KEDUA-DUA orang tua Fuad menetap di Sabak Bernam. Bapanya Haji Saleh bekas tentera sementara emaknya Hajah Rogayah seorang guru agama. Fuad memiliki tiga orang adik beradik. Semuanya lelaki dan Fuad adalah anak bongsu dalam keluarga itu yang menjadi kesayangan ibunya.
Hajah Rogayah benar-benar lega apabila Fuad memberitahu dia akan belajar di Kuala Lumpur. Memang dia tidak begitu bersetuju bila anaknya itu memilih Unimas. Walaupun adik iparnya Mohsin turut ada di Sabah, dan anaknya itu tidak akan keseorangan, tetapi kebimbangan hati seorang ibu tetap tidak mahu hilang. Jika boleh dia mahu anak lelaki bongsunya itu sentiasa ada di hadapan mata.
Mazni yang pulang bersama Mohsin disambut oleh pasangan suami isteri itu dengan gembira. Apalagi bila dikhabarkan bahawa Fuad akan mulai belajar di KL pada semester akan datang yang dibuka semula pada awal Januari nanti. Bertambahlah kegembiraan Hajah Rogayah dan Haji Saleh. Rumahnya sunyi sepi sejak ketiadaan anak lelakinya yang suka mengusik dan kelakar itu. Keceriaan pasti kembali lagi ke dalam hidup mereka berdua.
Sebenarnya Mazni punya agenda tersendiri, mahu merapatkan perhubungan antara Alyssa Delaila dan Fuad. Dia tahu Prof. Dr. Ismadi masih di Kota Kinabalu. Dia mengikat kontrak di sebuah kolej selama 3 tahun. Ah! Berbagai perkara boleh berlaku dalam masa 3 tahun… Bisik hati Mazni. Kalau setiap hari bertemu dan bermesra, tidak mustahil Alyssa Delaila akan dapat melupakan Prof. Dr. Ismadi lantas jatuh cinta pada Fuad. Siapa tahu? Fuad pun bukanlah golongan lelaki yang buruk dan tidak pandai bergaya. Dia tergolong kacak, punya karisma dan istimewa. Lagaknya yang bersahaja, pandai melawak pasti memikat hati sesiapa saja.
Tahun berikutnya, Alyssa Delaila dan Syazwina masih tinggal sebilik. Hubungan mereka semakin rapat dan erat dari sebelumnya. Jika dahulu, Alyssa Delaila selalu berahsia dengan temannya itu, kini tiada rahsia antara mereka. Setiap apa yang dilakukannya akan diceritakan pada sahabatnya itu.
Di tengah-tengah kesibukan menghadapi kuliah dan toturial, Alyssa Delaila masih sempat menghantar SMS buat kekasih hati. Setiap kali bangun pagi, dia mencapai handphone dan terus menekan punatnya mengatur huruf-huruf berupa pesanan ringkas untuk kekasih yang jauh di mata.
‘I love you more and more each day, as times goes by my love for you will never die.’
Dia mendapat balasan yang menggembirakan. Telefon bimbitnya bergetar dalam hanya beberapa saat. Kiriman balas dari lelaki yang dicintainya; ‘I love you too. You are my sweet little angel. Let me die for you…’
“Hoi! Orang yang sedang bercinta ni memang gila. Cepatlah! Nanti terlambat nak hadiri kuliah.” Leter Syazwina apabila Alyssa Delaila leka membaca mesej sambil tersengih-sengih sendiri memeluk handphonenya. Sergahan itu membuat dia cepat-cepat bangun menuju ke bilik air.
Hari itu Alyssa Delaila bersiap ala kadar sahaja, tidak sempat hendak membelek dirinya di hadapan cermin. Lagipun lelaki yang disayangi tiada di hadapan mata, untuk apa dia beria-ria berdandan rapi. Dia hanya mengenakan seluar jeans dan blouse yang labuh, tidak ingin kelihatan seksi seperti kebanyakan pelajar yang suka mengikut fesyen terkini. Kebanyakan baju mendedahkan pusat yang ditindik, tetapi dia tidak langsung berminat. Lagipun dia teringat pesanan-pesanan Prof. Dr. Ismadi yang sentiasa mahu dia menjaga diri. Alyssa Delaila berlari-lari mengejar Syazwina yang berjalan pantas menghala ke dewan kuliah. Memang mereka sudah terlewat. Pasti dewan sudah penuh dan dia akan mendapat tempat duduk di belakang.
Pelajaran tahun itu terasa semakin sukar, tetapi sesuai dengan janjinya pada Safura dia akan belajar sebaik mungkin. Dia mengambil keputusan menukar kursus, tetapi masih menjurus di dalam bidang jurnalism. Bidang itu memang diminatinya. Prof. Dr. Ismadi adalah idolanya… sumber inspirasinya. Agh! Lelaki itu segalanya! Dia seorang yang sungguh berbakat. Pandai dalam serba serbi. Tidak puas-puas dia memuji lelaki yang satu itu. Jika tiada kuliah dan toturial, dia akan ke librari. Bila dah berada di situ, pasti dia tidak ingat apa-apa lagi selain daripada menelaah pelajaran.
“Hai!” Dia tersentak mendengar suara di sisi. Dia menoleh. Dilihatnya seraut wajah yang amat dikenali sedang mengepit beberapa buah buku rujukan. Buku-buku itu diletakkan di atas meja.
“Boleh duduk di sini?” Dia bertanya.
“Duduklah.” Jawab Alyssa Delaila tersenyum manis. Dia tidak sangka akan bertemu anak muda itu di situ. Bilakah dia bertukar ke situ? Mengapa? Bukankah Mazni berkata Fuad belajar di Unimas.
“Kau ada di sini, Fuad?” Tanya Alyssa Delaila tidak percaya.
“Ya… Baru tukar.” Jawab Fuad sambil tersenyum. Walaupun sudah beberapa kali dia melihat Alysssa Delaila di perpustakaan itu, tetapi baru petang itu dia datang dan menegur. Dia yakin Alyssa Delaila tidak tahu dia berada di situ.
“Kenapa bertukar?”
“Emak suruh… Dia susah hati aku berada jauh darinya.”
“Anak emak rupanya!” Kata Alyssa Delaila sambil tersenyum.
“Memanglah. Kalau bukan anak emak, anak siapa lagi? Engkau anak siapa?”
“Anak emak juga!” Jawab Alyssa Delaila.
“Samalah kita.” Balas Fuad ketawa.
Alyssa Delaila teringat janjinya pada Safura. Dia harus merealisasi segala impian ibunya terlebih dahulu, menghadiahkan kejayaannya. Kemudian barulah Safura memberikan dia satu kebebasan, yang sangat didambakannya. Semoga suatu hari nanti dia dapat bersama dengan orang yang dicintai… Dia termenung dan tersenyum sendiri.
“Eh, engkau termenung… ingatkan siapa?” Tanya Fuad. Muka Alyssa Delaila direnung. Memang gadis ini manis dan cantik. Dia sudah tahu segala-galanya daripada Mazni. Emak saudaranya itu bercerita dari A hingga Z kisah Alyssa Delaila dan Prof. Dr. Ismadi. Dia ingin kenal dengan lelaki itu… Bagaimanakah orangnya? Benarkah seperti kata kebanyakan pelajar di situ, dia seorang lelaki yang hebat dan berkarisma. Sudah berumur tetapi punya ramai peminat!
“Shhh…Tak ada sesiapa.”
“Masakan… Aku tahu, kalau termenung sambil tersenyum macam tu, mesti teringatkan seseorang yang istimewa.”
“Memanglah dia istimewa. Aku teringatkan ibuku tadi…”
“Oh! Ibu ya? Engkau pasti ke, bukan teringatkan orang lain ni?”
Alyssa Delaila menjeling Fuad. Dia tidak suka apa yang dikatakan oleh anak muda itu.
“Shhh… Sekarang ni aku nak sambung membaca.”
“OK.” Balas Fuad bersetuju. Dia turut membuka buku, tidak mahu mengganggu Alyssa Delaila lagi.
SELAMAT HARI JADI. Alyssa Delaila membelek kad yang cantik itu sebelum memasukkannya ke dalam kotak. Di dalam kotak itu terdapat sehelai baju sejuk yang dikaitnya sendiri. Dalam kesibukannya sebagai pelajar, masih sempat dia mengait baju sejuk berwarna biru untuk lelaki kesayangannya. Baju sejuk dan kad itu akan dikirimnya pada hari itu. Semoga ianya tiba tepat pada hari lahir Prof. Dr. Ismadi minggu depan.
Kotak berisi baju itu dibungkusnya sebaik mungkin. Setelah siap dia memasukkannya ke dalam beg kertas, bersedia untuk keluar. Syazwina tiada di bilik. Temannya itu telah lama keluar entah ke mana. Kadang-kadang Syazwina keluar tanpa memberitahunya. Dia tidak menyalahkan gadis itu yang juga sudah mempunyai kekasih.
Malam semalam dia tidur lewat, justeru itu dia bangun pun terlewat. Syazwina sudah lama meninggalkan bilik. Alyssa Delaila berjalan ke pondok menunggu bas. Agak lama dia menunggu bas. Kenangan pun kembali berputar. Dia teringat Prof. Dr. Ismadi datang dengan keretanya lantas membawanya pergi dari situ. Dia tersentak, menyedari memang terdapat sebuah kereta berhenti, tetapi bukan kereta mercedes hitam lelaki impiannya. Sebaliknya sebuah kereta wira berwarna putih.
Dia memerhati pemandu kereta itu yang sedang menekan hon. Ehhh… mamat ni lagi! Bisik hati Alyssa Delaila sambil bangun, mendekati kereta. Pintu kereta dibuka dari dalam.
“Engkau nak ke mana? Jom! Aku hantar.”
“Ehhh.. Tak mengapalah. Tak mahu menyusahkan engkau Fuad.”
“Engkau punya pasal, aku tak kisah. Engkau nak ke mana?”
“Aku nak poskan bungkusan ni. Pergi kaurier servis.”
“OK.” Fuad mengangguk. Kereta terus dipandu laju meninggalkan kawasan itu.
“Untuk siapa bungkusan tu?” Tanya Fuad sambil menjeling.
“Adalah… untuk seseorang yang istimewa.”
“Baguslah! Orang yang istimewa tu… siapa? Kekasih?” Tanya Fuad sambil ketawa lembut. “Cemburunya aku. Tak ada langsung orang nak bagi hadiah. Tak ada orang nak celebrate hari jadi aku…”
“Bila hari jadi engkau?”
“Hari ni…” Jawab Fuad selamba.
“Alamak…” Kata Alyssa Delaila. “Tak payah cemburu. Apa kata hari ni aku belanja makan?”
“Belanja makan? Boleh juga tapi aku nak hadiah…” Balas Fuad tersengih. Alyssa Delaila menjeling. Manis manja jelingannya buat jantung Fuad bergetar.
Fuad tidak sangka Alyssa Delaila percaya kata-katanya sedangkan dia hanya bergurau. Sudah terlewat untuk menyatakan perkara yang sebenar, nanti dituduh berbohong pula.
MELIHAT wajahnya yang ceria, menerima bingkisan hari jadi hati Sonia cemburu. Tidak disangka setelah sekian lama perasaan itu datang semula menimpanya. Kini dia benar-benar tidak memiliki sesiapa. Dia telah bebas daripada ikatan pernikahan. Dia kini seorang janda yang kesepian. Temannya hanya Prof. Dr. Ismadi…
Sudah tiga bulan pula dia tinggal di Kota Kinabalu. Alasannya kini untuk mencari ketenangan hanya satu omong kosong. Sebenarnya dia ingin berada di samping lelaki itu selalu. Bila telah bebas dan terlerainya ikatan itu, dia berharap persahabatan mereka jadi tambah erat. Namun impian yang disimpan sekian lama hancur berkecai. Prof. Dr. Ismadi kini sedang dijulang bahagia.
Dia memerhati lelaki itu mengeluarkan sehelai baju sejuk berwarna biru beserta kad ucapan ‘selamat hari jadi’. Prof. Dr. Ismadi terus mengenakan baju sejuk itu ke tubuhnya. Nyata amat bersesuaian. Pandai sekali gadis itu mengagak dan menduga.
“Bagaimana rasanya dalam usia begini, masih terus dilamun asmara. Seronok dan bahagiakah? Apakah sama macam kita menelan dua biji pil ketika rasa sakit kepala ataupun demam. Tiba-tiba kita ceria semula, rasa ingin hidup lebih lama.” Kata Sonia sambil terus merenung kawannya yang berwajah ceria.
“Bercinta dengan seorang gadis yang muda belia. Apa sebenarnya yang you rasa Is? Benar-benar bahagia? Atau kebahagiaan yang hanya sementara? Dia jauh di mata… Di kelilingi oleh ramai jejaka yang muda belia. Tidakkah you bimbang suatu hari nanti, dia akan berubah hati? Dia akan tinggalkan you sendiri. Agaknya di saat itu bagaimanakah pula keadaan you?”
Prof. Dr. Ismadi tersentak mendengar kata-kata Sonia. Dia terkejut mendengar ungkapan yang berbaur cemburu itu. Bukankah dulu wanita itu menyokongnya? Mengapa kini dia tidak suka pula? Apa sebenarnya yang dia mahu?
“Memang cinta itu indah dan mengasyikkan.” Kata Prof. Dr. Ismadi. “Dan tidak dinafikan pula, bila kecewa rasa amat sakit dan derita. Tapi I telah banyak kali berusaha untuk menghindar, tetapi cinta itu tetap datang juga. Jadi I hanya menerima seadanya. Jika sekiranya suatu hari nanti cinta ini hilang… I akan terima dengan hati terbuka.”
“Is… You terlalu baik dan sempurna. I mengerti mengapa Laila cintakan you.” Sonia berkata dengan nada sedih. Dia bergerak ke pintu. “Biar I balik dulu. Rasanya tak ada apa I nak buat di sini…”
“Ehhh…” Prof. Dr. Ismadi cuba menahannya dari berlalu. “Tunggulah sekejap. Kita keluar minum dan makan-makan. Ingat hari ni hari jadi I. You belum wish I apa-apa…”
Sonia mengangguk perlahan. Dia mengakui memang dia ada menyediakan hadiah tetapi tidaklah seistimewa hadiah yang diberikan oleh kekasih lelaki itu.
Mereka keluar minum bersama pada petang itu, di sebuah café yang mengadap ke laut. Suasana petang begitu damai. Angin dari laut bertiup kencang, menggoyangkan pepohon palma yang berbaris di sepanjang pantai.
Sonia mengangkat gelas dan berkata; “Selamat untuk you Is. Semoga panjang umur dan cinta you berkekalan, tidak akan pergi meninggalkan you suatu hari nanti.”
Prof. Dr. Ismadi hanya mengangguk dan tersenyum walaupun keyakinan mulai tergugat.
“Pernahkah you terfikir yang kita ni seperti pohon…” Kata Sonia. “Suatu masa kita kecil, kemudian membesar, melindungi orang-orang yang kita sayangi. Kemudian pada satu masa dahan-dahan pun menjadi rapuh, lantas satu persatu gugur ke bumi. Tidak mampu melindungi sesiapa lagi. Saat untuk rebah ke bumi sudah tiba, tidak lagi dipedulikan. Akan hadir pula pohon-pohon lain, yang akan membesar pula dan memberikan perlindungan…”
Prof. Dr. Ismadi mengeluh. Dia tahu Sonia masih bercakap tentang nasib cintanya dengan Alyssa Delaila. Dia tidak mahu berfikir terlalu banyak dan terlalu jauh walaupun terkadang manusia perlu merancang ke arah itu. Apabila difikir-fikirkan, semacam ada ketakutan yang mulai mengejar dan menghantuinya.
“I tak mahu menjadi pohon.” Jawabnya perlahan. “Biarlah I menjadi diri sendiri. Manusia yang menjadi hamba kepada Tuhan, bukannya kepada manusia, harta, wang atau pun cinta.”
Sonia diam sejenak, kemudian sekali lagi cuba mengalih perhatian lelaki itu kepada perkara yang lain pula yang lebih membebankan fikirannya. Tiba-tiba dia tidak lagi berusaha untuk menggembirakan temannya itu.
“Tak pernah terfikir nak balik ke Kuala Lumpur, tengok anak-anak you? Ada you call Haiqal bertanya khabar?”
“Ada dua minggu lepas…”
“Sudah berbaik-baik semula dengannya?”
“Biasa aje. Kalau bercakap hanya perkara-perkara yang perlu saja. Dia masih belum memaafkan I. Tak mengapa. I percaya masa akan mengubati luka di hatinya.”
“Kalau dia tahu, perhubungan you dan Laila tambah intim sekarang, entah bagaimana perasaannya.” Kata Sonia, sengaja hendak menyakitkan hati Prof. Dr. Ismadi. “I rasa nak balik ke Kuala Lumpur minggu depan.” Beritahu Sonia tiba-tiba. “Di sini pun I tak ada apa-apa. Sudah tiba masanya I fikirkan hidup I pula, bagaimana seterusnya…”
“Jangan cakap macam tu… I kan ada.” Kata Prof. Dr. Ismadi.
“Ya. I tahu you ada…” Balas Sonia. “Tapi di sini I tak ada kerja… Di Kuala Lumpur ada kerja yang hendak dibuat. Tapi di sini I duduk goyang kaki. Duit setinggi gunung pun boleh rata kalau ditarah setiap hari.”
“Hmmm… Itu rupanya yang merungsingkan you. You bantulah I Sonnie. I ingat nak buat pameran lagi. Koleksi lukisan I pun dah banyak terkumpul semula. Jadi you uruskan pameran dan cari tempat yang strategi, macamana?”
Sonia mengangguk. “OK. Kalau you dah bersedia untuk buat pameran solo, I akan usahakan buat promosi untuk you.” Jawab Sonia sambil tersenyum mesra. “Barangkali lepas tu bolehlah I balik ke Kuala Lumpur.”
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “I pun nak balik sekejap…” Katanya perlahan. Di matanya terbayang-bayang wajah Alyssa Delaila.
Bab 22
SYAZWINA menjeling Alyssa Delaila yang leka berbual di telefon. Dia masih menghadapi meja tulis, menyiapkan assignment yang akan dihantar pada minggu hadapan. Dia tidak suka menangguhkan setiap tugasan. Jika tugasan sudah siap, barulah dia akan bergembira, keluar menonton wayang dengan kekasih. Tetapi dia melihat Alyssa Delaila kelihatan sibuk bergayut sejak tadi. Entah dengan siapa dia berbual? Dia tahu amat jarang Prof. Dr. Ismadi akan menelefon dari jarak jauh begitu. Lagipun lelaki itu selalunya tidak gemar menelefon…
Dia yakin Alyssa Delaila sedang berbual dengan orang lain. Suaranya yang terdengar rendah dan perlahan sesekali tergelak kecil menyakinkan dia bahawa bukan Prof. Dr. Ismadi yang menjadi teman berbualnya sejak sejam tadi.
Syazwina hanya menggelengkan kepala melihat gelagat temannya itu. Tidak lama kemudian kelihatan Alyssa Delaila mematikan handset dan terus bangun menuju ke meja tulis. Dia duduk di situ sambil melepaskan sebuah keluhan.
“Dah siap assignment? Aku belum buat lagi la…”
“Itu la asyik bergayut saja… Berbual dengan siapa tadi?”
“Fuad.” Jawab Alyssa Delaila sepatah, sambil tangannya bergerak membuka laptopnya. Apakah dia akan keluar dengan Fuad? Sekiranya dia keluar malam itu, alamatnya tidak siaplah assignment. Tapi esok masih ada…
“Fuad? Siapa pula Fuad tu?”
“Kawan.” Jawab Alyssa Delaila tidak mahu memanjangkan cerita. Dia tidak suka jika Syazwina mulai menyoal, nanti sampai ke akar umbi akan dikorek oleh temannya itu. Alyssa Delaila memerhati jam yang menunjukkan ke angka 8.30 malam. Masih awal. Fuad mengajaknya keluar pada malam itu, tetapi dia masih berbelah bahagi, walaupun tadi dia telah memberikan persetujuan. Mereka akan keluar makan lewat malam pada jam sepuluh nanti…
Tidak sempat dia hendak memulakan kerja, telefon bimbitnya berbunyi. Buru-buru dia berlari ke arah katil. Dia melihat di skrin. Muncul nama Prof. Dr. Ismadi.
“Hello!” Serunya gembira.
“Hello…” Balas Prof. Dr. Ismadi perlahan. Suaranya terdengar tenang dan bersahaja. “Sibuk? Ada banyak assignment?” Tanya lelaki itu.
“Tak adalah sibuk sangat…” Jawab Alyssa Delaila.
“Saya ada kat sini. Kita keluar?”
“Is ada di sini?”
“Ya.” Jawab Ismadi. “Cuba Laila tengok kat tingkap…”
Alyssa Delaila berlari ke tingkap lantas menjenguk keluar. Bilik itu terletak di tingkat dua. Lampu jalan yang terang benderang membuat dia dapat melihat dengan jelas jalanraya di luar pagar. Kelihatan sebuah mercedes hitam ada di tepi jalan berdekatan dengan pintu pagar utama. Prof. Dr. Ismadi berdiri di sisi kereta, melambai ke arahnya.
“Pakai cantik-cantik ya… Saya tunggu.” Kata Prof. Dr. Ismadi.
Alyssa Delaila terlompat dan menjerit-jerit kegembiraan. Syazwina terkejut melihat tindakan kawannya itu lantas dia ikut berlari ke tingkap. Dapat dilihatnya kereta mercedes Prof. Dr. Ismadi. Dia menggelengkan kepala melihat Alyssa Delaila yang berlari ke bilik mandi. Setengah jam kemudian gadis itu sudah pun bersiap-siap hendak keluar.
Alyssa Delaila langsung terlupa dia telah berjanji hendak keluar dengan Fuad. Dia berjalan laju ke arah Prof. Dr. Ismadi yang menanti di sisi kereta.
“Laila…” Prof. Dr. Ismadi memanggilnya mesra. Alyssa Delaila meneruskan langkah mendekati. Lelaki itu terus tersenyum menanti dan tanpa sedar dia meluru ke dalam dakapannya.
“Laila rindukan Is.”
“Saya juga begitu Laila!” Balas Prof. Dr. Ismadi berbisik perlahan.
“Mari kita pergi segera dari sini… Nanti terfitnah lagi pula.” Kata Prof. Dr. Ismadi sambil tertawa kecil, membukakan pintu kereta untuk gadis itu. Alyssa Delaila menurut, masuk segera tanpa bantahan.
Prof. Dr. Ismadi memandu pergi meninggalkan tempat itu.
Malam itu Prof. Dr. Ismadi amat segak, mengenakan lounge-suit biru gelap. Rambutnya tersisir dengan kemas. Alyssa Delaila memerhati setiap inci perubahan pada wajah dan diri lelaki itu, namun tiada apa yang kurang. Dia masih hebat, kacak dan menarik walaupun sedikit tua. Tetapi itu semua tidak langsung menjadi masalah. Dia tidak kisah. Apa yang penting adalah perasaan mereka berdua… Satu perasaan yang dikongsi bersama.
Prof. Dr. Ismadi membawanya ke sebuah hotel yang indah bertaraf lima bintang yang menjadi tempat kegemarannya suatu masa dulu. Dia memang selalu ke situ, bertemu dan beramah mesra dengan kenalan-kenalan serta sahabat handai yang rapat dengannya. Sudah lama dia tidak datang. Selalunya dia datang bersama isterinya… Kini dia membawa orang yang disayangi. Walaupun dia berkali-kali menyatakan pada dirinya, dia tidak kisah pada pandangan orang lain, tetapi dadanya tetap berdebar-debar. Dia tidak tahu apa anggapan kawan-kawannya apabila dia mendampingi seorang gadis yang muda belia. Malam itu di situ diadakan satu majlis penyampaian hadiah berprestij dan dia salah seorang penerima anugerah tersebut. Tetapi dia tidak mengkhabarkannya pada Alyssa Delaila. Dia mahu mengejutkan gadis itu!
Kedatangan mereka disambut mesra di muka pintu dewan lantas di bawa ke meja yang sudah diperuntukkan. Di meja tersebut sudah ada beberapa orang rakannya. Mereka bersalam-salaman sambil bertanya khabar. Nyata mereka gembira dengan kehadirannya pada malam itu. Sudah lama dia menghilangkan diri…
“Ismadi…” Tegur Dato’ Halim. “Lama kita tak jumpa… Ke mana menghilang? Masih ada di KL?”
“Ya, memang agak lama.” Jawab Prof. Dr. Ismadi. “Saya sibuk, sekarang bertugas di Sabah.”
“Saya memang ada dengar tentang pameran solo yang you buat di Sabah hari itu. Bagaimanakah sambutannya?” Sampuk Tan Sri Kenny Chan pula.
“Bagus. Amat bagus sekali…” Jawab Prof. Dr. Ismadi tertawa.
“Siapa pula orang di sebelah tu?” Sampuk Datin Hanisah. “Takkan tak mahu kenalkan dia pada kami.”
“Ya, kenalkan ini Alyssa Delaila.” Kata Prof. Dr. Ismadi sambil menoleh pada gadis di sisi. “Laila… Ini Dato’ Halim dan isterinya Datin Hanisah. Yang itu Tan Sri Kenny Chan dan anak lelakinya Damian.” Katanya diiringi tawa.
Alyssa Delaila mengangguk, tersenyum sambil menghulur tangannya.
“Cantik dan manis sekali.” Puji Datin Hanisah. Alyssa Delaila tersipu-sipu, rasa segan apabila dipuji. Dia menjeling Prof. Dr. Ismadi yang pura-pura tidak mendengar akan pujian itu. Sebenarnya Datin Hanisah ingin tahu perhubungan antara mereka. Kepalanya ligat dipenuhi dengan persoalan demi persoalan tetapi tidak mendapat jawapan yang dapat memuaskan nalurinya.
“Masih belajar?”
Alyssa Delaila mengangguk.
“Sebenarnya, dia ex-student saya…” Beritahu Prof. Dr. Ismadi, cuba membuang rasa kurang senang yang mulai terbit dalam hatinya. Dia tidak suka mendengar soalan Datin Hanisah, tetapi tidak mungkin dapat menghindarinya. Beberapa orang lain mulai datang ke meja mereka, mengambil tempat duduk hingga kerusi yang memuatkan sepuluh orang itu mulai penuh.
Datin Hanisah tidak berpeluang lagi bertanya, apabila makanan mulai dihidangkan. Selepas makan selesai, kopi dan manisan pula mengakhiri hidangan. Kemudian majlis penyampaian itu pun bermula. Alyssa Delaila benar-benar terkejut apabila nama Prof. Dr. Ismadi dipanggil.
Prof. Dr. Ismadi naik ke pentas, menerima anugerah berupa piala kemudian mengucapkan sepatah dua kata. Ketika dia berdiri di pentas, matanya memandang ke arah meja yang dihuni Alyssa Delaila serta orang-orang yang berada di sekelilingnya. Dia mulai sedar sesuatu. Memang gadis itu terlalu muda, cantik dan paling menyerlah. Kebetulan pula di sisi gadis itu duduk anak lelaki Tan Sri Kenny Chan. Entah mengapa pula dia merasa cemburu, biarpun dia sedar bahawa Alyssa Delaila datang bersamanya dan juga duduk di sisinya.
Dia turun dari pentas dengan hati yang gundah, biarpun sedang memegang piala yang mengiktiraf perjuangannya selama dia berada di dalam bidang diceburinya itu. Dia kembali duduk bersama iringan tepukan yang bergemuruh. Hatinya sedikit rusuh apabila mendengar Damian Chan yang berada di sebelah Alyssa Delaila berkata sebaik sahaja tepukan bergema; “Lecturer you seorang lelaki hebat!”
“Lecturer… Ya.” Balas Alyssa Delaila dengan hati yang tidak keruan. Mukanya merah padam. Dia memandang Prof. Dr. Ismadi yang tenang sahaja, tersenyum padanya. Alyssa Delaila yang masih terkejut, spontan menggenggam tangannya sambil berkata; “Mengapa tak beritahu Laila?”
“Surprise!” kata Prof. Dr. Ismadi sepatah.
“Memang Laila terkejut. Walau bagaimana pun, tahniah Is.” Kata Alyssa Delaila perlahan, berbisik mesra ke telinganya. Datin Hanisah sentiasa mengawasi dirinya, membuat Alyssa Delaila menegakkan badannya semula, pura-pura memandang ke arah pentas.
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. Tangan Alyssa Delaila yang ada di atas ribanya dilepaskan dan diletakkannya semula di atas ribaan gadis itu. Alyssa Delaila memandangnya namun tidak berkata apa-apa.
Tidak lama kemudian penyanyi mulai menghiburkan para tetamu yang masih memenuhi dewan. Ada pasangan yang mulai bangun untuk menari lagu berirama perlahan yang sedang didendangkan. Tiba-tiba Damian Chan menoleh pada Alyssa Delaila lantas berkata; “Menari?”
Alyssa Delaila memandang Prof. Dr. Ismadi seolah-olah meminta izin. Prof. Dr. Ismadi menganggukkan kepalanya. Tetapi gadis itu tidak berganjak, membiarkan lelaki muda itu menanti. Damian Chan mulai gelisah kerana ajakannya tidak dihiraukan. Dia rasa malu.
“Pergilah… Dia ajak tu. Jangan menolak, nanti dia akan rasa malu.” Kata Prof. Dr. Ismadi.
“Tapi…” Laila ingin membantah. Hatinya mulai rasa marah. Mukanya masam sahaja, menatap Prof. Dr. Ismadi yang tidak lagi menoleh kepadanya pura-pura berbual dengan Dato’ Halim.
Akhirnya Alyssa Delaila tetap bangun dan menari dengan Damian hingga habis satu lagu. Dia cepat-cepat kembali ke tempat duduk. Damian turut bersamanya dan berkata dengan lembut; “You pandai menari.”
“Thanks.” Jawab Alyssa Delaila sepatah.
Penyanyi masih terus berdendang dan Damian berusaha untuk mengajaknya menari lagi. Tetapi Alyssa Delaila menolak dengan alasan letih. Dia cuba untuk berbual dengan Prof. Dr. Ismadi tetapi ternyata lelaki itu sedang rancak berbual dengan Dato’ Halim dan isterinya. Alyssa Delaila merasa geram lantas bersetuju untuk menari dengan Damian. Begitulah akhirnya mereka menari beberapa buah lagu lagi hingga kepenatan barulah kembali ke meja.
Biarpun asyik berbual tetapi mata Prof. Dr. Ismadi tidak lepas dari memerhati Alyssa Delaila menari dengan anak muda yang gagah dan tinggi lampai itu. Setiap kali memandang mereka api cemburunya menyala dengan begitu marak, hebat dan membakar seluruh perasaannya. Kemudian perlahan-lahan dia sedar, siapa dirinya…. Sebenarnya dia tidak layak untuk berada di samping gadis itu. Tiada sesiapa pun yang dapat menerima keadaan ini dengan hati terbuka. Dia tidak layak untuk menjadikan gadis itu teman istimewa yang boleh dibawa ke tengah dan ke tepi.
Sepanjang perjalanan pulang mereka membisu. Prof. Dr. Ismadi tenggelam dalam kekalutan fikirannya sendiri.
“Jangan seksa Laila begini Is… Kenapa Is mesti kenalkan Laila kepada kawan-kawan Is sebagai student dan bukannya kekasih.” Kata Alyssa Delaila perlahan.
