca, dia mendengar bunyi hon kereta di hadapan perhentian bas. Dia mengangkat muka. Serta merta mukanya menjadi pucat, tubuhnya terasa berpeluh dingin. Kehadiran kereta itu benar-benar mengejutkan. Ketenangan hatinya terus digugat apabila melihat wajah lelaki di sebalik cermin kereta tersebut.
Lelaki itu memberi isyarat supaya dia naik. Alyssa Delaila masih terperanjat dan tidak berganjak dari tempat dia duduk. Spontan dia menggoyangkan tangannya. Tetapi lelaki itu bagaikan memaksa supaya dia masuk ke kereta. Dia menekan hon apabila Alyssa Delaila tunduk, pura-pura meneruskan pembacaannya yang terganggu.
“Kenapa degil sangat?” Tegur Prof. Dr. Ismadi, seolah-olah sedang memarahi anaknya sendiri. Alyssa Delaila tidak sangka lelaki itu sanggup keluar dari kereta lantas datang mendekatinya dengan cara begitu mendesak. Mata Alyssa Delaila memerhati sekeliling. Mujur kawasan itu lengang dan tiada sesiapa yang nampak Prof. Dr. Ismadi bersamanya di perhentian bas itu. Jika ada para pelajar yang melihat mereka, dia amat takut nanti terjadinya gossip-gossip panas!
“Prof. tidak berhak untuk kata saya degil. Saya bukannya anak Prof..… Saya bukan sesiapa. Sekarang ni masa cuti… dan saya bukan lagi student Prof...” Jawab Alyssa Delaila dengan berani. Dia terus menunduk, tidak langsung memandang wajah lelaki di sisinya. Namun hidungnya kembang kempis apabila terhidu wangian lelaki itu. Dia amat ingin menatap wajah lelaki itu dari jarak dekat. Memang dia akui, selama ini dia menjauhkan diri, tidak ingin menatap matanya lagi. Dia sering melarikan diri daripada berhadapan dengannya, walaupun tidak dapat melupakan hakikat bahawa dia merindui…
Alyssa Delaila memerhati kasut kulit lelaki itu yang berwarna hitam berkilat. Seluarnya juga berwarna hitam. Bajunya? Agh! Pasti dia mengenakan baju berwarna biru lembut. Pasti. Dia mengangkat muka tanpa sedar untuk mencari kebenaran kata hatinya. Benar. Lelaki itu memakai sehelai baju panas berkolar berwarna biru lembut.
“OK. Awak betul! Saya tak seharusnya kacau awak, walaupun niat sebenar saya adalah hendak menolong. Sekian lama awak sengaja melarikan diri dari saya…”
Alyssa Delaila merenung lelaki itu. Wajahnya kelihatan selamba. “Oh ya ke? Saya melarikan diri dari Prof.? Mengapa saya nak buat begitu?”
“Jawapannya ada pada awak Laila. Jangan tanya saya sebab saya tak tahu apa-apa!” Jawab Prof. Dr. Ismadi.
“Janganlah buat saya keliru Prof... Saya tak pernah larikan diri dari sesiapa. Bukan dari Prof. ataupun dari kawan-kawan saya yang lain. Saya memang begini… Suka bersendiri. Dan saya tak suka bergantung pada orang lain.”
“Baiklah…” Balas Prof. Dr. Ismadi. Dia tidak mahu bertengkar. Kadang-kadang perempuan ini ada kedegilannya yang tersendiri dan lelaki pula menatang ego. “Nampaknya saya tersilap. Awak ni degil tak bertempat. Saya hanya nak tolong awak. Saya nak Kuala Lumpur, kalau-kalau awak nak tumpang… Bas pasti lambat lagi. Kalau tak mahu, tak mengapa. Saya bukannya nak memaksa awak, Laila. Semuanya terpulanglah.”
Prof. Dr. Ismadi berlalu sambil menggeleng-gelengkan kepala. Alyssa Delaila tersentak, memerhati lelaki itu berjalan laju mengarah ke keretanya. Segera dia bangun, menutup buku lantas mengangkat begnya yang agak berat. Dia mengikut lelaki itu ke kereta. Prof. Dr. Ismadi tersenyum sendiri melihat Alyssa Delaila berdiri di sisi keretanya. Dia membukakan pintu kereta dari dalam supaya gadis itu dapat masuk.
“Terima kasih, saya memang ketinggalan bas…” Kata Alyssa Delaila kemudian, berharap kata-katanya mengembalikan kemesraan yang hilang. Prof. Dr. Ismadi tidak berkata apa-apa, dia terus tekun memandu melalui lebuhraya yang luas terbentang.
“Bagaimana keadaan awak sekarang? Segalanya baik?”
Alyssa Delaila mengangguk. “OK.”
“Kebelakangan ni saya tengok Haiqal macam sedih aje… Moodnya pun tak menentu! Awak dan dia…” Dia tidak meneruskan kata-katanya. Dia berharap Alyssa Delaila mengerti maksud kata-katanya itu. Memang sejak kebelakangan ini dia tidak lagi melihat Haiqal dan Alyssa Delaila berkawan. Dia tidak mungkin bertanya sendiri pada anak lelakinya itu. Antara lelaki dan lelaki, amat sukar untuk berbicara soal hati dan perasaan. Lantas, dia hanya memerhati sahaja perkembangan diri si anak yang nampak rapat dengan beberapa orang gadis lain. Dia ingin tahu kesudahan perhubungan antara anaknya dengan Alyssa Delaila.
“Memang kami tidak lagi berkawan.” Beritahu Alyssa Delaila dengan tenang.
“Maksudnya tidak lagi bercinta, begitu? Kenapa?”
“Bercinta? Pembetulan. Kami tak pernah bercinta. Perlukah saya terangkan sebab-sebabnya pada Prof.?” Kata Alyssa Delaila dengan tegas.
“OK.” Lelaki itu mengangguk. “Maaf. Saya menyoal terlalu banyak perkara-perkara yang bersifat peribadi kan? Memang sifat saya begitu, kalau saya merasakan bahawa seseorang tu agak rapat dengan saya.”
Alyssa Delaila tidak menjawab. Alasan yang munasabah! Bisik hati Alyssa Delaila. ‘Agak rapat, tetapi sebenarnya tidak pernah erat.’ Itulah hakikatnya. Dia hanya mengeluh kemudian bertanya; “Prof. dengan wanita cantik tu bagaimana pula?”
“Sonia?”
“Entahlah… Manalah saya ingat namanya!” Jawab Alyssa Delaila dengan hati yang sakit. Sebenarnya dia ingat pada nama itu. Dia tidak pernah lupa pada wanita yang kini telah menjadi ‘saingan’nya pula!
Prof. Dr. Ismadi ketawa. “Kami biasa saja.”
Alyssa Delaila tidak berkata apa-apa. Dia merasakan tidak perlu bercakap sesuatu yang membuat hatinya tambah sakit. Jadi dalam perjalanan panjang itu dia terus diam. Dia bersandar sahaja di kusyen, cuba untuk melelapkan mata. Namun tidak disangka, dia benar-benar terlelap. Dia hanya tersedar apabila terasa kereta itu bergerak terhinggut-hinggut, tersangkut di dalam trafik jam. Dia mengangkat kepala, baru tersedar yang kepalanya terlentuk di atas bahu Prof. Dr. Ismadi.
“Maaf. Saya tertidur di bahu Prof. rupanya…”
“Tak apa. Lelap awak tidur, tak sampai hati saya nak kejutkan.” Kata Prof. Dr. Ismadi, bahunya terasa lenguh tetapi dia merelakannya. Jika gadis itu hendak tidur terus pun dia sanggup memandu tanpa henti ke destinasi yang tidak pasti! Alangkah gilanya perasaan ini! Fikir Prof. Dr. Ismadi. Aku sudah tua… layak dipanggil bapa! Tetapi mengapa aku selalu terlalai dan terlupa akan hakikat ini?
Alyssa Delaila tersenyum malu. Dia benar-benar tidak sangka dia boleh tertidur. Malam semalam memang dia tidur lewat kerana berbual dengan teman-teman, sebelum masing-masing kembali ke kampung.
“Siap mengigau lagi…” Usik Prof. Dr. Ismadi sekadar hendak menghangat suasana.
“Mengigau?” Tanya Alyssa Delaila dengan dahi berkerut.
“Yalah… Awak sebut nama kekasih awak!” Prof. Dr. Ismadi tertawa.
Alyssa Delaila tidak berani bertanya apakah dia benar-benar mengigau. Mustahil! Tidak pernah orang mengigau di siang hari. Apakah lelaki itu sekadar hendak mengusiknya untuk menceriakan kedinginan yang ada antara mereka.
“Cuti ni awak ke rumah bapa awak di Bachok?”
Alyssa Delaila menggeleng. “Tak… Barangkali saya di rumah saja.”
“Saya juga ada di Kuala Lumpur sepanjang dua minggu ni…” Kata Prof. Dr. Ismadi. Alyssa Delaila tidak mahu bertanya apa-apa lagi tentang lelaki itu, walaupun dia tidak mengerti maksud kata-katanya.
“Saya turunkan awak di hadapan SOGO boleh? Di situ banyak bas dan teksi.”
“Boleh.” Jawab Alyssa Delaila. Saat hendak meninggalkan lelaki itu sudah hampir tiba. Hatinya jadi berat untuk melangkah pergi. Entah mereka akan bertemu lagi ataupun tidak? Dia tidak mengharapkan pertemuan tetapi apabila bertemu dia tidak mengharapkan perpisahan pula!
“Selamat bercuti Laila. Lakukan sesuatu yang bermanfaat sepanjang cuti ni…”
Alyssa Delaila mengangguk. “Terima kasih Prof..…” Katanya sambil melemparkan senyum. Senyumannya berbalas mesra. Lelaki itu memerhati Alyssa Delaila keluar dari kereta. Saat itu dia seperti ingin memperkatakan sesuatu. Tangannya meraba-raba phamplet di dalam dashboard, teragak-agak hendak menyerahkannya ke tangan Alyssa Delaila. Gadis itu bergerak laju, melintas jalan dan terus menghala ke perhentian teksi.
JALAN Tunku Abdul Rahman sesak dengan kenderaan dan orang ramai yang keluar membeli belah. Di perkarangan SOGO kelihatan para muda mudi berjalan berpegangan tangan, mesra dengan gelak tawa. Dia hanya sendiri berjalan menyusuri anak-anak tangga menuju ke perhentian teksi. Bas kelihatan berasakan baru tiba dari Jalan Dang Wangi. Kelihatan tempat teksi penuh dengan orang menunggu, sedangkan teksi langsung tidak kelihatan. Alyssa Delaila berdiri di barisan paling belakang bersama beg pakaian yang terasa kian berat.
Tuhan! Mengapa aku tidak berupaya untuk menyatakan rasa hatiku yang sebenarnya? Aku amat menyenangi pertemuan yang terjadi… Seringkali setiap pertemuan berakhir dengan perpisahan tanpa sebarang janji. Bagaimana harus dilebarkan ikatan ini? Kini tiada sesiapa yang menghalang. Tiada Haiqal ataupun ibunya… Apakah hanya aku seorang yang merasakan getaran yang menyakitkan ini, sedangkan dia sebenarnya tidak merasai apa-apa… Apakah hanya aku seorang yang mengharap sedangkan dia seakan tidak peduli?
Terasa lemah seluruh tubuhnya. Lutut terasa kian lenguh berdiri. Kepalanya terasa berpinar-pinar melihat pusuan orang ramai yang entah dari mana datangnya. Kereta juga bersimpang siur dengan pekikan hon yang tingkah meningkah. Sebuah teksi memasuki lorong dan tiga orang yang berada di hadapan barisan masuk ke dalamnya. Wajah mereka kelihatan lega sekali, sementara wajah-wajah lain ada dalam barisan itu kelihatan muram.
Barisan itu pun menjadi sedikit pendek, tetapi itu tidak bermakna penantiannya juga menjadi singkat. Alyssa Delaila semakin tenggelam dalam angannya sendiri, walaupun dia tidak pernah berhasrat ingin membiarkan dirinya hanyut. Dentingan hon mengembalikan dia semula ke alam realiti. Dia terperanjat sekali lagi melihat bukan teksi yang masuk ke lorong itu, sebaliknya sebuah mercedes hitam.
Orang-orang yang sedang menunggu kelihatan terpinga-pinga melihat kereta itu masuk ke lorong berkenaan sambil membunyikan hon. Orang gila mana ni? Begitulah fikir mereka. Dan Alyssa Delaila turut merasai kegilaan itu! Dia cepat-cepat melompat masuk ke dalam kereta berkenaan kerana tidak ingin membiarkan ianya lebih lama berada di dalam lorong yang tidak sepatutnya.
“Mengapa Prof. berpatah semula?” Dia bertanya kebingungan.
“Kemudianlah saya beritahu…” Kata Prof. Dr. Ismadi. “Sekarang ni saya nak ajak awak pergi makan, lepas tu hantar awak balik, setuju?”
Dia mengangguk, menahan dirinya dari tersenyum sedangkan hatinya sangat gembira.
“AWAK pernah dengar nama Michelangelo?” Tanya Prof. Dr. Ismadi sambil meletakkan garfu berisi speghati yang baru luak sedikit. Dia mencapai gelas lantas menyedut minumannya perlahan. Mereka makan tengahari di sebuah coffee house yang terletak di Jalan Raja Laut.
“Michelangelo di Lodovico Buonarroti. Masakan tak pernah! Seorang pelukis terkenal berbangsa Itali, hidup di zaman rennaissance.”
“Ya.” Balas Prof. Dr. Ismadi. “Dia juga seorang pengukir yang hebat. Karya terunggulnya Pieta masih dapat dilihat di Basilika St. Petrus, Vatikan.” Kata Prof. Dr. Ismadi lagi. “Apa yang hendak saya katakan pada awak Laila… Walaupun saya tidaklah sehebat Michelangelo ataupun Leonardo Da Vinci, sudi tak kalau awak luangkan masa melihat pameran lukisan saya?”
“Pameran lukisan?”
“Ya. Sonia… Wanita cantik yang awak jumpa di rumah saya hari tu…” Katanya berhenti bercakap sebentar, menyuap dan mengunyah speghati perlahan-lahan kemudian menyambung; “Menguruskan sebuah galeri dan sedang mengumpulkan lukisan-lukisan yang pernah saya lukis dulu. Pameran akan dibuka pada hari Isnin ni…”
Biarpun Alyssa Delaila agak cemburu mendengar Prof. Dr. Ismadi menyebut ‘wanita cantik’ yang pernah ditemuinya itu, dia tidak menghiraukan perasaannya saat itu. Dia benar-benar teruja apabila mengetahui lelaki itu seorang yang mempunyai bakat seni yang amat besar! Bukan hanya seorang pensyarah seni, pengarah filem, penulis skrip yang hebat, dia juga seorang pelukis. Apalagi yang dia tidak tahu tentang Prof. Dr. Ismadi?
Dia tidak ubah bagaikan Leonardo Da Vinci yang hebat, berbakat dan bijak. Leonardo Da Vinci adalah seorang pelukis, pereka, ahli sains, jurutera, penyajak, pemain muzik dan pengukir. Karya terhebatnya Mona Lisa sehingga kini masih diperkatakan orang.
Dia yakin Prof. Dr. Ismadi juga punya karya hebat! Siapa lagi kalau bukan lukisan wajah isterinya… Dia sudah tahu, tanpa diberitahu oleh lelaki itu!
“Benarkah Prof.? Bagusnya… Tahniah saya ucapkan.” Kata Alyssa Delaila dengan wajah berseri-seri kemudian menyambung; “Barangkali Prof. memang sudah menunggu lama untuk mempamerkan lukisan-lukisan tersebut.”
“Sebenarnya saya tidak pernah terfikir pun hendak mempamerkannya. Saya rasa saya tidaklah sehebat mana. Tetapi Sonia yang merasakan karya saya hebat… Dia tak habis-habis memuji dan mahu karya-karya saya dipamerkan. Saya hanya menurut…”
“Tentu Prof. ada masterpiece kan? Macam Leonardo Da Vinci punya Mona Lisa?”
Prof. Dr. Ismadi diam, senyum dan bertanya; “Apa yang menyebabkan awak berkata begitu? Kan saya kata saya tak sehebat mana?” Dia terus merendah diri.
“Saya rasa, pasti makcik yang jadi sumber inspirasi Prof.?”
Wajah Prof. Dr. Ismadi berubah. Dia tunduk, makan dengan tekun seolah-olah tidak ingin mengingat lagi perkara yang sudah berlalu meninggalkannya.
“Sorry…” Ucap Alyssa Delaila perlahan dan hampir-hampir tidak terdengar.
“Kalau ada masa, saya ingin melukis wajah awak.”
“Saya?” Dahi Alyssa Delaila berkerut. Dia jelas terkejut mendengar permintaan Prof. Dr. Ismadi. Tanpa banyak soal dengan mudahnya dia bersetuju.
Biarkan saya abadikan wajah awak dan menjadikannya sebagai masterpiece, Laila! Ucapnya sekadar di dalam hati.
Bab 11
BORHAN muncul pada petang itu, tika hujan lebat sedang turun. Kereta buruknya tersadai di pinggir pagar. Dia berlari masuk melalui pintu pagar yang tidak berkunci. Daun pintu diketuk bertalu-talu. Alyssa Delaila yang tertidur di sofa terkejut mendengar ketukan itu, sementara Safura di dapur sedang menyediakan sarapan petang ikut menjenguk ke luar.
Buru-buru dia membuka pintu. Dia amat terkejut melihat kehadiran bekas suaminya itu. Baju lelaki itu sedikit basah.
“Abang dari mana?” Tanya Safura ingin tahu, melihat kemunculan yang tidak diduga, dia pasti sesuatu berlaku pada lelaki itu ataupun anak-anak tirinya.
“Dari Bachok.” Jawab Borhan termengah-mengah. Ternyata dia memandu ke situ sepanjang hari. Petang baru tiba ke Kuala Lumpur. Patutlah mukanya kelihatan begitu lelah.
“Masuklah dulu…” Pelawa Safura. Alyssa Delaila tidak berkata apa-apa. Dia bangun menghala ke dapur untuk membersihkan muka. Safura sedang membuat karipap. Alyssa Delaila mengambil alih tugas ibunya. Dia menggoreng karipap yang sudah siap diisi inti. Setelah karipap itu masak dia menyediakan minuman lantas menghidangkannya di ruang tamu.
Perbualan Safura dan Borhan terhenti apabila melihat Alyssa Delaila datang membawa minuman dan kuih. Safura mempelawa bekas suaminya itu minum. Borhan tidak menolak, memang perutnya lapar. Dia tidak makan apa-apa sejak pagi tadi. Hatinya risau bukan kepalang. Jika diikutkan hati, memang dia malu hendak datang menemui Safura. Namun dia tidak tahu ke mana lagi harus meminta pertolongan. Dia risau memikirkan apa yang terjadi terhadap Jalil.
“Jadi, dia berada di dalam lokap sekarang?” Tanya Safura dengan suara merendah.
Borhan mengangguk sedih.
“Siapa yang masuk lokap?” Tanya Alyssa Delaila ingin tahu.
“Jalil.” Jawab Borhan.
“Kenapa?”
“Dia mencuri motor, kemudian menjualnya semula. Dia juga terlibat dalam perlumbaan haram.” Beritahu Borhan dengan wajah sedih.
“Habis, apa kaitannya dengan kami?” Tanya Alyssa Delaila. “Ayah tak boleh selesaikan masalah anak ayah tu?”
“Laila!” Tegur Safura. “Jangan biadap sangat.”
Alyssa Delaila tersinggung mendengar teguran Safura. Dia mendiamkan diri. Matanya menjeling Borhan. Tangannya mencapai kuih karipap lantas memamahnya perlahan-lahan.
Borhan terdiam mendengar kata-kata Alyssa Delaila. Dia tidak tahu apakah dia sanggup untuk menerangkan maksud kedatangannya di hadapan anak gadisnya itu. Dia pasti akan tercabar dengan kata-kata Alyssa Delaila.
“Aku datang ni… Nak minta tolong…” Kata Borhan teragak-agak.
Alyssa Delaila memandang muka bapanya. Bibirnya tercebik. Dia benar-benar rasa meluat. Memang lelaki ini tak guna! Sudah diberi betis, hendakkan paha! Orang sudah berbaik-baik dengannya, hendak lebih pula. Dulu datang kononnya hendak mengenali dirinya, kini datang hendak mengadu kesusahan pula. Tak habis-habis dan tidak pernah sudah-sudah. Lebih baik sekiranya dia tidak muncul langsung! Lebih mudah sekiranya Borhan tidak hadir dalam hidup mereka dua beranak.
“Tolong apa?”
“Nak pinjam duit untuk ikat jamin Jalil.” Kata Borhan dengan wajah sedih. “Aku tak ada duit. Gaji aku tak cukup. Anak-anak ramai yang harus diberi makan. Belum lagi dicampur dengan duit belanja sekolah dan buku-buku…”
“Saya… Saya tak ada duit!” Jawab Safura sambil memerhati wajah Alyssa Delaila yang kian masam mencuka.
“Tolonglah! Aku janji aku bayar balik duit engkau tu, Fura. Aku bayar balik. Aku pinjam kejap je…” Kata Borhan dengan pantas mencapai tangan Safura dan menggenggamnya erat.
“Saya tak ada duit.” Ulang Safura sekali lagi.
“Aku tahu engkau ada duit simpanan.”
“Tapi duit simpanan tu untuk tampung pelajaran Laila di universiti. Perbelanjaannya agak tinggi, bang. Maaflah… Saya tak dapat menolong.”
“Tolonglah Fura…” Borhan terus merayu. “Aku tak sanggup tengok Jalil tidur di dalam lokap, sementara nak tunggu hari bicara. Kalau dia diikat jamin, lega sedikit hatiku. Tak adalah dia terseksa tidur di dalam lokap tu! Tolonglah… Aku bayar balik Fura. Aku janji. Aku sembah engkau! Tolonglah aku sekali ni!” Borhan benar-benar membongkok bagaikan hendak menyembah Safura. Wanita itu cepat-cepat menyuruh Borhan bangun.
“Baiklah… berapa agaknya yang abang perlukan?”
Alyssa Delaila benar-benar tidak sangka ibunya sanggup membantu Borhan untuk membebaskan anak tirinya. Dia menggelengkan kepala. Hatinya semakin marah melihat sikap lembut hati ibunya itu. Jika boleh dia ingin menjerit dan membantah, tetapi dia tidak mahu dikatakan sebagai anak yang kurang ajar dan derhaka. Dia melihat muka Borhan kelihatan berubah, dari muram menjadi berseri-seri. Dia tahu dia akan dapat wang yang dihajati.
Kalaulah wanita itu sudi, dia mahu rujuk semula dengan isteri yang sudah ditinggalkan hampir dua puluh tahun itu. Dia tidak akan meninggalkan wanita berhati mulia itu begitu sahaja.
