Tuesday, August 5, 2008

Megalomania III Bab 1-20

Bab 1-20


YOU only live twice… Kematian paling ditakuti semua makhluk yang hidup. Walaupun hidup ditakdirkan dua kali bagi setiap manusia, tetapi apakah kedua-dua kehidupan itu adalah muluk dan indah? Soalan itu sentiasa bermain-main dalam fikirannya. Setiap kali duduk bersendirian di dalam bilik bacaan yang dipenuhi dengan buku-buku itu arus fikirannya terus mengalir bagai air sungai musim tengkujuh. Setiap kali itulah dia terfikir betapa pentingnya punya kuasa.
Dalam melayari hidup yang telah menjengah setengah abad dia sedar selain kuasa, harta dan wang ringgit juga memainkan peranan penting. Manusia yang punya kuasa mampu melakukan apa saja tanpa batasan. Wang menjanjikan kesenangan, cinta dan kegembiraan dalam hidup. Itulah yang dipelajarinya dari hidupnya yang sudah mencapai lima puluh tiga tahun. Kini dia memiliki kedua-duanya. Dia bahagia… teramat bahagia. Cuma satu sahaja yang membuat hatinya gundah.
Ia tidak sepatutnya terjadi! Tak patut! Bukan begini kesudahannya! Bukan… Bentaknya di dalam hati sambil menggenggam tangan. Dia memejamkan matanya rapat-rapat, seolah-olah ingin melupakan semuanya dengan cepat. Walaupun matanya terpejam, namun fikirannya tetap dibayangi seraut wajah itu.
Sekarang dapatkah dia menghalau ingatan yang menyakitkan itu? Perlukah dia menghapuskannya bagi memenuhi hasrat di hati? Selama ini dia telah ‘mengnyah’ orang-orang yang menghalangnya menuju tangga kejayaan. Mereka semuanya telah hilang dari matanya. Begitu saja….
Dia tertawa kuat. Penuh kepuasan. Ingin dinikmati sepenuhnya kemenangan itu. Dia sejenak pun tidak pernah lupa pada seraut wajah yang begitu manis mengacau perasaan. Sesekali manja dengan jelingannya. Ahhh… Persis Shikin pada zaman remajanya! Bisik hatinya tidak keruan.
Pantas dia bangun menghala ke dinding yang tergantung sebuah lukisan. Bingkai lukisan itu ditanggalkan dari pakunya lalu disandarkan ke dinding di hujung kaki. Di sebalik lukisan itu terdapat sebuah peti besi. Dia menekan nombor digital lalu pintu besi itu terbuka. Di dalam peti besi terdapat timbunan duit yang bersusun kemas. Juga terdapat bon-bon dan juga sijil simpanan premium. Dia tidak peduli pada itu semua. Matanya tertuju pada beberapa buah buku tebal yang diikat dengan kemas. Dia mengambil buku-buku itu lalu membawanya ke atas meja. Dia membuka ikatan buku-buku itu. Ada empat buah buku, mempunyai ketebalan lebih kurang 300 mukasurat setiap satu. Dia mengambil buku paling atas. Buku berkulit tebal itu dibukanya.
Dia tersenyum.
Ini adalah jurnal terakhir… bisik hatinya. Dia tidak akan menulis jurnal lagi. Sudah cukup banyak jurnal yang ditulisnya. Semuanya tercatat di sini. Ini adalah rahsia hidupnya. Tiada sesiapa pun yang pernah membaca jurnal-jurnal yang ditulis dengan tangannya sendiri. Sudah tiba masanya jurnal-jurnal ini dibaca orang… bisik hatinya. Orang yang paling hampir dengannya.
Buat masa ini dia tidak berniat hendak membenarkan jurnal itu dibaca secara keseluruhannya. Cukuplah jika jurnal pertama sahaja diberikan kepada Andy Farhan. Jurnal terakhir ini terlalu merbahaya jika dibaca orang lain terutama sekali musuh-musuhnya. Silap-silap boleh dijadikan bahan bukti untuk menentangnya semula. Tidak! Jurnal terakhir ini umpama nyawanya. Semua jurnal-jurnal ini penting, terutama yang pertama dan terakhir. Walaupun bagaimana pun dia hanya sanggup menyerahkan jurnal pertama untuk dinikmati oleh Andy Farhan. Supaya lelaki itu tahu betapa gigih dan payah untuk berada di tempatnya sekarang.
Jurnal-jurnal yang lain harus disimpan sebaik mungkin. Namun spontan tercetus satu pertanyaan dalam kepalanya. Bagaimanakah keadaannya jika dia kehilangan jurnal-jurnal itu? Bagaimana jika semua ‘kejahatan’nya terbongkar? Dia tidak sanggup! Biar dia mati bersama-sama dengan rahsia itu. Apakah dia takut? Tidak… Selama ini dia tidak pernah tahu erti takut.
Ketakutan itu adalah musuh… Musuh nombor satu. Itu kata datuknya. “Jangan takut untuk melakukan sesuatu… Jangan takut melakukan pembaharuan. Jangan takut melakukan perkara yang tidak dilakukan orang lain. Kata-kata datuknya bergema lagi. Kau akan berjaya cu…”
Dia mengikat kembali ketiga-tiga jurnal, lalu menyimpannya semula dalam peti besi. Bingkai gambar diletakkannya semula di tempatnya seperti tadi. Tiada sesiapa pun tahu bahawa di situ terdapat peti besi yang tersembunyi pelbagai rahsia di dalamnya. Sebuah jurnal ditinggalkan di meja. Dia merenung buku berkulit keras itu. Lalu dia membukanya perlahan-lahan.
“1957… Negara belum merdeka.” Bisiknya sambil tersenyum. “Aku dah lahir ke dunia ini. Aku dah berumur lima tahun waktu tu. Terlalu kecil untuk memahami erti hidup. Juga terlalu mentah untuk mengerti mengapa aku tak ada mak ayah. Hanya ada datuk…” Dia merenung tulisannya sendiri. Walaupun buku itu sudah lama, kertasnya sudah kekuningan tetapi tulisannya masih jelas dan elok. Dia menjaganya dengan baik. Dia terlalu sayang pada jurnal itu. Sekiranya jurnal itu diserahkan pada Andy Farhan, dia mahu anak lelakinya itu menjaga jurnal kepunyaannya itu dengan baik.
“Jurnal ni… adalah maruah, harga diri dan kemegahanku. Aku adalah seorang cucu yang baik, patuh, bijak dan kesayangan datuk. Farhan harus tahu tentang jalan hidupku yang amat pahit itu. Kepahitan yang terpaksa kutelan supaya suatu hari nanti aku dapat mengulum kemanisan.” Bisiknya sendiri sambil memeluk jurnal itu di dadanya.
Dia bangkit, meninggalkan jurnal kembali di atas meja. Dia berjalan ke arah tingkap cermin besar dan tinggi, terletak di dalam bilik itu. Langsir organza biru lembut disebak perlahan. Pandangan ditebar jauh ke bawah bukit di hadapan rumah agam milik keluarga Wan Selamah turun temurun. Dahinya berkerut apabila terlihat sebuah kereta bergerak mendaki bukit. Dia kenal pada kereta itu. Dia datang ke sini? Kenapa? Dadanya rasa dipukul debar yang kuat. Dia memerhati tanpa mengerlipkan mata.
Kereta itu berhenti di sudut halaman. Dia terus menanti manusia yang bakal keluar dari perut kereta. Tidak sabar dia ingin mengetahui mengapa wanita itu datang? Apakah tujuan kedatangannya hari ini? Dia tersilap apabila memikirkan wanita muda itu tidak punya keberanian yang tinggi untuk menjejakkan kaki ke rumah itu.
Dia melepaskan keluhan. Sejurus menunggu dia melihat pintu kereta di bahagian sebelah pemandu terbuka. Seorang wanita muda keluar. Kemudian keluar pula seorang lelaki.
Suaminya turut datang bersama? Kenapa dia harus datang di kala Andy Farhan masih bersedih, meratapi cinta semalam yang punah. Apakah dia sengaja datang untuk menunjukkan kebahagiaannya. Walau bagaimana berat kakinya untuk melangkah dia tetap akan keluar dari bilik itu sekiranya Sheila ingin bertemu. Dia amat sayangkan gadis itu walaupun tindakan Sheila mengahwini Jasman menyakiti hati seluruh keluarganya. Kau akan menyesal nanti Sheila… Percayalah anakku! Kau telah silap membuat perhitungan! Kau telah membelakangi aku sebagai…. Dia tidak dapat menghabiskan kata-kata. Sebak terasa memenuhi dada. Dia cuba mengawal diri. Tiada guna airmata ditumpahkan kala ini…
Pintu kedengaran dibuka. Terjengul seraut wajah lelaki yang amat dikenalinya. Wajah itu sama muram dengan wajahnya juga. Kedua-duanya saling bertatapan, seolah-olah sedang berbahagi duka.
“Tutup pintu tu… kunci dari dalam.” Arahnya tegas.
Lelaki itu akur. Dia menutup pintu dan menguncinya.
“Duduklah. Banyak yang abah nak cakapkan pada kau, Han.”
“Pasal apa, abah?”
“Ni…” Dia menunjuk ke arah jurnal yang ada di hadapannya. “Jurnal yang abah tulis. Dalam ni adalah kisah hidup abah yang tak pernah abah ceritakan pada orang. Abah nak kau baca…”
“Han tak ada mood nak baca tu semua. Han tak minat nak tahu perjalanan hidup abah. Perjalanan hidup Han sekarang ni pun tunggang langgang. Semuanya serba tak kena.” Beritahu Andy Farhan berterus terang. Dia bangun berjalan mundar mandir.
“Lupakan dia Han! Dia bukan untuk Han!” Bentak Bahtiar. Selama ini dia tidak pernah bersuara sekuat itu apabila bercakap dengan Andy Farhan.
Andy Farhan berhenti melangkah, memandang bapanya. Dia terkejut melihat perubahan sikap bapanya hari itu.
“Tolong abah ajar Han macamana nak lupakan dia… Dia kekasih pertama dan terakhir abah!”
“Lain kali kalau jatuh cinta, jangan serahkan hati dan hidup kau sepenuhnya pada kekasih. Kalau dilukai, amat teruk jadinya… susah nak bangkit semula Cari perempuan lain. Ramai perempuan dalam dunia ni yang mampu berikan kau kebahagiaan..”
“Siapa abah? Abah tahu, Han akan lihat wajah Sheila di setiap wajah perempuan yang Han jumpa.”
“Baca jurnal ni, Han! Supaya kau tahu liku-liku hidup yang telah abah lalui. Kau harus ingat Han… Dalam hidup seorang lelaki ada ramai wanita di sampingnya. Tapi dalam hidup wanita tak ramai lelaki. Kau tahu mengapa? Sebab secara fitrahnya Tuhan menjadikan wanita itu setia dan penyayang. Seratus kali, seribu kali lebih setia dari lelaki…” Bahtiar mendekati Andy Farhan, memegang bahunya dengan kukuh.
“Maksudnya… walaupun dia dah kahwin, dia belum lupakan Han?”
Bahtiar mengangkat keningnya. Dia tidak sempat menjawab apabila terdengar ketukan di pintu. Kedua-dua lelaki itu memandang ke arah datangnya bunyi ketukan itu. Andy Farhan bergerak cepat menghala ke pintu lalu membukanya. Pembantu rumah Mak Semah memberitahu ada orang yang ingin menemui Bahtiar.
“Siapa?” Tanya Andy Farhan pada Mak Semah.
“Cik Sheila dan suaminya.”
“Lebih baik kau tak usah berjumpa dengan dia. Dia datang dengan suaminya. Tadi abah nampak dia datang dari tingkap dalam librari.” Kata Bahtiar sambil menarik Andy Farhan supaya masuk ke dalam semula.
“Sheila datang? Dia ada di bawah sekarang?” Tanya Andy Farhan tidak percaya. Matanya memandang silih berganti ke wajah bapa dan pembantu rumahnya.
“Tak… tak. Kau tak perlu keluar jumpa mereka. Kau duduk dalam bilik ni… baca jurnal tu.” Kata Bahtiar tegas.
“Tapi… Tapi…” Andy Farhan ingin membantah.
“Abah tak benarkan kau jumpa dia lagi. Selama ini abah tak pernah sekali pun menghalang hubungan kalian berdua. Tapi inilah akibatnya…” Bahtiar menarik Andy Farhan supaya masuk dan duduk semula di kerusi yang didudukinya tadi.
“Saya akan turun. Awak boleh pergi, Mak Semah.” Kata Bahtiar pada Mak Semah. Wanita itu mengangguk.
Bahtiar memandang Andy Farhan. Wajahnya serius. Dia menggoyang jari telunjuknya seolah-olah memberi amaran; “Kau jangan ke mana-mana!”

“SAYA berjanji saya takkan mencuri masa yang begitu lama untuk berbincang dengan mak long dan pak long.” Kata Sheila dengan penuh hati-hati.
Zaiton langsung tidak mengukir senyum. Matanya memandang kedua-dua pasangan muda yang baru diijalkabul itu. Ada pelbagai perkara yang menjadi tandatanya di hati dan fikirannya. Namun dia berpura-pura tidak mengendahkannya. Betapa dia dapat lihat sinar redup dalam mata Sheila, membendung kesedihan. Kesedihan yang dia tidak mengerti. Pengertian itu terlalu jauh untuk dicapai kerana dia tidak pernah membuka hatinya dengan ketulusan. Dia selalu benci pada Sheila. Sheila mengingatkan dia pada Ashikin. Dan gelora amarah dan kebenciannya tambah menggunung kerana dia sedar, ada darah merah milik Ashikin dalam tubuh gadis di hadapannya itu.
Selebihnya dia mengkagumi keberanian Sheila dan Jasman datang ke rumahnya, setelah dia meminta wanita itu menjauhkan diri. Dia telah berkali-kali menafikan setiap bentuk hubungan antara mereka.
Memang wajar sekiranya Zaiton atau Bahtiar enggan berjumpa dengan mereka berdua. Kehadiran mereka pagi ini wajar ditolak tanpa sebarang alasan. Pun Zaiton mahu bersikap adil. Sheila tetap anak saudaranya.
Zaiton memerhati jari-jari Sheila yang runcing tersarung sebentuk cincin. Tentu cincin perkahwinannya, fikir Zaiton. Dengan sekali imbas dia yakin cincin itu tidaklah begitu mahal harganya. Malah Andy Farhan pernah memberikan cincin pertunangan yang lebih mahal dari itu.
Zaiton terus menanti Sheila meneruskan kata-kata. Dia tidak perlu membalas kata-kata Sheila yang penuh sopan santun itu. Apa perlunya dia berbahasa indah begitu? Bentak hatinya. Mungkin dia tahu kedatangannya tidak lagi dialu-alukan.
“Pertama sekali, kami datang nak memohon restu dari maklong.”
“Restu? Apa perlunya restu aku untuk kebahagiaan engkau.” Sinis kata-kata Zaiton.
“Saya tak punya sesiapa. Hanya mak long, pak long dan abang Farhan saja saudara terdekat yang saya ada.” Jawab Sheila.
Zaiton merengus perlahan. Kata-kata itu mengandungi kebenaran. Dia tidak ingin menyangkalnya. Pertalian darah antara mereka memang tidak akan terputus. Namun dia tidak sudi lagi memandang wajah itu. Dia tidak perlu berpura-pura suka di hadapan mereka berdua. Betapa sakitpun hatinya, dia tidak berupaya mengubah keadaan.
“Rupanya kau sedar yang kau tu tak ada sesiapa. Hanya kami saudara yang kau ada. Sekarang ni biar aku beritahu kau satu perkara… Betul, dulu kau ada saudara, tapi sekarang ni kau tak ada sesiapa. Dah berapa kali aku cakap… Jangan datang mencari kami lagi atas apa sebab sekalipun! Walaupun kau berdepan dengan kematian.” Kata Zaiton garang. Dia memandang Jasman sekilas, ada riak benci timbul di hati apabila memandang lelaki itu. Walaupun ini pertemuan pertama antara mereka namun dia berharap tidak perlu memandang wajah Jasman lagi di lain kali.
Jasman juga menunjukkan reaksi yang sama langsung tidak menyukai sikap egois dan sombong yang ditunjukkan oleh Zaiton.
“Saya tahu mak long bencikan saya sejak dulu. Apa salah saya sebenarnya saya pun tak tahu…”
Sebab kau tu anak Ashikin! Suami aku terlalu cintakan Ashikin, gilakan perempuan tu separuh mati! Sampai sekarang pun aku rasa dia masih tergila-gila emak kau tu walaupun dia dah berpuluh-puluh tahun mati bergalang tanah. Kalau dia hidup lagi, aku rasa Bahtiar takkan pandang muka aku! Mujur juga dia dah mati!
“Ton… Tak baik buat Sheila macam ni. Dia tetap anak saudara Ton dan abang.” Sampuk Bahtiar yang baru turun dari tingkat atas.
Dia berjalan ke arah mereka sambil melemparkan senyum. Sheila bangun, menyalami tangan Bahtiar. Tetapi Jasman tetap duduk, seolah-olah tidak menyedari kehadiran lelaki itu.
Bahtiar menghulur tangannya ke arah Jasman. Jika diikutkan hatinya dia enggan menyambut huluran tangan lelaki itu. Walaupun lelaki itu tidak pernah ditemuinya tetapi nama Bahtiar sentiasa disebut-sebut oleh orang-orang yang hampir dengannya.
Dia memaksa diri tersenyum, sambil matanya menentang mata Bahtiar. Lelaki itu mengenakan kaca mata. Masih segak, tinggi dan tegap tubuhnya. Walaupun ada di antara rambut Bahtiar yang telah pun menjadi putih, tapi itu tidak mengurangi ketampanannya. Dia punya senyuman yang amat memikat, persis Andy Farhan.
Jasman membuang pandang ke arah lain. Dia tidak menyukai Bahtiar langsung. Akhirnya kita saling berhadapan… bisik hati Jasman. Walaupun kau tak tahu siapa sebenarnya aku. Lebih baik kau tak tahu apakah sebenarnya hubungan aku dengan Azizul!
“Kau sentiasa mendapat doa restu daripada pak long. Semoga bahagia Sheila… Jasman.” Kata Bahtiar memaniskan wajah sambil memandang Sheila dan Jasman silih berganti.
“Terima kasih pak long. Saya tahu saya boleh harapkan pak long.”
“Kau perlu ingat Sheila… Pak long dengan mak kau pun bukan orang lain. Mak kau sepupu pak long.” Sambung Bahtiar lalu duduk di sebelah Zaiton. Zaiton terus diam, wajahnya serius sahaja.
Sheila mengangguk. Hatinya sedikit lega mendengar kata-kata Bahtiar yang tetap mesra melayaninya.
“Saya datang ni pun nak bincang satu perkara lain dengan pak long dan mak long. Walaupun dulu saya berniat hendak terlibat sama dalam Rangkaian Rimbajati tapi sekarang ni saya fikir… saya nak tarik diri.” Jelas Sheila sambil meletakkan sepucuk surat di atas meja. Surat perletakan jawatannya sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Rangkaian Rimbajati.
“Tarik diri? Apa maksud kau?” Balas Bahtiar sambil tangannya mengambil surat itu lalu membuka sampul surat yang tidak bergam itu. Dia membacanya sekali lalu, menyerahkannya pula kepada Zaiton. Namun Zaiton buat tidak tahu sahaja.
“Share tu… Saya serahkan balik pada pak long. Saya minta maaf kalau selama ni saya banyak menyusahkan mak long dan pak long.”
Zaiton merengus. Dia masih tidak puas hati biarpun Sheila rela menyerahkan share yang telah diberikan kepadanya tanpa sebarang syarat.
Jasman kelihatan terkejut mendengar kata-kata Sheila. Share Sheila amat berharga jika dinilai dengan wang, membolehkan dia menjadi jutawan. Nilai share tak kurang daripada 3 juta. Perkara itu amat dikesalinya kerana isterinya itu langsung tidak memaklumkannya apa-apa. Dia bagaikan tunggul saja! Jikalau dia tahu apa yang terkandung dalam fikiran dan hati isterinya itu dia tidak akan mengizinkannya sama sekali.
Apa yang ingin Sheila buktikan dengan menyerahkan semula share itu ke tangan keluarga Andy Farhan?
Di rumah tadi, Sheila hanya memberitahu ingin menemui Bahtiar dan Zaiton untuk memohon restu sebelum berangkat mengikut Jasman… Ke mana saja! Dia tahu, tempat isteri adalah di sisi suami.
“Kenapa nak buat macam tu?” Tanya Bahtiar kesal. “Kalau tak mahu terlibat tak apa. Pak long faham. Walaupun kau tak jadi kahwin dengan Farhan, ianya tetap hak kau. Kami serahkan share kerana kau anak Amran. Ayah kau ada hak kerana syarikat adalah warisan daripada datuk kau dulu…”
“Tak apa pak long. Saya rasa saya tak berhak, apalagi ayah. Ayah pun tak mahu balik lagi ke Malaysia. Dia mahu terus bermastautin di Makkah. Katanya sisa-sisa hidupnya hanya untuk Allah. Lagipun saya mungkin nak tinggalkan bandar ni… Saya nak mulakan kerjaya baru di tempat lain.”
“Kau nak berhenti kerja? Dah plan nak kerja di mana?” Tanya Bahtiar.
Sheila mengangguk. “Ya. Kerja semula di firma lama di KL. Di sana masih ramai kawan-kawan.”
Sekali lagi Jasman terkejut. Ini sudah lari dari rancangan yang aku atur… bisik hati Jasman tidak keruan. Aku perlu tukar plan. Setiap rancangan perlu ada plan B jika plan A tidak menjadi!
Sheila membuat keputusan tanpa berbincang dengannya. Tak mengapa! Dia akan membiarkan Sheila bertindak dahulu. Hendak tinggalkan segalanya? Jelas Sheila mahu melupakan Andy Farhan. Lelaki itu masih bertakhta di hati… Itulah yang menyebabkan dia mahu pergi, membuang kenangan lalu yang terukir di situ.
“Bagus lah. Jika kau perlukan apa-apa pertolongan, jangan segan call pak long.” Tawar Bahtiar. “Tapi share tu jangan ditarik semula…”
Zaiton menjeling Bahtiar.
Sheila terdiam lama.
“OKlah, saya serahkan segalanya pada Abang Farhan. Share saya milik abang Farhan. Ini keputusan terakhir. Muktamad.”
Wajah Jasman berbahang, penuh kemarahan. Jika diikutkan hatinya dia ingin membentak dan menjerit sekuat hati. Wajahnya merah padam. Matanya liar, gigi di dalam mulutnya saling berlaga menyimpan kemarahan. Tangannya tergenggam dengan kuat. Saat itu dia sedar, Zaiton sedang merenungnya. Jasman menentang mata Zaiton. Di bibir wanita itu tersungging senyuman kemenangan seperti tahu apa yang bermain dalam mindanya.
Jasman bertambah benci pada wanita di hadapannya itu.
Sheila sudah bangun. “Saya rasa tak ada apa-apa lagi. Kami minta diri.”
Bahtiar mengangguk. “Oklah.”
“Terima kasih pak long, mak long. Kami pergi dulu...”
Sheila menghulur tangannya ke arah Zaiton. Salam yang terhulur disambutnya juga. Pastikan ini adalah kali terakhir… bisik hatinya. Sheila turut bersalaman dengan Bahtiar. Tiba-tiba Bahtiar memeluk bahu Sheila. Sheila terkejut tetapi membiarkan sahaja. Dia mendengar Bahtiar berbisik di tepi telinganya; “Kalau Sheila apa-apa… Call Pak long. Jangan lupa!”
Sheila hanya mengangguk walaupun dia tidak mengerti untuk apa pelukan itu. Dia memerhati wajah Bahtiar yang nampak sedih. Jasman langsung tidak bersalaman dengan Bahtiar ataupun Zaiton. Dia mendahului Sheila bergerak ke pintu masuk yang ternganga luas.
Zaiton juga meninggalkan ruang tamu, menghayun langkah menghala ke tingkat atas. Dia terlihat Andy Farhan ada di tepi tangga di tingkat atas, memerhati ke arah Sheila yang masih bercakap sesuatu dengan Bahtiar. Kelihatan Bahtiar berat hati hendak berpisah dengan Sheila, bagaikan itu adalah pertemuan terakhir.
Zaiton menggigit bibir. Hati Zaiton pilu melihat wajah anak lelakinya yang muram. Nantilah Han… Umi akan carikan kau perempuan yang lebih dari dia. Kau sabar sajalah nak! Tangannya menyentuh bahu Andy Farhan. Lelaki itu memegang tangan ibunya, menggenggamnya dengan erat.
“Han ok umi. Umi jangan risau!” Kata Andy Farhan sambil mengukir senyum. Senyuman yang tiada manisnya, melainkan penuh dengan kepedihan.


Bab 2

“ARE YOU ok?” Tanya Sheila sambil menjeling Jasman yang melarikan keretanya dengan laju. Setelah meninggalkan rumah agam Zaiton, lelaki itu tidak bercakap walau sepatah perkataan pun. Bagi menterjemah kemarahannya itu, dia melarikan kereta dengan laju seperti peluru yang berlari menuju sasaran. Kemarahan membunuh kewarasannya. Semuanya gara-gara sikap Sheila yang melulu, menidakkan kehadirannya sebagai suami. Terasa maruahnya dipijak-pijak semahu hati. Dia tidak akan membiarkan Sheila memperlakukan dirinya sedemikian rupa. Tidak pernah ada dalam kamus hidup, perempuan menjatuhkan maruahnya dengan begitu mudah!
“I ingatkan you takkan tanya. I ok tapi you yang tak ok…”
Sheila ketawa lembut. Dia tahu Jasman marah dan tersinggung. Memang dia akui kesilapannya. Namun itu semua berlaku tanpa dirancang. Dia tidak berniat pun hendak melepaskan haknya tetapi melihat sikap keras Zaiton, dia tahu emak saudaranya itu marah. Dia tahu dia tidak akan diterima dalam keluarga itu lagi.
Dari kejauhan tadi juga dia dapat melihat raut wajah lelaki yang masih bertakhta di hati. Wajah yang dibaluti kepiluan. Dia mengerti, mereka tidak akan dapat bersama lagi buat selama-lamanya. Dia bukan lagi srikandi cinta yang berjuang untuk mempertahankan istana impian daripada musnah. Dia tidak punya istana dan putera impian lagi. Kini di hadapannya terbentang satu hakikat kehidupan, bahawa dia sudah menjadi milik orang lain.
“Jadi, you ingat I dah gila ke?”
“Memang gila. You lepaskan hak you macam tu aje. Fikirlah dulu habis-habis. Share tu berharga. Hanya orang gila yang tak mahu memiliki share syarikat besar macam syarikat Rangkaian Rimbajati tu. Kalau tak mahu sekali pun share tu, kenapa mesti serahkan pada Farhan? I ni siapa? I tak pernah ada di hati you kan?”
“I ingatkan you gembira bila I takkan bertemu lagi dengan abang Farhan. Cuba fikir, kalau I bekerja di Rimbajati, kami akan selalu berjumpa.”
Takut berjumpa… Bimbang cinta membara semula. Sheila… Kau tak berani mengambil risiko tu! Agh! Kau pengecut! Orang pengecut lebih baik mati daripada hidup! Kau tak ada tempat nak lari jika kau ingin lari daripada perasaan kau sendiri! Baiklah, jika kau betul-betul nak larikan diri dari jantan tu selama-lamanya, aku akan bawa kau pergi jauh dari sini. Kau jangan menyesal nanti! Kau takkan berjumpa dengan Farhan lagi buat selama-lamanya…Bisik hati Jasman.
“Sepatutnya you gembira dengan keputusan I tu…”
“I tak segila you!” Jawab Jasman sengit.
Sheila terdiam.
Jasman juga diam. Hidup ini tanpa cabaran memang tak seronok! Sebenarnya aku lebih seronok sekiranya dapat tengok Andy Farhan terus derita. Aku rasa bahagia dapat tengok Andy Farhan gelisah, muram dan berduka macam sekarang. Melihat kau melangkah pergi bersama aku, pasti dia tambah merana. Silap-silap di tengah malam sunyi, bila semua orang sedang tidur dia akan tarik picu pistol yang dihalakan ke kepalanya sendiri!
Jasman memerhati cermin hadapan dan cermin sisi kereta. Dia masih melihat kereta datsun biru itu memburu keretanya sejak mereka meninggalkan bandar tadi. Dia terus memotong kereta di hadapannya dengan laju, cuba untuk melarikan diri dari kereta yang mengekori mereka sejak tadi. Siapa? Mengapa dia terasa seperti terus diekori. Kereta itu juga ikut memotong, tidak rela untuk berjauhan daripada kereta mereka.
Siapa? Bisik hatinya ingin tahu.
“Hei! Perlahan sikitlah…” Kata Sheila sambil memegang lengan Jasman.
“Kenapa?You takut mati? Kalau kita kemalangan lalu mati kan bagus. Kita hidup dan mati bersama. Atau you tak mahu sehidup semati dengan I?”
Sheila mencubit paha Jasman dengan kuat. “I belum mahu mati. I nak hidup lama.”
Jasman hanya menjawabnya dengan keluhan. Dia tidak akan memberitahu Sheila tentang kereta yang mengekori mereka sejak meninggalkan pusat bandar tadi.

MALAM INI adalah malam kalamitos! Malam yang datang dalam hidupnya adalah malam yang malang, yang penuh kecelakaan dan sengsara. Malam yang sangat panjang seperti tidak akan berakhir. Matanya terus tertambat ke arah rumah teres yang tidur dalam kegelapan. Sepi mengelilingi ketika dia menurunkan cermin kereta dan udara malam yang dingin pun menyapu seraut wajah yang dibaluti duka. Nyanyian cengkerik pun tidak terdengar berdendang, dan langit gelap pekat tiada bulan dan bintang.
“Malam ini sepinya kian mencengkam jiwa. Tiada dendangan yang berupaya menghiburkan hati yang lara. Kenapa Sheilaku sayang…” Dia berbisik sendiri. “Mengapa harus kau terima dia sebagai teman hidupmu, meninggalkan abang? Mana janjimu, hidup matimu hanya untuk abang, bersama abang… Masih ingatkah janjimu yang dulu, Sheila? Mengapa kau biarkan abang merana, sedangkan kini kau sedang ketawa bersamanya. Sheila… Rindu ini tidak pernah surut sepanjang masa. Tapi malam ini abang sepi, sendiri. Tolonglah pulang ke pangkuan abang Sheila…” Sesungguhnya dia belum benar-benar menikmati erti kebebasan itu. Hatinya masih dibelenggu, terpenjara oleh rasa cinta, rindu, dendam dan derita. Beberapa titis airmatanya gugur, benar-benar menyedari dia memang seorang diri menghadapi dunia ini. Dia tiada lagi kekasih, tiada sahabat dan tiada saudara! Dia memejam mata, cuba mengutip kenangan…
Dulu kawan-kawannya ada di mana-mana. Mawarni! Sudah lama kembali kepada Tuhan. Dia membuka matanya secara mendadak bila sahaja teringatkan seraut wajah itu. Mati… Dalam keranda tubuhnya terbujur kaku, alis matanya lentik, bibirnya pucat menyimpan seribu rahsia.
Tangan Andy Farhan kian kuat mencengkam setering. Apabila dia teringat pada wajah Mawarni, satu raut wajah lain mengiringi. Bagaikan satu rangkaian tali belati yang terjalin kemas, begitu kuat mengikat ingatannya agar terus membilang nama-nama itu… Salim, Azizul dan Jasman.
Alangkah baiknya jika dia tidak mengenali mereka. Alangkah baiknya jika nama-nama itu langsung tidak muncul dalam hidupnya. Pasti dia akan lebih bahagia. Hanya dia dan Sheila.
“Sheila! Abang hanya ingin memiliki cintamu dan abang tidak mengingini sesuatu yang lain. Sebab abang tak perlukan apa-apa. Cintamu sudah cukup untuk buat abang hidup bahagia. ”
Suara hati yang menjerit, tercetus perlahan melalui dua ulas bibirnya. Tidak berdaya hendak menyimpan segalanya di hati lagi. Dia harus meluahkannya melalui kata-kata, supaya segala yang terbuku tidak terus membekam dan menyakitkan dada. Tetapi tetap dia tidak merasa puas, kerana tiada sesiapa yang mendengar kata-katanya itu. Kata-kata yang lahir dari hati yang walang. Dia perlukan seseorang untuk menjadi pendengar, saat ini. Tetapi siapakah yang sudi?
“Abang di sini, menantimu… Biar sehingga menjelang fajar… Biar. Abang akan tunggu Sheila membuka pintu. Berikan abang jawapan kenapa dan mengapa kau lakukan ini semua. Mengapa kau harus hukum abang dengan mengahwini Jasman. Siapa Jasman, di sisimu Sheila? Bukan siapa-siapa…. Lelaki itu baru muncul secara tiba-tiba dalam hidupmu, sedangkan abang menyintaimu sejak dulu, kini dan selamanya.” Tangan Andy Farhan kejap mencengkam setering apabila matanya terbayang raut wajah kacak Jasman.
Dia meludah ke luar tingkap kereta yang terbuka luas. Hatinya penuh benci apabila terbayangkan wajah itu. Desiran bayu malam yang memukul wajah gagal menyejukkan hatinya yang tiba-tiba jadi panas meruap.
Dia mendongak ke arah kamar tidur rumah gadis pujaannya itu kelihatan gelap gelita. Sudah hampir sejam keretanya berlabuh di hadapan rumah Sheila. Tiada tanda-tanda dia akan pulang… dia menunggu sesuatu yang tidak pasti, penantiannya pasti berakhir dengan kehampaan. Malam ini, rasa hatinya tambah terseksa. Masa terasa begitu malas bergerak. Udara biarpun dingin tetapi tidak mampu mendinginkan hatinya lagi.
Agh!! Dia ingin menjerit dan melolong sekuat hati, seperti ketika dia masih di dalam tawanan. Hidup ini sebenarnya tidak banyak berubah, masih berlegar-legar di sekitar perkara yang sama… bisiknya lagi. Biarpun sudah lepas daripada kurungan itu, tetapi tiada gunanya apabiladia harus hidup seorang diri tanpa sesiapa untuk meraikan satu kebebasan.
Lamunan Andy Farhan terpenggal, apabila dia melihat sebuah kereta buruk yang baru muncul. Mendadak dia menundukkan kepalanya, dan separuh mengendap dia ingin mengetahui kereta siapa yang baru tiba, yang berhenti betul-betul tidak jauh dari tempat keretanya berlabuh. Dia lihat seorang lelaki keluar dari kereta, berjalan ke arah pintu pagar rumah Sheila. Lampu hadapan kereta yang terang menyuluh ke arah pagar, membuat dia dapat mengagak susuk tubuh lelaki itu. Salim?
Panjang umur kau Salim… Baru beberapa saat tadi aku teringatkan kau! Bisik hati Andy Farhan sambil tersenyum sinis. Memang umur kau panjang… Sepatutnya kau dah mati di tali gantung. Kenapa kau kembali? Hati Andy Farhan benar-benar kacau apabila terlihat Salim yang berdiri gagah sampai menggoncang pintu pagar yang berkunci rapat.
Kenapa Salim mencari Sheila? Nampaknya segala-galanya berulang semula, bagai roda-roda yang sentiasa berputar. Rupa-rupanya bukan aku seorang lelaki malang… bisiknya lagi sambil mentertawakan Salim. Salim juga masih menjadi pemburu yang dahaga, lelah dan sarat dengan cinta untuk wanita bernama Sheila. Sayangnya, wanita itu bukan lagi miliki mereka, biarpun mereka berdua pernah memilikinya suatu masa dahulu.
Dadanya bergetar kuat, menahan tawa. Dia mengintip lagi dan melihat Salim kembali kereta setelah berdiri sejenak memerhati ke arah bilik tidur Sheila yang gelap. Diaorang tak adalah! Aku tak tahu ke mana diaorang pergi. Dah beberapa malam aku menunggu diaorang balik! Jerit Andy Farhan di dalam hati.
Malam bulan madu mereka berdua baru bermula. Malam penuh bahagia... Yang tertinggal buat kita berdua hanya kelukaan yang sangat dalam. Bentak Andy Farhan di dalam hatinya.
Kereta buruk milik Salim terus bergerak perlahan meninggalkan bunyi deru enjin yang kuat memecah sepi malam.
Tanpa berfikir panjang, tangan Andy Farhan menyentuh kunci kereta yang memang sudah tersedia di dalam lubang kunci, menghidupkan enjin dan perlahan-lahan bergerak mengekori kereta Salim.
Ke mana kau nak pergi Salim? Kita sama-sama berduka membawa hati yang lara! Dan tubuh Andy Farhan bergegar ketawa, dicelah-celah duka yang mencengkam hatinya. Dia sedikit puas, dapat meluahkan kata-kata pada kusyen di sebelahnya yang kaku membisu.
“Umi… Han ok. Han tak apa-apa umi…” Katanya perlahan. Walau bagaimana pun hatinya meragui ungkapan yang baru dilafazkan.


OLD TOWN CAFÉ di Jalan Ahmad Shah masih membuka perniagaannya hingga menjelang tengah malam. Malah semakin ramai pengunjung menjelang dua belas tengah malam ke atas. Cahaya lampu yang gemilang menyimbah bahagian hadapan pintu utama, terlihat orang yang berduyun-duyun keluar dan masuk. Andy Farhan mencari tempat parkir dan menemukan tempat yang selesa. Dalam beberapa minit sahaja, dia sudah dapat meletakkan kereta perdana peraknya dengan megah di sisi sebuah kereta yang amat cabuk.
Andy Farhan tersenyum sendiri. Puas hatinya apabila melihat perbezaan status antara dia dan Salim!
Dengan langkah lambat dia keluar dari kereta, sebelah tangan memegang tongkat. Langkahnya dihayun menuju ke Old Town Café yang terletak di hadapannya. Tiba di pintu utama, daun pintu terbuka sendiri dari dalam. Kedatangannya disambut PR Old Town Café yang ramah tamah itu.
“Selamat malam!”
“Selamat malam.” Balasnya mesra seperti selalu. Matanya memandang lembut ke arah lelaki yang berpakaian kemas itu.
“Masih ada tempat kosong?” Dia bertanya sambil matanya melilau ke tengah ruang yang penuh sesak. Bunyi sudu dan garfu disulam perbualan dan suara nyanyian penyanyi di pentas, saling beradu dan membingitkan.
Tiba-tiba dia merasa tertekan, tempat itu menjadi terlalu bising dan dia terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan yang serba merimaskan. Dulu dia tidak pernah rasa begitu… Dia senang dengan kesibukan dan kebisingan orang lain, kerana dia turut menyertainya. Tetapi kini dia merasa terasing. Kalaulah dia punya kuasa untuk menghentikan semua kebisingan itu, alangkah baiknya.
“Masih banyak di bahagian dalam… atau encik mahu tempat yang istimewa di tingkat atas.”
“Tidak, saya cuma seorang diri malam ni. Tak perlu tempat yang istimewa.” Beritahunya cuba melupakan kegetiran yang menjentik hati.
Pedihnya hanya tuhan yang tahu. Suatu masa dulu dia sentiasa berteman datang ke situ. Bersama Sheila tentunya! Kini dia terkontang kanting seorang diri, seperti sebatang kayu hanyut di tengah-tengah sungai yang luas. Tiada arah dan tujuan. Walaupun dia mahu melupakan rasa sepi dan terasing itu, hatinya tetap rasa tidak tenteram berada di tempat yang terlalu ramai orang.
Andy Farhan berjalan mengekori PR Old Town Café yang membawanya ke satu tempat kosong. Meja yang diberikan kecil dan sempit, terletak di pojok. Dari situ dia dapat melihat tempat lain yang meriah dan ceria. Dari meja penjuru itu, dia duduk dengan hanya diterangi lampu yang taram temaram, bagaikan pelita yang kehabisan minyak. Matanya liar memerhati sekeliling, mencari meja Salim. Di mana dia?
Matanya terus meliar mencari, akhirnya berhenti di meja di sisi sebelah kanan mejanya. Dia lihat Salim sedang merenungnya. Pandangan itu bagaikan menembusi jantung. Dia mengatup rapat kedua-dua bibir, langsung tidak mengorak sebarang senyuman. Mereka saling berpandangan, tidak mahu mengaku kalah. Akhirnya, Salim bangun dari kerusi lantas berjalan ke arah meja Andy Farhan yang hanya beberapa langkah sahaja jarak yang memisahkan.
“Hai…” Seru Salim dengan suara yang lembut dan sedikit mesra.
“Hai.” Balas Andy Farhan dingin, matanya mengawasi tingkah laku Salim yang betindak di luar jangkaan. Keberaniannya harus dipuji, bisik hati Andy Farhan sendiri.
“Apa khabar?” Pertanyaan itu memang mengejutkan. Salim menegur bagaikan mereka tidak pernah bersengketa dan segala yang berlaku dahulu sudah pun berkubur.
“Aku baik, masih hidup dan bernafas. Kenapa? Engkau nak tengok aku mati?” Balasnya kasar. Ada nada ancaman di dalamnya. Tidak perlu dia menjaga hati Salim, yang suatu masa dulu amat menyakitkan hatinya pula.
Salim tertawa lemah. Kakasaran jawapan Andy Farhan itu sudah diduganya. Mereka pernah bersengketa dan lelaki itu belum melupakan detik-detik tegang yang telah memutuskan tali persahabatan mereka. Terlalu banyak perkara yang dilakukannya terhadap lelaki di hadapannya itu. Memang wajar dia dimarahi, dikutuk dan ditinju. Dia tidak akan melawan. Memang dia berazam untuk mencari kawan. Hidupnya terlalu sepi tanpa sahabat. Dia duduk di hadapan Andy Farhan tanpa dipelawa. Tangannya terus terhunus ke arah Andy Farhan, cuba menghulur tali persahabatan.
Tetapi Andy Farhan langsung tidak peduli. Dibiarkan sahaja tangan Salim tergantung di udara. Lama. Salim menarik tangannya semula, lantas menyembunyikannya di bawah meja.
“Aku minta maaf. Aku memang buat salah. Tapi percayalah… Aku dah insaf. Kita lupakan apa yang pernah berlaku. Lagipun sudah terbukti aku tak bersalah. Tak ada sesiapa yang dapat mensabitkan aku dengan kesalahan itu.” Balas Salim gagah.
“Aku tak mahu kita terus bermusuh. Tak ada gunanya.” Tambah Salim dengan penuh yakin.
“Jadi, kau nak kita berkawan semula macam dulu?”
“Kalau kita tak boleh berkawan lagi, tapi janganlah kita bermusuh Farhan.… Sheila pun dah maafkan aku.” Pinta Salim terus berlembut.
“Aku dah insaf!” Seru Salim sambil terus merenung ke dalam mata Andy Farhan. “Aku nak jadi baik.”Sambung Salim lagi.
“Macamana kau boleh lepaskan diri?” Tanya Andy Farhan, tidak menghiraukan kata-kata Salim yang penuh keinsafan.
“Takdir. Nasib.” Jawab Salim tenang.
“Kau juga bernasib baik. Kau terhukum kerana kesalahan yang tidak kau lakukan. Kita seri sebenarnya, Farhan. Kau tak nampak apa yang berlaku kepada kita? Menyintai gadis yang sama, terhukum kerananya…”
Andy Farhan menggigit bibir, mengunyah kebenaran kata-kata Salim. Salim tidak bersalah? Bisik hatinya tidak ingin percaya. Jadi siapa sebenarnya yang bersalah? Sheila? Sheila yang berubah hati, menyintai lelaki lain yang lebih segalanya? Tak mungkin! Jasman tu tak ada apa-apa… Jantan brengset!
“Kau tak nak bercinta menyintai Sheila? Cinta yang penuh dengan rasa sakit, bukannya nikmat.” Kata-kata Salim membuat dada Andy Farhan kembali bergetar dilanda ombak marah.
“Mengapa aku mesti berhenti menyintai dia? Dia cintaku yang pertama dan terakhir. Kau orang semua hanya pengacau!” Kata Andy Farhan, gagal menahan marah. Penumbuknya tergenggam kuat dan hampir-hampir menghentak meja.
“Sabar… Aku faham perasaan kau.” Salim terus bersikap tenang.
Sedikit kesal kerana kata-kata lancangnya membuat lelaki itu diburu kemarahan. Bukan dia tidak tahu sikap Andy Farhan yang panas baran itu. Dipegangnya tangan Andy Farhan.
“Aku dah letih sebenarnya…” Luah Salim perlahan.
“Aku datang ke meja engkau ni bukannya nak bertumbuk. Tak. Aku dah letih, tak daya nak bermain dengan perasaan lagi. Biar fikiran kita yang rasional mengambil tempat. OK. Kalau kau tak mahu maafkan aku, terima aku sebagai kawan, tak apa. Macam aku cakap tadi, kita seri. Kita rugi. Aku kehilangan kawan… engkau juga macam tu. Mengapa kita tak nak bina persabahatan yang dah runtuh tu? Kita tegakkan semula tugu persahabatan kita, Han.”
Bibir Andy Farhan tercebik, cuba meremehkan kata-kata Salim yang kedengaran begitu ikhlas. Tetapi hatinya enggan percaya. Dia memerhati sahaja Salim mengangkat tangan memanggil pelayan.
“Kita minum. Biar aku yang belanja. Dulu kau selalu belanja makan minum aku. Sekarang biar aku pula yang belanja kau pulak.”
Salim cuba menunjukkan kebaikan hatinya, walaupun Andy Farhan langsung tidak tertawan dengan budi yang hendak dicurahkan. Dia mahu mempersetankan semua itu, meninggalkan meja dan berlalu pergi. Tetapi ada sesuatu pula yang menambatnya untuk terus berada bersama-sama Salim menghadapi meja yang masih kosong itu.
Pelayan datang untuk mengambil pesanan. Disebabkan selera sudah tiada untuk menjamah apa-apa, mereka hanya memesan minuman. Pun bukan minuman keras yang memabukkan. Tiada sesiapa pun yang mahu pulang terhuyung hayang malam itu… Andy Farhan mendambakan pemikiran yang tenang dan selesa, sementara Salim ingin terus rasional dalam setiap bicara dan tindak tanduknya.
“Baiklah…” Akhirnya Andy Farhan mengalah.
“Aku setuju untuk sementara waktu ni, kita duduk minum bersama. Tapi itu bukan bermakna kita boleh berkawan semula macam dulu. Aku sebenarnya tak ada hati nak berkawan dengan kau lagi. Dalam erti kata lain, aku bencikan kau!” Kata Andy Farhan begitu berterus terang.
Salim mengangguk sahaja, meneguk air liur. Pahitnya kata-kata Andy Farhan terpaksa ditelan juga.
“Ok.” Balasnya lemah. “Selamat kembali ke alam realiti… Ke dalam kehidupan sebenar. Kita berdua sudah sekian lama terkurung dan melihat penghidupan dari sudut pandangan yang sempit, dari penjuru bilik yang berkunci.”
Andy Farhan ketawa pahit, meneguk minumannya lantas berkata; “Kau kerja apa sekarang? Bekas banduan seperti kau, mesti hidup merempat. Ke sana sini dengan kereta buruk yang enjinnya berbunyi kuat macam enjin lori sampah…” kutuknya semahu hati, benar-benar meluahkan rasa benci yang amat sangat kepada lelaki di hadapannya itu.
Telinga Salim berdesing mendengar kata-kata Andy Farhan. Dia menahan dirinya dari menjadi berang. Dia tidak boleh marah. Dia tahu begitu tebal dendam Andy Farhan padanya. Barangkali benar seperti kata lelaki itu pada awal tadi, mereka tidak akan menjadi kawan semula. Mereka mungkin akan bermusuhan sepanjang hayat.
“Aku?” Salim tidak segera menjawab, tangannya menyentuh bibir gelas yang sejuk dibungai peluh airbatu. Dia tidak bersedia dengan jawapan yang pasti untuk memuaskan naluri ingin tahu Andy Farhan. Mereka sama sahaja, ingin tahu langkah masing-masing selanjutnya.
“Aku sedang membina masa depan… nak kembali ke dunia yang pernah aku ceburi. Bidang yang aku minat. Aku bukanlah merempat macam kau cakap tu!” Jawab Salim setelah mengumpul kekuatan. “Engkau tunggu dan lihat sahaja macamana aku bangkit semula dari kesusahan. Kau jangan cakap ikut sedap mulut! Aku tahu keluarga engkau kaya… Tapi jangan pandangan hina pada aku. Satu hari nanti mungkin engkau perlukan pertolongan aku!”
Andy Farhan tertawa sinis. Dia tidak percaya pada kata-kata Salim.
“Kat kau tinggal sekarang? Bawah jambatan?” Tanya Andy Farhan bertalu-talu, seperti seorang inspektor menyoal pesalah.
“Kat….” Salim teragak-agak hendak menjawab, mengeluh kemudian bertanya kembali; “Mengapa kau nak tahu? Kau takut? Aku akan dapat mengatasi kau kalau aku nak…. Tapi aku masih nak kita berkawan. Aku tawarkan persahabatan sekali lagi kepada kau.”
“Kawan?” Bibir Andy Farhan tercebik lagi sudah beberapa kali Salim menawarkan persahabatan. Dia bagaikan sudah serik hendak berkawan dengan sesiapa. Mana ada kawan yang baik dan jujur? Hatinya tidak puas bertanya. Suatu masa engkau kuanggap kawan baik, tetapi engkau mengkhianati aku! Mana mungkin dia dapat menanam benih kepercayaan lagi di hatinya, menerima lelaki itu sebagai kawan.
Jus tembikai susu yang sedang diteguk, terasa hilang kemanisannya. Apakah tekaknya sudah tidak dapat lagi menilai keenakan minuman yang pernah jadi kegemaran. Atau kerana minuman itu akan buat dia rasa terhutang kepada Salim.
“Kawan apa? Kawan takkan khianat pada kawannya.” Sindir Andy Farhan sengit.
Dia ingin menyambung soalan dengan bertanya apakah tujuan Salim pergi ke rumah Sheila sebentar tadi. Tetapi soalan itu tergantung di udara. Dia hanya merenung bibir Salim yang kelihatan bergerak-gerak. Salim tertawa lembut, menangkap tiada keikhlasan dalam setiap patah kata lelaki di hadapannya itu.
“OK.” Salim akhirnya mahu mengakui sesuatu.
“Masa mula-mula aku keluar dari penjara dulu, aku duduk kat Rumpun Makmur. Azizul tinggalkan tanahnya untuk aku usahakan. Dia serahkan sebahagian besar hartanya pada aku sebelum dia terhukum ditali gantung. Baru semalam aku pindah ke rumah baru di Country Court. Minggu depan kereta baru aku keluar.”
Pengakuan itu benar-benar mengejutkan Andy Farhan. Dia hampir-hampir terbangun dari kerusinya. Namun dia pura-pura tenang, walaupun jantungnya berdenyut-denyut dengan lebih kuat daripada sebelumnya. Bagaikan dia telah berlari berbatu-batu dengan penuh kekuatan dan stamina, kini dia lelah dan berpeluh dingin.
Tanpa menghiraukan muka Andy Farhan yang berubah tegang, Salim meneruskan ceritanya; “ Tanah Azizul tu aku usahakan, bangunkan ladang tembikai. Sekarang ni, aku dah senang… Aku akn kembali bangunkan firma guaman aku sendiri sebulan dua lagi.” Salim meneguk minuman untuk membasahkan tekaknya yang kekeringan.
“Aku juga dah ada anak lelaki. Aku berkahwin dengan Azizah, tapi dia sudah meninggal dunia. Kematiannya telah menginsafkan aku. Aku ingin jadi orang yang baik, kalau boleh…” Wajah Salim menjadi mendung sejenak, memerhati ke sekeliling ruang yang sibuk itu sebelum matanya jatuh kembali ke arah gelas berisi fresh orange yang baru luak sedikit.
“Demi tuhan…” Sambungnya lagi dengan kepala terangguk. “Aku ingin berubah jadi manusia yang baik demi anakku!”
“Kau kenal siapa Jasman? Kau tahu dia dah kahwin dengan Sheila minggu lepas?” Andy Farhan terus mengemukakan soalan, tidak sedikit pun tersentuh hati mendengar cerita-cerita Salim.
Salim memandang Andy Farhan, dengan pandangan tenang. Sebenarnya dia agak terkejut mendengar berita yang baru disampaikan. Sejenak dia terdiam tanpa suara. Hatinya terasa kosong, seperti lorong yang panjang, hitam dan tiada penghujung.
“Apa perasaan kau dengar berita tu?” Duga Andy Farhan.
“Tadi, aku nampak kau pergi ke rumahnya… Kau kata kau dah lupakan dia, menerimanya sebagai takdir. Kau pembohong besar Salim! Kau pun macam aku juga, tergila-gilakan perempuan yang dah jadi hak orang lain!”
Andy Farhan bangun dari kerusi, melepaskan tawanya melihat Salim yang terdiam tidak menjawab.
“Aku setuju bila kau kata kita rugi… sama-sama kalah dan terkecewa. Barangkali kita boleh jadi kawan semula. Mungkin. Semuanya bergantung pada masa dan keadaan.”
Andy Farhan berjalan terus menuju ke pintu bersama tongkat yang setia di tangan tidak menoleh lagi ke belakang. Hatinya benar-benar puas. Walaupun dia masih tidak boleh berjalan seperti biasa, tetapi ada kekuatan yang luar biasa yang menguasai dirinya kini. Dia mendongak ke langit yang gelap pekat. Setiap yang bermula pasti berakhir, bisiknya. Apakah ini akhir sebuah cinta?