“Kekasih? You nak kena kutuk?” Tanya Prof. Dr. Ismadi acuh tak acuh.
“Kenapa Is layan Laila macam ni? Tadi sebelum kita masuk ke dewan tu, Is kelihatan gembira. Tapi bila dah jumpa mereka, terus Is berubah, dingin aje. Kenapa? Is rasa Laila tak layak berada di samping Is?”
“Siapa yang tidak layak di samping siapa? Sebenarnya Laila lebih layak di samping lelaki macam Damian. Dia masih muda, kacak dan bertenaga. Boleh menari berjam-jam lamanya.”
“Maksudnya, Is tak suka Laila menari dengan Damian?” Tanya Alyssa Delaila tidak mengerti. “Bukankah tadi Is juga yang suruh Laila menari dengannya? Is sendiri yang suruh, walaupun mula-mula tadi Laila tak mahu…”
“Lepas tu Laila bukan main gembira lagi… siap peluk jantan tu!”
Alyssa Delaila ketawa mengejek. “Cemburu nampak! Bila masa Laila peluk? Is salah tengok agaknya?”
“Yalah. Saya salah tengok. Mata saya belum rabun lagi. Saya nampak sendiri tapi kalau beria-ria nak nafikan… Tak apa. Biar saja. Itu baru depan saya, kalau di belakang saya, tak tahulah apa yang Laila buat! Dengan siapa berkawan. Entah berapa ramai lelaki yang Laila layan… manalah saya tahu!”
“Is! Tolong jangan ragui Laila. Cinta Laila hanya untuk Is. Laila setia pada Is selama-lamanya. Laila tak pernah berniat menduakan Is…” Tiba-tiba dia teringat pada Fuad. Bukankah sejak kebelakangan ini dia agak rapat dengan Fuad. Apakah Prof. Dr. Ismadi tahu akan hal ini? Mengapa dia rasa tidak keruan apabila lelaki itu mulai meragui dirinya?
“Ooo… Saya langsung tak boleh meragui Laila? Saya mesti mempercayai Laila seratus peratus. Tapi saya manusia biasa. Saya cemburu dan saya tidak boleh buang rasa cemburu tersebut sebab saya sayangkan Laila. Saya rasa ada yang kurang pada diri saya bila bersama Laila.”
“Jadi… Apa yang harus Laila buat Is? Kurung diri di bilik saja dan hanya fikirkan Is seorang?”
“Jadi selama ini Laila memang ada berkawan dengan lelaki lain? Tadi tu, saya tengok lelaki itu berikan Laila sekeping kad bukan? Jadi dah ada contactlah kauorang berdua…”
“Is… Is… Kalau macam tu biar Laila buang saja kad tu!” Kata Alyssa Delaila sambil membuka beg tangannya lantas mengambil kad yang terselit di celah-celah beg tersebut. “Bukan hanya kad Damian yang Laila buang, semua kad yang Laila dapat malam ni Laila buang…” Katanya sambil membuka cermin tingkap kereta dan turut membuang kad-kad pemberian daripada Dato’ Halim, serta beberapa orang lain yang sempat berkenalan dengannya di meja makan tadi.
Prof. Dr. Ismadi tidak berkata apa-apa, dia menggigit bibir. Rasa hatinya kesal kerana diselimuti rasa cemburu dan rasa bersalah yang masih menebal. Tiba-tiba dia memberhentikan keretanya di tubir jalan. Jalan itu lengang sahaja, malam kian larut hampir pukul satu pagi.
Lama Prof. Dr. Ismadi duduk terpaku, tangannya masih berada di atas stering kereta.
“Laila…” Katanya menoleh ke arah gadis di sisinya yang kelihatan duduk tegak dan sedang memandang ke luar tingkap kereta. Alyssa Delaila menoleh, memandang lelaki di sisinya. Melalui lampu yang ada di tubir jalan dapat dia melihat wajah lelaki itu biarpun dalam kesamaran cahaya.
Prof. Dr. Ismadi ingin berkata sesuatu tetapi pantas dia meletakkan jari telunjuknya di bibir lelaki itu. “Shhh… Jangan cakap apa-apa lagi yang lebih menyakitkan hati Laila, Is…” Pinta Alyssa Delaila perlahan. “Laila sayang dan cintakan Is, hanya itu yang Laila tahu.” Dia merebahkan kepalanya di dada lelaki itu.
Prof. Dr. Ismadi terpaku, membiarkan kepala Alyssa Delaila mendarat di dadanya.
“Malam ni Laila tak mahu balik ke bilik… Bawalah Laila ke suatu tempat, ke mana saja. Tapi Laila mahu bersama Is malam ni, hingga ke hari esok.”
Prof. Dr. Ismadi tidak menjawab, tangannya bergerak memutar setering kembali ke atas jalan raya. Permintaan Alyssa Delaila tidak akan ditunaikannya. Dia tidak akan menurut kata hati. Jika darah muda Alyssa Delaila panas bergelora, dia tidak harus mengikut rentak gadis itu. Seperti yang pernah dikatakannya sebelum itu, dia harus mendahului pemikiran berbanding perasaan. Dia tidak mahu tersilap langkah.
Dia terus memandu menuju ke destinasi, akhirnya berhenti di hadapan pagar yang sudah berkunci. Mereka saling bertatapan, serentak mata beralih ke arah jam yang ada di dashboard. Tepat pukul satu tiga puluh minit pagi.
“Cinderella sepatutnya balik sebelum pukul dua belas tengah malam. Sekarang dah pukul satu lebih…” Kata Prof. Dr. Ismadi seolah-olah cuba bergurau untuk memecahkan suasana dingin antara mereka. “Saya hantar balik ke rumah ibu Laila.” Prof. Dr. Ismadi memutus kata.
“Nanti ibu akan mengamuk. Sekarang dah pukul berapa…” Balas Alyssa Delaila.
Ke mana dia harus membawa gadis itu bermalam? Dia tidak suka dengan apa yang akan dilakukannya itu. Dia tahu ada risiko yang menanti…
Bab 23
SEAWAL tujuh pagi Safura sudah tiba di hadapan pintu bilik Alyssa Delaila. Sepanjang malam dia tidak dapat tidur memikirkan apa yang dikatakan oleh Fuad. Anak muda itu menghubunginya, memberitahu Alyssa Delaila keluar dengan Prof. Dr. Ismadi. Mulanya mereka berjanji hendak bertemu, tetapi Prof. Dr. Ismadi mendahuluinya. Dia menunggu Alyssa Delaila pulang, tetapi menjelang pukul 12 tengah malam gadis itu masih belum jua pulang. Fuad gelisah. Dia tidak tahu ke manakah Prof. Dr. Ismadi membawa gadis itu. Dia tidak sangka dia boleh jadi seresah itu! Pelbagai kemungkinan menghantuinya.
Dia terus menunggu sehingga jam satu setengah pagi barulah kereta mercedes lelaki itu muncul. Fuad benar-benar terkejut. Benar bagai dikata… Alyssa Delaila memang bersama lelaki tua itu. Apabila mendapati pintu pagar terkunci rapat, kereta itu bergerak pergi. Fuad mengambil keputusan untuk mengekori mereka. Akhirnya dia mendapati Prof. Dr. Ismadi membawa Alyssa Delaila bermalam di sebuah hotel.
Lantas dia menghubungi Safura. Safura menggelabah dan gelisah sepanjang malam. Apalagi handphone Alyssa Delaila dimatikan. Safura diamuk rasa marah. Selepas subuh dia terus memandu untuk memastikan kata-kata Fuad tidak benar. Syazwina yang bangun membuka pintu terkejut melihat Safura.Wanita itu jadi nanar apabila melihat katil anaknya yang kosong, kemas tidak berusik. Safura menerpa masuk dan mencari-cari Alyssa Delaila hingga ke dalam bilik air.
“Mana dia? Mana Laila?” Tanya Safura tidak keruan apabila tidak menemui anak gadisnya.
Syazwina menggosok mata. Dia masih mengantuk. Hari itu tiada kuliah dan kelas toturial jadi dia tidur semula selepas subuh. Namun kedatangan Safura memang mengejutkannya.
“Dia tak balik malam tadi? Dia ke mana? Betulkah dia keluar dengan Ismadi?”
Syazwina terpinga-pinga. Dia menyangka Alyssa Delaila pulang ke rumah Safura, sebab itulah dia tidak kembali ke bilik.
“Memang dia keluar dengan Prof. Dr. Ismadi.” Jawab Syazwina mengiyakan sahaja. Dia memandang wajah Safura yang menyinga. Dia rasa hairan dan pelik. Menurut Alyssa Delaila, Safura sudah memberikan restu perhubungan mereka, tetapi mengapa kini wanita itu mengamuk?
“Dia tak balik malam tadi? Dia ke mana?”
“Saya tak tahu makcik!” Jawab Syazwina.
“Apa yang kau tahu? Sebagai kawan sebilik dan kawan baik, tolonglah nasihatkan sikit Laila tu. Kenapa kau diam saja? Berikan sikit nasihat tak bolehkah? Susah sangatkah?” Syazwina menggigit bibir. Ehhh… Aku pulak yang disalahkan, apa hal? Rungut hatinya sendiri.
Tiba-tiba Alyssa Delaila muncul di ambang pintu. Dia terkejut melihat Safura yang ada di dalam kamarnya. Lidahnya kelu dan mukanya pucat lesi.
“Engkau ke mana? Sekarang baru balik? Kau ingat ibu tak ada depan mata, kau boleh buat tak senonoh? Kau boleh buat sesuka hati?” Tidak sempat dia bersuara apa-apa, Safura mendekati dan terus menampar pipinya dengan kuat. Alyssa Delaila terus jatuh terjelepuk ke lantai. Bibirnya berdarah. Pipinya terasa amat perit. Dia memegang pipinya sambil mengaduh kesakitan.
“Inikah janji engkau dengan ibu Laila? Nak belajar rajin-rajin kononnya… Nak hadiahkan kejayaan engkau pada ibu. Tapi bila jumpa jantan tua tak guna tu engkau lupa diri… Engkau lupa segala-galanya? Engkau tidur dengan dia semalam? Engkau memang tak tahu malu!!!” Tubuh Alyssa Delaila yang terduduk di lantai itu disepaknya bertalu-talu. Dia benar-benar dirasuk rasa marah yang amat sangat. Kata-kata Fuad malam tadi kembali terimbas di kepalanya, membuat dia menjadi semakin berang; “Makcik… saya tak tahu apa nak kata. Laila ikut lelaki tu, bermalam di hotel. Makcik nak nasihatkan Laila pun dah terlambat!”
Safura tidak sempat menjawab apabila Fuad mematikan telefon bimbitnya. Hati Safura benar-benar terbakar, dia enggan menerima sebarang penjelasan. Semuanya satu pembohongan. Alyssa Delaila menangis kesakitan. Dia tergolek di atas lantai, tidak tertangiskan dirinya. Safura juga menangis kesal. Melihat tubuh anaknya terhinggut-hinggut menangis di lantai, dia turut merasa belas. Tetapi hatinya sakit… Dia tidak sangka Alyssa Delaila sanggup memalukannya seperti ini.
Safura duduk di atas katil, cuba untuk menenangkan dirinya sendiri. Tidak lama kemudian dia berkata; “Kemas kain baju engkau Laila. Lebih baik engkau berhenti belajar. Ibu rasa sia-sia saja ibu habiskan duit…”
“Ibu! Ibu… Tolonglah jangan buat begini!” Alyssa Delaila merangkak ke arah ibunya, lantas memegang lutut wanita itu. “Berilah Laila peluang untuk buktikan pada ibu. Laila tak buat apa-apa dengannya. Tidak ibu… Laila masih suci. Beri Laila peluang ibu…”
Safura menggelengkan kepalanya. “Engkau mengkhianati kepercayaan yang telah ibu berikan. Sekarang kemas kain baju engkau, balik ke rumah. Jangan harap engkau akan belajar di sini lagi. Kali ini ibu benar-benar serius… Kalau engkau tak ikut cakap ibu… Tahulah nasib engkau!”
“Ibu! Tolonglah ibu… Tolonglah!” Rayu Alyssa Delaila bertalu-talu. “Tinggal setahun lebih saja lagi ibu…Tolonglah benarkan Laila teruskan pelajaran Laila ibu. Jangan buat begini, demi masa depan Laila.”
“Tahu pun engkau sebut pasal masa depan. Tapi masa engkau ikut jantan tu ada engkau ingat pasal masa depan? Ada engkau fikirkan akibat perbuatan engkau tu? Ada engkau fikir tentang perasaan dan harapan ibu? Tentu tak ada kan? Engkau hanya ikut nafsu dan perasaan engkau saja. Engkau hanya cari kepuasan diri engkau saja…”
“Makcik… Berilah peluang pada Laila. Tinggal setahun lebih saja lagi makcik!” Sampuk Syazwina yang sejak tadi diam saja.
“Engkau diam Sya! Engkau pun sama saja dengan dia. Engkau sokong dia selama ini kan? Itulah yang dia menjadi-jadi sangat! Aku pun dah lama nak marahkan engkau. Sekarang ni engkau pun aku tak izinkan berkawan dengan dia lagi. Cepat! Kemas kain baju engkau sekarang juga Laila. Balik sekarang juga!”
Alyssa Delaila menyeka airmatanya yang memenuhi wajah, perlahan-lahan bangun menuju ke almari. Satu demi satu pakaiannya dimasukkan ke dalam beg. Ibu kejam… bisik hatinya bersama esakan. Ibu langsung tak beri peluang. Ibu langsung tak mahu dengar penjelasan Laila. Tiada apa-apa yang berlaku pada kami malam semalam. Benar, aku tidur di hotel itu tetapi bukan bersamanya. Kami tinggal di bilik berasingan…
Airmatanya semakin lebat mengalir di pipi. Tangannya ligat mengemas. Dia menjeling Syazwina yang meninggalkan bilik itu lantas pergi ke kamar sebelah. Dari manakah ibunya tahu pertemuannya dengan Prof. Dr. Ismadi? Dari manakah wanita itu tahu dia tidak pulang? Apakah Syazwina yang memberitahunya? Tidak! Tidak mungkin Syazwina menghubungi ibunya? Kalau bukan dia… siapa? Fuad… Dia yakin itu adalah perbuatan Fuad.
Alyssa Delaila ingin menahan Syazwina dari keluar tetapi dia tidak dapat berbuat demikian. Safura terus mengawasi dirinya. Biarpun ibunya tidak berkata-kata tetapi dari wajahnya yang masam mencuka dan matanya yang liar itu Alyssa Delaila tahu kemarahan emaknya masih belum surut.
“Bagi sini handphone engkau!” Kata Safura semasa mereka sudah berada di rumah.
“Handphone? Ibu nak buat apa?” Dahi Alyssa Delaila berkerut.
“Mulai hari ni engkau tak ada handphone lagi. Semua kemudahan yang ibu beri, ibu nak ambil semula. Engkau juga takkan ada duit belanja. Kalau engkau nak duit, carilah sendiri. Sekarang engkau hanya ada tempat berlindung saja…” Kata Safura dengan suara tegas. Airmata Alyssa Delaila kembali tergenang. Tidak disangka dia akan dihukum sebegitu rupa.
“Selama ini memang aku salah…” Kata Safura. “Aku beri engkau terlalu banyak kasih sayang. Terlalu memanjakan engkau sampai engkau pijak kepala aku. Mulai hari ni, aku takkan beri itu semua lagi…Kalau engkau masih anggap aku ni ibu engkau, engkau mesti belajar melupakan professor tua tu dan menerima Fuad sebagai kekasih!”
“Ibu… Maafkan Laila ibu!” Rayu Alyssa Delaila sambil memaut betis Safura. Safura hanya berdiri mematung. Lama kemudian baru dia bersuara; “Mahu engkau berjanji untuk melupakan dia?”
Alyssa Delaila memandang tepat ke muka ibunya. Mata mereka saling bertentangan. Biarpun dia tidak sanggup untuk menunaikan permintaan Safura, tetapi kepalanya terangguk juga. Airmatanya kembali deras mengalir.
“OK.” Safura mengangguk. “Kalau engkau dah buktikan bahawa engkau mahu melupakan Professor tua bangka tu, aku akan pulangkan handphone engkau. Tapi sebelum tu, aku akan simpan dulu, sehingga semua ini reda…”
Safura meninggalkan Alyssa Delaila sendiri. Dia menapak naik ke bilik tidurnya bersama iringan pintu yang ditutup kuat.
HATI Safura sedikit puas. Alyssa Delaila menurut segala apa yang diingininya. Biarpun dia pernah berkata tidak akan melakukan kekerasan ke atas anak itu, tetapi aduan Fuad amat menyakitkan, menyiat-nyiat tangkai hatinya. Dia tidak dapat melupakan semua itu begitu sahaja. Dia jadi semakin membenci Prof. Dr. Ismadi.
Baru sejurus dia membaringkan tubuh di atas tilam, telefon bimbit Alyssa Delaila berbunyi nyaring. Dia terkejut apabila terlihat nama Prof. Dr. Ismadi yang terpapar di skrin. Dia pantas menekan punat tetapi tidak bersuara apa-apa. Dia ingin mendengar apa yang diucapkan oleh Prof. Dr. Ismadi.
“Hello Laila.” Seru lelaki itu perlahan. Lembut dan mengasyikkan. Safura agak tersentak, tidak dapat menafikan bahawa suara itu amat mersik dan romantis. Memang dasar playboy tua! Gerutunya sendiri, tetap marah biarpun telinganya disapa dengan nada suara yang amat lembut menusuk. Kemudian dia cepat-cepat tersedar bahawa seruan itu bukan ditujukan kepadanya.
Dia mendengus, tidak ingin menjawab apa-apa.
“Apa khabar Laila…” Seru Prof. Dr. Ismadi.
Safura mendengus lagi lebih kuat. “Mengapa Laila balik tergesa-gesa, tak sempat memanggil saya? Lelapkah tidur malam tadi? Laila rasa takut tinggal seorang di bilik tu? Maaflah… Tidak sepatutnya saya bawa keluar malam semalam. Majlis begitu memang selalu berakhir lewat malam. Saya berjanji lain kali saya tidak akan ajak Laila ke majlis itu lagi sebelum mendapat keizinan daripada ibu Laila.”
Dia agak terkejut. Benarlah bahawa mereka bukan tinggal sebilik. Kini Prof. Dr. Ismadi sendiri menyesali perbuatannya mengajak Alyssa Delaila ke majlis yang dikatakanya.
“Laila… Hari ni saya nak balik semula ke Kota Kinabalu. Kita keluar sekejap, sebelum saya balik. Ada yang ingin saya katakan… Sebenarnya sejak semalam lagi saya ingin katakannya pada Laila, tapi kita bertengkar pula. Memang saya rasa perlu untuk jelaskan rasa hati saya pada Laila.”
Prof. Dr. Ismadi mengeluh kemudian berkata lagi; “Laila… Saya memang sayangkan Laila lebih dari segalanya. Malah sanggup saya berikan nyawa saya sekalipun. Laila… Tolonglah fahami hati saya Laila. Saya tak mahu kehilangan Laila…” Prof. Dr. Ismadi mengeluh perlahan.
“Laila… Kenapa diam saja?” Prof. Dr. Ismadi bertanya lembut.
“Laila…” Serunya perlahan.
“Laila ke ni? Atau siapa?” Dia mulai ragu dan percaya bukan Alyssa Delaila yang mendengar kata-katanya sebentar tadi.
“Ibu Laila di sini!” Kata Safura dengan suara yang keras dan tegas.
Ya Tuhan! Keluh Prof. Dr. Ismadi. Dia diam tidak terkata. Tangannya terasa berpeluh. Dia malu. Rupa-rupanya dia bercakap dengan Safura. Mengapa Safura tidak bersuara apa-apa, membiarkan dia bercakap sendiri… Alangkah malunya dia.
“Awak nak ajak Laila bertemu. Lebih baik sekiranya kita berjumpa tanpa pengetahuan anak saya. Saya juga ingin katakan sesuatu pada awak, Encik Ismadi.”
Prof. Dr. Ismadi terdiam. Lama. Dia belum mengambil keputusan.
“Mana Laila?” Dia bertanya.
“Dia ada di rumah sekarang. Buat masa ni saya tak benarkan dia berhubung dengan sesiapa. Saya juga dah berhentikan dari belajar. Semua salah awak! Awak rosakkan masa depan anak saya…”
Prof. Dr. Ismadi terdiam mendengar tuduhan Safura. Jadi Safura sudah tahu malam semalam Alyssa Delaila tidak pulang.
“Barangkali benar, ada kesalahan saya tetapi bukan semuanya! Awak tak patut berhentikan dia belajar. Itu masa depannya.” Kata Prof. Dr. Ismadi. “Saya rasa memang patut kita berjumpa untuk jelaskan segalanya.”
“Patut atau tidak, itu hak saya. Dia anak saya, milik saya dan bukannya milik awak, Encik Ismadi.” Sahut Safura gagah. “Saya juga hendak katakan sesuatu pada awak, Encik Ismadi. Di manakah kita patut bertemu?”
Prof. Dr. Ismadi diam berfikir kemudian barulah memberikan jawapannya.
MEREKA bertemu di sebuah restoran di Jalan Ipoh. Safura keluar sendirian, tanpa memberitahu Alyssa Delaila ke manakah dia hendak pergi. Gadis itu mengurung diri di kamar. Ketika Safura menjenguk dia mendapati Alyssa Delaila sedang tidur. Bagus! Bisik hatinya. Barangkali malam tadi dia tidak lelap tidur.
Biarpun dia rasa tindakannya menghukum Alyssa Delaila itu agak keras dan kejam, tetapi dia tidak punya jalan lain untuk menghalang perhubungan mereka. Biarpun Prof. Dr. Ismadi berada jauh di mata, mereka sentiasa berhubung. Dan lelaki itu kerap kali balik ke Semenanjung. Dia tidak dapat menghalang. Sesungguhnya dia akan kalah dan akhirnya harus menerima segala-galanya. Itulah yang tidak sanggup dia lakukan.
Prof. Dr. Ismadi sudah lama menunggu ketika dia tiba. Safura berjalan ke arahnya. Langkahnya teratur. Dia lihat Prof. Dr. Ismadi berpakaian simple sekali. Hanya jean dan t.shirt putih berkolar, dipadankan pula dengan jaket jean. Rambutnya kemas tersisir, kelihatan masih basah. Sebuah beg kecil ada di sisi bersama sebuah komputer bimbit. Benar, lelaki itu akan pulang ke Sabah pada hari itu sebagaimana yang dikatakannya.
“Apa khabar puan?” Dia menegur terlebih dahulu, tersenyum melupakan perbualan mereka yang penuh dengan ketegangan sebelum pertemuan itu. Dia bangun ketika Safura tiba berdekatan dengan meja. Bila Safura duduk, barulah dia ikut duduk. Safura tidak menjawab pertanyaannya itu. Dah nampak aku datang sihat walafiat, apa perlu bertanya khabar lagi… gerutu Safura di dalam hati.
Prof. Dr. Ismadi melambai memanggil pelayan. Safura hanya memesan minuman apabila ditanya pelayan. Tidak ingin dia memesan makanan apa-apa, kerana dia tahu semuanya akan dibayar oleh lelaki di hadapannya itu.
“Baiklah…” Kata Prof. Dr. Ismadi memulakan perbualan. “Tak perlu kita memanjangkan cerita. Direct to the point aje… Tujuan pertemuan kita hari ni…” Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya Safura menyampuk; “Saya mahu awak putuskan perhubungan awak dengan anak saya. Awak ni jenis lelaki yang tidak tahu malu, miang dan gatal, masih ada hati hendak bercinta dengan gadis muda macam anak saya. Dah tak ada perempuan yang sebaya dengan awak lagi?”
“Nanti dulu… Janganlah cepat melenting puan…” Kata Prof. Dr. Ismadi cuba menyabarkan Safura.
“Saya dah tak ada apa-apa lagi yang hendak saya katakan… Saya hanya minta awak jangan hubungi anak saya lagi.” Katanya sambil berpeluk tubuh. Minuman yang baru dihantar pelayan tidak dihiraukannya. Dia bukan datang untuk minum, hanya untuk melepaskan kemarahan yang masih belum reda melanda dirinya.
Prof. Dr. Ismadi menggelengkan kepalanya. “Bertenanglah puan. Dengarlah dulu apa yang hendak saya katakan…”
“Jangan nak pujuk-pujuk saya. Saya tak sudi dengar kalau awak hendak merayu dan meneruskan niat awak untuk menggoda dan memikat hati anak saya…”
“Ya Allah…” Seru Prof. Dr. Ismadi sambil menepuk dahinya. “Bolehkah awak diam dulu sekejap Puan Safura? Biar saya yang bercakap pula?” Suara Prof. Dr. Ismadi meninggi sedikit, kerana Safura asyik menyerangnya sahaja tidak sempat dia hendak membela diri. Kalau cara berlembut gagal dilaksanakan dia pun tahu menggunakan kekerasan, cuma cara itu adalah cara terakhir yang akan dilakukannya.
Safura tersentak mendengar suara lelaki itu yang sedikit keras dan tegas. Matanya memandang tepat ke dalam mata Safura. Dia merengus sambil menanggalkan kaca mata lantas mencampakkannya ke atas meja. Bibirnya menggertap geram. Mata Safura tertanjap ke dalam mata Prof. Dr. Ismadi. Ehhh… Matanya berwarna coklat cerah… Bisik hati Safura tiba-tiba. Matanya cantik tanpa cermin mata tersebut.
Bibir Prof. Dr. Ismadi masih menggertap marah. Dia mencengkam tangan Safura yang berada di atas meja sambil berkata; “Beri saya peluang bercakap bagi pihak diri saya sendiri. Saya bukannya hendak menyatakan saya baik. Saya tahu saya bukan lelaki yang baik yang awak inginkan untuk anak awak. Kalau saya jadi awak pun, saya akan menentang perhubungan ini habis-habisan.”
Sentuhan kulit tangan Prof. Dr. Ismadi di lengannya begitu kuat, membuat Safura diam dan tidak berupaya untuk bersuara. Dia menggigit bibir, berharap cengkaman itu dilepaskan segera. Dia tidak suka pada sentuhan itu. Dadanya bergetar. Dia benci merasakan degup jantungnya yang kuat. Dia rasa sakit tiba-tiba. Tidak pernah dirasakan perasaan itu. Dia tunduk sambil cuba merentap tangannya. Terlepas. Dia lega lantas meletakkan kedua-dua tangannya di atas riba.
“Puan…” Seru Prof. Dr. Ismadi. “Terima kasih kerana akhirnya puan sudi mendengar.” Dia diam beberapa ketika kemudian menyambung kata-kata yang terhenti; “Saya memang tidak pernah berangan-angan untuk memiliki cinta Laila. Tidak pernah. Saya tahu angan-angan itu akan punah. Saya tidak pernah juga menyimpan impian untuk mengahwininya. Impian itu akan hancur sebelum saya membinanya. Saya tahu dan saya pasti tentang itu. Saya tidak pernah juga menyimpan harapan bahawa kami akan bersama… Memang cinta itu indah. Dicintai dan menyintai…” Katanya perlahan, diam meneguk minumannya beberapa ketika kemudian berkata lagi; “Apakah awak akan meninggalkan keindahan yang telah awak kecapi? Tentu tidak. Sebab ianya sangat perit… Sangat pedih untuk melupakan segala keindahan yang telah dikecapi Puan Safura. Tetapi demi masa depan orang yang saya sayangi, saya akan melukakan hati saya sendiri dan hati dia. Saya rela. Saya memang ingin memutuskan perhubungan ini.”
Safura ingin berkata sesuatu tetapi Prof. Dr. Ismadi mengangkat ibu jarinya, menggoyangkan kepala memberikan isyarat bahawa dia belum habis berkata-kata; “Awak tak perlu risau tentang saya… Saya memang mahu mengakhiri perhubungan ini. Percayalah! Awak tak perlu bimbang. Awak hanya perlu bimbangkan anak awak… Saya berjanji perhubungan ini telah pun berakhir.” Dia meneguk minumannya sehingga habis.
“OK. Ada apa-apa yang awak hendak cakapkan?”
Safura menggeleng.
“Kalau dah tak ada apa-apa… Saya pergi dulu. Saya akan terbang balik ke Sabah. Semoga kita semua tak perlu berjumpa lagi!”
Prof. Dr. Ismadi mencapai beg dan komputer bimbitnya. Dia bangun, meninggalkan meja dan terus berjalan keluar. Safura memerhati langkah lelaki itu. Masih cergas. Dia berjalan tegak, tangkas bagaikan harimau jantan yang lincah menerokai belantara. Dari cermin sisi meja dia melihat lelaki itu menahan sebuah teksi. Segera pula tubuhnya hilang ke dalam perut teksi yang bergerak meninggalkan jalan itu.
Safura termenung beberapa saat. Suara pelayan yang menghantar bil mengejutkannya. Dia sedar bil itu harus dilunaskan. Safura turut melangkah keluar meninggalkan restoran itu bersama hati dan fikiran yang lega.
Bab 24
APAKAH hidupku akan sia-sia seperti daun yang kering ini… Fikir Alyssa Delaila sambil merenung daun kering yang ada di atas telapak tangannya. Setiap Sabtu dia ke situ sejak tiga bulan yang lalu. Kehidupan kampus sudah lama ditinggalkannya. Pun perhubungannya dengan Safura sudah semakin pulih. Ibunya mulai memberikan dia kebebasan untuk keluar ke mana-mana. Dia turut memberikannya wang saku, walaupun tidak banyak namun cukup untuk dia keluar ke taman tasik itu.
Di sini ada kenangan… Bisik Alyssa Delaila bagaikan berkata-kata pada daun yang kering, menggerekot di atas telapak tangannya itu. Daun itu berlubang-lubang dan hampir-hampir pula pecah, meninggalkan batang dan urat-uratnya yang halus bagaikan benang. Dia tahu daun itu tidak akan bertahan walaupun untuk sehari lagi. Namun hidupnya tidak begitu mudah. Setiap hari rasa terseksa. Jika dulu dia bebas ke mana-mana, gembira bersama kawan-kawan kini dia sendiri tidak punya sesiapa.
Dia rindukan kehidupan dulu, bersama Syazwina menghadiri kuliah dan kelas. Menghadapi buku-buku dan assignment. Kini apabila berada di hadapan komputer, tiada satu idea pun yang mampu dikeluarkan. Ada sebuah skrip yang tidak mampu disudahkan. Bilakah dia akan menyiapkannya dia pun tidak tahu.
“Apa guna direnung daun kering tu, ianya takkan jadi hijau semula!” Tegur satu suara membuat Alyssa Delaila berpaling secepat kilat. Sudah lama dia tidak mendengar suara itu. Dia seperti tidak percaya melihat anak muda itu berdiri di hadapannya. Anak muda itu tersenyum. Senyuman yang sudah lama tidak dilihat dan dinikmati. Mengapa hari itu mereka harus bertemu? Mengapa kini dia menegurnya dengan mesra? Bukankah dulu dia berhasrat sekali untuk melupakan persahabatan yang pernah terjalin.
“Hai…” Tegurnya lagi apabila melihat Alyssa Delaila hanya membisu.
“Boleh duduk di sini?”
“Duduklah. Bangku ni hak kerajaan tak dikenakan sebarang bayaran…”
Dia tertawa lantas duduk.
Alyssa Delaila membuang daun kering yang tadi direnungnya. Dia rasa malu. Kalaulah Haiqal tahu bahawa dia menyamakan dirinya bagaikan daun kering itu… alangkah malunya. Dia seolah-olah orang yang sudah berputus asa untuk hidup semata-mata kerana cinta yang kecundang. Haiqal juga pernah kecundang dalam meraih cintanya tetapi hidup lelaki itu tetap ceria.
“Alyssa Delaila… Lamanya kita tak jumpa. Apa khabar kau sekarang?”
“Aku baik-baik saja, Haiqal. Kau pula apa khabar?”
“Aku juga OK.” Balas Haiqal meneruskan senyuman. “Aku lihat sejak kebelakangan ni kau selalu ke sini.”
Alyssa Delaila memandang Haiqal, langsung tidak menduga lelaki itu tahu apa yang dia lakukan. “Macamana kau tahu?”
“Sebab aku selalu ke sini… Sebenarnya kau duduk di bangku kegemaran aku!” Katanya ketawa. “Di sini walaupun tidak banyak, tetapi ada kenangan manis…” Kata Haiqal bagaikan sengaja hendak mengusik hati Alyssa Delaila.
Alyssa Delaila mengangguk. Dia memandang jauh ke arah tasik yang tidak beriak. Airnya membiru jernih.
“Aku lihat kau semakin kurus, langsung tak ceria. Teruk sangatkah belajar?” Tanya Haiqal.
Alyssa Delaila memandang Haiqal, menggeleng lemah. “Aku dah berhenti belajar.”
“Berhenti?” Haiqal nampak terkejut.
“Ya.” Kata Alyssa Delaila perlahan. “Dah tiga bulan lebih duduk di rumah. Tak buat apa-apa. Hidupku sekarang amat membosankan. Aku mahu melupakan segala yang telah berlaku, memulakan sesuatu yang baru tetapi amat sukar… Terlalu sukar Haiqal! Tiba-tiba aku rasa hidup ku ini macam dah tak bererti.”
Haiqal hilang kata-kata beberapa saat, cuba meneka apa yang berlaku. Dia kecewa. Suatu masa dulu Alyssa Delaila mengecewakan hatinya, kini kekecewaan itu menimpa diri gadis itu pula. Itulah yang dinamakan putaran hidup, setiap orang pasti merasainya. Saat-saat gembira yang dipinjamkanNya telah diambil semula. Lantas kini kesedihan pun mengambil tempat. Tetapi itu semua akan berakhir. Musim sentiasa bertukar ganti. Begitu juga hidup manusia.
“Kau pasti dapat melakukan apa saja, sekiranya kau mahu melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” Kata Haiqal.
“Barangkali kau betul. Aku tak bersungguh-sungguh mahu melakukannya, justeru itulah aku menemui kegagalan.” Aku gagal untuk melupakan papamu, Haiqal! Bisiknya di dalam hati. Kini kerinduanku telah memakan diri. Aku tidak perlukan apa-apa… Pertemuan antara kita bagaikan ubat yang mengasyikkan yang membuat aku membayangkan engkau adalah dia yang sangat kurindu.
Haiqal diam. Alyssa Delaila juga begitu. Serentak mereka saling berpandangan. Saat itu bayangan Prof. Dr. Ismadi melintasi. Alyssa Delaila memejamkan mata. Tidak… Bisik hatinya. Jangan jadikan Haiqal sebagai bayangan Prof. Dr. Ismadi yang hilang dari hidupnya. Tetapi dia tidak dapat menahan diri. Dia menghulur tangan, mencapai tangan lelaki itu lantas menggenggamnya dengan erat. Matanya memejam.
Haiqal kaget. Dia tidak mengerti mengapa Alyssa Delaila menggenggam tangannya. Pegangan itu terasa begitu erat. Ada rasa menjalar dalam hatinya. Dia juga rindukan sentuhan itu. Tetapi ini semua sudah salah… bisiknya lagi tidak mengizinkan itu semua berlaku.
“Pernahkah kau jumpa dia? Dia ada balik?” Tanya Alyssa Delaila tidak dapat menahan dirinya lagi.
Haiqal menggeleng. “Tidak pernah balik…” Jawab Haiqal mulai mengerti.
“Aku sangat rindukan dia.” Kata Alyssa Delaila tanpa rasa malu.
Haiqal meneguk airliur pahit. Kata-kata itu biarpun amat sakit tetapi dia harus menerimanya. “Kenapa tidak kau hubungi dia? Atau pergi menemuinya?”
“Dia dah tinggalkan aku tanpa sebarang pesanan.”
Haiqal diam.
Lelaki itu telah membuangnya… Lelaki itu telah memutuskan setiap bentuk perhubungan yang ada antara mereka. Dia sebenarnya tidak mengerti apa yang terjadi antara mereka. Sehingga kini dia masih tertanya-tanya apakah salah dan dosanya? Prof. Dr. Ismadi meninggalkannya begitu saja, tanpa sebarang berita dan pesanan.
“Oklah… Aku pergi dulu!” Tiba-tiba Haiqal meminta diri sambil memerhati jam di pergelangan tangannya.
Alyssa Delaila mengangguk, memerhati lelaki itu melangkah pergi. Akhirnya mahu juga dia menegurku… Lantas mendengar suara hatiku! Bisik hatinya sendiri. Demikian lama dia menjeruk rasa. Marah dan merajuk. Haiqal, hubunganku dengan papamu telah pun berakhir, yang tinggal kini hanya sebuah kenangan penuh luka…
Alyssa Delaila turut pulang tidak lama kemudian. Petang kian larut. Hampir menjelang senja baru dia tiba di rumah. Dahinya berkerut apabila terlihat kereta wira putih milik Fuad ada di hadapan pagar. Alyssa Delaila berjalan perlahan-lahan. Dari luar dia mendengar suara Safura berkata; “Tolonglah Fuad. Hanya pada engkau saja yang boleh makcik harapkan. Mahukah kau menerima Laila?”
Fuad tidak menjawab. Dada Alyssa Delaila berdebar-debar. Dia rasa malu mendengar permintaan dan rayuan Safura itu. Mengapa Safura harus bertindak begitu? Di manakah harga diri dan maruahnya harus dicampakkan? Mengapa mesti Safura merayu Fuad supaya menerima dirinya.
Dia langsung tidak sangka ibunya sanggup merayu Fuad begitu. Dia bagaikan anak dara tidak laku, dibuang bagaikan sampah. Begitu hinakah dirinya?
“Saya tak tahu makcik.” Jawab Fuad perlahan.
“Mengapa tak tahu pula? Bukankah kau memang sukakan Laila? Dulu engkau mengakui sendiri sukakan Laila dan mahu memperisterikannya.”
“Ya… memang saya sukakan dia. Tapi dia cintakan Prof. Dr. Ismadi. Apa yang boleh saya buat lagi? Saya tak suka memaksa dia supaya menerima saya, makcik.”
“Dengar sini Fuad! Dia dah lupakan Professor tua tu! Sejak berhenti dari belajar dia dah berubah. Lelaki tu sendiri mengaku akan tinggalkan Laila. Kami bertemu sebelum dia balik ke Sabah.”
Fuad diam.
Alyssa Delaila terkejut. Rupa-rupanya Safura tahu segala-galanya. Ibunya bertemu dengan Prof. Dr. Ismadi lantas memutuskan perhubungan mereka. Ibu keterlaluan! Melampau! Sampai hati ibu lakukan ini semua. Sampai hati ibu menyeksa hati dan anak ibu sendiri. Jerit batinnya namun tiada suara yang terluah.
“Minggu depan suruh emak engkau masuk meminang. Jangan bimbang makcik terima dengan senang hati.”
Alyssa Delaila terkejut mendengar kata-kata ibunya. Dia benar-benar kecewa kerana Safura ingin menjodohkan dia dengan Fuad. Alyssa Delaila menerpa masuk ke ruang tamu itu. Safura terperanjat melihat dia muncul secara tiba-tiba, tetapi ibunya tidak berkata apa-apa. Alyssa Delaila menjeling masam ke arah Safura, kemudian berlari-lari memanjat tangga untuk naik ke biliknya. Fuad hanya diam memerhati. Sudah jelas baginya Alyssa Delaila tidak menghargai kehadirannya di rumah itu. Tidak lama kemudian dia meminta diri untuk pulang.
Safura tidak dapat menghalang. Dia tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan untuk memujuk anak muda itu supaya menuruti kehendak hatinya. Alyssa Delaila menghempas pintu bilik sekuat hatinya. Safura tersentak. Dia turut mendengar bunyi barang-barang pecah. Safura berlari naik ke tingkat atas, menuju ke bilik Alyssa Delaila.
Pintu bilik berkunci dari dalam. Alyssa Delaila sedang mengamuk. Bunyi benda-benda jatuh terdengar kuat. Safura mengurut dada. Dia tidak sangka Alyssa Delaila mendengar semua kata-katanya sebentar tadi. Dia tidak berani untuk mengetuk pintu bilik anak gadisnya itu. Dia tahu Alyssa Delaila sedang marah. Safura mulai rasa bersalah terhadap apa yang telah dia lakukan…
Safura turun ke ruang tamu. Dia menunggu Alyssa Delaila tenang semula barulah dia akan mengetuk pintu bilik tidur anaknya itu. Tidak lama kemudian suasana di bilik Alyssa Delaila kembali senyap. Dia memasang telinga. Terdengar bunyi pintu bilik dibuka perlahan dan derap kaki Alyssa Delaila yang menapak turun. Safura memandang. Dilihatnya Alyssa Delaila keluar dengan membawa sebuah beg yang disandang ke belakang. Isi beg itu kelihatan agak padat.
“Laila…” Dia menyeru perlahan. “Engkau nak ke mana?”
Alyssa Delaila tidak menjawab. Dia menjeling tajam pada ibunya yang kelihatan terkejut. Wajah Safura pucat. Dia yakin Alyssa Delaila hendak meninggalkannya. Apa yang harus dia lakukan? Tiba-tiba dia hilang semua kekuatan yang ada.
“Laila hendak pergi jauh dari rumah ni…”
“Mengapa Laila? Mengapa engkau hendak tinggalkan ibu?”
“Jangan tanya mengapa…” Sahut Alyssa Delaila dengan wajah tegang. “Laila tak sangka! Ibu sanggup lakukan ini semua. Laila rasa malu, ibu sanggup rayu Fuad supaya masuk meminang. Mana maruah dan harga diri Laila? Mengapa ibu buat macam tu? Apakah Laila dah tak laku, hingga ibu buat macam tu?”
“Laila… Ibu… hanya mahu kau bahagia nak…”
“Bahagia? Ibu tahukah erti bahagia? Bahagia bagi Laila adalah bila kita dapat bersama dengan orang yang kita sayangi. Tetapi kebahagiaan itu tidak lagi Laila miliki. Kadang-kadang Laila fikir, untuk apa lagi Laila hidup?”
“Laila… Jangan cakap macam tu… Ibu sayangkan kau. Ibu mahu kau hidup bahagia. Sebab itulah ibu lakukan ini semua.”
“Tidak…” Laila menggelengkan kepalanya. “Sebenarnya ibulah yang menghancurkan hidup Laila. Biarpun ibu yang memberikan Laila satu kehidupan, tetapi ibu jugalah yang memusnahkannya. Laila bencikan ibu…” Alyssa Delaila terus melangkah ke pintu dan menerobos keluar. Safura terpaku mendengar kata-kata anaknya, terutama sekali perkataan benci yang baru diucapkannya.
“Laila…” Seru Safura sendiri sambil menyapu airmata yang mengalir perlahan di pipi.
PROF. DR. ISMADI sedang bersiap-siap hendak keluar pada awal pagi itu. Dia tidak suka lewat menghadiri sesuatu majlis. Ketetapan masa amat dititikberatkan. Tetapi ketukan di muka pintu membuat dia terhenti dari mengenakan tali leher. Dia berjalan laju ke pintu depan lantas membukanya.
Di luar dia melihat seorang wanita. Dia kaget namun segera mengawal diri.
“Ada apa Puan Safura?” Dia bertanya dengan tenang biarpun dadanya bergelora hebat. Apakah yang akan terjadi? Dia kalut memikirkan barangkali akan terjadinya peperangan antara mereka.
“Laila ada di sini?” Tanya Safura lembut. Dia sudah puas mencari Alyssa Delaila yang sudah seminggu pergi meninggalkan rumah. Dia tidak tahu ke mana lagi harus mencari. Datang ke situ adalah usaha terakhir. Biarpun dia rasa malu tetapi dia harus juga datang ke rumah lelaki itu.
Prof. Dr. Ismadi tidak menjawab. Amat sukar untuknya berbohong. Berkata benar pula akan menjerat leher sendiri. Memang Alyssa Delaila ada di rumah itu. Sudah beberapa hari dia menginap bersamanya. Sudah puas dia menyuruh gadis itu pulang. Dia sendiri buntu. Barangkali kedatangan Safura akan menyelesaikan masalah yang melanda. Tidak sempat dia menjawab, Alyssa Delaila sudah pun berdiri di belakangnya.
“Laila ada di sini…” Jawab Alyssa Delaila dengan nada tegas. “Kenapa ibu datang ke sini? Jika ibu fikir ibu datang untuk pisahkan kami sekarang, itu tidak mungkin berlaku ibu! Tak mungkin! Sebab kami sudah berkahwin.”
Prof. Dr. Ismadi memandang Alyssa Delaila. Gadis itu membalas pandangannya mengharapkan pertolongan. Lelaki itu diam walaupun dia tidak begitu bersetuju dengan kata-kata Alyssa Delaila.
“Kahwin?” Safura terkejut. Dia memegang daun pintu, seluruh tubuhnya lemah. Dia terduduk di muka pintu. Prof. Dr. Ismadi berundur ke dalam. Alyssa Delaila berdiri dengan gagah tidak jauh dari ibunya. Dia tersenyum sinis, berjaya melukai hati ibunya. Jika selama ini Safura menyakiti hatinya, kini dia seperti hendak membalas dendam. Prof. Dr. Ismadi tidak ingin ikut campur biarpun perkara itu melibatkan dirinya.
“Ya, kami dah kahwin.” Jawab Alyssa Delaila dengan tegas.
Safura berusaha untuk bangun. Hatinya benar-benar kecewa. Dia tidak sanggup memandang muka Alyssa Delaila lagi. Dia terus bergerak pergi. Hatinya hancur berderai bagaikan kaca-kaca yang terhempas ke batu. Harapan yang ditanam sekian lama lebur lantas berterbangan pergi meninggalkannya. Jiwanya kosong. Dia tidak mahu berada di situ lagi. Dia bergerak menghala ke lif. Airmatanya kembali berkumpul semula di dalam kolam mata.
Sampai hati engkau buat ibu macam ni Laila… Engkau anak yang tidak mengenang budi. Anak durhaka… bisik hatinya tidak keruan.
“Kenapa Laila tipu ibu Laila macam tu?” Tanya Prof. Dr. Ismadi. Sesungguhnya dia memang tidak bersetuju dengan perbuatan Alyssa Delaila terhadap Safura. Dapat dirasakan batin Safura yang terseksa.
“Laila dah tak ada jalan lain… Dia datang untuk pisahkan kita, Is!”
“Laila… Terimalah kenyataan. Memang kita sudah berpisah. Bukankah sudah berkali-kali saya katakan kita tak boleh teruskan perhubungan ini. Sudah berapa kali saya suruh Laila balik saja… Tapi Laila berdegil. Apa yang dapat saya buat lagi? Sekarang keadaan dah jadi tambah buruk.” Kata Prof. Dr. Ismadi kesal.
“Jadi, Is memang benar-benar nekad inginkan perpisahan?”
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “Itulah yang terbaik kita lakukan Laila. Untuk semua orang. Perhubungan kita ni melukakan ramai orang. Haiqal dan ibu Laila tidak dapat menerimanya. Saya sendiri pun tidak dapat membayangkan jika kita teruskan perhubungan kita ini. Kita tamatkan saja Laila…” Pinta Prof. Dr. Ismadi.
Alyssa Delaila diam. “Sia-sia Laila datang dari jauh…” katanya perlahan.
Prof. Dr. Ismadi menggelengkan kepalanya. “Laila, dengar sini baik-baik… Baliklah. Minta maaf dengan ibu Laila. Teruskan pelajaran. Hanya itu yang dapat saya katakan.”
“Is tak cintakan Laila lagi?”
Prof. Dr. Ismadi terdiam mendengar pertanyaan itu. Lama dia termenung, akhirnya menggelengkan kepalanya. “Tidak.” Jawabnya sepatah. Dia yakin tidak akan menyesal mengucapkan kata-kata itu.
“Is bohong…” Alyssa Delaila tidak mahu percaya.
“Sebenarnya pada malam saya bawa Laila menghadiri majlis anugerah itu saya mahu memutuskan perhubungan kita. Saya mahu Laila melihat sendiri betapa antara kita ada jurang yang memisahkan. Saya sengaja mencipta sengketa, sengaja menyuruh Laila mendekati Damian…”
“Ohhhh…” Alyssa Delaila terkejut. Dia tidak menyangka betapa bodohnya dia kerana tidak menyedari semua tindakan lelaki itu yang mahu menyingkir dia dari kehidupannya.
“Tapi saya tak sangka Laila datang lagi ke mari. Untuk apa lagi Laila? Hubungan ini ditentang oleh keluarga Laila. Awak tidak perlu menyeksa diri… Tahukah awak Laila, cinta antara kita tiada indahnya lagi. Penuh dengan airmata. Semuanya dah jadi pahit, sepahit hempedu. Kalau kita benar-benar berkahwin, nanti airmata penyesalan pula yang akan mengalir. Sekarang pergilah sebelum terlambat… Tinggalkan tempat ini!”
Alyssa Delaila tidak dapat menahan dirinya dari menangis. Dia benar-benar tidak diperlukan lagi. Ini bukannya satu pembohongan. Prof. Dr. Ismadi benar-benar serius mahu memutuskan perhubungan mereka. Mengapa begitu lambat dia menyedari hakikat itu?
“Pergilah Laila… Pergi kejar ibu awak! Masih sempat lagi.” Kata Prof. Dr. Ismadi sambil melebarkan bukaan daun pintu.
Hatinya terasa pedih, namun terpaksa melepaskan Alyssa Delaila berlalu pergi. Biarlah dirinya dibenci. Dia hanya mahukan kebahagiaan dan kegembiraan buat gadis itu. Suatu masa pasti Alyssa Delaila akan tersedar. Ini semua hanya satu kesilapan… Masih sempat untuk dia memperbetulkannya.
Alyssa Delaila melangkah keluar.
Prof. Dr. Ismadi tidak sanggup memandang pemergiannya. Dengan sepantasnya dia menutup pintu semula. Akhirnya Alyssa Delaila meninggalkan dirinya bersama seribu luka. Biarkan. Luka itu akan sembuh oleh masa. Prof. Dr. Ismadi menggelengkan kepala. Dia tidak mahu Alyssa Delaila hadir semula dalam hidupnya!
Telefon bimbitnya berbunyi. Diskrin dia melihat nama Sonia.
“Ya.”
“Dah siap?” Tanya Sonia.
“Sudah.” Jawabnya sepatah.
“I tunggu you di bawah. Turun cepat!”
“Baik.”
Prof. Dr. Ismadi segera turun. Dia tidak akan membiarkan Sonia menunggu. Barangkali dia harus melakukan sesuatu terhadap perhubungan baik antara mereka. Memang sudah lama Sonia menunggunya, hanya dia yang pura-pura tidak tahu.
“DIA memang ada di rumah Prof. tu…” Kata Safura kesal, dipandangnya muka Mazni yang menantinya di dalam kereta. Hatinya amat risau memikirkan apa yang terjadi antara Alyssa Delaila dan Prof. Dr. Ismadi. Memang tindakan Alyssa Delaila benar-benar berani.
“Katanya mereka sudah bernikah.” Kata Safura sambil menyeka airmatanya. Dia benar-benar sedih di atas perbuatan Alyssa Delaila. Anak yang ditatang dan diberi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi akhirnya tetap mengecewakan dirinya. Mazni ikut terkejut dan berkata; “Betul ke?”
“Begitulah katanya.” Jawab Safura.
Mazni diam, turut terseret untuk memikirkan masalah kawannya. Bila difikir-fikir dia bersyukur tidak punya anak. Lantas kepalanya tidak berat memikirkan tentang masalah anak remaja yang amat sukar untuk dimengertikan. Dia tidak tahu mengapa persengketaan antara Safura dan Alyssa Delaila berlarutan hingga ke peringkat ini… Mengapa tidak Safura membiarkan sahaja Alyssa Delaila membuat keputusan masa depannya? Biarpun Alyssa Delaila itu anaknya, tetapi dia bukanlah barang yang tidak berperasaan. Berikanlah dia kebebasan untuk memilih dan mencari kehidupannya sendiri… Dia ingin memberikan Safura sedikit nasihat tetapi bimbang wanita itu tidak dapat menerimanya.
“Apa engkau nak buat sekarang?” Tanya Mazni.
“Aku nak balik.” Kata Safura perlahan, seolah-olah hanya pada dirinya sendiri.
Mazni mengangguk. Enjin kereta dihidupkan. Dia memandu perlahan meninggalkan kawasan parkir. Namun dia membrek mengejut, apabila terlihat sekujur tubuh Alyssa Delaila yang berdiri di hadapan keretanya. Terkejut bukan kepalang Mazni dibuatnya. Dia mengurut dada, jika tersilap sedikit sahaja tadi pasti dia sudah pun melanggar tubuh itu.
Safura ikut terkejut. Dia memerhati wajah Alyssa Delaila yang muram dipenuhi airmata. Rambutnya nampak kusut tidak terurus. Safura meluru ke luar dari kereta mendapatkan Alyssa Delaila. Muka anak itu direnungnya dengan penuh tandatanya.
“Laila nak balik dengan ibu…” Kata Alyssa Delaila.
Safura mengangguk. “Ya… Ya… Kita balik.” Kata Safura sambil memeluk anaknya dengan erat. Dia tidak bertanya apa-apa lagi. Dia yakin apa yang dikatakan oleh Alyssa Delaila tadi satu pembohongan. Dia memimpin Alyssa Delaila masuk ke kereta. Semasa dia hendak masuk ke kereta, dia terpandang Prof. Dr. Ismadi yang baru keluar dari perut lif dan sedang berjalan ke arah sebuah kereta yang menantinya. Kereta itu dipandu oleh seorang wanita.
Kini dia mengerti. Prof. Dr. Ismadi benar-benar sudah mengucapkan perpisahan pada Alyssa Delaila. Dia tidak perlu bimbang lagi… Perhubungan mereka benar-benar sudah berakhir.
Bab 25
JIKA hidup ini semudah memetik jari, sudah pasti tiada sesiapa pun yang akan menempuh penderitaan. Jika hidup ini semudah menulis di atas sekeping kertas, sudah pasti dia hanya akan menulis tentang bahagia sepanjang hidupnya. Tetapi hidup ini bukan semudah dan seindah yang dibayangkan.
Hati yang luka, tiada ubatnya. Meskipun berusaha untuk merawatnya, kelukaan itu sesekali akan tetap menghiris. Akan tetap menyakitkan. Kemudian akan mengalirlah airmata hangat di malam-malam sepi yang tidak diketahui oleh sesiapa. Meskipun dia tertawa dan bergembira, tetapi jauh di sudut hati kegembiraan itu hanya pura-pura. Dia tidak mudah melupakan orang yang pernah bertakhta di hati.
Bertahun masa yang berlalu, sesekali dia tetap teringat jua. Sesekali bila dia diusik rasa rindu untuk melihat wajah itu lagi, akan dibuka keratan-keratan akhbar yang mengandungi berita tentang lelaki itu. Walaupun tidak kerap, tetapi gambar dan berita tentang lelaki itu akan muncul di akhbar. Dia bercakap tentang karier, tentang filem dan tentang masa depan industri perfileman negara. Tetapi tidak pernah langsung disentuh soal peribadinya. Biarpun menggunung rasa ingin tahu yang terbit dalam hati Alyssa Delaila, dia tahu dia tidak mungkin dapat mengetahui apa-apa.
Hari ini dia menerima cincin pertunangan. Meskipun dia cuba tersenyum dan menerima dengan hati rela, namun ada kesedihan yang tidak mahu hilang. Dia tahu mengapa perasaan itu datang memburu. Dia tidak ingin dimiliki sebenarnya. Jika boleh dia ingin bersendirian. Tetapi sejak kebelakangan ini, Safura selalu menunjukkan muka muram dan tidak sihat. Menurut Safura tekanan darahnya naik lagi… begitu mendadak. Ibunya amat berharap dia segera bernikah. Usianya pun sudah 25 tahun. Dulu dia pernah menyimpan hasrat hendak bernikah pada usia 25 tahun tetapi kini walaupun telah menginjak usia tersebut, dia baru mengikat tali pertunangan. Entahkan jadi entahkan tidak menjejakkan kaki ke atas pelamin.
Dia memerhati ke arah tilam yang beralas cadar berwarna biru laut. Di atas katil masih terdapat dulang-dulang gubahan daripada bakal suaminya. Dia tiada hati hendak memandangnya pun! Cepat-cepat dia meletakkan dulang itu ke bawah katil. Di bawah masih terdengar suara sanak saudara yang masih ada menolong mengemas apa yang patut. Biarpun hanya kenduri kecil tetapi masih ada sahaja kerja yang belum selesai. Petang sudah pun larut, dia belum menunaikan salat asar.
Itulah asyik berangan tak sudah-sudah… rungut hatinya sendiri. Semasa mengangkat wuduk, dia memutar-mutar cincin di jari lantas meletakkannya di atas sinki. Dia terus mengangkat wuduk, kemudian menunaikan salat. Sebaik siap mengerjakan salat, handphonenya pula berbunyi minta dilayani. Alyssa Delaila menjangkau tangan mencapai handphone. Dia tersenyum sendiri apabila melihat di permukaan skrin.
“Ya… Ada apa?”
“Amboi! Macam tak suka aje aku call…”
“Bukan macam tu Fuad… Baru aje balik dari sini, dah call pula. Ada apa?”
“Dah bertunang, masih lagi panggil Fuad. Bila nak panggil abang?”
“Nantilah bila dah kahwin nanti, aku panggillah!” Jawab Alyssa Delaila sambil tergelak kecil.
“Yalah! Suka hati engkaulah. Aku tak nak paksa. Aku hanya nak tanya engkau sesuatu…”
“Apadia?” Tanya Alyssa Delaila.
“Laila, aku cintakan engkau. Tapi engkau tak pernah ucapkan yang kau cintakan aku… atau sayangkan aku. Aku nak sangat dengar kau cakap begitu…”
“Agh! Kita dah bertunang Fuad. Dah tentulah aku sayangkan engkau. Kalau tak, takkanlah aku terima pinangan engkau.”
“Manalah tahu engkau terima pinangan aku kerana emak engkau. Aku tak mahu bila kita kahwin nanti, engkau akan rasa terseksa kerana tidak menyintai aku. Aku juga tak mahu kasih sayang yang berbelah bahagi isteriku terhadap aku, Laila.”
“Aku juga begitu… Siapa yang mahu terseksa, terperangkap dalam sebuah perkahwinan yang tidak bahagia? Aku mengharapkan sebuah kebahagiaan yang abadi… selama-lamanya.”
“Terima kasih Laila kerana menerima aku seadanya.” Ucap Fuad sebelum mengakhiri perbualan itu. Alyssa Delaila tersentak mendengar ucapan Fuad. Dia masih merenung handphone di tangan, berharap apa yang dikatakan oleh Fuad itu benar belaka. Dia akan cuba sedaya upaya untuk menerima Fuad seadanya, sebagai seorang lelaki yang akan menjadi suaminya, melindunginya dan memberikan dia kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
“WAH! Berseri-serinya bakal pengantin ni…” Tegur Jamaliah rakan sepejabatnya. Dia tersenyum, sambil meletak beg tangan dan duduk di kerusi yang terletak berdekatan dengan meja Jamaliah.
“Mana cincin… Bagilah tengok!” Kata Jamaliah sambil matanya liar memerhati jari-jari Alyssa Delaila. Alyssa Delaila memerhati jarinya sendiri, baru teringat bahawa dia telah menanggalkan cincin tersebut semalam semasa dia hendak mengangkat wuduk. Dia terlupa hendak memakainya semula.
“Alamak! Aku terlupa… tertinggal kat sinki di bilik air semasa nak ambil wuduk.”
“Ehhh… Kata orang tak elok tanggalkan cincin pertunangan begitu. Petanda tak baik!”
“Agh! Aku tak percaya itu semua. Dah terlupa nak buat macamana?” Balas Alyssa Delaila. Hatinya sempat berdetak hebat. Tak jadi kahwin? Bisik hatinya. Akan terputuskah pertunangan yang baru semalam diikat? Dia menggelengkan kepala. Jangan sampai tidak jadi kahwin… Bisik hatinya tidak keruan. Dia pasti Safura akan kecewa jika dia tidak bernikah dengan Fuad. Sejak dahulu memang Safura sukakan lelaki itu. Dan Fuad pun tidak pernah putus asa mendampinginya sepanjang masa. Memang lelaki itu seorang yang penyabar. Apa lagi yang dia mahukan? Bukankah orang pernah berkata; cintai insan yang mencintai dirimu, nescaya kebahagiaan itu akan dapat kau miliki.
Memang dia masih belum melupakan kehilangan cintanya yang pertama… Amat perit dan pedih menerima kenyataan. Suatu masa dia pernah menolak cinta seorang lelaki, kemudian cintanya pula ditolak. Kini dia tidak akan menolak Fuad lagi. Biarkan seluruh cinta Fuad mengisi hidupnya yang kosong ini. Walaupun masih terasa bagaikan semalam dia meninggalkan Kota Kinabalu bersama airmata yang lebat membasahi pipi, kenyataannya lima tahun sudah pun berlalu.
Sepatutnya sepotong nama itu telah menjadi sejarah. Tetapi mengapa ianya sentiasa mengekori. Mengingatinya hati jadi tidak keruan. Ahhh… Dia tiba-tiba diamuk rindu. Lima tahun yang berlalu tidak berjaya mengubati lukanya. Tidak mungkin dia dapat melupakan Prof. Dr. Ismadi bersama kenangan yang melukakan itu.
“Hei! Termenung pula dia… kau tak ada assignment hari ni?”
“Errr… Ada… ada.” Jawab Alyssa Delaila sambil membuka organisernya. “Tapi lambat lagi pukul sebelas nanti. Ada beberapa artikel yang aku belum tulis lagi.” Katanya sambil tangannya pantas memetik suis komputer. Dia memerhati meja-meja rakan yang lain yang masih kosong. Barangkali mereka semua keluar. Kalau tidak, pasti bilik wartawan itu tidak akan sesunyi pagi ini.
“Aku pun ada assignment sekejap lagi…” Kata Jamaliah. “Aku tunggu si Kamil ni belum sampai-sampai lagi.” Kamil adalah salah seseorang jurufoto syarikat penerbitan itu. “Dah tahu jam, naik sajalah LRT…” Rungut Jamaliah kerana dia amat mengetahui punca kelewatan Kamil ke pejabat.
Alyssa Delaila menarik laci meja. Matanya terpandang fail kertas berwarna pink yang mengeram di situ. Spontan tangannya mencapai fail tersebut lantas membukanya. Keratan akhbar yang telah dikepil dengan kemas itu diselak satu persatu. Segalanya tersimpan dengan baik. Dia meneruskan menungan. Tidak sedar Jamaliah sudah pun berangkat pergi. Hanya tinggal dia keseorangan di bilik wartawan itu. Dia mengerling jam. Sudah tiba masa untuknya keluar juga… Dia tidak boleh berlengah-lengah! Ada kerja yang perlu dia selesaikan.
Semasa dia keluar dari lif, dia terlihat seseorang. Dadanya berdebar-debar. Tidak disangka dia ternampak wanita itu setelah sekian lama. Dia masih tidak berubah… Masih anggun dengan rambut keperangan, pendek dan kemas. Dia sedang berjalan menaiki tangga wisma itu. Alyssa Delaila terus melangkah, berharap wanita itu tidak perasan padanya. Mereka berselesihan. Tiba-tiba cermin mata hitam wanita itu terjatuh betul-betul di tepi kakinya. Alyssa Delaila hampir-hampir terpijak cermin mata tersebut.
Mereka saling berpandangan. Dia tidak dapat mengelakkan diri lagi. Mata wanita itu memandangnya tajam, seolah-olah cuba mengingati sesuatu. Alyssa Delaila cepat-cepat menolong dia mengutip cermin matanya lantas menyerahkannya semula kepada wanita itu. “Nah… Cermin mata puan.”
“Terima kasih.” Ucapnya sambil tersenyum.
Alyssa Delaila hanya mengangguk, meneruskan langkah tetapi terhenti apabila dia tiba-tiba bersuara; “Maafkan saya… Awak ni… Alyssa Delaila bukan?”
Wajah Alyssa Delaila merah padam. Apakah dia akan menafikannya?
“Ya…” Jawabnya sepatah.
“Awak tak kenal saya lagi? Saya Sonia… Ingat tak? Kawan Prof. Dr. Ismadi…”
“Ya.” Jawab Alyssa Delaila, terus dingin. Sebenarnya dia terasa tubuhnya membeku biarpun matahari sedang terik. Jam sudah beranjak ke angka sebelas pagi.
Alyssa Delaila pura-pura memandang ke wajahnya sekali lagi dan mengangguk. “Of course… Saya ingat.” Jawab Alyssa Delaila sambil tersenyum.
“Awak dah berubah. Hampir-hampir saya tak kenal tadi…” Kata Sonia sambil tergelak kecil.
Dan kau langsung tak berubah, dari jauh tadi aku sudah kenal dan cam rupa engkau… Kata Alyssa Delaila di dalam hati.
“Bekerja di sini?” Tanya Sonia ingin tahu, sambil matanya memerhati ke arah bangunan yang tersergam tinggi di belakang mereka. Alyssa Delaila mengangguk cuma, malas dia hendak melayan. Dia dapat merasakan bahawa Sonia dan Prof. Dr. Ismadi pasti masih bersama. Tidak berani dia hendak meneka status perhubungan mereka kini. Apakah dia tetap seorang sahabat kepada lelaki itu ataupun sudah menjadi isterinya?
“Maaf, saya nak cepat!” Kata Alyssa Delaila memohon diri. Dia tidak senang dengan pertemuan itu. Sonia berada di Kuala Lumpur, dia yakin Prof. Dr. Ismadi juga begitu. Dadanya sempat bergetar dengan kuat. Dia terus berlalu ke arah kereta yang parkir di hadapan bangunan. Dia tahu Sonia yang masih memerhati…
“CUBA teka siapa yang I jumpa semasa hendak bertemu dengan kawan I, editor majalah Glitter tadi?” Kata Sonia sambil menuang minuman ke dalam gelas lantas meletakkannya di hadapan Prof. Dr. Ismadi.
Lelaki itu mendongakkan mukanya, memandang acuh tak acuh sahaja. Kemudian matanya kembali menatap layar skrin monitor laptopnya dan jari-jarinya kembali menaip di atas permukaan keyboard.
“Siapa?”
Sonia ketawa, berjalan ke tingkap yang ada di ruang bilik yang luas itu. Tangannya memegang gelas minuman, matanya memandang ke luar, menyaksikan kereta yang berderet-deret di jalanan. Hujan renyai sedang turun melanda bumi Kuala Lumpur. Trafik jam semakin menjadi-jadi.
“Kenapa ketawa?” Tanya Prof. Dr. Ismadi. Dahinya berkerut. Dia memandang wanita itu yang masih memerhati ke luar tingkap. Hairan bercampur curiga. Sejak pulang dari menemui editor majalah yang juga kawan lamanya itu, Sonia agak berubah. Dia nampak sedikit gelisah.
“Ketawakan nasib diri I…” Kata Sonia masih memandang keluar. “Kita hampir-hampir bernikah suatu masa dulu. Kata you, mahu akhiri penantian I yang panjang. Tetapi tak jadi juga, mengapa ya?”
Prof. Dr. Ismadi agak terkejut mendengar Sonia tiba-tiba mengungkit hal tersebut.
“Jodoh.” Jawab Prof. Dr. Ismadi. “Jodoh kita tiada.”
“You hendak membujang terus? Sampai bila? Atau masih menunggu kalau-kalau dia kembali ke dalam hidup you?”
Prof. Dr. Ismadi menggelengkan kepalanya. “I dah pernah kahwin… Sekarang ni I lebih senang ber ‘sama’ dengan kerjaya I saja.”
“Kahwin dengan kerjaya you saja?”
“Cukuplah… Perkahwinan hanya sekali. I dah pernah memiliki seorang isteri. Dah ada anak-anak dan cucu. Itulah kebahagiaan sebenar. Yang lain-lain tu dah tak bererti lagi…”
“Alyssa Delaila?” Tanya Sonia, tidak dapat menahan dirinya dari menyebut tentang gadis itu. Spontan teringat pertemuan yang baru terjadi antara mereka. Keanggunan Alyssa Delaila benar-benar terserlah. Dia bukan lagi seorang gadis mentah tetapi telah tumbuh menjadi seorang wanita muda yang matang, cantik dan elegen.
Prof. Dr. Ismadi mengangkat kening, tersenyum pahit dan bertanya semula; “Jadi, tadi you jumpa dia?”
Sonia mengangguk lambat-lambat.
“Semakin cantik dan semakin menawan. Tak mahukah you jumpa dia?”
“Untuk apa lagi?” Tanya Prof. Dr. Ismadi pura-pura tidak acuh, tetapi dadanya sempat berdebar. Jari-jarinya tersalah menekan key. Dia mengeluh, meletakkan cermin mata lantas menyapu matanya yang letih. Alyssa Delaila… keluhnya sendiri. Dia tidak pernah melupakan seraut wajah itu. Raut wajah yang terlukis di hati, takkan mungkin dapat dilupakan.
“Untuk menyambung tali kasih yang terputus…”
“Semuanya dah berakhir, Sonnie. I pun dah lupakan dia lama dulu. I doakan kebahagiaannya, bersama orang lain walau di mana pun dia berada.” Kata Prof. Dr. Ismadi, mencapai cermin matanya semula dan cuba untuk kembali menaip di laptop.
Sonia terdiam mendengar kata-kata Prof. Dr. Ismadi. Dia bergerak perlahan keluar dari bilik lelaki itu. Di luar dia duduk menghadapi mejanya dan terpandang majalah Glitter yang baru dihadiahkan oleh Normah kepadanya. Dia terburu-buru membukanya dan terus meneliti ruangan redaksi majalah.
Matanya tertanjap ke bahagian EDITORIAL. Dia membaca satu persatu.
“Yes!” Bisiknya sendiri. Memang dia bekerja di majalah Glitter sebagai wartawan. Tapi Prof. Dr. Ismadi tidak boleh tahu hal ini! Biar dia tertanya-tanya sendiri. Jika benar dia masih mengenang dan mengingati gadis itu, pastilah dia akan nanar dan kesasar seperti dahulu! Berapa lama dia tidak berkarya. Hampir setahun baru hati dan perasaannya pulih. Bukan dia tidak tahu hati dan perasaan lelaki itu… Biarpun Prof. Dr. Ismadi sendiri yang memutuskan perhubungan dengan Alyssa Delaila, tetapi lelaki itu amat menderita…
Sonia menutup majalah yang ada di hadapannya lantas menyimpannya di dalam laci meja. Ada sesuatu yang sedang bermain dalam fikirannya saat itu. Tunggulah… Aku tahu apa yang harus dilakukan! Bisiknya sambil tersenyum sendiri.
Bab 26
“AKU ada dua tiket wayang free, siapa yang nak ikut?” Tanya Melissa sambil menggoyangkan tiket di tangannya. Semua yang ada di meja masing-masing memandang ke arah Melissa.
“Filem apa?” tanya Akmal.
“Filem Melayu… Cinta terlarang. Ianya adalah filem muzikal.”
“Hmmm… Tak minat.” Balas Akmal sambil mencebirkan bibirnya.
“Jangan cakap macam tu! Siapa tahu filem ni bakal meletup. Jadi filem terbaik tahun ini. Pengarahnya suatu masa dulu seorang yang berkeliber, berbakat besar dan pernah menghasil banyak filem-filem yang baik dan memenangi banyak anugerah dalam dan luar negara.”
“Siapa pengarah dan penulis skripnya?” Sampuk Fazli.
Melissa mengulum senyum mendengar pertanyaan Fazli.
“Walaupun tidak sehebat P. Ramlee, tapi aku rasa pasti kau pernah dengar nama Prof. Dr. Ismadi Salam.”
“Hei! Memang dia agak terkenal suatu masa dulu. Pernah juga berlakon kan?” Akmal berkata.
Alyssa Delaila yang baru masuk ke ruang itu terkejut mendengar nama itu. Dia memandang Melissa tidak berkelip. Hatinya sempat berharap supaya rakan seperjuangannya meneruskan bicara.
“Filem ni adalah buah tangannya yang baru setelah lama tidak menghasilkan filem. Hebat bukan? Aku tak sabar nak tengok filem ni malam minggu nanti. Haaa… ada sesiapa yang nak pergi tengok tayangan perdananya malam esok?”
“Aku nak!” Jawab Jamaliah dengan cepat. “Aku memang minat filem-filem dia. Selalunya filem dia romantis dan sedih. Hai, kena bawa tisulah…”
“Itulah orang perempuan. Filem yang buat dia orang menangis, itu yang dikatakan best.” Ejek Akmal. “Filem yang seronok dan best ditonton adalah filem yang waktu kita keluar dari panggung hati terhibur… bukannya keluar dengan mata merah. Aku prefer filem Barat, terdapat semua elemen di dalamnya. Action, humor, love, sex…”
“Akmal kalau tak sebut pasal sex tak sah!” Tingkah Jamaliah diiringi tawa teman-teman yang lain.
“Bukan macam tulah!” Bantah Akmal. “Filem Barat tak ada benda membazir dimasukkan dalam babak. Sepanjang masa menonton, langsung tidak jemu. Susah nak tengok filem Melayu yang begitu… Kebanyakannya boring, lembab…”
“Terpulanglah pada penilaian masing-masing. Bagi aku rasa lebih baik menonton filem Melayu, daripada menonton filem Inggeris. Kalau bukan kita yang menonton wayang kita… siapa lagi?” Balas Melissa. “Jadi, nanti kita pergi bersama, OK?”
Jamilah mengangguk. Dia memang suka menonton wayang, apalagi kalau dapat tiket percuma.
Alyssa Delaila mendengar segalanya dalam diam. Dia tidak menyampuk langsung. Dadanya masih berdebar-debar, tidak percaya pada cerita yang baru didengari. Prof. Dr. Ismadi sudah kembali dengan filem baru, setelah sekian lama tidak berkarya. Hatinya jadi tak senang. Sungguh! Dalam hatinya ingin tahu apakah cerita yang akan dipersembahkan kepada masyarakat kali ini?
Editor mereka, Puan Normah berdiri di ambang pintu biliknya sambil memerhati ke arah bilik wartawan yang kedengaran riuh. Semua membisu apabila melihat editor mereka yang berwajah serius itu, memandang mereka seorang demi seorang. Tiba-tiba matanya memandang tepat ke arah Alyssa Delaila, lantas melambai tangan.
Alyssa Delaila bangun dan terus berjalan ke arah bilik Puan Normah. Semua yang ada di situ saling berpandangan, kemudian mulai meneruskan kerja masing-masing.
“Duduklah Laila.” Kata Puan Normah.
Alyssa Delaila duduk dengan tenang. Dia memandang sahaja ke arah Puan Normah yang sedang membelek beberapa helai kertas di hadapannya. Dia menghulur sekeping kertas ke penatapan Alyssa Delaila.
Alyssa Delaila membaca kertas tugasan yang baru diserahkan kepadanya. “Saya dah aturkan pertemuan awak dengan Prof. Dr. Ismadi, Isnin depan, sebelah pagi.” Kata Puan Normah. “Awak interview dia untuk isu bulan depan. Fokus tentang kejayaan demi kejayaan yang dah dicapai sepanjang sepuluh tahun kebelakangan ini. Memang sudah agak lama dia tidak muncul dengan filem tetapi dia sentiasa buat kegiatan seni lain, pameran lukisan, membaca sajak dan baru-baru ni saya dengar dia terlibat dalam teater pula…”
Alyssa Delaila meneguk airliur pahit. Dia merenung kertas yang ada di tangannya. Tercatat tarikh, masa dan tempat pertemuan itu akan berlangsung. Tangannya menggigil ketika memegang kertas itu. Dia tidak tahu mengapa dia harus menggeletar begitu. Seluruh tubuh terasa seram sejuk seperti hendak demam.
“Puan… Puan mengapa tugasan ini diberikan kepada saya?” Dia bertanya perlahan.
Puan Normah memandangnya dan memulangkan pertanyaan; “Awak tiada assignment pada hari itu kan? Orang lain masing-masing dah ada tugasan, sebab itulah saya mahu awak buat interview ni. Mengapa? Awak ada masalah ke?” Tanya Puan Normah. Nada suaranya yang tegas itu membuat Alyssa Delaila tahu dan mengerti wanita itu tidak ingin mendengar sebarang alasan.
“Tiada.” Jawabnya sepatah.
“OK. Awak pergi jumpa dia hari Isnin… Tapi sebelum tu, awak pergi tonton filem dia malam minggu ni!” Kata Puan Normah sambil meletakkan sekeping tiket di hadapannya. Alyssa Delaila tidak menjawab. Matanya memerhati ke arah tiket yang baru diletakkan oleh editornya itu. Dia mencapai tiket tersebut lantas terus bergerak keluar. Dadanya saat itu terasa sesak, sukar untuk menarik nafas. Tuhan! Berikan aku kekuatan. Semoga aku akan lebih kuat untuk berhadapan dengannya.
Dia kembali ke meja, mencapai handphone dan menghubungi Fuad. Saat itu dia mahu berada di samping lelaki itu, seolah-olah untuk mengingatkan dirinya bahawa dia sebenarnya bakal menjadi milik Fuad. Tiada siapa pun yang dapat mengubah kenyataan itu melainkan Tuhan.
Dia menerima kedatangan Fuad bersama senyuman. Fuad membalas senyumannya. Ketika dia masuk ke kereta tunangannya itu, Fuad bertanya; “Petang ni balik awal. Tak ada assignment?”
Dia menggelengkan kepala. Memang amat jarang dia balik awal begitu. Fuad dengan senang hati mengajaknya ke pasar malam yang ada berdekatan kawasan perumahan tempat Alyssa Delaila tinggal. “Dah lama tak makan putu piring…” Kata Fuad kegirangan.
“Ya…” Jawab Alyssa Delaila. “Kita beli bungkus, makan di rumah saja. Tentu ibu suka… Dia juga minat makan putu piring.”
“Yalah, nampaknya kuih kegemaran aku dengan bakal emak mertua ku sama…” Balas Fuad tergelak kecil.
Alyssa Delaila cuba untuk ketawa walaupun hambar. Dia teringat pada tiket yang mengeram di dalam beg tangannya. Malam esok dia akan keluar sendirian, menonton filem yang akan ditayangkan. Apakah dia akan memberitahu Fuad tentang filem terbaru hasil buah tangan Prof. Dr. Ismadi, atau hanya berdiam diri sahaja? Seperti dapat membaca fikirannya saat itu, Fuad berkata; “Dah lama kita tak tengok wayang. Malam minggu ni kita tengok wayang nak tak?”
“Oh…” Alyssa Delaila terperanjat, tidak dapat menjawab. “Aku… Aku ada assignment…” Jawabnya teragak-agak. “Barangkali lambat balik, pukul sebelas atau dua belas malam.”
“Di mana? Luar KL?” Fuad bertanya.
“Di KL, tapi esok aku bawa kereta, jadi engkau tak perlu jemput dan hantar aku balik.” Kata Alyssa Delaila dengan tegas.
Fuad mengangguk sahaja.
“BETULKAH engkau tak sihat Fura?” Tanya Mazni lewat corong telefon. Safura tergelak kecil mendengar kata-kata kawan baiknya itu.
“Aku sihat-sihat saja sebenarnya.” Kata Safura sambil meneruskan gelaknya.
“Sihat? Jadi kata kau sakit tu… alasan saja ke?”
“Kalau aku tak buat begitu kau fikir, Laila tu akan setuju nak menikah? Kalau sebut soal kahwin sentiasa mengelak. Sedangkan Fuad tu dah lama setia menunggu. Bayangkanlah… Aku kasihankan si Fuad. Aku takut Laila masih mengharapkan jantan tu!” Kata Safura sambil mendengus. “Tapi syukurlah. Sekarang ni dia dah terima pun Fuad. Mereka tu setiap hari bertemu. Sejak bertunang ni, Fuad selalu datang jemput dan hantar Laila balik kerja.”
“Baguslah. Aku tumpang gembira. Maaflah semasa majlis pertunangan Laila dulu, aku tak datang. Esok kalau majlis kahwinnya pastilah aku akan datang lebih awal daripada orang lain. Seronok betul rasanya tengok mereka berdua tu akhirnya berjaya disatukan…” Mereka sama-sama tergelak.
“Kalau boleh aku tidak mahu mereka tu bertunang lama-lama sangat. Hari tu janjinya enam bulan dari sekarang. Jika ikutkan hati aku mahu lebih cepat dari itu, tetapi Alyssa Delaila tak setuju. Katanya nanti kelam kabut sangat hendak buat persiapan. Betul juga kan?”
“Hmmm… Memang betul. Kerja kahwin ni bukannya mudah. Enam bulan tu kira oklah. Dah boleh mulai membeli apa-apa keperluan sedikit demi sedikit.” Mazni bersetuju. “Aku ni banyak masa terluang di rumah, nanti aku tolong buatkan bunga telur dan bunga pahar.”
“Elok juga. Nantilah aku bincang dengan mereka. Warna apa yang mereka suka.” Kata Safura gembira. Dia menjenguk di tingkap apabila terdengar bunyi kereta memasuki ruang porch. “Tu dah balik pun Laila. Fuad pun ada sama.” Beritahu Safura.
“Oklah. Nanti aku call engkau lagi.” Kata Mazni mengakhiri perbualan.
Safura menyambut kepulangan anak dan bakal menantunya di muka pintu. “Ibu baru bercakap dengan auntie Mazni kau, Laila…” Beritahunya. “Katanya sanggup buatkan bunga telur untuk majlis kahwin engkau nanti. Haaa… Warna apa agaknya yang engkau orang suka?”
“Biru.” Jawab Alyssa Delaila.
“Merah.” Jawab Fuad pula. Jawapan mereka hampir-hampir serentak.
“Ehhh… Yang mana satu ni? Biru ke Merah?” Tanya Safura dengan dahi berkerut.
Mereka saling berpandangan kemudian sekali lagi menjawab serentak; “Birulah, sebab Laila suka warna tu.”
“Merah. Sebab Fuad pilih warna merah.”
Safura menggelengkan kepala. “Susah sangat… biar ibu buat keputusan. Warna merah jambu. Macamana? Warna yang amat cantik dan menawan. Warna merah jambu kan maksudnya sentiasa merindu.”
Muka Alyssa Delaila mulai kelat mendengar kata-kata Safura. Dia terus masuk ke dapur membawa bungkusan berisi kuih putu piring. Dia tidak mahu bercakap apa-apa lagi tentang majlis perkahwinan yang akan berlangsung. Sebenarnya dia tidak sanggup untuk memulakan persiapannya. Enam bulan memang satu masa yang singkat. Memang patut Safura mulai merancang supaya segalanya berjalan sempurna.
“Wah! Auntie ni pakar tentang warna rupanya? Warna biru maksudnya apa auntie?”
“Biru? Hmmm… Warna biru maksudnya cinta. Cinta yang suci…”
“Kalau macam tu, saya akan mulai meminati warna biru.” Fuad tergelak. Alyssa Delaila yang mendengar perbualan ibunya dan Fuad hanya menggigit bibir. Warna biru… warna kegemaran Prof. Dr. Ismadi. Sumpah! Dia tidak akan menggunakan warna tersebut! Malah dia mulai membencinya. Dia mahu melupakan lelaki itu. Tetapi bagaimana dia harus melakukannya? Malam esok dia akan pergi menonton filem hasil karya lelaki itu dan pagi Isnin dia akan menemuinya pula… Setelah lima tahun tidak bersua, masihkah mereka punya rasa yang sama?
Aduh… Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Dia berharap pada hari itu dia akan jatuh sakit… Tidak akan bangun-bangun lagi, supaya pertemuan yang amat ditakutinya itu tidak akan terjadi.
“SEDIAKAN tissu… sebab filem ni sedih.” Kata Jamilah sambil berbisik pada Alyssa Delaila di sisinya. Alyssa Delaila tidak menjawab, dia hanya tersenyum meskipun kawannya itu tidak akan melihat senyumannya itu. Lampu sudah pun dimatikan dan filem sedang mulai ditayangkan. Tika dia terlihat nama Prof Dr. Ismadi Salam yang ditulis dengan tulisan merah yang besar dan jelas, dadanya berdebar. Tubuhnya terasa panas biarpun panggung itu dibekalkan dengan alat penghawa dingin.
Jamilah dan Melissa yang duduk dikiri kanannya tidak bersuara lagi, mereka benar-benar kusyuk menonton filem yang baru ditayangkan. Alyssa Delaila cuba menghayati dan memahami sebuah pemikiran yang lahir dari minda lelaki itu. Lelaki yang pernah dicintai dan masih dicintainya. Apakah wujud idium seni yang halus dan besar ertinya dalam filem tersebut? Di manakah letaknya kehebatan satu daya pemikiran seorang lelaki sepertinya… Lelaki yang pernah mengecewakan dan melukakan itu? Lelaki yang lebih pentingkan diri sendiri. Bukankah dia tidak layak bercerita tentang hati dan perasaan, bilamana dia hanya tahu melukakan? Mengapa dia harus berbicara tentang keagungan cinta bila yang diberikan pada Alyssa Delaila bukannya satu kebahagiaan tetapi penderitaan yang sangat berat.
Dia menangisi nasib diri dan lukanya yang masih terus berdarah. Dia berjaya menamatkan pelajaran hanyalah semata-mata nasib baik dan bukannya usaha yang bersungguh-sungguh. Dia sentiasa memaksa diri untuk menghadapi pelajaran lantas meletakkan perkara-perkara lain di belakangnya, walaupun amat sukar untuk berbuat demikian. Dia dapat membina kerjaya, satu-satunya kejayaan yang menjadi kebanggaan ibunya. Walau bagaimanapun dia suka pada pekerjaannya sekarang.
Alyssa Delaila tiba-tiba bangun lantas bergerak keluar. Dia tidak ingin menonton filem itu seterusnya… Dia tidak dapat menahan dirinya dari merasa marah… Luka lamanya terasa ditoreh dengan belati yang tajam lantas berdarah semula.
Bab 27
SAFURA memerhati Alyssa Delaila yang melangkah turun dari tingkat atas. Hari itu anak gadis kesayangannya kelihatan begitu anggun. Inner turtle neck berwarna kuning air, dipadankan dengan kot coklat muda dan seluar panjang warna sedondong. Rambutnya disanggul kemas, memperlihatkan telinganya yang mengenakan sepasang subang labuh berwarna silver. Dia mengepit beg kulit coklat gelap. Tika dia mengangkat tangan, jari manisnya yang tersarung sebentuk cincin berlian kelihatan berkilau dipanah cahaya lampu.
Safura tersenyum menyaksikan betapa anggunnya Alyssa Delaila berdandan pada pagi itu. Dia tahu anaknya itu akan menghadiri assignment. Malam semalam Alyssa Delaila memberitahu Safura ketika dia asyik memilih baju. Apakah dia akan bertemu dengan orang penting pada pagi itu sehingga dia berdandan begitu cantik sekali? Soal Safura di dalam hati.
Memang Alyssa Delaila menyimpan hasrat, ingin Prof. Dr. Ismadi melihat dirinya sebagai seorang wartawan muda yang aktif, kreatif dan berdaya saing. Bukan lagi seorang gadis yang cengeng, yang hanya tahu menangis dan bersedih apabila gagal mendapatkan sesuatu. Tidak! Dia ingin berubah. Dia harus tabah. Pertemuan hari ini tidak akan menggugat perasaannya! Dia berkata begitu berkali-kali di hadapan cermin sebelum keluar dari kamar. Dia tidak akan menoleh ke belakang lagi, untuk melihat diri yang dahulu, lemah tidak berdaya dan mengharap cinta yang mampu membelai jiwa. Tetapi yang dia dapati hanya kekosongan dan kehampaan.
Kini ada cinta lain yang datang ke dalam hidupnya… Cinta yang pasti membawa dia ke alam bahagia. Fuad. Dia harus mengukuhkan nama itu di hati sanubarinya.
“Ke mana pagi ni?” Tanya Safura.
Alyssa Delaila memandang ibunya, meletakkan beg tangan di atas meja lantas duduk. Safura menuang minuman ke dalam cawan. Pertanyaannya tidak berjawab. Alyssa Delaila hanya tersenyum, mencapai sepotong kuih; “Dah lama ibu tak buat kuih lopes…” Katanya sambil mencecah kuih itu dengan air gula melaka.
Safura hanya tersenyum. “Cantik betul engkau hari ni Laila… Kalau berjumpa Fuad pun tak adalah secantik ni!”
Alyssa Delaila tergelak kemudian berkata; “Ibu ni kalau Laila berdandan sikit salah… Tak bermake-up pun salah. Ibu nak tengok Laila macamana sebenarnya?”
“Kau tu nampak luar biasa… Lain, tak macam hari-hari biasa. Muka pun nampak berseri-seri sekali.”
“Ya ke ibu? Jangan mengarutlah! Hari ni nak jumpa orang penting. Doakan Laila berjaya ibu…” Kata Alyssa Delaila cepat-cepat menyudahkan sarapannya. Dia bangun, menghulur tangannya dan menyalami tangan Safura.
“Yalah. Tapi ingat-ingat, jaga kelakuan, engkau tu dah bertunang…” Safura sengaja berkata begitu. Entah mengapa hatinya bagaikan dapat merasakan bahawa Alyssa Delaila akan menemui seorang lelaki… Tetapi dia tidak tahu siapakah dia?
“PROF., wartawan tu dah sampai. Boleh dia masuk sekarang?” Tanya setiausahanya sambil menjenguk di muka pintu.
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “Errr… sebelum tu, Sonia dah sampai?”
“Dia telefon tadi, katanya tak sihat.” Beritahu perempuan itu sambil tersenyum.
“OK. Suruhlah dia masuk.” Kata Prof. Dr. Ismadi sambil membetulkan tali lehernya. Dia mencapai kot lantas menyarungkannya ke tubuh. Dia duduk dengan tenang, masih cuba menaip sesuatu di komputer biarpun tumpuan tidak lagi ke situ. Bagaimanakah rupa wartawan majalah Glitter. Menurut Sonia, wartawan itu seorang perempuan yang berkarisma, antara wartawan terpilih di majalah yang semakin terkenal itu. Pertemuan itu diatur oleh Sonia dan editor majalah tersebut. Dia yang beria-ria mengatur janji tetapi tidak hadir pula pada pagi ini, rungut Prof. Dr. Ismadi sendiri.
Ketukan terdengar di muka pintu. Prof. Dr. Ismadi menyeru tenang, menyuruh wartawan yang ingin menemuramah dirinya masuk. Dia memandang ke pintu yang dibuka dari luar. Pandangan mereka bertemu. Dia tidak percaya apa yang disaksikan oleh kedua-dua pasang matanya. Sejurus dia terpegun kaku, hilang kata-kata. Benarkah gadis anggun yang berdiri di muka pintu biliknya itu adalah Alyssa Delaila? Benarkah? Matanya tidak berbohong?
Spontan dia berdiri dengan dahi berkerut. Lututnya terasa lemah. Dia menelan airliur beberapa kali. Dia terpesona. Lebih teruk lagi dia rasa menggelabah, tubuhnya berpeluh dingin. Dia cuba duduk kembali dengan tenang tapi ketenangan yang diharap tidak kunjung tiba.
“Apa khabar Prof. Dr. Ismadi?” Dia menegur. Tegurannya terdengar amat formal. Apakah dia berharap Alyssa Delaila tetap memanggilnya dengan panggilan manja, Is sahaja? Apakah dia akan memanggilnya ‘Laila’ ataupun nama penuhnya supaya pertemuan itu kelihatan benar-benar seperti pertemuan antara dua orang yang tidak saling mengenali?
“Baik… baik. Terima kasih.” Jawab Prof. Dr. Ismadi masih teragak-agak. Matanya enggan lari dari mengawasi gerak laku gadis itu. Biarpun lima tahun sudah berlalu, tetapi dia merasakan bahawa mereka baru berpisah semalam. Peristiwa itu masih terasa hangat dalam ingatan, dalam hati dan mindanya. Semalam yang bukan lagi milik mereka. Kenyataannya adalah hari ini… Hari yang penuh dengan cabaran!
Alyssa Delaila berlagak tenang berjalan menghala ke mejanya. Dia tersenyum, menampakkan barisan gigi yang putih bersih. Apabila dipersilakan duduk, dia menurut dengan penuh santun. Jari-jarinya yang runcing mengeluarkan pen dan buku catatan. Ketika menunduk mengambil sesuatu di dalam beg tangannya, Prof. Dr. Ismadi mengambil kesempatan memandang seluruh mukanya yang berbentuk bujur telur itu. Dia semakin cantik. Gambaran wajah seorang wanita muda yang matang.
Prof. Dr. Ismadi tersentak apabila mendapati seorang jurugambar mengekori Alyssa Delaila. Tidak patut dia merenung gadis itu begitu di hadapan orang lain.
Dia harus bertindak professional… bisik hatinya. Apalagi bersama mereka ada orang lain yang langsung tidak tahu menahu tentang sejarah perhubungan mereka suatu masa dulu. Jurugambar itu mulai mengeluarkan perkakasannya dan mengambil gambar dari pelbagai sudut yang diingininya.
Prof. Dr. Ismadi mulai mengerti mengapa Sonia tidak datang pada pagi itu. Dia sengaja untuk membuat kejutan… Membiarkan dia menghadapi Alyssa Delaila bersendirian. Mujur pagi itu dia berpakaian kemas!
Alyssa Delaila tidak membuang masa untuk memulakan sesi interview tersebut. Dia kelihatan penuh keyakinan setiap kali mengajukan soalan. Prof. Dr. Ismadi hanya mengikut rentak yang dimainkannya. Alyssa Delaila mahu kerja-kerjanya selesai dengan cepat. Dia tidak perlu membuang masa. Apa yang diinginkan oleh editornya akan dipenuhi. Itu sahaja yang perlu dia lakukan. Pertemuan itu bukan bersifat peribadi. Tidak sekali.
Pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu terisi sepenuhnya. Setiap soalan yang diajukan cuba dijawab dengan sebaik-baiknya oleh lelaki itu. Alyssa Delaila mencatat apa saja dan juga merekod setiap kata-katanya. Setelah segalanya selesai, dia segera meminta diri. Prof. Dr. Ismadi bangun mahu menemani Alyssa Delaila keluar.
“Tidak perlu Prof. Saya tahu Prof. sibuk. Terima kasih kerana memberikan kerjasama.” Kata Alyssa Delaila berjalan ke pintu.
Prof. Dr. Ismadi menghulur tangannya. Mahu tidak mahu Alyssa Delaila menyambutnya. Tangan mereka tergenggam dengan kemas. Kamil ikut menghulur tangan, membuat pegangan itu segera terlepas.
Prof. Dr. Ismadi merasakan betapa dinginnya tangan Alyssa Delaila. Keyakinan yang cuba ditanam dalam dirinya hanyalah satu kepura-puraan. Dia sebenarnya gentar, takut dan sedang bertarung dengan perasaan sendiri. Dia mengerti. Bukankah lebih baik mereka tidak bertemu? Mungkin mereka akan boleh saling melupakan diri masing-masing.
Kamil sudah keluar terlebih dahulu. Prof. Dr. Ismadi dengan pantas bergerak ke pintu, lantas memegang tombol pintu lebih dahulu darinya. Alyssa Delaila terkejut, melihat lelaki itu sudah berdiri di hadapannya, begitu hampir.
“Laila tak beri kesempatan pada saya untuk bertanya khabar tentang diri Laila.”
“Saya sihat.” Kata Alyssa Delaila. “Seperti yang Prof. lihat.”
“Tunggu sekejap boleh tak Laila? Kita berbual.”
“Maaf Prof. Saya mesti balik ke pejabat. Editor saya menunggu…Dan saya memang tak suka buat orang ternanti-nanti.” Alyssa Delaila sengaja memberikan alasan begitu.
“Agh! Sepuluh minit saja… saya berjanji.” Kata Prof. Dr. Ismadi sambil berjalan kembali ke mejanya. Alyssa Delaila tidak berganjak, masih berdiri di hadapan pintu yang tertutup rapat.
“Duduklah.” Katanya sambil menunjuk ke arah kerusi yang tadi di duduki Alyssa Delaila. Dia kembali ke kerusi, duduk dan menghadapi wajah Prof. Dr. Ismadi. Mereka saling bertatapan lagi untuk ke sekian kalinya, hanya berdua sahaja di dalam kamar yang dingin dan sepi itu. Suara Prof. Dr. Ismadi memecah terlebih dahulu; “Lima tahun tak jumpa. Awak dah banyak berubah. Saya gembira melihat perubahan awak, Laila. Awak juga bertambah cantik, berkeyakinan dan matang.”
Alyssa Delaila mengangguk. “Memang benar… Saya dah berubah. Kepahitan hidup dan penderitaan yang buat saya berubah Prof. Pengalaman mendewasakan saya.” Jawabnya tegas.
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “Saya bangga. Awak sudah berjaya, mempunyai kerjaya yang baik dalam bidang yang awak minati. Tahniah. Teruskan usaha awak. Semoga berjaya. Itu doa paling ikhlas dari saya.”
“Terima kasih. Sekarang… Boleh saya pergi?”
“Belum cukup sepuluh minit lagi…” Kata Prof. Dr. Ismadi mencari alasan. Dia tertawa lembut. Memerhati jam di tangannya sambil berharap waktu akan terhenti dan mereka tidak perlu berpisah.
Alyssa Delaila mengangkat tangannya sengaja menyentuh pipinya sendiri dan mata lelaki itu menangkap cincin yang berkilau di jari manisnya. Segera dia mengerti bahawa gadis itu telah dimiliki seseorang. Entah mengapa saat itu hatinya terasa hampa dan sedih. Apa yang engkau harapkan Ismadi? Hatinya berbisik. Berharap dia masih sendiri dan menanti? Bukankah dia tidak pernah berjanji hendak kembali?
“Saya akan bernikah tidak lama lagi Prof..…” Beritahu Alyssa Delaila dengan wajah ceria. Dia sengaja menceriakan muka supaya kata-katanya dapat menyakinkan lelaki itu. Dia rasa puas kerana dapat meluahkan kata-kata itu. “Enam bulan dari sekarang. Baru seminggu saya bertunang.” Beritahu Alyssa Delaila lagi. Dia memerhati reaksi lelaki itu. Dapat dilihatnya airmuka Prof. Dr. Ismadi yang berubah warna.
“Tahniah sekali lagi.” Ucapnya bersama senyuman. Senyuman yang penuh dengan paksaan.
“Bagaimana dengan Haiqal?” Alyssa Delaila bertanya. “Sudahkah dia berumahtangga?”
“Sudah bernikah pada tahun lepas tapi belum punya anak.” Beritahu Prof. Dr. Ismadi sambil tertawa kecil.
Alyssa Delaila mengangguk. “Saya juga ingin ucapkan tahniah di atas kejayaan Prof. melahirkan filem baru.”
“Awak dah menontonnya?” Dia bertanya, pertanyaan yang mengandungi harapan.
Alyssa Delaila menggeleng. “Belum.” Katanya berbohong. Dia enggan memberitahu perkara sebenarnya bahawa dia tidak sanggup untuk menontonnya. Dia keluar di saat filem itu baru bermula.
“Saya minta diri dulu.”
“OK. Jumpa lagi…” Harap Prof. Dr. Ismadi.
Alyssa Delaila menggeleng. “Lebih baik kita jangan berjumpa lagi Prof. Biar saya hidup gembira. Jika bukan kerana tugas, saya takkan datang ke mari. Tapi saya tak ada pilihan! Saya harap Prof. bahagia dengan jalan yang Prof. pilih. Saya juga bahagia dengan jalan yang saya pilih. Selamat tinggal.” Pintu ditutup perlahan. Alyssa Delaila berjalan laju menuju ke pintu. Dadanya sebak. Mukanya terasa hangat dan setitis airmatanya gugur perlahan. Hatinya masih terasa sesuatu….
Biarpun bukan niatnya hendak berkata begitu, tetapi kata-kata itu tanpa sedar meluncur laju. Mengapa perasaan ini tidak mahu hilang? Dia sedar apa yang baru diucapkannya bukan hanya melukai hati insan yang mendengarnya tetapi juga melukai hatinya sendiri. Kenyataan ini terlalu pahit… Bisiknya sambil terus berjalan laju meninggalkan tempat itu.
Prof. Dr. Ismadi termangu sendiri, sambil memerhati kerusi yang kosong. Tubuhnya terasa dingin dan kerdil. Hatinya tersentuh kepiluan yang dalam. Dia sedar kebahagiaan semakin jauh darinya. Pertemuan tidak disangka yang diakhiri dalam suasana penuh kedinginan itu membuat hatinya rasa tersayat. Tidak disangka dia masih mengharap. Dia tidak tahu mengapa hatinya amat sukar melepaskan Alyssa Delaila kali ini…
Lepaskan dia pergi dari hatimu Ismadi… Bisik hatinya sendiri. Dia bukan milikmu, dan selama-lamanya tidak akan menjadi milikmu. Sejak dulu dia tahu akan hakikat itu. Tetapi dia masih menyimpan sekelumit harapan. Harapan untuk melihat wajah itu lagi walaupun tiada harapan untuk memiliki hatinya kembali.
ALYSSA DELAILA masuk ke kereta, meletakkan beg tangannya di kusyen sebelah. Dia meletakkan mukanya yang basah di atas setering kereta. Airmatanya terus bercucuran. Mengapa kita harus bertemu lagi? Mengapa? Suara Prof. Dr. Ismadi masih terdengar di telinga. Suara yang amat dirindui. Dia telah merakam suara itu. Dia telah mendekatkan semula dirinya dengan penderitaan. Jika Safura tahu pertemuan pada pagi ini, pasti ibunya tidak suka. Pasti ibunya akan kembali marah-marah seperti dulu…
Cinta… Mengapa amat seksa untukku mencapai dan mendakapmu. Mengapa cukup sukar untuk kau hadir dan menginap selamanya di hatiku?
Dia terdengar cermin tingkap keretanya diketuk. Spontan dia menoleh. Dalam kepalanya saat itu hanya diisi dengan ingatan terhadap Prof. Dr. Ismadi namun wajah Kamil yang muncul di ruang pandangan. Lelaki itu kehairanan melihat dia menangis. Dia menurunkan cermin kereta sambil menyeka airmata. Tidak mungkin dia dapat menyembunyikan pipinya yang bertamu airmata dan hidungnya merah berair.
“Eh, engkau tak apa-apa ke? Sakit?” Tanya Kamil.
Alyssa Delaila menggeleng. “Tak ada apa-apa. Aku OK.” Jawabnya sambil terus mengelap muka dengan tisu. Dia cuba tersenyum biarpun amat pahit. Dahi Kamil terus berkerut.
“Engkau terus balik ke pejabat?” Tanya Alyssa Delaila. Sedu sedannya sudah semakin menghilang. Dia bimbang Kamil akan mengesyaki sesuatu. Nampak lelaki itu tidak puas hati dengan jawapannya. Dia kelihatan sihat tapi mengalirkan airmata. Bukankah tindakannya itu membuat orang tertanya-tanya?
“Tak. Aku ada assignment lain.” Jawab Kamil.
“Oklah. Aku balik ke pejabat dulu.” Kata Alyssa Delaila.
Kamil mengangguk. Alyssa Delaila mulai menghidupkan enjin keretanya. Kamil memerhati kereta gadis itu meninggalkan medan letak kereta. Hatinya tertanya-tanya mengapa Alyssa Delaila menangis sedih selepas pertemuan dengan Prof. Dr. Ismadi tadi. Apa yang berlaku? Tanya Kamil sendiri sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
Alyysa Delaila terus kembali ke pejabat. Seperti biasa ruang bilik wartawan akan menjadi hiruk pikuk seperti suasana di dalam pasar kalau ramai yang baru pulang dari assignment. Lebih-lebih lagi kalau editor mereka tiada di dalam biliknya.
“Touching habislah filem tu…” Kata Jamaliah. “Dekat sebungkus tisu aku habis.”
“Apalah engkau ni!” Balas Melissa. “Sikit-sikit nak menangis, bukannya sedih sangat… Engkau tu yang sensitif. Macam kisah cinta engkau aje! Padahal itu hanya satu cerita rekaan.”
“Rekaan?” Bantah Jamaliah. “Tapi engkau perasan pada penghujung filem ada tertulis dengan kata-kata…hmmmm…” Jamilah cuba mengingat. “Haaa…Aku ingat dah! ‘Laila, kau mengikatku dengan benang cintamu. Selama-lamanya hanya kau bertakhta di hatiku”
“Entah aku tak perasan pun!” Balas Melissa.
“Hei! Kau sebut aje nama Laila… Haa… Tu Laila dah balik! Panjang pun umur dia.” Tambah Melissa sambil tersenyum melihat Alyssa Delaila yang sudah pun berada di ambang pintu.
“Laila! Mengapa kau keluar awal sangat malam tu? Kau tahu tak, ada nama engkau pada penghujung filem tersebut.”
Alyssa Delaila terkejut, matanya terbeliak memandang Jamaliah. Jamaliah mengulangi apa yang baru dikatakannya pada Melissa. Muka Alyssa Delaila pucat. Dia terduduk, sementara Jamaliah kehairanan.
“Ehhh… Kenapa ni? Terkejut gila nampaknya? Bukan engkau sorang je lah nama Laila…Takkanlah Prof. tu ada hubungan dengan engkau kut?” Kata Jamaliah sambil tergelak kecil.
Dia tersentap mendengar kata-kata Jamaliah. Mukanya berubah jadi hangat kerana malu. “Memanglah!” Jawab Alyssa Delaila perlahan. Dia mengeluh sambil memegang kepalanya. “Sebenarnya aku tengah pening ni!”
Jamilah berpaling pada Melissa, berkata lagi; “Aku rasa nama ‘Laila’ yang tercatat pada penghujung cerita itu pasti ada kaitannya dengan penulis skrip filem tersebut. Barangkali nama isterinya?”
“Mungkin juga. Eh, Laila kau kan pergi buat interview dengan Prof. Dr. Ismadi? Dapat apa-apa berita sensasi?” Tanya Melissa.
“Berita sensasi apa maksud kau Mel? Hanya tentang penglibatannya dalam filem dan industri perfileman saja… Tak ada sesuatu yang bersifat peribadi.” Jawab Alyssa Delaila dengan dahi yang masih berkerut-kerut.
“Laaa… Mengapa tak korek habis-habisan? Kalau akulah yang buat temuramah tu aku korek sedalam-dalamnya. Tentang kisah cintanya… tentang segalanya!” Tambah Jamilah.
“Ehhh… Kalau hal seperti itu biar aku yang buat… Aku tahu macamana!” Sampuk Melissa sambil tertawa. Dia mendail nombor telefon menghubungi seseorang. Agak lama dia bercakap di telefon. Tidak lama kemudian telefon diletakkan. Dia berpaling pada Jamilah dan berkata; “Aku cakap dengan kawan aku… wartawan hiburan tadi.” Katanya. “Sebenarnya isterinya dah lama tiada. Dia pernah ada skandal dengan studentnya sendiri. Sebab malu dia lari ke Sabah. Mereka pun break-up! Putus macam tu aje, tiada kesudahan.”
“Haa… Kan dah agak dah!” Kepala Jamilah terangguk-angguk. “Sedikit sebanyak cerita dalam filem itu adalah kisah penulis skripnya sendiri. Tapi dalam filem tu ianya berkesudahan dengan kebahagiaan. Kahwin juga hero dan heroinnya.” Kata Jamilah dengan penuh bersemangat.
Alyssa Delaila menarik nafas dalam-dalam, mulai rasa tidak senang. Kepalanya tiba-tiba benar-benar rasa berdenyut. Dia bangun, berhasrat hendak ke surau walaupun belum masuk waktu zohor. Sebenarnya dia ingin bersendirian seketika…Ingin melupakan segala rasa yang meronta dalam jiwanya saat itu.
Bab 28
DIA masih tidak percaya bahawa Alyssa Delaila yang hadir di pejabat production house miliknya itu pagi tadi. Dia merasakan ini semua hanya de javu, satu ilusi yang diakibatkan oleh tubuh yang lelah, minda yang sentiasa bekerja dan tidak berehat langsung. Tetapi dia tidak dapat menafikan pula bahawa mereka benar-benar saling berhadapan, bercakap dan bersentuhan tangan sebelum berpisah.
Dinginnya tangan Alyssa Delaila dalam genggamannya masih terasa. Biarpun sentuhan itu hanya beberapa saat, dia tetap merasakannya hingga ke malam. Pertemuan itu selama beberapa hari terus melekat dalam ingatan. Setiap kali hadir ke bilik itu, duduk kembali di kerusinya setiap pagi, dan ketika terdengarnya ketukan di pintu dia akan membayangkan kehadiran Alyssa Delaila seperti semalam…
Tiba-tiba Prof. Dr. Ismadi terdengar bisikan halus di telingannya; Bukankah kau pernah menolaknya dahulu, mengapa kini kau menginginkannya kembali? Rasa cintamu tambah menggebu melihat dia hadir sebagai seorang wanita yang anggun, bukan lagi kebudak-budakan seperti dahulu? Atau kau kini menginginkan dia mengisi hidupmu yang kosong dan sepi…
“Ya Tuhan…” Prof. Dr. Ismadi mendesah sendiri sambil menyapu dahinya. “Tuhan temukan kami semula. Aku masih cinta dia… Selama-lamanya perasaanku ini tidak akan berubah!”
Dia cuba membuka akhbar pagi yang ada di mejanya. Namun berkali-kali dia tetap membaca perenggan yang sama. Berita-berita yang terkandung di dalamnya tidak dapat dihayati sepenuhnya. Dia melipat akhbar lantas meletakkannya ke sisi.
Dia bangun, berjalan ke tingkap cermin yang memaparkan pemandangan ibukota Kuala Lumpur. Baru setahun dia kembali ke sini, membuka cawangan pejabat produksinya di Kuala Lumpur. Sebenarnya dia amat senang dengan Kota Kinabalu. Kembali ke sini bermakna dunianya akan bergolak semula. Dia tetap tidak dapat membuang ingatan terhadap Alyssa Delaila. Wajah anggunnya terbayang, bagaikan masih tetap berdiri di tepi pintu dengan sepasang sut coklat yang menawan. Mengapa dia harus datang dengan bertrampilan begitu anggun dan memikat? Mengapa dia hadir dengan begitu menawan sekali?
Tiba-tiba Prof. Dr. Ismadi bangun. Dia harus keluar dari kamar itu. Dia mesti melupakan apa yang berlaku di kamar itu beberapa hari yang lepas. Dia menjenguk ke luar mencari Sonia. Dilihatnya wanita itu ada di mejanya. Dia melambai. Sonia datang mendekati dan bertanya; “Kenapa? Cemas aje?”
“Tak ada apa-apa, kita keluar minum. I belum minum pagi.”
Sonia mengangguk. Mereka keluar bersama, minum di café yang terdapat di tingkat bawah bangunan pejabat itu. Dia mengeluh sendiri tiba-tiba.
“Macamana pertemuan dengan wartawan dari majalah Glitter hari tu?” Tanya Sonia, bertanya dengan nada bersahaja, biarpun dia sudah tahu siapakah wartawan yang akan datang menemubual Prof. Dr. Ismadi.
Prof. Dr. Ismadi menjawab dengan keluhan. Dia terus minum perlahan-lahan.
“You dah tahu rupanya…” Balas Prof. Dr. Ismadi dengan suara rendah, mengawal perasaan.
“Tahu apa?” Sonia masih berpura-pura.
“Alyssa Delaila yang akan datang menemubual I. Mengapa you tak beritahu awal-awal?”
Sonia hanya ketawa sinis.
“Sekurang-kurangnya I bersedia untuk bertemu dengan dia semula. Tak adalah I biarkan diri I kembali tenggelam dalam kenangan, hilang tingkah dan hilang semangat untuk meneruskan kerja-kerja yang ada. I hanyut Sonia… Sekali lagi I gagal kawal perasaan I sendiri. Entah apa nak jadi dengan I. I sendiri benci berperasaan begini!”
Bibir Sonia tercebik. “You masih mengharapkan dia rupanya!” Kata Sonia dengan nada kecewa. “I benar-benar kecewa dengan you, Is! Sekian tahun I ikut you… sokong you, sayangnya you masih mengingati dan mengharapkan dia. I ni apa sebenarnya di sisi you, Is?”
Prof. Dr. Ismadi tidak menjawab. Kali ini dia harus berhati-hati kerana tahu Sonia sedang marah. Dia tidak mahu persahabatan mereka yang baik dan intim akan terlerai.
“Jawablah! You tak berani nak jawab?”
“Sonia…” Seru Prof. Dr. Ismadi sambil memegang tangan wanita itu, tetapi Sonia merentap tangannya dari pegangan Prof. Dr. Ismadi.
“Lebih baik you pergi cari dia, supaya hidup you tak merana lagi. Kehadiran I dalam hidup you hanya sekadar di pinggiran aje…” Kali ini dia benar-benar sudah putus asa dengan sikap lelaki itu. Tiada gunanya lagi dia terus menanti. Lebih baik dia mengundurkan diri daripada terus tergores. Sonia bangun meninggalkan meja.
“Sonia!” Panggil Prof. Dr. Ismadi lagi, namun Sonia benar-benar pergi meninggalkannya, tidak menoleh lagi ke belakang. Wanita itu selalu setia terhadapnya tetapi kesetiaannya itu tidak pernah berbalas. Prof. Dr. Ismadi sedar akan hakikat itu. Kini dia mengejar dan mengharapkan kehadiran Alyssa Delaila yang sudah pun mempunyai tunangan.
ALYSSA DELAILA terperanjat melihat sejambak bunga anggerik yang digubah indah di dalam bakul yang besar terletak di atas mejanya. Dia terpegun. Siapakah yang telah menghantar bunga tersebut padanya? Pagi tadi dia tiada di pejabat kerana keluar assignment. Dia hanya pulang pada jam sebelas pagi dan disambut dengan kehadiran bunga yang indah itu.
Ada sekeping kad yang terselit di celah-celah bunga itu. Dia mencapainya dan membaca kad tersebut. ‘Aku merinduimu.’
Tiada sebarang nama ataupun tandatangan. Nakal! Gerutu hatinya. Mesti kerja Fuad, siapa lagi? Bisik hati Alyssa Delaila sambil tersenyum sendiri. Dia membelek-belek kelopak anggerik yang berwarna merah terang itu. Dia termenung sejenak sambil memikirkan sesuatu. Benarkah Fuad yang menghantar bunga ini? Mana Fuad tahu dia meminati bunga anggerik? Pasti dia mengetahuinya dari ibu. Bukankah Fuad sentiasa mengorek rahsia dari ibu. Mereka berdua memang rapat sejak dulu lagi…
Kepalanya tergeleng sendiri. Ada-ada saja Fuad ni… bisik hatinya sendiri. Hari-hari bertemu takkanlah masih merindu? Tangannya mencapai handphone lantas menghubungi Fuad. Tetapi handphonenya tidak dapat dihubungi. Dia meletakkan kembali handphone ke atas meja, membuka laci perlahan-lahan. Matanya terpandang fail berwarna pink yang ada di situ. Dia memandangnya tanpa keinginan hendak membukanya seperti selalu. Tidak… Aku tidak akan membukanya lagi! Aku tidak akan membenarkan hatiku mengingatinya lagi.
PROF. DR. ISMADI masuk sendiri ke ruang teater kecil yang terdapat di pejabatnya itu lantas mulai memutarkan filem. Dia menonton bersendirian, tidak mahu diganggu sesiapa. Handphone ditutup. Dia bukannya menonton lagi tetapi sebenarnya cuba memutar semula kenangan-kenangan lalu yang pernah dilaluinya bersama Alyssa Delaila.
Dia merasa seluruh jiwanya semakin sakit dan menderita. Dia tidak pernah merasa sepi dan terasing di tengah-tengah kemeriahan orang lain. Malam tadi, dia bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan dan menghadapi makan malam yang diatur untuknya, dia tidak benar-benar menikmati satu keseronokan, seperti suatu masa dulu. Segalanya terasa kosong, dan penuh keterpaksaan.
Apa yang engkau mahu dalam hidup ini? Ada suara yang bergema bertanya pada dirinya sendiri. Apa yang kurang lagi dalam hidup engkau, Ismadi? Tuhan telah berikan engkau segala-galanya. Kini kau berada di puncak kejayaan. Filem engkau sudah berjaya, berada di pawagam melebihi sebulan. Itu sudah cukup bagus… Apa lagi yang engkau mahu? Soalan yang muncul dari dalam hatinya tidak terjawab.
Dia mengeluh, keluar dari dewan teater itu walaupun baru sepuluh minit berada di dalamnya. Dia berjalan keluar dari pejabat, mengambil kereta dan terus menghala ke suatu arah. Dia tidak tahu mengapa dia harus datang ke situ. Betulkah tindakannya sekarang?
Dia berdiri sahaja di tepi sebuah tiang yang agak besar, jauh dari pandangan orang lain. Keretanya berada tidak jauh dari sisi bangunan. Tiada sesiapa di ruang itu. Beberapa orang kelihatan baru keluar dari lorong yang menuju ke lif. Dia hanya berdiri sahaja, pura-pura membelek jam seolah-olah sedang menunggu seseorang. Cuaca agak terik, biarpun sudah menjelang pukul lima petang. Bila-bila masa sahaja lagi dia akan keluar… bisik hatinya sendiri.
Benar bagai dijangka, dia melihat kelibat Alyssa Delaila keluar dari lorong menghala ke luar. Gadis itu berhenti di hadapan bangunan, tidak jauh dari tiang tempat dia berdiri. Hanya beberapa langkah sahaja darinya. Prof. Dr. Ismadi terpaku, apakah dia akan merapati dan menegur gadis itu. Tiba-tiba dia rasa tidak punya kekuatan untuk mendekati. Dia bimbang dan ragu, justeru itu dia hanya berdiri mematung dan memerhati sahaja.
Sebuah kereta mendekati lalu berhenti. Alyssa Delaila berjalan ke arah kereta itu lantas bergerak masuk. Tidak lama kemudian kereta itu bergerak pergi. Prof. Dr. Ismadi menepuk dahi. Kesal. Mengapa tadi dia tidak memberanikan diri mendekati? Kini Alyssa Delaila sudah pun berlalu entah ke mana. Dia kembali ke kereta. Sejurus dia duduk di dalam kereta sambil memerhati sekeliling. Jalanraya di hadapannya kelihatan mulai sesak. Dia cepat-cepat memandu keluar dari kawasan parkir dan terus memusing kereta, mencari jalan pulang.
Selepas maghrib, dia berbaring sahaja. Rumahnya yang terletak di Bangi itu terasa kian sunyi. Suatu masa dulu, Haiqal tinggal bersamanya. Tetapi sejak berkahwin tahun lepas, Haiqal tidak lagi tinggal di situ. Sepanjang berada di Sabah, rumah itu tetap terjaga dengan baik. Dia masih mempunyai pembantu rumah yang menjaga kebersihan rumah itu sepanjang masa. Bila berada dalam kesepian begitu, dia terasa bagaikan ingin mengisi semula rumah itu dengan kehadiran seorang isteri. Mengapa dia tidak dapat membuat keputusan sedangkan wanita itu sentiasa ada di sisinya? Bukankah hanya Sonia yang cocok untuk dijadikan pengganti isterinya yang telah tiada?
Tiba-tiba tangannya mencapai organiser di atas meja kecil sisi katil. Sejak ketiadaan Sonia dia sedikit kelam kabut. Jika dulu, wanita itu selalu mengingatkannya akan temujanji-temujanji yang telah diatur, kini dia harus memeriksanya sendiri. Ketika membelek organiser dia terlihat temujanjinya makan malam bersama teman lamanya Hashim di sebuah coffee house di ibukota. Malam ni rupanya… bisiknya sendiri sambil tergesa-gesa bangun untuk bersiap.
Dia tidak dapat menafikan dia masih memerlukan Sonia. Dia sudah biasa bersama wanita itu. Dia cuba menghubungi Sonia setelah bersiap-siap. Dia perlu memujuk Sonia…
“Dah habis dah merajuk?” Dia menegur mesra.
“Siapa yang merajuk. I tak biasa buat perkara macam tu!” Balas Sonia dengan nada dingin.
“Kalau tak merajuk lagi, temankan I keluar malam ni jumpa Hashim.”
Sonia diam.
“Bolehkan? I jemput you setengah jam lagi…OK?”
“Hmmmm… Oklah.” Jawab Sonia dengan suara yang merendah, macam hendak tak hendak sahaja. Walau bagaimana pun Prof. Dr. Ismadi sudah berpuas hati. Tidak susah untuk memujuk hati Sonia. Pasti dia tersenyum jika dijemput bersama sejambak bunga.
Mereka bertemu setengah jam kemudian di kediaman Sonia. Di kesempatan itu dia membawakan sejambak bunga. Dia tahu bunga kegemaran Sonia, lantas dia membawakan sejambak diasy mekar berwarna peach. Sonia tersenyum menerimanya.
“Thanks. Jadi you terlewat sikit tadi pergi petik bunga ni dulu ya?…” Ucap Sonia, tertawa mesra seperti selalu.
“Ya, begitulah…” Jawab Prof. Dr. Ismadi ikut tertawa.
Mereka meneruskan perjalanan, meredah malam menuju ke Jalan Imbi. Seperti biasa tempat kegemaran Prof. Dr. Ismadi sejak dahulu hingga kini, sebuah coffee house di Hotel Berjaya Times Square. Di situ Hashim sudah menunggunya. Hashim menyambut kedatangan Prof. Dr. Ismadi dan Sonia dengan gembira dan mereka duduk menghadapi meja yang masih kosong.
Pelayan datang meminta pesanan yang segera dipenuhi oleh mereka bertiga. Sementara menunggu makanan sampai mereka mulai berbual kosong. Namun perbualan itu terganggu apabila mata Prof. Dr. Ismadi memandang ke pintu dan terlihat seraut wajah yang amat dikenalinya. Dia masih memakai baju yang dikenakan siang tadi. Di tangan lelaki di sampingnya kelihatan sarat dengan barang-barang. Mereka baru membeli belah di shopping kompleks yang terletak bersebelahan dengan hotel itu.
Prof. Dr. Ismadi kalut sendiri, matanya enggan lari dari menatap pasangan tersebut. Sonia juga perasan akan hal itu, lantas turut memandang ke arah mereka berdua.
Sonia menyentuh tangan Prof. Dr. Ismadi dan berkata; “Nampak mereka berdua tu? Bukan main mesra lagi kan?”
“Ya.” Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “Barangkali lelaki itulah tunangnya.” Sambungnya kemudian.
“Dia dah bertunang? Patutlah mesra… Baru lepas shopping. Mereka dah nak kahwin?”
“Begitulah katanya.” Jawab Prof. Dr. Ismadi acuh tak acuh.
Saat itu Alyssa Delaila memandang ke arah mereka. Sonia tersenyum dari jauh. Gadis itu juga tersenyum ke arahnya tetapi langsung tidak memandang Prof. Dr. Ismadi. Dia berlagak seolah-olah lelaki itu tiada di situ.
“Itu Prof. Dr. Ismadi bukan?” Tanya Fuad pula sambil menjeling ke arah meja Prof. Dr. Ismadi.
Alyssa Delaila mengangguk.
“Kita patut pergi tengok filemnya di panggung.” Kata Fuad dengan nada sinis. “Kata orang filemnya meletup, sebuah filem yang menarik sekali untuk ditonton.”
“Tak perlulah…” Jawab Alyssa Delaila, enggan bercakap tentang lelaki itu. Dia tidak mahu mengeruhkan suasana. Silapnya juga mengajak Fuad makan malam di situ. Tidak disangka akan bertemu dengan Prof. Dr. Ismadi pula.
“Takkan tak mahu tengok filem yang ditulis dan dibikin oleh bekas kekasih engkau.”
“Fuad… Sudahlah. Kalau aku dapat tiket percuma sekali pun aku akan buang dalam tong sampah, OK? Puas hati? Percayalah aku dah tutup cerita lama. Sekarang aku hendak menghadapi lelaki yang ada di hadapan aku ni, cuba nak bahagiakan dia, sebab masa depan aku adalah bersamanya.”
“Betul ke? Terima kasih.” Kata Fuad, masih sinis. Matanya mengawasi meja Prof. Dr. Ismadi. Kelihatan lelaki itu tidak lagi memandang ke arah mereka, sebaliknya rancak berbual dengan rakan-rakannya. “Sorry… Kalau kata-kataku menyakitkan hati engkau. Aku cemburu.”
“Lupakan saja. Ianya dah lama jadi sejarah, OK. Apa yang penting kita cipta hari depan kita yang lebih indah bersama-sama. Suatu masa ianya akan jadi kenangan yang manis, untuk kita kenang bila kita dah tua nanti.” Kata Alyssa Delaila tersenyum. Fuad tersenyum penuh kehangatan sambil berkata; “Baru malam ni aku rasa kata-kata engkau mengandungi kesungguhan.”
“Kau fikir selama ini aku main-mainkah?” Tanya Alyssa Delaila pura-pura marah.
“Ya. Nampak macam aku aje yang bersungguh-sungguh sedangkan engkau acuh tak acuh…”
“Tolonglah. Jangan ulang lagi kata-kata itu. Jangan sesekali kata aku hanya mempermainkan perasaan engkau. Sekarang kita dah pun bertunang. Kedua-dua buah keluarga sudah terlibat, jadi aku takkan hampakan mereka.” Pinta Alyssa Delaila seraya tersenyum. “Ehhh…Aku belum ucapkan terima kasih kerana bunga anggerik yang engkau beri hari tu, sungguh cantik.”
“Bunga?” Fuad kelihatan kebingungan apabila Alyssa Delaila menyebut tentang bunga. Dia menggigit bibir, tetapi tidak berkata apa-apa, mengharapkan Alyssa Delaila melanjutkan bicaranya.
“Ehhh… Dah lupa pula? Bunga anggerik merah yang cantik itu… Terima kasih. Aku gembira menerima bunga itu. Hmmm… Tak sangka, engkau ni romantis juga. Kau tahu bunga anggerik tu bunga kegemaran aku. Pasti engkau mengetahuinya dari ibu kan?”
“Ya…Ya…” Jawab Fuad teragak-agak. Dahinya masih berkerut. Dia membuang pandang ke arah meja Prof. Dr. Ismadi. Dilihatnya lelaki itu sedang rancak berbual sambil tertawa. Bibirnya tercebik. Rasa dalam dadanya membuak-buak dengan kemarahan. Dia tahu siapa yang menghadiahkan Alyssa Delaila bunga tersebut. Pasti lelaki itu…
“Jadi engkau suka?” Tanya Fuad sambil tersenyum mesra.
“Dah tentulah…” Akui Alyssa Delaila tidak berselindung.
“Makanlah …Boleh balik cepat. Nanti ibu marah, tak mahu buka pintu baru kau tahu! Tak pasal-pasal engkau kena ikut aku balik.” Sebenarnya dia mahu meninggalkan tempat itu secepat mungkin dan tidak ingin terserempak lagi dengan lelaki itu.
Alyssa Delaila tertawa. “Ikut engkau balik? Hmmm… enam bulan lagi bolehlah ikut. Aku tak fikir ibu akan marah selagi aku keluar bersama dengan bakal menantu kesayangannya.”
“Aku bersyukur kerana aku dapat seorang emak mertua yang penyayang.”
Alyssa Delaila cuba menyumbat makanan di dalam mulutnya, walaupun seleranya telah hilang sama sekali. Tetapi dia perlu menunjukkan pada Fuad bahawa dia tidak apa-apa dan punya selera untuk menghabiskan makanannya. Mereka pergi setelah selesai menjamah makanan dan minuman masing-masing. Alyssa Delaila tidak berani memandang ke arah meja Prof. Dr. Ismadi semasa mereka bergerak keluar daripada coffee house tersebut.
Hatinya dipenuhi kehampaan, tidak ingin mengucapkan selamat tinggal.
Bab 29
“KATA engkau dah lupa, mahu tinggalkan semua kenangan pahit di belakang. Tapi engkau masih berjumpa dengan dia secara rahsia. Mengapa Laila? Mengapa? Aku benar-benar kecewa dengan apa yang engkau buat ni!” Kata Fuad dengan marah sambil mencampak majalah yang baru ditatapnya sebentar tadi. Dia terperanjat melihat artikel tentang Prof. Dr. Ismadi termuat dalam majalah itu dan Alyssa Delaila sendiri yang menulis artikel tentang lelaki itu. Isi kandungan artikel yang penuh dengan pujian, sanjungan dan kekaguman. Pandangan Alyssa Delaila tidak pernah berubah. Dia yakin hati dan perasaannya juga begitu. Itulah yang membuat dia benar-benar diamuk kemarahan dan kekecewaan.
Dia kesal, apa yang diucapkan oleh Alyssa Delaila terhadapnya nyata satu pembohongan, bukan lahir dari hatinya yang suci. Ianya adalah satu kepura-puraan. Dia benci pada manusia hipokrit yang hanya mempermainkan perasaannya.
Langsung Alyssa Delaila tidak mengkhabarkan kepadanya bahawa dia telah membuat temubual dengan Prof. Dr. Ismadi sebulan yang lalu. Mengapa? Soal hatinya. Dia marah dan merajuk kerana diperlakukan begini. Mengapa harus perkara itu disembunyikan darinya. Mengapa Alyssa Delaila tidak berterus terang sahaja?
“Maaf…” Kata Alyssa Delaila teragak-agak. “Bukan niat hendak tipu engkau… Tapi aku tak mahu engkau salah faham. Aku memang nak beritahu engkau hal ini. Buat apa nak rahsia, balik-balik engkau tahu juga, sebab nama aku memang tertulis di situ.”
“Bila engkau jumpa dia? Di mana?”
“Aku jumpa dia bulan lepas atas arahan editor aku. Dia sendiri yang aturkan temujanji, jadi aku hanya jalankan tugas. Aku pergi dengan Kamil ke pejabatnya…” Terang Alyssa Delaila satu persatu.
“Seronoklah engkau kan… Dapat berdua-duaan semula dengan dia?” Ejek Fuad. Hati lelakinya benar-benar sakit. “Apa dia buat dengan engkau? Pujuk rayu engkau semula kan? Dan engkau pun terus cair dengar pujuk rayunya…”
“Hei! Jangan cakap yang bukan-bukanlah. Aku tak buat apa-apa, hanya jalankan tugas. Engkau jangan nak tuduh-tuduh. Aku masih ada harga diri dan maruah!” Jerit Alyssa Delaila mulai sakit hati mendengar tuduhan Fuad. Wajah Fuad yang menyinga itu ditentangnya. Mujur saat itu Alyssa Delaila tinggal seorang diri di rumah, jika tidak pastilah keadaan tambah kecoh kalau Safura ada bersama. Wanita itu keluar ke pasar. Memang Alyssa Delaila terkejut melihat kedatangan Fuad di awal pagi hari minggu itu dengan muka yang merah padam.
Fuad terdiam beberapa ketika, merengus kasar dan berkata; “Dah lama aku sangsi dengan engkau. Aku pun tak tahu samada hendak teruskan pertunangan ini ataupun tidak.”
Alyssa Delaila menyentuh lengan lelaki itu sambil bersuara lembut; “Fuad… sabar, Fuad. Tenanglah dulu. Engkau tengah marah. Jangan buat keputusan di saat hati sedang marah… nanti menyesal.”
“Aku memang tak mahu kehilangan engkau Laila, tetapi apa gunanya kalau engkau tak setia, tak menghargai aku?”
“Siapa kata aku tak menghargai engkau Fuad? Siapa kata aku tak setia pada engkau? Selama ini ada aku keluar dengan lelaki lain selain engkau? Selama ini ada aku melayan mereka? Tak ada Fuad. Hanya engkau satu-satunya lelaki selepas Prof. Dr. Ismadi.” Jawab Alyssa Delaila tenang.
Ya… Dia tetap yang pertama bertakhta di hati engkau… Kata Fuad di dalam hatinya. Mengapa aku tidak dipertemukan lebih dahulu dengannya? Mengapa aku tidak menjadi cinta pertamanya sedangkan dia adalah gadis pertama yang kucintai.
“Kau baliklah dulu… bertenang OK. Fikiran engkau sedang kusut…”
Fuad tidak menjawab, tetapi dia melangkah pergi meninggalkan rumah Alyssa Delaila. Lega hati gadis itu melihat dia berjalan pergi menghala ke kereta. Dia amat bimbang sekiranya Safura campur tangan. Ibunya akan meletakkan kesalahan di tangannya seorang. Dia arif benar dengan sikap Safura yang amat bencikan Prof. Dr. Ismadi. Alyssa Delaila mengeluh berat. Aku sudah cuba sedaya upaya… bisiknya sendiri. Semoga kami takkan bertemu lagi buat selama-lamanya!
Seminggu Fuad tidak menghubunginya. Nampaknya lelaki itu benar-benar merajuk. Sudah beberapa kali Alyssa Delaila menghubungi tetapi telefonnya langsung tidak berjawab. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk terus memujuk. Hari minggu itu dia mengambil keputusan untuk ke rumah bakal emak mertuanya di Sabak Bernam.
Haji Saleh dan Hajah Rogayah menyambut baik kedatangan Alyssa Delaila. Setelah sejurus duduk bersama di ruang tamu, Alyssa Delaila bertanya lembut; “Fuad ada di rumahkah makcik?”
“Laaa… Dia tak beritahu kamu ke dia outstation?”
“Outstation? Ke mana?”
“Katanya… ke Johor.”
“Betul ke makcik? Tak ada pula dia beritahu saya apa-apa…” Jawab Alyssa Delaila kesal. Dia cuba menyembunyikan gelodak perasaannya di sebalik senyuman. “Tak mengapalah makcik.” Katanya kemudian. Hajah Rogayah nyata tidak tahu apa yang berlaku antara mereka. Tentu Fuad tidak akan menceritakan segalanya pada ibunya itu.
Sia-sia dia datang untuk memujuk. Jelas Fuad sengaja melarikan diri. Biarlah… Dia mencari ketenangan. Semoga bila dia pulang nanti, dia akan dapat menerima segalanya dengan hati terbuka, begitulah doa Alyssa Delaila ketika meninggalkan rumah kedua orang tua Fuad.
Dia memandu pulang. Hatinya terus diusik pelbagai peristiwa yang pernah dilaluinya bersama Fuad. Tidak dinafikan bahawa dia dan Fuad telah lama bersahabat. Dia sedar, bukan dia tidak menyukai Fuad langsung. Bohong jika dia katakan dia tidak sukakan lelaki itu. Dia suka padanya. Tetapi suka tidak bererti menyintai. Tetapi dia boleh belajar menyayangi Fuad sebagaimana seharusnya. Apa yang perlu dia fikirkan sekarang adalah masa depannya bersama Fuad.
Dia singgah di taman tasik Kuala Lumpur. Seperti biasa dia akan mengunjungi taman anggerik. Dia tetap menyukai tempat itu biarpun sekian tahun sudah pun berlalu. Bunga-bunga anggerik tetap ada di situ, mewarnai seluruh isi taman. Segar mewangi sepanjang musim. Mengapa cintanya tidak boleh menjadi seperti bunga anggerik, yang sentiasa mekar sepanjang masa?
Dia duduk sendirian di bangku, sambil mendail nombor telefon bimbit Fuad. Kali ini barulah Fuad menjawab panggilannya. “Aku baru balik dari rumah engkau tadi. Mengapa engkau tak beritahu engkau outstation?” Beritahu Alyssa Delaila. “Sia-sia aku pergi ke sana. Berharap nak jumpa engkau. Dah seminggu kita tak jumpa.”
“Perlukah aku buat laporan kepada engkau setiap pergerakan aku? Engkau pun masih berahsia segala-galanya. Kalau engkau pandai buat aku risau, aku juga tahu nak membalasnya… ” Kata Fuad tegas.
Alyssa Delaila menggigit bibir. Dia tidak sangka Fuad masih marah dan berdendam.
“Aku minta maaf kalau engkau masih marah, Fuad. Itu hanya perkara kecil saja, janganlah diperbesar-besarkan.”
“Perkara kecil?” Balas Fuad. “Perkara kecil itulah yang akan menjadi besar jika dibiarkan.”
“OK… Engkau mahu aku buat bagaimana lagi Fuad? Beritahulah. Aku akan cuba penuhinya.”
Fuad diam sejenak kemudian berkata; “Tak payahlah buat apa-apa.”
Hati Alyssa Delaila terasa sakit. Dia tidak berjaya memujuk Fuad. Lelaki itu ada ketikanya amat keras hati.
Mata Alyssa Delaila merayap ke seluruh taman itu, kemudian terhenti. Matanya terpaku, bibirnya terasa kering. Tangannya berpeluh dan telefon bimbit di dalam genggaman hampir-hampir terlepas.
“Tunggulah! Aku akan buat keputusan!” Kata Fuad, sambil menutup perbualan itu.
Alyssa Delaila buru-buru menyimpan telefon bimbitnya dan ingin beredar sahaja dari situ. Hatinya tidak tenteram. Kata-kata Fuad masih terngiang-ngiang di telinga. Keputusan apa yang hendak dibuat oleh Fuad? Memutuskan pertunangan mereka atau meneruskannya? Apa pula keinginan yang melekat dalam hatinya saat itu? Dia bangun perlahan-lahan ingin berlalu kerana dia tahu lelaki itu sedang berjalan ke arahnya. Tetapi suara lelaki itu yang menegurnya dengan mesra menghalang niat yang terkandung dalam hatinya.
“Laila… Tunggu dulu!”
Alyssa Delaila cuba melempar senyum ke arahnya, sambil membalas teguran itu.
“Ada apa Prof.?”
“Awak seorang diri? Atau menunggu seseorang?”
Alyssa Delaila tidak menjawab. Dia memerhati Prof. Dr. Ismadi yang berpakaian ringkas dan santai. Nampaknya mereka sama-sama bersendirian.
“Prof. buat apa di sini?”
“Saya mengambil gambar bunga-bunga anggerik yang cantik di taman ni…” Katanya sambil menunjukkan kamera digital di tangannya. “Awak sukakan bunga anggerik kan?”
Alyssa Delaila mengangguk. “Ya, memang suka. Kalau saya susah hati, inilah caranya saya menenangkan perasaan. Bersiar-siar di taman yang cantik ni.” Jawab Alyssa Delaila.
“Susah hati? Kenapa?”
Alyssa Delaila tidak menjawab dia hanya memandang jauh.
“Saya dah baca artikel yang awak tulis tentang saya di majalah Glitter tu. Bagus sekali. Saya suka…” Katanya dengan penuh berhati-hati.
Alyssa Delaila hanya mengangguk sahaja sambil mengucapkan terima kasih. Dia meminta diri, tetapi Prof. Dr. Ismadi terus berjalan disampingnya sambil berkata; “Biar saya temankan awak keluar dari taman ni… Boleh?”
Perpisahan dulu masih diingatinya dengan jelas, sakitnya masih terasa. Hari ini pertemuan itu telah mengembalikan kepiluan. Dia tidak sanggup untuk mengulanginya lagi. Berjalan beriringan lagi di sisinya… Dia berharap itu hanya mimpi, tetapi hari ini ianya jadi kenyataan.
“Lebih baik, jangan Prof..…” Pinta Alyssa Delaila.
“Kenapa? Awak takut ada orang lain yang nampak pertemuan kita di sini? Bukankah kita tak punya apa-apa perhubungan lagi. Apa yang saya harapkan hanyalah persahabatan.”
“Sahabat?” Kata Alyssa Delaila dengan dahi berkerut. “Tidak mungkin Prof. Persahabatan pun tidak mungkin terjalin lagi antara kita.”
“Begitu sekali awak mendendami dan marahkan saya kerana keputusan saya lima tahun lalu. Awak sedar, keputusan itu adalah demi masa depan awak. Awak sudah berjaya…”
Alyssa Delaila diam, mengangguk perlahan kemudian melanjutkan; “Saya bukan berdendam… bukan juga kerana sakit hati. Segala-galanya bukan…”
“Habis apa?” Tanya Prof. Dr. Ismadi. Mereka sama-sama terhenti melangkah, saling merenung. Lelaki itu memandang Alysa Delaila yang berdiri tidak jauh darinya. Alyssa Delaila memerhati dengan mata yang terus berkaca. Dia menyeka airmata yang menyentuhi pipi. Kepiluan ini hanya kurasai seorang diri. Tidakkah kau merasakannya? Dadanya terus berdebar-debar. Hatiku selalu tahu jika kau ada berdekatan… Barangkali itulah sebabnya mengapa dia singgah di sini hari ini, bisiknya sendiri. Tubuhnya terasa lemah longlai, tidak mampu meneruskan langkah.
“Laila, saya tak pernah melupakan awak. Semasa awak ada di sisi, saya yakin saya tidak memerlukan awak. Tetapi setelah awak pergi, saya baru sedar, awak memberikan erti yang sangat besar dalam hidup saya.” Serunya perlahan.
Masihkah perasaanmu sama seperti lima tahun lalu? Sambung Prof. Dr. Ismadi di dalam hati.
“Prof.” Balas Alyssa Delaila, suaranya tidak lagi setenang tadi, namun dia terus mencuba untuk bersuara biarpun suaranya mulai terdengar sedikit menggigil. “Saya sudah lama melupakan Prof. Jika saya belum melupakan Prof., masakan saya dapat menerima lelaki lain dalam hidup saya.”
“Begitu rupanya. Terima kasih kerana berterus-terang.” Ucap Prof. Dr. Ismadi menahan sendu. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, lantas dia menyeluk poket untuk mengambil handphone.
Prof. Dr. Ismadi bercakap di telefon dengan suara yang jelas dan terkawal. “Ya. Saya ingat. Saya akan datang. Saya memang tidak suka mungkir janji. Tapi mungkin saya terlewat sedikit.” Dia kedengaran ketawa.
Ah! Betapa Alyssa Delaila merindui suaranya yang garau itu. Betapa Alyssa Delaila ingin lagi melihat senyuman tawanya. Tetapi tidak mungkin! Alyssa Delaila menguatkan hatinya untuk melangkah pergi meninggalkan Prof. Dr. Ismadi yang masih bercakap di telefon bimbitnya. Namun langkahnya terhenti apabila terasa pergelangan tangannya dicengkam. Dia menoleh. Terkejut apabila melihat sebelah tangan Prof. Dr. Ismadi memegang pergelangan tangannya dengan kukuh, sementara sebelah tangan lagi memegang telefon bimbit.
Dia terus bercakap lagi; “Saya akan datang dalam masa sejam lagi boleh? Saya ada urusan yang penting sekarang ni.” Dia senyum ke arah Alyssa Delaila.
Alyssa Delaila membiarkan tangannya dipegang. Tiada usaha untuk meronta dan melepaskan diri. Seluruh hatinya kini dipenuhi dengan rasa yang dia tidak mengerti. Bahagiakah? Gembirakah? Dia tidak mengerti lagi perasaannya sendiri. Aneh sekali dalam masa yang singkat hatinya berjaya disembuhkan dengan hanya satu sentuhan.
“Batalkan sajalah jika tak boleh menunggu… Maafkan saya!” Prof. Dr. Ismadi mematikan handsetnya. Dia memandang Alyssa Delaila. Mereka saling bertatapan.
“Laila! Saya ingin bercakap lebih lama dengan awak. Saya amat merindui awak Laila!”
“Lepaskan tangan saya, Prof. Tak baik orang nampak.” Pinta Alyssa Delaila.
“Tidak. Saya takkan lepaskan kerana kali ini saya benar-benar tak mahu kehilangan awak.”
“Jangan buat begini Prof. Saya bukan lagi Laila yang dulu. Laila yang dulu tidak wujud lagi...”
“Tapi saya rindukan Laila yang dulu dan masih menyintai Laila yang ada di hadapan saya sekarang. Apa yang harus saya lakukan? Saya takkan benarkan awak pergi sebelum awak berjaya menyakinkan saya bahawa perasaan awak terhadap saya sudah hilang sama sekali.”
“Memang perasaan itu sudah tiada Prof. Bukankah saya sudah katakan bahawa saya sudah lama melupakan Prof.?”
“Saya tak percaya, mata awak… tubuh awak menyatakan sebaliknya.” Kata Prof. Dr. Ismadi masih mengeratkan pegangannya. Diperhati jari-jarinya Alyssa Delaila yang tenggelam dalam genggamannya. Dapat dia rasakan cincin dijari Alyssa Delaila yang menikam telapak tangannya.
“Saya tak boleh kata apa-apa Prof. Sebab saya sendiri terikat kini…”
Prof. Dr. Ismadi membuka tangannya, merenung cincin yang tersarung di jari gadis itu. Dia menganggukkan kepalanya, mengerti.
“Betapa pun saya menyesalinya, sudah terlambatkah Laila? Memang tiada peluang untuk kita bersama rupanya.” Serunya perlahan.
Alyssa Delaila merenung Prof. Dr. Ismadi di sisinya tanpa sebarang jawapan. Lelaki itu melepaskan pegangannya. “Katakan satu saja Laila, awak cintakan tunangan awak tu? Bolehkah saya tahu namanya?”
Alyssa Delaila mengeluh. “Tidak saya takkan beritahu namanya, Prof. Saya sayangkan dia. Banyak sebab mengapa saya sayangkan dia.” Jawabnya perlahan, langsung tidak menyakinkan.
Prof Dr. Ismadi mengangguk lagi. “Sayang… Apakah ada bezanya antara sayang dan cinta Laila? Siapakah lelaki yang awak cintai hingga kini?”
Alyssa Delaila tidak menjawab.
“I love you… always and forever, Laila.” Ucap Prof. Dr. Ismadi. “Sematkan kata-kata ini selama-lamanya dalam hati awak. Saya tidak akan meminta yang lebih dari itu. Selamat berbahagia bersama lelaki kau yang ‘cintai’, Lailaku sayang. Barangkali kita tidak akan bertemu lagi, di mana-mana di dunia ini. Biarpun hati saya tidak ingin menyatakannya, tapi saya rasa ini adalah pertemuan kita yang terakhir…”
Alyssa Delaila merenung sayu sebelum melangkah meninggalkan Prof. Dr. Ismadi. Airmatanya mengalir perlahan mengingati detik-detik pertemuan yang baru berakhir. Dikuatkan hatinya agar tidak menoleh. Tetapi kepalanya tetap tertoleh jua. Dia mendapati Prof. Dr. Ismadi masih berdiri di tepi lorong yang dikepung bebunga orkid, memerhati dirinya. Jika diikutkan rasa hatinya, mahu dia berpatah semula ke arah lelaki itu, tetapi dia tahu dia tidak boleh berbuat demikian.
Tanpa dia sedari, ada sepasang mata yang memerhati. Semua yang berlaku antara Prof. Dr. Ismadi dan Alyssa Delaila diketahuinya, walaupun dia tidak mendengar setiap ulas bicara mereka. Namun hatinya dibendung kemarahan yang tambah menggunung tinggi. Memang sudah seminggu dia mengambil cuti dan mengintip pergerakan tunangannya itu. Hatinya kuat menyatakan memang Alyssa Delaila tidak setia kepadanya. Dan mereka masih bertemu secara rahsia…
Tidak sia-sia segala usahanya… Dia melihat sendiri mereka bertemu.
Prof. Dr. Ismadi terus memerhati. Dapat dirasakan bahawa mereka tidak mungkin akan bertemu lagi. Kali ini aku benar-benar kehilanganmu buat kali ke dua. Relaku mati jika hidup tanpamu! Kata hati Prof. Dr. Ismadi sambil matanya terus memandang Alyssa Delaila yang bergerak pergi meninggalkannya. Dia meraba-raba dadanya yang tiba-tiba terasa sakit. Pandangannya berkaca-kaca. Dia membuka cermin mata, bergerak perlahan mencari tempat duduk. Dia mengurut dadanya perlahan-lahan dengan mata terpejam.
Bertenang… bisik hatinya. Dia meraba-raba handphone di dalam poket. Dia membuka matanya semula, matanya masih kelabu dan nombor-nombor di permukaan telefon tidak dapat dilihat dengan jelas. Namun dia akhirnya menemukan nombor telefon Sonia.
“Sonia… Tolong I…” Serunya perlahan. Mukanya jadi merah dan peluh memercik perlahan.
Bab 30
ALYSSA DELAILA tidak terus pulang, sebaliknya singgah di kompleks beli belah. Jika dia sedih, hampa dan kecewa, dia suka pergi window shopping. Seronok melihat barangan dan pakaian walaupun tidak berhajat hendak membeli apa-apa. Apabila dia terlihat sebuah salon rambut yang kelihatan lengang, dia masuk. Salah satu cara dia menghiburkan hati sendiri ialah dengan menukar fesyen rambut dan mengubah penampilan diri.
Dia keluar dari salon rambut itu dengan hati yang puas, melihat penampilan dirinya yang baru. Rambutnya yang hitam, kini diwarnakan dengan warna coklat gelap. Puas dia melihat fesyen rambutnya lebih trendy, sesuai dengan citarasa orang muda masa kini.
Lebih kurang pukul lima petang dia pulang ke rumah. Rasa hatinya sedikit tenang, seolah-olah sudah melupakan apa yang baru berlaku. Dia amat berharap tiada sesiapa pula yang akan mengungkitnya! Dia lebih rela menganggap itu semua hanya satu mimpi. Namun kata-kata Prof. Dr. Ismadi tidak mudah dilupakan begitu saja. Kata-kata itu mengekorinya ke mana dia pergi, menghambat di setiap ruang kosong yang ada dalam mindanya; “I love you… always and forever, Laila.” Ucap Prof. Dr. Ismadi. “Sematkan kata-kata ini selama-lamanya dalam hati. Saya tidak akan meminta yang lebih dari itu. Selamat berbahagia bersama lelaki kau yang ‘cintai’, Lailaku sayang. Barangkali kita tidak akan bertemu lagi, di mana-mana di dunia ini. Biarpun hati saya tidak ingin menyatakannya, tapi saya rasa ini adalah pertemuan kita yang terakhir…”
Kaulah lelaki yang kucintai selamanya Is! Engkaulah orangnya. Aku tidak kira, biar berapa jauh pun usia yang merentangi kita, aku akan selalu ingat pada kata hatiku sendiri. Aku cinta padamu jua, selamanya.
Dia menggigit bibir, cuba mengingat kembali wajah Prof. Dr. Ismadi. Ada cahaya yang bersinar lembut di matanya. Cahaya cinta yang tidak akan padam selamanya. Maafkan aku Is… Aku tidak mungkin dapat kembali lagi seperti dahulu, biarpun aku terlalu ingin berada di sampingmu.
Di rumah Safura memandang tajam ke arahnya, sebaik sahaja dia muncul di ambang pintu. Wajahnya kelihatan tegang, seperti sedang menahan marah. Alyssa Delaila cuba menegur emaknya dengan mesra tetapi Safura merengus kasar dan berkata; “Engkau ke mana, Laila? Keluar pagi-pagi buta, petang baru balik?”
Nada suara Safura yang berubah marah itu membuat Alyssa Delaila tersentak. Dia meletakkan beg plastik berisi buah epal yang baru dibelinya di minimarket berhampiran rumah tadi di atas meja makan. Tidak dihiraukan pertanyaan Safura itu. Bukan ibunya tidak tahu dia pergi ke Sabak Bernam untuk menemui Fuad. Tetapi lelaki itu tiada di rumah.
“Engkau keluar jumpa siapa?” Tanya Safura dengan suara yang keras.
“Laa… Kan ibu tahu Laila pergi ke rumah Fuad.”
“Kau pergi ke rumah dia pagi tadi…. Tak sampai satu jam pun engkau di rumahnya. Lepas tu engkau ke mana?”
Dahi Alyssa Delaila berkerut. Serangan pertanyaan Safura itu seolah-olah dia mengetahui segala apa yang dilakukan oleh Alyssa Delaila sepanjang hari itu. Ibunya tidak perasankah bahawa dia telah mengubah penampilannya? Langsung ibunya tidak memberikan sebarang komen semasa melihat dia masuk tadi.
“Laila pergi jalan-jalan. Potong rambut. Macamana cantik tak rambut baru Laila ni?” Dia tersenyum lantas duduk di hadapan emaknya. Safura menjeling masam dan bibirnya spontan tercebik.
“Pergi jalan-jalan kononnya! Engkau pergi jumpa jantan tu ya?” Kata Safura nada suaranya tetap keras seperti tadi.
“Apa maksud ibu?” Tanya Alyssa Delaila, dadanya berdebar-debar.
“Kau ingat aku tak tahu? Kau ingat Fuad tu apa? Tunggul? Engkau boleh mempermainkan hati dan perasaannya sesuka hati engkau Laila? Dah berkali-kali ibu pesan pada engkau… Jaga diri, jaga maruah! Engkau dah bertunang… Engkau akan bernikah tidak lama lagi, tapi mengapa engkau masih jumpa dengan lelaki tu? Engkau rahsiakan dari ibu, engkau pergi jumpa dia senyap-senyap. Engkau tulis cerita tentang dia… Engkau fikir ibu tak tahu… Ibu bukan bodoh Laila!”
“Ya Allah ibu… Itu kan tugas Laila. Cerita tentang Prof. Dr. Ismadi tu...” Tidak sempat dia menerangkannya pada Safura, ibunya terus menyampuk; “Hmmm… Senangnya engkau cakap. Jadikan tugas tu sebagai alasan. Sebenarnya engkau masih gilakan professor tua tu! Mengapa Laila? Mengapa engkau kecewakan hati ibu? Engkau kecewakan Fuad. Engkau kecewakan semua orang dengan tindakan engkau tu! Ibu tak tahu bagaimana lagi hendak menasihati engkau. Jangan malukan ibu Laila! Jangan sampai pertunangan ini terputus…”
“Ibu… Dari mana ibu tahu ini semua? Mengapa ibu tuduh-tuduh Laila jumpa dia secara rahsia. Tidak ibu… Kami tak pernah berjanji pun untuk berjumpa…”
“Jangan nak nafikan Laila. Takkan Fuad bohong? Dia nampak sendiri engkau berjanji dan berjumpa dengannya di taman tasik tengahari tadi!”
Alyssa Delaila terduduk, sambil memegang kepala yang bagaikan hendak meletup. Dia tidak sangka… Dia benar-benar tidak menduga, rupa-rupanya Fuad mengintip dirinya. Dia bukannya bekerja di luar Kuala Lumpur, seperti kata Hajah Rogayah. Rupa-rupanya lelaki itu mengintip pergerakannya. Hati Alyssa Delaila benar-benar diamuk rasa marah.
“Melampau!” Jeritnya. “Memang! Memang Laila jumpa Prof. Dr. Ismadi di taman tasik tadi, tapi kami tidak berjanji. Kami terserempak! Mengapa mesti Fuad intip Laila, lepas tu laporkan semuanya pada ibu. Mengapa? Dah lama dia buat kerja perisik tak bergaji?”
“Dia berhak buat begitu. Engkau tunang dia…”
“Berhak? Apa hak dia ibu? Kami baru bertunang. Laila bukannya isteri dia… Belum betul-betul jadi isteri, dah buat Laila macam ni! Kalau dah jadi isteri nanti, tak tahu macamana! Ahhh! Laila tak kisah ibu! Kalau dia nak putuskan pertunangan ni, putuslah! Laila tak peduli!!! Lebih baik putus tunang daripada hidup terkongkong, disekat kebebasan! Nampaknya makan hati berulam jantung setiap hari!” Kata Alyssa Delaila menggelengkan kepala dan terus berlari memanjat tangga naik ke tingkat atas. Dia benar-benar tidak tahan kerana Fuad memperlakukan dia seperti itu. Dia kehilangan privasi. Mengapa lelaki itu sanggup mengintip pergerakannya? Semuanya dilakukan kerana tiada rasa percaya dalam dirinya. Bagaimana mereka hendak membina sebuah rumahtangga yang bahagia sekiranya tiada sikap saling mempercayai, bertolak ansur dan memberikan sedikit ruang untuk bersendirian?
“Laila!” Panggil Safura, agak terkejut mendengar kata-kata Alyssa Delaila itu.
“Engkau jangan buat malu aku. Laila! Kalau engkau putus tunang, siapa yang mahukan engkau lagi?” Kata Safura dengan kuat. “Engkau ingat Professor tu mahukan engkau? Dia hanya nak main-main saja. Tengok dulu apa yang dia buat pada engkau? Apa?? Dia tinggalkan engkau menangis tak berlagu. Siapa yang ada di sisi engkau selama ini, Laila!” Jerit Safura.
Alyssa Delaila tidak mempedulikan kata-kata ibunya. Dia terus masuk ke bilik tidur lantas menutup pintu rapat-rapat.
Safura mulai bimbang. Memang Fuad datang ke rumahnya tadi dalam keadaan marah yang tak terhingga. Namun nasib baik dia berjaya memujuk dan menenangkan lelaki itu. Dia takut jika Alyssa Delaila bertindak memutuskan pertunangan itu kerana sudah bertemu semula dengan Prof. Dr. Ismadi. Kalut…
Safura berjalan mundar-mandir di ruang tamu rumahnya dengan kepala yang berat. Dia bimbang jika Fuad benar-benar berhasrat memutuskan pertunangannya dengan Alyssa Delaila. Terbuka luaslah peluang Prof. Dr. Ismadi untuk memiliki gadis itu. Tidak! Dia tidak rela itu semua berlaku…
Safura bergerak ke meja telefon, lantas menekan nombor telefon. Tidak lama kemudian dia mendengar suara menjawab panggilannya; “Kak Hajah…” Serunya perlahan. “Saya ni, Safura. Boleh kita bincang sikit hal Laila dengan Fuad?”
“Kenapa?” Tanya Hajah Rogayah.
“Mereka tu dah rapat sangat… Apa kata kalau kita cepatkan saja hari nikahnya? Kak Hajah setuju? Tak usah buat besar-besar sangat. Nikah gantung aje dulu… Lepas tu baru buat majlisnya kemudian, seperti mana yang dijanjikan masa bertunang dulu.”
“Nikah gantung?” Hajah Rogayah terkejut sedikit mendengar saranan Safura. “Tapi kenapa nak cepat-cepat sangat? Kan masanya pun dah tak lama lagi, buat sekali ajelah. Buat apa nak nikah gantung dulu?” Tanya wanita itu kebingungan.
“Itulah… Saya bimbangkan Laila tu, berkepit ke hulu ke hilir… Orang keliling asyik mengata, sebelum apa-apa berlaku, baik disegerakan…” Safura teragak-agak mencari alasan yang munasabah. “Mereka tu rapat sangat, saya bimbang… Maklumlah anak muda sekarang. Kalau tergelincir iman macamana? Kita yang tanggung dosa, Kak Hajah.”
“Tengoklah dulu. Saya bincang dulu dengan abah Fuad dan Fuad sekali. Esok awak telefonlah semula…” Kata Hajah Rogayah sambil meletakkan gagang.
Hati Safura masih belum senang mendengar kata-kata Hajah Rogayah. Dia tetap mahu melaksanakan rancangannya. Alyssa Delaila dan Fuad harus disatukan secepat yang mungkin.
“BILA kali terakhir you menjalani pemeriksaan kesihatan, Is?” Tanya Sonia sambil memandang muka Prof. Dr. Ismadi yang pucat. Dia terbaring lesu di sofa, di rumah Sonia. Wanita itu mengajaknya pulang, membiarkan dia berehat dan tidur selama beberapa jam. Setelah Prof. Dr. Ismadi terjaga, dia membancuhkan segelas susu hangat.
“Dah agak lama tak jalani pemeriksaan…” Jawab Prof. Dr. Ismadi. “Sibuk memanjang.”
“You harus jalani pemeriksaan supaya tahu tahap kesihatan you, Is. Pada usia macam ni harus lebih banyak berjaga-jaga dari segala segi. Pemakanan, senaman dan emosi.”
“You nak kata I dah tua?” Kata Prof. Dr. Ismadi sambil tersenyum pahit. Dia bangun dan duduk. Tangannya mencapai gelas berisi susu, meneguknya sedikit kemudian meletakkannya kembali di atas meja kopi.
“Memang I tak pernah rasa sakit dada atau tidak selesa sebelum ini. Tadi I rasa dada I sesak, sukar bernafas dan rasa sakit.” Katanya perlahan. “Apakah itu tanda-tanda serangan jantung?”
Sonia tidak menjawab. Dia diam sahaja biarpun dia tahu serba sedikit tentang tanda-tanda serangan jantung. Antaranya sakit dada atau tidak selesa, kesakitan atau tidak selesa di bahagian tangan kiri, rahang ataupun perut. Pengidap juga rasa sesak nafas, berpeluh atau pening. Tubuh cepat penat terutama semasa stres.
“I perasan you stres selepas jumpa Laila…” Kata Sonia.
Prof. Dr. Ismadi tidak menjawab. Dia terus minum perlahan-lahan. Sonia berkata pula dengan nada memujuk; “Nak jumpa doktor? Kita pergi lepas ni… I pun dah siap. Lepas tu I hantar you balik ke Bangi.”
Prof. Dr. Ismadi mengeluh. “Di rumah pun tak ada sesiapa…” Jawabnya kesal.
“Itulah… Kenapa you tak kahwin? Sekurang-kurangnya ada orang jaga you ketika you sakit.” Kata Sonia.
“Semuanya dah terlambat Sonia…” Jawab Prof. Dr. Ismadi. Terkadang dia merasakan tidak perlu menemui doktor. Biar sahaja keadaannya itu berlarutan. Dia pun sudah puas hidup. Untuk apa hidup lebih lama? Dia tidak meminta apa-apa lagi dari Tuhan. Semuanya sudah dia miliki.
“Macamana? Nak I bawa jumpa doktor jalani pemeriksaan?” Sonia cuba menyakinkan Prof. Dr. Ismadi supaya menjalani pemeriksaan kesihatan. Memang wajar setiap orang mengambil peluang membuat rawatan awal. Lebih mudah mengawal penyakit dari merebak berbanding membuat rawatan setelah diserang penyakit serius tanpa disedari di kemudian hari.
Prof. Dr. Ismadi menggeleng. “Tak apalah.” Dia menggeleng. “I rasa dah ok. Tadi I penat sangat, sebab itulah rasa macam nak pitam.” Jawabnya sambil bangun berdiri.
“Lebih baik I balik sendiri… Sorry, tadi menyusahkan you. I tak tahu nak hubungi siapa lagi. Hanya terfikirkan you saja saat tu…”
Sonia mengangguk. Sedikit sebanyak dia merasakan dirinya dihargai dan kehadirannya diperlukan. Prof. Dr. Ismadi menepuk bahunya perlahan sambil tersenyum dan bergerak ke pintu.
“Thanks.” Katanya sepatah sebelum bergerak keluar.
Bab 31
ALUNAN lagu ‘Ocean Deep’ bergema perlahan dari corong radio kereta. Suara serak Cliff Richard membelai perasaannya. Hari itu dia memulakan perjalanan ke destinasi yang tidak pasti. Hari itu dia ingin meninggalkan segalanya di belakang. Dia tidak tahu mengapa dia harus melarikan diri begitu. Dirasakan setiap apa yang dilakukannya satu kesilapan. Kesilapan yang tidak boleh diundur semula.
Mengapa dia harus meluahkan segala rasa hatinya terhadap Alyssa Delaila semalam? Mengapa? Soalnya. Bukankah dia sudah bertekad tidak akan berpaling semula ke belakang. Dengan meluahkan apa yang dirasa, memang jiwanya rasa sedikit tenang. Tetapi bagaimana pula penerimaan Alyssa Delaila? Bukankah pengakuan cinta dan rindunya itu akan membuat perasaan gadis itu tergugat?
Aku telah kecundang… bisiknya sendiri. Aku telah gagal menahan diriku dari meluahkan semua perasaan yang ada dijiwa ini. Kini retak sudah semua impian, hancur lebur jadi debu. Mengapa dia harus lari? Dan daripada siapakah dia ingin melarikan diri?
Bunyi telefon bimbitnya membuyarkan segala lamunan. Dia memandu ke tubir jalan, berhenti untuk menjawab telefon.
“Ya?” Sahutnya malas.
“You di mana Is? Kenapa belum datang lagi ke pejabat? Lupa pasal meeting you dengan Datuk Dahlan pagi ni? Dah setengah jam dia tunggu you…” Suara Sonia separuh mendesak, cemas dan mengandungi kegelisahan yang tidak dapat disembunyikan.
Prof. Dr. Ismadi diam seketika, hilang kata-kata untuk menjawab.
“I tak sihat…” Akhirnya dia menjawab. “Batalkan semua appoinment, meeting atau apa saja hari ni. I nak rehat selama beberapa hari…”Jawabnya lantas terus mematikan panggilan. Dia kembali memandu dan sekali lagi dia kembali tenggelam dalam lautan khyalan yang tidak bertepi.
Semakin jauh dia ingin melarikan diri, semakin dekat terasa. Dia ingin cepat kembali, menyatu dalam kemeriahan tawa yang pernah mereka nikmati bersama. Apakah aku dah hilang akal? Bentak hatinya sendiri. Dia memusing kereta kembali semula ke Kuala Lumpur. Dia pulang ke rumahnya di Bangi. Rumah itu benar-benar sepi. Dia berdiri sahaja di tengah-tengah ruang tamu yang luas, memandang setiap perabot yang kaku dan dingin.
Pembantu rumah keluar dari dapur lantas menegurnya; “Tuan nak minum atau makan? Saya akan hidangkan makanan sebab jam pun sudah pukul dua belas lebih…”
Dia menggeleng. “Biarlah dulu. Bawakan saja minum ke perpustakaan.” Dia berkata sambil berjalan ke arah pintu bilik perpustakaan yang bertutup rapat. Dia tidak punya selera untuk makan. Pagi tadi pun dia hanya meminum segelas susu segar.
Pembantu rumahnya, Minah mengangguk.
Dia duduk menghadapi meja yang kosong, kepalanya tersandar ke kusyen. Dia rasa penat. Penat menghadapi semua ini! Dia sepatutnya sudah boleh berehat dengan tenang, melakukan amal ibadah yang banyak dan bukannya masih tenggelam dalam kemelut perasaan yang tidak berkesudahan. Dia sepatutnya menginsafi diri, bahawa usia sudah semakin jauh mengheret dia supaya bersiap siaga untuk berangkat ke alam yang lain. Dia sepatutnya melupakan hal-hal duniawi dan mengisi masa yang tersisa dengan mengingati kematian…
Dia menggenggam tangan cuba mencapai pen yang terletak di atas meja. Entah mengapa dia terfikir hendak menulis. Dia perlu menulis sesuatu buat anak-anak perempuan dan lelaki yang dimilikinya. Satu persatu nama anak-anaknya melintasi minda. Dan akhirnya dia teringatkan Haiqal. Dia bersyukur selama 3 tahun kebelakangan ini hubungannya dengan Haiqal sudah pulih. Sejak berkeluarga, Haiqal menerima dirinya semula penuh hormat dan kasih sayang sebagai seorang bapa.
Tangannya direntang untuk mencapai pen yang ada di tengah-tengah meja. Dia merasa seluruh kaki dan tangannya kebas. Dia tidak menghiraukan rasa kebas tersebut. Dia letih… fikirnya, tetapi dia perlu mencatat sesuatu buat anak-anak.
Minah datang membawa minuman untuknya. Dengan tertib wanita itu meletakkannya di tengah-tengah meja.
“Sudah masukkah waktu zohor?” Dia bertanya. Wanita itu nampak terkejut mendengar pertanyaan Prof. Dr. Ismadi itu.
“Pukul satu dua puluh, spontan matanya memandang ke arah jam besar yang terdapat di dinding perpustakaan kecil minit, baru masuk zohor tuan.” Jawabnya dengan penuh hemat.
Dia mengangguk, mengucapkan terima kasih lantas terus menulis semula. Dia membaca apa yang tertulis lantas menyelitkannya dicelah-celah organiser. Dia merenung handphone yang ada di meja. Perlukah dia menghubungi wanita muda itu? Tidak. Biarkan dia bahagia.
DUA lelaki kini mengisi mindanya. Yang mana satukah yang lebih baik untuk dirinya? Dia tidak tahu! Dia benar-benar bingung memikirkan mereka berdua. Fuad dengan kerenah yang tersendiri, Prof. Dr. Ismadi pula bagaikan mahu merayunya kembali. Untuk apalagi dia meluahkan segala perasaannya? Jika cinta itu sudah hilang, mengapa dia harus meminta kata-katanya disimpan?
Alyssa Delaila tergeleng sendiri. Hari itu dia tiada semangat untuk melakukan apa-apa. Selalunya dia sibuk dengan assignment sepanjang hari, tetapi hari itu tiada satu assignment pun. Sepanjang pagi hingga ke petang dia hanya di pejabat, cuba menyudahkan apa saja kerja yang tersisa. Tetapi dia tidak punya idea untuk menyiapkan artikel yang sedang dikarang. Akhirnya dia bangun menuju ke pantry. Perut terasa lapar. Tengahari tadi pun dia hanya makan roti, tiada selera hendak menjamah nasi.
Dia membancuh nescafe. Sayangnya semasa hendak menuang susu, mug yang berisi nescafe terbalik akibat tersentuh lantas tertumpah menimpa tangan. Dia mengaduh sendirian, tangannya tercurah air panas yang baru dituang ke dalam mug.
Hmmm… Kenapa ni? Hari ni semua yang aku buat serba tak kena. Dia mengelap meja yang dipenuhi air. Meja yang beralaskan seperah putih bersulam bunga ros merah itu kelihatan comot. Dia menggelengkan kepala sendiri. Cepat-cepat dia meninggalkan pantry, tidak sanggup untuk melihat pemandangan yang menyakitkan mata itu. Tidak jadi dia hendak meneguk minuman bagi membasahkan tekak. Dia kembali ke meja, mencapai beg tangan dan berjalan keluar. Jam sudah menunjukkan ke angka empat tiga puluh petang. Sebentar lagi sudah tiba waktu balik. Lebih baik dia minum di gerai yang ada di hadapan pejabatnya itu sebelum melangkah pulang.
Petang itu suasana di rumah juga tidak seperti yang dijangkakan. Safura sibuk di dapur, menyediakan makan malam. Dahinya berkerut melihat Alyssa Delaila yang pulang awal. Selalunya kalau ada assignment luar, dia pulang lewat malam.
“Cepat balik? Tak ada assignment?” Alyssa Delaila menggelengkan kepala sahaja. Dia memerhati meja makan yang penuh dengan makanan.
“Banyaknya masak…” Katanya spontan.
“Ada orang nak datang.” Jawab Safura acuh tak acuh.
Alyssa Delaila ingin bertanya tetapi entah mengapa mulutnya terasa berat hendak meneruskan kata. Siapa pula yang akan datang? Barangkali bapanya serta adik beradiknya yang akan datang makan malam di rumah. Alyssa Delaila naik ke bilik sambil diperhati oleh Safura bersama keluhan panjang.
Mengapa dia balik awal? Bagaimana nak suruh dia keluar, semasa ibubapa Fuad datang nanti? Tak sangka pula dia tak ada assignment hari ni… Selalu tu dia balik lewat, Safura merungut sendiri, sambil mengacau sayur labu kuning masak lemak di dalam periuk.
Selepas Isyak Alyssa Delaila terdengar bunyi dua buah kereta berhenti di hadapan rumah. Dia menjenguk di tingkap dan terlihat kereta ibubapa Fuad dan sebuah kereta lain. Lampu ruang depan menyala terang. Ibunya buru-buru keluar membukakan pintu pagar lantas mempersilakan mereka masuk. Dia dapat melihat wajah-wajah tetamu ibunya malam itu. Mengapa bapa saudara dan emak saudara Fuad juga datang pada malam itu? Untuk apa mereka datang?
Dadanya berdebar-debar. Mereka datang untuk memutuskan pertunangan mereka? Fuad nekad untuk memutuskannya? Dia memang marahkan Fuad kerana mengintip dirinya. Dia sengaja tidak menghubungi Fuad. Lelaki itu juga membisu seribu bahasa. Dia membuka pintu biliknya perlahan-lahan, ingin mendengar apa yang mereka bincangkan. Dia tidak berani turun. Dia rasa malu hendak berdepan dengan ibubapa serta saudara mara Fuad yang ada di tingkat bawah. Apa yang harus dia buat sekarang?
Dia merapatkan daun pintu, bergerak ke meja tulis dan mencapai telefon bimbit. Akhirnya dia menghubungi tunangannya. Tentu Fuad ada jawapan mengapa mereka datang ke rumahnya malam itu.
“Mereka nak bincang pasal kita…” Kata Fuad tenang. “Mereka berpakat hendak menikahkan kita secepat mungkin.”
Alyssa Delaila terkejut. “Apa?” Tidak keruan rasa di hati saat itu.
Dia teringat pada semua perbuatan Fuad. Bukankah Fuad menjadi perisik tidak bergaji selama seminggu, memerhati setiap gerak gerinya. Kini keluarga lelaki itu mahu mengajaknya menyegerakan perkahwinan mereka pula.
Dia menahan marah dan geram, lantas bersuara dengan cepat. “Tak mahulah! Aku tak mahu kahwin mengejut macam ni… Kan kita dah rancang nak nikah enam bulan lagi? Kenapa pula nak kahwin secepat mungkin?” Kata Alyssa Delaila dengan bibir tercebik. Dia masih rasa sakit hati kerana tindakan Fuad mengintipnya, lantas mencetuskan pergeseran antara dia dan Safura.
“Bukan permintaan aku, tetapi ibu engkau… Ibu engkau beria-ria menyakinkan keluarga aku supaya kita nikah segera.” Jawab Fuad tegas.
Alyssa Delaila rasa terhina mendengar kata-kata Fuad, seolah-olah dia barang yang tidak berperasaan boleh ditolak dan ditarik ke tengah ke tepi. Dia tidak punya peluang untuk menetapkan pendirian. Sejak dulu, Safura memperlakukan dia seperti itu! Segalanya mesti diatur oleh Safura. Dia menggigit bibirnya dengan kuat. Dia tahu dia tidak berupaya membantah. Dia tidak berupaya berbuat apa-apa selagi berada di bawah satu bumbung dengan Safura, selagi dia menjadi anak kepada wanita itu.
“Jadi, engkau setuju saja?”
“Engkau tak setuju?” Fuad memulangkan pertanyaan. Sinis sekali.
Alyssa Delaila terdiam. Dia menarik nafas dan berkata; “Bukan tak setuju… Tapi…”
“Tapi apa? Masih simpan hasrat hendak kahwin dengan Prof. Dr. Ismadi?”
“Fuad!” Alyssa Delaila terjerit dan hampir mencampak telefon bimbitnya.
“Kadang-kadang aku rasa, kau sebenarnya tak pernah sayangkan aku… Hanya aku saja sayang dan cintakan kau setengah mati. Hanya aku yang bagaikan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Entahlah. Aku pun sebenarnya bingung. Kalau kita benar-benar jadi kahwin, bagaimanakah nanti rumahtangga kita? Akan bahagia atau bercakaran seperti sekarang?” Telefon terus dimatikan. Alyssa Delaila tersentak. Tekaknya terasa kering. Dia terdiam memandang saja ke arah telefon yang kaku.
Di tingkat bawah terdengar hilai tawa serta bunyi pinggan mangkuk berlaga. Suara perbualan terdengar jelas. Alyssa Delaila merenggangkan daun pintu, dia mendengar bunyi tapak kaki menaiki tangga. Muncul ibunya yang baru naik.
“Marilah turun makan sekali…” Ajak Safura sambil melempar senyum.
“Laila masih kenyang.” Jawabnya sambil menutup pintu rapat-rapat. Dia bersandar pada daun pintu. Airmatanya tergenang. Saat itu telefon bimbitnya berteriak nyaring. Dia berjalan lambat bagi menyambung panggilan. Ternyata panggilan itu datangnya dari Fuad.
“Aku minta maaf…” Kata Fuad perlahan, “Aku sayangkan engkau dan tak mahu kehilangan engkau. Kadang-kadang aku memang cemburu…”
“Bukan kadang-kadang…” Balas Alyssa Delaila. “Engkau memang sentiasa cemburu. Cemburu buta.”
“Benar. Memang aku cemburu tapi bukan cemburu buta. Aku nampak sendiri dengan mata kepalaku, dia pegang tangan engkau dan engkau membiarkan saja. Kalau engkau jadi aku, apa yang akan engkau lakukan saat itu? Hatiku mendidih, marah dan meradang. Aku rasa seperti hendak pergi tumbuk mukanya! Aku terus ke Selayang, mengadu pada ibu engkau apa yang aku lihat.” Akui Fuad berterus-terang.
“Jika ikutkan hatiku memang aku berputus asa dengan engkau Laila. Walaupun aku sayang dan cintakan engkau sepenuh hati, tetapi aku tak boleh terima itu semua. Engkau masih cintakan dia? Aku ni hanya melukut di tepi gantang. Hanya part time lover bagi engkau kan? Masa kecewa dan sepi, aku yang ada di sisi engkau selalu.”
Alyssa Delaila terdiam. Dia cuba memahami perasaan Fuad yang tercabar. Dia sedar dia juga bersalah. Mengapa dia mesti membenarkan Prof. Dr. Ismadi memegang tangannya? Bukankah selama ini Fuad sekali pun tidak pernah menyentuh tangannya biarpun mereka sudah bertunangan?
“Kalau engkau tak setuju perkahwinan ni terjadi, engkau mesti suarakannya sekarang Laila. Jangan sampai terlewat… Aku pun tak tahu nak kata apa lagi! Aku tak mahu memaksa engkau… Engkau dengar tak Laila? Segalanya terpulang pada engkau. Tapi engkau harus berani berdepan dengan ibu engkau dulu. Apa juga yang akan engkau lakukan, aku tak salahkan engkau… Buatlah sesuka hati. Aku hanya nak lihat engkau bahagia… Kalau engkau rasa takkan bahagia bersamaku, engkau pergilah kepadanya…” Kata Fuad lagi, suaranya terdengar sayu dan mersik. Hati Alyssa Delaila tersentuh. Dia diam, namun airmatanya mengalir. Suaranya tersekat. Dia tidak mendengar lagi suara Fuad di hujung sana. Dia memanggil perlahan. “Fuad… Aku…”
Dia tidak dapat meneruskan kata. Suara Fuad sudah hilang. Talian terputus sudah. Apakah pertunangan mereka juga begitu? Alyssa Delaila perlahan-lahan membuka pintu, melangkah turun dengan berhati-hati. Ketika dia tiba di kaki tangga, semua yang sedang duduk menghadapi meja makan, memandang serentak padanya.
Alyssa Delaila melempar senyuman. Safura mendekati dan terus memimpinnya ke arah meja makan. Dia duduk di salah sebuah kerusi yang kosong. Hatinya berbelah bahagi, dadanya berdebar-debar kencang. Apakah dia akan menyuarakan hasrat hatinya di hadapan mereka? Safura tidak akan mampu berbuat apa-apa…
“Pakcik, boleh saya tanya sesuatu…” Dia menghalakan mukanya ke arah Haji Saleh. Kemudian memandang pula Hajah Rogayah.
Haji Saleh tersenyum dan menjawab; “Boleh, tanyalah Laila.”
“Seorang anak yang baik tidak akan membantah kata-kata ibunya kan? Seorang anak yang solehah itu akan menurut semua kehendak ibunya tanpa sebarang bantahan walaupun hatinya tidak begitu merelakannya… benarkah begitu pakcik, makcik?”
Muka Safura sudah kelat mendengar pertanyaan Alyssa Delaila. Tetapi dia tidak bersuara apa-apa. Tangannya sedikit menggeletar kerana terlalu marah. Kepalanya terasa berangin. Dia bagaikan hendak mencubit paha anaknya yang duduk bersebelahan dengannya itu, tetapi dia tidak dapat berbuat begitu. Dia cuba bertenang, tetap memaniskan muka sambil sibuk menceduk nasi ke dalam pinggan.
Haji Saleh mengangguk. Dia sebenarnya tidak mengerti apakah maksud yang tersirat di sebalik pertanyaan Alyssa Delaila itu.
“Pakcik dan makcik orang yang mengetahui, taat pada agama. Saya ni serba kekurangan makcik. Layakkah saya jadi menantu pakcik dan makcik? Saya bekerja sebagai wartawan pakcik, makcik. Barangkali saya akan selalu balik lewat, akan hampakan suami saya… Saya takut saya tak dapat jadi seorang isteri yang solehah…”
Hajah Rogayah mengerut kening. Dia sedar sesuatu. Alyssa Delaila cuba menyuarakan hasrat di hatinya. Apakah dia setuju dengan perkahwinan ini? Atau dia punya sebab-sebab lain?
“Mengapa cakap macam tu?” Tanya Haji Saleh. “Kami memahami keadaan engkau. Betul. Jadi wartawan akan selalu balik lewat, keluar rumah tinggalkan suami dan anak-anak. Tapi demi tugas tak mengapa. Selagi suami mengizinkan tidak menjadi hal. Pasal anak solehah tadi, juga betul… Tak boleh bantah kata-kata ibubapa selagi mereka tidak menyuruh ke arah maksiat. Kalau mereka suruh buat jahat, barulah bantah.” Jawab Haji Saleh sambil tersenyum.
“Terima kasih abang Haji dan Kak Hajah.” Sampuk Safura dengan cepat. “Saya ni memang kurang sikit dari segi agama. Itulah kalau ada jodoh mereka berdua, diharapkan abang Haji dan Kak Hajah boleh bimbing Laila dan saya sendiri.” Kata Safura sambil ketawa-ketawa… Ketawa yang penuh dengan kepura-puraan.
Hajah Rogayah mengangguk. “Tak jadi masalah.” Jawab mereka suami iseri serentak.
“Jemputlah makan.” Pelawa Safura sambil berharap Alyssa Delaila tidak lagi berkata sesuatu yang boleh membuat pasangan suami isteri itu curiga. Selepas makan dia sengaja menyuruh Alyssa Delaila mengemas pinggan mangkuk sementara dia mengajak tetamu-tetamunya ke ruang depan.
Alyssa Delaila mengemas sendirian di dapur. Dia hanya berserah pada takdir, jika benar jodohnya dengan Fuad, dia akan terima segalanya dengan redha. Dia tidak akan berbuat sesuatu yang akan menjebak diri ke arah kehancuran. Dia sedar, dia akan mendapat ibubapa mentua yang penyayang dan baik hati. Justeru itu, diam-diam dia menerima keadaan itu seadanya.
SELEPAS ibubapa dan saudara mara Fuad pulang, dia menghubungi lelaki itu sekali lagi. Fuad memang menunggu panggilan darinya. Dia cuba bersuara dengan tenang, meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya. Dia perlu berterus-terang dan memberitahu isi hatinya.
“Fuad… Sebelum aku cakap sesuatu, aku harap kau maafkan aku terlebih dahulu. Sebab apa yang hendak aku cakapkan ini memang sangat menyakitkan hati engkau… Aku tahu, aku kejam kerana mengakui hakikat ini. Tetapi bukankah lebih baik kita berterus-terang? Lebih baik kita belajar memahami hati masing-masing…”
Fuad diam dan mendengar.
“Aku mengaku memang aku sentiasa merindui dan masih menyintai Prof. Dr. Ismadi. Aku berangan-angan untuk bertemu dan bersama dengannya semula. Kerana dirinya, buat aku mengenali siapa aku… Dia buat aku merasai diri aku ini seorang wanita istimewa, anggun dan menarik. Kenanganku bersama sangat indah, walaupun terkadang disulami deraian airmata. Tetapi aku tetap merasakan menyintai dirinya adalah satu keindahan. Bukan kerana dia seorang yang terkenal, berkelibar… Tidak. Aku tidak dapat menerangkan kepada engkau siapakah dia, hanya hatiku saja yang kenal siapa dirinya.
Fuad, tahukah kau dia berkali-kali menolak cintaku? Dia berkali-kali menyatakan tidak menyukai dan menyintai aku, tetapi aku tak percaya. Aku terus memburu, mengejar dan mendambakan dirinya. Sehinggalah suatu masa dia menyatakan dia cinta padaku. Saat itu aku merasa diriku di puncak bahagia. Aku tidak peduli apa orang kata. Kami takkan dapat memuaskan hati semua orang. Yang penting diri kami… Cinta kami dan kebahagiaan kami.” Alyssa Delaila diam sejenak kemudian menyambung lagi; “Namun kebahagiaan kami hanya sejenak. Kami terfitnah lantas dia melarikan diri ke Sabah. Sekali lagi kami terputus hubungan begitu saja tanpa salam perpisahan. Aku tak puas hati. Aku mahukan kata putus dari mulutnya sendiri. Aku mahu dengar dia menyatakan bersetuju untuk melepaskan aku… Aku mencarinya hingga ke Sabah. Dan dia telah memutuskan perhubungan kami. Selama lima tahun ini aku tidak pernah melupakan dirinya… Setiap berita atau cerita tentang dia aku gunting dan simpan… Hinggalah baru-baru ini kami bertemu. Bertemu tanpa aku duga. Editorku, Puan Normah mahu aku buat interview dengannya.”
“Aku tak tahu mengapa aku harus berdandan cantik pada hari itu. Yang pasti pertemuan itu buat aku teruja, akan bertemu semula dengan lelaki yang kucintai. Dia juga terpegun. Kami sama-sama tertawan kembali. Tapi aku sedar… Aku dah jadi milik orang lain. Kita dah bertunang. Aku tak boleh lagi kembali menjadi diriku yang dulu. Aku sedar aku milik engkau Fuad. Aku sayangkan engkau… Aku sayangkan ibuku, tak mahu kecewakan dia. Jadi aku beritahu Prof. Dr. Ismadi aku dah bertunang dan akan bernikah tidak lama lagi. Dia menerima berita itu dengan tenang. Tapi aku tahu dia sedih. Dan kemudian kami bertemu sekali lagi di Taman Tasik KL. Sekali lagi dia mengucapkan perpisahan buatku… Aku rasakan ini adalah perpisahan yang benar-benar satu perpisahan… Perpisahan buat selama-lamanya, walaupun aku belum dapat melepaskan dirinya dari hatiku.” Airmata Alyssa Delaila mengalir perlahan.
Fuad hanya mengeluh, dia tidak bersuara apa-apa.
“Tapi malam ni, aku redha… Aku redha dengan suratan yang telah ditentukan buatku Fuad. Aku terima jodoh ini. Aku terima dengan hati terbuka. Percayalah abang…” Tiba-tiba dia memanggil Fuad ‘abang’. Fuad tersentak tetapi dia masih diam. “Laila akan setia sebaik sahaja Laila menjadi isterimu. Laila akan lepaskan dia, lupakan dia buat selama-lamanya. Tapi izinkan Laila bertemu lagi dengannya… Kalau selama ini dia sentiasa mengucapkan perpisahan, tetapi kami tetap jua bertemu, kali ini biarlah Laila yang ucapkan perpisahan itu padanya, dengan sesungguh hati. Biar Laila leraikan ikatan hati kami berdua. Semoga selepas itu, kami takkan bertemu lagi sampai bila-bila… Apakah abang izinkan Laila bertemu dengannya?”
Fuad diam beberapa ketika kemudian barulah menjawab; “OK.”
Alyssa Delaila juga diam mendengar ungkapan itu. Tidak lama kemudian Fuad bersuara lagi; “Dengan satu syarat. Abang temankan Laila berjumpa dengannya, setuju?”
“Setuju.” Jawab Alyssa Delaila sepatah, sambil menyeka airmata yang mengalir di pipinya sekian lama.
Bab 32
“TUAN…” Seru Minah perlahan sambil menolak pintu bilik tidur Doktor Ismadi yang tidak berkunci. Doktor Ismadi memang meminta Minah mengejutkannya. Pelik juga rasa hati Minah kerana tidak pernah Prof. Dr. Ismadi meminta dia mengejutkannya di waktu subuh-subuh begini. Kalau dia hendak bersalat subuh sekalipun dia akan bangun sendiri tanpa perlu dikejutkan.
Namun mengingatkan pesanan Prof. Dr. Ismadi berkali-kali sebelum masuk tidur semalam, Minah mengikut sahaja. Dia menjengukkan muka sambil memandang ke arah katil. Bilik itu kelihatan agak gelap. Dia memetik suis lampu yang terdapat di tepi pintu sambil terus memanggil perlahan; “Tuan?”
Di atas katil, Prof. Dr. Ismadi terbaring masih berselimut. Biarpun lampu sudah dinyalakan terang, tetapi dia tetap tidak terjaga. Minah berjalan perlahan mendekati katil. Teragak-agak dia hendak menyentuh bahu lelaki itu. Matanya kelihatan terpejam rapat, sungguh tenang sekali dia tidur tanpa sebarang dengkuran. Minah menghulur tangan lantas menyentuh bahu Prof. Dr. Ismadi.
“Tuan… Bangunlah!” Serunya agaknya kuat.
Dahinya berkerut kerana tiada sebarang sahutan. Dia memerhati dada lelaki itu. Tetap seperti tadi, tenang. Denyut nafas dalam dadanya amat perlahan dan hampir-hampir tiada. Ehhh… Kenapa ni? Dada Minah berdebar-debar. Dia menolak selimut lelaki itu perlahan, memberanikan diri meraba-raba dada yang bersalut pijama berwarna putih bersih. Tidak langsung terasa denyutan jantung lelaki itu. Dia terkejut spontan kakinya terundur beberapa tapak ke belakang. Apa dah jadi ni? Dia pengsan?
Minah bingung, tidak tahu apa yang berlaku. Seluruh tubuhnya menggeletar, dia memandang lelaki yang terbaring tidak bergerak-gerak itu. Kenapa jantungnya terhenti? Fikirnya sendiri. Apakah dia sudah mati?
“Ya Allah…” Serunya perlahan. Cepat-cepat dia bergerak ke meja telefon di tepi katil, menghubungi Haiqal. Begitu cemas sekali suaranya. Dia turut meminta anak itu menghubungi adik beradiknya yang lain. Kemudian dia berlari turun memanggil suaminya. Dia turut menghubungi doktor peribadi lelaki itu.
Tidak lama kemudian Haiqal datang bersaingan dengan Doktor Malik. Kedua-duanya terus menuju ke bilik Prof. Dr. Ismadi. Doktor Malik membuat pemeriksaan.
“Seseorang yang mengalami jantung terhenti atau serangan jantung akan pengsan secara tiba-tiba, tidak sedarkan diri, tiada nadi dan tiada pergerakan nafas.” Kata Doktor Malik.
“Serangan jantung?” Haiqal terperanjat mendengar kata-kata Doktor Malik.
“Dianogsis yang pasti cuma boleh dibuat dengan mengukur aktiviti elektrikal jantung dengan ECG. Sebaiknya dibawa secepatnya ke hospital.”
“Mak Minah! Call ambulans!!” Jerit Haiqal dari tingkat atas.
SONIA melihat kehadiran Alyssa Delaila bersama Fuad, dia segera datang mendekat. Memang dia yang menghubungi gadis itu, mengkhabarkan keadaan Prof. Dr. Ismadi yang tenat, setelah mendapat serangan jantung. Sekumpulan doktor dan diketuai oleh seorang pakar bedah sedang menjalankan pembedahan ke atasnya. Semoga dia dapat diselamatkan. Memang serangan jantung kali pertama boleh membawa maut jika terlewat dibawa ke hospital.
Sonia memerhati ke arah Haiqal yang sugul duduk di satu sudut, bersama dua orang lagi kakaknya. Tiada sesiapa lagi di ruang itu. Memang berita kemasukan Prof. Dr. Ismadi tidak dihebahkan, bimbang diserbu para wartawan. Haiqal paling bimbang jika bapanya itu tidak berjaya diselamatkan. Dia kesal, kerana selama beberapa tahun kebelakangan ini perhubungan mereka begitu tawar dan hambar. Amat sukar untuknya kembali menyayangi bagai dulu. Dia merasakan dia tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan perhubungan mereka. Dia membiarkan bapanya sendiri di rumah besar miliknya, hanya ditemani pembantu rumah.
Haiqal tidak melihat kehadiran Alyssa Delaila dan Fuad. Alyssa Delaila berjalan lambat menghala ke arah Sonia yang duduk berseorangan di sebuah kusyen panjang. Sonia tersenyum lemah, apabila mereka bertemu muka.
“Bagaimana keadaan dia?” Tanya Alyssa Delaila terburu-buru. Tanpa sedar dia sudah memegang tangan Sonia, mengharapkan penjelasan.
“Masih dalam bilik pembedahan.” Balas Sonia. Alyssa Delaila dan Fuad direnung silih berganti. Suaranya terputus begitu sahaja, matanya memandang pula ke arah Haiqal yang menyedari kehadiran gadis itu. Kelihatan lelaki itu bangun, mendekati. Mukanya nampak tegang, menahan marah.
“Laila! Kenapa engkau ada di sini?” Pertanyaan Haiqal agak mengejutkan Alyssa Delaila. Jelas kehadirannya langsung tidak dialu-alukan. “Aku tak benarkan wartawan masuk ke sini…”
Alyssa Delaila pantas menjawab dalam nada perlahan dan terkawal. “Aku datang bukan kerana tugas.”
Dia menggigit bibir, tidak dapat memberikan alasan mengapa dia harus datang sekiranya Haiqal terus mendesak dengan pertanyaan. Memang tidak sepatutnya dia berada di situ. Dia bukan sebahagian daripada ahli keluarga atau pun sahabat. Tiba-tiba dia sedar, dia sebenarnya tidak punya sebarang ikatan pasti dengan keluarga tersebut. Kenapa dia beria-ria sangat?
Tangannya segera berpaut pada lengan Fuad, seolah-olah mencari kekuatan. Dia merasakan dirinya cukup kerdil dan hina, langsung tidak diperlukan di situ. Tetapi desakan hatinya yang membuat dia hadir ke situ.
“Auntie yang call dia…” Kata Sonia. “Auntie fikir… barangkali… barangkali dia patut tahu keadaan papa engkau, Haiqal!”
“Tak perlu.” Jawab Haiqal tegas. “Hanya ahli keluarga dan sahabat sahaja yang dibenarkan ada di sini. Yang lain-lain itu sudah tidak penting.” Katanya berpaling dari memandang Alyssa Delaila. Wajahnya masam. Sonia memandang kesal ke arah Alyssa Delaila dan Fuad, dengan kepala tergeleng.
“Sorry…” Katanya sepatah. “Jangan ambil hati. Dia sedang sedih dan bingung.”
Alyssa Delaila mengangguk. “Walau bagaimana pun saya doakan dia dari jauh… Saya rasa itu sudah memadai?”
Sonia mengangguk. “Jika ada perkembangan terbaru nanti, I akan beritahu you. OK?”
Alyssa Delaila dan Fuad segera berlalu meninggalkan hospital. Sepanjang perjalanan mereka tidak bercakap sepatah pun. Alyssa Delaila tidak tahu apa sebenarnya yang dia rasa. Namun perlahan-lahan dadanya mulai disaluti kelegaan. Pagi itu dia tersedar sesuatu…. Tiada perhubungan yang lebih bererti selain daripada hubungan kekeluargaan yang erat dan rapat. Apabila ditimpa sebarang kesusahan, hanya keluarga terdekat dan sahabat yang ada untuk menyokong dan memberikan semangat.
Dia menghulur tangannya ke arah Fuad. Fuad membalas, menggenggam tangannya dengan erat. “Terima kasih.” Kata Alyssa Delaila perlahan memandang lelaki itu dan memberikan secebis senyuman.
“Untuk apa?” Tanya Fuad.
“Kerana selalu ada di sisi Laila, saat Laila memerlukan.”
Fuad tersenyum, mengucup tangan Alyssa Delaila dengan hangat dan berkata; “Aku akan sentiasa di sampingmu, Laila…”
PROF. DR. Ismadi melihat pintu terbuka perlahan-lahan, lantas muncul seraut wajah yang sudah lama tidak ditatapnya. Dia melihat wanita itu tersenyum mesra padanya. Dia membalas senyuman itu. Dia cuba untuk bangun tetapi langsung tidak berdaya. Hanya matanya sahaja yang memandang, memberikan isyarat supaya dia mendekati. Wanita itu bergerak perlahan, mendekati katil. Senyumannya tidak lekang di bibir.
“Lama kita tak jumpa, Yang…” Seru Prof. Dr. Ismadi.
Wanita itu mengangguk sahaja. “Abang nak ikut Yang?” Dia bertanya lembut.
Prof. Dr. Ismadi tersenyum lantas berkata; “Sudah sampaikah masanya Yang? Abang sudah tiba di penghujung jalan?”
Pertanyaan itu tidak berjawab kerana pintu terkuak dari luar. Prof. Dr. Ismadi memandang ke pintu. Dilihatnya Alyssa Delaila ada di situ, datang dengan senyuman yang manis dan manja. “Is…” Serunya dalam sedu. “Syukurlah Is selamat.”
Prof. Dr. Ismadi tidak menjawab. Dia memandang ke arah Yang Rashidah di hujung katil. Wanita itu masih ada di situ, memandang sayu padanya. Kelihatan dia berundur ke belakang, semakin jauh dan jauh. Tapi tangannya terhulur. Prof. Dr. Ismadi cuba bangkit untuk menyambut huluran tangan yang ternyata semakin jauh dan kabur di pandangan matanya.
Dia menggeleng lemah. “Tidak… Yang! Tunggu!”
“Is…” Seru Alyssa Delaila pula. Prof. Dr. Ismadi memejamkan matanya. Dia tidak ingin melihat wajah itu lagi. Dia tidak lagi mendambakannya. Dia tidak menginginkan wanita muda itu lagi di sisinya. Dia tiba-tiba jadi rindukan isterinya. Sudah sekian lama nama itu tidak disebut. Kini wajah dan namanya mengisi seluruh mindanya. Kini rindunya datang bertamu.
Dia terus memejamkan mata, sambil berharap suara Alyssa Delaila hilang dari pendengaran. Tetapi suara itu terus beralun dengan lembut. “Is akan hidup lebih lama. Percayalah Is. Laila akan selalu di samping Is. Is mesti hidup sepuluh atau dua puluh tahun lagi. Is harus temankan Laila menempuhi hidup yang penuh pancaroba ini…”
Tiba-tiba ada suara lain yang muncul di tepi telinganya. Suara yang amat syahdu; “Assahadualla ilahaillallah…”
Itu suara anaknya Haiqal… bisik hatinya. Dia merasa ada tangan yang hangat menggenggam tangannya. Dia ingin membuka mata, ingin melihat wajah orang-orang yang disayangi. Kelopak matanya terbuka perlahan-lahan. Dia merasakan satu sinar terang sedang mengelilinginya, diikuti suara orang bercakap dengan nada yang perlahan.
“Pa… Papa…” Haiqal menyeru perlahan.
Dia tersenyum sambil memandang muka Haiqal. Kemudian matanya jatuh ke arah wajah-wajah lain yang mengelilingi katilnya. Wajah anak-anak perempuannya, beberapa orang cucu serta menantunya. Dia tersenyum lagi. Kali ini lebih bersungguh-sungguh dari sebelumnya. Semua yang ada di situ membalas senyumannya.
“Papa… Syukurlah. Kami belum kehilangan papa.” Kata Haiqal dengan erat memegang tangannya. Airmata anak itu berlinangan. Semua anak-anaknya bermata merah dan berwajah sembab. Dia tahu mereka meratapi dirinya, takut kehilangannya dari hidup mereka. Selama ini dia tidak tahu bahawa anak-anak amat menyayangi dirinya.
Prof. Dr. Ismadi mengangguk. “Papa berehatlah. Saya nak jumpa doktor sekejap.”
Haiqal keluar untuk menemui doktor yang merawat bapanya.
“Dalam kebanyakan kes jantung terhenti, keseimbangan juzuk kimia dalam darah terganggu, menyebabkan darah menjadi lebih asidik. Tetapi ubat-ubat akan diberi untuk menstabilkan otot jantung.”
Haiqal mengangguk mendengar penerangan doktor itu. Dia harus memahami dan mematuhi arahan doktor bagi memastikan bapanya kembali sihat seperti dahulu.
“Satu pertiga daripada pesakit yang mengalami masalah jantung terhenti akan pulih seperti biasa…” Terang doktor itu lagi. “Walau bagaimana pun, sebilangan besar daripada mereka akan mati dalam masa setahun.”
“Jadi… jadi dia tidak punya harapan untuk hidup lebih lama dari itu?” Tanya Haiqal sambil menjilat bibirnya yang kering.
Doktor itu tidak ingin memberikan harapan yang terlalu tinggi kepada keluarga pesakit. Dia menggeleng. “Kerosakan kepada jantung atau otak terlalu teruk sehinggakan pemulihan adalah hampir-hampir mustahil. Bersabarlah… Dengan rawatan dan ubat-ubatan dia akan mampu bertahan. Serahkan segalanya pada Tuhan. Doktor hanya meramal…”
“Ya.” Haiqal mengangguk, pasrah pada ketentuan Ilahi. Walau bagaimana pun dia bersyukur kerana dia masih sempat menaburkan bakti kepada bapanya itu. Tuhan masih memberikan dia kesempatan untuk berbuat demikian. Dia akan pastikan semua adik-beradiknya berkumpul semula di rumah bapa mereka di Bangi. Kegemilangan dan kebahagiaan keluarga harus dikembalikan seperti mana ketika ibunya masih hidup. Dia akan cuba menggembirakan hati bapanya itu sehinggalah saat terakhir dalam hayatnya tiba kelak.
Bab 33
SETAHUN kemudian.
Dia menarik nafas dalam-dalam lantas melepaskannya perlahan-lahan. Tubuhnya cepat lelah, menghadapi kandungan yang semakin sarat. Tidak lama lagi dia akan menerima kehadiran orang baru. Kehadiran yang memang ditunggu-tunggu oleh semua orang. Ibunya amat gembira untuk menerima cucu pertama. Malah sebuah bilik sudah disediakan di rumah kondominium tiga bilik yang didiaminya bersama suaminya sejak enam bulan yang lalu.
Dia merenung ruang tamu yang kemas tersusun. Ruang yang bertemakan warna hijau dan kuning itu menyerlah kegembiraan dan kebahagiaan penghuninya. Sofa fabrik hijau dihiasi dengan kusyen-kusyen berwarna kuning air, langsir juga berwarna hijau zamrud dan permaidani memukau mata. Safuralah yang menghiasi kediamannya itu sehingga benar-benar kelihatan cantik dan sedap dipandang. Dia yang menginginkan segalanya teratur, cantik dan indah bagi menyambut kehadiran cucunya.
Alyssa Delaila sedar kehadiran Fuad dalam hidupnya adalah satu anugerah tidak terhingga. Dia bahagia dalam dakapan kasihnya. Sesekali hatinya terkenang, namun segera pula dihapuskan kenangan pahit itu. Semuanya sudah berlalu. Dia tidak ingin tahu apa yang berlaku pada lelaki itu lagi.
Sudah seminggu pula Safura tinggal bersamanya yang sedang menunggu waktu-waktu kelahiran. Safura bimbang Alyssa Delaila tinggal sendirian di rumah. Apabila mengetahui dia hamil, Fuad memintanya berhenti kerja. Dia tidak ingin melihat Alyssa Delaila terkejar-kejar ke hulu hilir membuat assignment dengan perut memboyot. Dia hanya mahu Alyssa Delaila menjadi suri hidupnya mendidik dan menjaga anaknya. Dan sebagai seorang isteri dia tidak banyak membantah.
Tiba-tiba dia merasa pinggangnya sakit. Sakit yang amat sangat. Nafasnya terasa mengah. Dia duduk di sofa yang paling hampir dengannya sambil memanggil Safura.
“Kenapa?” Tanya ibunya yang buru-buru datang dari dapur.
“Tak tahu. Rasa sakit…” Jawabnya perlahan bersama erangan.
“Dah nak bersalin ke? Kan tarikhnya seminggu lagi?” Safura kelam kabut, berlari ke meja telefon. Dia menghubungi Fuad dengan segera. “Baliklah Ad. Laila sakit…” Katanya lantas terus meletakkan gagang. Dipandangnya wajah Alyssa Delaila yang pucat. Dahinya mulai merenek dengan peluh-peluh yang lebat.
Safura datang mendekatinya dan memegang tangan anaknya itu. “Sabarlah ya… Kejap lagi Fuad balik. Kau baring dulu di sofa ni…” Kata Safura cemas sambil membaringkan Alyssa Delaila. Muka Alyssa Delaila terus berkerut-kerut menahan sakit yang tidak terhingga. Bahagian bawah ari-arinya terasa basah.
“Aduhhh…” Keluhnya dengan kuat, tidak tertahan lagi menanggung kesakitan. Safura membuka pintu seluas-luasnya, menanti kepulangan Fuad dengan hati yang cemas.
“SEKIRANYA papa tiada, papa percaya kau akan dapat melindungi keluarga ini dengan baik, Haiqal.” Kata Prof. Dr. Ismadi dengan tenang. Pagi itu dia merasakan sesuatu yang aneh. Terasa ada yang memanggil dari jauh. Dia rasa gembira untuk menuruti jejak langkah orang-orang yang telah meninggalkannya.
Malam tadi dia bermimpikan Yang Rashidah lagi. Dan seperti biasa dalam mimpinya itu, Alyssa Delaila juga akan muncul. Dia gembira melihat mereka berdua, walaupun sekadar dalam mimpi. Dia merasakan bahawa mimpi itu sangat indah, penuh dengan kehangatan. Mimpi itu begitu jelas, sehingga dia keliru apabila dia tersedar. Benarkah dia bermimpi atau pertemuan itu satu realiti.
“Mengapa papa cakap begitu pa?”
“Masa papa sudah semakin singkat Haiqal.”Katanya perlahan. “Semua yang papa lakukan selama ini adalah untuk kamu adik-beradik. Kalau papa tiada lagi, rumah ni kalau boleh jangan dibiarkan kosong. Papa mahu ianya tetap diisi dengan kehadiran anak cucu papa.”
Haiqal mengangguk. Sejak setahun yang lalu dia kembali ke rumah itu untuk menjaga kebajikan bapanya. Hanya itu yang mampu dilakukan. Dia kehilangan beberapa tahun yang sangat bererti, menolak kehadiran lelaki yang dia panggil ‘papa’ gara-gara cintanya yang tidak kesampaian. Namun itu semua sudah dilupakan… Prof. Dr. Ismadi pun tidak pernah sekali menyebut nama Alyssa Delaila di hadapan ahli keluarganya.
“Tolong panggilkan kakak-kakak kamu, papa ingin berjumpa dengan mereka…” Permintaan itu membuat Haiqal tersentak. Direnung wajah bapanya yang kelihatan tenang. Lelaki itu berbaring damai di katilnya, sejak pagi tadi hanya bangun sejenak. Dia meminta ditemani berjalan-jalan ke luar rumah. Kemudian masuk semula ke bilik tidur itu setelah minum pagi.
Dia terlena sejenak. Tetapi sebaik terbangun, dia mendapati Haiqal setia di sisi katilnya. Haiqal bangkit, keluar dari bilik itu dengan dada yang berdebar, entah mengapa dia merasakan permintaan bapanya itu agak berlainan kali ini. Tidak lama kemudian semua anak-anaknya berkumpul menghadapi katilnya.
Dia tersenyum. Senyuman yang semakin lemah dan akhirnya hilang begitu saja. Matanya terpejam perlahan-lahan. Dia tidak bersuara apa-apa lagi. Semuanya diam dan kaku. Beberapa saat tiada sesiapa pun bersuara. Tangisan perlahan-lahan pecah dari bibir kakak sulungnya, diikuti yang lain-lain. Mereka sedar Prof. Dr. Ismadi sudah tiada lagi.
FUAD keluar dari wad bersalin, wajahnya sugul. Dia berjalan lambat menghala ke arah Safura yang menunggu di kerusi. Safura bangun apabila melihat menantunya melangkah lambat mengarah kepadanya. Dia bangun dan separuh menyerbu ke arah Fuad.
“Kenapa? Apa masalahnya?”
Fuad mengeluh. “Dah lebih dua belas jam dia sakit. Dia terpaksa dibedah. Baby tak dapat keluar secara normal. Laila dah terlalu letih dan tak berdaya…”
“Bedah?” Hati Safura terasa kecut, amat takut membayangkan segala kemungkinan.
“Ya.”
Tubuh Safura terasa lembik. Dia mencari tempat duduk lantas terus melabuhkan punggungnya. Rasa takut, bimbang dan curiga mengisi seluruh hatinya. Dia memejam mata, berdoa semoga anak dan cucunya selamat.
“Sabarlah ibu.” Kata Fuad perlahan. Dia sebenarnya tidak begitu yakin dengan kata-katanya sendiri. Dia juga takut dan bimbang. Kegelisahannya tidak akan padam… Sepanjang hari dia belum makan, hanya minuman yang diteguk untuk mengalas perut. Tubuhnya juga sudah letih dan lesu. Namun dia tidak dapat tidur walaupun malam sudah kian larut.
PADA jam satu pagi, Alyssa Delaila memasuki bilik pembedahan. Fuad resah gelisah menunggu di luar, sementara Safura tertidur di sofa. Dia tidak tahu pukul berapakah pembedahan itu akan selesai. Dia tidak boleh tidur, matanya berkali-kali memandang jam dinding. Masa dirasakan berensut terlalu lambat. Dia tidak tahu apa yang harus dibuat melainkan berdoa kepada Tuhan Yang Maha Penyayang.
Dia tidak sanggup melihat Alyssa Delaila terseksa begitu. Menyaksikan kerutan di wajah yang pucat lesi, nafasnya yang tersangkut-sangkut dan tangannya yang lemah apabila digenggam, Fuad merasakan dia tidak ingin punya anak lagi. Biar hanya sekali Alyssa Delaila menempuhi kesakitan itu. Dia tidak sangup untuk melihat isterinya kesakitan setiap kali hendak melahirkan zuriatnya ke dunia ini.
Beberapa titis airmatanya gugur. Dia amat kasihan melihat wajah sayunya ketika dia ditolak ke dewan pembedahan tadi. Sempat Alyssa Delaila menghulur tangan memohon maaf dan menciumi tangan suaminya. Lantas buru-buru dia mengucup dahi isterinya yang sudah lebat disimbah peluh. Dikucupnya dengan hangat, penuh kasih sayang dan simpati yang melaut.
“Segalanya akan selamat, sayang.” Bisiknya.
“Jika sesuatu berlaku pada Laila… abang ampunkan Laila ya?”
Fuad mengangguk. Airmatanya menitis beberapa titis perlahan menuruni pipi.
Alyssa Delaila tersenyum pahit dan berkata pula pada Safura yang ada disisi Fuad. “Ampunkan Laila, ibu…”
Airmata Safura bertitisan. Dia mengangguk dan berkata perlahan; “Ya…” Kata Safura sambil menggigit bibir. “Kau akan selamat, nak. Ibu doakan keselamatan kau dan cucu ibu…”
Alyssa Delaila tersenyum memerhati wajah suami dan ibunya silih berganti. Fuad masih berdiri di tengah-tengah ruang itu, biarpun sudah sejurus lamanya pintu di hadapannya tertutup rapat.
Tuhan… Serunya perlahan. Hanya padaMu aku serahkan segalanya.
Pintu yang tertutup rapat tiba-tiba terbuka setelah empat jam berlalu. Fuad terus bangun apabila melihat doktor keluar dari bilik pembedahan tersebut. Senyuman di wajah doktor itu menghilang rasa gementar dan kebimbangan yang bermukim di hati Fuad sekian lama.
“Kedua-duanya selamat. Pagi esok awak boleh bertemu dengan isteri dan anak awak. Tahniah! Awak dapat anak lelaki.” Katanya sambil tersenyum.
Fuad mengangguk dan tersenyum. Barulah hatinya benar-benar lega. Tidak sabar rasa hatinya untuk bertemu dengan isteri dan anaknya.
Bab 34 [Tamat]
SAFURA masuk sambil mengendung cucunya diikuti oleh Fuad di belakang ibu mertuanya itu. Wajah kedua-duanya kelihatan berseri-seri biarpun sepanjang malam tadi mereka tidak dapat melelapkan mata, sentiasa diburu kebimbangan. Namun pagi itu kegembiraan menerima orang baru dalam hidup mengatasi segala-galanya. Fuad mendekati katil Alyssa Delaila, terus mengucup dahi isterinya. Dia turut meletakkan senaskah surat khabar. Sebenarnya surat khabar itu adalah surat khabar keluaran semalam yang tidak sempat dibaca. Fuad sengaja meletakkannya di atas almari rendah di sisi katil Alyssa Delaila. Dia akan membacanya apabila dia punya kesempatan nanti.
“Tengoklah… comelnya anak engkau ni!” Kata Safura sambil menghulur bayi kecil itu ke pangkuan Alyssa Delaila. Alyssa Delaila menyambutnya bersama rasa syukur tidak terhingga ke hadrat Ilahi. Airmatanya berlinangan demi terpandang wajah comel anak lelaki sulungnya itu. Tidak tergambar perasaannya saat itu dengan kata-kata. Dia tersenyum dalam tangisan. Dia memandang suaminya di sisi yang juga tidak lekang dengan senyuman.
Fuad mengucup dahi anak dan isterinya. Kebahagiaannya sudah lengkap. Dia lelaki paling bahagia. Setelah beberapa ketika bayi kecil itu bersama ibunya, Safura membawa cucunya keluar, membiarkan Fuad dan Alyssa Delaila bersendirian di dalam bilik. Fuad menggenggam erat tangan isterinya, merenungnya dalam-dalam kemudian berkata lembut; “Terima kasih.”
“Kenapa abang berterima kasih pada Laila?”
“Laila dah melahirkan zuriat untuk abang.” Katanya sambil terus tersenyum. “Semalam abang gentar, takut dan bimbang melihat Laila kesakitan. Tidak sanggup rasanya tengok Laila menahan sakit begitu. Rasanya cukuplah sekali Laila menanggungnya. Biarlah kita punya seorang anak saja, Laila… Kita didik anak ini sebaik mungkin, jadikan dia anak yang soleh.”
Alyssa Delaila tersenyum lantas menampar lembut pipi suaminya. “Betul ke bang? Abang tak mahu anak lagi?”
“Ya sayang. Tak sanggup abang tengok Laila sakit sehari semalam. Rasanya macam abang pula yang menanggungnya. Kalau boleh bertukar tempat, biarlah abang yang rasa kesakitan tu!”
“Hmmm… Memanglah sakitnya tak terperi bang. Sekarang Laila sedar, betapa susahnya ibu untuk melahirkan Laila dulu. Laila mengerti, bagaimana perasaan ibu. Baru Laila insaf apabila Laila sudah punya anak sendiri. Bila lihat muka anak kita yang comel, tengok muka ibu yang berseri-seri… Laila terharu. Laila juga gembira tengok muka yang abang dipenuhi dengan rasa bahagia. Kalau boleh Laila nak anak lagi… Itupun kalau ada izin dariNya.”
“Ya kah? Sayang sanggup sakit lagi demi untuk mendapat lebih ramai anak?”
Alyssa Delaila mengangguk.
Fuad tersenyum. “Hmmm… Kalau macam tu, jomlah kita balik. Kita mulakan sekali lagi…”
“Hei! Sabarlah sikit!” Alyssa Delaila menampar paha suaminya dengan mesra. “Tunggulah sehingga habis pantang, empat puluh empat hari.”
Fuad ketawa. “Abang tahulah sayang…” Jawab Fuad masih lagi ketawa.
“Abang nak hadiahkan sesuatu pada Laila.” Katanya sambil menyeluk poket seluar lantas mengeluarkan seutas rantai emas, disertai dengan loket berbentuk hati. Alyssa Delaila terkejut melihat suaminya memberikannya rantai tersebut, namun gembira ketika Fuad menyarungkannya di leher. Rantai itu terletak dengan elok dan loketnya benar-benar mendarat di atas dadanya.
“Cantik sekali bang…” Kata Alyssa Delaila. “Terima kasih.”
Fuad mengangguk dan tersenyum lagi.
“Esok Laila dah boleh keluar dari wad ni. Abang dapat cuti dua minggu, bolehlah kita sama-sama menjaga Adam Firdaus.”
Alyssa Delaila mengangguk dan tersenyum bahagia.
“Abang keluar dulu ya sayang. Nak tengok kat bawah samada emak dan abah dah sampai ke belum.” Kata Fuad sambil mengucup lagi dahi isterinya.
Alyssa Delaila melepaskan pemergian suaminya bersama senyuman. Dia bersandar damai sambil matanya merayap ke arah almari rendah di sisi katil. Matanya terpandang senaskah surat khabar yang ada di situ. Tiba-tiba naluri ingin tahunya menguasai diri. Sudah dua hari dia tidak membaca akhbar, sudah ketinggalan berita-berita penting yang berlaku. Tangannya mengambil surat khabar tersebut, membentangnya di atas katil. Dia menyelak helai demi helai.
Tiba-tiba matanya terhenti pada ruang di bahagian tengah surat khabar itu. Jantungnya terasa terhenti berdenyut apabila membaca tajuk berita tersebut; “Penggiat Seni Terkenal Meninggal Dunia. Kuala Lumpur; Pengarah, penulis skrip dan pelukis terkenal Prof. Dr. Ismadi Salam meninggal dunia di rumahnya…”
Dia tidak lagi terus membaca berita tersebut. Pandangan jadi kabur dan titisan airmatanya lebat menghujani pipi. Tubuhnya terhenggut-henggut melawan tangis yang datang dari dalam diri. Fuad yang tiba-tiba masuk, terpaku melihat muka Alyssa Delaila yang dipenuhi airmata. Mukanya dipenuhi pertanyaan. Alyssa Delaila menunjuk ke arah surat khabar yang sedang terbentang. Dia terus menangis sambil memeluk suaminya. Fuad tidak bersuara apa-apa setelah membaca berita tersebut, hanya terus memeluk tubuh Alyssa Delaila untuk memberikan sokongan. Dia sedar dia terpaksa menerima satu hakikat. Dia terpaksa berkongsi hati isterinya dengan lelaki lain. Kini lelaki itu sudah tiada…
Dia tidak perlu cemburu. Sesungguhnya dia harus menerima sesiapa saja yang disayangi oleh Alyssa Delaila dengan lapang dada. Dia harus belajar berkorban kerana pengorbanan itu akan menjanjikannya sebuah cinta yang indah suatu hari nanti. Untuk menyintai, kita memerlukan kekuatan jiwa begitu juga untuk melepaskan orang yang disayangi jauh dari pandangan.
[Selesai juga akhirnya..]
[Puhhh..penat seh!! ^^]
No comments:
Post a Comment