Alyssa Delaila merengus kasar apabila Borhan menyebut jumlah yang diingininya. Jumlah itu agak tinggi. Tak mungkinlah kalau setakat hendak menjamin orang hingga dekat sepuluh ribu ringgit… rungut hati Alyssa Delaila. Dan tanpa diduga Safura bersetuju hendak memberi wang yang diminta. Alyssa Delaila benar-benar tersinggung dan marah, buru-buru dia naik ke tingkat atas. Sampai hati ibunya sanggup mengeluarkan duit simpanan untuk pembiayaan pelajarannya semata-mata kerana Jalil.
BAGI melupakan rasa sakit hatinya terhadap Safura, Alyssa Delaila keluar di awal pagi. Jam baru pukul lapan, dia sudah tercegat di tepi jalan menunggu bas City Liner. Hari minggu bas kosong, dia bebas memilih tempat duduk. Perjalanan pagi itu amat lancar. Alyssa Delaila sendiri tidak tahu hendak ke mana. Dia turun di hadapan Reddy Clinic di Jalan Ipoh. Dia termangu-mangu seorang diri di perhentian bas yang lengang. Saat itu dia terpandang bangunan MLS yang menjulang tinggi.
Dia meraba-raba beg selepang kecil yang dibuat dari benang kait itu, membukanya dan terus mengeluarkan handphone. Dia menekan nombor telefon seseorang, terpaksa menanti dengan sabar beberapa saat, barulah panggilannya berjawab; “Laila?” Seru lelaki itu. Suaranya kedengaran agak terkejut.
“Prof..… Prof. di mana sekarang?”
“Di studio.”
“Studio mana?”
“Di bangunan MLS, Off Jalan Ipoh.”
“Boleh saya datang ke situ?”
Prof. Dr. Ismadi terdiam, dia mendengar suara Alyssa Delaila melanjutkan kata; “Saya ada berdekatan kawasan itu. Saya nampak bangunan tu dari perhentian bas ni. Boleh saya datang? Hari masih awal, saya tak tahu nak ke mana. Kompleks pun belum dibuka.”
“OK. Datanglah.” Kata Prof. Dr. Ismadi lantas memberikan alamat lengkap studionya itu. Alyssa Delaila berjalan laju ke arah bangunan tersebut lantas masuk ke lobi. Di kaunter kelihatan seorang pengawal keselamatan. Dia memberitahu ingin ke tingkat empat untuk menemui Prof. Dr. Ismadi. Pengawal menunjukkan lif, melepaskan Alyssa Delaila naik ke tingkat empat.
Alyssa Delaila berdiri di hadapan pintu cermin yang tertutup rapat. Di situ tertulis dengan perkataan besar; ‘Studio SDS.’ Keningnya terangkat. Ingin tahu apakah maksud perkataan ‘SDS’. Apakah itu singkatan nama isteri Prof. Dr. Ismadi. Dia menekan butang di tepi pintu, memberitahu Prof. Dr. Ismadi kehadirannya. Tidak lama kemudian Prof. Dr. Ismadi muncul dari dalam. Lelaki itu kelihatan tampan mengenakan baju sejuk leher berbentuk V, dipadankan dengan kemeja di bahagian dalam. Rambutnya nampak kemas bersisir, dia kelihatan segar seperti baru lepas mandi.
Dia senyum melihat kedatangan gadis itu.
“Mengapa keluar awal sangat?” Dia bertanya sambil menutup pintu kembali.
Alyssa Delaila mengangkat bahu. Prof. Dr. Ismadi tidak bertanya lagi; dia terus bergerak masuk ke bahagian dalam melalui lorong yang dikepung bilik yang bertutup rapat. Alyssa Delaila memerhati sekeliling ruang sambil kakinya melangkah mengikut lelaki itu. Prof. Dr. Ismadi membuka sebuah pintu dan dia terus masuk. Alyssa Delaila turut masuk ke bilik yang sederhana luas itu. Di sudut ruang terdapat sebaris sofa. Bekas makanan dan tin minuman kelihatan bersepah-sepah di atas meja. Prof. Dr. Ismadi kembali duduk di atas bangku, tempat dia sedang menyiapkan kerjanya.
Sebuah laptop masih terpasang, ada di meja kerja lelaki itu. Dia mengenakan cermin matanya semula, tidak menghiraukan Alyssa Delaila yang sedang memerhati sekeliling. Dia nampak sebuah lukisan yang kelihatan separuh siap, potret wajah seorang perempuan. Alyssa Delaila mendekati lantas bertanya; “Potret siapa ni? Mengapa belum disudahkan?”
“Tak ada masa nak disiapkan…” Jawab Prof. Dr. Ismadi. “Malam tadi pun saya tak tidur, tengah siapkan skrip filem.”
“Ohh.. begitu!” Alyssa Delaila mendekati lantas berdiri di belakang lelaki itu. Dia melihat jari-jari lelaki itu sedang lincah menaip idea yang mengalir dari dalam kepalanya.
“Berapa mukasurat skrip ni?”
“Untuk filem yang mengandungi lebih kurang 120 minit memerlukan skrip lebih kurang 100-120 muka. Setiap sehelai mukasurat, sama dengan 1 minit. Kan saya pernah beritahu dulu? Dah lupa?”
“Hmmm…Ingat! Ingat!” Alyssa Delaila mengangguk.
“Prof. tidur di sini?”
“Mengapa? Awak rasa pelik? Di sini semuanya ada. Bilik tidur ada di sebelah bilik ni… Memang selesa. Tapi amat jarang saya tidur, kalau dah terikat dengan kerja.”
“Jadi pasti belum mandi ni?” Alyssa Delaila cuba mengusik. Dia tahu lelaki itu seorang yang pembersih. Berada berdekatan dengannya dia hanya terhidu bau yang wangi.
“Saya suka mandi awal subuh, walaupun tidak tidur.”
“Walau bagaimana pun mesti tidur juga, Prof. Kesihatan kena jaga …”
“Saya tahu itu. Terima kasih kerana mengingatkan…” Katanya tersenyum. “Hmmm… Skrip ni pun dah hampir siap. Ini baru draf pertama. Saya selalunya akan buat ubah suai kemudian, mana-mana yang tidak kena akan saya buang. Tapi saya lega, sekurang-kurangnya dah siap!”
Alyssa Delaila mengangguk. Dia tidak mahu mengganggu Prof. Dr. Ismadi. “Boleh saya melihat sekeliling?”
“Boleh…Silakan.” Jawabnya tanpa menoleh pada gadis itu.
Alyssa Delaila keluar dari bilik itu. Dia amat ingin menjenguk ke kamar Prof. Dr. Ismadi. Benar bagai dikatakan, bilik tidur itu kelihatan kemas langsung tidak terusik. Lelaki itu menghiasi biliknya dengan warna biru dan putih. Gabungan warna yang sangat harmoni di matanya. Di sisi meja kecil terlihat sekeping potret wanita. Alyssa Delaila mendekati dan melihat potret wajah ibu Haiqal di zaman mudanya. Memang cantik…
Tangannya terus mencapai tombol laci lantas menarik laci perlahan-lahan. Apakah yang terkandung di dalamnya? Dia terlihat sebuah diari…
Diari? Diari siapa? Apakah milik Prof. Dr. Ismadi. Tangannya teragak-agak hendak mencapai dan membeleknya. Dia ingin tahu benar rahsia hati lelaki itu. Namun dia amat takut jika perbuatannya itu diketahui Prof. Dr. Ismadi. Bagaimana kalau tiba-tiba lelaki itu masuk ke kamarnya? Tidak. Dia tidak akan mencuri-curi untuk mengetahui rahsia hati orang lain…
Alyssa Delaila bergerak keluar dari kamar itu. Dia terus membuka pintu demi pintu yang bertutup rapat. Ada pelbagai bilik dengan pelbagai fungsi. Semuanya berkait rapat dengan dunia perfileman. Ada juga bilik kalis bunyi yang lengkap dengan peralatan muzik. Bilik itu agak luas, dilengkapi dengan cermin besar yang mengeliling dinding empat segi tepat. Di mana-mana dia melihat bayang-bayangnya sendiri. Alyssa Delaila masuk ke bilik itu untuk menghiburkan hatinya sendiri dengan memasang lagu…
Alyssa Delaila seronok sendiri, bergoyang dan menari tanpa dilihat oleh sesiapa. Puas rasa hatinya, dapat melepaskan segala tekanan dengan bergoyang mengikut rentak muzik yang rancak. Dia tidak sedar dirinya diperhati. Prof. Dr. Ismadi senyum sendiri melihat dia menggoyangkan tubuh. Dia menutup pintu perlahan tidak mahu mengganggu. Prof. Dr. Ismadi meneruskan kerja, hanya berhenti apabila Alyssa Delaila datang kembali ke bilik kerjanya. Dia mengajak gadis itu keluar bersarapan kemudian.
“Dah pukul sepuluh lebih, galeri dah buka…” Kata Prof. Dr. Ismadi selepas mereka makan pagi bersama. “Saya bawa awak terus ke sana, mahu?”
“Baik Prof. Saya ikut saja.”
“Janganlah panggil saya terlalu formal Laila. Kita ni berada di luar kampus. Boleh panggil saya nama saja?”
“Panggil nama?” Dahi Alyssa Delaila berkerut.
“Ya. Panggillah Ismadi… atau Is saja boleh?”
“Hmmm… Susahlah Prof. Dah biasa panggil begitu, rasa macam kurang ajar pula nak panggil nama je.” Balas Alyssa Delaila kehairanan. Dia belum bebas dari rasa pelik. Panggilan itu bagaikan hendak mengubah haluan perhubungan mereka… dia tidak tahu apakah maksud sebenar Prof. Dr. Ismadi. Tetapi dia senang untuk mengubah panggilan itu. Tiada yang lebih gembira selain daripada dapat bersama sepanjang hari itu.
HAMPIR setiap hari Alyssa Delaila datang ke galeri, biarpun tanpa Prof. Dr. Ismadi. Sonia menerima kehadirannya dengan hati yang tidak senang. Dia memang terkejut melihat Prof. Dr. Ismadi datang bersama gadis itu, tanpa kehadiran Haiqal. Kemudian diketahuinya pula Haiqal sudah pun memutuskan hubungannya dengan Alyssa Delaila.
Begitulah seminggu sudah berlalu dengan pantas. Dia sendiri tidak sedar masa yang berlalu. Syazwina beberapa kali menelefon mengajaknya bertemu, tetapi dia sentiasa memberi alasan sibuk. Gadis itu tidak percaya langsung! Apakah yang sedang dibuat oleh Alyssa Delaila? Tidak putus-putus hatinya bertanya. Lantas hari itu dia berkunjung ke rumah gadis itu. Saat itu Alyssa Delaila memang hendak keluar, dia sedang memasang mangga di pintu apabila terlihat Syazwina muncul di hadapan pagar.
“Hei! Kau nak ke luar? Nasib baik aku cepat sampai tadi…” Kata Syazwina dengan nafas termengah-mengah. Wajah Alyssa Delaila pucat, dia menggelabah. Dia sudah berjanji dengan Prof. Dr. Ismadi hendak ke studio. Lelaki itu punya hanya sedikit masa untuk melukis potretnya sebelum dia hadir ke galeri kira-kira jam sepuluh setengah pagi. Sebab itulah seawal jam lapan pagi dia sudah keluar.
“Sya!” Tegurnya sepatah lantas berjalan ke arah kawannya itu. “Sorrylah. Aku nak cepat.”
“Kau nak ke mana? Jom aku hantar… Aku bawa kereta mamaku.” Kata Syazwina sambil menunjuk ke arah kereta kancil warna merah yang parkir di hadapan pagar rumah.
“Errr…” Alyssa Delaila teragak-agak hendak menjawab.
“Kau nak pergi jumpa si dia ya?”
“Tak adalah…” Balas Alyssa Delaila. Dia menggigit bibir. Perlukah dia memberitahu Syazwina dia ada janji dengan Prof. Dr. Ismadi? Apa kata Syazwina nanti? Dia amat bimbang.
“Habis tu, kenapa kau tak mahu aku hantarkan. Dah dekat seminggu kita cuti, sekalipun kita tak keluar bersama. Hei… Apa yang sedang kau sembunyikan dari aku ni?”
“Tak ada apa-apa. Aku nak sembunyikan apa pula?” Balas Alyssa Delaila sambil tersenyum. “Oklah. Jom kita keluar. Kita pergi jalan-jalan…”
“Macamana dengan date engkau?” Rakannya itu tidak habis-habis mengusik.
“Biarkan saja…” Jawab Alyssa Delaila bersahaja. Kening Syazwina terangkat. Dia senyum. Berjaya juga dia memerangkap Alyssa Delaila tanpa disedari oleh kawannya itu. Mereka keluar ke Kuala Lumpur, berjalan-jalan tidak menentu, memasuki bazaar dan kompleks. Akhirnya singgah makan dan minum. Telefon bimbit Alyssa Delaila menjerit. Gadis itu melihat nombor yang tertera, dia menjeling Syazwina yang tekun menikmati mee goreng. Dia menjawab panggilan yang datang dengan suara yang tenang.
Telinganya menangkap suara itu. Dadanya berdebar. Dia memerhati Syazwina yang pura-pura tidak peduli tetapi memasang telinga.
“Ya.” Kata Alyssa Delaila dengan lembut.
“Tak jadi datanglah. Laila dengan kawan, tengah minum.”
“Kawan lelaki?”
“Tak!” Balasnya sepatah. “Is di mana?”
“Di studio. Kalau Laila tak jadi datang tak mengapa. Walau bagaimana pun, bergembiralah ya! Tapi esok mesti datang, supaya boleh siapkan potret tu sebelum cuti habis…”
“OK.” Dia menutup panggilan lantas menyimpan handphone.
Syazwina merenung Alyssa Delaila tidak berkelip. Dia tersenyum simpul dan mengenyitkan mata. Benar telahan hatinya. Alyssa Delaila menyembunyikan sesuatu. Kawannya itu itu sudah punya kekasih baru…
“Apa???” Tanya Alyssa Delaila tidak senang melihat renung nakal Syazwina yang kian menjadi-jadi.
“Namanya Is ya? Oooo… Banyaknya rahsia yang engkau sembunyikan. Ada kekasih baru… tapi langsung tak beritahu. Pandai simpan rahsia!” Kata Syazwina tidak puas hati. Alyssa Delaila agak terperanjat kerana rupa-rupanya dia tersebut nama ‘Is’ tadi. Mujur juga dia tidak menyebut nama ‘Prof.’. Dia tidak lagi memanggil Prof. Dr. Ismadi dengan panggilan itu, sebaliknya memilih nama singkatnya sahaja.
“Is… Is apa ya? Iskandar?” Kata Syazwina dengan dahi berkerut, cuba memikirkan nama dan wajah teman-teman sekuliah mereka. Dia cuba mengaitkannya dengan Alyssa Delaila. Selepas Alyssa Delaila memutuskan hubungan dengan Haiqal, gadis itu tidak menjalin persahabatan dengan sesiapa. Kini gadis itu lebih senang berkawan dengan teman-teman perempuan, berbanding lelaki. Namun semua orang tahu, Haiqal kini didampingi oleh beberapa orang gadis cantik. Tidak pernahkah Alyssa Delaila merasai sesuatu? Cemburu atau menyesal?
“Iskandar… Ismail? Is… Siapa dia ni? Beritahulah!” Syazwina separuh mendesak.
“No!” Alyssa Delaila menggelengkan kepalanya. Dia senyum dan akhirnya tergelak. “Sampai esok pun kau takkan tahu dan takkan dapat meneka siapa namanya.”
Syazwina semakin geram mendengar kata-kata Alyssa Delaila. “Sampai hati, kau seksa aku macam ni! Oklah! Tak nak beritahu tak apa… Tapi aku akan cari sampai dapat. Perkara macam ni tak mungkin dapat kau sembunyikan Laila! Bila dua orang sedang bercinta… Satu dunia akan tahu nanti!”
Alyssa Delaila menggigit bibir. Dia tidak ingin rahsia itu diketahui sesiapa.
Bab 12
“HANYA ini yang dapat ibu beri untuk belanja kau di kampus…” Kata Safura sambil meletakkan wang RM500.00 di atas meja di hadapan Alyssa Delaila. Gadis itu diam, hanya menggigit bibir. Dia ingin memprotes, tetapi tidak sampai hati. Dia tahu ibunya bekerja bertungkus lumus untuk memberikan dia kesenangan. Tetapi hatinya sakit kerana Safura memberikan wang yang banyak kepada Borhan. Dia masih belum melupakan hal itu dan tidak menganggapnya sebagai satu kewajaran. Di mana wajarnya perkara itu? Bukankah Borhan itu bekas suami ibunya dan yang hendak dia bebaskan itu adalah anak tirinya sendiri.
“Duit biasiswa Laila masih ada kan?” Tanya Safura dalam nada perlahan.
Alyssa Delaila mengangguk. “Memang masih ada lagi…” Jawabnya lembut. Dia bukanlah seorang yang boros. Dia tahu betapa susahnya untuk mendapatkan wang, justeru itu dia seringkali berjimat cermat. Buku-buku hanya akan dibeli jika terpaksa. Jika buku-buku itu ada di librari dia akan meminjamnya kemudian membuat fotokopi. Itu lebih menjimatkan daripada membeli yang baru, sudah tentu mahal harganya.
Dia memang amat memerlukan buku-buku rujukan. Kebanyakan buku-buku rujukan memiliki sejarah yang panjang sebelum dapat ditulis. Kajian demi kajian dijalankan sebelum terhasilnya sebuah buku rujukan. Bukan satu pembohongan sekiranya dikatakan bahawa buku-buku rujukan yang ada dipasaran, ditulis setelah membuat kajian selama sepuluh tahun!
“Hari ni Laila nak keluar awal dan terus balik ke kolej.” Kata Alyssa Delaila.
“Laila… Sepanjang cuti ni, ibu tengok tiap-tiap hari kau keluar awal. Kau ke mana?”
Alyssa Delaila tidak menjawab. Dia tunduk, pura-pura membilang duit yang baru diberikan oleh ibunya. “Balik petang nantilah. Biar ibu hantar hingga ke kolej…”
“Tak payahlah ibu…” Kata Alyssa Delaila menolak dengan pantas. Dia punya rancangan hendak ke studio Prof. Dr. Ismadi untuk melihat lukisan potretnya. Menurut lelaki itu potretnya sudah siap. Dia tidak sabar hendak melihatnya. Dia sedar, dia sudah banyak berubah, tidak gemar duduk di rumah dan menghadapi televisyen lagi. Sejak kebelakangan ini rancangan-rancangan di televisyen tidak lagi menarik minatnya seperti suatu masa dahulu.
Tidak berlakonkah lagi aktor-aktor kacak pujaan hatinya? Ke mana perginya Jericho Rosales, Diether Ocumpo dan Kristine Hermosa. Atau sudah hilangkah dari kaca televisyen wajah kacak Bae Yong Joon yang suatu masa menjadi kegilaan?
“Tak payah?” Ulang Safura tidak percaya. “Ibu nak hantar tak benarkan pula. Kenapa? Ibu nak masakkan kau rendang ayam dan serunding daging. Ni pagi-pagi buta lagi dah nak keluar, mana sempat ibu nak siapkan…”
“Jangan susah ibu… Laila tak perlukan itu semua!”
“Laila! Berjimat cermatlah sikit. Kalau ada bawa makanan sekurang-kurangnya tak payah beli. Serunding tu tahan lama, boleh makan dengan roti.” Safura menyentuh bahu anaknya dengan lembut. “Balik petang nanti ya… ibu hantar!”
“Tak perlu ibu menghabiskan duit minyak kereta. Bukankah kita perlu berjimat cermat?” Dia memulangkan paku buah keras. Dia masih belum puas. “Ibu sanggup beri duit simpanan pada ayah untuk bebaskan Jalil. Ibu tak tahu Jalil tu sombong dan bongkak. Padanlah dengan mukanya kena tangkap polis.” Kata Alyssa Delaila penuh geram.
“Tak payahlah ibu prihatin pada Laila. Laila tak perlukan perhatian dari ibu… Laila ada orang lain yang lebih ambil berat diri Laila!”
“Laila!” Safura terjerit. Kesabarannya hilang.
“Jangan kurang ajar dengan ibu!”
“Ya! Memang Laila kurang ajar! Mengapa ibu lebihkan sangat Jalil tu? Dia hanya anak tiri. Sanggup ibu beri ayah duit untuk biaya pelajaran Laila…” Ungkit Alyssa Delaila.
Safura semakin hilang sabar. Dia tidak sedar tangannya naik ke muka Alyssa Delaila. Gadis itu terkejut, dia menyapu pipinya. Dia merenung tajam ke wajah Safura. Airmatanya meleleh lebat. Dia berlari naik ke bilik, lantas terus mengemas baju-bajunya.
Tidak lama kemudian Alyssa Delaila keluar dengan beg pakaiannya walau hari masih awal. Kabus masih terapung-apung mengeliling alam. Safura hanya memerhati. Dia sedih melihat perubahan sikap anaknya. Suatu masa dahulu perhubungan mereka amat mesra, akrab dan erat. Sejak Alyssa Delaila belajar di universiti, dia merasakan perhubungan mereka kian renggang. Siapa yang harus disalahkan? Apakah dia terpaksa menerima keadaan ini? Anak gadisnya itu sudah punya kehidupan sendiri dan dia harus melepaskannya. Bagai anak-anak burung yang sudah tidak memerlukan makanan yang disuap oleh ibu mereka… si ibu harus merelakan anak-anaknya terbang pergi mencari kehidupan sebenar di dunia yang luas terbentang ini.
“Laila!” Safura memanggil Alyssa Delaila yang sudah berada di tepi pagar. Gadis itu berhenti melangkah tetapi dia tidak menoleh.
“Maafkan ibu… Ibu tak sengaja menampar kau tadi.”
Alyssa Delaila tidak menjawab, dia terus bergerak keluar. Tamparan itu tidaklah begitu kuat. Rasa peritnya sudah pun menghilang tetapi dia masih tidak dapat memaafkan perbuatan ibunya. Selama ini Safura tidak pernah meletakkan tangan ke tubuhnya.
“HAI!” Tegur Alyssa Delaila sebaik sahaja pintu studio itu dibuka. Prof. Dr. Ismadi menyambut kedatangannya dengan mesra lantas menjemput gadis itu masuk.
“Hai… Berat nampaknya beg tu? Apa isinya?”
“Biasalah. Baju…” Jawab Alyssa Delaila.
“Saya ingat Laila letak batu bata dalam tu… Berat semacam!” Kata Prof. Dr. Ismadi sambil ketawa. Dia menolong gadis itu mengangkat begnya lalu diletakkan di satu sudut di tepi meja.
“Jom masuk, tengok potret awak tu! Malam tadi tidur tak lena agaknya…” Usik Prof. Dr. Ismadi.
“Laila tidur tak lena bukan kerana tak sabar nak tengok potret tu…” Jawab gadis itu dengan manja.
Kening Prof. Dr. Ismadi terangkat. Dia senyum mengusik dan bertanya lagi; “Kerana apa?”
“Hmmm… Adalah, sesuatu sebab yang tidak boleh diberitahu.”
“Yalah. Simpanlah rahsia awak tu selama-lamanya.” Jawab Prof. Dr. Ismadi sambil tertawa.
Alyssa Delaila mengulum senyum, mengikut lelaki itu masuk. Prof. Dr. Ismadi membuka kain penutup lukisannya. Alyssa Delaila terkejut melihat potretnya yang sudah siap dilukis. Memang wajahnya kelihatan amat cantik di dalam potret itu, seolah-olah ianya hidup. Dia merenung penuh kekaguman. Bibirnya tersenyum ke arah lelaki itu. Hampir-hampir tidak percaya, lelaki itu berjaya memindahkan wajahnya ke atas kanvas lukisan.
“Cantik.” Kata Alyssa Delaila sepatah.
“Memang cantik. Awak sememangnya cantik Laila!” Puji Prof. Dr. Ismadi sambil tersenyum mesra ke arahnya. Segala penat lelahnya terubat melihat senyuman manis Alyssa Delaila yang tidak lekang di bibir. Tiba-tiba Alyssa Delaila mencium pipi lelaki itu sekilas. Prof. Dr. Ismadi terkejut di atas tindakan beraninya lantas memaling muka ke arahnya. Alyssa Delaila pura-pura tidak peduli, terus menatap potretnya.
“Is! I tak jumpalah sabun mandi dan berus gigi. Di mana you simpan?” Suara Sonia yang muncul dari arah pintu mengejutkan Alyssa Delaila. Dilihatnya wajah Sonia yang kusam, tidak berbedak. Jelas dia baru terbangun dari tidur. Dia masih memakai baju tidur.
Alyssa Delaila memandang muka lelaki di sisinya itu. Hatinya rasa panas membara. Dia menggigit bibir, memujuk hati supaya bertenang. Mengapa Sonia tidur di kamar Prof. Dr. Ismadi? Apakah mereka tidur bersama? Benarkah kini mereka punya hubungan?
“Oh! Cuba cari dalam kabinet di bilik air. Sabun masih banyak lagi…” Jawab Prof. Dr. Ismadi selamba.
Sonia berlalu, menutup pintu dengan kuat. Alyssa Delaila hilang kata-kata, dia masih merenung lukisan potret wajahnya yang sedang tersenyum. Tetapi kini bibirnya terkatup rapat.
“Sonia tidur di sini malam tadi…” Kata Prof. Dr. Ismadi. “Lepas galeri tutup, dia penat sangat nak balik ke rumah. Jadi dia tidur di sini.”
“Suaminya tak marah?” Tanya Alyssa Delaila cuba mengawal diri. Dia tidak sepatutnya marah tanpa usul periksa. Memang memalukan kalau dia menunjukkan kemarahannya di hadapan lelaki itu. Dia pun masih belum dapat melupakan ‘keberanian’nya mencium sekilas pipi lelaki itu. Apakah Prof. Dr. Ismadi tahu isi hatinya?
“Suaminya tak kisah…”
“Is pun tak kisah nampaknya!” Alyssa Delaila menyindir.
“Sepanjang malam saya berada di sini, menyiapkan potret awak, Laila. Saya tak tidur.” Dia membuka cermin mata. Memang matanya tampak merah dan letih. Alyssa Delaila merasa bersalah. Tidak perlulah lelaki itu bekerja kuat semata-mata untuk menyiapkan potretnya.
“Saya hadiahkan potret ni pada awak Laila…” Kata Prof. Dr. Ismadi. “Nanti saya bungkus elok-elok. Ada masa saya hantar sendiri nanti.”
Alyssa Delaila mengangguk. “Saya pergi dulu…” katanya mengambil keputusan untuk meninggalkan lelaki itu, tanpa terburu-buru. Lebih baik dia berhati-hati, supaya rahsia hatinya tidak terserlah.
“Saya hantar awak balik. Saya pun nak balik ke rumah. Kebetulan satu jalan…” Jawab Prof. Dr. Ismadi dengan pantas. “Nak balik tidur di rumah, lebih selesa.” Beritahunya lagi sambil terburu-buru mencapai laptop di atas meja. Dia turut mengambil beberapa buah buku lantas mendahului berjalan keluar dari bilik itu.
“Tak perlu hantar hingga ke hadapan kolej…” Pinta Alyssa Delaila dengan penuh hati-hati.
“Kenapa? Awak takut kena gossip ya?” Prof. Dr. Ismadi masih hendak mengusik. Alyssa Delaila menggigit bibir. Dia tidak menjawab.
“OK. Saya hantar awak di depan perhentian bas tu saja. Jaga diri baik-baik. Jumpa lagi…” Kata Prof. Dr. Ismadi sebelum Alyssa Delaila keluar dari keretanya. Alyssa Delaila terpaksa berjalan beberapa meter ke hadapan pintu pagar utama. Namun dia tidak terasa penat ataupun lelah. Hatinya senang. Buat pertama kali terlahirnya janji antara mereka. Tadi Prof. Dr. Ismadi mengucapkannya. “Jumpa lagi.” Katanya dengan mesra. Dia berharap janji itu menjadi kenyataan. Mereka akan terus berjumpa dan berjumpa lagi sebagai kawan, bukan hanya pertemuan antara pensyarah dan pelajarnya.
Bab 13
SUDAH hampir sejam dia memerhati potret yang sudah siap dilukis itu dari tempat dia duduk santai di sofa. Kakinya dihulur dan mendarat di atas meja kopi yang sudah bersih dan diletakkan alas berwarna putih. Alas itu diperbuat daripada benang bulu kambing, dikait dengan penuh kemahiran pula oleh Sonia. Dia senyum sendiri kerana sejak kebelakangan ini Sonia juga sudah terbawa untuk menjadikan studionya itu sebagai rumah ke dua.
Dia terus leka dengan hasil nukilan tangannya yang terbaru. Betapa dia kagum sendiri melihat hasil coretannya itu. Potret wajah Alyssa Delaila. Dia tidak sangka, ianya jadi begitu indah, cantik dan tidak jemu dipandang. Apakah itu hanya perasaannya sahaja, yang semakin menyintai gadis itu dalam diam. Gadis yang kini bertakhta di hati. Pun apa yang dia nampak dengan pancainderanya itu bukanlah yang sebenarnya, melainkan hanya rupa sahaja. Rupa yang sangat elok di luar tetapi apakah turut elok di bahagian dalamnya?
Mengapa kini timbul dalam hatinya ingin mengetahui tentang diri Alyssa Delaila luar dan dalam? Untuk apa dia memuaskan naluri ingin tahunya yang semakin kental itu?
“Hei… Lamanya you merenung gambar budak tu…” Tegur Sonia yang menjengah masuk, membawa beg plastik berisi dua bungkusan nasi lemak serta dua kampit milo panas. Wanita itu turun sebentar ke tingkat bawah, membeli sarapan pagi daripada gerai yang ada di hadapan bangunan.
Prof. Dr. Ismadi tersentak, dia hanya tersenyum tanpa menjawab apa-apa.
“Dah terpikat?” Sonia mengusik. Dia ketawa sambil meletakkan bungkusan nasi lemak di atas meja kopi. Prof. Dr. Ismadi menegakkan badannya, sambil menggelengkan kepala cuba menafikan perasaan yang kian bercambah, membesar dan hidup dalam hatinya. Dia ketawa seolah-olah mentertawakan diri sendiri.
“Salahkah kalau terpikat?” Dia bertanya setengah menduga. Dia tidak mengharapkan apa-apa jawapan. Sengaja hendak memanjangkan perbualan sambil menghadapi makanan pagi yang masih lagi panas dan berbau harum apabila dibuka dari bungkusannya.
“Memang tak salah, Is! You sekarang ni kan dah solo semula. Kalau you dah lupa biar I ingatkan, dulu I juga pernah menyintai you...” Kata Sonia sambil meneruskan gelak. “Tapi Yang Rashidah lebih beruntung. You pilih dia… Tapi I tak kecewa, tidak pernah berdendam. Buktinya kita masih berkawan. I pun dah temui lelaki lain, dah beranak pinak pun!”
Prof. Dr. Ismadi merenung teman lamanya, sambil berkata; “Kita dah temui pasangan dan jodoh masing-masing. Tak sangka pula, dia pergi lebih dulu dari I. You tahu, kami pernah berjanji hendak sehidup semati.”
“Ya… Masa bercinta semua macam tu! Lautan api sanggup direnangi. Cuba fikir balik, betul-betul sanggup ke?” Sahut Sonia. Dia tidak berniat hendak mempersendakan temannya itu, tetapi sekadar hendak menceriakan suasana.
“Rasanya I tak mungkin mencari pengganti dia…” Kata Prof. Dr. Ismadi setelah makan beberapa suap. Dia terhenti mengunyah seolah-olah teringat sesuatu. “Laila terlalu muda. Usia kami terlalu jauh jaraknya. Dia dua puluh tahun sedangkan I dah lima puluh tahun ni! 30 tahun jarak usia kami. Masakan kami boleh bercinta. Mustahil!!!” Katanya kemudian seolah-olah kesal.
“Cinta tak kenal usia, Is. I rasa budak tu pun suka dekat you…”
“Jangan merepeklah!” Balas Prof. Dr. Ismadi tertawa lembut. “Dia sukakan I kerana dia kehilangan kasih sayang seorang ayah. Dia sebenarnya mendambakan kasih sayang bukannya cinta dari seorang lelaki untuk seorang wanita. Dia sedang keliru…”
Dia menyambung semula makan nasi lemak yang masih banyak di dalam bungkusan kertas beralaskan daun pisang. Terasa enak sekali nasi lemak dan sambal ikan bilis itu. Juga disertakan sedikit rendang daging.
“I perempuan, I tahulah… Sekali pandang aje I dah tahu. Dia memang minat habis dengan you. Barangkali rasa kehilangan itu hanya sebagai satu alasan saja. Dia suka you bukan juga kerana you pensyarahnya… Dia mengkagumi you dalam diam sebagaimana seorang perempuan mengagumi seorang lelaki. Kadang-kadang I rasa dan I melihat adanya sifat-sifat Yang Rashidah dalam diri dia…”
Kata-kata Sonia itu membuat sekali Prof. Dr. Ismadi terhenti dari menyuap nasi lemaknya. Sekonyong-konyong dia teringat semula pada pertemuan pertama mereka di studio Jalan Ulu Klang. Dia teringat pada tatapan mata Alyssa Delaila yang lembut menawan. Dia teringat segala-galanya. Gadis itu telah mengutip bungkusan gula-gula miliknya. Untuk apa dia melakukan itu semua…
“I tak percaya!!” Dia terus meragui apa yang dikatakan oleh Sonia. “I rasa itu perkara biasa… I bukannya nak takbur! Sebab ramai budak-budak kat universiti tu sentiasa melahirkan rasa kagumnya, memuji dan sebagainya. Sampai semua tu dah lali bagi I… Dah tak rasa apa-apa! Cuma dia ni agak mengelirukan sikit sikapnya. I pun tak faham!” Jawab Prof. Dr. Ismadi akhirnya dia turut berteka-teki dengan sikap Alyssa Delaila.
“You cuba memahami dia tapi you semakin tak mengerti kan?” Teka Sonia.
“Hmmm… Memang. You tahu tak I pernah nampak dia kutip bungkusan gula-gula, botol air mineral yang I dah minum serta kotak rokok I. Semuanya dia ambil, masuk ke dalam beg. Berhari-hari I tertanya-tanya dia nak buat apa dengan tu semua? Hingga sekarang I tak faham kenapa…”
Sonia ketawa. “Budak-budak sekarang ni memang gila sikit. Dia nak simpan semua tu untuk kenangan. Kenangan manis yang akan sentiasa mengingatkan dia pada you. Dia sangka dia takkan bertemu dengan you lagi. Rupa-rupanya ‘bayang’ you berdua saling mengekori antara satu sama lain. Itupun you tak faham ke?” Tempelak Sonia lagi.
Sonia meneruskan tawanya melihat muka Prof. Dr. Ismadi yang dibayangi rasa tidak percaya yang semakin menipis. “Kalau you pun ada perasaan yang sama… berterus terang ajelah!” Nasihat temannya itu sambil memandang tepat ke dalam matanya.
Prof. Dr. Ismadi menggeleng. “Tidak. I tak mahu jadi buah mulut orang… Terutama sekali masyarakat kampus. Kalau benarlah antara kami ada perasaan, biarkan sahaja ianya berlalu.” Katanya sambil meletakkan sudu. Tiada selera lagi dia hendak menghabiskan nasi lemak yang tadi terasa amat enak kini entah mengapa dia terasa muak pula. Dia tidak berjaya menghabiskan makanannya pada pagi itu. Dia tidak dapat melupakan apa yang baru dikatakan oleh Sonia sebentar tadi.
Sanggupkah dia mendampingi gadis itu, menjadikannya sebagai pasangan hidup? Dia tidak sanggup memusnahkan masa depan gadis yang disayanginya. Dia sedar, Alyssa Delaila punya cita-cita yang tinggi. Cinta yang terbina antara mereka akan memusnahkan masa depannya. Tidak. Dia tidak sanggup, kerana dia bukanlah seorang yang pentingkan diri sendiri dan tamak untuk memiliki sebuah cinta yang suci.
Sesungguhnya dia sudah pun memiliki cinta abadi… Biarlah ianya hanya milik Yang Rashidah seorang, selama-lamanya.
ALYSSA DELAILA teragak-agak untuk meneruskan langkah. Di tengah-tengah ruang koridor menghala ke bilik Prof. Dr. Ismadi, dia lihat sesusuk tubuh yang amat dikenali. Lelaki itu tetap dengan gayanya yang asli, berseluar jean dan berjaket kulit hitam. Tetap segak. Tubuhnya tinggi lampai, binaan badannya tegap, dia mempunyai sepasang kaki yang panjang dan gagah. Haiqal sedang berjalan ke arah bilik bapanya.
Alyssa Delaila tiada tempat untuk melarikan diri lagi. Mereka tetap akan bertemu muka kerana tiada ruang yang memisahkan. Haiqal memandang kosong ke arahnya, tiada senyuman ataupun sapaan. Dia berlagak tidak kenal langsung terhadap gadis yang berdiri lebih kurang 2 meter sahaja darinya. Dia terus masuk ke bilik bapanya kerana dia berada lebih dekat dengan pintu bilik lelaki itu.
Alyssa Delaila berpatah balik semula ke kelas. Tidak jadi dia hendak menemui Prof. Dr. Ismadi. Dia akan datang kemudian. Dia tidak tahu apakah Haiqal akan mengambil masa yang lama ataupun tidak. Jika dia tidak dapat menemui lelaki itu pada sebelah pagi dia akan datang pada sebelah petang. Ataupun dia boleh menghubungi melalui telefon.
Pertemuan tidak disangka dengan Haiqal membuat dia tidak keruan. Dia tidak dapat menumpukan perhatian pada kelas yang sedang dihadapinya. Dia tenggelam dalam khayalan yang panjang. Dia cuba menyedarkan dirinya sendiri bahawa antara dia dan Haiqal memang tiada sebarang ikatan lagi. Tapi mengapa hatinya terasa sakit kerana anak muda itu berlagak tidak mengenalinya langsung. Haiqal benar-benar mengotakan apa yang sudah dikatakannya. Dia tidak akan menegur ataupun tersenyum lagi padanya. Dia juga tidak mahu Alyssa Delaila memberikannya senyuman mesra bagai dahulu. Mereka sudah menjadi orang asing yang tidak mempunyai kenangan lalu…
Pun Alyssa Delaila masih mengharapkan sebuah persahabatan. Mengapa amat sukar bagi Haiqal untuk melaksanakannya? Anak muda itu masih menyimpan rasa marah. Dia tahu Haiqal menjalin perhubungan dengan siapa… Dia kenal gadis itu. Namanya Zetty Latifah. Dia juga tahu keluarga gadis itu kaya raya kerana Zetty Latifah datang ke kampus dengan memandu kereta mewah.
Biarlah… Dia tidak kisah dengan siapa Haiqal hendak menjalin hubungan tetapi jangan sampai dirinya dimusuhi dan dibenci hanya kerana cinta ditolak. Sebenarnya dia juga amat takut pula sekiranya hasrat yang terpendam dikalbu akan menerima penolakan dari lelaki itu. Bagaimana jika cintanya pula ditolak? Pastilah dia amat kecewa…. Dia cuba memahami apa yang dialami oleh Haiqal. Memang patut dirinya dibenci! Keluhnya sendirian. Dia juga akan bertindak membenci orang yang menolak cintanya!
“Opps! Sorry…” Alyssa Delaila terlanggar bahu seseorang, kerana terlalu asyik memikirkan apa yang bakal terjadi. Akan kecundangkah cintanya yang baru berputik. Akan hilangkah kegembiraan dan kebahagiaan yang baru hendak menjengukkan wajah.
“Khayal ya?” Tegur suara itu diikuti tawa.
“Is…”
“Prof.! Kita sekarang ni berada di kampus.”
“Errr…” Muka Alyssa Delaila masih merah padam, terkejut dan malu. Dia tidak menyangka akan bertembung di situ dengan Prof. Dr. Ismadi. Memang dia berhasrat hendak ke bilik lelaki itu. Mujur dia tidak pergi ke sana, kerana lelaki itu kelihatan bersiap sedia hendak meninggalkan kampus. Briefcase dan laptop kelihatan sarat di kedua-dua belah tangannya.
“Awak nak ke mana?” Dia bertanya lunak.
“Saya nak ke bilik Prof. tadi. Tapi tak apalah, Prof. pun nak keluar kan?”
“Ya. Saya tak ada kuliah lagi selepas ini. Lagipun saya ada appoinment lain di KL.”
Alyssa Delaila mengangguk. Prof. Dr. Ismadi meminta diri berjalan laju ke arah medan letak kereta tidak jauh dari lorong koridor itu. Alyssa Delaila masih memerhati lelaki itu. Dia berjalan dengan penuh gaya, masih gagah dan tidak langsung menunjukkan bahawa dirinya sedang dimamah usia tua.
“Hoi! Kau renung siapa tu?” Dia tersentak akibat disergah.
Dia benar-benar terperanjat melihat muka Syazwina yang muncul secara tiba-tiba dari belakangnya. Gadis itu tersengih-sengih sambil memeluk fail di dada. Muka Alyssa Delaila pucat tidak berdarah. Dia tidak dapat bersuara buat beberapa ketika.
“Terperanjat ke?” Tanya Syazwina berlagak bodoh.
“Mahu tak! Kalau aku lemah jantung tadi… dah mati pun!” Jawab Alyssa Delaila.
“Sorrylah! Jangan marah ya? Aku gurau je!”
“Kalau nak gurau pun janganlah main sergah-sergah. Karang kalau aku mati, tak pasal-pasal engkau kena dakwa.”
“Ehhh… Dahlah! Jangan sampai ke situ pula! Aku hairan tengok engkau tadi, jauh betul renungan engkau tu macam menembusi alam maya ni. Sampai entah ke langit mana… Siapa yang engkau pandang?”
“Tak ada sesiapa!” Jawab Alyssa Delaila sambil mengurut dada. Mujur Syazwina tidak melihat Prof. Dr. Ismadi yang sudah pun masuk ke kereta. Kalau dia nampak, mampus! Fikirnya di dalam hati. Bukan dia tidak tahu perangai Syazwina, wartawan tak bergaji di kampus itu…
“Jom kita pergi makan… Aku belanja!” Kata Alyssa Delaila, berharap supaya Syazwina tidak menyebut lagi perkara itu.
Bab 14
BIARPUN banyak kegiatan di kampus pada hari Sabtu, kini Alyssa Delaila cenderung untuk meninggalkannya. Setiap Sabtu dia keluar, terus ke studio untuk menemui Prof. Dr. Ismadi. Lelaki itu memang sentiasa ada di situ pada hujung minggu, hanya balik pada hari-hari dia mempunyai tugasan kuliah dan kelas toturial di universiti. Memang rumahnya tidak jauh dari kampus.
Seperti biasa jika dia tidak menulis ataupun melukis, dia gemar duduk membaca buku ataupun mendengar muzik instrumental. Dia gemar mendengar gesekan biola. Iramanya syahdu, mencengkam perasaan serta dapat membebaskan minda dari belenggu tekanan. Memang muzik dapat menenangkan jiwa, santapan rohani yang tidak boleh diabaikan. Serupa juga halnya dengan memakan dan meneguk minuman.
Apabila dia lihat Alyssa Delaila muncul di hadapan pintu studio dengan pakaian yang amat ringkas, timbul keinginan dalam hatinya hendak membawa gadis itu membeli-belah. Dia teringin melihat gadis itu tampil bergaya anggun dan sophisticated. Keinginan itu datang secara mendadak dan dia langsung tidak memikirkan akan akibatnya. Dia mahu memuaskan hati, melihat gadis pujaan hatinya bergaya seperti dalam mimpinya.
“Kenapa nak ajak Laila shopping? Apa yang tak kena dengan baju ni?” Tanya Alyssa Delaila sambil memegang hujung blouse berwarna pink yang dipadankan dengan sehelai jean lusuh.
“Tak marah kalau saya komen? Awak berpakaian terlalu ringkas…” Jawabnya.
“Jadi, tak ada kelas?”
Prof. Dr. Ismadi tertawa lembut. “Jangan sensitif sangat. Bukan saya nak kata awak sekarang ni tak ada gaya… Awak kena tukar imej, biar nampak elegent dan lebih bergaya.”
“Macam Sonia?”
“Bukan macam dia… Saya pun tidak mahu awak jadi seperti dia, ataupun seperti sesiapa. Awak adalah awak, faham?”
“Aye, captain!” Jawab Alyssa Delaila sambil mengangkat tangan dan diletakkan tangannya di dahi. Prof. Dr. Ismadi tertawa melihat gaya Alyssa Delaila yang mengangkat tabik ke arahnya.
“Jom kita pergi!” Ajak lelaki itu lagi
Alyssa Delaila mengikut sahaja walaupun dia sebenarnya tidak mengerti mengapa tiba-tiba Prof. Dr. Ismadi mahu mengajaknya membeli belah. Hari itu bukan hari jadinya... Tapi barangkali hari itu adalah hari bertuah baginya! Kalau orang sudah hendak memberi, masakan dia akan menolak. Lagipun dia masih berperang dingin dengan Safura. Pastilah dia tidak akan meminta duit dari ibunya itu untuk berbelanja.
Mereka keluar membeli belah. Prof. Dr. Ismadi membawanya membeli pakaian di sebuah butik. Alyssa Delaila tidak pernah masuk ke butik tersebut yang sudah amat jelas harga pakaiannya tinggi melambung. Tetapi Prof. Dr. Ismadi tidak kisah berhabis duit demi Alyssa Delaila. Mereka menghabiskan masa agak lama di shopping kompleks, gembira memilih apa saja yang berkenan di hati. Tanpa disedari oleh Alyssa Delaila dan Prof. Dr. Ismadi, tingkah laku mereka diperhati dari jauh oleh seseorang. Dahi Zetty Latifah berkerut melihat kemesraan mereka berdua. Langsung tidak pernah terfikir akan terserempak dengan Prof. Dr. Ismadi dan Alyssa Delaila dalam keadaan yang mencurigakan. Dia mengambil keputusan untuk mengintip setiap pergerakan mereka.
Apakah sebenarnya perhubungan mereka? Mengapa mereka kelihatan sangat mesra? Perhubungan ini bukan perhubungan biasa antara student dan pensyarahnya. Tidak. Ini adalah perhubungan luar biasa… Bukan dia tidak tahu dulu Alyssa Delaila pernah menjalin hubungan dengan Haiqal, kini dengan ayahnya pula? Hebat! Kau memang hebat Alyssa Delaila! Gadis itu terus mengintip setiap pergerakan Alyssa Delaila dan Prof. Dr. Ismadi yang kelihatan gembira membeli belah bagaikan dua pasangan kekasih yang sedang mabuk dilamun asmara.
Meluat betul! Gerutunya sendiri dengan hati yang cukup benci apabila melihat Alyssa Delaila sedang memilih tali leher untuk Prof. Dr. Ismadi. Gadis itu meletakkan tali leher di atas dada Prof. Dr. Ismadi, cuba memadankannya dengan baju yang sedang dipakai.
Hisy… Aku mesti beritahu Haiqal! Memang miang perempuan tu! Dengan cepat dia mengeluarkan handphone dan cuba menghubungi Haiqal.
“YOU are beautiful, my angel.” Bisiknya perlahan sendirian sambil memerhati Alyssa Delaila yang sudah pun menukar baju baru. “Tidak pernah kulihat wanita muda seanggun engkau…” Suaranya terus hanyut dibuai keasyikan.
Alyssa Delaila tersenyum dari jauh, masih menggayakan baju gaun labuh berwarna merah lada itu di hadapan cermin yang mengepung bilik empat segi tepat itu. Prof. Dr. Ismadi bergerak ke arah hifi, menghidupkannya lantas memasang CD. Alunan muzik lembut mulai memenuhi ruang bilik itu.
Alyssa Delaila memerhati, seolah-olah tahu apa yang sedang bermain dalam kepala lelaki itu. Muzik lembut beralun perlahan. Lelaki itu menghulur tangan mengajaknya berdansa.
Magnificent. Puji Prof. Dr. Ismadi di dalam hatinya. Melihat tubuh gadis itu yang melentuk dengan lembut mengikut irama muzik. Kakinya bergerak dengan penuh kemahiran, setiap langkah dan gerak telah menyatukan tubuh mereka kian rapat. Mereka saling bertatapan. Sorotan matanya yang lembut, memukau membuat lelaki itu terlupa beberapa ketika di mana dia berada. Apa yang paling ditakutinya telah pun berlaku. Dia benar-benar telah jatuh hati pada gadis itu…
Saat itu dia terasa bagaikan sedang ditaburi dengan kelopak bunga mawar yang harum baunya. Mawar yang lembut menyentuh wajah, melayang dan menimpa tubuh mereka berdua. Aduh! Indahnya mimpi ini. Semoga ianya tidak akan berakhir…
“Is…” Bisik Alyssa Delaila perlahan, suaranya terapung di udara di tengah-tengah alunan muzik perlahan yang membuai perasaan. Mereka menari dan terus menari berpusing-pusing mengitari ruang yang luas itu. Alyssa Delaila tersenyum. Hatinya berbunga riang. Muzik dan tarian itu mengasyikkannya… sungguh dia tidak pernah mengalami perasaan demikian.
“Senyuman awak sungguh cantik, Laila. Saya mahu awak terus tersenyum…” Kata Prof. Dr. Ismadi.
“Laila juga mahu Is gembira selalu.”
“Saya gembira bila bersama awak, Laila. Tidak pernah saya merasa gembira seperti hari ini.”
Alyssa Delaila berhenti melangkah. Kata-kata itu sedikit mengejutkan. Dia merenung muka Prof. Dr. Ismadi. Lelaki itu sendiri terkejut dia telah melahirkan perasaannya tanpa sedar. Apakah ini semua kerana pengaruh muzik yang syahdu dan persekitaran mereka yang membuat dia terus dibuai perasaan yang tidak berkesudahan.
Mereka saling merenung beberapa saat, bagaikan dua patung tidak bernyawa. Tiba-tiba Alyssa Delaila menciumi pipinya dengan lembut. Bibirnya yang hangat dan basah melekap di pipinya agak lama. Dia membiarkan sahaja. Dia rasa amat teruja. Gadis itu mendekatkan bibirnya ke telinga lantas berbisik lembut; “Laila cintakan Is!”
Dia benar-benar tersedar dari mimpi yang mengasyikkan itu. Tubuh Laila yang berada dalam dakapannya ditolak perlahan. Mukanya pucat. Dia telah melakukan satu kesalahan besar.
“Tidak Laila! Jangan ucapkan perkataan itu. Awak silap… Saya tidak cintakan awak.” Dia menggeleng-gelengkan kepala.
Alyssa Delaila terkejut mendengar penolakannya, tanpa sebarang keraguan. Dulu semasa dia menolak cinta Haiqal, berhari-hari dia memikirkannya. Kini Prof. Dr. Ismadi menolaknya dalam masa hanya beberapa saat. Airmatanya pun jatuh satu persatu tanpa disedari.
Alyssa Delaila terus berlari-lari keluar. Malu. Dia tidak sabar dan tidak dapat menahan gelora perasaannya. Setelah tersedar, barulah dia rasa malu. Dia tidak sepatutnya berkata begitu. Dia seharusnya menyimpan perasaan itu sahaja di hati.
Prof. Dr. Ismadi berdiri kaku di tengah ruang, tidak tahu langkah selanjutnya. Tariannya telah menjadi semakin sumbang. Apa yang dia alami bukanlah mimpi. Muzik masih beralun dengan lembut. Sepuluh minit berlalu. Muzik itu pun telah berhenti dengan sendiri. Dia bergerak ke pintu, lantas keluar. Di luar dia mendapati Alyssa Delaila sudah menukar pakaian semula. Kembali mengenakan blouse dan jeannya. Dia sedang bersiap-siap hendak balik.
“Duduk sekejap Laila.” Kata Prof. Dr. Ismadi apabila melihat Alyssa Delaila yang sudah pun bergerak ke pintu. Alyssa Delaila duduk di sofa yang ada di ruang tamu dengan kepala tertunduk. Wajahnya masih basah. Prof. Dr. Ismadi duduk di sisinya, mengeluh dengan kuat sebelum berkata; “Awak fahamkah apa yang awak ucapkan tadi?”
“Laila bukan bodoh Is. Laila tahu hati Laila.”
“Tak menyesal?”
“Untuk apa Laila menyesalinya, sebab Laila benar-benar merasai perasaan itu.”
“Awak seorang yang istimewa Laila. Sedangkan saya seorang lelaki yang telah berusia. Jangan bazirkan masa bersama saya. Masa depan awak masih jauh. Lupakan saja. Cinta ini tidak akan membawa kita ke mana-mana Laila. Kita akan melukakan hati ramai orang di sekeliling kita, yang rapat dengan kita. Pernah awak fikirkan perasaan ibubapa awak? Pernah awak fikirkan pula perasaan Haiqal dan anak-anak saya yang lain?”
“Laila tak peduli itu semua. Yang penting perasaan Laila pada Is. Laila tahu cinta Laila untuk siapa dan Laila akan perjuangkannya. Laila akan buktikan pada Is, bahawa Laila benar-benar cintakan Is!... Kalau Is rasa ini bukan masa yang sesuai, Laila akan tunggu… Laila sanggup tunggu hingga tamat pengajian! Laila akan…”
“Jangan Laila…” Prof. Dr. Ismadi cepat-cepat menghalang dia dari terus berkata-kata lagi. Jarinya diletakkan di bibir gadis itu. “Lebih baik kita jangan teruskannya. Sampai bila-bila pun tidak! Saya menyesal kerana membiarkan perasaan ini terus berakar berumbi di dalam hati. Saya sepatutnya menghindarkan diri terus dari bersama awak Laila. Tetapi saya manusia biasa yang lemah, yang tidak berupaya menolak kehadiran cinta. Saya sangka cinta saya pada Yang Rashidah terlalu unggul, dan saya tidak akan jatuh cinta lagi. Tapi saya silap… Saya cintakan awak.”
Alyssa Delaila merenung Prof. Dr. Ismadi, airmatanya tergenang. Dia buru-buru menjatuhkan dirinya ke dalam dakapan lelaki itu, tetapi Prof Dr. Ismadi menolaknya perlahan-lahan hingga tubuhnya tegak semula.
“Tapi kita tak boleh teruskan perhubungan ini. Kita lupakan semuanya. Kita anggap ini hanya sebahagian daripada mimpi-mimpi yang tak mungkin jadi kenyataan Laila. Kita seharusnya sedar bahawa kita tak mungkin bersama.”
“Mengapa tidak Is? Laila sangka Is berfikiran terbuka, tetapi rupa-rupanya Is masih terbelenggu oleh anggapan lama yang dah lapuk. Siapa kata, usia akan jadi penghalang untuk menjalin cinta?”
Prof. Dr. Ismadi menggelengkan kepalanya. “Sonia pernah berkata; kalau saya benar-benar cintakan awak, berterus-teranglah. Tapi saya tak berani… Kini saya semakin takut, Laila. Bagaimana kalau perhubungan ini diketahui masyarakat kampus? Awak akan mendapat malu. Saya tak mahu masa depan awak musnah. Saya tak apa-apa. Saya takkan terjejas langsung. Langkah yang akan saya ambil mungkin berhenti kemudian bertukar ke universiti lain. Tapi macamana dengan awak? Takkan awak nak berhenti? Bagaimana dengan harapan ibubapa awak?”
“Is terlalu banyak berfikir…”
“Kita kena fikir ini semua Laila! Sebab inilah kehidupan yang akan awak jalani.” katanya perlahan, terdiam beberapa ketika. Alyssa Delaila turut diam, memerhati sahaja wajah lelaki di sisinya yang kelihatan begitu sugul; “Kita jangan berjumpa lagi!”
“Apa?” Alyssa Delaila terkejut.
Prof. Dr. Ismadi bangun dan berjalan ke pintu. Daun pintu cermin itu dibukanya perlahan; “Saya harap awak takkan datang mencari saya di sini lagi Laila. Anggap saja apa yang kita lalui di sini hanya ilusi, yang datang menjenguk sejenak kemudian hilang dibawa angin.”
Airmata Alyssa Delaila berderai sekali lagi. Dia tidak sangka Prof. Dr. Ismadi akan berkata begitu. Dia terus berlari keluar, tidak sanggup untuk memandang wajah lelaki itu. Hatinya terasa hancur lebur. Dia menangis semahunya di sepanjang jalan pulang.
SAFURA meletakkan tuala basah di atas dahi Alyssa Delaila. Sepanjang malam semalam tubuhnya panas. Dia tidak berdaya untuk bangun. Sepanjang malam Safura tidak tidur. Wanita itu kehairanan apabila melihat Alyssa Delaila tidak bangun untuk makan malam. Rupa-rupanya dia demam.
“Pagi ni kita pergi ke klinik ya?” Kata Safura.
Alyssa Delaila hanya mengangguk. Dia menurut sahaja apa kata ibunya. Tidak kuasa dia hendak berfikir yang berat-berat. Kepalanya sudah sarat dengan pelbagai persoalan. Dia tidak mahu berfikir lagi, jika boleh biar dia tidur dan tidur, tidak perlu bangun lagi. Jika dia terjaga, dia akan kembali teringat peristiwa semalam. Satu demi satu akan kembali terbayang di ruang mata. Keasyikan dan keindahan yang singgah sebentar cuma.
Dalam keadaan kepalanya yang masih berpinar-pinar dan matanya yang berat, dia terpandang beg-beg kertas berisi baju-baju yang dibeli oleh Prof. Dr. Ismadi terletak di hujung katil. Beg-beg kertas itu langsung tidak berusik. Apakah emaknya perasan beg kertas itu berisi pakaian mahal? Apakah ibunya telah melihat isinya? Dia tidak tahu dan dia tidak peduli lagi.
Pulang dari klinik, Alyssa Delaila kembali berbaring. Ubat yang dimakan segera membuat dia rasa mengantuk. Dia tidur semula hingga ke petang. Ketika memerhati jam dinding di hujung katil, dia terkejut. Begitu lama dia tidur… Jam sudah menunjukkan ke angka enam tiga puluh petang. Dia tidak akan pulang ke kampus. Biarlah. Dia akan menghabiskan masanya di rumah sehingga dia benar-benar sihat.
Esoknya Safura masih cuti, berhasrat hendak menjaga Alyssa Delaila yang masih demam. Dia ingin bertanya pada anaknya itu, apa yang terjadi yang menyebabkan dia tiba-tiba jatuh sakit. Namun dia tidak punya kekuatan untuk menyoal kenapa dan mengapa, apabila melihat wajah pucat anak gadisnya itu.
Seminggu berlalu. Dan Alyssa Delaila merasakan tubuhnya semakin kuat. Fikirannya sudah kembali tenang. Petang itu dia menerima tetamu.
“Siapa? Syazwina?”
“Bukan.” Kata Safura. “Katanya dia pensyarah engkau, Laila.”
“Prof. Dr. Ismadi?”
“Ya.” Safura mengangguk.
“Laila tak mahu jumpa dia.” Jawab Alyssa Delaila dengan tegas, sambil memaling mukanya ke dinding. Walaupun mulutnya berkata tidak ingin berjumpa lagi, tetapi hatinya tidak mengizinkan. Dia bergerak ke pintu, merenggangkannya sedikit untuk mendengar perbualan antara Prof. Dr. Ismadi dan ibunya.
Safura semakin tidak mengerti sikap anaknya itu, tetapi ini bukanlah masa yang sesuai untuk marah-marah. Dia menghadapi Prof. Dr. Ismadi dengan wajah tenang dan suara lembut berkata; “Maaf. Dia masih pening… Tidak dapat turun.”
Kata-kata itu disambut anggukan. Prof. Dr. Ismadi cuba menduga sendiri di dalam hati. Benarkah masih sakit atau sengaja tidak mahu berjumpa? Bukankah dia sendiri telah menyatakan supaya mereka tidak bertemu lagi? Tetapi hatinya amat bimbang apabila mendengar Alyssa Delaila jatuh sakit. Sudah seminggu tidak hadir ke kampus.
“Terukkah sakitnya? Dah seminggu dia tak hadir kuliah.” Kata Prof. Dr. Ismadi, wajahnya benar-benar gusar. Malah dia kelihatan lebih sedih dari Safura sendiri, sebagai ibu kepada anak gadis itu.
“Ya… Demamnya dah baik. Cuma dia masih pening sedikit…” Kata Safura lagi.
“Baiklah. Saya doakan dia cepat sembuh.”
Prof. Dr. Ismadi diam beberapa ketika kemudian meminta diri. Dia terus bangun, meninggalkan ruang tamu rumah itu dengan hati yang berat. Dia tidak sangka sama sekali, begitu dalamnya perasaan gadis itu. Dia telah jatuh sakit. Sedikit sebanyak Prof. Dr. Ismadi merasakan dialah yang menyebabkan Alyssa Delaila sakit dan menderita.
Malang sekali, tiada apa yang dapat dilakukan untuk mengurangi penderitaannya. Malah dia hanya menambah kesakitan itu sebaik sahaja Alyssa Delaila kembali ke kampus.
ALYSSA DELAILA hadir ke kampus dua minggu kemudian. Tetapi kembalinya dia dalam keadaan yang paling tidak selesa. Semua orang memandang serong terhadapnya. Cerita tentang skandalnya dengan Prof. Dr. Ismadi hangat diperkatakan orang. Orang cuba mengaitkan dia dengan Haiqal. Pelbagai cemuhan dilempar kepadanya. Berpucuk-pucuk surat layang yang diterimanya setiap hari, semuanya mengutuk dirinya. Dia difitnah dan dihina. Dia bukannya sakit… tetapi dikatakan sengaja menghilang diri untuk berpelesiran dan bercengkerama dengan Prof Dr. Ismadi di studionya, dengan tidak diketahui sesiapa.
Hubungan sulitnya dengan Prof. Dr. Ismadi sudah terbongkar…
Haiqal tidak menampakkan muka di mana-mana. Begitu juga dengan Prof. Dr. Ismadi. Airmata Alyssa Delaila membasahi bantal. Hari itu dia tidak sanggup menghadiri kelas toturial dan kuliah.
Syazwina mengurut lembut bahunya; “Sabarlah…” Katanya perlahan. “Engkau terpaksa hadapi ini semua, Laila. Kalau engkau sanggup bermain dengan api, kau harus bersedia membakar diri.”
“Tapi itu semua hanya fitnah, Sya! Aku masih suci. Aku bukan seperti yang mereka katakan. Mereka tuduh aku macam-macam! Mereka kata aku serahkan diriku padanya… Dia hanya hendak mempermainkan aku. Tidak Sya! Tidak! Aku hanya cintakan dia… Salahkah aku?” Tangisan Alyssa Delaila terdengar sayu. Syazwina memeluknya erat.
“Cinta itu indah… Tapi engkau tersalah pilih…”
Belum sempat dia menghabiskan kata, Alyssa Delaila memotong kata-kata temannya itu. “Engkau pun sama macam mereka. Tinggalkan aku sendiri!!” Jeritan Alyssa Delaila membuat Syazwina bangun lantas meninggalkan temannya itu.
Lantak engkaulah… orang nak beri nasihat langsung tak mahu terima. Rungutnya di dalam hati.
Bab 15
SEBULAN berlalu, namun peristiwa itu masih diperkatakan orang. Prof. Dr. Ismadi mengambil keputusan bertukar. Tiada sesiapa pun yang mendengar berita tentang dirinya lagi selepas itu. Haiqal juga mengambil keputusan yang sama, meninggalkan universiti tersebut dan memasuki universiti lain. Zetty Latifah masih menjadi teman dan kekasih hatinya.
“Padan muka… orang yang engkau gila-gilakan dah tak ada lagi di sini.” Kata Zetty Latifah pada suatu hari. Sengaja dia datang dan duduk di hadapan Alyssa Delaila yang sedang menikmati sarapannya seorang diri.
“Sekarang engkau keseorangan. Tak ada kawan. Aku dengar engkau bergaduh juga dengan Syazwina kan?”
Alyssa Delaila diam sahaja, tidak mempedulikan kata-kata yang menyakitkan hatinya itu. Selagi dia mampu bertahan, dia akan bersabar. Dia berharap masa yang pergi, turut membawa pergi semua cerita buruk dan fitnah yang dilemparkan kepadanya. Dia tidak tahu siapa yang memulakan fitnah dan cerita-cerita buruk tersebut. Cerita yang sudah ditokok tambah…
“Apa engkau peduli?” Jawab Alyssa Delaila sambil terus mengunyah sandwich.
“Engkau tak tahu siapa yang menyebarkan fitnah terhadap engkau?” Pertanyaan itu bernada sinis.
Kata-kata itu membuat Alyssa Delaila mengangkat mukanya, menentang mata gadis itu. Muka gadis itu direnung tajam. Sejak dulu dia memang langsung tidak menyukai Zetty Latifah serta geng-gengnya seramai empat orang itu. Mereka berlagak, kononnya mereka cantik, bergaya dan kaya. Tetapi sebenarnya mereka kaya dengan sifat ego, sombong dan suka menghina orang.
“Kalau aku tahu, aku patah-patahkan lehernya.” Jawab Alyssa Delaila.
“Amboi! Garang kononnya. Tapi engkau tu macam anjing menyalak bukit. Bukit tak runtuh… engkau yang penat sendiri!” Zetty Latifah berkata dengan bibir tercebik.
“Engkau tahu orang yang memfitnah itu lebih besar dosanya daripada orang yang melakukan zina? Jika benar zina itu pernah dilakukan, harus dipanggil tiga orang saksi di kalangan orang-orang soleh. Bukan main lempar saja…”
Zetty Latifah hanya ketawa mengejek, langsung tidak menjawab kata-kata Alyssa Delaila. Dia meninggalkan meja gadis itu bersama senyuman. Alyssa Delaila cuba menghabiskan sandwichnya tetapi tidak punya selera lagi. Dari jauh dia melihat Syazwina sedang membawa dulang berisi minuman dan nasi lemak. Dia melambai supaya Syazwina datang ke mejanya, tetapi gadis itu pura-pura tidak nampak. Dia duduk di tempat lain bersama beberapa orang rakan-rakannya. Hati Alyssa Delaila pedih tidak terkira. Dia telah kehilangan segala-galanya. Sahabat dan kekasih. Dia benar-benar keseorangan kini.
Bagaimanakah dia harus menjalani hidupnya di kampus itu? Di bilik pun Syazwina tidak lagi menegurnya. Malah dia sentiasa mengelakkan diri dan asyik sibuk sentiasa. Kalau pulang ke bilik pun, Syazwina selalunya terus tidur. Tiada perbualan mesra dan usik mengusik lagi antara mereka. Sesungguhnya Alyssa Delaila merindui kehidupannya yang lalu…
Dan Prof. Dr. Ismadi pula hilang begitu sahaja. Hati Alyssa Delaila benar-benar tergores apabila dia mengingati lelaki itu. Pertemuan terakhir mereka di studio itu, telah meninggalkan seribu kenangan pahit dan kelukaan yang amat dalam. Apabila dia terdengarkan muzik instrumental irama lagu ‘lost in love’ hatinya terasa kembali carik dan luka.
Begini akhirnya kisah cinta pertamaku yang amat pahit… Keluh Alyssa Delaila. Begitulah semester akhir tahun itu berakhir, menyimpan seribu luka dan kenangan yang sukar dilupakan oleh Alyssa Delaila. Pengalaman itu kian mendewasakan dirinya. Bukan mudah untuk seseorang itu jatuh cinta tetapi amat mudah terluka dan melukai.
“Tahun ni, ibu tak perlu buat apa-apa majlis pada hari jadi Laila.” Kata Alyssa Delaila. “Sebab Laila tak mahu sambut apa-apa. Laila dah tak punya kawan baik…” Dia teringatkan Syazwina. Puas dipujuk hati kawan baiknya itu pada hari terakhir mereka berada di dalam bilik yang sama, tetapi segala pujukan itu tidak dihiraukan bak mencurah air ke daun keladi.
“Maafkan aku Sya…” Serunya sambil berlutut di tepi katil Syazwina yang masih berbaring. Mengetahui Alyssa Delaila telah bangun lebih dulu, Syazwina pura-pura tidur.
“Cukuplah… dah beberapa bulan kau enggan bercakap dan bertegur sapa dengan aku sedangkan kita satu bilik. Dulu kita kawan baik, tidak pernahkah kau ingat pada peristiwa lalu Sya?”
Syazwina tidak menjawab. Badannya terus menghadapi dinding.
“Aku tahu, aku bersalah pada engkau. Aku pernah tengking dan halau engkau. Banyak peristiwa yang aku sembunyikan dari engkau. Aku malu Sya! Aku malu untuk mengakuinya di hadapan engkau…”
Syazwina terus diam membatu.
“Jika kau tak sudi maafkan aku, tak mengapalah! Aku betul-betul kesal, persahabatan kita terputus. Aku rasa kehilangan yang amat sangat. Tanpa engkau, hidup aku di sini benar-benar sunyi. Aku tak tahu, samada tahun depan aku masih di sini ataupun tidak. Di sini terlalu banyak kenangan pahit. Aku mahu melupakannya…”
Alyssa Delaila terus bangun. Dia tidak sanggup untuk meneruskan kata. Airmatanya kian banyak membuak-buak menaburi muka. Dia berlari ke bilik air, meneruskan tangisannya di situ. Syazwina berpaling, mencari Alyssa Delaila. Dadanya sebak dan airmatanya tergenang mendengar curahan hati Alyssa Delaila.
Dahi Safura berkerut mendengar kata-kata Alyssa Delaila. Dia memang berura-ura hendak mengadakan majlis seperti tahun lepas. Tetapi Alyssa Delaila berkeras tidak mahu sebarang sambutan.
“Jadi, engkau dah tak berkawan lagi dengan Syazwina? Apa dah jadi?” Tanya Safura ingin tahu. Alyssa Delaila tidak menjawab. Dia tidak mahu menceritakan segala yang berlaku kepada ibunya. Dia tidak mahu ibunya pula susah hati.
“Apa yang hendak engkau buat pada hari tu?” Tanya Safura lagi. Rasa pelik pula bila tiada majlis yang hendak diraikan pada hari jadi Alyssa Delaila.
Alyssa Delaila tidak menjawab, dia hanya mengangkat bahu.
“Macamana kalau kita pergi bercuti?”
“Bercuti?”
“Ya. Ibu pun dah lama tak ambil cuti. Ibu ingat nak habiskan cuti yang masih banyak tu. Macamana kalau kita pergi bercuti ke Sabah? Ibu ada kawan di sana, bolehlah ibu bertemu dengannya. Dah lama betul kami tak jumpa, hanya berhubung melalui telefon. Kita pun dah lama tidak luangkan masa bersama. Ibu selalu sibuk cari duit! Sejak Laila masuk u, ibu rasa kita dah kian renggang.”
Alyssa Delaila mengangguk. Dia memeluk ibunya tiba-tiba. Memang diakui mereka semakin renggang tetapi tidak bermakna kasih sayang turut menghilang. Wanita itu tetap ibunya, sesuatu yang tidak dapat diubah. Jika kasih sayang seorang lelaki boleh bertukar ganti, tetapi kasih sayang seorang ibu kekal buat selama-lamanya, dibawa hingga ke pintu syurga.
Mereka berdua merancang hendak pergi ke negeri di bawah bayu pada minggu hadapan. Alyssa Delaila sebenarnya tidak sabar hendak meninggalkan Kuala Lumpur. Dia berharap kedatangannya ke tanah yang dirahmati dengan alam semulajadi itu, akan membantunya melupakan sisa-sisa luka yang masih membekas di hati. Biarpun dia cuba menafikan perasaannya, namun dia tidak dapat menipu diri sendiri… Dia amat merindui lelaki itu. Dia tidak tahu di mana Prof. Dr. Ismadi kini. Namun dia pasti, mereka tidak akan bertemu lagi biarpun hanya di dalam mimpi.
MEREKA menaiki penerbangan siang dengan pesawat Air Asia dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu. Mereka benar-benar bertolak pada hari lahirnya yang ke dua puluh tahun. Alyssa Delaila memang tidak mengharapkan apa-apa hadiah daripada ibunya. Cukuplah dengan percutian yang pasti menyeronokkan itu. Pagi tadi dia mendapat ciuman mesra dari ibunya semasa Safura membangunkannya dari tidur.
Alyssa Delaila tidak sabar untuk berangkat pergi. Dia tidak mahu berada di rumah itu di hari lahirnya yang tidak semeriah pada tahun lepas. Dia tidak punya sahabat lagi. Dia amat merindui Syazwina. Namun gadis itu membisu seribu bahasa. Tetapi sebaik berlepas dari rumah pagi itu untuk ke lapangan terbang, teksi yang dinaiki Alyssa Delaila berselisihan dengan motorsikal posmen. Memang dia tidak sedar, posmen berhenti di hadapan rumahnya lantas memasukkan sekeping kad bersampul putih. Kad itu dilayangkan oleh Syazwina dua hari lalu…
Alyssa Delaila benar-benar teruja. Dia tidak pernah pergi ke negeri di bawah bayu. Namun dia tahu Sabah adalah negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Selepas kemerdekaan Malaysia, ibu negeri Sabah yang dulunya adalah Bandar Jesselton ditukar nama kepada Kota Kinabalu. Kini mereka sedang menuju ke sana.
Safura juga sudah menghubungi rakannya, Mazni. Hati Safura juga melonjak riang dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu.
Mazni melambai riang apabila melihat kedua-dua beranak itu berjalan keluar sambil menolak troli berisi beg pakaian. Dia datang lantas memeluk Safura erat. Memang sudah lama tidak bertemu. Dulu mereka pernah bekerja satu pejabat, tetapi Mazni mengikut suaminya ke Sabah lantas terus menetap di sana. Menurut Mazni perniagaan suaminya berkembang maju di sini lantas dia tidak mahu lagi pulang ke Semenanjung. Mereka juga sudah membeli tanah dan rumah sendiri di pinggir Kota Kinabalu.
“Mari…” Kata Mazni sambil membantu Safura membawa beg menuju ke medan letak kereta. “Kau tak payah sewa hotel. Duduk di rumahku saja. Rumahku besar… Suami aku pula orang business, jarang ada di rumah.” Kata Mazni dengan riang.
Safura mengangguk sahaja. Tidak mungkin dia dapat menolak. Dia tahu Mazni benar-benar sepi kerana selama hampir lima belas tahun perkahwinannya dia tidak mempunyai cahaya mata.
“Dah besar rupanya anak engkau…” Kata Mazni sambil tersenyum ke arah Alyssa Delaila. “Dan cantik pula. Kalau ada anak lelaki tentu kita boleh berbesan.”
Alyssa Delaila tersipu-sipu mendengar kata-kata Mazni yang peramah dan periang itu.
Safura turut ketawa. “Lambat lagi nak menerima menantu…” Katanya. “Laila masih belajar. Tahun depan baru masuk tahun dua di universiti.”
“Hmmm… Begitu rupanya. Dah ada boyfriend?” Dia bertanya separuh mengusik.
Muka Alyssa Delaila memerah, dia menggeleng.
“Ha… Manalah tahu kalau-kalau bertemu dengan orang Sabah.” Katanya tak habis-habis mengusik. “Anak saudara abang Mohsin, Fuad pun ada di sini. Dia belajar di Unimas. Musim cuti macam ni Fuad tu jarang balik. Selalunya dia suka bekerja… Nanti kalau dia datang ke rumah, boleh berkenalan.”
Alyssa Delaila diam membatu. Sedikit sebanyak dia rasa teman ibunya itu sudah melebih-lebih pula.
“Bergurau saja bah!” Katanya sambil menepuk bahu Alyssa Delaila yang diam membisu. “Jangan ambil hati…”
Mereka bertiga masuk ke kereta, lantas meninggalkan lapangan terbang. Mereka kini berada di pintu gerbang utama sebelum memasuki pusat bandar. Kota Kinabalu pesat membangun. Walaupun pernah mengalami kemusnahan besar semasa Perang Dunia Kedua, namun kota ini telah tumbuh menjadi bandaraya yang moden dan indah. Terletak di tepi laut yang membiru, Kota Kinabalu sebuah bandaraya yang tidak mudah dilupakan setiap pengunjungnya. Kesibukan jalanraya dan kenderaannya yang berasak persis kota-kota besar lain.
“Tentu penat kan? Kita pulang dulu ke rumah. Esok baru jelajahi kota…” Mazni memberikan cadangan. “Di sini banyak tempat yang boleh dilawati. Ada muzium, masjid negeri, pelbagai pameran dan pesta ada di sini… Banyak tempat lagilah! Berapa lama cuti? Nak melawat takkan cukup dua tiga hari saja!”
“Lama juga. Dua minggu…” Jawab Safura.
“Hmmm… Barangkali sempat kalau kita pergi ke Kundasang.” Kata Mazni kegirangan. Sebenarnya dia juga sudah lama tidak berjalan-jalan. Suaminya selalu tidak punya masa untuk membawanya bersiar-siar. “Aku bila-bila masa saja bersedia jadi tour-guide kalian.” Kata-kata itu disambut tawa Safura dan Alyssa Delaila.
Alyssa Delaila terpegun hampir-hampir tidak percaya apabila kereta yang dipandu Mazni memasuki satu pintu pagar lantas berhenti di hadapan sebuah rumah banglo dua tingkat dalam sebuah kawasan lapang yang amat luas.
Kayanya dia! Itulah perkataan pertama yang terbetik dihatinya demi melihat suasana sekeliling yang menghijau dihiasi dengan pelbagai tanaman dan rimbunan bunga-bunga yang subur. Dua buah kereta terlihat berbaris di bawah garaj terbuka di sisi rumah banglo beratap genting warna merah itu. Dan tika dia masuk ke bahagian dalam rumah matanya semakin terpukau melihat keindahan ruang tamu yang diisi dengan sofa fabrik berwarna hijau memukau. Semua perabotnya adalah perabot kayu jati dari Myanmar yang tinggi mutunya, termasuk meja makan dan kabinet hiasan.
Mazni seorang yang gemar menghias rumah, setiap sudut kelihatan ada sahaja jambangan bunga-bunga segar yang diletakkan di dalam vase kristal. Mazni membawa mereka berdua ke sebuah bilik yang dikhaskan untuk tetamu yang terletak di tingkat bawah rumah banglo itu.
“Berehatlah dulu. Buatlah seperti rumah sendiri, jangan malu-malu. Biar aku suruh pembantu sediakan minuman petang.” Kata Mazni sebelum meninggalkan mereka berdua. Dia menutup pintu kamar itu perlahan-lahan.
“Ibu! Tak sangka kawan ibu ni kaya betul… Agaknya orang Sabah ni semua kaya-kaya tak?” Kata Alyssa Delaila gembira, tidak terkira. “Hiasan dalam rumahnya, perabotnya… semuanya kalah rumah kita ya ibu!”
“Agh! Kau ni Laila… Janganlah buat macam orang jakun.” Kata Safura tertawa juga. “Sebenarnya ibu juga terkejut. Tak sangka hidupnya senang betul sekarang. Dulu dia pun macam ibu, kerja pun sebagai kerani je…”
“Yalah. Kita harus berusaha mengubah nasib kita ya ibu. Ibu pun Ok juga, sekurang-kurang ibu dah berjaya jadi pegawai walaupun berkhidmat selama hampir sepuluh tahun, baru naik pangkat… ada orang tu dari mula kerja jadi kerani sampailah ke pencen tetap jadi kerani.” Kata Alyssa Delaila sambil tertawa kecil.
“Hisy…Tak baik kata begitu. Kadang-kadang ini semua juga ditentukan oleh nasib dan suratan. Siapa yang tidak mahu berjaya. Tapi takdir Laila. Kita takkan dapat lari dari takdir.”
Alyssa Delaila mengangguk lantas bersetuju dengan kata-kata ibunya. Memang tiada sesiapa pun tidak dapat lari dari takdir yang sudah ditentukan sejak azali. Tetapi kita tidak seharusnya mengalah begitu saja, sekiranya gagal meraih sesuatu. Dia sedar, dia telah gagal mendapatkan apa yang diingini tetapi tidak semestinya dia harus kehilangan satu persatu keseronokan dalam menikmati hidup ini. Dia masih muda. Benar kata Prof. Dr. Ismadi, perjalanan hidupnya masih jauh…
Mereka minum petang di bahagian luar banglo, menghadap ke padang rumput yang terbentang. Di sebalik pagar terlihat rumah-rumah banglo yang lain mengitari kawasan itu. Dua orang pembantu rumah Mazni kelihatan sibuk sekali di dapur. Sesekali mereka memerhati Alyssa Delaila dan ibunya dari tingkap dapur yang terbuka luas.
“Malam ni ada kawan abang Mohsin nak makan malam di sini.” Kata Mazni. “Sebab itu pembantu rumah sibuk, hanya sempat sediakan kuih dan kopi saja…” Katanya lagi sambil menuang minuman ke dalam cawan.
“Tak apa… Ini pun dah lebih dari cukup.” Jawab Safura.
“Dengarnya kawan abang Mohsin tu pun dari Semenanjung.”
“Oh begitu!” Sahut Safura sekadar memanjangkan perbualan.
Alyssa Delaila tidak menghiraukan perbualan antara ibunya dengan Mazni. Dia bangun dan bergerak ke taman mini, tertarik dengan rimbunan bunga-bunga anggerik pelbagai warna yang ditanam oleh Mazni. Ada bunga anggerik di dalam pasu gantung, yang tergayut di atap pergola, ada juga yang tersusun dengan teratur di tepi kolam kecil. Sungguh cantik. Dia tertawan melihat bunga-bunga anggerik itu. Sekonyong-konyong kenangan semasa di taman anggerik itu berulang kembali di mindanya.
Alyssa Delaila mengeluh berat. Di tengah-tengah keinginan hendak melupakan mereka, setiap sesuatu yang dipandang selalu membuat dia teringat kepada kedua-dua insan istimewa itu.
“NAK pakai baju apa ibu? Auntie Maz pesan tadi pakai cantik-cantik sebab kawan uncle Mohsin akan makan malam bersama kita…” Kata Alyssa Delaila masih berkemban dengan tuala dan duduk sahaja di atas katil. Apakah anak saudaranya yang bernama Fuad itu juga akan datang bertandang?
“Pakai aje baju yang baru engkau beli tu!” Balas Safura sambil memerhati anaknya. Dia telah pun siap mengenakan sepasang kebaya hitam bersulam di bahagian tepi. Rambutnya disanggul ringkas. Dia menutup kepalanya dengan sehelai selendang panjang dari kain organza yang berambu-rambu di bahagian hujungnya.
“Baju baru?” Dahi Alyssa Delaila berkerut.
“Ya. Ibu ada masukkan beberapa helai baju baru engkau ke dalam beg. Ibu tengok kau langsung tak kemaskan baju-baju yang baru dibeli. Terbiar dalam beg kertas di tepi katil. Jadi ibu fikir tentulah kau nak pakai baju tu, ibu sumbatkan aje dalam beg…”
Alyssa Delaila tidak berkata apa-apa, memerhati sahaja ibu yang telah siap berpakaian. “Cepatlah bersiap. Dah pukul lapan lebih. Biar ibu keluar dulu… Engkau jangan lama sangat bersiap, nanti orang lain kelaparan tunggu engkau pula!” Pesan Safura sebelum keluar dari bilik.
Alyssa Delaila membuka almari. Memang ibunya sudah mengemas beg pakaiannya dan menggantung semua baju di dalam almari supaya tidak mudah berkedut. Dia melihat ibunya turut memasukkan gaun berwarna merah lada yang cantik menawan. Perlahan-lahan dia menyentuh gaun itu berbaur seribu rasa yang sukar dimengerti.
Dia menggelengkan kepala. Ibu… Ibu… takkanlah nak pakai gaun yang cantik ni! Lainlah kalau mereka hadir ke parti istimewa. Dia menarik sehelai baju kurung berwarna ungu lembut. Baju kurung bersulam itu memang tidak kurang cantiknya, sesuai pula dibawa ke dalam apa-apa majlis pun.
Alyssa Delaila keluar ke ruang makan tidak lama kemudian. Dia mendapati masih tiada sesiapa di situ. Suara dari ruang tamu terdengar riuh dengan gelak tawa lelaki. Dia tidak tahu berapa ramaikah tetamu uncle Mohsin. Dia ke dapur mencari Safura, tetapi ternyata wanita itu berada di ruang tamu. Segan pula dia hendak menjengah masuk ke ruang itu. Jadi dia mengambil keputusan untuk kembali ke kamar sehinggalah dia dipanggil. Tetapi dia tidak perlu berbuat begitu kerana terdengar suara Mazni mengajak tetamunya masuk ke ruang makan.
Alyssa Delaila memerhati kawan-kawan Mohsin yang terdiri daripada tiga lelaki berusia lingkungan lima puluhan. Mereka adalah rakan-rakan perniagaannya yang datang dari Semenanjung. Masing-masing datang tanpa pasangan. Alyssa Delaila sedikit cuak apabila mereka kelihatan tertarik pada Safura, galak bercerita dengan ibunya itu.
“Katanya empat orang yang akan datang…Mana seorang lagi, bang?” Tanya Mazni pada suaminya.
“Oh ya… Ismadi tidak dapat datang, katanya ada hal penting. Dia menunggu kawannya yang akan tiba malam ni di airport…”
Alyssa Delaila memandang Mohsin tidak berkelip, dadanya bergetar dengan kuat dan tubuhnya terasa ringan. Benarkah dia telah mendengar nama itu? Ismadi? Aduh… Mengapa dia harus rasa begini apabila nama itu disebut. Tidak semestinya dia adalah orang yang sama! Ada beratus-ratus orang atau beribu-ribu orang yang memakai nama itu…
“Begitu.” Jawab Mazni. “Duduklah Laila.” Pelawa Mazni apabila dilihat Alyssa Delaila masih berdiri di hujung meja.
Alyssa Delaila duduk dengan tertib, dadanya masih terasa akan debar yang memburu dan kepalanya terasa ringan. Dia belum pulih dari rasa terkejut. Dia terlalu ingin bertanya pada Mohsin siapakah ‘Ismadi’ yang baru disebutkannya itu. Tetapi dia terasa malu… benar-benar malu jika dia tersalah orang!
Dia cuba menyuap makanannya walaupun tidak berselera menjamah lauk pauk yang beraneka macam. Saat itu juga terdengar suara orang memberi salam dari arah pintu utama yang sengaja dibuka luas.
“Tu macam suara Fuad…” Kata Mazni sambil bangun. Dia meminta diri untuk menyambut kedatangan anak saudara suaminya itu.
Bab 16
DIA menegakkan badannya apabila terdengar pengumuman menyatakan ketibaan pesawat yang baru datang dari Semenanjung Malaysia. Dia bangun, berdiri sambil mata tertinjau ke arah pintu balai berlepas. Kelihatan penumpang yang baru turun dari pesawat berpusu-pusu keluar.
Dia mengangkat tangan sebaik sahaja terlihat wanita itu. Sonia berjalan ke arahnya dengan langkah longlai. Matanya nampak sembab, tetapi dia cuba mengukir senyum. Prof. Dr. Ismadi mengambil beg dari tangan wanita itu lantas berjalan mendahului menghala ke tangga bergerak. Sonia hanya menurut. Beg pakaiannya tidak begitu berat, dia boleh membawanya sendiri. Tetapi dia tidak pula menegah Prof. Dr. Ismadi daripada terus membawakan begnya itu. Dia sedikit teruja, lelaki itu masih tidak berubah… Seorang sahabat yang sangat baik dan memahami.
Mereka tidak terus ke hotel sebaliknya singgah minum di salah sebuah restoran yang masih buka di lapangan terbang tersebut.
“Bagaimana dengan anak-anak you. You tinggalkan mereka begitu saja?” Prof. Dr. Ismadi memulakan perbualan. Mereka hanya minum sahaja. Sonia pun tidak berselera hendak menjamah apa-apa.
“Mereka dah besar, tahu jaga diri masing-masing.” Jawab Sonia sambil cuba tersenyum walaupun senyuman itu tidak semanis biasa.
“Macamana boleh berlaku ini semua? Kata you dia sporting… memahami…”
“Sekurang-kurangnya itulah yang sangka selama ini. Rupa-rupanya dia mengintip semua pergerakan I. Dia upah orang… Dia sanggup lakukan ini semua untuk cari kesalahan I. Dengan itu dia boleh ceraikan I di mahkamah tanpa banyak persoalan. I tak dapat apa-apa… Is! Dia tuduh I curang!” Sonia mulai menangis.
Prof. Dr. Ismadi menggelengkan kepala. Dia tidak sangka suami Sonia sanggup menceraikan wanita itu kerana cemburu. Cemburu yang tidak bertempat. Sonia adalah seorang yang biasa hidup bebas. Namun kebebasan itu tidak pernah disalahgunakan. Dia tahu halal dan haram. Dia tidak pernah menyeleweng. Namun suaminya yang selama ini hanya diam, rupa-rupanya menyimpan marah dan dendam sendirian dan bertindak di luar dugaan.
“Tak mengapalah…” Jawab Sonia perlahan. “I tak kisah diceraikan. Tetapi I tak mahu dimalukan begini. Semua ahli keluarganya percaya I curang. Walaupun perkara itu jauh dari kebenaran… I tak dapat membela diri. I tak kisah. I masih boleh hidup walaupun tanpa dia.”
Prof. Dr. Ismadi mengangguk sahaja.
“Cuma sekarang ni I rasa I perlu cari ketenangan jauh dari KL. I nak lupakan apa yang baru berlaku. Mungkin bila dah reda sikit I akan balik semula ke sana. Teruskan hidup macam biasa.”
“Anak-anak you macamana?”
“Mereka boleh pilih untuk bersama siapa. Kalau mereka hendak bersama bapanya pun I terima…” Jawab Sonia. “Lagipun I memang tak begitu rapat dengan anak-anak sejak mereka dah besar. Mereka suka membantah, tak boleh ditegur langsung… terutama sekali anak perempuan I.”
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. Dia teringatkan Haiqal. Perhubungan antara dia dan Haiqal juga keruh. Dia tidak tahu bagaimanakah cara itu menjernihkannya semula. Memang menangani anak-anak remaja di zaman sekarang terlalu sukar. Mereka punya keinginan dan hasrat yang bertentangan dengan kehendak ibubapa. Anak yang baik pun boleh memberontak dan melawan orang tua jika terjadi kesilapan yang sedikit sahaja. Prof. Dr. Ismadi sedar, dia juga gagal mendorong anak lelaki bongsunya itu ke arah kebaikan. Setelah ketiadaan isterinya, dia merasakan hidup keluarganya semakin pincang. Apalagi sekarang… Masing-masing membawa hal sendiri, tidak lagi saling mengambil tahu dan bertanya khabar. Dia percaya, Haiqal tidak mahu tahu di mana bapanya berada…
“Dia masih muda, belum matang… Mungkin dia akan berubah.” Kata Prof. Dr. Ismadi. “You tahu hubungan I dengan Haiqal pun belum pulih.”
“Barangkali I juga salah.” Akui Sonia. “Tak beri banyak perhatian pada anak-anak. Asyik sibuk di luar. Bila anak-anak dah terbiasa hidup sendiri, bebas dan mereka tidak suka apabila kita cuba bertanya. Mereka menganggap kita cuba mengongkong dan menyekat kebebasan yang sudah lama diperolehi.”
“Baguslah. Sekurang-kurang you sedar sesuatu. Menyedari kesilapan dan cuba perbaikinya sebelum terlambat.” Balas Prof. Dr. Ismadi.
“Terima kasih.” Sonia menghulur tangannya dan menyentuh tangan sahabatnya itu. “Terima kasih kerana mendengar masalah I. Terima kasih juga kerana memberikan sedikit kekuatan pada I yang sedang dilanda masalah. I pun tak tahu sebenarnya hendak lari ke mana… Hanya pada you tempat mengadu.”
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “I pun begitu Sonia. Semasa I dilanda masalah, kepada siapa I mengadu, kalau bukan you?” Mereka saling berbalas senyum. Tidak lama kemudian Prof. Dr. Ismadi mengajak Sonia meninggalkan restoran itu.
MALAM masih muda. Namun tiada sebarang kegiatan untuk mengisi malam yang masih panjang. Prof. Dr. Ismadi menikmati minuman sendirian di dalam kamar tidur yang merangkap kamar kerjanya, menghadapi komputer yang masih terpasang.
Malam itu dia hilang keinginan untuk menulis ataupun berbuat apa-apa. Padahal masih ada kertas kerja yang belum disiapkan, sedangkan lusa dia akan menghadiri satu senimar. Dia dijemput sebagai penceramah. Dia terasa amat malas untuk memulakan kertas kerja itu. Sebenarnya dia rasa malas hendak berfikir apa-apa… Fikirannya memang sedia buntu.
Sudah enam bulan dia berada di negeri di bawah bayu. Rasa hatinya sedikit damai jauh daripada mereka yang ditinggalkannya. Dia sedar dia tidak sepatutnya lari… Lari meninggalkan segala-galanya jauh di belakang. Sejauh mana pun dia lari dia tetap rasa bersalah.
Mengapa dia tidak berani menghadapi segalanya? Mengapa dia harus membiarkan fitnah itu merebak, lantas merosakkan nama baik Alyssa Delaila. Dia mengakui menyayangi gadis itu, tetapi mengapa dia harus jadi pengecut. Dia tidak mahu berdepan dengan masyarakat kampus. Dia enggan untuk tampil membela… Sebaliknya dia mengambil keputusan drastik, meninggalkan segalanya di tengah-tengah kemelut yang sedang hebat melanda.
“Rupa-rupanya papa ada hubungan sulit dengan Laila!!!” Jerit Haiqal pada suatu malam sebaik sahaja dia pulang ke rumah lebih kurang pukul sebelas malam. Anak muda itu memang menunggu kepulangannya.
“Semua orang dah tahu! Patutlah selama ini Laila permainkan hati saya! Dia punya muslihat! Dia rapat dengan saya ada tujuan!!! Mengapa saya bodoh sangat tak sedar-sedar diri saya diperalatkan untuk dekat dengan papa? Papa pun sama! Berselindung di sebalik jawatan sebagai pensyarah. Mengapa papa sanggup buat macam ni pada anak papa sendiri…”
Dia tidak dapat menangkis semua kata-kata Haiqal itu. Hati di dalam terasa pedih tersayat. Tuduhan itu keterlaluan. Dia diam, cuba mengajak hati supaya bersabar. Jika dia tidak sabar, pasti tangannya sudah melayang ke muka Haiqal. Saat itu dia tidak berupaya langsung membantah kata-kata si anak. Dia seolah-olah bersetuju apa yang dikatakan oleh anaknya itu adalah benar.
“Saya cinta Laila, papa! Saya tak pernah lupakan Laila! Hingga kini saya masih menyintai dia, mengharap dia kembali. Tapi mengapa cinta saya ini harus dihancur oleh papa? Kenapa papa? Kenapaa???” Jeritan anaknya itu sudah beransur hilang diganti oleh tangisan. Dia tidak sangka, Haiqal akan menangis. Dia tidak pernah melihat anak itu menangis ketika dia sudah besar panjang begini. Pada hari kematian isterinya Haiqal kelihatan lebih tabah. Tetapi kenapa pada hari dia kehilangan cintanya dia jadi begitu lemah?
“Haiqal…” Serunya perlahan, mendekati Haiqal yang terduduk dengan kepala santak ke lantai.
“Papa minta maaf. Semua yang berlaku….” Dia tidak dapat meneruskan kata. Dia tidak tahu siapa yang harus dipersalahkan. Alyssa Delaila tidak bersalah, dia atau Haiqal juga tidak berdosa. Cinta adalah sesuatu yang suci, anugerah Tuhan … Tetapi ramai yang gagal memperoleh kenikmatan dan ketenangan kerana cinta.
“Maaf?” Haiqal mengangkat mukanya perlahan-lahan. “Papa minta maaflah dengan mama. Papa khianati kasih sayangnya. Mama sakit masa tu, tapi saya percaya hati papa sudah lama berubah.” Kata Haiqal dengan suara yang sebak. “Patutlah selama ini saya melihat papa dan Laila sangat mesra, di hadapan saya. Papa… Sampai hati papa buat macam ni…”
Prof. Dr. Ismadi cuba menyentuh bahu anaknya tetapi tangannya ditepis kasar. Haiqal terus bangun meninggalkan dia termangu-mangu sendirian setelah menghambur kemarahan.
Haiqal… Bisik Prof. Dr. Ismadi sendiri. Maafkan papa. Papa harap kau lebih bahagia biarpun papa jauh dari kamu sekarang.
Telefon bimbit Prof. Dr. Ismadi bergetar dan bernyanyi. Dia segera mencapai telefon yang memang ada di atas meja. Dilihatnya panggilan itu datangnya dari Sonia.
“You buat apa?” Tanya Sonia.
“Tak buat apa-apa… Malam ni rasa tak ada mood.”
“Jom lah kita keluar pergi pasar malam. Sekurang-kurangnya kita boleh hiburkan hati sendiri, lebih baik daripada memerap sahaja kan?”
“OK. You tunggulah I datang, lebih kurang lima belas minit lagi.” Kata Prof. Dr. Ismadi bersetuju untuk keluar.
“KE MANA kita pada malam terakhir di sini, ibu?” tanya Alyssa Delaila sambil memandang Safura yang asyik menonton televisyen. Safura menoleh ke arah Mazni, seolah-olah mengharap temannya memberikan jawapan.
Dua malam mereka menghabiskan masa di Kundasang, menikmati udara dingin di puncak. Banyak foto-foto yang dirakam sebagai kenangan. Dia memang benar-benar gembira. Pagi esok mereka akan pulang semula ke Kuala Lumpur. Entah mengapa malam itu dia masih ingin menyedut udara Kota Kinabalu. Cukuplah jika sekadar mengelilingi kota…
“OK. Malam ni, kita ke satu tempat yang tak kurang menariknya… Dekat aje!”
Mendengar kata-kata Mazni, Alyssa Delaila terlonjak bangun. Dia lebih dahulu berlari ke bilik untuk menukar baju. Safura dan Mazni saling berpandangan kemudian tertawa serentak.
“Kata orang kalau jalan-jalan ke Sabah, jangan lupa beli mutiara.” Kata Mazni. Mereka baru sahaja tiba di pasar malam. Pasar malam itu cukup meriah, ada pelbagai barangan yang dijual. Penduduk Sabah yang mempunyai beberapa kelompok etnik memang terkenal dengan barangan kraftangan mereka. Ianya unik, berseni dan cantik.
“Selain mutiara apa lagi yang terkenal?” Tanya Alyssa Delaila.
“Kain tenunannya yang halus dan bermutu…” Jawab Mazni. Mereka berjalan beriringan memasuki pasar malam yang sesak dengan orang ramai. Alyssa Delaila benar-benar asyik melihat orang berjualan aneka barangan. Ibunya tidak melepaskan peluang membeli belah. Mujur mereka tidak menginap di hotel. Jadi wang yang diperuntukkan sebagai sewa hotel boleh digunakan untuk membeli-belah semahu hati.
Alyssa Delaila memegang erat tangan ibunya. Dia bimbang mereka akan terpisah. Semakin jauh malam suasana semakin sesak.
“Dah penat berjalan, kita cari tempat makan…” Cadang Safura. Mazni bersetuju.
“Patutlah dah lapar… rupa-rupanya dah dekat pukul sepuluh malam.”
Mereka tergocoh-gocoh keluar dari kesesakan. Alyssa Delaila menyelit tidak menghiraukan bahu orang yang dilanda dan dilanggarnya. Dia mahu menyaingi ibunya yang sudah jauh. Tiba-tiba dia tersentak apabila terpandang wajah Sonia di celah-celah orang yang langsung tidak dikenali. Begitu dekat mereka berdiri. Dan di sisi Sonia dia terlihat Prof. Dr. Ismadi.
Lelaki itu juga terpandang dirinya. Mata masing-masing kaku dan terdiam beberapa saat. Alyssa Delaila hanya tersedar apabila terasa tangannya direntap oleh Safura.
“Cepatlah…” Gesa Safura. Dia memang tidak perasan pada Prof. Dr. Ismadi yang hanya ditemui sekali cuma. Alyssa Delaila buru-buru mengikut ibunya. Tetapi dia masih menoleh ke arah Prof. Dr. Ismadi yang memerhati.
Bab 17
SAYANG sekali… Bisik Alyssa Delaila berkali-kali. Dia memusing badannya sekali lagi ke arah katil Safura. Wanita itu sudah tidur. Lelap sekali dia langsung tidak terganggu apa-apa, dengkur halus terdengar. Alyssa Delaila mengeluh. Dia tidak dapat tidur. Dia tidak menduga langsung pertemuan ini! Oh Tuhan! Mengapa dia harus resah gelisah begini? Mengapa?
Dia tidak mungkin dapat melupakan Prof. Dr. Ismadi. Setiap saat aku mengharap kau kembali kepadaku! Keluhnya sendiri sambil bangun. Apa guna dikenang lagi, Laila… Bisik hati kecilnya. Dia yang melarikan diri, meninggalkan engkau menghadapi segala kemungkinan. Tidak pernahkah engkau membencinya? Bukankah hanya engkau seorang yang menghadapi kesakitan ini? Sedangkan dia menghilang diri… Dia tidak menginginkan engkau… mengapa harus engkau memburunya lagi? Apa gunanya?
Tuhan… Aku masih menyintai dia. Aku tidak mungkin dapat melupakan dia untuk selama-lamanya. Rupa-rupanya dia berada di sini. Di manakah dia bekerja sekarang? Masihkah dia menjadi seorang pensyarah di universiti di Sabah ini? Ada berapakah universiti dan kolej di sini? Bagaimanakah dia harus mencari Prof. Dr. Ismadi?
Kau memang gila! Kutuk hatinya. Nak cari dia? Aduh… Kepalanya terasa pening. Dia menghempas kepala ke atas bantal semula, dengan mata terpejam. Pagi esok mereka akan pulang. Tiket sudah pun ditempah. Safura tentu tidak ingin menyambung cuti. Apakah alasan yang harus diberikan kepada Safura sekiranya dia memberitahu belum mahu pulang ke Kuala Lumpur? Dia masih mahu menetap di situ untuk mencari Prof. Dr. Ismadi…
Alyssa Delaila bangun semula, dia bergerak ke arah tingkap. Dibukanya tingkap perlahan-lahan. Angin malam menyapa pipi. Lembut, dingin dan nyaman. Begitulah perasaannya apabila ditatap oleh sorotan mata lelaki itu. Dia tidak dapat melupakan wajahnya yang tergambar seribu perasaan. Dia percaya masih ada cinta untuk dirinya, yang tersimpan di suatu sudut paling dalam. Dia yakin Prof. Dr. Ismadi tidak pernah melupakannya. Jika lelaki itu sudah melupakan dia, mengapa Prof. Dr. Ismadi merenungnya dengan pandangan sayu yang mencengkam perasaan.
Aduh! Jikalau tiada sesiapa di situ, pastilah dia meluru dan menyerah dalam pelukannya. Tetapi… mengapa mereka harus bertemu di tengah-tengah kemelut manusia? Dan Sonia… Wanita itu sentiasa ada di sisi Prof. Dr. Ismadi. Alyssa Delaila merengus kasar. Dia menggigit bibir. Tubuhnya terasa kian sejuk ditiup angin. Dia berpeluk tubuh, belum mahu beralih dari tingkap. Alam di luar gelap pekat. Langit langsung tidak ditaburi bintang.
Dia terlalu ingin menemui Prof. Dr. Ismadi…
Tetapi mustahil! Masa kian beranjak. Pagi akan menjelang dan mereka akan meninggalkan negeri di bawah bayu. Airmata Alyssa Delaila berderai perlahan. Selamat tinggal sayangku! Bisiknya sambil menutup tingkap perlahan-lahan.
PROF. DR. ISMADI tertidur di sofa. Dia dikejutkan bunyi ketukan di muka pintu. Dia bangun perlahan-lahan, mencapai cermin mata di atas meja kecil di sisi sofa. Tengkuknya terasa sakit. Dia menggeliat malas, kemudian berjalan ke pintu.
Dia tidak tahu pukul berapakah dia tertidur semalam. Barangkali dia terlelap pada jam empat atau lima pagi. Sekarang sudah lewat. Hampir jam sembilan pagi. Subuh pun sudah terlepas… bisik hati kecilnya agak kesal.
Pintu dibuka perlahan. Sudah enam bulan dia tinggal di apartment itu sendirian. Di situ cukup selesa, tiada suatu apa pun yang kurang. Semua kemudahan ada tersedia. Dia menyewa apartment itu bersekali dengan perabot dan dapur, tetapi dia amat jarang memasak. Sekadar memasak air. Kalau teringin seminggu sekali dia akan memasak, itupun jika ada kawan-kawan yang hendak berkunjung.
Keningnya bercantum apabila melihat Sonia berada di hadapan pintu. Tangannya sarat dengan barang. Jelas wanita itu baru balik dari pasar.
“Beli apa?” Tanya Prof. Dr. Ismadi, memerhati wanita itu yang sudah masuk dan membawa barang-barang ke dapur.
“Sukanya I!” Kata Sonia tidak dapat menyembunyikan rasa gembira. Awal pagi dia keluar dari hotel, sekadar berjalan sekeliling. Dia masuk ke pasar basah. Dilihatnya banyak sayur-sayuran segar dan makanan laut. Kecur dia hendak membeli. Sudah lama dia tidak ke pasar, kemudian turun ke dapur. Setelah lama tidak memasak, tiba-tiba timbul keinginan itu dalam dirinya.
“Kat sini ikan dan sayur murah betul. Udang, ketam dan sotong semua segar-segar.”
“Banyaknya you beli…” kata Prof. Dr. Ismadi sambil menggelengkan kepala.
“Tak apa. You kan ada peti sejuk. Boleh simpan untuk dimakan esok. Tengahari ni biar I masak. Tomyam special…” Dia tersenyum dan mengenyitkan mata. “You belum rasa tomyam yang I buat. Nanti bila nak tidur teringat-ingat, betapa sedapnya tomyam I!”
“Yalah tu! Ingat tomyam tak mengapa!” Jawab Prof. Dr. Ismadi sambil membuka cermin matanya lantas menggesek mata yang terasa pedih. Sonia nampak matanya yang merah.
“Malam tadi tak boleh tidur ya? Tak sangka boleh jumpa Laila kat sini. Apa dia buat? Mungkin bercuti?”
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “Mungkin.” Balasnya perlahan.
“Dia tak call?”
“Dia tak tahu nombor baru I… I dah tukar nombor phone. Dulu ramai sangat yang mengganggu, bertanya tentang kebenaran perhubungan kami. Sebenarnya kami bukannya ada apa-apa…”
“Yalah!” Jawab Sonia sambil tangannya lincah membersihkan udang dan sotong. “Tak ada apa-apa kononnya! Tapi terus hati merindu dan diri engkau mengharap wujudnya keajaiban Tuhan. Seperti malam semalam, pertemuan yang langsung tak disangka. Ismadi… Ismadi! I pelik dengan orang macam you ni tahu? Sesetengah lelaki tu pantang lah nampak perempuan berdahi licin, masih muda belia pula tu… You pun tahu, dia cintakan you… setengah mati gilakan you, tapi mengapalah you harus menolaknya mentah-mentah?”
Prof. Dr. Ismadi tidak menjawab.
“Is, dengarlah nasihat I. Pergi cari dia. I yakin lepas ni you pasti lebih produktif, banyaklah lukisan-lukisan yang dapat you lahirkan. Pasti laju idea you menulis skrip dan sebagainya. Ketenangan jiwa, kegembiraan dan kebahagiaan itu penting bagi insan seni macam you ni! Kalau jiwa tak tenteram, satu apa pun you tak mampu nak buat dengan jaya.”
Prof. Dr. Ismadi menggeleng. “Tidak. I tinggalkan Kuala Lumpur untuk lupakan dia. Lagipun I pernah beritahu dia supaya kami jangan bertemu lagi. Tapi lepas tu dia jatuh sakit. I pergi ke rumahnya untuk menemui dia. Tapi dia enggan bertemu dengan I. Dia marah dan kecewa. Selepas itu I berjanji pada diri sendiri tidak akan menghubungi dan mencarinya. I tak mahu mungkir pada janji yang telah I buat!” Kata Prof. Dr. Ismadi perlahan.
“Kalau dia datang ke sini mencari you… apa tindakan you agaknya?” Tanya Sonia menduga.
“I sedar, kami tak mungkin bersama. I tetap dengan pendirian I bahawa antara kami tidak akan wujud sebarang ikatan.”
Sonia memandang wajah Prof. Dr. Ismadi mencari kesungguhan di wajah lelaki itu. Dari kata-katanya serius itu Sonia yakin lelaki itu akan mengotakan apa yang telah diucapkan. Kasihan kau Laila… Bisiknya sendiri.
“Kadang-kadang you ni keras kepala dan degil.” Kutuk Sonia seenaknya.
Prof. Dr. Ismadi menggelengkan kepala, memakai cermin mata semula dan beredar ke dalam. “You masaklah sedap-sedap!” Jeritnya. “Sementara tu I boleh siapkan kertas kerja yang hendak I bentangkan esok.”
Sonia tersenyum sendiri mendengar kata-kata kawannya itu.
Prof. Dr. Ismadi duduk menghadapi laptop, cuba menulis tetapi fikirannya semakin bercelaru. Sejak semalam hatinya memang tidak tenang. Wajah Alyssa Delaila mengintainya setiap detik. Dia teringat rambut gadis itu yang terurai ke bahu. Rambutnya kelihatan bertambah panjang. Wajahnya bersih. Tiada yang berubah. Dia nampak sihat dan ceria. Bukankah itu yang dia inginkan. Kesejahteraan dan kebahagiaan insan yang disayanginya…
Pemergiannya pasti telah meredakan kemelut fitnah yang melanda. Kini pasti gadis itu sudah dapat belajar dengan tenang dan aman. Semoga kejayaan sentiasa bersamamu… Laila. Doanya sendiri.
Prof. Dr. Ismadi merebahkan tubuh ke atas tilam Dia mulai diserang rasa mengantuk semula. Malam tadi entah berapa jam dia tidur. Tubuhnya memerlukan rehat yang secukupnya, supaya dapat kembali menghadapi layar komputer yang masih kosong.
PESAWAT terbang tinggi di awan. Alyssa Delaila cuba untuk memejamkan mata. Namun dia tidak dapat melelapkan mata. Dia gelisah tidak menentu. Tangannya mencapai majalah yang baru dihantar pramugari bertugas. Tetapi tiada yang menarik minatnya. Dia memandang ke luar tingkap, hanya gumpalan awan putih di sana sini. Langit kelihatan membiru jernih. Amat cantik.
Tiba-tiba dia membayangkan bagaimana jika pesawat ini jatuh terhempas ke bumi. Semua penumpangnya akan mati. Pasti tiada sesiapa yang terselamat… Dia tidak takut mati. Kematian itu pasti. Mahu atau tidak maut tetap datang menjemput setiap makhluk yang hidup.
Alyssa Delaila memandang ibunya. Wanita itu masih cantik di usia awal empat puluhan. Mengapa ibunya tidak bernikah selepas berpisah dengan Borhan. Masihkah ibu cintakan ayah? Dia ingin bertanya soalan itu. Masihkah dia mengharapkan sebuah mahligai indah yang terbina setelah berpisah hampir dua puluh tahun pula…
Dia baru enam bulan tidak bertemu dengan Prof. Dr. Ismadi, namun rasa cintanya tetap hidup subur. Biarpun cintanya ditolak… Bukan. Cintanya tidak ditolak. Prof. Dr. Ismadi pernah berkata, dia turut menyintai Alyssa Delaila. Tetapi ada sesuatu yang menghalangnya… Masa depan! Dia tidak ingin memusnahkan masa Alyssa Delaila.
Masa depanku adalah bersamamu… Is. Bisiknya. Tidak mungkin ada lelaki lain yang dapat menyentuh hatiku dan cintaku ini selain dari engkau! Tuhan… Tolonglah temukan kami semula. Tuhan! Kucinta dia…
“AKU cuba memahami perasaan kau, bila kau kata kau cintakan dia…” Kata Syazwina sambil meniarap di atas katil Alyssa Delaila. Semalam sebaik Alyssa Delaila tiba di rumah dia terus memeriksa peti surat. Banyak surat yang diterima sepanjang dua minggu ketiadaan mereka dua beranak. Dia turut mendapat kad ucapan selamat hari jadi kiriman Syazwina. Buru-buru dia menghubungi temannya itu, memberitahu bahawa dia tiada di KL selama dua minggu. Awal pagi itu, Syazwina sudah muncul untuk mendengar ceritanya yang pergi bercuti ke Sabah.
Gadis itu benar-benar gembira. Perhubungan dingin mereka sudahpun pulih secara total. Malah segala sengketa yang pernah berlaku, bagaikan tidak pernah wujud. Mereka bercerita apa saja, sambil membelek-belek gambar yang diambil sepanjang percutian Alyssa Delaila dan Safura. Entah mengapa Alyssa Delaila harus memberitahu Syazwina akan pertemuan singkatnya dengan Prof. Dr. Ismadi di Kota Kinabalu.
“Kau tak boleh lupakan dia. Dan sehingga kini kau masih mengharapkannya kembali ke dalam hidup kau. OK. Kau benar-benar cintakan dia, bukan satu pembohongan dan bukan pula kerana sesuatu. Cinta engkau terhadapnya memang unggul. Jadi aku tak akan kata apa-apa lagi.” Kata Syazwina perlahan dan tenang.
“Memang apa yang dikatakan oleh mereka tu tak benar. Fitnah. Lagipun aku tak berapa percaya pun! Takkanlah Prof. Dr. Ismadi itu seorang tidak bermaruah langsung. Semoga engkau dapat bersatu dengannya suatu masa nanti. Baik. Apakata kita mulakan usaha cari dia!”
“Sya! Biar betul!”
“Betul! Kita cari dia… Langkah pertama, pergi ambil yellow pages.” Kata Syazwina. “Kerana nak membantu engkau bertemu dengan putera idaman engkau tu, aku sanggup baca halaman kuning yang sama tebalnya dengan buku rujukan! Kita cari nombor telefon setiap universiti dan kolej yang ada di Sabah, termasuk kolej swasta. Aku rasa Prof. Dr. Ismadi takkan cari kerjaya lain. Dia memang suka mengajar, memberi ilmu pada orang lain. Kekasih engkau tu memang seorang yang berhati mulia!”
Kedua-duanya ketawa serentak.
Mereka membelek halaman kuning dan meletakkan telefon benar-benar di sisi.
Bab 18
SEWAKTU dia masih muda, jatuh cinta, berpacaran dan perkahwinan memang menjadi matlamat dan impian. Rasa hatinya selalu tidak sabar ingin segala impian menjadi satu kenyataan. Setiap sesuatu yang ingin dilakukan, mahu dilakukan bersama insan tersayang. Dia membayangkan perkahwinan yang meriah serta gemilang bak perkahwinan putera dan puteri diraja. Bersama Yang Rashidah, hidupnya sudah cukup indah dan sempurna. Siapa sangka setelah ketiadaan wanita itu dia akan menempuhi pengalaman itu sekali lagi… Jatuh cinta pada seorang gadis… Terkadang dia merasakan dia adalah seorang pria, persis ketika dia masih muda! Namun apabila berdiri di hadapan cermin, dia sedar dia bukan lagi pria yang sama. Kini, dalam soal hati dan cinta setiap tindakannya menjadi pemikiran. Dia tidak boleh lagi bertindak mengikut rasa…
Prof. Dr. Ismadi mundar mandir di dalam kamar tidurnya. Dia memerhati ke arah meja tulis, laptopnya masih terpasang. Dia sepatutnya menyudahkan kerja, tetapi fikirannya semakin kacau. Pertemuan semula dengan Alyssa Delaila di pasar malam beberapa malam lalu benar-benar mengganggu. Dia tidak boleh tenggelam dalam lautan perasaan. Dia bukan lagi seorang lelaki muda… Tetapi apalah bezanya! Perasaan tetap yang itu juga. Rasa ingin menyintai, rasa sepi dan rasa rindu yang mencengkam hati apabila berjauhan.
Saat itu dia terdengar lagu yang dipasang perlahan dari radio yang bergema di ruang tamu rumahnya. Lagu nyanyian Anuar Zain beralun perlahan menyentuh perasaan.
Biarkanlah saja diriku sendirian
Tanpamu
Biarkanlah aku merindu sekian lama
Bukan maksud untuk membisu sepi
Tanpa kata
Terpisahnya kita kerana mengejar impian
Mungkinkah bersama dua jiwa ini
Dalam mencari cinta sejati nan suci
Mungkinkah segala derita di jiwa
Akan terubat kini
Tiba-tiba lagu itu terhenti dan irama lain pula bergema. Sebuah lagu rancak. Prof. Dr. Ismadi menerkam ke pintu bilik lantas membukanya. Dia melihat Sonia ada di sisi minihifi dengan remote control di tangan.
“Mengapa you tukar lagu tu?” dia bertanya.
Dahi wanita itu berkerut. “You suka lagu tadi? Manalah I tahu you sedang mendengar. Tadi kan you dalam bilik? Bilik you pun bertutup rapat.”
Prof. Dr. Ismadi tidak menjawab. Dia kembali ke bilik tidur, duduk di kerusi dan cuba menghadapi laptopnya. Namun tidak boleh… Dia tidak dapat menghasilkan apa-apa sepanjang pagi itu. Masa sudah semakin suntuk. Mengapa dia tidak boleh menghasilkan apa-apa. Mengapa ilham tidak mahu datang mencurah seperti selalu.
Dia bergerak ke luar, mencapai remote control lantas mematikan lagu yang sedang rancak. Sonia yang berada di dapur, menjenguk tetapi tidak berkata apa-apa. Barangkali lagu rancak dan bising itu menggangu konsentrasinya hendak menulis. Prof. Dr. Ismadi bergerak ke dapur lantas bertanya; “You memasak ke?”
“Belum lagi… Masih awal.” Jawab Sonia sambil memerhati jam yang baru menunjukkan ke angka 11 pagi. Sonia menjadikan rumahnya sebagai persinggahan. Di situlah dia menghabiskan masa. Hotel hanya tempat dia tidur. Pagi-pagi dia akan datang, menyediakan sarapan dan juga memasak untuk makan tengahari. Sudah seminggu pula dia berada di situ. Tiada tanda-tanda dia akan balik ke Kuala Lumpur. Prof. Dr. Ismadi pun tidak kuasa bertanya. Segala-galanya terpulang pada wanita itu.
“Tak payah masaklah. Kita makan di luar…”
“Kenapa? Dah jemu ke makan masakan I?”
“Bukan macam tu! Cuma I rasa nak keluar dari rumah ni… Dah beberapa hari kita makan di rumah.”
Sonia menggangguk sahaja. Saat itu terdengar bunyi pintu rumah diketuk orang. Kedua-duanya saling berpandangan, tidak bersuara apa-apa. Prof. Dr. Ismadi menelan airliur pahit. Tiba-tiba sesuatu yang buruk menerjang tempurung kepalanya. Dia teringat pada status perhubungan mereka berdua. Dia dan Sonia hanya sahabat baik tetapi mereka sangat akrab. Sonia setiap hari datang ke situ, pulang hanya pada lewat malam… Bagaimana jika yang datang itu adalah pencegah maksiat? Mereka akan tertangkap basah! Alangkah malu! Bukan hanya pada jiran tetangga tetapi juga kepada anak-anak masing-masing.
Apa yang harus dijawab? Selama ini dia tidak pernah terfikir tentang hal itu. Dia mengira persahabatan yang berlandaskan kejujuran itu tidak akan dipandang serong oleh masyarakat dan agama. Pun Sonia tidak pernah mengambil kira hal itu semua. Wanita itu tidak cuba mendekatkan diri pada agama. Prof. Dr. Ismadi pun sendiri kadang-kadang sembahyang kadang-kadang tidak! Sembahyang bila susah hati… Mengadu pada Yang Esa apabila rasa hidup tersepit.
“Siapa agaknya?” Tanya Sonia. Wajahnya nampak berubah. Dia turut membayangkan satu kemungkinan.
“Tak tahu.” Jawab Prof. Dr. Ismadi.
“Barangkali kawan you?”
Prof. Dr. Ismadi menggeleng. Kalau kawan-kawannya ingin datang berkunjung mereka akan menelefon terlebih dahulu. Dia berjalan ke arah pintu. Dadanya berdebar. Sonia masih berdiri di ambang pintu dapur, sambil matanya liar memerhati ke arah pintu yang masih tertutup.
Prof. Dr. Ismadi menarik daun pintu perlahan-lahan. Dadanya sempat berdebar-debar dengan kencang. Debarannnya kian kuat menerpa apabila terlihat tetamu yang tidak diundang itu. Dia tidak dapat bersuara. Bibirnya terkatup rapat. Dia benar-benar terkejut, tubuhnya hampir-hampir roboh.
Gadis itu memandangnya tidak berkelip. Dia juga hilang suara beberapa ketika.
“Laila!” Seru Prof. Dr. Ismadi perlahan dan hampir tidak terdengar. Dia menelan airliur lagi dengan terburu-buru, tekaknya terasa kering.
“Kenapa awak datang ke sini? Ada apa?” Tanya Prof. Dr. Ismadi dingin, memandang gadis yang terdiri tercegat di hadapannya itu. Daun pintu sengaja tidak dibuka lebih lebar, sebagai isyarat dia tidak mengalu-alukan kedatangan Alyssa Delaila. Memang dia masih terperanjat melihat kehadirannya hari itu.
“Laila nak jumpa Is.” Jawab Alyssa Delaila dengan wajah yang memerah. Dia malu. Dia menyangka kedatangannya akan menggembirakan lelaki itu, sebaliknya lain pula yang terjadi. Lelaki itu langsung tidak gembira. Mukanya masam dan pandangan matanya dingin. Sudah bencikah dia padaku? Sempat hatinya bertanya.
“Saya rasa, pertemuan sudah tidak perlu! Lagipun tidak ada apa lagi yang hendak diperkatakan.” Kata Prof. Dr. Ismadi sambil membuang pandang ke arah lain.
“Ada… Masih terlalu banyak yang ingin Laila katakan pada Is.” Sahut Alyssa Delaila gagah. “Begini dingin sambutan Is? Tahukah Is puas Laila mencari? Tidak mengertikah Is akan perasaan Laila? Perlukah Laila ulang dan beritahu Is berkali-kali?”
Prof. Dr. Ismadi menggeleng. “Tidak perlu Laila. Saya tidak faham mengapa awak masih mengharapkan saya… Tiada gunanya mencari saya lagi. Baliklah Laila. Saya minta dengan sepenuh hati, lupakan sahaja apa yang terjadi antara kita. Saya tidak mungkin berpaling ke belakang… Saya lebih bahagia sekarang. Pergilah!!”
“Tapi Laila tidak pernah melupakan Is… Laila…” Suaranya tersekat. Dia merenung lelaki di hadapannya itu. Tiada kata yang dapat menghuraikan gelora perasaannya. Dia hilang tingkah, dadanya sebak. Saat itu Sonia muncul dari belakang Prof. Dr. Ismadi. Mata Alyssa Delaila terbelalak melihat wajah Sonia. Prof. Dr. Ismadi meraih tangan wanita itu lantas menariknya ke sisi; “Saya bersama Sonia…” Katanya perlahan.
Sonia kelihatan kaget, tetapi tidak berkata apa-apa. Dia hanya tersenyum.
Alyssa Delaila tidak perlu berkata-kata lagi. Dia mulai mengerti apakah maksud Prof. Dr. Ismadi. “Saya lebih bahagia sekarang…” katanya sebentar tadi. Kini dia bersama Sonia? Benarkah mereka punya hubungan intim? Benar… Bukankah Sonia sentiasa ada di sisi walaupun ke mana lelaki itu pergi?
Airmata Alyssa Delaila bertitisan. Rasa hatinya sungguh pilu, sedih dan kesal. Segala yang dilakukannya kini sia-sia belaka. Dia tidak seharusnya datang mencari Prof. Dr. Ismadi. Dia berpaling pergi dengan wajah yang dipenuhi airmata. Laju dia berlari menghala ke lif. Segala impian dan angannya hancur berantakan. Dia tidak sepatutnya datang… fikirnya dengan hati yang tersayat.
Alyssa Delaila terus menuju ke lapangan terbang. Dia tidak sanggup untuk berada di kota itu lebih lama. Pemergiannya kembali ke situ tidak diketahui oleh Safura. Dia telah berpakat dengan Syazwina. Mereka membohongi Safura, menyatakan dia akan ke rumah Syazwina selama beberapa hari. Tetapi mereka mengatur rancangan. Syazwina menghantar dia ke airport setelah mendapat alamat Prof. Dr. Ismadi. Dia terbang ke situ awal pagi tadi. Tidak disangka pemergiannya itu hanya sia-sia. Prof. Dr. Ismadi tidak langsung menghargai. Prof. Dr. Ismadi tidak lagi menyintai. Benar… Lelaki itu memang nekad menolak diri dan cintanya.
Alyssa Delaila menangis dan terus menangis. Dia duduk di bangku, menanti untuk memasuki kapalterbang. Tiket sudah pun ada di tangan. Hari itu juga dia akan terbang pulang dengan ikrar dan janji tidak akan kembali lagi ke Kota Kinabalu. Dia tidak akan menoleh dan mengenang lelaki yang telah menghancurkan hatinya menjadi serpihan debu yang berterbangan.
Pengumuman terdengar. Alyssa Delaila bangun perlahan-lahan. Dia mulai melangkah. Namun dia tersentak apabila terdengar suara. Cepat dia menoleh, sambil menyeka airmata.
“Laila!”
Alyssa Delaila benar-benar terkejut. Airmata yang masih mengalir disapu dengan hujung jari. Dia tidak ingin kesedihan dan kepiluan hatinya disaksikan olehnya. Dia malu. Namun dia gagal menangisi dan meratapi cintanya yang hilang… Dia menyerah ke dalam dakapannya.
Bab 19
MENONTON televisyen di awal pagi bukanlah menjadi kebiasaannya. Namun pagi itu dia tergerak hendak memasang televisyen, walaupun tidak duduk menghadapinya. Dia berada di ruang dapur, memanaskan air di dalam flash elektrik, ingin membancuh kopi namun telinganya masih menangkap suara lunak pembaca berita yang menyampaikan buletin pagi.
Tidak perlu dia menyediakan sarapan. Sebentar lagi pasti Sonia akan datang membawa nasi lemak ataupun kuih. Kopi itu hanya untuk mengalas perut. Dia bangun awal dinihari bagi menyudahkan kerja. Kertas kerjanya sudah siap. Tidak perlu dia memberatkan kepala memikirkan soal kerja lagi. Kopi pekat tanpa gula yang sudah siap dibancuh dibawa ke ruang tamu. Dia mengambil tempat duduk, di sofa bersayap yang benar-benar menghadapi televisyen. Kaca TV sedang menayangkan kemalangan kapalterbang yang berlaku lewat petang semalam.
“Di mana ni?” Katanya sendiri dengan dahi berkerut-kerut. Kini matanya tertumpu ke arah gambar-gambar yang sedang ditayangkan. Kelihatan puluhan anggota keselamatan sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa di celah-celah bangkai kapal terbang yang terhempas. Ngeri. Kepalanya tergeleng sendiri.
“Pesawat yang terhempas di satu kawasan hutan berdekatan Johor, dipercayai mengalami masalah enjin. Setakat ini usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan. Setakat ini jumlah korban masih belum diketahui. Berikut adalah nama-nama senarai penumpang yang berada di dalam pesawat…” Pembaca berita terus menyebut nama-nama penumpang yang dipercayai terlibat dalam kemalangan terbabit.
Mug di tangan Prof. Dr. Ismadi terlepas dari pegangan apabila dia terdengar sepotong nama; “Alyssa Delaila binti Borhan.” Dia benar-benar terkejut. Tangannya mencengkam kepala yang tiba-tiba rasa berpusing-pusing. Buat seketika dia terduduk lemah di sofa.
Kemudian setelah dia mendapat kekuatan semula, segera pula dia berlari ke meja telefon, menelefon Sonia. Bertanya apakah wanita itu melihat berita pagi itu. Kemudian dia tergesa-gesa memandu ke lapangan terbang. Dia perlu mendapat pengesahan benarkah Alyssa Delaila menaiki kapalterbang terbabit. Melalui senarai yang ada direkodkan, memang Alyssa Delaila menaiki kapalterbang yang terhempas petang semalam.
Prof. Dr. Ismadi terduduk. Dia merasakan seluruh dunia berhenti berputar beberapa saat. Lama dia terduduk tidak tahu apa yang harus dilakukan. Rasa kesalnya bertali temali. Dia menitiskan airmata tanpa sedar. Tangan Sonia dirasakan erat mencengkam lengannya, meminta dia bersabar. Dia tidak memandang wanita di sisinya itu. Suasana sekeliling yang riuh dengan orang ramai tidak dihiraukan. Memang lapangan terbang itu dipenuhi dengan orang ramai yang mempunyai waris dan sahabat handai yang terlibat dalam kemalangan. Airmata penyesalannya mengalir bagai empangan pecah.
“Apakah ini semua benar? Dia ada dalam pesawat tu…” Kata Prof. Dr. Ismadi perlahan. “Apakah dia masih hidup? I tak percaya! I tak percaya…”
Sonia tidak bersuara, hanya mengurut belakang Prof. Dr. Ismadi supaya lelaki itu menjadi tenang.
“Dia masih hidup! Dia tak boleh mati! Dia masih muda dan cantik. Dia tak boleh tinggalkan I macam tu saja…” Prof. Dr. Ismadi membongkokkan badannya. Bahunya bergoyang-goyang perlahan.
“Sabarlah Is.” Hanya itu yang dapat diucapkan oleh Sonia.
“Ini semua salah I. Kalaulah I halang dia dari pergi. Kalaulah I buat sesuatu pada hari itu, dia takkan naik kapal terbang tu! Ini semua salah I. I yang menyebabkan kematiannya. Kalaulah I tak melarikan diri darinya sudah tentu dia masih hidup, masih sihat. Semuanya salah I.” Ulangnya berkali-kali tetap menyalahkan diri sendiri atas semua yang terjadi.
“Is… jangan salahkan diri you sendiri. I semua takdir. You terpaksa terima.”
“Tidak… Tidak.” Prof. Dr. Ismadi bangun lantas berjalan ke satu arah.
“Hei! You nak ke mana? Tunggulah…” Jerit Sonia, terkejar-kejar Prof. Dr. Ismadi yang melangkah dengan laju.
SAFURA terkejut mendengar daun pintu rumahnya diketuk dengan kuat. Dia baru sahaja berbaring. Buru-buru dia membuka lampu dan melihat jam. Sudah hampir pukul sebelas malam. Dia menolak selimut ke tepi, sambil tertanya-tanya siapakah yang datang pada waktu lewat begini.
Siapa pun tetamu itu dia terpaksa menghadapinya. Dia membuka pintu bersama hati yang terus tertanya-tanya. Sengaja dia membuka lampu porch untuk memudahkan dia melihat tetamu yang tidak diundang. Dia terkejut melihat seraut wajah sugul lelaki itu. Dahinya berkerut. Dia ingat-ingat lupa pada wajah itu. Bukankah dia pensyarah Alyssa Delaila yang pernah datang ke rumah itu dahulu? Bisik hatinya. Mengapa dia datang pada malam-malam buta begini?
“Puan Safura…” Seru Prof. Dr. Ismadi perlahan.
“Ya.” Sahut Safura lembut, dahinya masih berkerut. “Ada apa? Saya rasa awak ni pensyarah Laila.”
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “Puan… Boleh saya masuk?”
Safura nampak serba salah. Tetapi melihat Prof. Dr. Ismadi yang kelihatan bersungguh-sungguh hendak memperkatakan tentang sesuatu, membuat dia tidak membantah. Pintu sengaja dibiarkannya ternganga walaupun malam kian lewat. Sekurang-kurangnya dia dapat mengelakkan diri dari fitnah, dengan membiarkan pintu terbuka luas begitu. Memang tidak manis dia menjemput lelaki itu masuk ke rumah di saat-saat dia keseorangan.
“Nampaknya macam ada masalah… Apa yang boleh saya tolong?” tanya Safura. Dia tidak berniat hendak ke dapur. Dibiarkannya sahaja tetamu itu tanpa dihidang minuman, supaya dia tahu sendiri, waktu kedatangannya tidak dialu-alu. Prof. Dr. Ismadi masih diam, dia memerhati sekeliling bagaikan sedang mencari sesuatu. Kepalanya tertunduk.
“Adakah… Adakah Alyssa Delaila menghubungi awak?” Dia cuba bersuara, perlahan dan tertahan-tahan.
“Laila?” Kening wanita itu bercantum. Dia menggeleng. “Laila sudah tiga hari tidak ada di rumah. Dia ke rumah Syazwina di Shah Alam. Katanya hendak bersama kawannya itu selama seminggu… Memang dia tidak ada menghubungi saya. Apa masalahnya?” Dia bertanya.
“Jadi awak tak tahu?”
Safura menggeleng. Dia semakin pelik. Dadanya mulai berdebar-debar. Pelbagai perkara melintasi fikirannya. Apakah sesuatu yang buruk menimpa Alyssa Delaila, memaksa lelaki itu datang ke rumahnya?
“Pagi semalam, dia datang mencari saya di Kota Kinabalu…”
Safura memandang tepat ke muka lelaki di hadapannya itu, kepalanya tergeleng-geleng dengan lebih kuat. Tidak percaya langsung pada apa yang dikatakannya.
“Bohong! Buat apa dia ke sana? Bukankah kami baru balik dari Kota Kinabalu? Awak jangan nak buat cerita karut macam tu! Mengapa anak saya mencari awak, Encik Ismadi?” Tanya Safura, suaranya kedengaran tegas dan sedikit keras. Dia memang tidak menyukai lelaki itu langsung. Dia berdiri, matanya memandang marah ke arah lelaki yang mulai gelisah, tidak senang duduk di kerusi.
Prof. Dr. Ismadi menelan airliur pahit. Amat sukar untuk menerangkannya, tetapi dia terpaksa juga memberitahu hakikat itu satu persatu.
“Sebenarnya kami… perhubungan kami bukanlah seperti perhubungan antara pelajar dan pensyarah yang biasa…”
“Apa yang awak cakap ni? Jangan nak mengarut!” Tengking Safura. “Saya kenal anak saya. Dia takkan buat perkara yang karut dan bodoh macam tu! Kenapa saya harus percaya dia pergi mencari awak ke sana? Untuk apa?”
“Ada hubungan istimewa antara saya dan dia. Kami saling menyintai!” Kata Prof. Dr. Ismadi, kali ini matanya menentang mata Safura.
Safura semakin terkejut. Mukanya merah padam menahan marah. Dia memeluk tubuhnya yang tiba-tiba menggigil hebat. Matanya memandang ke arah pintu yang terbuka luas. Mulutnya bergerak-gerak hendak menghalau Prof. Dr. Ismadi supaya keluar daripada rumah itu tetapi fikirannya tidak berjaya membentuk kata-kata.
“Apa awak ingat sudah kurangkah lelaki muda di Kuala Lumpur ni sehingga anak gadis saya jatuh cinta pada awak? Awak ingat saya percaya kata-kata awak ni? Dah gila ke apa?”
Prof. Dr. Ismadi tidak menjawab. Dia tunduk. Dia rasa malu dan terhina mendengar kata-kata Safura. Bukankah dia telah berkali-kali menolak? Prof. Dr. Ismadi menarik nafas dalam-dalam, melupakan kata-kata marah yang baru dihamburkan oleh Safura kepadanya.
“Saya datang ni bukan untuk menerima penghinaan awak, Puan Safura. Saya bukan seorang lelaki yang hina dina seperti yang awak katakan tu!” Katanya dengan nada tegas. Badannya ditegakkan. Dia menentang mata Safura yang mencerlang marah. “Saya sudah berkali-kali menolak cintanya. Saya tahu kami tak mungkin bersama. Tapi saya manusia biasa. Saya lakukan kesilapan… Sekarang kesilapan itu tidak mungkin dapat saya perbetulkan semula.” Prof. Dr. Ismadi diam beberapa ketika. Safura yang tidak sabar menanti dia melanjutkan kata terus bersuara keras; “Kesilapan apa? Apa yang awak dah lakukan padanya?”
Kepala Safura terasa semakin berat. Dia mengagak memang berlaku sesuatu pada diri Alyssa Delaila.
Saat itu telefon di sudut ruang berbunyi nyaring. Safura dan Prof. Dr. Ismadi tersentak, mereka memandang telefon yang terus berbunyi. Safura meluru ke meja telefon lantas mengangkat gagang. Dia mendengar suara Syazwina yang cemas sahaja;
“Ada apa Sya?” Dia menyoal pantas, sambil matanya mengawasi Prof. Dr. Ismadi yang sedang memandang tepat ke mukanya.
“Pasal Laila… Makcik!” Seru Syazwina teragak-agak.
“Bukankah dia ada di rumah engkau sekarang, Sya?”
“Dia tak ada bersama saya makcik! Pagi semalam dia ke Kota Kinabalu…” Jawab Syazwina, suaranya sudah mulai tenggelam timbul. Safura tidak mendengar apa-apa lagi melainkan suara tangisan sayu Syazwina lewat corong telefon.
“Sya! Kenapa Sya! Apa yang berlaku pada Laila?”
Tiba-tiba talian terputus. Safura meletak gagang. Badannya menggigil dan mukanya mulai pucat. Dia memandang ke arah Prof. Dr. Ismadi.
“Laila terlibat dalam kemalangan kapalterbang yang terhempas di Johor petang semalam…” Beritahu Prof. Dr. Ismadi tenang.
“Apa? Apa awak cakap?” Serunya perlahan, hampir-hampir tidak terdengar. Tubuh Safura membeku beberapa saat, dia memandang kosong ke langit melalui pintu yang terbuka luas. Malam itu terasa begitu sepi, angin pun tiada, masuk lantas menyapa mereka berdua.
“Apakah aku… aku salah dengar?” Suara Safura perlahan bagaikan berbisik sahaja.
Prof. Dr. Ismadi menggelengkan kepalanya
Safura meluru ke arah Prof. Dr. Ismadi, lantas memukul dada lelaki itu bertalu-talu.
“Kenapa? Kenapa? Kenapaaaaa????” Serunya sambil terus memukul dada lelaki itu. Prof. Dr. Ismadi terpaksa menahannya biarpun dia terasa sakit. Pukulan Safura semakin perlahan akhirnya dia jatuh terduduk. Prof. Dr. Ismadi memegang bahunya.
Safura membuang tangan Prof. Dr. Ismadi. Dia duduk di satu sudut, bersandar di dinding, mukanya di penuhi airmata yang tertahan-tahan. Seluruh tubuhnya menggeletar. Pandangannya kabur. Namun dia masih melihat Prof. Dr. Ismadi yang tetap duduk di kerusi dengan kepala tertunduk.
“Mengapa engkau masih ada di sini! Keluar!!!” Jerit Safura bersama sisa-sisa kekuatan yang ada. “Pergi dari sini!”
Prof. Dr. Ismadi tidak bergerak walaupun dia dihalau pergi oleh Safura. Dia memerhati tubuh wanita itu yang lemah tidak berdaya, namun masih mengharapkan kemaafan darinya.
“Maafkan saya…”
Safura tidak menghiraukan kata-katanya itu. Matanya terpejam rapat dan melalui celah-celah kelopak matanya mengalir airmata yang semakin lebat menuruni pipi.
Bab 20
SESUATU telah menimpa gadis itu. Jika tidak pasti airmatanya tidak akan menabiri wajahnya yang manis. Selama dua minggu di situ, Mazni sedar Alyssa Delaila kelihatan gembira. Tetapi pada pagi terakhir sebelum mereka pulang dia dapat mengesan ada kepiluan yang singgah. Kini dia bertambah hairan. Apakah sebenarnya yang terjadi?
Dua hari lepas dia menemui Alyssa Delaila di lapangan terbang. Ketika itu dia menghantar Mohsin yang berangkat ke Jakarta. Dia terpandang Alyssa Delaila yang sedang bergerak hendak memasuki balai berlepas. Terkejut dan hairan melihat Alyssa Delaila keseorangan. Bukankah mereka dua beranak sudah pun pulang beberapa hari lalu? Bagaimana pula kini Alyssa Delaila boleh ada di situ, sendirian.
Mazni buru-buru memanggil sebelum gadis itu beredar dan hilang dalam pusuan orang ramai.
“Laila!” Panggilnya.
Alyssa Delaila menoleh. Terkejut dia melihat Mazni yang sedang berjalan mendekatinya. Lidahnya kelu. Mazni meneliti wajahnya yang basah. Dia tidak dapat menyembunyikan airmatanya lagi. Pasti kawan ibunya itu tertanya-tanya mengapa dia menangis? Dan kenapa pula dia bersendirian di situ.
“Auntie Maz!” Dia menyahut perlahan, meluru dan terus memeluk wanita itu. Mazni terkejut tetapi menerima pelukannya itu dengan mesra.
“Kau buat apa seorang di sini?”
“Saya…”
Mazni memimpinnya supaya duduk di kerusi berdekatan mereka. “Kenapa sedih sangat ni?” Wanita itu memegang pipinya dengan kedua-dua belah tangan. Spontan jari-jarinya menyapu airmata Alyssa Delaila yang terus lebat.
“Auntie…” Alyssa Delaila tidak dapat berkata-kata. Dia memeluk Mazni sekali lagi. Mazni membelai rambutnya dengan penuh kasih. Dia memang sukakan Alyssa Delaila. Anak gadis Safura itu dianggapnya bagaikan anak sendiri. Dia tidak punya anak. Memang mudah benar dia menyayangi gadis yang cantik dan lemah lembut itu.
“Shhh…” Pujuknya dengan lembut dan penuh perhatian.
Saat itu pengumuman terdengar lagi beberapa kali. Alyssa Delaila tersentak. Dia harus menaiki kapalterbang yang akan berangkat. Jika tidak dia akan terlewat. Mazni memegang tangannya dengan lembut, enggan melepaskan Alyssa Delaila berlalu pergi.
“Mari ikut auntie balik.” Pinta Mazni. “Auntie takkan benarkan Laila balik sendirian. Apalagi Laila dalam keadaan sedih macam ni, OK?”
Alyssa Delaila merenung wajah Mazni. Wanita itu tersenyum. Tangan mereka saling bertaut. Tidak lama kemudian kedua-duanya melangkah keluar dari lapangan terbang menuju ke medan letak kereta.
Mazni memerhati Alyssa Delaila yang duduk termenung. Airmatanya sudah pun mengering. Dia menyentuh perlahan tangan gadis itu. Alyssa Delaila tersentak dan memandang Mazni; “Auntie bukannya nak menyibuk. Tapi auntie rasa kalau Laila perlukan teman, perlukan seseorang untuk bercerita melepaskan segala yang terbuku di hati… Auntie sedia mendengar.”
Alyssa Delaila mengangguk. Dia percaya pada wanita itu. Jika pada Safura dia amat sukar meluahkan segala isi hatinya tetapi pada Mazni segalanya amat mudah.
“Jadi, kau balik semula ke sini untuk jumpa Professor tu?”
Alyssa Delaila menganggukkan kepala.
“Sudah dua kali dia menolak Laila. Memang Laila rasa kecewa yang amat sangat auntie. Laila rasa hidup Laila langsung tidak bererti.”
“Laila tahu tak, penderitaan dan kesengsaraan yang telah Laila lalui ini hanyalah sebahagian kecil daripada dugaan hidup manusia yang menuju ke alam dewasa. Ada banyak lagi dugaan dan rintangan yang akan dilalui Laila. Kehilangan orang yang tersayang, perkara yang tidak dapat kita elakkan. Semua orang alaminya. Kehilangan kekasih, suami, anak-anak, ibubapa… Kita akan tempuh semua itu! Tidak dapat dielakkan. Tapi percayalah, suatu masa kita akan dapat kembali cinta yang hilang. Kita dapat cinta yang lebih baik dan lebih unggul.”
Alyssa Delaila diam, mendengar sahaja.
“Serahkan segalanya pada Tuhan, Laila. Dia Maha Mengetahui segalanya. Suatu masa nanti pasti Laila akan bersyukur, kenapa ini semua terjadi. Mengapa lelaki itu mengecewakan Laila dan menolak cintamu. Auntie rasa dia seorang lelaki yang baik dan penyayang. Dia tahu Laila bukan untuknya! Dia tidak mahu hidup Laila lebih derita. Bayangkan jika Laila berkahwin dengannya. Apa akan jadi 30 tahun lagi. Pasti dia sudah tiada di sisi Laila lagi. Bagaimana Laila harus teruskan hidup bersama anak-anak? Bagaimana? Dia pasti tidak dapat bersama Laila selama-lamanya! Ketika Laila berusia 50 tahun, berapa umur dia ketika itu?”
Alyssa Delaila mengigit bibir, memikirkan kebenaran kata-kata Mazni. Sedikit sebanyak dia mulai membuka mata dan mindanya. Jika selama ini dia hanya melihat hidup yang dilaluinya hari ini, tetapi kini dia harus melihat dari pandangan berbeza… 30 tahun akan datang, apakah yang akan terjadi?
“Lapan puluh tahun?” Sahut Alyssa Delaila teragak-agak.
“Ha… Cuba bayangkan berapa ramai orang yang boleh hidup sehingga lapan puluh tahun? Dalam keadaan dunia kita sekarang ni, pelbagai penyakit dan virus yang melanda. Belum dicampur dengan kemalangan-kemalangan, peperangan dan macam-macam lagi. Hai… tak tahulah! Tapi kita harus juga percaya pada takdir. Nah… Sekiranya benar lelaki itu jodoh engkau, janganlah bimbang. Dia akan datang mencari. Dia akan kembali ke pangkuan engkau juga nanti, percayalah. Masa tu kau terimalah dia seadanya. Sekarang mari kita fikirkan apa yang hendak kita buat petang nanti! Auntie tak mahu lihat kau bersedih lagi!”
“Auntie…” Kata Alyssa Delaila, dia terus menggigit bibir. Dia tahu Mazni sudah merancang sesuatu untuk menceriakan dirinya.
“Auntie tinggal seorang lagi, sebab uncle Mohsin dah ke Jakarta. Mari kita bergembira. Bagus juga kau ada di sini, jadi auntie taklah sunyi. Ibu kau tahu kau di sini?”
Alyssa Delaila menggeleng. Memang dia sudah berpakat dengan Syazwina agar merahsiakan perkara itu. Biar pecah di perut jangan pecah di mulut… Begitu pesannya pada Syazwina. Dia juga telah mematikan handphone bimbang sekiranya Safura menghubungi. Dia berjanji akan kembali secepatnya setelah bertemu dengan Prof. Dr. Ismadi. Biarlah… fikir Alyssa Delaila. Biar Syazwina fikir dia sedang bergembira bertemu dengan lelaki itu. Padahal dia sebenarnya sedang menjeruk rasa.
Malam itu, Mazni menghubungi anak saudara Mohsin, Fuad yang berada di Kota Kinabalu. Dia berhasrat untuk menjemput Fuad datang ke rumahnya. Semoga kehadiran Fuad dapat menceriakan Alyssa Delaila lantas melupakan lelaki yang telah melukai hati gadis itu.
Usaha Mazni membuah hasil. Fuad berjaya membuat Alyssa Delaila tertawa malam itu. Mazni rasa senang melihat wajah Alyssa Delaila kembali berseri-seri. Fuad pulang dengan janji akan datang lagi keesokan harinya. Mazni sudah merancang hendak mengajak gadis dan anak muda itu ke Pantai Tanjung Aru esok.
SEMINGGU berlalu. Dipercayai masih ada mayat mangsa belum ditemui tetapi anggota keselamatan sudah menghentikan pencarian. Safura dan Borhan semakin hampa dan kecewa menunggu berita tentang anak mereka.
Safura memandang bekas suaminya Borhan. Wajah Borhan juga muram, seperti mukanya juga. Prof. Dr. Ismadi juga ada bersama mereka, ingin mengetahui setiap perkembangan yang berlaku. Safura masih marah pada lelaki yang mengakui menyintai Alyssa Delaila. Kemarahannya terus membuak-buak. Lelaki itu tetap cekal, datang mengunjunginya tanpa menghiraukan kemarahan yang dihamburkannya tidak habis-habis dan tiada kesudahan.
Borhan juga hampir-hampir meninju muka Prof. Dr. Ismadi. Tak tahu malu! Gerutu Safura di dalam hati. Masih datang ke mari… Masih mengharapkan sesuatu, sedangkan apa yang diharapkan sudah tiada, sudah hilang ditelan bumi. Dia sudah tidak tertangiskan dirinya. Dia kehilangan anak gadis tunggalnya. Semuanya salah Prof. Dr. Ismadi… Begitulah Safura menyimpan marah yang terus membakar dada.
Di hadapan rumah kedengaran bunyi teksi berhenti. Borhan bangun dan bergerak ke pintu yang terbuka. Matanya terbeliak. Beberapa kali dia menggosok mata tidak percaya, melihat gadis itu keluar dari perut teksi. Dia kelihatan sihat, tiada cacat cela dan sedang tersenyum pula ke arah Borhan.
“Fura…” Serunya perlahan. “Laila balik!”
Safura meluru ke pintu apabila mendengar kata-kata Borhan. Dia berlari-lari ke pintu pagar, lantas membukanya seluas yang mungkin. Tubuh Alyssa Delaila yang berdiri di tepi jalan dipeluknya erat. Pipi anak gadis itu diciuminya kiri dan kanan. Alyssa Delaila terpinga-pinga tidak mengerti. Tetapi dia tersenyum menerima ciuman dan pelukan ibunya itu. Matanya memandang ke pintu depan yang terbuka. Di situ dia melihat dua wajah lelaki. Bapanya dan Prof. Dr. Ismadi.
“SAYA tak boleh marah lagi bang…” Kata Safura. Hatinya cukup lega. Sungguh-sungguh lega. Rupa-rupanya mereka tersalah sangka. Dia amat berterima kasih pada Mazni. Jika Mazni tidak menemui Alyssa Delaila hari itu, pastilah keajaiban ini tidak terjadi. Pastilah mereka sudah kehilangan anak. Safura menghubungi Mazni, mengucapkan ribuan terima kasih pada kawannya yang telah menjaga anaknya dengan baik. Malah mengembalikan Alyssa Delaila ke pangkuannya dengan wajah penuh kegembiraan.
“Kemarahan hanya akan menjarakkan saya dengan dia. Kita mesti berhati-hati mulai hari ini. Saya memang tidak suka dia terus berhubung dengan lelaki tua itu. Kita harus menghalangnya dari terus bertemu dan berhubung…”
“Tapi bagaimana caranya? Awak tak nampakkah macamana dia merenung lelaki tu, tadi? Dan mengapa pula awak benarkan mereka keluar bersama kalau awak tak suka?”
“Kan saya kata, kita mesti halang dia dengan cara yang lebih halus… Kita tidak boleh halang lagi melalui cara terang-terangan. Dia tengah mabuk. Dia takkan sedar semua kesilapannya.”
“Apa yang dapat dibuat lagi? Dia dah sukakan lelaki yang hampir sebaya dengan saya, nak buat macamana? Biarkan saja dia kahwin dengan lelaki tu! Prof. Dr. Ismadi tu pun bukan calang-calang orang. Kaya dan terkenal.” Kata Borhan. Dia sudah malas hendak berfikir dan menangani masalah anak gadis yang satu itu. Dia sudah punya pelbagai masalah dengan anak-anak lelakinya yang semakin membesar.
“Senangnya abang cakap. Saya tak mahu bermenantukan lelaki tua…”
“Jadi, apa yang awak nak buat untuk halang dia?”
“Saya tahu. Saya ada satu rancangan untuk pisahkan mereka.” Kata Safura sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Malam itu, Safura mengetuk pintu bilik tidur anak gadisnya itu. Alyssa Delaila menyahut dari dalam menyuruh emaknya masuk. Safura duduk di bibir katil, memerhati ke arah muka Alyssa Delaila yang kelihatan berseri-seri. Anak itu berbaring santai di katil sambil matanya menatap majalah yang baru dibeli. Di atas katil terdapat beberapa buah novel. Semua novel-novel cinta yang juga baru dibelinya petang tadi semasa dia keluar bersama Prof. Dr. Ismadi.
Prof. Dr. Ismadi sudah menerangkan segala-galanya pada Alyssa Delaila. Benar seperti kata Auntie Safura… bisik hati Alyssa Delaila. Jika lelaki itu benar-benar menyintai, dia akan datang mencari. Dia akan kembali ke pangkuan orang yang dicintai.
“Baru beli nampaknya novel-novel ni?” Tegur Safura.
Alyssa Delaila mengangguk. “Is belikan.” Jawabnya sambil mengulum senyum. Hatinya sedikit bangga. Lelaki itu prihatin terhadap kehendaknya.
“Hmmm… Dah beralih minat pula.” Kata Safura perlahan, separuh menyindir sebenarnya. “Walau bagaimana pun, ibu mahu Laila tumpukan lebih pada pelajaran dan lupakan dulu soal-soal lain.”
“Dah tentulah ibu!” Jawab Alyssa Delaila sambil bangkit dan duduk di hadapan ibunya. Wajah Safura direnungnya lembut. “Ibu tak percayakan Laila? Dengan memiliki cintanya, Laila akan lebih berjaya dan bersemangat.”
Safura senyum mengejek, kemudian berkata; “Ibu nak Laila buktikan, jangan cakap saja pandai! Ibu harap Laila takkan hampakan harapan ibu. Ibu mahu Laila capai kejayaan. Ibu mahu Laila belajar setinggi yang boleh. Ibu sanggup hantar Laila keluar negara. Masa muda Laila mesti belajar. Kita bukan orang senang. Ibu bertungkus lumus bekerja untuk dapatkan kesenangan yang kita nikmati hari ini. Jangan ingat apa yang kita miliki ini akan kekal. Kekayaan akan hilang jika tidak pandai menguruskannya. Hanya ilmu yang bermanfaat menjadi panduan manusia, tidak akan luput dan hilang dengan mudah.” Kata Safura tenang.
Alyssa Delaila mengangguk.
“Ibu tak halang keputusan Laila untuk menjalin cinta dengan professor tua tu…” Kata Safura sengaja menekankan perkataan ‘professor tua’. Hatinya amat sakit mengingatkan wajah Prof. Dr. Ismadi. Walaupun wajah itu masih tampan, penampilannya segak dan berkarisma, tetapi itu tidak langsung menambat hatinya. Di setiap kesempatan dia ingin mencari kelemahan lelaki itu, walaupun ternyata dia langsung tidak punya sebarang kecacatan. Dia seorang yang baik, prihatin, pertuturannya lembut dan suaranya garau memikat. Hanya usia yang jadi penghalangnya… Safura masih belum dapat menerima kenyataan bahawa anaknya menyintai lelaki itu.
Alyssa Delaila menggigit bibir, menyampuk dengan cepat sebelum Safura menyambung kata; “Nama dia Ismadi, ibu. Panggillah dia dengan namanya… Kan lebih elok!” Alyssa Delaila bagaikan hendak mengajar ibunya.
Safura tersenyum lagi, separuh mengejek. Dia semakin tidak menyukai lelaki bernama Ismadi itu. Berbulu dia mendengar Alyssa Delaila membela lelaki itu. “Bohong kalau ibu kata ibu tak peduli dan tak kisah kau bercinta dengannya. Ibu amat risau, bimbang, ragu dan macam-macam lagi. Hati ibu tak tenang. Laila mesti berjanji dengan ibu, takkan kahwin selagi Laila tidak mencapai kejayaan. Ibu bagi masa 5 tahun untuk Laila. Lanjutkan pelajaran hingga ke luar negara. Selepas 5 tahun, bila Laila dah berjaya dan sudah bekerja…” Kata Safura sambil menarik nafasnya dalam-dalam. “Kalau Laila masih bersamanya, masih menyintainya seperti hari ini… Kahwinlah. Ibu benarkan… Ibu akan merestui perkahwinan kalian.” Ucap Safura dengan airmata berlinangan. Hatinya terseksa. Walau bagaimana pedih dan seksa, dia terpaksa menerima lelaki yang dibenci sebagai ‘menantu’. Sesungguhnya hatinya memang tidak redha melihat anak kesayangan mengahwini lelaki yang berusia 30 tahun lebih tua darinya. Lelaki itu lebih tua daripada Safura sendiri.
Alyssa Delaila memeluk ibunya. Dia mengangguk, berjanji tidak akan berkahwin selagi belum mencapai usia 25 tahun. Dia tidak akan mengingkari janjinya itu. Hanya akan menaiki pelamin ketika dia sudah berjaya dan mendapat pekerjaan yang baik. Dia bersyukur kerana ibunya mengerti hasrat dan keinginan hati.
“Terima kasih ibu… kerana memahami Laila.” Bisiknya ke telinga Safura dengan lembut.
Safura menggigit bibir. Ucapan Alyssa Delaila terdengar begitu ikhlas dan penuh makna. Dia meninggalkan kamar tidur Alyssa Delaila. Dia turun ke tingkat bawah, menghubungi Mazni.
“Maz, anak saudara Mohsin yang datang ke rumah kau malam tu… siapa namanya? Aku dah lupa…”
“Fuad.” Jawab Mazni melalui corong telefon.
“Aku nak minta tolong dengan kau sikit Maz.” Katanya perlahan.
“Apadia, Fura. Aku sedia menolong apa saja…”
“Fuad tu baikkah budaknya? Sukakah dia pada Laila… Alangkah baiknya kalau dia sukakan Laila. Cubalah kau tanya Fuad tu…” Safura tidak menghabiskan kata-katanya. Dia memandang ke tingkat atas, bimbang kata-katanya terdengar oleh Alyssa Delaila. Namun dia yakin dan percaya anak itu masih di kamar.
“Bagaimana kalau kau aturkan supaya Fuad dan Laila berkawan dengan lebih rapat?”
“Boleh…” Jawab Mazni.
“Aku sebenarnya amat susah hati… Sebab hubungan Laila dengan professor tua tu, aku betul-betul tak suka dan tak boleh bayangkan kalau Laila berkahwin dengannya suatu hari nanti! Laila ni bodoh… Entah macamana boleh jatuh cinta dengan jantan tu!”
“Aku faham.” Jawab Mazni. “Aku tahu segalanya. Laila sudah ceritakan semuanya, tentang hubungan dia dengan Prof. Dr. Ismadi. Orang tengah mabuk asmara, mana boleh fikir ini semua Fura!” Kata Mazni sambil tergelak kecil, kemudian menyambung; “Tak mengapa aku akan tolong kau, Fura. Fuad pun masih solo, tak ada buah hati. Mereka pun dah saling kenal mengenali. Aku akan usahakan dan pujuk Fuad supaya belajar di universiti yang sama dengan Laila di Kuala Lumpur. Aku faham. Jangan bimbang apa-apa… Fuad tu pun pandai mengambil hati. Aku percaya dia akan melupakan Professor tu, bila dah berkawan dengan Fuad nanti!”
“Terima kasih, Maz.” Kata Safura. Hatinya lega sedikit mendengar janji kawannya itu. Siapa yang rela melihat anak kesayangan yang masih muda belia berkahwin dengan lelaki yang boleh dipanggil ayah. Tetapi bagaimana mahu dihalang jika semua itu sudah tersurat?
[Teruskan bersama saya okeii^^]
No comments:
Post a Comment