Bab 3

SHEILA berbaring sambil membendung airmata. Seluruh tubuhnya masih terasa sakit yang amat sangat bagaikan dicucuk dengan jarum-jarum yang tajam walaupun beberapa jam sudah berlalu. Dadanya sebak, nafasnya sesak. Airmata mengalir perlahan-lahan membasahi bantal. Melalui lampu tidur yang bercahaya malap, dia mengangkat tangannya perlahan-lahan Lengannya yang terdedah terlihat bekas pukulan. Dia meraba-raba lehernya yang terasa sakit akibat gigitan yang kuat. Dia terus menangis lagi. Dadanya kian sesak, sukar untuk menghela nafas. Hatinya turut dibungai rasa bimbang tangisan yang tidak dapat ditahan akan membangunkan Jasman yang sudah pun berdengkur.
Dari cahaya lampu tidur yang suram itu dia melihat suaminya yang kacak terbaring lena. Nyenyak sekali dia. Tidur dengan penuh kepuasan. Dengkurannya terdengar agak kuat. Melihat wajah itu yang begitu tenang dalam tidur yang nyenyak, tidak pernah terlintas di fikiran Sheila kesakitan yang dialami akibat perbuatan lelaki itu.
“Oh Tuhan! Kenapa harus begini?” Dia merintih perlahan. “Apakah ini semua balasan dosaku? Mengapa dia buat aku macam ni?”
Sheila terus merintih dan menangis. Dia benar-benar tidak pernah menduga. Dia fikir, dia benar-benar kenal siapa suaminya. Namun sebenarnya, apa yang dia lihat dan kenali selama ini hanya kulit. Dan malam ini dia baru tahu segala-galanya. Dia cuba mengagahkan diri bangun menuju ke bilik air.
Masih terakam di fikiran, beberapa jam lalu sentuhan pertama bibir Jasman di bibirnya, mengingatkan dia pada detik-detik ketika bersama Andy Farhan. Kemesraan, layanan dan tingkah laku Andy Farhan mengusik ingatan dan mengganggu fikirannya. Tanpa sedar dia tersebut nama lelaki itu. Jasman terperanjat sedikit, tetapi pura-pura tidak mendengarkannya.
“I want you tonight.” Kata Jasman sedikit kasar, sambil mencium rakus di bibir dan leher Sheila.
“Tunggu dulu…” Pinta Sheila lembut. “Tak nak angkat wuduk, solat dulu?”
“Agh! You ni asyik solat je…” Rungut Jasman.
“OK. Kalau macam tu sekurang-kurangnya baca doa…”
“Doa apa pulak?” Sambutnya keras. “Sekarang pusing.” Kata Jasman sambil cuba membalikkan tubuh Sheila supaya membelakanginya. Sheila enggan memusing badan, sebaliknya mendongak memandang wajah Jasman. Dia kehairanan dan ragu-ragu. Tubuhnya mulai menggigil kedinginan.
Jasman mulai rasa marah apabila Sheila enggan menuruti kata-kata. Tiba-tiba tangannya dihayun keras ke bibir Sheila. Sheila terkejut. Dengan kasar dia bersuara; “Pusinglah! Bodoh!!”
“Tak naklah! Kenapa ni? Tiba-tiba aje you pukul I?”
“You degil. I suami you. You kena patuh pada I! Kalau dalam bab duit you membelakangi I, dalam soal ini you tak boleh engkar, faham?” Herdik Jasman.
Jasman memukulnya lagi dengan lebih keras tanpa sempat dia menjawab. Selama ini dia akan mempertahankan diri dari dilayan secara tidak adil terutamanya bila berhadapan dengan kaum lelaki. Tapi kali ini dia kalah. Terkejut dengan sikap agresif Jasman. Lelaki itu menghayun tangannya ke udara sekali lagi. Kali ini pipinya pula yang jadi sasaran, kiri dan kanan. Sheila tertunduk. Airmatanya mulai mengalir perlahan.
“Tak pernah buat apa-apa dengan Farhan sebelum ni? Ni pertama kali bagi you?” Tanya Jasman dengan kasar. “Jadi you memang tak ada pengalaman? I memang hebat di atas ranjang. Nanti you akan rasakan sendiri.”
Sheila tersinggung. Mengapa Jasman berubah hati begitu cepat. Dia merasakan sejak berada di rumah besar ini, Jasman telah menjadi orang asing padanya.
Mereka menempuh satu perjalanan panjang menghala ke utara tanah air melalui lebuh raya yang terbentang luas. Mereka kini berada di negeri Perak. Sheila beberapa kali bertanya ke manakah tujuan mereka.
“It’s a surprise!” Kata Jasman sambil tersenyum dan mengenyitkan mata. Lalu Sheila tidak bertanya lagi. Akhirnya kereta membelok memasuki satu kawasan yang amat asing baginya. Kawasan yang dilalui dipenuhi dengan kebun getah yang luas seolah-olah tiada penghujung. Setengah jam kemudian kereta memasuki satu lagi jalan sempit.
Sheila panik melihat keadaan sekeliling.
Jasman tersenyum menjeling Sheila yang mulai resah.
“Tak percaya pada I?” Tanya Jasman.
“Kita di mana ni? Ke mana you nak bawa I?”
“Sekejap lagi you akan tahu…”
Jasman memperlahankan kereta. Di hadapan mereka kini terlihat sebuah pintu pagar yang besar. Sheila kehairanan. Di tengah-tengah kebun getah yang terpencil itu terdapat sebuah rumah banglo dua tingkat. Rumah itu kelihatan sepi. Sheila memerhati kawasan rumah itu dengan dahi yang berkerut.
“Rumah siapa ni?” Tanya Sheila tidak dapat menghapuskan rasa ragu dan risau yang mengisi hatinya. Dia memandang ke arah pagar, sambil membuka cermin mata hitamnya. Di tepi pagar terdapat papan tanda bertulis; ESTET BUKIT KUNDANG.
“Rumah I. I beli rumah ni dengan menggadai semua harta yang I ada. I tuan punya kepada ladang getah yang you tengok di luar tadi…” Jawab Jasman dengan penuh yakin. Walau pun dia masih melihat kerutan di dahi Sheila, tetapi dia tidak peduli. Dia tidak kisah samada Sheila mahu percaya atau pun tidak. Tapi kenyataannya memang ladang dan rumah itu hak miliknya yang mutlak. Tiada sesiapa yang dapat menentang dan menghalangnya dari mengakui haknya itu.
Hanya orang tertentu sahaja yang tahu hubungannya dengan pemilik ladang itu. Tidak ramai yang tahu dia mewarisinya dengan jalan yang mudah… Dia seorang lelaki muda yang hebat, berkarisma dan mempunyai aura yang tiada pada lelaki lain.
Jasman membunyikan hon. Tidak lama kemudian seorang lelaki separuh usia keluar dari pondok yang terdapat di tepi pagar itu. Dia tergesa-gesa membukakan pintu pagar kemudian menutupnya semula setelah kereta Jasman melepasi tempat itu.
“Emak you ada di sini?”
Jasman menggeleng. “Just two of us.”
“You kata…”
“Pedulikan apa yang I kata sebelum ini.” Kata Jasman. Ini adalah plan B sebab kau menyakitkan hati aku! Kau melepaskan saham syarikat Rimbajati yang sepatutnya menjadi milik kita bersama. Kau mahu berkorban demi Andy Farhan. Aku benci lelaki tu! Aku benci seluruh keluarga mereka.
Jasman membuka pintu kereta. Seorang lelaki yang lain datang dari dalam rumah tergesa-gesa menyambut Jasman. Jasman mengarahkan lelaki itu mengeluarkan beg pakaian dari dalam boot kereta dan membawanya masuk ke dalam rumah.
Sheila memerhati sekeliling. Kawasan itu cantik dan sunyi. Rumput menghijau mengelilingi kawasan rumah. Tiada pemandangan lain. Selebihnya hanya kepungan pokok-pokok getah yang luas.
Sebaik masuk, Sheila kagum melihat hiasan dalaman rumah itu. Ruang tamu terjaga dengan rapi sekali. Perabot antik dari China menghiasi sebahagian besar dari ruang tamu rumah itu. Malah di dinding pun terdapat lukisan dan tulisan berunsurkan seni dan tradisi masyarakat tionghua.
Dari arah dapur terdengar bunyi pinggan mangkuk berlaga. Dia juga terhidu bau yang enak. Makanan tengahari sudah pun tersaji, menunggu kedatangan mereka berdua. Jasman masuk ke dapur. Terdengar suaranya memberi arahan kepada pembantu rumah. Suaranya keras dan tegas. Tiada lagi Jasman yang lembut, baik hati dan romantis.
“Please. Be gentle.” Dia teringat rayuannya pada Jasman yang disambut hanya dengan tawa keras.
Tanpa menghiraukan rayuannya, Jasman sebaliknya menjadi lebih ganas. Dia bukannya bersimpati bahkan menjadi seronok melihat airmata yang mengalir. Rayuan dan rintihan memohon belas dibalas dengan perbuatan dan kata-kata yang menyakitkan hati.
“I tak percaya you masih dara. Tentu you dan Farhan dah pernah buat…”
“Jasman! You hina I. I bukan perempuan murah.”
“Ya! You perempuan murah! Yang tak ada bezanya dengan pelacur di luar sana! Jangan banyak cakap! Nanti I kerjakan you cukup-cukup sampai you minta ampun. Ikut sajalah apa yang I suruh!” Tengking Jasman lalu menolak Sheila ke atas tilam. Tubuh wanita itu ditindihnya tanpa belas. Sheila meronta-ronta, tidak ingin diperlakukan dengan begitu kasar. Rontaannya buat Jasman bertindak lebih ganas. Dia bagaikan terlupa apa yang sedang dilakukannya. Menyakiti wanita yang dicintainya. Tapi benarkah cinta itu wujud, atau hanya bersalut dendam tidak berkesudahan?
Rayuan Sheila dipandang sepi. Rintihan dan airmata yang mengalir bagaikan memberi satu kepuasan kepadanya. Dia seronok mendengar jeritan kesakitan yang terbit dari mulut Sheila. Dia bahagia. Dia ketawa puas bagaikan berdiri di puncak dunia.
Jasman duduk di sofa hujung katil setelah permainannya yang dahsyat dan menyakitkan Sheila selesai. Dia merokok dengan aman sambil tersenyum memerhati tubuh Sheila yang terkapar di atas katil. Sheila menyeka airmatanya yang masih mengalir. Tiba-tiba dia bangun, mendekati Sheila yang terbaring. Disekanya airmata Sheila seolah-olah bukan dia penyebab kepada kesakitan yang dialami isterinya itu.
“Macamana you rasa? Sakit?”
Sheila tidak menjawab. Dia memejamkan matanya tidak ingin memandang wajah Jasman. Jasman menggosok-gosok lengannya.
“Sorry, sayang.” Katanya, mencium lembut dahi Sheila seolah-olah dia rasa menyesal. Tetapi sebenarnya tiada rasa kesal di dalam hatinya. Dia cuma kesal apabila teringat share yang telah berpindah tangan. Rupa-rupanya dia berkahwin dengan seorang perempuan yang bodoh!
Sheila menolak tangan Jasman, tidak ingin menerima sentuhan simpati daripada lelaki itu. Sheila terkejut dan tidak sangka langsung dia akan dikasari begitu hebat. Kepedihan di jiwanya lebih besar daripada kesakitan di tubuh. Sheila cuba untuk bangun biarpun terasa begitu payah sekali. Dia membalut tubuhnya dengan selimut, sambil membetulkan rambut yang kusut.
“Sheila, I love you.” Kata Jasman sambil memeluk tubuhnya yang berbungkus dengan selimut. Pelukan itu begitu erat sekali.
Sheila tidak menjawab tapi dia berusaha untuk melepaskan dirinya daripada pelukan Jasman.
“I yakin you akan biasa nanti. I janji akan lebih lembut lain kali.”
Sheila ingin menyatakan bahawa inilah kali pertama dan terakhir. Dia mahu pergi jauh dari Jasman. Bertimbun-timbun rasa kesal yang menghuni hatinya saat ini. Dia memang telah tersalah memilih. Tersilap membuat perancangan. Tetapi dia tidak dapat berundur semula. Dia tidak mungkin dapat memutar sejarah. Alangkah baiknya jika perkahwinan ini terjadi. Sheila kembali menangis.
Dia tidak dapat menerima ini semua dengan hati terbuka. Dia perlu mencari jalan untuk melepaskan diri. Tapi bagaimana? Dalam perkahwinan ini, kuasa di atas suami. Walau bagaimana pun, dia perlu membuktikan bahawa dia telah disakiti. Sheila menyentuh lebam di sudut bibir dan pipinya, akibat pukulan ganas Jasman.
Jasman terus berusaha mendekatinya lagi. “I am sorry. I tak sedar tadi. I dikuasai emosi. I tak sengaja pukul you, Sheila. Tadi you sebut nama Farhan…”
“You gila. You ingat I ni apa?”
“I tahu you isteri I Sheila. Maaf, tadi I cakap you serupa dengan pelacur. Tak sayang…You istimewa, perempuan yang I cintai. I am sorry, darling. Memang I kasar tadi. I janji takkan buat macam tu lagi tapi you mesti janji untuk melupakan Farhan.”
“I dah lupakan dia, Jas.”
“I tak percaya!” Jasman menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia bangun berjalan mundar mandir di ruang itu. Kemudian dia berhenti, mendekati Sheila. Rokok masih terselit di antara dua jari-jarinya.
“You masih cintakan dia. You masih tergila-gilakan dia walaupun dia dah cacat. Dia tak boleh berjalan dengan betul. Dia terpaksa menggunakan tongkat. You masih nak pada jantan macam tu?”
“Ya, betul! I masih cintakan dia. Perkahwinan kita satu kesilapan…” Ungkap Sheila tanpa berselindung lagi. “I nak bercerai. Ceraikan I. I nak pergi dari sini.”
“You dah tak siuman? Baru seminggu kita kahwin you nak bercerai? Jangan ulang lagi sebut tentang perceraian kerana itu adalah perkara paling mustahil akan berlaku. You faham tak? Selama-lamanya I takkan lepaskan you.” Tengking Jasman sambil mencucuh api rokoknya ke bahu Sheila yang terdedah.
Sheila menjerit kesakitan sehingga suaranya hilang.
Kini dia sedang berdiri di hadapan cermin di dalam bilik air, meneliti wajah. Pipinya bengkak dan lehernya dipenuhi lebam. Pangkal payudara ada kesan gigitan yang juga telah menjadi birat. Otaknya ligat berfikir. Dia boleh menggunakan bukti tubuhnya yang bengkak dan lebam itu untuk menuntut perceraian. Kesan cucuhan api rokok di kulitnya masih menerbitkan rasa sakit tidak terhingga. Kulit bahunya melepuh.
Langkah pertama aku mesti keluar dari rumah ni… Fikir Sheila sambil bergerak keluar dari bilik mandi lalu mendekati almari. Daun pintu almari dibuka lantas dia mulai mengemas. Tiba-tiba Jasman terjaga. Teguran Jasman mengejutkan Sheila yang sedang mengemas pakaiannya; “You nak pergi mana malam-malam buta macam ni?”
Sheila tidak menjawab, menoleh pun tidak pada suaminya yang tertanya-tanya kehairanan.
Jasman bangkit dan terus duduk di hadapan Sheila. Baju-baju Sheila diambil dan disumbatnya semula ke dalam almari. “You tak boleh ke mana-mana. Bukan malam ni, esok ataupun lusa.”
“Jas… Please.” Rayunya apabila terasa tangan Jasman terlalu kuat mencengkam lengannya yang tidak beralas. “Tolong lepaskan lengan I. Sakit! Badan I dah rata lebam-lebam.”
“You nak ke mana? I tahu apa yang ada dalam kepala you. You nak buat report kan? You nak gunakan bukti lebam-lebam di badan you ni untuk tuntut cerai kan? Supaya you boleh balik pada Farhan kan? I can read your mind, Sheila!” Kata Jasman, mulai meninggikan suara semula.
“ You nak kena pukul lagi ke? You ni tak tahu serik! Kalau I pukul you lagi macam tadi dan cucuh you dengan api rokok, you jangan salahkan I. Ni semua salah you sendiri tahu tak!!” Jasman mengugut.
Sheila jadi lemah. Tidak berdaya hendak melawan langsung apabila tangan gagah Jasman melayang ke pipinya sekali lagi. Dia terus terjelepuk ke lantai. Matanya separuh terbuka memandang lemah pada Jasman mengharap simpati. Pipinya terasa panas berbahang akibat tamparan kuat lelaki itu.
Jasman memandang tangannya sendiri. Oh! Tuhan… Aku tak sengaja memukulnya sekali lagi!
“Sheila… Sheila! Sorry sayang! Sorry…” Tapi Sheila sudah tidak mendengar apa-apa. Pandangannya jadi hitam pekat.

SHEILA terjaga bila terasa bahang panas di dalam bilik itu menggigit kulit. Cahaya terasa terlalu terang, datangnya daripada tingkap yang banyak mengelilingi kamar itu. Langsir sheer hijau bersulam labuci, beralun perlahan-lahan, menerima angin yang bertiup dari luar. Dah pukul berapa ni? Keluh Sheila sambil bangun perlahan-lahan. Dia meraba-raba kepalanya yang terasa berat.
Rumah dua tingkat milik Jasman sunyi sepi. Dia tidak mendengar sebarang suara dari luar. Dia tidak tahu ke mana perginya semua orang. Semalam dia melihat ada sekurang-kurangnya empat orang di dalam rumah itu yang menjalankan tugas masing-masing. Petugas di situ semuanya lelaki. Mereka langsung tidak bercakap antara satu sama lain.
Di tingkat atas terdapat enam bilik. Salah satu bilik itu adalah perpustakaan. Jasman selalu masuk ke bilik itu berada di dalamnya selama berjam-jam. Sementara lima bilik lagi adalah bilik tidur. Namun Jasman melarang sama sekali Sheila mendekati bilik yang terletak paling hujung rumah itu tanpa memberitahu sebab-sebabnya.
Menurut Jasman, dia mempunyai seorang abang. Salah satu bilik, selalu digunakan oleh abangnya apabila dia datang ke situ. Jadi dia juga menghalang Sheila mendekati bilik yang terletak bertentangan dengan bilik tidur utama rumah itu.
“Mungkin you kenal abang I…” Duga Jasman sambil memandang tepat ke wajah Sheila. “Walaupun dia tidak sekacak I, tapi dia orang yang terkenal. Dia seorang…” Jasman terdiam seolah-olah cuba mengingati sesuatu.
“Siapa namanya?” Tanya Sheila.
Lelaki itu tidak menjawab, hanya meneruska menungan kemudian sengaja mengubah haluan perbualan. Dia ingin bertanya lebih banyak kerana sedar terlalu sedikit peribadi Jasman diketahuinya. Satu lagi misteri yang belum terungkai! Siapa lelaki ini sebenarnya? Dia rasa tawar hati untuk meneruskan hidup dengan Jasman setelah melalui peristiwa tidak terduga malam semalam.
Dia macam orang tak siuman…keluh Sheila sendiri. Menakutkan! Aku mesti pergi dari tempat ni. Aku mesti pulang. Tapi ke manakah aku akan pulang? Aku tiada tempat untuk pulang… Dia bagaikan baru menyedari sesuatu. Dia tidak punya sesiapa lagi. Dia tidak sanggup untuk berdepan dengan Andy Farhan. Dia tak sanggup untuk mengakui kesilapannya.
Airmata Sheila gugur lagi. Dia tidak boleh berbuat apa-apa selain daripada menerima sahaja nasib dan suratan. Agh! Takkanlah aku harus menyerah begitu saja? Ke manakah perginya kekuatan diri? Ke mana hilangnya semangat untuk berjuang? Semuanya sudah hilang.
Jangan jadi lemah Sheila… pujuk hatinya. Jangan biarkan dia memperlakukan kau seperti binatang tidak berperasaan. Sedangkan binatang peliharaan pun tahu hendak dibelai dan dimanja inikan pula kau manusia biasa… Kau harus lari, tuntut keadilan buat dirimu sendiri. Sheila bingkas, bergerak ke bilik air. Dia membersihkan diri. Ketika berdiri di hadapan cermin, dilihatnya bengkak di pipi telah pun surut. Tetapi lebam masih ada. Matanya bengkak dan merah akibat banyak menangis.
Dia bergegas memakai baju. Hanya menyarung t.shirt dan seluar jean. Dia berjalan menghala ke pintu bilik, ingin membukanya. Sayang sekali pintu itu dikunci. Dia menggoyang-goyangkannya sekuat hati, namun pintu itu terlalu kukuh. Sheila panik. Dia memukul daun pintu sekuat hati hingga tangannya rasa sakit.
Dia berlari ke tingkap, menjerit memanggil-manggil nama Jasman. Tetapi tiada sahutan daripada sesiapa. Di luar cuaca agak panas. Tiada sesiapa kelihatan di halaman yang luas, berumput hijau. Dia memerhati ke bawah. Tingkap itu tinggi. Terlalu tinggi sekiranya dia nekad untuk terjun. Dia terduduk di atas lantai.
“Jasman!!!!” Jeritnya sekuat hati.

JASMAN masuk ke kamar itu, pada waktu makan tengahari. Sheila yang sedang tidur terjaga apabila mendengar gerakan di dalam bilik itu. Dia mendapati Jasman sedang meletakkan dulang berisi nasi dan lauk di atas meja. Ada sejug air sejuk yang baru dibawa masuk.
“Bangunlah. Makan tengahari dah ready. Pagi tadi you tak makan apa-apa kan?”
“You ke mana sepanjang pagi tadi? Mengapa you kurung I dalam bilik ni?”
Jasman pura-pura tidak mendengar pertanyaan Sheila. “Makanlah. Nanti perut tu masuk angin. I tak mahu you jatuh sakit, sebab I sayangkan you.”
“Jasman! Stop it! Mengapa you pura-pura tak dengar apa yang I cakap tadi.”
“I keluar tadi, ada kerja sikit di ladang. Tengoklah ni ada tomyam untuk you. I tahu you suka tomyam udang.” Kata Jasman sambil menarik tangan Sheila agar pergi ke meja untuk menikmati makanan tengaharinya.
Hati Sheila tidak terpujuk langsung. Dia tidak mahu diperlakukan seperti burung yang terkurung di dalam sangkar emas. Dia perlu bebas, menyedut udara segar bukannya terkurung di dalam bilik ini sepanjang hari.
“I tak mahu makanlah! I nak keluar dari sini!”
“Sheila… Jangan degil.” Jasman memberi amaran.
Sheila jadi takut mendengar ugutan Jasman. Segala yang berlaku malam tadi masih belum dilupakannya. Lebih-lebih lagi bila terpandangkan sisa-sisa darah kering mencemar cadar yang berwarna putih bersih.
“Makanlah! I mahu you sihat dan bertenaga. Malam nanti…” Jasman tidak menghabiskan kata-kata. Dia mengenyitkan mata, kemudian berjalan ke pintu. Daun pintu ditutup dan dikuncinya dari luar. Sheila memerhati sahaja dengan perasaan yang bercampur baur. Takut, kecewa, sedih…
Dia cuba untuk memamah makanan. Tubuhnya menggeletar kelaparan. Pagi tadi dia tidak minum ataupun makan apa-apa. Kini jam sudah pukul dua petang, barulah makanan masuk ke perut. Tetapi dia tidak berselera langsung. Dia memaksa untuk menelan makanan supaya tubuhnya yang lesu kembali bertenaga.
Setiap malam Jasman datang, mengulangi apa yang telah dilakukannya dahulu. Tanpa perasaan dan tanpa belas. Dia terpaksa menerimanya, membiasakan diri dengan keadaan baru itu. Akhirnya semangatnya kian pudar. Dan perkara terakhir yang difikirkannya hanyalah kematian.
Jasman hanya berhenti menyeksanya apabila dia memberitahu bahawa dia sedang mengandung. Jasman gembira menerima berita itu. Sebagai balasannya dia membenarkan Sheila keluar dari bilik setelah sebulan lebih dikurung di dalam kamar tidur. Sheila dibenarkan bergerak-gerak di tingkat atas rumah itu, termasuk mengunjung perpustakaan. Namun di sebalik semua kebebasan itu, dia tidak dibenarkan sama sekali mendekati bilik tidur paling hujung rumah itu. Bilik itu merupakan satu larangan yang tidak boleh diengkari.
Sheila tahu ada rahsia yang tersimpan di situ. Setiap hari keinginannya begitu besar untuk mengetahui apakah yang ada di dalam bilik itu. Namun berkas kunci rumah dan bilik-bilik yang ada sentiasa berada di dalam genggaman Jasman.
Sheila juga dilarang sama sekali mendekati dan bercakap dengan pembantu rumah. Mereka pun langsung tidak pernah datang kepadanya. Mereka bagaikan robot yang hanya menuruti segala perintah Jasman. Apabila malam menjelang empat orang pembantu rumah itu pulang ke rumah masing-masing dengan menaiki motorsikal. Sheila mengagak sendiri memang ada perkampungan tidak jauh dari estet itu. Malam jadi tambah sunyi kerana di rumah itu hanya ada dia dan Jasman. Penjaga keselamatan yang bertugas di pondok di tepi pagar rumah terlalu jauh untuk menjadi tempat memohon pertolongan.
Tidak mungkin dia dapat keluar dari rumah itu pada waktu malam. Melainkan jika dia berani masuk ke kamar sebelah di mana Jasman tidur, namun bilik itu tidak pernah dibiarkan tidak berkunci. Jasman tidak lagi tidur sebilik dengannya. Dia harus punya keberanian untuk mendapatkan berkas kunci yang sentiasa dibawa Jasman ke mana-mana.
Sheila sedar, untuk melarikan diri rumah itu hampir-hampir mustahil. Walaupun Jasman tidak lagi tidur bersamanya di dalam bilik itu, setiap malam Jasman memaksanya masuk tidur awal lalu mengunci pintu bilik dari luar. Di sebelah malam jika dia ada di rumah, barulah dia dibenarkan turun sebentar ke tingkat bawah untuk menonton televisyen. Itu pun terhad tidak melebihi pukul sepuluh malam. Dia bagaikan hidup di dalam penjara ciptaan Jasman.
Di rumah itu tiada telefon. Jika ada telefon bimbit sekali pun tetapi tiada coverage. Dia memang tidak dapat berhubung dengan sesiapa. Orang lain juga tidak dapat menghubunginya.
“Jangan you fikir you dapat melarikan diri dari sini. Walaupun you dah bebas dalam rumah ni, tapi pintu pagar depan sentiasa berkunci. You tak boleh lari, Sheila. Lebih-lebih lagi balik pada Farhan. Dulu you juga yang nak pergi tinggalkan semuanya?” Kata Jasman sambil tergelak lagi.
“Mengapa you lepaskan segala-galanya dengan mudah? You memang bodoh… Pakailah otak sikit. Kalau you masih ada sher tu, dah tentu you takkan hidup macam sekarang. Pasti you hidup lebih bahagia dan gembira. Dah tentu I akan merestui you bekerjasama dengan Farhan.” Kata Jasman sambil tersenyum.
“You boleh bekerjasama dengannya, boleh mencintai dia tapi tak boleh bersama dengannya lagi. You akan tengok sendiri kuasa cinta you berdua. Kalau you tak sanggup menghadapinya lagi, you boleh membuat pilihan.” Kata Jasman dengan serius.
“Dua pilihan. Bunuh diri atau berlaku curang pada I.”
“You gila…” Tuduh Sheila.
“I love you. I mahu you ingat selama-lamanya hakikat ini. You milik I seorang. Tak ada sesiapa pun yang boleh melihat wajah you yang cantik. I lebih rela mengurung you di sini daripada kecantikan you menjadi santapan mata lelaki lain.”
“You dah tak siuman!!!” Jerit Sheila.
“I masih waras sayang. Jauh lebih waras dan sihat daripada Farhan.” Jasman tertawa lepas. Aku akan buat kau derita sehingga kau meminta kematian! Tapi aku tidak akan melaksanakan permintaan kau tu, sehinggalah hati aku puas.
“Pergi dari sini! Tinggalkan I sendiri!” Kata Sheila perlahan, sambil memaling wajahnya.
“OK. I akan tinggalkan you, untuk you mengenang semua saat-saat manis you bersama Farhan.” Balas Jasman sambil bergerak ke pintu bilik.
“Malam ni I nak keluar ke KL. You akan keseorangan, kedinginan. Aduh! Kesian. Tiada sesiapa yang dapat menolong you. Jauh sekali Andy Farhan!” Kata Jasman sambil tergelak besar. Sheila memekup telinganya dengan kedua-dua tangannya. Tidak ingin dia mendengar gelak tawa Jasman. Jasman menutup pintu bilik tidur Sheila lalu menguncinya dari luar. Dia masih lagi tertawa.
Jasman berjalan laju turun ke tingkat bawah, membuka pintu utama lalu menghala ke kereta. Kereta itu dipandu keluar dari kawasan rumah. Dia terus memandu laju menghala ke Kuala Lumpur. Malam itu dia tidak berhajat untuk pulang ke rumah estet itu…

DIA menghempas gagang. Entah berapa kali dia cuba menghubungi Sheila sepanjang pagi itu. Tetapi entah ke mana wanita itu pergi. Dia masih belum dapat menerima hakikat bahawa Sheila sudah pun dimiliki. Dia harus melakukan sesuatu! Mesti! Sudah separuh hari itu, dia berada di pejabat, menghadapi meja yang kosong. Bilik yang sudah lama ditinggalkan, kini sudah kembali menerima kedatangannya. Pagi itu dia hadir ke pejabat seperti biasa, walaupun belum bersedia untuk memulakan tugas.
Kepalanya masih kusut dan berserabut. Sheila! Di manakah kau sekarang? Di mana? Bisik hatinya. Untuk apa lagi dia harus menghubungi wanita yang sudah menjadi milik orang lain? Untuk apa? Pastilah kini Sheila berada di dalam dakapan lelaki jahanam itu! Bentak hatinya sambil menggenggam penumbuk. Rasa marahnya menggunung tinggi. Dia mencapai telefon dan membalingnya jauh ke dinding. Telefon yang berkecai tidak dihiraukan. Dia bersandar pula ke kusyen, memusingnya hingga lengkap 180 darjah. Mula-mula ia berputar perlahan, kemudian sedikit laju. Akhirnya dia pening sendiri. Dia mengangkat kedua-dua kaki meletakkannya pula ke atas meja. Apa yang harus dia lakukan sekarang?
Dia mesti keluar dari pejabat itu. Dia belum boleh memulakan sebarang kerja dengan kepala berserabut memikirkan gadis yang sudah terlepas dari genggamannya. Semuanya angkara Datuk Mustafa dan bekas emak tirinya, Rosnah. Dia mesti melakukan sesuatu. Datuk Mustafa sudah pasti dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana berani menculik dan mengurungnya seperti binatang. Dan Rosnah jua akan menerima hukuman yang sama! Kedua-dua manusia itu sudah tertewas. Tiada sesiapa pun yang dapat membantu mereka lagi. Mereka menerima padah perbuatan kejam mereka terhadap dirinya.
Dia bangun menuju ke pintu yang bertutup rapat. Langkahnya perlahan kerana kesihatannya belum pulih sepenuhnya. Tetapi semangat yang menggunung membuat rasa ingin meneruskan hidup ini lebih kuat, mendorong dia untuk bertindak membalas dendam. Kini masanya sudah tiba! Bukan selama-lamanya dia harus menjadi mangsa. Jika selama ini dia diibarat seekor anak kucing kecil yang ketakutan, dikejar hingga ke hujung dahan. Apabila maut sudah berada di hadapannya, biar sekecil mana pun kucing itu, ia akan berpaling menentang musuhnya, walau dengan apa cara sekalipun.
Dia berhenti sebentar di meja setiausahanya, Marini.
“Marini, awak tolong kemaskan bilik saya…” Kata Andy Farhan. “Telefon di bilik saya tu mungkin dah pecah. Gantikan dengan yang lain kalau dah tak berfungsi lagi. Secepat mungkin!”
“Baik, encik…” Jawab Marini pantas.
“Saya nak keluar. Mungkin saya tak masuk semula ke pejabat di sebelah petang. Jika ada sesiapa bertanya terutama sekali umi saya, katakan saya ada urusan penting di KL. Awak faham?”
Setiausahanya menggangguk sahaja.
Andy Farhan terus berlalu pergi berteman tongkat, tidak menoleh lagi ke mana-mana.

RESTORAN V.V Rehman tidak begitu penuh. Masih banyak meja yang kosong. Mata lelaki itu nyalang memerhati ke dalam restoran lantas memilih meja yang tersembunyi. Meja yang diletakkan di dalam bilik kecil berpintu gantung. Hanya dia dan temannya sahaja yang ada di dalam bilik kecil itu. Pelayan baru sebentar tadi keluar setelah menghantar dua gelas teh tarik, sepiring rojak dan roti canai. Lelaki itu tidak berselera hendak menjamah roti canai yang masih panas. Kuah dhal bercampur sambal nampak menyelerakan, tetapi dia hanya memandang sahaja. Sementara rakannya galak membaham rojak.
“Kau tak makan?”
“Tak ada seleralah… Kau makanlah Mid. Aku tengok kau pantang jumpa apa pun semua kau tebas!” Balas Bahtiar perlahan sambil meneguk teh tarik.
Hamid diam mendengar sindiran yang amat pedas itu. Tetapi memang perutnya selalu sahaja merasa lapar.
“Kau tahu kenapa aku nak jumpa kau hari ni? Dah lama kita tak jumpa…” Kata Bahtiar perlahan, sambil terus meneguk lagi tehnya yang masih memenuhi gelas. Hamid tidak membalas. Dia hanya menganggukkan kepalanya seperti burung belatuk.
“Aku ada kerja untuk kau.”
“Kerja? Kerja apa?” Jawab Hamid sepatah.
“Kerja ni berkait rapat dengan kepercayaan dan kesetiaan. Selepas aku berfikir sepuas-puasnya, aku rasa kau layak. Hanya kau yang aku percayai seratus peratus. Semua orang yang baik dengan aku ada maksud tertentu. Semuanya nakkan harta dan duit aku.” Sambung Bahtiar lagi sambil melepaskan keluhan yang berat.
Hamid terus makan dengan gelojoh. Dalam masa tak sampai lima minit rojak di dalam piring sudah pun masuk ke perutnya. Dia memandang ke arah roti canai yang masih belum berusik. Dia amat berharap temannya itu mempelawanya untuk menghabiskan roti tersebut. Jika tidak dipelawa, dia akan memintanya juga.
“Makanlah…” Kata Bahtiar sambil menolak piring berisi roti ke arah Hamid. Dia tahu apa yang bermain dalam kepala teman lamanya ituu. Dia tahu perut gendut lelaki itu masih belum merasa kenyang walaupun sudah disumbatkan dengan sepiring rojak.
“Kalau tak cukup, boleh order lagi…. Atau kau nak makan nasi beriani?”
Hamid terus mengangguk. Pun piring berisi roti canai ditarik juga ke arahnya. Mana boleh lepas peluang. Bukan selalu dapat belanja seperti hari itu. Kiranya hari itu adalah hari bertuah. Sepanjang pagi dia hanya duduk termenung di berenda rumah. Dia tak punya kerja tetap.
Dia mulai mencubit roti canai dengan jari-jarinya yang nampak bulat, kasar dan hitam itu. Sementara temannya memanggil pelayan India muslim datang ke meja mereka.
“Kau buat kerja apa sekarang?” Dia bertanya sambil memerhati Hamid yang sedang makan dengan rakusnya.
“Kerja biasa… kerja kampung. Kalau hari panas menoreh. Kalau tak menoreh, menebas kebun orang.”
“Kerja yang aku nak beri kau ni bukan kerja mudah. Bahaya sikit… Kau sanggup?” Tanya Bahtiar separuh menguji sambil merenung tepat ke muka Hamid. Hamid terhenti menyuap, memandang tepat ke muka lelaki di hadapannya itu. Memang sudah lama mereka saling mengenali antara satu sama lain sejak dari muda lagi. Suatu masa dulu Hamid pernah bekerja dengan Bahtiar. Perhubungan mereka rapat, bukan seperti antara bos dan pekerja tetapi sebagai kawan.
“Kerja apa?” Tanya Hamid lagi setelah pertanyaannya tadi dijawab dengan tepat oleh Bahtiar. Bahtiar memang suka berteka teki. Dadanya mulai berdebar-debar.
Lelaki itu hanya tersenyum dan menyeluk poket seluarnya lantas mengeluarkan sejumlah duit yang diikat dengan getah gelang. Mata Hamid melotot ke arah duit yang banyak itu. Dia cuba mengagak-agak. Barangkali duit itu berjumlah RM3,000.00, fikirnya. Bagi orang miskin sepertinya, jumlah itu memang banyak. Dadanya terus berombak kuat. Seleranya hendak menghabiskan roti canai di piring yang masih ada separuh, tiba-tiba terbang apabila terpandang not lima puluh ringgit yang tersusun itu.
“Aku mahu kau cari anak saudara aku, Sheila dan suaminya. Dah beberapa bulan aku tak dengar khabar mereka. Kali terakhir aku jumpa dia, masa dia datang rumah aku dua tiga bulan dulu. Lepas tu dia terus hilang.” Terang Bahtiar.
Bahtiar geram dan marah. Orang yang diupah supaya mengekori jejak Sheila dan Jasman gagal dalam menjalankan tugasnya. Dia ingin tahu ke mana Jasman membawa Sheila pergi. Benarkah mereka kembali ke Kuala Lumpur. Maklumat yang diterima daripada firma lama tempat Sheila bekerja agak mengejutkannya. Sheila tidak pernah kembali bertugas di situ. Itulah yang membuat hatinya rasa tidak selesa dan risau. Dia bimbang sesuatu berlaku pada Sheila.
Dia ragu-ragu dan bimbang. Kehadiran Jasman dalam hidup Sheila bagaikan diatur. Dia hadir di saat perasaan dan fikiran Sheila sedang goyah… Lelaki itu datang semasa Sheila di ambang perkahwinan dengan Andy Farhan. Dan perkahwinan antara anak lelakinya dengan Sheila tidak pernah terjadi!
“Mengapa tak report polis?”
“Aku sebenarnya tak mahu libatkan polis. Macamana kalau aku silap? Dia sebenarnya bukanlah betul-betul hilang.”
Dahi Hamid berkerut. Dia tidak faham.
“Setakat ni kau faham?”
Dia menggeleng.
“Begini… Aku mahu kau cari Sheila dan suaminya.”
“Itu saja?”
“Ada lagi…” Balas Bahtiar dengan sabar.
“Sekarang ni aku percaya dia menuju ke Kuala Lumpur. Tapi aku tak tahu alamat yang pasti. Ni gambar Sheila dan suaminya Jasman…” Kata Bahtiar sambil mengeluarkan dua keping gambar berukuran poskad. Satu gambar close up wajah Sheila dan satu lagi gambar Sheila dan Jasman.
Bahtiar percaya pada Hamid. Hamid bijak dalam menjejaki orang. Dia punya instinc yang amat kuat. Dulu Hamid pernah berkhidmat sebagai komando. Tapi dia bersara awal dan pulang ke kampung. Sejak itu Hamid tak pernah mempunyai kerja tetap.
Hamid mengangguk.
“Kalau dah jumpa aku nak buat apa?” Tanya Hamid seperti orang bodoh.
“Aku mahu pastikan Sheila selamat. Tapi suaminya….” Bahtiar meletakkan tangannya di leher, dan membuat aksi yang difahami oleh Hamid. Dia mahu Jasman dihapuskan dari atas muka bumi ini.
“Tapi ini bukan kerja mudah. Aku… Aku dah lama tak bunuh orang.” Kata Hamid. “Dulu aku bunuh komunis… orang jahat!”
Bahtiar sudah bangun, enggan mendengar alasan Hamid. Namun dia membiarkan sahaja duit yang terikat kemas di atas meja.
“Kalau kau setuju, ambil saja duit tu sebagai pendahuluan. Ingat… Ini hanya pendahuluan. Aku akan bayar kau lagi. Cuma… cuma satu sahaja harapan aku, kau takkan beritahu sesiapa perbincangan kita hari ni. Sekiranya kau tak setuju, aku harap kau pulangkan semula duit tu tanpa menyentuhnya walaupun satu sen!” Temannya itu terus bangkit, tidak menunggu persetujuannya. Dia berjalan laju menghala ke kaunter dan terus membayar harga minuman dan makanan mereka sebentar tadi.
Dia kembali ke kereta, langsung tidak menoleh ke belakang lagi. Hamid termenung panjang. Duit yang berlonggok di hadapannya benar-benar menguji keimanan. Hamid mendengar bunyi tapak kaki mendekati. Dengan cepat dia mengaut duit itu lantas memasukkannya ke dalam poket jaketnya. Dia bangkit, hampir-hampir berlanggar dengan pelayan restoran yang sudah berada di depan pintu gantung untuk mengutip cawan dan piring yang baru ditinggalkan oleh pelanggannya.


Bab 4

SURATKHABAR di hadapannya dilipat-lipat lalu dilempar ke lantai. Tiada berita yang yang tidak dibaca. Tiada sudut yang tidak ditatap. Semuanya tidak terlepas dari pandangannya. Tetapi mengapa dia masih tidak dapat melupakan semua yang berlaku. Dia telah mencuba pelbagai perkara untuk melupakan wanita itu tetapi tidak menjadi. Sheila… serunya. Akhirnya abang ditinggal sendiri, menghadapi hidup seakan mati.
Sheila… pasti sekarang kau sedang diulit bahagia bersama lelaki itu. Pasti kau sekarang sedang berada dalam dakapan hangatnya. Tiada lagi malam sepi dan dingin. Tiada lagi musim duka. Dan tiada lagi airmata yang menemanimu… Sheila.
Ah… Mengapa aku harus terus meratap? Dia memandang sekeliling kamarnya yang sepi. Dia renung siling yang putih bersih. Dan di sana dia tergambar wajah Sheila dengan selendang putihnya. Mukanya tampak berseri-seri dalam pelukan Jasman. Andy Farhan memejamkan mata. Hatinya dibungai kepedihan. Airmatanya pun mengembang perlahan di celah-celah mata yang terpejam.
Dia bangun dan duduk dihujung katil. Suratkhabar yang tadi dicampak kini dikutip dan dibentang kembali di atas katil. Dia terpandang sesuatu. Deretan nombor telefon serta iklan. Dia termenung. Mencari telefon di atas meja kecil di sisi katilnya lantas menekan nombor yang tertera di dada akhbar.
“Hello… Pusat Kaunseling Mesra!” Sambut satu suara lunak, milik seorang wanita. “Boleh saya bantu anda?” Seru suara itu lagi.
“Siapa ni?” Tanya Andy Farhan lembut mendayu.
Rasa hiba yang melanda dadanya terasa sakit menggigit. Dia cuba menahan dirinya daripada menjadi gelisah. Dia mesti bertenang, hatinya mengingatkan. Dia perlukan kawan untuk meluahkan perasaan yang bergolak dalam dadanya. Kawan yang boleh dipercayai, bukannya seorang yang akan mengkhianati dan menikamnya bertubi-tubi tanpa belas kasihan.
“Saya Sharmila… Boleh saya tolong?” Seru suara itu lagi dengan penuh mesra.
“Sheila? Ya Tuhan… Sheila?” Andy Farhan tidak dapat menahan dirinya dari merasa teruja. Fikirannya tiba-tiba jadi kabur, memperdaya telinga dan fikirannya. Suara yang terdengar persis suara wanita yang dirindui. Dadanya berdebar-debar dengan kuat.
“Bukan Sheila. Sharmila…”
“Sheila… Sheila akhirnya abang dapat bercakap dengan Sheila. Abang rindukan Sheila. Malam ni abang benar-benar rindu. Apa yang lelaki jahanam tu lakukan pada Sheila? Dia dah sakiti Sheila ke?”
Gadis di talian terdiam beberapa ketika. Kenapa lelaki ni? Bisik hatinya tidak keruan. Nampaknya memang lelaki di talian itu bermasalah.
“Maaflah saya tak faham apa yang awak cakapkan ni…”
“Ya Tuhan. Sheila tak faham apa maksud abang. Hei, sayang, cepatnya lupa pada abang. Tapi abang tak lupa janji-janji yang kita ukir bersama. Sampai hati Sheila melupakan abang, memilih dia sebagai teman hidup. Hebat sangat ke dia Sheila?”
Sharmila agak terkejut mendengar pertanyaan Andy Farhan yang berbaur cemburu dan marah. Gentar juga hatinya hendak melayani Andy Farhan. Pun apabila mengingati bahawa mereka hanya dihubungkan oleh alat komunikasi, dan lelaki itu pula berada di lokasi yang tidak dapat dipastikan, dia ambil keputusan untuk meneruskan perbualan. Memang biasa dia mendengar suara-suara yang terdesak, kecewa kerana cinta dan memang tugasnya melayani sesiapa sahaja yang menelefon sambil mendengar mereka meluahkan perasaan.
Jika masalah mereka besar dan memerlukan pertemuan diadakan secara empat mata, temu janji akan dibuat. Mereka yang lebih mahir akan menjalankan tugas tanpa sebarang bayaran terhadap pemanggil. Memang ada ramai pakar kaunseling di pusat itu. Sharmila sendiri bekerja secara sambilan di pusat itu dengan bayaran yang agak lumayan. Selalunya dia bertugas selama empat hingga lima jam pada sebelah malam.
“Oh! Saya ingat sekarang, abang lebih hebat dalam segalanya.” Jawabnya perlahan, mulai rasa seronok. Suara lelaki itu kedengaran begitu lunak, lembut dan romantis. Pasti dia seorang yang handsome… Sharmila cuba meneka-neka sendiri.
“Terima kasih sayang.” Andy Farhan tertawa lembut.
“Abang terlalu rindukan Sheila. Sudah lama rasanya Sheila pergi… Bila Sheila nak balik? Kita bertemu macam dulu, ulang semula hari-hari silam kita yang indah. Abang tetap cinta padamu Sheila, walau apa pun yang berlaku sayang.”
“Jumpa? Bila?”
“Malam ni?” Pinta Andy Farhan lagi, penuh asyik. Keseronokan memenuhi dadanya sehingga dia lupa segala-galanya.
“Saya sedang bertugas, lagipun dah lewat ni bang. Apakata esok saja. Esok abang telefon lagi ya…”
“Hei… Sabar! Sabar dulu. Jangan letak telefon tu lagi…” Larang Andy Farhan. Dia tiba-tiba teringat sesuatu. Dia menepuk kepalanya beberapa kali, seperti baru tersedar dari mimpi. Suara itu bukan suara Sheila pujaan hatinya. Suara itu tiba-tiba terdengar begitu asing.
“Siapa yang bercakap ni?” Dia cuba bertanya semula.
“Sharmila.” Jawab suara di talian.
“Kau bukan Sheila rupanya…” Bisik Andy Farhan, suaranya terdengar sayu semula. Kepedihan itu turut dirasai oleh Sharmila walaupun mereka tidak dapat melihat wajah masing-masing.
Lama Andy Farhan terdiam, hanya terdengar hembusan nafasnya. Sharmila ikut diam, menanti. Dia berharap Andy Farhan berkata sesuatu, tetapi hampa apabila hanya terdengar dengus nafasnya yang turun naik melalui corong telefon yang terus menyentuh telinga.
Sharmila cuba bersuara lembut; “Hello, abang masih di sana?”
Andy Farhan tidak menjawab, hanya bunyi ‘klik’ terdengar dan terus talian itu terputus.

SUDAH puas terlentang, dia mengiring ke kiri kemudian mengiring ke kanan pula. Dia tetap tidak dapat tidur. Dia bingkas bangun menuju ke pintu gelongsor yang menghala ke luar. Pintu gelongsor itu ditolak ke sisi. Angin menerobos masuk. Sejenak dia memandang langit yang hitam. Gelap tiada bintang, seperti hidupnya juga. Gelap.
Dia masuk semula. Duduk di sofa. Fikirannya benar-benar kacau. Jika diikutkan hatinya dia ingin pergi ke rumah Sheila dan menggegar pintu rumah wanita itu. Tapi apa gunanya, rumah itu kosong tidak berorang. Sudah sebulan lebih keadaan itu berlangsung. Apakah yang patut dia lakukan untuk merealisasikan mimpinya yang satu?
Perlukah dia sujud dan merayu di kaki Sheila. Perlukah? Mengapa begitu mudah cinta yang selalu diucapkan luntur dan hilang dari hati sanubarinya. Mengapa? Soalan itu terus mengetuk pintu hatinya sepanjang malam.
“Han! Mengapa belum tidur?” Teguran Zaiton mengejutkan Andy Farhan. Dia memandang ke pintu yang renggang dan bertemu pandang dengan wajah ibunya. Wanita itu sekadar menjenguk di muka pintu, tidak berhajat hendak masuk. Tadi dia turun ke dapur untuk minum air, tetapi mendapati bilik tidur Andy Farhan masih terang.
“Belum mengantuk…” Jawab Andy Farhan sepatah.
“Apa yang Han fikirkan?” Dia bertanya gusar.
Risau melihat perubahan yang berlaku pada anak lelakinya itu sejak dia kembali ke rumah itu.
“Tak ada apa-apa.” Jawab Andy Farhan acuh tak acuh.
“Jangan risaukan Han, umi. Han ok.”
Itulah kata-kata yang selalu diulang-ulang oleh Zaiton. Dia menyatakan dia tak apa-apa. Tapi Zaiton enggan percaya. Kebelakangan ini Andy Farhan banyak berubah. Makan minumnya tidak menentu. Dia selalu tidak berselera dan tidak dapat tidur malam. Kasihan kau nak… bisik hati Zaiton.
“Umi tidurlah…”
Zaiton mengangguk dan berlalu. Tetapi hatinya tetap tidak merasa damai. Dikejutkannya Bahtiar yang sudah tidur.
“Kenapa?” Tanya Bahtiar.
“Farhan tu peliklah…” Katanya perlahan separuh berbisik. “Langsung tak tidur walaupun dah pukul satu lebih. Asyik termenung…”
“Biarlah. Mungkin dia fikirkan pasal bisnes.” Balas Bahtiar menarik selimut dan menyambung tidur.
Beberapa minit kemudian Zaiton turun dari katil dan kembali ke bilik Andy Farhan. Dari celah pintu yang renggang dia melihat Andy Farhan sedang menghantukkan kepalanya ke dinding. Darah kelihatan meleleh keluar di dahinya. Lelaki itu membiarkan sahaja seolah-olah dia tidak merasa sakit.
“Ya Allah… Han kenapa ni?” Zaiton meluru ke arah anaknya itu, lantas memegang muka Andy Farhan yang sudah basah dengan peluh dan darah bercampur aduk.
“Kenapa ni?”
Andy Farhan memandang emaknya. Hatinya tambah hiba. Kesakitan tidak dirasai. Airmatanya pula bercucuran keluar menimpa pipi.
“Kenapa umi? Kenapa Sheila tinggalkan Han? Kenapa mesti dia pilih lelaki lain sebagai suaminya? Kenapa tidak Han, Umi? Kenapa? Apa yang kurang pada diri Han, dan apa lebihnya Jasman tu hingga Sheila pilih dia. Jawablah Umi? Jawablah….”
“Sudahlah… Cubalah tidur, Han. Cuba bawa berehat.” Pinta Zaiton.
Dia tidak dapat menjawab pertanyaan Andy Farhan. Bukankah dia yang meminta Sheila agar meninggalkan Andy Farhan. Dia yang terus menerus membenci dan memaksa diri menerima wanita itu. Hakikatnya dia tidak dapat melupakannya. Kebencian itu sudah terlalu lama bersarang dalam dadanya, amat sukar untuk dikikis meskipun dia mencuba. Begitu besar kebencian yang ada dalam hatinya. Hidupnya diselubungi rasa benci dan amarah.
Andy Farhan menangis dan terus menangis dalam pelukan uminya. Bagai anak kecil Zaiton mengusap rambut anaknya, mengembalikan ketenangan ke dalam jiwa Andy Farhan yang kegersangan.
Kasihan kau anakku… Bisik hati Zaiton sambil merelus rambut anak lelakinya itu. Barangkali, umi juga bersalah, Han. Umi bersalah kerana memisahkan kalian berdua. Sheila buat keputusan itu setelah umi meminta dia memutuskan setiap bentuk hubungan yang ada antara mereka. Tetapi dia tidak kesal. Dia mahu membuang rasa benci yang membekam dalam dadanya tetapi dia tidak dapat berbuat demikian. Setiap kali memandang muka itu, rasa hatinya bagaikan terhiris.
Pun dia benar-benar tidak sangka, Andy Farhan akan menderita. Menderita dan merana seperti ini. Dia memandang Andy Farhan yang sudah pun tertidur. Selimut ditarik perlahan bagi menutupi tubuh si anak. Lama dia berdiri, menanti apakah Andy Farhan akan terjaga tetapi kelihatan anaknya itu benar-benar telah tertidur.
Perlahan-lahan dia meninggalkan bilik tidur Andy Farhan. Dia juga rasa mengantuk setelah hampir sejam meladeni Andy Farhan yang gelisah dan sedih itu. Semoga esok kesedihannya akan menghilang bersama hilangnya malam pekat, diganti sinar mentari yang gemilang.

SHEILA! Dia cuba menangkap tangan Sheila yang melintas di hadapannya. Tetapi ternyata yang tertangkap hanya angin yang lewat. Mata Andy Farhan terkebil-kebil memandang siling kamar tidurnya sendiri. Mengapa setiap kali melelapkan mata dia harus bermimpikan wanita itu. Tiada gunanya dia melelapkan mata yang keletihan. Apabila terjaga dia kembali teringat pada kehilangan itu.
Sheila… Serunya.
Dia mencapai gagang telefon dan menekan nombor. Lama dia menanti telefon itu langsung tidak berjawab. Akhirnya deringan itu putus dengan sendiri. Dia masih belum balik walaupun dah sebulan lebih dia pergi. Tak mungkin dia pergi untuk selama-lamanya… Bisik hati Andy Farhan.

HAMID menghubungi Bahtiar dua hari kemudian.
“Aku setuju kerja dengan kau.”
“OK. Malam ni kita jumpa untuk berbincang lagi.”
Mereka bertemu kira-kira pukul sepuluh malam di sebuah kelab dangdut di Taman Rimba. Kelab itu terletak di satu kawasan Cina. Tetapi ramai pengunjung Melayu yang datang ke situ. Ada beberapa buah kelab malam tersedia, menjalankan pelbagai operasi menghidupkan malam yang dingin dan bosan.
“Aku akan beri kau kereta dan handphone. Esok kau pergi ambil kereta dekat gudang beras Batu 3. Kau tahu gudang tu?”
Hamid mengangguk. Bahtiar menyerahkan kunci dan secebis kertas tertulis nombor plet kereta yang akan digunakan oleh Hamid. Dia juga memberikan sebuah handphone secondhand yang telah dibelinya beberapa hari lalu. Dia mahu Hamid menghubunginya sebaik sahaja mendapat berita tentang Sheila. Tidak kira berapa lama tempoh masa yang diambil oleh lelaki itu, dia hanya ingin mendengar tentang kejayaan.
“Esok kau dah dapat kereta, kau terus mulakan kerja. Kita tak perlu berjumpa lagi. Kalau ada hal yang amat penting, kau hubungi nombor handphone aku. Jangan sesekali kau menghubungi nombor telefon rumah.”
Hamid mengangguk lagi.
Bahtiar puas hati. Sesungguhnya Hamid bukan orang pertama yang diupahnya untuk melakukan tugas demi kepentingan dirinya sendiri. Dia punya beberapa orang ‘suruhan’ sebelum ini. Orang-orang yang gilakan wang dan kuasa. Mereka semua sudah dia singkirkan dari hidupnya. Pada saat-saat akhir Azizul menghadapi hukuman maut, dia masih enggan memberitahu Salim siapa sebenarnya yang telah memperalatkannya. Salim sedikit pun tidak sedar dan tidak tahu bahawa dialah yang telah merancang dan mendorong segala tindak tanduknya selama ini. Ketika itu Salim gilakan duit. Salim juga cintakan Sheila. Alangkah gilanya kerana cinta Salim sanggup buat apa saja!
Salim mudah dipengaruhi… bisiknya. Entah apa yang lelaki itu lakukan setelah keluar dari penjara. Dia pun sudah tidak berminat hendak ambil tahu. Pasti dia hidup merempat! Tidak pernah dia terserempak dengan Salim di bandar. Suatu masa dulu dia amat rapat dengan Salim. Lelaki itu dilantik sebagai penasihat perundangannya. Dia selalu merujuk pada jika menghadapi sebarang masalah. Dan setiap khidmat Salim selalu melibatkan duit yang banyak.
Bahtiar sudah berjaya dalam merealisasikan impiannya walaupun bukan seratus peratus. Itulah yang dikesalinya. Aku terpaksa upah kau Hamid! Jika diikutkan hati, aku mahu menghentikan ini semua…Tapi tak boleh! Aku dapat rasakan Sheila dalam kesusahan.
Bahtiar tidak menunggu lama. Dia terus meninggalkan Hamid di situ. Dia ingin pulang ke rumah. Semasa sedang memandu, membelah jalan yang lengang fikiran Bahtiar terus menerawang dan mengembara.
Dia teringat bagaimana dia berjaya menjejaki Sheila yang ditinggalkan di Rumah Anak-anak Yatim Darul Hayati. Sampai hati emak mertua dan isterinya menghantar Sheila ke sana. Bahtiar selalu memberikan sumbangan ke rumah anak-anak yatim tersebut. Malah dia secara terang-terang menyebut sebahagian sumbangan itu adalah untuk Sheila. Walaupun terbuang, tetapi Sheila dilayan istimewa oleh penjaga rumah anak-anak yatim tersebut. Malah Ibu Khadijah dianggap wanita yang sempurna yang disayangi oleh semua anak-anak yatim itu termasuk Sheila.
Kepintaran dan kecergasannya telah membuat dia berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Bahtiar hanya melihatnya dari jauh. That was my girl. My brilliant dan beautiful girl. Walaupun Bahtiar di luar negara tetapi dia kerap kali pulang untuk mengetahui perkembangan Sheila daripada Ibu Khadijah tanpa pengetahuan gadis itu.
Di Australia, dia bertemu dengan Azizul. Ketika itu Azizul masih belajar dalam bidang perubatan. Pelajar perubatan miskin sepertinya memang amat memerlukan pertolongan. Dan setiap pertolongan dalam bentuk kewangan itu telah menjerat jejaka itu mengikut segala telunjuknya.
Setelah tamat belajar dan bekerja, Sheila dijentik rasa ingin kembali ke Mentakab. Dia tahu mengapa Sheila kembali. Dia ingin mencari susur galurnya selama ini. Bila dia menemui Amran yang baru keluar dari penjara, Bahtiar membiarkan kebenaran itu terus tersembunyi. Amran pula begitu lurus dan naif, menerima Sheila sebagai anak. Dan kebetulan pula, wajah mereka bagaikan ada sedikit persamaan.
Pun Bahtiar pasti, jika ujian DNA dilakukan terhadap Sheila dan dirinya pasti kebenaran itu akan muncul. Masanya akan tiba Sheila… bisik Bahtiar.
Dia kembali ke daerah itu, setelah dia merasakan segalanya semakin selesa dan selamat. Dia berhasil menikmati kesenangan setelah semua hartanya yang ada digadai oleh Rosnah. Hati Zaiton dapat ditawannya semula. Dia meninggalkan Rosnah yang banyak menyakitkan hatinya. Rosnah yang bodoh dan tidak tahu malu itu akhirnya berkahwin dengan musuhnya Datuk Mustafa… rungut Bahtiar sendiri.
Dia teringat dia pernah berkata kepada Andy Farhan; dalam hidup seorang lelaki ada ramai wanita tetapi dalam hidup seorang wanita hanya ada satu lelaki. Perempuan yang mempunyai ramai lelaki, adalah perempuan yang tidak bermaruah! Macam Rosnah! Kebanyakan perempuan jenis manusia yang setia. Dia percaya Sheila juga seperti Shikin. Setia hanya pada cinta pertamanya. Aku… lelaki pertama yang singgah dan diam di hati Ashikin, bisik Bahtiar sambil tersenyum lagi. Puas. Bagaimana dengan Sheila… apakah dia setia seperti ibunya juga. Bahtiar tahu Andy Farhan adalah cinta pertama Sheila. Sayangnya mereka berdua selama-lamanya tidak boleh bernikah.
Sheila… Di mana kau sekarang? Tidakkah kau sedar kami di sini amat merindui kehadiranmu. Saat dia teringat pada Sheila, wajah Jasman mendadak muncul di ruang mata Bahtiar. Bahtiar memukul setering kereta dengan kuat. Dia berhenti ke tubir jalan. Mengapa kau harus hadir untuk menjahanamkan semua impian kami, Jasman?
Siapakah kau yang sebenarnya?
Kau datang untuk menghancurkan aku dan anakku! Aku dapat rasakan niat kau yang tak jujur tu! Agh! Mengapa aku harus resah gelisah apabila teringatkan wajah itu…
Bahtiar terus memandu semula, tergesa-gesa pulang ke rumah. Jam menunjukkan ke pukul sepuluh setengah malam ketika dia tiba di rumah. Zaiton tiada di kamar tidur semasa dia masuk. Pasti Zaiton sedang sibuk melayani kerenah Andy Farhan yang semakin tidak keruan. Hari demi hari anak itu semakin nanar dan kesasar…
Bahtiar menukar baju tidur. Kemudian berbaring di atas katil. Dia memandang ke arah pintu apabila dengar suara Zaiton menyapa; “Dah lama abang balik?”
“Baru. Farhan dah tidur?”
“Dia tak ada di bilik.”
“Dia ke mana?”
“Kata setiausahanya Marini dia ada hal di KL. Dah puas Ton call ataupun hantar mesej tapi dia langsung tak jawab.”
“Biarlah…” Kata Bahtiar sambil menarik selimut. “Mungkin dia pergi mencari ketenangan.”
“Cari ketenangan tak apa bang… Ton takut dia buat sesuatu yang buruk.”
“Ton jangan fikirkan yang bukan-bukan. Dia masih rasional. Jangan bimbanglah!” Kata Bahtiar sambil menarik Zaiton ke arah katil.

GADIS itu berjalan lambat, mengekorinya dari belakang. Sesekali dia menoleh untuk memastikan si gadis terus mengikutnya. Bila tiba di hadapan sebuah pintu, dia berhenti melangkah. Matanya memerhati ke arah pintu. Di situ terdapat tangga dengan cahaya lampu suram. Dapat dilihatnya di tingkat atas terdapat sebuah lagi pintu yang bertutup rapat.
Dengan isyarat mata dia mengajak gadis itu masuk. Gadis itu masuk tanpa banyak soal. Dia mengiringi gadis itu menuju ke pintu lalu membukanya. Seorang lelaki ada di kaunter menunggu pelanggan.
“Bilik.” Kata lelaki itu sepatah.
Lelaki berketurunan Cina itu tidak banyak soal. Dia menyerahkan kunci.
“RM 20.00” Katanya sambil menatap wajah lelaki dan gadis yang menunggu.
Tanpa banyak soal lelaki itu, mencampakkan not lima puluh ringgit ke arah lelaki Cina itu.
“Keep the change.” Katanya lalu terus bergerak menuju ke bilik yang telah ditempah.
Lelaki itu terus menolak si gadis ke arah katil sebaik sahaja mereka masuk. Daun pintu ditutupnya lantas dikunci kemas. Si gadis terkejut melihat betapa agresifnya lelaki itu. Tanpa sempat membiarkan gadis itu membersihkan diri, dia terus merentap bajunya. Dia mulai memukul pipi si gadis. Hatinya marah apabila gadis itu memprotes.
Dengan penuh kekerasan dia memaksa gadis itu menuruti kemahuannya. Gadis itu menangis ketakutan. Tidak pernah dia merasa takut seperti malam itu. Akhirnya dia ditinggalkan dengan wajah yang lebam dan luka. Alat sulitnya terasa sakit dan perit. Darah membuak membasahi cadar. Lelaki itu pergi setengah jam kemudian setelah mencampakkan wang sebanyak RM100.00 ke tubuhnya yang terkapar tidak bermaya di atas katil.
Puas! Lelaki itu berjalan laju menghala ke kereta kemudian memandu pergi. Dia memandu kereta dengan hati senang dan bahagia. Asap rokok disedutnya dalam-dalam. Nikmat terasa hidupnya kian menjadi-jadi. Dia menyanyi kecil mengikut rentak lagu. Timbul keinginan di hati ingin ke pub. Sudah lama dia tidak datang ke pub itu.
Semasa dia ingin masuk ke pub, dia terdengar namanya dipanggil. Dia agak terperanjat apabila melihat lelaki itu berdiri tegak di belakangnya dengan tongkat dipegang kejap di tangan kanan.
“Farhan! Aku ingatkan siapa tadi. Apa kau buat kat sini?”
“Aku cari kau… dah lama aku cari kau.”
Dia memandang ke wajah Andy Farhan. Dia tidak tahu dari mana Andy Farhan mengetahui dia selalu ke pub itu sekiranya datang ke KL.
“Kenapa? Kita tak ada urusan apa-apa…” Jawabnya angkuh.
“Jasman! Aku nak jumpa Sheila!”
“Agh! Isteriku bukan lagi urusan kau, Farhan!”
“Jangan kurang ajar, Jasman. Walaupun dia isteri kau tapi dia tetap adik sepupu aku. Aku sayangkan dia…”
Jasman ketawa mengejek. “Kau sayangkan dia? Cintakan dia? Ahhh… Sudahlah! Janganlah berangan-angan. Pergi cari perempuan lain… Di sini ramai perempuan murah. Aku pasti mereka mahu bertemankan lelaki cacat macam kau!” Kata Jasman lalu terus meninggalkan Andy Farhan.
“Kurang ajar!” Marah Andy Farhan sambil berjalan laju menghala ke keretanya yang parkir tidak jauh dari situ. Mentang-mentanglah aku belum benar-benar sihat… fikirnya dengan hati yang getir. Kalau dia sudah betul-betul sihat dan bertenaga, pasti dia akan meninju muka Jasman yang menyakitkan hati itu.
Aku harus berubah! Aku harus punya kekuatan semula untuk menentang Jasman.


Bab 5

AWAL PAGI dia sudah terjaga meskipun pulang lewat semalam. Satu lagi hari yang penuh dengan cabaran harus ditempuh. Aku perlu punya semangat untuk meneruskan hidupku! Tawa Jasman penuh ejekan bergema di telinganya. Pandangan mata Jasman yang mengandungi ejekan membuat semangatnya untuk hidup kembali membara. Aku harus sihat dan kuat untuk berdepan dengan Jasman.
Di manakah Sheila? Dia pasti Sheila ada di KL sekarang. Sekurang-kurangnya itulah satu-satunya berita gembira setelah sebulan lebih dia nanar mencari dan mengharap untuk menemui Sheila.
Andy Farhan mandi dan membersihkan diri. Dia mengenakan pakaian sekemas mungkin. Rambutnya yang disapu gel nampak kemas, berkilat. Andy Farhan menyanyi girang lagu yang suatu masa dulu amat diminati. Lagu Careless whisper. Sempat dia memusing badan di hadapan cermin, dan menggoyangkan badan. “I feel so unsure as I take your hand and led you the dance floor…” Dia akan tetap mengingati detik bersama Sheila.
Hatinya sentiasa meneriakkan nama Sheila. Dia tidak sabar untuk bertemu, mengajak Sheila menikmati makan malam dan berdansa bersamanya. Dia yakin, tidak lama lagi dia akan menemui Sheila. Tidak mungkin selama-lamanya Jasman dapat menyembunyikan wanita muda itu.
Andy Farhan keluar dari kamar tidurnya dan bersiul girang, masih lagi lagu yang sama. Siulan syahdunya pagi itu sampai ke telinga Zaiton dan Bahtiar yang sedang minum pagi. Tidak lama kemudian Andy Farhan muncul, menghadiahkan senyuman ke arah ibubapanya. Bahtiar hanya mengangkat kening sementara Zaiton terpinga-pinga.
“Selamat pagi…” Tegur Andy Farhan.
Bahtiar tersenyum memandang Zaiton. Telahannya benar. Andy Farhan pulang dinihari semalam. Dan hari ini tingkah laku berubah lagi. Dia lebih ceria dan bersemangat.
Zaiton memandang dengan penuh teliti ke muka anaknya itu. Pagi itu juga Andy Farhan tidak lagi menggunakan tongkat. Malah dia sudah boleh berjalan seperti biasa, biarpun langkahnya tidaklah secergas dulu, namun penuh dengan semangat baru.
“Selamat pagi. Awal bangun hari ni…” Tegur Bahtiar.
Dipandangnya wajah Andy Farhan yang ceria itu dengan satu pandangan penuh persoalan.
“Hmmm…” Dia mengangguk sambil duduk di hadapan Bahtiar.
Zaiton menuang minuman ke dalam cawan anaknya itu.
“Han ada hal. Nak pergi KL pagi ni. Nak cari Sheila.”
“Cari Sheila?” Tanya Bahtiar, dahinya berkerut.
Kepalanya tergeleng-geleng.
“Tak boleh ke?” Andy Farhan bertanya kembali.
Tangannya mencapai sepotong roti yang bersalut jem. Dia makan dengan bersungguh-sungguh. Nampak begitu berselera sekali.
Bahtiar dan Zaiton berpandangan. Bahtiar menggelengkan kepalanya lagi.
“Buat apa? Dia dah jadi isteri orang, Han. Dah berapa kali abah kata, lupakan dia!” Tegas suara Bahtiar kali ini.
“Han jumpa Jasman malam semalam…” Balasnya sambil meneguk minuman.
Bahtiar menggelengkan kepala. Dia tidak percaya kata-kata Andy Farhan.
Merepek! Entah apa nak jadi pada anaknya itu. Sekejap gembira sekejap berduka. Dia benar-benar dalam keadaan tertekan.
Hamid yang ditugaskan mencari Jasman dan Sheila pun belum menemui apa-apa. Sudah beberapa minggu berlalu, belum ada hasil yang boleh dibanggakan. Makin tua Hamid makin lembab. Tak macam masa dia muda-muda dulu… rungut Bahtiar sendiri.
“Farhan! Jangan ke mana-mana, berehat di rumah saja. Tenangkan fikiran kau tu… Kalau dah tenang nanti, barulah pergi ke pejabat. Abah tak mahu kau bertindak dan bercakap macam orang gila.”
Andy Farhan memandang bapanya dengan tajam.
“Gila? Siapa kata Han gila? Han masih waras.” Dia terus berhenti makan dan bangun meninggalkan meja.
Zaiton kedengaran mengeluh perlahan. Dia bergerak semula masuk ke dalam. Daun pintu bilik terdengar dihempasnya dengan kuat.
“Bang… Mengapa abang layan dia macam budak kecil? Dia dah dewasa. Dah dekat tiga puluh tahun umurnya.”
Bahtiar mengeluh. “Dia perlu ditolong. Kita tak boleh biarkan dia hanyut Ton. Semakin jauh dia hanyut, semakin susah kita nak tolong dia nanti. Ton pernah kata, dia melakukan perkara yang pelik kan?”
Zaiton mengangguk.
“Cepatlah… Kita ke pejabat.” Gesa Bahtiar apabila melihat Zaiton termenung panjang.
Zaiton mengangguk. “Yalah.”
Di pejabat Bahtiar membuka laci yang berkunci rapat, mencapai sebuah jurnal berkulit tebal lantas membukanya. Setiap pagi sebelum memulakan kerja, dia akan membuka jurnalnya itu. Dia membuka bahagian yang bertanda dengan penanda buku. Dia membaca apa yang ditulisnya semalam sebelum meninggalkan pejabat.
Syarikat sudah pulih sepenuhnya. Semuanya dalam keadaan terkawal. Datuk Mustafa telah menerima balasannya. Shernya ditarik balik. Kini peganganku dalam Rangkaian Rimbajati lebih besar, berbanding Zaiton dan Andy Farhan. Aku… telah berjaya menguasai syarikat yang dipelopori oleh bapa Zaiton!
Sheila…Dia telah berhenti menulis setakat itu semalam. Kini dia ingin menyambung lagi di muka surat yang baru, pada hari dan tarikh yang baru juga; Sheila… Bahagiakah kau di samping Jasman? Selama ini aku berusaha untuk mendapatkan hakmu di Rangkaian Rimba Jati. Aku tahu Zaiton membencimu. Betapa hatiku ini amat kesal… Kesal kerana tidak dapat menyatakan betapa aku sayang padamu. Aku sayang pada darah dagingku. Kau anakku. Aku berjaya memutar belit mereka terutama sekali Zaiton dan Andy Farhan untuk percaya bahawa kau anak Amran. Kau anakku dan Ashikin!
Aku tak boleh lepaskan kau pergi bersama dengan Jasman. Dapat aku rasakan lelaki itu tidak guna, sama seperti Salim dan Azizul! Aku mahu kau sentiasa ada di depan mataku, biarpun aku terlalu rindu untuk mendengar kau memanggilku abah.
Aku ayahmu Sheila. Bukan Amran! Bukan…aku terpaksa berpuas hati dengan panggilan pak long. Agh! Aku bersyukur juga perkahwinan antara kau dan Andy Farhan tidak terjadi. Terima kasih kepada Datuk Mustafa dan Rosnah yang menculik Andy Farhan. Kalian secara tidak langsung membantu aku sebenarnya. Kini padan muka mereka semua kerana berada di dalam tahanan pihak berkuasa. Kau orang berdua pasti reput di dalam penjara!
Namun aku tetap kasihan pada anakku Andy Farhan yang hidup sengsara dan merana. Alangkah baiknya jika aku dapat memberitahu Andy Farhan perkara sebenar tanpa melukai hati dan perasaannya. Bagaimanakah aku dapat memberitahu dia, sedangkan dia tidak berminat terhadap jurnal-jurnal yang aku tulis sejak dulu.
Barangkali aku boleh lakukan sesuatu, untuk bantu dia melupakan Sheila. Aku percaya dan yakin perasaan kecewanya itu hanya sementara. Dia akan pulih dan dia akan kembali menjadi lelaki yang berjaya. Cinta akan datang sekali lagi mengetuk pintu hatinya.
Bahtiar meletakkan pen, menutup jurnal lantas memasukkannya ke dalam laci. Laci itu dikuncinya dengan kemas. Dia duduk bersandar di kusyen, memandang kosong ke arah dinding bilik kerjanya yang dingin dan sepi. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Pantas jari telunjuknya menekan interkom.
“Yanti! Put me to Dr Erleta. I want to talk to her…”
Terdengar jawapan balas dari setiausahanya. Tidak lama kemudian panggilan di sambung ke meja Bahtiar. Doktor Erleta berada di talian.
“Uncle Bahtiar! Apa mimpi malam tadi, pagi ni tiba-tiba call saya?”
Bahtiar tertawa. “Elly, malam tadi uncle bermimpi kau jadi menantu uncle.” Kata Bahtiar sambil tertawa lagi. “Senang tak tengahari nanti. Kita lunch?”
“OK, boleh uncle.” Jawab Doktor Erleta.
Bahtiar masih tersenyum semasa dia meletakkan gagang telefon.

“FARHAN tak turun makan?” Bahtiar bertanya semasa Makcik Semah menceduk nasi ke dalam pinggan. Wanita itu diam sejenak, teragak-agak hendak menjawab.
“Errr….”
“Kenapa?” Tanya Zaiton pula begitu gusar demi terpandangkan muka Makcik Semah yang teragak-agak hendak bercakap.
“Dah puas saya ketuk bilik tidurnya tadi… dia tak jawab.” Kata Makcik Semah. “Mungkin dia tak ada di dalam bilik.”
“Tapi keretanya ada di luar…” Bantah Bahtiar.
Dia tahu Andy Farhan ada di dalam bilik itu. Entah apa yang dilakukannya sekarang?
Bahtiar dan Zaiton saling berpandangan. Zaiton teringat peristiwa pagi tadi, Andy Farhan begitu gembira. Mood anaknya itu sentiasa berubah-ubah tanpa diduga. Zaiton melepaskan keluhan.
“Biar Ton pergi panggil dia bang…” Kata Zaiton seraya bangun dari kerusi.
Dia berjalan laju menuju ke kamar anaknya itu. Tangannya tidak jadi hendak mengetuk pintu, kerana terdengar suara Andy Farhan seperti sedang bercakap dengan seseorang. Barangkali dia sedang menggunakan telefon, bisik hatinya.
Dia menolak pintu kamar itu perlahan-lahan. Berkerut dahinya melihat Andy Farhan sedang bercakap seorang diri. Andy Farhan menoleh apabila melihat kehadiran uminya; “mengapa umi tak ketuk pintu dulu? Umi ni kacau kamilah!” Dia menggertap bibir menahan marah.
Zaiton merenung anaknya. Perkataan ‘kami’ yang baru diucapkan, membuat dadanya berdegup dengan kuat. Hairan dan curiga, Zaiton berkata dengan kuat sambil menggoncang bahu Andy Farhan; “Jangan merepeklah! Mana ada orang lain dalam bilik ni!”
Andy Farhan menepis tangan Zaiton. Dia terdiam beberapa ketika, duduk di tubir katil yang kelihatan berselerak sekali. Lama dia berkenaan begitu, sebelum berbaring menggerekut seperti kesejukan. Tangannya menggenggam cadar, hingga cadar itu menjadi renyuk seribu. Tubuhnya bergegar, airmatanya membuak-buak bagaikan empangan pecah. Dia merintih perlahan-lahan. Raungan yang tertahan-tahan itu membuat hati Zaiton pedih dan tersayat. Zaiton mendekati Andy Farhan, memeluknya lantas mengurut belakangnya perlahan-lahan.
“Kenapa? Ceritakan pada umi apa yang terjadi?”
Tetapi Andy Farhan tidak bersedia untuk bercerita apa-apa. Dia kembali tenang setelah Zaiton memeluknya bagaikan anak kecil. Dia pegang tangan uminya, lantas diciumnya beberapa kali sambil berkata; “Han tak apa-apa umi.”
Tapi Zaiton tidak mudah percaya. Dipandangnya Andy Farhan yang tenang semula.
“Kenapa umi pandang Han macam tu?” Andy Farhan bertanya, melempar secalit senyum dan berkata lagi; “Han dah OK umi!”
Lelaki itu sedang mencapai tuala, bergerak ke kamar mandi. Dia segera hilang ke dalam bilik air. Niat hendak mengajak anaknya itu menikmati makan malam terbantut. Dia termenung, memandang kamar bilik air yang bertutup rapat. Sayup-sayup didengari bunyi kocakan air yang kuat, menandakan lelaki itu sedang membersihkan diri.
“Dia tak mahu makan?” Tanya Bahtiar apabila dilihatnya muka Zaiton keruh sahaja ketika dia kembali ke meja makan.
Zaiton menggeleng.
Lelaki itu terus makan, biarpun Zaiton langsung tidak menyentuh nasi di hadapannya. Selera Zaiton sudah hilang sama sekali untuk menyentuh hidangan yang begitu menyelerakan malam itu. Tiba-tiba Zaiton bangun meninggalkan meja makan dan terus berlari naik ke tingkat atas mengarah ke bilik tidurnya.
“Eh! Ton pun tak mahu makan?” Teguran Bahtiar.
“Ton dah tak berselera.” Jawabnya tanpa menoleh memandang Bahtiar.
Farhan dah betul-betul teruk, kata hati Bahtiar. Tak apa! Aku harus temukan Andy Farhan dengan Doktor Erleta. Aku mesti ubati jiwa Andy Farhan yang sedang parah. Tiada jalan lain lagi. Dia mesti bertemu dengan Doktor Erleta, seorang pakar psikitri yang hebat yang berjaya membuka kliniknya sendiri di tengah-tengah bandar yang kian pesat ini.
Walau bagaimana pun tiada sesiapa pun harus tahu tentang hal ini, terutama sekali rakan-rakan bisness dan pelanggannya. Malu jika semua orang tahu Andy Farhan yang kelihatan kacak dan hebat tetapi gagal menangani masalah jiwanya sendiri.

DOKTOR ERLETA BAHA memandang ke arah pintu yang baru ditolak dari luar, mendapati seorang lelaki muda dan kacak muncul di hadapannya. Tubuhnya tinggi lampai, berkulit cerah dengan rambut kemas tersisir. Dia mengenakan kemeja hitam, dipadankan dengan seluar panjang warna senada. Vest berwarna kelabu berjalur serta tali leher warna emas melengkapkan gaya seorang lelaki hebat.
Inikah dia Andy Farhan, anak lelaki Uncle Bahtiar yang dikatakan mengalami gangguan mental? Bagaikan tidak percaya dia masih lagi merenung ke pintu, tanpa suara. Andy Farhan itu tersenyum mesra, berjalan mendekatinya dan menyeru lembut.
“Selamat pagi, doktor!”
Doktor Erleta Baha tersentak, segera bangun lantas menghulurkan tangannya; “Selamat pagi. Encik Andy Farhan. Silakan.”
Aduh! Mengapa dadanya berdebar demi terpandang wajahnya yang sungguh kacak dan kelihatan begitu mesra. Dia seperti tidak percaya bahawa lelaki ini mempunyai masalah. Dia sama seperti lelaki-lelaki lain. Normal! Dia amat memikat, sesiapa sahaja pasti akan jatuh cinta padanya.
“Jangan panggil encik. Farhan sahaja… tolonglah! Saya bersetuju menemui doktor bukan untuk mendapatkan rawatan. Saya tak tahu apa yang abah saya dah ceritakan pada doktor. Saya harap kita hanya berbual-bual sahaja…”
“OK… Saya bersedia menjadi pendengar yang baik.” Itulah peranan sebenar seorang pakar psikiatri. Menjadi pendengar dan peneliti tingkah laku pesakitnya. Terkadang orang lain ataupun ibubapa pesakit gagal mendengar dan memahami apa yang ingin disampaikan oleh penderita. Akibatnya pengidap terus menghadapi tekanan demi tekanan hingga gagal untuk mengawal emosi mereka. Akhirnya mereka mengalami gangguan tidur yang teruk. Apabila seseorang gagal mendapatkan rehat dan tidur, atau disebut sebagai insomnia, mereka mula memperlihat gejala tidak sihat, seperti mendapat bayangan ataupun mimpi-mimpi yang tidak masuk akal.
“Baguslah. Saya gembira, sebab sebenarnya saya memang perlukan seorang kawan yang memahami, berbanding seorang doktor yang akan memberikan saya ubat. Bukan semua ubat dapat menyembuhkan, kan?” Andy Farhan ingin mencari persetujuan doktor muda yang asyik merenung mukanya.
Dia senyum, tahu bahawa dia punya keistimewaan yang tiada pada orang lain.
Doktor Erleta cuba menahan getar dadanya. Dia menarik nafas dalam-dalam, mengambil pen dan kertas untuk mencatat. Andy Farhan memandang sekeliling dan terlihat deretan sijil yang dibingkaikan tersusun kemas di dinding. Lelaki itu bangkit dan berjalan mundar mandir di ruang bilik itu.
Kelihatannya dia sedikit gelisah. Ketenangan yang dipamerkannya tadi hanyalah topeng, bisik hati Doktor Erleta tidak lepas dari mengawasi pergerakan Andy Farhan. Andy Farhan terus meneliti suasana bilik Doktor Erleta. Bilik itu tidak mempunyai banyak tingkap, hanya satu tingkap cermin besar dan ditutupi pula di venetian blind berwarna biru lembut.
Dokor Erleta diam sahaja, membiarkan lelaki itu merasa selesa, mengitari biliknya yang dingin itu. Selebihnya dia turut ingin menyelesakan dirinya sendiri. Tidak pernah dia mendapat ‘pesakit’ yang sekacak lelaki itu. Setelah beberapa ketika debarannya semakin hilang. Dia menatap tepat ke wajah Andy Farhan yang kini sudah duduk di kerusi di hadapan mejanya semula.
“Doktor akan melakukan hipnosis, sebagai salah satu kaedah rawatan? Maksud saya, terhadap pesakit-pesakit doktor yang lain.” Soalan itu agak mengejutkan datangnya dari seorang pesakit.
“Ada pelbagai kaedah rawatan sebenarnya.” Balas Doktor Erleta enggan membincangkan apa-apa dengan ‘pesakit’nya yang kacak itu. “Disebabkan you mengakui tidak sakit, jadi kita tidak akan gunakan apa-apa kaedah. Hanya berbual sahaja…” Kata Doktor Erleta cuba memerangkap Andy Farhan supaya memecahkan rahsia hatinya.
“Ok. Tapi sanggupkah doktor menjadi seorang pendengar yang baik?”
“Kenapa tak boleh? Itu memang kerja I…”
Doktor Erleta tersenyum.
“Tak bosan ke mendengar masalah orang? Kalau doktor sendiri ada masalah, siapakah yang akan menolong menyelesaikan masalah doktor pula?”
Doktor Erleta diam sejenak kemudian berkata; “I selalunya dapat mengatasi masalah I sendiri tanpa bantuan daripada sesiapa.”
“Agh! Betapa kuatnya dan tingginya semangat doktor.” Balas Andy Farhan sambil melepaskan keluhan.
“Terima kasih.” Balas Doktor Erleta. “Sebenarnya you juga boleh menjadi kuat, Farhan! Kalau you mahu… You boleh jadi lebih kuat dan lebih bersemangat daripada I atau pun mereka di luar sana.”
Andy Farhan tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap kata-kata Doktor Erleta itu. Dia hanya mengangkat kening. Lelaki itu mengembangkan senyumannya. Setiap kali dia tersenyum, Doktor Erleta membalasnya dengan penuh kehangatan. Kemudian dia tunduk dan menulis sesuatu di atas kertas catatan yang masih kosong. Ditulisnya hari, tarikh dan masa Andy Farhan hadir ke bilik itu.
“Betul ke? You pasti ke doktor?” Dia bertanya untuk melanjutkan perbualan itu.
“Dah tentu I pasti!” Kata Doktor Erleta Baha dengan penuh yakin.
“Apakah perkara yang paling you takut, Farhan?” Tanya Doktor Erleta tidak membuang masa untuk mengetahui emosi ‘pesakit’nya itu.
“Ditinggalkan. Keseorangan, sepi…”
“Alasan tu boleh saya fahami. Memang sepi kalau hidup sendiri. Tapi sepi tu kadang-kadang taklah teruk sangat. Bukan kita tak boleh bahagia kalau bersendiri.”
“Dua lebih baik daripada tiga…” Balas Andy Farhan. “Kalau bertiga, bermakna sudah wujud persaingan. Kadangkala kita terpaksa menghapuskan saingan untuk mendapatkan sesuatu secara mutlak.”
Doktor Erleta menulis di atas kertas catatannya. Dia mengubah tajuk perbincangan secara tiba-tiba, tulisnya dengan pantas. Itu adalah ciri-ciri skizorfrenia. Penderita juga suka bercakap dengan cepat.
“Antara manusia, binatang, wang dan cinta…” Kata Doktor Erleta Baha sambil memukul hujung pennya di permukaan keras yang masih kosong. “Yang mana satu you lebih berminat?”
Tanpa berfikir terlebih dahulu Andy Farhan menjawab bersama senyuman terkembang di bibirnya. “Cinta…” Dia mengenyitkan matanya dan bertanya kembali. “You?”
“I?” Doktor Erleta Baha meletakkan telapak tangannya ke dada, agak terkejut mendengar pertanyaan itu.
Dia menolak rambutnya ke atas dan menjawab tegas; “Dalam ‘perbualan’ ni, biar I saja yang mengemukakan soalan. Boleh tak?” Dia cuba menguasai keadaan.
“Tak adil. Antara dua orang manusia yang sedang berkomunikasi mesti wujudnya pertanyaan balas.”
Kata-kata itu membuat Doktor Erleta Baha menelan airliur perlahan-lahan. Dipandangnya lelaki di hadapannya itu. Dia nampak tenang dan bersahaja.
“OK. I lebih sukakan manusia… Sebab itulah I memilih kerjaya yang berkait rapat dengan orang ramai.” Balas Doktor Erleta Baha sambil memerhati lelaki itu dengan teliti. Pelbagai tafsiran mengisi kepalanya. “I lebih minat pada manusia, makhluk tuhan paling istimewa, punya akal fikiran, punya perasaan…”
“Lelaki atau perempuan?” Soal Andy Farhan lagi. Meneruskan senyumannya. Tidak mempedulikan Doktor Erleta yang masih ingin meneruskan kata-katanya.
Doktor Erleta terdiam sejenak berfikir lantas menjawab; “Lelaki.”
“Lelaki seperti I? You tahu apa istimewanya diri I? Hmmm, I seorang yang cukup kacak, kaya, bijak, complex… unpredictable.”
“Sukar diramal? Memang kita tidak boleh meramal fikiran manusia. Tetapi sesetengah orang punya daya dan punya firasat untuk meramal. Ianya adalah satu anugerah daripada Tuhan. Walau bagaimana pun hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang ada di dalam fikiran manusia. Seseorang itu tidak boleh lari dari Tuhan yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui walaupun dia menyembunyikan diri di dalam peti besi sekali pun!”
“You rasa you betul? Hmmm…” Balas Andy Farhan.
“You sebenarnya tak yakin langsung. Mampukah you menyelesaikan masalah I?” Tanya lelaki itu sambil bangun, sekali lagi berjalan mundar-mandir di ruang kamar Doktor Erleta yang luas itu. Dia berhenti di suatu sudut yang mempamer pelbagai souvinier terletak di dalam almari kaca.
“Tolong duduk semula, Andy Farhan.” Kata Dortor Erleta tidak ingin Andy Farhan menguasai situasi itu. Dia tidak suka sesi itu digugat dan dia mahu menguasai keadaan di mana dia adalah doktor dan Andy Farhan adalah ‘pesakit’nya yang tenat.
“Selepas cinta, apa pula pilihan you?” Tanya Doktor Erleta melanjutkan pertanyaannya.
“Manusia.”
“Perempuan?”
“Tidak semestinya perempuan. Kadang-kadang lelaki lebih baik bersahabat dengan lelaki. Sebab lelaki lebih kuat menyimpan rahsia. Kami tidak bersikap bias terhadap kaum kami sendiri. Kami juga hebat sebagai kekasih.”
Doktor Erleta mencatat di atas kertas putih yang masih kosong. Dia cuba mencipta dua personaliti dengan tujuan untuk mengelirukan. Sebenarnya dia terlalu obsesi terhadap cinta seorang wanita sahaja. Siapa wanita ini?
“Macamana dengan wang? Tidakkah you berminat dengan wang. Semua orang suka memiliki wang. Apalagi kalau ia dalam jumlah yang banyak.”
Andy Farhan menggelengkan kepalanya. “Wang tak boleh membeli cinta…” Walaupun boleh ‘beli’ manusia… Sambungnya di dalam hati.
“Binatang? You ada binatang pelihara semasa kecil dulu… pasti ada. Sebab setiap kanak-kanak sukakan binatang.”
“Bukan I. Zaman kanak-kanak I tak pernah punya binatang peliharaan. I bencikan binatang. Kadang-kadang manusia pun boleh jadi binatang…” kata Andy Farhan dengan suara meninggi. Tangannya kelihatan tergenggam erat. Mukanya menjadi tegang dan merah.
“Boleh tak hentikan soalan-soalan bodoh ni?” Katanya tiba-tiba.
Nampaknya dia memang tidak suka apabila Doktor Erleta cuba mengheret dia ke zaman kanak-kanak.
“Oklah, kita berehat sepuluh minit.” Doktor Erleta berkata lembut sambil bangun menuju ke coffee corner. Dia membancuh teh. Setelah menghidangkan teh dia kembali duduk menghadapi meja. Dilihatnya Andy Farhan sedang membelek-belek kertas yang baru diambil dari atas mejanya.
“Tolong letak semula kertas tu…” Katanya sambil mengangkat cawan berisi teh. “Cubalah rasa teh ni. Ia akan buat you tenang. Hmmm… teh ni memang sedap. I masih ingat lagi semasa di kampung kalau hari hujan I akan bancuh teh cair yang tawar, makan ubi kayu rebus bercampur kelapa dan gula melaka… kenangan yang sangat manis.”
“I cemburukan you, punya kenangan manis macam tu…” Balas Andy Farhan, meletakkan cawannya kembali di atas piring dengan tertib.
“Kenapa? You tak ada kenangan manis masa kecil? Don’t bluff me… setiap orang ada kenangan manis masa kecil.”
“I tak ada. Semuanya pahit.” Balas Andy Farhan lemah dan tertahan-tahan. “Tapi peduli apa pada masa lalu kan? Sebab I benci pada masa lalu I. Pada waktu zaman kanak-kanak yang amat pahit. I bukan macam budak-budak lelaki sebaya dengan I. I tak ada kawan… Satu-satunya kawan hanya Sheila. Walaupun dia masih kecil tapi dia selalu ikut I… ke mana aja!” Katanya setelah termenung beberapa ketika.
“I pernah selamatkan dia semasa dia bermain rakit di tasik. I terlalu sayangkan dia dan tak mahu dia mati…” Ceritanya lagi dengan nada sedih.
“Kalau I tahu Sheila akan kecewakan I macam sekarang, I akan biarkan sahaja dia tenggelam di dasar tasik tu…” Lelaki itu tunduk, titisan airmata mencium pipinya yang bersih. Cepat-cepat dia menghapuskan airmatanya dan kemudian ketawa lepas.
“I tak sukalah kenangan lalu, buat I sedih…” Katanya sambil tersenyum dalam sendu.
“OK.” Jawab Doktor Erleta sepatah. Dia mencatat di atas kertas di hadapannya. Sheila…Cintanya terhadap Sheila terlalu dalam, tertanam sejak kecil. Tetapi wanita itu telah mengecewakannya. Dan kekecewaan itu buat dia jadi paranoia. Mentalnya tidak sihat, dia berfikiran bahawa orang lain tidak mesra dan tidak ingin berkawan dengannya dan bersikap tidak adil terhadapnya.
“Tenangkan diri you Farhan…” Kata Doktor Erleta bangun dan bergerak ke arah lelaki itu. Disentuhnya bahu lelaki itu dengan lembut kemudian mengurutnya perlahan-lahan. “Pejamkan mata dan relaks.”
Doktor Erleta memerhati kepala dan rambut Andy Farhan yang hitam berkilat. Kemas. Muda dan tampan. Pun ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Untuk melupakan cinta lama dia haruslah membuka hati untuk membina hubungan cinta yang baru…
“Terima kasih. I dah ok doktor…” Kata-kata Andy Farhan mengejutkan Doktor Erleta. Dia kembali ke tempatnya semula dan terus duduk tanpa menghiraukan pandangan mata Andy Farhan yang tajam menikam.
“You seorang yang cantik. Pasti you sudah berpunya…”
Doktor Erleta memandang Andy Farhan. “Maaf. Sesi ni dah tamat.”
“Ehhh… mengapa cepat sangat tamat?”
“Ini adalah faktor masa, Farhan. Semakin lama bersama I semakin banyak you terpaksa bayar. Ok, kita buat yang paling cepat dan mudah.”
“OK. I suka cara you.” Dia mengenyitkan mata.
Doktor Erleta bangun berdiri dan menghulur tangannya.
“Baiklah. Hari esok kembali ke sini semula tepat jam sepuluh pagi.”
“Apa kata kalau sesi esok kita bertemu di Old Town cafe?”
“I tak berapa suka keluar dari bilik rawatan bilik ni terutama sekali pada waktu tengahari…” Jawab Doktor Erleta berdalih.
Dia tetap menganggap pertemuan antaranya dengan Andy Farhan hari ini adalah satu rawatan. Bahtiar yang meminta dia menganalisis tahap mental Andy Farhan. Sebelum ini memang dia tidak pernah melakukan rawatan di luar kamar itu. Dia merasakan sesuatu yang aneh sekiranya harus berada di luar, terutama di sebuah cafe.
“Tolonglah.” Rayu Andy Farhan.
“Sebenarnya I tak langsung rasakan ini adalah satu kaedah rawatan. I hanya ingin meluahkan perasaan pada seorang kawan. Itupun kalau you anggap I kawan?”
“OK.” Dia menganggukkan kepalanya.
“Esok, di Old Town cafe. Tepat pukul sepuluh pagi. You mesti datang!”
Andy Farhan menganggukkan kepalanya.
“See you.” Katanya sebelum membuka pintu dan melangkah keluar.
Doktor Erleta bersandar di kusyen, matanya merenung helaian kertas di atas meja terbiar sepi. Di matanya tergambar wajah kacak Andy Farhan. Wajah itu segera lenyap ditindih satu wajah lain. Dia senyum sambil membelek-belek handphone.


Bab 6

SHEILA berjalan mundar mandir di ruang tingkat atas rumah sambil memegang handphonenya.
Satu bar aje… Kalau buat call tak dapat ni! Dia merungut-rungut sambil berjalan lagi beberapa langkah. Tak percaya betul! Mengapa satu bar aje? Beberapa langkah kemudian, handphonenya menunjukkan tiada liputan lagi. Alamak! Kalau dapat dua bar atau tiga, pasti aku boleh buat call!
Dia yakin sekiranya dia keluar sedikit dari kawasan itu, dia pasti dapat tiga bar. Bolehlah buat call. Aduh! Macamana dia dapat keluar dari rumah ini? Dia berdiri di berenda tingkat atas rumah, sambil tangannya memegang tembok rendah separas pinggang. Berenda itu agak luas, dengan sepasang kerusi rotan mengisi ruang.
Hampir-hampir gila dia memikirkan keadaan dirinya sekarang. Dia bersendirian di berenda itu sejak tadi. Jasman balik lewat malam semalam. Lelaki itu masih tidur di biliknya biarpun jam sudah pukul dua belas tengahari.
Dia meraba-raba perutnya sambil tersenyum. Tak sangka dia mengandung. Dia telah sempurna sebagai seorang wanita walaupun bukan seorang isteri yang bahagia. Tiada gunanya dia menyesali semua yang terjadi. Dia harus menjaga kandungannya dengan baik. Bila keadaan mengizinkan dia akan lari dari tempat itu. Pasti.
Kita akan pergi jauh nak… bisiknya sambil mengusap-ngusap perutnya. Dia tahu ada janin di dalamnya yang mendengar dan mengerti hati dan perasaannya kala itu. Dia bersyukur juga dengan kehadirannya telah menghentikan semua seksaan Jasman. Jasman jarang menyakitinya lagi ketika mereka mengadakan hubungan intim. Dia memberitahu Jasman agar berhati-hati supaya kandungannya tidak terjejas.
Dia takjub sekali. Jasman tidak menyeksanya lagi. Malah Jasman bersikap lebih lembut ketika berasmara. Namun dia tahu, tiada kepuasan di wajah lelaki itu. Dia gembira sekiranya dapat menyakit Sheila. Jika tidak dapat menyakiti tubuhnya dia senang pula menyakiti hatinya. Kau ni memang sakit, Jasman!
Semakin lama Jasman membiarkan dia bebas bergerak dan melakukan apa yang disukainya. Sheila suka membaca. Justeru itu sebahagian masanya dihabiskan di perpustakan. Perpustakaan itu banyak buku-buku lama, kebanyakan berbahasa Inggeris. Dia menemukan sebuah novel Inggeris lama yang tebal. Berhari-hari dia membaca untuk menghabiskannya. Dengan membaca dia dapat melupakan kepedihan dan kelukaan hatinya. Di perpustakaan ini ada juga buku dan novel bahasa Cina.
Sayang sekali dia tidak punya pengetahuan untuk membacanya. Dia hanya membelek-beleknya bersama perasaan ingin tahu. Milik siapakah buku itu? Mengapa di rumah Jasman harus ada buku-buku asing ini? Siapakah pemilik buku-buku ini. Jika ada pun tulisan atau pun tandatangan, tidak difahaminya langsung kerana tertulis dalam bahasa Cina.
Mengapalah aku tak pernah belajar bahasa Cina? Sedangkan di negara ini terdapat pelbagai bangsa. Sepatutnya aku pelajari serba sedikit bahasa mandarin atau pun kantonis.
Seorang pembantu rumah naik ke tingkat atas, membawa senaskah surat khabar lalu meletakkannya ke dalam perpustakaan. Sheila memerhati sahaja. Sudah lama dia tidak membaca akhbar. Dia bergegas masuk ke perpustakaan untuk membaca akhbar tersebut yang diletakkan di atas meja.
Walaupun surat khabar itu bertarikh dua hari lepas tetapi sudah cukup memuaskan hati Sheila. Dia dahagakan berita luar. Sejak di situ dia sudah lama tidak membaca akhbar. Entah mengapa hari ini pembantu rumah naik membawa surat khabar.
Dia membelek-belek akhbar dan membaca berita-berita penting. Dia rasa sedikit lega, dapat juga dia mengetahui dunia luar. Dia benar-benar seperti seorang banduan yang terhukum dengan kesalahan yang tidak dilakukannya. Dia seorang peguam tetapi dia tidak dapat membantu dirinya sendiri lepas daripada jerat yang dipasang oleh Jasman. Jerat asmara yang menjerut batang lehernya sendiri.
“Hello darling!” Tegur Jasman sambil mencium rambutnya dari arah belakang. Dia tidak sedar bilakah Jasman masuk ke perpustakaan itu kerana terlalu asyik membelek surat khabar.
Sheila menoleh, memandang ke arah suaminya yang kelihatan segar selepas selesai mandi. Bau perfumenya begitu kuat menyengat hidung. Jasman duduk di hadapannya. Wajah lelaki itu kelihatan gembira.
“I jumpa Farhan di KL dua malam lepas.”
Sheila terkejut, air mukanya berubah.
Jasman ketawa. “Tengok! Muka you blushed Sheila!”
Jasman terus mentertawakan Sheila dengan hati yang puas. Sheila rasa geram dan marah. Tidak ingin dia mendengar suara tawa Jasman yang merobek hatinya. Lelaki itu sengaja berkata begitu. Entah benar entah tidak segala omongannya. Mungkin dia berbohong, sekadar untuk mendera perasaannya saja.
“I hate you!” Kata Sheila lalu bangun menjauhi Jasman.
“And I love you so muchhhh…” Jasman bangun meninggalkan Sheila bersama tawanya yang tidak sudah-sudah.
“Gila!” Rungut Sheila seorang diri sambil menyandarkan badannya pada dinding. Tiba-tiba teringat dinding tempat dia bersandar berkongsi dengan dinding bilik tidur yang menjadi tempat larangan itu. Apakah yang ada di sebalik dinding ini!
Sheila memerhati dinding putih bersih itu bersama perasaan ingin tahu yang semakin dalam. Mungkinkah jika dia dapat masuk ke sana, dia mendapat sesuatu maklumat penting. Maklumat yang boleh digunakan untuk menentang ataupun mengugut Jasman. Dia tidak berdaya melawan kerana dia tidak punya apa-apa sekarang. Jika salah satu dari rahsia Jasman terbongkar, mungkinkah dia akan ‘menewas’kan lelaki itu.
Sekarang kau menang Jasman. Percayalah… Suatu hari nanti aku pasti dalam menembusi dinding ini dan mencari apakah rahsia yang masih tersembunyi.
Sheila terkejut apabila tiba-tiba sebuah buku terjatuh dengan sendirinya dari rak buku. Dia memandang sahaja buku yang jatuh ke lantai itu, sambil mengurut dada. Terasa ada angin yang entah dari mana datangnya, berhembus lembut di tepi telinga. Sheila memerhati sekeliling ruang perpustakaan yang besar itu. Tengkuknya meremang. Tingkap tunggal di perpustakaan itu tidak pernah dibuka. Mengapa tadi dia terasa ada angin yang bertiup?
Sheila berjalan perlahan-lahan ke arah buku yang jatuh di lantai. Tangannya menggigil ketika dia memegang sebuah novel tipis berbahasa Cina itu. Dikulit buku terlihat gambar seorang perempuan muda yang tersenyum manis. Gambar lukisan itu kelihatan benar-benar hidup. Satu tulisan hitam memanjang ke bawah tertulis dengan cantik. Sheila yakin ianya adalah tajuk novel tersebut.
Sheila membelek-belek kulitnya yang kelihatan masih elok biarpun kertas di bahagian dalamnya sudah berwarna kekuningan. Dia membuka muka surat pertama. Matanya memandang tidak percaya. Pertama kali dia melihat sepotong nama yang ditulis dalam bahasa Malaysia. Tan Kaa Lei.
“Tan Kaa Lei?” Kata Sheila pada dirinya sendiri.
“Siapa Tan Kaa Lei ni? Perempuan ke lelaki?” Sheila meletakkan buku kembali di tempatnya. Dia terus bergerak perlahan di antara rak-rak buku itu. Aku harus cari maklumat siapakah dia dan mengapa buku-bukunya ada di sini. Dia yakin buku-buku itu milik Tan Kaa Lei.
Sheila mengambil secara rambang sepuluh buah novel lalu meletakkannya dia atas. Dia membelek-belek satu persatu, dari muka surat depan hingga ke belakang. Dia terus mencari-cari satu demi satu namun tiada sebarang tulisan yang boleh dibaca dan difahaminya. Namun dia tidak kecewa. Dia harus terus mencari.
Dia menarik sebuah novel Inggeris bertajuk To Love Is To Live karya Denise Robins. Kulit buku itu menggambarkan seorang wanita Inggeris berbaring di atas rumput, sementara seorang lelaki separuh meniarap di sisinya. Mereka saling merenung, penuh asyik.
Sheila membuka muka surat hadapan novel tersebut. Novel itu diterbitkan pada tahun 1940. Pertama kali diterbit dan diedarkan di Great Britain oleh Hutchinson & Co. Ltd. Kemudian diulang cetak oleh Coronet pada 1960, edisi ke dua dan ketiga diterbitkan pada tahun 1973.
Di muka surat berikutnya terlihat satu tulisan yang difahami Sheila. Dengan rasa gembira dia membaca tulisan tersebut. Satu petunjuk yang akan menyelesaikan sedikit demi sedikit misteri yang membelenggunya.
To Kelly,
With all my love… You are love of my life.
David.
Kelly? Sheila yakin Kelly dan Kaa Lei adalah orang yang sama. Tapi siapa pula David? Mengapa dia tidak bertanya saja pada pembantu rumah? Tentu mereka tahu sesuatu. Namun agak sukar untuk mendekati mereka. Jika Jasman melihat dia berbual dengan pembantu rumah pasti lelaki itu akan menyeksanya semula. Dia tidak sanggup menghadapi kesakitan, bengkak dan lebam di sana sini dicucuh dengan api rokok.
Dia harus mengelakkan diri daripada menjadi punca kemarahan Jasman. Jasman yang dikenali suatu masa dulu sudah berubah secara total. Dia memang bencikan Jasman yang baru… Jasman yang baik hati dulu sudah lama mati bersama kenangan yang tidak mungkin berulang.
Novel itu dipulangkannya kembali ke tempatnya. Dia tidak sabar hendak menyelesaikan misteri ini. Sekurang-kurangnya dia telah mendapat satu petunjuk. Sepanjang masa dia selalu teringatkan sepotong nama itu. Kaa Lei atau Kelly, pasti pernah hadir ke rumah banglo itu.
Dia tidak berani untuk bertanya pada Jasman walaupun dalam nada bergurau. Lagipun mereka tidak lagi mesra seperti dulu. Sheila selalu mengelakkan diri dari bertemu dengan Jasman. Lelaki itu selalu sibuk kebelakangan ini, memberikan dia ruang waktu bersendiri lebih lama. Dan sepanjang masa dia memerap di perpustakaan.
Suatu pagi dia terlihat pintu perpustakaan kelihatan renggang. Dia tahu Jasman sudah pun keluar ke ladang. Di ladang getah itu terdapat rumah-rumah pekerja. Kebanyakan pekerja-pekerja berbangsa India ataupun Bangladesh. Mereka mendapat gaji harian. Jasman menguruskan banyak kerja-kerja di ladang yang selama ini dilakukan oleh orang lain. Sejak balik ke situ, Jasman menguruskan segalanya sendiri. Sheila tidak pernah tahu ataupun melihat rupa pejabat di ladang yang menurut Jasman agak besar.
Dia tidak memerlukan pembantu kerana mampu menguruskan akaun dan pengurusan pejabat berseorangan. Memang dia seorang pengurusan kewangan yang baik. Malah Jasman pernah bekerja di firma guaman Dato’ Murthi sebelum mereka bernikah. Mereka menjalin hubungan pun di situ juga. Mengingati semula kenangan lalu itu, Sheila tidak terasa lagi keindahannya. Sudah lenyap semuanya dalam sekelip mata.
Sheila menjenguk ke dalam. Dia mendapati seorang kanak-kanak lelaki sedang duduk menghadapi meja, menulis sesuatu. Sheila tersenyum padanya sambil menegur; “Hai!”
Kanak-kanak lelaki itu memandangnya. Pensil di tangannya terlepas kerana terkejut lalu jatuh ke lantai. Dia buru-buru mengambil pensil tersebut.
“Oppsss… Sorry. Auntie mengejutkan kamu?” Tanya Sheila.
Kanak-kanak itu tersengih memandangnya.
“Siapa nama?”
“Bob.”
“Umur berapa?”
“Tujuh tahun.”
Bagus! Bisik hati Sheila. Sudah cukup bijak.
Sheila yakin Bob adalah anak salah seorang pembantu rumah itu. Dia tidak tahu apakah itu pertama kali Bob datang ke situ. Dia duduk di sisi Bob sambil melihat kanak-kanak itu membuat kerja sekolah. Bob agak bijak dia dapat menyelesaikan soalan matematik dengan cepat.
“Bob selalu datang ke sini?”
Dia memandang Sheila sebelum menjawab; “Tak. Ayah tak bagi.”
“Kenapa?”
Kali ini dia diam sejenak. Dia tidak tahu mengapa bapanya jarang membawanya ke situ, sedangkan dia suka berada di rumah besar itu. Hari ini dia dibawa oleh bapanya kerana emaknya punya urusan penting di bandar. Sebelum ke situ tadi, bapanya telah berpesan agar dia tidak nakal dan bermain-main di tingkat bawah sahaja. Tetapi dia menyelinap naik ke perpustakaan itu, tanpa pengetahuan bapanya. Dia suka berada di situ, sunyi dan tenang.
“Takut Tuan Jasman marah.”
Tuan? Sheila terkejut sedikit. Rupa-rupanya di situ semua orang memanggil Jasman ‘tuan’.
“Jangan takut. Dia tak ada di rumah sekarang…” Kata Sheila.
“Makcik siapa?”
“Makcik isteri Tuan Jasman.”
Bob kelihatan keliru. Dia memandang Sheila dari atas hingga ke bawah. Kagum. Biarpun masih kecil tapi dia bijak menilai.
“Makcik cantik. Betul ke makcik isteri Tuan Jasman?”
“Ya… betul!”
“Kata ayah isteri Tuan Jasman tak cantik! Kata ayah…” Tidak sempat Bob berkata lebih lanjut, terdengar suara lantang datangnya dari pintu perpustakaan yang terbuka luas. Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 30an memandang bengis ke arah Bob.
“Bob! Kau di situ rupanya… Puas ayah cari. Cepat turun bawah…”
Bob cepat-cepat mengemas bukunya memasukkan ke dalam beg kecil yang terletak di atas beg dan terburu-buru turun. Sheila memerhati sahaja sambil menelan air liur pahit. Dia mendengar bapa Bob berkata dengan suara yang keras dan kasar; “Jangan naik ke tingkat atas lagi. Jangan masuk ke perpustakaan tu! Kalau tuan tahu, kau akan dihukum. Kau mahu ayah benam kepala kau dalam sungai sampai lemas. Mahu?”
Mengapa bapa Bob harus menakut-nakutkan anaknya. Ugutan seperti itu pastilah amat menakutkan bagi kanak-kanak sepertinya. Memang tak patut! Keluh Sheila sendiri. Kanak-kanak punya hak untuk hidup tenteram, bukannya berada dalam keadaan takut dan tidak selamat.
Bapa Bob sempat memandang ke arah Sheila. Wajahnya tetap serius. Dia memandang sejenak kemudian dengan cepat memaling mukanya kembali. Dia memegang tangan anaknya sambil menutup pintu. Dia masih bercakap sesuatu, ulas bicara yang tidak lagi sampai ke telinga Sheila.
“Kata ayah isteri Tuan Jasman tak cantik! Kata ayah …” Sheila mengulangi semula kata-kata Bob. Dia yakin memang bapa Bob mengetahui banyak perkara yang berlaku di rumah itu. Namun dia tidak akan bercerita pada sesiapa kerana takut pada Jasman.
Petang itu, Sheila menghampiri pintu bilik misteri yang bertutup rapat. Dia berdiri sejenak di situ, melekapkan badannya pada daun pintu sambil cuba menolaknya dari luar sekuat tenaga. Tetapi pintu itu terlalu keras, terkunci rapat. Kuncinya hanya ada di dalam simpanan Jasman.
Sheila membaringkan tubuhnya, meniarap di lantai sambil matanya memerhati ke bawah pintu. Dia tidak dapat melihat apa-apa dari lubang yang terlalu kecil di bawah pintu walaupun cahaya dari dalam. Dia yakin bilik tidur itu sama bentuk dan senibinanya dengan kamar tidurnya sendiri. Bilik yang mempunyai banyak tingkap dengan bingkai cermin fesyen lama yang sudah tiada lagi di alaf baru ini.
Tiba-tiba dia sedar setiap barang yang ada di rumah banglo dua tingkat ini, adalah barang-barang lama dan antik, berusia tiga puluh atau empat puluh tahun lampau. Walau bagaimana pun semuanya masih terjaga dengan baik.
Tidak hairanlah buku-buku di perpustakaan itu semuanya buku-buku lama. Dia yakin penghuni asal rumah itu adalah Kelly dan David. Tapi mengapa semua barang-barang Kelly tidak dipindahkan? Mengapa sebagai tuan rumah baru banglo itu, Jasman terus menyimpan semua barang kepunyaan orang lain? Ke manakah pula David dan Kelly pergi.
Barangkali David sudah pulang ke negara asalnya. Dan Kelly pasti mengikut lelaki itu pergi, meninggalkan ladang pada waris mereka. Kemudian menjual ladang itu pada Jasman. Agh! Di sini ada sedikit keanehan… fikir Sheila. Sepanjang dia mengenali Jasman lelaki itu bukanlah seorang yang kaya raya. Bagaimanakah dia boleh memiliki ladang getah itu? Di rumah itu juga terdapat dua buah kereta, BMW dan Toyota. Kedua-dua kereta itu selalu digunakan oleh Jasman, silih berganti.
Selama ini Jasman tidak pernah menunjukkan kemewahannya. Malah sebelum berkahwin dengan Sheila dia tidak punya apa-apa, selalu menumpang kereta Sheila ke pejabat. Semasa mereka datang ke rumah itu pun, Jasman memandu kereta Sheila. Sheila yakin keretanya masih ada di garaj rumah banglo itu, sudah dua bulan tidak digerakkan ke mana-mana.
Dia berharap kereta itu masih ada di saat dia memerlukannya.


Bab 7

DALAM masa dua minggu, selepas 4 sesi pertemuan dengan Doktor Erleta, Bahtiar menyaksikan satu perubahan baru dalam hidup anak lelakinya itu. Dia tahu Doktor Erleta berjaya menangani ‘kes’ Andy Farhan penuh sukses.
Tengahari itu dia menjemput Doktor Erleta makan tengahari di coffee house Hotel Green Park. Sementara menunggu makanan yang dipesan dihidangkan di meja, kesempatan itu diambil Bahtiar untuk melunaskan bayaran perkhidmatan Doktor Erleta. Dia amat berpuas hati dengan kerja-kerja doktor muda itu sehingga tidak berfikir panjang untuk memberikannya duit yang agak lumayan.
Bahtiar meletakkan sekeping cek di atas meja sambil tersenyum memandang doktor muda itu. Erleta berusia 30 tahun dan masih single. Dia pernah mengakui pada Bahtiar, bahawa dia tidak berminat pada perkahwinan. Dia wanita yang berjaya di usia yang teramat muda. Gadis itu memang seorang pelajar cemerlang sejak di bangku sekolah rendah sehinggalah mendapat ijazah dalam bidang psikologi.
Sebahagian daripada masanya dihabiskan di rumah dengan membaca jurnal psikitri sambil mendengar irama gesekan biola daripada CD Vanessa Mae ataupun terkadang dia memilih muzik Kitaro. Dia wanita muda terpilih, berdikari dan berani. Dia bijak memilih teman dan tidak suka terlibat dengan orang yang tidak memberi faedah kepadanya.
“Apa ni uncle?” Tanya Doktor Erleta memandang ke arah cek yang baru disorongkan kepadanya. Jumlah wang itu agak banyak, diluar jangkaannya.
“Terima kasih. Farhan dah pulih. I like new Farhan now.”
Doktor Erleta ketawa cuma. Dia memandang sahaja ke arah cek itu. Dia tertanya-tanya mengapa jumlah yang diberikan melebihi daripada sepatutnya diterima.
“Tapi jumlah ni terlalu banyak uncle Bahtiar.”
Bahtiar tertawa menutup rasa gugup yang hinggap di hatinya. Apakah Doktor Erleta bukan jenis orang yang mudah dibeli? Salahkah dia menilai selama ini? Bagaimana jika Doktor Erleta menolak tawarannya?
“Anggap saja sebagai hadiah…”
“Hadiah?”
“Ya. Saya gembira sangat. You takkan faham kegembiraan seorang ayah seperti saya. Saya gembira dia akhirnya dapat menerima kenyataan yang Sheila bukan miliknya lagi. Saya mahu dia terus melupakan Sheila.”
Doktor Erleta diam sahaja. Dia masih menunggu Bahtiar melanjutkan kata; “Kalau boleh saya mahu you terus mendampingi dia, menjadi teman baiknya. Ya… Kalau perlu menjadi kekasihnya.”
Doktor Erleta tersenyum mulai mengerti apa yang terkandung dalam hati Bahtiar.
“Biar saya berterus terang. Saya memang sukakan anak uncle. Saya yakin kami boleh jadi kawan baik. Tetapi sebagai kekasih… entahlah. Itu saya tak pasti. Manalah tahu suatu hari nanti kami akan saling jatuh cinta, siapa tahu?”
“Saya mahu melihat Farhan berkahwin dan hidup bahagia. Saya dah tua, dah letih nak fikir tentang bisness. Kalau boleh nak berehat panjang. Kalau dia kahwin, dapatlah tengok cucu membesar.”
Doktor Erleta merenung Bahtiar. Lelaki itu mulai memasang angan-angan. Dia tahu Andy Farhan pernah berkahwin tetapi perkahwinan itu tidak bertahan lama. Baginya perkahwinan adalah untuk seumur hidup. Dia tidak akan mudah untuk menyerahkan hidupnya pada seorang lelaki, kemudian dengan senang pula menghancurkan hatinya. Namun dia yakin Andy Farhan seorang lelaki yang baik.
“Di luar sana ramai perempuan yang baik, uncle.”
“Tapi saya sukakan you. Lebih-lebih lagi you ni anak kawan saya. Walaupun ayah you dah tak ada lagi, tapi saya masih ingat persahabatan kami semasa kami masih muda.”
Doktor Erleta sekadar mengangguk.
“Boleh kan kalau saya menyimpan harapan satu hari nanti you akan jadi menantu saya?”
“Terserah pada uncle. Tapi saya tak mahu berjanji…”
Bahtiar mengerti. “Ok.” Dia menganggukkan kepalanya beberapa kali.
“Saya pun tak mahu memaksa. Lebih-lebih lagi sekarang saya sudah tahu, paksaan orang tua ke atas anak memberikan kesan yang begitu besar kepada masa depannya. Sebenarnya jadi ibubapa ni susah… kalau terlalu memaksa pun tak boleh… Kalau dibiarkan saja pun salah.”
“Saya bersyukur saya belum jadi ibu!” Doktor Erleta ketawa. “Walau macamana pun, saya sedar begitu besarnya pengorbanan emak saya. Kalau sehari tak dengar suara mak… rindunya.”
“Haa… bercakap pasal emak you tu, apa khabar dia?”
“Al-hamdulillah. Sehari dua ni sihat. Tapi kena selalu ingatkan dia supaya makan ubat. Kadang-kadang dia tak mahu ambil ubat. Penyakit darah tinggi tak boleh buat main, penyakit yang tak nampak dan tak ada tanda-tanda. Tahu-tahu kena serangan jantung atau strok.”
“Tinggi ke bacaan darahnya?”
“Tinggi, kadang-kadang naik sampai 180/110 mmHg. Penyakit darah tinggi ni kalau dah mula makan ubat, tak boleh berhenti. Jawabnya seumur hiduplah bergantung pada ubat untuk pastikan bacaannya sentiasa dalam keadaan normal. Tapi mak tu tak suka berpantang… Santan, kuih-kuih manis itulah yang jadi kegemarannya.”
Bahtiar ketawa.
“Uncle ada apa-apa penyakit?”
“Setakat ni sihat.” Jawab Bahtiar yakin.
Dia masih kuat dan gagah, mengalahkan lelaki muda seperti Andy Farhan. Mindanya juga cemerlang. Terima kasih kepada pengalaman lalunya yang banyak mengajar dia tentang mengendalikan hidup. Dia yakin dapat hidup empat puluh tahun lagi! Begitu yakin sehingga dia tidak pernah meminta kepada Tuhan supaya memanjangkan usianya.
Makanan yang dipesan tiba di meja. Bahtiar menjemput Doktor Erleta menjamu selera. Bahtiar memang menyukai makanan Cina. Bawang putih dan halia adalah satu kemestian dalam setiap resepi makanannya. Di samping itu terdapat herba-herba yang menyihatkan tubuh badan. Cara penyediaan makanannya pula samada digoreng dengan sedikit minyak bijan ataupun dikukus. Sayur-sayuran yang kaya dan banyak dimasukkan dalam setiap lauk pauknya menjanjikan khasiat yang seimbang dan baik untuk kesihatan.
“Saya tak tahu pula uncle suka masakan Cina?”
Bahtiar tersenyum.
“Sebenarnya makanan Cina lebih sedap dan berkhasiat. Mereka suka makan lauk pauk dan sayur dalam keadaan panas. Ianya baik untuk kesihatan.”
Doktor Erleta mengangguk sambil tangannya memegang chopstick. Terkial-kial dia hendak mengambil ikan kerapu kukus yang diletakkan di dalam sebuah pinggan bujur.
“Kalau tak pandai guna chopstick, minta sudu dan garfu saja, Elly.”
“Tak apa… Saya nak cuba uncle. Manalah tahu nanti saya jadi menantu uncle. Jadi kena biasakan diri.” Gurau Doktor Erleta.
Kau ni memang kuat semangat dan tak suka mengalah. Itulah yang aku suka… bisik hati Bahtiar sambil memerhati jari-jari gadis itu mengepit chopstick. Dia telah berjaya mencubit ikan lalu meletakkannya ke tepi pinggan.
“Ya tak ya juga…” Balas Bahtiar sambil terus tergelak lagi.


Bab 8

SHEILA terjelepuk lemah di tepi katil, apabila mendapati pagi itu bilik tidurnya terkunci kemas dari luar. Di bawah dia mendengar deru kenderaan memecut keluar dari perkarangan rumah. Dia berlari ke tepi tingkap dan melihat kereta BMW hitam Jasman sudah berada di hadapan pintu pagar. Kereta itu berlari laju sebaik sahaja pintu pagar terbuka.
Pengawal pintu pagar segera menutup pintu dengan serapat-rapatnya tanpa menunggu walaupun sesaat. Sheila memandang sayu dari arah tingkap bilik tidurnya yang menghala ke kawasan depan rumah banglo itu. Rumput di padang masih tetap seperti kelmarin. Kala dia datang ke situ dua bulan lalu, rumput itu tetap hijau seperti itu juga bagaikan tidak terjejas oleh teriknya sinar matahari.
Dia tidak tahu. Apakah matanya sedang membohongi dirinya sendiri dengan menyatakan bahawa rumput-rumput itu sentiasa nampak cantik sepanjang tahun. Tetapi apa ertinya kecantikan dan kehijauan alam yang mengelilingi rumah itu bila dia harus terkurung sepanjang hari.
Setiap sejam Sheila memukul pintu dengan sisa-sisa tenaga yang ada. Dia meminta pembantu rumah membuka pintu dan membawakannya makanan. Perutnya terlalu lapar apabila ditinggalkan pagi tadi oleh Jasman tanpa menikmati sarapan. Akhirnya pintu dibuka dari luar. Bapa Bob datang membawa dulang berisi makanan tengahari. Sheila mengintip keluar. Dia mendapati bapa Bob sendirian.
“Tak dengar ke saya panggil? Macam orang gila terjerit-jerit. Semua orang dah pekak ke?”
Bapa Bob tidak menjawab. Dia meletakkan dulang dengan tertib di atas meja. Dia membongkok sedikit menyuruh Sheila makan.
“Saya tak mahu makan. Saya nak keluar dari bilik ni…”
“Maafkan saya. Saya tak boleh buat macam tu!”
“Oooo… Pandai pun awak bercakap. Selama ni saya ingat awak bisu sebab awak tak pernah bercakap dengan saya. Awak hanya bercakap dengan Tuan Jasman!” Sheila menyindir lelaki itu yang berdiri tegak di tepi pintu. Dia sudah bersedia hendak keluar semula.
“Nanti dulu! Biarkan pintu tu terbuka.”
“Tapi…”
“Awak takut pada Tuan Jasman?”
“Saya takut hilang kerja…”
“Samalah tu!” Tuduh Sheila. “Awak tahu kepada siapa awak patut rasa takut? Pada Tuhan. Sebab Dia yang beri rezeki pada hamba-hambaNya. Dunia dan seluruh isi alam ni Dia yang punya.”
Lelaki itu memandang Sheila. Dia tidak berkata apa-apa. Tapi Sheila merasakan bahawa pandangan mata lelaki itu mengandungi sindiran. Dia juga takut pada Jasman. Dia takut Jasman menyeksa dan memukulnya hingga lebam dan birat. Dia terlalu lemah tidak dapat lari dari tempat itu. Suatu masa dulu dia begitu bersemangat kuat dan berani menempuh apa saja. Kini dia seorang wanita lemah dan sedang berbadan dua pula.
Tiba-tiba Sheila menutup mulutnya bila hidungnya terhidu bau nasi. Bau itu tiba-tiba buat dia rasa mual. Dia berlari ke bilik air memuntahkan isi perutnya. Dia cuba menenangkan diri, berbisik pada diri sendiri bahawa ini adalah perkara biasa pada perempuan mengandung sepertinya. Sesetengah bau yang pada suatu ketika dulu begitu menyenangkan, tetapi sejak membawa kandungan yang baru berusia 9 minggu itu, dia mengalami alahan yang teruk.
Semasa dia keluar semula dari bilik air dia mendapati pintu bilik dibiarkan terbuka. Hatinya rasa lega. Dia nampak bapa Bob ada di luar pintu, menunggu dia keluar dari bilik air.
“Puan nak ubat?” Dia bertanya dalam nada lembut.
Sheila menggeleng. “Bawalah semula nasi ni turun ke bawah. Saya tak boleh hidu bau nasi. Tolong bawa roti dan susu.”
Lelaki itu mengangguk. Dia naik semula membawa susu dan roti putih. Dia juga membawa jem dan mentega. Sheila memang kelaparan. Roti itu membuat seleranya memuncak.
“Saya akan tinggalkan puan makan. Pintu ni saya tak kunci. Tapi saya akan kunci semula bila Tuan Jasman balik. Maafkan saya…” Katanya teragak-agak.
“Nanti dulu. Siapa nama awak?”
“Jamil.”
“Terima kasih Abang Jamil.” Kata Sheila sambil tersenyum.
Wajah Jamil kelihatan merah. Dia mengangguk lalu terus pergi dari situ.
Sheila makan roti dan minum susu dengan penuh nikmat. Makanan itu dirasakannya begitu enak sekali. Dia teringat kembali pada Bob, anak lelaki Jamil.
“Kata ayah isteri Tuan Jasman tak cantik. Kata ayah…” Bisik Sheila sendiri. Apakah maksud kata-kata itu? Dia tidak mengerti! Benarkah aku tak cantik? Apakah definisi cantik pada pandangan seorang lelaki yang hanya menjadi seorang pembantu rumah.
Dia harus berbuat baik pada Jamil di setiap kesempatan yang ada. Dia pasti akan mendapat maklumat daripada lelaki itu. Tak lama lagi Jamil pasti akan menjawab soalan-soalan yang selalu bermain-main dalam kepalanya.
Sheila langsung tidak menyangka Jasman tidak pulang selama dua hari. Jika dia tahu, Jasman meninggalkan rumah itu demikian lama pasti dia sudah bertindak. Setiap detik dia menunggu kalau-kalau Jasman pulang. Jadi setiap saat langkahnya tetap terbatas, bimbang sekiranya Jasman tiba-tiba balik. Namun Sheila sempat juga turun ke tingkat bawah rumah banglo itu, menjelajah setiap pelosok ruang tamu dan dua bilik tidur yang ada di situ.
Tiada apa-apa yang ditemuinya di dalam kedua-dua bilik tidur itu, melainkan sebuah bilik yang jarang digunakan. Perabot dan katil di dalam bilik itu ditutup dengan kain putih. Akhirnya Sheila merumuskan bahawa rahsia hanya tersimpan di dalam bilik misteri di tingkat atas rumah itu.
Jasman pulang awal pagi. Dia terus menemui Sheila di biliknya. Sheila baru terbangun dari tidur. Dia belum sempat membersihkan diri.
“Mandi cepat dan pakai baju yang cantik dan kemas. Ada kawan I datang.” Kata Jasman lalu terus keluar.
Sheila tidak bertanya kenapa dia perlu turun untuk menemui kawan Jasman. Sejak berada di situ, Jasman tidak pernah menerima tetamu. Setelah hilang selama dua hari, Jasman pulang bersama dengan rakannya.
Sheila terus mandi dan membersihkan diri. Dia mengenakan blouse longgar, supaya perutnya yang mulai mengkal itu tidak kelihatan. Blouse berwarna merah muda itu begitu manis kala dia menyarungnya dipadankan dengan sehelai seluar putih.
Jasman mengajaknya turun ke tingkat bawah pada jam sebelas pagi. Di ruang tamu terdapat dua orang lelaki. Mereka memandangnya dengan pandangan kagum. Salah seorang dari lelaki itu mengangkat keningnya. Ketika bersalaman dengan Sheila, lelaki yang bernama Rosdi itu bagaikan enggan melepaskan tangannya. Gatal! Rungut Sheila di dalam hati. Tak nampakkah perut aku yang dah bengkak ni?
Begitu juga teman Jasman yang bernama Stephen. Dia memandang Sheila seolah-olah ingin menelannya hidup-hidup.
Jasman berdiri di sisi Sheila, memeluk bahunya sambil berkata; “Sayang, Rosdi berminat nak beli kereta you.”
“Kereta? Ha… Ya, kereta I.” Dada Sheila berdegup serta merta memikirkan keretanya yang telah lama tersadai di dalam garaj. Hatinya mulai bimbang. Dia dapat menduga sesuatu. Tidak lama lagi kereta itu akan berpindah hak milik.
Dia tidak sangka Jasman keluar selama dua hari untuk mencari pembeli keretanya. Kereta itu satu-satunya harapan Sheila untuk melarikan diri dari situ. Tapi Jasman mahu merampasnya dengan penuh kekejaman.
“Kan you kata nak jual kereta tu. Kita dah ada dua buah kereta. Jadi, buat apa lagi kereta tu. Lebih baik dijual. Betul kan sayang?” Jasman memandang temannya Rosdi sambil menyambung; “Sheila tengah mengandung. I memang tak benarkan dia drive. You fahamlah kan… bahaya bagi perempuan mengandung sepertinya bawa kereta. Jadi kami decided untuk jual kereta pada harga yang berpatutan.”
Jasman membuka briefcase yang ada di atas meja dan terlihat lelaki itu memegang geran kereta miliknya. Oh! Tuhan… Jasman memang kurang ajar! Dengan beraninya dia balik ke Mentakab dan menggeledah rumah sewa yang telah ditinggalkan lebih kurang dua bulan untuk mengambil hak peribadinya. Dia berlagak sebagai seorang suami yang baik.
Jasman memandangnya sambil tersenyum. Mata Jasman memberikan isyarat supaya Sheila menjaga kelakuan di hadapan Rosdi dan Stephen. Jika tidak, sesuatu yang dahsyat akan menimpa dirinya.
“Ini geran kereta. Kau boleh tengok sendiri kereta ni masih baru…”
Rosdi dan Stephen mengangguk serentak.
Memang jelas di mata mereka berdua Jasman tidak berbohong.
Rosdi meneliti geran yang ada di tangannya, dia mengangguk puas hati. Stephen dan Rosdi sudah dibawa oleh Jasman ke garaj tadi untuk melihat kereta yang hendak dijual. Sebuah Honda CRX warna merah menyala yang berusia lebih kurang 3 tahun.
“Kereta tu I beli cash untuk Sheila. Masa I beli kereta tu kami sedang mabuk bercinta, rela berkorban apa saja. Betul tak sayang?” Kata Jasman dengan bangga.
Bibir Sheila tercebik. Hanya dia yang tahu kebenaran kata-kata Jasman. Sesungguhnya kereta itu dibeli dengan hasil titik peluhnya sendiri. Kecemerlangan kerja yang dilakukannya membuat dia mendapat komisyen yang agak tinggi dalam beberapa kes-kes besar.
Sheila ingin menyatakan itu semua satu pembohongan. Tapi dia tahu risiko yang akan ditanggungnya sebaik sahaja kedua-dua lelaki itu meninggalkan rumah banglo Jasman. Dia tidak mahu tubuhnya menjadi birat dan biru menerima penangan serta dicucuh dengan api rokok.
Dengan linangan airmata dia menurunkan tandatangan di atas surat perjanjian yang dibawa oleh peguam Rosdi, iaitu Stephen. Urusan jual beli berlangsung dengan cepat. Dan Jasman menerima sekeping cek dengan senang hati. Selepas kedua-dua lelaki itu pulang dengan memandu kereta yang sudah berpindah tangan, Jasman menghela tangan Sheila naik ke tingkat atas.
“You tak patut jual kereta tu, Jasman! You pencuri! You balik ke Mentakab tanpa pengetahuan I. You menyelongkar semua barang-barang I.”
“Mencuri? Cakap baik-baik sikit… I bukannya pencuri. Apa saja barang milik you dah jadi milik I juga selepas kita berkahwin. Apa yang I lakukan adalah yang terbaik. I dapat panggilan daripada tuan rumah you, dia mahu you berpindah sebab dah dua bulan tak bayar sewa. Jadi I balik, kemas barang-barang you… Mana-mana yang boleh dijual, I jual aje.”
“You jual perabot-perabot tu?”
“Ya, I dah jual semuanya.” Kata Jasman dengan bangga seolah-olah perbuatan itu mendapat restu Sheila.
“You ni kejam!”
Jasman ketawa, sambil mencium cek yang ada di tangannya.
“I nak keluar. Sekarang you masuk bilik…”
Airmata Sheila berderai. Dia sedih kerana kehilangan semua barang-barang kesayangannya. Semua itu ada nilai dan kenangannya yang tersendiri. Kini dia tidak memiliki apa-apa lagi. Hidupnya sudah jadi miskin, menumpang di rumah itu. Entah-entah rumah itu pun sebenarnya bukan rumah Jasman!
Dia semakin mengenali Jasman kini! Seorang penipu besar…
“Tolonglah Jas… Tolonglah. Jangan kurung I dalam bilik. Sekurang-kurangnya biarkan I bebas dalam rumah ni!”
Jasman memandang Sheila, dia tersengih. Senyuman yang sungguh kacak tetapi nampak begitu buruk di mata Sheila kini. Dia benci melihat senyuman kemenangan yang terukir di bibir lelaki itu.
“OK, sebab I senang hati I benarkan you bebas. Tapi setakat di tingkat atas. Kalau I tahu you turun ke bawah, I takkan maafkan you. Pembantu rumah ni amat setia pada I. Mereka tak pernah bohong dan tak pernah engkar…”
Bezanya mereka dengan kau, adalah kau seorang penipu besar. Entah berapa orang gadis yang telah kau tipu. Aku entah perempuan bodoh yang ke berapa dalam senarai hidupmu. Aku harap aku perempuan bodoh terakhir yang tertipu oleh tampan wajahmu dan romantisnya kata-kata kau suatu masa dulu…
Sheila meneguk air liurnya. Dia terpaksa bersetuju dengan syarat Jasman kerana tidak mahu terkurung di dalam kamar.

AWAL PAGI Jamil mengepit suratkhabar yang baru dibelinya di bawah ketiak. Sebelah tangan lagi membuka pintu hadapan rumah. Rumah itu berkunci rapat. Dia mendapati salah sebuah kereta Jasman tiada. Malam tadi Jasman tidak pulang.
Jamil menolak daun pintu hadapan. Ruang tamu kemas dan tidak berusik langsung. Kakinya terasa dingin saat memijak lantai marmar putih yang menutupi seluruh ruang tingkat bawah rumah itu. Berkas kunci yang berat itu segera dimasukkannya ke dalam poket. Dia sentiasa beringat-ingat agar tidak meletakkan kunci itu di merata-rata tempat. Kunci rumah hanya dipegang oleh Jasman dan dirinya. Sudah hampir 15 tahun dia bekerja di situ.
Dua orang pembantu rumah dan seorang tukang kebun yang bekerja di rumah itu datang lebih lewat darinya. Dia akan menyediakan sarapan untuk isteri Jasman terlebih dahulu. Saat dia berjalan menghala ke dapur, dia mendengar suara Sheila yang berdiri di tepi tangga tingkat atas. Dia mendongak dan terlihat Sheila sudah pun bangun.
“Abang Jamil! Jasman ada di bawah tak?” Dia bertanya dengan suara rendah, separuh berbisik.
Jamil menggeleng. “Tak ada. Keretanya juga tak ada.”
“Jadi, dia tak balik malam tadi…”
Jamil tidak bersuara. Dia terus ke dapur.
Sheila merengus. Dia geram dengan sikap Jamil yang tidak boleh diajak berbual langsung. Setia sangat pada Jasman. Apa yang dia dapat?
Jamil terperanjat apabila melihat Sheila duduk di meja makan tingkat bawah, menunggu dia membawa sarapan.
“Puan! Tolong naik ke atas. Kalau Tuan Jasman tiba-tiba balik…”
“Dia takkan balik hari ni…”
“Mana puan tahu? Dia akan balik pada bila-bila masa saja. Cepat naik!!” Kata Jamil separuh memerintah. “Kalau puan engkar, saya juga yang akan dapat susah.”
Benar juga kata Jamil. Sheila akan rasa kesal jika kedegilannya menyebabkan Jamil terhukum. Hisy! Terpaksalah aku jadi banduan! Rungutnya lagi. Entah bila dia akan mendapatkan ‘senjata’ untuk menentang Jasman.
Semasa sedang makan roti, Jasman pulang. Diam-diam Sheila mengakui kebenaran dakwaan Jamil. Dia akan pulang pada bila-bila masa tanpa memberitahu sesiapa. Itulah yang membuat setiap orang sentiasa takut dan berwaspada.
Jasman bersiap-siap lalu terus keluar semula ketika matahari hampir-hampir terbenam. Sheila memerhati keretanya yang berhenti sebentar, menunggu pintu pagar dibukakan untuknya. Kemudian dia melihat Jamil juga meninggalkan rumah itu dengan motorsikalnya. Tiga orang lagi pembantu rumah telah balik lebih awal. Jamil pulang lewat kerana menyediakan makan malam untuknya. Semuanya sudah dihantar ke bilik.
Sheila yakin Jasman tidak akan pulang malam itu seperti semalam. Jadi dia boleh bebas untuk turun ke tingkat bawah. Dia sudah jemu berada di tingkat atas. Dia perlu melakukan sesuatu yang menggembirakan hati. Sudah lama dia tidak mendengar muzik ataupun radio. Ada sebuah piano di tingkat bawah yang bertutup dengan dengan kain. Sheila akan memainkan piano malam itu untuk menghiburkan hatinya yang walang.

IRAMA bunyi piano yang mendayu-dayu singgah di telinga Jasman sebaik sahaja dia keluar dari kereta. Malam telah larut menghampiri pukul dua pagi. Dadanya berdebar mendengar irama piano itu. Irama itu tidak asing kepadanya, cuma sudah lama ianya tidak didendangkan. Sudah lama piano itu dimainkan oleh tuannya.
Tengkuknya meremang. Dia menggosok mata. Apakah dia mabuk, terdengar-dengar piano itu dipetik orang. Siapakah yang memainkannya? Tak mungkin dia yang memainkan piano itu. Mustahil. Tapi mengapa irama lagu klasik yang meruntun perasaan itu harus berkumandang lagi di rumah itu?
Jasman menggosok-gosok tengkuknya. Selama ini tidak pernah terjadi kejadian aneh. Dia bukan lelaki pengecut. Dia tidak pernah takut menghadapi apa saja…
Irama lagu itu membuat ingatannya terus mengembara ke satu masa. Dua tahun lalu ada sesuatu yang berlaku di rumah ini. Tiada sesiapa pun yang tahu melainkan Jasman dan dia. Jasman telah menutup mulut dia untuk selama-lamanya lantas rahsia itu tidak akan diketahui sesiapa pun jua.
Buat pertama kali Jasman merasa gementar untuk menolak daun pintu ke rumah besar itu. Dia berhenti lama di hadapan pintu yang tertutup, berharap bunyi piano itu lenyap dibawa angin. Dia berharap ini semua hanya satu ilusi. Tadi dia telah minum arak walaupun tidak banyak. Dia tahu ada bahaya menunggu sekiranya dia mabuk.
Bunyi piano itu telah hilang. Jasman menunggu, kemudian perlahan-lahan mengeluarkan berkas kunci lalu membuka pintu. Keadaan di ruang tamu samar-samar sahaja. Hanya ada sebuah lampu meja terpasang berdekatan dengan piano. Dan di sisi piano dia melihat wanita itu sedang duduk di sana membaca nota muzik. Begitu manisnya wajah itu dengan rambut yang menghurai ke bahu. Ada kegembiraan yang terpamer.
Jasman terdiam memandang. Suaranya tersekat buat beberapa saat. Dadanya yang gementar beransur hilang. Dia mentertawakan kebodohan diri.
“Apa you buat kat situ? You yang main piano tadi?”
Sheila terkejut mendengar suara Jasman. Dia tidak mendengar bunyi kereta lelaki itu kerana terlalu asyik bermain piano. Dia kagum sendiri menikmati irama yang sungguh indah. Sebuah lagu lama yang sudah jarang-jarang kedengaran.
Dia tahu Jasman akan mengamuk. Tanpa menunggu dia terus memanjat tangga naik ke tingkat atas. Jasman mengejarnya dan sempat merentap tangannya.
“You pandai main piano?” Tanya Jasman. Suaranya sederhana, tidak menunjukkan tanda-tanda marah.
Sheila mengangguk.
“Tadi… Tadi you mainkan lagu tu… Macamana you tahu lagu tu? Lagu tu hanya Kelly yang tahu…” Tanpa sedar dia menyebut nama Kelly. Bibirnya sedikit menggeletar namun dia tidak memperlihatkan getaran itu. Tiba-tiba dia ketawa. Ketawa yang sederhana kuat. Sheila tahu dia buat-buat ketawa.
“Of course you yang mainkan lagu tu. Siapa lagi…” Katanya lebih kepada diri sendiri.
“Jasman! Siapa Kelly?”
Jasman tidak menjawab. Dia terus berjalan menghala ke biliknya.
“Agh! Pergi tidurlah!” Katanya sambil menutup pintu dengan kuat.

ESOKNYA Sheila mendapati Jasman ada di rumah. Dia pergi ke ladang selepas sarapan pagi. Sheila masuk ke perpustakaan. Dia mendapati ada beberapa naskhah surat khabar di atas meja. Ah… Dah tiga hari tak baca surat khabar. Bisik hati Sheila pada dirinya sendiri.
Dia membaca berita tiga hari lepas. Asyik dia membaca sepanjang pagi itu. Dia menyedari setiap hari ada sahaja berita tentang GRO yang diserang dan ditinggalkan dalam keadaan tenat di bilik hotel murah. Sheila menggelengkan kepala. Begitu buruknya aktiviti jenayah di KL sejak kebelakangan ini! Dia membaca berita itu dengan hati geram dan marah. Entah siapa yang sanggup melakukan perbuatan itu…
Jasman pulang ke rumah dan mendapati Sheila masih di perpustakaan membaca akhbar.
“Berita apa yang menarik minat you sehingga duduk mengadap surat khabar tu sejak dari pukul sembilan pagi sampai dua belas tengahari?” Dia bertanya.
“Berita GRO kena seksa sampai separuh mati. Dah tiga orang yang masuk ke hospital. Sehingga kini polis masih gagal menahan pelakunya.”
“Hmmm… Biasalah. Dunia sekarang.” Jawab Jasman.
Sheila memandang Jasman, memerhati riak di wajah lelaki itu. Wajah itu tenang, penuh kepuasan. Sheila cuba mencari sesuatu di sebalik ketenangan itu. Dia tidak bersuara apa-apa, tapi terus merenung Jasman. Lelaki itu membalas pandangannya dengan tajam.
“Apa?” Dia bertanya.
Sheila segera tunduk. Satu bentuk tanda tanya yang besar bermain di dalam kepalanya. Dia merasakan ini semua ada kaitannya dengan Jasman. Jasman tidak puas hati melihat tingkah laku Sheila. Dia mendekati wanita itu. Sheila segera bangun lalu menjauhkan diri.
“Kenapa you lari? I takkan apa-apakan you la. I love you.”
“You tak cintakan mereka? Jadi you boleh ‘apa-apa’kan mereka kan?”
“Apa yang you merepek ni? I tak faham!”
Jasman memegang lengan Sheila. Sheila tidak berani bergerak ataupun meronta. Dia takut kulit badannya yang sudah baik dan mulus akan jadi lebam semula. Berita yang baru dibaca amat menakutkannya. Dia berhadapan dengan suami yang ganas yang akan menyeksanya jika kehendak lelaki itu tidak dituruti. Suaminya persis pelaku yang menyeksa para GRO itu. Memang patut dia berfikiran begitu saat ini…
“Hei! Jangan takutlah. I love you.” Jasman memeluknya dengan lembut.
“You sekarang sedang mengandungkan anak I. Kita akan dapat anak tak lama lagi. Agaknya nama apa yang sesuai? I suka anak lelaki… Apa kata kita namakan dia… Aaaa… Andy Farhan?”
“Gila!” Jawab Sheila dengan wajah memerah dan dada yang gementar.
Jasman ketawa. “You’re blushed Sheila! Setiap kali nama Farhan disebut… Hmmm…I am serius darling. Kita namakan dia Andy Farhan. You boleh dicintai dia, sayangi dia dan rindui dia. I takkan cemburu…” Bisik Jasman sambil memeluknya dengan lebih lembut dan erat.
Namun Sheila tidak terbuai langsung dalam pelukan suaminya lagi. Tidak. Semua tidak seperti dulu lagi… bisik hati Sheila. Namun saat tubuh mereka begitu rapat antara satu sama lain, tangan Sheila tersentuh berkas kunci dalam poket seluar Jasman. Untuk sesaat dia merasa senang dengan pelukan itu. Satu hari dia akan dapat memegang kunci itu dalam genggamannya.
Sheila mengangkat tangannya perlahan-lahan, tetapi dia tersentuh paha Jasman. Dia berharap dapat menyeluk poket seluar suaminya tanpa disedari oleh lelaki itu. Alangkah mustahilnya perkara itu! Bila Jasman terasa tangan Sheila yang menyentuh pahanya, dia memandang Sheila lalu berbisik; “Kita belum pernah pergi honeymoon.”
“Ha…”
“Kita pergi honeymoon.”
“Ke mana?” Tanya Sheila.
“Jakarta, kota keriangan. Macamana?”
“Suka hati you lah.” Jawab Sheila.
“Jom kita akan masuk ke bilik you lebih dulu…”
Jasman benar-benar membawa Sheila berbulan madu ke Jakarta. Jasman nampak gembira. Sesekali Sheila merenung lelaki itu. Dalam renungan panjang itu dia merasakan Jasman yang dicintainya suatu masa dulu sudah kembali. Tapi dia takut untuk terlalu mengharap hal itu berpanjangan. Dia sedar sebaik sahaja pulang ke Estet Bukit Kundang, Jasman akan berubah semula.
Benar sangkaan Sheila… Jasman berubah lagi sebaik sahaja mereka kembali ke Estet Bukit Kundang.


Bab 9

SAAT raut wajah itu menjelma dalam ingatannya, dia terhenti membaca jurnal psikitri yang terbentang di hadapan mata. Sejak kebelakangan ini dia sering terbayangkan wajah itu, terutama senyumannya. Dan tawanya yang mersik selalu hadir di saat-saat yang tidak sepatutnya. Dan setiap kali dia teringat pada wajah itu, konsentrasinya akan terganggu. Dia mengeluh perlahan. Apa sudah jadi pada dirinya kebelakangan ini.
Apakah aku sudah jatuh cinta? Tidak! Aku tak boleh jatuh cinta pada pesakitku sendiri. Sejak memulakan profesion itu dia sudah berjanji tidak akan jatuh cinta pada pesakitnya. Apakah kini dia terpaksa mengorbankan prinsipnya itu?
Dia sedar, usianya sudah hampir 30 tahun. Semasa dia di ambang remaja, pernah sekali dia jatuh cinta. Cinta yang amat menyakitkan berakhir dengan kekecewaan. Sejak itu dia tidak pernah ingin bercinta lagi. Dia tidak menghiraukan kehadiran lelaki yang ingin mengetuk pintu hatinya. Tapi sejak bertemu dengan Andy Farhan, pendiriannya tergugat, perasaannya berubah. Walaupun hatinya cuba menafikan tapi hakikatnya dia memang telah jatuh cinta pada lelaki itu!
Sayangnya, Andy Farhan masih cintakan Sheila.
Doktor Erleta bangun, berjalan mundar mandir di ruang tamu yang luas itu. Hatinya resah gelisah setelah seminggu tidak bertemu dengan Andy Farhan. Mereka tidak punya alasan untuk bertemu lagi. Secara luarannya Andy Farhan telah pulih, sudah boleh kembali bekerja. Tapi Doktor Erleta sendiri tidak pasti dapatkah hatinya menerima perkahwinan Sheila sebagai takdir. Sisa-sisa cintanya terhadap Sheila masih ada… Itu memang diyakini oleh Doktor Erleta dengan sesungguh hati.
Apa yang harus aku buat? Perlukah aku yang memulakannya dulu? Menghubungi dia lalu mengajaknya makan malam? Tak malukah?
Dia memerhati ke arah telefon bimbit yang ada di atas meja. Dia berura-ura hendak menelefon Andy Farhan. Namun tak semena-mena telefon itu berbunyi. Di skrin terpapar nama Andy Farhan. Oh Tuhan! Jerit Doktor Erleta di dalam hatinya. Apakah ini kebetulan atau memang gerak hati kami sama? Saling teringat antara satu sama lain.
“Hello!” Seru Doktor Erleta lembut.
“Doktor! You sibuk ke?”
“Farhan! Berapa I cakap panggil Elly saja…”
“Ops! Sorry. Busy tak malam ni?”
Erleta memandang sahaja ke arah jurnal yang terbuka terletak di atas meja. Dia belum habis membaca jurnal itu tetapi demi Andy Farhan dia sanggup melupakan jurnal itu sejenak.
“Tak. Langsung tak busy. Kenapa?”
“Nak ajak you dinner, kalau you sudi…”
“Apa salahnya. Pukul berapa?”
“Sejam lagi boleh? I will fetch you at nine…”
“OK.”
Aku tak percaya! Kata Doktor Erleta sambil mematikan handphonenya. Malam ni aku akan dinner dengan Andy Farhan! Aku rasa macam mimpi! Baru saja aku memikirkan dirinya, dia akan muncul. Doktor Erleta memerhati ke arah jam yang menunjukkan ke pukul 7.30 malam. Dia berlari ke bilik air untuk membersihkan diri.
Tepat jam sembilan malam, Andy Farhan datang.
Doktor Erleta membuka pintu. Dia menerima sedozen rose berwarna pink yang sedang mekar. Bibirnya terukir senyum. Lelaki itu memang pandai mengambil hati wanita. Agh! Memang mudah untuk jatuh cinta padanya.
“Boleh kita pergi sekarang?” Tanya Andy Farhan sambil menghulur tangannya.
Untuk beberapa saat, Doktor Erleta jadi kaku. Dia tidak lagi berperanan sebagai doktor dan Andy Farhan sebagai pesakitnya. Setiap pertemuan sebelum ini dia tetap menganggap Andy Farhan sebagai pesakit meskipun lelaki itu mengharapkan sebaliknya. Dia mahu dianggap sebagai teman.
Semasa di dalam kereta, tidak banyak yang mereka bualkan. Andy Farhan tekun melarikan keretanya. Katanya mereka akan menikmati makan malam di tempat yang istimewa. Tidak pernah dia membawa mana-mana gadis ke tempat itu! Guraunya sambil mengenyitkan mata.
“You yang pertama…” Katanya lagi diiringi tawa lembut.
Doktor Erleta mengeluh lembut. Dia bosan dengan kebisuan itu tetapi tidak punya idea untuk memulakan perbualan. Gementar sekali rasa hatinya bagaikan pertama kali keluar dating. Oh Tuhan! Dah hampir sepuluh tahun aku tak pernah dating. Macamanalah tak gementar gila! Bisiknya di dalam hati.
“Pasanglah lagu kalau bosan. Ada CD dalam laci dashboard.” Kata Andy Farhan tiba-tiba.
Doktor Erleta tersentak. Dia terus menggagau tangan membuka laci dashboard lalu mengambil sekeping CD. Terus saja dia memasukkan CD ke dalam alat pemain. Tidak lama kemudian kedengaran muzik berdendang lembut diikuti oleh suara lembut dan mersik milik penyanyi Salem.
Sheila… Bila kau terluka
Aku pun terseksa
Betapa besar cinta kita yang terbina
Namun terhalang titik pemisah begitu tingginya.
Sheila… kini ku terbelenggu…
“Oh Tuhan! Tolong matikan lagu tu! Tolong!!!” Jerit Andy Farhan tiba-tiba.
Doktor Erleta yang sedang menikmati lagu terperanjat. Dia terkedu melihat Andy Farhan yang tiba-tiba menjerit, lalu memberhentikan keretanya di tubir jalan. Tergesa-gesa dia mematikan lagu itu, terpinga-pinga sejenak sambil bertanya; “Kenapa?”
“Sheila….” Seru Andy Farhan, sambil memekupkan wajah ke arah setering.
“Oh! I am sorry. I terlupa! Farhan sorry. Tak sangka lagu tu lagu Sheila.”
Sejenak Andy Farhan diam, mengangkat wajahnya lalu memandang jauh. Dia melepaskan keluhan. “Sorry!” Dia memandang wajah Doktor Erleta.
“I tak dapat kawal diri… You kesal? Marah?”
“Taklah. I faham.” Balas Doktor Erleta.
“Kalau you nak cakap tentang dia, I sentiasa bersedia mendengarnya.”
“Tak jemu ke? I rasa I dah luahkan segala-galanya pada you…”
“I dah biasa mendengar masalah orang. Cuma orang yang tak pernah tahu masalah I. Hidup I mudah je…”
“Oh, ya ke?”
Lalu Andy Farhan cuba bertanya tentang masa lalu wanita di sisinya. Apakah cinta selalu buat insan merana? Tidak! Beritahunya dengan tegas Ramai manusia yang menikmati indahnya cinta. Seperti cinta emak dan ayah Doktor Erleta sendiri. Tidak pernah luntur biarpun sudah lama ayahnya pergi.
“Relakan perpisahan tu, Farhan! Siapa tahu suatu hari nanti you akan jatuh cinta lagi. Hidup you jadi lebih bererti. Bukan selama-lamanya roda hidup berada di bawah. Ianya tetap akan kembali berada di atas. Itulah putaran hidup.” Ucap Doktor Erleta. Akhirnya malam itu tetap berakhir dengan pertemuan yang tiada bezanya dengan pertemuan sebelum itu. Doktor Erleta masih menjalankan ‘tugasnya’ menenangkan Andy Farhan yang gelisah. Namun dia rela…
“I harap you betul. I akan jatuh cinta lagi? Pada siapa agaknya? Pada you?” Tanya Andy Farhan, sambil mengerling Doktor Erleta di sisi.
“Hmmm… entahlah! Mungkin!” Balasnya sambil mengangkat bahu. “Hei! Takkan kita nak terus di sini sepanjang malam? Macamana dengan dinner? Perut I dah lapar ni!”
“Ok. I pun lapar juga…” Balas Andy Farhan sambil memutar setering, meneruskan perjalanan yang tergendala.
Semasa menghantar Doktor Erleta ke hadapan pintu, Andy Farhan merenung wajah wanita itu, di bawah sorotan lampu kelam yang sampai ke situ dari arah tepian jalan.
Dia berkata lembut; “You begitu baik, sabar dan memahami. Memang wajar kalau I jatuh cinta pada you, suatu hari nanti. Sebenarnya itulah yang diharapkan oleh bapa I. Dia yang minta I ajak you keluar malam ni. Terus terang I katakan yang I tak ada keinginan langsung untuk bergembira. Dalam erti kata lain, I tak ada hati lagi nak teruskan hidup. I rasa macam diri I dah mati sebenarnya. I berpura-pura depan orang, depan umi dan abah. I mahu diaorang tengok I dah ok. You pun tahu hakikat sebenarnya kan? You ingat I dah dapat lupakan Sheila? Tak semudah itu, Elly.”
Doktor Erleta tidak terkejut mendengar ungkapan itu. Dia terdiam agak lama. Dia menelan airliur pahit. Pandangan mata Andy Farhan dibalasnya. Dapat dia rasakan bahawa lelaki itu seperti ingin menangis dan meraung.
“I tahu…Memang tak mudah you melupakan wanita yang istimewa macam Sheila.” Jawabnya lembut. “Kalau you nak bercerita tentang dia sepanjang malam ni pun, I sanggup dengar.”
Andy Farhan tertawa dalam sendu. “Jangan buat perkara gila. Esok you akan buka klinik kan?”
“I tak tidur pun sanggup, asalkan you tenang. I takkan lepaskan you balik dalam keadaan macam ni.”
“I belum mabuk Elly. Tadi I tak ambil minuman keras.”
“Ingat ya! Bukan hanya minuman keras yang memabukkan! Cinta juga boleh buat orang mabuk dan gila.”
Andy Farhan ketawa. Doktor Erleta mengajaknya masuk ke dalam rumah. Buru-buru dia menyediakan minuman dan biskut. Andy Farhan duduk sendirian di ruang tamu, sambil membelek sebuah buku tebal yang ada di atas meja kopi. Sambil minum mereka berbual kosong. Sebenarnya Doktor Erleta memang mengharap untuk bersama dengan Andy Farhan lebih lama di rumah itu.
“Tak boring tinggal sorang?” Tanya Andy Farhan sambil memerhati sekeliling ruang tamu.
“Dah biasa.” Jawab Doktor Erleta sambil tersenyum hingga lesung pipit di pipinya muncul, menyerikan wajahnya.
“Sesekali pernah tak you terfikir inginkan teman hidup? Masakan tak sunyi duduk seorang diri macam ni!”
“Kalau dah biasa perkara itu tak lagi menjadi persoalan besar.”
“You ramai kawan-kawan?”
Doktor Erleta terdiam sejenak. Dia tidak punya ramai kawan-kawan. Di bandar itu boleh dikira dengan jari. Dia tidak pernah rapat dengan sesiapa… Dia sedar, dia tidak punya ramai kawan, tetapi hidupnya tidak sepi. Dia gembira dengan cara hidupnya sekarang. Dia bahagia dengan apa yang dilaluinya sekian tahun. Cuma sejak bertemu dengan Andy Farhan… dia merasakan satu kelainan. Tiba-tiba dia inginkan satu perubahan.
Dia menggeleng. “Sebenarnya kalau kita memiliki satu atau dua orang kawan baik itu sudah cukup daripada memiliki ramai kawan tetapi tidak dapat menolong di saat kita dalam kesusahan.”
“I rasa you betul… Ramai kawan pun tiada gunanya apabila mereka hanya mempergunakan kita, memperalatkan kita untuk kepentingan mereka sendiri.” Kata Andy Farhan lalu menceritakan dia pernah punya ramai teman-teman baik, tetapi meninggalkannya apabila dia dalam kesulitan.
Doktor Erleta mengangguk. Dia menuang lagi minuman ke dalam cawan. Teko kecil itu mula kosong setelah beberapa kali dituang ke dalam cawannya dan juga Andy Farhan. Mereka masih cuba untuk meneruskan perbualan yang terasa kian membosankan.
Doktor Erleta meminta diri untuk ke dapur semula bagi mendapatkan air. Andy Farhan hanya mengangguk sahaja. Semasa Doktor Erleta kembali ke ruang tamu semula sepuluh minit kemudian, dia mendapati Andy Farhan telah pun tertidur di sofa.
Dia memerhati sahaja wajah lelaki itu yang tertidur dalam keadaan duduk. Kasihan melihat wajah itu yang kelihatan letih tetapi memaksa dirinya terus bertenaga. Sebenarnya dia sudah lelah menghadapi hidup yang payah. Semakin lama semangatnya kian pudar, hilang bersama pemergian orang yang disayanginya.
Biarlah dia tidur di situ… Bisik Doktor Erleta sendiri sambil perlahan-lahan membetulkan tubuh lelaki agar dia berbaring selesa di atas sofa. Dia memadam lampu, lalu berjalan masuk ke kamarnya sendiri. Dia juga perlu rehat dan tidur kerana jam sudah beranjak ke pukul dua belas tengah malam.
Sejam berlalu tanpa sedar, Doktor Erleta langsung tidak dapat melelapkan matanya. Lelaki idamannya, yang menjadi igauannya ada bersamanya di dalam rumah itu. Lelaki itu sedang tidur nyenyak di sofa miliknya di ruang tamu. Dia tidak dapat tidur memikirkan sesuatu… Apa akan terjadi sekiranya Andy Farhan terbangun?
Doktor Erleta resah gelisah. Dia memasang lampu, turun dari katil lalu berjalan menghala ke ruang tamu. Lampu yang terletak di atas meja sudut ruang dipasang. Cahaya kelam menyoroti wajah lelaki yang sedang tertidur di sofa. Lelaki itu mengeluh perlahan dalam tidur yang dipenuhi dengan mimpi luka.
Perlahan desah suaranya terdengar… Sheila.
Doktor Erleta mendekati, lalu duduk di sisi Andy Farhan. Tangannya spontan mengelus rambut lelaki itu dengan lembut. Belaian lembut itu kian meresahkan Andy Farhan yang masih dibuai mimpi. Suaranya mendesah lembut, merayu; “Sheila, jangan tinggalkan abang…”
“Tak bang… Sheila ada di sini. Di sisi abang selalu.” Jawabnya.
“Sheila! Abang bermimpi lagi?”
“Tak bang. Ini semua bukan mimpi.”
Doktor Erleta meletakkan kepalanya di dada Andy Farhan, terdengar degup jantungnya yang deras berlari. Dan entah dorongan apa dia dengan berani mendekatkan bibirnya permukaan bibir lelaki itu. Terasa bibirnya sungguh lembut dan nafasnya hangat. Andy Farhan terjaga. Dia membalas kucupan itu dengan ghairah, bagaikan lupa antara tidur dan jaga.
Cahaya yang suram memperdaya diri dan mindanya. Dia membayangkan Sheila benar-benar ada bersamanya sekarang. Sedang memeluk dan memberikan kucupan-kucupan hangat di seluruh wajahnya. Dia membalas kucupan itu. Saat dia mahu membuka baju tidur wanita itu, dia tidak membantah malah membenarkan semua dengan rela. Dan tanpa sedar juga mereka berdua sudah pun bersama di atas permaidani yang terbentang.
Akhirnya peluh pun memercik dari tubuh masing-masing. Saat itu Andy Farhan tersedar dia bersama siapa sebentar tadi. Dia memandang kosong ke arah siling begitu lama, mencari kata-kata paling sesuai namun tiada. Dia menyesal yang amat sangat.
“Elly… I… I bersalah pada you.”
“Shhhh… Jangan ucapkan itu!” Kata Doktor Erleta tanpa rasa kesal di hati walaupun sedikit. Biarpun ini yang pertama kali baginya, tapi dia tidak pernah menyesalinya. Dia tahu Andy Farhan lelaki yang bertanggungjawab.
“Tapi I harus katakannya juga. I rasa menyesal. Maafkan I Elly.”
Erleta mengangguk. “OK. Jangan disebut lagi… I juga bersalah Farhan.”
“Tapi kenapa Elly? Kenapa you mahu melakukannya?”
“I love you, Farhan!” Ucap Doktor Erleta tanpa rasa malu.
Andy Farhan memandang Doktor Erleta. Wajah perempuan itu terlihat begitu cantik dalam suram cahaya yang agak jauh dari mereka. Fikirannya tidak lagi bercelaru. Kian lama kian jernih saat dia mengucapkan kata; “I akan beritahu abah, I bersedia untuk mengahwini you.”
Andy Farhan terus bangun, memakai baju dan seluarnya dengan cepat lalu berjalan ke pintu.
Tetapi Doktor Erleta menahannya. “Jangan balik Farhan! Tidur saja di sini. Dah pukul berapa ni?”
“Tak kira pukul berapa, I mesti balik.”
“OK.” Doktor Erleta melepaskan Andy Farhan pulang dengan hati yang berat. Namun kemudian dia rasa lega. Uncle Bahtiar tidak lama lagi akan menjadi bapa mertua! Sesungguhnya dia tidak pernah menduga… sehinggalah malam ini, dia akan mengahwini Andy Farhan dan menjadi ahli keluarga Bahtiar, salah seorang lelaki yang kaya, berharta dan berpengaruh di daerah itu.


Bab 10

PAGI itu, Bob membentak-bentak enggan pergi ke sekolah. Katanya dia mahu ke rumah Tuan Jasman. Rogayah rasa hairan melihat tingkah laku anak lelaki itu.
“Kenapa kau nak ke rumah tu? Kau suka bermain di sana?”
“Ya. Bob suka pada makcik tu! Dia cantik…”
“Makcik mana pulak ni?” Tanya Rogayah sambil mengemas bantal dan melipat selimut Bob. Anak itu duduk di satu sudut, enggan untuk masuk ke bilik mandi dan memakai baju sekolah.
“Isteri Tuan Jasman.”
Wajah Rogayah berubah. Dia memandang tepat ke wajah anak lelaki itu dengan pandangan tajam sambil berkata; “Jangan merepek! Jangan buat perangai! Cepat pergi mandi, pakai baju sekolah. Kalau kau tak mahu pergi… mak rotan!”
Bob jadi takut apabila digertak dengan rotan. Cepat-cepat dia masuk ke bilik mandi. Rogayah terus ke dapur. Selepas subuh tadi dia sudah membuat cucur pisang. Di dapur Jamil sedang minum pagi.
“Dah berapa hari buat perangai tak mahu pergi sekolah…” Rungut Rogayah. “Katanya nak pergi rumah Tuan Jasman.”
Jamil memandang tepat ke wajah isterinya tetapi dia tidak berkata apa-apa. Dibiarkannya wajah Rogayah yang dipenuhi rasa hairan.
“Tuan dah kahwin lagi?” Tanya Rogayah ingin tahu.
Jamil terus mengunyah cucur pisang seolah-olah dia tidak mendengar kata-kata Rogayah. Dia pun tidak tahu apa yang harus dikatakan. Tuan Jasman tidak pernah memberitahunya siapakah wanita muda itu. Mungkin wanita itu isterinya. Mungkin juga bukan. Memang ada sesekali dua dia membawa pulang perempuan ke rumah itu. Tapi selalunya mereka bertukar ganti dan tidak pernah menginap lama. Kini perempuan itu sudah hampir tiga bulan tinggal bersama Jasman. Jamil juga tahu perempuan itu mengandung. Mungkin benar perempuan itu isterinya. Masih diingatnya dengan jelas Jasman memberi amaran agar tidak mendekati perempuan itu ataupun bercakap dengannya.
Dia tahu nama perempuan itu. Sheila. Dia terdengar Jasman sendiri menyebut nama itu. Sesekali dia engkar juga pada kata-kata Jasman. Beberapa kali pula dia melanggar arahan tuannya itu disebabkan rasa simpatinya yang kian melaut terhadap perempuan cantik itu. Mengapa Jasman memperlakukan dia seperti itu jika benar perempuan itu adalah isterinya?
“Agaknya lah… Abang pun tak tahu.” Jawabnya dengan gaya malas.
“Hisy! Abang ni semua tak tahu. Tuan Jasman tak beritahu apa-apa ke?”
“Tak ada pula. Abang hanya buat kerja abang je. Tak kuasa abang nak ambil tahu hal dia… Dia nak kahwin lagi… Itu dia punya pasal. Yang penting abang tak hilang kerja. Gajinya mahal dan kerjanya senang.”
Jamil menyudahkan minumannya lalu terus keluar dari rumah. Benar… Dia tidak mahu ambil tahu walaupun semua perkara yang berlaku dalam rumah itu tidak terlepas dari pengetahuannya. Untuk apa dia beria-ria membuka cerita? Tiada gunanya dia berbuat demikian. Dia juga yang akan rugi! Selagi Jasman percaya dan tidak meraguinya, dia akan terus setia pada lelaki itu, tanpa perasaan belah bahagi.

SEMANGATNYA terbang apabila terasa tepukan kuat di bahu kiri. Matanya yang terpaku ke arah penyanyi di pentas segera beralih ke belakang. Dalam suara hingar dengan gelak tawa dan muzik yang bergema kuat dia terdengar sapaan lelaki itu; “Jasman! Lama tak jumpa!”
Mata mereka bertentangan buat beberapa saat, kemudian dia mengukir senyum lebar sambil menghulur tangan. “Taklah lama, baru beberapa bulan aje. Aku rasa lebih kurang tiga atau empat bulan.”
“Lebih tepat tiga bulan, dua minggu!”
“Tajam betul ingatan kau, Zif!” Balas Jasman sambil cuba untuk tertawa.
Inspektor Razif mengangkat keningnya sambil duduk di atas stool di sisi temannya menghadapi bar yang sesak. Kelihatan bar tender sedang sibuk mengadun minuman. Inspektor Razif meminta segelas coke.
“Ke mana menghilang?” Tanya Inspektor Razif.
Jasman rasa terganggu mendengar pertanyaan itu. Dia bencikan sikap lelaki itu yang selalu menyoal sehingga hatinya puas. Dia juga muncul di saat Jasman tidak mengharapkannya sama sekali.
“Aku tak hilang ke mana-mana. Balik kampung.”
“Balik kampung? Kampung kau kat Muar kan? Buat apa balik kampung? Ehhh… Apa khabar isteri kau yang cantik tu. Sheila…”
“Tengah mabuk, mengandung sulung…”
“Wah! Tahniah! Tak lama lagi kau akan jadi bapak orang. Biar aku belanja kau minum malam ni…” Kata Inspektor Razif.
Jasman tidak menjawab. Jahanam! Kenapa malam ini harus bertemu dengan lelaki ini. Dia sengaja lari jauh supaya mereka tidak perlu bertemu di mana-mana, tapi ternyata Kuala Lumpur begitu kecil.
“Tak sangka jumpa kat sini. Aku selalu lepak sini, hampir tiap-tiap malam tapi tak pernah pun terserempak dengan engkau! Kau buat apa di sini lewat malam macam ni?” Tanya Inspektor Razif sambil memerhati sekeliling. Ruang itu sesak dikepung asap rokok dan pelbagai bau yang terbit dari tubuh manusia di dalamnya.
Jasman tidak segera menjawab. Bosan dia kerana kawannya itu tidak dapat melepaskan diri daripada sikap ingin tahu yang sentiasa membuak-buak.
“Sengaja, dah lama tak turun KL. Sesekali cari hiburan sikit. Ya ke dah lewat?” Jasman pura-pura melihat jam di pergelangan tangan. “KL tak pernah tidur. Hiburan tidak pernah berhenti.”
“Yang di rumah tu dah tak menghiburkan ke?”
“Hmmm… Kalau dah mula bercerita pasal anak cucu, menghiburkan apa?”
Inspektor Razif ketawa. “Orang perempuan! Cepat tua sebelum waktunya.” Katanya di hujung tawa.
“Kau pulak buat apa?”
“Aku… Macam biasalah. Bertugas.” Jawabnya selamba.
Jasman memerhati sahaja Inspektor Razif yang berpakaian biasa malam itu. Kemeja dan jaket kulit membalut tubuh yang sederhana. Dia tidak terlalu sasa tetapi Jasman tahu, dada lelaki itu bukanlah kosong. Dia mahir ilmu mempertahankan diri. Dan di dalam bajunya tersimpan pistol.
Memang dia akui, anggota polis kerap masuk ke mana-mana pub ataupun disko dengan pakaian biasa untuk mencari dan mendapatkan maklumat. Cuma sekarang dia tidak tahu apakah maklumat yang dicari-cari oleh temannya itu.
“Aku dah balik bertugas di ibu pejabat. Dah sebulan lebih. Ada beberapa kes yang sedang aku siasat sekarang…”
“Kes apa?”
“Heh! Kau tak baca surat khabar ke? Apa orang Muar tak ada jual surat khabar?” Tanya Inspektor Razif sambil tertawa mengejek. “Tu la balik kampung, sampai tak tahu apa-apa. Kau buat apa kat kampung?”
Jasman diam. Hatinya panas kerana seenaknya saja Inspektor Razif menyindirnya. Tidak ingin dia menjawab pertanyaan itu. Dia terasa seperti sedang diintergerasi oleh lelaki itu. Agh! Aku bukan penjenayah! Bukan. Aneh! Dia menegaskan perkataan bukan itu sebanyak dua kali di dalam hatinya. Dia cuba menafikan sekeras-kerasnya. Tak perlu takut. Hadapi sahaja lelaki ini dengan berani. Mereka sudah kenal lama, bertahun-tahun. Malah dia sudah tahu dan faham benar rentak lelaki di hadapannya itu.
“Bisnes.” Jawabnya sepatah.
Inspektor Razif meneliti wajahnya sejenak kemudian tersenyum. “Baguslah!” Jawabnya kemudian melanjutkan pertanyaan; “Bisnes apa?”
“Getah! Harga getah mahal sekarang…” Jawab Jasman tanpa teragak-agak.
Inspektor Razif mengangguk. “Bukan hanya getah. Semua barang mahal sekarang. Hmmm… kadang-kadang bosan juga kerja macam aku ni, tak tentu masa. Balik malam-malam buta. Nak jumpa anak bini pun susah. Balik anak bini dah tidur. Pergi kerja pun mereka masih tidur juga.” Dia melepaskan keluhan. “Aku ingat kalau dah pencen, nak buka bisnes jugalah macam engkau.”
Inspektor Razif memerhati sekeliling. Nampak matanya tertarik ke arah seorang gadis muda yang duduk ditemani oleh beberapa orang lelaki. Kelihatan gadis itu begitu manja melayani pelanggan-pelanggan mereka tanpa segan silu kepada sesiapa.
“Hmmm… daring sangat! Sebab tulah kena…” Kata Inspektor Razif menggelengkan kepala. “Ada dengar pasal GRO yang kena serang dan ditinggalkan separuh mati di hotel tu?”
Dahi Jasman berkerut. Mujur perubahan airmukanya tidak dapat dilihat oleh rakannya itu kerana cahaya lampu pelbagai warna yang mengepung mereka, membuat wajahnya kelihatan serupa.
Dia mengangguk. “Ada juga terbaca dalam suratkhabar hari tu…” Jawabnya sambil menjentik asap rokok ke dalam astray.
“Yang terbaru teruk GRO tu kena… Habis satu badan kena cucuh dengan api rokok. Nasib baik tak mati.”
Jasman terus menonyoh puntung rokok yang masih panjang ke dalam astray. Inspektor Razif memerhati sahaja. Jasman meneguk minumannya hingga habis.
“Terima kasih belanja minum!” Katanya sambil bangun. “Nak baliklah! Dah mengantuk.”
“Balik Muar ke?”
“Taklah. Aku banyak rumah kat KL ni!” Jawab Jasman sambil ketawa. Dia yakin Inspektor Razif tidak akan faham maksud kata-katanya itu.
Inspektor Razif melonjak bangun, lalu mengekorinya keluar daripada pub yang terletak di Jalan Bukit Bintang itu.
“Eh, apa maksud kau…”
“Maksud aku tu…” Tunjuk Jasman ke arah beberapa buah hotel yang ada di jalan itu. “Selamat malam. Aku nak tidur. Pagi esok nak balik Muar.” Dia mengangkat tangannya berjalan lambat menghala ke kereta yang parkir tidak jauh dari situ. Inspektor Razif tidak masuk semula ke dalam pub, sebaliknya dia turut bergerak ke kereta. Dia juga mahu pulang.

HAMID hampir-hampir putus asa. Dia telah gagal dalam melaksanakan tugasnya. Dia harus mengakui hakikat itu. Berbulan-bulan dia berada di kota ini tanpa sebarang petunjuk, hanya secebis harapan. Suatu masa dia terlihat kereta Sheila tetapi dipandu oleh lelaki lain. Jelas sekali bukan lelaki di dalam gambar yang diberikan oleh Bahtiar kepadanya. Daripada maklumat yang didapatinya daripada Bahtiar, memang nyata kereta itu milik Sheila. Berhari-hari dia mengekori lelaki itu, akhirnya mendapati usaha itu sia-sia. Dia tidak dapat bertemu dan bercakap dengan lelaki itu. Lelaki itu telah hilang begitu sahaja dari pandangannya setelah sedar dia mengekori sepanjang hari.
Malam itu, harapannya kembali berbunga saat dia terpandang seraut wajah Jasman sedang berbual-bual dengan Inspektor Razif. Dia tersentap sejenak. Jasman berkawan baik dengan Inspektor Razif? Mereka kelihatan begitu mesra. Namun Hamid membuat keputusan untuk mengekori Jasman tanpa mengira waktu yang hampir mencecah dinihari.
Kereta tidak banyak dijalanan. Dalam jarak yang selamat, Hamid terus mengekori Jasman tanpa disedari oleh lelaki itu. Kereta Jasman memasuki satu kawasan perumahan di Jalan 14/60, PJ. Kereta Jasman berhenti di bawah porch. Lelaki itu keluar menutup pintu pagar, sambil matanya memandang sekali imbas ke arah jalan kemudian buru-buru masuk ke dalam rumah. Hamid memberhentikan keretanya di tubir jalan, merendahkan badannya supaya Jasman tidak menyedari dirinya sedang diperhati.
Hamid memerhati rumah yang baru dimasuki Jasman memang gelap gelita menandakan bahawa rumah itu memang tidak berpenghuni. Tidak lama kemudian kelihatan cahaya lampu menerangi bilik yang terletak di bahagian hadapan menghadapi jalan raya. Sejam kemudian lampu masih terpasang terang. Jasman masih belum tidur. Entah apa yang dilakukannya? Perlukah aku masuk untuk menyiasat? Soal hati Hamid. Atau dia harus berlalu pergi sahaja? Sekurang-kurangnya dia sudah tahu di mana Jasman tinggal. Agh! Aku harus pergi siasat untuk memuaskan hati Bahtiar. Kalau ada peluang, aku akan habiskan dia… fikir Hamid, sambil membuka pintu keretanya dan menutup pintu keretanya perlahan sekali.
Bahtiar mesti rasa bangga dengan tindakan aku ni! Aku tidak akan mengecewakannya! Aku harus buktikan pada Bahtiar, aku masih gagah persis waktu muda dahulu. Bukan sedikit komunis yang mati di tanganku. Berbulan-bulan aku mampu hidup di hutan belantara. Masakan aku tak boleh hidup di hutan batu ini!
Memang dia telah membuktikannya. Tiga bulan dia berada di situ… Setiap kesulitan ditanganinya sendiri tanpa perlu mengadu kepada Bahtiar. Bahtiar harus rasa bangga, kerana tidak lama lagi misi dan tugasannya akan selesai. Dia telah menemui Jasman. Tidak lama dia akan menemui Sheila juga…
Dia terus berjalan perlahan-lahan, berhati-hati ke arah rumah yang tidak jauh di seberang jalan. Saat dia tiba di hadapan pagar, lampu di bilik Jasman padam. Hamid mendongak ke atas. Gelap. Hanya cahaya lampu jalan yang agak jauh dari itu rumah menerangi. Hamid memanjat pagar yang tidak begitu tinggi. Akhirnya dia berada di bawah porch di sisi kereta Jasman.
Di dalam bilik di atas Jasman, menguak langsir tingkap. Dia memang sedar kereta yang mengekorinya sejak tadi. Dia tahu lelaki itu sudah pun masuk ke ke dalam kawasan rumah itu. Dia sengaja tidak mengunci pintu depan. Lelaki itu akan masuk ke dalam perangkapnya. Dia ingin tahu, kenapa lelaki itu mengekorinya. Siapa yang telah mengupahnya? Apakah lelaki itu adalah orang Inspektor Razif….


Bab 11

DOKTOR ERLETA berbaring di sisi suaminya, pada malam pertama mereka. Siang tadi mereka diijab kabul dengan penuh meriah. Dengan iringan doa restu daripada kedua-dua belah keluarga membuat dia rasa dijulang bahagia. Andy Farhan juga tersenyum mesra mengadapi setiap tetamu. Dia berharap kegembiraan Andy Farhan bukan satu kepura-puraan.
“Kenapa diam saja? Katakan sesuatu. You mahu I lakukan apa-apa untuk you?”
Andy Farhan menggeleng. “Jangan buat apa-apa. You dah terlalu banyak mengorbankan diri you demi I. I tak tahu samada I mampu untuk membalasnya.”
“Walau pun bukan sekarang, I harap satu hari nanti you dapat berikan cinta you pada I.”
“Kalau I mampu, itulah yang ingin I lakukan. You terlalu baik untuk disakiti Elly. I akan cuba membahagiakan you. Sekiranya I gagal, you maafkan I, okey?”
“Okey.” Doktor Erleta mengangguk sambil tersenyum.
“You tahu, I pernah berkahwin. I dah memiliki dua orang isteri. Isteri pertama I Mazlina, seorang wanita yang cantik. Kami berkahwin kerana umi sukakan dia… Amat sukakan dia!”
“Macamana dengan you sendiri? Tak sayang dan cintakan dia?”
“I pernah cuba jadi seorang suami yang baik, belajar mencintai dia. Sayangnya I gagal. Kali ini I tak tahu apakah I akan gagal lagi atau pun berjaya untuk mencapai erti bahagia.” Jawab Andy Farhan.
“Mazlina seorang isteri yang sempurna?” Tanya Doktor Erleta sambil mengerling Andy Farhan yang berbaring di sisi. Doktor Erleta masih mengenakan gaun pengantin putih bersih sementara Andy Farhan dengan sepasang lounge suit hitamnya. Mereka berdua keletihan menghadapi tetamu dan majlis selesai pada jam dua belas tengah malam. Mereka terus berbaring, meluruskan badan sebaik sahaja masuk ke kamar pengantin.
Memang kisah hidup lelaki itu bukan asing bagi Doktor Erleta. Dia pernah membaca kisah mereka di akhbar. Apalagi dia baik dan rapat dengan Bahtiar. Dia tahu segala yang berlaku, pembunuhan tragis itu yang berlaku di rumah ini pada tahun lepas. Tiba-tiba dia tersentap. Apakah Mazlina mati di kamar ini?
Andy Farhan menggeleng. “Mengecewakan. Terlalu menyakitkan…” Dia memandang jauh bagaikan cuba mengutip semula serpihan memori yang sudah berkecai.
“Dia mati dibunuh di rumah ni… betul kan? Di bilik ni ke Farhan?” Tanya Doktor Erleta sambil mengangkat kepalanya merenung ke dalam mata Andy Farhan. Lelaki itu membalas pandangannya, secalit senyuman tersungging. “Kenapa? You takut?”
“Ya… sedikit!” Balasnya sambil senyum dibuat-buat.
“Bukan di bilik ni. Di bilik tingkat bawah. I pun dah lama tak tidur di bilik tu. Umi dah jadikan bilik tu sebagai stor. Rasanya tak pernah sesiapa tidur di situ lagi sejak kejadian itu. Tapi percayalah… Tak pernah ada kejadian yang aneh di dalam rumah ni, Elly!” Terang Andy Farhan. Tiba-tiba dia tertawa. “Kalau ada pun I tak takut!”
Doktor Erleta mengangguk. “Ketakutan itu ciptaan kita sendiri, sehingga kita mengkhayalkan sesuatu yang tak wujud. Walaupun alam mistik tu ada, tapi rasanya tak mudah untuk kita memasuki dunia mereka. Begitu juga mereka tak kan mudah menembusi dunia kita…”
“Betul doktor! Ketakutan itu ciptaan kita sendiri… Ciptaan jiwa kita yang terlalu kecil dan terpencil.”
“Seperti yang you pernah rasa semasa you ditinggalkan Sheila…”
Mendengar nama Sheila, mood Andy Farhan berubah. Dia mengeluh. Doktor Erleta tertanya-tanya apakah nama itu masih melekat dengan begitu kuat seperti gam yang tidak boleh ditanggalkan. Atau suatu hari nanti nama itu akan terpadam terus dari ingatan apabila hidupnya diisi oleh seseorang yang benar-benar bermakna. Siapakah orang itu? Jika seorang isteri tidak mampu menandingi diri Sheila, bagaimana dengan seorang anak kecil? Anaknya dan Andy Farhan.
Doktor Erleta merenung wajah suaminya sambil berkata; “I ingin sekali menyembuhkan luka you yang dalam, yang masih berdarah. Izinkan I membaluti luka itu dengan tangan I sendiri. Sedikit demi sedikit I harap you akan menghakiskan nama Sheila daripada ingatan you, Farhan. Dia adalah cebisan sejarah daripada masa lalu. I bersama you sekarang dan Sheila bersama dengan lelaki lain yang lebih dia cintai.” Doktor Erleta mengingatkan Andy Farhan. Malam ini dia tidak akan memujuk lelaki itu lagi. Malah dia berusaha keras memujuk hatinya sendiri.
“I tengah mencubalah ni… Tapi you pula mengingatkan I padanya. You suka mencabar diri you sendiri?”
Doktor Erleta diam sejenak. “Farhan, kalau boleh I mahu you menyediakan satu daerah paling besar dalam hati you untuk I.”
“Sayang sekali ianya masih belum ada. Tapi mahukah you menunggu?”
“Sudah tentu I akan tunggu. Apalagi kini kita sudah pun berkahwin.” Kata Doktor Erleta sambil memeluk pinggang Andy Farhan. Perlahan lelaki itu merungkai tangan Doktor Erleta lalu bangun. Dia berjalan ke arah tingkap kamar, memerhati langit malam yang cerah. Dia termenung jauh, merenung bintang. Suatu perbuatan yang sudah lama tidak dilakukannya. Dalam hati ini penuh dengan kenangan lama. Bayangan itu enggan hilang dari mata. Setiap saat dirinya terseksa.
“Malam ni I mahu berjanji…”
“Lebih baik jangan berjanji apa-apa Elly. Walaupun kita sudah jadi suami isteri… Kita adalah kawan baik. Sahabat… Tapi kita takkan jadi kekasih. You faham kan?”
Doktor Erleta mengangguk. “OK.”
“Kalau suatu hari nanti, perasaan I berubah, I akan beritahu you. Suatu masa kalau I benar-benar jatuh cinta sekali lagi, I harap orang itu adalah isteri I sendiri.”
“Terima kasih Farhan.” Balas Doktor Erleta sambil mendekati Andy Farhan, memeluk pinggangnya dengan lembut, menadahkan wajahnya merenung mata lelaki itu. “I akan tunggu hari itu tiba dan I tak akan memaksa. Percayalah, I seorang yang penuh pengertian…”
Andy Farhan mengucup dahi isterinya dengan lembut. “Terima kasih.”
Malam itu mereka sama-sama berkongsi katil dan bantal, tapi tidak akan pernah berkongsi mimpi. Andy Farhan berbaring dengan mata merenung siling yang ditelan kegelapan. Hanya mengingati satu-satunya perempuan yang hadir dalam hidupnya. Seluruh cinta dan dirinya milik wanita itu… bukan wanita yang terbaring di sisinya sekarang. Bukan. Barangkali selama-lamanya wanita itu akan terus menunggu penuh sabar.
Andy Farhan mengeluh. Maaf, Elly… Malam ni adalah malam pengantin yang pahit bagimu.
Tak mengapa Farhan! Begitu Doktor Erleta membalas di dalam hatinya sambil mengiringkan tubuh ke arah Andy Farhan. Malam ini malam pengantin yang tiada kemanisannya. Malam yang aku akan kenang sepanjang hayatku. Barangkali aku perlu menjadi setitis air yang tidak jemu jatuh menimpa batu, sehingga akhirnya batu itu menjadi lekuk. Aku akan berjaya suatu hari nanti… Dengan ingatan itu Doktor Erleta tertidur di sisi suaminya tanpa sebarang janji tentang kebahagiaan.


SHEILA mendapati perpustakaan berkunci rapat. Dia terbangun awal dinihari, tercari-cari bahan untuk membaca. Dia tidak sedar pukul berapa Jasman pulang malam semalam. Jasman hilang selama dua hari, balik lewat malam semalam ketika Sheila sudah pun tidur. Mengapa Jasman mengunci pintu perpustakaan ini?
Sheila kecewa benar. Dia tidak dapat memujuk matanya supaya tidur. Jika dia dapat membaca, sekurang-kurangnya hilang juga rasa bosan menanti hari siang. Akhirnya dia kembali ke bilik tidur, berbaring sambil merenung siling.
Sesekali dia meraba-raba perutnya yang kian membonjol. Tubuhnya sekarang langsung tidak cantik. Bengkak di kebanyakan bahagian tubuh. Pipinya juga tembam. Namun hatinya senang. Dia sering mengajak bayinya berbicara. Dia yakin bayi itu perempuan. Dalam diam dia telah pun memilih nama untuk bayinya itu. Nurul Farhana. Dia suka nama itu. Hatinya sakit apabila teringatkan sindiran Jasman yang meminta dia menamakan anak di dalam perutnya Andy Farhan. Bukannya Sheila tidak tahu, itu hanya omongan kosong.
Sampai masanya pasti Jasman akan mengubah fikiran. Masakan dia mahu menamakan anak itu dengan nama abang Farhan, bisik hati Sheila. Hana! Bisiknya. Kita akan larikan diri dari rumah ni! Ayah kau dah gila… Ibu tak tahan kena dera. Percayalah, kita boleh hidup sendiri. Berdua sahaja!
Dia rasa bahagia mengingatkan angan-angannya yang dipasang itu akan menjadi kenyataan. Ibu akan ajar kau tentang hidup dan tentang lelaki. Lelaki yang baik, satu-satunya yang ada di dunia ini adalah pakcikmu, nak. Dia lelaki yang ibu cintai. Tapi ibu yakin, dia tidak lagi mencintai ibu. Dia pasti membenci ibu kerana ibu menghancurkan harapan dan impannya. Ibu melukakan hati dan perasaannya. Ibu tak layak hidup bersama dengannya kerana ibu begitu hina.
Sudah lama dia tidak mengingati Andy Farhan, Zaiton dan Bahtiar. Dia tidak mahu mengingati mereka semua. Dia sudah lama meninggalkan kenangan itu jauh di belakang. Dia hanya ingin memandang ke hadapan. Di sana masih adakah kebahagiaan untuknya?
Sheila menguap beberapa kali. Rasa mengantuknya datang menyerang semula. Semasa dia hampir-hampir terlelap dia terdengar bunyi ketukan di dinding yang begitu kuat. Dia tersentap. Ehhh… apakah benar dia mendengar bunyi ketukan tadi? Dari manakah datangnya bunyi ketukan yang kuat itu? Dia terpinga-pinga memerhati.
Ahhh… Mungkin khayalannya saja. Dia cuba melelapkan mata semula. Tidak lama kemudian dia masih mendengar bunyi itu. Dia menolak selimut ke tepi lalu keluar dari bilik tidur. Serentak dia juga mendengar daun pintu bilik Jasman terbuka. Sheila cepat-cepat menutup lampu dan pintu bilik. Dia takut Jasman perasan yang dia telah lama terjaga. Dia mengintai dari celah daun pintu, melihat Jasman berjalan ke arah perpustakaan. Jasman mengeluarkan berkas kunci, membuka pintu lalu masuk ke dalam.
Lama dia menunggu tapi Jasman tidak langsung keluar dari perpustakaan. Apa yang dia buat di dalamnya. Apakah bunyi itu datangnya dari perpustakaan? Tapi bunyi apakah itu? Mengapa pula perpustakaan yang selalunya tidak berkunci tetapi kini dikunci oleh lelaki itu? Soalan-soalan yang bermain di dalam kepalanya tidak pernah mendapatkan sebarang jawapan. Pagi itu sekali lagi Jasman meninggalkan rumah dengan memecut laju. Sheila yakin lelaki itu bukannya hendak ke ladang, kerana dia berpakaian kemas sekali.
Sheila tidak peduli ke mana saja Jasman ingin pergi. Perkara paling penting, Jasman tidak mengunci bilik tidurnya. Jadi dia bebas untuk keluar dan turun ke tingkat ke bawah. Sheila menyelinap keluar tanpa pengetahuan Jamil. Dia kini berada di tengah-tengah halaman sambil memegang handphonenya. Dia memerhati permukaan skrin dengan dada berdebar-debar.
Tiga bar… tiga bar… Pintanya sambil berjalan terus ke hadapan. Yes! Dia terjerit sendiri apabila handphone menunjukkan bahawa dia boleh membuat panggilan. Cepat dia menekan nombor telefon. Hanya nama itu yang terlintas dalam ingatannya saat itu. Puas dia menunggu tapi tiada jawapan balas daripada lelaki itu. Dia terus mencuba…
Takkanlah tak bangun lagi… bisik hatinya tidak keruan. Dah pukul sembilan pagi ni! Biasanya abang Farhan dah ke pejabat. Dia mencuba lagi setelah panggilan itu terputus sendiri. Dia mendail lagi nombor tersebut tetapi tetap tidak mendapat sebarang respon. Hmmmm… Mengapa tak jawab? Agaknya dia betul-betul marah. Takkanlah marah lagi dah beberapa bulan berlalu.
Bang… Saya tahu kemarahan abang yang tidak bertepi. Namun tolong lupakan dan maafkan saya!
Sheila merengus kasar. Dia mematikan panggilan, merenung skrin sambil berfikir siapa yang akan dihubunginya. Sayang sekali sedang dia berfikir-fikir dalam, dia terdengar suara Jamil meneriak dengan kuat; “Hoi! Hoi!!! Mari sini… Masuk dalam rumah!”
Dia melihat Jamil berlari dengan wajah bengis ke arahnya sambil mengheret tangannya menghala ke dalam rumah. “Siapa suruh kau keluar? Apa kau buat kat situ?”
Pertanyaan kasar Jamil itu amat mengejutkan Sheila. Dia cepat-cepat menyembunyikan handphone di dalam poket seluar. Wajah Jamil merah padam. Dia amat takut sekiranya Jasman tahu Sheila berjalan keluar. Dia tahu pasti Jasman akan mengamuk. Setiap hari Jasman berpesan padanya sebelum keluar, bahawa perempuan itu tidak dibenarkan samasekali keluar dari rumah. Jika Sheila degil, pukul sahaja.
Jamil tersentap juga mendengar kata-kata Jasman. Tapi dia memang tidak berani membantah kata-kata tuannya itu. Namun disebabkan rasa ingin tahu yang begitu besar, dia memberanikan diri bertanya; “Pukul? Tuan suruh saya pukul isteri tuan?”
“Isteri?” Jasman tergelak besar.
“Kau ni bodoh betul! Bangang. Perempuan tu isteri aku? Dia tu sama saja dengan pelacur… Cuma tempat dia tinggi sikit… sikit aje.”
“Jadi, bukan isteri tuan?”
Jasman tidak menjawab, sebaliknya terus meninggalkan Jamil. Sejak hari itu Jamil yakin perempuan yang disangkanya isteri Jasman itu tidak ubah seperti perempuan lain yang pernah dibawa ke rumah itu. Dia mulai bersikap dingin dan keras, tidak lagi menghormatinya. Pun dia tiada niat hendak memukul wanita itu sama sekali. Terselit sedikit rasa kasihan, kerana perempuan itu sedang hamil.
“Abang… Abang Jamil! Tolonglah…”
“Kau ni tak reti bahasa. Patutlah Tuan selalu kurung kau dalam bilik tu!” Jamil tidak mempedulikan rayuan Sheila.
Sheila tambah terkejut kerana Jamil berbicara dengan begitu kasar. Dulu dia masih lembut berbahasa memanggilnya ‘puan’. Tapi hari ini dia bersikap luar biasa, matanya memandang dingin. Sheila tahu Jamil tidak akan bertolak ansur dengannya. Wajahnya bengis. Dia sedang memegang kayu penguli tepung sebesar lengan budak. Dia mengacah-acah kayu itu ke arah Sheila; “Sekarang masuk!”
Sheila memandangnya dengan penuh kehairanan tetapi masih tetap tidak berganjak; “Abang Jamil… Mengapa abang kasar dan tak hormatkan saya? Saya isteri Jasman…”
“Isteri? Tuan tak cakap pun yang kau isteri dia. Dia kata kau sama saja dengan pelacur! Sekarang masuk! Jangan banyak cakap! Nanti aku balun kau dengan kayu penguli ni… Tuan suruh aku pukul saja badan kau kalau kau degil. Kau ni macam lembu!”
Sheila terus ditarik masuk ke dalam rumah. Sheila tidak membantah kerana dia tahu, Jamil benar-benar serius. Kekecewaannya bertambah hari itu… Jamil ternyata tidak boleh diharap untuk memberikan kerjasama ataupun membantunya. Lelaki itu terlalu setia, bagaikan anjing yang tidak tahu membantah.
Jamil terus ke dapur semula menyambung kerja yang ditinggalkannya.

ANDY FARHAN terdengar bunyi air di dalam kamar mandi. Doktor Erleta sedang mandi. Dia termangu-mangu memandang siling. Semalaman sudah berlalu pergi dan hari baru ini harus ditempuhinya jua. Semalam dia telah kembali memikul tanggungjawab besar, sebagai seorang suami. Namun awal-awal lagi dia tahu, dia akan mengecewakan Doktor Erleta. Kesabaran wanita itu sedang diuji. Apakah keunggulan cintanya pada Sheila akan tergugat suatu saat nanti? Berapa lamakah masa yang akan diambil? Yang pasti semalaman sudah berlalu tanpa sedikit pun wujud sebarang perubahan.
Andy Farhan memandang ke pintu bilik air yang terbuka luas dan terlihat Doktor Erleta keluar dari situ dengan hanya mengenakan sehelai tuala yang singkat, menampakkan paha dan kakinya yang basah. Rambutnya berbalut dengan tuala kecil, wajahnya kelihatan begitu bersih, mulus dan lembut. Andy Farhan sempat membayangkan Sheila yang sedang berdiri di situ, namun dengan cepat dia menggelengkan kepalanya.
“Kenapa pandang I macam tu?” Tanya Doktor Erleta sambil mengirai rambutnya yang pendek dan kemas. Dia berdiri di hadapan cermin sambil menyikat rambutnya. Kemudian tangannya lincah mencari pengering rambut di dalam laci meja solek.
“Tak ada hair dryer?” Dia bertanya.
Andy Farhan menggeleng. “Kenapa you perlu basahkan rambut pagi ni?” Dia bertanya bernada nakal. “Malam tadi kita tak buat apa-apa kan?”
“I memang suka mandi pagi dan membasahkan rambut.” Jawab Doktor Erleta sambil memaksa dirinya tertawa. “Memang tak buat apa-apa… Sebab you yang tak mahu!”
Andy Farhan terdiam, dia terus bangkit lalu mencapai tuala. Dia masuk ke dalam bilik yang baru ditinggalkan oleh Doktor Erleta.
Saat Doktor Erleta sedang mengenakan make-up, terdengar bunyi handphone Andy Farhan berbunyi. Dia membiarkan sahaja. Dia tidak mahu tahu siapakah orang yang menelefon suaminya pada awal pagi begitu. Mungkin kawan perniagaan atau client.
Dia tidak mahu campur dalam urusan kerja Andy Farhan.
Doktor Erleta keluar dari kamar tanpa menunggu Andy Farhan yang masih di dalam kamar mandi. Dia meninggalkan rumah itu yang telah pun sepi. Bahtiar dan Zaiton sudah ke pejabat. Mereka berdua memang terlewat bangun pada hari itu. Hari yang amat baik untuk memulakan perniagaan… bisik hati Doktor Erleta semasa dia memandu ke pejabat. Cuaca begitu cerah, matahari bersinar terang. Klinik sudah dibuka oleh pekerjanya. Dia terus masuk ke kamar, bersedia untuk menerima pesakit pertama.
Tengahari itu, semasa waktu rehat baru sahaja bermula pintu biliknya mendadak terbuka dari luar dan terjengul wajah Andy Farhan yang kelihatan begitu ceria sekali. Dia terkejut sedikit, tetapi tidak terus bertanya. Dia terus sibuk mengemas meja. Pesakitnya baru sahaja meninggalkan bilik itu.
“Sibuk?”
“Hmmm… Tak. Dah waktu makan.”
“Bagus! Mari kita pergi makan. Ada berita I nak beritahu you.”
Doktor Erleta tidak bertanya lanjut walaupun dia rasa teruja ingin tahu. Wajah Andy Farhan benar-benar ceria, tidak putus-putus tersenyum sepanjang perjalanan ke Old Town Café, tempat kegemaran suaminya.
“You tahu tak, siapa yang call I pagi tadi?”
“Siapa?” Tanya Doktor Erleta acuh tak acuh sambil menyedut jus karot.
“Sheila.”
Jus karot yang enak tetapi terasa hilang kemanisannya. Dia terhenti menyedut. Wajahnya berubah. Dia memandang wajah Andy Farhan sambil bertanya; “Are you sure? Apa hal?”
Andy Farhan menggeleng. “I tak tahu kenapa. Pagi tadi ada tak you dengar handphone I berbunyi? Ada dua miss called daripada Sheila. Tapi bila I call semula, handphone dia dah ditutup atau berada di luar kawasan. Itulah yang peliknya…”
“Entahlah… tak perasan.” Jawab Doktor Erleta. Kemudian dia baru teringat, memang handphone lelaki itu berbunyi. Panggilan yang disangkanya daripada client.
“Kalau betul hal tu penting, mengapa dia tak call I lagi?”
“Mungkin tak penting. Sengaja nak bertanya kabar. Mungkin dia dengar berita perkahwinan kita?”
Andy Farhan terdiam. Dia mengangguk. Mungkin juga… bisiknya di dalam hati. Apakah Sheila ingin mengucapkan tahniah? Wajahnya serta merta jadi muram kembali. Benar, Sheila telah tahu berita perkahwinannya. Mereka kini kian jauh terpisah. Hakikat itu terlalu pahit. Oh, mengapa ini yang terjadi. Hati dan diri masing-masing dimiliki oleh orang yang tidak dicintai. Mengapa kita harus berkahwin dengan orang yang salah, Sheila?
Doktor Erleta menepuk tangan suaminya dengan lembut; “Bukankah you dan dia perlu memulakan hidup baru? Dia dah lama memulakan hidupnya dengan lelaki lain, mengapa you tak mahu lakukan perkara yang sama?”
Andy Farhan mengangguk. “Ya. Mungkin you betul.” Katanya perlahan sahaja.
“Memang I betul! Oh, jangan buang masa. Mari kita makan. Petang ni I masih ada pesakit. I tak boleh berlengah-lengah.”
Andy Farhan terus menjamah makanan tanpa suara. Doktor Erleta juga menghabiskan makanannya. Tidak lama kemudian mereka berdua sama-sama meninggalkan kafe.

“SAYA tak tahu apa nak buat doktor…. Saya frust betul. Rasa jiwa saya kosong, macam nak mati saja.” Luah perempuan itu dengan airmata berlinangan. Seingat Doktor Erleta sudah lama perempuan itu tidak datang menemuinya. Namun dia tetap menyimpan fail dan data peribadi setiap pesakit.
Saat dia melihat tarikh terakhir appoinment mereka enam bulan lepas. Dia memutuskan pertemuan itu berhenti setakat itu sahaja, kerana mendapati pesakit sudah mulai tenang dan berjaya menangani masalahnya. Kini pesakit itu kembali menghadapi tekanan akibat suaminya yang kembali mempunyai kekasih. Dan berita suaminya yang berura-ura hendak menikahi kekasihnya, buat wanita itu kembali menghadapi tekanan.
“Sebelum ni dia dah berubah… baik. Balik kerja cepat, pukul enam petang dah ada di rumah… Tak pernah keluar malam. Layan saya dan anak-anak dengan baik. Tapi tiga bulan saja. Lepas tiga bulan, dia mula liar, keluar malam dan balik lewat… Saya rasa macam dah gila! Berilah saya ubat… Saya nak ubat tidur. Saya tak boleh tidur sekarang.”
“Sabar… Tenang dan tarik nafas dalam-dalam.” Pujuk Doktor Erleta. “Kita akan cuba selesaikan masalah ni dengan baik. Dengar sini… Kalau dulu, suami awak dah berubah, tapi apa yang menyebabkan dia liar semula? Mungkin ada silap di mana-mana?”
“Doktor kata ini semua salah saya? Berpunca dari saya?”
“Bukan macam tu… Ceritakan pada saya macamana layanan awak terhadap suami di bilik tidur. Ada awak layan dia dengan baik? Saya ingin tanya awak, awak tahu kenapa lelaki sukakan pelacur? Kenapa lelaki sukakan perempuan murah?”
Perempuan itu merengus. “Agh! Sebab dia miang, gatal… tak cukup dengan isteri.”
“Perempuan di luar sana tu akan lakukan apa saja yang disuruh di atas katil. Tanpa bantahan. Walaupun sedar, kepatuhan itu bukan kerana cinta. Dia patuh kerana duit. Boleh saya tanya satu soalan sensitif? Kalau suami awak minta buat aksi-aksi tertentu yang diinginkannya… Awak akan tunaikan?”
“Apa? Awak ni dah tak siuman doktor? Awak samakan saya dengan perempuan murah? Nak suruh saya buat macam pelacur? Awak dah gila?” Tanya perempuan itu bagaikan terlupa dengan siapa dia sedang berbicara.
Doktor Erleta berdiri, bercakap dengan nada tegas; “Awak tak faham maksud saya. Saya bukan suruh awak jadi perempuan murah. Saya hanya suruh awak bersikap terbuka…”
“Kami… Kami tak pernah bercakap tentang seks…” Akui wanita itu dengan suara yang kendur, bersama rasa malu kerana dia telah tersalah anggap.
“Mulakannya sekarang. Awak harus bertanya terus terang… dari hati ke hati.”
Doktor Erleta seperti ingin menghalau perempuan itu keluar dari biliknya. Dia letih sepanjang hari itu menghadapi pelbagai masalah pesakit. Dia lelah. Dia sendiri kini dibebani dengan sejumlah masalah. Masalah dengan lelaki yang baru dikahwininya.
Pandai sungguh dia mengajar perempuan itu tentang sikap berterus terang, berbicara dari hati ke hati. Sedangkan dia sendiri tidak mampu berbuat begitu. Dia senang jika Andy Farhan yang memulakan segala-galanya. Tetapi itu semua tidak pernah terjadi. Tiada permulaan dalam perhubungan ini… Hanya satu lagi keterpaksaan yang harus ditempuhi dengan sabar.
“Sahabat…” Kata suaminya sambil tersenyum.
“Sampai bila?” Dia bertanya.
“Sahabat selama-lamanya.” Balas suaminya. Biarpun dalam hati Doktor Erleta ingin membantah tetapi dia cuma diam. Dia menginginkan yang lebih daripada itu.
Mereka tetap tidur bersama. Mengucapkan selamat malam dengan sekilas ciuman. Tapi hanya itu… selebihnya dia ditinggalkan untuk tidur dengan mimpi-mimpi getir. Andy Farhan juga tidak pernah lelap tidur. Dia selalu diganggu mimpi yang panjang. Terkadang dia menjerit-jerit memanggil nama Sheila.
Saat itu Doktor Erleta menutup telinganya dengan tangan, berharap Andy Farhan terjaga dari mimpinya itu dan menghadapi kenyataan. Sheila sudah hilang dari sisinya. Kini Sheila bersama orang lain, wajarkah isterinya hanya dianggap sebagai sahabat?


Bab 12

SHEILA sedang berdiri di tepian tingkap yang mengadap ke timur. Tingkap itu menghadapi hutan belantara. Nampak hutan itu begitu gelap lagi hitam, apalagi di malam yang tiada walau setitis pun cahaya di langit.
Sheila terfikir, jika ingin melarikan diri dari rumah apakah dia akan berlari ke arah timur atau pun barat? Dia tidak tahu. Timur tempat matahari terbit…Setiap pagi matahari muncul dari sebalik bukit-bukit yang membiru, terlihat nun jauh sekali. Hutan itu nampak tebal dan menakutkan. Dia tahu keadaannya juga merbahaya di sebelah barat sana. Jika dia menghala ke barat, pasti akan bertemu dengan jalanraya. Tetapi terlalu berbahaya baginya jika dia melarikan melalui jalan itu. Bila-bila masa saja dia akan ditemui oleh Jasman.
Sheila tersentap apabila terlihat kerlipan lampu suluh muncul dari arah rumah menghala ke pintu pagar belakang. Dia lihat dua buah lampu suluh. Kegelapan malam itu membuat dia tidak dapat mengagak siapakah dua orang insan yang sedang berjalan menghala ke pinggir hutan. Malam itu Jasman memang ada di rumah… Agh! Dia baru teringat, Jamil bekerja lewat malam itu. Dia melayani Jasman makan malam di tingkat bawah pada jam sembilan malam tadi.
Apa yang mereka buat menghala ke hutan itu? Apa yang sedang berlaku di rumah itu? Sepanjang dua hari dua malam Sheila kembali dikurung sepanjang masa. Jasman tidak ke mana-mana, sentiasa ada di rumah. Ada sesuatu yang dilakukan oleh Jasman. Lelaki itu tidak mahu dia mengetahui apa-apa, lantaran itu dia dikurung seperti binatang. Dua malam berturut-turut juga dia mendengar bunyi daripada perpustakaan. Semalam bunyi itu tidak kedengaran lagi. Senyap seperti sedia kala. Dan malam ini Jasman dan Jamil menghala ke hutan dengan lampu suluh masing-masing.
Sheila memerhati kerlipan cahaya lampu yang mengerlip bagaikan kunang-kunang sebelum hilang ke dalam hutan. Dia menunggu tetapi mereka belum jua kembali. Dua jam berlalu begitu sahaja. Dia tidak dapat tidur, terus gelisah sehingga akhirnya dia terdengar suara Jasman di tepi pintu kamar tidurnya.
“Aku yakin dia dah tidur.” Kata Jasman.
“Tuan… Saya boleh tidur di bilik tidur abang tuan?”
“Boleh saja.” Balas Jasman. “Pergilah berehat. Kau tentu penat. Tapi… kau dah bersihkan cangkul dan tajak tu?”
“Sudah tuan.”
“Bagus.”
Suara mereka terus hilang dari pendengarannya bersama bunyi tapak kaki menjauh.
Tidak lama selepas Jasman dan Jamil berlalu, hujan terdengar turun perlahan-lahan menimpa atap. Semakin lama semakin keras bunyi hujan mengelilingi. Sheila ketakutan. Di luar ribut dan taufan sedang mengamuk. Bunyi angin kian marah dan garang menampar atap. Angin ganas itu cuba masuk dari celah-celah lubang yang ada di kamar itu. Dapat Sheila rasakan rimba yang ditumbuhi pokok-pokok yang berumur ratusan tahun di sebelah timur rumah mereka sedang berjuang menentang ribut. Dia berharap tiada pokok-pokok yang akan tumbang menyembah bunyi.
Mengapa malam ini alam mengamuk begitu hebatnya di daerah ini. Bagaikan ada sesuatu yang berlaku… Tuhan dan alam tidak merestuinya.
Keesokan harinya Sheila terjaga dalam suasana damai. Alam telah kembali sepi dan tenang. Saat dia membuka tingkap yang menghala ke hutan, dia lihat langit begitu cerah. Matahari baru muncul. Angin dingin masih terus bertiup. Dan hutan itu tetap kukuh berdiri seperti kelmarin, tiada langsung kesan ribut yang melanda malam tadi. Semuanya sudah kembali seperti dulu.
Saat dia bergerak ke pintu, hatinya rasa lega mendapati pintu bilik tidurnya telah pun dibuka. Dia terus berjalan menghala ke perpustakaan, mendapati pintu juga tidak berkunci. Sheila menjenguk ke dalam mencari sebarang kelainan. Namun tiada sebarang perubahan. Semuanya tetap sama seperti sebelumnya.
Dahinya berkerut. Dia berharap untuk menemui sesuatu di situ tetapi ternyata hampa. Jamil membawakan sarapan untuknya. Dia mendapati Sheila berada di dalam perpustakaan. Dia membiarkan sahaja Sheila berada di situ, sekuntum senyuman terukir di bibirnya. Dia yakin, Sheila takkan menemui apa-apa.


DIA cuba meronta-ronta perlahan. Alam terasa begitu gelap dan dingin. Di mana aku? Fikirnya kalut. Dadanya terasa sakit dihempap benda yang begitu berat lagi sejuk. Dia terus berusaha untuk menggerakkan tangannya. Nyata dia tidak dapat bebas bergerak langsung. Hidungnya terasa sukar untuk bernafas, disumbat bau yang amat memualkan. Bau tanah yang segar, sedikit hamis. Di mana aku? Keluhnya sendiri, dia tidak dapat membuka matanya, tetapi dia sedar dia berada di dalam tempat yang amat sempit hingga tidak boleh bergerak langsung.
Oh! Tuhan… Tolong! Tolong aku! Di mana aku berada? Mengapa aku terasa yang aku seperti berada di dalam kubur? Kubur? Tanah? Dia sedar, memang dia tertanam di dalam tanah tetapi dia belum mati. Tidak! Aku belum mati. Nafasnya tersekat mencari ruang untuk bernafas. Tanah yang padat itu membuat dia tidak dapat menyedut udara. Dia akan mati. Dia telah ditanam hidup-hidup oleh lelaki itu!
Celaka! Memang celaka jantan tu! Dengan mudah dia masuk ke dalam perangkap Jasman. Hamid mencuba menggunakan tenaga dalaman, menggerakkan batinnya dengan sisa tenaga yang amat sedikit. Dia telah dibiarkan kelaparan selama tiga hari sehingga dia pengsan. Setelah dia jatuh pengsan, tubuhnya ditanam. Kejam!
Tanah itu terasa kian sejuk dan basah. Hujan! Bisik hatinya. Hujan lebat turun membasahi bumi pada malam yang gelap gelita. Tanah yang mengelilinginya mula diresapi air hujan yang lebat turun dari perut langit. Hamid mengangkat tangannya sekuat tenaga, menolak tanah yang mulai basah dan lembut ditimpa hujan lebat. Akhirnya Hamid dapat menghulurkan tangan keluar dari lubang kuburnya sendiri. Sebelah tangannya terasa dingin ditimpa hujan. Mujur tanah yang digali itu tidak begitu dalam.
Entah dari mana datang kekuatan untuk Hamid menguak tanah yang menimpa tubuhnya. Dengan bantuan hujan, tanah tanih menjadi lembut dan mudah untuk dia membongkar kubur yang dibina oleh Jasman. Akhirnya dia terlepas dari perangkap maut. Hamid berbaring di atas rumput, membiarkan hujan membilas seluruh badannya yang bergelumang dengan tanah.
Hujan dan ribut yang melanda hutan itu tidak sedikit pun menakutkan Hamid. Dua puluh tahun dulu hutan itu adalah rumah keduanya. Dia sudah biasa meredah hutan. Salah satu daripada latihan yang pernah dijalani semasa menjadi askar dulu, ditinggalkan di dalam hutan tanpa sebarang alat atau makanan, hanya sebilah pisau. Dia yakin dia dapat keluar dari hutan itu. Cuma barangkali kekuatannya tidak setanding pada waktu muda dahulu. Tapi dia yakin dia akan dapat hidup dan kembali. Dia akan berjaya pulang, memberikan laporan kepada Bahtiar. Kemudian dia akan datang lagi, setelah mengatur rancangan yang teliti.

SEHARI SUNTUK Hamid berkeliaran di dalam hutan itu, tidak dapat menemui jalan keluar. Dia tidak berdaya untuk berjalan lagi. Dia terlalu letih dan kelaparan. Akhirnya tubuhnya berguling-guling melalui satu cenuram yang agak tinggi. Dia tidak dapat berpaut di mana-mana, hanya membiarkan tubuhnya terlambung beberapa kali sebelum terdampar di tepi tebing.
Dia tidak sedarkan diri. Hari berikutnya Hamid tersedar dari pengsan, mendapati dia berada di tepi sungai yang cetek. Tubuhnya terdampar di tepi sebatang pokok ara yang tumbuh menghala ke sungai. Hamid menggagau tangan, mencapai buah ara itu lalu memamahnya perlahan-lahan dengan tangan yang menggigil. Buah yang masam-masam manis itu terus dimakannya beberapa biji sehingga terasa sedikit kenyang. Kemudian dia merangkak turun ke sungai untuk minum air. Dia berehat buat beberapa ketika. Akhirnya tertidur. Dia terjaga beberapa jam kemudian. Tenaga belum pulih. Dia harus mencari makanan.
Hamid terus bergerak perlahan mencari buah-buah hutan yang boleh dimakan. Dia terus berjalan menghilir sungai. Dia tahu perjalanan menghilir sungai akan membawa dia keluar dari hutan itu. Hanya itu sahaja satu-satunya jalan untuk keluar dari hutan tebal. Hamid menemui sebatang pokok tampoi yang besar tumbuh di tepi tebing. Banyak buahnya yang gugur ke tanah. Hamid makan sepuasnya sehingga tenaganya benar-benar pulih. Setelah itu dia mencari kayu tajam. Dilihatnya di sungai itu banyak ikan. Akhirnya dapat juga dia menangkap dua ekor ikan. Dia meraba-raba poket seluar sambil berdoa semoga lighternya masih ada.
Dia lega. Memang lighternya masih ada walaupun rokoknya entah ke mana jatuh atau pun hilang. Dia tidak kisah. Janji malam ini dia dapat menghidupkan api dan memanaskan badan. Dia juga boleh membakar ikan. Malam itu Hamid terus berada di hutan sendirian. Dia masih hidup! Semoga tiada binatang buas yang akan mengacaunya malam nanti.
Esok dia akan meneruskan perjalanan. Hamid terus mengikut arus sungai. Semakin jauh ke hilir dia merasakan hutan di sebelah kirinya semakin jarang dan terang. Akhirnya lewat petang itu dia terlihat sebatang jalanraya kecil terletak di seberang sungai. Dia meranduk air cetek separas lutut menghala ke seberang sungai. Pantas kakinya memanjat tebing landai lalu berlari ke jalan raya. Dia terus mengikuti jalan kecil tidak berturap itu. Dia berharap akan menemui jalan utama tidak lama lagi. Dia tidak akan berhenti. Dia akan terus berjalan sepanjang malam itu.
Namun akhirnya dia tersungkur juga kerana terlalu letih. Dia mengambil keputusan untuk berehat. Kepalanya mendongak memandang langit yang hitam. Malam itu dia berharap hujan tidak akan turun seperti dua malam yang lepas.


AKU SUDAH uruskan tali barut Razif dengan baik. Aku sudah kuburkan dia hidup-hidup! Pasti lelaki itu sekarang sudah pun tamat riwayatnya! Jasman puas hati. Dia berdiri di hadapan cermin sambil tersenyum sendiri sebelum melangkah keluar dari rumah pada pagi itu. Dia berhasrat hendak pergi menemui kawannya yang bertugas di Bukit Aman. Bagi seorang penjenayah atau pun penjahat, nama Bukit Aman amat digeruni namun Jasman tidak merasa gentar walaupun sedikit. Dia mencari tempat parkir, menemui satu petak kosong lalu meletak kereta. Kemudian mencari pejabat Inspektor Razif. Dia mendapati rakannya itu di dalam biliknya bersendirian.
Inspektor Razif sedang sibuk meneliti fail di hadapannya apabila Jasman masuk.
“Ha… Jasman! Baru turun dari Muar?” Dia bertanya sambil tersenyum, mempersilakan temannya itu duduk.
“Kau ni nujum Pak Belalang. Kau ingat aku tak ada rumah di KL?”
Inspektor Razif mengangkat kening. “Ada dua rumah tak apa… Tapi jangan ada dua orang rumah. Kasihan adik ipar aku tu!”
Jasman hanya ketawa. “Jom… minum. Biar aku belanja!”
“Okey… Sekejap ya. Ada kerja sikit…” Kata Inspektor Razif sibuk mencatat di dalam fail yang ada di hadapannya. “Kau boleh tunggu kan? Tak boleh tolak kalau kau nak belanja. Kau tu kedekut, bukan senang nak belanja kawan.”
“Aku belum betul-betul jadi jutawan.” Jawab Jasman. “Kalau dah jadi jutawan, bukan setakat belanja minum, belikan kereta pun boleh…”
“Dah nak buat bisnes jual beli kereta pula?”
Jasman teringatkan kereta yang tersadai di hadapan rumahnya, milik lelaki yang diupah untuk mengintip rumahnya. Dia telah menyiasat nombor plet kereta itu yang ternyata nombor palsu dan tidak pernah didaftar di JPJ. Dia telah membawa kereta itu pulang ke Ladang Bukit Kundang. Kereta itu lebih selamat berada di situ. Dia akan mengupah pekerja ladang mengecat semula kereta itu, menukar nombor plet kemudian kereta itu akan digunakan di ladang. Beres! Tiada sesiapa pun yang akan tahu…
Sekarang dia ingin merisik cerita apakah Inspektor Razif akan menyebut tentang kawannya yang hilang begitu saja. Tapi lelaki itu langsung tidak bercerita apa-apa…
“Macamana kes GRO tu yang koma tu… Dah sedar?”
“Belum lagi. Kesian. GRO tu teruk betul dikerjakan.”
“Macamana dengan GRO yang dua orang lagi tu…”
“Dah keluar dari hospital, terus hilang. Nak kesan pun tak dapat dah. Mungkin dia orang tu malu dan tak mahu heboh. Sebab yang pertama dan kedua tu tak teruk sangat. Ditahan cuma semalaman atau dua malam saja.”
Jasman mengangguk. “Berminat?”
“Minat apa?”
“Dengan GRO…”
“Kau ni gila ke apa? Kenapa pula aku minat dengan GRO. Aku dah ada isteri yang cantik.”
“Malam tu kau pergi pub, bukan nak cari GRO ke?”
Wajah Jasman merah padam mendengar kata-kata Inspektor Razif. Rasa ingin ditinjunya saja wajah lelaki di hadapannya itu.
“Merepeklah engkau ni. Aku datang situ sengaja nak relaks, tengok gelagat orang. Release tension. Kau tahu la duduk di kampung, mana ada hiburan.”
“Daripada kau duduk lepak dari satu pub ke satu pub, lebih baik jadi pemberi maklumat aku.” Kata Inspektor Razif serius.
“Pemberi maklumat?”
“Kami tengah cari pelaku yang menyeksa GRO tu… Kami percaya dia takkan berhenti daripada perbuatannya tu. Kes ni pun masih baru. Aku rasa mangsanya masih belum ramai sangat. Kau setuju tak?”
“Kalau ada elaun, mengapa pula tak boleh?”
“Hisy! Engkau ni duit saja… Nak cepat jadi jutawan!” Sakat Inspektor Razif.
“Memang la, dunia tak ada erti kalau tak ada duit. Perempuan pun lari.”
“Betul juga…”
“Setakat ni apa maklumat yang kau ada?”
“Aku dah buat tinjauan dan bertanya pada beberapa tempat GRO selalu melepak macam di Bukit Bintang dan Bangsar, diaorang kata lelaki ni muda dan kacak. Tapi mereka tak dapat describe betul-betul sebab waktu malam… Tak nampak jelas sangat muka dia. Tapi lelaki ni memang sadis, bijak menyembunyikan diri.”
Jasman mengangguk saja. Dia tertawa di dalam hati.
“Lagi…”
“Itu aje maklumat yang aku ada.”
“Oklah aku akan tolong engkau. Kalau aku tak sibuk… Seminggu sekali aku akan turun ke KL.”
Mereka berpisah selepas Jasman menyelesaikan bayaran makanan dan minuman untuk dirinya dan Inspektor Razif. Masing-masing membawa haluan mereka sendiri.
Jasman kembali ke rumahnya di PJ. Dalam salah sebuah bilik di situ, dia telah menempatkan sebuah komputer peribadi. Di situ dia menghabiskan masa melayari internet mencari maklumat. Akhirnya dia menemui apa yang dicari. Sebagai sebuah syarikat yang besar dan berjaya memang Rangkaian Rimbajati ada membangunkan laman web. Dia menggodam laman web tersebut. Dia turut mencari maklumat tentang Bahtiar. Dendamnya pada lelaki ini tidak akan berakhir. Lelaki itu pembunuh abangnya! Lelaki itulah yang menjerat abangnya Azizul supaya menurut segala kehendak hatinya. Dia tahu Bahtiar lebih gila daripada dirinya sendiri. Bahtiar lebih merbahaya… megalomania! Kau hidup di atas harta orang lain. Harta warisan daripada emak dan bapa mertua engkau. Harta isteri engkau. Ahhh… Bahtiar kita sama saja!
Aku juga hidup di atas harta perempuan-perempuan yang kukahwini… Cuma dengan perempuan tu saja aku tak dapat menguasai hartanya. Ada ke patut dia serahkan sher tu pada Farhan! Nanti kau Farhan… Aku akan kenakan kau cukup-cukup! Tiba-tiba malam itu dia terasa ingin kembali ke Mentakab. Dia ingin tahu perkembangan terkini Andy Farhan, supaya bila pulang ke Ladang Bukit Kundang nanti dia dapat menyakiti dan menyeksa perasaan Sheila.


Bab 13

WANITA ITU menyeka airmata yang lebat di pipi. Dia tidak peduli pada solekan di wajahnya yang sudah luntur dibilas airmata yang berderai-derai. Tidak sampai lima minit duduk di sofa itu, dia sudah menumpahkan airmatanya. Baru sekerat jalan cerita yang ingin disampaikan, airmatanya terlebih dulu bercucuran.
Doktor Erleta membiarkan dia mencurahkan airmata semahu hati. Setelah airmatanya reda barulah dia punya kekuatan untuk menyambung cerita. Kebanyakan masalah wanita-wanita yang datang menemuinya masih juga sama… menceritakan kecurangan suami. Biasanya mereka punya suami yang berduit, punya dua tiga buah rumah dan kereta mewah.
Sementara pelanggan lelaki selalu menghadapi masalah kewangan yang teruk, gagal mendapat perhatian daripada perempuan yang dicintai ataupun kecewa selepas ditinggalkan. Namun lebih ramai wanita yang datang mengadu kepadanya, mencari ketenangan dan mendengar nasihat-nasihat bernas daripadanya. Kajian mengenai 15% rakyat Malaysia mengalami gangguan jiwa ternyata benar.
Justeru kerjaya doktor sepertinya jelas mempunyai peluang perniagaan yang baik. Manusia zaman moden di abad ini memang semakin bobrok, rosak dan hilang pertimbangan apabila ditimpa perkara-perkara yang begitu kecil sekalipun. Mereka memerlukan seseorang untuk mencurah perasaan apabila pasangan tidak mahu mendengar. Setelah mereka meninggalkan bilik doktor psikitri baru dada menjadi lapang untuk satu tempoh yang singkat.
Setiap kali ditinggalkan oleh pesakit untuknya menilai tahan kesihatan mental mereka, fikiran Doktor Erleta sedikit terganggu. Dia kini juga ditimpa masalah… Tetapi siapakah sebenarnya yang mampu menolong dan membantunya?
Sejak dulu, dia belajar menangani masalahnya sendirian. Dia memang pandai berdikari, tidak pernah menyusah dan membebani fikiran kedua orang tuanya. Dia tidak pernah bercerita masalahnya pada orang lain. Dia seboleh mungkin menutup masalah itu serapat-rapatnya dengan senyum dan tawa. Dia sedar, sejak berkahwin dengan Andy Farhan dia kehilangan beberapa kilo dari berat badannya. Namun tiada sesiapa pun yang perasan. Mereka menyatakan dia makin cantik berseri sejak berkahwin dengan lelaki sekacak Andy Farhan. Mereka memuji betapa bahagianya dia setiap hari dilihat makan tengahari bersama suami di Old Town Café. Dan hampir saban minggu makan malam di Marigine. Itulah yang dilihat oleh orang luar…
Dan itulah juga yang ingin pamerkan pada ibubapa mertuanya.
“Kau orang belum berkesempatan untuk pergi honeymoon. Kenapa tidak kau pergi ke Paris atau Switzerland. Ada sepupu abah kau tinggal di Geneva. Boleh melawat mereka sekali. Apa kata kalau kita berempat pergi melancong?” Cadang Zaiton pada suatu pagi semasa mereka berempat sedang bersarapan.
“No. Tak boleh umi. Siapa nak jaga syarikat…” Bantah Andy Farhan sambil meletakkan cawannya.
“Alah! Kita pergi sekejap aje. Seminggu pun cukup, bukannya berbulan-bulan.”
“Umi bawa saja Elly. You dah pergi ke Paris, Elly?”
“Belum.” Jawab Doktor Erleta. “Masa I belajar di London dulu tak sempat sampai ke Paris. Tapi I pernah pergi melawat ke Cardiff. Maklumlah pergi dengan biasiswa kerajaan, selalu tak cukup duit!”
“Abang, macamana nak pergi tak?”
“Agh! Abang sama dengan Farhan. Sebagai lelaki kami akan terus bekerja. Tapi kau orang berdua boleh pergi melancong. Lagipun senanglah Ton dan Elly nak shopping sebab kami takkan ganggu, ajak pulang cepat!” Kata Bahtiar sampai ketawa.
Doktor Erleta menelan rasa kecewa itu sendirian. Waktu bulan madunya tidak akan pernah ada dalam kamus hidup. Lebih baik dia tidak mengharapkannya langsung. Dia lebih senang memikirkan tentang kerja daripada melancong bersama emak mertua. Apalah ertinya tanpa kehadiran Andy Farhan.
“Macamana Elly… Bilakah you free?”
“Nanti saya fikirkan dulu umi. Saya akan cuba cari masa yang sesuai. Setiap hari saya sentiasa ada appoinment dengan pesakit..”
“Mengapa you tak tinggalkan dulu kerja you, pergi melancong dengan umi?” Tanya Andy Farhan semasa mereka dalam ke kereta. Andy Farhan selalu menghantar dia ke klinik. Itu salah satu cara untuk ‘mengelabui’ mata ibubapa mertuanya. Setiap hari Andy Farhan akan menghantarnya ke klinik. Namun waktu pulang Doktor Erleta dijemput oleh drebar peribadi lelaki itu kerana Andy Farhan selalu pulang lewat.
“I tunggu you yang ajak.”
Lelaki itu ketawa. “You dah terlambat Elly…”
“Apa yang boleh I katakan lagi.” Keluh Doktor Erleta. Cuma terlambat… tapi segalanya masih belum berakhir. Sesungguhnya, pengakhiran hubungan ini terletak pada siapa sebenarnya? Fikirnya lagi.
Mereka diam untuk tempoh yang lama kemudian Doktor Erleta bertanya dengan nada lembut; “Ada Sheila call you lagi?”
Andy Farhan menggeleng.
Doktor Erleta diam lagi.
“You gembira, dia tak call?”
“Kenapa you fikir I akan marah kalau dia call lagi?”
“Manalah tahu, jika you marah dan tak suka.”
“Lupakan saja. I tak ada perasaan apa-apa pada dia. I tak bencikan dia. Nak kata I suka pun tidak. I tak ada apa-apa perasaan pada dia.” Kata Doktor Erleta dengan yakin.
Kereta semakin mendekati klinik. Andy Farhan menurunkan Doktor Erleta kemudian meneruskan perjalanan ke pejabat. Semasa memasuki ruang menunggu, Doktor Erleta perasan ada seorang pesakit menunggu di luar. Dia tidak pernah melihat pesakit itu datang menemuinya. Dia tersenyum memandang lelaki itu sebelum masuk ke bilik. Tidak lama kemudian jururawat bertugas masuk ke biliknya membawakan data peribadi lelaki itu.
Dia menelitinya sejenak lantas meminta jururawat menyuruh lelaki itu masuk.
Nampak normal. Itulah gambaran awal yang dapat dia rumuskan melalui pandangan pertamanya ketika berhadapan dengan lelaki itu. Dia tersenyum lantas mempersilakan lelaki itu duduk di sofa, sementara dia mengambil tempat di sofa bertentangan.
“Encik Jericho… Awak seorang muslim?”
“Ya.”
“Saya Doktor Erleta Baha. Apa yang boleh saya buat untuk tolong awak, encik Jericho?”
“Ingat tak saya pernah call awak dua hari lepas doktor?”
“Oh… Awak ada call saya?”
“Lelaki yang ada masalah dengan isterinya. Isterinya masih mencintai mantan kekasihnya. Bukankah doktor minta saya datang ke sini?”
“Oh ya saya lupa. Macamana isteri awak sekarang? Dia masih berhubung dengan mantan kekasihnya tu?”
“Saya rasa ya… Dia masih menghubungi lelaki tu, walaupun saya dah bawa dia lari jauh. Tapi dia sentiasa mencari ruang untuk bertemu dengan mantan kekasihnya secara sembunyi-sembunyi semasa saya tak ada di rumah.”
Lelaki itu mengeluh. “Apa yang patut saya buat? Kalau saya jumpa mereka berdua-duaan… tak tahulah! Saya bunuh saja mereka, barulah hati saya puas.” Kata Jericho sambil menggenggam penumbuk. Suaranya melengking agak kuat.
“Jangan ikut perasaan. Penyelesaian yang begitu memang mudah, tapi akibatnya ditanggung oleh awak sendiri. Awak akan didakwa membunuh. Awak akan di penjarakan dalam tempoh yang lama. Silap-silap awak akan terpenjara seumur hidup.Awak harus fikirkan nasib anak-anak awak. Awak ada berapa orang anak?”
Lelaki itu menggeleng. “Kami tak ada anak. Macamana nak ada anak, asyik tak beri saja bila saya minta. Mungkin dia beri pada mantan kekasihnya!” Kata Jericho separuh merungut. Di wajahnya terpamer kegelisahan. Dia berpusing-pusing tidak menentu di tempat duduknya, cuba untuk menenangkan dirinya sendiri dengan mematah-matahkan kedua belah jari-jari tangan. Doktor Erleta memerhati sahaja, terdengar bunyi keletap keletup daripada jari-jari lelaki itu.
Sebenarnya perempuan dan lelaki punya hak yang sama ke atas diri pasangan masing-masing. Mereka berhak untuk mendapatkan layanan mesra dan perhubungan intim selagi masih menjadi suami isteri. Salah seorang tidak harus engkar daripada memberikan hak itu.
Doktor Erleta termenung panjang. Dia tenggelam dalam angan-angan. Sesungguhnya antara dia dan pesakitnya itu tidak terlalu banyak berbeza. Namun dia masih dapat mengawal perasaan. Nampaknya lelaki itu semakin stress. Rasa marah yang meluap-luap dapat dilihat dari sinar mata dan wajahnya.
“Macam ni lah… Boleh awak bawa isteri awak ke sini. Kita akan buat kaunseling berasingan. Setelah saya mendengar dari kedua-dua belah pihak, barulah saya boleh membuat satu rumusan tentang masalah awak ni.”
“Bawa dia jumpa dengan doktor… mesti dia tak mahu!”
“Saya perlu bercakap dengan isteri awak!”
“Tak payahlah!” Lelaki itu separuh membentak. “Hmmm… Nampaknya awak tak dapat selesaikan masalah saya? Apa nasihat dan pandangan awak, doktor?”
“Saya rasa…”
“Awak ni macam tak tahu apa-apa. Nampaknya macam awak ada masalah. Awak ada masalah dengan suami awak, doktor?”
“Ehhh…” Doktor Erleta mulai marah dengan sikap lelaki itu yang separuh mencabar. Tapi dia harus bersikap profesional meskipun dicabar dengan sinis. Dia menarik nafas dalam-dalam lalu berkata; “Awak atau saya doktor di sini? Kalau awak meragui tugas saya, awak boleh keluar. Awak tak perlu bayar apa-apa! Biar saya beritahu awak sesuatu… Jangan awak fikir sijil-sijil yang tergantung di dalam bilik saya ni saya dapatkan dengan cara menyogok profesor dan pensyarah saya.”
“Okey… Okey, maafkan saya. Saya kadang-kadang jadi emosional.” Balas Jericho beralah.
“Maafkan saya juga. Kadang-kadang saya gagal mengawal diri. Saya juga manusia biasa… macam awak. Kita sebenarnya sama saja.”
Mereka tertawa serentak.
“Awak dah kahwin, doktor?”
“Ya.”
“Awak kekasih pertama suami awak tu?”
Doktor Erleta menggeleng. “Saya bukan yang pertama… tapi mungkin saya yang terakhir.”
“Mungkin.” Kata Jericho sambil tersenyum. “Sebenarnya saya tak suka perkataan mungkin tu! Satu keadaan yang tak ada kepastian langsung. Awak seperti saya juga, berada dalam tahap ‘bahaya’.”
“Oh! Tak… Awak silap. Saya tak pernah rasa terancam pun! Awak tahu kenapa? Sebab hidup kita bukan kita yang menentukan. Saya tak kisah… Kita harus kembali kepada takdir.”
Lelaki itu diam sejenak. Dia memerhati sekeliling kemudian berkata dalam nada yang perlahan, sedikit sedih. “Saya cemburu melihat pasangan bahagia. Saya rasa tak bahagia langsung walaupun dah dua tahun berkahwin.” Lelaki itu mengeluh beberapa kali kemudian berkata lagi; “Saya rasa cinta tu tak wujud. Memang tak ada cinta dalam dunia ni. Apalagi dunia yang dikatakan orang sudah akhir zaman. Kalau ada pun hanya kasih sayang.”
Benarkah begitu? Mengapa dia terpengaruh dengan kata-kata lelaki yang baru datang ke kliniknya tadi. Benarkah cinta itu tidak wujud, yang ada hanya kasih sayang? Kita selalu mengucapkan aku sayang pada emak, ayah, adik dan kakak. Sayang pada barang-barang berharga, intan permata atau pun binatang peliharaan. Tapi mengapa kita mengucapkan cinta hanya pada lelaki atau wanita sahaja?
Bukankah cinta dan sayang itu adalah satu rasa yang sama… Mengapa harus ia dibeza dan dipisahkan? Jika cinta itu ada… Pastilah aku hidup bahagia! Bisik hati Doktor Erleta hanya pada dirinya sendiri.
“Doktor! Ada orang nak jumpa. Dia bukan pesakit. Doktor nak saya aturkan appoinment awal pagi esok?”
Doktor Erleta melihat jam tangannya yang menunjukkan ke pukul 5.30 petang.
“Suruhlah dia masuk. Masih ada masa.”
“Baik doktor.” Jawab jururawat itu lalu menutup pintu bilik Doktor Erleta perlahan. Tidak lama kemudian orang yang dimaksudkan oleh jururawatnya masuk ke bilik rawatan tersebut.
“Selamat petang doktor. Saya hanya mencuri sedikit sahaja masa doktor. Cuma ingin bertanya satu soalan mudah.”
Doktor Erleta keliru. Dia memandang lelaki di hadapannya itu, mengangkat keningnya kemudian bertanya; “Apadia? Siapa awak ni?”
“Saya seorang penyiasat bebas… pembantu Inspektor Razif. Mungkin awak tak kenal dia. Tapi saya ingin tahu, awak kenalkah dengan Encik Andy Farhan, salah seorang ahli lembaga pengarah Rangkaian Rimbajati.”
“Kenal. Dia suami saya.” Jawab Doktor Erleta.
Lelaki itu nampak sedikit terkejut, tetapi dia pura-pura tenang lalu mengembangkan senyuman. “Terima kasih. Itu saja…Selamat petang, doktor.” Lelaki itu terus keluar meninggalkan Doktor Erleta yang kelihatan terpinga-pinga kehairanan. Mengapa lelaki itu enggan menyebut namanya?


ANDY FARHAN meletakkan briefcasenya di atas meja, dia memandang ke arah bilik air. Pintu bilik air terbuka luas, kelihatan Doktor Erleta sedang membelai betis dan pehanya dengan losyen badan. Dia tidak menyedari kepulangan Andy Farhan. Lelaki itu berdiri mematung, memerhati sahaja tangan Doktor Erleta yang lincah menyapu losyen ke kulit betisnya. Bentuk kaki panjang, tirus ke bawah. Lututnya membonjol cantik. Betisnya licin, tiada tercalit sebarang parut dan bulu roma. Dia berkemban dengan sehelai tuala, tulang dadanya nampak jelas timbul. Buah dadanya leper hampir-hampir tidak kelihatan.
Andy Farhan memerhatinya dengan agak lama… Dia mempunyai sepasang kaki yang cantik. Putih bersih persis…
“Hei! Dah lama you balik? Kenapa you renung I macam tu?” Tanya Doktor Erleta sambil meletakkan botol losyen di atas lantai. Dia masih tetap duduk di atas kerusi kayu rendah yang diletakkan berdekatan dengan bathtub.
Andy Farhan mendekatinya, tersenyum. “You memiliki sepasang kaki yang panjang… cantik, macam Sheila.”
“Oh, ya ke?”
“Ya.” Andy Farhan duduk di hadapannya sambil menyentuh betisnya yang licin lalu mengangkat sedikit kaki Doktor Erleta.
“Tapi kaki Sheila kecil sahaja. Dia memakai kasut saiz lima atau enam. I selalu kasihan kalau dia mencari kasut. Saiz kasut yang benar-benar sesuai dengan kakinya 51/2. Tapi selalu tak jumpa saiz tu. Kalau lima terlalu ketat katanya… Kalau enam pula longgar, terpaksa meletakkan penyendal kasut.”
Doktor Erleta membiarkan sahaja Andy Farhan mencapai botol losyen, lalu menuangnya di atas telapak tangan; “You nak I tolong sapu losyen di belakang you?”
“You pernah buat macam tu pada Sheila?”
“Tak pernah! Sumpah!” Katanya sambil tertawa kecil.
“Ok. Thanks.” Doktor Erleta memusing badannya melonggarkan sedikit ikatan tuala agar Andy Farhan dapat menyapu seluruh belakangnya. Andy Farhan menyapu perlahan-lahan belakang isterinya dengan lembut, sambil meminta Doktor Erleta mengikat rambutnya yang panjang melepasi bahagian belakang. Doktor Erleta mengangkat tangan lalu tualanya melorot jatuh.
“Opsss…” Katanya dengan wajah yang memerah. Tetapi Andy Farhan selamba sahaja. Dia seolah-olah tidak memandang buah dadanya isterinya kelihatan leper sahaja. Langsung tidak menerbitkan rasa ghairah di hati. Hanya bagaikan melihat tubuh seorang lelaki.
“Kenapa, you malu?” Tanya Andy Farhan apabila Doktor Erleta cepat-cepat menutup bahagian hadapan dadanya.
Isterinya tidak menjawab. “Sheila punya payudara yang montok, pinggangnya ramping sangat cantik terutama kalau dia memakai baju kebaya…”
“Farhan… Cukuplah tu!” Doktor Erleta tiba-tiba bersuara agak kuat.
“Hmmm… Apadia? You tak percaya Sheila punya badan yang amat cantik?”
“Bukan. Maksud I cukuplah menyapu losyen di badan I.”
“Okey.”
Doktor Erleta mendiamkan diri begitu lama. Hatinya tersinggung mendengar Andy Farhan tidak habis-habis memuji tubuh Sheila yang kononnya begitu cantik. Sedangkan dia punya badan yang kurang menarik, terlalu kurus. Entah mengapa sejak kebelakangan ini dia tidak suka lagi mendengar Andy Farhan bercerita tentang Sheila, cuba membandingkan dirinya dengan perempuan itu. Dia merasakan dia serba kekurangan. Dia tidak suka dibanding-bandingkan dengan sesiapa. Dia adalah dirinya sendiri.
Awal pagi esoknya sebaik sahaja tiba di klinik, dia terus mendail nombor telefon kawan lama, semasa mereka sama-sama belajar di luar negara. Kawannya itu seorang doktor pembedahan kosmetik, bekerja di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.
“Hello, Jufri! Apa khabar?”
“Erleta? Lamanya you tak contact I.” Jawab Doktor Jufri agak terkejut mendapat panggilan daripada wanita itu. Sekian lama tidak bersua atau saling berhubung. Panggilan di pagi itu amat mengejutkannya sekaligus sedikit menguja.
Setelah mereka bertukar cerita dan mengetahui perkembangan kerjaya masing-masing kebelakangan ini, Doktor Erleta terus memberitahu tujuan dia menghubungi rakannya lama itu; “Jufri, you ada tak sebarang krim untuk membesarkan payu dara?”
Pertanyaan itu membuat Jufri tertawa kecil. “Kenapa? You berhasrat untuk mencantik bentuk badan? You dah kahwin?”
“Ya. Baru beberapa bulan…” kata Doktor Erleta berterus terang.
“Memang ada krim tapi prosesnya lambat. Kalau you nak cepat, buat pembedahan sahaja. Zaman sekarang ramai orang buat pembedahan kosmetik, mencantik wajah dan tubuh. You tahu, di sini paling ramai artis dan pelakon datang untuk buat suntikan vitamin C ataupun botoc.”
“I rasa muka I dah cukup cantik…” Kata Doktor Erleta sambil tergelak kecil. “Baru-baru ini suami I menegur payu dara I terlalu kecil…” Dia terhenti bercakap, membayangkan wajah temannya itu tiba-tiba rasa malu menyelinap perlahan-lahan. Mujur juga mereka bercakap di dalam telefon, kalau berhadapan barangkali mukanya sudah merah padam.
“Ok. Sebenarnya ada beberapa kaedah yang diamalkan di AS dan juga di Asia. Pertama Saline Breast Implants, Silicone Breast Implants dan Soybean Breast Implant. Tapi pembedahan seperti ini pasti ada sedikit risiko yang harus ditanggung. Misalnya, kalau payu dara disentuh, akan menimbulkan rasa sakit dan kurang selesa. Biarlah I katakan dalam bahasa yang lebih mudah, pembedahan begini hanya untuk dilihat cantik sahaja tapi tak boleh dipegang.”
“I tak peduli. I mesti lakukannya!” Cepat-cepat dia membuat keputusan.
“Okey… You datang saja ke sini, supaya kita boleh berbincang dengan lebih lanjut. Sebelum pembedahan you harus melalui beberapa pemeriksaan rapi… You tak boleh ada sebarang penyakit seperti darah tinggi, atau sakit jantung.”
“Jangan bimbang, I bebas dari tu semua.”
“Okey… bila agaknya you akan datang jumpa I?”
“Hmmm…” Doktor Erleta berfikir sejenak kemudian menjawab dengan nada tidak sabar. “Secepat mungkin. I akan call you untuk confirm tarikh, sebab I perlu uruskan klinik dan pesakit I dulu sebelum pergi ke sana. Pembedahan tu dibuat di KL?”
“Boleh juga di sini atau di Singapura.” Jawab Doktor Jufri. “Nanti kita bincang lebih lanjut. Sebenarnya hospital tempat kerja I ni pun ada cawangan di Singapura.”
Perbualan berhenti di situ dengan janji pertemuan akan diatur kemudian. Jika diikutkan hati Doktor Erleta ingin pergi petang itu juga menemui Doktor Jufri. Dia tidak mahu menunggu lama. Tetapi dia perlu membatalkan segala appoinment yang telah dibuat untuk dua minggu akan datang. Dia akan terus berada di KL sehingga dia menjalani pembedahan dan selepas pembedahan itu dilangsungkan. Tapi apakah alasan yang harus diberikan kepada Andy Farhan dan keluarganya?
“Out station? Berapa lama?” Tanya Andy Farhan dengan dahi berkerut.
“Hmmm, sebulan atau dua bulan.”
Andy Farhan mengangguk. “OK. Sepanjang masa tu nanti, klinik you akan tutup?”
“Dalam beberapa hari ni I akan cuba dapatkan seorang doktor psikitri yang akan menggantikan I. Takkanlah I nak biarkan klinik tu tutup. I tak mahu kehilangan pelanggan.”
Andy Farhan mengangguk. Dia tidak akan bertanya ke manakah wanita itu akan pergi. Doktor Erleta pun tidak kuasa ingin menerangkan lebih panjang lebar.
Tunggulah. Kau akan melihat diriku yang baru… dua bulan lagi! Bisik Doktor Erleta di dalam hati. Malam itu dia mengemas pakaian-pakaian yang perlu dibawa. Keesokan harinya dia bertolak pergi tanpa pamitan daripada sesiapa. Semua orang masih tidur semasa Doktor Erleta memandu kereta keluar dari halaman rumah agam milik keluarga Andy Farhan.


Bab 14

“SIAPA TU?” Tanya Sheila dalam nada terkejut apabila terlihat sesusuk tubuh berpakaian skirt labuh fesyen lama dengan baju lengan beropol-ropol yang sarat.
Wanita itu terkejut, berpaling dan menoleh ke arah datangnya suara yang menyapa dirinya. Dia masih berdiri di tepi rak-rak buku yang berbaris di dalam perpustakaan itu. Buku di tangannya terlepas, hingga menimbulkan bunyi yang agak kuat memecah suasana keliling yang begitu sunyi. Dia membongkok, mengutip buku itu kembali kemudian buru-buru mengemukakan pertanyaan kembali dengan suara yang dalam dan jauh di kerongkong.
“Aku yang patut bertanya, kau siapa? Mengapa kau berada dalam rumahku?” Wanita itu berjalan pantas melewati meja panjang yang ditemani dengan lapan buah kerusi kayu jenis oak coklat gelap.
Mereka berhadapan dalam jarak yang begitu dekat. Sheila mendapati wanita itu agak tua, dalam lingkungan usia lima puluhan tetapi mempunyai tubuh badan yang kecil dan kemas. Wajahnya kelihatan jelas dihiasi kedutan terutama di sekitar sudut matanya yang sepet, hidungnya agak peset dengan bibir yang nipis. Semasa dia bercakap giginya yang berlapis-lapis dapat ditangkap oleh mata Sheila; “Kenapa kau mencerobohi perpustakaan ni… membaca buku-buku kepunyaanku?”
“Buku kau?” Kerutan tanpa sengaja muncul di dahi Sheila.
Saat itu Sheila terus terfikir bahawa dia sedang berhadapan dengan Kelly. Bukankah dia pernah melihat nama Kelly tertulis dalam salah sebuah novel yang ada? Kini perempuan itu mengakui dialah tuan punya kepada buku-buku di perpustakaan. Dadanya berdebar-debar ketika berhadapan dengan wanita itu yang mendakwa buku-buku itu kepunyaannya.
“Ya. Semua ni aku yang punya. Sebelum kau menyentuhnya kau mesti minta izin dariku.”
“Kau ni Kelly?’
“Ya, akulah Kelly.”
“Tapi rumah ni kepunyaan Jasman suamiku… Aku tak tahu pula perpustakaan ni kepunyaan orang lain.”
“Jasman… Suami kau?”
“Ya.” Balas Sheila sepatah. Tapi dia bukan suami yang baik. Dia sentiasa mendera hati dan perasaanku dengan penuh kekejaman. Entah mengapa aku masih berada di sini. Ya… Aku terperangkap di sini dan tidak dapat lari.
Wanita itu mengangkat tangannya perlahan-lahan ingin menyentuh bahu Sheila tapi dia seboleh-bolehnya cuba mengelak dengan cepat. Sekonyong-konyong dia mendapati wajah wanita itu bertukar pucat, berkedut-kedut, kukunya agak panjang dan menakutkan.
Sheila menepis tangan wanita itu dengan kedua-dua tangannya sambil menjerit; “Pergi! Jangan sentuh aku!”
“Kita serupa walaupun tak sama. Kau terkurung di sini… Aku pula terperangkap dalam bilik hujung tu!” Katanya sambil menunjuk ke arah bilik yang terletak bersebelahan dengan perpustakaan itu.
“Kau terperangkap di situ?”
“Ya… Tolong aku! Bebaskan aku dari bilik tu…” Tiba-tiba dia merayu dengan suara yang kian jauh dan dalam seolah-olah datang dari dalam perutnya. Dia duduk melutut di hujung kaki Sheila. Sheila berundur perlahan-lahan ke belakang.
“Aku… Aku tak mampu nak tolong kau…”
“Kau mesti tolong aku! Kau mesti tolong aku!!!” Suaranya terus bergema kuat. Sheila memekup telinganya. Dia takut mendengar suara yang bergaung kuat itu. Suara yang jauh di kerongkong memenuhi telinga sehingga tubuh Sheila bergegar dengan kuat. Dia menggawangkan tangannya ingin menolak wanita itu. Dia lihat tubuh wanita itu melayang-layang di udara seperti sehelai kain nipis yang ringan. Dengan pantas dia dapat mengejar Sheila yang sudah pun berada di hadapan pintu bilik tidur.
Sheila menjerit dengan kuat. Dia ketakutan.
Di pintu terdengar ketukan yang kuat. Sheila terjaga. Hanya mimpi! bisiknya pada diri sendiri, sambil tangan menggagau mencari suis lampu.
Mimpi yang sungguh menakutkan. Terasa seperti benar-benar terjadi. Mengapa harus bermimpi yang bukan-bukan? Tubuhnya berpeluh. Dia memandang ke arah pintu, terjengul wajah Jasman yang kelihatan garang.
“Kenapa you menjerit macam puntianak?” Dia bertanya marah, wajahnya berkerut. Matanya kelihatan merah. Pasti jeritan Sheila tadi telah mengganggu tidurnya.
“I…I bermimpi ngeri.” Beritahu Sheila, tubuhnya masih menggigil.
“Hah! Hanya mimpi. Itu pun nak takut…”
“Jas! Mimpi I memang ngeri. I bermimpi seorang perempuan, seperti perempuan keturuan Cina yang agak tua…”
“Perempuan Cina… tua?” Dahi Jasman berkerut.”Jangan merepeklah!”
“Jas… Dengar sini! You kenal ke perempuan bernama Kelly? I jumpa nama tu tertulis dalam salah sebuah novel yang terdapat di perpustakaan rumah ni. Siapa Kelly tu Jas? Memang di dalam perpustakaan tu ada banyak novel-novel bertulisan Cina. Siapa punya sebenarnya?”
“Hah! You ni dah mula terbawa-bawa ke alam mimpi pula. Cubalah hadapi kenyataan sikit! Dah tak dapat beza antara mimpi dan realiti? Manalah I kenal dengan Kelly, perempuan yang you mimpikan tu?”
“Jas, jangan tipu I. I bukannya bodoh. You juga pernah sebut namanya semasa I main piano dulu, ingat tak? You kata hanya Kelly yang pandai main lagu tu.”
“Kenapa you nak tahu sangat? Apa kaitannya perempuan tu dengan you dan I?”
“Manalah I tahu. Dalam mimpi tu tadi, dia minta tolong dengan I…”
“Sheila… Sheila… You percaya sangat dengan mimpi.” Jasman menutup pintu bilik Sheila tapi sekali lagi wanita muda itu menjerit.
“Kenapa pula terjerit lagi ni? Memekak aje tahu?”
Wajah Sheila pucat di saat dia terasa bahagian bawah punggungnya basah. Dia terlihat titisan darah di atas cadar.
“I rasa… I dah keguguran.” Beritahu Sheila dengan bibir menggeletar.
“Apa?” Jasman terganggu mendengar kata-kata Sheila. Dia mendekati katil, memerhati ke arah cadar yang dipenuhi dengan darah.
“You mesti hantar I ke hospital.” Pinta Sheila memandang tepat ke wajah Jasman mengharap pengertian dan simpati.
“No way. I akan telefon doktor supaya dia datang ke sini. You berehat dan bertenang dulu.” Kata Jasman sambil bergerak cepat keluar dari bilik tidur Sheila.
Tiga jam kemudian barulah doktor tiba. Saat itu hari sudah siang. Sejak dinihari, Sheila menanggung kesakitan yang amat sangat di bahagian bawah perutnya. Dia hanya berbaring telentang, tidak dapat tidur atau pun bergerak. Tetapi fikirannya terus bergerak dan menerawang sehingga akhirnya dia lelah sendiri.
Doktor itu datang dari bandar terdekat. Seorang doktor keturunan India yang memperkenalkan dirinya sebagai Doktor Kumar terus sahaja memberikan rawatan sebaik sampai ke bilik Sheila. Jasman sentiasa ada di dalam bilik tidur Sheila sepanjang masa pemeriksaan. Dia samasekali tidak akan membiarkan Sheila berdua sahaja dengan doktor tersebut.
Hasil pemeriksaan doktor itu menyatakan Sheila tidak mengalami keguguran. Cuma dia mengalami turun darah sahaja. Kandungannya masih dalam keadaan selamat. Sheila harus mengelakkan diri dari stress yang berlebihan. Doktor bimbang kandungannya akan terancam sekiranya dia terlalu banyak bergerak dan membebani fikirannya dengan pelbagai hal. Jasman mengerti tekanan yang dialami oleh Sheila. Sebenarnya dia tidak mahu kehilangan bayi yang dikandung oleh isterinya itu. Dalam diam dia berjanji akan lebih berlembut bila berhadapan dengan Sheila. Syaratnya isterinya itu tidak akan bercakap yang bukan-bukan terutama sekali tentang Kelly. Agh! Macamana dia boleh terjumpa novel-novel milik Kelly di perpustakaan kemudian termimpi-mimpikan perempuan itu? Mimpi tipikal seorang perempuan mengandung…
“Doktor kata you kena banyak berehat. Jadi, jangan terlalu banyak bergerak atau pun melayan fikiran yang negatif.”
“Macamana I tak berfikiran negatif Jas… You bukan lagi Jasman yang I pernah kenal. Kenapa you mesti berubah begitu jauh Jasman? Kenapa?”
“I bukannya nak dengar you merungut atau pun menyoal terlalu banyak Sheila. Lebih baik you berehat. Okeylah, I takkan ganggu you untuk tempoh yang panjang. I akan ke KL dalam beberapa hari lagi, I akan tunggu sehingga you betul-betul sembuh.” Ujar Jasman dengan wajah serius. “I betul-betul mahu you melahirkan anak ini dan memberikan dia nama sempena nama bekas kekasih you tu…”
Hmm…. Dia dah mula dah! Bisik hati Sheila tak keruan.
“You tahu tak Farhan dah kahwin? I pergi jumpa isterinya minggu lepas. Seorang doktor psikitri. Cantik dan bijak orangnya. You percaya tak, Farhan dapat mencari pengganti you dalam tempoh yang singkat.”
Sheila menggigit bibirnya dengan kuat. Patutlah panggilanku tidak dijawab oleh Abang Farhan. Rupa-rupanya dia dah punya orang lain dalam hidupnya… Bukan sekali dua dia punya orang lain selain diriku! Agh! Mengapa aku berfikiran begini? Bukankah dulu dia pernah buat hubungan dengan ramai wanita. Mula-mula dia kahwin dengan Mazlina semasa aku baru balik ke Mentakab. Kemudian dia buat hubungan dengan adik tirinya Mawarni. Lepas Mawarni siapa pula? Ahhh… Aku hanya senarai terakhir!
Sekarang ni dia dah kahwin dengan seorang doktor psikitri? Siapa namanya?
Ada kesedihan dan kepiluan yang menggigit tangkai hati Sheila. Dia menggigit bibirnya dengan kuat.
“Kalau you nak call, nak ucapkan tahniah… Ambillah handphone ni! Call dia. Nama iserinya Doktor Erleta Baha.” Jasman seolah-olah mencabar.
“Hah! Tak ada ertinya.” Balas Sheila.
“Ya tak ya. Di sini tak ada coverage. Oklah. Apa kata you tuliskan kad. Kad ucapan tahniah daripada kita berdua. You boleh beritahu you sedang mengandungkan anak kita. Betapa bahagianya hidup kita kan?”
“Tak perlu.” Jawab Sheila sambil menarik selimut. “I nak tidur dan berehat. Boleh you tinggalkan I seorang?”
“Okey.” Jasman bergerak keluar, dia tersenyum sendiri.
Selepas Jasman meninggalkannya sendiri, airmata Sheila lebat mengalir seperti empangan pecah. Dia tidak akan menahan dirinya dari meratap. Dia menangis sepuas-puasnya sehingga tiada lagi airmata yang mengalir. Matanya pedih saat dia merapatkan kelopak mata, berharap dia akan tidur.
Doktor Erleta… bertuahnya kau kerana akhirnya kau dapat menjadi isteri Abang Farhan.

HARAPAN Hamid tentang hujan yang tidak akan turun mengganggu malam itu nyata tidak benar. Hujan turun dengan lebat, membasahi tubuhnya yang berlindung di bawah pokok di tepi jalan tanah merah yang kecil lagi sunyi. Jalan itu memang tidak langsung dilalui sebarang kenderaan. Dia pasti jalan itu adalah jalan lori balak. Jalan tanah merah segera menjadi lecah dan becak. Bau tanah yang hapak bercampur baur dengan bau yang terbit dari daunan yang basah disiram hujan.
Sepanjang malam Hamid tidak dapat tidur. Esoknya dia menggigil kedinginan. Seluruh tubuhnya menggeletar seperti orang demam kepialu hingga dia tidak dapat berjalan. Pandangan matanya kian kabur. Dia meraba-raba dahinya yang terasa berbahang, biarpun udara di sekitar kawasan itu begitu dingin sekali. Dalam kekaburan pandangan, dia memerhati telapak tangannya yang mengecut dan lembab. Seluar bajunya lejut jika diperah barangkali menghasilkan sebaldi air. Dia telah kehilangan begitu banyak air di dalam badan. Namun hormon adrenalina yang dirembes oleh bahagian medula kelenjar adrenal, menolong badan bersedia untuk menghadapi detik-detik cemas. Dia cuba memeras otaknya supaya dapat memacu tenaga untuk berjalan.
Dengan susah payah dia bangun untuk berdiri namun jatuh terduduk semula. Dari arah dalam semak berhampiran telinganya tiba-tiba menangkap bunyi ranting-ranting yang patah dipijak seseorang. Dalam kekaburan itu dia dapat mengenal rupa bayangan orang yang kini sedang bergerak menghampirinya. Apakah lelaki itu mengetahui dia dapat keluar dari ‘kuburnya’ lalu terus memburunya seperti binatang. Hamid duduk, tubuhnya kaku seolah-olah bersatu dengan batang pokok yang dijadikan tempat bersandar. Matanya separuh terbuka… Dia hampir pengsan tapi masih mendengar suara orang itu menegurnya; “Hei, kenapa dengan kau? Kau nampak teruk sangat…”
“Tolonggg… aku…” Sempat dia merayu sebelum jatuh pengsan.
Hamid terjaga semula. Dia tidak tahu berapa lama dia telah pengsan. Dia memerhati sekeliling, mendapati dia berada di dalam sebuah khemah kecil. Badannya tidak berbaju, hanya mengenakan sehelai seluar dalam namun dibaluti sehelai selimut tipis. Telinganya menangkap bunyi orang sedang memotong kayu. Hamid merangkak keluar dari khemah. Dia terlihat seluar dan bajunya dijemur di bahagian hadapan sebuah pajero. Khemah itu didirikan di sebatang anak sungai yang jernih. Hamid memerhati sekeliling. Terlihat asap api sedang mengepul tidak jauh khemah. Sebuah cerek terletak di atas tiga ketul batu yang dijadikan tungku.
Seorang lelaki sedang membawa beberapa batang kayu kecil lantas melonggokkannya berdekatan dengan unggun. Dia memandang Hamid.
“Kau dah sedar… Marilah minum kopi.” Ajaknya dengan mesra.
Hamid tercengang-cengang sebentar. Dia yakin dia bukanlah bermimpi. Dia membalut badannya dengan selimut tipis itu lalu bergerak ke arah pajero itu untuk mengambil bajunya. Nyata sudah pun kering. Seluarnya juga sudah kering. Dia memakai baju dan seluar, kemudian tergesa-gesa mendapatkan lelaki itu yang sedang menuang teh ke dalam gelas plastik.
Lelaki itu menghulur sebuku roti. Hamid makan dengan lahap. Lelaki itu tersenyum sahaja menghulurkan dua biji lagi roti manis tanpa inti yang dihabiskan Hamid dengan cepat dan lahap. Dia kelaparan. Beberapa hari dia tidak makan makanan yang sedap selain daripada buah tampoi dan buah ara. Dengan makanan itu saja yang menyebabkan dia masih hidup.
“Siapa kau? Kau buat apa dalam hutan ni?” Tanya lelaki itu.
“Aku tersesat.” Jawab Hamid. “Namaku Hamid. Panggil saja Abang Hamid. Aku rasa aku lebih tua dari kau. Terima kasih sebab membawa aku ke sini. Siapa nama kau?”
“Salim.”
Salim menghulurkan tangannya ke arah Hamid.
“Dah berapa lama Abang Hamid sesat dalam hutan ni?”
“Tiga atau empat hari…” Jawab Hamid jujur. “Aku tak tahu di mana aku berada. Hanya bergerak mengikut naluri saja. Di mana sebenarnya tempat ni?”
Salim memandang Hamid sebentar sebelum menjawab. “Tempat ni sempadan Perak dan Pahang. Aku selalu ke sini… Berkhemah, memancing ikan dan mencari ketenangan. Ada masanya aku pergi daki gunung.” Jawabnya, kemudian meneguk air kopi di dalam gelas plastik. Selepas itu dia kembali menyambung pertanyaan seolah-olah tidak memberi keizinan kepada Hamid untuk mencelah.
“Apa yang abang cari dalam hutan ni sampai sesat? Mengapa abang tak bawa kompas ataupun sebarang bekalan makanan?”
Hamid diam. Dia harus berhati-hati menjawab soalan Salim. Dia tidak mahu menceritakan apa yang berlaku kepada Salim. Tak mungkin! Tapi apakah cerita yang lebih lojik yang akan dipercayai oleh Salim?
“Ada. Tapi sayangnya dah hilang. Aku pun dah tak tahu di mana aku letak kereta aku. Bila kita berada di dalam hutan ni semuanya nampak sama saja.”
Salim mengangguk. “Sebenarnya aku pun dah dua hari berkhemah di sini. Petang ni aku dah nak balik. Jadi, kalau mahu bolehlah abang ikut balik. Abang tinggal di mana?”
“Pahang.” Jawab Hamid kemudian bertanya pada Salim pula. “Kau tinggal kat mana?”
“Aku juga tinggal di Pahang. Tapi Pahang tu luas bang...”
Hamid teragak-agak akhirnya dia menjawab;
“Kampung… Kampung Seberang Temerloh.” Satu jawapan yang penuh dengan penipuan.
“Ohhh… Aku boleh turunkan abang di Bandar Pusat Jengka. Lepas tu abang boleh ambil bas untuk balik kampung.” Jawab Salim.
Hamid mengangguk.
Lebih kurang pukul dua petang, Salim mengemas barang-barang dan khemah lalu bertolak meninggal kawasan itu. Dalam perjalanan itu Hamid lebih banyak tidur daripada berjaga. Perjalanan agak jauh, lebih kurang pukul 1 pagi baru tiba mereka tiba di Bandar Pusat Jengka.
“Macamana bang? Nak turun di stesen bas? Orang pun tak ada dah dinihari macam ni.” Tanya Salim sambil memerhati ke arah bas yang sunyi sepi.
“Aku rasa… Kalau kau tak keberatan, aku nak menumpang tidur di rumah kau saja.”
Salim mengangguk, lalu terus membawa Hamid menuju ke rumahnya. Salim baru saja membeli sebuah rumah di Bandar Pusat Jengka. Keadaan kewangannya kian pulih. Kini dia berjaya memiliki rumah sendiri. Dia turut membeli pajero yang dia gunakan sekarang. Ladang tembikai yang diusahakannya di atas tanah yang diamanahkan oleh Azizul memberikan pulangan yang cukup lumayan. Malah Salim sedang menunggu saat-saat terakhir bagi membuka pejabat guamannya sendiri di bandar ini setelah kerja-kerja mengubahsuaian selesai.
Salim tidak lokek bercerita kejayaan demi kejayaan yang dicapainya sejak setahun yang lalu kepada Hamid. Hamid menjadi pendengar setia kepada cerita-cerita Salim biarpun dia keletihan. Dia ingin sekali berbaring di atas tilam empuk, namun dia harus bersabar mendengar cerita Salim yang panjang lebar. Lewat jam tiga pagi, Salim menunjukkan Hamid bilik tidur yang ada di rumah teres dua tingkat itu. Bilik tingkat bawah itu khas untuk tetamu, kata Salim.
“Mana isteri kau?” Tanya Hamid.
“Dah meninggal.” Jawab Salim perlahan. “Tapi aku ada anak lelaki, mak aku bela di kampung. Oklah… Abang berehat dulu. Aku pun dah letih dan mengantuk.”
Hamid lekas-lekas bersetuju.
Awal pagi, Hamid terjaga awal. Dia keluar dari bilik tidurnya, mendapati ruang tamu kosong. Salim masih tidur. Suasana dalam rumah sunyi sepi.
Hamid terpandang telefon di sudut ruang. Dia segera mendekati meja telefon, mengangkat gagang lalu menekan nombor handphone Bahtiar. Bahtiar masih mamai semasa dia menjawab panggilan daripada Hamid. Dia terkejut mendengar suara Hamid; “Hidup lagi rupanya kau ni! Aku ingat kau dah mati. Berapa bulan kau tak call, beritahu apa-apa perkembangan dan maklumat. Ke mana kau pergi?” Marah Bahtiar bertalu-talu tanpa sempat Hamid menerangkan apa-apa.
“Sabar dulu… Aku nyaris-nyaris mati.”
“Nyaris mati? Kenapa pulak? Aku suruh kau bunuh lelaki tu, sebaliknya pula kau yang hampir mampus?” Marah Bahtiar lagi.
“Dia terlalu bijak. Dia hampir-hampir bunuh aku. Dia tanam aku hidup-hidup dalam hutan. Empat hari aku sesat. Mujurlah ada seorang anak muda tu, tolong aku. Kebetulan dia berkhemah dan terjumpa aku yang dah separuh mati ni…” Cerita Hamid perlahan bimbang suaranya membangunkan Salim.
“Ohhh… Begitu ceritanya. Jadi kau betul-betul jumpa Jasman?”
“Memang jumpa. Aku tahu rumahnya di KL. Tapi aku rasa dia ada rumah lain… Di tempat yang terpencil. Semasa dibawa pergi mata aku ditutup dan tangan aku terikat.”
Bahtiar mendengus kasar. “Bodoh!” Kutuknya keras. “Sekarang kau kat mana? Kita jumpa di gudang beras batu tiga, pukul sembilan pagi karang.”
“Aku kat rumah anak muda tu lah… Nama dia Salim.”
“Salim?” Bahtiar bertanya kembali dengan suara yang meninggi.
“Salim mana?”
“Aku pun tak tahu! Katanya dia mengusahakan ladang tembikai. Tak lama lagi dia akan buka syarikat guaman di Bandar Pusat Jengka. Orangnya hebat sekali… Muda, kacak, bercita-cita tinggi.”
“Huh!!!” Bahtiar merengus kuat sebelum menghempas gagang.
Hamid terkejut. Dia memandang ke arah telefon itu. Kehairanan mengapa Bahtiar mendengus seperti gajah mengamuk kemudian memutuskan panggilan.
Hamid meminjam sedikit duit daripada Salim sebagai tambang bas pulang ke Temerloh. Walaupun Salim beria-ria mahu menghantarnya pulang tetapi dia menolak dengan penuh hemah. Dia tidak mahu menyusahkan Salim. Lelaki itu telah menyelamatkan nyawanya dan membawa dia keluar dari perut hutan. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih. Salim bermurah hati memberi Hamid duit sebanyak RM50.00 ringgit. Bukan sebagai pinjaman tetapi pemberian ikhlas.
“Kalau abang perlukan pertolongan aku, telefonlah pada bila-bila masa…” Kata Salim sebelum Hamid berangkat pergi meninggalkan rumahnya.
Hamid mengangguk, dia akan ingat pesanan Salim itu.

HAMID menunggu Bahtiar di gudang beras yang sunyi, di pinggir sebidang tanah terbiar. Hamid tiba setengah jam lebih awal daripada masa yang dijanjikan. Hamid memandang ke arah atap gudang yang tinggi. Gudang besar itu kosong melompong, hanya tompokan debu di sana sini. Suatu masa dulu gudang itu tempat menyimpan beras dan padi. Dulu di situ juga terdapat beberapa buah mesin padi. Tapi kini mesin padi itu sudah tiada lagi.
Hamid tahu tanah yang mengelilingi kawasan itu milik siapa. Milik Wan Selamah, mak mertua Bahtiar. Gudang itu juga kepunyaan keluarga lelaki tersebut. Suatu masa dulu keluarga itu memang terkenal dengan sawah padi berelung-relung, menghasilkan beras yang bermutu serta memasarkan beras ke seluruh negeri. Kini tiada sesiapa lagi yang mengusahakan padi di kawasan itu. Lantas gudang itu telah menjadi tempat yang tidak berguna lagi kepada sesiapa.
Hamid mencari tempat untuk duduk. Dia menemui senaskhah surat khabar lama lalu membentangkannya di tengah-tengah gudang. Sengaja dia duduk di tengah-tengah gudang itu, supaya mudah untuk dilihat sekiranya Bahtiar datang. Pintu gudang yang besar sengaja ditutup rapat. Di bahagian belakang gudang dipenuhi semak samun. Suasana sekitar begitu sunyi. Tadi Hamid menaiki teksi separuh jalan sahaja. Dia berjalan kaki, mendaki bukit menghala ke gudang itu yang terletak di atas bukit yang landai. Walaupun terdapat jalan kecil yang boleh dilalui kereta di bahagian hadapan gudang itu, Hamid memilih untuk berjalan.
Hamid memasang telinga. Dia terdengar bunyi kereta menghampiri gudang itu. Dia menanti Bahtiar muncul di muka pintu. Dilihatnya Bahtiar datang bersama dua orang lelaki bertubuh tegap. Siapa orang-orang itu? Sebelum ini Bahtiar tidak pernah berteman. Kedua-dua lelaki itu berjalan beriringan dengan Bahtiar, menghampiri Hamid yang kini berdiri di tengah-tengah gudang.
“Mid!” Bahtiar memanggil. Suaranya bergema memenuhi ruang gudang yang luas itu.
Hamid menanti. Bahtiar memandang tajam dan serius ke arah Hamid. Dengan isyarat mata Bahtiar memandang kedua-dua lelaki di sampingnya. Tanpa sepatah kata kedua-dua lelaki itu menyerang Hamid. Hamid terkejut, tidak sempat berbuat apa-apa ketika dia menerima tumbukan dan sepak terajang dari kedua-dua lelaki itu. Tubuhnya yang baru pulih itu terus menjadi lembik tidak berdaya semula. Dia mengerang kesakitan.
“Ini hadiah di atas kegagalan kau! Kau mesti pulangkan duit aku yang dah kau ambil. Ingat RM3,000.00 tu banyak Hamid!” Kata Bahtiar.
“Tolong aku… Tolong jangan aku macam ni Bahtiar.”
“Tolong engkau? Engkau dah gagal. Kau gagal jejak lelaki tu. Kau ingat kau hebat tapi sebenarnya kau dah tak macam masa muda dulu. Aku menyesal mengupah engkau. Tak guna!” Bahtiar meludah ke atas lantai gudang.
“Aku janji… Aku janji selesaikan kerja aku, Bahtiar.”
“Macamana? Kau dah hampir-hampir mati dikerjakan dek lelaki tu… Cuba beritahu aku macamana? Kau ada rancangan? Tak ada kan? Kau tak ada apa-apa plan!!”
“Bahtiar, aku akan buktikan akan berjaya jejak dia. Aku akan berjaya…”
“Tak boleh. Aku tak percaya kau akan berjaya. Kau dah bahayakan nyawa anak aku!” Kata Bahtiar lagi sambil menggelengkan kepalanya. “Aku tahu lelaki tu bahaya, sadis… jahat!”
Bahtiar memerhati wajah Hamid yang bermandi peluh dan darah. Hidungnya juga berdarah akibat tumbukan daripada kedua-dua lelaki suruhan Bahtiar. Sedikit pun tiada rasa belas kasihan di hati Bahtiar.
“Oklah…” Putus Bahtiar setelah berfikir beberapa saat. “Kau tak perlu pulangkan semula duit tu. Kau kata kau diselamatkan oleh Salim?”
“Salim yang kau maksudkan ni, sama ke dengan Salim bin Abdul Rashid, bekas peguam yang pernah ditangkap dan dipenjarakan satu masa dulu?”
“Aku rasa Salim itulah…” Jawab Hamid sambil mengesat darah yang mengalir di mukanya dengan tangannya yang kotor berdebu.
“…Sebab dia ada kata dia nak buka syarikat guamannya sendiri di Bandar Pusat Jengka. Dia hanya menunggu masa pejabatnya siap diubahsuai.”
Bahtiar mengangguk.
“Okeylah Hamid, aku beri kau satu lagi peluang. Kau datang jumpa aku dua minggu lagi di sini dengan satu rancangan baru. Aku nak tengok macamana kau punya idea boleh pakai ke tak. Berkenaan dengan Salim… Kau dekati Salim, berkawanlah dengannya. Dia budak ‘baik’. Kalau ada apa-apa cerita menarik tentang dia, jangan rahsiakan daripada aku, okey?” Kata Bahtiar dengan cepat dapat mengawal kemarahannya.
Dia tidak boleh cepat marah. Tidak baik untuk kesihatannya.
Walaupun dia tidak mengalami masalah jantung yang serius, tetapi dia harus sentiasa berjaga-jaga. Tahap kolesterol dan darah tingginya harus selalu diberi perhatian. Dia tidak mahu mendapat serangan jantung atau pun strok. Belum masanya untuk terkedang sakit tidak bermaya di atas katil hospital. Tidak sekali, selagi Sheila tiada di hadapan matanya.
Bahtiar membenarkan Hamid pulang.


Bab 15

“AKU harap kau puas hati dengan penampilan tubuh kau sekarang…” Kata Doktor Jufri, berdiri di belakang Doktor Erleta. Doktor Erleta tersenyum tanpa berpaling daripada cermin besar yang sedang ditatapnya.
“Kau bukan saja punya tubuh yang menggiurkan tapi sekarang wajah kau pun bertambah jelita. Betul kata aku kan? Dengan membuat sedikit pembedahan ke atas hidung dan dagu, kau tambah cantik. Dagu semakin comel, hidung semakin mancung. Nasihat aku, potong rambut kau ni biar pendek dan warnakan!” Kata Doktor Jufri. “Suami kau akan jatuh cinta berkali-kali pada kau. Kalau kata-kata aku ni tak betul… Suami kau memang dah gila!”
Doktor Erleta ketawa pahit namun sempat berharap Andy Farhan akan mulai menilai dirinya daripada perspektif berbeza. Jatuh cinta… Itulah perkataan ajaib yang diharapkannya akan berlaku. Memang benar dia bertambah cantik, mengalahkan seorang pergawati padahal dia adalah seorang doktor sakit jiwa. Dia memandang dirinya sendiri di hadapan cermin rasa benar-benar puas hati. Penampilan barunya memang mengujakan dirinya sendiri. Payu daranya tampak mengkal, bulat dan cantik. Pinggangnya kelihatan lebih ramping.
“Intailah tubuh dan wajah kau puas-puas!” Kata Doktor Jufri, lalu berjalan keluar dari bilik Doktor Erleta.
Sudah hampir sebulan dia berada di hospital itu. Setelah selesai satu siri pembedahan, dia menjalani beberapa siri lagi di bahagian wajah. Walaupun dia harus membayar hampir tiga puluh ribu, namun dia tidak kesal. Langsung tidak…
Dia harus berehat lagi di situ lebih kurang dua hari sebelum berangkat pulang dengan penuh keyakinan. Malam esok Doktor Jufri mengajaknya menginap di rumah barunya di UK Perdana. Ada majlis ulangtahun perkahwinannya. Dia telah berkahwin hampir lima tahun dan mempunyai seorang anak perempuan. Sebenarnya Doktor Erleta tidak sabar hendak pulang tetapi harus memenuhi undangan Doktor Jufri.


DIA tiba di hadapan rumah banglo dua tingkat yang terletak di Jalan 14/60, PJ tepat jam tiga petang. Pembantu rumah membukakan pintu pagar. Dia terus memandu kereta memasuki porch lalu masuk melalui pintu utama. Di atas meja terdapat beberapa pucuk surat. Pembantu rumah memberitahu surat-surat itu tiba pada minggu lepas lagi. Minggu lepas dia tidak menjengah ke situ langsung.
Dia membelek-belek surat tersebut yang ditujukan kepadanya. Dia tertarik pada sekeping kad undangan ke majlis ulang tahun perkahwinan datangnya daripada salah seorang kenalan isterinya. Dia termenung sejenak. Meskipun tertulis nama insan yang mengundangnya ke majlis tersebut, tetapi dia tidak ingat. Siapa ya? Fikirnya dalam-dalam.
Apa yang dia pasti undangan ke majlis itu datangnya daripada salah orang rakan-rakan isterinya. Dia tidak punya rakan yang benar-benar rapat. Kalau ada pun hanya Razif yang menyusahkan tu! Sempat dia merungut sendiri apabila teringatkan Inspektor Razif. Dia kagum, ada di kalangan saudara mara atau kawan-kawan isterinya itu masih ingat untuk menjemput dia meskipun isterinya telah beberapa tahun meninggal dunia. Agh! Tak ada yang peliknya. Selama dia menjadi suami Hasna, dia memainkan peranan dan watak seorang suami yang baik dan penyayang!
Majlis itu akan berlangsung pada malam esok. Malam minggu. Agh! Aku akan pergi. Aku suka pergi ke majlis tari menari dan makan-makan begini kerana di sana aku akan dapat menemui ramai wanita cantik.
“Tuan… Silakan minum.” Tegur pembantu rumah yang baru datang dari dapur membawa segelas jus limau. Dia hanya mengangguk.
Di rumah itu hanya ada seorang pembantu rumah. Pembantu rumah itu telah berkhidmat di situ sekian lama. Dia tidak akan dipecat. Pembantu rumah itu amat diperlukan bagi memastikan keadaan rumah berjaga rapi sepanjang ketiadaannya.
Dia memerhati sekeliling ruang tamu yang sepi. Siapa sangka rumah itu menjadi miliknya secara total. Siapa sangka seorang lelaki yang pada mulanya tidak punya apa-apa datang dari bandar Muar dengan berbekalkan SPM akhirnya memiliki begitu banyak harta. Pertama kali dia datang ke situ, bertugas sebagai budak pejabat yang patuh. Disuruh dan diperintah bagaikan dia adalah ‘superboy’ yang mampu berbuat apa saja. Namun dia tahan sahaja dengan segala kerenah dan hinaan pekerja-pekerja yang berpangkat lebih tinggi darinya. Dalam diam, dia menyimpan cita-cita yang besar. Biarpun harus berjimat cermat dia mengambil pelbagai kursus jangka pendek untuk memahirkan diri dalam bidang pentadbiran dan perakaunan. Usaha gigihnya membuah hasil apabila dia berjaya mendapat sijil.
Kemudian dia menyambung lagi pelajaran ke peringkat diploma dengan belajar malam tanpa mengira penat. Kegigihannya itu menarik minat majikannya untuk menaikkan pangkatnya daripada budak pejabat menjadi kerani. Kemudian dari kerani naik setapak demi setapak. Akhirnya dia berjaya menjadi seorang pengurus dalam masa hampir dua tahun sahaja. Kemudian dia melompat kerja apabila menerima tawaran yang lebih lumayan.
Di syarikat Mega Kawal Security dia menemui isteri pertamanya. Hasna Al Hussien.
Wanita itu bukanlah cantik, malah sudah berumur pula. Wanita yang kematian suami. Janda tua yang kesepian, tidak mempunyai anak. Pada mulanya perhubungan mereka hanya perhubungan biasa antara majikan dan pekerja. Namun dia berjaya menambat hati wanita tua itu. Hasna kesepian walaupun mempunyai harta dan wang yang banyak. Dan padanya tempat Hasna mencurah perasaan. Dia melayaninya dengan baik dan mulus. Dan tanpa sedar wanita itu jatuh cinta padanya. Dia terus melayaninya, mengakui mencintainya. Cinta yang penuh pura-pura.
Mereka bernikah secara sulit. Di pihak Hasna hanya kawan-kawan rapat, para pekerja dan saudara mara sahaja yang tahu. Manakala di pihaknya, tiada sesiapa yang tahu termasuk emaknya sendiri. Pada mulanya Hasna tidak setuju. Dia ingin mengenali saudara mara dan mak mertua yang hampir sebaya dengannya. Dia berdalih menyatakan emaknya sudah tiada. Memang emaknya tiada… Tiada bersamanya di KL ketika itu. Emaknya masih ada di Muar.
Setelah setahun mendirikan rumahtangga dengan Hasna, perempuan itu pergi menghadapi Ilahi. Tiada sesiapa pun yang tahu sebab sebenarnya kematiannya. Namun hanya dia sahaja yang tahu…
Setelah Hasna tiada lagi, dia telah menjual syarikat milik Hasna. Isterinya sempat memberikan hak dan kuasa kepadanya. Begitulah bijak dan tangkasnya dia mengatur strategi. Dia menjadi senang dengan cepat. Tetapi dia belum puas dengan kesenangan dan wang yang dimilikinya. Dia jadi tamak untuk memiliki lebih banyak harta dan wang. Dia jadi seronok memperdaya ramai wanita. Kebanyakan wanita-wanita yang kesepian, ditinggal atau kematian suami.
Begitulah akhirnya dia bertemu pula dengan Kelly. Mengahwini wanita Cina itu… Juga dalam keadaan penuh rahsia. Dan hartanya juga jatuh ke tangannya seorang.
Dia meneguk minumannya perlahan-lahan. Terasa nyaman sekali minuman itu melalui kerongkongnya yang kering.
Sheila adalah isteri ke tiga… Apakah wanita itu adalah isteri terakhir baginya? Sheila sedang mengandungkan anaknya. Bersama isteri-isterinya yang terdahulu, mereka tidak mempunyai anak. Kedua-dua wanita itu sudah berumur dan tidak mungkin boleh melahirkan zuriat. Dan dia memang tidak menginginkan anak yang akan membebankannya.
Pada mulanya dia menyangka akan mendapat sebahagian daripada harta-harta Sheila. Dia tahu Sheila memiliki sher di dalam Rangkaian Rimbajati. Pada mulanya kedatangan dia ke Mentakab adalah untuk mencari dalang dan punca mengapa abangnya Azizul terjebak dalam jenayah terancang yang akhirnya menjerat dia ke tali gantung. Secebis surat yang dikirim seminggu sebelum abangnya dijatuhi hukuman, yang disampaikan oleh peguamnya sehingga kini masih menghantuinya; “Adikku, sekiranya sesuatu terjadi pada abang, kau carilah Bahtiar, hancurkan seluruh keluarganya tanpa sedikit pun ada perasaan belas kasihan. Dialah dalang dalam permainan kotor ini.”
Begitulah aku masih memegang wasiat terakhir ini… bisik Jasman sendiri sambil terus meneguk minuman jus limau yang masih tinggal separuh di dalam gelasnya.
Tapi tak sangka betul, Andy Farhan sudah pulih dari luka perasaannya lalu mengahwini doktor muda itu… Keluh Jasman lagi sambil menggenggam gelasnya dengan lebih kuat hingga terdengar bunyi kaca pecah. Gelas itu hancur berderai dalam genggaman. Telapak tangannya yang berdarah langsung tidak terasa.
Dia melepaskan gelas itu ke lantai, melihat darah yang menitis dari lukanya, menimpa di atas permaidani. Dia rasa begitu kosong dan hampa setelah kehilangan satu-satunya saudara lelaki yang dia punya di dunia ini. Emaknya jatuh pengsan berkali-kali semasa diberitahu Azizul sudah tiada lagi. Emaknya sehingga hari ini masih bersedih. Jasman tidak berani pulang ke kampungnya di Muar. Tidak sanggup melihat wajah sedih emak yang masih meratapi pemergian abang sulungnya itu.
Bahtiar! Kau harus bayar hutang darah dengan darah. Aku akan musnah kau dan Andy Farhan. Juga anak saudara kau Sheila… Apabila tiba masanya nanti, Sheila akan jadi mangsa terakhir dalam permainan ni!

JASMAN melangkah dengan penuh gaya, memasuki halaman luas yang dipenuhi dengan ramai tetamu. Lampu kelihatan begitu cemerlang dan indah, mewarnai setiap ruang dan sudut. Di hadapan pagar tadi dia disambut mesra oleh wakil tuan rumah lalu dipersilakan terus masuk ke dalam untuk menikmati hidangan. Namun bukan hidangan yang menjadi sebab utama mengapa dia datang ke majlis itu.
Seorang lelaki berusia awal tiga puluhan naik ke pentas kecil dengan penuh ceria, sambil ditemani oleh isterinya. Jasman mencerun mata, cuba mengingat siapa lelaki. Oh ya! Dia baru teringat siapa lelaki itu. Dia adalah Doktor Jufri, anak saudara Hasna. Mengapalah dia tak ingat sebelum ini? Dia turut menghadiri perkahwinan lelaki itu lima tahun lalu semasa Hasna masih hidup. Perkahwinannya dengan Hasna hanya berlangsung setahun sahaja. Ketika itu dia masih terlalu muda, berusia lebih kurang dua puluh tahun.
Jasman duduk sendirian di satu meja tidak jauh dari pentas, sambil mendengar ucapan Doktor Jufri yang mengalu-alukan kedatangan para tetamu. Dia menjemput mereka menikmati hidangan kemudian majlis tarian dan karaoke. Mereka dijemput bergembira hingga tengah malam. Tepukan bergemuruh terdengar daripada para tetamu yang memenuhi halaman. Jasman mengagak tetamu itu lebih kurang lapan puluh hingga ke seratus orang.
Jamuan diadakan secara buffet. Jasman bergerak ke arah meja hidangan. Dia mengambil pinggan, turut beratur bersama tetamu lain untuk mengambil makanan. Pelbagai hidangan yang disediakan. Pelbagai jenis nasi, lauk-pauk dan kuih muih. Ada juga mee, laksa dan ayam goreng. Dia hanya mengambil seketul ayam goreng dan sedikit mee goreng. Entah mengapa dia tidak berselera untuk menjamah nasi. Tujuannya datang adalah untuk mencari kenalan baru… Terutamanya gadis-gadis cantik.
Jasman terhenti melangkah apabila dia terpandang seseorang. Matanya tajam merenung wanita itu yang kelihatan paling menyerlah antara kebanyakan wanita-wanita yang hadir. Dia memakai gaun labuh mengikut bentuk badan berwarna merah darah. Kelihatan jelas bentuk pinggul dan dadanya yang menggiurkan. Rambutnya kemas, pendek dan berwarna perang. Dia tersenyum lembut ketika disapa orang-orang yang ada di sekeliling.
“Cantik kan? She looked stunning, gorgeous… memikat, betul tak?”
Jasman tersentak mendengar suara dari belakangnya. Dia menoleh dengan wajah kelat. Tidak sangka ada yang perasan dia sedang merenung tajam pada wanita itu. Wanita itu seakan pernah dikenalinya. Tapi…
Dia tersenyum malu apabila mendapati Doktor Jufri sendiri yang menegurnya; “Tak sangka you datang ke majlis. Lama tak dengar khabar…”
“Ya.” Jawab Jasman senyum. “Kebetulan ada di KL semasa kad undangan tu sampai.”
“Dah hampir lima tahun ya auntie I meninggal…”
“Ya…”
“Masih sendiri? Belum jumpa pengganti auntie I?”
Jasman pura-pura sedih, menggeleng lembut.
“Mahu kenal dia?” Tanya Doktor Jufri bagaikan cuba menggoda.
“Siapa perempuan tu?”
“Hmmm…” Doktor Jufri terdiam sejenak, meneliti wajah bekas bapa saudaranya yang masih muda itu. “Lebih baik tak usahlah… Dia tu isteri orang.”
Isteri orang? Itulah yang menariknya… Dia paling suka pada isteri orang. Tapi isteri siapa? Dia seperti pernah melihat wanita itu. Walaupun Doktor Jufri tidak menyokong, dia akan cuba mendekatinya juga.
Dia mengangguk lemah. “Sayang sekali… It’s too late.” Dia pura-pura ketawa.
“Hmmm… Ramai lagi perempuan di sini. Enjoylah!” Kata Doktor Jufri meninggalkannya untuk menikmati makanan.
Dia makan perlahan-lahan, sambil mengintai peluang untuk mendekati wanita itu. Dilihatnya wanita cantik berbaju merah darah sedang mendekati meja hidangan. Dia memerhati dari jauh, bangun dengan cepat lalu berdiri di belakang wanita itu sambil memegang piring. Wanita itu sedang memerhati ke arah kuih-muih, dia kelihatan teragak-agak untuk mengambil makanan.
“Semuanya kuih-kuih manis kan… Tak begitu baik untuk kesihatan.” Kata Jasman dari arah belakang wanita itu. Dia juga kononnya teragak-agak untuk mengambil kuih tersebut.
Wanita itu menoleh, memberikan senyuman. “Ya…” Jawabnya sepatah. Mata mereka bertentangan dari jarak yang dekat. Dahi wanita itu serta merta berkerut.
“Rasa macam pernah jumpa…” Kata wanita itu sambil memandang wajahnya sekali lagi.
“I felt the same way… Kita pernah jumpa tapi di mana ya?”
“You pernah datang ke klinik I.” Jelas wanita itu mempunyai daya ingatan yang kuat.
“Klinik you? No… No! Tak mungkin you…” Jasman ketawa. Baru dia ingat sesuatu tapi… Agh! Tak mungkin. Dia menunggu wanita itu terus berkata sesuatu. Tapi wanita itu kini sedang mencapai sepotong kuih lapis dan sepotong kuih seri muka. Jasman turut mengambil kuih yang sama, menyaingi wanita itu mengambil segelas jus tembikai. Akhirnya mereka duduk semeja.
“You lelaki yang datang lewat petang tu… tapi you tak beritahu I nama you!”
Jasman kini sudah ingat segala-galanya. Dia memandang tepat ke wajah itu. Tadi dia tidak perasan sangat kerana wanita itu tampak berlainan sekali. Lagipun mereka baru dua kali bertemu.
“I… Doktor Erleta.”
Jasman mengembangkan senyuman. Malam ni malam bertuah aku! Bisiknya di dalam hati.
“Nama I… PJ.”
“PJ?”
“Nama penuh Mohd Faizal. Tapi biasa dipanggil PJ. Lebih ringkas.” Dia bersuara spontan, menghulur tangan untuk bersalaman dengan Doktor Erleta.
Jasman sempat memerhati sekeliling, mencari kelibat Doktor Jufri. Lelaki itu tidak kelihatan di mana-mana. Nasib baik! Dia bimbang Doktor Jufri ternampak dia berbual dengan Doktor Erleta. Paling dia bimbang sekiranya Doktor Jufri mengetahui penyamarannya. Jadi dengan tergesa-gesa dia minum dan menghabiskan kuih dengan memberi alasan harus meninggalkan tempat atas urusan penting.
Namun sebelum beredar dia sempat memberikan nombor telefonnya untuk dihubungi oleh Doktor Erleta. “I ingin berkenalan dengan you lebih rapat. Manalah tahu suatu hari I perlukan seorang doktor yang bijak dan cantik macam you sekiranya I ditimpa masalah.”
“No problem.” Jawab Doktor Erleta sambil memberikan dia sekeping kad perniagaannya. Jasman terus meninggalkan majlis. Hatinya senang. Dia sudah ada contact dengan Doktor Erleta… isteri Andy Farhan.
Jasman menyanyi kecil sepanjang perjalanan pulang. Memang tidak sia-sia dia menghadiri majlis ulangan tahun perkahwinan Doktor Jufri.


Bab 16

DOKTOR ERLETA berada di dalam bilik tidur, saat Andy Farhan pulang kepenatan lewat malam itu. Dia memang menunggu kepulangan suaminya itu dengan dada penuh debaran. Sengaja dia mengenakan baju tidur nipis bertali halus, mempamer tubuhnya yang cantik.
Dia duduk santai di atas sofa panjang di sudut bilik sambil membaca sebuah novel yang tebal. Tetapi fikirannya bukan pada barisan tulisan yang ada di permukaan novel itu. Dia tersentap apabila daun pintu ditolak, terlihat wajah Andy Farhan yang keletihan. Lelaki itu masuk, memandang sekilas cuma pada Doktor Erleta sambil tangannya sibuk melonggarkan ikatan tali leher.
Doktor Erleta memandang Andy Farhan tidak berkelip. Lelaki itu seolah-olah tidak perasan langsung pada perubahan dirinya. Andy Farhan memandang sekali lagi padanya, terhenti daripada membuka butang baju kemeja. Dahinya berkerut.
Debaran dada Doktor Erleta kian memuncak. Lelaki itu menanggal cermin matanya, berkata dengan nada kehairanan; “Apa you dah buat dengan muka dan badan you, Elly?”
Doktor Erleta agak terkejut melihat sambutan dingin Andy Farhan. Lelaki itu langsung tidak mengkaguminya malah memandang hairan sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Dua bulan pergi out-station kononnya… Tapi sebenarnya you pergi buat pembedahan kosmetik.”
“You tak suka?”
Wajah Andy Farhan mempamerkan rasa hairan yang semakin jelas. “You ingat I suka? Memanglah itu hak you… Tubuh badan dan muka you. Tapi… Tapi I tak sangka you sanggup buat macam tu! Mengubah kejadian Tuhan? Semua di badan you palsu, Elly! Mengapalah you terpengaruh dengan benda-benda macam ni?”
Doktor Erleta geram dan marah. Tahukah semua ini berlaku kerana kau juga, Farhan! Kerana kau, aku sanggup mengubah diriku! Malangnya sekarang kau kata seluruh badan aku palsu?
“Hei! Bukan semua yang ada di badan I ni palsu. Sekurang-kurangnya hati dan cinta I bukanlah palsu. Ianya satu perasaan yang benar-benar wujud. Ikhlas, sepenuh hati.”
Agh! Tak perlulah sebenarnya dia menyebut kerana cinta… Sia-sia. Percuma! Lelaki itu tidak akan mengerti. Selama ini dia sentiasa memberikan pengertian. Namun segala pengorbanannya tidak berharga. Pengertian yang dihulurkan tidak pernah mendapat balasan setimpal. Malahan dituduh pula dengan tuduhan yang amat menyakitkan hati.
“Oh! I faham sekarang… You ingin menandingi Sheila.” Kata Andy Farhan, memandang Doktor Erleta kemudian berkata lagi; “Tak perlu buat begini Elly. Tak perlu… I lebih suka diri you yang dulu. Bukan seperti sekarang…”
“Katakan saja sebenarnya you tak pernah suka pada I. You sebenarnya masih terus mencintai Sheila. Sheila segala-galanya bagi you. Dia buah hati, kekasih, pengarang jantung, belahan jiwa… agh! Segala-galanya. Tapi di mana dia sekarang? Di mana? Dia dah bahagia dengan lelaki lain.” Jerit Doktor Erleta, tidak simpati lagi pada lelaki di hadapannya itu. Dia jadi muak dan jelak asyik menjaga hati orang lain tapi hatinya sendiri terabai. Ahhh.. Dia gagal mengawal dirinya dari menjadi berang. Tekanan demi tekanan buat dia semakin susah untuk bertenang.
“Betul Elly. Memang dia adalah segala-galanya bagi I.”
Airmata Doktor Erleta mengalir. Dalam berang dan marah, hatinya sempat tersentuh jua dengan kepiluan. Dia memaling wajahnya, enggan mempamer airmata yang baru bertamu. Namun bahunya tetap bergerak-gerak menahan esakan sehingga dapat dikesan oleh Andy Farhan.
Lelaki itu mendekati, memegang bahunya dengan lembut. Perempuan tetap perempuan… Hatinya sensitif, mudah tersentuh kesedihan. Ah… Dia terlalu baik. Bukankah suatu masa dulu aku pernah berjanji tidak akan menyakiti hatinya? Kehadirannya tetap memberikan erti yang besar.
“Maaf…” Seru Andy Farhan berulang kali sambil memeluk bahu Doktor Erleta mencium rambutnya dengan lembut.
“I tak sepatutnya cakap macam tu…”
Doktor Erleta diam sahaja. Dia ingin menolak tetapi tidak berupaya untuk berbuat demikian.
“You sebenarnya dah cukup cantik.” Bisik Andy Farhan memujuk.
Namun hati Doktor Erleta semakin tawar. Sekonyong-konyong dia teringat pada jejaka yang ditemuinya di majlis ulang tahun perkahwinan Doktor Jufri. Serta merta dia mulai menolak tangan Andy Farhan, membawa dirinya ke arah katil lalu duduk.
“Boleh tak malam ni… I tidur sendiri di bilik ni?”
Andy Farhan mengangkat keningnya seperti tidak percaya dengan permintaan Doktor Erleta. “Atau I tidur saja di bilik sebelah…”
“Tak apa… Biar I yang keluar.” Balas Andy Farhan, lalu bergerak keluar dari kamar itu tanpa menunggu balasan daripada Doktor Erleta.

HAMID belum mempunyai sebarang rancangan yang baik, sedangkan masa yang ditetapkan oleh Bahtiar kian dekat. Dia tidak tahu apa yang harus difikirkan untuk menjebak Jasman. Meskipun dia tahu tempat tinggal lelaki itu di KL, tetapi dia tidak cukup cekal untuk mendekati rumah itu lagi. Bukankah dia hampir-hampir maut. Dia perlu pertolongan daripada orang yang lebih berpengalaman. Dia terpaksa menerima hakikat, dia sudah berumur, otaknya kian tumpul tidak mampu berfikir dengan lebih baik.
Fikirannya yang tumpul dan picik itulah yang membuat dia hanya menjadi mangsa kepada Jasman dan Bahtiar. Dia tidak dapat lari daripada Bahtiar walaupun sebahagian daripada rahsia lelaki itu diketahuinya. Dia bimbang Bahtiar akan mengganggu anak isterinya sekiranya dia berpaling tadah.
Suatu hari dia mengunjungi Salim di Bandar Pusat Jengka. Malangnya dia menerima satu berita yang agak mengejutkan. Salim berada dalam kesedihan.
“Pejabat aku yang baru dibuka dibakar orang bang…” Kata Salim dengan wajah sedih ketika Hamid sampai di rumahnya. “Habis semua impian dan cita-cita aku berkecai. Aku dah habiskan hampir lima puluh ribu ringgit buat ubahsuai pejabat. Dalam hanya semalaman semuanya hangus jadi abu.”
“Bila? Dah report polis?”
Salim mengangguk. “ Malam semalam. Ini perbuatan khianat!”
“Kau tahu siapa yang lakukannya?”
“Musuh aku siapa lagi? Dia tak mahu aku bangkit semula. Dia dengki, hatinya busuk! Aku tak kacau orang… Tapi mengapa orang mesti kacau aku?”
“Siapa musuh yang kau maksudkan ni?”
Salim diam. Dia sendiri tidak tahu siapakah musuhnya itu. Tapi dia tahu dia punya musuh dalam selimut. Segala hasil usahanya sia-sia. Duit simpanan hasil jualan daripada ladang tembikainya hancur musnah dalam masa semalaman. Duit itu dilaburkan untuk mendirikan firma guaman idaman hatinya.
Dia terlalu kecewa, sedih, hampa, marah…
Kalaulah dia tahu siapa yang melakukannya, dia akan halakan muncung pistol ke kepala orang itu. Dia tak kisah sekiranya disumbatkan ke dalam penjara sekali lagi. Kali ini dia benar-benar pasti telah melakukan jenayah. Tapi pada siapa dia harus menudingkan jari? Dia tidak tahu…
“Entahlah!” Jawab Salim sambil mengeluh.
Hamid mendiamkan diri. Fikirannya kosong. Dia juga tidak tahu bagaimana mahu membantu Salim. Dia teringat Bahtiar pernah bertanya tentang Salim. Mungkin Bahtiar dapat membantu Salim memulihkan kewangannya? Bahtiar banyak duit… Tapi terlibat dengan Bahtiar terlalu banyak muslihatnya. Silap-silap bukan bertambah senang, sebaliknya menyusahkan pula kalau sudah terperangkap! Seperti dirinya sekarang… Tak dapat lari daripada terus ‘berkhidmat’ pada Bahtiar.
Lelaki itu nampak baik dan mesra tapi hakikat sebenarnya dia adalah lelaki yang kejam.
“Sekarang ni apa yang kau nak buat?”
“Apalagi yang aku boleh buat? Bekerja semula di ladang tembikai aku tu! Mujur aku belum jual ladang tu, walaupun ramai yang berminat nak beli…” Kata Salim lemah. Sudah lama dia menyerahkan ladang tembikai itu dibawah pengurusan Deris. Kini dia terpaksa turun semula ke ladang. Dia perlu menggandakan usaha, jangan sampai ladang tembikainya pula musnah tidak dapat mengeluarkan hasil.
“Abang nak ikut aku ke ladang? Pening kepala aku duduk di sini, asyik teringat pada pejabat aku yang dah jadi arang.”
“Boleh juga… Kalau kau sudi, berilah aku apa-apa kerja di ladang tu. Aku memang tak ada kerja. Aku tak kisah jadi kuli.”
Salim mengangguk.
Mereka bertolak pergi ke ladang tembikai Salim yang terletak di Rumpun Makmur.
“Luas juga ladang ni…” Kata Hamid.
“Boleh la tahan. Sebenarnya tanah ni hak kawan aku, tapi dia dah serahkan semuanya pada aku sebelum dia meninggal dunia.” Cerita Salim tanpa dipinta.
“Baiknya hati kawan kau tu…”
Salim langsung tidak mengiya atau menidak kata-kata Hamid. Dia menyimpan kenyataan itu untuk dirinya sendiri. Selama dia kenal dengan Azizul, dia bukanlah seorang yang benar-benar baik. Baik dan jahat seseorang manusia bergantung pada masa dan keadaan. Masa muda kebanyakan orang jahat, tidak berfikir panjang. Tetapi apabila usia tua, kebanyakannya berubah menjadi lebih baik dan insaf.
“Jadi baik ni banyak dugaan bang…” Keluh Salim setelah lama dia mendiamkan diri. “Kita kadang-kadang jadi baik kerana mengharap kebaikan kita dihargai. Kalau yang terjadi sebaliknya pula… tentu mengecewakan.”
Hamid mengangguk sahaja.
“Tak mustahil sekiranya kita boleh berpaling jadi jahat semula. Mungkin lebih jahat dan kejam lagi.”
“Dulu… Kau pernah jadi jahat ke? Aku tak percaya… Orang yang pernah menyelamatkan aku yang hampir separuh mati di dalam hutan tu, tak mungkin orang yang jahat. Kalau kau jahat, pastilah kau akan biarkan aku mati.” Kata Hamid.
Kemudian dia teringat Bahtiar menyatakan Salim pernah disumbat ke dalam penjara. Entah apa jenayah yang telah dilakukan anak muda yang baru berusia awal 30an itu.
“Aku… Aku bekas banduan bang.” Kata Salim perlahan. “Tapi aku tak mahu jadi banduan lagi. Tak mahu terpenjara lagi. Sebab itulah aku memilih untuk hidup di atas landasan yang betul. Tapi apa yang baru terjadi pada aku, buat aku berfikir semula…”
“Tentang apa?”
“Manusia yang jahat, sombong dan ego ada di sekeliling kita. Boleh ke kita hidup dengan kebaikan terus menerus macam orang bodoh?”
“Pedulikan mereka. Yang penting kau buat apa yang kau rasa betul. Lagipun orang yang baik bukanlah bodoh.” Jawab Hamid.
“Dalam hutan hari tu… betul ke abang sesat? Aku dapat rasa abang cuba sembunyikan cerita sebenar.”
Hamid tersentak, dia tidak sangka Salim punya firasat yang tajam dan kuat sekali.
“Sesat tu memang betul… aku tak bohong.” Jawab Hamid. “Aku terperangkap, hampir-hampir dibunuh semasa aku menjalankan kerja yang disuruh oleh ketua aku.”
Salim tercengang, benar-benar tidak sangka serkap jarangnya mengena. Lalu Hamid pun membuka cerita bagaimana dia diupah oleh Bahtiar supaya menjejak Sheila dan suaminya Jasman. Akhirnya diperangkap oleh Jasman, tanpa mengetahui di mana Sheila berada. Dia telah ditanam hidup-hidup oleh Jasman tapi berjaya keluar dari kubur ciptaan lelaki itu.
“Kalau macam tu la ceritanya, Jasman tu gila… Megalomania.” Kata Salim perlahan. “Mungkin Sheila dalam bahaya sekarang.”
“Itulah juga yang dikatakan oleh Bahtiar. Kau tahu hubungan Bahtiar dengan Sheila?”
Salim mengangguk. “Memang aku tahu, kenal seluruh keluarga Bahtiar. Semasa aku diambang kejayaan dulu, Bahtiar tu memang pelanggan firma kami.” Beritahu Salim tanpa menyebut pada Hamid bahawa Sheila pernah menjadi kawan baik, kekasih dan tunangannya.
“Tapi bila jadi bekas banduan, tiada kawan dan tiada saudara. Aku benar-benar bersendirian.” Jelas Salim lagi, sedikit kesal. Dia tidak mahu berharap lagi pada Sheila, meskipun masih ada sisa perasaan sayang pada wanita yang pernah rapat dengannya suatu masa dulu.
“Percayalah! Kau bukannya bersendirian. Aku kan ada. Aku dah jadi kawan kau. Kalau boleh aku nak balas budi engkau dulu…” Kata Hamid.
“Macamana caranya abang nak balas?” Salim bertanya curiga. Kau sendiri dalam kesusahan, kononnya nak tolong aku… rungutnya di dalam hati.
Hamid mengeluh.
“Aku tahu aku tak ada upaya, Salim. Tapi aku nak sangat balas dendam pada kekejaman Jasman yang buat aku macam mayat hidup… Aku mesti cari Sheila dan bawa dia pada Bahtiar.”
Nama Sheila yang sudah beberapa kali disebut oleh Hamid buat Salim rasa sedikit teruja. Memang sudah lama dia tidak menemui wanita itu. Kali terakhir dia datang ke rumah Sheila, wanita itu tiada di rumah. Dia mendengar berita dari Andy Farhan menyatakan Sheila sudah pun bernikah.
Agh! Sudah lama saat itu berlalu pergi… keluh Salim. Saat-saat indah tidak akan berulang, hanya sebuah mimpi yang panjang menemani. Hatiku sudah lama tidak disinggahi kegembiraan. Bisik Salim lagi hanya pada dirinya sendiri.


Bab 17

JASMAN sudah lama tidak balik ke rumah banglo di Ladang Bukit Kundang. Rumah itu tidak menjanjikan apa-apa kebahagiaan pada penghuninya. Sheila ditinggalkan sendirian di situ, dikurung dan dikepung tembuk bergerigi laksana penjara. Walaupun kini dia bebas untuk bergerak di dalam rumah dan keluar ke halaman, namun apa ertinya. Dia tidak dapat berhubung dengan sesiapa. Jasman telah merampas segala yang menjadi miliknya. ‘Harta’ terakhir yang diambil adalah handphone miliknya.
Sheila berdiri di tengah-tengah halaman. Di sini beberapa bulan lalu dia pernah menghubungi Andy Farhan menggunakan telefon bimbitnya. Tapi tiada balasan daripada lelaki itu. Dirinya telah dilupakan… Dia tahu, memang tiada harapan sama sekali untuk meraih simpati dan pertolongan dari sesiapa.
Sheila berjalan mengelilingi padang, membiarkan tubuhnya terdedah pada sinaran mentari pagi. Sesekali dia meraba-raba perutnya yang kian membesar. Kandungannya sudah masuk ke dua puluh empat minggu. Dalam masa enam belas minggu lagi sekiranya tiada apa-apa aral dia akan melahirkan bayinya. Tapi bagaimana itu semua akan berlaku? Jasman sudah jarang pulang ke rumah itu. Dia amat takut sekira sakit pada waktu tengah malam. Tiada sesiapa yang ada di rumah itu, hanya dia seorang diri.
Di siang hari, Jamil dan tiga orang pembantu rumah masih ada. Sekiranya masanya sudah tiba untuk melahirkan, mereka boleh membantu. Dia tidak sanggup untuk menghadapi kesakitan ini sendirian. Mengapa sekarang Jasman selalu tidak balik? Ada sesuatu yang dia lakukan di luar sana…

LELAKI yang duduk di hadapan Doktor Erleta merenungnya dengan renungan mesra. Sudah dua kali mereka bertemu di cofee house itu. Sekarang Doktor Erleta semakin kerap turun ke KL, tidak peduli lagi pada klinik yang dulu jarang ditinggalkan. Sejak dia mengambil seorang doktor psikitri lain bertugas secara tetap, dia tidak perlu bimbang apa-apa. Dia hanya ke klinik dua atau tiga hari dalam seminggu.
Dia semakin sibuk… sibuk memenuhi kehendak lelaki yang ditemuinya semasa majlis ulang tahun perkahwinan Doktor Jufri. Dengan mendampingi lelaki kacak itu buat dia lupa seketika pada suaminya. Lagipun Andy Farhan bukan miliknya secara total. Lelaki itu sendiri punya orang lain di hati, masakan dia tidak boleh mencari kebahagiaan di luar pula? Bukankah adil begitu? Jika Andy Farhan terus membenarkan Sheila bertakhta di hati, mengapa tidak dia mengisi hati dengan jejaka di hadapannya itu.
“Biar I berterus terang…” Kata Jasman. “Nama I bukanlah PJ. Nama I Jasman.”
Doktor Erleta tersenyum. “Tak kisahlah nama you apa pun!” Jawabnya. “Apa ada pada nama?”
“Hisy! Mana boleh macam tu! I rasa tak sedap hati bila membohongi you pasal nama I. Jadi, I nak bersikap jujur sejujurnya dengan you. I rasa I sukakan you sejak pertama I tengok you kat rumah Doktor Jufri.”
“Hmmm…Memanglah kita akan rasa tak selesa bila berbohong. Baguslah. I appriciate kejujuran you tu. Kalau boleh I pun nak bersikap jujur. I juga suka pada you!”
“Yes! Yes!” Kata Jasman, yang disambut senyuman Doktor Erleta.
“Suka aje tau, bukannya jatuh cinta!” Sambungnya kemudian.
“Itu dah cukup buat I gembira. Mari kita minum! Selamat untuk perhubungan yang baru bermula!” Balas Jasman sambil mengangkat gelas.
Doktor Erleta juga mengangkat gelasnya tanda sporting.
“I sebenarnya tak percaya pada cinta.” Katanya setelah sejurus mendiamkan diri.
“Kita sama aje. I pun macam tu. I pernah berkahwin dulu… Tapi isteri I dah meninggal. Sejak tu I tak pernah lagi jatuh cinta pada sesiapa. I takkan berkahwin lagi sebelum jumpa wanita yang betul-betul sesuai dan baik.” Beritahu Jasman, sebahagian daripada ceritanya adalah benar sementara sebahagian lagi satu pembohongan.
“Hei, doktor! You pun ada kat sini?” Tegur satu suara membuat Doktor Erleta mengalihkan pandangannya. Dia terkejut melihat Datin Mariah berdiri di hadapan mejanya. Wanita itu adalah patient tetapnya, yang selalu datang setiap kali ditimpa masalah.
“Oh… Datin!” Doktor Erleta memaksa diri melemparkan senyuman. Dia memang tidak perasan wanita itu berada bersama dua orang rakannya di coffee house Hotel Legend itu.
“Hmmm… siapa ni?” Tanya Datin Mariah.
“Kawan I. Jasman, Datin Mariah!”
“Hello!” Tegur Jasman sambil menghulur tangan, memberikan senyuman mesra.
Datin Mariah menyambut tangan lelaki itu membalas senyumannya. Jasman mempersilakan Datin Mariah duduk menyertai mereka. Tetapi Datin Mariah menolak. “I datang dengan kawan. Lain kali saja. Nanti kita jumpa di klinik, doktor. I ada appoinment dengan you minggu depan.”
“Ya, I ingat appoinment I dengan you tu.” Jawab Doktor Erleta.
“Wanita tu hebat sekali kan?” Tanya Jasman kelihatan berminat.
“Hebat? Datin Mariah tu selalu datang jumpa I, mengadu masalah.” Kata Doktor Erleta sambil menjungkit bahu.
Jasman memandang Datin Mariah yang duduk di meja lain bersama dua orang rakan perempuan. Sesekali mereka memandang ke arah Doktor Erleta sambil tergelak. Penampilan Datin Mariah memang bergaya, dengan beg dan kasut kulit buatan luar negara, baju berjenama mahal, leher dan lengan disalut berlian berkilauan.
“Boleh you beri I contact nombor Datin tu? I boleh buat business dengan mereka. Nampaknya hidup mereka tu terlalu mewah.” Itu sekadar satu alasan. Sebenarnya dia punya niat lain terhadap wanita itu.
“Okey apa salahnya. Nanti I beri nombor handphone dia. Memang suami datin tu kaya raya… Bukan macam suami I. Tak pernah salutkan I dengan intan permata. Tak pernah beri apa-apa, hanya kekecewaan. Sedangkan I beri apa saja yang dia mahu.” Tanpa sedar dia telah meluah segala yang terbuku di hati. Doktor Erleta rasa kesal kerana meluahkan kata-kata itu tanpa berfikir panjang. Pasti Jasman menganggapnya yang bukan-bukan.
“Mungkin you tak pandai layan suami you? You tak tahu apa yang dia mahu…” Kata-kata itu sedikit mengejutkan Jasman. Luahan tanpa sengaja, yang telah membuka satu rahsia.
“Dia masih tergila-gilakan bekas kekasihnya.” Kata Doktor Erleta hampir-hampir menangis. Selama ini dia selalu memujuk hati wanita-wanita yang punya masalah dengan suami masing-masing. Apabila dia ditimpa masalah, dia tidak punya tempat untuk mengadu. Kali ini dia tidak berjaya menangani masalahnya sendirian. Dia perlukan seseorang untuk mengadu… Dan orang yang tepat adalah Jasman.
Jasman tersentap, dia tidak percaya apa yang baru didengari. Agh! Sudah sampai masanya dia menghancurkan hidup Andy Farhan. Dia akan gunakan Doktor Erleta sepenuhnya untuk mencapai maksud dan niat di hati.
“Kalau dia ada kekasih sebelum kahwin dengan you memang susahlah! Selalunya cinta pertama memang susah nak lupa.” Dia sengaja meniup bara supaya menjadi api.
“Perempuan tu memang cinta pertamanya. Kami kenal pun kerana dia menghadapi masalah. Tak sangka I boleh jatuh cinta pada pesakit I sendiri… Dia menghadapi tekanan yang teruk sebelum berjumpa dengan I. Kata ibunya dia hampir-hampir bunuh diri. Tapi sekarang dia dah pulih. I banyak tolong memulihkan semangatnya, tapi langsung dia tak kenang.”
“I tahu you perempuan yang baik, istimewa dan lain dari yang lain. Rugi besar, dia melepaskan you dan membiarkan you jatuh ke tangan orang lain.” Kata Jasman pura-pura prihatin. Dia meletakkan telapak tangannya dengan lembut di atas tangan Doktor Erleta. “Kalau you sudi, mahu ke you jadi girlfriend I?”
“Girlfriend? Ahhh… Terlalu awal rasanya. Kita baru empat kali bertemu. I… I… belum bersedia.”
“Okey. Jangan terburu-buru. I faham perasaan you. Kalau you memerlukan I, call saja bila-bila masa. I sanggup buat apa saja demi you, Elly.”
Doktor Erleta memandang wajah Jasman yang tersenyum mesra dengan mata tidak berkelip. Dia menggigit bibirnya dengan kuat, nyaris perasaannya cair mendengar kata-kata lelaki itu.

“ELLY, you dari mana? Dah pukul sebelas malam you baru balik?” Tegur Andy Farhan semasa Doktor Erleta melintasi ruang tamu untuk naik ke bilik tidur. Dia lihat Andy Farhan duduk sendirian di ruang menonton, tetapi televisyen langsung tidak dipasang.
“Ooo… Farhan. I ingat you masih belum balik. Selalunya you balik lewat.”
“Tapi you balik lebih lewat daripada I. Pukul sembilan malam I dah ada di rumah.” Jawab Andy Farhan. “Macamana kalau umi dan abah tahu you sekarang selalu balik lambat? Ke mana you pergi sebenarnya Elly? I cari you di klinik tadi tapi diberitahu you sekarang kerap kali ke KL.”
Doktor Erleta diam. Rupa-rupanya Andy Farhan mengambil berat juga tentang dirinya biarpun mereka kini tidur berasingan kamar. Zaiton dan Bahtiar memang tidak tahu kerana mereka sentiasa sibuk. Pulang ke rumah waktu malam pun sudah lewat kemudian masing-masing kepenatan.
Doktor Erleta serba salah. Memang dia tidak patut membohongi apalagi bersikap curang. Walaupun Andy Farhan mengakui dia masih mencintai Sheila tetapi mereka berdua tidak pernah bertemu setelah Sheila dimiliki. Kini dia seringkali menghabiskan masa dengan lelaki lain…
“Elly… You dah ada orang lain?”
Pertanyaan itu buat Doktor Erleta memandang tepat ke wajah Andy Farhan. Dia tidak tahu apa yang harus dijawab. Jasman bukan kekasihnya, mereka hanya teman. Dia tidak pernah mengikut lelaki itu pulang. Mereka hanya bertemu untuk makan tengahari ataupun makan malam, hanya sesekali dua menonton wayang. Cuma malam ini, Jasman tertindak berani dengan memegang tangannya dan meminta dia menjadi girlfriendnya. Namun Doktor Erleta belum memberikan jawapan pasti.
“Tak ada.” Jawabnya sejujur mungkin.
“Tapi you selalu berhubung dengan seseorang… I tengok you happy terima panggilan dari dia. Siapa lelaki tu Elly…”
“Tak ada sesiapa. Mengapa you fikir lelaki yang contact I? Patient I selalu call…” Jawab Doktor Erleta mempertahankan diri.
“Tapi I tengok nadanya lain… Layanan you terlebih mesra. You kena ingat yang you tu isteri orang dan…”
“You cemburu ke?” Tanya Doktor Erleta.
Andy Farhan tertawa pendek. “Taklah. Kenapa I nak cemburu?”
“Oklah. I nak naik atas…” Balas Doktor Erleta enggan melayani Andy Farhan lagi.
“Nanti dulu! I belum habis bercakap dengan you.” Kata Andy Farhan sambil menyambar tangannya yang hendak beredar.
“Apa lagi Farhan? I penat… Nak mandi dan berehat.”
“Malam ni…. I rindukan you. Dah berminggu-minggu kita tak bercakap atau pun bertemu walaupun duduk dalam satu rumah. I rasa nak pindah balik tidur di bilik tu… tak seronok sebenarnya tidur seorang bila sepatutnya tidur berdua.”
“You pasti ke?” Tanya Doktor Erleta. “Masa I selalu ada untuk melayani you… You sibuk dengan kerja… Asyik dengan cinta lama you. Bila I dah sibuk…” Dia tidak menghabiskan kata apabila jari telunjuk Andy Farhan melekap di bibirnya.
“Jangan cakap apa-apa. I tahu I salah… Maafkan I. Ingat tak dulu bila I kata, masanya akan tiba untuk I berubah. Macamana kalau I kata, semasa you tak pedulikan I… I rasa kehilangan. I rindukan you… ingin bersama you.”
“Okey… Kalau you pasti dengan perasaan you, I rasa tak salah kalau you kembali ke bilik tu!”
“Terima kasih.” Jawab Andy Farhan sambil mencium pipi Doktor Erleta. Kemudian dia mulai rakus mencium leher isterinya pula.
“Hei… Nanti dulu! Biar I mandi dulu!”
Dia terus berlalu pantas meninggalkan Andy Farhan.

MATANYA terkebil-kebil menentang kegelapan malam. Hatinya begitu hampa sekali. Sudah beberapa minggu mereka tidak tinggal sebilik. Malam ini mereka kembali berkongsi katil. Tetapi perkara paling menyedihkan hatinya, dia masih mendengar Andy Farhan mengeluh dalam tidurnya sambil menyebut nama Sheila.
Dia rasa dirinya dibohongi. Benar-benar lelaki itu pandai memanipulasi dirinya. Apakah Andy Farhan mulai merasa tamak? Dia cemburu apabila isterinya menikmati hidup gembira, dengan caranya yang tersendiri. Sedangkan Andy Farhan masih terus dibelenggu kepahitan silam.
Mengapa dia tidak dapat melupakan perempuan itu? Mengapa? Airmatanya mengalir perlahan. Jika dulu dia pernah berkata tidak punya perasaan apa-apa pada Sheila, kini dia merasa semakin hari semakin benci pada perempuan itu. Mereka tidak pernah bertemu, langsung tidak kenal antara satu sama lain. Tapi dia tetap dibebani rasa benci dan api cemburu pun membakar dirinya dengan begitu hebat. Dia tidak boleh tidur setelah terjaga sebentar tadi. Dia mengambil keputusan untuk keluar dari bilik itu, turun ke tingkat bawah. Akhirnya dia membuka pintu seluas-luasnya, melihat langit malam yang cerah ditemani bulan dan bintang.
Malam ini begitu indah, bisik hatinya. Keindahan itu tiada ertinya dalam hidupku!
Esoknya dia dikunjungi oleh Sumarni, salah seorang pesakit yang sudah lama tidak datang menemuinya. Melihat wajah Sumarni yang muram, Doktor Erleta mengerti wanita itu kembali dijerut masalah dengan suaminya.
“Saya tak sabar nak jumpa doktor…” Kata Sumarni. “Saya betul-betul sakit hati sekarang ni… merana. Rasa nak mati!” Sumarni memulakan bicara. Memang sudah kerap kali dia mengucapkan kata-kata seperti itu. Doktor Erleta sudah lali walaupun bukan jelak.
“Saya dapat tahu suami saya masih berhubung dengan bekas kekasihnya. Sanggup dia tipu saya, katanya dah putus tapi ada orang sampaikan pada saya dia dating dengan perempuan tu. Tak cukup berdating, bila malam asyik termimpi-mimpi, terjerit-jerit memanggil nama perempuan tu macam orang gila…”
“Oh! Tuhan! Mengapa boleh jadi sama pula!” Keluh Doktor Erleta sambil memegang pipinya.
“Saya geram tak terkira. Saya rasa nak bunuh suami saya lepas tu cekik-cekik perempuan tu! Biar dua-dua mati!”
“Ya, saya pun rasa macam tu juga!” Balas Doktor Erleta, satu reaksi dan kata-kata yang diucapkan dibawah sedar. Ops! Aku tersalah cakap… Harap dia tak dengar. Gumam Doktor Erleta sambil mengurut dadanya. Dia memandang wajah Sumarni yang gelisah. Wanita itu bangun, berjalan mundar mandir kemudian duduk semula di tempatnya tadi. Dia terus menyambung kata;
“Kalau dia curang pada saya mengapa saya tak boleh? Saya nekad, saya pun pandai juga cari jantan. Kalau dia nak berbini dua, saya nak berlaki dua… betul tak?’
“Ya! Betul…” Jawab Doktor Erleta.
“Dia ingat saya bodoh? Tak lawa? Kalau saya pasang badan ramai jantan yang terkejar-kejar.” Cerita Sumarni dengan wajah tegang.
“Memang awak masih cantik. Kita sama je…Tahap kesabaran kita memang ada hadnya.” Balas Doktor Erleta. “Elok juga awak balas semula perbuatan dia. Baru dia tahu rasa… Itu bukan curang namanya tapi memberi pengajaran kepada lelaki yang tak tahu kenang budi isteri.”
“Dalam diam saya ada kekasih tetapi kekasih saya tak tahu saya dah kahwin. Baru-baru ni kekasih saya ajak kahwin. Malam tadi suami saya terserempak saya tengah berdating dengan kekasih saya. Tengoklah mata saya yang lebam ni!” Katanya sambil membuka cermin mata hitamnya. Memang bahagian tepi matanya lebam dan birat. Kena tumbuk dengan suaminya.
“Lepas tu apa yang terjadi?”
“Suami dan kekasih saya bertumbuk.”
“Siapa yang menang?”
“Kekasih saya, sebab badannya lebih besar dan tegap. Saya ikut kekasih saya pergi. Kekasih saya bawa saya bermalam di hotel. Saya tak mahu balik ke rumah suami saya. Kasihan juga saya tengok suami saya yang mengaduh sakit. Suami saya merayu-rayu minta saya balik ke rumah demi anak-anak. Dia bersumpah akan putuskan hubungan dengan bekas kekasihnya tu! Katanya dia masih sayangkan saya.” Cerita Sumarni sambil menundukkan wajahnya. Memang dia sedih melihat keadaan suaminya malam tadi.
“Ohhhh… Doktor, saya menyesal! Saya tidur dengan kekasih saya malam tadi. Pagi ni dia tinggalkan saya dengan secebis nota, ucapan selamat tinggal. Saya rasa saya… tak ubah macam pelacur. Ohhhh… Lebih baik saya mati!” Sumarni memekup wajahnya dengan tangan. Dia malu menitiskan airmata di hadapan Doktor Erleta.
“Tak perlu awak sedih Marni. Awak dah buat perkara yang betul. Awak dah ajar suami awak tentang kejujuran. Awak lupakan saja kedua-dua lelaki tu, cari lelaki lain! Awak mampu dapatkan lelaki lain…”
“Tapi… Tapi doktor saya dah buat salah. Saya berdosa pada suami saya. Sepatutnya saya balik, minta maaf pada dia. Sepatutnya saya minta ampun pada Tuhan dan bertaubat. Apa salahnya sekadar mimpi, mainan tidur… Dia pun dah menyesal, sanggup bersumpah untuk memutuskan hubungan dengan kekasihnya. Tapi saya… saya dah buat dosa!” Bantah Sumarni sambil mengesat airmatanya. Dia memandang ke wajah Doktor Erleta, kebingungan. Tidak sangka Doktor Erleta akan menasihatinya begitu.
“Kalau awak jumpa lelaki lain, awak jangan percaya seratus peratus! Lelaki memang banyak muslihat. Mereka suka berpura-pura. Saat mereka memerlukan kita… Kita dicari, saat tak diperlukan kita dibuang ke tepi…” Kata Doktor Erleta penuh emosi. Dia memegang bahu Sumarni yang terus kebingungan sambil berkata; “Jangan menyesal Marni. Awak dah buat perkara yang betul. Tinggalkan suami awak. Minta cerai…Awak bebas daripada menanggung bebanan perasaan. Pedulikan anak-anak, biar suami awak yang jaga. Semua masalah berpunca dari dia kan? Awak tak salah.”
“Ehhh.. Kenapa doktor nasihat macam tu? Tak adakah jalan yang lebih baik? Saya menyesal. Sebenarnya saya masih sayangkan suami saya. Saya tak sanggup tinggalkan anak-anak saya yang masih kecil.”
“Tapi suami awak tak guna! Tinggalkan dia!” Jawab Doktor Erleta dengan tegas.
Suami kau sama dengan suami aku… Lelaki tak guna dan tak tahu menghargai perasaan aku. Mungkin sudah tiba masanya aku menjalin hubungan intim dengan Jasman. Aku pun sukakan dia… Kacak dan bergaya, juga berharta. Dia memiliki kereta mewah, perniagaan yang baik dan rumah yang selesa.
“Saya rasa kekasih saya lebih lagi tak berguna. Dia memperalatkan saya untuk kepuasan dirinya. Dia tak jujur. Bila dia tahu saya isteri orang, mengapa dia memujuk dan mengajak saya tidur dengannya? Lepas tu tinggalkan saya di bilik hotel. Bil hotel pun saya yang bayar, tahu? Mana janjinya nak kahwin dengan saya?”
“Tak ada gunanya awak menyesali apa yang dah berlaku. Awak cantik, ada kerja yang baik. Awak tak perlu bergantung pada lelaki. Kalau awak memilih hidup sendiri pun, awak akan lebih bahagia tanpa cinta.”
“Eh, doktor! Mengapa doktor cakap macam ni? Mengapa doktor tak menasihati saya supaya kembali kepada suami saya? Saya masih sayangkan suami sayalah! Saya betul-betul menyesal ikut hawa nafsu. Saya nak bertaubat dengan taubat nasuha. Saya nak balik pada suami saya dan anak-anak. Moga suami saya ampunkan saya…”
Tiba-tiba Doktor Erleta naik angin. Dia berdiri dan berjalan ke pintu lalu membukanya dengan pantas; “Kalau fikiran awak dah jernih, dah tahu apa nak buat…Tak payah jumpa saya!”
Sumarni nampak terkejut dengan reaksi Doktor Erleta. Dia bangun perlahan-lahan, mengutip beg tangan yang terdampar di sofa dan berjalan beberapa langkah mendekati pintu. Dia merenung wajah tegang doktor muda itu dari jarak tidak sampai dua kaki.
“Doktor… doktor okey ke?”
“Saya okey je…” Balas Doktor Erleta.
“Tapi doktor nampak lain hari ni!”
“Sudahlah! Cukup untuk hari ni…” Balas Doktor Erleta dengan cepat, sambil mengangkat tangannya meminta Sumarni supaya keluar dari bilik itu. Sumarni bergerak ke pintu, teragak-agak untuk melangkah keluar.
“Keluar sekarang!” Pinta Doktor Erleta.
Doktor Erleta tidak berminat hendak melayani kerenah pesakitnya lagi. Dia menutup pintu dengan cepat sambil merengus kasar. Fikirannya kusut, perasaannya kalut malut. Kembali ke meja, dia terus menekan interkom memberitahu jururawat di luar, supaya membatalkan semua appoinment hari itu. Dia tidak mahu diganggu.
Di bilik itu dia mengurung diri melayan fikiran. Apakah dia akan bertindak seperti mana Sumarni? Menimbulkan lebih banyak kemarahan Andy Farhan… Mengatur satu rancangan supaya Andy Farhan terserempak dia sedang berdating dengan Jasman. Kemudian apa? Bisik hatinya. Mereka akan bergaduh, bertumbuk sehingga wajah masing-masing tidak dapat dikenal. Bertarung persis binatang. Kemudian dia akan mengikut Jasman ke mana sahaja, meninggalkan Andy Farhan terkapar, separuh mati.
Puaskah hatinya? Selepas itu dia akan terus bersama dengan Jasman. Barangkali lelaki itu akan mengajaknya berkahwin. Jika Jasman tidak berminat pada perkahwinan, mereka boleh kekal sebagai kekasih. Ya… Itulah rancangannya yang paling baik untuk membuat Andy Farhan membuka mata bahawa dia bukan seorang wanita biasa…
Dia menjangkau tangan mencapai gagang telefon, menghubungi Jasman untuk mengatur satu rencana.


Bab 18

“MAHU ke abang ikut rancangan aku? Memandangkan abang belum ada sebarang rancangan, lebih baik aku bentangkan dulu rancangan aku. Macamana?” Tanya Salim sambil merenung tepat ke wajah Hamid.
“Boleh. Ceritalah dulu macamana rancangan kau… Kalau senang dan mudah diikut aku akan turutkan. Kalau susah, aku pun tak mahu peningkan kepala aku sendiri.”
“Aku berniat nak tanam semula ladang ni tapi tak cukup tenaga dan duit. Aku dah kehilangan banyak duit. Dalam bank tak tinggal satu sen pun! Celaka betul orang yang bakar pejabat aku yang baru sehari beroperasi. Belum sempat terima apa-apa kes lagi dah kena bakar.” Keluh Salim beberapa kali.
“Baru-baru ni pihak polis ada hubungi aku. Katanya kes tu ditutup begitu saja sebab tak ada bukti. Pandai betul orang yang buat kerja tu sehingga tak tinggalkan sebarang bukti. Tapi aku tak putus asa... Aku tak boleh putus asa sebenarnya.”
Hamid mengangguk sahaja.
“Ingat lagi tak aku pernah cakap dengan abang, boleh ke aku hidup di atas landasan kebaikan bila kejahatan mengelilingi kita. Kejahatan ada di mana-mana.”
Hamid mengangguk lagi.
“Aku ingat nak pergi merompak… Itu saja jalan mudah untuk dapatkan duit dengan cepat!”
“Merompak?” Hamid terkejut. “Rompak bank?”
“Bukan bank. Tapi rumah orang…”
“Rumah orang? Rumah siapa?”
“Rumah orang yang paling kaya di daerah ni… Rumah Bahtiar.”
“Gila kau!” Terkejut Hamid mendengar rancangan Salim. Pucat wajahnya, jika ditoreh tidak berdarah. Apakah dia akan melaporkan rancangan Salim itu kepada Bahtiar? Dia tidak pasti. Walau bagaimana pun dia pasti tentang sesuatu. Petaka yang menimpa Salim adalah perbuatan Bahtiar dan konco-konconya. Bahtiar sengaja mengupah orang supaya membakar pejabat Salim. Hamid selalu menyalurkan maklumat apa saja kegiatan Salim. Mulanya Hamid tidak sedar bahawa perbuatannya itu akan menghancurkan Salim.
Sedikit sebanyak dia rasa kesal. Salim pernah menyelamatkan nyawanya. Inikah balasan wajar buat Salim?
Bahtiar mengakuinya sendiri memang dia bencikan Salim. Alasannya… Salim pernah cuba berbuat sesuatu yang tidak baik pada Sheila suatu masa dulu! Salim juga pernah mengkhianati Andy Farhan yang menganggapnya sebagai sahabat.
“Abang nak ikut tak? Aku memang tak mampu nak buat ‘kerja’ ni sorang. Aku perlukan abang. Abang kata nak balas budi aku… Aku pernah selamatkan nyawa abang.”
Hamid terdiam. Budi Salim itulah yang membuat dia tidak memberitahu Bahtiar segala-galanya. Semakin rapat hubungannya dengan Salim, semakin banyak rahsia lelaki itu diketahuinya.
“Macam ni lah Salim. Kau memang pernah tolong aku. Aku pun belum dapat membalasnya. Aku akan tolong kau… Tapi kau juga tolong aku. Kita tolong menolong, macamana?”
“Okey…” Jawab Salim sambil menghulur tangannya ke arah Hamid. “Kita saling tolong menolong. Kita akan sama-sama untung.”
Itu pun kalau untung… Kalau rugi kita sama-sama masuk penjara! Bisik hati Hamid. Tapi dia akan mengikut saja rancangan Salim. Selepas itu dia ingin meminta pertolongan Salim pula. Sekurang-kurangnya anak muda itu mahu memikirkan satu rancangan untuk kembali menghadapi Jasman. Dia mesti membalas dendamnya pada Jasman. Dia harus berjaya menolong Salim mengebas duit Bahtiar. Dia pun bukannya suka sangat pada Bahtiar. Masih diingatnya Bahtiar menyuruh orang-orangnya memukul dan menumbuknya. Dia baru saja pulih… Mukanya kembali bengkak-bengkak dan tubuhnya sakit.
Dia tidak akan membenarkan orang-orang Bahtiar menyentuhnya lagi. Dia harus punya rancangan yang bagus, walaupun sehingga kini dia masih ‘buta’, tidak tahu lokasi sebenar di manakah Jasman mengurung dan menguburkannya hidup-hidup. Barangkali Salim tahu sesuatu. Anak muda itu bijak, serba tahu dalam banyak hal. Lagipun Salim berada di pinggir hutan itu… Hutan tempat Salim menemuinya sesat.
Salim memang tahu selok belok rumah Bahtiar. Mereka sedang duduk menghadapi sebidang kertas yang besar. Di atas kertas itu tertulis pelan rumah Bahtiar. Setiap sudut dan ruang terlukis dengan teliti dan jelas. Dia tahu di mana pintu masuk dan keluar. Dia juga tahu pintu-pintu ‘kecemasan’ sekiranya terperangkap di dalam rumah yang telah dikepung.
Salim tahu di mana letaknya peti besi yang menyimpan duit dan barang-barang berharga. Semuanya ada di dalam perpustakaan merangkap bilik kerja Bahtiar. Dia menyembunyikan peti besi itu dibelakang sebuah lukisan. Di perpustakaan itu hanya ada satu lukisan sahaja. Di situlah semuanya tersimpan. Tidak lama lagi segala barang di dalamnya akan bertukar hakmilik.
Salim tidak sabar hendak melaksanakan tugas tersebut. Saat itu dia terbayang-bayang wajah Andy Farhan yang angkuh dan sombong ketika dia menghulur salam penuh kemaafan dan memohon persahabatan mereka disambung. Tetapi Andy Farhan enggan menerimanya dengan hati ikhlas… Sekali buat jahat, orang tetap anggap jahat… bisik hati Salim, susah orang nak percaya, walaupun masa tu aku betul-betul ikhlas.
Kaulah yang sebenarnya membuat aku menyimpan rasa benci ini Farhan! Aku pun sebenarnya tak suka rasa benci yang bertapukan dalam kepalaku ini. Rasa benci dan rasa cinta sebenarnya sama sahaja, kedua-duanya adalah perasaan yang tidak rasional.
Manusia sanggup buat apa saja kerana cinta, juga manusia sanggup buat kerja gila kerana perasaan benci.


Bab 19

“ADUH… Sakitnya perut aku…” Keluh Sheila sambil cuba untuk bangun dari katil. Tetapi amat sukar untuknya bergerak. Tangannya mencengkam cadar, cuba untuk bangun bersama sisa-sisa tenaga yang masih ada. Wajah dan tubuhnya rasa basah disimbah peluh. Dia benar-benar kesakitan yang amat sangat. Apakah sudah tiba waktu untuk melahirkan bayinya? Tapi menurut perkiraan belum tiba saatnya. Takkanlah begitu cepat anak ini mahu keluar daripada rahimnya.
Jasman sudah sebulan tidak balik ke rumah itu. Walaupun lelaki itu tidak pulang, namun dia tetap terkurung. Kini Jamil menetap di rumah itu bagi menjaganya siang dan malam. Dia jarang balik ke rumahnya sendiri seperti dulu. Sheila tahu itu semua adalah arahan daripada Jasman. Jamil tidak boleh diharapkan langsung. Sama saja dengan Jasman. Dia terlalu setia… setia seperti anjing terhadap suaminya yang kejam itu. Jamil lelaki yang tidak mempunyai perasaan… bisik hati Sheila, terpaksa menelan kenyataan pahit.
Dia tidak tahu bila dia boleh bebas dari situ. Barangkali dia tidak akan dapat keluar dari situ langsung. Mungkin dia dapat keluar setelah menjadi mayat? Dia tidak tahu. Dia tidak mahu berfikir tentang itu semua. Namun kesakitan yang dialaminya kini buat dia berfikir tentang kematian.
Oh! Tuhan kalau kematian itu lebih baik buatku, biarlah aku pergi dengan aman. Tanpa memikirkan tentang nasib anakku yang akan lahir ini. Biarkan kami sama-sama pergi menghadapiMu Tuhan… Keluh Sheila, airmatanya bercucuran.
Sheila terus menangis, dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi.
Satu suara muncul di muka pintu.
“Apa dah jadi ni?” Suara Jamil menegurnya. Dia terperanjat melihat tubuh Sheila yang lemah tidak bermaya. Wajahnya pucat. Wanita itu sedang menangis sendirian, airmatanya lebat membasahi wajah. Di atas katil kelihatan dipenuhi dengan darah.
“Sayaaaa saaakit… Abang Jamil. Sakit sangaaat!” Kata Sheila dengan suara yang tertahan-tahan.
“Dah nak bersalin ke? Banyaknya darah ni…” Suara Jamil cemas. Dia memanggil dua orang pembantu rumah supaya naik ke atas.
“Yop! Kau gantikan cadar tu… Penuh dengan darah!” Geli geleman Jamil melihat darah yang pekat, serta bau yang memualkan. Hampir-hampir dia pitam.
“Dolah, kau pergi ke kampung. Panggil bidan. Cepat!!!!”
Dolah segera berlari turun. Tidak lama kemudian terdengar motorsikalnya menderam pergi. Jamil memimpin Sheila menuju ke bilik air. Dia meninggalkan Sheila membersihkan diri, mengganti pakaian yang lejut dengan peluh dan darah. Sheila terus mengerang kesakitan. Dia kembali berbaring di atas katil yang sudah bersih dan beralas beberapa helai kain. Jamil tak mahu cadar jadi kotor semula.
“Bertenang. Aku dah suruh Dolah pergi panggil bidan kampung. Sekejap lagi bidan datang. Tarik nafas…. Tahan sakit tu!” Jamil berlagak tenang walaupun sebenarnya dia juga sedang cemas. Lebih cemas dan takut memikirkan apa yang akan berlaku pada Sheila. Jasman berpesan supaya dia menjaga wanita itu dengan baik dan teliti. Jasman paling takut jika Sheila dapat lari dari rumah itu.
Walaupun Jamil rasa simpati, tetapi dia tidak pernah menunjukkan perasaan kasihannya itu. Namun dia juga manusia biasa… Dia punya anak isteri. Dia mengerti apa yang ditanggung oleh Sheila bukanlah mudah.
“Yop! Kau buat persediaan. Letak beberapa helai kain bersih dan tuala. Bawa gunting yang tajam. Ambil besen besar berisi air suam!”
Yop menurut selepas selesai mengemas bilik Sheila. Jamil kelam kabut, sekejap keluar sekejap masuk ke bilik. Dalam kesakitan Sheila tersenyum melihat gelagat Jamil.
“Kenapa abang Jamil kelam kabut sangat?” tanya Sheila.
Kesakitannya datang dan pergi. Sekejap perutnya rasa sakit kemudian hilang beberapa minit. Kemudian datang lagi untuk menyeksa dirinya sehingga mukanya berkerut-kerut.
Jamil berhenti melangkah, dia diam sahaja. Kemudian merengus dan beredar pergi dari situ. Baru sahaja dia turun tangga, Sheila memanggilnya dengan kuat.
“Ada apa? Ada apa?”
“Call Jasman…” Pinta Sheila.
“Tak payahlah.” Putus Jamil. Dia tidak mahu Jasman tahu bahawa dia sudah memanggil bidan kampung. Kalau Jasman tahu dia membawa masuk orang ke dalam rumah itu tanpa pengetahuannya, pasti Jamil juga yang akan kena marah. Bukan setakat kena marah, silap-silap akan dipecat.
“Lebih baik dia tak tahu…” Sambung Jamil.
Sheila mulai mengerti. Telahannya bahawa Jamil setia seperti anjing nyata tidak benar.
“Abang Jamil…” Seru Sheila, memanggil supaya Jamil duduk di tepi katilnya.
“Saya tahu, abang Jamil baik. Bukan niat saya nak menyusahkan abang Jamil. Tapi saya mohon simpati daripada abang…”
“Sudahlah. Aku tak mahu dengar.” Jawab Jamil. Dia takut hendak mendengar rayuan Sheila. Bimbang hatinya terusik dan merasa simpati pada perempuan itu.
“Abang Jamil… Tolonglah…”
Wajah Sheila kembali berkerut-kerut, kesakitannya datang lagi kali ini lebih kuat. Dia terasa bahagian bawah rahimnya telah basah lejut. Cadar yang mengalas punggungnya jadi lembab.
“Ya Allah… budak ni dah nak keluar sangat!” Keluh Sheila sambil menarik nafas dan melepaskannya perlahan.
Jamil semakin kelam kabut, berlari ke luar. Bidan belum sampai-sampai jua. Di dalam bilik terdengar Sheila menjerit kuat dan diikuti dengan suara tangisan bayi.
“Dah lahir…” Kata Jamil sambil berlari lagi sekali ke bilik Sheila. Dia mendapati Sheila terkulai lemah, hampir-hampir tidak bermaya. Dengan cepat Jamil menyambut kelahiran bayi itu dengan tangan menggigil. Tangannya dipenuhi darah. Dia segera mengerat pusat bayi yang baru lahir. Tembuninya akan dicuci dan ditanam.
Dia membersihkan badan bayi yang baru lahir lalu membalutnya dengan kain bersih. Dia menyerahkan bayi itu pada Sheila.
“Kau dapat anak perempuan.”
Tapi Sheila tidak menyahut. Matanya terpejam rapat dan kepalanya terkulai. Jamil memandang bersama rasa tergamam. Dahinya berkerut. Saat itu bidan yang dipanggil orang kampung Mak Timah tiba di rumah lalu terus masuk ke bilik tidur Sheila.
“Budak dah lahir…Tapi maknya pengsan. Mak Timah tolonglah tengokkan.” Pinta Jamil.
Mak Timah mendekati Sheila, meraba-raba nadi di pergelangan tangan. Dia memandang Jamil.
“Kenapa? Pengsan ke mati?” Tanya Jamil tak keruan. Besar harapannya Sheila tidak akan menemui kematian dengan begitu mudah. Dia masih muda dan cantik. Terlalu sayang untuk mati kerana seorang lelaki seperti Jasman.
“Al-hamdulillah. Panjang umurnya lagi…” Kata Mak Timah. “Anak ni tak cukup bulan. Tapi mujur kedua-duanya selamat.” Mak Timah menyambut bayi yang baru dihulurkan oleh Jamil. Jamil senang hati. Dia terus keluar sambil menarik nafas lega.
Bayi Sheila asyik menangis, kelaparan. Sheila terjaga dari pengsan apabila terdengar tangisan kuat bayinya. Tubuhnya masih lemah ketika Mak Timah menyerahkan anak kecil itu ke pangkuannya.
“Susukan anak kau ni. Biar Mak Timah siapkan air untuk kau mandi.” Kata Mak Timah
Sheila mengangguk sahaja. Dia memandang wajah anaknya bersama air mata berlinangan. Kesakitannya rasa hilang sejenak, melihat wajah insan yang akan disayanginya tanpa perasaan belah bahagi. Dia akan menyayangi anak itu lebih daripada segalanya, malah sanggup berkorban nyawa untuknya.
Wajah lembut dan mulus anaknya dicium bertalu-talu.

SETELAH dua minggu berlalu, tubuh Sheila kian cergas. Hasil bantuan Mak Timah yang menjaganya dengan baik, dia pulih dengan cepat. Mak Timah memberi dia minum akar kayu yang dicarinya sendiri di dalam hutan. Setiap hari Mak Timah datang ke situ melakukan rawatan tradisional, seperti yang sering dilakukannya pada perempuan yang baru bersalin. Melalui Mak Timah juga Sheila dapat tahu kampung sebenarnya tidak jauh dari situ. Dia tidak dapat melihatnya, kerana terlindung dek tanah getah yang mengelilinginya.
Sebenarnya dalam kebun getah tu ada jalan rentas…Begitulah menurut Mak Timah. Harapan baru mulai tumbuh dihatinya setelah berkenalan dengan Mak Timah. Dia berdoa semoga Jasman tidak akan balik ke situ dalam tempoh yang lama. Apabila dia benar-benar sihat, dia akan melarikan diri dari situ dengan membawa anak perempuannya, Nurul Farhana.
Dia yakin, tidak susah untuk memujuk Jamil. Walaupun Jamil kelihatan berwajah serius dan garang, tetapi sebenarnya di hati lelaki itu masih ada perasaan belas kasihan. Pagi itu Mak Timah datang untuk mengurut badan Sheila, memakai bengkung dan melakukan tangas. Satu kaedah untuk merawat rahim melalui amalan tradisi yang telah dilakukan oleh Mak Timah turun temurun.
“Sebelum ni, Mak Timah pernah datang ke rumah ni?”
Mak Timah mengangguk. “Pernah. Dah lama sangat dah. Tak sangka Mak Timah masuk ke rumah ni lagi…”
“Tentu Mak Timah tahu serba sedikit tentang tuan rumah ni dulu…Sebelum Tuan Jasman maksud saya.”
“Tahulah sikit-sikit…” Jawab Mak Timah mulai membuka cerita. “Dulu ladang ni hak Tuan David. Tuan David mewarisi ladang ni dari ayah dia. Ayah dia buka ladang ni sejak tahun 1891 lagi. Masa tu Mak Timah pun belum lahir lagi. Mak Timah lahir tahun 1932.”
“Sekarang umur Mak Timah dah 79 tahun… tapi Mak Timah masih kuat lagi.”
“Al-hamdulillah. Kurnia Allah semua tu. Lagipun Mak Timah amalkan makan akar kayu. Makan ulam-ulaman yang ditanam sendiri.”
Sheila mengangguk, mengharap Mak Timah menyambung ceritanya. Dia teringat kembali pada buku yang ditemui didalam perpustakaan. Dia memang masih ingat pada nama David dan Kelly. Kini cerita itu semakin menarik minatnya.
“Tuan David tu tinggal di rumah ni berapa lama, Mak Timah?”
“Seingat Mak Timah, dia tak lahir di sini. Tapi mula duduk di sini selepas ayahnya meninggal. Dia yang menguruskan ladang ni. Dia kahwin dengan perempuan orang putih…” Cerita Mak Timah. “Tapi isterinya tu tak suka duduk di sini. Siapalah yang suka duduk di tempat terpencil macam ni. Jadi isterinya selalu balik ke negara dia… Lama-lama tu terus tak balik ke sini lagi. Tuan David tinggal seorang diri di rumah ni. Dengarnya dia dah bercerai dengan isterinya. Anaknya pun tak pernah datang ke sini lagi.”
Sheila mengangguk sahaja. Apakah isterinya bernama Kelly? Tapi dalam mimpinya Kelly tu seorang wanita berbangsa Cina? Agh! Mengapa dia percaya sangat pada mimpinya itu? Namun cerita Mak Timah kedengaran bercanggah sedikit…
“Lepas tu apa yang terjadi?”
“Masa tu kita mencapai kemerdekaan. Mak Timah ingat lagi… Tuan David ada datang ke kampung bersama-sama penduduk kampung yang masih bekerja dengan dia meraikan kemerdekaan. Kami buat kenduri kesyukuran. Tuan David baik hati. Dia sanggup memberikan bantuan pada penduduk kampung yang susah masa tu…. Maklum baru merdeka.”
Sheila mengangguk lagi.
“Lama juga lepas merdeka tu baru Tuan David berkahwin semula. Masa tu dia dah tua… Umurnya lebih kurang tujuh puluh tahun. Isterinya muda lagi… umur dua puluh lebih.”
“Tahun berapa tu?”
“Tahun enam puluhan kalau tak silap Mak Timah. Masa tu Mak Timah dah jadi bidan. Mak Timah muda lagi masa tu lebih kurang tiga puluh empat atau tiga puluh lima tahun. Meriah majlis kahwin dia tu. Dia jemput orang kampung datang ke sini…” Mak Timah turut serta dalam majlis tersebut. Itulah pertama kali dia menjejakkan kakinya ke rumah banglo Tuan David. Selepas itu dia tidak pernah datang lagi… Apalagi setelah Tuan David mengambil nyawanya sendiri di rumah itu kerana kecewa dengan isterinya yang curang…
“Isteri barunya orang Inggeris?”
Mak Timah menggeleng. Tiba-tiba Mak Timah berhenti bercerita. Dia memandang sekeliling seperti ternampak sesuatu yang menakutkan.
“Dahlah… Mak Timah balik dululah. Dah siap pun Mak Timah mengurut badan kau ni… Esok mungkin Mak Timah tak datang lagi. Cukuplah mengurut. Kau pun dah sihat nampaknya.”
“Tapi… Tapi cerita Mak Timah belum habis lagi.”
Mak Timah tidak menjawab. Dia tertinjau-tinjau mencari Jamil. Jamil telah berjanji untuk memberikan duit upah pada hari itu. Sudah dua minggu dia berulang alik ke rumah itu. Mula-mula masuk ke rumah itu, dia terasa sedikit gerun. Terlalu banyak cerita yang dia dengar tentang rumah itu. Tapi dia memberanikan dirinya datang demi untuk membantu wanita yang ingin melahirkan anak.
Lagipun Jamil menjanjikan upah yang agak lumayan. Jadi, dia tidak melepaskan peluang itu. Dia ternanti-nanti Jamil membayar upahnya. Dia berharap Jamil tidak sekadar membohonginya semata-mata. Bila Jamil membayar upahnya dia tidak perlu datang ke situ lagi. Dia memberanikan diri datang hanya pada waktu siang… Kalau waktu malam, upah seribu ringgit pun dia takkan datang!
Mak Timah mendapati Jamil berada di bilik ruang depan. Bilik itu pernah menjadi bilik tidur Tuan David yang sudah tidak berdaya naik ke tingkat atas. Tuan David sudah terlalu tua, menghabiskan sisa hidupnya di atas kerusi roda. Umurnya sudah hampir sembilan puluh tahun. Di bilik inilah dia menembak kepalanya sendiri, kira-kira 21 tahun yang lalu.
Pun Jamil kelihatan selesa duduk menghadapi meja di bilik itu. Dia sedang mengira duit yang akan diberikannya pada Mak Timah. Mak Timah berdiri di tengah-tengah pintu, menanti.
“Ha… Mak Timah! Dah nak balik dah ke?”
“Nampaknya macam tu lah. Perempuan tu dengan anaknya dah makin sihat. Hari ni dah cukup empat puluh empat hari.” Beritahu Mak Timah.
Jamil bangun lalu berjalan mendekati Mak Timah.
“Ni ha duit yang saya janjikan tu. Tiga ratus ni cukup rasanya Mak Timah…”
“Lebih dari cukup.” Jawab Mak Timah dengan wajah berseri-seri melihat duit dalam tangan Jamil berpindah ke tangannya.
“Mana laki perempuan tu?”
Jamil memandang ke tingkat atas. “Maksud Mak Timah, Tuan Jasman?”
Mak Timah mengangguk. “Yalah siapa lagi? Tuan Jasman tu menikah lagi nampaknya. Tak sanggup membujang lama-lama, tak sampai setahun dah kahwin baru. Yalah, dulu bininya dah tua… manalah nak beranak. Ni dapat yang muda…beranaklah! Comel pulak anaknya tu! Dia ke mana, langsung tak nampak muka?”
“Entahlah… Saya pun tak tahu. Dah dua tiga bulan tak balik ke sini. Saya tak tahu betul ke tu isterinya Tuan Jasman? Tapi Tuan Jasman suruh saya jaga dia, tak beri dia keluar dari rumah ni. Saya hanya jalankan tugas je Mak Timah.”
Mak Timah mengangguk. Sempat juga dia ‘bergossip’ dengan Jamil. Selepas itu dia terburu-buru keluar. Jamil pun tak suka dia lebih lama berada di rumah itu. Dia bimbang Jasman balik ke situ secara tiba-tiba. Namun dia percaya Jasman takkan balik. Dia sibuk di luar sana…
Kalau dia tak balik terus pun bagus juga… Jamil tak perlu susah hati. Semuanya dalam kawalannya seorang. Dia memiliki kunci bagi semua bilik dan peti simpanan duit. Tak perlu bimbang! Duit masih banyak…
Jamil meraba-raba kunci di dalam poket seluarnya. Kunci itu sentiasa ada bersamanya. Dia tidak pernah meninggalkannya di mana-mana. Ia amat berharga bagi Jamil, dia tidak boleh kehilangan kunci itu sama sekali.


Bab 20

JASMAN menyambut kedatangannya di muka pintu utama. Lelaki itu tersenyum mesra. Dia nampak segar dengan kemeja jalur menegak warna biru pudar yang dipadankan dengan seluar jean hitam. Dua biji butang bahagian atas baju kemeja itu terbuka, memperlihatkan sedikit bulu dadanya.
“Silakan…” Serunya sambil mendepangkan tangan mempersilakan wanita itu masuk. Daun pintu ditutupnya perlahan-lahan.
Doktor Erleta melangkah masuk. Telinganya menangkap bunyi lagu Inggeris berirama perlahan yang dipasang daripada sebuah CD yang terletak di satu sudut ruang tamu yang luas. Hatinya terhibur mendengar lagu yang berkumandang. Dia memang meminati lagu yang sedang didendangkan itu, yang dinyanyikan oleh Elton John. Lagu-lagu dari penyanyi itu memang terkenal sejak dulu, sehingga kini masih bertahan.
“Cantik…” Puji Doktor Erleta sepatah, matanya memerhati sekeliling ruang tamu rumah Jasman yang dicat dengan warna garang tetapi dilembutkan oleh sofa berwarna putih bersih. Kusyen berwarna putih turut menghiasi kerusi kayu jati yang ada di satu sudut lain, berdekatan dengan sebuah meja konsol serta cermin bertingkap berukir indah juga daripada kayu jati.
“Pandai you susun atur perabot…”
“Sekarang ni semuanya mudah. I upah pereka hiasan dalaman.” Jawab Jasman berterus terang.
Mereka duduk berbual di ruang tamu. Menurut Jasman hidangan telah pun disiapkan. Dia yang memasak sendiri. Pembantu rumah itu dihalaunya pulang lebih dari biasa. Jasman mengajak Erleta menari. Lagu-lagu sentimental yang berkumandang sempat membuai perasaan Doktor Erleta yang berada di dalam dakapan Jasman.
Apalah ertinya kau mengucapkan kata rindu itu, Farhan… bisik hati Doktor Erleta. Andy Farhan menyatakan rasa rindunya apabila dia semakin sibuk di luar tetapi apabila dia di sisi, lelaki itu bermimpikan Sheila. Memang tiada ertinya… Kita hidup dalam kepura-puraan begini. Di saat engkau dalam pelukanku tapi kau mengingati orang lain. Aku keliru Farhan. Jiwaku merana, fikiranku kusut. Dan salah satu daripada jalan untuk menjernihkan fikirannya yang kusut adalah lari jauh dari masalah.
Dia mengambil keputusan untuk menerima diri Jasman, menganggapnya sebagai kekasih. Dan malam ini mereka meraikan cinta yang baru dilafazkan. Jasman menjemput Doktor Erleta makan malam di rumahnya di PJ. Satu jemputan yang tidak boleh ditolak. Dia tidak sabar ingin mengenali lelaki itu dengan lebih dekat. Kini tubuh mereka bersatu, nafas lelaki itu dapat didengarinya berhembus lembut di tepi telinga.
Kau tak pernah mencintaiku Farhan… dan sekiranya aku jatuh cinta pada lelaki ini, aku tak bersalah! Jiwaku yang dahaga dan hatiku yang merintih pedih ini perlukan ubat dan penawar supaya aku pulih untuk menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran. Maafkan aku Farhan… Buat pertama kali aku menyerahkan diri dalam dakapannya.
Doktor Erleta mengeluh. Dia gelisah. Jasman menarik tubuhnya perlahan-lahan, merenung ke dalam mata wanita itu; “Kenapa you mengeluh? Gelisah semacam je…”
“Entahlah… I rasa bersalah.”
Jasman tersenyum. “Rasa bersalah pada suami you?” Sengaja dia enggan menyebut nama Andy Farhan. Mereka berhenti menari, Jasman menarik tangan Doktor Erleta ke arah sofa.
Wajah wanita itu direnungnya. Renungan itu seperti menembusi hingga ke dasar hati. Bagaikan ada syurga di mata lelaki itu, sehingga kegelisahannya hilang berganti senyuman manis.
“Entahlah. Lebih baik kita tak usah bercakap tentang dia.”
“I setuju.” Balas Jasman dengan cepat. “Kita bercakap saja tentang hubungan kita.” Katanya sambil mengenyitkan mata.
“Farhan tahu you datang ke KL malam ni?”
Doktor Erleta menggelengkan kepalanya.
“Tiada sesiapa pun yang tahu…” Jawabnya. “Farhan macam syak I ada kekasih, tapi I nafikan. I kata I selalu menerima panggilan daripada patient. Entahlah dia percaya atau pun tak!”
“Tu dah cukup bagus!” Balas Jasman. “Biar dia tertanya-tanya ke mana you pergi. Ada sesiapa lagi yang tahu hubungan kita?”
“Tak ada…”
“Agh! Macamana dengan datin tu….”
“Datin Mariah?”
“Ya sayang! Datin glamour tulah.”
“Hmmm… I dengannya bukan rapat sangat. Dia tu cuma patient saja.” Beritahu Doktor Erleta.
Jasman tersenyum puas. Jari telunjuknya bergerak perlahan di dagu dan bibir wanita itu dengan penuh kemahiran. Kemudian jari-jarinya turun ke bahu dan lengan wanita itu yang terdedah. Doktor Erleta menyarung evening dress warna hijau yang mewah dengan taburan labuci. Bahagian bawah dress itu kembang, menutupi kakinya. Namun lehernya kelihatan kosong.
Jasman memerhati leher Doktor Erleta. Dia tersenyum.
“Tunggu sekejap.” Katanya sambil bangun lalu bergerak ke arah laci meja konsol. Dari dalam laci dia mengeluarkan sebuah kotak. Kotak itu dibukanya lalu terpamer sebuah kalung berlian yang cantik berkilau.
“Diamond are women’s bestfriend. Biar I kalungkan ke leher you…” Katanya sambil meminta Doktor Erleta berpaling. Kalung itu terletak dengan cantik. Jasman menarik Doktor Erleta ke arah cermin besar yang ada di ruang tamu itu.
“Cantik kan?”
Doktor Erleta memandang lehernya yang kini dihiasi dengan kalung yang indah itu. Dia tersenyum memandang Jasman.
“Ahhh… I deserve a kiss.”
Malu-malu Doktor Erleta memberikan sekilas ciuman sebagai ucapan terima kasih.
“Terima kasih. Kalung ni terlalu mahal…” Bisik wanita itu sambil jari-jarinya menyentuh berlian yang berkilauan di dada.
“Entahlah… Itu I tak tahu. Apa yang I tahu, I hanya nak tengok you bertambah cantik…”
Doktor Erleta terharu. Tangannya mencari tangan Jasman. Tangan mereka bertaut erat. Jasman mendekatkan wajahnya, sementara wanita itu memejamkan mata, menerima apa saja yang bakal berlaku. Malah mengharapkan sentuhan bibir daripada Jasman. Dia mengkagumi lelaki ini yang begitu pandai mengambil hatinya.
Kucupan hangat singgah di bibirnya. Untuk beberapa ketika dia lupa di mana dia berada saat itu. Apa yang berlaku malam itu seumpama mimpi-mimpi indah yang tidak pernah hadir dalam hidupnya. Dirinya umpama bunga yang tidak pernah menerima titisan sang embun pagi. Kini dia merasa ingin hidup lebih lama… Seribu tahun mungkin tidak cukup puas baginya selagi berada di sisi Jasman.
“I love you.” Bisik Jasman.
“I love you too.” Balas Doktor Erleta, tersenyum puas.


TIDAK pernah dia rasa gelisah menunggu dalam kesendirian begini. Malam ini dia benar-benar rasa kesepian. Dia tidak tahu ke mana dia harus pergi. Apakah dia akan terus menanti di rumah? Atau dia perlu mencari wanita itu?
Untuk apa dia mencari wanita itu? Biarkan dia pergi mencari kebahagiaannya sendiri. Sekiranya dia telah bertemu dengan lelaki yang benar-benar mencintai, dengan senang hati wanita itu akan melepaskannya pergi. Tidak perlu mereka hidup dalam kepura-puraan lagi. Dulu dia fikir, dia akan berubah dengan kehadiran Doktor Erleta. Bukankah wanita itu berjaya memulihkan semangatnya yang hilang kerana ditinggal pergi oleh Sheila. Tapi dia tersilap. Dia tidak dapat melupakan Sheila walaupun masa terus berputar… Perasaannya tidak pernah berubah.
Kenangan silam aku dan dirimu masih terus terpahat di hati. Kita telah saling berjanji untuk sehidup semati. Mengapa kau harus mengkhianti janji itu Sheila? Mengapa? Apakah aku harus menerima hakikat ini sedangkan hatiku tidak pernah ingin melepaskan dirimu.
Indah sungguh waktu bercinta tapi bila kecewa jiwa merana. Suatu masa dulu, aku menganggap kau bidadari cinta yang datang dari syurga. Tapi kenyataannya begitu pahit untukku telan. Takdir telah mengoyak dan menghancurkan impianku itu. Barangkali ada baiknya perpisahan ini.
“Belum tidur lagi Farhan?” Tegur Bahtiar yang baru pulang. Dia memandang Andy Farhan yang termenung seorang diri menghadapi kolam renang yang kosong di dalam samar-samar cahaya.
Lelaki duduk sendiri di atas sebuah kerusi baring yang ada di hadapan kolam. Air kolam itu tenang tidak terusik, seperti mana Andy Farhan yang duduk bagaikan patung.
“Oh! Abah… Baru balik?”
“Ya. Abah jumpa client tadi. Lepas tu ada dinner pula. Kau buat apa di sini?”
“Tak buat apa-apa.” Jawab Andy Farhan.
“Elly tentu dah tidur… Dah pukul berapa ni? Pergi masuk tidurlah.”
“Okey.” Jawab Andy Farhan sambil bangun.
Dia tidak akan memberitahu Bahtiar bahawa Doktor Erleta tiada di rumah. Entah di mana dia bermalam, Andy Farhan memang tidak tahu. Dia tidak kuasa untuk menghubungi wanita itu. Biarkan dia berbuat apa saja, asalkan dia bahagia… bisiknya sambil bergerak masuk ke dalam bilik.
Andy Farhan cuba untuk melelapkan matanya di atas tilam yang dingin. Akhirnya dia terlelap jua. Namun telinganya bagaikan terdengar bunyi handphone. Dia menggagau tangan mencari handphone, kemudian menekan punat dalam kegelapan malam. Dia mendengar satu suara yang amat perlahan, sedang mengerang.
“Tolonggggg I… Farhannnn…” Suara itu tiba-tiba lenyap. Andy Farhan tersentap. Dia membuka lampu lalu melihat di skrin telefon nombor siapakah yang terpapar. Di skrin telefonnya tertulis ‘Private Nombor’. Siapa yang call aku tengah-tengah malam macam ni? Andy Farhan tertanya-tanya. Masakan dia cuma bermimpi? Kalau bermimpi takkan muncul nombor misteri di skrin telefonnya. Apa yang didengarinya adalah satu realiti. Ada orang menyeru perlahan dalam kesakitan, memohon pertolongan darinya.
Andy Farhan termenung panjang. Masih terdengar-dengar suara itu menyeru namanya dalam nada yang sangat perlahan, dalam kesakitan. Agh! Kalau hal tu penting, mestilah dia hubungi aku semula… bisik hatinya lalu terus menarik selimut. Dia memadam lampu lantas terus menyambung tidur.

“MANA ELLY? Kenapa dia tak turun sarapan?” Tanya Zaiton apabila melihat Andy Farhan turun bersendirian. Lelaki itu sudah siap berpakaian kemas untuk ke pejabat.
Andy Farhan serba salah untuk memberitahu uminya bahawa sejak semalam Doktor Erleta memang tiada di rumah. Sejak kebelakangan ini Doktor Erleta sentiasa sibuk. Setiap hujung minggu dia outstation. Selalunya ke Kuala Lumpur.
“Err… Elly tak ada. Dia ke KL agaknya.”
“Ke KL? Bila?” Tanya Bahtiar. “Kau tak cakap pun malam tadi yang Elly tak ada di rumah.” Sambungnya kemudian, tidak puas hati.
Andy Farhan diam sahaja.
“Kau tu asyik sibuk dengan kerja saja Farhan. Mengapa tak sekali sekala temankan dia ke KL. Shopping ke atau tengok wayang bersama. Dulu masa baru-baru kahwin dulu umi tengok kalian begitu rapat… Tapi sejak dua tiga bulan kebelakangan ni mula bawa hal masing-masing.” Rupa-rupanya dalam diam Zaiton tetap memerhati tingkah laku anak dan menantunya.
Andy Farhan terus diam, dia tidak sangka Zaiton dapat meneka ada sesuatu yang tidak beres dalam rumahtangganya.
“Kalau ada masalah jangan dibiarkan saja, Han. Bawa berbincang. Memang hidup berumahtangga bukannya mudah. Banyak dugaannya… Apalagi bagi pasangan suami isteri yang masih muda. Elly tu cantik dan bijak. Umi yakin ramai lelaki yang sukakan dia.”
Andy Farhan mencapai roti, dia cuba mengunyah roti itu perlahan-lahan, namun terasa hambar. Langsung tiada kelazatannya. Pagi itu dia memaksa diri memamah makanan dan menelan kata-kata pahit uminya. Kata-kata itu tidak diharapkannya langsung.
“Umi dah rasa pahit manis hidup berumahtangga Han…” Luah Zaiton.
Bahtiar memandang tajam padanya kemudian cepat-cepat menyampuk sebelum Zaiton dapat menambah kata-katanya yang belum selesai. “Mengapa awak tak biarkan Farhan makan dengan selesa, Ton? Awak pagi-pagi dah berleter, dia nak makan pun tak senang.”
Andy Farhan memandang Bahtiar, bibirnya terukir sedikit senyuman. Dia berterima kasih dalam diam. Bahtiar mengenyitkan matanya.
“Ton, bukan berleter tapi menasihati Farhan…”
“Yalah… Tapi berpada-pada Ton. Nanti anak kita bosan.”
“Anak kita? Anak sayalah!” Jawab Zaiton sambil menjeling Bahtiar.
“Anak awak… bukan anak saya ke?”
Zaiton menggigit bibir, dia tidak menjawab. Dia merengus kasar. Tangannya pantas menyapu roti dengan mentega dan jam. Bahtiar pula masih belum menghabiskan sosej dan telur dadar di dalam piring. Dia terus makan perlahan-lahan sambil menunggu jawapan daripada Zaiton. Sebaliknya Zaiton hanya berkata; “Anak awak…” Kemudian kata-kata itu terhenti, dia memandang Andy Farhan; “Hari ni kau ada mesyuarat Han? Kenapa kau termenung pula?”
“Ya… Han tahu.” Balas Andy Farhan tersentak lalu cepat-cepat menghabiskan kopinya. “Han pergi dulu…umi, abah!” Katanya sambil menyalami tangan Zaiton dan Bahtiar.
Zaiton memandang Bahtiar.
“Hari ni awak ke mana, bang?”
“Saya ada hal di luar sekejap. Mungkin akan masuk ke pejabat sebelah petang.” Beritahu Bahtiar, sambil memerhati jam di pergelangan tangannya.
Zaiton mengangguk. Tidak lama kemudian mereka berdua sama-sama bergerak keluar dari rumah tapi menuju ke arah yang berlainan. Zaiton menaiki kereta yang dipandu drebar peribadinya menghala ke pejabat sementara Bahtiar memandu sendiri menghala ke destinasi yang tidak diketahui oleh isterinya.

[Sila teruskan membaca ^^]

No comments: