Tuesday, August 5, 2008

Rahsia Cinta Semalam 16-30

Bab 16


SETELAH berfikir sedalam-dalamnya kuambil keputusan untuk menemui emak mertuaku. Aku tahu dia baru balik, barangkali sekarang sedang berehat di dalam kamar. Ayah mertuaku masih belum pulang. Aku maklum dia akan balik pada jam sembilan malam nanti. Begitulah kebiasaannya….
Faruk balik tidak tentu masa. Kadang-kadang tengah malam bahkan ada ketikanya dia balik pada awal dinihari. Tidak kutahu dia ke mana. Dia tidak pernah memberitahuku dan aku pun tidak bertanya. Kami masih lagi orang asing, hampir-hampir tidak bercakap! Gila aku dibuatnya. Sudah dua minggu menjadi suami isteri aku masih belum dapat membiasakan diri. Malah aku tidak pun menjalankan tanggungjawabku sebagai isteri. Dia pun tidak pernah menuntut haknya sebagai suami. Setiap kali masuk ke kamar itu dia bagaikan memaksa dirinya untuk menghadapiku, melepaskan sepatah dua kata.
Kemudian dia akan mandi, bersiap-siap dan keluar lagi. Emak mertuaku memang tidak tahu apa-apa. Dia sibuk dengan urusannya sendiri. Kami jarang sekali bertembung pada waktu makan. Sejak tinggal di rumah itu, aku makan sendirian baik pagi, tengahari dan malam.
Kuketuk pintu kamar tidurnya perlahan-lahan. Dia menyahut dari dalam, menyuruh masuk. Saat aku masuk dia tersentak apabila melihat aku muncul. Saat itu sedang berbaring sahaja di atas katil. Katilnya besar, diperbuat daripada kayu jati bertiang empat dan dihiasi dengan tabir kain organza berwarna putih. Dia menjatuhkan kakinya, tersenyum menyambut kehadiranku.
“Masuklah Fiqah. Jangan malu-malu!” Pelawanya sambil bergerak ke tepi tingkap kamar di mana terdapat dua sofa bersayap berwarna coklat. Dia mengajak aku duduk di situ. Tanpa memberitahunya apa-apa dia bagaikan sudah dapat mengagak ada yang ingin aku bicarakan dengannya.
“Fiqah nak cakap sesuatu dengan mama? Cakaplah. Mama memang sibuk tak ada masa langsung untuk berbual sejak kau datang ke sini…” Katanya dengan mesra. Hatiku sedikit senang. Ibu mertuaku baik, bukan seperti anaknya Faruk yang serius dan tidak banyak cakap itu.
“Dah dua minggu saya di rumah ni…” Kataku perlahan. Dia mengangguk mengerti. Sesungguhnya hari-hari yang kuhitung itu penuh dengan kebosanan, dua kali ganda jumlahnya jika dibandingkan tika berada di rumah Mak Lang.
“Saya rasa nak balik ke kampung.”
“Balik kampung?” Dahi ibu mertuaku berkerut. Dia memandang tepat ke mukaku, lantas tangannya mencapai tanganku. Dipegangnya dengan erat kedua-dua belah tanganku, sambil matanya merenung tepat ke dalam mataku. Aku tertunduk lesu.
“Kenapa? Tak selesa tinggal di sini. Faruk menyakiti hati kau Fiqah?”
Aku menggeleng. “Tak… Tak! Dia baik.” Jawabku hampir berbisik.
Aku tidak tahu mengapa aku membela suamiku yang tidak punya hati dan perasaan padaku itu. Dia telah menjadikan aku orang asing di sisinya. Aku disimpan seperti guri yang pecah, takut untuk disentuh. Terlalu hodoh untuk dipamerkan pada sesiapa.
“Habis, kenapa? Apa masalahnya?”
Aku diam. Entah mengapa saat itu aku hilang kata-kata. Sedangkan sebelum datang ke kamarnya tadi aku sudah merancang untuk meluahkan semua yang aku rasa. Aku tahu dia seorang ibu yang baik. Barangkali dia lebih baik daripada Mak Lang. Hatiku menyatakannya begitu. Senyuman dan kemesraannya bukan dibuat-buat. Walaupun dia baru sahaja kukenal tapi wajahnya membayangkan dia seorang yang baik hati.
“Saya sebenarnya bosan duduk sendirian di rumah ni. Kalau di rumah Mak Lang banyak kerja yang boleh saya lakukan.” Kataku berterus terang.
Dia tertawa lembut. Tanganku masih digenggamnya lantas dilurutnya perlahan-lahan. “Lembut sekali tangan kau Fiqah. Pasti kau pandai menjahit, menenun atau mengait.” Dia membalikkan telapak tanganku lantas membelek-beleknya seperti seorang ahli nujum.
“Ada garis kesenian tangan kau ni… Sesuai sekali jika kau melakukan kerja-kerja seni, seperti melukis, atau menggubah. ”
“Ya. Saya memang minat menggubah bunga. Sebenarnya saya berniat hendak belajar lagi.” Kataku perlahan. “Memang cita-cita saya ingin menyambung pelajaran tapi Mak Lang tak izinkan. Saya terpaksa menurut kehendaknya walaupun punya cita-cita ingin menjadi guru.”
“Guru?” Dahi ibu mertuaku berkerut.
Aku mengangguk. Itu hanya satu angan-angan saja, bisik hatiku dengan sedihnya. Saat itu aku teringatkan segala catatan yang pernah aku tulis. Sejak beberapa minggu ini aku tidak berpeluang untuk mencatat suara hatiku, justeru itu aku merasa hidupku kian kosong.
“Ya.” Aku mengangguk.
“Mengapa tidak kau cuba bidang lain, Fiqah? Sekarang ni orang sibuk dengan dunia cyber. Mengapa tidak untuk permulaan ini kau belajar komputer? Tentu Faruk mengizinkan. Benar juga… kau pasti bosan jika terus di rumah. Lebih-lebih lagi kau masih belum punya anak.” Kata ibu mertuaku yang senang dipanggil ‘mama’ sambil tersenyum lagi padaku.
Apabila dia menyebut tentang ‘anak’ bertambahlah mukaku jadi murung. Sesungguhnya untuk menjadi seorang isteri pun aku belum bersedia inikan pula untuk menjadi seorang ibu yang sudah pasti banyak tanggungjawabnya.
“Nah… Sekarang jangan bersedih.” Katanya sambil memegang hujung daguku. “Esok pagi-pagi ikut mama. Mama akan bawa kau ke sebuah kolej swasta. Di sana kau boleh pilih apa jua kursus yang kau suka. Samada kursus jangka panjang atau kursus jangka pendek.”
Aku hampir-hampir sahaja memeluk ibu mertuaku tapi langkah itu tersekat. Dia pula yang membuka tangannya sambil memelukku dengan erat. Diciumnya ubun-ubunku dengan lembut. Hampir menitis airmataku. Benar telahanku, mama seorang yang sangat penyayang.
“Kami bersyukur kau jadi milik kami, Fiqah. Kau anak manis, yang baik dan solehah. Yang tidak banyak merungut ataupun meminta. Kalau Faruk sampai menyakiti hati kau, jangan segan-segan beritahu mama.”
Aku mengangguk bersama senyuman yang menguntum di bibirku.

AKU mulai belajar di sebuah kolej swasta terletak di Jalan Ipoh. Setiap pagi aku dihantar oleh drebar yang kukenali sebagai Pak Mahat. Tapi waktu pulang aku meminta padanya supaya tidak menjemputku. Aku boleh pulang sendiri, tidak mahu menyusahkan lelaki itu. Mama telah memberikan aku duit poket yang secukupnya.
Lega benar hatiku dapat kembali belajar. Aku merasakan yang aku ketinggalan terlalu banyak. Namun syukur berada di kolej itu mindaku mulai terbuka. Namun pagi tadi aku dikejutkan dengan berita yang baru disampaikan oleh suamiku. Hari ini dia bangun agak lewat dari biasa. Ketika aku bersiap-siap hendak keluar ke kolej, dia baru sahaja selesai mandi. Dia duduk di hujung katil, memerhati aku mengenakan tudung kepala dengan mata yang tidak berkelip.
Aku pura-pura tidak menyedari renungannya itu. Aku terus mengenakan tudung berwarna biru lembut, melekatkan brooch indah pemberian mama di kanan dadaku, lantas tersenyum lembut di cermin. Puas melihat penampilanku sendiri. Beberapa hari lepas aku sempat shopping dengan mama. Dia membelikan aku beberapa helai blouse dan seluar. Taklah bosan sangat asyik pakai baju kurung…
“Cantik sekali…” Puji Faruk tiba-tiba. Dari sebalik cermin kulihat dia tersenyum.
Buat pertama kalinya dia senyum begitu. Nyata senyumannya manis. Selama ini wajahnya serius sahaja sehingga aku menyangka dia tidak pandai tersenyum. Apalagi ketawa. Tidak pernah kulihat dia tertawa gembira di hadapanku.
Aku tidak berpaling tapi tersenyum sedikit dari sebalik cermin. Kutahu dia dapat melihat senyumanku itu.
“Hari minggu ni kita akan pindah.” Katanya dengan lembut.
“Pindah?” Aku terkejut lantas berpaling memandangnya yang masih santai, dengan tuala membalut tubuh. Entah mengapa aku merasakan dia sengaja duduk begitu. Barangkali hendak menggodaku? Agh! Aku tidak tergoda pun pada tubuh sasanya itu. Dalam hatiku ada wajah lain yang menemani mimpi-mimpiku, yang mengikut aku ke mana sahaja. Jahatnya aku… masih mengingat Abang Imran biarpun sesudah aku jadi isteri orang.
“Ya. Aku dah cari sebuah kondo untuk kita. Takkan selamanya hendak duduk dengan mama. Aku harap kau suka kondo tu nanti. Dah aku lengkapi dengan perabot…”
Aku menelan airliur. Tidak dapat bersuara apa-apa.
“Kita akan lebih bebas, berbanding di sini…” Kata Faruk. Ada senyum lagi di bibirnya. Kulihat matanya bercahaya. Ada kegembiraan terpancar dari sinar matanya itu. Itu sangat jelas di mataku. Tanpa sedar aku turut tersenyum.
“Tapi saya boleh terus belajar kan?”
“Ya. Silakan… Teruskan saja. Usah khuatir tentang wang. Aku akan beri kau duit bulanan. Aku rasa seribu sebulan sudah cukup?”
Tanganku sedikit menggigil. Terkejut. Dia terlalu murah hati… bisik hatiku. Faruk senyum seperti dapat membaca isi hatiku. Dia menyambung kata; “Kuharap duit tu cukup. Aku mampu beri kalau kau mahukan lebih lagi. Kalau kau mahu kereta juga aku boleh adakan. Sebut saja kereta apa…”
Aku diam membatu. “Kalau tak ada lesen kau boleh belajar.” Kata Faruk lagi kali ini dia sudah bangkit, bergerak ke almari untuk mengambil pakaiannya. Dia mulai bersiap-siap. Saat dia sudah selesai mengenakan kemeja dan tali leher, aku mendekati untuk menyalami tangannya. Buat pertama kalinya aku menyalami tangan suamiku sebelum dia keluar bekerja. Hatiku mulai memuji dirinya secara diam-diam. Tidakku tahu pula ada harga yang harusku bayar untuk semua kebaikannya itu.

“WAH! Citarasa kau bagus sekali Faruk.” Kata Mama ketika dia mulai melangkah memasuki kondo yang sudah lengkap dengan perabot itu. Mama berjalan mengelilingi setiap bilik dan ruang, sambil menarik tanganku dengan girang.
“Mama yakin kau akan gembira di sini. Faruk akan sentiasa di sisi kau… Hmm, inilah masa untuk kau memasak masakan kegemarannya. Romantis kan? Hmmm… berbahagialah di sini sayang. Buatlah banyak-banyak cucu untuk mama.” Kata mama sambil mencubit pipiku dengan mesra.
Aku terkedu. Untuk menghilangkan rasa gementar aku langsung bertanya; “Dia suka makan apa?”
Kami kini berada di dapur kondo yang serba lengkap. Kabinet berwarna putih bersih mengisi ruang. Sebuah meja makan kecil muat hanya untuk dua orang terletak di tepi tingkap dapur kondo itu. Pemandangan indah di luar terserlah. Dari situ terlihat bangunan-bangunan tinggi yang mengelilingi. Begitulah kota ini begitu pesat dan sentiasa ada saja bangunan yang baru dibina.
“Spagheti dengan sos daging.” Jawab Faruk dari arah belakang kami. Dia berdiri begitu dekat denganku sehingga dapat kuhidu bau harumannya. Aku tiba-tiba jadi suka pada bau yang baru terhidu, harumannya sungguh lembut mempesona.
Mama tersenyum memandang Faruk lantas berkata lembut; “Kalau Fiqah tak pandai menyediakannya, kau harus ajar dia Faruk! Tak adalah kau makan di luar lagi.”
“Dah tentu mama.” Kata Faruk tiba-tiba menarikku agar berdiri di sisinya. Mukaku merah padam kerana malu. Mama tertawa lembut.
“Hei! Sabarlah sikit. Mama tahu kau akan bersendirian lepas ni. Biar mama habiskan sikit lagi masa dengan Fiqah.” Kata mama sambil merebut tanganku dari pegangan Faruk. Faruk tertawa senang, membiarkan mama mengheretku keluar dari dapur lantas mengajak aku masuk ke sebuah bilik yang masih belum kami jengah.
“Ada library di sini…” Kata mama. “Juga komputer. Wah! Segalanya lengkap.”
Faruk mengikut kami ke library. “Ya. Boleh layari internet. Memang semuanya complete.”
“Bergembiralah sayang. You deserve it!” Kata mama sambil mencium pipi Faruk dan pipiku. Nyata dia begitu gembira sekali. Tidak lama kemudian mama pun pergi meninggalkan kami berdua. Aku masuk ke dapur untuk memasak air sementara Faruk masuk ke kamar. Aku membancuh kopi kerana aku masih belum tahu apakah minuman kegemarannya. Dua minggu masih terlalu awal untuk kutahu segalanya tentang dia.
Semasa aku meletakkan dulang atas meja di ruang makan, kulihat Faruk keluar dari kamar, sudah siap menukar pakaian. Dia sedang bercakap di telefon genggam. Tidak lama kemudian dia mematikan panggilan, terus bergerak ke pintu. Kasut diambil dari dalam almari yang ada di tepi pintu. Dia membuka pintu hadapan dengan kunci yang ada di tangannya.
“Aku nak keluar…” Katanya tanpa menoleh padaku yang memerhati dia dari meja makan. “Aku mungkin balik lewat. Jadi jangan tunggu, aku ada kunciku sendiri, okey?”
Aku hanya mengangguk. Apa lagi yang dapat aku lakukan? Ku perhati jam dinding di ruang tamu. Sudah masuk waktu asar. Aku bergerak ke bilik tidur. Beg pakaian yang dibawa dari rumah mama belum dibuka. Lantas aku membuka beg berniat hendak memasukkan pakaian ke dalam almari. Kubuka almari yang masih kosong lantas mengisi semua pakaianku di dalamnya. Kubuka setiap laci yang kosong.
Semua pintu almari juga kubuka. Mengapa tiada pakaian Faruk di dalamnya? Beg yang kubawa dari rumah mama juga tidak berisi dengan pakaian Faruk. Di manakah pakaian Faruk? Aku termangu sebentar. Baru aku menyedari sesuatu… tiada kesan Faruk di dalam kamar ini.
Aku bergerak keluar bilik, memerhati ke arah sebuah lagi bilik tidur yang terletak bertentangan dengan bilik tidurku. Bukankah tadi Faruk keluar dari kamar ini? Hatiku melonjak, dadaku berdebar. Kutolak daun pintu yang tidak berkunci. Ya… Faruk tinggal di kamar yang satu lagi. Kami tidak akan berkongsi kamar di rumah ini. Aku menelan airliur pahit. Apakah aku kecewa? Sepatutnya tidak… bisik hatiku sendiri.
Walaupun aku tidak pernah menginginkan perkahwinan ini, tapi aku tidak mahu hidup berpura-pura. Jelas Faruk sedang menarikku ke dalam satu dunia yang belum pernah aku terokai selama ini. Apakah aku akan teguh dan kuat untuk menghadapinya?
Aku seperti ingin menangis menghadapi kenyataan ini. Tetapi mengapa airmataku tidak keluar seperti biasa. Mengapa airmataku tidak lagi semurah dulu, begitu mudah berhamburan ke pipi. Tidakku fahami hatiku kebelakangan ini. Hatiku sudah jadi keras seperti batu. Kelembutan telah hancur dan hanyut oleh ganasnya gelombang hidup. Apakah aku harus mencari kembali titik mula bagi sebuah perhubungan yang lebih tulus? Kutahu kini antara aku dan Faruk tidak mungkin akan ketemu titik yang kucari-cari… Satu titik yang membuat aku mencurahkan rasa kagum yang akan menerbitkan pula rasa sayang. Titik itu tiada, ianya tidak akan membesar menjadi satu tugu yang akan aku banggakan.

“HAI! Sorang je?” Aku menoleh mendengar sapaan itu. Seraut wajah yang selalu kutemui di kelas ataupun di makmal komputer kini sedang berjalan bersaingan denganku sambil melemparkan senyuman mesra.
Aku membalas senyumannya lantas menjawab; “Selalunya memang saya seorang.”
“Saya tahu. Dah lama saya nak tegur tapi segan. Takut nanti awak tunjuk tapak kasut.” Katanya sambil tertawa lembut.
“Tak adalah. Takkan saya sekejam tu. Awak ni kawan sekelas saya.”
“Perasan juga awak pada jejaka buruk macam saya ni…”
Aku tergelak. “Buruk? Taklah. Awak kacak juga. Cuma Mawi lebih kacak sikit dari awak!”
Dia tergelak pula sambil menayang giginya yang bersih tersusun. “Saya ingat awak nak kata saya lebih kacak dari Mawi…”
“Perasanlah.” Jawabku.
“Saya Shamil.”
“Julia Afiqah.”
Begitulah perbualan pertama antaraku dan Syamil. Biarpun sudah hampir sebulan aku belajar di kolej, baru pertama kali aku mendapat kawan. Tidak disangka selepas itu aku mulai mendapat beberapa orang kawan baru. Kawan-kawan Syamil telah menjadi kawan-kawanku juga.
Aku benar-benar rasa terhibur bila berada di kolej. Aku sudah mulai punya kawan rapat. Antaranya Wanie dan Emilia. Mereka berdua begitu berminat hendak menjadi model. Setiap hari mereka akan bercakap tentang pakaian, solekan dan fesyen rambut. Walaupun rapat dengan mereka aku masih mempertahankan prinsipku yang tidak akan membuka aurat. Aku masih mengenakan tudung biarpun sudah beberapa kali Emilia menegur; “Bukalah tudung Fiqah! Lebih cantik kalau kau buka tudung. Tengok kami ni… Boleh warnakan rambut dan potong rambut ikut trend semasa.”
Aku menolak dengan baik. Kataku; “Rambut tu adalah aurat. Berdosa jika dilihat lelaki bukan muhrim. Hanya suami aje yang boleh tengok. Aku memang sejak kecil bertudung kepala walaupun berada di dalam rumah.”
“Kolotlah engkau ni! Macam makcik-makcik aje asyik pakai tudung 24 jam. Kau ni datang dari ceruk kampung mana?” Tanya Wanie sengit.
“Memang datang dari kampung…” Kataku perlahan, hampir saja menuturkan hal yang sebenarnya. Kalaulah aku beritahu mereka aku dah kahwin, lagilah mereka akan terkejut beruk! Tapi aku masih menyimpan rahsia itu daripada semua rakan-rakanku. Syamil juga tidak tahu. Disangkanya aku masih anak dara! Ahhh… Betullah tu! Aku masih anak dara. Aku tidak pernah disentuh oleh suamiku walaupun dah sebulan lebih kami bernikah.
Aneh! Tiada sesiapa pun percaya. Apa dah jadi? Faruk memang aneh…

FARUK memiliki sebuah syarikat penerbitan. Syarikat itu menerbitkan majalah lelaki yang memfokus ke arah hiburan dan pengetahuan am, khas untuk lelaki sahaja. Syarikat turut menerbitkan majalah sukan dan dunia permotoran, di samping majalah berkaitan komputer yang dipasarkan ke seluruh Asia. Apa saja yang dikerjakan oleh Faruk, semuanya berkait rapat dengan lelaki. Itulah dunianya… dunia lelaki muda terkini.
Di pejabatnya kebanyakan pekerja terdiri daripada lelaki. Hanya beberapa orang saja pekerja wanita. Salah seorang darinya adalah Miss Jenny, pengurus kewangan syarikat, Shanti pengurus sumber manusia dan yang terakhir Christine pembantu Jenny. Staff lain di pejabat itu dimonopoli oleh lelaki. Dari jawatan tertinggi iaitu Faruk sendiri sebagai penerbit dan editor penyelaras, sehinggalah ke drebar syarikat.
Syarikat Faruk tidaklah begitu besar, hanya memiliki tiga puluh orang staff. Tapi itu sudah cukup bagus bagi Faruk yang telah membuka syarikat itu lapan tahun yang lalu. Faruk memiliki setiausaha, seorang lelaki kacak yang sudah hampir setahun bekerja dengannya. Lelaki itu yang dipanggilnya Hairil, selalu setia menemaninya ke mana sahaja. Namun sejak kebelakangan ini Faruk bagaikan sengaja mencari salah Hairil. Dia selalu tidak puas hati dengan kerja-kerja Hairil.
“Aku sedang menunggu kedatangan seorang model lelaki.” Kata Faruk pada Hairil ketika dia berhenti sebentar di hadapan meja lelaki itu. “Kalau dia sampai nanti, terus suruh dia masuk. Sementara itu aku tak mahu sebarang panggilan di sambung ke dalam.”
Hairil mengangguk.
Faruk terus masuk ke bilik, duduk menghadapi meja sambil membelek-belek artikel yang ada di meja. Ada banyak kepingan gambar-gambar model lelaki yang akan dimuatkan dalam majalah untuk isu bulan itu. Dia membelek satu demi satu, amat tertarik pada gambar-gambar model lelaki yan sedang dinantikan kedatangannya itu.
Tidak lama kemudian kedengaran pintu diketuk, Hairil memberitahu model lelaki yang ditunggunya itu sudah pun datang. Faruk bangun menyambut kedatangan model itu. Dia merenung anak muda itu sambil tersenyum puas. Wajah model itu memang menarik, tubuhnya tegap dan sasa. Kulitnya sawo matang, benar-benar kulit seorang lelaki Melayu.
“Selamat datang.” Ucap Faruk. “Ada tawaran hebat menanti kamu, Adie.” Kata Faruk penuh wibawa.
“Terima kasih bang.”
“Jangan panggil abang.” Kata Faruk dengan nada tegas. Adie agak terkejut mendengar kata-kata Faruk itu. Dia memandang tepat ke dalam mata lelaki itu. Faruk tersenyum, dia tahu Adie terkejut mendengar kata-katanya. Dia membetulkan kaca mata, wajahnya terus dibayangi senyuman.
“Panggil saja Faruk. Aku lebih suka dipanggil dengan nama saja.”
Adie mengangguk. Walaupun dia merasa kurang sopan, tetapi dia turutkan saja. Lagipun lelaki itu sedang memberikan dia tawaran yang tidak boleh ditolak.
“Bukan semua model aku berikan tawaran ni. Harus diingat ya… Tawaran ni amat lumayan. Tapi kau harus ikat kontrak menjadi model untuk majalah kami sebanyak enam isu. Kau akan dibayar dengan lumayan. Tapi kau harus tunjuk komitmen yang baik. Jika sesuai barangkali kau akan diserap bekerja di syarikat ni.” Kata Faruk.
Adie memang tertarik dengan tawaran yang diberi. Dia berhasrat mengumpul duit sebanyak yang boleh.
“Boleh… Boleh saja.” Jawabnya tanpa berfikir panjang.



Bab 17



LATIPAH terjaga pada awal subuh, dikejutkan oleh bunyi enjin kenderaan yang amat kuat di hadapan rumahnya. Buru-buru dia bangun. Ingatannya hanya tertumpu pada Sabita. Dia amat kenal bunyi deruan kenderaan itu. Pastinya sebuah lori. Dan dia bagaikan dapat meneka bahawa begitulah caranya Sabita menghilangkan diri. Dia pergi dengan dibantu oleh Pak Mail.
Latipah bingkas bangun, membuka semua lampu di rumah itu supaya semuanya jadi terang benderang. Dia bergerak ke bilik Sabita. Sabita tiada di biliknya itu lagi. Dia meninggalkan bilik dengan pintu almari yang terlupa ditutup. Sebahagian daripada bajunya sudah diangkut pergi. Latipah berlari ke ruang depan, membuka lampu berenda. Dilihatnya Sabita sedang menaiki lori yang amat dikenalnya. Dia yakin benar lori itu dipandu oleh Pak Mail.
Nanti kau! Nanti! Rungut Latipah sambil menerjah ke luar pintu yang baru dibuka. Namun lori Pak Mail bergerak lebih dahulu darinya. Latipah hanya sempat menyedut asap. Latihan memaki hamun sendiri. Hatinya belum puas kerana Sabita tidak mendengar semua kata-katanya. Dia bertambah marah kerana Pak Mail terlibat dalam ‘melarikan’ anak sulungnya itu.
Latipah masuk ke dalam rumah. Dia membiarkan sahaja pintu depan terbuka. Masih bersisa rasa marah dan geramnya terhadap tindakan Sabita. Langsung Sabita tidak menghiraukan hati dan perasaan seorang ibu. Begitu saja dia mendapat duit yang diminta, terus dia menghilang diri.
“Melampau kau Ita! Melampau!!” Jerit Latipah sekuat hatinya. Dia teringat pada rancangan Sabita yang hendak membuka restoran. Kini dia semakin ragu-ragu benarkah Sabita akan membuka restoran dengan duit yang diberikannya.
Latipah berlari ke kamar tidur Sabita. Dia bagaikan mencari-cari sesuatu. Mustahil anaknya itu tidak meninggalkan sebarang pesanan. Benar sangkaannya. Ada sepucuk surat ditinggalkan di atas katil. Tanpa lengah Latipah membuka surat Sabita.
Mak,
Maafkan Ita sebab keluar dengan cara begini. Ita terpaksa mak. Kalau mak tahu semua rancangan Ita, mak takkan izinkan. Sampai bila Ita harus berada di samping mak dan ayah? Sampai bila Ita harus terkurung dan terpenjara di rumah ini?
Semua orang sudah pergi mencari masa depannya. Mengapa tidak Ita? Sudah tiba masanya Ita juga pergi. Ita akan pergi jauh mak. Memang benar niat Ita hendak berniaga. Ita takkan membuka restoran di Kuantan. Tempat tujuan Ita sekarang adalah Kuala Lumpur. Doakan kejayaan Ita mak…
Walaupun Ita rasa Ita tak berhak mengharapkan doa daripada mak, Ita tetap mahu mak mendoakan Ita. Ita takkan balik selagi Ita tak berjaya. Janganlah bimbang. Sebab Abang Mail ada bersama Ita. Kalau ada jodoh, Ita akan bernikah dengannya. Ita tak mahu mak komen apa-apa tentang hal ini. Ita sengaja buat begini, sebab takut mak malu dengan orang kampung.
Abang Mail akan balik, pulangkan lori mak. Abang Mail juga memohon berbanyak maaf dari mak.
Sekian
Sabita.
Setan! Sumpah Latipah sambil merenyukkan surat Sabita lantas dicampakkannya ke hujung kaki. Rupa-rupanya dia ada hubungan dengan orang tu! Eeee…Meluatnya! Lelaki yang boleh dipanggil ayah, sanggup digelar ‘abang’. Kau memang gila Ita! Kau gila…
Latipah bangun berjalan mundar mandir di dalam kamar Sabita. Dia buntu. Nanti kau Mail! Nanti kau! Aku kerjakan kau cukup-cukup bila kau pulangkan lori tu! Tak sedar diri nak kahwin dengan anak aku! Harta tak ada. Dari muda sampai ke tua kerja di kebun kelapa aku! Bentak Latipah geram.
Latipah mengutip kembali surat Sabita yang baru direnyukkannya. Dia membuka dan membacanya sekali lagi. Kali ini hatinya disentuh kehibaan pula. Akhirnya Sabita memilih Mail… Bisiknya. Ada juga orang yang mahukan anakku itu! Dia tiada rupa. Kulitnya agak gelap, bertumbuh rendang. Hmmm… Tak mengapalah! Moga kau bahagia Ita!
Latipah bangun. Dengan ketiadaan Sabita lagi, Latipah merasakan rumah itu benar-benar kosong, sekosong hatinya. Kini hanya tinggal dia dan suaminya. Latipah masuk ke dalam bilik. Dia memerhati Mansur yang masih tidur dengan nyenyak. Diraba-raba dada suaminya yang turun naik dengan perlahan.
“Jangan sampai abang juga tinggalkan Tipah…” Bisiknya sayu sambil meletakkan kepala di sisi suaminya. Namun azan subuh yang berkumandang memaksa dia bangun menunaikan salat.
Mail tidak berani datang ke rumah Latipah selepas dia melarikan Sabita. Disuruh anak buahnya datang menghantar lori dan permohonan maaf. Menurut Sharif, Mail ada balik semalam kemudian terburu-buru pergi semula ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sahaja.
“Kebun tak ada orang jaga. Kau gantilah tempat Mail.” Kata Latipah pada Sharif.
Sharif mengangguk. Dia sudah mengagak yang dia akan mendapat ‘jawatan’ Mail. Sharif memandu lori meninggalkan rumah Latipah. Suasana kembali sunyi semula. Latipah termenung lama di berenda rumah. Sayup-sayup dia mendengar panggilan telefon. Latipah bangun dengan malas untuk menjawab panggilan.
Imran yang menelefon, memberitahu bahawa dia akan pulang. Sudah lama tak balik… kata Imran padahal baru sebulan lebih jarak masanya. Latipah mengalu-alukan kepulangan Imran.
“Baliklah… Sebab mak ada cerita baru untuk kau!”
“Cerita apa?” Tanya Imran bagaikan tidak sabar. Sekonyong-konyong dia teringat seraut wajah Julia Afiqah. Namun dia terasa kecewa sekali apabila mengingati bahawa dia tidak ketemu Julia Afiqah di kampung. Pasti kepulangannya kali ini penuh dengan kekosongan.
“Baliklah dulu, nanti mak cerita.”
Imran balik keesokan harinya. Dia tiba sebelum masuk waktu zohor. Latipah mengajak Imran makan tengahari terlebih dahulu. Imran merasakan satu kekurangan yang amat jelas. Rumah itu terlalu sepi. Tiada Julia Afiqah yang rajin membersih dan menyerikan ruang tamu dengan jambangan bunga melur. Masih diingatnya Julia Afiqah suka menggubah bunga melur. Bunga melur itu disusun rapi pada sebatang lidi yang agak panjang. Kemudian lidi yang sudah disisipkan bunga melur dijadikan ranting-ranting lantas dicucuk ke dalam pasu. Kemudian diambilnya daun pandan, lantas diselitkan dicelah pasu tersebut sehingga menjadi sebuah gubahan yang indah. Bukan saja indah tetapi juga harum. Gabungan daun pandan dan melur, membangkit warna dan suasana dalam rumah yang begitu harmoni.
Imran rindukan suasana itu. Rindu pada bau-bauan semasa Julia Afiqah ada. Kini di rumah itu sepi dan muram. Masakan di meja juga tidak menjulang selera. Hanya singgang ikan selar dan sayur kangkung goreng kicap yang terhidang. Namun untuk menjaga hati emaknya, Imran makan juga.
“Kau tahu… Kak Ita kau dah pergi.”
“Pergi? Ke mana?”
“Sebenarnya dia lari.” Kata Latipah. “Dia lari ke Kuala Lumpur dengan Pak Mail. Katanya dalam surat yang ditinggalkan pada mak, dia akan kahwin dengan Pak Mail. Mungkin dah kahwin pun agaknya. Kahwin di sempadan.”
Imran terkejut. “Laaa.. Mak biar betul?”
“Betul.” Kata Latipah. “Nanti lepas makan kau bacalah surat yang ditinggalkannya. Dia lari waktu subuh. Masa semua orang tengah tidur. Dia lari masa Fiqah bertunang dan nikah dulu pun, itulah caranya. Masa orang tengah tidur, subuh-subuh ikut Pak Mail naik lori mak. Lori yang baru mak beli tu…”
Imran menggelengkan kepala. “Apalah nak jadi dengan kak Ita ni…”
“Yang mak sakit hati, dia minta duit dengan mak. Dia kata nak buka restoran di Kuantan. Mak beri dia sepuluh ribu. Entahlah! Jangan-jangan dia kena tipu dengan si Mail.” Kata Latipah sambil menggelengkan kepalanya beberapa kali.
“Kalau betul pak Mail itu nak kak Ita, mengapa dia tak minta betul-betul? Mengapa buat macam ni kan malu?” Kata Imran meluah rasa kurang senangnya terhadap tindakan Pak Mail.
“Agh! Agaknya Kak Ita kau tu yang gatal sangat nak berlaki.” Tuduh Latipah. “Buat malu saja.”
Imran mengeluh berat. Sebenarnya dia simpati juga pada nasib Sabita. Tapi apabila kakak sulungnya itu berbuat tindakan seperti ini dia juga enggan menyokong. Latipah mengeluh beberapa kali.
“Ada satu hal lagi mak nak cakap!”
“Apadia?” tanya Imran. Dadanya sempat berdebar. Apakah emaknya hendak bercakap tentang Julia Afiqah. Ahhh… Rindunya hati ini. Tidak tertanggung rasanya. Ingin sekali menatap wajah itu. Ketika dia masuk tadi, dia membayangkan Julia Afiqah ada di kamar. Namun ketika dijenguk kamar adiknya itu dia mendapati suasana di kamar itu sudah lain. Kamar itu sudah jadi macam stor. Dia masuk pula ke perpustakaan yang kosong.
Hampa hatinya. Barulah dia tahu nilai kasih sayangnya pada Julia Afiqah. Begitu besar dan dalam.
“Mak nak cakap pasal apa? Pasal adik?”
“Fiqah? Bukan pasal dialah. Biarkan dia bahagia.”
“Ada adik telefon mak?”
Latipah menggeleng. Dia tidak mengharapkan pun panggilan daripada anak saudaranya itu. Dia tahu Julia Afiqah tidak akan menghubunginya.
“Mak nak cakap pasal kau…” Kata Latipah sambil merenung tepat ke wajah anak bujangnya itu.
“Hal apa pula?” Tanya Imran sambil membasuh tangan. Nasinya masih bersisa. Tiada selera dia hendak menjamah masakan emaknya. Selalu masakan Kak Sabita tidak pernah ditolak. Memang menyelerakan.
“Mak nak kau kahwin. Kahwin dengan orang kampung ni… dah ada pun calonnya.”
“Mak…” Imran memandang emaknya. Suaranya tersekat dia tidak dapat meneruskan kata.
“Kau tengoklah rumah ni sunyi Im. Mak rasa macam nak gila duduk dengan ayah kau aje sejak Ita tak ada. Fiqah dah kahwin. Mak mahu kau kahwin, biar isteri kau duduk dengan mak di sini. Kalau boleh mak juga mahu kau berhenti kerja di Kuala Lumpur. Carilah kerja di Kuantan ni bukannya tak ada.” Kata Latipah panjang lebar.
Imran tidak kuasa menerangkan pada maknya satu persatu. Bukan emaknya mahu mengerti. Maknya hanya pentingkan dirinya sendiri sahaja. Bila sudah tersepit emaknya suka mencari keluar. Jalan keluar yang dipilih boleh menyeksa perasaan orang lain.
Imran menggelengkan kepala.
“Mak! Janganlah buat hal yang bukan-bukan. Kalau saya kahwin, saya mahu isteri saya mengikut saya. Bukannya tinggal dengan mak di sini.” Jawab Imran dengan tegas. “Tapi saya belum ada niat nak kahwin buat masa terdekat ni. Biarlah setahun dua lagi… Kalau emak minta saya cari kerja di Kuantan ni, boleh juga saya pertimbangkan. Mungkin ada yang sesuai. Tapi buat masa sekarang saya selesa dengan kerja saya di sana. Gajinya lumayan. Saya baru dapat kenaikan pangkat.”
“Eloklah. Sesuai sangat dengan masanya. Gaji engkau dah bertambah. Bolehlah engkau bernikah. Jangan tangguh-tangguh lagi.… Mak dah suruh Mak Ngah Siah merisik budak tu!”
“Mak!!!” Imran terjerit mendengar kata-kata emaknya.
“Keluarga budak tu meminta tempoh seminggu. Mak yakin kau akan diterima. Tentu kau ingat lagi pada Najiha? Dia tak kurang cantik dan berpelajaran.”
Imran terdiam. Lidahnya benar-benar kelu. Tiada kata yang dapat membangkang hasrat dan keinginan emaknya. Latipah memang benci kata-katanya dibantah oleh anak-anak. Imran benar-benar tidak sangka kepulangannya adalah untuk menjerat lehernya sendiri. Maknya kadang-kadang boleh bertindak kejam… lebih kejam daripada seorang algojo.
“Kenapa kau diam? Atau kau ada calon sendiri? Macamana dengan budak perempuan yang kau bawa balik dulu?”
Imran masih diam. Sudah lama dia melupakan Irma Zamila yang penipu itu. Mujur perempuan itu tidak menghubunginya sehingga kini. Tapi dia tidak berniat hendak menerangkan semua penipuan Irma Zamila pada emaknya. Nanti lagilah emaknya merasa menang dan merasakan pilihannya lebih tepat.
“Kami tak ada apa-apa hubungan lagi, dah putus.” Jawab Imran.
Latipah tertawa. “Baguslah… Bagus.” Katanya sambil mengurut lengan anaknya.
“Jadi, engkau terima Najiha ya?”
“Suka hati maklah!” Jawab Imran sambil bangun meninggalkan emaknya.

MALAM ITU Imran bersendirian di kamar tidur. Sesudah salat dia tidak tahu apa yang harus dibuat. Dibawa langkah ke perpustakaan. Dia merenung buku-buku yang ada tersusun kemas. Sudah sebulan lebih buku-buku itu tidak dibelek. Sudah ada hapuk yang melekat.
Kalau Julia Afiqah ada dia selalu masuk ke situ, hampir setiap hari. Dia akan membersihkan hapuk dengan menggunakan bulu ayam. Dia amat sayangkan buku-buku yang ada di situ. Semuanya terjaga rapi. Imran menyentuh ensiklopedia yang tersusun dengan jari telunjuknya. Jarinya bergerak dari satu jilid ke satu jilid. Banyak juga ensiklopedia miliknya. Ada beberapa set daripada penerbit yang berlainan. Semua ensiklopedia itu dibelinya semasa di luar negara.
Ada juga ensiklopedia terbitan dalam negara. Dia teringat suatu masa dulu dilihatnya Julia Afiqah gemar membelek ensiklopedia tersebut. Entah apa yang dicarinya… fikir Imran.
Sejak pulang tadi, dia tidak dapat melupakan Julia Afiqah. Begitu banyak kesan-kesan yang ditinggalkan Julia Afiqah di rumah ini. Dia jadi rindu. Tangannya mencapai hanphone di dalam poket. Entah mengapa dia terpanggil untuk menghantar SMS. Dia boleh menelefon tetapi dia memilih untuk menyusun kata melalui huruf-huruf sahaja.
Adik,
Abang rindu pada haruman melur yang kau gubah. Semalam tidak akan berulang lagi dalam hidup kita.
Abang
Imran membaca tulisan itu, teragak-agak untuk menghantarnya. Bagaimana kalau Faruk terbaca mesej itu. Gila! Nanti Faruk akan menyangka yang bukan-bukan. Mengapa berbicara tentang rindu? Kau ni memang sasaulah Imran! Marah hatinya. Julia Afiqah tu adikmu, mengapa tulis begini?
Imran buru-buru memadamkan mesej yang baru ditulis. Dia merenung skrin handphonenya yang kosong. Agh! Tak perlu tulis apa-apa lagi pada adik. Stop! Pinta fikirannya dengan penuh ketegasan. Namun hatinya terus berbicara, tanpa suara…
Bila kau tiada, rumah ini sudah hilang serinya, dik. Entah di mana akan abang cari penggantimu. Rasanya tiada sesiapa yang serupa denganmu. Memang tiada. Kau satu-satunya yang ada di dunia ini. Abang terlalu sayangkanmu.
Imran… Sedarlah sikit! Marah hatinya. Kau tu merindui seorang adik macam merindui seorang kekasih pula.
Imran menepuk dahinya. Dia berjalan ke pintu. Tidak perlu melayan hatinya. Memang benar kata emak. Aku harus mencari seseorang untuk mengisi kekosongan hatiku! Imran keluar dari perpustakaan, tidak sanggup untuk berada lebih lama di dalamnya. Dia sebenarnya tidak sanggup untuk lebih lama berada di rumah itu. Esok pagi-pagi lagi dia akan bertolak kembali ke Kuala Lumpur.
Imran tidak peduli, biarpun emaknya akan menghalang pemergiannya dia tetap akan balik ke Kuala Lumpur esok.

“FIQAH… Senang tak lepas habis kelas aku belanja kau makan.” Tegur Syamil sambil duduk di sisi Julia Afiqah. Gadis itu memandangnya sambil menghadiahkan senyuman tulus.
“Hmmm… Boleh.” Jawab Julia Afiqah. “Asalkan kau setuju untuk ajak Emilia dan Wanie.”
“Alahai, mengapa tidak boleh kita berdua saja? Mereka berdua tu menyibuk.”
“Sorry, kalau tanpa mereka aku takkan pergi.”
“Okeylah… Okey.” Jawab Syamil. Dia bangun lantas mendekati meja Emilia dan Wanie. Kedua-dua gadis bersetuju apabila Syamil ingin belanja makan di Restoran A & W, tidak jauh dari kolej mereka.
“Wow! Syamil… Kau belanja kami ni kenapa ya? Macam nak raikan sesuatu.”
“Tak ada apa-apa.” Balas Syamil. Walaupun niat di hati hanya ingin membelanja Julia Afiqah, tetapi dia terpaksa mengajak kedua-dua gadis itu. Dia sedar mereka bertiga memang rapat. Julia Afiqah enggan keluar dengannya biarpun sudah beberapa kali dia mengajak. Sukar sekali untuknya merapati Julia Afiqah. Namun dia bersyukur juga kerana gadis itu mahu berkawan dengannya.
Selepas makan Emilia dan Wanie punya rancangan mereka sendiri, sementara Julia Afiqah ingin terus pulang. Dia sudah kepenatan. Syamil merasakan peluang untuknya terbuka luas.
“Aku hantar kau balik.” Kata Syamil. Kebetulan hari itu dia memandu kereta emaknya. Dia bersyukur hari itu tidak membawa motor. Kalau naik motor sudah tentu tawaran itu akan ditolak mentah-mentah oleh Julia Afiqah.
“Nak hantar balik?” Dahi gadis itu berkerut.
“Ya. Boleh tak?”
“Hmmm… Tak apalah. Aku naik teksi saja.” Julia Afiqah menolak sopan. Kecewa hati Syamil tidak terkira. Dia sepatutnya sudah menduga Julia Afiqah akan menolak pelawaannya. Tapi dia tidak menunjukkan rasa kecewa. Dia akan terus mencuba sehingga Julia Afiqah tidak lagi menolak. Dia memerhati Julia Afiqah yang berjalan menghala ke teksi stand.
Namun saat itu dia melihat sebuah kereta berhenti berdekatan dengan Julia Afiqah sambil membunyikan hon. Tampak gadis itu sangat terkejut. Dia berdiri tercegat memerhati ke arah kereta yang baru tiba. Seorang lelaki keluar dari kereta. Mereka bercakap beberapa ketika kemudian Julia Afiqah mengikut lelaki itu pergi.
Siapakah dia? Bisik hati Syamil. Hatinya sungguh kecewa. Rupa-rupanya Julia Afiqah sudah punya seseorang. Patutlah dia menolak setiap pelawaan yang diajukan Syamil kepadanya.



Bab 18


“ABANG dari mana?” Tanyaku sebaik sahaja duduk di sebelah Abang Imran dalam keretanya. Abang Imran memandu mengharungi kesesakan jalanraya. Begitulah keadaannya di Kuala Lumpur ini kala petang. Lebih malang kalau hari hujan, trafik jam akan bertambah sesak. Mujur petang itu cuaca amat baik, cerah dan memberangsangkan.
“Dari pejabat client tadi. Abang buat presentation.” Jawab Abang Imran dengan suara mendatar.
“Adik dari mana? Siapa dengan adik tadi?”
“Kawan.” Jawabku sepatah. Kemudian menyambung semula apabila kulihat wajah Abang Imran seperti tidak puas hati. “Sebenarnya saya dah sambung belajar semula. Tadi baru balik dari kelas. Lepas tu pergi makan dengan kawan-kawan. Yang abang tengok tadi tu kawan sekelas. Sebenarnya kami berempat tadi, yang dua lagi dah pergi dulu…”
“Hmmm…” Abang Imran mengangguk.
“Faruk mana?”
“Dia biasalah… Sibuk selalu dengan kerja. Selalunya memang saya balik ke rumah dengan teksi.” Terangku satu persatu.
“Tentu hidup adik seronok sekarang kan? Ingat tak apa yang abang cakap dulu. Dunia baru adik pasti menjanjikan satu keseronokan. Satu demi satu perubahan. Dah lama abang tak tengok adik. Sekarang adik dah banyak berubah…” Kata Abang Imran sambil menjeling padaku.
“Apanya yang berubah.”
“Penampilan adik nampak elegen. Bukan lagi budak kampung. Dah pandai bersolek juga. Adik tambah cantik…”
Aku tersipu-sipu malu mendengar pujian Abang Imran lantas menjawab; “Tak adalah.”
Abang Imran tersenyum.
Melihat senyumannya yang kurasakan seakan-akan menyindir, aku menyambung kata; “Saya biasa aje. Tapi memang saya seronok. Abang tahu kenapa? Sebab saya dah dapat belajar semula. Saya dah ada ramai kawan-kawan dan saya bukan lagi Julia Afiqah yang tak tahu apa-apa.”
Abang Imran ketawa lembut. “Faruk berjaya membahagiakan adik.”
Aku terdiam. Mataku memandang jauh, malas hendak menjawab kata-kata Abang Imran. Aku berharap dia akan bercerita tentang hal lain saja. Kalau dia masih ingin bercakap tentang Faruk, aku akan meminta dia menurunkan saja aku di tepian jalan sebelum tiba di rumah. Baru padan dengan mukanya!
Abang Imran memberitahu minggu lepas dia balik kampung.
“Apa khabar Mak Lang, Pak Lang dan Kak Ita?” Tanyaku ingin tahu.
“Mak dengan ayah sihat. Kak Ita dah lari dari rumah…”
“Lari lagi?”
“Dia ikut Pak Mail. Dengar kata mak mereka mungkin akan kahwin di sempadan.”
“Astaghafirullah…” Ucapku tapi akhirnya kami tertawa bersama apabila teringatkan muka Pak Mail. Lelaki itu nampak baik. Tak sangka pula dia ada hati dengan Kak Sabita. Dia duda, pernah berkahwin tetapi tidak punya anak.
“Kenapalah dengan Pak Mail?” Tanyaku di hujung tawa.
“Agaknya kerana cinta! Kerana cinta manusia sanggup buat apa saja.” Kata Abang Imran. Dia tertawa semula.
Tapi aku tak sanggup! Bisik hatiku tak keruan. Aku takut pada segala kemungkinan. Aku tak berani berhadapan dengan risiko. Bagaimana jika hanya aku seorang yang merasainya? Cinta hanya di sebelah pihak. Aduh… Malunya. Di mana hendak disorokkan muka?
“Macam abang dengan Kak Irma?”
Abang Imran segera menjawab; “Hei, nama tu dah jadi sejarah. Kami dah lama putus… Itulah yang sebaik-baiknya.”
Jawapan Abang Imran begitu bersahaja. Kutahu hatinya tidak menyintai Irma Zamila. Begitu mudahnya dia melahirkan rasa hatinya tanpa rasa terkilan.
“Sudahkah Faruk menyatakan perasaan cintanya pada adik?”
“Hei… Abang! Soalan apa tu?” Tanyaku kembali sambil menjeling padanya. Wajah Abang Imran serta merta menjadi merah padam. Dia cuba menutup rasa malu itu dengan tawa. Namun tawanya terdengar amat hambar. Akhirnya dia terdiam, terus memandu keluar dari pusat bandar.
“Bang… Saya tak tinggal lagi dengan mama.” Beritahuku pada Abang Imran dengan suara yang perlahan tetapi jelas.
“Jadi, adik tinggal di mana?”
“Di kondo Jalan Keramat Hujung.”
“Di situ?” Kata Abang Imran dengan dahi berkerut. “Mengapa tak cakap tadi? Abang ingat adik masih tinggal di rumah datin tu. Sekarang dah salah jalan. Ini semua adik punya pasallah!”
Aku diam. Bagaimana aku harus memberitahu Abang Imranku bahawa aku ingin lebih lama berada bersamanya. Aduhai… dadaku terus berdebar tak keruan. Semasa Abang Imran menukar gear, tangannya tersentuh lututku. Sentuhan tidak sengaja itu buat jantungku rasa terhenti. Mukaku jadi hangat. Aku malu sendiri pada perasaan yang ada dalam hatiku. Tidak berani aku memandang wajah Abang Imran biarpun aku ingin sekali melihat aksinya. Apakah dia marah?
“Abang marah? Kalau abang marah biar saya turun di sini… ambil teksi.”
“Tak marahlah dik.” Kata Abang Imran dengan lembut sambil merenungku sekilas. “Kalau marah, nanti adik menangis siapa yang susah. Faruk tak ada nak pujuk.”
“Sekarang… Abang mahu saya pula yang marah?” Kataku sambil menjeling tajam padanya namun akhirnya aku tergelak. Abang Imran pun tertawa sama.
Kami tiba jua di kondo tempat aku tinggal tika waktu asar sudah hampir habis. Bila kuajak Abang Imran singgah dia menolak dengan alasan Faruk tiada di rumah. Dia berjanji ingin datang ketika Faruk ada. Tapi kutahu dengan pasti, Faruk takkan pernah ada di rumah. Dan aku di rumah ini hanya seorang penunggu sepi…
Di saat tiba di rumah nyata sangkaanku meleset. Rumah yang kusangka tidak berorang rupa-rupanya ada penghuni. Faruk ada di rumah? Kudengar suara Faruk bercakap-cakap dari dalam kamar tidurnya. Mengapa tadi aku tidak melihat keretanya di ruang parkir? Aku menutup pintu perlahan-lahan. Aku tidak mahu mengejutkan Faruk. Siapa yang dibawa Faruk masuk sehingga ke dalam kamarnya?
Hatiku tertanya-tanya. Namun kutahan diriku daripada mengintip perlakuannya meskipun pintu kamar sedikit renggang. Aku curiga tika terdengar suara tawa. Faruk sendirian atau ada orang lain? Aku benar-benar ingin tahu tapi aku takut nanti Faruk akan mengamuk sekiranya aku menjenguk ke kamarnya. Apa hakku untuk campurtangan? Dia sendiri selalu membiarkan aku berbuat sesuatu yang aku suka, tidak pernah sekali pun menentang. Malah dia tidak pernah bertanya dengan siapa aku keluar dan ke mana aku pergi. Kalau aku pulang lewat sekalipun dia selamba sahaja, pura-pura tidak mengerti.
Namun aku tidak pernah pulang lewat, selewat petang ini. Aku terus berlalu masuk ke kamarku, mandi dan membersihkan diri. Kemudian mendirikan salat asar. Disebabkan waktu asar sudah tiba ke penghujung aku lantas menunggu maghrib. Setelah selesai salat maghrib barulah aku keluar dari kamar tidur. Aneh… suasana begitu aman dan sepi. Faruk sudah keluar.
Aku termenung sendiri. Aku terlalu lama di dalam kamar tadi, sehingga aku tidak tahu apa yang berlaku di dalam rumahku sendiri? Rumahku. Ha, iyalah inikan rumahku dan Faruk. Sepatutnya dia menghormati hakku sebagai isteri. Beraninya dia membawa balik kawannya. Kawan? Benarkah kawan? Mengapa sampai dibawa masuk ke dalam kamar tidur?
Dadaku berdebar. Cemburukah aku? Bagaimana kalau dia benar-benar punya girlfriend di luar sana. Sikapnya terhadapku bukankah benar-benar pelik. Aku sudah penat meneka sikapnya yang sentiasa berubah. Aku tidak tahu apakah dia sukakan aku atau membenciku?
Rasa ingin tahuku kian memuncak. Kudapati Faruk tidak mengunci kamar tidurnya. Dia memang aneh dalam soal ini. Kadangkala pintu biliknya berkunci terkadang tidak. Atau dia sememangnya sengaja untuk membuat aku tertanya-tanya. Aku melangkah masuk perlahan-lahan. Cadar kelihatan agak berselerak. Begitu juga comforter dan bantal. Aku memandang sahaja tiada keinginan hendak mengemasnya.
Sempatku bayangkan Faruk tidur di situ sendirian. Tanpa sesiapa. Tapi petang tadiku tahu dia bersama seseorang. Aku berjalan mengelilingi biliknya dengan pelbagai perasaan yang berserabut. Aku bagaikan tercari-cari sesuatu. Tetapi tidak terlihat sesuatu yang mencurigakan. Tiada pun pakaian perempuan yang tertinggal. Ada beberapa helai t.shirt dan kemeja kotor di dalam bakul. Juga sehelai seluar slack dan tali leher. Sangat kukenal baju-baju itu kepunyaan Faruk semuanya.
Aku menyelak cadar, menjenguk ke bawah katil. Juga tiada apa-apa. Kosong. Aku bingung sendiri. Satu perasaan baru menyelinap dalam dadaku. Aku cemburu… Aku bimbang Faruk memiliki seorang kekasih di luar sana. Aku isterinya. Bukankah aku berhak untuk memiliki perasaan itu? Agh! Bingung aku dibuatnya. Mengapa aku beria-ria sangat hendak tahu? Faruk sama sekali tidak pernah peduli. Faruk punya dunia yang tersendiri begitu juga dengan aku…
Tidak. Aku bukannya cemburu. Aku hanya ingin tahu sahaja. Kulepaskan keluhan berat. Tidak sedar kudengar gerakan di muka pintu bilik, Faruk muncul secara tiba-tiba. Aku terperanjat, rasa gementar dan takut seolah-olah jadi satu kesalahan masuk ke kamarnya tanpa izin.
Kuperhati Faruk yang mengenakan seluar trek dan t.shirt yang ringkas sahaja. Kusangka dia sudah keluar ke mana-mana. Tapi rupa-rupanya dia hanya keluar sebentar.
“Kau buat apa kat sini?” Tanya Faruk.
Aku tak boleh menjawab pertanyaan mudah itu. Lidahku kelu dan tersekat-sekat.
“Tersalah bilik? Atau sengaja memeriksa bilik aku?” Faruk tertawa. Tawanya penuh ejekan dan sinis. Aku merasakan mukaku merah padam. Faruk datang mendekati lantas terus membaringkan tubuhnya di atas tilam. Aku cepat-cepat bangun tapi Faruk menangkap lenganku. Dia menarik aku supaya duduk di tubir katil. Aku menurut, lututku terasa lemah dan tidak berdaya hendak membantah. Aku takut sebenarnya.
“Kau bayangkan aku bersama seseorang di katil ni? Aku ingat kau seorang perempuan yang dingin, yang tidak peduli sama sekali padaku.” Kata Faruk.
Siapa yang tidak peduli? Siapa yang lebih dahulu bersikap sombong? Soalku hanya di dalam hati sahaja. Kata-katanya telah membuat hatiku rasa demikian pedihnya. Mengapa dia tidak mahu sedar satu kebenaran bahawa dialah yang menerajui semua ini?
“Fiqah! Kau suka pada aku?” Tanya Faruk tiba-tiba.
Aku tergamam. Aku tidak akan menjawab apa-apa. Mengapa dia bertanya begitu kasar sekali? Apakah dia tahu, seorang wanita suka dilayan penuh dengan kelembutan dan kasih sayang. Bukannya dengan kata-kata keras, seperti perintah sahaja. Maaf… bisikku di dalam hati. Tidak akan kujawab soalan yang mengarut tu! Suka padanya? Langsung tidak. Tahukah kau cintaku tertumpah hanya pada Abang Imran.
Faruk bangun. Dia meletakkan tangannya di atas bahuku, kemudian dengan kasar meramas bahuku yang berbalut dengan baju tidur. Aku menolak tangannya perlahan-lahan. Dia membiarkan sahaja aku berdiri jauh dari katil. Dia tidak memaksa.
“Kau fikir, aku punya rasa setiap kali melihat kau? Aku berkahwin pun kerana permintaan mama.” Akhirnya Faruk berterus terang juga. Kata-kata itu aku rasakan begitu kejam. Jika dia membenciku jangan sesekali melahirkannya. Akan kuingat sampai bila-bila setiap kata-katanya itu.
“Saya tahu abang tidak sukakan saya. Saya…” Jawabku lambat-lambat.
“Suka atau tidak, itu bukan masalah yang sebenar.” Sampuk Faruk sebelum aku sempat menghabiskan kata. “Masalahku bukan kerana tiada rasa cinta pada kau, Fiqah. Bukan. Kau tahu tak, masalah ini jauh lebih besar. Jauh daripada apa yang engkau fikirkan. Aku rasa, fikiran kau takkan mampu menafsirkannya. Aku tak fikir begitu… Kau terlalu naif, lurus dan jujur.” Kata Faruk lagi sambil memandang padaku.
“Terus terang aku katakan, aku mahu kau terus berada di sini. Maksudku jadi isteriku selama yang mungkin. Sebenarnya dah lama aku ingin mengajak kau berbincang secara terbuka. Tapi aku tak tahu kau dapat menerimanya ataupun tidak, sebab engkau ni belum matang. Engkau masih mentah. Sebab itu juga aku biarkan kau keluar, bergaul dan bercampur. Kenal dengan masyarakat KL ni.”
Aku diam dan menunggu.
“Sekarang aku mahu tahu perasaan kau terhadapku…” Kata Faruk sambil memandang tepat padaku.
“Entahlah. Saya pun tak tahu.” Jawabku jujur sambil mengangkat bahu.
Faruk tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. “Janganlah takut untuk meluahkan perasaan kau. Aku belum pernah makan orang. Walaupun aku nampak kasar dan serius. Tapi aku sebenarnya seorang yang amat bertimbangrasa. Aku suka berterus terang, jadi aku harap kau takkan ambil hati terhadap apa yang aku katakan.”
Aku diam lagi, cuba memahami diri Faruk. Dia memang manusia yang berbeza. Amat berbeza sekali dengan Abang Imran yang lembut dan penyayang.
“Jangan bimbang dan jangan takut.” Kata Faruk sambil berjalan ke arahku lantas berdiri di hadapanku. “Aku takkan sentuh kau, Fiqah!”
Aku kaget mendengar kata-katanya itu. Hatiku tak keruan. Memanglah aku jadi takut tak tentu hala apabila berada begitu dekat dengannya. Pertama kali tidur sebilik dan sekatil dengannya aku tak dapat melelapkan mata.
“Sekurang-kurangnya sehingga kau membenarkannya!” Kata Faruk sambil mengenyitkan matanya. Aku terus berlari menghala ke bilikku. Tidak perlu aku mendengar kata-kata Faruk lagi. Aku tidak akan sanggup untuk membenarkan tubuhku disentuh oleh Faruk.
Apa ni Fiqah? Bukankah dia berhak untuk menyentuh kau. Malah dia punya hak untuk melihat seluruh tubuhmu. Bukankah kau sudah pun menjadi miliknya yang mutlak. Suara hatiku mulai berbicara lagi. Tapi fikiranku cuba menafikannya. Dia sangat pengasar, tidak berperasaan langsung. Sekurang-kurangnya biarlah sehingga aku dan dia sama-sama punya rasa sayang antara satu sama lain. Apakah masanya akan tiba buat kami saling menyayang antara satu sama lain?
Soalan itu tidak mampu kujawab. Dalam hatiku masih ada Abang Imran yang sangat kucintai. Sudahlah… Berhentilah berangan-angan. Hadapilah kenyataan! Bantah hatiku untuk kesekian kalinya.


Bab 19


“MAK dah tetapkan tarikh perkahwinan kau Im.” Kata Latipah semasa Imran baru sahaja melabuhkan punggungnya di sofa. Dia memandang emaknya tidak berkelip. Baru 2 bulan lepas emak memberitahu hendak merisik. Alih-alih kini emaknya menyatakan dia sudah menetapkan tarikh perkahwinan pula.
Sepahit manapun kenyataan itu harus jua dia telan. Dia terpaksa menerima semuanya sebagai takdir. Sebagai manusia yang tahu berterima kasih dia tetap menadah tangan mensyukuri nikmat Allah. Bukankah nikmat Allah itu terlalu banyak yang sudah diturunkan kepadanya sejak kecil sehingga dewasa begini. Tak perlu dia merungut ataupun marah. Bukankah jodoh itu di tangan Tuhan. Tuhan Maha Mengetahui. Sesiapa saja yang ditakdirkan menjadi isteri, adalah jodoh terbaik yang telah ditentukan Tuhan.
“Tak payah bertunang. Kita buat sekali. Bertunang beberapa jam, lepas tu terus akad nikah.” Terang Latipah sambil tersenyum lebar.
“Pihak perempuan dah setuju. Belanja kahwin RM6,000.00. Hantaran 9 dulang… Mak dah runding dengan keluarga perempuan. Itulah keputusan yang sudah dipersetujui bersama.”
Imran diam lagi. Tiada kata yang terluah dari mulutnya. Tapi hatinya merelakan. Dia ikhlas dan redha menerima segalanya. Latipah masuk ke dalam lantas keluar semula membawa sekeping gambar. Diserahkannya kepenatapan Imran. Imran merenung sejenak gambar yang baru diberikan emaknya. Memang dia akui Najiha sempurna, cantik dan manis. Bertudung litup. Tiada apa yang kurang. Sesungguhnya dia tidak boleh membantah.
“Apa pendapat kau? Cantikkan?” Tanya Latipah apabila dilihatnya Imran diam sahaja.
Imran mengangguk. “Cantik mak.”
“Mak tak salah pilih Im. Budaknya baik dan bersopan santun. Malam ni kita ke rumahnya. Boleh bertemu secara empat mata.”
Imran menggelabah mendengar kata-kata emaknya. Latipah mentertawakan Imran.
“Engkau ni macam tak biasa dengan perempuan. Dulu kan kau pernah berkawan dengan Irma tu! Mengapa kau tak menggelabah?”
“Dia tu lain mak… Yang ni lain. Seganlah.”
“Buat apa nak segan? Dah kahwin nanti hilanglah rasa segan tu!” Kata Latipah sambil tertawa galak.

IMRAN sengaja menunggu Julia Afiqah keluar dari kolej. Dia sudah pun menghubungi melalui telefon bimbit, menyatakan dia menunggu Julia Afiqah keluar dari kelas.
“Ada kelas lagi lepas ni?” Dia bertanya semasa Julia Afiqah sudah pun masuk ke dalam kereta.
Julia Afiqah menggeleng. “Abang nak ajak saya pergi ke mana?”
“Kita pergi makan tengahari.” Kata Imran sambil memandu keretanya menghala ke Kampung Baru. “Kita makan kat Kampung Baru. Di sana banyak pilihan.”
Julia Afiqah menurut sahaja. Mereka makan di sebuah restoran di Jalan Raja Muda Musa. Suasana di situ agak sibuk. Ramai pelanggan memenuhi restoran. Mereka mencari tempat kosong.
Julia Afiqah jarang makan tengahari. Tetapi melihat masakan yang enak di restoran itu, dia memilih lauk hingga penuh pinggan. Buruknya perangai, bisik hatinya sambil memerhati udang besar masak pedas, ikan percik serta pajeri terung yang ada di dalam pinggannya. Banyaknya! Laratkah aku menghabiskannya…
Itulah makan ikut nafsu. Nampak makanan yang menyelerakan semua hendak dimasukkan ke dalam pinggan. Julia Afiqah memerhati Imran. Lelaki itu hanya mengisi nasinya dengan seketul ikan tenggiri masak kari dan sayur kubis goreng.
“Banyaknya lauk… Tak habis nanti, kena!” Kata Imran seperti mengugut.
“Habis! Abang tengoklah nanti!”
“Tak takut gemuk? Nanti Faruk lari…” Usik Imran sambil tergelak kecil.
“Biarlah dia nak lari. Saya cari lain.” Jawab Julia Afiqah sengit.
“Amboi! Ganasnya! Sejak dah kahwin ni bertambah berani. Dulu bukan main lurusnya. Nak pandang lelaki pun takut.” Ejek Imran.
“Abang tu sengaja usik-usik saya macam tu. Saya bukannya takut dengan lelaki. Saya cuma berhati-hati, tak mahu terjebak dengan lelaki yang berniat jahat.” Julia Afiqah mencebirkan bibirnya.
Imran mengangguk, dia mengerti maksud kata-kata Julia Afiqah.
“Faruk baik pada adik?” Sudah lama dia ingin bertanya tentang perihal Faruk. Dia amat berharap Faruk dapat menjaga Julia Afiqah dengan baik. Doanya Julia Afiqah akan bahagia. Memandang wajah adiknya petang itu hatinya berdetik. Ada sesuatu yang disembunyikan oleh Julia Afiqah. Ada kesedihan yang tersimpan di sudut hati yang paling dalam. Namun gadis itu tetap memaniskan wajah, dengan senyum dan gurau senda. Dia ternyata berpura-pura riang tapi sebenarnya tiada keceriaan dalam matanya.
“Huh! Baik… sangat baik.” Jawab Julia Afiqah dengan mulut yang penuh. Dia mulai makan.
Imran memaksa dirinya untuk menyuap makanan. Dia berharap seleranya akan hadir, bersama hadirnya Julia Afiqah di hadapannya. Puas diusir rasa rindunya pada gadis yang satu ini tetapi ianya tidak kunjung tiba. Setelah pertemuan rindunya akan bertambah menggunung untuk bertemu lagi. Terkadang dia merasa tiada gunanya dia bertemu dengan Julia Afiqah lagi. Gadis itu sudah pun berpunya. Untuk apa bertemu? Pertemuan antara abang dan adik, pujuk hatinya. Dia tidak percaya lagi pada diri sendiri.
Kalau pertemuan ini benar jujur antara abang dan adik, mengapa dia selalu mengharap satu pertemuan yang panjang dan lama. Mengapa dia rasa berat hati hendak melepaskan gadis itu pergi. Dan petang ini barangkali pertemuan terakhir sebelum dirinya dimiliki.
“Dik… Abang nak kahwin.”
Kata-katanya yang spontan itu buat Julia Afiqah tersentap. Dia terbatuk-batuk. Benar-benar dia terkejut. Mukanya serta merta jadi merah. Dia cepat-cepat meneguk air sehingga habis setengah gelas. Imran memerhati sahaja, kesal kerana kata-katanya yang spontan meluncur keluar itu begitu mengejutkan Julia Afiqah.
“Abang nak kahwin? Dengan siapa?”
“Dengan perempuan.” Imran cuba berlawak.
“Saya tahulah dengan perempuan. Takkan dengan pondan. Perempuan mana? Bukan Kak Irma?”
“Tentulah bukan. Pilihan mak. Kau tentu kenal dengan Najiha anak Lebai Manaf?”
“Kak Jiha? Tentulah saya kenal…”
“Dialah bakal isteri abang.”
“Bertuahnya dia.” Bisik Julia Afiqah antara dengar dan tidak. Dia terus menunduk, menghabiskan makanan yang masih banyak. Dia cuba makan dengan laju, supaya nampak berselera tapi sebenarnya dia cuma memaksa diri. Tekaknya terasa menolak makanan. Dia hampir-hampir memuntahkannya semula. Wajahnya jadi merah. Cepat-cepat dia minum air agar makanan itu segera tertolak melalui kerongkongnya.
Imran juga diam, berusaha keras menghabiskan makanannya. Julia Afiqah gagal menghabiskan nasi serta lauk pauk yang banyak mengelilingi pinggan. Imran pun tidak menegur. Tidak juga mengusik muka Julia Afiqah yang sudah tidak ceria lagi. Imran tidak ingin mengeruhkan lagi suasana itu dengan memberikan kad perkahwinannya untuk Julia Afiqah dan Faruk walaupun pada awal pertemuan tadi dia berniat begitu.
“Abang hantar adik balik.” Kata Imran.
Julia Afiqah mengangguk. Tiba di hadapan kondo, Imran cuba bersuara untuk mengembalikan kedinginan antara mereka. Berita perkahwinannya benar-benar mengeruhkan wajah Julia Afiqah.
“Tak nak ajak abang masuk ke rumah baru adik?”
“Abang Faruk tak ada.”
Imran mengangguk. Dia memerhati Julia Afiqah keluar dari kereta, lantas melambai ke arah gadis itu sebelum berlalu.
Tuhan! Biarkan dia pergi dari hidupku. Sesungguhnya kami bukan dilahirkan untuk bersama. Sepatutnya sejak dulu aku harus menyedarinya. Mengapa mesti aku terperangkap dengan perasaan yang semakin aneh ini. Antara kami hanya wujud perhubungan adik beradik. Tiada hubungan yang lebih istimewa daripada itu. Dan dia selama-lamanya akan bertakhta di hatiku, seorang adik yang sangat kusayangi… Hati Imran terus berbisik meskipun Julia Afiqah tiada lagi di sisinya.
Bersama hati yang kekosongan dia membawa tubuhnya yang lesu kembali ke pejabat. Masih ada beberapa jam waktu yang tersisa, sebelum waktu bekerja tamat untuk hari itu.
Adik… Maafkan abang kerana menyayangimu lebih dari sepatutnya! Akan abang kikis dan buang perasaan ini. Semoga wajahmu tidak mengekori abang hingga ke dalam tidur, ke dalam mimpi dan ke dalam setiap khayalan abang… Imran benar-benar tidak dapat melupakan Julia Afiqah, adiknya yang sangat istimewa itu.


Bab 20


KESIBUKAN Abang Imran membuat majlis perkahwinannya tertunda. Bukan sengaja Abang Imran berniat demikian. Dia terpaksa ke Singapura menghadapi perjumpaan yang bertemakan teknologi maklumat. Pameran tentang teknologi multimedia juga diadakan selama tiga hari. Kemudian Abang Imran akan berlepas pula ke Korea.
Mak Lang tidak dapat berbuat apa-apa. Hasratnya untuk menerima menantu dalam waktu terdekat ini tidak tercapai. Semasa Abang Imran meminta perkahwinannya ditangguhkan, aku menerimanya bersama satu harapan. Doaku perkahwinan itu tidak akan berlangsung. Betapa jahat aku!
Aku pulang ke rumah Mak Lang setelah hampir dua bulan meninggalkan rumah ini. Terasa masa yang kutinggalkan itu begitu lama. Rumah ini kurasakan tidak sama lagi. Abang Imran juga merasakannya begitu. Kami duduk di berenda selepas makan malam. Mak Lang tidak menyertai kami. Sebenarnya aku pulang dihantar Faruk, tetapi dia buru-buru pergi dengan alasan sibuk. Dia meminta maaf dengan Mak Lang kerana tidak sempat bermalam di rumah itu.
Abang Imran sudah pulang lebih awal semalam. Jika aku tak balik hari ini, pasti tidak berkesempatan untuk bertemu dengannya lagi, kerana dia akan bertolak ke Singapura esok.
“Boleh abang tanya sesuatu?”
Aku memandang Abang Imran sejenak kemudian berkata; “Tanyalah. Tapi jangan soal yang berkaitan dengan Faruk.”
Abang Imran ketawa. “Kenapa tak boleh bertanya tentang dia?”
“Tak suka.” Jawabku tegas.
“Okey.” Abang Imran mengangguk. Dia diam. Aku tertunggu-tunggu apa yang ingin dia tanyakan padaku. Mengapa kini dia membisu tanpa kata. Sukarkah persoalan yang ingin dia utarakan itu.
“Mengapa abang tengok muka adik berseri-seri masa mak beritahu perkahwinan abang ditangguhkan.”
Aku terkejut mendengar pertanyaannya itu. Jelas dia memang memerhati wajahku dan dapat membaca riak di hatiku.
“Sebab…” aku terdiam mencari-cari ungkapan yang sesuai. “Sebab saya masih punya kesempatan yang banyak untuk memikirkan hadiah yang sesuai untuk abang.”
“Begitu ke? Atau ada sebab-sebab lain?” Abang Imran meminta kepastian.
“Mengapa pula abang fikir saya tak suka abang kahwin? Abang hendak mendirikan masjid, mencari keberkatan dan keredhaan Allah. Takkanlah saya tak suka. Takkanlah saya gembira pula melihat perkahwinan ini ditangguhkan.”
“Yalah.” Kata Imran dengan hati yang berat. “Masa adik nak kahwin dulu, abang susah hati. Abang takut adik tak bahagia. Sekarang abang yakin, adik sangat gembira bersuamikan Faruk.”
Aku terdiam. Perlukah aku mencurahkan rahsia rumah tanggaku pada Abang Imran? Tidak. Aku teringat pada kata-kata Pak Lang, supaya aku menyimpan rahsia rumahtangga jangan sampai terburai dan diketahui orang lain. Berdosa sekiranya aku menceritakan aib suami. Ceritalah sesuatu yang baik...
Apakah Faruk benar-benar seorang suami yang baik? Aku tidak tahu sebenarnya. Kebaikan hati Faruk belum aku rasai dengan sesungguhnya. Bagaimanakah aku mahu menyatakan dia seorang suami yang baik. Kadang-kadang aku rasa terhina dengan sikapnya yang tidak mempedulikan aku, menganggap aku tidak wujud di rumah itu. Terkadang dia sedikit mesra, mengajakku bersarapan bersama. Tetapi dia belum pernah mengajak aku keluar bersamanya ke mana-mana. Tiada seorang pun kawan-kawannya kukenali. Dia tidak pernah membawa aku ke majlis. Malah sehingga kini pun aku tidak tahu di manakah pejabatnya. Dan aku tidak pernah sekalipun berhasrat hendak ke sana.
Suatu masa, Faruk pernah membawa pulang beberapa buah majalah lantas meletakkannya di dalam librari kecil di rumah. Aku belum pernah membeleknya. Aku tidak berminat dengan majalah lelaki.
Pulang dari kampung, tiba-tiba aku rasa teringat hendak melihat hasil kerja suamiku. Dan aku pun membuka helai demi helai majalah yang dikhaskan untuk lelaki itu. Memang kandungannya tidak mengecewakan. Ada juga terdapat foto-foto model perempuan dengan pelbagai pose yang menarik.
Aku terus teringat pada Wanie dan Emilia yang ghairah sangat hendak jadi model. Aku boleh juga merekomen mereka pada Faruk. Ahhh… tak mungkin! Aku tak boleh membuka rahsiaku yang tersimpan. Mereka tidak tahu pun aku sudah berkahwin. Aku takut aku kehilangan kawan kerana dituduh cuba berbohong dengan menyembunyikan perihal sebenar diriku.
Kudapati Faruk seorang yang hebat, berkarisma, punya tahap kewangan yang kukuh. Patutlah dia tidak kisah menghambur-hamburkan duit padaku walaupun tidak pernah memberikan kemesraan yang berlebihan. Dia pun sebenarnya suka dengan kemewahan. Pakaian Faruk semua berjenama terkenal buatan luar negara. Minyak wangi dan bedak yang dipakainya juga mempunyai jenama terkenal. Dia memang seorang yang bercitarasa tinggi.
Hari minggu aku terbangun dari tidur dan terhidu bau masakan datang dari dapur. Faruk memasak? Apa mimpinya malam tadi sehingga dia sanggup turun ke dapur. Aku bangun dan berjalan ke dapur untuk melihat apakah benar Faruk sedang menyediakan sarapan.
“Good morning.” Sapa Faruk mesra. “Cuba rasa…” Dia menghulur senduk ke bibirku supaya aku dapat merasai masakan yang masih ada di atas dapur.
Aku mencicipnya sedikit dengan hujung. Terasa sedap. Cukup segalanya rasa masam, manis dan masin.
“Sos apa ni?” Tanyaku ingin tahu.
“Speghati dengan sos bebola daging.”
Aku terkejut, tidak sangka Faruk akan memasak sendiri masakan kegemarannya.
“Sekarang kau pergi mandi dan berpakaian kemas, supaya kita boleh sarapan bersama.” Faruk menolak bahuku dengan mesra.
Aku menurut sahaja segala permintaan Faruk. Dia sudah menyiapkan meja untuk tiga orang. Dahiku berkerut melihat dia menyusun pinggan dengan kemas dan cantik. Diletakkan juga sekuntum mawar merah di dalam vase kaca di tengah-tengah meja bulat yang beralas seperah berwarna putih.
“Sekejap lagi mama nak datang. Dia beritahu awal pagi tadi…” Kata Faruk sambil tersenyum.
Barulah aku mengerti. Faruk tidak ke mana-mana pagi itu kerana mama hendak datang menjenguk kami. Terus rasa kagum dan ceria yang baru datang menjenguk hilang dibawa angin. Faruk mulai menunjukkan kemesraannya di depan mama. Dia memegang tanganku dengan erat semasa kami berbual-bual.
Sebelum mama datang, dia telah berpesan dan mengajar aku mengelak sekiranya mama bertanya soalan yang sensitif, terutama sekali yang menyentuh soal anak. Dia memberitahu mama amat berharap supaya kami segera punya anak. Aku pun jika boleh turut ingin mengelak daripada soalan cepu emas itu. Aku mahu menamatkan kursus. Jika aku sudah dapat sijil nanti, aku akan terus berusaha untuk mendapatkan diploma pula, Kemudian ijazah… Amboi, tingginya cita-citaku. Faruk tidak pernah berjanji hendak menolongku mendapatkan apa yang aku mahu. Belajar di kolej swasta, bayarannya agak mahal. Hanya mereka yang benar-benar punya duit yang mampu untuk menanggung kosnya.
Mama tidak menunggu waktu makan tengahari. Sejam selepas makan pagi dia pun beredar. Dia mencium pipiku sambil berkata; “Kau nampak semakin kurus Fiqah. Makanlah banyak sikit.”
“Insya Allah. Saya tak pernah lupa makan. Tapi saya banyak berjaga malam untuk study sebab itulah badan saya susut sedikit.”
“Jaga kesihatan.” Pesannya sebelum pergi.
Selepas mama pergi, Faruk pun bersiap-siap hendak keluar. Dia memang tidak pernah mahu diam di rumah pada hari minggu. Aku tak tahu dia hendak ke mana. Selalunya bila dia melangkah keluar, aku pun turut bersiap-siap untuk pergi membeli belah. Faruk telah memberikan aku kad kredit. Jadi sia-sia saja jika aku tidak menggunakannya.
Alangkah baiknya jika Abang Imran ada, boleh juga kuajak dia shopping. Tapi kini abang Imran berada di Singapura. Rindunya aku pada Abang Imran bila kutahu dia berada jauh dariku.
Aku berjalan-jalan sendiri di Alpha Angle. Entah apa yang kucari. Sebenarnya aku hanya melihat-lihat sahaja jika ada sesuatu yang menarik. Penat kaki berjalan aku mencari restoran untuk membasahkan tekak dan meluruskan kaki. Semasa sedang menikmati minuman aku terlihat kelibat Faruk. Aku tersentak. Memang aku kenal sangat dengan tampang wajah dan binaan tubuhnya. Aku menegakkan badan, mataku terus mengawasi gerak gerinya. Dia sedang berjalan bersama seorang anak muda. Mesra sekali mereka berbual. Faruk tidak putus-putus mengukir senyum dan tertawa. Aku mengambil keputusan untuk mengekori Faruk dan rakannya. Ke mana mereka hendak pergi?
Aku memerhati dari jarak yang tidak begitu jauh. Dapat kuagak usia anak muda itu hampir saja sebaya denganku atau lebih sedikit. Mereka masuk ke kedai pakaian lelaki. Aku seperti pernah melihat wajah anak muda itu. Kemudian barulah aku teringat bahawa anak muda itu adalah model yang terdapat dalam majalah keluaran terbaru syarikat Faruk.
Baiknya hati Faruk sanggup membelikan pakaian untuk anak muda itu. Aku leka memerhati mereka. Faruk sedang asyik memerhati anak muda itu memilih pakaian. Kemudian dia meraba-raba poket seluarnya lantas mendail nombor telefon seseorang. Aku terperanjat apabila telefon bimbitku berbunyi. Kulihat Faruk yang menghubungiku.
Ehhh… Apakah dia telah melihat aku? Tak mungkin! Dalam soal ini aku amat berhati-hati.
“Fiqah! Engkau kat mana? Di rumah?”
“Tak… Tak!” Jawabku. “Saya sedang makan dengan kawan.”
“Okey.” Kata Faruk tanpa sebarang rasa curiga. “Pukul berapa balik ke rumah? Lewat?”
“Ya. Lewat petang. Lepas ni kami nak menonton wayang.” Aku terus membohonginya. Faruk mematikan telefon bimbit. Dia senyum ke arah anak muda yang kini sudah berdiri di sisinya sambil membawa dua buah beg kertas berisi pakaian baru. Mereka segera beredar pergi dari situ. Aku terpaku tidak bergerak. Tiada hasrat hendak mengekori mereka lagi.
Biarlah! Bisik hatiku sendiri. Bukankah aku tak perlu risau kerana dia bersama seorang lelaki?

“LINE clear.” Kata Faruk sambil tersengih. “Kita ke rumahku saja. Sebab isteri aku tak ada di rumah.”
“Betul ke?” Tanya anak muda di sisinya sambil tersenyum.
“Betul. Aku baru menghubungi tadi. Dia keluar makan dengan kawannya lepas tu pergi tengok wayang.”
“Macamana kalau dia balik seperti hari tu?” Tanya temannya lagi.
“Tak usah bimbanglah Adie! Hari tu dia tak tahu pun. Tapi semasa selepas aku hantar engkau balik, dia ada masuk ke kamarku. Aku hampir-hampir tergelak kerana dia seperti mencari sesuatu. Agaknya dia mencari pakaian perempuan… manalah tahu kalau-kalau ada yang keciciran.”
Adie dan Faruk sama-sama tertawa.
“Dia takkan jumpa apa-apa!” Kata Faruk di hujung tawanya. Kereta terus dipandu laju menghala ke destinasi yang sudah pasti.

AKU terus berjalan-jalan sendirian. Bosan juga berjalan sendirian, tiada teman untuk diajak berbual. Aku cuba menghubungi Emilia dan Wanie. Telefon bimbit mereka berdua tidak aktif. Barangkali di saat seperti mereka sedang berdengkur. Maklumlah semalam malam minggu, sudah tentu tidur lewat. Kalau tidak keluar, mereka berdua suka sangat menonton movie hingga pukul satu atau dua pagi.
Aku cuba menghubungi Syamil. Gamble sajalah kalau-kalau dia di rumah. Ternyata dia memang ada di rumah. Katanya sedang menonton televisyen. Tanpa dipelawa pun dia sudah menawar diri untuk menemani aku. Aku terus bersetuju tanpa berfikir panjang. Soalnya aku bosan banget!
Sambil menunggu Syamil aku beli majalah. Kudapati banyak majalah keluaran syarikat Faruk di kios. Hmmm… Terkenal juga rupanya majalah-majalah keluaran syarikat suamiku itu. Sedikit rasa bangga terselit di hati. Cuma buat diri sendiri. Bukankah tiada sesiapa pun tahu Faruk itu suamiku. Entahlah… Sehingga bila aku akan menerima dirinya dan begitu juga sebaliknya. Kami masih mencari titik penyesuaian. Benarkah begitu? Aku bagaikan tersentak sendiri. Bukankah sekarang aku sedang menunggu seorang kawan lelaki? Tapi aku tak ada perasaan apa-apa pada Syamil. Hanya kawan biasa. Tak ubah seperti aku mendampingi Emilia dan Wanie.
Ahhh… Tiba-tiba aku rasa bersalah. Aku rasa diriku jahat. Tadi Faruk berjalan dan shopping bersama kawan lelaki, tapi aku sebaliknya mencari kawan yang bukan sejenis. Apa aku dah buat ni? Jahatnya aku! Buruknya perangai…
Mujur juga aku duduk di KL. Kalau aku duduk di kampung, pastilah aku sudah jadi buah mulut. Ceritaku tidak akan habis diperkatakan orang.
Syamil tersengih sambil berlari-lari mendekatiku.
“Lama ke tunggu?” Tegur Syamil. “Lepas engkau call aku, bersiap ala kadar, terus blah.”
“Tak sempat mandi? Patutlah busuk!” Usikku.
Syamil hanya tersengih. “Aku tak mandi tiga hari pun wangi!” Katanya sambil mencium bajunya sendiri. “Ehhh… Ke mana kita? Tengok wayang nak?”
Aku hanya mengangkat bahu.
“Jom, kita pergi KLCC.” Ajak Syamil bersungguh-sungguh.
“Kau bawa motor atau kereta?” Tiba-tiba aku jadi seorang yang materialistik. Aku memandang betapa selesanya menaiki kereta berbanding motorsikal. Tak sanggup rasanya aku hendak membonceng motorsikal Syamil. Aku takut dia bawa laju-laju lantas aku terpaksa memegang tubuhnya.
“Kereta.” Jawab Syamil tersengih macam kerang busuk. “Aku tahu kau takkan mahu naik motosikal aku. Mujur kereta mak aku ada di garaj.”
Aku mengangguk.
“Hari tu siapa yang jemput engkau balik?” Syamil tidak dapat menahan dirinya dari bertanya. Aku memandang Syamil, melemparkan senyuman.
“Abang sepupu. Sekarang ni tak ada, pergi outstation ke Singapura.” Ceritaku tanpa dipinta. Syamil mengangguk. Nampaknya tidak curiga lagi. Mengapa aku harus menghapuskan rasa curiga Syamil itu dengan mencerita perihal sebenar? Mengapa tidak aku katakan saja, dialah lelaki yang kucintai. Tapi dia akan berkahwin tak lama lagi…
Aduh… Aku tiba-tiba rasa sakit kepala memikirkannya.
“Diam aje…” Tegur Syamil apabila aku tidak lagi berbual dengannya, sebaliknya terus tenggelam dalam lubuk khayalanku sendiri.
Aku menoleh padanya tersenyum lalu berkata; “Penat.”
“Okey. Jom kita round KL dengan kereta lepas tu kita singgah di KLCC.” Spontan Syamil menarik tangannku. Aku ingin melepaskan diri dari pegangannya namun takut dia tersinggung. Aku terpaksa membiarkan dia menarikku menghala ke luar dari kompleks beli-belah yang besar dan luas itu.
Selepas menonton, kami makan di restoran Nando’s KLCC. Semasa melihat jam hatiku berdetik, sudah terlalu lewat rupanya. Waktu maghrib sudah pun menjelang. Betapa jahatnya aku kerana terlalai dan terleka begitu jauh. Aku meminta diri daripada Syamil. Pemuda itu berkeras hendak menghantar aku balik.
Aku tidak dapat menolak lagi. Aku terpaksa membenarkan Syamil menghantarku pulang.
“Tinggal dengan siapa? Kawan-kawan?” Tanya Syamil semasa dia mendongak memandang kondo yang aku diami. Dia berhenti hanya di luar pagar kondo. Aku mengangguk, mengucapkan terima kasih. Dia tersenyum.
“Jumpa lagi esok, di kolej.” Ucap Syamil sebelum pergi. Aku memerhati kereta Syamil bergerak pergi, kemudian barulah aku bergerak masuk. Semasa berjalan ke arah lif, mataku liar memerhati ruang parkir. Kulihat kereta Faruk ada di tempat biasa dia parkir. Faruk sudah balik!
Aku keluar dari pintu lif, bergerak lambat menghala ke pintu rumah. Daun pintu tolak perlahan setelah kunci dimasukkan ke dalam lubangnya. Daun pintu kututup perlahan, meletakkan kasut di dalam almari kemudian berjalan melintasi pintu dapur yang terletak di sebelah kananku. Aku terkejut melihat anak muda yang tadi kutemui di Alpha Angel ada di dapur rumahku. Apa yang dia sedang buat?
Dia juga terkejut melihat kemunculan. Lebih mengejutkan dia hanya memakai tuala, dadanya yang bidang dan lengannya yang berotot terserlah. Dia sedang memasak piza segera di dalam microwave. Aku hilang kata-kata. Mukaku pucat, terkejut yang amat sangat. Aku seperti tersalah masuk ke rumah orang. Dia juga nampak kaget.
Aku terus berjalan masuk ke kamarku dengan hati yang sarat dengan pertanyaan. Mengapa dia ada di rumahku? Apa yang dia buat. Di mana Faruk? Setengah jam kemudian aku keluar dari kamar selepas selesai salat maghrib. Rumah itu kembali kosong. Faruk dan kawannya sudah tiada. Yang tertinggal hanya sisa-sisa makanan dan dua biji pinggan kotor di dalam sinki.
Aku masih tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku di rumahku. Mengapa aku rasakan satu perasaan aneh kala melihat lelaki itu yang hanya bertuala sahaja. Sudah kutahu kini dia memang berada di dalam bilik tidur Faruk. Mereka sangat intim… Itulah yang aku ragui!
Aku menghadapi makan malam dengan hanya segelas susu dan potongan epal hijau yang ditaburi dengan sedikit garam. Faruk pulang di saat aku sedang menghabiskan susu yang sudah hampir sejuk.
“Siapa lelaki tadi?” Tanyaku ingin tahu.
“Hei! Kau dah mula menyoal. Apakah kau sudah bersedia?”
“Bersedia apa?” Aku bertanya semula.
“Kau faham maksudku.”
“Memang saya tak faham maksud abang.” Balasku.
“Kau sudah bersedia untuk menjalankan tugas kau sebagai seorang isteri…” Jawab Faruk. Dia tersenyum sambil mengenyitkan matanya.
Mukaku jadi merah padam. Aku memaling muka sebelum berkata dengan nada sinis. Aku mulai belajar menjadi orang yang sinikal persis Faruk. “Bila bersedia bila abang juga bersedia untuk menyayangi saya seperti seorang suami yang biasa.”
“Wah! Maksudnya aku ni luar biasa?” Tanya Faruk dan dia tertawa.
“Fiqah! Fiqah kau ni memang kelakar anak manis! Memang kelakar.” Faruk terus masuk ke dalam kamarnya. Dia masih tertawa dengan kerasnya. Kurasakan tawa itu persis orang tidak siuman.
Hatiku sakit, rasa dipermainkan. Tidak Faruk! Aku tak pernah ingin menyerahkan diriku padamu. Itu tidak akan berlaku sehinggalah aku menyerahkan hatiku untuk kau cintai terlebih dahulu. Dan masa itu kurasakan masih terlalu jauh. Jadi dia akan terus jadi orang asing walaupun kita dihalalkan untuk bersama.
Aku berbaring selepas Isyak, berhasrat untuk tidur sahaja. Hari ini memang meletakkan setelah mengukur luasnya kompleks Alpha Angle dan KLCC, lututku terasa amat lenguh sekali. Namun aku tersentak, apabila terlihat Faruk menolak daun pintu kamar tidurku. Tanganku cepat menekan suis lampu meja di tepi katil supaya bilik itu jadi terang.
“Aku ingin katakan sesuatu pada kau Fiqah…” Kata Faruk suaranya kudengar lirih dan sayu. Dia bagaikan sedang bersedih padahal tadi dia mentertawakan aku sepuas hatinya. Mentertawakan kebodohanku kerana percaya pada ulahnya…
“Maafkan aku, kalau aku menyeksa batin kau Fiqah. Aku ni bukan seperti yang kau sangka. Aku memang lain, bukan lelaki yang sempurna.” Dia duduk di hujung katil, memegang kakiku dengan kedua-dua tangannya. Kulihat ada sisa airmata di wajahnya.
Faruk? Ya Allah! Pemilik wajah serius dan sombong itu sedang menangis dan memegang kakiku dengan erat. Dan hampir saja dia meletakkan pipinya yang basah itu di hujung kakiku. Aku segera, mendengar kata-katanya yang sayu itu aku terpanggil untuk memegang tangannya.
“Abang percaya pada saya?” Tanyaku dengan lembut. “Kenapa jadi begini? Ceritakanlah saya mahu mendengarkannya…”
Faruk tidak bersuara dia tertunduk.
“Lelaki tadi tu… kawan aku. Maksudku bukan kawan biasa. Kami… Kami kekasih.”
Aku terperanjat. Terasa seperti ada bom yang meletup di hadapan mataku. Namun kukuatkan semangat untuk terus mendengar kata-kata seterusnya. “Mama tak tahu apa-apa. Tolonglah jangan sampai mama tahu rahsia ini. Aku memang tak dapat sembunyikannya daripada kau Fiqah. Aku tahu kau jenis perempuan yang baik. Kau kuat sembahyang, tapi aku ni tak sempurna untuk kau.”
Aku mengesat airmatanya dengan hujung jariku perlahan-lahan. “Tak… Jangan cakap macam tu.” Bisikku ke telinganya. “Saya akan simpan rahsia ini. Tidak akan ada yang tahu. Tapi berjanjilah dengan saya yang abang akan berubah.”
“Berubah? Aku tak boleh berubah Fiqah. Sudah bertahun-tahun kau hidup begini. Sejak di luar negara lagi. Aku tak boleh…”
Aku diam. Tidak sangka hal ini boleh jadi begitu rumit. Aku tidak pernah terfikir inilah masalah yang akan aku tempuhi dengan Faruk.
Pulang dari kolej hari itu, aku melayari internet mencari maklumat tentang tentang masalah yang sedang membelenggu kehidupan kami. Aku tak tahu apakah penyelesaian bagi masalah ini. Perkara ini masih baru bagiku. Aku masih terkejut, tidak tahu apa langkah seterusnya yang patutku ambil. Aku harus mencari tentang maklumi untuk lebih memahami keadaan ini. Apakah implikasi yang bakal dihadapi.
Aku ketemukan satu maklumat tentang homoseksualiti. Menurut kajian Alfred Kinsey yang dijalankan pada tahun 1940-an, kira-kira lima belas peratus daripada lelaki adalah homoseksual. Mereka lebih ghairah mencapai orgasme melalui pelancapan, seks mulut dan pergeselan mutual alat kelamin.
Aku hampir-hampir termuntah. Tanganku menggigil seluruh tubuh rasa seram sejuk. Ini memang satu kejutan yang amat menyakitkan. Mengapa lelaki yang bertingkah laku tidak normal itu adalah suamiku. Lelaki seperti Faruk lebih berminat pada kaum sejenisnya. Manusia-manusia akhir zaman sudah kembali zaman jahiliah.
Usia perkahwinan kami belum mencapai 3 bulan. Aku takut dengan pelbagai kemungkinan. Aku tidak mahu terus hidup begini, berapa lamakah aku harus berpura-pura bahagia di hadapan mama? Aku buntu. Sampai berapa lama aku mesti berpura-pura menyatakan bahawa Faruk suami yang sempurna, yang baik dan penyayang. Tetapi hakikatnya ianya terlalu jauh dari kenyataan, malah hampir-hampir mustahil.


Bab 21


KETENANGAN tidak langsung aku temukan sejak kutahu siapa sebenarnya Faruk. Terkadang aku malu sendiri hendak memandang mukanya. Aku cuma berdoa pada Tuhan semoga Dia berikan aku ketabahan untuk menempuhi dugaan hidup. Kuanggap ini adalah sebahagian ujian hidup, yang akan mendewasakan aku lantas menjadikanku manusia matang yang boleh mengambil keputusan tanpa penyesalan.
Faruk terus jua dengan aktiviti hariannya. Dia cuba berbaik-baik denganku, lebih baik dari sebelumnya. Malah dia mulai mengajakku menghadiri satu majlis.
“Majlis apa?” Tanyaku kembali semasa dia meletakkan sehelai gaun hitam yang elegen di atas katilku. Dia meminta aku memakainya pada malam esok.
“Makan malam anjuran rakan perniagaan. Ada penyampaian anugerah untuk pekerja-pekerja cemerlang. Aku antara tetamu yang dijemput. Harus bawa pasangan. Kau mahu ikut?”
Aku tidak menjawab. Tanganku membelek gaun hitam yang cantik itu tetapi sayangnya ia mendedahkan bahagian leher dan tidak berlengan pula. Mana sesuai denganku. Bukankah aku mengenakan tudung?
“Baju ni memang cantik.” Kataku pada Faruk sambil melemparkan secebis senyuman. “Tapi saya rasa ianya tidak sesuai dengan saya. Abang lupa saya pakai tudung ke mana-mana?”
“Oh! Ya…” Faruk sambil menepuk dahinya kesal.
“Kalau tak mahu pakai gaun ni simpan saja. Kau cari saja baju yang sesuai. Kalau boleh pakailah kebaya, baru nampak feminin.”
Aku teringat pada sehelai kebaya yang dibelikan oleh mama di sebuah butik tetapi aku belum pernah memakainya ke mana-mana. Aku akan memakai kebaya tersebut. Kuberitahu hal itu kepada Faruk juga menyatakan persetujuan untuk mengikutnya menghadiri majlis tersebut.
Faruk tiba-tiba mencium dahiku dengan mesra. “Terima kasih.”
Aku diam membatu. Tiba-tiba aku jijik apabila teringatkan segala maklumat yang pernah aku baca di dalam internet. Ya Allah! Semoga suamiku berubah! Aduh, Fiqah… Mengapa kau berharap dia berubah? Bukankah kerana diri Faruk yang tidak ‘sempurna’ itu kau akan lepas dan bebas daripada ikatan perkahwinan? Bukankah kau menyimpan hasrat untuk meleraikan ikatan ini… Kau punya alasan yang cukup kuat! Desak hatiku pada diri sendiri. Tapi aku kasihan mama. Aku harus memikirkan juga perihal Mak Lang. Mahukah dia menerima aku dalam keadaan aku yang berstatus janda? Segala tohmah dan hinaan orang akan dilemparkan pada aku seorang. Aku akan dikata macam-macam!
Bila sesebuah perkahwinan itu menemui jalan kegagalan, pihak perempuanlah yang akan dipersalahkan. Aku teringat pesanan Pak Lang aku harus menggenggam maruah dan harga diri suamiku dengan sebaik-baiknya. Hanya aku sahaja tahu rahsia suamiku! Sedangkan ibu Faruk sendiri tidak tahu. Ya Allah. Aku kasihan pada Faruk, yang memiliki kecenderungan songsang! Bagaimana aku harus memulihkan dia menjadi seorang lelaki normal. Aku memerhati Faruk keluar dari kamarku. Langkahnya gagah namun hatiku pedih.
Sekali pandang dia memang tiada bezanya dengan lelaki lain. Tiada sesiapa pun tahu bahawa dia punya aktiviti songsang yang telah dia lakukan bertahun-tahun lamanya. Dapatkah aku mengubahnya? Apakah aku mahu mengubah dia menjadi seorang lelaki normal semula? Lantas melahirkan anak-anak untuknya, mencipta sebuah keluarga bahagia?
Berkali-kali kuingatkan diriku bahawa aku tidak pernah bersedia untuk menjadi isterinya. Tapi aku sudah pun menjadi isteri selama 3 bulan. Aku pun tak tahu berapa lamakah lagi aku mampu bertahan. Perkahwinan ini kurasakan begitu rapuh, bagai ranting-ranting kering yang akan gugur pada bila-bila masa saja.
Kebaya labuh labuh paras lutut dengan potongan klasik, berleher tinggi akhirnya kusarungkan ke tubuh. Kebaya rona ungu dari fabrik sutera Itali amat cantik dan kena dengan kulitku. Faruk beberapa kali memuji, betapa cantiknya aku malam ini. Aku bukan lagi kelihatan seperti seorang gadis remaja berusia lapan belas tahun tetapi laksana seorang wanita muda berusia 20an. Solekan sederhana, namun menyerlah. Kukenakan tudung warna ungu lembut berhias batu permata berkilau, dilengkapi dengan kerongsang Abang Imran yang tersemat di dada. Kerongsang itu begitu indah apabila terkena kilauan lampu. Aduh… Tidak pernah aku lupakanmu Abang Imranku, walaupun kau tiada di sisi tetapi engkau sentiasa di hati.
Aku dan Faruk beriringan masuk ke dewan makan Hotel Istana yang terletak di Jalan Sultan Ismail. Sudah banyak meja yang penuh. Aku terpegun melihat dewan makan hotel itu yang begitu luas dan indah dengan lampu cendeliar yang besar, berkilau menebarkan cahaya gemilangnya ke seluruh ruang. Faruk memimpin lenganku dengan mesra. Senyuman sentiasa menguntum di bibirnya tika bertemu dengan rakan taulan yang mengenalinya.
Malam ini tiba-tiba dia jadi perhatian ramai. Kulihat dia bersalaman dengan sesiapa saja, sambil memperkenalkan diriku sebagai isterinya. Betapa terkejutnya aku. Senyuman dan anggukan teman-temannya yang memandangku kubalas dengan pandangan mesra pula. Aduh! Faruk benar-benar bangga, membawa aku keluar bertemu dengan rakan-rakannya setelah 3 bulan ‘menyembunyikan’ aku di rumahnya sahaja!
Makanan dihidang course by course. Semuanya enak menjulang selera. Nasi beriani dan pelbagai lauk pauk dan diakhiri dengan manisan. Ada penyanyi yang berdendang. Mataku tidak lepas memandang ke pentas. Penyanyi Misha Omar mendendangkan lagu-lagunya yang merdu. Antaranya ‘Bunga-bunga Cinta.’
Faruk merenungku, tersenyum dan berbisik; “Best tak lagu Bunga-bunga Cinta tu?”
Aku mengangguk.
“Aku harap selepas ini ada bunga-bunga cinta dalam hidup kita.”
Aku diam sahaja, pura-pura tidak mendengar kata-katanya itu. Faruk memang lelaki yang kompleks, rumit dan aku sukar sekali untuk memahaminya. Alangkah baik jika aku bertemu dengan Abang Imran. Dia seorang yang mudah, tidak pandai berpura-pura dan aku tahu hatinya memang tulus lagi baik.
Bagaikan terdengar seruan hatiku, aku benar-benar terlihat seraut wajah kacak Abang Imran berada di meja tidak jauh dari meja aku dan Faruk. Aku menggosok mata beberapa kali.Apakah aku salah lihat ataupun mataku sudah pandai berbohong. Lelaki lain kusangka Abang Imranku yang tersayang. Tapi benar memang dia Abang Imran. Dia senyum padaku dari jauh.
Aku rasa bagaikan ingin terbang ke arahnya. Tapi aku tidak dapat berbuat apa-apa. Aku ingin sekali bercakap-cakap dengannya. Kiranya dia sudah pun pulang dari Korea. Tiba-tiba hatiku jadi sedih sekali. Kepulangannya dari luar negara, bermakna perkahwinannya semakin dekat. Cemburunya aku, tuhan saja yang tahu! Aku tak mahu balik kampung pada hari perkahwinannya. Kalau boleh aku mahu pergi ke mana saja, asalkan aku tidak melihat dia bernikah dan bersanding di atas pelamin.
“Nak menari?” Tanya Faruk.
Aku menggeleng tapi mataku masih memerhati Abang Imran yang berbual dengan kawan-kawannya. Mata Faruk mengikut arah pandangan mataku dan dia juga telah terlihat Abang Imran.
“Imran?” Kata Faruk.
Aku mengangguk.
“Abang Imran dah balik dari Korea.”
Faruk tidak mempedulikan kata-kataku.
“Aku nak menari.” Dia terus bangun meninggalkanku.
Aku memerhati langkah Faruk yang sudah masuk ke ruang tarian. Tidak lama kemudian kulihat dia sedang menari dengan seorang perempuan yang seksi. Aku membiarkan dia bergembira. Aku hanya duduk memerhati orang. Tetapi kemudian aku mulai rasa bosan. Lantas aku bangun berjalan keluar dari dewan itu. Aku berjalan-jalan di ruang lobi, sambil melihat-lihat sekeliling. Hotel Istana begitu indah. Lantainya berkilau, penuh dengan hiasan-hiasan dinding yang memukau. Jambangan bunga ada di mana-mana jadi penyeri setiap ruang.
Aku terasa langkahku diikuti dari belakang. Aku menoleh cepat.
“Hai, si manis! Mengapa berjalan sorang?” Tegur Abang Imran.
Aku tidak menjawab teguran Abang Imran. Sebaliknya mengemukakan pertanyaan; “Bila abang balik ke sini? Tak call saya pun beritahu dah balik…”
“Baru balik semalam. Sibuk, tak teringat nak call.” Jawab Abang Imran.
“Yalah, orang tak ingat kat kita.” Balasku, menunjukkan rajuk. Kemudian aku bertanya lagi sambil mengerling wajahnya. “Ada souvineer untuk saya?”
“Alamak! Abang lupa… Sibuk sangat sampai tak ingat nak beli apa-apa!”
“Sengaja buat-buat lupa. Agaknya abang ingat pada orang lain, sampai lupa pada adik sendiri!” Tuduhku sambil memuncungkan wajah.
“Hmmm, janganlah merajuk. Panjang muncung tu kalau merajuk, macam paruh burung. Mana ada ingat orang lain.” Abang Imran bersuara. Wajahnya cukup serius. Gentar juga aku melihat wajahnya begitu. Itulah aku cakap ikut sedap mulut saja.
Aku terus keluar bergerak melalui pintu hotel yang terbuka luas. Aku berharap Abang Imran akan mengejar lantas memujukku tapi itu semua tidak terjadi. Sebaliknya Faruk sudah pun keluar dari dewan dan sedang mencari-cariku. Dapat ku tangkap suara Abang Imran memberitahu Faruk, aku sudah pun keluar. Faruk berlari ke arahku.
“Nak ke mana? Majlis belum selesai…” Kata Faruk.
“Balik.” Balasku.
“Tapi aku masih belum mahu balik.”
“Tak apalah! Saya naik teksi.” Kataku tegas. Abang Imran tiba-tiba sudah berada di sisiku lagi. Dia berkata pada Faruk dengan lembut; “Biar aku hantar adik balik. Kau masuklah Faruk. Aku tahu dia memang tak suka pergi majlis macam ni tapi masih nak paksa diri.”
“Okeylah…” Kata Faruk sambil memandangku. Dapat kulihat wajahnya yang penuh pertanyaan. Dia takkan mengerti apa-apa. Bukankah Faruk tiada perasaan apa-apa padaku, manalah dia dapat merasai gelora yang beramukan dalam dadaku.
Sepanjang perjalanan aku membisu. Abang Imran bercerita tentang bandaraya Seoul. Seoul adalah satu bandaraya paling popular di dunia. Banyak tempat menarik untuk dilawati. Antaranya Istana Kyongbok Palace, the Musium Kebangsaan Folklore dan Musium Perang. Pengunjung juga berpeluang melawat MBC Studio dan Pulau Nami di mana penggambaran drama Jewel In The Palace pernah dijalankan. Tapi abang Imran yang terikat dengan kerja tidak perluang untuk melawatinya. Namun dia menyimpan hasrat untuk ke Seoul lagi suatu masa.
“Barangkali pergi pada musim dingin.” Kata Abang Imran sambil tersengih panjang. Dua tempat bermain terkenal di sana adalah Kangwon Land dan Yongpyong Resort. Tapi jangan pergi ke situ ketika musim panas, memang sunyi langsung tiada orang.
“Kat Yongpyong Resort drama Winter Sonata pernah difilemkan. Gambar heronya terpampam besar kat situ!”
Aku hanya mengangkat bahu. “Tak pernah tengok drama tu!” Balasku dingin.
Benar apa yang aku katakan. Memang tak pernah aku menonon drama Winter Sonata.
“Cerita tu menarik dik. Sedih. Kisah cinta pertama yang tidak mudah dilupakan!”
“Kisah cinta pertama?” Aku mulai tertarik. “Abang ada Cdnya?”
Abang Imran mengangguk. Dia memang memiliki CD Winter Sonata yang dibeli beberapa bulan yang lalu. Walaupun dia tidak punya waktu untuk menonton tapi cerita yang menyentuh hati itu berjaya juga ditontoninya sehingga tamat. Begitulah kuatnya pengaruh sebuah kisah cinta pertama yang mengusik jiwa.
Aku mengerti maksud Abang Imran. Pastilah ia sebuah cerita yang banyak mengundang airmata, sebagaimana kisah cinta pertamaku yang kecundang sebelum ianya sempat berputik dan mengeluarkan bunga yang indah.
“Kalau adik mahu, adik ambillah terus CD tu dan simpan ia dengan sebaik mungkin.”
Aku mengeluh, kemudian berkata dengan sedikit kesal; “Lain yang saya harapkan, lain pula yang saya dapat.”
Abang Imran memandangku sejenak kemudian berkata; “Takkanlah kerana tak ada hadiah adik marahkan abang sampai macam tu sekali.”
“Ini bukan soal hadiah…” Aku tersinggung, kata-kata abang Imran seolah-olah aku masih tidak puas hati. Aku menjadi manusia yang tamak yang mahukan sesuatu yang tidak dapat dia berikan.
“Habis, soal apa dik? Adik ni semakin tak keruan abang tengok. Apa dah jadi ni?”
Aku diam.
“Sebenarnya abang ada beli hadiah untuk adik. Tapi abang tak bawa malam ni. Manalah tahu nak jumpa adik di majlis makan malam tu tadi. Hmmm… Esok abang jemput adik di kolej, okey?”
Aku masih jua tidak tersenyum apabila dia memberitahu hal itu. Entahlah aku sendiri tidak faham mengapa aku marah pada Abang Imran. Semuanya kerana lelaki kesayanganku akan bernikah tidak lama lagi!

“SYAM! Tolonglah jangan ikut aku ke mana saja!” Kataku dengan wajah serius.
Rimas rasanya sepanjang hari itu Syamil asyik mengekori aku. Kolej itu walaupun besar dan luas, tetapi tetap aku merasa tidak selesa. Syamil ni tak ada kerja lain? Aku bimbang orang lain tersalah anggap, menyangka kami dah jadi pasangan kekasih. Padahal aku dan dia hanya kawan.
“Aku hanya nakkan kepastian, bila lagi kita akan keluar bersama seperti hari minggu dulu?”
“Hmmm… Dah berapa kali aku cakap, kalau aku nak keluar nanti aku akan call.”
“Hari minggu ni macamana?”
“Aku dah ada rancangan.” Kataku berbohong. Biar aku memerap saja di rumah hari minggu depan.
“Aku dah ada rancangan best untuk kita hari tu Fiqah! Batal ajelah rancangan kau tu! Mesti rancangan tu tak seseronok rancangan aku.”
“Banyaklah handsome muka kau suruh aku batalkan rancangan aku pula.”
“Terima kasih, memang aku handsome.” Jawab Syamil, buat muka tak malu.
Aku mengeluh. “Dahlah, aku nak ke library ni.” Kataku sambil meninggalkan dia di meja makan cafeteria. Dia berlari-lari mengejarku dari belakang.
“Aku juga nak pergi library nak study. Kita pergi sama okey?” Kata Syamil sambil menayang giginya. Aku menggeleng. Menyesal juga kerana aku melayani Syamil dengan mesra kini dia tidak mahu berenggang pula dengan aku. Rasanya saat itu mahu aku beritahu Syamil bahawa aku sudah kahwin.
Akhirnya aku dapat satu idea. Aku yakin selepas ini Syamil akan menjauhkan diri dariku. Esoknya aku ke library dan seperti biasa Syamil akan menempel di mejaku. Ingin study bersama aku kononnya padahal dia mahu mengajak aku ngobrol. Kalau nak berborak kan lebih baik di luar librari saja.
Aku membuka buku lantas menunjukkan dia sekeping gambar. Gambar itu diambil semasa majlis pertunanganku dengan Faruk. Mana berani aku tunjuk gambar kahwin. Biar aku tunjuk dulu gambar pertunangan, untuk melihat reaksinya.
“Syam, aku nak beritahu kau satu rahsia…”
“Apadia?” Tanya Syamil berbisik.
“Sebenarnya aku dah bertunang.”
“Bertunang?” Dahinya berkerut-kerut.
“Aku tak percaya.” Kata Syamil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Ini buktinya…” Aku menunjukkan gambar tika jariku disarung cincin oleh emak mertuaku pada hari pertunanganku dengan Faruk. Dahinya berkerut melihat gambar itu. Dia memandangku tidak berkelip kemudian berkata dalam nada yang agak keras; “Tapi mengapa selama ni kau layan aku dengan mesra, sehingga aku mengharap…”
“Sorry!” Kataku sepatah.
“Agh! Kau sengaja nak mainkan perasaan aku!” Kata Syamil dengan marah sambil bergerak keluar dari librari, tidak menoleh lagi ke belakang.
Legakah hatiku melihat Syamil marah-marah begitu! Aduh… Hatiku jadi tak senang. Aku tak sangka dia begitu marah. Langsung tak seronok rasanya bila kita jadi sasaran kemarahan orang. Aku mengemas buku-buku dengan cepat berhasrat hendak mengejar Syamil.
Kudapati Syamil ada di luar perpustakaan, sedang bergerak laju menghala ke motorsikalnya. Aku terus mendekati lantas menepuk bahunya dengan lembut.
“Syam! Aku bukan sengaja nak mainkan perasaan kau. Dengarlah juga penjelasanku.” Kataku dengan suara yang terkawal.
“Apadia?” Tanya Syamil wajahnya kulihat tidak setegang tadi. Dia merenung wajahku. Kurasakan kemarahannya sudah menyurut.
“Aku bertunang atas kehendak keluarga.”
“Jadi…” Syamil mengenakan topi keledar. Dia seperti sabar untuk berlalu pergi. Agh! Sukar juga untukku menyakinkan dia bahawa aku sebenarnya sukakan dia sebagai kawan. Aku tak mahu kehilangan kawan. Aku mengharapkan pengertian darinya. Semoga aku masih boleh meraih simpati dan tali silaturrahim antara kami tidak terputus dek pahitnya kenyataan.
“Aku harap faham. Sebagai seorang anak aku tak boleh membantah kehendak orang tua.” Kataku perlahan dengan kepala tertunduk. “Apalagi aku ni anak yatim piatu. Aku dipelihara oleh mak saudara sejak kecil. Bila dia telah memilih seorang lelaki untuk dijadikan teman hidup, aku terpaksa menurut. Apa hakku untuk membantah?”
Syamil merenungku tidak berkelip. Aku percaya dia mulai memahami situasi yang aku alami.
“Kenapa kau tak pernah cerita ini semua?” Tanya Syamil.
“Aku malu. Percayalah aku tak berniat langsung nak permainkan kau Syam. Ku anggap kau sebagai kawan… Kawan baik. Tak lebih dari itu. Maafkan aku…” Kataku sambil bergerak pergi.
Syamil cepat-cepat turun dari motorsikalnya lantas mengejarku. Dipegangnya pergelangan tanganku kemudian melepaskannya dengan cepat apabila tersedar akan keterlanjurannya. Aku memandangnya. Dia cuba memberikan senyuman. Namun senyuman itu tidak semanis biasa.
“Akulah yang sepatutnya minta maaf. Aku salah anggap. Aku malu pada diri sendiri…” Kata Syamil.
Aku tersenyum padanya lantas berkata; “Terima kasih. Kawan?” Kuhulur tangan ke arahnya. Dia menyambut tanganku sambil tersenyum. Tangan kami bertaut erat. Saat itu kereta Abang Imran baru tiba di perkarangan librari. Dia melihat aku dengan Syamil yang bersalaman mesra. Segera kulepas tanganku dari pegangan Syamil.
“Abang sepupuku dah datang…” kataku sambil menunjuk ke arah kereta Abang Imran. “Pergi dulu!”
Syamil menggangguk, memerhati aku berlalu pergi.

“KITA terus ke rumah abang dulu ambil hadiah…” Kata Abang Imran. “Lepas tu abang hantar balik. Call Faruk beritahu dia adik lambat balik…”
“Tak payah call.” Jawabku dengan tegas. “Dia tak kisah pun…”
Kata-kataku menarik perhatian Abang Imran. Dia memandangku lama.
“Hei! Tengok depanlah. Kan abang tengah memandu.” Kataku mengingatkan Abang Imran.
Selepas itu kami tidak berbicara dalam tempoh yang agak lama. Kami sama-sama hanyut dalam arus fikiran masing-masing. Langit petang itu begitu cerah. Jalan raya tidak dilanda trafik jam. Perjalanan begitu lancar. Kami telah memasuki taman perumahan tempat Abang Imran tinggal. Akhir kereta Abang Imran berhenti di hadapan sebuah rumah teres.
Dia meletakkan keretanya di hadapan pagar. Kami akan singgah sekejap sahaja. Jadi tidak perlu dia memasukkan kereta ke bawah porch.
“Jom! Masuk…” Ajak Abang Imran. Aku memerhati ke arah porch terlihat sebuah motorsikal besar.
“Motor siapa tu?”
“Housemate abang.” Jawab Abang Imran. “Jom masuk dulu. Adik kena buat air. Abang belum minum petang tadi. Cepat-cepat keluar pejabat takut adik tunggu lama.”
“Okeylah.” Jawabku sambil membuka pintu kereta.
Abang Imran naik ke biliknya untuk mandi dan mengerjakan salat asar, sementara aku ke dapur memasuk air. Dapur Abang Imran kemas dan teratur. Aku dengan mudah dapat mencari apa yang kuhendaki. Kubancuh milo panas dan menghidangkan goreng pisang yang dibeli Abang Imran di simpang masuk ke taman perumahan tadi.
“Adie! Jom lah minum sekali.” Kudengar Abang Imran mengajak teman serumahnya. Tidak lama kemudian kedua-dua lelaki itu turun ke tingkat bawah.
Aku menuang minuman ke dalam tiga biji mug. Saat kuangkat aku terkejut bukan kepalang terlihat wajah teman serumah Abang Imran. Lidahku terasa kering, kelu tidak terkata. Anak muda itu yang kulihat bersama Faruk di rumah kami beberapa minggu lepas. Ya Allah!
Kepalaku serta merta jadi pening. Mukaku pucat lesi. Adie juga terperanjat melihatku. Dia hilang tingkah, kakinya terpaku di lantai.
“Hei! Marilah Adie. Minuman dah sedia. Karang sejuk pula goreng pisang ni…”
Adie tidak dapat mengelak lagi. Dia terpaksa duduk bersama aku dan Abang Imran. Namun kepalanya tertunduk, tidak berani memandang aku. Aku nanar dan resah, goreng pisang panas itu langsung tidak kusentuh.
Abang Imran cuba mengajak Adie berbual hal-hal yang remeh temeh, sementara itu aku cepat-cepat menghabiskan minuman lantas membawa cawan ke sinki. Tidak lama selepas itu aku sudah berada di luar rumah menunggu Abang Imran membawakan hadiah yang dijanjikannya.
Hadiah 2 pasang kain sutera Korea dan CD Winter Sonata yang diberikan oleh Abang Imran itu tidak lagi menggembirakan hatiku. Malah aku jadi rusuh apabila teringatkan wajah kacak Adie. Dia kan ‘kekasih’ suamiku. Alangkah ironisnya kehidupan yang kulalui ini. Orang lain barangkali akan bergaduh dan bertikam lidah dengan kaum sejenis mereka kerana berebut seorang lelaki tetapi aku harus bertelagah dengan seorang lelaki demi suamiku?
Aduh… Kepalaku rasa pening berdenyut-denyut. Aku memegang kepalaku. Abang Imran perasan bahawa aku tak sihat.
“Adik, adik okey ke?” Tanya Abang Imran penuh prihatin lantas memberhentikan kereta yang sedang bergerak ke tubir jalan.
“Tak ada apa-apa… Pening sikit.”
“Nak ke klinik? Entah-entah adik ni ada apa-apa kut?”
“Mengarutlah bang!” Bentakku agak kuat.
Abang Imran terkejut mendengar bentakanku yang agak kuat itu. Dia tidak sangka aku boleh jadi sekasar itu bila berbicara dengannya.
“Saya nak terus balik je.” Kataku dengan suara tegang. Mukaku terus berkerut menahan sakit kepala yang kian menjadi-jadi.
Abang Imran kembali menggerakkan keretanya di atas jalanraya. Dia tidak bersuara apa-apa sehinggalah kami tiba di hadapan kondo. Aku menoleh padanya, memohon maaf di atas kekasaranku tadi. Dia mengangguk sahaja. Kemudian aku terus berlari keluar dari kereta. Kereta Abang Imran masih ada, memerhati diriku. Kutahu dan pasti dia tidak akan bergerak pergi sehinggalah dia memastikan aku sudah selamat berada dalam gawang lif. Betapa prihatinnya dia terhadapku…
Aku seperti ingin menghamburkan tangisan di atas ketulusan hati Abang Imran yang amat menyayangiku. Kau segalanya buatku… Bisik hatiku bertalu-talu.


Bab 22


JULIA AFIQAH tidak dapat bangun dari tempat tidur, kepalanya benar-benar berat. Sejak malam semalam dia merasakan denyutan yang sangat keras, mengetuk tempurung kepalanya. Kini dia tidak berdaya untuk bangun ke kelas. Dia masih memejamkan mata biarpun tidak tidur. Dia mendengar setiap pergerakan di dalam rumah itu.
Faruk baru keluar dari kamarnya yang terletak bertentangan dengan kamar tidur Julia Afiqah. Dia memerhati sejenak ke arah pintu kamar tidur isterinya yang bertutup rapat. Dia tahu Julia Afiqah belum bangun. Matanya memerhati jam yang menunjukkan ke angka lapan tiga puluh pagi. Mengapa dia masih belum bersiap-siap ke kolej? Tak ada kelaskah hari ni? Ke mana dia pergi sehingga balik lewat semalam? Kepala Faruk dihujani dengan pertanyaan.
Entah mengapa sejak seminggu dua ini dia punya satu kecenderungan baru. Tiba-tiba rasa ingin tahu menyelinap perlahan-lahan ke dalam hatinya. Dia jadi begitu sejak melihat Imran dan Julia Afiqah saling renung merenung di dewan makan Hotel Istana tempohari. Dia merasa ada sesuatu antara mereka. Dia melihat Julia Afiqah begitu selesa berada di samping Imran.
Bagaimanakah perasaan Julia Afiqah ketika bersamanya? Dia tidak tahu. Sesungguhnya dia bingung memikirkan perubahan fikiran dan perasaannya kebelakangan ini. Dia menyedari sesuatu tentang diri gadis itu. Walaupun penampilannya sederhana namun menyerlah. Dia bukanlah seorang gadis yang seksi, cantik dan manja. Bukan. Dia terkadang pemalu, terkadang pula berani. Julia Afiqah mudah menangis, tapi mudah pula tersenyum kemudiannya. Dia tidak ubah seperti anak kecil yang tidak pernah matang, tidak pernah ambil hati terhadap apa yang telah dilakukan orang terhadap dirinya meskipun disakiti berkali-kali.
Julia Afiqah… Dia sebenarnya seorang yang istimewa.
Faruk menolak pintu bilik tidur Julia Afiqah penuh hati-hati. Memang amat jarang dia masuk ke kamar itu. Dia melihat kamar tidur itu bersih dan kemas. Di atas katil Julia Afiqah terbaring dengan mata terpejam. Dia masih berselimut.
“Fiqah!” Dia menyeru perlahan.
Julia Afiqah memandang ke arah pintu. Nyata dia sudah terjaga tetapi sengaja memejamkan mata seolah-olah tidur.
“Are you okey?”
Julia Afiqah tidak menjawab tetapi cuba untuk bangun. Dia nampak tidak berdaya. Dia memegang kepalanya, dengan dahi berkerut kemudian terus berbaring semula. Faruk masuk. Dia tahu Julia Afiqah tidak sihat. Faruk duduk di tepi katil sambil tangannya meraba-raba dahi Julia Afiqah. Terasa bahang panas menyapa kulitnya. Gadis itu demam.
“Kau demam Fiqah. Aku hantar ke klinik.” Kata Faruk.
Julia Afiqah menggeleng. “Tak apa. Hanya tolong ambilkan ubat di dalam kabinet dapur.”
“Tapi kau harus ke klinik supaya doktor dapat memeriksa kau.”
Julia Afiqah menggeleng. “Demam dan sakit kepala sikit aje…” Jawabnya berdalih. “Saya hanya sembuh selepas makan ubat dan berehat.”
“Okey.” Faruk mengangguk. Dia keluar lantas ke dapur mengambil segelas air dan ubat untuk Julia Afiqah. Dia menunggu Julia Afiqah makan ubat. Kemudian menulis nombor telefon pejabatnya lantas di atas meja sisi katil.
“Kalau masih belum sembuh, call aku. Aku ada di pejabat sepanjang hari ni…” Kata Faruk. Entah mengapa saat itu dia tidak mahu jika Julia Afiqah menghubungi orang lain untuk meminta pertolongan terutama sekali Imran. Dia turut meninggalkan telefon bimbitnya. Faruk memerhati muka Julia Afiqah yang pucat bersama rasa simpati. Julia Afiqah memejamkan matanya semula selepas menelan dua butir parasetamol.
Faruk menunduk lantas mencium dahi Julia Afiqah, sebuah kucupan yang lahir dari hatinya yang tulus. Dia masih menimbang-nimbang perasaannya pada Julia Afiqah. Simpatikah atau sudah tercurah sedikit rasa sayang? Entah. Dia masih merenung muka Julia Afiqah. Mata gadis itu terbuka perlahan-lahan.
Dia cuba tersenyum. “Untuk apa ciuman tu?” Tanya Julia Afiqah.
“Semoga kau cepat sembuh.”
“Kalau saya tak sembuh. Kalau saya sakit lalu terus mati?”
“Kenapa tiba-tiba bercakap tentang mati? Macam orang yang kecewa yang tak mahu hidup lagi.” Kata Faruk. Dia melihat ada kekecewaan yang dalam yang terpancar dari sinar mata Julia Afiqah.
“Saya mahu hidup. Tapi kalau Tuhan tiba-tiba mengambil nyawa saya, bukankah itu takdir namanya? Saya harus terima. Bukankah hidup itu lawannya mati?”
Tiba-tiba Faruk mengambil tangan Julia Afiqah lantas diletakkan di dadanya. “Dapatkah kau rasa denyutan dadaku?”
Julia Afiqah mengangguk. “Percayalah aku tidak akan sia-siakan kau selagi aku hidup. Cuma berikan aku sedikit masa lagi. Bolehkah?”
Julia Afiqah diam. Dia tidak tahu apa yang harus dijawab. “Aku tahu kau terseksa. Memang aku bersalah kerana membiarkan kau begini. Kau terseksa kerana mendapat seorang suami seperti aku. Aku yang bersalah Fiqah. Bolehkah kau berikan aku sedikit masa… Hanya masa saja yang aku perlukan Fiqah! Pengertian yang amat aku harapkan dari kau. Janganlah bimbang tentang hati dan perasaanku padamu. Pasti ianya akan datang… Pasti akan datang perasaan itu, Fiqah.”
Julia Afiqah diam. Dia sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa dari Faruk. Dia merasakan dia juga perlu memberikan sedikit masa buat dirinya sendiri. Masa untuk melupakan cinta semalamnya yang benar-benar sudah kecundang. Dia juga perlukan masa untuk menyembuhkan hatinya.
Julia Afiqah membalas genggaman tangan Faruk. Dia mengangguk lembut. “Saya juga perlukan masa untuk menafsir perasaan saya pada abang.”
Dia cuba tersenyum.
Faruk mengangguk. Dia menarik selimut lantas menyelimuti tubuh Julia Afiqah. Julia Afiqah memejamkan matanya. Tidak lama kemudian dia mendengar pintu ditutup perlahan oleh Faruk. Dia tahu Faruk sudah keluar untuk bekerja. Kini dia tinggal sendirian. Dia berharap dia akan tidur… tidur yang sangat panjang. Mungkin buat selama-lamanya.
Masa terus berdenyut dan beralihnya jarum jam tanpa dia ketahui. Dia hanya tersedar apabila terdengar loceng pintu. Terkejut, Julia Afiqah memerhati jam dinding. Sudah pukul sebelas pagi. Bilik tidurnya masih gelap kerana semua langsir tidak diselak. Dia menolak selimut, cuba untuk bangun. Kepalanya masih berat. Perutnya rasa kosong dan senak. Dia benar-benar lemah tetapi digagahinya bangun untuk membuka pintu.
Sebaik pintu terbuka dia terkejut melihat Imran tercegat berdiri di hadapannya. Wajah lelaki itu kelihatan benar-benar bingung dan resah.
“Adik! Adik tak sihat?” Tanya Imran sambil merenung muka Julia Afiqah yang pucat lesi.
Tubuh Julia Afiqah benar-benar lemah lantas terus jatuh terjerembab ke lantai. Imran segera masuk, mengangkat tubuh Julia Afiqah yang lemah lantas diletakkannya di atas sofa. Dia terus menghubungi doktor. Sejurus kemudian doktor datang ke rumah itu lantas melakukan pemeriksaan ke atas Julia Afiqah.
Doktor menjelaskan tiada yang serius. Julia Afiqah hanya demam dan sakit kepala. Dia tidak berehat secukupnya dan kepalanya dibebani dengan pelbagai masalah. Dia sedikit tertekan, kata doktor. Tapi akan segera sembuh bila dia mengambil ubat dan vitamin.

TUBUHKU jatuh sakit, lemah tidak berdaya apabila kutahu kau akan hilang dari hidupku. Denyut jantungku seakan berhenti, bila kau tiada. Dan apabila kau ada di sini hatiku jadi bertambah tidak keruan. Aku masih terbaring di sofa namun mataku mengawasi setiap pergerakan Abang Imran.
Abang Imran sedang memasak nasi. Dia merungut-rungut kerana di dalam peti aisku langsung tiada sebarang makanan yang boleh dimasak. Semuanya makanan segera. Ada pizza dan roti canai segera yang langsung tidak elok untuk kesihatan. Seminggu sekali pergilah ke pasar, beli sayur-sayuran dan ikan, leter Abang Imran.
Aku cuma membiarkan dia berleter, mengalahkan Mak Lang saja. Yalah, dia kan anak Jadi Mak Lang sedikit sebanyak perangai Mak Lang yang sukakan kesempurnaan itu menurun juga padanya. Mak Lang suka sesuatu yang meriah dan mahal tapi kedekut pula untuk keluarkan duit sendiri!
Tapi Abang Imran langsung tidak kedekut. Dia begitu murah hati, sanggup berbuat apa saja untukku. Dia pergi ke minimarket berdekatan kondominium, membeli sedikit ikan dan sayur. Dia beli juga ayam segar. Dibuatnya sup ayam yang baunya kini sedang berapungan di dalam rumah. Aduh… Aku terasa begitu lapar sekali apabila terhidu masakan Abang Imran. Tiba-tiba tubuhku jadi sedikit bersemangat. Rasa ingin menikmati makanan datang tanpa aku sedari. Kulihat jam sudah pukul 1 petang. Perutku meminta diisi. Aku tidak bersarapan pagi. Juga semalam aku tidak menjamah makan malam.
Abang Imran meletakkan mangkuk besar berisi sup ayam yang dicampur dengan batang saderi dan kubis bunga. Dia juga memasukkan sayur sawi, karot dan kentang ke dalam supnya. Daun sup dan bawang goreng turut ditabur. Harumnya! Aku menghidu bau makanan yang menusuk hidung, tidak sabar untuk makan. Abang Imran tidak menggoreng sayur.
“Two in one!” Kata Abang Imran senyum padaku ketika aku melihat mangkuk besar itu penuh dengan sayur-sayuran dan ayam.
“Oh! Pandainya abang. Bolehlah saya buat lain kali. Dua dalam satu, lauk dan sayur bersatu. Memang bijak!”
Abang Imran menceduk sup ke dalam sebuah mangkuk kecil lantas meletakkannya di hadapanku. “Sekarang makan!” Perintah Abang Imran dengan suara tegas.
Tidak perlu dia menyuruh aku makan, memang seleraku telah hadir melihat masakannya. Aku makan dengan berselera. Baru sebentar tadi aku rasa tubuhku begitu lemah, seperti hendak mati saja. Kini aku boleh menghabiskan dua mangkuk sup dan sepinggan nasi. Abang Imran senyum namun dia tidak berkata apa-apa.
Abang Imran juga turut makan bersama. Tak sangka semangkuk sup yang besar itu habis oleh kami berdua.
“Abang tak kerja ke?” Aku baru teringat hendak bertanya.
Tubuhku benar-benar rasa segar semula. Apakah kerana aku telah diperiksa oleh doktor serta menelan ubat. Atau ‘ubat’ yang terbaik yang sangat serasi dengan tubuhku adalah kehadiran Abang Imran di sisiku sekarang. Kami sedang mencuci pinggan mangkuk bersama-sama. Kami bagaikan mengulangi apa yang pernah kami lakukan di kampung, sama-sama mencuci pinggan, mengelapnya sehingga bersih dan menyimpannya di dalam almari.
Semua kami kerjakan dengan senang hati.
Abang Imran senyum. “Abang masuk sekejap tadi. Lepas tu keluar, abang singgah di kolej tapi abang diberitahu adik tak datang hari ni. Lalu abang terus ke sini…”
“Lepas ni abang akan masuk ke pejabat?”
Abang Imran menggeleng. “Abang ambil emergency leave saja.”
Jawapannya itu buat aku tersenyum. Aku pun tidak mahu melepaskan dia pergi. Biar dia menemaniku hingga ke petang. Aku rasakan ini mungkin saat-saat manis yang akan kukenang sampai bila-bila. Kami takkan dapat bersama seperti ini lain kali. Pasti.
Abang Imran balik pada jam lima petang. Baru lima belas minit Abang Imran pergi, Faruk pulang. Aku terkejut kerana Faruk balik awal pada petang itu. Apakah dia bertembung dengan Abang Imran di tingkat bawah tadi. Atau mereka memang berselisihan jalan.
Faruk terus bertanya tentang kesihatanku. Aku senyum dan menjawab mesra; “Dah okey. Terima kasih.”
Faruk tidak berkata apa-apa lagi. Dia terus masuk ke kamar, menutup pintu perlahan-lahan. Dia berada di dalam kamarnya dalam tempoh yang cukup lama. Aku menunggu kalau-kalau dia keluar untuk menonton televisyen tetapi dia langsung tidak menjengukkan muka. Aku masuk ke kamar untuk mandi ketika azan maghrib berkumandang dari kaca televisyen. Kini aku benar-benar rasa semakin pulih. Demamku telah surut dengan cepat dan maghrib itu aku mendirikan salat seperti biasa. Selepas itu aku membaca al-quran. Sungguh lama rasanya aku tidak membaca ayat-ayat Allah. Aku mengaji sehingga masuk waktu Isyak. Dan setelah aku selesai menunaikan salat Isyak barulah aku keluar dari kamar.
Aku tidak tahu apakah Faruk mahu makan di rumah ataupun tidak. Bukankah amat jarang sekali dia mahu menikmati masakanku. Tapi malam ini dia seperti ingin memerap di rumah saja. Aku mengetuk pintu kamar tidurnya, namun tiada jawapan apa-apa. Apakah dia sedang tidur? Aku menjengukkan muka perlahan-lahan dan kudapati kamar tidurnya gelap gelita. Namun kulihat ada bayang-bayang tubuh di atas katil. Dia sudah tidur?
Takkanlah dia sudah tidur pada jam sembilan malam? Bukankah itu diluar kebiasaannya? Aku melebarkan bukaan daun pintu lantas menyeru namanya perlahan. Kuharap dia akan segera bangun, namun dia tidak jua terjaga. Terlalu penatkah dia hingga terus tertidur?
Kudekati katilnya, lantas menggoncang perlahan tubuhnya. Serta merta kurasa tangannya mencengkam pergelangan tanganku lantas terus menarikku ke arahnya. Aku hilang pertimbangan, tubuhku mendarat di atas katil, di sisinya.
Dia memelukku erat, berbisik lembut di telingaku. Bisikannya jelas mengandungi rasa cemburu.
“Aku berselisihan dengan Imran tadi. Aku tahu dia baru datang dari sini. Aku lihat ada sesuatu yang aneh antara kau orang berdua. Kau dan dia seperti ada apa-apa…”
“Abang cemburu?” Aku bertanya lembut.
“Cemburu? Taklah! Cemburu hanya sesuai ditanya pada orang yang mencintaimu, manisku! Dialah yang cemburu bukannya aku. Kulihat ada kebencian dan rasa terancam dalam matanya setiap kali melihatku. Dulu aku tak mengerti. Sekarang aku faham. Kau dan dia pernah bercinta sebelum kita berkahwin?”
Aku tak tahu samada Faruk sememangnya orang yang angkuh. Enggan mengakui rasa cemburu yang lahir tanpa sedar dari hatinya. Sebaliknya dia menyatakan Abang Imran yang cemburu. Aku tergelak. Abang Imran yang prihatin, baik hati dan penyayang itu tidak akan cemburu pada Faruk. Lagipun dia sayangkan aku sebagai adik, bukannya kekasih. Kami tak pernah bercinta… Kuterangkan segalanya pada Faruk. Sebaliknya akulah yang mencintainya setengah mati. Cinta yang penuh rahsia. Namun bahagian itu tidak kuceritakan pada Faruk. Aku bukannya gila hendak membuka rahsia hatiku padanya.
“Oh, begitu. Jadi kau ni tak pernah bercinta dengan sesiapa?”
“Tak.” Jawabku sepatah.
Faruk diam, hanya nafasnya sahaja yang terasa menghembus ubun-ubunku.
“Malam ni, aku terasa seperti…”
“Seperti apa?” Tanyaku dengan dada yang bergetar kencang. Mengapa harus takut, bisik hatiku. Diakan suamiku!
“Seperti ingin merasai masakan kau. Masaklah sesuatu yang sedap. Kalau boleh selera kampung. Ikan masin, sambal belacan dan ulam-ulaman.”
“Mengada-ngada!” Balasku tanpa sedar. “Manalah saya nak cari malam-malam buta macam ni ikan masin, sambal belacan dan ulam-ulaman. Dah tiga bulan di sini mana pernah kita pergi ke pasar.”
Faruk tertawa. “Ya. Benar… Kita tak pernah ke pasar.”
“Masaklah apa saja…” Pinta Faruk lagi. “Sekurang-kurangnya malam ni aku nak rasa masakan isteriku.”
Aku bangun perlahan-lahan, meloloskan diri daripada dakapannya. Dia tidak membantah. Saat aku mahu menjauhi katil dia bersuara lembut; “Hey girl! Give me your kiss… A little kiss that I have been waiting for so long.”
Aku tergamam mendengar permintaannya. Apakah aku akan pergi begitu saja menyediakan makan malam lantas mengabaikan apa yang dia minta. Gila! Malam ini Faruk memang sudah gila, bisik hatiku. Aku melangkah ke pintu, namun kujawab jua kata-katanya dengan nada usikan. “Later… Saya akan tunaikan!”
Faruk tertawa lembut. Aku terus keluar. Hatiku sememangnya hancur. Kutahu sudah saatnya untukku melupakan Abang Imran sepenuhnya. Malam itu pasti aku terpaksa melalui detik-detik yang amat menakutkan. Tapi kutahu juga, suatu masa aku akan tetap menempuhinya.


Bab 23


GUMPALAN kabus ringan masih terapung di permukaan puncak pepohon yang mengelilingi rumah Latipah. Selaput mendung yang mengandungi hujan sudah lama sirna. Hujan hanya turun sebentar, hanya membasahi tanah di pagi yang dingin. Dingin dan basah, selalunya membuat orang hilang mood untuk berbuat apa-apa melainkan termenung di muka jendela.
Begitulah yang dilakukan Imran pada pagi itu, termenung panjang di muka jendela kamar tidurnya yang terletak di tingkat atas, menghadapi dusun kecil di belakang rumah. Sudah tiga hari dia balik. Dia mulai cuti pada hari Sabtu lepas. Latipah mendesaknya supaya balik lebih awal kerana ada banyak perkara yang hendak diselesaikan. Perkara yang dimaksudkan adalah kenduri perkahwinannya yang akan berlangsung empat hari lagi.
Semalam dia sudah menyelesaikan semua urusan pernikahan di pejabat kadhi. Segalanya sudah diatur. Majlis pernikahan akan pada pagi Jumaat. Sengaja Imran memilih pagi Jumaat untuk mencari berkah. Kemudian hari Sabtu barulah dia akan ke rumah pengantin perempuan. Khabarnya persandingan akan dibuat di rumah Najiha. Hari Ahad adalah kenduri besar di rumah Latipah.
Tahun ini sudah dua kali Latipah mengadakan kenduri di rumahnya. Seperti biasa Latipah tetap tidak berubah, cenderung untuk mengadakan kenduri besar-besaran. Jemputan mesti ramai dan makanan harus banyak. Bilik pengantin pula mesti cantik. Bilik pengantin yang dulu digunakan oleh Julia Afiqah, sudah diubah semuanya. Latipah mengupah orang menghiasnya dengan yang baru. Cuma catnya sahaja yang kekal. Tetapi cadar, langsir dan karpet semua diganti baru walaupun baru tiga bulan Julia Afiqah berkahwin dengan Faruk.
Membazir saja… bisik hati Imran. Apasalahnya digunakan saja cadar yang itu. Hmmm… Dia tahu dia tiada kuasa hendak membantah. Emaknya pasti melenting. Tapi yang jadi mangsa tetaplah dia bukannya Latipah. Dia yang harus mengeluarkan belanja.
Imran mendengar suara emaknya memanggil untuk bersarapan. Dengan malas dia bergerak keluar dari bilik lantas menuruni tangga kayu, turun ke tingkat bawah. Dia masuk ke dapur. Didapatinya Latipah sedang membuka bungkusan nasi lemak. Emaknya memang jarang memasak pada waktu pagi sekarang. Apalagi sekarang Kak Sabita tiada. Lagilah jarang dapur rumah emaknya berasap.
Emaknya hanya memasak sekali sehari. Masakan tengahari disimpan hingga ke malam. Masakan ‘favorite’ emaknya sekarang adalah singgang ikan dan sayur goreng. Masakan yang mengandungi kelapa tidak pernah masuk sejak Kak Sabita tiada.
“Mak kena jaga kesihatan ayah kau…” Terang Latipah. “Dia mana boleh makan makanan berlemak dan berminyak. Singgang ikan tu elok untuk dia.”
Imran tahu, sebenarnya emak malas hendak memasak. Masak makan berdua sahaja, memang tidak berbaloi beria-ria membuat kari segala, yang pasti semuanya akan dicurah ke tanah.
Bagus juga jika Julia Afiqah ada. Dia pandai memasak walaupun sedikit culas… fikir Imran sambil memerhati sekeliling, bagaikan terlihat kelibat Julia Afiqah sedang memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh. Tetapi dia melihat mesin itu bagaikan tidak pernah digunakan langsung.
“Mak tak guna mesin basuh tu?” Tanya Imran.
“Mak lebih suka basuh dengan tangan. Lagipun sehelai dua saja.” Jawab Latipah. Ampaian tidak pernah penuh. Banyak perkara yang berubah di rumah itu sejak Julia Afiqah dan Sabita tak ada.
“Ada dengar apa-apa khabar dari Kak Ita?” Tanya Imran lagi.
Latipah menggeleng. Dia tidak suka bercakap tentang Sabita.
“Nanti kau call Angah, Atih, Uda… suruh mereka semua balik hari Rabu atau Khamis.” Kata Latipah setengah menggesa. “Mak dah jemput saudara mara kita sebelah ayah dan mak, mereka akan datang pada petang Khamis.”
“Laa… Ngapa cepat sangat. Pagi Jumaat tu hanya upacara akad nikah.” Kata Imran kesal. Dia tidak sukakan suasana kelam kabut di dalam rumah kalau terlalu ramai saudara yang akan menginap di sini.
“Yalah. Sebelum bertolak ke rumah pengantin perempuan, nak buat juga sikit jamuan. Hajatnya nak buat pulut kuning dengan rendang daging…” Terang Latipah.
Imran diam sahaja. Dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Hari ni mak nak ke mana, biar saya hantar.” Kata Imran sengaja menawarkan pertolongan. Dia tahu emaknya pasti gembira dia berkata begitu. Seluruh bandar Kuantan hendak dijelajah, masih ada saja barang yang belum dibeli.
Latipah tersenyum. Dia mengangguk. “Eloklah. Memang banyak tempat mak nak pergi. Kereta Mak tu dah uzur. Kereta engkau tentu lebih selesa.”
“Jual aje kereta tu, beli yang baru. Bukannya mak tak ada duit.” Kata Imran.
“Boleh beli baru. Duit mukanya lebih dari cukup. Tapi macamana dengan bayaran bulanannya? Itu yang mak tak sanggup. Pendapatan kebun kelapa bukannya banyak macam dulu. Banyak pokok kelapa tu dah tua benar. Kena tebang. Semai pokok baru. Kalau dah tanam baru tentulah hasilnya lambat, sekurang-kurangnya lima tahun.” Beritahu Latipah, separuh mengharap agar keadaan ‘kewangan’nya yang dirasakan tenat itu mendapat bantuan Imran.
“Hmmm… Saya pun tak cukup mak! Lebih-lebih lagi lepas ni nak kena tanggung anak orang.” Jawabnya dengan suara mendatar.
Latipah terdiam.

JULIA AFIQAH pulang pada petang Khamis bersama ibubapa mertuanya dan Faruk. Mereka menginap di hotel pada malam itu. Julia Afiqah menurut sahaja. Bukannya dia tidak mahu berada lebih lama di rumah Mak Lang. Nanti Mak Lang dan sepupu-sepupunya yang lain akan mengatakan dia sudah lupa diri. Di situ tempat dia membesar. Tapi bila sudah bersuamikan lelaki kaya, dia tidak mahu lagi tidur di situ. Dia lebih senang tidur di hotel. Julia Afiqah bimbang Pak Lang dan Mak Lang terasa hati. Dia mahu tidur di rumah Mak Lang biarpun harus berhimpit-himpit dengan saudara maranya yang lain kerana tidak cukup bilik tidur.
Dia sebenarnya tak kisah. Ketika dia menjenguk kamar kecilnya tadi, dia mendapati kamar itu agak kemas, walaupun ada banyak barang-barang yang tidak diperlukan di situ. Kalau mahu, dia boleh mengemasnya sekejap. Tapi sudah tentu Faruk tidak sudah tidur di situ. Tempat yang merupakan ‘sarang’ kesukaan Julia Afiqah suatu masa dulu.
Di ruang tamu, beberapa orang jiran tetangga sedang membuat bunga manggar. Ada juga yang sedang membuat gubahan. Masih belum siap sebahagian daripada gubahan hantaran. Julia Afiqah leka memerhati mereka membuat kerja. Faruk berada di luar, membantu apa yang patut. Sebenarnya tidak banyak kerja yang ada, mereka lebih banyak berbual di bawah bangsal yang sudah siap didirikan semalam.
Faruk berbual dengan Imran. Mereka nampak akrab, seperti dua orang rakan yang sudah lama kenal. Sesekali Julia Afiqah menjeling ke luar, melihat apa yang dilakukan oleh Imran dan Faruk. Senja Faruk menjenguk ke dalam rumah, mengajak Julia Afiqah kembali ke hotel. Mereka menginap Hotel Hyatt yang terletak di pinggir Teluk Cempedak.
“Kau suka suasana kampung?” Tanya Faruk apabila menyedari Julia Afiqah nampak berat hati hendak meninggalkan rumah Mak Lang tadi. Julia Afiqah memberikan senyuman pada Faruk. Mereka dalam perjalanan menuju ke hotel. Waktu maghrib sudah masuk. Dia berharap Faruk tidak akan berlengah-lengah atau singgah di mana-mana.
“Suka…” Akui Julia Afiqah. “Di rumah Mak Lang banyak kenangan. Saya dibesarkan di rumah itu. Sejak berusia lima tahun. Itulah yang saya ingat. Saya tak pernah tinggalkan rumah itu sehingga saya bernikah dengan abang.”
“Aku faham.” Balas Faruk. “Tentu kau rindukan bilik tidur kau dulu… Kadang-kadang aku rasa nak tengok macamanakah bilik tidur kau tu!”
“Eee… Malulah. Langsung tak cantik tapi kemas dan bersih.” Beritahu Julia Afiqah perlahan.
Faruk mengangguk. “Tapi aku harap kau lebih sukakan bilik tidur kau sekarang…”
Julia Afiqah menjeling Faruk. “Abang tahu tempat yang paling indah untuk seseorang itu berada, diam selama-lamanya?”
“Di mana?” Tanya Faruk jujur.
“Dalam hati orang yang dicintai dan mencintainya.”
“Wow!” Hanya itu yang keluar dari bibir Faruk. Matanya membalas jelingan Julia Afiqah. Dalam tenang alunan nafasnya dia merasa satu getaran yang menggegar. Begitu mendadak. Getaran yang dia tidak mengerti.
Untuk beberapa saat dia lebih suka diam, berharap Julia Afiqah berkata sesuatu. Tetapi gadis itu memilih untuk berdiam diri.
‘Berada di dalam hati orang yang dicintai dan mencintainya’. Apakah maksud ungkapan itu. Apakah Julia Afiqah cuba menyedarkan dirinya bahawa di hati gadis itu sudah terisi dengan namanya? Atau ada orang lain? Julia Afiqah mengakui dia tidak pernah bercinta. Tidak kenal erti cinta. Tapi kini dia bercakap seolah-olah dia sedang dilamun cinta.
Faruk tidak mengerti hatinya sendiri. Dia tidak pernah mencintai wanita. Tiada wanita yang dikaguminya. Dia menggilai, mendamba belaian seorang lelaki kaum sejenisnya. Betapa eloknya tubuh seorang lelaki, sasa, tegap dan berotot. Tubuh itu segera bisa membunuh rasa siumannya. Dia akan tenggelam dan hilang dalam lautan nafsu yang mengganas. Pun sejak dia menyentuh lembutnya tubuh seorang perempuan, rasa aneh itu kian lama kian menjalar. Dan bagaikan sudah lupa pada ‘kekasih’nya.
Dia mulai mencari-cari kesalahan Adie dan mulai ingin menyingkir anak muda itu dari pandangan matanya. Dan dia sudah berjaya melepaskan Adie, biarpun berdepan dengan pertengkaran dan ancaman. Masih diingatnya Adie yang disangka innocent dan penurut itu menghentak penumbuk di atas meja cermin di bilik kerjanya dua hari lalu.
“Ingat! Kalau kau singkirkan aku… buruk padahnya! Aku akan hebahkan pada media engkau ni siapa! Kau akan dapat malu! Kau tak akan dihormati lagi!”
Matanya tajam menentang Adie. Tidak pernah kekasih-kekasihnya yang dahulu mengancam dia begitu. Mereka kebanyakannya takut. Mereka lebih rela mendiamkan diri dan pergi begitu saja.
“Aku punya cita-cita tinggi!” Kata Adie. “Aku bukannya senang-senang, ikut telunjuk kau. Bila kau dah tak suka, kau nak singkirkan aku! Maaf! Aku takkan benarkan. Aku tetap ingin berjuang untuk mendapatkan apa yang aku cita-citakan.”
Faruk maklum apa yang dikatakan oleh Adie. Anak muda itu bercita-cita untuk berada di puncak yang tinggi, menjadi seorang model lelaki terkenal sebelum usianya mencecah 25 tahun. Pada usia ini kebanyakan model sudah hilang ‘taring’nya. Jadi sebelum itu semua berlaku, Adie harus berjuang berada di puncak. Sehingga kini dia masih terus gigih mendaki tangga kejayaan.
Sejak bersama Faruk dia sudah semakin terkenal. Faruk mempunyai banyak contact. Faruk telah banyak membantunya. Kini dia bukan saja menjadi model untuk majalah tempatan tapi sudah menempa nama ke peringkat Asia. Dia dapat peluang menyertai peragaan pakaian di Hong Kong. Tapi itu masih belum memuaskan hati Adie. Dia mahu menjadi lebih dari itu. Justeru itu dia masih ingin berada bersama Faruk yang akan menjamin kerjayanya berkekalan.
“Okey…” Kata Faruk untuk menenangkan Adie. “Kita masih boleh terus bersama. Aku berikan kau 5% saham syarikat penerbitan ini. Kau tak perlu risau kalau suatu masa nanti kau dah tak laku. Kau dah punya tempat dalam syarikat aku. Tapi kita bukan lagi ada hubungan apa-apa.” Pinta Faruk dengan tenang. “Ini semua aku lakukan untuk menutup mulut kau dari memberitahu hal ini pada orang, terutama sekali media.”
Adie diam sejenak. Biarpun tadi diamuk kemarahan tapi kini ada segaris kesal di wajahnya. Dia mengeluh kemudian bertanya perlahan; “Kau… Kau tak sayangkan aku, Faruk?”
“Sayang?” Faruk kembali bertanya dengan nada sedikit terperanjat. Kata-kata itu tiba-tiba terungkap dari bibirnya tanpa sedar. Julia Afiqah memandang Faruk lalu bertanya; “Apadia?”
“Dah sampai…” Kata Faruk perlahan. Jauhnya dia hanyut dibawa arus fikirannya, teringat pada Adie rusuh bercampur kecewa. Kiranya ada juga sekelumit rasa sayangnya pada anak muda itu. Namun dia turut menyimpan rasa terhadap isterinya sekarang.
“Lepas kau salat nanti, kita pergi makan di Pantai Selamat. Ada gerai makan di sana, di tepi pantai lagi. Kata orang di sana suasana malam sungguh cantik, menarik dan romantis.”
Julia Afiqah tersenyum kemudian tertawa. Kelembutannya terserlah. Faruk jadi geram melihat kerlingan manjanya yang bagaikan ingin menyindir saja. Sejak bila Faruk suka pergi ke tepian pantai, menikmati suasana romantis dengan isterinya?
“Okey tak?” Tanya Faruk, meminta kepastian.
“Okeylah!” Jawab Julia Afiqah sebelum keluar dari kereta. Tapi Faruk lekas-lekas menegah. “Nanti dulu! Biar aku bukakan pintu kereta untuk kau…”
Kali ini Julia Afiqah benar-benar tergelak. Setelah keluar dari kereta dia terus berjalan masuk menghala ke pintu hotel. Di belakangnya Faruk setia mengekori.


Bab 24


AKU memerhati dada Pak Lang yang berombak keras pada pagi ini. Aku menghantar sarapan untuknya, disuruh Mak Lang tentunya. Pak Lang hanya minum oat dan roti serat. Mak Lang tidak membenarkan Pak Lang makan makanan berlemak langsung. Jadi bau harum pulut kuning dan rendang daging hanya dapat dihidu saja. Kasihan Pak Lang.
Aku menyentuh tangan Pak Lang dengan lembut. Tangan itu kurasakan demikian dingin. Dia membuka mata. Kulihatnya matanya tidak lagi bersinar seperti biasa. Sinar itu seperti sudah hilang sama sekali. Pak Lang cuba bangkit. Aku membetulkan bantalnya supaya dia dapat bersandar damai.
“Fiqah…” Tegurnya lembut. “Dah lama kau balik?”
“Semalam Pak Lang. Tapi saya tidur di hotel.”
Pak Lang tersenyum pahit.
“Kau bahagia anakku?” Dia bertanya lagi dengan lembut. Pagi ini dia begitu prihatin. Sesuatu yang aku tak duga sama sekali.
“Ya, Pak Lang.” Jawabku dengan tulus. “Pak Lang, minumlah oat ni.” Kataku sambil menghulur mug padanya. Dia diam sahaja kemudian dengan nada perlahan dia memberitahu tangannya sudah sebulan tidak boleh diangkat. Dia tidak mampu memegang sudu lagi. Jika dia memegang sudu tangannya akan menggigil dan minuman atau makanan akan tertumpah menimpa cadar.
“Tak apalah… Kalau macam tu biar saya suapkan.” Kataku sambil mengacau oat yang dicampur air dan sedikit susu.
Pak Lang hanya minum dua sudu. Dia tidak begitu berselera. Nampaknya dia lebih cenderung hendak bercakap denganku.
“Kau kata kau bahagia, tapi Pak Lang tengok muka kau sedih.”
Aku tidak menjawab. Aku cuba mencari alasan. “Saya tak cukup tidur sebenarnya Pak Lang. Sekarang saya belajar semula. Memang letih.”
Pak Lang mengangguk. “Abang Imran kau akan bernikah hari ni…” Kata Pak Lang seolah-olah meminta kepastian.
“Betul.” Kataku lembut, sambil memujuk agar dia minum sedikit lagi oat yang masih memenuhi mug.
“Dia belum datang ke bilik Pak Lang, memohon restu.”
“Dia sedang bersiap-siap Pak Lang. Pukul sepuluh nanti dia akan bertolak ke rumah pengantin perempuan.”
“Sekarang pukul berapa?” Tanya Pak Lang.
“Baru pukul lapan setengah.”
“Semua orang akan pergi ke?”
“Tak. Masih ada yang tinggal menjaga rumah. Saya tak pergi…” Beritahuku dengan dada yang sebak. “Biar saya jaga Pak Lang. Pak Lang dengarlah cakap saya. Pak Lang mesti habiskan oat ni supaya Pak Lang ada tenaga. Saya tengok Pak Lang dah bertambah kurus.”
Pak Lang mengangguk. “Sejak kau tak ada, rumah ni dah tak ada serinya. Sunyi.” Kata Pak Lang lagi. “Kalau boleh Pak Lang memang mahu kau balik ke sini, macam dulu-dulu. Kau ni sebenarnya penyeri rumah ni!”
“Itu tak mungkin, Pak Lang. Saya ada tanggungjawab saya sendiri pada suami dan rumahtangga.”
“Pak Lang tahu. Dengarlah apa yang Pak Lang nak cakap ni…” Kata Pak Lang sambil memandang tepat ke wajahku. “Tanah ni ada bahagian engkau. Bukan hak Mak Lang kau sorang. Pak Lang cakap ni hal yang sebenar, bukan bohong. Sebahagian daripada tanah ni hak engkau, warisan daripada arwah mak kau dulu. Begitu juga kebun getah dan kebun kelapa. Pak Lang tidak banyak harta. Selama ini hanya menumpang isteri Pak Lang. Kalau ada pun hanya rumah sewa tiga buah di Taman Makmur tu. Itu memang Pak Lang beli semasa jadi guru agama dulu.” Terang Pak Lang satu persatu.
“Kau harus tuntut hak kau kalau Mak Lang kau cuba nafikan hal ini. Kau ingat tu, Fiqah?”
Aku terkejut mendengar kata-kata Pak Lang. Selama ini tidak pernah kutahu hakikat itu. Tidak kusangka aku punya hak ke atas tanah yang kusangka milik Mak Lang sepenuhnya. Apakah Pak Lang sudah nyanyuk? Mustahil. Dia masih siuman, bercakap dalam nada perlahan dan terkawal.
“Kau tentu pelik kenapa Pak Lang cakap macam ni kan? Pak Lang rasa Pak Lang dah tak lama lagi di dunia ini. Pak Lang mesti beritahu kau hakikat sebenar… Pak Lang takut Mak Lang kau tergelincir, sehingga memakan harta anak yatim.”
Airmataku berlinangan. Kalau pun benar Mak Lang menyembunyikan hakku, aku redha. Dia telah memberikan aku kehidupan yang baik. Aku sebenarnya tak marah ataupun berkecil hati dengan Mak Lang. Semasa aku kecil, Mak Lang memanjakan aku juga. Cuma apabila semakin besar, aku sudah tidak diperhatikan oleh Mak Lang seperti dulu. Malah Mak Lang suka memerintah. Sikapnya amat tegas terhadapku. Aku fahami juga mengapa dia bersikap begitu. Dia mahu aku jadi manusia. Nah! Sekarang aku sudah berpijak di atas tapak yang kukuh. Aku tahu tanggungjawabku pada agama dan Tuhan. Aku tahu batas pergaulan rakan dan taulan. Kalau tersesat, aku tak pernah lupa jalan kembali, sebab aku sudah dididik dengan asas yang tidak mudah goyah.
Aku tersenyum padanya lalu berkata; “Saya tak kisah Pak Lang. Harta di dunia ini hanya pinjaman.”
“Kau benar Fiqah.” Jawab Pak Lang. “Semua yang kita miliki hanya pinjaman, termasuk roh dan jasad kita. Sampai masa kita akan pergi menemui Dia.”
Aku memegang tangan Pak Lang. “Pak Lang, janganlah cakap macam tu. Saya tak mahu kehilangan Pak Lang. Beri saya peluang untuk berbakti pada Pak Lang. Pak Lang makanlah roti ni, biar saya suapkan.”
Pak Lang menggeleng.
“Jamahlah sikit Pak Lang…” Rayuku perlahan.
Pak Lang membuka mulutnya dan menggigit sedikit roti yang ada di tanganku. Dia mengunyah dengan susah payah. Kemudian cepat-cepat meminta air kosong. Kasihan aku melihat Pak Lang. Patutlah badannya semakin kurus. Dia tidak lalu makan.
“Sedapnya bau rendang dan pulut…” Kata Pak Lang.
“Pak Lang mahu? Biar saya ‘seludup’ sikit untuk Pak Lang. Kalau Mak Lang tahu pasti dia tidak benarkan.”
Pak Lang tertawa pendek. Kulihat ada seri di wajahnya tika dia tertawa.
“Pergilah ambil sikit, nak merasa…”
Aku cepat-cepat keluar. Ketika itu semua tetamu yang ada sedang menjamu selera. Tepat pukul sepuluh pagi nanti, mereka akan ke masjid untuk upacara akad nikah. Kemudian Abang Imran dan rombongannya akan menyerahkan wang mas kahwin, menyarung cincin perkahwinan dan menjamu selera di rumah pengantin perempuan. Semasa aku datang semula ke bilik Pak Lang, Abang Imran ada bersama ayahnya. Dia sedang bercakap-cakap dengan Pak Lang. Pak Lang pun kelihatan gembira melihat anak lelaki bongsunya mengenakan baju Melayu putih dan bersamping songket warna perak.
Aku teragak-agak hendak masuk. Pak Lang meminta aku masuk dan duduk dekat dengannya.
“Ayah nak rasa pulut dan rendang Im. Kalau mak kau tahu dia tak bagi. Itu yang ayah suruh Fiqah ambilkan sikit.”
“Biar saya suapkan ya Pak Lang?” Tanyaku sambil mencubit sikit pulut dengan jariku. Kusuakannya ke bibir Pak Lang. Dia memamah perlahan-lahan sambil memandang kami silih berganti. Tidak kusangka dia meminta Imran pula menyuapinya dengan pulut. Imran menurut sahaja. Pak Lang makan dengan penuh berselera. Dia memerhati kami berdua dengan senyuman yang tidak putus-putus. Dadaku berdetak hebat…
Pak Lang memperlihatkan sikap yang begitu aneh.
Imran keluar dari bilik Pak Lang. Aku turut keluar sambil membawa dulang minuman dan makanan yang tidak habis dimakan Pak Lang. Pak Lang tersenyum memandang Imran yang segak dengan baju Melayu. Tapi aku terus meluru ke dapur, menyimpan tangisanku dalam diam-diam tanpa pengetahuan sesiapa.
Mak Lang sibuk ke sana sini. Dia adalah orang ‘penting’ dalam majlis pernikahan Abang Imran. “Siapa yang akan tinggal di rumah?” Tanya Mak Lang pada anak-anaknya.
“Saya.” Sahutku. Aku baru datang dari dapur.
Mak Lang mengangguk. “Siapa lagi?” Gesa Mak Lang. Dalam sibuk dan gembira hendak menerima bakal menantu, Mak Lang nyata risau dengan kesihatan Pak Lang.
Kak Zarita yang sarat mengandung turut tidak akan pergi. Lebih kurang sepuluh orang saudara mara sebelah Mak Lang juga ada di rumah, mereka masih ingin menyiapkan kerja-kerja yang belum selesai. Sepuluh buah kereta bertolak pergi meninggalkan rumah Mak Lang, menghala ke rumah Kak Najiha.
Aku cuma memerhati dari jauh. Hari ini Abang Imran akan menjadi seorang suami. Kudoakan kebahagiaannya selalu. Semoga dia akan hidup dilingkari cinta dan kasih sayang seorang wanita bergelar isteri. Dan semoga cinta antara Abang Imran dan Kak Najiha akan terungkap bersama termeterainya janji perkahwinan. Abadi selamanya.


Bab 25


IMRAN melangkah tenang, biarpun fikirannya berserabut dan hatinya menanggung kesedihan. Namun dia tidak kesal. Sedikit pun tidak. Sudah tiba masanya untuk ayah pergi menemui Tuhan, bisik hatinya penuh redha. Dalam satu hari banyak peristiwa berlaku. Saling tindih menindih. Pagi tadi dia mendapat teman hidup dan sebelah petang dia kehilangan ayahnya.
Imran sudah pun tiba di tangga. Dia orang terakhir melangkah pergi meninggalkan tanah pusara. Petang itu langit bening dan tenang. Cahaya kuning beradukan dengan warna merah dilihatnya dengan pandangan sayu. Hatinya masih pedih dan tangisan berlagu di dalam hati.
Dia melangkah masuk. Terdengar suara emaknya melengking kuat di udara. Emaknya kedengaran marah; “Fiqah! Mengapa tinggalkan Pak Lang sorang? Tak ada sesiapa pun menghadapi semasa dia sakratul maut. Kata sanggup nak jaga Pak Lang?”
“Saya…” Suara Julia Afiqah tersekat.
Imran tersentak. Tidak disangka Latipah menyalahkan Julia Afiqah terhadap apa yang terjadi. Sesungguhnya bukan salah gadis itu. Tiada sesiapa pun patut disalahkan dalam hal ini. Sudah begitu ketentuan Ilahi. Mengapa Latipah tidak mahu menerima kenyataan? Bukankah hari ini semua orang sibuk?
“Tak mak… Ayah bukan sendirian di bilik. Saya ada…” Sampuk Zarita, sambil memegang bahu emak mertuanya. “Saya ada di bilik ayah masa tu… Tapi saya tertidur.”
Kemarahan Mak Lang mengendur. Zarita memimpin emak mertuanya supaya duduk. Disuruhnya anak sulungnya yang berumur 10 tahun supaya mengambil air. Air itu diberikan kepada Latipah. Sesungguhnya Latipah masih terkejut dengan kematian suaminya. Dia bagaikan tidak dapat menerima kenyataan.
“Sebelum tu dia ada minta saya bacakan al-Quran. Saya bacakan dia surah al-ikhlas dan surah empat qul. Dia ikut saya baca perlahan-lahan. Dia juga minta saya baca syahadah. Saya bacakan juga. Dia ikut. Kemudian dia tanya mengapa semua orang belum balik. Saya kata, belum selesai agaknya majlis di rumah Najiha. Ayah nak saya telefon mak? Dia kata, tak payahlah. Kirim salam dan minta maaf pada semua orang…”
Zarita berhenti bercerita, dia diam sejenak kemudian menyambung; “Saya tanya mengapa ayah cakap macam tu? Dia jawab ayah dah penat ni, nak tidur. Dia minta saya selimutkan dia. Dia terus tertidur. Sebab saya pun letih, tak sangka saya pun tertidur sama.”
Latipah menangis, bahunya bergerak-gerak mendengar cerita Zarita. Semua yang ada di ruang tamu ikut menitiskan airmata, termasuk Imran. Latipah memandang Julia Afiqah dengan airmata berlinangan. Dipanggilnya anak saudaranya supaya duduk di sampingnya. Dipegangnya tangan Julia Afiqah; “Maafkan Mak Lang. Mak Lang tak sengaja marah-marah tadi. Mak Lang tak dapat terima, Pak Lang kau pergi dalam keadaan begini.” Dipegangnya pipi Julia Afiqah yang digenangi airmata. Kemudian dipeluknya anak saudaranya itu.
Sudah sekian lama dia tidak mendakap tubuh itu. Semasa Julia Afiqah kecil dia amat rapat dengan Mak Lang. Imran sudah berumur 15 tahun ketika itu jadi semua orang hanya memanjakan Julia Afiqah yang baru berusia lima tahun. Julia Afiqah juga merupakan ‘adik bongsu’ bagi semua anak-anak Latipah.
“Tak apa Mak Lang. Saya faham…” Jawab Julia Afiqah.
“Mak… Redhakanlah pemergian ayah.” Seru Imran yang sejak tadi berdiri di tepi pintu. “Sudah tiba masanya mak. Kita yang hidup ini pun akan pergi juga suatu hari nanti. Kita perlu teruskan hidup kita yang masih panjang.”
“Ya… Mak redha Im.” Jawab Latipah.
Dua hari kemudian, semasa majlis menyambut menantu di rumah Latipah, suasana tidak semeriah yang dia harapkan sebelum itu. Malah tiada persandingan, tiada paluan kompang mengiringi. Hanya jamuan yang didahului dengan tahlil dan doa selamat. Imran tidak kesal majlis pernikahanya jadi begitu suram. Baginya dia bersyukur dia kehilangan ayah tetapi mendapat pengganti seorang isteri.
Lantaran rancangan bulan madu sudah diatur, Imran dan Najiha bertolak juga ke Bali seminggu kemudian. Mereka menginap di Adi Dharma Cottage yang terletak di tengah-tengah Resort Pantai Kuta. Resort Pantai Kuta terdiri daripada Adi Dharma Cottages dan Adi Dharma Hotel. Adi Dharma Resort terletak Jalan Legian sementara Adi Dharma Hotel terletak di Jalan Benesari. Walau bagaimana pun ada lorong belakang disediakan untuk pengunjung, yang menghubungkan kedua-dua tempat itu. Kawasan kotej luas dan cantik, dikelilingi pokok menghijau. Imran memilih untuk tinggal di bilik kotej, yang lebih kecil namun begitu selesa, berbanding bilik superior. Pun suasana kamar sungguh indah dan romantis, bagaikan sebuah syurga kecil buat dia dan Najiha.
Dari kotej mereka hanya perlu berjalan kaki selama sepuluh minit untuk ke persisir Pantai Kuta. Tetapi sebaik sampai semalam mereka belum turun ke pantai. Lantaran kepenatan Imran mengambil keputusan untuk berehat sahaja selepas makan di Nasi Bali Restaurant & Bar.
“Pagi esok saja kita berjalan-jalan di Pantai Kuta.” Kata Imran.
Najiha hanya mengangguk. “Suka hati abanglah.”Jawab Najiha malu-malu.
Imran berbaring namun masih mengawasi gerak laku Najiha yang ada di kamar itu. Sesekali dia sempat membandingkan Najiha dengan Julia Afiqah. Tersentap dadanya. Mengapa dia harus membandingkan mereka berdua? Kedua-duanya tidak sama.
Najiha berusia dua puluh tiga tahun. Tahun lepas dia telah menamatkan pengajian di maktab perguruan dan baru setahun dia mengajar di sekolah rendah kampungnya. Kini setelah dia bernikah, dia menghadapi dilemma yang agak berat. Dia terpaksa bertukar ke Kuala Lumpur dan perkara itu bukanlah mudah kerana dia baru setahun mengajar. Hal itu pun belum dibincangkannya dengan Imran. Dia merasakan terlalu awal untuk berbuat demikian.
Mereka baru seminggu mendirikan rumahtangga. Dia masih belum kenal hati budi Imran. Selama seminggu ini Imran baik, walaupun tidak begitu ramah dengannya. Wajah Imran serius, sukar untuk melihat dia tersenyum apalagi tertawa. Barangkali dia masih sedih di atas pemergian ayahnya.
Pagi itu Najiha terjaga, mendapati Imran tiada di dalam kamar. Dia bangun lantas terus mandi dan mengenakan pakaian. Berhasrat untuk keluar mencari Imran. Ke mana Imran pergi? Dia ketiduran selepas subuh tadi. Masing-masing melayan rasa letih dan mengantuk akibat perjalanan jauh. Dia berjalan sendirian. Tempat itu memang sunyi tetapi indah lagi menawan, tempat yang amat sesuai untuk santai dan berbulan madu. Tetapi Imran tiada di sisinya, dia merasai sesuatu yang kurang sebaik sahaja lelaki itu tiada.
Dia pergi ke restoran, manalah tahu kalau-kalau Imran kelaparan dan makan terlebih dahulu. Namun Imran tiada. Dia mengambil keputusan untuk kembali ke bilik, namun terkejut apabila terlihat di luar pintu kotej ada sandal Imran. Ada kesan pepasir halus melekat di sandalnya.
Dia pergi ke pantai tanpa mengajak aku? Bisik hati Najiha sambil menolak daun pintu. Imran berada di dalam bilik air semasa dia masuk. Najiha duduk tenang di atas katil, berharap Imran akan menerangkan mengapa dia keluar sendirian pagi itu. Bukankah sudah berjanji hendak sama-sama berjalan-jalan di pantai malam semalam?
Dia memerhati ke arah almari yang terbuka luas, dan mendapati beg baju sudah dikeluarkan oleh Imran. Di dalam almari tiada baju-baju yang digantungnya sebaik tiba semalam. Dahi Najiha berkerut, dia tertanya-tanya mengapa Imran mengemas kembali baju-baju itu. Dia tidak menunggu lama untuk mengemukakan pertanyaan apabila Imran keluar dari bilik air sejurus kemudian.
“Kita balik…”
“Balik?” Najiha sungguh-sungguh terkejut.
“Kenapa? Kan kita baru sampai semalam, tak sempat nak jalan-jalan tiba-tiba dah nak balik? Rugi kan? Lagipun tiket dah ditempah.”
“Biarlah rugi. Apa cara sekali pun kita balik. Saya tak ada mood nak bercuti. Hati saya masih sedih. Kita balik ajelah.” Kata Imran dengan tegas. “Lagipun mak tinggal di rumah sorang-sorang. Saya rasa bersalah hendak bergembira di sini sedangkan mak masih sedih dengan ketiadaan ayah.”
Najiha hanya mengangguk. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Keputusan Imran muktamat. Siapa dirinya untuk membantah keputusan lelaki itu. Biarpun kecewa tapi dia menurut sahaja.
Latipah terkejut melihat mereka pulang lebih awal daripada tempoh yang dijanjikan. Imran tidak berkata apa-apa semasa Latipah mendesak hendak tahu, apa yang berlaku.
“Tak ada apa-apa mak…” Jawab Imran. “Hari ni saya nak balik ke KL. Dah terlalu lama saya cuti. Cuti saya pun dah habis saya ambil semuanya.”
“Macamana dengan Jiha?” Tanya Latipah ingin tahu.
“Belum bincang lagi.” Kata Imran. Dia tahu Najiha perlu mengajar. Sekarang bukan musim cuti sekolah. Barangkali belum masanya untuk Najiha mengikut dia ke Kuala Lumpur. Lagipun Adie masih tinggal dengannya. Dia belum bersedia untuk membawa Najiha tinggal bersama.
Tuhan! Keluhnya perlahan-lahan. Berikan aku kekuatan. Berikan aku ketabahan untuk mengharungi semua ini. Aku tak tahu apa yang harus kukatakan pada dia. Cuma aku mengharap pada satu pengertian.
“Jiha…” Seru Imran sambil duduk di hadapan isterinya. Najiha memandang Imran, lelaki itu sedang berfikir-fikir dalam. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang merungsingkan Imran. Bukan semata-mata kerana emaknya tinggal berseorangan. Bukan. Hatinya berkata begitu.
“Biar saya berterus terang. Sebenarnya saya belum merancang untuk membawa Jiha tinggal dengan saya. Jadi saya harap Jiha tinggal dulu di kampung. Sehingga penghujung tahun ini jika boleh. Kemudian barulah kita tinggal bersama. Saat itu saya mahu Jiha berhenti kerja.”
“Berhenti kerja?” Najiha terkejut mendengar saranan Imran.
“Ya. Saya mahu Jiha jadi isteri sepenuh masa. Saya beri masa enam bulan ini untuk Jiha fikir betul-betul tentang kerjaya Jiha. Saya mahu Jiha lepaskan kerja Jiha penghujung tahun ni… Ikut saya tinggal di KL.” Suara Imran tegas. Najiha terdiam jadinya. Ketegasan sikap Imran itu tidak mampu ditentang. Najiha sedar hak Imran sebagai seorang suami. Tetapi apakah isteri tiada hak pula untuk mempunyai kerjaya?
Agh! Memang isteri harus patuh pada suami. Dan dia tidak perlu rasa terpaksa. Demi keutuhan rumahtangga yang baru dibina dia menurut sahaja.
Melihat isterinya cuma diam, Imran menambah; “Soal duit jangan Jiha bimbang. Saya boleh beri jumlah yang sama dengan gaji yang Jiha dapat sekarang.”
Najiha hanya mengangguk.
Hati Imran lega, Najiha tidak banyak kerenah. Mulanya dia sangka Najiha akan membantah. Kalau Najiha berkeras tidak mahu mengikutnya, dia tahu apa yang harus dilakukan. Meninggalkannya lantas memberikan dia talak dengan alasan nusyuz? Astaghafirullah! Mengapa aku terburu-buru, bisik hati Imran. Najiha seorang perempuan yang baik. Namun baik saja tidak memadai. Untuk membuat sebuah perkahwinan itu indah dan menyenangkan perlu ada cinta dan kasih sayang. Kini perasaan itu tidak wujud langsung di hati.
Lantaran itu setiap apa yang dilakukan bersama tiada erti, tiada keindahannya di hati Imran. Tuhan… Bisik hatinya berkali-kali sambil memandang wajah Najiha yang dirasakannya begitu tulus dan suci. Perempuan ini sudah dianugerahkan kepadaku, sanggupkah aku mengabaikan dan melukainya?
Dia mencapai tangan isterinya lantas digenggamnya dengan erat. “Jiha, kau harus bersikap ikhlas dalam hal ini. Jika kau tak redha, tak mahu meninggalkan kerjaya kau tu, beritahu saya. Saya tak mahu kau lakukan ini semua kerana terpaksa.”
“Abang…” Seru Najiha sambil merenung mata Imran. “Sebelum keluarga saya menerima pinangan daripada keluarga abang, ibubapa saya bertanya berkali-kali pada saya. Ikhlaskah saya jika dinikahkan dengan abang? Entah mengapa ringan mulut saya untuk menyatakan ‘iya’ walaupun saya langsung tak kenal pada abang. Saya juga sudah memikirkan segala kemungkinan ini. Saya ikhlas dan redha. Saya cuma harap diri saya diterima dalam hidup abang. Saya serahkan hati saya yang bersih dan ikhlas pada abang…”
Imran hilang kata-kata. Keikhlasan kata-kata Najiha buat dia terpaku. Tidak diduga hatinya begitu mulia. Imran mencium dahinya sekilas; “Terima kasih isteriku.” Bisik Imran sambil tersenyum puas.


Bab 26


BEGITU lama aku tidak menulis nota-nota cinta. Kufikirkan bahawa aku tidak akan menulis lagi. Namun hari ini tika berada di dalam librari kecil di rumah, aku terpanggil untuk menulis. Sebenarnya aku mulai belajar rindukan seseorang. Aku cuba menterjemahkan rasa rinduku ini di atas sekeping kertas.
Narmi,
Tahukah kau erti rindu. Setiap kali rindu itu datang menjenguk, hatiku berdebar dengan getar gembira berbaur pilu. Kala dia ada di sisiku, aku terkenangkan dirimu. Rinduku ini telah menjadi tabu. Aku takkan mungkin dapat menghubungimu, atau mendengar suaramu lagi…
Julia Afiqah.
Aku merenung cacatan yang kutulis dengan tanganku sendiri. Kurasakan tulisanku sudah semakin buruk dan teruk. Tiada sentuhan artistik. Dulu tulisanku amat cantik. Perasannya aku! Tulisanku selalu mendapat pujian Abang Imran. Duduk di dalam librari, menghadapi meja tulis dan merenung cacatan itu membangkit nostalgia. Kupandang seluruh librari yang diisi dengan sebuah rak yang melekat ke dinding, meja panjang dari kayu jenis dirty oak, yang dilengkapi dengan enam buah kerusi. Di sudut yang menghadapi tingkap kaca, ada sebuah PC yang selalu digunakan Faruk untuk melayari internet.
Memang librari ini tidak sama dengan perpustakaan di rumah Mak Lang. Di sini walaupun banyak buku, tetapi tiada ensiklopedia Abang Imran. Takkanlah aku begitu berani dan cekal hendak menyelitkannya di dalam buku-buku milik Imran pula. Bagaimana jika Imran terjumpa semasa dia mencari bahan-bahan rujukan?
Imran selalu membawa pulang buku-buku yang dibelinya di kedai-kedai buku. Kemudian buku-buku yang ada dipunggahnya pula ke pejabat. Katanya staff bahagian editorial memerlukan buku tersebut untuk rujukan. Walaupun ada sudut sumber di pejabatnya terkadang ianya tidak lengkap. Faruk suka kalau ada pameran buku di luar negara. Dia sanggup pergi semata-mata untuk mendapatkan pelbagai buku. Kualiti buku-buku terbitan luar negara jauh lebih baik berbanding penerbitan dalam negara.
“Mereka sangat mementingkan mutu kertas, kualiti gambar dan layout. Sebab tu aku cuba ambil contoh baik yang dibuat oleh orang-orang Barat.” Faruk pernah berkata begitu. Kebanyakan buku-buku yang dibelinya dalam bentuk gambar warna-warni. Puas mata memandang setiap apa yang terpamer jelas dan seakan-akan hidup.
Di mana nak selit nota ni? Aku terpandang satu rak yang dipenuhi dengan novel-novel milikku. Sekarang aku jadi pencinta novel, di waktu senggang aku gemar membaca. Kalau aku malas hendak membeli aku pinjam saja dari kedai buku di Central Market. Kalau aku terasa hendak membuat koleksi barulah aku beli buku tersebut di MPH. Sejak cuti kolej, aku memang suka menghabiskan masa di kedai buku.
Aku masih terus bersahabat dengan Syamil, Emilia dan Wanie. Tapi budak bertiga itu tidak minat langsung dengan buku. Kalau aku sebut saja nak pergi kedai buku, masing-masing mesti pura-pura menyatakan ada hal. Sebenarnya mereka pergi makan burger di A & W atau makan pizza. Dan aku akan pergi bersendirian sahaja. Itulah lebih baik sebenarnya bolehlah aku berlama-lama di sana memilih buku yang aku suka.
Dalam diam-diam aku, hampir aku tidak sedar sudah hampir setahun kau belajar di kolej. Cuti panjang baru seminggu bermula. Bermakna kau perlu menunggu setahun lagi untuk menghabiskan kursus. Semoga aku lulus dengan baik, untuk mendapatkan sijil yang menjamin masa depanku. Aku tak mahu bergantung sepenuhnya pada Faruk. Biarlah aku punya kerjayaku sendiri.
Aku teringat pada kata-kata Abang Imran. Kita perlu merancang masa depan dan perlu punya cita-cita supaya ada semangat untuk mencapainya. Jika tidak punya cita-cita kita takkan mampu untuk mencapai apa-apa. Kita tidak tahu apa yang kita mahu…
Sesungguhnya kata-kata Abang Imran itu memang benar. No pain no gain. Biar kita menghadapi kepahitan dan kesusahan terlebih dahulu. Sesungguhnya selepas kepahitan pasti ada kemanisan.
Aku teringat kembali perhubunganku dengan Faruk suatu masa dulu. Alangkah pahitnya mengingati detik-detik awal perkahwinan kami. Namun semakin lama aku belajar memahami dia walaupun sukar. Dan aku boleh menerima dirinya kini. Walaupun tidak pernah berjanji hendak berubah, tapi kutahu Faruk sedang berusaha ke arah itu. Kini dia sering berada di rumah pada waktu malam. Kadang-kadang mengajakku pergi ke rumah mama atau pun makan malam di luar, di café kesukaannya.
Terkadang aku mengajaknya makan di gerai sahaja kerana aku lebih suka dan relaks berada di tempat yang santai. Sesekali Faruk menuruti jua kehendakku.
Dari dalam librari dapat kudengari bunyi pintu dibuka. Faruk sudah balik? Aku merenung jam. Sepatutnya dia belum balik pada waktu-waktu begini. Aku bergerak ke pintu lantas membukanya untuk menyambut kepulangan Faruk. Faruk tersenyum mesra, tangannya menyembunyikan sesuatu di belakang. Mataku melirik tajam ingin tahu apa yang disembunyikannya daripada pandanganku.
Perlahan-lahan dia membawa tangannya ke hadapan. Sejambak mawar berwarna pink yang diikat dengan reben dihulur ke arahku. Aku benar-benar terperanjat. Selama 18 tahun hidupku tidak pernah seseorang memberikan aku sejambak bunga.
“Cantiknya…” Pujiku tanpa sedar.
“Untuk kau.” Kata Faruk sambil menyerahkan bunga itu. Aku menyambutnya bersama senyum gembira. Faruk lantas terus berlalu masuk ke kamar setelah kuberikan dia sekilas senyuman di pipi sebagai ungkapan terima kasih. Ketika sibuk membelek bunga sekeping kad yang terselit dicelahnya jatuh ke lantai.
Kuambil lantas kubaca dengan cepat;
Buatmu isteriku yang manis dan semakin manja,
Kau ibarat kijang emas yang kian jinak dan aku adalah pemburu yang sudah lelah. Wahai kijang emasku! Berhentilah berlari dan datanglah ke pangkuan pemburu yang sudah semakin lelah ini. Aku menantimu selalu dengan cinta dan kasih sayang…
Faruk.
Dahiku berkerut-kerut. Ungkapan itu kubaca beberapa kali seperti tidak percaya. Faruk menyatakan cinta dan sayangnya padaku? Aku memandang kamar tidur Faruk yang bertutup rapat. Biar betul! Bisik hatiku sambil menepuk dahiku sendiri.
Aku menyanyi kecil sambil memasukkan bunga mawar pemberian Faruk ke dalam vase kaca lantas meletakkannya di tengah-tengah meja makan. Malam ini akan kumasak masakan istimewa buat Faruk. Tetapi aku tidak tahu memasak masakan barat. Namun akan kucuba jua. Harap-harap menjadi.
Untuk desert aku cuba menyediakan brownies. Namun brownies ku tidak menjadi. Ia jadi keras seperti batu! Malu aku hendak menunjukkannya pada Faruk. Seluruh dapur berselerak. Oh! Tuhan macamana kalau tiba-tiba Faruk keluar lantas melihat keadaan dapur yang kelam kabut seperti dilanda garuda.
Aku bergerak ke arah kuali yang sedang mendidih, menjenguk sos bebola daging yang belum siap. Kucicip sedikit untuk memastikan bagaimanakah rasanya. Tapi mengapa sos bebola daging untuk spagheti ini terasa masam? Apa yang terlebih atau ada bahan yang terkurang?
“Hei! Kau buat apa?” Tanya Faruk sambil menjenguk di muka pintu dapur.
Senduk di tanganku terlepas. Aku terkejut melihat Faruk yang tiba-tiba muncul. Dahinya nampak berkerut. Dia mendekati dan melihat apa yang sedang kumasak.
“Hmmm… Sos bebola daging.” Katanya sambil tersenyum. Dia mengambil senduk lantas merasai sos itu. Mukanya menunjukkan riak yang mencurigakan. Hatiku jadi tidak keruan. Malu dan bimbang dikutuk.
“Kita makan di luar!” Kata Faruk sambil berjalan meninggalkan dapur.
Sah! Masakanku tidak menepati seleranya.

KEGEMBIRAAN mulai mengisi dada dan hatiku, seluruhnya. Selepas Faruk berangkat ke tempat kerja, aku mulai membelek buku resepi yang baru dibeli. Dan aku sentiasa teruja untuk mencuba kek dan brownies. Tidak sabar untuk melihat hasilnya. Aku akan mencuba hingga berjaya. Ketika sedang mengadun tepung, loceng pintu pula berbunyi. Aku bergegas membuka pintu tanpa menghiraukan wajah dan tangan yang comot.
Mama ada di luar. Sudah agak lama dia tidak datang ke rumah. Kehadirannya hari itu membuat aku tambah teruja. Dia tertawa melihat rupaku. Juga melihat keadaan dapur yang berselerak seperti tongkang pecah.
“Kau buat semua ni untuk menggembirakan hati Faruk semata-mata?” Tanya mama tidak percaya.
“Ya. Seumur hidup saya, saya tak pernah membuat kek dan brownies. Dah beberapa kali buat asyik tak jadi. Frust betul mama. Akhirnya Faruk ajak saya makan di luar.”
“Anak manis!” Kata mama sambil mencubit pipiku. “You are really in love with my son. Mama happy betul. Akhirnya kalian nikmati juga erti cinta setelah mendirikan rumah tangga. Dulu mama risau, takut kau tak dapat sesuaikan diri dengan Faruk. Nah! Sekarang lihatlah, kau sanggup buat sesuatu yang tak pernah kau lakukan demi dia!”
Aku terdiam dan kaku beberapa ketika. Kata mama, aku dah jatuh cinta pada Faruk. Benarkah? Aku pun tak sedar. Spontan aku terkenang semua yang berlaku dua tiga bulan kebelakangan ini. Memang apa yang kami lakukan kini tak ubah seperti orang yang sedang bercinta. Faruk sekarang sudah berubah. Bukankah sebelum ini dia tidak pernah pulang membawa bunga mawar untukku? Tidak pernah menulis sebarang nota…
Mama mengelilingi ruang tamu dan terpandang mawar yang masih segar di dalam vase biarpun sudah seminggu Faruk menghadiahkannya padaku.
“Faruk belikan bunga untuk kau?” Tanya mama.
Aku mengangguk dan tersenyum malu.
“Amazing! Anak mama totally dah berubah.”
Aku tersentap. Apa maksud mama? Apakah mama tahu sesuatu. Mata mama memerhati ke arah pintu kamar yang bertutup rapat. Kuharap dia tidak berhasrat untuk ‘memeriksa’ kamar tidurku. Apakah dia sudah maklum kami memang tidur berasingan bilik tetapi dia buat tak tahu saja?
“Faruk tu sebenarnya tak pernah berkawan dengan perempuan.” Cerita mama. “Sebab itulah soal jodoh dia serahkan pada mama.”
“Oh!” Aku menarik nafas. Rupa-rupanya memang mama tak tahu apa-apa tentang ‘kelainan’ yang ada pada diri anak lelakinya itu. Nampak gagah tetapi sebenarnya pincang. Namun syukurlah dia semakin jauh meninggalkan dunia songsangnya itu. Dan aku turut bersyukur dia mampu menjadi seorang suami yang baik.
“Jadi kau betul-betul nak buat kek coklat tu?” Tanya mama. “Mama ingat nak ajak kau shopping. Dah lama tak pergi shopping bersama. Lepas tu kita pergi ke salon. Sejak kau dah belajar semula, mama pun sibuk kita tak ada masa bersama.”
Aku mengangguk. Aku benar-benar ingin menyediakan kek coklat untuk Faruk. Jika dia balik awal, akan kuhidangkan semasa minum petang nanti.
“Okey, kalau macam tu biar mama tolong. Mama akan berikan kau beberapa tips untuk menjadikan kek kau halus dan gebu.” Kata mama, sambil mencapai apron lalu menyarungkannya ke tubuh.
Kegembiraanku berganda jadinya. Tak sangka hari ini aku mendapatkan seorang guru yang cukup berpengalaman dalam soal menyediakan kek. Aku semakin yakin bahawa kali ini aku tidak akan kecewa.

AWAL MALAM disambut dengan kedatangan hujan yang tidak diduga. Faruk keluar dari kereta, berjalan laju ke arah lif. Angin bertiup kencang, tubuhnya rasa dingin sekali. Saat itu dia membayangkan mandi dengan air hangat untuk menyegarkan tubuh yang keletihan, kemudian mengarang artikel untuk isu terbaru bulan hadapan. Kedua-dua tangannya sarat dengan sebuah briefcase dan laptop.
Sebaik sampai di hadapan pintu, Julia Afiqah menyambut kepulangannya. Briefcase dan laptop diambil dari tangan Faruk. Semuanya diletakkan di tempat biasa. Tetapi Faruk segera menegur Julia Afiqah yang sedang membawa briefcase dan laptop ke dalam bilik tidur.
“Tolong letak laptop dalam librari.” Pinta Faruk. “Malam ni nak buat kerja sikit.”
Julia Afiqah mengangguk. Faruk memerhati Julia Afiqah yang patuh melakukan apa yang disuruh. Kini perempuan itu benar-benar telah menjadi seorang isteri yang setia… fikir Faruk. Memang dia tidak pernah mengimpikan ini semua berlaku dalam waktu yang agak singkat. Dia dapat melupakan ‘kekasih-kekasih’nya yang terdahulu. Betapa dia kagum dengan perempuan yang satu ini. Memang dia seorang tabah.
Aduh… Mengapa hatiku sering memuji dia kini? Apakah itu satu tanda bahawa aku sudah jatuh cinta pada seorang manusia yang berlainan jenis denganku? Memang aneh perasaan ini! Kulihat dia terlalu sempurna…
Julia Afiqah keluar dari librari, melihat Faruk yang sudah pun bergerak masuk ke kamar. Dia membiarkan lelaki itu membersihkan diri. Sementara menunggu Faruk mandi, Julia Afiqah sudah pun menghidangkan makan malam.
“Buat apa di rumah hari ni?” Tanya Faruk.
“Hmmm, mama datang.” Beritahu Julia Afiqah. “Dia ajak saya shopping. Dua hari lepas dia datang tapi saya sibuk buat kek.”
“Oooo… Terbongkar rahsia! Patutlah kek coklat yang kau buat tu sedap. Rupa-rupanya mama yang tolong.” Usik Faruk sambil tertawa.
Wajah Julia Afiqah bersemu merah, kerana malu dia telah terlepas cakap menceritakan tentang kedatangan emak mertuanya itu. Dia benar-benar berterima kasih pada Datin Mahani yang telah mengajarnya membuat kek dengan betul. Menurut Datin Mahani, setiap bahan haruslah disukat menggunakan timbangan yang tepat. Mentega dan gula harus betul-betul kembang barulah boleh dimasukkan telur. Telur pula mesti dari kualiti telur yang baik bagi menjamin kek yang halus dan gebu.
Julia Afiqah mencegilkan matanya, pura-pura marah lalu berkata; “Nantilah kalau saya dah mahir buat kek, abang takkan dapat bezakan lagi yang mama kek buatan mama, dan yang mana satu kek buatan saya. Saya juga dah tahu macamana nak buat brownies.”
Faruk masih lagi tertawa. “Okey…” Katanya dengan suara mendatar. “Buat brownies yang sedap petang esok, boleh?”
“Dan tentu boleh…” Sambut Julia Afiqah sambil mengukir senyum.
Selepas makan, Faruk terus masuk ke librari untuk menyudahkan artikel. Dia turut menyumbang artikel di ruangan ‘Editor’s Note.’ terutama sekali majalah pertama yang diterbitkan oleh syarikatnya. Majalah Man’s Bestbuddy adalah satu nostalgia tidak terungkap yang dilahirkan dari cetusan idea dan citarasanya yang tersendiri. Majalah yang hanya dikhaskan untuk lelaki. Majalah itu bertahan dari hari pertama ianya berada di pasaran sehingga sekarang. Kini syarikatnya mempunyai 3 majalah utama antaranya Leisure & Sport, Majalah PC dan Conquerer.
Setelah sekian banyak isu yang diutarakannya setiap bulan, tiba-tiba malam ini dia kehilangan ilham. Isu apakah yang akan diketengahkannya pada bulan depan? Matanya memerhati ke arah deretan buku-buku yang ada memenuhi rak. Dia buntu. Beberapa kali dia meraup muka. Skrin di hadapannya masih kosong.
Julia Afiqah masuk membawakan dia semug kopi panas.
“Untuk hilangkan rasa mengantuk.” Kata Julia Afiqah sambil menjeling ke arah skrin komputer laptop Faruk yang masih kosong.
“Belum tulis apa-apa?” Dia bertanya.
Faruk menggeleng.
“Malam ni ilham macam tak nak turun ke bumi.” Kata Faruk.
“Barangkali sebab hujan…” Jawab Julia Afiqah. “Masa di kampung kalau hujan malam, saya rasa gelisah sebab tak dapat buka tingkap bilik tidur saya. Bila hujan bermakna bulan takkan muncul. Saya suka bercakap dengan bulan.”
Faruk tertawa. Ada-ada saja. “Bulan tu menjawab ke setiap kali kau tanya dan bercakap dengannya?”
Julia Afiqah tertawa kecil. “Bodoh kan? Bercakap dengan sesuatu yang tidak dapat membalas kembali apa yang diungkapkan. Tapi hati selalu puas bila dapat menatap bulan, seolah-olah apa yang terbuku di hati akan didengari dan difahami…”
Faruk menggelengkan kepala. Dia tidak pernah berbuat apa yang Julia Afiqah katakan itu. Memang sesuatu yang bodoh… bisik hatinya. Ada ke patut bercakap dengan bulan?
“Okeylah… Saya keluar dulu. Saya tak nak mengacau.”
“Hey Sugar! Berikan aku satu ciuman. Semoga aku dapat idea lepas ni…”
Julia Afiqah tidak membantah apabila Faruk memintanya sebuah ciuman. Tidak lama kemudian dia keluar meninggalkan pintu yang ditutupnya rapat-rapat.
Faruk cuba menaip beberapa baris ayat. Serba tidak kena dan langsung tidak sesuai dengan kehendaknya. Dia memandang sekeliling kemudian matanya jauh pada deretan novel kepunyaan isterinya. Dia tidak sedar sejak bila Julia Afiqah mulai membuat koleksi novel. Banyak juga bukunya yang disusun dengan teratur. Dia mengambil salah sebuah novel bertajuk ‘Sangkar Asmara’.
Sebuah kisah cinta… bisik hati Faruk sambil membelek-belek kulit novel tersebut. Dia membuka novel itu sekali lalu. Sedikit terkejut apabila di dalam novel itu tersebut terselit sebuah nota. Faruk memegang nota itu membacanya perlahan-lahan.
Narmi,
Tahukah kau erti rindu. Setiap kali rindu itu datang menjenguk, hatiku berdebar dengan getar gembira berbaur pilu. Kala dia ada di sisiku, aku terkenangkan dirimu. Rinduku ini telah menjadi tabu. Aku takkan mungkin dapat menghubungimu, atau mendengar suaramu lagi…
Julia Afiqah.
Jantungnya terasa terhenti berdenyut. Nota itu dibacanya lagi. Tidak percaya. Hatinya membuak-buak dengan rasa radang dan marah. Penipu! Bisik hatinya. Kau kata yang kau tak pernah jatuh cinta! Nota apa ni Fiqah? Bukankah ini ungkapan cinta kau pada seseorang. Pada Narmi? Siapakah manusia Narmi ini? Kau menulis namanya di atas sekeping nota rahsia. Dan kau tidak pun pernah menulis namaku bukan? Kau rindukan Narmi, sedangkan kau bersamaku. Begitu besar rasa rindumu sehingga lahirnya nota ini… Kau sentiasa terkenangkan Narmi. Siapa Narmi?
“N. A. R. M. I.” Faruk mengeja huruf itu satu persatu. Otaknya ligat berfikir. Hati dan perasaannya dikerumuni rasa cemburu yang kian bertambah dan bertambah.
“I.M.R..A.N. Imran? I don’t believe this!” Tercetus nama itu dari dua ulas bibirnya.
“Imran rupanya?” Ulangnya lagi. Segalanya kembali berputar di mata, setiap peristiwa yang berlaku, tika Julia Afiqah bersama lelaki itu. Lelaki yang amat dikagumi dan dihormati oleh Julia Afiqah.
Faruk menggumpal nota itu dengan kedua-dua tangannya, lantas dicampakkannya ke dalam bakul. Namun tidak lama kemudian, dia kembali mengutip nota itu lalu membukanya kembali. Dibacanya sekali lagi dengan hati yang remuk. Kau penipu Fiqah! Kau masih cintakan dia! Dia sentiasa ada dalam hati kau! Kau pernah katakan padaku hatimu tidak pernah dimiliki. Dan aku percaya pada kau.
Faruk mengoyakkan nota yang ada ditangannya sehingga hancur lebur. Dia keluar dari librari terus berjalan laju ke kamar Julia Afiqah. Kamar itu sudah gelap. Faruk berdiri sahaja di ambang pintu bilik yang terbuka. Cahaya terang dari ruang tamu tersimbah ke dalam bilik. Julia Afiqah berbaring tenang, dia memandang ke arah Faruk yang ada di situ.
Julia Afiqah bersuara perlahan; “Ada apa bang?”
Faruk tidak menjawab. Dia hanya merengus kasar.
“Semuanya okey?” Tanya Julia Afiqah sambil bangun.
“Okey… Okey. Tak ada apa-apa. Tidurlah…” Kata Faruk cuba mengawal suara dan kemarahannya agar tidak meletus.


Bab 27


PANGGILAN telefon daripada Wanie mengejutkan aku dari tidur. Aku tertidur hingga jam sembilan. Pagi ini terlepas untuk menyediakan sarapan Faruk. Mengapa Faruk tidak mengejutkanku? Maklumlah cuti, aku malas hendak mengunci jam.
“Hei! Keluarlah. Buat apa memerap saja di rumah.” Gesa Wanie sambil tergelak kecil. “Sejak cuti kau langsung tak hubungi kami. Aku dengan Emilia ingat kau tak ada di KL. Jangan-jangan kau balik kampung tak?”
“Aku masih ada di KL.” Jawabku perlahan, masih dikuasai rasa mengantuk.
“Hmmm, mesti baru bangun tidur tu. Dengar suara macam itik serati…” Wanie terus menggelakkan aku.
Aku bingkas bangun dan memarahi Wanie. “Hei! Banyaklah lawa muka kau kata suara aku macam itik. Haa… yang kau call pagi-pagi buta ni kenapa? Orang nak tidur pun tak senang.”
“Cukuplah tu tidur sepanjang hari! Jom kita keluar hari ni. Nak ajak kau pergi satu tempatlah. Dah pakat-pakat dengan Emy dan Syam semalam.”
“Ke mana?” Tanyaku.
“Kami dapat satu tawaran menarik…” Kata Wanie. “Jumpa nanti aku ceritalah. Kita jumpa pukul sebelas nanti kat depan Ampang Point, okey?”
“Okeylah.” Aku bersetuju. Semasa turun dari katil untuk ke bilik air, aku teringat janjiku hendak membuat brownies petang ini. Tak mengapalah… bisik hatiku. Esok masih ada. Aku akan buat esok saja. Hari ni aku nak keluar, tak sabar nak jumpa Emilia, Wanie dan Syam. Rindu…
KAMI pergi minum terlebih dahulu sambil bercerita tentang kegiatan yang dilakukan sepanjang dua minggu percutian. Emilia pergi bercuti bersama keluarganya ke Langkawi minggu lepas. Syamil tidak ke mana-mana. Wanie pula ke Singapura melawat kakaknya yang bekerja di sana.
“Kau buat apa?” Tanya Emilia sambil memandang tepat ke wajahku.
“Aku? Aku belajar buat kek coklat dan brownies.” Kataku setelah berfikir sejenak. “Dah beberapa kali buat asyik tak jadi. Tapi dua hari lepas aku buat menjadi pulak. Punyalah seronok…”
“Wow! Bila agaknya boleh datang rumah makan kek coklat yang kau buat?” Tanya Syamil.
“Ya… Ya…” Sampuk Wanie dan Emilia serentak.
Aku tergamam. Bagaimana aku harus menolak jika mereka benar-benar mahu datang. Jika aku tak benarkan pastilah mereka akan tersinggung.
“Ehh, kau suka makan kek ke?” Tanyaku pada Emilia dan Wanie. “Kau tak takut gemuk? Kau tu berangan nak jadi modelkan? Nah… Kek tu mengandung banyak lemak dan kalori. Tak elok untuk orang yang hendak mengekalkan bentuk badan. Aku lainlah. Aku ni bukannya nak jadi model macam kauorang…”
“Ehhh… Sebut pasal modelling… Itulah tujuan kami ajak kau keluar hari ni. Sebenarnya kami dapat satu tawaran bagus dari sebuah majalah. Hari ni dia panggil kami untuk buat satu sesi fotografi. Lepas ni kita pergi sana.” Kata Wanie sambil memerhati jam.
“Lambat lagi…” Sampuk Syamil. “Appoinment pukul 2 petang.”
“Kau pun dapat tawaran juga ke?” Tanyaku pada Syamil.
“Mestilah… Aku bakal jadi model lelaki. Model of The Year. Percaya tak?”
“Mengarutlah! Perasan!” Kataku sambil senyum mengejek.
“Entah! Tak habis-habis perasan. Model of The Year, konon! Kayak ganteng banget!” Kata Wanie sambil menunjal pipi Syamil dengan jari telunjuknya.
“Hei… Janganlah buat macam tu!” Marah Syamil. “Jari engkau tu kotor, jangan letak kat pipi aku. Nanti tumbuh jerawat.”
Kami tergelak. Syamil begitu takut mukanya yang licin itu ditumbuhi jerawat. Tapi tak dinafikan wajah Syamil bersih dan tiada kesan jerawat langsung. Barangkali dia boleh jadi model yang baik!
Kami bertolak pergi dengan menaiki kereta yang dipinjam Syamil dari ibunya. Seronoknya dapat bersama kawan-kawan. Sejenak aku lupa pada diriku yang sebenar. Aku rasa aku juga seperti mereka, remaja yang riang dan bebas. Aku lupa aku sudah punya suami. Dan aku tak mungkin jadi seperti mereka. Duniaku sebenarnya amat berbeza sekali dengan Wanie, Emilia dan Syamil.
Ketika melangkah memasuki pintu syarikat penerbitan yang terletak di tingkat 13 di sebuah bangunan tinggi di Jalan Ampang itu, hatiku tiba-tiba berdetak kuat. Kulihat pada nama syarikat yang terpampang di belakang meja penyambut tetamu yang luas dan besar. Nama syarikat itu pernah kulihat. Tapi di mana? Aku cuba mengingat. Aduh… Kepalaku pening, fikiranku buntu. Walau bagaimana pun hatiku berkata, aku tidak mahu berada di situ. Dadaku terus bergetar. Tiga orang penyambut tetamu ada di meja. Emilia terus mendekati meja dan meminta untuk bertemu dengan Encik Jason.
Tidak lama kemudian seorang lelaki datang ke ruang depan, lantas mengajak kami masuk ke dalam. Kami melangkah masuk menghala ke studio. Dari dalam studio itu kudengar satu suara yang sangat kukenal. Tubuhku terasa tergegar lagi dengan lebih hebat. Aku bagaikan tidak dapat melangkah. Kupandang wajah Emilia, Wanie dan Syamil yang nampak begitu gembira sekali, sebaliknya bibirku menggeletar. Apakah rahsiaku akan terbongkar hari ini? Encik Jason membawa kami ke bilik solek yang terletak bersebelahan dengan studio. Suara itu kudengar jelas diamuk kemarahan yang tidak kunjung padam.
“Bukan macam tu! Salah!! Salah!! Express your feeling. Saya tak mahu sebuah gambar yang kaku. Tunjukkan perasaan kamu!! Tunjukkan kamu happy. Mata, bibir dan wajah… Harus main peranan! Huh!!! Tak bagus! Ulang lagi! Ulang lagi!!! Suara itu terus marah-marah. Dan kulihat kilatan cahaya kamera terus berkelip dari sebalik pintu yang terbuka.
Tanpa sebarang bunyi derap langkah lelaki itu keluar dengan seraut wajah yang masam, masih menyimpan rasa marah dan tidak puas hati. Dia muncul seperti kilat di hadapanku. Aku terus kaku menatapnya tanpa suara. Kawan-kawanku turut memandang lelaki ini yang sedang menatap kami dengan rupa terkejut. Jason yang ada bersama terus menerangkan; “Encik Faruk, mereka bertiga datang nak buat ujian sesi fotografi.”
“Okey…” Kata Faruk sepatah. “Suruh mereka tukar baju dan make-up.”
Faruk memandang padaku, tanpa senyum. Dia memandangku seperti memandang orang asing. Aku menarik muka masam biarpun tadi aku mengukir senyum tipis.
“Kau buat apa di sini?” Tanya Faruk dengan nada dingin dan terpaksa.
“Saya… Saya datang dengan mereka.” Kataku menunjuk ke arah kawan-kawanku.
“Mereka ni kawan-kawan kau?” Tanya Faruk, nada suaranya masih tidak berubah. Tegas dan keras sahaja. Dia memerhati Emilia, Wanie dan Syamil silih berganti. Namun dia memandang Syamil lebih lama daripada Wanie dan Emilia.
Aku mengangguk. “Kawan-kawan kolej.”
Emilia, Wanie dan Syamil benar-benar terkejut mendengar Faruk bercakap denganku. Dia tidak sangka aku kenal pada ‘boss’ syarikat penerbitan tersohor itu. Emilia dan Wanie tersenyum, harapan mereka berbunga bahawa mereka akan diterima. Wajah mereka akan terpampang di majalah Man’s Bestbuddy yang terkenal itu.
Tapi aku yakin, Faruk tidak akan memberi mereka sebarang peluang! Dan kini kudapati dia juga tidak memberikan aku peluang untuk berada di sisinya. Dia terus pergi, dengan wajah yang tetap masam mencuka. Entah mengapa hatiku sakit. Aku rasa diriku terhina diperlakukan begitu oleh Faruk di hadapan kawan-kawanku. Entah mengapa saat itu mengharapkan dia tersenyum mesra seperti tika di rumah. Ataupun sekurang-kurangnya bercakap dalam nada rendah dan lembut.
Aku terlupa satu hakikat bahawa di situ tiada sesiapa pun tahu statusku di samping Faruk. Barangkali staff di situ tidak pun tahu yang Faruk sudah berkahwin. Mungkin hanya Adie seorang yang tahu akan hakikat itu!
Seorang jurugambar keluar dari bilik studio sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. “Boss naik gila hari ni! Dia ‘kacau’ kerja semua orang! Habis… Entah berapa roll filem hari ni semua tak jadi. Muka model tu dah berminyak, panas. Lampu tu dah rosakkan make-up dia.” Katanya kesal.
Jason juga menggelengkan kepalanya. Dia tidak memberikan apa-apa komen. Kemudian dia mengajak kawan-kawanku memilih pakaian dan bermake-up. Aku tidak diperlukan di situ.
Akhirnya aku membuka langkah, kembali ke ruang tamu. Untuk apa aku berada di situ? Aku hanya menemani mereka. Aku sama sekali tidak akan terlibat. Faruk sudah hilang entah ke mana. Aku pergi ke meja penyambut tetamu, memberanikan diri bertanya; “Boss syarikat ni… Encik Faruk?” Aku pura-pura bertanya seperti orang asing saja.
“Ya.” Jawab penyambut tetamu sambil mengangguk dan memberikan senyuman ramah.
“Dia… Dia ada di biliknya tak?”
“Maaf, dia baru aje keluar.”
“Boleh saya tahu dia ke mana?”
Penyambut tetamu menggeleng. Jelas dia tidak akan memberitahu aku apa-apa.

IMRAN terkejut menerima kedatangan Faruk di pejabatnya pada petang itu. Namun dia tetap menyambut kedatangan Faruk dengan wajah manis, mempersilakan lelaki itu duduk di sofa yang ada di dalam kamarnya.
“Maaf kalau aku mengganggu.” Kata Faruk memulakan perbualan.
Imran melihat jam di pergelangan tangan. Sebenarnya dia ada mesyuarat dalam masa setengah jam lagi. Justeru itu dia tidak boleh bercakap panjang dengan Faruk. Dia berharap kedatangan Faruk tidak akan mencuri masa yang panjang. Sempat juga hatinya berdoa Faruk tidak membawa berita yang buruk tentang Julia Afiqah.
Sesungguhnya dadanya berdenyut keras, menghadapi wajah Faruk yang dilihatnya sedikit tegang. Faruk tidak tersenyum, malah dilihatnya lelaki itu sedang membendung kemarahan.
“Sebenarnya aku ada meeting setengah jam lagi…” Kata Imran berterus-terang. Lebih baik dia menyatakan hal yang sebenar.
“Okey, kalau kau sibuk tak mengapa. Aku datang lain kali.”
“Jangan macam tu! Aku tengok kau macam nak katakan sesuatu yang penting.”
Faruk tersenyum dalam keterpaksaan. “Tak. Tak ada yang penting. Hanya ingin berbual dengan kau. Perbualan antara lelaki dan lelaki.” Benarkah aku seorang lelaki sejati? Aku telah dikalahkan oleh Imran. Dia memiliki hati isteriku… Perempuan yang kini aku dambakan setiap saat dan waktu. Namun malangnya perempuan itu telah melukai hatiku. Begitu sakit dan parah sekali hati ini, terpaksa menerima satu hakikat.
Faruk tertunduk beberapa ketika kemudian kembali memandang wajah Imran yang tenang. “Kalau kau sibuk, aku datang lain hari saja.”
Imran sedikit kecewa mendengar kata-kata Faruk. Tadi dilihatnya Faruk seperti benar-benar ingin berbincang dengannya, tetapi kemudian dengan cepat mengubah keputusan.
“Hari ni aku betul-betul sibuk. Maaf.” Kata Imran.
“Okey. Biar aku balik dulu.” Faruk terus bangun.
Namun dengan cepat Imran menahan langkah Faruk. Dia bertanya dengan nada tergesa-gesa, tidak sabar;“Adik sihat? Kau nak berbincang pasal dia ke?”
Faruk menggeleng. “Bukan. Bukan fasal dia. Kan aku kata, aku nak cakap pasal lelaki… Kita!” Faruk cuba ketawa. Dia sedar kekecewaan yang mewarnai wajah Imran. Tawa Faruk jadi lebih panjang.
“Okey.” Balas Imran. Dia tersenyum sambil menghulur tangannya untuk bersalaman dengan Faruk yang sudah pun bergerak hendak keluar. Faruk menyambut tangan Imran. Terasa tangan itu menggenggamnya dengan kemas. Tiba-tiba ada rasa cemburu menjalar semula dalam diri Faruk.
“Kau lelaki yang bertuah!”
“Apadia?” Tanya Imran tidak mengerti apa maksud Faruk.
“Selamat berbahagia.”
“Kau juga begitu Faruk. Hatiku lega kerana kau yang mengahwini adik. Aku percaya lelaki yang hebat seperti kau pasti dapat membahagiakan dia.”
Faruk tidak membalas kata-kata itu. Hebat? Bisiknya di dalam hati. Kehebatan apakah yang aku ada? Bukankah kau yang lebih hebat? Yang mampu mengikat hati Julia Afiqah selama-lamanya. Dirimu tidak pernah luput di dalam ingatan. Bayangmu mengekori dia ke mana-mana dan hidupnya untukmu semata-mata. Kerana dirimu… Aku bukan sesiapa, hanya seorang lelaki malang.
Lelaki aneh yang tidak kenal pada diri sendiri. Lelaki yang telah lama tergelincir. Malang sekali bila aku cuba untuk bangkit, mencapai tangan yang terhulur ke arahku. Tangan yang kusangka akan menolong kembali mengenali diriku dan cinta, sebaliknya dia hanya berpura-pura…
Aduh… Pedihnya hati ini Fiqah! Bisik Faruk sambil berjalan laju meninggalkan pejabat Imran.
ADIE kaget apabila Faruk mengajaknya makan malam. Dia sudah pun membuat tempahan di coffee house Hotel Fan Pasifik. Adie masih tidak bersuara, tergamam dan bertanya kembali; “Betul Faruk?”
“Betul.” Kata Faruk sambil melemparkan senyuman. Dia mengetuk pen di permukaan meja beberapa kali kemudian mengenyitkan matanya. “Malam ni enjoy betul-betul. Aku dah sewa bilik hotel.” Kata Faruk ketawa lepas.
“Bilik hotel? Agh! Tak payahlah!” Balas Adie.
“Kau lebih suka pergi ke kediaman baru kau? Ya, aku pun tak pernah pergi lagi ke rumah baru kau. Lebih selesa di sana, aku kira?”
Adie hanya tersenyum.
“Hei… Kalau tidak pun, di rumahku saja!”
“Bagaimana dengan isteri kau? Bukankah kau tak mahu menyakiti hatinya lagi? Kau kata kau dah mulai belajar cintakan dia, heh?” Adie bagaikan sengaja memulangkan paku buah keras.
Wajah Faruk berubah. Dia mendekati Adie lalu bersuara sedikit keras; “Jangan sesekali ulang kata-kata tu! Kau dah rosakkan mood aku!”
“Sorry… Sorry!” Balas Adie sambil lekas-lekas mengusap pipi Faruk. Dia berdiri di hadapan lelaki itu lantas membetulkan vest dan tali leher Faruk supaya kemas. Dia sengaja menimbulkan soal itu untuk meneka reaksi Faruk. Jelas Faruk sengaja untuk menyakiti Julia Afiqah. Pasti ada krisis antara mereka sehingga Faruk ingin menjalinkan hubungan dengannya semula.
“Aku akan datang tepat pada waktunya. Sebagai ucapan terima kasih kerana kembali kepadaku… Aku akan berikan sesuatu yang amat istimewa untuk kau!”
Faruk mengangguk, lantas terus menghala ke pintu. Adie pantas mengikut Faruk keluar, sambil memeluk bahu lelaki itu dari belakang.
Kepulangan Faruk seperti biasa disambut Julia Afiqah di muka pintu. Namun Faruk menolak ketika Julia Afiqah mahu mengambil beg. Dia juga membantah tika Julia Afiqah mahu membuka baju kotnya.
“Aku buat sendiri. Thanks.”
Julia Afiqah terpaku, dia memerhati sahaja Faruk yang berjalan laju menghala ke bilik tidurnya. Pintu ditutupnya agak kuat.
Julia Afiqah masih memerhati ke arah pintu yang tertutup rapat. Apa dah jadi? Mengapa dia tiba-tiba berubah sikap? Hati Julia Afiqah terus digayuti pertanyaan.


Bab 28


TIDAK pernah aku rasa seresah ini. Jam sudah pun pukul dua pagi tetapi Faruk belum pulang. Walaupun dulu aku tidak kisah, tidak pernah menunggu kepulangan Faruk. Namun kebelakangan ini aku sudah cenderung menunggu, mengharap Faruk akan segera muncul. Dan aku mulai rasa kehilangan bila Faruk tiada di rumah.
Biarpun mood Faruk masih belum pulih, dingin terhadapku sejak dua yang lalu namun aku tetap bersikap seperti biasa. Cuba menegur dan memberikan layanan yang sebaik-baiknya. Dan sejak dua yang lepas juga Faruk menolak setiap kebaikanku terhadapnya. Aku belum putus asa. Barangkali dia ada masalah di pejabat.
Aku duduk merenung telefon yang ada di atas meja sisi katil, berfikir dalam-dalam siapakah yang patut aku hubungi. Sudah puas menekan nombor telefon Faruk yang tidak aktif. Akhirnya aku teringkatkan satu nombor. Walaupun sudah lewat begini aku masih memberanikan diri menghubunginya.
“Adik, kenapa call dah lewat sangat ni?” Tanya Abang Imran lembut. Suaranya yang lunak yang menyentuh telingaku membuat hatiku jadi pilu. Tanpa sedar airmataku merembes laju. Aku amat rindukan dirinya, hanya dia yang tidak pernah mengasari aku, dengan kata-kata ataupun perbuatan.
“Hei… Kenapa menangis pula ni?” Tanya Abang Imran lagi. Namun aku tidak dapat menjawab pertanyaannya. Aku terus menangis lagi. Tiada kata yang dapat menjelaskan kesedihanku saat ini. Saat ini aku mengharapkan Abang Imran ada di kamar sebelah, supaya aku dengan mudah boleh mendapatkannya untuk mengadu. Mencurahkan rasa hatiku yang terluka.
“Adik, bertenanglah. Cerita pada abang apa yang berlaku?”
Mendengar dia menyeru memanggilku ‘adik’ terasa amat indah. Aku ingin dia memanggilku lagi beberapa kali. Setiap patah katanya yang penuh prihatin itu bukan hatiku hiba dan rawan. Aku tidak dapat membuka mulut, apatah lagi kudengar ada suara di belakang Abang Imran.
“Siapa bang?”
Jelas di pendengaranku suara pertanyaan itu datangnya dari Kak Najiha. Serba salah aku jadinya. Abang Imran ada bersama Kak Najiha rupanya! Kusangka Kak Najiha masih di kampung. Sudah lama aku menahan diri daripada menghubungi lelaki itu. Hatiku kian lara apabila mengetahui mereka sudah tinggal serumah.
Tidak kudengar jawapan daripada Abang Imran. Tanganku pantas mematikan talian telefon. Aku tak mahu mengganggu mereka. Mengapa aku harus menghubungi Abang Imran sedangkan hatiku telah membuat keputusan untuk melupakan dia dari hidupku.
Aku menarik selimut dan cuba untuk tidur. Namun fikiran yang rungsing dan hati yang sedih, membuat aku tidak dapat tidur langsung. Aku hanya berbaring di dalam kegelapan malam. Ops, waktu sudah menghampiri dinihari sebenarnya, tapi mataku enggan terlelap. Mataku masih terus segar.
Aku bangun perlahan-lahan menghala ke pintu, lantas membukanya. Sebuah lampu meja di ruang depan sengajaku buka untuk memudahkan pergerakan. Kupandang ruang sofa yang sepi dan kaku, membayangkan Faruk berbaring di situ sambil membaca majalah. Tetapi aku tersentak sendiri, bahawa aku sendiri di rumah ini. Entah ke mana Faruk pergi malam ini. Mengapa tiba-tiba sahaja dia berubah menjadi Faruk yang lama, yang menyakitkan hatiku?
Kuingat lagi kata-katanya pada suatu hari; “Rasa cinta itu akan datang Fiqah…”
Dan mengapa rasa cinta itu datang terlalu singkat? Soalku. Aku baru hendak menikmatinya. Aku belum sempat terbuai dalam ungkapan cinta yang indah itu. Tiba-tiba awan mendung datang menutupi dan menggelapkan hari-hariku yang cerah. Bagaimana harus kuhadapi lagi hidup ini dengan tabah. Abang Imran telah dimiliki dan Faruk pula telah berubah hati dalam sekelip mata.
Loceng pintu terdengar berbunyi. Aku memandang ke arah pintu. Faruk balik? Tapi mengapa dia tidak menggunakan kuncinya sendiri? Aku bergerak membuka pintu. Bukan Faruk di luar, tetapi Abang Imran. Dia bersendirian.
“Adik!” Seru Abang Imran.
“Abang! Kenapa abang datang sini?” Tanyaku kaget.
“Abang risaukan adik. Tadi adik menangis-nangis di telefon macam ada perkara serius yang berlaku. Kenapa dik? Semuanya okey?”
Aku membuka pintu lantas membenarkan Abang Imran masuk. Serba salah hatiku melihat kesanggupannya datang ke rumahku di waktu-waktu begini. Waktu orang lain enak dibuai mimpi, dia malah memandu sendirian semata-mata kerana risaukan aku. Aku rasakan diriku keterlaluan, mengganggu ketenteraman hidupku. Aku rasa bersalah.
Sepatutnya aku menangani masalah ini dengan bersikap lebih dewasa. Sebaliknya aku menangis seperti anak-anak kecil bila menghadapi masalah.
Mata Faruk memerhati sekeliling, tidak terlihat Faruk di mana-mana. Dengan rasa tidak sabar dia terus bertanya; “Mana Faruk? Adik tinggal seorang diri?”
Aku mengangguk. “Dia belum balik.” Beritahuku perlahan.
“Dia ke mana?”
Aku menggeleng. Memang aku tidak tahu Faruk berada di mana. Telefon bimbitnya ditutup. Jelas dia tidak mahu aku menghubunginya.
“Saya risau, saya tak tahu kenapa dia belum balik. Saya takut apa-apa terjadi padanya…”
Kepala Abang Imran tertunduk. Dia diam beberapa saat. Kudengar dia mengeluh perlahan.
Rupa-rupanya ini semua hanya kerana Faruk belum pulang. Adik menangis kerisauan seolah-olah Faruk sudah mati. Aduh! Adik… Kalau abang tahu tadi, takkan abang datang ke sini. Abang fikir sesuatu yang buruk berlaku. Tahukah kau adik, betapa abang ini amat sayangkan kau lebih dari segalanya, bisik hatinya di dalam diam.


Bab 29


BAHAGIAN II
RAHSIA HATI IMRAN

BUAT pertama kali semalam aku membohongi Najiha. Dia bertanya ke mana aku pergi lewat dinihari dengan tergesa-gesa setelah mendapat panggilan telefon. Kataku ada kawan baikku menghadapi masalah. Aku harus segera pergi membantunya.
Kini dalam perjalanan pulang dari rumah adik, aku sedang mereka-reka satu cerita yang logik untukku persembahkan pada Najiha. Apa yang harus aku katakan? Apakah masalah yang menimpa ‘kawan baikku’? Aku benar-benar buntu. Dan aku terus memandu dengan kelajuan yang minima seolah-olah aku tidak mahu cepat sampai di rumah.
Tika melepaskan aku pulang tadi, adik menunjukkan wajah sedih berkali-kali menyatakan rasa bersalah kerana menghubungiku pada waktu yang tidak sepatutnya. Dia benar-benar tidak menyangka yang aku sanggup datang ke rumahnya. Dia terlalu risau. Tapi aku yakin bukan hanya kerisauan yang ada pada wajahnya. Masakan dia hanya risau jikalau Faruk balik lewat atau tidak balik langsung. Ada sesuatu yang terjadi antara mereka. Aku teringat Faruk datang menemui petang tadi. Tapi aku terlalu sibuk untuk melayani, mendengar masalahnya.
Adik, tahukah kau betapa aku sangat menyayangimu, lebih daripada nyawaku sendiri. Setiap titis airmatamu yang menuruni pipi, hati ini akan tersentuh ngilu dan pedih. Dan apabila tawamu membumbung tinggi, hatiku pun ria dan gembira. Sejak dulu tidakku fahami mengapa ini yang aku rasai.
Aku cuma semakin merasai kepedihan ini tika melihat kau bersanding di pelamin bersama Faruk. Saat itu hatiku menangis dan meratap… Ku tahu kau semakin jauh dan aku tidak mungkin dapat berada dekat denganmu lagi. Namun Tuhan tetap mempertemukan kita atas dasar persaudaraan yang erat. Rasa kasih dan sayang yang sudah sebati dengan diriku. Rasa yang diberi Tuhan untukku nikmati. Rasa senang dan bahagia jika berada di sampingmu.
Kutahu apa yang kurasai ini adalah salah, biarpun dalam agama membenarkan kita bernikah! Namun aku malu pada semua orang, terutama ibuku. Aku malu kerana menyimpan rasa cinta ini terhadap perempuan yang kuanggap adik. Perempuan yang aku lihat saban waktu, sejak dia kecil sehingga dewasa. Terkadang aku malu pada diri sendiri tetapi aku sesekali tidak pernah teringin perasaan ini hilang dari hati.
Aku telah tiba di rumah. Kulihat lampu porch sekonyong-konyong menyala. Tidak lama kemudian Najiha keluar lantas membukakan pintu pagar. Agh! Isteriku yang baik itu telah menunggu aku pulang penuh setia. Dia telah mengorbankan waktu tidurnya begitu saja…
“Macamana? Dah selesai masalahnya?” Tanya Najiha ingin tahu.
Aku mengangguk. “Kenapa Jiha tunggu saya? Mengapa tidak tidur saja?”
“Saya dah hilang rasa mengantuk.” Jawab Najiha.
“Maaf. Panggilan tu tadi telah menggangu tidur Jiha… Cubalah masuk tidur semula. Lagipun masih terlalu awal. Baru pukul 5 pagi.”
“Tak mengapa. Saya rasa nak tunggu subuh. Sementara tu boleh salat tahajjud dan baca al-Quran.” Jawab Najiha.
Aku terdiam. Astaghafirullah. Baik dan mulianya hati dia. Langsung dia tidak mendesak dan bertanya mengapa aku keluar. Dia tahu aku tidak sedia untuk bercerita. Lantas dia terus memudahkan diriku dengan meredhai semuanya. Ya Tuhan! Aku rasa bersalah sungguh padanya. Aku patut bersikap jujur pada Jiha. Mengapa aku tak beritahu saja yang aku pergi ke rumah adik. Aku risaukan adik yang menangis-nangis di telefon seperti kematian suami! Agh! Akulah yang gila. Bukankah adik telah menjadi hak Faruk? Faruk tahu apa yang dia lakukan! Bila dia balik nanti, pasti dia akan memujuk hati adik yang resah gelisah dan gundah gulana.
Aku masuk ke kamar tidur, menukar baju dengan pijama. Jiha berada di dalam kamar mandi, bunyi air terdengar jelas. Dia sedang mengangkat wuduk. Tidak lama kemudian dia keluar dari bilik air, lantas mencapai telekung. Dia memerhati aku yang sudah berbaring semula.
Najiha masuk ke kamar sebelah yang dijadikan bilik salat. Dulu kamar itu dihuni Adie. Setelah Adie keluar dari rumah ini, aku jadikan bilik itu bilik salat semula. Tidak lama kemudian kudengar bacaan ayat-ayat suci berkumandang dengan lembut. Syahdunya! Hatiku rasa begitu insaf mendengar alunan suaranya yang merdu.
Entah bila aku tertidur. Aku hanya terjaga semula bila terasa kakiku disentuh oleh tangan dingin Najiha.
“Bang, dah pukul enam lebih! Dah nak habis waktu subuh.”
Aku bingkas bangun. Mata terasa pedih kerana tidak cukup tidur. Namun aku cepat-cepat bangun menuju ke bilik air.
Pagi ini tika melangkah ke pejabat, aku belum dapat menghapuskan rasa bersalahku pada Najiha. Dia menyediakan sarapan seperti biasa, menyalami dan mencium tanganku di saat aku selesai mengenakan sepatu.
Najiha sudah menetapkan pendiriannya akan meninggalkan kerjayanya. Dia redha berhenti demi rumahtangga yang baru dibina. Entah mengapa aku terus digayuti rasa bersalah. Apakah aku terlalu memaksa? Aku dengan tegas menunjukkan kuasaku sebagai seorang suami, langsung tidak boleh dicabar. Aku tidak tahu apakah pula pendapat kedua-dua ibubapa mertuaku. Kuharap dia merestui keputusan Najiha.

PINTU rumah terbuka luas, ada sepasang kasut perempuan di muka pintu. Kutahu kasut itu bukan milik Najiha. Aku segera keluar dari kereta, lantas berjalan ke muka pintu. Tidak kudengar suara perbualan. Saat kujenguk ruang tamu, ianya kosong? Jadi kasut siapakah di luar pintu?
Aku terus ke masuk. Dari dapur itu kudengar suara perbualan yang tidak begitu jelas. Suara itu terasa tidak asing di telingaku. Adik datang? Untuk apa dia datang? Aku terus menjengukkan muka ke ruang dapur. Adik dan Najiha sedang duduk di meja makan kecil di dapur. Mereka berbual sambil menghadapi minuman dan sepiring goreng pisang.
“Adik! Bila datang?” Tanyaku cepat, hatiku dibauri cemas.
Apakah adik sudah menceritakan tentang kedatanganku ke rumahnya dinihari semalam? Dan kini Najiha sudah tahu aku membohonginya. Pasti dia tertanya-tanya mengapa aku berbuat demikian. Kuharap adik tidak membawa berita yang kurang menyenangkan. Diam-diam aku berdoa Faruk pulang semalam setelah aku balik.
“Baru je. Tadi pergi jalan-jalan, bosan kat rumah. Singgah di sini.”
“Kalau bosan di rumah, tidur saja di sini malam ni…” Pelawa Najiha. “Boleh kita berbual-bual panjang.”
Apa hendak kalian bualkan? Soal hatiku.
“Ha’ah! Tidurlah di sini. Adik pun tak pernah tidur di rumah abang. Faruk ke mana?”
“Dia outstation.” Jawab adik dengan suara mendatar. “Memang adik tinggal sorang di rumah.”
Aku memandang adik. Adik lekas-lekas menundukkan wajahnya. Aku yakin dan percaya, adik tidak langsung membuka rahsia semalam. Adik pasti adik membohongi Najiha, menyatakan Faruk outstation. Dan aku semakin yakin Faruk sebenarnya tidak balik langsung sejak semalam. Ke mana pula Faruk pergi?
Aku ingin memberitahu adik, Faruk pernah datang semalam menemuiku. Tapi tidak boleh memberitahu hal itu di hadapan Najiha.
“Tidur di sini ya?” Kata Najiha, seolah-olah memujuk.
“Tak bawa baju.” Jawab adik sengaja mencari alasan.
“Agh! Baju Kak Jiha banyak, muat dengan Fiqah. Apa yang hendak dikisahkan kita dah jadi adik beradik.” Begitu ikhlasnya kata-kata Najiha.
Kulihat adik tersenyum manis. Dia memandang Najiha kemudian bersuara lemah; “Terima kasih. Tapi saya nak balik. Abang Faruk pesan suruh jaga rumah.”
Aku memandang adik lagi. Jelas sekali dia semakin pandai bersandiwara. Adik sudah bangun lantas menghulur tangannya pada Najiha.
“Ehhh… Nak balik dah ke?” Tanya Najiha terkejut adik yang mendadak meminta diri. Aku masih berdiri tegak di muka pintu dapur, tidak bersuara apa-apa hanya memerhati kedua-dua perempuan itu tidak berkelip.
“Ya kak!” Jawab adik.
“Bang! Hantarkan Fiqah balik…”
“Tak apa kak. Abang pun baru balik, mesti masih penat. Biar saya balik dengan teksi saja.” Kata adik sambil membuka beg lantas mengeluarkan handphone. Lalu aku segera menghalangnya dari menghubungi teksi.
“Biar abang hantar balik.” Kataku dengan tegas.
Adik memandangku, dia tidak bersuara apa-apa. Adik terus bergerak laju menghala ke pintu. Aku pun turut mengekori langkahnya. Dan Najiha kutinggalkan di muka pintu. Dia tersenyum, melambai mesra dari jauh.
“Faruk tak balik semalam?” Tanyaku semasa dalam perjalanan ke rumah adik.
Adik menggelengkan kepalanya. Dia menyatakan dia tidak tahu apa yang berlaku, tiba-tiba saja Faruk berubah tingkah. Dia kembali bersikap dingin, sama seperti pada awal perkahwinan mereka. Kalau di rumah dia lebih suka memerap di kamarnya sahaja selepas itu dia akan keluar malam dan pulangnya dinihari.
Aku sedikit terkejut, baru menyedari ada banyak cerita yang disembunyikan adik. Adikku lihat menyembunyikan airmatanya. Dia tidak mahu aku risau. Tapi aku sememangnya gelisah, menyedari bahawa Faruk banyak menyeksa perasaan adik. Tiba-tiba aku jadi marah pada Faruk. Jika tidak menginginkan adik lagi, lepaskan dia dan jangan seksa batinnya dengan sikap yang tidak munasabah. Tuhan menghalalkan perceraian sebagai jalan keluar terakhir.
Isteri bukan untuk dijadikan objek melepaskan rasa marah, geram dan dendam. Seorang isteri adalah untuk dicintai dan dilindungi. Jika Faruk tidak mampu lagi berbuat demikian, kembalikan dia kepada keluarganya. Sesungguhnya adik masih ada pewaris. Aku tidak akan membenarkan Faruk menyakiti hati adik sewenang-wenangnya.
“Abang tak sangka dia begitu kejam pada adik…”
“Sebenarnya banyak perkara yang abang tak tahu.” Jawab adik cuba mengawal suaranya agar tetap tenang. “Biar ianya jadi rahsia rumahtangga saya, bang…”
“Adik! Jangan jadi bodoh. Adik mesti tahu hak adik, jangan biarkan Faruk seksa adik dengan berbuat sesuka hati. Adik harus melepaskan diri dari tekanan. Jika adik biarkan dia terus memberi tekanan demi tekanan, adik juga yang akan jadi gila.”
Adik diam membatu. Dia tidak menjawab apa-apa. Aku pun jadi hilang idea untuk menasihatinya.
“Sabtu ni abang nak balik kampung. Adik nak ikut?”
Adik menggeleng. Katanya dia ingin menunggu Faruk pulang, tidak kira berapa lama sekalipun. Dia menghalang aku dari menghantarnya hingga ke hadapan pintu. Kuturutkan sahaja kehendaknya. Kuhantar dia hingga ke hadapan pagar kondo. Adik terus berjalan masuk tidak menoleh lagi ke belakang.

SABTU aku dan Najiha pulang. Kulihat rumah emak begitu sepi dan suram. Emak kini tinggal sendirian. Sewaktu kami tiba, emak ada di dapur. Dia sedang memasak nasi, walaupun jam sudah pukul dua petang. Katanya dia tiada selera hendak makan. Bila terlalu lapar barulah dia akan memasak.
Sarapan pagi hanya dengan segelas susu. Kulihat badan emak agak susut. Namun kegembiraannya begitu jelas tergambar apabila melihat kami balik.
“Dah makan? Biar mak masak lauk kegemaran kamu Im. Ada ikan keli di dalam peti sejuk tu. Ada juga sayur labu manis.” Kata emak, kelam kabut berjalan ke arah peti sejuk.
“Tak payah susah mak. Kami dah makan di rumah emak Jiha tadi.” Beritahu Najiha.
“Ooo… Jadi dah singgah di sanalah tadi? Pukul berapa sampai?”
“Lebih kurang pukul sepuluh pagi tadi.” Beritahu Najiha.
“Malam ni kami tidur di sini mak…” Kataku sambil memeluk bahu emak. “Sebab tu lah kami tak terus ke sini tadi.”
Emak mengangguk. Kulihat dia mengesat airmatanya yang meleleh perlahan. Dia terharu sekali melihat kami pulang untuk menemaninya biarpun hanya semalaman. Agh! Emak sepi sendiri di rumah. Mengapa emak membiarkan diri terus terpenjara di sini? Mengapa emak tak pergi ke rumah kami saja? Mengapa emak sanggup terus hidup sepi sedangkan anak-anaknya sanggup menerima dia.
“Emak jarang masak nasi tengahari. Kadang-kadang nasi seperiuk basi begitu saja tak dimakan. Tak ada selera. Sejak ayah kau tak ada ni, mak rasa lain.”
“Mak! Janganlah seksa diri macam tu. Kalau mak sunyi sangat, mak ikut aje kami balik esok.” Kataku sambil terus memeluk emak dengan erat. Aku sedar emak sepi, sunyi dan rindukan ayah. Justeru itu emak tidak mahu meninggalkan rumah yang pernah dihuninya bersama ayah berpuluh tahun yang lamanya.
“Tak apalah. Biarlah mak di sini. Abang Yahya kau pun ada ajak mak ke rumahnya tapi mak tak mahu.”
“Yalah, rumah abang tu jauh di Terengganu. Kalau di Kuala Lumpur dekat sikit. Ikut ajelah kami balik esok.” Pelawa Najiha pula.
Emak diam sahaja. Dia terus membuka peti sejuk untuk mengambil ikan.
“Mak masak lemak cili padai ikan keli ya Im?” Kata emak bersungguh-sungguh meskipun dia tahu kami sudah makan. Emak tetap mahu aku menikmati masakannya. Kalau dulu emak malas memasak yang sukar-sukar terutama sekali menggunakan santan, tapi sekarang emak jadi rajin.
“Suka hati maklah.” Kataku sambil berlalu ke dalam. Sebenarnya aku tak sanggup untuk melihat kesedihan dan kesepian yang melanda hidup emak. Bila aku balik emak pura-pura sibuk. Walau bagaimana pun tetap jua kurasai kegembiraan hatinya dengan kehadiran kami di rumah ini.
Aku masuk ke perpustakaan. Sebaik pintu kubuku, hidungku menyapa bau yang kurang enak. Semacam bau lipas atau bangkai cicak. Segera kubuka tingkap, sehingga cahaya mata dan udara masuk ke ruang yang pengap itu. Pertama sekali kuperhati meja panjang dengan enam kerusi. Meja kayu jati yang tidak beralas itu nampak diselaputi habuk. Begitu juga buku-buku yang memenuhi rak. Sudah lama perpustakaan itu dijengah. Emak pun tidak pernah masuk lagi…
Bila masuk ke pustakaan ini aku segera terkenangkan adik. Dialah yang rajin menjaga perpustakaan ini. Mengemas, menyusun buku dan membersihkan hapuk. Tapi kini semuanya tertinggal sepi, tidak berjaga langsung. Lama-lama buku yang ada akan rosak, dimakan lipas.
Sayang sekali, beli mahal tapi tak berjaga… bisik hatiku sambil menggosok-gosok permukaan ensiklopedia yang berdebu. Apakah aku perlu membawa balik buku ini pulang ke Kuala Lumpur. Memang aku amat sayangkan buku-buku itu semuanya. Bukan hanya kerana wang yang sudah dihabiskan untuk membelinya tetapi juga kerana ilmu yang terkandung di dalam buku tersebut. Setiap buku punya kenangan tersendiri.
Aku nekad hendak membawa balik semua buku ini ke rumahku di Kuala Lumpur. Lagipun aku takkan ke mana-mana lagi. Jikalau aku pergi pun, rumahku di Kuala Lumpur itu tidak akan kujual. Aku sayangkan rumah itu… Rumah yang kubeli hasil titik peluh sendiri.
Buku-buku ini lebih selamat jika kubawa pulang saja. Memang ada bilik kosong di tingkat bawah rumah teresku itu. Boleh kujadikan librari. Lagipun belum ada anak… hatiku berbisik. Tak perlu risau tidak cukup bilik tidur! Bilik di tingkat pun ada tiga. Sekiranya punya anak kelak, boleh gunakan dua bilik di tingkat atas. Agh! Baru kahwin beberapa bulan sudah berangan-angan punya anak… Ejek hatiku sendiri.
Aku mencapai salah sebuah ensiklopedia itu, lantas membukanya. Kubelek-belek secara rambang. Buku itu masih berbau harum. Hmmm… enaknya mencium bau yang terbit dari buku ini, seperti bau haruman bunga-bunga liar di hutan.
Kertas sebenarnya dihasilkan daripada campuran pelbagai jenis pulpa yang diadun bersama bahan kimia. Pulpa adalah gentian selulosa yang telah dileraikan dari matriks kayu. Kertas menjalani beberapa kemasiapan ringkas, menggunakan bahan kimia seperti barium sulfat, gipsum atau zink oksida.
Buku itu kuletakkan kembali di rak, namun mataku terpandang sekeping kertas bewarna kuning terjulur keluar. Aku menariknya perlahan-lahan. Dahiku berkerut. Kertas itu adalah sebuah catatan ringkas yang ditulis begitu kemas dan cantik. Kukenali tulisan siapa. Kepunyaan adik…
Perlahan-lahan bibirku bergerak membaca apa yang tertulis.
Narmi,
Kesedihan hatiku ini tak bisa kuungkap dengan kata-kata. Biar kutulis di dada kertas putih ini sayangku. Puisi cintaku padamu harus kubuang jauh ke lautan tak bertepi. Harus kubunuh rasa yang baru tumbuh di jiwa. Rasa yang kusebut cinta. Waktu bakal memisahkan kita kekasih. Dengarkanlah bicara jiwaku ini. Sesungguhnya kau tidak mungkin kumiliki. Dan diriku bakal menjadi kepunyaan dia, walaupun hatiku tidak rela!
Julia Afiqah
Aku tidak percaya! Adik menulis nota itu untuk seseorang bernama Narmi. Dia cintakan Narmi tetapi mereka terpaksa berpisah. Siapa Narmi? Dadaku bergetar. Adik punya kekasih semasa zaman persekolahannya dulu? Hatiku terasa pedih menelan satu hakikat. Aku fahami apa yang terserat di dalam hati adik. Dia terpaksa redha menerima perkahwinannya dengan Faruk.
Aku tidak tahu siapa yang harus dipersalahkan? Apakah emak turut menyumbang kesilapan dalam perkara ini. Emak yang beria-ria mahu adik bernikah segera. Mak senang hati melepaskan adik kepada orang lain. Kini adik sedang berdepan dengan masalah. Dia masih terlalu muda, belum matang dan sentiasa merasa tidak selamat. Aku rasakan yang Faruk tidak mampu melindungi adik. Bukan setakat melindungi, bahkan memberi kegembiraan pada adik pun dia tidak mampu!
Tiba-tiba aku terfikir, seringkah adik menulis nota? Barangkali masih ada banyak nota-nota cintanya tersimpan di sini? Kuambil buku-buku yang lain, lantas kubelek-belek secara rambang. Bila tidak ditemui apa-apa, kulambakkan saja di atas meja. Nanti aku kemas semula, sambil membersihkan hapuk yang melekat di celah-celah buku. Kebanyakan buku masih berada dalam keadaan elok. Mujur tak ada lipas atau anai-anai. Kaku yang digunakan untuk membina rak, nyata daripada jenis kayu yang baik yang tahan dan tidak mudah dimakan anai-anai.
Tidak kutemui lagi selitan nota dicelah-celah buku yang kulambakkan di atas meja. Aku penat sendiri. Buku ini terlalu banyak, beratus-ratus! Bisik hatiku sambil memerhati rak buku yang tinggi sehingga santak dari lantai ke siling.
Tidak akan cukup satu hari jika aku mahu mencarinya. Kalau aku berniat hendak membawa pulang ke Kuala Lumpur, pun terpaksa memilih, bawa sedikit demi sedikit dengan kereta. Lagipun aku harus membina kabinet pasang siap ataupun membeli almari buku terlebih dahulu di rumahku. Jadi aku takkan bawa pulang pada hari ini. Aku harus cari hari yang lain, yang lebih sesuai. Aku tidak boleh membawa semuanya sekali, satu lori penuh tidak muat!
“Bang!” Kudengar suara Najiha di muka pintu.
“Mak ajak makan. Dia dah siap masak tu. Ikan keli masak lemak cili padi. Sedap nampaknya…”
Aku tersentak. Sudah agak lama aku di dalam perpustakaan langsung aku tak sedar masa yang beranjak. Semasa masuk ke dapur, aku terhidu masakan emak yang sungguh enak. Walaupun perut masih belum lapar, namun seleraku memuncak melihat gulai ikan yang lazat. Emak tersenyum melihat aku makan dengan berselera sekali.
“Kau buat apa tadi?” Emak bertanya.
“Saya kemas buku dalam perpustakaan tu… Berhapuk sangat. Sejak adik kahwin, perpustakaan tu tak berjaga langsung.”
Emak diam sejenak. Kupandang muka emak yang kelihatan muram apabila nama adik disebut.
“Apa khabar dia?” Tanya emak akhirnya.
“Sihat.” Balasku sepatah. Aku enggan memberitahu emak segala yang bermain dalam hatiku. Aku mahu memastikan sendiri yang Faruk bersikap kejam dan tidak adil pada adik yang adik. Kutahu benar sikap adik yang tidak tahu melawan, berdendam ataupun marah. Dia lebih rela diam dan menyimpan segalanya dalam hati.
Aku menggelengkan kepala. Adik… Kau buat abang rasa letih, bila kau terlalu baik pada semua orang! Kau mesti ubah sikap dik. Biar ada sedikit rasa pentingkan diri, supaya kau tidak ditindas dan dianiaya. Aku ingin menasihati adik apabila bertemu dengannya nanti.
“Sebelum kau balik esok, kau tinggalkan nombor telefon dan alamat rumah dia pada mak.” Kata emak, mengharap. Aku mengangguk.
Hatiku senang. Emak bukannya tidak sayang pada adik. Cuma dia tidak suka menunjukkan kasih sayangnya pada anak saudaranya itu. Terkadang aku merasakan emak persis diriku yang takut untuk mempamerkan kasih sayang. Padahal dalam hati Tuhan sahaja yang betapa takutnya aku kehilangan dia. Lantas apabila kehilangan, hati ini menangis…
Dan satu-satunya yang tinggal hanya sebuah kenangan.



Bab 30


BAHAGIAN II
RAHSIA HATI IMRAN

BUAT pertama kali semalam aku membohongi Najiha. Dia bertanya ke mana aku pergi lewat dinihari dengan tergesa-gesa setelah mendapat panggilan telefon. Kataku ada kawan baikku menghadapi masalah. Aku harus segera pergi membantunya.
Kini dalam perjalanan pulang dari rumah adik, aku sedang mereka-reka satu cerita yang logik untukku persembahkan pada Najiha. Apa yang harus aku katakan? Apakah masalah yang menimpa ‘kawan baikku’? Aku benar-benar buntu. Dan aku terus memandu dengan kelajuan yang minima seolah-olah aku tidak mahu cepat sampai di rumah.
Tika melepaskan aku pulang tadi, adik menunjukkan wajah sedih berkali-kali menyatakan rasa bersalah kerana menghubungiku pada waktu yang tidak sepatutnya. Dia benar-benar tidak menyangka yang aku sanggup datang ke rumahnya. Dia terlalu risau. Tapi aku yakin bukan hanya kerisauan yang ada pada wajahnya. Masakan dia hanya risau jikalau Faruk balik lewat atau tidak balik langsung. Ada sesuatu yang terjadi antara mereka. Aku teringat Faruk datang menemui petang tadi. Tapi aku terlalu sibuk untuk melayani, mendengar masalahnya.
Adik, tahukah kau betapa aku sangat menyayangimu, lebih daripada nyawaku sendiri. Setiap titis airmatamu yang menuruni pipi, hati ini akan tersentuh ngilu dan pedih. Dan apabila tawamu membumbung tinggi, hatiku pun ria dan gembira. Sejak dulu tidakku fahami mengapa ini yang aku rasai.
Aku cuma semakin merasai kepedihan ini tika melihat kau bersanding di pelamin bersama Faruk. Saat itu hatiku menangis dan meratap… Ku tahu kau semakin jauh dan aku tidak mungkin dapat berada dekat denganmu lagi. Namun Tuhan tetap mempertemukan kita atas dasar persaudaraan yang erat. Rasa kasih dan sayang yang sudah sebati dengan diriku. Rasa yang diberi Tuhan untukku nikmati. Rasa senang dan bahagia jika berada di sampingmu.
Kutahu apa yang kurasai ini adalah salah, biarpun dalam agama membenarkan kita bernikah! Namun aku malu pada semua orang, terutama ibuku. Aku malu kerana menyimpan rasa cinta ini terhadap perempuan yang kuanggap adik. Perempuan yang aku lihat saban waktu, sejak dia kecil sehingga dewasa. Terkadang aku malu pada diri sendiri tetapi aku sesekali tidak pernah teringin perasaan ini hilang dari hati.
Aku telah tiba di rumah. Kulihat lampu porch sekonyong-konyong menyala. Tidak lama kemudian Najiha keluar lantas membukakan pintu pagar. Agh! Isteriku yang baik itu telah menunggu aku pulang penuh setia. Dia telah mengorbankan waktu tidurnya begitu saja…
“Macamana? Dah selesai masalahnya?” Tanya Najiha ingin tahu.
Aku mengangguk. “Kenapa Jiha tunggu saya? Mengapa tidak tidur saja?”
“Saya dah hilang rasa mengantuk.” Jawab Najiha.
“Maaf. Panggilan tu tadi telah menggangu tidur Jiha… Cubalah masuk tidur semula. Lagipun masih terlalu awal. Baru pukul 5 pagi.”
“Tak mengapa. Saya rasa nak tunggu subuh. Sementara tu boleh salat tahajjud dan baca al-Quran.” Jawab Najiha.
Aku terdiam. Astaghafirullah. Baik dan mulianya hati dia. Langsung dia tidak mendesak dan bertanya mengapa aku keluar. Dia tahu aku tidak sedia untuk bercerita. Lantas dia terus memudahkan diriku dengan meredhai semuanya. Ya Tuhan! Aku rasa bersalah sungguh padanya. Aku patut bersikap jujur pada Jiha. Mengapa aku tak beritahu saja yang aku pergi ke rumah adik. Aku risaukan adik yang menangis-nangis di telefon seperti kematian suami! Agh! Akulah yang gila. Bukankah adik telah menjadi hak Faruk? Faruk tahu apa yang dia lakukan! Bila dia balik nanti, pasti dia akan memujuk hati adik yang resah gelisah dan gundah gulana.
Aku masuk ke kamar tidur, menukar baju dengan pijama. Jiha berada di dalam kamar mandi, bunyi air terdengar jelas. Dia sedang mengangkat wuduk. Tidak lama kemudian dia keluar dari bilik air, lantas mencapai telekung. Dia memerhati aku yang sudah berbaring semula.
Najiha masuk ke kamar sebelah yang dijadikan bilik salat. Dulu kamar itu dihuni Adie. Setelah Adie keluar dari rumah ini, aku jadikan bilik itu bilik salat semula. Tidak lama kemudian kudengar bacaan ayat-ayat suci berkumandang dengan lembut. Syahdunya! Hatiku rasa begitu insaf mendengar alunan suaranya yang merdu.
Entah bila aku tertidur. Aku hanya terjaga semula bila terasa kakiku disentuh oleh tangan dingin Najiha.
“Bang, dah pukul enam lebih! Dah nak habis waktu subuh.”
Aku bingkas bangun. Mata terasa pedih kerana tidak cukup tidur. Namun aku cepat-cepat bangun menuju ke bilik air.
Pagi ini tika melangkah ke pejabat, aku belum dapat menghapuskan rasa bersalahku pada Najiha. Dia menyediakan sarapan seperti biasa, menyalami dan mencium tanganku di saat aku selesai mengenakan sepatu.
Najiha sudah menetapkan pendiriannya akan meninggalkan kerjayanya. Dia redha berhenti demi rumahtangga yang baru dibina. Entah mengapa aku terus digayuti rasa bersalah. Apakah aku terlalu memaksa? Aku dengan tegas menunjukkan kuasaku sebagai seorang suami, langsung tidak boleh dicabar. Aku tidak tahu apakah pula pendapat kedua-dua ibubapa mertuaku. Kuharap dia merestui keputusan Najiha.

PINTU rumah terbuka luas, ada sepasang kasut perempuan di muka pintu. Kutahu kasut itu bukan milik Najiha. Aku segera keluar dari kereta, lantas berjalan ke muka pintu. Tidak kudengar suara perbualan. Saat kujenguk ruang tamu, ianya kosong? Jadi kasut siapakah di luar pintu?
Aku terus ke masuk. Dari dapur itu kudengar suara perbualan yang tidak begitu jelas. Suara itu terasa tidak asing di telingaku. Adik datang? Untuk apa dia datang? Aku terus menjengukkan muka ke ruang dapur. Adik dan Najiha sedang duduk di meja makan kecil di dapur. Mereka berbual sambil menghadapi minuman dan sepiring goreng pisang.
“Adik! Bila datang?” Tanyaku cepat, hatiku dibauri cemas.
Apakah adik sudah menceritakan tentang kedatanganku ke rumahnya dinihari semalam? Dan kini Najiha sudah tahu aku membohonginya. Pasti dia tertanya-tanya mengapa aku berbuat demikian. Kuharap adik tidak membawa berita yang kurang menyenangkan. Diam-diam aku berdoa Faruk pulang semalam setelah aku balik.
“Baru je. Tadi pergi jalan-jalan, bosan kat rumah. Singgah di sini.”
“Kalau bosan di rumah, tidur saja di sini malam ni…” Pelawa Najiha. “Boleh kita berbual-bual panjang.”
Apa hendak kalian bualkan? Soal hatiku.
“Ha’ah! Tidurlah di sini. Adik pun tak pernah tidur di rumah abang. Faruk ke mana?”
“Dia outstation.” Jawab adik dengan suara mendatar. “Memang adik tinggal sorang di rumah.”
Aku memandang adik. Adik lekas-lekas menundukkan wajahnya. Aku yakin dan percaya, adik tidak langsung membuka rahsia semalam. Adik membohongi Najiha, menyatakan Faruk outstation. Dan aku semakin yakin Faruk sebenarnya tidak balik langsung sejak semalam. Ke mana pula Faruk pergi?
Aku ingin memberitahu adik, Faruk pernah datang semalam menemuiku. Tapi tidak boleh memberitahu hal itu di hadapan Najiha.
“Tidur di sini ya?” Kata Najiha, seolah-olah memujuk.
“Tak bawa baju.” Jawab adik sengaja mencari alasan.
“Agh! Baju Kak Jiha banyak, muat dengan Fiqah. Apa yang hendak dikisahkan kita dah jadi adik beradik.” Begitu ikhlasnya kata-kata Najiha.
Kulihat adik tersenyum manis. Dia memandang Najiha kemudian bersuara lemah; “Terima kasih. Tapi saya nak balik. Abang Faruk pesan suruh jaga rumah.”
Aku memandang adik lagi. Jelas sekali dia semakin pandai bersandiwara. Adik sudah bangun lantas menghulur tangannya pada Najiha.
“Ehhh… Nak balik dah ke?” Tanya Najiha terkejut adik yang mendadak meminta diri. Aku masih berdiri tegak di muka pintu dapur, tidak bersuara apa-apa hanya memerhati kedua-dua perempuan itu dengan mata tidak berkelip.
“Ya kak!” Jawab adik.
“Bang! Hantarkan Fiqah balik…”
“Tak apa kak. Abang pun baru balik, mesti masih penat. Biar saya balik dengan teksi saja.” Kata adik sambil membuka beg lantas mengeluarkan handphone. Lalu aku segera menghalangnya dari menghubungi teksi.
“Biar abang hantar balik.” Kataku dengan tegas.
Adik memandangku, dia tidak bersuara apa-apa. Adik terus bergerak laju menghala ke pintu. Aku pun turut mengekori langkahnya. Dan Najiha kutinggalkan di muka pintu. Dia tersenyum, melambai mesra dari jauh.
“Faruk tak balik semalam?” Tanyaku semasa dalam perjalanan ke rumah adik.
Adik menggelengkan kepalanya. Dia menyatakan dia tidak tahu apa yang berlaku, tiba-tiba saja Faruk berubah tingkah. Dia kembali bersikap dingin, sama seperti pada awal perkahwinan mereka. Kalau di rumah dia lebih suka memerap di kamarnya sahaja selepas itu dia akan keluar malam dan pulangnya dinihari.
Aku sedikit terkejut, baru menyedari ada banyak cerita yang disembunyikan adik. Adikku lihat menyembunyikan airmatanya. Dia tidak mahu aku risau. Tapi aku sememangnya gelisah, menyedari bahawa Faruk banyak menyeksa perasaan adik. Tiba-tiba aku jadi marah pada Faruk. Jika tidak menginginkan adik lagi, lepaskan dia dan jangan seksa batinnya dengan sikap yang tidak munasabah. Tuhan menghalalkan perceraian sebagai jalan keluar terakhir.
Isteri bukan untuk dijadikan objek melepaskan rasa marah, geram dan dendam. Seorang isteri adalah untuk dicintai dan dilindungi. Jika Faruk tidak mampu lagi berbuat demikian, kembalikan dia kepada keluarganya. Sesungguhnya adik masih ada pewaris. Aku tidak akan membenarkan Faruk menyakiti hati adik sewenang-wenangnya.
“Abang tak sangka dia begitu kejam pada adik…”
“Sebenarnya banyak perkara yang abang tak tahu.” Jawab adik cuba mengawal suaranya agar tetap tenang. “Biar ianya jadi rahsia rumahtangga saya, bang…”
“Adik! Jangan jadi bodoh. Adik mesti tahu hak adik, jangan biarkan Faruk seksa adik dengan berbuat sesuka hati. Adik harus melepaskan diri dari tekanan. Jika adik biarkan dia terus memberi tekanan demi tekanan, adik juga yang akan jadi gila.”
Adik diam membatu. Dia tidak menjawab apa-apa. Aku pun jadi hilang idea untuk menasihatinya.
“Sabtu ni abang nak balik kampung. Adik nak ikut?”
Adik menggeleng. Katanya dia ingin menunggu Faruk pulang, tidak kira berapa lama sekalipun. Dia menghalang aku dari menghantarnya hingga ke tingkat atas. Kuturutkan sahaja kehendaknya. Kuhantar dia hingga ke hadapan pagar kondominium sahaja. Adik terus berjalan masuk tidak menoleh lagi ke belakang.

SABTU aku dan Najiha pulang. Kulihat rumah emak begitu sepi dan suram. Emak kini tinggal sendirian. Sewaktu kami tiba, emak ada di dapur. Dia sedang memasak nasi. Walaupun jam sudah pukul dua petang dia belum makan tengahari. Katanya dia tiada selera hendak makan. Bila terlalu lapar barulah dia akan memasak.
Sarapan pagi hanya dengan segelas susu. Kulihat badan emak susut benar. Namun kegembiraannya begitu jelas tergambar apabila melihat kami balik.
“Dah makan? Biar mak masak lauk kegemaran kamu Im. Ada ikan keli di dalam peti sejuk tu. Ada juga sayur labu manis.” Kata emak, kelam kabut berjalan ke arah peti sejuk.
“Tak payah susah mak. Kami dah makan di rumah emak Jiha tadi.” Beritahu Najiha.
“Ooo… Jadi dah singgah di sana dulu? Pukul berapa sampai?”
“Lebih kurang pukul sepuluh pagi tadi.” Beritahu Najiha.
“Malam ni kami tidur di sini mak…” Kataku sambil memeluk bahu emak. “Sebab tu lah kami tak terus ke sini tadi.”
Emak mengangguk. Kulihat dia mengesat airmatanya yang meleleh perlahan. Dia terharu sekali melihat kami pulang untuk menemaninya biarpun hanya semalaman. Agh! Emak sepi sendiri di rumah. Mengapa emak membiarkan dirinya terus terpenjara di sini? Mengapa emak tak pergi ke rumah kami saja? Mengapa emak sanggup terus hidup sepi sedangkan anak-anaknya sanggup menerima dia.
“Emak jarang masak nasi tengahari. Kadang-kadang nasi seperiuk basi begitu saja tak dimakan. Tak ada selera. Sejak ayah kau tak ada ni, mak rasa lain.”
“Mak! Janganlah seksa diri macam tu. Kalau mak sunyi sangat, mak ikut aje kami balik esok.” Kataku sambil terus memeluk emak dengan erat. Aku sedar emak sepi, sunyi dan rindukan ayah. Justeru itu emak tidak mahu meninggalkan rumah yang pernah dihuninya bersama ayah berpuluh tahun lamanya.
“Tak apa. Biarlah mak di sini. Abang Yahya kau pun ada ajak mak ke rumahnya tapi mak tak mahu.”
“Yalah, rumah abang tu jauh di Terengganu. Kalau di Kuala Lumpur dekat sikit. Ikut ajelah kami balik esok.” Pelawa Najiha pula.
Emak diam sahaja. Dia terus membuka peti sejuk untuk mengambil ikan.
“Mak masak lemak cili padi ikan keli ya Im?” Kata emak bersungguh-sungguh meskipun dia tahu kami sudah makan. Emak tetap mahu aku menikmati masakannya. Kalau dulu emak malas memasak yang sukar-sukar terutama sekali menggunakan santan, tapi sekarang emak jadi rajin.
“Suka hati maklah.” Kataku sambil berlalu ke dalam. Sebenarnya aku tak sanggup untuk melihat kesedihan dan kesepian yang melanda hidup emak. Bila aku balik emak pura-pura sibuk. Walau bagaimana pun tetap jua kurasai kegembiraan hatinya dengan kehadiran kami di rumah ini.
Aku masuk ke perpustakaan. Sebaik pintu kubuka, hidungku menyapa bau yang kurang enak. Semacam bau lipas atau bangkai cicak. Segera kubuka tingkap, sehingga cahaya matahari dan udara masuk ke ruang yang pengap itu. Pertama sekali kuperhati meja panjang dengan enam kerusi. Meja kayu jati yang tidak beralas itu nampak diselaputi habuk. Begitu juga buku-buku yang memenuhi rak. Sudah lama perpustakaan itu tidak dijengah. Emak pun tidak pernah masuk lagi…
Bila masuk ke pustakaan ini aku segera terkenangkan adik. Dialah yang rajin menjaga perpustakaan ini. Mengemas, menyusun buku dan membersihkan hapuk. Tapi kini semuanya tertinggal sepi, tidak berjaga langsung. Lama-lama buku yang ada akan rosak, dimakan lipas.
Sayang sekali, beli mahal tapi tak berjaga… bisik hatiku sambil menggosok-gosok permukaan ensiklopedia yang berdebu. Apakah aku perlu membawa balik buku ini pulang ke Kuala Lumpur. Memang aku amat sayangkan buku-buku itu semuanya. Bukan hanya kerana wang yang sudah dihabiskan untuk membelinya tetapi juga kerana ilmu yang terkandung di dalam buku tersebut. Setiap buku punya kenangan tersendiri.
Aku nekad hendak membawa balik semua buku ini ke rumahku di Kuala Lumpur. Lagipun aku takkan ke mana-mana lagi. Jikalau aku pergi pun, rumahku di Kuala Lumpur itu tidak akan kujual. Aku sayangkan rumah itu… Rumah yang kubeli hasil titik peluh sendiri.
Buku-buku ini lebih selamat jika kubawa pulang saja. Memang ada bilik kosong di tingkat bawah rumah teresku itu. Boleh kujadikan librari. Lagipun belum ada anak… hatiku berbisik. Tak perlu risau tidak cukup bilik tidur! Bilik di tingkat atas pun ada tiga. Sekiranya punya anak kelak, dua bilik lagi bilik kosong di tingkat atas. Agh! Baru kahwin beberapa bulan sudah berangan-angan punya anak… Ejek hatiku sendiri.
Aku mencapai salah sebuah ensiklopedia itu, lantas membukanya. Kubelek-belek secara rambang. Buku itu berbau harum. Hmmm… enaknya mencium bau yang terbit dari kertas-kertas yang sudah menjadi buku ini, seperti bau haruman bunga-bunga liar di hutan.
Kertas sebenarnya dihasilkan daripada campuran pelbagai jenis pulpa yang diadun bersama bahan kimia. Pulpa adalah gentian selulosa yang telah dileraikan dari matriks kayu. Kertas menjalani beberapa kemasiapan ringkas, menggunakan bahan kimia seperti barium sulfat, gipsum atau zink oksida.
Buku itu kuletakkan kembali di rak, namun mataku terpandang sekeping kertas bewarna kuning terjulur keluar. Aku menariknya perlahan-lahan. Dahiku berkerut. Kertas itu adalah sebuah catatan ringkas yang ditulis begitu kemas dan cantik. Kukenali tulisan siapa. Kepunyaan adik…
Perlahan-lahan bibirku bergerak membaca apa yang tertulis.
Narmi,
Kesedihan hatiku ini tak bisa kuungkap dengan kata-kata. Biar kutulis di dada kertas ini sayangku. Puisi cintaku padamu harus kubuang jauh ke lautan tak bertepi. Harus kubunuh rasa yang baru tumbuh di jiwa. Rasa yang kusebut cinta. Waktu bakal memisahkan kita kekasih. Dengarkanlah bicara jiwaku ini. Sesungguhnya kau tidak mungkin kumiliki. Dan diriku bakal menjadi kepunyaan dia, walaupun hatiku tidak rela!
Julia Afiqah
Aku tidak percaya! Adik menulis nota itu untuk seseorang bernama Narmi. Dia cintakan Narmi tetapi mereka terpaksa berpisah. Siapa Narmi? Dadaku bergetar. Adik punya kekasih semasa zaman persekolahannya dulu? Hatiku terasa pedih menelan satu hakikat. Aku fahami apa yang terserat di dalam hati adik. Dia terpaksa redha menerima perkahwinannya dengan Faruk.
Aku tidak tahu siapa yang harus dipersalahkan? Apakah emak turut menyumbang kesilapan dalam perkara ini. Emak yang beria-ria mahu adik bernikah segera. Mak senang hati melepaskan adik kepada orang lain. Kini adik sedang berdepan dengan masalah. Dia masih terlalu muda, belum matang dan sentiasa merasa tidak selamat. Aku rasakan yang Faruk tidak mampu melindungi adik. Bukan setakat melindungi, bahkan memberi kegembiraan pada adik pun dia tidak mampu!
Tiba-tiba aku terfikir, seringkah adik menulis nota? Barangkali masih ada banyak nota-nota cintanya tersimpan di sini? Kuambil buku-buku yang lain, lantas kubelek-belek secara rambang. Bila tidak ditemui apa-apa, kulambakkan saja di atas meja. Nanti aku kemas semula, sambil membersihkan hapuk yang melekat di celah-celah buku. Kebanyakan buku masih berada dalam keadaan elok. Mujur tak ada lipas atau anai-anai. Kayu yang digunakan untuk membina rak, nyata daripada jenis kayu yang baik yang tahan dan tidak mudah dimakan anai-anai.
Tidak kutemui lagi selitan nota dicelah-celah buku yang kulambakkan di atas meja. Aku penat sendiri. Buku ini terlalu banyak, beratus-ratus! Bisik hatiku sambil memerhati rak buku yang tinggi sehingga santak dari lantai ke siling.
Tidak akan cukup satu hari jika aku mahu mencarinya. Kalau aku berniat hendak membawa pulang ke Kuala Lumpur, pun terpaksa memilih, bawa sedikit demi sedikit dengan kereta. Lagipun aku harus membina kabinet pasang siap ataupun membeli almari buku terlebih dahulu di rumahku. Jadi aku takkan boleh bawa pulang pada hari ini. Aku harus cari hari yang lain, yang lebih sesuai. Aku tidak boleh membawa semuanya sekali, satu lori pun tidak muat!
“Bang!” Kudengar suara Najiha di muka pintu.
“Mak ajak makan. Dia dah siap masak tu. Ikan keli masak lemak cili padi. Sedap nampaknya…”
Aku tersentak. Sudah agak lama aku di dalam perpustakaan langsung tak sedar masa yang beranjak. Semasa masuk ke dapur, aku terhidu masakan emak yang sungguh enak. Walaupun perut masih belum lapar, namun seleraku memuncak melihat gulai ikan keli yang lazat. Banyaknya emak memasak hari itu macam hendak makan beramai-ramai. Ada ulam kacang botol, sambal belacan dan sayur labu manis masak putih. Mak juga masak sambal jering serta menggoreng ikan talang masin. Kecur airliurku. Biarpun perut masih terasa kenyang kerana baru dua jam makan di rumah ibubapa mertuaku, namun tidak kutolak bila mak membubuh nasi ke dalam pinggan.
Najiha juga makan, tetapi sedikit saja.
Emak tersenyum melihat aku makan dengan berselera. Sesekali kalau emak memasak memang Kak Sabita pun kalah. Tiba-tiba aku teringat pada Kak Sabita.
“Kak Ita ada balik?” Tanyaku. Semasa ayah pulang ke rahmatullah, Kak Sabita tidak ada. Kami pun tak tahu bagaimana hendak menghubungi dia. Sejak dia hilang bersama Pak Mail, sekali pun dia tidak menghubungi kami. Pak Mail pun tidak balik-balik menjenguk rumah dan kampungnya.
Mereka benar-benar sudah hilang, bagaikan ditelan bumi. Aku kadang-kadang terfikir, mengapa sampai hati Kak Sabita meninggalkan emak dan ayah. Kalau benar dia mahu bernikah dengan Pak Mail, kahwinlah dengan cara yang baik. Walaupun emak bersikap keras dan tegas, tetapi kalau kena dengan pujukannya, emak akan lembut hati juga. Lagipun takkanlah emak nak biarkan Kak Sabita membujang sampai ke tua.
Emak pun ada perasaan. Bukan emak tidak sayangkan anak-anaknya. Cuma cara emak nampak macam tidak peduli. Jauh di sudut hati emak sentiasa terkenang dan mengharap anak-anaknya pulang selalu.
Emak menggeleng.
“Dia memang nekad.” Kata emak. “Pergi terus, tak mahu patah balik. Tak ingat pada emak dan ayah. Apalagi adik-beradik. Macam ada orang yang hasut dia supaya berubah. Entah-entah Mail tu yang tak beri dia balik.” Kata emak menyimpan rasa marah.
“Emak geram dia tipu emak. Dia kata nak berniaga, buka restoran di Kuantan. Itu yang mak marah sangat. Biarlah… Kalau dia balik, tahulah mak ajar dia. Langsung dia tak kenang budi emak ayah.”
“Mak janganlah menyimpan dendam dan marah pada Kak Ita. Dia tu tertekan, duduk di rumah tak ada kawan. Tak ada orang pedulikan dia. Kami semua sibuk dengan hal sendiri… Dia rasa terpinggir, lalu merajuk bawa diri. Patut ke kita cari dia? Atau maklumkan dalam surat khabar supaya dia balik. Sampaikan berita juga ayah sudah tiada. Tentu dia balik mak!” Usulku, aku tidak mengharap sangat emak akan setuju.
Benar sangkaanku, emak mencebirkan bibirnya yang tipis, kering dan tidak berseri lagi seperti suatu masa dulu. Emak sudah malas hendak melawa dan memasang badan. Emak hanya mengenakan baju kedah lusuh dari kain cotton, berkain batik juga sudah kusam. Emak sudah lama tidak mengenakan baju-baju kurungnya yang banyak memenuhi almari. Tangan emakku tidak dihiasi dengan gelang emas yang melayut, sarat dan nampak berat.
Emak masih melayan hati gundah dan sedihnya kerana ketiadaan ayah walaupun sudah lebih seratus hari ayah bersemadi. Cinta emak pada ayah begitu unggul. Hatiku turut merasa sedih. Barangkali aku takkan memiliki cinta yang demikian unggul. Kupandang Najiha yang duduk di hadapanku. Dia sedang menunduk, makan perlahan-lahan.
Isteriku nampak begitu bersopan santun. Dia masih belum memecat tudung yang menutup kepalanya meskipun di situ tiada sesiapa. Najiha memang lain. Dia mengenakan tudung labuh. Kebanyakan tudungnya berwarna suram seperti biru pekat, hitam dan coklat. Dia tidak akan samasekali mengenakan tudung berwarna-warni seperti adik.
Lagi-lagi adik yang kukenang. Gilanya aku kalau balik ke sini, pasti aku tidak dapat melupakan adik. Di sini kurasakan adik begitu dekat denganku meskipun hakikat sebenarnya dia begitu jauh.
“Kau buat apa tadi?” Emak bertanya.
“Saya kemas buku dalam perpustakaan tu… Berhapuk sangat. Sejak adik kahwin, perpustakaan tu tak berjaga langsung.”
Emak diam sejenak. Kupandang muka emak yang kelihatan muram apabila nama adik disebut.
“Apa khabar dia?” Tanya emak akhirnya.
“Sihat.” Balasku sepatah. Aku enggan memberitahu emak segala yang bermain dalam hatiku. Aku mahu memastikan sendiri yang Faruk bersikap kejam dan tidak adil pada adik. Kutahu benar sikap adik yang tidak tahu melawan, berdendam ataupun marah. Dia lebih rela diam dan menyimpan segalanya dalam hati.
Aku menggelengkan kepala. Adik… Kau buat abang rasa letih, bila kau terlalu baik pada semua orang! Kau mesti ubah sikap dik. Biar ada sedikit rasa pentingkan diri, supaya kau tidak ditindas dan dianiaya. Aku ingin menasihati adik apabila bertemu dengannya nanti.
“Sebelum kau balik esok, kau tinggalkan nombor telefon dan alamat rumah dia pada mak.” Kata emak, mengharap. Aku mengangguk.
Hatiku senang. Emak bukannya tidak sayang pada adik. Cuma dia tidak suka menunjukkan kasih sayangnya pada anak saudaranya itu. Terkadang aku merasakan emak persis diriku yang takut untuk mempamerkan kasih sayang. Padahal dalam hati Tuhan sahaja yang betapa takutnya aku kehilangan dia. Lantas apabila kehilangan, hati ini menangis…Dan satu-satunya yang tinggal hanya sebuah kenangan.
“Mak nak pergi ke rumah adik? Dia tinggal sebuah di kondominium. Dah lama adik dengan Faruk berpindah ke situ, tidak lagi tinggal dengan Datin Mahani. Kalau mak nak pergi, ikutlah kami balik esok. Saya boleh hantarkan mak ke rumah adik…”
Emak menggeleng. “Sengaja mak mahu simpan alamatnya. Tengoklah bila-bila senang emak akan ke sana. Emak tahulah apa nak buat. Kalau bukan engkau yang hantar emak, siapa lagi?”
Aku tersenyum biarpun tiada keyakinan langsung yang emak akan pergi ke rumah adik. Barangkali emak lebih suka sekiranya adik yang pulang.

SELEPAS asar, kulihat Najiha merebahkan badannya ke atas tilam. Aku masih duduk di atas sejadah, biarpun sudah selesai berdoa dan membaca ayat-ayat lazim. Dia senyum padaku. Senyuman yang mengandungi erti yang dalam. Aku pura-pura tidak mengerti. Sengajaku angkat kening lantas bertanya; “Mengantuk ke?”
Dia mengangguk. “Kalau hujan turun kan baik…” Kata Najiha sambil meniarap. Alur dadanya terserlah. Najiha sudah memecat tudungnya ketika masuk ke kamar tidur. Dia juga telah membuka baju kurung yang tadi dipakai, ditukar dengan sehelai baju panas berwarna merah dan berkain batik sahaja.
“Eh, kenapa tiba-tiba mengharap hujan turun?” Tanyaku tersenyum. Aku tidak ingin hujan turun. Tersimpan hasrat di dalam hati hendak menjelajah dusun kecil di belakang rumah. Barangkali ada buah salak ataupun manggis. Musim durian masih jauh. Begitu juga buah-buahan yang lain. Jika ada pun hanya buah-buah yang tidak bermusim seperti nangka, mangga dan pauh. Memang ada sebatang dua pokok-pokok tersebut di dusun. Selebihnya adalah pokok durian dan langsat. Pokok salak tumbuh liar di hujung dusun, agak jauh bersempadan dengan hutan. Semasa kecil memang aku dan adik kerap kali ke sana. Kami akan mencari buah-buah hutan, seperti buah rotan dan buah kincir. Buah kincir berwarna hitam semasa muda, tapi merah apabila masak. Rasanya masam manis, amat sedap dimakan.
Aku dengan cepat melipat sejadah, lantas meletakkannya di atas penyidai kayu. Seluar trek dan t.shirt kusarung ke tubuh tanpa menoleh pada Najiha yang sedang melihatku. Aku terus keluar ke berenda. Emak ada di luar sedang duduk di atas kerusi goyang rotan yang memang ada di berenda rumah.
“Kau nak ke mana?” Tanya emak apabila melihat aku membawa sebilah parang panjang.
“Ke dusun belakang rumah sekejap.” Kataku sambil mendongak ke langit.
Cuaca cerah, matahari walaupun tidak seterik tengahari tadi namun cahayanya masih menyengat kulit.
“Memang dusun tu dah semak sangat… Hati-hati Im!” Pesan emak sebelum aku berlalu.
Dengan parang panjang yang ada aku cuba menebas lebih kurang, Hanya laluan yang kutempuh dihayun dengan parang kiri dan kanan. Memang benar kata emak, semak sudah naik ke paras pinggang. Semaknya! keluhku sendiri. Sepatutnya emak mengupah orang menebas, jangan sampai dibiarkan dusun menjadi hutan pula.
Aku terus meredah semak. Jalan yang kutinggalkan di belakang sudah kelihatan agak terang. Banyak pokok renek dan lalang yang rebah dilibas dengan parang panjang di tanganku. Akhirnya tiba juga ke tempat yang kuhajati. Pokok salak yang besar dan rimbun tegak gagah dikepung tumbuhan liar yang lain. Aku terus keperdu pokok. Di situ terbenam buahnya. Terpaksa digali sedikit. Puas aku mencuba menggali dan menarik tangkai yang tertanam di dalam tanah. Akhirnya dapat juga seberkas mayang dan buahnya. Memang kulit buah salak terasa miang apabila tersentuh. Harus berhati-hati agar tidak terkena durinya. Aku memasukkan buah salak ke dalam beg plastik besar yang kubawa dari rumah. Banyak juga buahnya yang aku dapat.
Sebenarnya masih banyak buahnya yang tertinggal dan terperosok jauh di perdu. Aku sudah terlalu penat menggali. Peluh memercik ke seluruh badan. Aku memerhati sekeliling, bunyi pelbagai unggas hutan terdengar riuh. Di samping itu dengung nyamuk bermain di hujung telinga. Aku memerhati langit. Tidak kusedari langit sudah gelap. Hah! Mengapa tiba-tiba langit mendung seperti mahu hujan? Tadi cerahnya bukan main.
Aku berpaling hendak pulang. Saat itu aku terasa bagaikan terlihat bebayang orang. Mataku liar memandang ke arah itu. Aku terkejut. Terlihat seraut wajah adik sedang memandang padaku. Pandangan matanya membayangkan seribu kepiluan.
“Adik!” Seruku tanpa sedar.
Sekejap mata ianya hilang. Aku tersentap. Mengapa aku terlihat bayangan adik? Aku cepat-cepat melangkah pulang. Hatiku tak keruan. Mengapa aku terlihat adik di situ. Benarkah itu bayangan adik atau….
Hujan mulai turun dengan lebat tanpa sebarang amaran. Tiada guruh atau kilat di langit. Begitu tiba-tiba langit gelap dan memuntahkan air. Bajuku sudah basah lejut ketika tiba di hadapan tangga rumah.
Aku terus mandi. Fikiranku masih kacau. Namun aku cuba menyedapkan hati. Agh! Barangkali kerana aku terlalu risaukan adik sehingga aku terbayang-bayangkan wajahnya tadi. Semoga sesuatu yang buruk tidak menimpa diri adik…
Najiha masih tidur ketika aku masuk ke kamar. Aku meniarap di sebelahnya sambil hujung jari telunjukku bermain-main di keningnya perlahan-lahan turun ke hidung dan bibirnya yang terkatup rapat. Dia terjaga.
“Hujan?” Dia bertanya.
“Ya. Hujan…” Jawabku.
Dia senyum. Aku membalas senyumannya lantas dahinya kukucup lembut. Kuharap bayangan wajah adik yang kulihat di dusun tadi menghilang dengan segera.



No comments: