Tuesday, August 5, 2008

Rahsia Cinta Semalam30-50#

Bab 31

LOCENG pintu ditekan bertalu-talu. Julia Afiqah baru selesai mengerjakan salat asar. Dia terburu-buru membuka telekung. Tanpa sempat melipat telekung tersebut dia berlari-lari ke pintu. Dia lupa pada rambutnya yang tidak mengenakan skaff. Rambutnya yang lebat hitam dan panjang hanya diikat ringkas.
Diluar dia melihat Adie sedang memimpin Faruk. Kepala Faruk terlentuk, tubuhnya tidak dapat berdiri dengan betul.
“Dia mabuk.” Kata Adie. “Tolong buka gril ni!”
Julia Afiqah membuka gril. Adie memimpin Faruk masuk ke dalam rumah lantas terus membaringkannya di atas tilam di dalam bilik tidur. Faruk terus terbongkang tidak sedarkan diri. Pakaiannya tidak terurus.
“Dia banyak minum. Sejak semalam.” Cerita Adie. “Kalau aku tak bawa dia balik, dia masih tak mahu balik lagi tadi.”
Julia Afiqah cuma diam. Dia memerhati saja ke arah Faruk yang terus tertidur dari arah pintu bilik yang terbuka luas. Namun hatinya sedikit lega Faruk sudah pulang ke rumah, biarpun dalam keadaan tidak sedar diri begitu. Dia pun tidak tahu apa yang harus dilakukan dan bagaimana hendak menghilangkan rasa mabuk. Badan Faruk berbau busuk, segala macam bau yang tidak enak singgah di hidungnya bila dia mendekati.
“Macamana nak bagi dia sedar?” Dia bertanya Adie.
“Biarkan dia tidur. Kalau dia sedar nanti, buat aje kopi pekat.” Kata Adie sambil berjalan ke pintu. Tanpa sebarang pamitan atau salam, Adie terus menerjah keluar.
Julia Afiqah duduk di tubir katil lantas membuka pakaian Faruk satu persatu. Baju dan seluarnya berbau masam, sepanjang malam dan hari itu tidak bertukar. Dia menggelengkan kepala. Apa sudah jadi pada Faruk. Mengapa dia harus berubah begini? Julia Afiqah mengelap tubuh Faruk dengan tuala basah. Dia menukarkan baju Faruk dengan pijama. Selepas itu diselimuti tubuh Faruk supaya lelaki itu boleh tidur dengan selesa.
Julia Afiqah merenung wajah Faruk dalam-dalam. Apa sudah jadi pada kita, bang? Abang seolah-olah mahu melarikan diri dari sesuatu? Apakah saya yang jadi puncanya? Mengapa abang tidak berterus terang saja? Mengapa abang harus menyeksa diri begini? Soalan demi soalan mengasak hati dan kepala Julia Afiqah, tiada satu jawapan pasti diperolehi. Dia harus sabar menunggu Faruk sedar. Jika boleh dia ingin bertanya terus terang. Tapi beranikah dia? Masih diingatnya wajah garang Faruk semasa mereka bertemu di pejabatnya dua hari lepas.
Biarpun dia merasa terhina diperlakukan begini, tetapi dia terpaksa menghadapinya jua. Kesabaran dan keredhaan adalah tunjang bagi segalanya.
Langit sudah gelap. Jalan yang ada di bawah bukit kondo mewah yang didiami Julia Afiqah mulai terang disuluhi lampu jalan. Julia Afiqah masih berdiri di berenda, memerhati langit senja di Kuala Lumpur. Indah bagai lukisan. Calitan warna-warna yang diadun oleh Yang Maha Kuasa, tiada tandingan, tiada sesiapa pun yang dapat menirunya. Dan dia segera merasa insaf. Insaf di atas kekerdilan diri.
Dia masih berdiri di situ, memerhati ke bawah. Jalan tetap sibuk, dengan kereta bersimpang siur biarpun waktu maghrib sudah merangkak datang. Setiap hari Kuala Lumpur tidak pernah berubah. Yang berubah hanya sikap dan peribadi manusia yang jadi penghuninya. Jelas lelaki bernama Faruk yang mulai disayanginya itu pun sudah memperlihatkan perubahan diri yang tidak dia jangkakan.
Julia Afiqah menutup pintu gelangsar, pemandangan senja kian hilang ditutupi tabir malam. Akhirnya ia hilang dari sebalik cermin dan langsir yang baru ditutup. Dia masuk ke bilik air untuk mengangkat wuduk. Lama dia bertafakur dan berdoa di atas sejadah. Bila Isyak datang, dikerjakannya salat dengan penuh kusyuk, berserah diri hanya kepada Yang Maha Kuasa.
Perutnya tidak terasa lapar. Dia hanya minum segelas susu. Kemudian dia menjenguk Faruk. Faruk masih berdengkur keras. Sesekali terdengar Faruk bersuara marah-marah dan merungut. Tidak jelas segala ulas butirnya.
Malam ini dia terasa amat mengantuk. Semalam dia tidak dapat tidur, memikirkan Faruk yang tidak pulang-pulang. Setelah lelaki itu pulang, rasa mengantuknya menyerang. Dengan adanya Faruk di rumah, dia merasa selamat.

FARUK terjaga. Dia terpinga-pinga di dalam gelap. Fikirannya masih buntu, tidak mengerti apa yang berlaku. Dia memetik suis lampu. Dahinya berkerut. Perlahan-lahan dia mulai mengingat apa yang berlaku. Aneh! Dia sudah berada di kamarnya. Pasti Adie yang menghantar dia pulang setelah mabuk teruk di bar tadi.
Faruk cuba bangun. Dia merasa perutnya tidak enak. Dia berlari ke bilik air memuntah isi perutnya. Pedih dan sakit. Dia tidak makan dengan betul semalam. Dia terlalu menurut kata hati. Faruk bergerak perlahan menghala ke dapur. Dia melihat air ada di dalam flash. Dia membancuh oat, lantas membawanya ke ruang tamu. Televisyen dihidupkan dan alat kawalan jauh ditekan. Dia tercari-cari rancangan yang menarik. Dihempasnya alat kawalan jauh, tiada rancangan yang menarik saat itu.
Matanya memerhati jam. Tepat pukul 1 pagi. Dia memerhati pintu bilik perpustakaan yang bertutup rapat. Tiba-tiba ingatannya kembali melayang pada cebisan nota kecil yang ditemuinya. Hatinya yang sudah tenang mulai rasa rusuh semula. Kemarahannya menjalar, membakar perlahan-lahan seperti bara di dalam sekam.
Dia tidak boleh melupakan semua itu. Rasa marah dan benci saling bertindih. Dia bangun, bergerak ke bilik Julia Afiqah. Daun pintu ditolak kasar. Dia terus menghala ke katil, lantas tubuh Julia Afiqah yang sedang tidur dihempap dengan badan. Julia Afiqah terkejut, spontan dia meronta-ronta.
“Abang…” Serunya.
“Abang?” Balas Faruk. “Abang yang mana satu? Aku atau Abang Imran?”
“Apa abang cakap ni? Mengapa abang buat saya macam ni…” Suara Julia Afiqah tersekat-sekat, nafasnya rasa sesak. Dadanya ditindih, dia tidak dapat menarik nafas dengan betul. Faruk terus memeluknya dengan kuat. Seluruh tenaga ditumpukan ke tubuh kecil Julia Afiqah.
“Tolongggg… Lepaskan saya!” Rayu Julia Afiqah dengan nafas yang terus sesak dan payah.
“Dalam tidur kau termimpi-mimpikan Imran. Dalam jaga sentiasa teringat-ingat!” Julia Afiqah tersentak. Mengapa Faruk berkata begitu? Fikirannya semakin bercelaru, tubuhnya kian lemah. Tiada rontaan lagi. Dia semakin tidak berdaya, dakapan erat dan kuat itu benar-benar menghimpit. Satu helaan yang kuat datang dari tubuhnya, usaha terakhir mencari udara. Akhirnya dia tidak dapat bernafas lagi. Matanya terpejam.
Faruk bagaikan baru tersedar dari igauan. Tubuh Julia Afiqah yang kaku, mengejutkannya. Dia terlompat, berlari mencari suis lampu siling. Bilik jadi terang. Dilihatnya tubuh Julia Afiqah tidak beriak lagi. Dadanya seakan-akan sudah berhenti berdenyut.
“Fiqah! Fiqahhhh!!!” Serunya agak kuat.
Namun tiada sahutan daripada gadis itu. Tubuhnya yang terbujur terus kaku.
Faruk terjerit kuat lantas berlari ke ruang tamu. Tangannya mencapai gagang, menghubungi Adie. Adie yang sedang tidur menyambut panggilannya.
“Kenapa?” Tanya Adie.
“Aku… Aku rasa… Aku rasa dia dah mati!!”
“Siapa?”
“Fiqah!” Jawab Faruk.
“Apa yang terjadi?”
Faruk tidak menjawab. Tubuhnya menggeletar dan berpeluh dingin. Tanpa sedar dia mulai menangis.
“Bertenang. Apa-apa hal pun kau call doktor dulu. Suruh doktor datang check. Mungkin dia hanya pengsan. Kejap lagi aku datang. Engkau call juga ibubapa engkau, okey.” Adie bersuara tenang. Dalam keadaan Faruk yang kebingungan pasti dia tidak dapat bertindak dengan betul. Lebih parah kalau dia melarikan diri.
Faruk melakukan apa yang disuruh. Setengah jam doktor datang, diikuti oleh ibubapa Faruk dan Adie. Doktor masih berada di dalam bilik tidur Julia Afiqah yang bertutup rapat. Sementara Datin Mahani dan Datuk Mokhtar menunggu di luar. Adie menemani Faruk yang duduk di sudut bilik sambil memeluk lututnya sendiri.
“Kau ni macam dah tak siuman! Lebih baik kau berdoa dia tak apa-apa. Kalau dia mati, engkau akan dituduh sebagai pembunuh.”
“Aku tak bunuh dia! Aku tak bunuh dia! Aku sayang dia!!!” Faruk menjerit-jerit histeria.
“Aku terlalu sayangkan dia.” Faruk terus-terusan meratap, tidak peduli suasana sekeliling. Tidak ingat ada ibubapanya di ruang tamu.
“Kalau sayang kenapa kau buat dia macam tu?” Tanya Adie, bagaikan sengaja hendak menambah kerungsingan hati Faruk.
“Aku tak sedar… Aku tak sengaja. Aku sayangkan dia…” Faruk menangis. Tubuhnya terhinggut-hinggut.
“Okey… Okey.” Kata Adie, mendekati Faruk lantas memegang bahu lelaki itu. “Kalau kau sayang dia kau harus lepaskan dia okey? Kau tak perlu menyeksa diri sendiri dan juga dirinya. Dia memang tak sayangkan kau…”
Faruk tiba-tiba memeluk Adie. “Dia memang tak sayangkan aku, Adie. Dia cintakan lelaki lain. Dia cintakan abang sepupunya!”
“Imran?” Tanya Adie. Dia sedikit terkejut.
Faruk menangis seperti budak kecil. Tangisannya kian kuat, memecah dan memenuhi kamar itu sehingga menarik perhatian Datin Mahani.
“Ya…” Jawab Faruk dalam tangisan. Tubuh Adie dipeluknya lebih erat. Adie mengusap lembut belakang Faruk. “Lepaskan dia Faruk… Bebaskan dia. Untuk apa kau pertahankan perhubungan ini jika hanya kau saja yang sayangkan dia.”
Faruk terus menangis. Airmatanya tambah lebat di pipi.
Adie mengeratkan pelukan. “Aku ada Faruk. Aku ada. Aku akan sentiasa bersama, engkau mencintai engkau sepenuh hatiku. Kau tak perlu bimbang. Aku sayang kau.” Kata Adie sambil mengusap rambut Faruk yang kusut masai.
Datin Mahani yang sudah lama berdiri di ambang pintu, terpaku dan terkejut melihat aksi kedua-dua lelaki itu.
“Apa yang sedang berlaku ni?” tanya Datin Mahani keras.

MATA Faruk merah bagaikan biji saga. Kelopak matanya bengkak. Tangannya masih memegang pen, tidak dapat menurunkan tandatangan. Dokumen itu dipandangnya sahaja. Kemudian matanya jatuh ke wajah-wajah yang ada di hadapannya. Lelaki yang duduk di belakang meja kelihatan begitu serius. Begitu juga dengan wajah kedua-dua ibubapanya.
Cuma wajah Julia Afiqah sahaja yang tenang. Namun Faruk bersyukur kepada Tuhan, Julia Afiqah selamat. Dia mengalami sesak nafas, jantungnya terhenti sekejap. Jika doktor tidak datang segera, barangkali dia akan mati. Namun syukur nyawa perempuan itu masih panjang.
Rahsia Faruk sudah terburai. Segalanya sudah diketahui Datin Mahani dan Datuk Mokhtar. Datin Mahani terlalu marah sehingga dia tidak lagi mengakui Faruk sebagai anak. Datuk Mokhtar juga begitu. Mereka sanggup membuang Faruk di atas sikap dan peribadinya yang buruk. Adie juga hadir di pejabat kadhi pada hari itu. Dengan muka tidak tahu malu, dia menunggu di luar.
“Saya dengan rela hati tanpa paksaan sesiapa menjatuhkan talak satu ke atas isteri saya Julia Afiqah Suhaimi…” Kata Faruk. Airmatanya berlinangan. Tangannya terus mengeletar hebat. Faruk hampir-hampir rebah dari kerusi yang sedang didudukinya.
Julia Afiqah tenang sahaja, menerima segalanya penuh redha. Datin Mahani mendekatinya, memimpin dia keluar daripada bilik tersebut. Datin Mahani membawa Julia Afiqah pulang ke rumahnya. Dia tidak pernah menganggap Julia Afiqah sebagai menantu. Malah dirasakannya Julia Afiqah adalah anaknya walaupun ikatan perkahwinan sudah terlerai antara gadis itu dengan Faruk.
“Mama, saya tak berhak berada di sini lagi…”
Datin Mahani menggeleng. “Tak Fiqah. Mama mahu kau terus bersama dengan mama di rumah ini. Kau tak perlu pergi walaupun kau sudah bercerai dengan Faruk.”
Julia Afiqah menggeleng. “Mama, saya tahu mama sayangkan saya seperti anak sendiri. Tapi hati saya masih terluka mama. Kenangan pahit ini sukar saya luputkan dari ingatan kalau saya terus berada di rumah ini. Biar saya pergi mama… Saya perlu cari ketenangan. Saya perlu hidup sendiri mama.”
“Mama tak benarkan Fiqah…” Ujar Datin Mahani sambil memegang tangannya dengan erat.
“Tolonglah mama. Tolonglah fahami saya. Bukan saya tak hargai apa yang mama lakukan untuk saya. Tapi saya lebih mudah melupakan Abang Faruk kalau saya berada jauh dari Kuala Lumpur ini. Saya akan dapat mengubati luka hati saya ini tanpa melihat tempat yang pernah menjadi kenangan indah antara kami.”
“Kau nak balik kampung?”
Julia Afiqah menggigit bibir. Dia tidak tahu apakah dia akan pulang ke rumah Mak Lang. Bagaimana jika Mak Lang tahu bahawa dia sudah bercerai dengan Faruk.
Julia Afiqah masih diam.
“Apa yang kau nak buat di kampung Fiqah?” Tanya Datin Mahani.
“Mungkin saya boleh cari ketenangan di sana mama. Mungkin.” Jawab Julia Afiqah perlahan.
“Kalau macam tu, biar mama hantar kau balik ke rumah Tipah.”
“Tak mengapa mama. Biar saya balik sendiri.”
“Fiqah. Mama rasa bersalah sangat pada Tipah. Kami sunting engkau dengan baik, penuh adat. Mama memang malu dan kesal dengan apa yang berlaku. Biar mama pulangkan kau pada Tipah dengan baik, sebagaimana kami ambil engkau dulu. Jangan menolak Fiqah. Biar mama terangkan apa yang telah Faruk lakukan pada engkau…”
“Jangan mama…” Pinta Julia Afiqah bersungguh-sungguh. “Jangan kata apa-apa pada Mak Lang. Jangan! Arwah Pak Lang pernah berkata, jangan sesekali buka aib suami. Saya sedang menggenggam maruah keluarga mama, maruah Faruk. Biarlah Mak Lang tak tahu apa-apa, mama.”
“Ya Allah, Fiqah!” Airmata Datin Mahani tergenang. Mereka sama-sama menangis.
“Lagipun peluang masih ada untuk kami bersama mama. Eddah masih ada tiga bulan. Kalau Abang Faruk mahu saya kembali kepadanya, saya dengan terbuka hati menerimanya.”
“Fiqah! Dia hampir-hampir ragut nyawa engkau, kau masih nak maafkan dia? Dia juga ada hubungan jantan tu… Hisy, Fiqah! Jangan bersikap melulu macam tu! Faruk tu anak mama, Fiqah. Mama benci dengan apa yang dia lakukan. Mama benci tengok dia buat dosa begitu. Mama takkan maafkan dia sehinggalah dia bertaubat.”
“Sama-samalah kita berdoa semoga Abang Faruk bertaubat mama!” Pinta Julia Afiqah.
“Hati kau terlalu baik dan mulia Fiqah…” Kata Datin Mahani sambil memeluk Julia Afiqah.

Bab 32

BARANGKALI pulang ke sini bukanlah satu tindakan yang tepat… Fikir Julia Afiqah sambil memerhati ke halaman yang lengang lagi sepi. Suatu masa dulu di rumah itu masih ada Kak Sabita dan Pak Lang. Walaupun Kak Sabita tidak sebaik dahulu, sekurang-kurangnya tidaklah terasa terlalu sepi seperti hari ini. Julia Afiqah tidak tahu apa yang harus dilakukannya di rumah Latipah.
Latipah tidak menyambut baik kepulangannya seminggu yang lalu. Wanita itu nyata terkejut dengan kedatangan Datin Mahani dan suaminya. Dahinya berkerut melihat Julia Afiqah mengangkat sebuah beg besar. Hatinya dapat merasakan ada sesuatu yang berlaku. Datin Mahani naik lantas menyalami tangan Latipah. Setelah duduk selesa di ruang tamu barulah Datin Mahani memberitahu hajat dan tujuan kedatangannya.
Muka Latipah merah padam. Dia benar-benar terkejut. Dia tidak langsung menduga apa yang berlaku. Dipandangnya Julia Afiqah yang tunduk, menekurkan mukanya ke lantai. Tetapi dia tidak bertanya apa-apa. Masih ada rasa malu dan hormatnya pada Datuk Mokhtar. Jadi dia hanya menarik nafas dalam-dalam.
“Kami minta maaf.” Seru Datin Mahani. “Jodoh mereka setakat ini saja, Tipah!
Latipah tidak menjawab. Kebisuannya membuat Datin Mahani gelisah. Latipah masih merenung Julia Afiqah yang terus menunduk.
“Jangan salahkan Fiqah. Semua ini sudah takdir Tipah.” Kata Datin Mahani lagi. Perlahan tangannya membuka beg lantas mengeluarkan seikat duit bernilai lebih kurang RM10,000.00.
“Duit apa ni?” Tanya Latipah sambil memandang tepat ke arah duit yang baru diletakkan Datin Mahani di atas meja.
“Duit ni untuk belanja Fiqah. Supaya dia boleh teruskan hidup. Saya tahu Fiqah ada cita-cita dan keinginan. Walaupun bukan lagi menantu saya, tapi saya tetap sayangkan dia, anggap dia seperti anak saya sendiri.” Kata Datin Mahani lagi.
Latipah tidak bersuara. Dia hanya melepaskan keluhan berat.
“Apa yang berlaku? Mengapa kamu diceraikan Fiqah?” Suara Latipah melengking kuat. Sebaik sahaja Datin Mahani pulang dia terus menghujani Julia Afiqah dengan soalan demi soalan.
“Kau tak malu ke balik ke sini… engkau dah jadi janda. Tak sampai setahun kahwin kau dah diceraikan. Apa kata orang? Mesti orang akan salahkan kau…” Latipah merengus kasar apabila dilihatnya Julia Afiqah membisu.
“Heh! Orang dah nikahkan dia dengan orang kahwin, ingatkan dia akan buat perangai elok-elok. Jaga nama baik dan maruah diri. Tapi sebaliknya diceraikan pula. Entah apa yang berlaku. Entah-entah kau ada melayan jantan lain…” Tuduh Latipah sambil mencegilkan matanya ke arah Julia Afiqah. “Sebab itulah engkau dibenci dan diceraikan oleh Faruk, betul tak?”
Julia Afiqah diam.
“Hei! Jawablah aku tanya engkau ni! Dah jadi bisu pula?” Kata Latipah sambil memegang pipi Julia Afiqah supaya memandangnya. “Betul ke engkau curang pada Faruk hingga dia ceraikan kau? Kalau bukan kerana tu, sebab apa lagi? Aku tahu, aku ni dah lama hidup.”
“Memang salah saya, Mak Lang…” Akhirnya Julia Afiqah menjawab perlahan. Biarlah emak saudaranya itu melepaskan kemarahan padanya. Biarlah dia mengakui sesuatu yang tidak dilakukannya. Dia rela menerima caci maki Latipah.
“Kan betul! Engkau ni sama saja dengan emak engkau. Memalukan…”
Julia Afiqah terkejut mendengar kata-kata Latipah. Dia memandang tepat ke arah Latipah yang memperlihatkan wajah yang bengis.
“Apa… Apa maksud Mak Lang?” Julia Afiqah tergagap-gagap bertanya.
“Agh! Tak payahlah kau tahu.” Kata Latipah tegas. Dia terlanjur berkata sesuatu yang tidak patut dilafazkannya. Dia terus berlalu ke dalam bilik.
Kepulangan Julia Afiqah memang tidak dialu-alukannya. Dia tidak pernah bermimpi yang anak itu akan diceraikan begini. Belum ada di kalangan sanak saudara ataupun anak-anaknya yang menjadi janda, diceraikan pula dalam usia perkahwinan yang masih muda. Malu! Orang kampung pasti mengata…
Latipah tidak senang duduk seperti cacing kepanasan. Dia mundar mandir di dalam bilik tidur, berfikir keras bagaimanakah dia harus menangani masalah Julia Afiqah. Orang kampung tidak boleh tahu yang Julia Afiqah sudah pun menjadi janda. Masih belum cukup setahun sudah diceraikan. Apakah yang sebenarnya berlaku? Hatinya tertanya-tanya.
Mengapa anak itu tidak dapat mengekalkan perkahwinannya? Malu, bisik hatinya tidak keruan. Orang kampung akan menganggap yang bukan-bukan. Kau dah conteng arang ke muka aku, Fiqah! Bentak Latipah sendiri. Aku tak sangka! Tak pernah menduga dan tidak mengharap ini semua terjadi. Mengapa engkau balik ke sini? Mengapa tidak engkau terus tinggal di Kuala Lumpur? Tak ada orang yang akan tahu…
Latipah bergerak ke almari. Dia membuka pintu almari, memandang ke arah baju-bajunya yang banyak bertimbun-timbun. Dia mengambil beberapa helai lantas memasukkannya ke dalam beg pakaian. Kemudian dia bersiap-siap pula. Sudah terbayang di mata arah dan tujuannya kini. Dia sudah tiba masa dia meninggalkan rumah itu beberapa ketika, sekurang-kurangnya dia dapat mengelak daripada menjawab pertanyaan orang kampung.
Biar dia pergi. Sebulan atau dua bulan dia sendiri tidak pasti.
Sayup-sayup Julia Afiqah terdengar bunyi telefon bimbit. Dia berlari masuk lantas masuk ke dalam bilik. Beg tangan dibuka. Panggilan itu datangnya dari Emilia.
“Kau kat mana? Kami nak ajak kau keluar ni…”
“Aku kat kampung.” Beritahu Julia Afiqah.
“Oi! Cukuplah tu duduk di bawah ketiak mak. Bila lagi nak berdikari?” Kata Emilia seenaknya. “Engkau ni balik kampung langsung tak beritahu. Kalau kau beritahu siang-siang nak juga kami ikut sehari dua. Berapa lama kau balik kampung ni? Bila nak balik ke sini… Ingat tak lama lagi semester baru nak mula ni!”
“Ya, aku ingat.” Jawab Julia Afiqah. Dia tidak begitu yakin. Apakah dia akan menyambung pelajarannya? Masih ada setahun lagi. Mengapa tidak dia meneruskan pelajaran? Jangan sampai usaha hanya sekerat jalan. Lagipun yuran sudah dibayar oleh Datin Mahani. Jangan! Teruskan pelajaran, hadapi segalanya dengan tabah… setabah mungkin Fiqah! Bisik hatinya.
“Ha, bila kau nak balik sini?” Tanya Emilia.
“Ada masalah sikit ni… Boleh kau carikan aku rumah sewa tak?”
“Eh, buat apa nak cari? Duduk aje dengan kami. Memang di rumah ni ada bilik kosong.”
Julia Afiqah tersenyum. Hatinya jadi riang secara tiba-tiba. Segala masalah yang membelit diri bagaikan terungkai. Terima kasih Tuhan! Engkau telah memudahkan perjalanan hidupku. Semoga engkau tabahkan aku menempuh dugaan ini… Doa Julia Afiqah perlahan dan tenang.
Dia memerhati sekeliling ruang yang sepi. Emak saudaranya sudah pergi, tidak tahu ke mana. Semasa dia bertanya, Latipah enggan menjawab apa-apa. Memang wanita itu begitu marah dengan berita perpisahannya itu. Dia mengeluh. Julia Afiqah masuk semula ke dalam bilik, mencapai beg pakaian lantas memasukkan pakaian ke dalamnya. Petang ini juga dia akan kembali ke Kuala Lumpur.

Bab 33

TANPA aku duga, tiba-tiba emak terjongol di hadapan pintu rumahku pada satu pagi. Di sisinya terlihat sebuah beg pakaian sederhana besar. Aku yang hendak melangkah ke tempat kerja, terkejut melihat dia datang.
“Mengapa mak tak beritahu nak datang? Boleh saya jemput.” Tanyaku.
“Tak payah Im. Mak tak mahu menyusahkan kau. Lagipun bukan mak tak jalan di sini. Jangan kau anggap mak bodoh…”
“Saya tahu, mak bukannya bodoh. Dulu masa muda-muda mak selalu ke sini. Tapi keadaan dah lain sekarang, saya takut mak sesat!” kataku memujuk. “Setiap hari bangunan-bangunan di KL ni naik tinggi menjulang, jalanraya-jalanraya yang berubah.”
“Tak adanya sesat. Sampai aje kat stesen bas, aku cari teksi. Beri alamat rumah engkau, dihantarnyalah dek drebar teksi itu. Apalah yang susahnya…” Kata emak gagah dan sinis seperti biasa. Emak nampaknya sudah pulih daripada kesedihan.
Aku tersenyum lantas memeluk emak.
“Baguslah mak datang… Kami pun ada berita untuk mak.” Kataku sambil memandang Najiha yang ada bersama di ruang tamu.
“Berita apa?”
“Jiha dah mengandung, dah empat bulan. Tak lama lagi mak akan dapat cucu.”
Emak tersenyum.
“Baguslah. Tapi itulah berita gembira selalu disusul dengan berita sedih.” Kata emak setelah dia duduk di sofa.
Aku turut duduk di hadapan emak. Kutangguhkan dulu niat hendak melangkah ke pejabat. Tak mengapa. Nanti aku akan menghubungi setiausahaku, mejelaskan kelewatanku datang ke pejabat. Lagipun tiada mesyuarat apa-apa pagi ini. Aku tak sabar nak dengar cerita yang mak bawa dari kampung. Apa maksud mak?
Aku menanti dengan sabar emak menuturkan kata-kata. Nampak emak sedikit kepenatan. Tanpa disuruh, Najiha terus ke dapur, mengambil air untuk emak. Masih ada teh panas dan mee goreng yang disediakan Najiha awal pagi tadi. Najiha menghidangkannya di hadapan emak.
“Makanlah mak!” Pelawa Najiha.
“Yalah.” Jawab emak sepatah sambil tersenyum memandang Najiha.
Kutahu emak menyenangi Najiha. Bukankah Najiha adalah menantu pilihan emak. Emak yang lebih mengenali Najiha daripada aku sendiri. Dan setelah beberapa bulan bernikah dengannya, aku turut menyenangi dia. Bukan hanya menyenanginya semata-mata. Kini ada rasa sayang dan kasih untuknya. Dia sedang membawa zuriatku di dalam rahimnya.
Selama sembilan bulan sepuluh hari dia akan menanggung kepayahan demi kepayahan. Belum lagi dikira waktu bersalin kelak. Kesakitannya tiada tandingan. Jika ada kasih sayang dari Tuhan, kudoakan Dia akan memudahkan Najiha melahirkan zuriat kami itu ke dunia fana. Dan Dia selamatkan anak isteriku, supaya terus bersamaku menghadapi dugaan dan cabaran hidup ini.
“Apa berita sedih yang mak maksudkan?” Tanyaku tak sabar apabila melihat emak hanya diam.
“Pasal Fiqah.” Jawab emak sambil mencapai tangkai cawan, dihirupnya minuman penuh nikmat. Kemudian cawan diletakkannya kembali di meja.
“Pasal adik? Kenapa?”
Dadaku sempat berdebar. Namun kukawal diri supaya tidak ketara rasa bimbang dan risau yang mulai menekan dada. Minta-minta adik selamat! Tiada apa-apa berlaku padanya.
“Dia dah diceraikan Faruk.” Kata emak dengan jelas.
Aku dan Najiha sama-sama terkejut, kami saling berpandangan serentak.
“Kenapa?” Tanyaku dengan cepat.
Najiha juga memandang emak. Dia ingin tahu apakah alasannya sehingga Faruk sanggup menceraikan Julia Afiqah.
Mengapa adikku yang baik hati, tidak tahu melawan dan cantik itu harus diceraikan? Mengapa? Apa sebenarnya yang berlaku.
“Salah Fiqah sendiri…” Jawab emak.
“Mana mak tahu? Kita tak kenal Faruk tu betul-betul mak. Memang emak ayahnya baik tapi tak semestinya dia pun baik juga. Dia tu kaya raya, banyak duit… entah-entah dia ramai perempuan keliling pinggang.” Kataku, melepaskan marah dan geram. Aku tidak seharusnya turut menyalahi adik selagi tidak tahu sebab-sebab sebenar.
“Fiqah mengaku salah dia sendiri. Emak syak dia ada orang lain…” Kata emak selamba. Dia mulai memamah mee goreng. Nampak dia berselera sekali menikmati makanan yang dimasak oleh menantu pilihan hatinya itu.
“Tak mungkin. Adik tu mana pandai berkawan dengan lelaki.” Kataku perlahan, seperti tidak yakin lagi pada diri kata-kataku sendiri. Sekonyong-konyong aku teringat pada nota yang kutemui di dalam buku ensiklopedia itu.
Ya, bisik hatiku tidak keruan. Adik memang punya kekasih hati sebelum dia berkahwin dengan Faruk. Ada seseorang dalam hati adik. Cinta pertamanya… dan barangkali juga cinta terakhirnya. Justeru itu dia tidak dapat menerima Faruk seadanya. Barangkali!
Aku diam sambil menelan airliur pahit. Agh! Adik…. Mengapa harus jadi begini, adik?
“Jadi, di mana dia sekarang?” Tanyaku lebih lanjut.
“Ada di rumah. Dia balik ke rumah dihantar Mahani dan suaminya. Mahani minta maaf beberapa kali. Dia berikan duit pada Fiqah juga… banyak juga duit yang dia beri. RM10,000.00.” Cerita Latipah. “Tapi Fiqah beri pada mak. Mak tak ambil pun! Mak katakan padanya, duit tu bukan hak mak. Biar dia gunakan untuk masa depannya.”
Aku mengangguk Cuma.
“Lagipun dia perlu habiskan belajar…” Kataku kemudian.
“Dia sambung belajar?” Tanya emak, selama ini dia tidak tahu Julia Afiqah belajar di kolej itu.
Aku mengangguk. “Biarlah.” Kataku perlahan. “Biar dia cari masa depannya. Biar dia kejar cita-citanya mak.” Kataku sambil bangun dan berdiri. Aku harus pergi ke pejabat. Waktu sudah lewat benar. Tapi cerita terbaru tentang adik benar-benar menggugat ketenangan hatiku. Sepanjang hari itu kerja-kerjaku tidak begitu menjadi. Aku lebih banyak termenung dan memikirkan tentang diri adik yang kini bukan lagi milik sesiapa.
Jangan jadi gila, Imran! Hatiku berbisik marah. Aku asyik tenggelam dalam khayalan. Sesekali membayangkan aku bertemu adik. Kubayangkan aku berbicara dengan adik dari hati ke hati. Kuberanikan dia memberitahu adik apa yang terbuku dalam dadaku. Namun aku tersentap untuk kesekian kalinya. Aku sudah pun menjadi suami Najiha. Aku tidak patut menyimpan sebarang perasaan kepada adik.
Tidak… Bentak hatiku. Kau tak boleh mendekati adik lagi walaupun kini dia sendirian, tidak lagi menjadi hak Faruk. Kau harus belajar jadi lelaki yang setia, hanya pada seorang isteri…. Marah hatiku lagi.
Petang, aku keluar dari pejabat dan tanpa sedar keretaku pandu menghala ke kolej di mana tempat Julia Afiqah belajar. Kemudian aku menepuk dahi, baru tersedar sekarang masih musim cuti. Minggu hadapan barulah semester baru bermula. Aku menekan nombor telefon bimbit adik. Tetapi telinga ku mendengar jawapan yang tidak aku inginkan; Nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan.
Aduh! Adik telah menukar nombor telefon bimbitnya! Tapi tak mengapa. Kesempatan tentu masih ada. Bila semester dibuka nanti, aku akan datang ke kolej mencari adik. Aku perlu dengar apakah alasan adik sehingga Faruk melepaskan ikatan perkahwinan mereka yang belum cukup setahun itu.

EMAK hanya tinggal dua hari sahaja di rumahku. Pagi ini dia meletakkan beg pakaiannya di hadapan pintu. Aku memandan emak yang sudah siap berpakaian duduk di sofa di ruang tamu. Lantas aku menawarkan diri pada emak untuk menghantarnya balik ke rumah.
“Kau tak kerja hari ni?” tanya emak.
“Kerja. Tapi saya ambil cuti emergency.”
“Tak payah.” Jawab emak tegas. “Emak tak mahu balik ke kampung. Emak nak round satu Malaysia.” Emak senyum. Pertama kali kurasakan senyuman emak bersungguh-sungguh. Dia mungkin sudah melupakan kesedihannya sejak ayah pergi.
“Kau hantar mak ke Puduraya. Mak nak ke rumah Yahya di Terengganu. Lepas tu ke rumah Yusof di Johor. Kalau umur panjang, mak akan rumah Nora dan Adibah.”
Aku mengangguk. Memang patut memang menghilang rasa sedih pilunya dengan mengunjungi semua rumah anak-anaknya. Semoga perubahan angin dan tempat yang mak tempuhi akan membuat mak lebih tabah dan ceria menghadapi hidup ini. Walaupun dia kini tinggal keseorangan, tetapi dia harus ingat bahawa semua anak-anak sayangkan dirinya dan tidak akan membiarkan dia hidup sendiri.
Selepas menghantar mak ke Puduraya aku terus ke pejabat. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan panggilan daripada bossku yang mahu bertemu. Apa yang dia mahu? Apakah dia tidak berpuas hati dengan kerja-kerjaku.
Pertemuanku dengan bossku membawa satu berita baru. Aduh! Aku hampir-hampir terhenyak dibuatnya. Aku terpaksa bertukar ke Jakarta. Syarikat baru membuka cawangan di Jakarta dan aku akan ditugaskan selama setahun di sana. Fikiranku kembali berserabut. Tukar? Bisik hatiku tidak keruan.
Bagaimana aku harus menghadapinya? Kalaulah aku masih bujang tentu dengan mudah aku akan menerimanya. Tapi banyak perkara yang harus aku fikirkan. Bagaimana isteriku dan anak yang bakal lahir. Takkanlah aku hendak meninggalkan Najiha di kampung. Aku diberitahu oleh bossku bahawa aku boleh membawa keluarga bersama. Sebuah rumah sudah disediakan. Mendengar penerangannya itu, hatiku jadi sedikit lega. Tapi kelegaan itu hanya sejenak. Dalam masa sebulan lagi aku akan meninggalkan pejabat itu. Aku akan membuat persediaan untuk ke luar negara. Tiba-tiba banyak perkara yang hendak diurus. Banyak tugas yang akan berpindah tangan. Aku jadi sibuk, menyerahkan tugas dan melatih orang bawahan yang akan menggantikan tempatku kelak. Dalam kesibukan itu, aku sejenak lupa pada adik dan masalah yang masih membelenggu dirinya.

Bab 34

BAHAGIAN III
JULIA AFIQAH
RAHSIAKU, RAHSIAKU JUA…

SETAHUN berlalu, mencatat pelbagai peristiwa dalam hidupku. Kesepian dan kesedihan bukan lagi teman setia. Aku bersyukur, punya sahabat seperti Emilia, Wanie dan Syamil. Merekalah yang banyak membawa kegembiraan dalam hidupku, melupakan kesedihan lalu. Menganggap masa lalu itu sudah tidak penting berbanding masa depan. Kami tetap berkawan sehingga kini, malah perhubungan itu bertambah intim. Aku telah menjalani latihan praktikal kerja di sebuah syarikat komputer antarabangsa sebagai junior analisis sistem. Seronoknya aku dapat berada di situ. Terasa aku telah pun memasuki dunia pekerjaan walaupun ianya hanya latihan praktikal.
Pun aku tetap dibayar separuh dari gaji sebenar. Itu sudah memadai. Di sini aku dan Emilia di tempatkan di dalam satu department. Seronoknya. Kami semakin rapat, lebih-lebih lagi sejak setahun lalu kami tinggal serumah. Walau bagaimana pun aku tetap menyimpan kemas semua rahsia hidupku daripada pengetahuan Emilia, Wanie dan Syamil. Jahatnya aku! Mereka menganggap aku sama seperti mereka, gadis remaja - masih anak dara yang tiada pengalaman dengan lelaki. Malah Wanie dan Emilia sesekali rasa teruja apabila berbicara tentang Syamil!
Barangkali salah seorang dari mereka, Wanie atau Emilia memang ada hati pada Syamil.
Syamil telah berjaya menjadi seorang model. Semasa uji bakat di syarikat Faruk setahun lalu, hanya Syamil seorang yang terpilih. Wajahnya semakin kerap menghiasi majalah lelaki terkenal itu. Sesekali Syamil ada menyebut tentang nama Faruk, namun aku pura-pura tidak tahu dan tidak pernah mahu ambil tahu. Aku amat takut Syamil akan syak sesuatu. Agh! Aku hanya takut pada bayang-bayang sendiri.
Selama setahun ini juga, aku tidak pernah terserempak di mana-mana dengan Faruk ataupun Abang Imran. Kedua-dua lelaki yang pernah mewarnai kanvas hidupku dengan warna-warna duka dan ceria bagaikan tidak wujud lagi di bumi Kuala Lumpur ini. Aku juga sudah setahun tidak balik ke rumah Mak Lang.
Bukan aku berdendam ataupun sakit hati. Bukan aku bersikap seperti lupakan kulit, lupa pada jasa-jasanya memeliharaku sejak berusia lima tahun. Tapi aku masih terasa hati dengan Mak Lang. Dia menuduh aku yang bukan-bukan. Langsung tiada rasa simpati padaku. Dia memandangku penuh kebencian meskipun kuserahkan sebahagian wang pemberian Datin Mahani kepadanya.
Dia melemparkan kembali wang itu ke ribaanku. Dia tidak sudi menerimanya. Hinanya diriku di pandangan mata Mak Lang. Sehingga kini aku langsung tidak menyentuh wang pemberian bekas emak mertuaku itu. Semuanya aku simpan di dalam bank. Untuk meneruskan hidup di kota ini, aku lebih rela berusaha sendiri. Aku mencari kerja sambilan. Aku sanggup bekerja malam di restoran KFC. Dan aku tidak pernah sekali pun merungut ataupun menyesali nasib.
Begitulah pengalaman pahit hidupku telah mendewasakan aku. Dalam usia yang baru mencapai sembilan belas tahun, aku sudah menjadi seorang janda muda. Aku, seorang wanita muda yang lebih dewasa dari usiaku yang sebenar. Dan aku semakin tabah mengharungi hidupku yang penuh dengan gelombang.
“Selamat malam encik. Nak order apa?” Tanyaku sambil memandang lelaki yang berdiri di hadapan kaunter. Aku terlalu sibuk untuk memandang wajahnya dengan tepat. Aku terpandang jari-jarinya yang panjang, ketika dia meletakkan tangannya di atas kaunter sambil melihat menu. Entah mengapa aku seperti pernah melihat cincin suasa yang tersarung di jari manisnya. Kuangkat muka mencari matanya. Lantas segera kutemukan satu pandangan yang masih tidak berubah.
Lelaki di hadapanku tidak bersuara, terdiam dalam tempoh yang lama. Hanya matanya sahaja yang memandang tepat padaku. Aku terkejut juga hilang kata-kata.
“Fiqah?” Dia menegur dengan dahi berkerut.
Aku seperti ingin melarikan diri. Tetapi tiada tempat untukku berbuat demikian. Aku kini sedang bertugas. Di belakang lelaki itu masih ramai pelanggan yang beratur panjang untuk mendapatkan makanan.
Aduhai… mengapa setelah sekian lama, malam ini kami dipertemukan dalam keadaan ini?
“Fiqah…”
“Encik, tolong buat order sekarang. Masih ramai pelanggan di belakang encik.” Kataku dengan tegas, bibirku paksa mengukir senyum.
Dia cepat-cepat membuat order. Hanya sebiji burger dan minuman. Dia meminta burger itu dibungkus. Tidak lama kemudian dia berlalu keluar.
Apakah aku rasa hampa melihat dia pergi, tidak menoleh lagi ke belakang? Apakah perasaanku yang sebenar tidak kutahu. Tapi aku benar-benar tidak sukakan pertemuan yang tidak kuduga itu. Aku pulang dengan hati kembali risau. Kepedihan masih terasa, kenangan itu masih mengisi dadaku.
Berhenti kerja ajelah… bisik hatiku. Aku takut dia datang lagi mencariku. Apakah dia akan datang? Mungkin dia tidak akan datang. Siapalah aku di sisinya. Selama menjadi suami isteri, tidak pernah pun dia menyatakan cinta dan sayang padaku. Dia berubah mendadak menjadi orang asing dalam masa yang singkat. Aku masih tertanya-tanya sehingga kini mengapa dia berubah. Dan mengapa dia kembali menjalin hubungan dengan Adie.
Tak perlu aku rasa takut hingga ingin mengorbankan kerjayaku. Aku sudah lama bekerja di restoran itu. Segalanya sudah biasa. Kalau aku mendapat tawaran kerja yang baik selepas habis praktikal nanti, barulah aku berhenti kerja malam. Tidak perlu aku rasa takut kalau-kalau dia datang lagi. Aku sudah tiada apa-apa perasaan padanya.
Restoran ditutup pada jam 11.30 malam seperti biasa. Aku terus berjalan menghala ke teksi yang terdapat di hadapan Restoran KFC, Jalan Raja Laut. Semasa sedang membelek-belek dompet untuk mengambil duit tambang bas, aku terdengar suara lelaki itu lagi, menyapaku begitu dekat. Mukaku tertoleh segera, berharap aku hanya berkhayal. Tapi benar dia memang ada di sisiku.
“Fiqah. Apa khabar? Boleh kita bercakap sekejap?”
“Abang Faruk…” Seruku perlahan. “Maaflah, dah lewat ni. Saya harus balik.”
“Please.” Katanya separuh merayu. “Abang hantar kau balik nanti. Janganlah risau…”
Aku tersenyum pahit. Betapa lembutnya suara Faruk. Kurasakan di hadapanku bukan lagi Faruk yang dulu. Dia membahasakan dirinya ‘abang’. Tidak pernah dia berbicara begitu dulu. Apakah aku akan melayani Faruk? Perlukah aku mendengar apa yang hendak dia perkatakan? Tidak. Aku harus menetapkan pendirianku, bahawa tiada sebarang perhubungan lagi antara kami setelah apa yang terjadi.
“Maaf. Lain kali saja. Bas saya dah datang…” Kataku dengan pantas berlari ke arah bas yang semakin dekat. Tidak kusangka Faruk mengejarku lantas turut sama melompat ke dalam bas. Aku mendapat tempat duduk kosong lantas dengan cepat dia duduk di sisiku. Aduh… Aku benar-benar terkejut dengan perbuatannya malam ini.
“Fiqah, janganlah takut. Abang hanya nak berbual, nak bertanya khabar saja…” Kata Faruk.
Aku mengangguk. “Okey. Saya sihat. Abang macamana?”
“Juga sihat.” Katanya sambil tersenyum. “Fiqah tinggal di mana? Dengan siapa?”
“Saya menyewa sebuah rumah teres di Sentul, dengan dua orang kawan.”
“Masih belajar?” Tanya Faruk lebih lanjut. Benar-benar dia ingin tahu segalanya tentang diriku.
“Dah habis. Sedang buat praktikal. Tapi saya masih buat kerja sambilan sebelah malam. Itu lebih baik dari buang masa…” Kataku panjang lebar.
“Kau memang rajin, Fiqah.” Puji Faruk tiba-tiba.
Faruk bercerita selepas perpisahan kami tempohari dia telah keluar negara selama setahun tapi dia balik dua atau tiga bulan sekali. Sekarang, dia bercadang untuk balik terus ke sini. Banyak projek yang dia dapat semasa dia pergi ke luar negara. Hatiku kagum. Dia memang hebat…
“Apa khabar Adie?” Aku sengaja bertanya.
“Dah lama tak jumpa…” Jawab Faruk perlahan, memandangku sambil melemparkan senyum mesra. “Fiqah, keterlaluan ke kalau abang mengharap kita kembali bersama seperti dulu? Sebenarnya dah lama abang cari Fiqah!”
Aku terdiam. Bibirku gigit dengan kuat. Aku tidak ingin menjawab pertanyaannya itu. Untuk apa lagi? Aku bukan boneka. Aku ada perasaan. Saat itu bas sudah masuk ke taman perumahan tempat ku tinggal. Aku menekan loceng lantas terus turun. Faruk bangun ingin mengikut tapi aku melarang.
“Tolong jangan ikut saya.” Pintaku tegas. Sayangnya Faruk jadi terlalu obses, dia terus mengekoriku tanpa menghiraukan permintaanku.
“Fiqah! Abang dah berubah. Kehilangan Fiqah dalam hidup abang memberikan satu kesan yang amat mendalam. Abang sedar kesilapan abang…”
“Bang, jangan dikesali apa yang berlaku antara kita. Jodoh kita setakat itu aje. Walaupun saya tak tahu apa salah saya pada abang hingga abang berubah hati… tapi tak mengapa. Saya dah lupakan kejadian malam itu yang menyebabkan abang bertindak kejam pada saya…”
“Maaf.” Kata Faruk sambil cuba memegang tanganku.
Aku berhenti melangkah. Aku merenung tajam, penuh geram ke dalam matanya. Dia melepaskan pegangan itu lantas meminta maaf lagi berulang kali. Entah mengapa aku muak mendengar pernyataan ‘maaf’ itu seolah-olah tiada perkataan lain yang mahu dia tuturkan.
Suasana malam itu terasa dingin ketika kupandang lagi wajahnya. Dia mengeluh. Ada asap tipis keluar dari nafasnya yang hangat, menentang udara malam bertambah sejuk. Angin pun bertiup. Malam itu kurasakan hujan bakal turun.
“Abang yang salah. Abang terlalu cemburu Fiqah. Sebab abang sayangkan kau… Abang cintakan Fiqah sepenuh hati. Tak pernah abang rasa begitu tika menjalin hubungan dengan orang lain. Hanya dengan Fiqah hati abang tersentuh rasa cinta… Cinta sejati. Cinta antara lelaki dan wanita. Kerana rasa cinta itu abang ingin memiliki hatimu dan tidak ingin orang lain hadir di antara kita.”
Aku mengggigit bibir. “Cemburu? Kenapa abang cemburu? Bukannya saya pernah ada hubungan sulit dengan sesiapa.” Balasku sambil merenung mukanya yang dilindungi bebayang. Lampu malap di tepi jalan tidak mampu menyuluh seluruh wajahnya yang muram.
Faruk mengeluh lagi. “Rasa cemburu yang keterlaluan itu telah menghancurkan perhubungan kita Fiqah. Abang… Abang jumpa nota yang kau tulis… Nota yang kau tulis untuk Narmi@Imran. Betulkah kau cintakan Imran? Tetapi Imran tidak pernah cintakan kau. Buktinya dengan berkahwin dengan orang lain.”
Aku terkejut. Baru aku teringat pada nota yang kuselit dicelah novelku. Jadi, nota ditemui Faruk? Aduh! Gila…Patutlah segalanya jadi tunggang terbalik. Faruk memang gila, obsesi… Takut aku pada lelaki sepertinya.
“Cukuplah tu bang…” Pintaku bersungguh-sungguh. “Lupakan saya. Kita dah lama berpisah. Kita bina hidup baru. Saya harap kita takkan berjumpa lagi selepas ini…” Kataku sambil berjalan laju menghala ke pintu pagar rumahku. Daun pintu pagar kubuka dan kututup dengan cepat. Faruk kulihat tidak lagi mengekoriku. Dia berdiri terpaku di tepi jalan, memerhati aku yang sudah bergerak masuk ke dalam rumah.
Malam itu, semasa merebahkan tubuh yang kepenatan di atas tilam, hatiku dibungai rasa kesal. Sepatutnya aku mendengar suara hatiku yang menyuruhku berhenti kerja. Jika aku tidak pergi kerja malam ini pasti aku tidak akan bertemu lagi dengan Faruk. Kini dia sudah tahu di mana aku tinggal. Risau hatiku bertali-temali. Bagaimana jika dia datang lagi? Bagaimana harus kuhadapi dia dengan tenang tanpa sengketa.
Aku tidak dapat melelapkan mataku malam itu. Aku benar-benar risau memikirkan perihal Faruk.

PAGI itu, sebaik sahaja terjaga aku terus menyelak langsir tingkap menghala ke jalan raya. Jalanraya kosong dan lengang. Lega hatiku. Apakah kau mengharapkan Faruk ada di tepi jalan itu menunggumu seperti orang kemaruk cinta? Ejek hatiku.
Tidak…. Balas akalku membantah. Aku berlari ke kamar mandi untuk bersiap-siap dan keluar dari rumah. Hari terakhir di pejabat itu aku perlu menunjukkan yang aku punya komitmen yang besar terhadap tugas-tugasku.
Memasuki dunia pekerjaan yang diminati memang menjadi impian setiap orang. Pagi ini tika menatap wajahku di cermin, aku menyedari sesuatu. Setiap sesuatu yang berlaku dalam hidupku saling berkait rapat antara satu sama lain. Jika aku tidak bernikah dengan Faruk, tidak mungkin aku mengenali Datin Mahani. Tanpa Datin Mahani juga, aku tidak akan dapat memasuki kolej berprestij yang telah melahirkan ramai pelajar-pelajar yang pintar dan berwibawa.
Dan sekiranya Mak Lang tidak memaksa aku bernikah dengan Faruk, barangkali aku masih berada di kampung. Masih tidak berubah menjadi manusia yang sepi, tidak berteman dan hanya menulis nota-nota cinta penuh rahsia setiap hari…
Aku jadi sedar, aku tidak sepatutnya terus menyepi diri daripada menghubungi Mak Lang. Sekejam mana pun dia telah mencorak hidupku, menjadikan aku seorang manusia yang tahu harga diri, tahu menjaga diri dan agama sebaik mungkin. Barangkali memang dia terasa pedih dan malu, di atas kegagalan perkahwinanku dengan Faruk, tetapi aku telah mencuba menjadi seorang isteri yang baik. Namun aku gagal mengekalkan kedudukanku itu. Faruk juga gagal… Gagal menafsir hati dan perasaannya sendiri. Kutahu dia dalam kecelaruan antara dua perasaan yang saling berebut dan berlumba mengambil tempat di hati. Dan akulah yang menjadi mangsa di atas sifat cemburunya yang membabi buta.
Pernahku dengar jika lelaki jatuh cinta, mereka akan jadi gila. Mereka akan berusaha mendapatkan apa yang mereka mahu, tanpa memberi peluang kepada wanita untuk bernafas. Itulah yang berlaku. Faruk rasa ingin menunjukkan kuasanya sebagai seorang suami, yang hanya akan dicintai oleh isterinya sahaja. Sedangkan aku telah mengungkapkan dalam nota itu bahawa hatiku dimiliki orang lain.
Aghhh… Kalaulah nota itu tidak ditemui sesiapa! Kalaulah…
Memang hidup ini tidak akan menjadi apa-apa jika terus berkalau…
Aku tiba-tiba jadi teringat pada nota-nota yang telah aku tinggalkan di dalam perpustakaan rumah Mak Lang. bagaimana jika nota-nota itu ditemui orang lain? Masih selamat jika ditemui dan dibaca oleh Abang Yahya, Abang Yusof atau sepupu-sepupuku yang lain. Mereka pasti tidak akan mengesyaki apa-apa. Bagaimana jika nota itu ditemui Kak Jiha?
Tidak… Aku mesti balik ke kampung. Sekurang-kurangnya sebelum segalanya terlambat. Aku perlu buang nota-nota itu, membakarnya hingga jadi abu supaya tiada sesiapa yang akan membacanya. Tiada sesiapa yang akan terluka kerananya.
“Aku nak balik kampung, kau nak ikut?” Tanyaku pada Emilia pada suatu pagi.
“Kau?” Tanyaku pada Wanie pula.
Wanie juga menggeleng. “Aku ada hal.” Jawab Wanie sambil tersenyum.
“Hal apa?” Tanya Emilia ingin tahu.
Wanie tidak menjawab, dia hanya tersenyum simpul.
Lantas pagi itu aku bertolak sendirian menuju ke kampung setelah hampir setahun aku tidak pulang. Entah bagaimana keadaan di rumah Mak Lang. Masihkah sepi dan sunyi, dihuni Mak Lang sendirian? Aku tak tahu. Dengan melangkah pulang sahaja akan dapat kuketahui jawapannya.
Dan sekiranya aku kembali apakah Mak Lang akan menerima kepulanganku dengan senang hati atau masih terus bersikap dingin seperti hari itu? Hatiku dibaluti rasa bimbang dan gentar. Sanggupkah aku sekiranya dihina oleh Mak Lang bagai dulu? Bagaimana jika sebaik sahaja dia melihat aku, dia segera menghamburkan kemarahannya? Apa yang harus kulakukan jika dia mengambil keputusan untuk meninggalkan rumahnya seperti pada hari aku kembali ke rumah itu setelah berpisah dengan Faruk.
Lebih kurang pukul dua petang aku sampai ke halaman rumah Mak Lang yang kosong dan lengang. Banyak daun-daunan terdampar di sana sini. Tumbuhan menutup sebahagian daripada halaman, bunga-bunga banyak sudah mati. Jelas semuanya tidak berjaga. Kereta Datsun tua Mak Lan kaku di tempat biasa, di bawah garaj kecil yang seakan-akan mahu tumbang. Apakah kereta itu masih elok atau tidak boleh digerakkan ke mana-mana lagi?
Aku termangu seketika memerhati sekeliling. Mengapa rumah yang besar tersergam suatu masa dulu begitu riuh, indah dan membahagiakan penghuninya kini suram dan sedih. Tiadakah pemandangan lain yang boleh ditangkap oleh mataku, lantas membawa sedikit senyuman di bibir?
Pintu hadapan terbuka walaupun tingkapnya yang menghadapi halaman terkatup rapat. Aku meneruskan langkah, menghala muka pintu, lantas memberi salam. Namun tiada jawapan dari dalam rumah. Aku menjenguk, melihat suasana ruang tamu yang sedikit gelap, tingkap-tingkap yang banyak itu satu pun tidak terkuak. Di atas sofa, seekor kucing sedang tidur dengan enaknya. Apabila terasa kehadiranku, kucing itu terjaga lantas melarikan diri.
Aku terus berjalan perlahan memasuki rumah sepi itu. Ke manakah Mak Lang.
“Mak Lang! Mak Lang!” Aku terus meneriak.
Dari arah dapur kudengar suara yang sayup-sayup menjawab panggilanku. Aku terus berlari ke sana. Kudengar suara itu seperti merintih kesakitan. Dadaku berdebar-debar. Apakah yang berlaku pada wanita tua itu?
“Mak Lang?” Panggilku lagi sebaik saja tiba di ruang dapur. Kulihat tiada sesiapa pun di dapur. Mengapa aku mendengar suaranya datang dari dapur.
“Mak Lang dalam bilik air…” Jawab Mak Lang, suaranya terdengar amat payah untuk menyahut.
Aku terus menolak daun pintu yang tertutup. Kulihat Mak Lang terjelepuk di situ, sedang berusaha untuk bangun. Pakaiannya basah lejut.
“Kenapa Mak Lang? Apa dah jadi?”
“Mak Lang jatuh. Nak ambil air sembahyang tadi…”
Aku pegang tangannya lantas memimpinnya keluar dari bilik mandi. Kurasakan seluruh tubuhnya berbahang panas.
“Panasnya badan Mak Lang… Demam?”
“Dah seminggu demam. Tapi hari ni rasa baik sikit, bangun pergi bilik air. Kepala ni tiba-tiba pening…” Cerita Mak Lang dengan suara tertahan-tahan. Kutahu dia menahan sakit. Aku terus memimpin dia ke bilik tidur, membantu dia menukar baju dan kain batik yang kering dan bersih. Kemudian menyuruh dia berbaring.
“Kalau demam tak payahlah bangun Mak Lang…” Nasihatku sambil memerhati ke arah meja yang dipenuhi dengan pelbagai ubat. “Mak Lang dah makan ubat?”
Dia menggelengkan kepala. “Dah baik sikit, tak payah makan ubat lagi.” Jawabnya berdalih.
Baik apa? Bisik hatiku. Badan panas berbahang macam bara api. Ubat pula tak mahu makan. Entah-entah dia sengaja menyeksa diri begitu. Ubat yang ada seperti tidak disentuh langsung. Aku ke dapur menjerang air. Lantas kubuatkan segelas susu untuknya. Lama dibiarkannya susu itu tidak diminum. Setelah didesak barulah dia minum susu perlahan-lahan, kemudian kupaksa dia makan ubat.
Mulanya dia tak mahu, dengan alasan yang sama. Dah baik! Kurenung mukanya yang pucat. Kenapalah dia keras hati sangat? Marahku di dalam hati. Apakah kerana dia tidak mahu menerima bantuanku. Kupaksa dia menelan ubat demam dan ubat batuk. Dia akhirnya membuka jua mulutnya.
“Lama kau tak balik? Apa mimpi kau balik hari ni?” Katanya sambil berbaring, memandang padaku yang duduk di sisi katilnya.
Kurasakan pertanyaannya begitu sinis. Tapi aku berniat hendak melupakan sikap sinikalnya itu. Dia memang begitu. Suka cakap sesuatu yang menyakitkan hatiku saja. Atau aku yang terlalu sensitif lantas menganggap dia sedang memperliku?
“Mak Lang tak suka saya balik?” Aku memulangkan pertanyaan. Dengan berani aku menentang matanya yang semakin layu itu. Dia tersenyum pahit. Tangannya yang panas berbahang itu dihulur ke arahku. Tangannya menggenggam tanganku dengan erat.
“Siapa kata tak suka? Mengapa kau selalu rasa kecil hati dengan kata-kata Mak Lang? Sebagai anak, kau jangan ambil hati dengan kata-kata Mak Lang. Jangan marah pada sikap Mak Lang. Bukan Mak Lang tak sayang… Kau kan tahu Mak Lang memang macam ni?”
Aku ingin memprotes. Aku tahu Mak Lang begitu sayangkan anak-anak lelakinya. Mak Lang melayan mereka dengan baik, lemah lembut dan sabar. Tapi bila dengan aku Mak Lang suka lepas cakap, mengata dan mengutuk. Siapa yang tak ambil hati.
“Maafkan Mak Lang… Terima kasih sebab tolong Mak Lang. Akhirnya kau balik. Mak Lang harap kau tak pergi ke mana-mana lagi.” Kata Mak Lang menyimpan rasa terharu.
Aku tiba-tiba memeluk Mak Lang yang terbaring. Aku tak suka mendengar dia mengucapkan ‘terima kasih’ padaku. Akulah yang sepatutnya berterima kasih padanya.
“Mak Lang, jangan cakap macam tu. Jangan berterima kasih pada saya. Sayalah yang sepatutnya berterima kasih pada Mak Lang. Banyak jasa dan budi Mak Lang pada saya. Saya lupa… Saya silap. Maafkan saya Mak Lang.”
Mak Lang mengangguk sambil mengusap kepalaku yang dibaluti tudung. Dia mengangkat mukaku yang terbenam di dadanya. Perlahan-lahan disapu airmataku yang meleleh di pipi.
“Tengoklah keadaan Mak Lang sekarang, tinggal sorang di sini. Hari tu masa kau balik Mak Lang memang tak suka. Mak Lang marah, kecewa dan malu. Tapi kita lupakan saja apa yang berlaku. Mak Lang nak tahu apa yang kau buat selama ini?”
“Saya sambung belajar…” Kataku lantas mencerita apa yang berlaku selama setahun ini. Dia mendengarnya dengan tekun. Lantas kami pun bertukar cerita sejak kali terakhir bertemu.
“Abang Imran kau tak ada di Malaysia. Sudah hampir setahun dia bertugas di Jakarta. Dia dah dapat anak. Danial namanya. Dah berumur empat bulan lebih…” Cerita Mak Lang. Aku diam mendengar. Bahagianya kehidupan abang sepupuku itu. Akhirnya dia dapat membina sebuah keluarga yang lengkap. Bukan seperti aku yang terkapar di tengah jalan. Tiba-tiba aku teringatkan Faruk. Apakah dia datang mencariku di rumah?
Kepulanganku ke kampung adalah satu ‘pelarian’ yang baik. Dia pasti tidak akan menemuiku di Kuala Lumpur. Tapi bagaimana kalau dia cekalkan hati lalu bertanya pada Emilia? Tak mungkin! Dia terlalu ‘ego’ untuk bertanya pada rakan-rakan serumahku!
“Abang Yahya juga sudah bertukar kerja. Tak lagi tinggal di Kuala Terengganu. Sekarang dia di Johor Bharu.”
“Dia tak tahu Mak Lang sakit?”
“Tahu. Tapi katanya sibuk tak boleh ambil cuti. Minggu depan baru dapat balik…”
Aku mengangguk.
“Sejuk pula rasa badan ni…” Kata Mak Lang tiba-tiba. Aku segera bangun untuk menutup kipas angin yang berputar ligat. Kemudian kutarik selimut supaya menutup seluruh tubuhnya.
“Saya keluar dulu. Mak Lang berehatlah… Kalau Mak Lang nak apa-apa, panggil saja. Saya ada di dalam bilik.”
Niatku hendak mengemas bilik kecilku. Sepanjang petang itu aku mengemas. Segala barang-barang yang tidak perlu kuhimpun dan buang sahaja. Apa jua kertas dan buku-buku yang sudah dimakan ulat, kubakar. Cadar dan langsir ditukar. Barulah selesa untuk tidur malam nanti. Tiada lagi mahu yang kurang menyenangkan.
Malam itu aku benar-benar diuji. Sakit Mak Lang semakin teruk. Dia menyatakan tubuhnya kedinginan yang amat sangat meskipun sudah dua helai gebar tebal kuselimutkan ke tubuhnya. Dia juga menyatakan seluruh badannya sengal-sengal dan sakit. Dia mengadu telinganya tidak dapat mendengar dengan baik. Aku gelisah tidak tahu apa yang harus kubuat.
Bila aku tiada di sisinya, dia akan meneriak memanggilku. Dia tidak mahu ditinggalkan sendirian.
“Ada orang lain dalam bilik ni! Dia sedang perhati Mak Lang. Takutnya….” Kata Mak Lang sambil matanya liar memerhati sekeliling.
“Tu dia! Tu diaaaa!!! Pergi! Halau dia pergiiii…”
Aku mulai rasa takut. Aku tidak tahu apakah dia meracau-racau tidak tentu hala disebabkan oleh demamnya yang terlalu tinggi itu? Atau memang dia ada terlihat sesuatu yang menakutkan? Bulu romaku merinding. Aku benar-benar buntu.
“Dia datang nak ajak aku pergi… Aku tak mahu pergi… Aku tak mahu. Jangan tinggalkan aku Fiqah. Jangan tinggalkan aku…” Dia memegang hujung bajuku supaya aku tidak meninggalkannya sendiri di situ. Aku jadi tambah bimbang. Malam kian larut. Apa yang harus kulakukan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.
“Mak Lang… Tenang, Mak Lang. Saya keluar sekejap nak telefon semua anak-anak Mak Lang suruh mereka balik tengok Mak Lang.”
“Tak ada gunanya. Tak guna! Dia orang tu sibuk… Sibuk memanjang. Tak ada masa nak balik.” Kata Mak Lang lagi, matanya liar memandangku. Kuraba lehernya. Panas.
Aku duduk di sisinya sambil mencapai kain tuala basah yang kuletakkan di atas dahinya. Dengan cepat kain itu menjadi kering, menyedut bahang panas dari tubuhnya.
Akhirnya aku menghubungi Abang Yahya.
“Kenapa call lewat malam ni? Dah pukul 11 lebih…”
“Abang Yahya… Mak Lang sakit kuat ni! Saya tak tahu apa nak buat. Dia demam panas. Meracau-racau… Takut saya jadinya. Petang tadi dia jatuh kat bilik air.”
“Jatuh? Mengapa kau hantar ke klinik? Bahaya orang tua jatuh macam tu tau? Tulang dia dah tak kuat lagi. Manalah tahu kalau-kalau patah tulang belakangnya. Mengapa kau tak call tadi lagi? Dah teruk, dah tengah malam macam ni baru nak call?” Abang Yahya melepaskan kemarahannya tanpa aku duga.
“Saya tak tahu apa nak buat…”
“Tak apalah. Kau panggil Mak Bedah dengan Pak Utih. Suruh dia orang datang tengok mak. Kalau ada sesiapa yang boleh diharapkan, usahakan hantar dia ke hospital malam ni juga. Lepas ni aku akan bersiap-siap, terus bertolak balik.” Kata Abang Yahnya sambil meletakkan gagang.
Kulakukan apa yang disuruh Abang Yahya, memanggil Mak Bedah dan Pak Utih. Mereka jiran terdekat. Kemudian beberapa orang jiran berdekatan juga datang mengunjungi Mak Lang. Mereka sepakat untuk membawa Mak Lang ke hospital. Aku menelefon ambulans. Tidak lama kemudian ambulans datang. Mak Lang dibawa ke hospital lantas dimasukkan ke wad malam itu juga.
Aku menghubungi Abang Yahya memberitahu dia bahawa Mak Lang sudah pun dimasukkan ke wad. Aku duduk di ruang menunggu di luar wad, berhasrat hendak meluruskan kaki. Mulutku menguap. Ku perhati jam yang sudah beranjak ke dinihari. Ahhh… Rehat sekejap di sini. Mak Lang dah selamat dan sedang dirawat doktor. Aku memejamkan mata, tidak lama kemudian terus terlelap.

Bab 35

BAHUKU terasa ditepuk beberapa kali. Aku terjaga. Kugosok mata yang pedih, sambil memandang lelaki yang berdiri di hadapanku. Terlihat Abang Yahya sendirian, memandang padaku tanpa secalit senyuman.
Abang Yahya memberi isyarat mata mengajakku keluar dari ruang itu. Kami terus menghala ke cafeteria. Jam sudah enam pagi rupanya. Cafeteria tidak ramai orang. Masih terlalu awal untuk bersarapan. Tetapi makanan sudah banyak tersaji. Cafeteria itu dibuka 24 jam. Abang Yahya membeli dua pinggan nasi lemak dan kopi.
“Abang Ya baru sampai pagi ni?”
Dia mengangguk.
“Dah masuk ke tengok Mak Lang tadi?”
“Dah. Dia masih tidur.” Kata Abang Yahya. Dia mulai makan.
“Mengapa Fiqah tidur di luar?”
“Saya bukan niat nak tidur tadi, tapi letih sangat langsung tertidur…”
Abang Yahya cuba tersenyum. “Lama kau tak balik. Ingatkan kau dah lupakan kami semua. Terkejut juga masa kau telefon aku tadi. Tiba-tiba ada di rumah mak.”
Aku diam. Tidak jadi hendak menyuap makanan ke mulut. Hatiku jadi pilu. Rupa-rupanya mereka tidak pernah melupakan aku. Sebaliknya aku yang melarikan diri. Mereka tidak dapat menghubungiku kerana aku telah menukar telefon bimbitku. Jahatnya aku!
“Syukurlah kau dah balik. Kau yang banyak menolong mak sebenarnya. Kami tak ada masa dia sedang tenat. Lepas ni aku nak minta tolong dari kau lagi!”
Bibirku terukir senyum, seikhlas mungkin.
“Boleh.” Jawabku sepatah.
“Aku akan usahakan supaya mak dimasukkan ke wad kelas 1. Jadi, kau akan lebih selesa. Aku nak minta tolong kau jaga mak selama dia dirawat di sini, boleh kan? Aku dah hubungi Yusof, Nora dan Adibah. Mereka akan datang esok. Mereka terpaksa uruskan beberapa perkara terutama sekali cuti. Anak-anak Adibah pula sekolah, jadi mungkin dia hanya akan jenguk sekejap. Mereka tak dapat jaga mak terus di sini sebab masing-masing ada masalah dengan kerja dan tanggungjawab pada keluarga mereka sendiri.”
Aku mengangguk. Walaupun tanpa disuruh, itulah yang akan akulakukan dengan senang hati. Aku rela dan aku sanggup untuk melakukannya biar berapa lama sekali pun, asalkan Mak Lang kembali sihat. Kurela berbakti pada ibu saudaraku sebagai mengenang jasa-jasanya membesarkanku dan menjadi aku seperti diriku sekarang.

“OI! Bila kau nak balik ke KL?” Suatu hari Emilia menelefonku. “Esok ada majlis penyampaian sijil tahu? Kita lulus dengan cemerlang. Majlis besar-besaran akan di buat di hotel lagi.”
Aku terdiam.
“Dah lebih seminggu kau senyap aje kat kampung… Tak nak balik KL lagi ke? Dah terpikat kat orang kampung pulak ke?” Kata Emilia sambil tergelak kecil, kemudian menyambung; “Ada orang cari engkau tahu… hari-hari tunggu depan rumah. Aku rasa aku kenal dia…”
“Siapa?” Tanyaku acuh tak acuh sebab sudah dapat kuagak siapakah dia. Siapa lagi kalau bukan si Faruk.
“Encik Faruk.” Jawab Emilia sambil tergelak lagi. “Ehhh, apa sebenarnya hubungan kau dengan dia? Pacar ya?”
“Banyaklah kau punya pacar. Aku tak ingin dan tak pernah bermimpi tentang dia.”Jawabku sambil cuba tergelak. Cuba memperlekeh suara hatiku sendiri. Kalaulah Emilia tahu perhubungan kami sebelum itu, mampus aku kena kutuk.
“Jadi, dia ajelah yang tergila-gilakan engkau.”
“Entahlah.” Aku menjawab dengan keluhan.
“Entah pulak. Apa sebenarnya ni?”
“Jangan ditanya okey.”
“Okey, kalau kau tak menjawab, aku boleh tanya sendiri pada Faruk. Kau fikir, aku takut? Tak ada apa yang harus aku takutkan….”
“Janganlah!” Bantahku tiba-tiba. Bimbang juga kalau-kalau Faruk buka rahsia nanti! Mati aku! Habis terbongkar segala rahsia. Faruk kalau dah obsess begitu, pasti sanggup beritahu dan cerita segalanya. Kalau Emilia beritahu aku di mana, aku tak mahu Faruk menyusul aku di kampung pula.
“Jangan tambah masalah aku Emy. Please!”
“Engkau tu banyak rahsia…” Emilia mematahkan kata-kataku. “Okey, aku takkan banyak soal seandainya kau berjanji akan ceritakan rahsia kau tu. Aku ingat lagi masa kau jumpa Encik Faruk di pejabatnya hari itu, aku dapat rasakan sebenarnya antara kalian berdua memang ada hubungan… Lebih dari kawan.”
“Merepeklah.” Balasku dengan cepat. “Aku susah hati ni. Mak saudara aku sakit. Aku jaga dia kat wad ni…”
“Kenapa engkau yang jaga? Dia tak ada anak ke? Weh, balik le… Terima sijil engkau. Buat apa belajar kalau sijil kau tak ambil?” Emilia separuh mendesak. Aku pun tidak kuasa hendak menerangkan semuanya pada Emilia. Biarlah dia tidak tahu apa-apa. Aku tak boleh tinggalkan Mak Lang. Biar aku tidak menghadiri majlis gemilang itu. Biar aku terus di sini, menjaga Mak Lang. Memang tiada orang yang akan mengerti hatiku. Biarkan mereka membuat pelbagai tanggapan. Aku tak peduli.
“Ambil je kemudian. Tak payah apa-apa majlis.”
“Ehhh… Engkau ni biar betul.”
“Betul!”
Perhubunganku dengan Mak Lang kian rapat sejak aku menemaninya di wad ini. Tidak pernah aku merasa susah kerana tidak dapat tidur dengan selesa. Cukup dengan tidur di atas kerusi panjang di bilik itu. Setiap keperluan Mak Lang aku penuhi, terutama kalau dia teringin hendak ke tandas. Kugagahi memimpinnya ke bilik air. Setiap pagi akulah yang mengelap tubuhnya. Walaupun berada di hospital, aku terasa masa berjalan pantas.
Kuakui memang penat berada bersama-sama dengan orang yang sakit, tetapi aku selalu mengingatkan diriku agar menjaga kesihatan. Lantas, aku tetap makan dan minum tepat pada waktunya. Aku juga tidak pernah sekalipun meninggalkan salat. Dan tidak lupa selesai sahaja salat fardhu kuhadiah doa ikhlas buatnya.
Aku sempat juga mengambil masa untuk beriadah dengan berjalan-jalan setiap pagi di sekitar wad yang luas itu sehingga penat. Aku sudah pandai pergi ke tingkat-tingkat lain di hospital itu, menjenguk di setiap wad yang ada. Banyak cerita yang kudapati daripada pesakit mahupun orang yang menunggu pesakit sembuh.
Aduhai… menunggu orang yang kita sayangi sembuh adalah satu penderaan yang berat. Namun aku bersyukur aku berjaya mengatasinya dengan baik.
Seminggu kemudian, Emilia menghubungiku lagi.
“Rugi engkau tak datang ambil sijil tu. Majlisnya best…” Cerita Emilia. “Ehhh, aku harap yang ni kau jangan tolak. Kau mesti balik KL esok.”
“Ada apa?”
“Semalam aku terima surat daripada syarikat komputer tempat kita buat praktikal hari itu. Dia tawarkan kita bekerja tetap di sana. Kau pun dapat surat yang sama. Sorrylah, aku buka surat kau tu!”
“Apadia?”
“Syarikat tu minta kita datang tandatangan surat tawaran esok. Kau balik ya? Kita sama-sama kerja kat situ. Tak seronok kalau kau tak ada.”
Aku terdiam agak lama. Mengapa tawaran itu datang di saat begini? Ini semua dugaan, bisik hatiku. Apakah aku akan menolak tawaran itu? Bukankah Abang Yahya meminta aku menjaga Mak Lang?
Namun tawaran seperti itu tidak datang selalu. Kutahu akan hakikat itu. Tapi aku tak boleh meninggalkan Mak Lang. Terkadang Mak Lang memandangku dengan pandangan sayu, dia meminta aku kembali ke Kuala Lumpur. Namun aku menolak. Aku akan kembali ke KL sekiranya dia sudah sembuh.
Kemudian dia akan berpura-pura menyatakan dia sudah semakin sihat. Dia makan dengan banyak, tetapi kemudian dia akan mengalami muntah-muntah yang teruk. Kutahu dia masih belum sihat sepenuhnya. Tubuhnya semakin susut, mukanya pucat. Aku sebenarnya tidak sanggup untuk melihat penderitaannya berterusan. Dia tidak lalu makan, hanya tidur sepanjang hari dan malam. Kini dia amat jarang menerima pelawat lagi. Hanya aku dan dia berada di dalam bilik ini, setiap saat terasa amat menyeksakan. Bila doktor masuk untuk memberikan rawatan, aku rasa seperti ingin memaksa doktor itu memberikan ubat yang paling baik untuk menyembuhkannya dengan cepat.
Aku jadi tidak sabar. Sudah hampir sebulan Mak Lang berada di wad ini, tetapi tiada tanda-tanda dia akan sembuh segera.
Hari minggu biasanya semua anak-anak Mak Lang akan datang melawatnya. Dan aku punya kesempatan untuk balik ke rumah. Selalunya aku pun tidak betah duduk di rumah lama-lama. Tetapi hari itu aku tertidur hingga ke petang.
“Adik! Adik!!!” Aku mendengar suara. Suara itu persis suara Abang Imran. Aku membuka mata. Betapa aku sangat rindu pada seraut wajahnya yang lembut dan sentiasa tersenyum itu.
“Abang balik?” tanyaku sambil memandang tepat ke dalam matanya.
Dia mengangguk. Tiba-tiba aku bangun lalu berlari ke dalam pelukannya. Aku tidak tahu mengapa aku berbuat begitu. Aku amat rindukan dia dan rindu itu sudah tiba di kemuncaknya. Dapat aku rasakan betapa hangat tangannya yang mendarat di belakangku. Kurasakan jua desah nafasnya di atas ubun-ubunku.
Tubuhku tersentak dengan kuat. Aku terjaga. Ya Allah! Aku hanya bermimpi rupanya. Bisik hatiku pilu. Aku meraba-raba jam tangan di atas meja kecil sisi katil. Hampir jam enam petang. Lamanya aku tidur. Aku cepat-cepat mandi dan terus menunaikan salat asar. Aku bersiap-siap untuk pergi ke hospital. Ketika sedang menutup pintu hadapan, kudengar bunyi hon kereta. Aku menoleh. Semangatku seakan-akan terbang.
Benar… Abang Imran pulang. Tapi pulangnya bukan bersendirian melainkan bersama Kak Jiha dan si kecil Danial. Airmataku tergenang. Kini kusaksikan dengan mataku sendiri, keluarga bahagia mereka. Rasanya saat itu aku seperti ingin melarikan dia, tetapi entah ke mana arah dan tujuanku. Aku tak punya jalan ataupun panduan. Aku hanyut dibawa arus perasaan. Tidak sanggup aku untuk menatap wajahnya. Tidak sanggup kulihat dia berada di sisi Kak Jiha dan si kecil Danial yang comel, begitu banyak menyalin wajah ayahnya.
Tak mampu kutahan rasa cemburu, melihat kebahagiaanya. Mengapa aku dengki sangat? Bisik hatiku marah. Sepatutnya aku doakan kebahagiaannya. Sebagai seorang adik, aku patut tumpang gembira di atas kebahagiaannya. Tapi sebagai seorang kekasih… Bagaimana ya?
“Assalamualaikum.” Sapa Kak Jiha.
“Waalaikumsalam.” Balasku memaksa bibir supaya tersenyum.
“Adik nak ke hospital?” Tanya Kak Jiha.
Aku mengangguk, menyalami Kak Jiha kemudian mencubit pipi tembam Danial di atas dukungan ayahnya. Langsung tidak kutoleh pada Abang Imran yang sedang memerhatiku dengan mata galak.
“Tak payahlah pergi dik. Malam ni Kak Teh akan jaga mak. Adik rehat ajelah di rumah, tidur awal malam ni. Lagipun kami dah balik.” Kata Abang Imran.
Kupandang wajahnya sekilas. Bila kau dah balik, aku sudah tidak diperlukan lagi? Aku tahu di mana tempatku bang… bisik hatiku pilu dan sayu secara tiba-tiba.
Aku mengangguk. Tanpa sepatah kata aku kembali masuk ke dalam rumah. Pandangan Abang Imran jadi bertambah hairan dan curiga. Namun dia hanya berdiam diri sahaja.

Bab 36

MALAM itu, sungguhpun suasana amat selesa meniarap di atas katil sendiri namun tidak kutemukan rasa senang dan ceria. Malam kurasakan begitu panjang, panas dan merimaskan. Lantas aku pun membuka tingkap seperti suatu masa dulu, mencari wajah sang rembulan. Malang sekali langit begitu gelap. Tiada bulan ataupun bintang.
Benar-benar aku keseorangan. Bulan pun tidak sudi menemani. Apalagi seorang manusia. Tuhan, tiadakah insan di dunia ini yang teruntuk buatku? Tiadakah sesiapa yang boleh kucintai dan mencintaiku dengan setulus hati. Keterlaluankah jika aku meminta dan berdoa temukan aku dengan cinta sejati?
Kurenung telefon bimbit. Timbul hasrat untuk berbicara dengan Emilia. Tapi sudah lewat begini, pasti temanku itu sudah tidur. Tidak jadi aku hendak menghubunginya. Tiba-tiba aku teringat tujuan aku balik adalah untuk mengambil nota-nota rahsia hatiku yang kuselitkan dicelah-celah buku Abang Imran. Kesibukan menghadapi Mak Lang yang sakit buat aku terlupa tujuan asal aku pulang. Inilah masa yang sesuai. Pasti Abang Imran dan Kak Jiha serta anak kecil mereka sudah tidur.
Aku berjalan perlahan-lahan keluar dari bilik tidur. Semasa aku melintasi kamar tidur Abang Imran, suasana begitu senyap. Aku terus memanjat tangga kayu menghala ke tingkat atas. Sedikit terkejut, kulihat seberkas cahaya dari bawah pintu perpustakaan. Aku segera menolak daun pintu. Di dalam bilik itu, kudapati Abang Imran sedang mengemas. Dia terkejut melihat kemunculanku.
“Tak tidur lagi?” Dia menegur.
Aku tidak menjawab teguran Abang Imran sebaliknya mataku berlari ke arah rak-rak buku yang sudah kosong semuanya. Tiada lagi ensiklopedia Abang Imran di tempat biasa. Kosong. Mataku terus terpaku ke sana. Terkejut. Ke mana perginya semua ensiklopedia tersebut.
“Mana ensiklopedia yang banyak tu?” Tanyaku sambil memandang Abang Imran.
“Oh! Yang tu… Dah lama bawa balik ke Kuala Lumpur. Ada tersimpan elok dalam mini librari abang di sana. Abang punggah semua sebelum berangkat ke Jakarta. Abang takut buku-buku tu semua rosak. Sejak adik tak ada perpustakaan ini hampir-hampir jadi sarang tikus.” Beritahu Abang Imran.
Aku benar-benar terkejut. Satupun tak ada yang tertinggal. Buku-buku lain masih banyak dan Abang Imran sedang membuat pengasingan. Ada dua kotak besar di hadapannya, salah satu kotak adalah buku-buku yang hendak dibakar sementara satu lagi buku-buku yang akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
Aku terasa seperti hendak tumbang. Aku memegang daun pintu kemudian berjalan perlahan menghala ke kerusi berdekatan. Lantas aku duduk di situ dengan muka pucat. Hatiku tidak keruan. Apakah semua nota-nota itu dibaca oleh Abang Imran? Sudahkah dia menemuinya atau rahsiaku untuk belum terungkap?
“Kenapa? Adik nak cari buku apa?” Tanya Abang Imran.
Aku menggelengkan kepala. “Tak ada apa-apa.”
Mukaku tertunduk memandang meja yang jelas dicemari debu, sementara dadaku terus berdebar.
“Kenapa ni dik? Adik minat sangat dengan ensiklopedia tu?”
Daripada kata-katanya itu dapat kuagak dia memang tidak menemui nota-nota yang tersimpan itu. Aku pasti. Dia memang tidak pandai berpura-pura. Aku juga yakin dia tidak punya masa untuk membelek-belek bukunya. Dia terlalu sibuk dengan kerja.
“Memang minat.” Balasku. “Sejak belajar rasanya saya perlu tambah ilmu pengetahuan. Boleh saya pinjam ensiklopedia tu?”
“Boleh.” Jawab Abang Imran. “Kontrak abang di sana pun dah nak habis. Tinggal sepuluh bulan saja lagi. Jadi Kak Jiha kamu takkan akan ikut abang balik ke sana semula. Ahhh… Sepuluh bulan je bukannya lama.” Kata Abang Imran seolah-olah memujuk dirinya sendiri. Dia seperti tidak sanggup berjauhan dengan Danial dan Kak Jiha. Aku yakin dan pasti. Dari matanya kulihat ada kasih yang amat mendalam terhadap mereka berdua. Dan untukku sudah tidak ada apa-apa lagi melainkan sisa-sisa ingatan...
“Adik buat apa sekarang?”
“Belum dapat kerja walaupun dah habis belajar.” Jawabku tulus. “Lepas Mak Lang sihat nanti saya akan cari kerja.”
Abang Imran mengangguk.
“Kuala Lumpur memang banyak peluang kerja, asalkan rajin mencari.”
Aku diam, hilang kata-kata. Walaupun begitu banyak soalan yang terapung-apung dalam kepalaku tetapi satu pun tidak dapat aku tanyakan pada Abang Imran. Dia sibuk sekali memilih buku, memasukkannya ke dalam kotak. Kulihat buku yang hendak dibuang lebih banyak daripada buku yang mahu disimpan.
Buku-buku ini persis kenangan lama. Ada yang mahu dilupakan, dibuang sementara yang hendak disimpan amat sedikit. Benarkah begitu? Yang pasti kenangan manis sahaja yang dikenang sementara yang pahit mahu dilupakan. Apakah antara kami ada kenangan manis? Kurasa yang pahit lebih banyak…
“Tengok, banyaknya buku yang nak dibuang. Lepas ni kita buat unggun api, macamana dik? Boleh halau nyamuk.” Kata Abang Imran sambil tertawa kecil.
Aku meneruskan menungan, tidak kuhiraukan kata-katanya.
Tiba-tiba Abang Imran melempar sebuah buku ke arahku, membuat aku tersentak.
“Termenung pula. Tolonglah kemas buku ni! Cepat siap kerja boleh tidur…”
Aku terkejut. Mataku memerhati buku yang baru dilemparkannya. Sebuah novel bertajuk ‘Selamat Tinggal Sayang.’ Agh! Aku belum mahu mengucapkan selamat tinggal. Aku rasa seperti ingin melemparkan semula buku itu ke arahnya. Dia tersenyum mesra seperti selalu. Senyuman nakalnya buat aku melemparkan buku itu semula ke arahnya.
Dia gagah membalas. Banyak buku yang dilemparkannya ke arahku dan aku membalasnya dengan galak. Aku terjerit-jerit mengelak, takut terkena balingannya. Tapi ku tahu dia tidak bersungguh-sungguh. Jika betul-betul aku kena baling dengan buku-buku itu, pasti patah riuk tubuh aku dibuatnya.
Bilik itu benar-benar telah berselerak. Tiada rupa perpustakaan lagi melainkan seperti sebuah kapal yang sudah pecah dilanda taufan. Tiba-tiba Abang Imran menjerit padaku. Kudengar bunyi benda patah. Sebuah rak buku runtuh dan buku-buku di atasnya sedang jatuh di atas kepalaku. Dia menerkam dan menolakku ke tepi. Kami sama-sama bergolek di lantai di atas lambakan buku. Lantas beberapa buah buku sempat jua menimpa belakangnya.
“Aduh… Sakitnya…” Keluh Abang Imran, mukanya berkerut-kerut.
Tapi aku tergelak bukannya bersimpati.
“Itulah nak sangat jadi hero… Hero selalunya tak mengaduh sakit.” Ejekku sambil menolaknya perlahan-lahan. Dia membaringkan tubuhnya, seolah-olah betul-betul tak berdaya. Matanya terpejam rapat.
Aku terpaku, terkejut melihat tubuhnya yang terkapar. Matanya yang terpejam rapat kurenung.
“Abang!” Panggilku. Namun dia tidak bergerak-gerak.
“Abang!!!” Kugoncang tubuhnya. Suaraku mulai cemas. Kudekatkan telinga ke dadanya. Degup jantungnya kudengar jelas dan kuat.
Abang Imran tertawa sambil membuka matanya.
“Tahu takut. Rupa-rupanya kau takut kehilangan abang…” Abang Imran berbisik.
“Jangan sesekali abang ucapkan selamat tinggal pada saya.” Kataku.
“Tak… Tak pernah adik. Tak pernah abang mahu mengucapkan selamat tinggal pada adik. Kaulah adik yang paling abang sayangi… Satu-satunya!”
“Cepatlah bangun!” Gesaku dengan pantas memunggah buku-buku yang berselerak di lantai, memasukkannya ke dalam kotak.
“Kata nak buat unggun api! Jom cepat… Kotak ni pun dah penuh.”
Kami membuat unggun api di hadapan rumah. Gembiranya aku melihat api yang marak, turut membakar ilalang dan semak yang ada di sudut halaman. Malam itu aku bagaikan mendapat kembali kegembiraan yang hilang.
Kuintai wajah Abang Imran yang disimbah cahaya emas, biasan dari api yang marak menyala. Kulihat dia tetap kacak seperti biasa walaupun hanya mengenakan t.shirt dan seluar bermuda. Aku jadi yakin tentang sesuatu… Aku takkan pernah mampu wajah itu selagi hayatku ada. Dia tetap bersemadi di hatiku, selamanya.

Bab 37

SETELAH Abang Imran kembali ke Jakarta, aku dan Kak Jiha bergilir-gilir menjaga Mak Lang. Abang Imran hanya cuti selama seminggu. Tapi dia berjanji akan cuba pulang sekerap yang boleh. Kudengar Kak Jiha melarangnya dari berbuat demikian. Nanti banyak belanja. Kita harus berjimat cermat, demikian kata Kak Jiha.
Danial ditinggalkan di rumah datuk dan neneknya. Lantas Kak Jiha lebih bebas untuk menjaga emak mertuanya. Selalunya aku memilih untuk menjaga Mak Lang pada waktu malam. Aku faham Danial memerlukan ibunya pada waktu malam hari berbanding siang. Jadi, malam Kak Jiha boleh berehat dan melayani kerenah si kecil.
Kalau Kak Jiha menjaga Mak Lang pada siang hari, aku menghabiskan sepanjang hari di rumah. Aku mengemas perpustakaan yang masih berselerak. Selama seminggu barulah ianya nampak kemas dan teratur. Banyak juga buku-buku lama yang dibuang, hampir separuh dari simpanan yang ada. Kebanyakannya kitab-kitab tulisan jawi milik Pak Lang. Tiada sesiapa pun yang mahu membacanya lagi.
Ada juga buku-buku yang masih elok, tapi kulitnya sudah tertanggal. Semua kubuang juga. Kalau disusun pun sudah tidak cantik lagi. Bilik itu hanya tinggal beberapa rak buku yang masih elok. Rak yang reput dan tercabut tempohari sudah pun dibuang semuanya. Aku memanggil seorang tukang rumah untuk membaiki dinding dan rak yang ada supaya tidak tercabut lagi.
Ada juga bahagian-bahagian rumah yang reput. Aku turut meminta tukang rumah itu memeriksa jika ada atap-atap yang bocor. Pandainya aku! Mengalahkan Mak Lang pula. Aku yang meminta dia memperbaiki semua itu. Dan wang upahnya kuambil daripada bankku sendiri. Aku mahu Mak Lang pulang nanti, rumah itu bersih lagi selesa. Tiada kebocoran dan tiada lagi barang-barang buruk yang tidak berguna.
Setiap bilik tidur sudah bersih, bersedia untuk menerima penghuninya. Dan aku senang hati, merasakan bahawa aku telah mendapat kembali ‘kerjaku’ suatu masa dulu. Sedang aku berehat setelah lelah membersihkan ruang rumah, aku mendapat panggilan daripada Emilia.
“Hei! Masih di kampung?”
“Ya.” Jawabku girang.
Senang hatiku kerana dia menghubungi. Aku pun teringat hendak menghubunginya juga tetapi terlalu sibuk dengan kerja di rumah. Hari ini baru benar-benar selesai semuanya. Tadi sempat kugubah 3 jambangan bunga melur yang disisipkan di batang lidi. Kemudian diserikan daun-daun pandan supaya jambangan bunga jadi rimbun. Kuletakkan satu jambangan di dalam bilik Mak Lang dan kamar tidurku sendiri. Sementara satu lagi menghiasi ruang tamu. Memang harum bau bunga melur dan daun pandan tersebar ke seluruh rumah.
Asyiknya… Aku bagaikan terkhayal dan merasakan suasana suatu masa dulu sudah kembali. Namun tersentak tika terpandangkan gambar Abang Imran, Kak Jiha dan si kecil Danial terletak elok di dalam bingkai di atas meja konsol. Siapa yang meletakkannya di situ? Barangkali Abang Imran yang meletakkan gambar itu sebelum dia kembali ke Jakarta.
“Bila nak balik sini?”
“Tak tahu lagi.” Jawabku.
“Jawablah betul-betul. Sebab aku nak sewakan bilik kau pada orang lain kalau kau tak mahu balik ke sini lagi.” Kata-kata Emilia kedengaran serius.
“Errr…” Aku terdiam lama.
“Takkan aku menyewa sorang-sorang di rumah ni. Sunyi betul tahu? Aku perlu cari orang lain kalau tak aku akan jadi gila duduk sorang-sorang macam ni…”
“Wanie kan ada…”
“Wanie? Kau tak tahu lagi pasal budak ‘gila’ tu…” Kata Emilia marah-marah tetapi kemudian dia tergelak.
“Apa hal pula?”
“Dia sekarang ni tak duduk di sini lagi. Dah balik duduk rumah mak bapak dia kat Kuala Selangor. Senang sikit mak ayah dia nak control kalau duduk di rumah. Sejak dia bercinta sakan dengan Syamil, siang malam keluar. Emak dia naik risau lalu desak Syamil supaya bertunang dan kahwin saja. Jadi kawan kita tu nak bertunang minggu depan.”
“Al-hamdulillah.” Kataku sambil tersenyum sendiri.
“Hmmm… Yalah tu. Al-hamdulillah. Tapi aku yang frust gila tahu?”
“Kau pun ada hati kat Syamil tu?”
Emilia terjerit seolah-olah dia telah tersalah cakap. “Bukanlah, aku frust ditinggalkan kau orang berdua la…” Katanya berdalih.
“Oooo…” Balasku perlahan. Aku tahu akan dalihnya itu tapi aku tidak pula mahu menempelak dia. Kesian…
“Ehhh, suatu malam Faruk datang ketuk pintu rumah…” Cerita Emilia.
“Jadi, kau pun buka pintu ajak dia masuk?”
“Yalah. Siap goda lagi… Last dia buka juga semua rahsia engkau dan dia.” Kata Emilia sambil tergelak kecil. Aku tahu dia hanya bergurau.
“Sudahlah! Jangan bohong. Faruk bukan begitu orangnya. Dia tu ego, menjunjung harga diri yang kononnya setinggi langit tapi…”
“Tapi… Tapi apa?” Tanya Emilia benar-benar berminat.
“Ehhh…” Aku seperti tersedar yang dia sedang memperdaya aku untuk terus bercerita. Aku terus terdiam beberapa ketika kemudian menyoalnya semula. “Betul ke Faruk datang jumpa engkau?”
“Taklah… Aku tipu!” Jawab Emilia. Dia tergelak kuat.
“Dah lama dia tak datang. Agaknya dia sedar engkau tak ada lagi di sini. Mesti dia sangka engkau dah pindah. Jadi, engkau betul-betul tak mahu balik ke sini?”
“Kau ambillah house-mate baru…” Aku akhirnya memutus kata. “Mungkin aku akan berada lebih lama di kampung. Mungkin juga aku akan balik esok, siapa tahu? Tapi aku harap bilik aku tu kau reserve aje, manalah tahu kalau-kalau aku nak balik ke sana nanti. Aku akan bayar duit sewanya setiap bulan… Janganlah bimbang.”
“Bukan soal duitlah Fiqah. Kan aku kata aku perlukan kawan…”
“Okey. Jangan buang barang aku dalam stor dahlah. Aku akan balik juga. Cuma tak tahu bila…”
“Hey, bestfriend! I miss you!” Kata Emilia di hujung talian.
“I miss you too.”
Perbualan kami tamat setakat itu. Aku mengeluh sambil mematikan panggilan. Memang benar aku juga merindui Emilia. Sudah lama kami bersama dan aku semakin sebati dengannya. Persahabatanku dengan Emilia lebih erat berbanding dengan Wanie. Dan aku pun tidak mahu kehilangan kasih sayang Mak Lang yang sudah aku raih kini. Susah payah aku berusaha untuk mendapatkan kasih sayangnya semula. Jangan sampai ianya jadi sia-sia.

AKU menanti kedatangan Kak Jiha. Selalunya dia sudah datang bagi menggantikan ‘shift’. Yalah, malam tadi aku sudah menjaga Mak Lang dan awal pagi sepatutnya giliran dia pula. Terkadang kami bertukar-tukar waktu juga. Tetapi aku lebih senang sekiranya bersama Mak Lang pada waktu malam. Jika di rumah aku tinggal seorang diri. Seram juga malam-malam buta terpaksa berseorangan di rumah Mak Lang yang besar.
Aku berbual-bual dengan Mak Lang sejenak. Dia baru lepas makan ubat. Mak Lang kelihatan amat lemah. Beberapa kilogram susut lagi aku kira. Kasihan Mak Lang. Semasa doktor datang membuat lawatan pada pagi itu, sempat kutanyakan keadaan kesihatan Mak Lang. Doktor menyatakan bahawa ada sedikit perkembangan. Dia akan kembali sihat. Hanya masa yang jadi penentunya.
“Memang begini keadaannya apabila kuman memasuki saluran darah. Demam lambat baik. Tapi hasil pemeriksaan x-ray semalam paru-paru tiada jangkitan kuman lagi.” Terang doktor satu persatu.
Hatiku sedikit lega. Patutlah semalam Mak Lang sedikit berselera untuk makan. Bubur nasi yang kubawa dimakannya hingga habis. Setiap petang memang aku membawakan bubur nasi untuknya. Waktu makan malam di hospital awal, biasanya pada jam enam petang. Jadi pada waktu malam memang tiada sajian makanan lagi. Jadi, bubur nasi yang dibawa dari rumah adalah satu alternatif untuk mengenyangkan perut.
“Tapi badannya susut betul…” Kataku masih kerisauan.
“Jangan bimbang. Jangan sesekali tinggalkan makan vitamin. Wanita berusia seperti ibu awak memang perlukan vitamin tambahan. Jangan lupa juga minuman susu yang amat baik untuk tulangnya.”
Aku mengangguk. Hatiku sedikit kembang. Mak Lang akan sihat kembali.
“Jangan risau…” Katanya sambil tersenyum dan berlalu keluar dari bilik itu.
Aku memegang tangan Mak Lang. Dia memandangku sambil berkata; “Kau tak tanya doktor bila Mak Lang boleh balik?”
“Kenapa? Dah jemu di sini?”
Dia mengangguk.
“Memang jemu, terbaring aje macam ni. Lagipun Mak Lang rasa dah banyak menyusahkan kau. Biarlah Mak Lang balik, berehat di rumah. Jiha pun ada…” Hatiku tersinggung. Mak Lang lebih menghargai kehadiran Kak Jiha berbanding aku.
“Kalau jemu, Mak Lang boleh keluar. Kita ambil kerusi roda. Kita jalan-jalan ke luar nak? Kak Jiha pun belum datang lagi…”
Mak Lang menggeleng.
“Biarlah…” Dia menolak sambil memandangku dengan pandangan sedih. “Kau baliklah. Dah penat kau tunggu Mak Lang sepanjang malam. Balik berehat di rumah. Mak Lang tahu tak selesa tidur atas kerusi panjang tu…”
“Tapi Kak Jiha belum datang temankan Mak Lang.”
“Tak apa. Kejap lagi pasti dia datang. Lagipun misi ramai… Doktor pun ada.” Tegas Mak Lang, menyuruh aku pulang juga.
Saat itu daun pintu ditolak dari luar.
“Assalamualaikum.” Sapa Kak Jiha. “Maaf lambat sikit Fiqah!” Katanya sambil menggendung Danial atas dukungan.
“Ada masalah sikit tadi. Terpaksa bawa Danial ke sini. Mak dan ayah Kak Jiha ke KL.”
“Kenapa?” Sampuk Mak Lang.
“Kak sulung Kak Jiha bersalin.” Beritahu Kak Jiha.
“Macamana dengan Danial?” Tanyaku. Takkanlah dia nak menjaga anaknya sambil menunggu Mak Lang. Gawat. Kedua-dua manusia ini memerlukan perhatian yang wajar, bukan main tengok dan biar sahaja.
“Kau tolong jaga boleh? Bawa balik ke rumah…” Kata Kak Jiha lantas menyerahkan Danial kepadaku. Mahu tak mahu aku terpaksa menyambutnya.
“Kau balik dengan teksi saja.” Kata Kak Jiha sambil menyerahkan duit. Aku menolak. Aku masih ada duit sendiri.
“Barang-barang Danial semua Kak Jiha dah letak di rumah mak. Danial minum susu setiap dua atau tiga jam. Kalau dia menangis tu laparlah. Kalau tak lapar, pasti dia kembung atau lampinnya basah. Selalunya dia jarang kembung…” Beritahu Kak Jiha.
Aku teragak-agak. Bolehkah aku menjaga si kecil yang baru berusia empat bulan? Bukannya aku biasa dengan bayi. Tapi semasa mendakap Danial, aku terasa satu keseronokan. Tubuhnya berbau harum dan dia mengeluarkan bunyi yang amat menyenangkan. Bunyi seperti sedang berlagu.
“Kenapa dia buat bunyi macam ni?” Tanyaku sambil mencium pipinya. Kepala Danial kuletakkan di dada, berkali-kali kucium rambutnya yang harum. Kak Jiha tersenyum.
“Dia menyanyi…Nak tidurlah tu…” Kata Kak Jiha.
“Pagi-pagi macam ni dah tidur?”
Kak Jiha mengangguk. “Dia tidur dua atau tiga kali sehari. Biasanya tak lama sejam atau dua jam. Lepas tu kalau dia jaga, berikan mainan. Dia akan main-main sendiri…”
Hmmm… Aku mengangguk. Rupanya senang juga jaga baby! Aku mendukung Danial keluar dari bilik lantas terus turun ke tingkat bawah. Tak sabar nak main-main dengan Danial di rumah.
Benar kata Kak Jiha. Di dalam teksi lagi Danial sudah tidur dengan nyenyak. Tiba di rumah kuletakkan dia di atas tilamnya di ruang di tamu. Suasana di rumah sunyi sepi. Lama sekali dia tidur. Dia terjaga, menangis. Lantas kuraba punggungnya yang basah. Setelah diganti lampin pakai buang, kuberi dia susu. Kurenung wajah comelnya yang asyik menyedut susu. Senang sekali dapat melihat wajah dan senyumannya. Dia pandai bermain sendiri. Tangannya aktif ingin mencapai sesuatu dan telinganya amat peka kepada bunyi. Bila aku meninggalkannya sendiri di ruang tamu, dia akan menjerit dan menangis.
Petang itu aku terlewat mandi dan menunaikan salat asar gara-gara menunggu dia tidur. Dia tidak mahu ditinggal sendirian. Setelah dia tidur barulah aku dapat mengerjakan salat. Penat juga rasa tubuhku. Rupa-rupanya bukan mudah menjaga bayi seperti yang aku sangka. Justeru itu aku rasa insaf sendiri terhadap pengorbanan orang tuaku dan juga pengorbanan Mak Lang.

SEMINGGU berlalu. Aku mulai biasa dengan Danial. Setiap hari dia bersamaku di rumah pada waktu siang dan bersama Kak Jiha di sebelah malam. Ibubapa Kak Jiha belum balik dari Kuala Lumpur. Tapi bagus juga jika mereka berlama-lama di sana. Aku mulai seronok dengan kehadiran Danial.
Dia juga sudah mulai biasa denganku. Aku kerap kali berbual-bual dan bernyanyi untuknya. Dia akan memandangku tidak berkelip dan tertawa bila diagah. Suara tawanya begitu manis dan indah kurasakan. Aku suka melihat senyumannya persis senyuman yang terbentuk di bibir Abang Imran.
Suatu petang Kak Jiha pulang dengan kereta kancilnya. Wajahnya nampak begitu gembira.
“Pagi tadi, doktor beritahu mak dah boleh balik esok…” Kata Kak Jiha.
“Betul ke?” Tanyaku tidak sabar.
Kak Jiha mengangguk. “Malam ni kau tak perlu ke sana. Mak dah betul-betul sihat. Dia dah boleh ke tandas sendiri.”
“Syukur al-hamdulillah.”
Malam itu kami tinggal bertiga di rumah Mak Lang. Aku dan Kak Jiha turun ke dapur bersama-sama selepas salat isyak. Kami memasak makan malam bersama. Kak Jiha mencadangkan supaya memasak nasi goreng saja. Ringkas, namun berkhasiat. Cukup segalanya termasuk lauk dan sayur.
Kami menghadapi meja makan berdua. Danial sudah tidur. Malam dia memang tidur awal. Selepas makan, aku dan Kak Jiha sepakat untuk menonton televisyen. Namun malam itu tiada pula rancangan yang menarik. Jadi kami menghabiskan masa dengan berbual-bual saja. Tapi dalam setiap perbualan itu tidak sekalipun Kak Jiha bercerita tentang Abang Imran. Walaupun hatiku amat ingin bertanya tetapi aku berusaha menahan diri… Nak tempah maut ke? Ugut hatiku.
“Malam hari tu Kak Jiha dengar bising sangat kat librari atas… Apa yang berlaku?” Tanya Kak Jiha. Aku terkejut sedikit mendengar pertanyaannya itu. Apakah kami terlalu bising bergurau senda sebelum insiden rak yang runtuh itu menyebabkan kak Jiha terjaga. Mujur bukan Danial yang terjaga lalu menangis…
“Hmmm… rak buku tu roboh. Buku-buku jatuh ke lantai.” Kataku, bersama rasa bersalah yang bukan sedikit. Hatiku menafikan bukan itu yang berlaku. Masih kuingat dengan jelas ‘gurauan’ Abang Imran yang sedikit over. Pura-pura pengsan sehingga aku kerisauan…
“Abang Imran sayang sangat dengan buku-bukunya, terutama sekali ensiklopedia. Dia dah bawa balik ke KL, takut rosak katanya. Lepas tu terburu-buru beli almari buku yang besar walaupun tengah sibuk buat persiapan hendak ke Jakarta.”
Aku mengangguk, memang teringin hendak mengambil balik nota-nota ku itu. Diharap ianya masih unggul belum ‘dicerobohi’ sesiapa.
“Katanya, kau pun suka baca ensiklopedia.”
Aku mengangguk lagi.
“Kak Jiha suka baca buku apa?” Aku bertanya seolah-olah aku prihatin. Sebenarnya aku mahu dia berhenti bercakap tentang ensiklopedia keramat itu.
“Novel.” Jawabnya sepatah.
“Saya pun suka. Banyak juga koleksi novel-novel saya di KL.” Ceritaku tanpa dipinta.
“Novel apa yang paling berkesan di hati?”
“Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.” Jawab Kak Jiha.
“Ooo… Itu novel lama, karya Hamka.” Jawabku sengit. “Tajuk yang baru la. Atau Kak Jiha dah lama tak baca novel-novel baru?”
“Baru habis baca ‘Ayat-ayat Cinta.” Beritahu Kak Jiha. “Sedih, tak sedar airmata mengalir. Kalau Kak Jiha jadi Aisha, Kak Jiha pun sanggup serahkan suami pada Maria yang menderita sakit…”
Aku pura-pura menguap. “Kak, rasa mengantuklah…”
Kak Jiha mengangguk.
Aku terus berlalu ke kamar tidur. Tubuh kubaringkan ke atas katil. Hatiku ditemani rasa sedih kala ini. Aku tak mahu jadi seperti Maria yang menderita sakit kerana hajat tidak kesampaian. Hanya huluran cinta lelaki yang dicintainya sahaja dapat memberikan dia semangat untuk hidup. Hanya meminjam semangat. Tetapi sebenarnya kuasa Tuhan mengatasi segalanya.
Tidak! Aku takkan jadi selemah itu. Kutahu hakku dan kutahu juga aku tidak akan mati sia-sia kerana cinta. Sesungguhnya cinta kepada Tuhan lebih agung. Dan aku sedang berusaha untuk mendapatkannya…
Saat itu aku berdoa. Biar aku kehilangan cinta Abang Imran tetapi bukan rasa cinta dan kasihku pada agama dan Tuhan. Tiba-tiba aku rasakan cinta kepada manusia sebenarnya begitu kecil sekali nilainya. Ada satu cinta yang lebih abadi sifatnya. Lantas aku harus berusaha untuk mendapatkan cinta itu.

Bab 38

AKU terjaga oleh bunyi siulan burung murai datangnya dari hujung dahan pokok rambutan yang terletak berdekatan dengan tingkap kamarku. Riuhnya siulan burung itu bernyanyi. Aku masih enggan menolak selimut. Pagi itu terasa dingin sekali. Ahhh… Burung itu bersiul-siul menandakan hari sudah pagi. Pagi pasti cerah dan indah. Suatu hari yang menjanjikan keceriaan.
Perlahan-lahan aku bangun membuka tingkap, ingin melihat si burung comel tapi bersuara nyaring dan merdu itu. Beberapa ekor burung comel itu kelihatan bertenggek di hujung dahan, sambil membelai bulu dan ekor. Kudongak ke langit yang biru cerah, matahari masih bersembunyi. Aduh… seronoknya dapat termenung di muka jendela sambil menikmati alam ciptaan Tuhan yang teramat indah ini. Terima kasih Tuhan kerana memberikan pancaindera paling berharga iaitu mata untuk melihat alam ciptaanMu.
Sejurus kemudian aku berlalu keluar dari bilik setelah mencapai skaff. Semua anak-anak Mak Lang pulang sebaik sahaja mendengar berita dia sudah keluar dari wad. Jadi aku tidak boleh bebas lagi menghurai rambutku yang panjang. Bau kopi yang harum menyapa hidungku tika aku berada di lorong menghalang ke dapur. Bau harum sambil tumis ikan bilis juga menyentuh hidungku. Perut secara mendadak berbunyi, minta diisi.
Siapa yang memasak pagi-pagi begini? Tidak mungkin Kak Teh Nora ataupun Kak Adibah. Kutahu mereka bukan jenis rajin turun ke dapur pada waktu pagi-pagi begini. Mereka lebih senang membeli sarapan di luar ataupun hanya menyediakan roti dengan mentega. Memang aku maklum sangat perangai kedua-dua orang kakak sepupuku.
Saat ini sekonyong-konyong ingatanku bergerak dan menjalar mengingati Kak Sabita. Suatu masa di rumah ini, hanya Kak Sabita yang rajin menyediakan sarapan buat seisi rumah. Dia punya menu tersendiri. Hari ini nasi lemak, esok laksa, lusa mee goreng… Begitulah rajinnya Kak Sabita setiap hari menu sarapan bertukar sentiasa. Aku tiba-tiba jadi rindu pada masakannya. Dan aku tidak akan dapat menikmatinya lagi.
Semua orang tidak menyebut langsung tentang Kak Sabita seolah-olah dia tidak pernah wujud. Atau mereka hanya merasa rindu itu di dalam hati sahaja, seperti yang aku rasakan sekarang. Dari arah dapur kudengar gelak tawa dan perbualan yang saling bertingkah. Aku tersentak. Suara tawa itu persis Abang Imran. Ehhh, bila dia balik?
Aku melangkah perlahan, berhenti di tepi pintu yang menghala ke dapur. Benar, mataku tidak berbohong. Abang Imran berada di dapur bersama Kak Jiha. Mereka memasak bersama. Abang Imran sedang menghiris timun. Bunyi pisau berlaga dengan chopping board terdekat kuat. Kak Jiha berdiri di sisi Abang Imran, memerhati suaminya yang sedang memotong timun dengan cekap.
“Dah siap. Ada lagi ke? Biar saya potong…”” Kata Abang Imran.
“Cukup! Dah banyak ni, nanti membazir pula” Kata Jiha meletakkan timun yang sudah siap dipotong ke dalam pinggan bujur. Dia menyajinya di atas meja. Sarapan pagi sudah disiapkannya dengan sempurna. Sambal ikan bilis, timun dan telur rebus sudah tersaji, hanya menunggu mereka yang lain bangun tidur.
Abang Imran meletakkan tangannya di atas bahu Kak Jiha. Kak Jiha memerhati dengan wajah puas ke arah meja yang penuh dengan makanan kemudian mengambil tudung lalu menutupnya dengan sebaik-baiknya agar tidak dihinggapi lalat.
“Kerja dah siap, nak buat apa lagi?” Tanya Abang Imran berbisik lembut lantas mencium bahu Kak Jiha yang disaluti baju tidur berlengan panjang. Kak Jiha hanya mengenakan skaff pendek menutup rambutnya.
“Jom masuk bilik…” Kata Abang Imran sambil melengkarkan tangannya pula ke pinggang Kak Jiha.
Dadaku tersentap. Tidak sanggup kulihat kemesraan mereka. Aku cepat-cepat berlalu ke bilik tidurku sebelum mereka menyedari aku sedang mengintip. Gila… Kalau mereka tahu bukan sahaja aku yang malu tetapi pasti Abang Imran dan Kak Jiha turut merasainya. Aku masuk ke dalam kamar, menghempaskan tubuh ke atas tilam. Berbaring sambil memandang siling. Kemudian meniarap pula. Kucapai handphone lantas menghantar mesej untuk Emilia.
Emy,
Aku balik hari ini…
Puas aku tunggu balasan daripada Emilia. Mengapa mesej yang dihantar tidak mendapat jawapan? Apakah Emilia belum bangun tidur? Kuperhati ke arah kalendar. Hari itu adalah hari minggu. Pastilah Emilia masih ‘pengsan.’ Biasanya dia hanya akan bangun pada pukul sepuluh pagi.
Aku bergerak ke almari lalu mengemas baju. Sudah tiba masanya aku pulang ke Kuala Lumpur. Mak Lang pun sudah sihat. Tiada apa yang perlu dirisaukan lagi. Aku perlu mencari masa depan. Memang masih tertanam hasrat di hati ingin menyambung pelajaran. Aku menyimpan niat sambil bekerja aku akan cuba belajar malam. Itupun jika mendapat pekerjaan yang sesuai. Namun menurut Abang Imran tidak sukar mencari kerja di Kuala Lumpur. Apa yang penting adalah usaha mencari…
Menyesalkah aku kerana menolak tawaran yang pernah datang? Tidak. Tidak pernah sekali pun timbul rasa kesal. Kulakukan semuanya dengan ikhlas. Selepas sarapan pada pagi itu, semua yang ada bertolak pulang. Bermula dengan keluarga Abang Yahya dan Abang Yusof. Kemudian keluarga Kak Tehe Nora dan Kak Adibah. Aku diam dan memerhati sahaja mereka berlalu. Sebuah demi sebuah kereta meninggalkan halaman rumah Mak Lang.
Mak Lang melambai hingga wajah anak cucunya hilang dari pandangan. Dia masih duduk di kerusi goyang di berenda, ditemani Kak Jiha dan Abang Imran. Aku beredar masuk ke dalam bilik. Semua orang dah balik… bisik hatiku sendiri. Apakah aku juga akan mengorak langkah?
Aku terus menukar pakaian lain. Sepasang baju kurung berwarna hijau berbunga kecil kusarungkan ke tubuh. Kemudian kukenakan pula sehelai tudung warna sedondong. Aku bersolek nipis, hanya lipstik dan sedikit celak mata. Tidak lama kemudian aku keluar sambil membawa sebuah beg yang sederhana besar.
Mak Lang terkejut memerhati aku keluar sambil membawa beg. Abang Imran dan Kak Jiha juga memerhatiku dengan dahi berkerut.
“Fiqah! Kau pun nak balik ke KL hari ni?” Tanya Mak Lang.
Aku mengangguk. “Ya… Mak Lang.”
Mak Lang mengangguk. “Pergilah. Memang dah lama kau balik ke sini. Mak Lang rasa dekat sebulan kau jaga Mak Lang. Terima kasih ya nak…” Kata Mak Lang dalam nada terharu. Aku menyalami tangan Mak Lang. Kemudian menghulur tanganku pada Abang Imran.
Abang Imran tidak berkata apa-apa, dia hanya memerhati sahaja ke wajahku yang sugul dan sedih.
Kemudian kuhulur tangan pada Kak Jiha. Kak Jiha memeluk bahuku sambil berkata; “Mengapa tak ikut kami balik saja? Kau nak naik bas?”
Aku memandang wajah Kak Jiha yang bersih, ditutupi tudung litup.
“Ya.” Jawabku.
“Kami juga akan balik ke Kuala Lumpur tapi sebelah petang. Esok Abang Imran dah nak balik ke Jakarta. Kak Jiha tinggal di rumah kami di Kuala Lumpur dengan Danial. Macamana kalau kau tinggal dengan Kak Jiha saja? Taklah sunyi sangat Kak Jiha nanti. Kau dah biasa dengan Danial, kalau Kak Jiha ada urusan, kau boleh tolong tengok-tengokkan anak…”
Aku menggeleng. Bukan niat hendak memperlecehkan kata-katanya. Aku memang tidak mahu tinggal dengannya. Bukankah aku sudah ada rumah yang kusewa dengan Emilia? Kenapa aku harus tinggal dengan Kak Jiha pula?
“Dua tiga hari lagi mungkin saya akan ke rumah Kak Jiha.” Kataku untuk menyedapkan hatinya. “Saya nak pinjam ensiklopedia Abang Imran.”
“Datanglah…” Balas Kak Jiha dengan cepat. Aku terus melangkah laju namun masih terdengar teriakan Kak Jiha.
“Fiqah! Biar Abang Imran hantar kau ke stesen bas.”
“Tak apa… Tak apa. Saya jalan kaki keluar, bukannya jauh. Di luar sana banyak teksi. Lagipun saya dah janji nak jumpa kawan.” Kataku berpaling ke belakang lantas tersenyum pada semua yang ada di berenda rumah.

Abang Imran menjelingku dengan tajam. Dia seperti terkejut mendengar aku ada ‘janji’. Entah macamana aku boleh tersebut tentang janji padahal aku tidak berjanji dengan sesiapa pun. Aku cuma tidak mahu Kak Jiha mendesak supaya Abang Imran menghantarku ke stesen bas.
Kak Jiha! Kau langsung tak cemburukan aku? Barangkali kerana kau tak tahu perasaanku pada Abang Imran. Kalaulah kau tahu pasti kau tidak akan melepaskan dia berada di sampingku. Barangkali kau tidak akan membenarkan aku memandang suamimu walaupun dalam keadaan tak sengaja!
Jahatnya aku! Mengapa aku harus meragui keikhlasan dan ketulusan hatinya? Kak Jiha menganggap kami bersaudara, dari kecil hingga dewasa begini memang sudah tinggal serumah. Walaupun tinggal bersama sejak kecil, namun hakikatnya kami bukan muhrim dan kami bisa bernikah antara satu sama lain. Jangan lupakan hakikat itu Kak Jiha yang manis. Betapa kejamnya aku kerana berfikiran begitu.
Aku terus meluru turun tangga. Anehnya Abang Imran tidak berkata apa-apa. Tiba-tiba dia jadi bisu pula. Aku tidak menoleh lagi ke belakang. Langkahku laju menuju ke jalan kecil di depan rumah. Namun nasibku benar-benar baik. Saat itu sebuah kereta berhenti lantas mempelawa aku naik. Aku memerhati ke arah pemandu kereta wira berwarna coklat gelap itu. Dahiku berkerut.
Anak muda itu tersenyum. “Tak ingat aku? Kau dan aku pernah satu kelas dulu…”
“Hamizey?”
“Haaa… Ingat pun! Naiklah!” Pelawa Hamizey sambil menolak daun pintu kereta dari dalam. Aku terus masuk dan duduk di sebelahnya. Dengan mata nakal aku memerhati ke arah Abang Imran yang masih ada di berenda. Dia memandang ke arah kami tidak berkelip. Aku menahan diri dari tertawa. Namun aku tergelak di dalam hati. Pastilah dia menyangka aku ‘berjanji’ dengan Hamizey.
Kereta wira Hamizey terus menyusul keluar dari jalan kampung, akhirnya tiba di tepi jalan utama.
“Turunkan aku di sini je…” Pintaku pada Hamizey.
“Kau nak ke mana?”
“KL.”
“Laaaa… Aku pun nak balik KL. Jomlah, ikut aku je…”
“Hmmm, aku dah ambil tiket bas.” Kataku berdalih. Sebenarnya aku rasa tak selesa bersamanya. Semasa kami masih di bangku sekolah dulu, mana pernah kami berbual-bual jauh sekali berkawan biarpun tinggal sekampung.
“Ah! Kalau takut rugi biar aku cover duit tiket bas tu… Bukannya mahal pun.”
“Tak payahlah. Anyway terima kasih…” Ucapku sambil tersenyum memandang mukanya yang kacak. Dia sebaya denganku, tetapi nampak mewah dan bergaya dengan kereta baru. Apakah pekerjaannya? Hatiku dibuai pertanyaan. Barangkali dia membeli kereta hasil duit pemberian ibunya. Kutahu dia anak tunggal.
Hamizey terus memusing kereta menghala ke jalan highway. Kereta terus meluncur laju menuju ke Kuala Lumpur.
“Aku ada dengar desas desus berita pasal perceraian engkau dengan suami kau tu, betul ke?”
Aduh! Aku tersentap. Rupa-rupanya hal itu diketahui juga oleh orang-orang kampung. Tapi tak mengapa. Sudah setahun berlalu. Aku tidak merasa kecewa ataupun hampa. Aku mengangguk.
“Dah habis jodoh…” Balasku perlahan.
“Hmmm, tadi aku takut juga nak ajak kau naik kereta aku. Manalah tahu kalau-kalau engkau masih isteri orang. Mati aku kena belasah. Bila tahu engkau betul-betul dah bebas… Lega!” katanya sambil tertawa kecil.
Aku hanya tersenyum. Kepedihan yang pernah melanda hatiku telah pun menghilang. Nama Faruk sudah jadi sejarah yang tidak akan berulang. Aku tetap aku, yang akan terus memburu cinta sejati. Tidak kira berapa lama aku tidak akan mudah terpedaya lagi dengan makhluk bergelar lelaki. Kini aku lebih senang sendiri, membina kerja dan hidup. Dan kuharapkan kini hanya persahabatan yang ikhlas dan murni.
Hamizey menghantarku hingga ke hadapan rumah. Kami sempat bertukar-tukar nombor telefon. Menurut Hamizey dia pulang setiap bulan ke kampung menjenguk emaknya yang tinggal keseorangan.
Aku menjenguk di muka pintu, terlihat Emilia sedang menyapu ruang tamu dengan hanya berseluar pendek dan baju panas tidak berlengan. Rambutnya diikat kemas. Dia terkejut melihat aku muncul. Dia buru-buru mencampak penyapu lantas meluru dan memelukku.
“Fiqah! Kau balik juga… Rindunya aku.” Katanya berulang kali.
“Aku juga rindukan kau!” Kataku lantas kami berpelukan lagi.
Kami berbual-bual beberapa ketika sebelum Emilia memecahkan berita. “Maafkan aku… Bilik engkau ada orang sewa.”
“Ha?”
“Aku baru ambil dua orang penyewa lagi semalam. Jadi rumah ni dah ada enam orang. Setiap bilik dua orang.”
“Jadi, aku nak tidur kat mana?”
“Hanya ruang tamu yang masih kosong…” Kata Emilia tersengih. “Kau sewa aje ruang tamu, luas. Complete. Siap dengan dapur, bilik air dan stor semua engkau punya!”
“Otak kau!”
“Sorry… sorry okey. Buat sementara ni kau tidur aje di bilik aku. Sempit sikit tak apa kan? Aku pun dah lama tak tidur sebantal dengan kau.” Katanya masih hendak mengusik.
Aku termenung. Sebenarnya aku tidak begitu suka tinggal beramai-ramai dan berhimpit-himpit. Saat itu fikiranku melayang, teringat pelawaan Kak Jiha yang mengajak aku tinggal bersamanya. Abang Imran akan berangkat ke Jakarta esok. Aku sebenarnya malu pada Abang Imran. Tak mengapalah… bisik hatiku. Kalau aku berubah fikiran, esok lusa aku akan menelefon Kak Jiha. Semoga dia sudi menerima aku walaupun aku telah menolak pelawaannya dulu.

ATAS nasihat Emilia, aku telah mendaftar di sebuah agensi mencari pekerjaan yang terletak di Kompleks Campbell. Setiap hari aku mendapat tiga atau empat temuduga di beberapa syarikat. Tetapi kebanyakannya memberi jawapan yang amat mengecewakan. Mereka tidak yakin untuk memberi peluang kepada seseorang yang tidak mempunyai pengalaman kerja, walaupun memiliki sijil. Saat itu kurasakan sijil-sijilku tidak berharga langsung jika dibandingkan dengan pengalaman.
Sudah dua hari terturut-turut aku memburu pekerjaan. Akhirnya aku memberitahu agensi Miss Sally, tuan punya Sally’s Agency supaya memberikan aku appoinment apa-apa jua jawatan. Aku tidak boleh memilih pekerjaan. Aku sudah penat memburu tetapi tidak mendapat apa-apa. Akhirnya berjaya juga aku mendapat kerja di sebuah syarikat pembekal barangan elektronik sebagai kerana am. Tak kisahlah! Walaupun ia di luar bidang pekerjaan yang kucari-cari namun aku bersyukur dengan gaji yang ditawarkan. Aku boleh mengendalikan komputer. Semasa belajar di kolej itu kami turut diajar tentang pentadbiran syarikat walaupun tidak menyeluruh. Jadi aku masih boleh membuat kerja dengan baik disamping mendapat tunjuk ajar daripada orang lama.
Sebelum memulakan tugas lusa, hari itu aku mengambil keputusan untuk ke rumah Kak Jiha. Dengan menaiki teksi aku tiba di hadapan rumah Kak Jiha lebih kurang pukul 10 pagi. Kulihat ruang porch terdapat kereta kancil Kak Jiha. Lega. Kak Jiha ada di rumah saat itu. Aku menolak pintu pagar yang tidak berkunci lantas berjalan menghala ke pintu. Dari pintu yang terbuka ku dengar suara Danial menangis kemudian terdengar suara Kak Jiha memujuk.
Tiba-tiba aku jadi rindu pada si kecil Danial. Sudah seminggu tidak melihatnya.
“Assalamualaikum. Danial!” Aku memanggil dari arah pintu. Kak Jiha datang dari dapur sambil mengendung Danial yang menangis nyaring. Dia kelaparan. Kak Jiha tersenyum lantas berkata pada Danial; “Tengok sayang. Siapa yang datang. Mak adik datang sayang!”
Aku mengambil Danial, memujuk dengan lembut. Dia berhenti menangis beberapa ketika kemudian kembali melalak.
“Pegang dia sekejap ya Fiqah. Kak Jiha buat susu…”
Kak Jiha berlari ke dapur bagi menyediakan susu. Nampaknya dia memang sibuk dengan pelbagai perkara. Kulihat ruang tamu tidak teratur. Di atas meja makan penuh dengan buku-buku. Kenapa berselerak sangat? Bisik hatiku.
Setelah Danial minum susu dan tidur barulah aku bertanya dengan nada tidak sabar melihat keadaan sekeliling ruang tamunya yang nampak tidak terurus. “Sebenarnya Kak Jiha sambung belajar. Tapi belajar jarak jauh, luar kampus. Hanya pada hari Sabtu dan hari minggu saja.” Cerita Kak Jiha.
“Jadi, siapa yang jaga Danial.”
“Ada pengasuh yang Kak Jiha upah. Tapi hari dia tak datang… Tu yang kelam kabut sikit. Lagipun baru dua hari Kak Jiha mula belajar semula. Masih belum dapat sesuaikan diri dengan keadaan.”
Aku mengangguk.
“Kau tinggal di mana? Tinggal saja dengan Kak Jiha di sini. Abang Imran tak ada… Sekurang-kurang ada orang tolong tengok-tengokkan Danial.”
Aku diam dan berfikir. Mengapa aku harus menolak? Bisik hatiku. Bukankah aku sekarang menumpang di bilik Emilia. Memang tidak selesa langsung. Kalau mereka semua pergi kerja, memanglah satu rumah aku punya. Tapi lusa aku pun dah mula bekerja kembali. Jadi pulang kerja pastilah aku memerlukan ‘sarang’ yang selesa untuk berehat. Bukannya menumpang di katil Emilia!
Syarikat tempat ku bekerja terletak di Jalan Medan Tuanku. Jadi dari rumah Kak Jiha aku hanya perlu mengambil satu bas sahaja. Bukankah berada di rumah ini segalanya lebih mudah? Tetapi aku tak sanggup memikirkan kepulangan Abang Imran nanti? Bagaimana aku harus menghadapinya?
“Apa difikir lagi Fiqah. Di sini banyak bilik kosong.”
“Bilik bawah tu kosong?” Aku bertanya sambil memandang ke arah bilik yang bertutup rapat terletak berdekatan dengan ruang tamu.
“Bilik tu abang Imran kau dah buat librari. Bilik belakang tingkat atas kosong. Salah satu bilik tu kami buat bilik sembahyang.”
Aku tahu di atas ada tiga bilik tidur. Satu master bedroom dan dua bilik sederhana besar. Sebenarnya aku tak perlu berfikir panjang. Terima sajalah tawaran Kak Jiha! Dia kan ikhlas, bisik hatiku. Merenung wajahnya yang tersenyum dan tertawa mendengar persetujuanku untuk tinggal di situ, hatiku turut rasa senang. Aku bersyukur punya saudara sepertinya. Janjiku pada diri sendiri, tidak akan sesekali mengkhianati kebahagiaan rumah tangganya bersama Abang Imran.
Biar hatiku robek, pedih dan terluka namun itulah harga yang kubayar demi insan yang kusayang.

Bab 39

BAHAGIAN IV
RAHSIA HATI NAJIHA

WAKTU hampir tengah malam barulah Danial dapat tidur dengan selesa. Dia tidak pernah diserang kembung, menangis tidak henti-henti sejak maghrib tadi lagi. Aku jadi takut dia diserang sawan. Pernah kudengar penyakit sawan di kalangan kanak-kanak boleh membawa maut. Aku gelisah dan hampir-hampir menangis bersama Danial. Aku tidak tahu apa yang harus dibuat tanpa bantuan Abang Imran di sisiku.
Abang Imran telah berangkat ke Jakarta awal pagi tadi. Aku tidak menghantarnya ke airport. Syarikat menjemputnya dengan kereta dan dia berangkat pergi dengan hati yang senang. Sengaja aku menyatakan segalanya akan berjalan dengan baik walapun tanpanya di sisiku. Aku mahu dia pergi dengan hati yang senang untuk menjalankan tugas dan bukannya memikirkan tentang kesusahan kami yang ditinggalkan.
Biarpun semasa di Jakarta dahulu, aku kerap kali ditinggalkannya kerana memenuhi tuntutan tugas, tetapi aku tetap merasakan dia amat dekat. Dia akan pulang pada bila-bila masa. Tetapi kini aku merasakan dia benar-benar jauh dariku. Aku tidak boleh menghubungi menyuruh dia balik secepat mungkin. Masa yang diambilnya pasti sehari dua dan aku tak mahu dia balik lantas mendapati sebenarnya Danial tidak apa-apa.
Malam ini biarpun penat tetapi aku tidak dapat tidur. Beberapa kali sudah aku berkalih ke kiri dan ke kanan. Tempat tidur Abang Imran kosong. Aku menatap bantal yang selalu digunakannya. Hampa. Saat seperti ini tiba-tiba aku mengharap dia ada di sisiku. Aku memandang ke arah katil Danial. Dia telah tidur dengan nyenyak.
Akhirnya aku turun ke tingkat bawah. Langkah kutuju ke perpustakaan. Teringat pesanan Abang Imran supaya menyusun buku-buku yang baru dibawa dari kampung. Buku-buku yang tersimpan di dalam kotak belum terusik sedikit pun. Aku memandang kosong ke arah kotak yang diletakkan di tepi pintu. Agh! Melihat buku-buku yang banyak itu rasa malas pula yang timbul.
Astaghafirullah… Bukankah aku sudah berjanji dengan suamiku untuk menolongnya mengemas, menjadikan librari itu cantik dipandang. Dinding librari berwarna kuning cerah dilengkapi dengan hiasan kertas sempadan berwarna coklat gelap, bercorak abstrak. Memang cantik apabila dilengkapi dengan sebuah almari besar berwarna coklat gelap kehitaman. Sebuah sofa panjang warna merah hati diletakkan berhampiran tingkap. Terdapat juga meja tulis dan komputer di satu sudut. Hamparan karpet tebal terletak di tengah-tengah ruang. Jika tak mahu berbaring di sofa, boleh juga berbaring di atas karpet itu sambil membaca.
Aku bergerak ke almari lantas membuka pintunya. Mataku merenung ke arah ensiklopedia yang bersusun dengan cantik. Memang Abang Imran amat sayangkan ensiklopedia tersebut. Dia tidak benarkan sesiapa pun menyentuhnya kecuali Julia Afiqah. Julia Afiqah! Tiba-tiba nama dan raut wajah itu melintasi fikiranku. Kutahu Abang Imran dan Julia Afiqah amat rapat. Dia sayangkan Julia Afiqah dengan sepenuh hati, dapat kulihat dari sinar matanya. Dan aku tahu Julia Afiqah juga memiliki rasa yang sama terhadap Abang Imran.
Itu memang aku fahami! Mereka tinggal serumah sejak dulu. Mereka masih bersaudara dan perhubungan mereka tidak akan terputus oleh sesiapa pun jua.
Aku tersenyum sendiri sambil mengambil salah sebuah buku tebal itu. Selepas melahirkan Danial, aku memang berniat hendak menyambung pelajaran. Aku memang tidak dapat memisahkan diri dengan buku dan bilik darjah. Walaupun aku tidak mengajar lagi tapi aku tidak akan berhenti belajar. Mengajar dan belajar bagaikan sudah sebati dengan diriku. Pernah aku suarakan hasrat hatiku untuk belajar. Pada awal perkahwinan kami dulu, Abang Imran begitu tegas mahu aku berhenti dan mengikutnya ke sini. Aku pula tidak banyak soal. Kini setelah hampir setahun lebih kami hidup bersama, sikap Abang Imran semakin lunak dan bertolak ansur. Apalagi sejak kehadiran Danial, kurasakan kasih sayangnya pada kami kian erat. Rasa kasih sayangnya seperti dapat kusentuh dan kudakap kemas di hati. Dan aku tidak ragu-ragu lagi pada keikhlasannya. Biarpun tidak pernah sekali pun dia mengungkapkan kata-kata cinta buatku.
Bagiku itu semua tidak perlu, biarpun terkadang aku mahu mendengar dia mengucapkannya pada hari-hari tertentu seperti hari ulangtahun perkahwinan kami ataupun pada hari lahirku. Tapi aku tidak mahu mengharap sangat! Bagiku ‘Action speak louder than word.’
Pengorbanan yang dia lakukan untuk kebahagiaan rumahtangga kami kurasakan begitu besar dan agung. Semasa aku sakit mahu melahirkan Danial, dia yang terlebih gelisah dan takut. Malah dia berkali-kali meminta doktor merawatku dengan sebaik mungkin. Sepanjang masa aku mengandung juga dia melayaniku bagaikan melayan seorang puteri.
Dia akan bermurah hati memasak bila dilihatnya aku kepenatan. Dia juga yang mengemas rumah sebaik sahaja balik dari kerja. Sebelum pergi kerja dialah yang menjemur pakaian. Jadi aku benar-benar rileks lebih-lebih lagi pada saat akhir kandunganku. Namun kukatakan padanya aku perlu juga bergerak untuk memudahkanku bersalin.
Bila mengenangkan segala layanan mesra dan baiknya itu aku terasa seperti hendak mengandung lagi. Aku ingin memberikan dia zuriat yang ramai. Supaya rumah kami jadi meriah dan riuh rendah. Aku tahu Abang Imran sukakan suasana ramai di rumah. Dia sendiri mempunyai adik beradik yang ramai, lebih kurang enam orang.
Aku membuka salah sebuah buku. Tiba-tiba mataku terpandang sebuah catatan kecil diselitkan dicelah-celah buku. Kertas berwarna kuning sebesar tapak tangan itu mempunyai perekat di bahagian belakangnya. Aku mengerut dahi. Catatan siapa ni?
Aku membacanya sekali lalu;
Narmi sayangku,
Tak pernah ku bayangkan bagaimana hidupku bila kau tiada di sisi. Jika kau tiada, pada siapakah akan ku dendang melodi cinta. Pada siapa akan ku serahkan hatiku yang pilu dan gelisah selalu. Dan nama siapa akan kuseru bagi menyatakan rindu. Wajah siapa yang akan kurenung di dada bulan yang mengambang. Pada siapa akan kubisikkan kata-kata cinta, kalau bukan padamu seorang.
Julia Afiqah
Julia Afiqah yang menulis nota ini? Dahiku berkerut-kerut. Memang tidak kuduga catatan itu milik Julia Afiqah. Tetapi mengapa dia menyelitkannya dicelah-celah buku Abang Imran? Tiada tercatit tarikh dan waktu. Hanya secebis catatan luahan hatinya. Tidakku tahu yang Julia Afiqah punya kekasih.
Rasa ingin tahuku jadi tambah menebal. Aku meletakkan kertas itu di atas meja lantas mencari buku yang lain. Kuselak-selak secara rambang dan mendapati sekeping lagi cacatan hatinya tertulis di perut buku.
Narmi kekasihku,
Aku akan tinggalkan sebuah kenangan luka. Akhirnya aku akan pergi meninggalkanmu. Meninggalkan kenangan yang pernah kita ukir bersama. Sejak kecil tidak kukenal erti kasih sayang, selain daripada kasih sayang yang kau curahkan untukku. Engkaulah cinta pertama dan terakhir. Tiada yang lain selain daripada dirimu selama ini bertakhta di hatiku.
Bibirku terasa kering. Aku menjilat lidah bagi membasahi bibir yang jadi menggeletar tiba-tiba. Narmi? Otakku ligat berputar. Seolah-olah aku tahu apa yang bergolak dalam dada Julia Afiqah saat ini. Dia mencintai lelaki bernama Narmi sejak kecil. Aduhai… Rasa ingin tahuku jadi tambah membesar. Harus kucari lagi catatan dalam buku-buku yang lain. Biar sehingga rahsia ini terungkai.
Narmi,
Ku percaya cinta abadi selamanya tidak akan ternoda. Tidak akan kuserahkan cintaku untuk dilukai dan dikecewakan. Sayangku, usah lukai hatiku dan jangan sesekali kau buang aku dari hidupmu. Sesungguhnya aku tidak boleh hidup tanpamu…
Rasa cinta dan kasihnya dapat aku rasakan pada Narmi begitu mendalam. Terpahat amat kuat dalam hati sanubarinya. Tidak kusangka gadis lembut dan pendiam seperti Julia Afiqah punya kekasih rahsia di dalam diam. Kusangka dalam hidupnya hanya Faruk manusia pertama… Lelaki yang pernah menjadi suaminya.
Sayangku Narmi,
Di sebalik senyumanku ini terlindung seribu luka. Bahtera cintaku telah karam di lautan samudera. Aku lemas sendiri. Di manakah kau di saat aku memerlukanmu? Mengapa kau tidak menjawab rintihanku Narmi. Kejamnya engkau kerana membiarkan aku sendiri begini. Mengapa Narmi? Berikan secebis harapan, hulurkan sekelumit cinta. Itu sudah cukup untuk buatku bahagia…
Aku mengeluh berat. Tidakku duga Julia Afiqah benar-benar mengharapkan cinta daripada lelaki ini. Dan kekecewaannya kian menjerat hari demi hari dia terpaksa menerima satu hakikat bahawa tiada cinta yang dapat diberikan oleh Narmi untuknya. Dan kebahagiaan yang diharapkannya kian jauh…
Aku mengeleng-gelengkan kepala. Fiqah! Fiqah! Jangan kau harapkan cinta dari seorang insan. Cinta sejati hanya kepada Tuhan. Percayalah adikku. Seandainya engkau mencintai Tuhanmu kau akan merasa cukup dengan apa yang ada… Merasa bahagia walaupun tidak disayangi manusia.
Pandainya aku berkata… Bisik hatiku bagaikan mengejek. Sedangkan aku juga mengharapkan cinta abang Imran terungkap buatku. Tapi kutetap rasa bahagia biarpun dia tidak pernah menyatakannya. Kurasakan dia sebenarnya sayang pada aku dan Danial, cuma dia tidak pandai mengucapkan kata-kata manis.
Aku menguap beberapa kali. Rasa mengantuk buat aku tidak dapat membuka mataku lagi. Nota-nota di atas kertas kecil milik Julia Afiqah ku kumpul, lantas aku bawa naik ke bilik. Aku menyimpannya di dalam diariku. Jika Abang Imran balik nanti aku akan bertanya pada suamiku itu. Kenalkah dia pada Narmi? Bukankah sekarang Julia Afiqah kembali bersendirian. Barangkali sehingga kini Julia Afiqah masih sayangkan Narmi.
Aku tahu perkahwinannya dengan Faruk adalah pilihan emak mertuaku. Nyata perkahwinannya tidak dapat bertahan lama. Mujur juga Julia Afiqah tidak mengandung dan melahirkan anak. Jika sudah beranak pihak harus bercerai pula, memang susah!
Mataku hampir terlelap. Namun aku tersentak apabila teringatkan sepotong nama Narmi. Narmi? Nama yang pelik bukan? Soal hatiku. Aku bingkas bangun lantas membuka laci meja tempat aku menyimpan diari. Kurenung tulisan nama Narmi. Mataku jadi segar semula. Narmi? Imran? Tanpa sedar fikiranku tiba-tiba mengeja kembali nama Narmi dalam keadaan terbalik.
Imran? Aku berulang kembali membaca nota-nota yang ada. Barulah kufahami sepenuhnya maksud apa yang tertulis di situ. Julia Afiqah cintakan abang sepupunya sendiri, Imran. Secara tiba-tiba ingatanku kembali berputar pada malam kami berada di rumah emak.
Abang Imran ghairah hendak mengemas buku-buku yang masih berselerak. Berkali-kali dia menyatakan betapa dia bimbang buku-bukunya akan dimakan lipas. Lantas dia naik ke perpustakaan. Aku terlalu mengantuk untuk menemaninya. Namun aku terjaga semasa terdengar bunyi riuh. Perpustakaan benar-benar berada di atas bilik tidurku. Lantas aku bangun perlahan-lahan untuk melihat apa yang berlaku.
Dari celah pintu kulihat Julia Afiqah begitu girang sekali. Mereka bergurau sambil saling membaling buku. Tidak lama kemudian sesuatu yang tidak terduga berlaku. Abang Imran bertindak pantas melindungi Julia Afiqah daripada dihempap buku. Aku tidak sanggup untuk melihat insiden seterusnya. Tubuh mereka berhimpitan dan berguling ke lantai. Dan aku menunggu adegan seterusnya dengan hati tak keruan. Walaupun ketika itu aku tidak merasai curiga sedikit pun kerana mereka bersaudar. Kini setelah aku tahu perasaan Julia Afiqah pada suamiku aku patut memiliki perasaan cemburu. Bukankah begitu? Patutkah aku cemburu pada perhubungan istimewa mereka? Apakah Abang Imran juga mencintai Julia Afiqah?
Tidak… Hatiku berbisik. Daripada nota-nota yang tertulis, kutahu cinta ini hanya di sebelah pihak. Abang Imran langsung tidak tahu Julia Afiqah mencintainya. Kasihan… Memang derita apabila cinta tidak dapat diungkapkan dan sidia tidak tahu langsung isi hatimu, Fiqah.
Saat itu ada bisikan halus di telingaku. Bisikan yang meminta aku menghapuskan semua nota-nota yang ada, jangan tertinggal biarpun satu di dalam buku-buku Abang Imran. Dia suamiku. Tiada sesiapa pun yang boleh mengganggu gugat kebahagiaan kami. Aku sudah punya Danial. Dan tidak ingin menghadapi hidup ini tanpa lelaki bergelar suami. Aku tidak mahu Abang Imran meninggalkan kami.
Tapi mengapa aku harus gentar dan takut? Mengapa? Aku jadi serba salah pula. Perlahan-lahan kertas itu kukoyakkan sampai hancur. Aku takkan buat kerja gila! Biarlah. Jika ada pun nota-nota Julia Afiqah yang mencurahkan isi hatinya pada Narmi@Imran, tiada apa yang dapat diubah lagi. Julia Afiqah harus sedar, Abang Imran sudah punya keluarga, sudah berbahagia dengan kehidupannya sendiri.
Aku cuba melelapkan mata. Namun payahnya mataku terlelap. Entah berapa lama aku tergolek-golek di tempat tidur. Akhirnya dapat juga aku tertidur, namun diganggu mimpi pula. Lantas aku terjaga dan amat takut mimpiku jadi nyata. Ah! Hanya mimpi! Bisik hatiku memujuk. Mimpi hampir menjelang subuh adalah perbuatan syaitan. Tapi ada juga ragu di hatiku mengenang mimpiku. Aku bermimpi memakai sepasang pakaian serba putih. Aku melambai Abang Imran dan Danial dari jauh. Wajah Abang Imran amat sugul dan sedih. Tapi aku gembira sahaja terus melambai-lambai sebelum mereka hilang dari pandangan dan aku terus terjaga.
Aku bangun terhuyung-hayang untuk mendirikan salat subuh. Kepalaku masih pening dan hampir-hampir saja tumbang semasa sedang bersujud ke hadrat Allah.
“Ya Allah.” Doaku pada subuh hening itu dengan penuh khusyuk.
“Kutahu tiada yang kekal di dunia ini. Kutahu kasih sayang itu hanya pinjaman. Dan kutahu pasti suatu hari aku akan kembali kepadaMu. Tetapi Engkau berikan aku kebahagiaan yang berpanjangan sehingga aku, Kau jemput ke sisiMu. Kau berikan kasih sayang yang dalam di hati suamiku. Dan demi kasih sayang tulus ini tunjukkan aku jalanMu yang lurus dan benar. Amin.”
Danial menangis nyaring. Aku cepat-cepat bangun dan terus meluru ke arah katilnya. Kutahu dia dahaga dan lampinnya pasti sudah basah.
“Sayang… Kuharap ayahmu cepat pulang, menemani kita semula.” Kataku pada anakku dengan suara tenang.


Bab 40

SEMINGGU kemudian aku dikejutkan dengan kedatangan Julia Afiqah. Dia muncul secara tiba-tiba di hadapan pintu rumah semasa aku sedang sibuk melayani kerenah si kecil. Rumah kelam kabut kerana Kak Linda yang tidak datang bekerja hari itu. Aku baru mengambilnya bekerja sebagai pembantu rumah beberapa hari lalu, tetapi dia sudah mulai menunjukkan belangnya. Dia menelefon menyatakan dia ada hal penting yang tidak dapat dielakkan.
Sabar ajelah… Bisikku sambil mengurut dada.
Sebaik sahaja terlihat wajah polos dan lembutnya, hatiku jadi berkocak. Satu-satu kuingat kembali setiap patah kata yang tertulis di dalam nota yang sudah hancur aku koyakkan. Mengapa aku bertindak melulu begitu? Bukankah kasihan dia… bisik hatiku lantas mempelawa dia masuk.
Aku terkadang tidak percaya pada diri sendiri. Aku dengan senang hati telah mempelawa dia tinggal bersamaku. Mulanya dia menolak kemudian dia bersetuju pula. Apakah dia hanya berpura-pura menolak? Bisik hatiku tidak keruan. Agh! Syaitan! Janganlah hendaknya engkau cuba merosakkan fikiranku dengan bisikan-bisikan yang menyakitkan itu! Julia Afiqah tidak bersalah. Tiada sesiapa pun bersalah bila memiliki rasa cinta pada seorang lelaki…
Tetapi lelaki itu adalah suamiku. Dan kini aku mengajak dia bersama-samaku di rumah ini! Untuk apa aku menyeksa diriku dan dirinya? Dan mengapa pula dia bersetuju? Barangkali dia terdesak…
Sabar… pujuk hatiku. Aku tidak boleh menyalahkan Julia Afiqah. Aku tahu, dia punya peluang yang cukup besar dan banyak untuk menggoda Abang Imran, tetapi dia tidak pernah melakukannya. Malah dia kelihatan amat tulus. Baru kusedari bahawa dia dan Abang Imran kelihatan dingin dan asing apabila di hadapan orang lain. Jelas, Julia Afiqah masih menyimpan perasaan pada Abang Imran.
Menyesalkah aku mengajaknya tinggal bersamaku?
“Berhenti di sini saja, Kak Jiha!” Suara Julia Afiqah mengejutkanku dari lamunan. Aku baru saja memasuki Jalan Sultan Ismail. Dia meminta aku berhenti di tepi jalan. Aku menurunkannya di tempat yang dipinta. Katanya pejabatnya tidak jauh dari situ, hanya perlu berjalan sepuluh minit.
“Balik sendiri petang karang? Kak Jiha balik lewat nanti, mungkin boleh jemput Fiqah!” Aku bermurah hati pula menawarkan bantuan.
Petang nanti aku tak ada kelas tapi aku berhasrat untuk membaca dan mencari bahan di Perpustakaan Negara. Jadi, aku mungkin balik lewat. Kak Linda datang awal pagi tadi untuk memulakan tugasnya. Kuharap dia tidak akan ponteng lagi. Rasa bimbang juga aku meninggalkannya dengan Danial di rumah. Namun aku berdoa tiada apa-apa berlaku pada anakku.
Julia Afiqah mengangguk.
“Saya balik sendiri… Lagipun nak jumpa kawan.” Jawabnya sambil melemparkan senyum.
Aku terus berlalu pergi meninggalkannya di tepian jalan. Namun dari sebalik cermin kereta kuperhatikan jua dirinya yang melangkah lambat menghala ke satu arah. Dia memang cantik, bertubuh genit dan kecil. Berkulit putih bersih, langsung tiada sebarang parut jerawat di wajahnya. Dia masih muda belia pula, belum pun mencapai usia dua puluh tahun.
Penampilannya sentiasa sopan dan tidak pernah dia meninggalkan tudung. Memang dia sempurna. Aku terfikir, apakah Abang Imran tidak pernah terpikat dan tergoda pada keayuannya. Ku perhati sekilas wajahku di cermin. Aku memang tidak secantik dia. Kulitku hitam manis. Suatu masa dulu kulitku ditumbuhi jerawat, meninggalkan bekas dan parut kecil. Tapi setelah memakai krim muka semuanya hilang.
Aku jenis manusia yang tidak suka bersolek. Jadi penampilan aku memang natural. Aku mengenakan kaca mata. Bibir tidak pernah dioles lipstik. Jadi ianya adalah merah semulajadi. Semasa aku baru berkahwin dengan Abang Imran, tubuhku memang kurus. Tapi kini agak berisi sedikit, tapi masih ada potongan. Abang Imran pernah menyatakan bahawa kalau terlalu kurus juga tidak cantik.
Aku tersenyum sendiri, teringat aksinya dan perbuatan-perbuatannya yang merangsang rasa ingin berada dekat dengannya secara tiba-tiba. Sentuhan sensasi di tubuhku suatu masa dulu membuat aku terkhayal beberapa saat dan aku hampir-hampir terlajak di hadapan lampu merah. Nasib baik kakiku membrek pantas, jika tidak pasti aku telah mencium bontot kereta orang di hadapanku.
Tubuhku berpeluh dingin. Huh! Berangan lagi… Marah hatiku sendiri. Namun belum sempat hatiku rasa lega, kurasakan keretaku pula yang bergegar dilanggar orang dari belakang. Panik. Aku tahu ada lampu yang pecah kerana bunyinya begitu kuat sekali.

DIA tergamam dan membrek cepat, namun gagal mengawal keadaan. Keretanya telah pun menghentam kereta di hadapannya yang membrek mengejut tadi. Apalagi kereta kancil itu bergegar dengan kuat. Habis bumpernya kemek dan lampunya pecah berderai.
Kereta kancil itu bergerak ke tepi perlahan-lahan, melintasi beberapa meter ke hadapan selepas lampu isyarat bertukar. Mahu tidak mahu dia terpaksa ke tepi juga. Kereta comel itu dipandu oleh seorang perempuan berusia pertengahan dua puluhan. Dia memakai jubah coklat gelap dan bertudung labuh warna coklat yang cerah sedikit dari warna jubahnya. Lelaki itu melihatnya tidak ubah seperti batang kayu berjalan.
Dia terus keluar dari keretanya sambil berjalan ke arah perempuan berjubah yang kelihatan merenung keretanya dengan penuh kesal. Menyedari dia datang menghampiri, perempuan itu terus menegurnya dengan agak kasar; “Awak tak nampak ke lampu merah?”
“Nampak!” Jawabnya berdalih. “Tapi saya tak sangka awak brek mengejut.”
“Memanglah saya kena brek jika tidak kereta saya akan terlanggar kereta di hadapan.” Jawab perempuan itu kesal. “Awak ni berkhayal kut?”
“Ehhh… Kenapa pula saya nak berkhayal? Awaklah yang cuai…”
Lelaki itu menatap perempuan berjubah coklat itu dengan pandangan tajam. Mata mereka saling berlaga beberapa saat. Dilihatnya perempuan berjubah itu mengerutkan kening seperti mengingati sesuatu. Kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali; “Faruk? Awak ni Faruk?”
Faruk tercengang-cengang beberapa ketika. Dia tidak kenal pada perempuan berjubah itu. Dia benar-benar tidak ingat. Perempuan mempunyai keistimewaan kerana mereka jarang dihinggapi penyakit lupa. Mereka juga amat kuat berpegang pada emosi berbanding pemikiran!
“Siapa ni? Macamana tahu nama saya?”
“Saya isteri Imran. Najiha. Awak ingat Imran? Sepupu Julia Afiqah!”
Dia terasa seperti kepalanya terhentak dengan seketul batu apabila nama Imran disebut. Nama itu membuat kepalanya tiba-tiba jadi berat dan pening. Masakan dia tidak ingat. Masakan dia lupa pada Imran dan Julia Afiqah. Wajah mereka selalu mengganggu fikirannya, mencabar emosinya. Dan akhirnya dia telah kembali menjadi manusia yang egoistik semula. Dia kembali ke dunia lama yang dulu mahu ditinggalkan.
Dia terlalu kecewa. Hidup ini rasanya hanya dipenuhi rasa kecewa dan hampa.
“Jadi…” Dia bertanya, suaranya tergantung di udara. Wajah Najiha ditenungnya sejenak, kemudian dia memaling muka.
“Tak pernah jumpa Fiqah? Dia sekarang tinggal dengan saya…” Kata Najiha beria-ria. Lantas dengan cepat berlari ke kereta mengambil pen dan kertas. Ditulisnya dengan pantas nama Julia Afiqah, alamat rumah dan nombor telefonnya sekali lantas diserahkan pada Faruk.
Faruk terpegun sahaja tetapi dia memegang kertas itu lantas memasukkannya ke dalam poket.
“Kerosakan ni macamana?”
“Tak apa… Kira settle aje.” Balas Najiha tersenyum.
Faruk terdiam. Manusia ni memang aneh. Fikirnya sambil berjalan laju menghala ke keretanya. Dilihatnya Najiha juga masuk ke kereta lantas memandu pergi. Faruk tersenyum sendiri sambil tangannya menyeluk poket mengeluarkan kertas yang baru diberikan Najiha. Dia membacanya sekali lalu. Tidak lama kemudian dia membuka cermin kereta lantas membuang kertas itu keluar.
Go to hell! Bisiknya di dalam hati. Tiada perempuan bernama Julia Afiqah lagi dalam hidupnya. Dia memang sudah putus asa. Tiada sesiapa lagi yang mahu dicintainya selepas ini…


Bab 41

DANIAL sudah belajar merangkak dan duduk. Dalam usia yang semakin meningkat, dia sudah pandai ‘memerintah’. Kalau Julia Afiqah balik dari kerja dia akan menghulur tangannya minta didukung, lantas dibawa ke taman permainan di hadapan rumah. Dia gembira melihat kanak-kanak berkejaran, seolah-olah dia tidak sabar mahu berlari-lari seperti mereka.
“Sabar ya! Kau juga akan dapat berlari-lari macam mereka bila umur kau dah setahun lebih nanti.” Kata Julia Afiqah.
Danial tertawa menayang giginya yang baru tumbuh. Dia seolah-olah faham apa yang dikatakan oleh Julia Afiqah. Dia akan memegang jari telunjuk Julia Afiqah dengan kuat seolah-olah tidak ingin dilepaskan. Terkadang dia akan membawa jari itu ke mulutnya. Julia Afiqah akan pura-pura marah. Dan Danial akan menangis bila kehendaknya tidak kesampaian.
Namun Julia Afiqah akan buru-buru memujuk, mendukung dan membawanya berjalan sekeliling taman. Terkadang singgah membeli permainan sekiranya hari itu ada pasar malam di kawasan taman perumahan itu. Petang itu Julia Afiqah agak terlewat pulang dari taman, hampir masuk waktu maghrib.
Najiha menunggunya di muka pintu. Wajah wanita itu nampak masam mencuka. Matanya tajam saja memandang Julia Afiqah.
“Kan Kak Jiha dah cakap, kalau bawa Danial ke taman jangan balik lewat sangat. Ni dah nak masuk maghrib baru balik. Mulalah budak tu mengigau susah nak tidur nanti!” Kata Najiha dengan kasar, sambil merampas Danial dari dukungan Julia Afiqah.
Hati Julia Afiqah tersentap. Dia terkejut dengan kata-kata kasar Najiha. Sudah dua kali Najiha menegur Julia Afiqah dengan nada keras dan kasar. Beberapa petang sebelum itu Julia Afiqah terlewat pulang, tetapi hari masih terang benderang. Tapi Najiha menunggu di muka pintu dengan wajah masam.
“Maaf kak.” Balas Julia Afiqah sepatah. “Bawa Danial pergi pasar malam kejap.”
“Tak payah. Lain kali jangan bawa dia pergi mana-mana lagi.” Jawab Najiha terus dengan nada keras dan tinggi lantas masuk ke dalam rumah. Julia Afiqah diam. Hatinya tersinggung sungguh. Sejak dua tiga bulan kebelakangan ini Najiha berubah sikap terhadapnya. Bicaranya selalu kasar dan tidak semesra semasa dia mula-mula datang ke rumah itu.
Agaknya aku ni menumpang… bisik hati Julia Afiqah. Jadi dia tak suka! Dulu dia juga beria-ria mempelawa. Sekarang mengapa dia menunjukkan sikap tidak suka pula?
Sudah hampir 4 bulan dia tinggal di rumah itu. Dia tidak tahu berapa lama lagi dia akan tinggal di situ. Lebih kurang 6 bulan lagi Abang Imran akan pulang. Dia tidak akan berada di situ lagi sekiranya Abang Imran balik nanti. Justeru itu mulai sekarang dia harus mencari rumah sewa.
Julia Afiqah menghubungi Emilia. Suara Emilia begitu kesal memberitahu belum ada sesiapa pun yang keluar dari rumah itu. Namun dia berjanji akan mencarikan bilik untuk Julia Afiqah. Dia akan bertanya pada kawan-kawan sekerjanya nanti.
Julia Afiqah jarang berbual lagi dengan Najiha seperti suatu masa dulu. Najiha sibuk selalu. Dia juga sudah berubah menjadi tidak seramah dan sebaik dulu. Entah mengapa dia harus berubah sikap. Persoalan itu seringkali mengganggu dan menghantui fikiran Julia Afiqah.
Suatu malam Julia Afiqah memasuki perpustakaan lantas membelek setiap ensiklopedia Abang Imran. Malangnya dia tidak menemui apa-apa. Ke manakah perginya nota-nota itu? Bisik hatinya. Seseorang telah pun menemuinya? Inilah jawapan kepada persoalan yang bermain di fikirannya. Dia yakin Najiha telah menemui nota-nota itu dan dengan cepat dapat menebak siapakah Narmi.
Hati Julia Afiqah dibungai rasa kesal. Memang dia bersalah kerana punya hati dan perasaan pada suami orang. Namun perasaan itu tumbuh sebelum Abang Imran berkahwin dengan Najiha lagi. Apakah dia tidak punya hak untuk mencintai Abang Imran?
Kau tak mahu sedar-sedar diri Fiqah! Marah hatinya. Kaulah jadi punca kemarahannya. Bukan sesiapa… Memang kau bersalah terhadap dia.
“Kak…” Seru Julia Afiqah sambil mengetuk pintu kamar tidur Najiha yang bertutup rapat.
Najiha membuka pintu. Dia masih memakai telekung. Julia Afiqah memandang mukanya yang bersih baru lepas dibasuh dengan air sembahyang.
“Kak Jiha dah sembahyang?”
“Dah.” Jawab Najiha. “Masuklah…” Pelawa Najiha sambil menarik Julia Afiqah masuk ke biliknya. Dengan tenang dia membuka telekung dan melipat sejadah. Julia Afiqah memerhati semua aksinya dengan mata tidak berkelip.
Najiha duduk di sisi Julia Afiqah, di atas sofa cleopatra yang diletakkan dihujung katil.
“Kak Jiha minta maaf. Petang tadi Kak Jiha marahkan Fiqah. Sebenarnya Kak Jiha penat. Hari ni banyak assignment. Tension.”
Julia Afiqah tunduk.
“Fiqah.” Tangan Julia Afiqah dipegang Najiha erat.
“Kak Jiha hargai apa yang kau buat. Kau selalu layan Danial, manjakan dia seolah-olah dia anak kau sendiri. Terima kasih Fiqah. Tapi kau harus ingat dia tu anak Kak Jiha dengan Abang Imran.” Kata-katanya yang lembut amat menusuk hati Julia Afiqah. Airmatanya berderai perlahan. Mengapa Najiha harus mendera perasaannya begitu?
“Kak Jiha tahu, kau dengan Abang Imran rapat… Sangat rapat. Saling sayang menyayangi. Kak Jiha bukan dengki, bukan juga sakit hati. Kak Jiha ikhlas. Cuma Kak Jiha tak mahu Danial rapat sangat dengan kau… Macam kau rapat dengan Abang Imran. Kau faham Fiqah?”
Julia Afiqah mengangguk sahaja.
“Jadi, tak payahlah kau bawa Danial tiap-tiap petang ke taman. Kalau kau teringin nak bawa juga, seminggu sekali pun cukuplah. Lagipun udara di luar sekarang ni tak berapa elok, jerebu. Kalau Danial sakit Kak Jiha juga yang susah. Abang Imran jauh…”
“Ya kak.” Jawab Julia Afiqah. “Saya takkan bawa dia lagi…” Katanya perlahan. Kemudian disambungnya kata-kata yang belum habis itu di dalam hati. Aku takkan bawa anak kau lagi, takkan sentuh dia! Janganlah bimbang… Aku akan jauhkan diri dari kalian. Secepat mungkin aku akan pindah dari sini!
“Terima kasih Fiqah. Kau ni seorang yang memahami. Jangan terasa hati apa yang Kak Jiha cakap tadi. Jom kita makan malam…” Ajak Najiha seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
“Kak Jiha turun dulu… Saya pun sebenarnya belum salat isyak.” Jawab Julia Afiqah berdalih. Dia terus masuk ke kamarnya. Di atas bantal dia membenamkan kesedihannya dan airmatanya lebat mengalir. Dia tidak keluar langsung untuk menjamah makan malam. Rasa tekaknya tawar dan tiada sebarang selera lagi untuk menyentuh masakan Najiha. Biar dia berlapar sepanjang malam, namun dia tidak sudi menerima budi perempuan itu lagi! Tak sangka! Dia hanya berpura-pura… Bisik hati Julia Afiqah penuh kepiluan.
Julia Afiqah menghubungi Emilia. Tangisannya makin panjang apabila terdengar suara Emilia yang kehairanan.
“Hey, Bestfriend. What happened? Kenapa kau menangis ni?”
“Aku sedih sangat Emy… Rasanya aku nak pergi saja dari rumah sepupu aku ni!”
“Apa yang berlaku?”
“Aku tak boleh cerita dalam telefon.”
“Datanglah sini Fiqah. Kebetulan malam ni room-mate aku tak ada. Dia balik kampung seminggu. Kau bawa baju sekali. Kau tidur di sini ya? Boleh kita bercerita panjang.”
“Okey.” Kata Julia Afiqah sambil pantas bangun. Diambilnya beberapa pasang baju kurung lantas memasukkannya ke dalam beg kecil. Dengan pantas dia mengemas. Kemudian dia terhendap-hendap mencari kelibat Najiha. Wanita muda itu tiada di dapur. Dilihatnya pintu bilik bertutup rapat. Hanya sebuah lampu berterendak yang terletak di atas meja konsol dihidupkan di ruang tamu. Mesti dia di dalam bilik.. bisik hati Julia Afiqah sambil turun perlahan-lahan ke tingkat bawah. Dia terus membuka pintu lantas keluar.
Najiha sebenarnya menyedari langkah Julia Afiqah yang keluar membawa beg pakaian kecil. Dia berada di perpustakaan. Dia mengintip dari celah pintu. Dibiarkannya Julia Afiqah pergi. Namun setelah gadis itu pergi, barulah dia terasa sesuatu. Kesal. Bagaimana jika terjadi persengketaan antara dia dan Julia Afiqah. Pasti Imran tidak suka. Imran memang gembira Julia Afiqah tinggal di rumah itu. Tetapi dia tidak dapat menahan lagi api cemburu yang terus membakar diri. Setiap kali menelefon ke rumah Imran akan bercakap dengannya kemudian dengan Julia Afiqah. Dia benar-benar marah dan cemburu di atas perhatian suaminya terhadap gadis itu.
Belum lagi dia balik ke sini… Bisik hatinya. Kalau Abang Imran balik nanti, tak tahulah apa yang akan berlaku. Kejamkah dia sekiranya dia ‘menghalau’ Julia Afiqah keluar dari rumah itu sebelum Imran pulang?

“OKEY, tenanglah. Minum dulu air…” Kata Emilia sambil meletakkan segelas air kosong di hadapan Julia Afiqah. Mereka sudah berada di dalam bilik tidur. Tiada sesiapa yang akan mendengar perbualan antara mereka berdua.
Julia Afiqah minum perlahan-lahan sehingga habis. Wajahnya masih dibungai kesedihan. Hidungnya masih merah dan berair. Dia cuba tersenyum menghadapi Emilia.
“Apa dah jadi?” Tanya Emilia. “Kau bergaduh dengan Kak Jiha?”
Walaupun tidak pernah bertemu dengan Najiha, tetapi Julia Afiqah selalu menyebut tentang Najiha. Lantas Emilia terasa seperti dia sudah kenal dengan Najiha.
“Entahlah. Aku pun tak tahu macamana nak terangkan pada kau satu persatu, Emy.”
“Ceritalah perlahan-lahan dari awal…”
“Agh! Terlalu panjang.” Bantah Julia Afiqah tidak bersedia untuk menceritakan semua rahsia hatinya.
“Kita punya waktu sepanjang malam. Esok hari minggu, jadi tak perlu kita terburu-buru untuk bangun pergi kerja. Kalau tidur lewat, esok kita bangun pun lewatlah jawabnya.”
“Yalah! Bukan aku tak tahu perangai kau tu… Kalau hari minggu, kau tak pernah bangun awal. Paling awal pukul sepuluh pagi.”
Emilia tertawa cuma. Ianya memang satu hakikat.
“Kalau kat rumah Mak Lang, dah lama kena sebat dengan rotan. Aku tak pernah bangun lewat. Paling lewat jam tujuh pagi. Itupun pada hari-hari aku datang bulan… Tak sembahyang.” Cerita Julia Afiqah.
“Rumah Mak Lang?” Dahi Emilia bercantum.
Lantas Julia Afiqah bercerita satu persatu tentang kehidupan masa lalunya yang menumpang di rumah saudara dan pergaulannya dengan Abang Imran yang mesra dan penyayang. Dia menceritakan juga tentang perasaannya pada Abang Imran yang tumbuh sejak dia berumur 17 tahun.
“Abang Imran tu kacak tak?” Usik Emilia.
Julia Afiqah tersenyum dan mengangguk.
“Tak hairan lah kau jatuh cinta padanya…” Kata Emilia. Mereka berdua tertawa serentak.
“Tapi mengapa kau tak berterus terang saja?” Tanya Emilia. Julia Afiqah menceritakan tentang nota yang ditulisnya dan diselitkannya di dalam buku-buku Abang Imran. Dia juga menceritakan bagaimana Abang Imran bernikah dengan pilihan gadis pilihan Mak Lang iaitu Najiha. Dia tidak langsung menyentuh tentang perkahwinan paksa antara dia dan Faruk. Peristiwa itu harus dia simpan sekemas-kemasnya sebagai satu rahsia peribadi!
“Mana aku nak letak muka kalau dia tidak mencintai aku? Malu…” Kata Julia Afiqah. “Sekarang ni aku tengok betapa bahagianya dia dengan Kak Jiha. Aku tahu dia mencintai Kak Jiha dan amat menyayangi anak mereka. Hampir setiap hari dia menelefon…” Julia Afiqah diam sejenak kemudian menyambung; “Aku rasa nota-nota rahsia itu ditemui oleh Kak Jiha. Sekarang dia seperti benci pada aku.”
Emilia mengangguk. “Aku rasa pun macam tu juga. Langkah paling baik kau harus pindah dari rumah tu secepat mungkin.”
Julia Afiqah mengangguk. “Memang aku nak pindah…” Katanya perlahan antara dengar dan tidak.
“Ehhh… Mengapa dalam cerita kau ni tak ada nama Faruk?” Tanya Emilia secara tiba-tiba.
Julia Afiqah tersentak, kemudian membaling sebiji bantal ke arah kawan baiknya itu.
“Faruk tu bukan orang yang penting dalam hidup aku…”
Emilia melepaskan keluhan. “Sekurang-kurangnya engkau dan aku mengalami juga satu perasaan cinta walaupun harus kecundang. Kau tahu aku juga pernah frust kerana Syamil tu akhirnya memilih Wanie.”
Julia Afiqah mengangguk. “Jodoh.” Katanya sepatah.
“Yalah. Memang bukan jodoh… Agaknya Tuhan sediakan seorang putera raja untuk aku!” Balas Emilia sambil tergelak kecil. Julia Afiqah mentertawakan Emilia yang berangan-angan hendak berkahwin dengan putera raja pula.
“Raja mana?” Tanya Julia Afiqah nakal. “Raja Gopal A/L Muthusami?”
Emilia membaling Julia Afiqah pula dengan bantal. Mereka sama-sama ketawa. Malam itu kesedihan Julia Afiqah hilang. Ubat paling mujarab bagi merawat hati yang sedih dan rawan adalah bertemu dengan seorang sahabat. Sahabat yang baik bukan hanya menjadi teman ketika bergembira juga kala berduka. Saat duka menyapa dia akan datang membawa kegembiraan.

Bab 42

AKU menunggu kepulangan Abang Imran di lapangan terbang. Tidak sabar hendak bertemu setelah empat bulan berpisah. Dia cuti selama seminggu. Cuti kali ini aku sudah merancang beberapa perkara. Kebetulan sekali sekarang cuti semester. Justeru itu pertemuan kali ini tidak akan aku persia-siakan.
Orang ramai memenuhi ruang menunggu. Tempat duduk tiada yang kosong. Aku hanya berdiri, memerhati dari sebalik cermin dengan sabar. Ada kapalterbang baru tiba dan kelihatan penumpang keluar dari pesawat, berjalan melepasi pintu untuk masuk ke balai menunggu. Tidak kulihat Abang Imran. Semuanya wajah-wajah asing.
Lenganku terasa lenguh mendukung Danial. Kuletakkan dia dalam kereta tolak. Badannya kian montel buat aku tidak berdaya hendak mendukungnya lama. Aku cepat rasa letih sekarang. Danial semakin aktif.
Apalagi banyak perkara yang mengisi fikiran dan hatiku. Biarpun aku tidak mahu memikirkannya tapi ianya tetap datang jua. Aku jadi hilang sabar menghadapi Danial yang kian lasak. Terkadang tidak sedar aku memukul tangannya yang tidak tahu diam.
Perhubunganku dan Julia Afiqah semakin retak. Selepas dia hilang selama seminggu, dia balik juga ke rumah. Aku menegurnya seperti biasa. Tetapi dia membalasnya dengan dingin, kemudian mengurung diri di dalam kamar tidur. Dia hanya akan keluar keesokan harinya untuk pergi kerja. Sarapan yang aku sediakan pun dia tidak mahu sentuh. Dia cepat-cepat pergi menunggu bas di tepian jalan. Dia tidak pernah mahu lagi menumpang kereta kancilku.
Dia juga tidak ambil tahu apa yang berlaku di dalam rumah. Enggan menolong aku memasak makan malam atau melayan Danial yang melalak seperti hendak tercabut anak tekak.
Pernah sekali aku sedang sibuk memasak dan Danial menangis minta dilayani, dia pura-pura pekakkan telinga. Dia keluar untuk makan malam dengan Emilia yang datang menjemput. Emilia masuk ke rumah ketika menjemput Julia Afiqah. Kawannya itu nampak ramah dan kami sempat berbual sejenak sementara menunggu Julia Afiqah bersiap-siap.
Danial menangis dan merangkak mengejar Julia Afiqah hingga ke pintu namun langsung tidak peduli. Pintu ditutupnya dengan kuat.
Pilu hatiku… Memang Julia Afiqah tidak peduli lagi pada anakku!
Salahkah aku? Aku berkali-kali menegurnya dengan baik dan meminta dia melupakan apa yang telah akukatakan. Dengan dingin dia menjawab dia telah pun melupakannya. Tapi aku tahu dia tidak memaafkan aku… Besar sangatkah salahku padamu Fiqah? Kukira kesalahanmu lebih besar lagi… Bukankah kau punya hati pada suamiku? Kau mencintai dia meskipun kau tahu dia sudah punya isteri dan anak.
“Hei! Termenung panjang… Tak nampak saya melambai tadi?” Bahuku ditepuk dari belakang. Aku terperanjat. Semangatku terbang. Di sisiku kini Abang Imran berdiri sambil tersenyum.
Aku terus memeluknya tanpa sedar. Dia menepuk bahuku dengan lembut sambil tersenyum mesra. Kemudian dia mengambil Danial lantas menciumnya dengan penuh kasih sayang. Tetapi Danial menangis, matanya memandang galak pada Abang Imran.
“Takut dengan ayah? Baru empat bulan tak jumpa dah tak kenal?” Tanya Abang Imran sambil terus memeluk anaknya. Aku hanya tersenyum memerhati. Bahagianya hatiku melihat wajah dan dirinya berada begitu dekat dengan kami walaupun hanya seminggu. Dalam seminggu ini dia memang milik kami dan tidak aku benarkan sesiapa pun mengganggu kebahagiaan ini.
“Eh, mana adik?”
Dadaku rasa terbakar. Ketenangan yang baru aku perolehi terus disentap pergi apabila matanya memerhati sekeliling, mencari wajah Julia Afiqah. Aku menggigit bibir kemudian menjawab; “Dia tak datang ke sini… Dia sibuk.”
“Hari minggu macam ni pun sibuk?”
“Dia keluar dengan kawannya sejak semalam… Selalunya malam minggu dia tak balik. Dia akan balik ke rumah pada petang Isnin.”
“Kawan? Kawan lelaki?” Tanya Abang Imran curiga.
Aku diam. Ingin rasanya aku membohongi Abang Imran, menyatakan memang Julia Afiqah keluar dengan lelaki. Biar Abang Imran rasa marah dan bencikan Julia Afiqah. Tapi tak sampai hati pula berbohong.
“Tak, kawan perempuan. Emilia namanya… Mereka pernah tinggal serumah satu masa dulu. Kalau dia tak balik, maknanya dia tidur di rumah Emilia.”
Abang Imran menarik nafas lega. “Saya risau, takut dia jadi liar. Saya rasa senang hati dia tinggal dengan Jiha. Jadi, dapat diawasi pergerakannya.”
“Dia bukan budak kecil lagi. Dia dah pernah bernikah… Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Sekurang-kurangnya dia ada pengalaman dengan lelaki.” Aku cuba mengingatkan Abang Imran. Julia Afiqah bukan gadis mentah. Walaupun umurnya masih muda tetapi dia telah dewasa dengan pengalaman hidup dan pernah menjadi isteri orang. Sudah tentu dia ada pengalaman yang tidak akan buat dia mudah diperdaya lelaki.
Lagipun dia bukan jelas perempuan yang mudah jatuh cinta…
Aku semakin meluat mengingatkan hakikat itu. Aku cepat-cepat beristighfar beberapa kali. Memang syaitan selalu berjaya meniup api kemarahan ke dalam dadaku dan rasa benciku pada Julia Afiqah kian menggunung.
“Jom kita balik.” Kata Abang Imran sambil berjalan mendahului, menolak kereta sorong Danial, sementara aku membantu dia membawa beg pakaiannya.
Ketika tiba di rumah, aku mendapati Julia Afiqah masih belum pulang. Aku memang memberitahunya semalam Abang Imran akan balik hari ini. Dia diam sahaja. Aku turut mengajaknya menjemput Abang Imran di airport tapi dia memberi alasan sibuk, ada hal dengan kawan dan macam-macam lagi.
Abang Imran memerhati ruang tamu yang kemas. Aku telah menyusun atur perabot dan menambah sepasang kerusi kayu jati berhampiran tingkap. Aku juga telah menggubah bunga ros segar berwarna merah. Aku tersenyum ke arahnya sambil berkata; “Macamana? Jiha dah susun semula perabot. Nampak cantik tak?”
“Cantik.” Katanya sepatah, masih memerhati sekeliling kemudian matanya melekat pada ros merah yang masih segar di dalam jambangan.
“Ros merah?” dia bertanya sambil tersenyum. “Saya tak tahu awak minat dengan ros merah.”
Aku hanya tersenyum. Tetapi senyuman ku mati apabila dia berkata; “Kalau di rumah mak, setiap kali balik pasti terhidu bau bunga melur dan pandan. Sebab adik suka gubah bunga melur dan daun pandan jadi sebuah jambangan yang cantik. Baunya kekal lama… Saya rindukan bau bunga melur.” Kata Abang Imran dengan mata terpejam.
Aku merengus lantas menjawab pantas; “Kalau macam tu, kita balik saja ke rumah mak esok. Saya juga tahu menggubah melur macam Fiqah.”
“Okey.” Jawab Abang Imran sambil merebahkan tubuhnya ke sofa.
“Awak masak apa? Saya lapar. Malam ni saya rasa nak makan masakan awak.”
“Hmmm… Belum masak. Tapi sementara tu minum air dulu. Ada kek yang saya buat semalam.” Kataku sambil berlalu ke dapur dengan segera.
Hari ini aku tidak memasak apa-apa. Pagi-pagi lagi aku sudah bertolak ke airport. Abang Imran menyatakan penerbangannya akan tiba jam sembilan pagi tapi tertangguh hingga 3 petang. Penatnya menunggu seharian di situ belum pun habis. Aku kelam kabut ke dapur menyediakan apa yang patut. Mujur aku ada membeli sayur dan ikan di pasar malam dua hari lepas.
Jadi aku pun menyediakan ikan bawal kukus dengan halia dan sos tiram. Juga aku memasak sayur campur dan sambal udang. Cukuplah! Pasti makan malam nanti Abang Imran akan memuji masakanku yang sudah lama tidak dirasainya. Ketika aku menjenguk keluar, kulihat dia sudah pun tertidur. Memang dia kepenatan. Kasihan. Aku mendekati lantas mencium pipinya sekilas. Lantas dia terjaga.
“Dah pukul berapa?”
“Dah hampir maghrib.” Beritahuku. “Salat dulu lepas tu kita makan.”
“Adik belum balik?”
Aku menggeleng. Hatiku semakin terasa geram mendengar pertanyaan itu. Bukankah sudah kukatakan dia takkan balik pada petang minggu begini. Dia hanya akan balik pada petang esok. Tak faham-faham lagi nampaknya suamiku ini!
Malam itu, untuk memuaskan naluri ingin tahuku aku tidak sabar-sabar bertanya pada Abang Imran. Kami dalam keadaan rileks selepas selesai melepaskan rindu… Aku berbaring di atas lengannya sementara dia memeluk kemas pinggangku.
“Bang… Apa sebenarnya perasaan abang pada Fiqah?”
Abang Imran tidak segera menjawab. Dia menarik tangannya dari berlengkar di pinggangku, membalikkan badan lantas meniarap. Matanya memandang tepat ke wajahku. Dapat kulihat perubahan airmukanya, melalui lampu tidur yang terpasang di sisi katil.
“Kenapa awak tanya macam tu? Dah tentulah saya sayangkan dia… Dia tu seperti adik saya sendiri.” Jawabnya dengan tenang, tanpa terburu-buru biarpun dia cuba menyembunyikan perubahan airmuka. Di wajah itu seolah-olah dapat kubaca sesuatu…
“Abang tahu tak sebelum dia bernikah dengan Faruk dia ada kekasih.”
Abang Imran menggeleng.
“Jiha rasa kekasih dia… Kekasih dia adalah rakan sekolahnya dulu.” Kataku lembut, sambil mengusap rambutnya. Fikiran jahatku menjalar lagi dengan lebih jauh, mahu mereka cerita yang Julia Afiqah bukanlah sebaik yang disangka. Hatiku yang mulai dikuasai rasa tamak terhadap kasih sayang suamiku sehingga aku sanggup mengata Julia Afiqah begitu! Alangkah jahatnya fikiran dan perasaan yang kian hebat tumbuh dalam diriku.
Abang Imran diam. Dia tidak menjawab apa-apa. Dia mengeluh kemudian berkata; “Biarlah dia. Dia kan cantik, istimewa dan pandai. Tapi mak tak beri dia peluang belajar lagi sedangkan dia punya cita-cita yang tinggi.”
Kurasakan pujian Abang Imran terhadap Julia Afiqah melambung tinggi. Rasa cemburuku tambah besar, dia tidak pernah memujiku. Aku tidak secantik Julia Afiqah, bukan pula seorang wanita istimewa. Aku hanya insan biasa. Aku pun tidaklah bijaksana, seperti bijaknya Julia Afiqah. Ah! Mengapa aku rasa diriku kian kerdil?
“Yalah… Dia memang cantik, istimewa dan pandai. Tapi sayalah yang serba kekurangan. Tak cantik, tiada keistimewaan dan tidak juga pandai-pandai. Buktinya saya masih lagi memburu ilmu sehingga sekarang.”
“Hei, kenapa ni? Cemburu?” Tanya Abang Imran sambil tergelak kecil dan dia berbaring semula. Ditariknya tubuhku lantas kepalaku pun mendarat di atas dadanya. Dia cium ubun-ubunku dengan lembut.
“Siapa kata wanita di sisi saya ni tidak istimewa. Kalau dia tidak istimewa, saya takkan berkahwin dengannya. Awak istimewa Jiha. Awak telah lahirkan zuriat saya. Awak adalah satu anugerah yang tidak ternilai dari Tuhan untuk saya.”
Airmataku menitis laju lantas menimpa dadanya. Hatiku tersentuh kesedihan mendengar kata-katanya yang kurasakan amat ikhlas itu.
“Saya milik awak… Tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kenyataan itu melainkan Tuhan.” Bisik Abang Imran lagi. Airmataku kian lebat. Aku malu pada diri sendiri dan Tuhan. Aku malu pada Abang Imran kerana meragui keikhlasan dan kasih sayangnya. Aku juga rasa bersalah pada Julia Afiqah.
Abang Imran telah tertidur keletihan. Aku bangun perlahan-lahan lantas turun ke tingkat bawah. Aku menuju ke meja telefon, cuba menghubungi Julia Afiqah. Puas ku tunggu jawapan daripadanya tetapi dia tidak menjawab panggilanku.
Aku mengambil pula telefon bimbit lantas menghantar mesej kepadanya. Kusuruh dia pulang kerana Abang Imran ada di rumah. Esok kami akan berangkat pulang ke kampung.
Julia Afiqah membalas mesej dariku. Aku merenung tulisannya itu, dapat kurasakan bahawa kami tidak akan berbaik-baik lagi. Dia telah menutup pintu hatinya untuk memaafkan keterlanjuran kata-kataku. Kami tidak akan jadi sahabat dan ‘adik beradik’ lagi. Malah dia seperti ingin memutuskan silaturrahim antara kami;
Baguslah suami Puan Najiha sudah pulang. Saya tahu Puan Najiha sedang menghitung bahagia. Jadi, saya tak mahu menganggu Puan Najiha dan Puan Najiha pun jangan mengganggu kegembiraan saya. Walaupun kita pernah jadi sahabat dan adik beradik, tapi itu semua sudah tinggal kenangan.
Dadaku sebak dan hatiku menangis membaca tulis Julia Afiqah. Aku renung handphone di tangan. Pandanganku jadi kabur dipenuhi airmata.
“Jiha! Awak buat apa?”
Pertanyaan Abang Imran mengejutkanku. Dia sedang berdiri di atas tangga, dengan hanya memakai seluar pijama. Aku segera memadam mesej yang baru kuterima daripada Julia Afiqah.
“Tak ada apa-apa.” Jawabku sambil menyembunyikan airmata yang baru menitis. “Saya dengar mesej dari handphone saya.”
“Mesej dari siapa?”
“Dari Fiqah. Katanya dia tak pulang, menemani kawannya.”
“Sampai bila?”
“Tak tahulah…” Jawabku lemah.
“Mari sini handphone tu, biar saya yang call.” Kata Abang Imran sambil bergerak datang ke arahku. Aku menghulur handphoneku ke arahnya. Dia mendail nombor telefon Julia Afiqah.
Lama dia menunggu kemudian barulah kudengar dia bercakap; “Adik, tak mahu balik ke rumah jumpa abang? Abang cuti bukannya lama, seminggu je. Esok kita balik kampung sama-sama.”
Entah apa jawapan Julia Afiqah. Aku memerhati wajah suamiku yang tenang mendengar jawapan balas darinya.
“Ambillah cuti sehari dua. Kita balik kampung. Adik tak rindukan abang ke? Abang rindukan adik, rindu nak balik kampung, jumpa mak…”
Abang Imran tiba-tiba memandangku dengan mata tidak berkelip. Dia menyerahkan handphone kepadaku semula.
“Adik tiba-tiba matikan panggilan.” Beritahunya kesal.
Aku tidak tahu apakah aku rasa gembira ataupun tidak apabila Julia Afiqah memutuskan panggilan tersebut. Jelas di mataku, mood Abang Imran berubah. Malam itu dia tidak dapat tidur, meskipun dia berkata letih. Lewat dinihari dia bangun, masuk ke perpustakaan.
Dan awal pagi itu kami bertolak pulang ke kampung tanpa Julia Afiqah. Kuharap suasana desa yang aman dan tenteram dengan udara yang bersih memberikan ketenangan kepada Abang Imran dan aku sendiri.

Bab 43

“AKU takut la nak masuk sini…” Kata Julia Afiqah sambil memegang erat tangan Emilia. Emilia beria-ria mengajaknya bergembira pada malam itu. Lantas mereka masuk ke sebuah disko. Seumur hidup memang Julia Afiqah tidak pernah masuk ke tempat-tempat seperti itu. Entah bagaimana malam itu dia setuju untuk mengikut Emilia. Gadis itu memang sudah biasa ke disko.
“Tengok tak ada seorang yang pakai tudung masuk ke sini..” Kata Julia Afiqah sambil memerhati sekeliling. Dilihatnya anak-anak muda galak menari, berpasangan. Pakaian mereka semuanya mendedahkan aurat. Skirt pendek menampakkan paha dan baju tanpa lengan mendedahkan dada. Julia Afiqah menggelengkan kepala.
Muzik terlalu bising sehingga telinganya bingit. Dia terpaksa meninggikan suara apabila bercakap dengan Emilia.
“Rileks la…” Kata Emilia sambil badannya sudah terkinja-kinja mengikut rentak lagu. “Jangan buat jakun sangat. Itulah kat rumah tadi aku dah suruh kau buka tudung, kau tak mahu…”
“Gila kau ni!” Marah Julia Afiqah.
“Hai!” Dua orang pemuda datang mendekati mereka berdua.
Emilia membalasnya dengan galak, sambil tersenyum.
“Assalamualaikum. Ustazah ni cantik lah!” Usik salah seorang pemuda sambil mengenyitkan matanya ke arah Julia Afiqah. Julia Afiqah menunduk, dia menyembunyikan mukanya di belakang Emilia. Emilia tersengih-sengih malu sambil menarik Julia Afiqah agar tidak terus bersembunyi di belakangnya. Tidak disangkanya Julia Afiqah akan bertindak begitu. Geram juga dia…
“Bukan ustazahlah!” Jawab Emilia. Dia tergelak. Kedua-dua pemuda di hadapan mereka juga tergelak sama.
“Jom menari!” Ajak salah seorang pemuda kepada Emilia.
“Okey!”
Emilia lantas terus mengikut salah seorang pemuda ke ruang tarian. Julia Afiqah terkapai-kapai ditinggalkan bersama pemuda yang tidak dikenali. Julia Afiqah tidak tahu hendak ke mana, dia memerhati sekeliling. Rasanya saat itu mahu saja dia berlari keluar.
“Tak biasa dengan tempat ni?” Tanya pemuda di hadapannya.
Julia Afiqah mengangguk.
“Mula-mula memang macam tu… Lama-lama nanti biasalah!”
Agh! Inilah pertama dan terakhir kali aku berada di sini. Bisik hati Julia Afiqah. Dilihatnya Emilia begitu gagah menari, terkinja-kinja mengikut rentak lagu yang rancak.
“Jom kita duduk di sana.” Ajak pemuda itu sambil cuba memegang tangan Julia Afiqah.
Julia Afiqah tersentak, ditarik tangannya dari pegangan anak muda itu. Dia merenung tajam ke dalam mata si anak muda yang kelihatan marah dan tersinggung. Dia merasakan Julia Afiqah cuba buat-buat jual mahal.
“Jangan kacau saya.” Kata Julia Afiqah. Marah. Matanya merenung tajam.
“Ooo… Sombong! Kalau tak mahu orang kacau jangan masuk ke sini!” Bentak anak muda itu. Dia cuba memegang tangan Julia Afiqah sekali lagi. Kali ini dengan lebih kuat dan kejap.
Tiba-tiba seorang anak muda datang, lantas menepuk bahu pemuda yang ada di hadapan Julia Afiqah.
“Dia kata, jangan kacau tu jangan kacaulah!”
“Adie!” Julia Afiqah terkejut melihat Adie yang muncul secara tiba-tiba di hadapannya. Adie tersenyum.
Pemuda itu segera beredar apabila menyedari Julia Afiqah kenal pada Adie. Dia tidak akan mengganggu lagi. Kebanyakan pengunjung disko itu kenal siapa Adie. Dia seorang pengunjung tetap disko itu. Dia juga seorang model yang semakin gah dan masyhur.
“Apa khabar Julia Afiqah?” Tegur Adie.
“Baik… Awak apa khabar?” Tanya Julia Afiqah semula.
Adie mengajak Julia Afiqah keluar dari disko itu. “Bising sangat… Kita berbual di luar saja.” Katanya.
Mereka keluar dari disko, berbual di tepi bangunan yang terang di suluh cahaya lampu.
“Lama tak jumpa. Awak masih kenal saya.”
Adie hanya tersenyum.
“Awak ada dengar cerita tentang Faruq?” Tanya Adie.
Julia Afiqah menggeleng.
“Dia di hospital sekarang, dah dua bulan lebih…”
“Sakit apa?”
Adie terdiam lama. Dia tidak tahu apakah dia perlu memberitahu Julia Afiqah ataupun tidak. Dia melepaskan keluhan.
“Awak masih ambil berat pasal dia?” Adie memulangkan pertanyaan.
Julia Afiqah pula yang terdiam.
“Kalau awak betul-betul ambil berat saya akan beritahu. Jika tidak, tak payahlah awak tahu apa-apa tentang dia.” Adie seolah-olah sengaja berdalih. Julia Afiqah memahami. Untuk apa lagi dia mengambil berat perihal Faruq? Antara mereka memang tiada apa-apa perhubungan. Dia pernah menolak lelaki itu datang kali kedua dalam hidupnya.
Tapi sebagai seorang manusia dia merasa perlu untuk menunjukkan rasa simpati terhadap lelaki yang pernah jadi suaminya itu. Biarpun tiada perasaan apa-apa, tapi sisa ingatan masih ada. Kenangan lalu tidak pernah dilupakan. Sesekali ia datang menjenguk dan mampu juga membuat dia tersenyum sendiri mengingati detik-detik bahagia antara mereka. Walaupun sejenak rasa gembira itu tetap ada.
“Adie, walaupun kami tak mungkin bersama, tapi saya tak berdendam. Saya rasa kalau dia sakit, saya perlu melawat dia sebagai seorang kawan kan? Lagipun hubungan antara saya dengan bekas mertua saya masih tetap baik.”
Adie mengangguk.
Sejak mengetahui Faruq yang terkedang di hospital kerana kemalangan jalanraya hatinya jadi tidak tenteram. Menurut Adie, Faruq sudah berbaik semula dengan keluarganya. Datin Mahani dan Datuk Kamarul menerima dia semula. Kata Adie lagi Faruq juga sudah bertaubat, sudah berubah sepenuhnya! Memang benar dia dan Adie tidak lagi berhubungan seperti dulu.
“Sekarang ni kami hanya berhubung sebagai boss dan pekerja…” Kata Adie. “Kasihan dia. Kemalangan yang dialaminya memang teruk. Kakinya terpaksa dipotong kerana dijangkiti kuman.” Cerita Adie sambil mengeluh.
“Ya Allah…” Tanpa sedar airmata Julia Afiqah berguguran.
Cekalkah dia hendak pergi menjenguk Faruq? Sanggupkah dia berdepan dengan Datin Mahani dan Datuk Kamarul. Datin Mahani amat baik padanya. Masih dirasakan kebaikan hati wanita itu sehingga kini. Memang sudah mereka tidak berhubung tetapi dia masih menyimpan nombor telefon Datin Mahani. Datin Mahani masih tetap menyebut dirinya sebagai ‘mama’. Julia Afiqah tidak tahu apakah dia akan menghubungi wanita itu ataupun tidak. Apakah dia akan mengunjungi Faruq dengan ditemani Emilia? Satu lagi rahsia hidupnya akan jatuh ke pangkuan gadis itu.
Peduli apa dengan segala rahsia itu? Untuk apa dia mempertahankannya? Bukankah tanpa rahsia sesuatu perhubungan akan jadi lebih erat dan bererti.
“Emy… Aku nak ajak kau pergi melawat Faruq.” Kata Julia Afiqah pada suatu petang.
“Melawat Faruq? Kenapa?”
“Dia kemalangan. Aku dengar cerita kakinya dipotong. Kasihan dia. Aku kenal ibubapanya, aku kenal seluruh keluarganya.” Terang Julia Afiqah satu persatu. “Perhubungan aku dengan Faruq memang istimewa…”
“Aku dah agak! Biar aku teka…” Jawab Emilia sambil tersenyum. “Dia pernah jadi kekasih engkau? Perhubungan kalian terputus di tengah jalan?”
“Bukan…” Kata Julia Afiqah sambil menggelengkan kepalanya.
Biji mata Emilia hampir terkeluar apabila Julia Afiqah memberitahu dia pernah menjadi isteri Faruq. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama lapan bulan.
“Sekarang aku tidak ada rahsia lagi yang aku sembunyikan daripada pengetahuan engkau. Kuharap kau tidak akan menceritakan hal ini pada sesiapa, kerana aku anggap kau betul-betul seorang sahabat sejati.”
Emilia menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Percayalah Fiqah. Rahsia engkau tidak akan aku buka pada sesiapa. Kita bukan hanya sahabat tapi kita dah jadi adik beradik.” Kata Emilia sambil memeluk Julia Afiqah. Dia memahami penderitaan Julia Afiqah setelah semua rahsia itu terlerai.
“Okey… Aku temankan kau pergi melawat dia di hospital esok.” Janji Emilia sambil menepuk belakang Julia Afiqah.

KEADAAN di hospital pagi itu agak sibuk. Waktu melawat baru bermula. Ramai orang yang menunggu di hadapan lif untuk naik ke tingkat atas. Emilia dan Julia Afiqah sabar menanti. Sebenarnya hati Julia Afiqah berdebar-debar. Sanggupkah dia berdepan dengan Faruq. Apa yang harus dikatakannya? Tiba-tiba dia jadi ragu-ragu. Perlukah dia melakukan ini semua?
Mereka bergerak masuk apabila lif terbuka luas. Julia Afiqah memegang tangan Emilia, seolah-olah mencari kekuatan. Langkahnya jadi teragak-agak menghala ke bilik di mana Faruq di tempatkan. Faruq di tempatkan di kelas pertama. Memang tempat itu aman dan selesa, tidak terlalu sibuk. Kelihatan Datin Mahani ada di ruang rehat. Apabila melihat Julia Afiqah, wanita itu langsung memanggil.
“Fiqah!”
“Mama!” Julia Afiqah mendekati lantas menghulur tangannya.
Datin Mahani memeluk Julia Afiqah, mencium pipinya kiri dan kanan.
“Lamanya tak jumpa…” Kata Datin Mahani.
“Ya.” Jawab Julia Afiqah, tiba-tiba jadi hilang kata-kata.
“Kau nak melawat Faruq? Dari mana kau tahu dia di sini?”
“Dari kawan Abang Faruq.” Jawab Julia Afiqah.
“Tentu dari Adie…” Balas Datin Mahani sambil menggigit bibir. Tidak lama kemudian dia menyuruh gadis itu masuk menemui Faruq.
“Biar aku masuk sorang.” Pinta Julia Afiqah sambil memandang tepat ke muka Emilia. Emilia mengangguk, mengerti. Dia akan menunggu Julia Afiqah di situ sambil berbual dengan Datin Mahani.
Julia Afiqah masuk perlahan-lahan mendekati katil Faruq. Lelaki itu tidur. Tenang sekali dia tidur. Dadanya berombak perlahan. Wajahnya nampak pucat dan rambutnya tidak terurus. Badannya nampak susuk daripada biasa. Julia Afiqah mendiamkan diri, duduk di kerusi yang ada di sisi katil. Dia tidak mahu mengejutkan Faruq. Dia hanya ingin menyaksikan wajah lelaki itu tanpa diketahuinya.
Kasihan dia… Bisik hati Julia Afiqah apabila terlihat kakinya yang sudah hilang sebelah. Tidak disangka Faruq menjadi seorang yang cacat kini. Itulah ketentuan takdir, bisiknya hatinya lagi. Sejak lahir kaki anugerah Tuhan itu sempurna tanpa kecacatan. Namun disebabkan kelalaian dan kecuaian manusia, anugerah itu hilang.
Tiba-tiba mata Faruq terbuka perlahan-lahan. Dia terkejut melihat wajah Julia Afiqah yang sedang merenungnya dengan airmata berlinangan. Wajah itu terasa begitu dekat dengannya, sehingga ada keinginan untuk menyentuhnya. Dia mengangkat tangan ingin memastikan bahawa dia tidak bermimpi. Namun tangannya tidak kesampaian kerana masih berbalut dan disimen pula.
“Abang Faruq…” Tegur Julia Afiqah.
“Kenapa kau datang?” Tanya Faruq sambil memaling mukanya.
Julia Afiqah terdiam. Airmatanya menitis perlahan menuruni pipi.
“Sekarang kau rasa simpati kan? Lebih baik kau balik aje. Kedatangan kau buat aku mengharap. Mengharap kau akan kembali ke dalam hidup aku. Apalagi sekarang ni aku dah jadi manusia yang cacat…. Pergilah Fiqah. Engkau dah lihat aku, dah tahu aku sedang menerima balasan dari Tuhan. Pergilah dari sini sebelum aku halau engkau…” Kata Faruq dengan kasar.
“Abang Faruq… Jangan cakap macam tu. Saya tetap anggap abang…” Suara Julia Afiqah tersekat.
“Anggap kau sebagai apa Fiqah?”
Julia Afiqah tidak menjawab.
“Kau pun tak tahu nak anggap aku sebagai apa kan? Dahlah… Pergi dari sini. Aku tak perlukan simpati daripada engkau Fiqah. Tiada gunanya kau menunjukkan rasa prihatin. Aku tak perlukan apa-apa daripada engkau lagi.”
“Bertenanglah Abang Faruq. Jangan ikut perasaan…” Pinta Julia Afiqah.
Faruq memejamkan matanya rapat-rapat. Dari matanya yang terpejam mengalir air jernih yang menimpa bantal. Perlahan-lahan Julia Afiqah menyeka airmata itu dengan hujung jarinya.
“Abang Faruq, jangan kata saya tak pernah sayangkan abang. Saya pernah menyayangi abang. Kita juga pernah mencipta kenangan dan kegembiraan bersama. Dengan berpegang pada kenangan lalu itu saya datang hari ni… Datang sebagai sahabat.”
Faruq tidak berkata apa-apa. Dia membiarkan kata-kata Julia Afiqah tidak bersahut. Hatinya terlalu pedih terhiris. Jika boleh dia mahu menghalau Julia Afiqah pergi dari situ. Lama dia mendiamkan dirinya. Namun telinganya mengawasi setiap pergerakan yang dibuat oleh gadis itu. Derap kasut Julia Afiqah mendekati pintu. Gadis itu akan berlalu pergi meninggalkannya sekali lagi.
“Fiqah… Tunggu!”
Julia Afiqah berhenti, berpaling dan mendekati katil Faruq semula. Faruq menghadiahkan secebis senyuman hambar.
“Terima kasih. Terima kasih sebab datang…”
Julia Afiqah menganggukkan kepalanya.
“Fiqah, boleh aku minta sesuatu daripada kau?”
“Apadia bang?” Tanya Julia Afiqah.
“Tulis sesuatu di sini, Fiqah.” Kata Faruq mengharap sambil menghulur tangannya yang berbalut dengan simen. “Aku ingin kau tulis sesuatu yang indah yang lahir dari hatimu. Seperti indahnya nota rahsia kau buat Imran. Biar jadi kenangan paling abadi. Walaupun tidak memiliki kau lagi, tapi aku tetap mahu hidup dengan kenangan lalu. Kau kata kau pernah sayangkan aku.”
Julia Afiqah mengangguk. Diambilnya pen dari dalam beg tangan lantas menulisnya di atas balutan simen yang mendakap erat kulit Faruq.
Abang Faruq,
Tiada memori seindah memori kau dan aku. Tiada rasa sayang setulus sayangku padamu. Dan jika wujud pun rasa benci tapi aku merinduimu. Abang Faruq, itulah kenangan ‘cinta’ kita.
Julia Afiqah
Airmata Faruq menitis membaca nota Julia Afiqah. Gadis itu sudah pergi. Entah mereka akan dipertemukan kembali atau pun tidak. Faruq tidak tahu. Dia hanya berserah kepada takdir.

Bab 44

NAJIHA menunggu Julia Afiqah keluar dari bilik tidurnya. Sejak pulang jam enam petang tadi dia langsung tidak keluar dari bilik. Walaupun hati Najiha bengkak kerana beberapa kali dia mengetuk pintu kamar Julia Afiqah namun tiada sebarang tindakbalas dari gadis itu. Namun dia memaksa dirinya bersabar. Bersabar menghadapi kerenah Julia Afiqah yang dirasakan kian melampau. Dia langsung tidak menghormati Najiha sebagai tuan rumah. Dahlah menumpang tapi menyombong diri… gerutu hati Najiha. Julia Afiqah memandang dia seperti musuh…
Selama Imran balik cuti, Julia Afiqah tidak balik langsung ke rumah itu. Dia sengaja mengelak daripada bertemu dengan Imran. Najiha tahu dan maklum benar! Takut untuk bertemu, takut pada rasa cinta yang masih menggebu di jiwa. Takut kehilangan dan tidak sanggup melihat kemesraan Imran dan anak isterinya.
Julia Afiqah memang tidak mahu bertemu dan bercakap dengan Imran walaupun lelaki itu meminta dia pulang. Dia juga telah menutup handphonenya. Beberapa kali Imran cuba menghantar SMS tetapi satu pun tidak dijawab.
Najiha tidak tahu sampai bila mereka hendak melancarkan perang dingin. Najiha kian rasa tercabar dek sikap Julia Afiqah itu. Saat itu dadanya rasa membuak dengan kemarahan. Ingin rasanya dia memecahkan pintu bilik tidur Julia Afiqah. Tapi Najiha masih terus memujuk hati dengan menyatakan bahawa Julia Afiqah masih belum matang, dia masih bersikap kebudak-budakan sebenarnya.
Tiba-tiba Najiha teringat yang dia mempunyai kunci spare. Dia berlari ke perpustakaan, mencari kunci spare yang tersimpan di dalam laci almari. Najiha naik ke tingkat atas, menuju ke bilik Julia Afiqah lantas menggunakan kunci spare yang ada di tangan. Gadis itu terkejut melihat pintu terbuka dan Najiha berdiri di tengah-tengah pintu. Ketika itu Julia Afiqah sedang sibuk memasukkan bajunya ke dalam beg pakaian.
“Ke mana?” Najiha bertanya tegas.
“Pindah dari sini…” Jawabnya dingin, pantas membuat kerja bagaikan lipas kudus.
“Kenapa nak pindah?” Najiha bertanya lagi. Soalan bodoh pula. Bukankah Najiha juga yang membuat gadis itu menghadapi tekanan lantas tercetusnya sengketa antara mereka.
“Ehhh, buat-buat tanya pula. Kan awak tak suka saya duduk di sini. Dulu awak juga yang ajak! Kenapa awak tak halau saya keluar secara terang terangan.” Jawab Julia Afiqah memulangkan paku buah keras. Sekali lagi Najiha terkejut kerana Julia Afiqah tidak berbahasa ‘Kak Jiha’ lagi sebaliknya dengan kasar menyebut ‘awak’. Kepala Najiha rasa berangin, amarahnya memuncak. Dia menutup pintu dengan kuat sambil berkata keras; “Jangan kurang ajar dengan Kak Jiha, Fiqah!”
Julia Afiqah menatap Najiha dengan pandangan tajam. Amaran Najiha tadi buat dia diam beberapa ketika, tangannya terhenti dari memasukan baju ke dalam beg.
“Kenapa?” Julia Afiqah bertanya semula setelah diam beberapa saat, mencari kekuatan. “Nak mengadu dengan Abang Imran yang saya dah jadi kurang ajar? Awak tu baik sangat ke? Awak tu hari-hari menyakitkan hati saya, tak sedar? Saya tahulah saya menumpang kat sini… Tapi orang yang saya tumpang tu darah daging saya. Pertalian antara kami takkan putus, sampai mati. Awak lupa sesuatu… Abang Imran lebih sayangkan saya daripada awak sendiri. Awak tu yang patut sedar diri! Awak hanya menantu pilihan Mak Lang bukan pilihan Abang Imran. Untuk pengetahuan awak, Abang Imran ada kekasih sebelum dia berkahwin dengan awak. Entah-entah dia masih cintakan kekasihnya tu!”
“Apa kau cakap?” Suara Najiha makin tinggi, dia menjerit dengan kuat.
Wajah Julia Afiqah sedikit pucat, dia sudah terlepas cakap. Rasa gerun juga dia melihat muka Najiha yang berang. Matanya liar seakan ingin menelannya hidup-hidup. Tidak disangkanya Julia Afiqah akan membuka satu rahsia yang dia sendiri tidak tahu.
“Kalau tak percaya tanya Abang Imran. Namanya Irma Zamila.”
Najiha jadi bertambah marah lantas meluru ke arah Julia Afiqah. Mukanya yang comel itu ditenung. Tanpa sedar tangan Najiha pantas melayang ke pipi Julia Afiqah. Dia tidak sempat mengelak. Kepalanya tertunduk dan dia terjatuh terduduk ke lantai. Najiha merenung tangannya sendiri. Tidak sangka pukulannya begitu kuat sehingga menyebabkan Julia Afiqah jatuh terduduk. Julia Afiqah mengangkat muka, berusaha untuk bangun. Mulutnya berdarah.
Airmata gadis itu mengalir lebat menuruni pipi. Dia memandang tajam, seolah-olah ingin melawan tetapi Julia Afiqah hanya membatu diri. Najiha menanti. Gagah dan bersedia untuk melangkah sekiranya dia bertindak melawan. Namun kalau mereka bergelut Najiha yakin, kemenangan berpihak kepadanya. Tubuh Julia Afiqah lebih kecil daripada Najiha. Julia Afiqah kurus dan genit. Malah Najiha rasakan dia sebenarnya seorang yang penakut.
Julia Afiqah bangun dan berdiri menentang Najiha. Pipinya terasa perit. Pantas tangannya menarik tudung yang masih tersalut di kepala Najiha. Direntap kuat dan dilemparnya ke tepi dinding.
“Hipokrit!” Jeritnya dibauri tangisan panjang.
Tiba-tiba tangisan Danial melengking di udara. Anaknya telah terjaga. Najiha berlari keluar. Tiada rasa kesal yang mengisi hati malah sebaliknya dia rasa puas. Dapat dilepaskan rasa amarah dan dendamnya pada Julia Afiqah. Dia yang tidak tahu malu! Ada hati menyimpan rasa cinta pada suaminya.
Setelah Danial dapat ditenangkan, diberi susu dan menukar lampin Najiha segera menghubungi Imran. Niat hatinya untuk memberitahu apa yang terjadi. Tiba-tiba dia jadi takut. Bagaimana jika Julia Afiqah lebih dulu menghubungi Imran lantas mengadu Najiha telah menampar pipinya yang putih dan gebu itu. Bagaimana kalau dia mengadu mengatakan Najiha telah menghalau dia keluar, sedangkan Imran berpesan jangan benarkan Julia Afiqah meninggalkan rumah itu.
Najiha merasa lega kerana talian tidak sibuk dan Imran menyambut panggilannya. Imran baru selesai mandi, katanya sedang menunggu maghrib. Ini bermakna Imran dalam keadaan mood yang baik.
“Bang… Maafkan saya. Sesuatu berlaku pada saya dan Fiqah.”
“Apa yang berlaku?” Tanya Imran dengan cepat.
“Kami bertengkar. Puncanya dia mahu berpindah tapi saya tak benarkan. Dia balik-balik aje terus kemas baju. Saya pujuk dia… tapi dia bertegas dan melawan.” Cerita Najiha dengan penuh hati. Imran diam sahaja, mendengar.
“Katanya dia tak sanggup lagi tinggal di sini. Dia kata saya kongkong hidupnya. Dia mahu bebas. Saya nasihatkan dia tapi dia melenting marah. Dia kata selama ini hidupnya seperti penjara. Sekarang dia sudah rasa nikmatnya kebebasan. Saya rayu dia, saya kata kebebasan tu tak elok, akan melalaikan dan menghanyutkan. Tapi dia tak mahu dengar nasihat. Saya rayu dia lagi, saya kata Abang Imran sayangkan kau… Kenapa kau harus buat begini. Tahu apa jawabnya?”
“Apadia?” Tanya Abang Imran.
“Dia tak perlukan kasih sayang daripada abang. Dia dah jumpa orang lain yang lebih sayangkan dia…”
“Maksudnya dia dah ada kekasih.”
“Saya rasa macam tu lah.” Najiha mengeluh perlahan.
“Dia… dia tampar muka saya…” Kata Najiha perlahan dan teragak-agak.
“Apa?” Imran benar-benar terkejut.
Najiha semacam mendapat keyakinan. Dia pura-pura menangis. Biar dia jadi pentingkan diri sendiri demi kebahagiaan rumahtangganya. Tidak akan apa-apa jika membohongi Imran begitu semata-mata untuk mendapatkan kasih sayang dan simpatinya.
“Saya cuba ambil begnya dan letak semula dalam bilik. Dia mengamuk, dia tampar saya dan tolak saya hingga jatuh. Tudung saya direntap dan dibuang. Dia kata saya hipokrit!”
Imran lebih terperanjat. Dia tidak sangka adiknya yang lemah lembut dan baik itu telah bertindak kasar pada isterinya. Dia hampir-hampir tidak percaya. Takkanlah isterinya yang baik, yang taat pada agama, yang bertudung labuh dan berjubah setiap hari itu sanggup memfitnah. Tak mungkin. Julia Afiqah sudah melampau. Dulu bukankah dia sanggup mematikan panggilan daripada Imran? Dia lupa pada budi Imran. Imran yang belikan handphone itu, manjakan dia dengan pelbagai hadiah dan barangan. Imran amat sayangkan Julia Afiqah.
Kenapa adik? Soal Imran di dalam hatinya. Kenapa adik buat begini? Kenapa tak boleh hormatkan Kak Jiha kamu, adik? Soalan yang bermain di benak Imran tiada jawapannya.
Tangisan Najiha makin galak di hujung talian. Imran bersuara lembut memujuk; “Abang sebenarnya tak sangka adik berubah sampai macam tu sekali…”
“Semuanya kerana pengaruh kawan bang.” Jawab Najiha.
Imran tidak bersuara apa-apa lagi. Dia hampa dan kecewa. Kedua-dua wanita itu tidak boleh menjadi sahabat. Akhirnya dia berpesan supaya Najiha menjaga Danial sebaik mungkin. Dia akan balik tiga bulan lagi. Mungkin balik terus, tidak akan melanjutkan kontrak. Sudah penat berada di negara orang…
Najiha meletakkan gagang. Hatinya senang dia sudah menyelamatkan rumahtangganya daripada diganggu gugat oleh orang lain. Najiha duduk di atas sofa, sambil merebahkan badannya. Matanya terpejam. Senang sekali malam ni… Tiada lagi Julia Afiqah di rumah itu! Bisiknya beberapa kali pada diri sendiri.

EMILIA menyapu ubat di bibir Julia Afiqah yang bengkak. Julia Afiqah mengaduh perlahan, dahinya berkerut. Pipinya nampak merah. Dia turut menyapu ubat supaya pipi gadis itu tidak menjadi bengkak. Esok kalau sudah baik, Julia Afiqah tetap akan pergi kerja.
“Tak sangka, sampai hati perempuan tu tampar engkau. Nampak macam baik sangat. Airmuka bersih… Tudung labuh lagi.” Kata Emilia. “Lebih baik macam aku ni, pakai seksi-seksi pun tak pernah nak lempang orang… Tak pernah sakitkan hati orang.”
“Biarlah dia! Dia ada masalah. Masalah dengan jiwanya sendiri…” Kata Julia Afiqah cuba untuk gelak namun pipinya masih sakit. Dia hanya tersenyum.
“Yalah, sakit jiwa. Moga-moga dia jadi gila…” Emilia mentertawakan Najiha yang naik ‘hantu’ pada malam itu. “Kalau dia jadi gila, masa tu kau rampas balik Abang Imran dari dia!” Kata Emilia meneruskan gelak.
“Hmmm… Tak apalah! Dalam dunia ni bukan dia sorang lelaki kan? Masih ramai lagi kat luar sana.”
Emilia hanya tersenyum, namun dia tahu isi hati Julia Afiqah. Cintanya hanya buat Abang Imrannya seorang. Jangan nak tipulah! Bisik hati Emilia. Nama Abang Imran kau sentiasa meniti di bibir. Hati teringat mulut tersebut. Dah lupa apa ke namanya tu?
“Laparlah…” Kata Julia Afiqah. Dia memang belum makan sejak balik dari kerja tadi. Matanya memandang jam, sudah hampir pukul sepuluh malam.
“Jom lah keluar.” Pelawa Emilia bermurah hati. “Kita pergi makan kat gerai dekat pasar malam tu. Aku belanja.”
“Nak keluar apa. Pipi bengkak macam ni… Malulah!”
“Okeylah. Biar aku pergi bungkus untuk engkau. Kau nak makan apa?” Tanya Emilia sambil mencapai kunci kereta.
“Apa-apalah. Kalau ada nasi lemak sambal sotong okey juga…” Kata Julia Afiqah tiba-tiba teringatkan nasi lemak sambal sotong yang dimasak oleh Kak Sabita. Di Kuala Lumpur ini adalah satu kebiasaan menikmati nasi lemak pada waktu malam bukan hanya waktu pagi.
Emilia baru memiliki kereta. Dia telah mendapat kenaikan gaji baru-baru ini, lantas dia merasakan mampu untuk memiliki kereta sendiri. Melihat kehidupan Emilia yang semakin senang mulai timbul rasa menyesal di hati Julia Afiqah. Jika dia menerima tawaran kerja bersama Emilia dulu, tentu dia juga mendapat peluang kenaikan gaji yang sama. Namun sudah tersurat bukan rezekinya. Dia harus bersyukur dan berpuas hati dengan gajinya sekarang. Walaupun sedikit tetapi dia mampu menanggung diri sendiri, tidak lagi bergantung kepada orang lain. Dia juga bersyukur kerana di saat-saat dia memerlukan tempat tinggal, tiba-tiba kawan sebilik Emilia berpindah keluar. Lega… Dia telah mendapat tempat semula di rumah itu.
Semoga Tuhan tidak menarik kembali nikmat yang diberikan ini… Kata Julia Afiqah sambil memandang Emilia yang bersiap-siap ala kadar, hanya mengenakan t.shirt dan seluar trek.
Tidak lama kemudian Emilia kembali membawa makanan. Mereka makan berdua di ruang dapur. Rakan-rakan serumah yang lain sudah pun tidur kerana jam sudah hampir pukul sebelas malam.
Semasa Julia Afiqah membuka bungkusan nasi lemak itu, dia benar-benar teruja. Sudah lama tidak menikmati nasi lemak. Perutnya memang kelaparan. Dicicipnya sedikit sambal sotong itu, berhati-hati agar tidak terkena luka di bibir. Sambal sotong itu terasa amat sedap sekali.
“Hmmm... Sambal sotong ni sebiji macam rasa sambal sotong Kak Ita!” Kata Julia Afiqah sambil terus rakus menyuap.
“Ya… Memang sama rasanya.” Kata Julia Afiqah lagi sambil memandang tepat ke wajah Emilia. “Kau beli kat gerai yang mana satu?”
“Kat gerai mana tadi pun aku dah lupa. Kan kat situ banyak gerai. Aku masuk ajelah tak tengok pun nombor berapa.”
Julia Afiqah terus makan. Hatinya terus tertanya-tanya. Apakah benar sambal sotong dibuat oleh Kak Ita? Mustahil! Mungkin kebetulan atau aku sebenarnya dah lupa rasa sambal sotong air tangan Kak Ita. Bisik hati Julia Afiqah.
Sudah lama Kak Sabita meninggalkan kampung. Tiada berita yang dikirim kepada Mak Lang dan keluarga. Dia telah hilang begitu saja selama hampir 3 tahun membatukan diri. Apakah Kak Ita ada di KL, berniaga bersama Pak Mail? Mustahil! Bisik hatinya sambil mengeleng-gelengkan kepala.

Bab 45

SEMANGAT Imran bagaikan hilang dan musnah, tika menjenguk ke bilik tidur Julia Afiqah. Dia berdiri lama di muka pintu, memerhati setiap objek kaku yang ada di situ. Katil Julia Afiqah masih dalam keadaan elok, malah selimutnya masih terlipat kemas seperti dia akan pulang. Namun hakikatnya sudah 3 bulan dia tidak tinggal di situ lagi.
Najiha sengaja tidak mengemas bilik itu, membiarkan sahaja ianya seperti malam Julia Afiqah pergi. Dia mahu membuktikan pada Imran bahawa dia tidak pernah menghalau Julia Afiqah. Malah ‘kepulangan’ Julia Afiqah ke rumah itu dialu-alukan pada bila-bila masa. Bilik tidurnya tidak pernah diusik.
Najiha berdiri di belakang Imran, meramas lembut bahu suaminya. Dia cuba menenangkan hatinya sendiri. Sebaik sahaja sampai Imran terus bertanya tentang Julia Afiqah. Dan Najiha menyatakan Julia Afiqah tidak pernah datang ataupun menelefon langsung. Dia sudah melupakan kewujudan mereka.
Takkan semudah itu? Fikir Imran. Takkanlah Julia Afiqah sudah lupa pada ikatan keluarga yang menyatukan mereka. Keluarga Imran adalah keluarganya juga. Masakan dia dengan mudah membuang mereka? Kalaulah Julia Afiqah tidak ingat pada Yahya atau adik beradiknya yang lain tapi sekurang-kurangnya kenanglah budi ibunya. Latipah telah membesarkan dan mendidik Julia Afiqah hingga jadi manusia.
“Sudahlah bang… Hilang rajuk dan marahnya, baliklah dia!”
Imran mengeluh. “Kalau boleh saya nak cari dia…”
Najiha hanya diam menyimpan hati yang semakin bengkak.
Imran menarik daun pintu bilik lantas menutupnya perlahan-lahan. Hatinya terus dibaluti kehairanan. Julia Afiqah tidak pernah menghubunginya. Dia cuba menelefon tetapi nombor telefonnya sudah ditukar pula. Jelas benar Julia Afiqah sudah berpatah arang berkerat rotan dengannya. Sampai hati! Bisik hatinya pedih.
Tidak pernah dia merasa begitu kehilangan seperti dia rasakan kini. Justeru setiap kesempatan jika berjalan-jalan di taman ataupun di pusat beli-belah dia selalu terpandangkan gadis persis Julia Afiqah. Kalau saat itu dia bersendirian, dia akan segera mengejar. Tetapi apabila gadis itu membalikkan badan dan wajahnya nyata dia bukan orang yang dia rindui. Hatinya hampa, marah dan kecewa. Matanya telah banyak kali berbohong.
Pada satu petang ketika sedang berada di Sogo, mencarikan pakaian baru untuk Danial di kedai barangan kanak-kanak dia terpandang seseorang. Gadis itu sedang bergandingan dengan kawannya, berjalan keluar dari kompleks itu lantas menuju ke tepi jalan. Dia tidak jadi hendak membeli baju, pantas berlari keluar dan mengejar kedua-dua gadis itu.
“Afiqah!” Dia meneriak kuat. Tidak peduli pada orang sekeliling. Dia tidak takut malu sekiranya tersalah orang lagi. Kedua-dua gadis itu berpaling ke belakang, mata mereka bertembung. Wajah gadis pucat, dia tidak dapat lari ke mana-mana kerana jarak yang amat dekat antara mereka.
“Abang…”
“Adik! Puas abang cari-cari adik selama ni…” Kata Imran menarik nafas lega. Saat itu perasaannya sukar diterjemah. Yang pasti, wajahnya yang muram bertukar berseri-seri dan senyumnya melebar. Hatinya benar-benar girang dan kepenatannya sepanjang hari bekerja di pejabat terus hilang.
“Ni kawan serumah saya, Emilia.” Kata Julia Afiqah memperkenalkan kawannya.
“Hello.” Tegur Emilia, tersenyum kemudian berbisik ke telinga Julia Afiqah. Wajah Julia Afiqah menjadi merah padam dan belum sempat dia menjawab apa-apa, Emilia meninggalkan dia dan Imran di situ.
“Kawan adik tu nak ke mana?”
“Dia… Errr…” Julia Afiqah hilang kata-kata. Sebenarnya dia geram juga dengan tindakan Emilia yang meninggalkannya. Kononnya sportinglah tu! Nak biarkan dia berdua-duaan dengan Abang Imran saja. Dia tak tahu ke yang Abang Imran tu dah beristeri. Kalau Najiha tahu, pasti perang meletus lagi.
“Jom kita cari tempat duduk, banyak yang ingin abang cakapkan dengan adik…” Ajak Imran sambil berjalan mendahului menghala ke restoran Secret’s Recipe.
Julia Afiqah mengikut sahaja. Mereka sudah lama tidak berjalan bersama, pergi makan dan menonton wayang. Semasa di Kuantan dulu, Imran selalu memanjakannya mengajak dia berjalan dan menonton, tanpa pengetahuan Latipah tentunya! Mereka sepakat menutup rahsia itu rapat-rapat. Kalau Latipah bertanya mereka hanya berkata pergi jalan-jalan dan makan, kemudian ke tepi pantai.
Kini Imran sedang berjalan mendahuluinya, mencari tempat duduk yang selesa.
Sambil menyedut minuman coffee latte, mata Imran memerhati seluruh wajah Julia Afiqah yang dikepung tudung berwarna biru lembut, bercorak abstrak. Blouse putih dan berseluar jean yang dikenakan petang itu memang cocok sekali dengan usianya yang muda remaja. Wajah itu disapu bedak yang begitu sempurna, dengan sedikit blusher dan eye-shadow. Julia Afiqah juga mengenakan lipstik berwarna pink yang dioles tipis. Cantik. Imran kagum sendiri. Begitu jauhnya Julia Afiqah berubah. Corak kehidupan yang dia lalui sekarang memang jauh berbeza dengan yang pernah dilalui di kampung dulu. Imran yakin Julia Afiqah bahagia dengan hidup yang dilaluinya hari ini.
“Pertama sekali abang nak tanya kenapa adik keluar dari rumah abang?”
Julia Afiqah tidak menjawab. Lama dia terdiam kemudian barulah dia bersuara perlahan; “Kalau abang fikir, saya keluar kerana nak mencari kebebasan itu sama sekali tak benar. Saya hanya nak berdirikari, tak bergantung lagi pada sesiapa.”
Imran mengangguk. “Okey. Tapi abang harap kau berikan alamat dan nombor telefon baru, supaya senang abang nak menghubungi.”
“Untuk apa?”
“Untuk apa?” Tanya Imran kembali sambil mencegilkan matanya. “Jangan lupa perhubungan antara kita. Kita masih bersaudara dan abang nak pastikan senang untuk menghubungi sekiranya apa-apa terjadi.”
Julia Afiqah segera kalah pada permintaan Imran. Dia memberikan nombor telefon dan alamat rumahnya. Harus dia mengakui bahawa dia tidak boleh meminggirkan Imran begitu sahaja, hatinya tidak mengizinkan.
“Tapi jangan datang kalau betul-betul tak ada hal penting. Teman serumah semuanya masih bujang… Dan kami tak menerima tetamu lelaki!”
Imran mengangguk. Dia mengerti.
Biarpun niat hatinya mahu mencari Julia Afiqah untuk bertanya tentang persengketaan yang terjadi antara gadis itu dengan isterinya, kini setelah berhadapan segalanya hilang. Hal lain pula yang dia titikberatkan.
“Adik dah banyak berubah…” Tegur Imran, sebagai satu bayangan bahawa Julia Afiqah kian jauh darinya, tidak mungkin dia akan dapat berdekatan lagi dengan gadis itu. Ada jurang yang maha dalam… Ada jarak yang memisahkan, meskipun pertalian antara mereka tidakkan terputus.
Julia Afiqah tidak mengerti perubahan apakah yang dimaksudkan oleh Imran. Kalau dari segi penampilan dia memang sudah berubah, pandai mengenakan solekan. Dia juga tidak lagi berbaju kurung sepanjang masa. Namun dia tetap memilih baju yang berlengan panjang. Dia tetap menjaga auratnya. Dan dia masih tetap memakai skaff walaupun berkali-kali digoda oleh Emilia supaya membuka tudungnya.
“Berubah? Perubahan yang macamana maksud abang?” Tanya Julia Afiqah tidak mengerti.
“Hidup dan diri adik… Amat berbeza dari yang pernah abang lihat dulu semasa di kampung. Adik dah jadi orang lain, yang rasanya abang tak kenal lagi.”
“Begitu ke?” Tanya Julia Afiqah acuh tak acuh. Hatinya tersinggung sedikit. Imran tidak kenal dirinya, tidak dapat meraba perasaannya saat itu. Perasaan seorang perempuan yang mahukan perhatian dan dikasihi oleh kekasihnya. Bukan semata-mata seorang adik.
Julia Afiqah memerhati sekeliling, melihat orang yang kian ramai memasuki kompleks biarpun petang kian larut. Di restoran itu ramai orang yang menikmati makanan dan minuman. Di hadapannya tersaji sepiring kek blueberry yang belum disentuh walaupun sedikit. Tiada selera dia hendak menyentuhnya.
“Apa dah jadi antara adik dengan Kak Jiha?”
Julia Afiqah memandang Imran, memulangkan pertanyaan. “Apa yang Kak Jiha cerita?”
“Adik bergaduh dengan dia. Kenapa adik tampar mukanya?”
Julia Afiqah terkejut mendengar kata-kata Imran. Hatinya meluap-luap dengan kemarahan. Tangannya tergenggam dengan kuat. Tidak disangka Najiha memutarbelitkan cerita. Agh! Perempuan tu memang nak kena!
“Kalau abang lebih percayakan dia, tak ada gunanya saya kata apa-apa lagi…” Kata Julia Afiqah bersedia hendak bangun. Tapi Imran segera menariknya supaya duduk semula.
“Abang tak kata abang percayakan dia seratus peratus… Abang nak dengar dari mulut adik sendiri.”
Julia Afiqah menundukkan mukanya. Apakah dia akan menceritakan apa yang sebenarnya berlaku? Bukankah Imran lebih mempercayai Najiha berbanding dirinya? Nanti dia dituduh menipu pula. Tiada gunanya dia membuka cerita, kepercayaan Imran terhadap dirinya semakin menghilang.
“Kenapa diam?” Tanya Imran.
“Saya bersumpah, saya tak pernah menampar dia! Abang balik tanya dia betul-betul siapa yang tampar siapa. Saya rasa lebih baik kita tak usah cakap pasal tu lagi. Hal tu dah basi bagi saya. Maaf saya terpaksa pergi.” Julia Afiqah terus bangun meninggalkan Imran.
Dia berjalan laju tidak menoleh lagi ke belakang lantas hilang dalam pusuan orang ramai. Imran terpaku, memerhati. Dalam sekelip mata Julia Afiqah hilang dari matanya.
Dia melepaskan keluhan berat.
“Lambat balik bang…” Tegur Najiha semasa dia tiba di rumah maghrib hampir habis. Imran tidak menjawab, dia terus menuju ke bilik air untuk mengangkat wuduk. Segera dia mendirikan salat. Kemudian dia terbaring kelelahan di atas katil, matanya merenung siling. Najiha masuk ke dalam bilik, tersenyum mesra lantas duduk di sampinng suaminya.
“Kata nak beli baju Danial tadi, mana bajunya? Kan esok hari jadi Danial.”
“Dah cari tapi tak ada yang sesuai.” Imran berdalih, matanya masih belum beralih daripada menatap siling.
Najiha merebahkan tubuhnya di sebelah Imran, mengusap dada suaminya perlahan-lahan lantas memberikan kucupan hangat di lehernya.
“Ehhh… Saya ada air sembahyanglah! Saya nak salat Isyak ni!” Kata Imran bangkit seolah-olah marah. Dia terus berjalan laju ke bilik air. Najiha terpinga-pinga tidak sangka Imran tiba-tiba naik angin.

HARI INI hari lahir Danial yang pertama. Aku mengadakan majlis kecil di rumah. Kawan-kawan sekuliah kujemput untuk meraikan majlis tersebut. Mereka datang membawa keluarga dan anak-anak. Meriah sedikit bila ramai budak-budak. Anak-anak jiran juga kujemput. Rumah riuh dengan suara kanak-kanak. Orang dewasa hanya lebih kurang sepuluh orang sahaja.
Abang Imran tidak langsung menjemput kawan-kawan pejabatnya. Aku tidak tahu mengapa, sejak semalam dia banyak bermenung. Dia tidak begitu bersemangat melayan kawan-kawanku. Dia turun sekejap semasa ingin memotong kek harijadi, kemudian kembali naik ke bilik. Entah apa yang dibuatnya di atas. Hatiku sedikit geram, kerana dia enggan melayan kawan-kawanku yang membawa suami masing-masing.
Pasti suami kawan-kawanku menganggap suamiku sombong. Tapi aku tetap memaniskan muka dengan kawan-kawan dan berbuat seolah-olah tiada apa-apa yang kurang. Malah anak-anak begitu gembira berebut gula-gula di dalam balang sehingga ianya habis licin. Poket seluar masing-masing kelihatan buncit. Kanak-kanak memang tidak boleh dipisahkan dengan gula-gula. Biarpun sudah diingatkan akan keburukan gula-gula tetapi ianya masih tetap jadi kesukaan kanak-kanak.
Danial keletihan setelah semua tetamu pulang. Aku biarkan dapur dan ruang tamu yang berselerak dikemas oleh Kak Linda. Hari itu walaupun hari minggu, aku tetap memanggil Kak Linda membantu dengan bayaran gaji tambahan. Begitulah… Di kota ini tiada sesiapa pun yang ingin membantu tanpa sebarang imbalan. Kalau di kampung segalanya dilakukan dengan keikhlasan.
Danial kuberi susu lantas aku tidurkan. Akibat keletihan dia dengan cepat tidur nyenyak. Aku biarkan dia di atas katilnya sendiri. Tadi kusangka Abang Imran berada di kamar tidur kami, tetapi dia tiada di situ. Barangkali dia berada di bilik salat, tetapi ternyata bilik itu kosong. Aku memandang ke kamar Julia Afiqah. Hatiku berdetak hebat. Kutolak daun pintu. Dahiku berkerut. Kulihat dia tertidur di atas katil Julia Afiqah sambil memeluk bantal panjang. Nyenyak sekali dia tidur sehingga aku tidak sampai hati hendak mengganggunya.
Terasa dadaku sedikit sebak. Imran tidak dapat melupakan Julia Afiqah begitu saja. Dalam apa keadaan sekalipun dia tetap teringatkan perempuan itu. Aku memang tiada kuasa untuk memisahkan mereka. Tiada langsung. Aku sebenarnya kalah sebelum berjuang. Aku belum betul-betul berjuang untuk mendapatkan hak dan kasih sayang Imran. Kurasakan kini aku tak ubah seperti melukut di tepi gantang.
Demikian lama kunantikan ungkapan cinta dan kasih sayang Imran terhadapku. Namun tiada. Bicaranya memang begitu sejak dulu… sentiasa ‘berawak’ dan ‘bersaya’. Puluhan kali malah ratusan kali aku memanggilnya ‘abang’ namun tidak pernah dia membahasakan diri ‘abang’ bila bercakap denganku. Mengapa hal sekecil itu pun kini aku rasakan demikian besarnya, dan begitu mencucuk hati kecilku. Tajam dan pedihnya terasa lebih dalam daripada tusukan pedang. Hati ini jadi parah dan luka apabila mengenang dan mengharapkan sesuatu yang tidak kunjung tiba.
Aku turun ke dapur, tidak ingin melayan hati yang gundah gulana. Kak Linda sudah selesai mengemas. Dia meminta diri untuk pulang. Aku membekalkan dia sedikit nasi beriani dan lauk ayam yang kusediakan untuk tetamu. Dia amat gembira dan berterima kasih. Aku termenung memerhati sekeliling ruang dapur. Hanya tinggal sedikit nasi dan lauk, cukuplah untuk makan malam nanti. Lagipun masih ada kek dan puding jagung yang tidak berjaya dihabiskan tetamu-tetamuku tadi.
“Dah balik semua orang?” Tanya Abang Imran dari belakangku. Dia sedang menggesek-gesek matanya.
Aku mengangguk.
“Mengapa abang mengurung diri, tak mahu melayani tetamu saya?” Tanyaku sedikit tersinggung.
“Marah ke? Saya mengantuk dan tak ada mood.”
“Budak-budak bising kat bawah, abang boleh tidur nyenyak.”
“Semalam saya tak boleh tidur.” Kata Abang Imran sambil bergerak ke sinki, membasuh mukanya. “Ada makanan lagi? Saya lapar ni…”
“Ada.” Kataku sepatah lantas menyajikan makanan untuknya.
“Saya minta maaf. Betul-betul saya letih dan tak ada mood.”
Aku ingin bertanya apakah yang mengganggu fikirannya sehingga dia benar-benar hilang semangat untuk meraikan ulangtahun pertama kelahiran anak kami. Tetapi apabila melihat wajahnya yang serius itu aku membatalkan niatku. Mungkin dia ada banyak masalah di pejabat. Aku tidak harus membuat dia rasa bertambah tegang lantas mencetuskan pertengkaran. Hatinya harus aku jaga sebaik-baiknya tetapi bagaimana dengan hatiku?
“Banyak masalah di pejabat?”
“Ya.” Jawabnya sepatah, cuba untuk memamah makanan tetapi nampaknya dia juga tidak berselera. Dia mencapai gelas lantas meneguknya perlahan-lahan. Pinggan yang masih penuh ditolaknya ke tepi.
“Ada sesuatu yang mengganggu fikiran abang? Abang asyik termenung saja sejak semalam? Apa sebenarnya yang berlaku?”
“Boleh tak kalau awak tak banyak bertanya? Kepala saya jadi tambah pening…”
Aku terkejut mendengar kata-katanya. Pertama kali dia bercakap dengan nada kasar begitu. Mataku memandang tepat ke wajahnya. Dia pun seakan tersentak. Mata kami bertatapan. Mataku terasa berpasir, air jernih menitis perlahan.
Dia segera bangun lantas memeluk bahuku.
“Saya minta maaf. Saya tak maksudkannya. Bukan niat saya nak tengking awak. Tapi… Tapi boleh tak buat beberapa ketika awak jangan bertanya, biarkan saya bersendirian.”
Aku diam. Dia tidak menunggu aku memberikan jawapan. Dia terus berlalu meninggalkanku, lantas berjalan masuk menuju ke perpustakaan. Dia duduk di sana sehingga masuk waktu maghrib.
Aku sedar beberapa minggu kebelakangan ini, kurasakan satu perubahan pada diriku. Aku yakin aku sedang hamil. Lantas aku membeli sendiri urin test di farmasi. Subuh itu aku mendapati memang aku benar-benar hamil. Berita itu segera aku sampaikan pada Abang Imran sebaik sahaja kami selesai salat berjemaah bersama. Kulihat ada senyum di wajahnya. Selama beberapa hari ini dia muram sahaja. Kuharap berita itu akan membunuh semua kemurungan dan kesedihan yang tidak kutahu puncanya itu.
“Semoga kali ini anak perempuan.” Katanya sambil mengusap perutku yang masih kempis perlahan-lahan.
Aku mengangguk. “Saya juga berharap begitu. Dapat sepasang cukuplah…”
Abang Imran tidak berkata apa-apa lagi. Dia terus bersiap-siap untuk ke pejabat. Dan aku menanti dia memberikan kucupan tahniah di dahi semasa menghantar di pintu depan, tetapi dia hanya memberikan ciuman buat Danial.
Sedihnya…bisik hatiku menelan rasa pilu.


Bab 46

WALAU PEDIH, walau sesedih manapun, aku tetapkan teruskan jua perjalanan hidupku. Hari-hari membawa kandungan yang kian lama kian membesar di dalam rahim, aku semakin lelah. Dan akhirnya aku mengambil keputusan untuk bercuti panjang sehingga waktu bersalin.
Dua bulan lagi Danial akan mendapat adik. Semasa aku membuat ujian ultrasound tempohari doktor mengata anak yang kukandung ini perempuan. Lantas aku mulai membuat persiapan membeli barang-barang untuk bayi perempuanku yang bakal lahir. Kebanyakannya berwarna merah jambu, kuadukkan juga dengan warna putih.
Abang Imran tidak seghairah waktu kami menerima kehadiran Danial dulu. Dia biasa-biasa saja. Tidak pernah menemani aku ke kedai barangan bayi dengan alasan sibuk. Semasa masih larat aku pergi sendirian ataupun ditemani rakan sekuliah. Kini aku mengambil keputusan berehat di rumah saja. Aku punya banyak waktu membaca di rumah tanpa gangguan Danial. Kak Linda dapat mengawal Danial dengan baik. Kini dia sudah pandai berjalan jatuh.
Aku selalu membaca di kamar tidur sambil berbaring. Masalahnya aku akan kerap tertidur. Tidur yang banyak, tanpa senaman dan pergerakan tidak elok untuk kandunganku. Lantas hari itu aku masuk ke perpustakaan mini Abang Imran. Sudah lama tidak menjengah ke sana. Ada beberapa buah buku baru yang dibelinya minggu lepas, tersusun kemas. Aku yakin dia belum membacanya.
Masuk ke situ, buat ingatanku melayang pada peristiwa lama. Aku teringat aku menemui nota-nota rahsia tulisan Julia Afiqah. Sudah lama nama itu tidak terlintas di ingatan. Abang Imran pun tidak pernah menyebut namanya lagi seolah-olah dia sudah lupa sama sekali. Aku terpanggil untuk menyentuh ensiklopedia Abang Imran. Masih adakah nota yang tidak kutemui terselah dicelah-celah bukunya? Atau memang semuanya sudah kubaca dan kukoyakkan?
Rasa ingin tahu membuat aku mencari-cari buku yang mungkin berisi nota rahsia itu. Manalah tahu sekiranya masih ada di mana-mana, dicelah buku yang lain. Aku tahu semua buku-buku yang dibawa dari kampung terkumpul di dalam sebuah almari yang lain sementara sebuah almari buku tersimpan buku-buku yang baru dibeli.
Secara rambang aku mengambil sebuah buku. Kuselak-selak dengan cepat, jelas tiada apa-apa di dalamnya. Kucuba beberapa buah buku lain. Sia-sia. Lelah. Kurasakan kebodohan diri. Mengapa begitu cemburu? Mengapa tidak puas hati dengan apa yang sudah kumiliki? Dan mengapa hati masih menyimpan rasa benci terhadap dia…
Sebaik sahaja menyimpan rasa benci ini, hati memang tidak pernah tenteram. Terkadang timbul rasa ingin mencari Julia Afiqah, memohon maaf. Kurasakan betapa tidak wajarnya tindakanku yang dulu. Memang keterlaluan. Tetapi semua itu sudah pun berlaku. Aku dikuasai nafsu dan syaitan. Dan kesalku datang tindih menindih.
Sebenarnya dia seorang baik, penurut dan tidak banyak kerenah. Tetapi kesabaran itu ada jua batasannya. Aku sedar, aku telah memberikan tekanan demi tekanan yang menyebabkan dia melawan. Aku juga tertekan! Jangan salahkan Kak Jiha sepenuhnya Fiqah!
Aku merasa ada rasa sakit tiba-tiba menyengat di pinggang. Kubawa tubuh duduk di sofa. Sejak beberapa hari lalu kurasakan rasa sakit ini semakin kerap. Esok aku akan pergi menemui doktor. Kalau Abang Imran tidak sibuk aku akan mengajaknya. Jika tidak aku terpaksa pergi bersendirian.
Doktor menyakinkanku tiada yang perlu aku risaukan. Kandunganku normal. Pulang dari pemeriksaan, aku berniat hendak berjalan-jalan sejenak tetapi kemudian membatalkan niat. Aku tidak mahu memenatkan badanku sendiri. Dahlah kandungan kian memberat, masih ada hati hendak berjalan-jalan!
Alangkah bosannya… keluhku tiba-tiba sebaik sampai di rumah. Suasana rumah kelam kabut, Kak Linda membiarkan Danial bermain sendiri. Mainannya ada di merata-rata tempat. Kepalaku jadi pening melihat itu semua. Kak Linda pula sibuk memasak makan tengahari. Aku merebahkan tubuh perlahan-lahan di sofa. Saat itu Danial datang kepadaku minta dilayani. Aku yang keletihan memarahinya pula….
“Astaghafirullah! Kenapa garang sangat dengan anak ni?” Tanya Abang Imran, dia baru muncul dari ambang pintu. Aku tidak dengar bunyi keretanya masuk ke ruang porch. Rupanya dia meninggalkan kereta di luar pagar.
“Kenapa tiba-tiba balik?” Aku bertanya.
“Saya tertinggal laptop, sebab tu balik. Ada presentation saya dalam laptop tu.” Katanya sambil berlari masuk ke perpustakaan. Dia sempat memujuk dan mencium Danial sebelum berlalu pergi. Namun dia tidak memerhati dan bertanya keadaan isterinya yang lelah. Malah dia tidak mahu pun melepaskan sebuah ciuman.
Mengapa sejak akhir-akhir ini aku selalu terasa hati dengan setiap tindak tanduk Abang Imran. Tidakkah abang tahu, Jiha perlukan perhatian dan belaian yang lebih dari abang di saat-saat seperti ini. Tapi justeru mengapa kurasakan kau semakin berubah. Abang Imran tidak peduli padaku lagi. Kami jarang berbual. Dia selalu membiarkan aku berehat dan tidur sendiri di tingkat atas. Kadang-kadang dia tertidur di sofa ruang tamu dengan televisyen yang masih terpasang. Aku kecewa. Sesekali berharap dia memujiku tetapi apa yang menariknya pada seorang perempuan yang sedang hamil dengan perut yang jauh ke depan. Lantas aku rasa seperti ingin menangis lagi. Aku rasa seperti ingin menjerit bagi melepaskan tekanan di dalam batinku.
Kali ini aku kalah kepada siapa? Pada anakku sendiri? Suamiku lebih sayangkan Danial….
Dulu aku rasa amat cemburu pada Julia Afiqah. Kini aku terpaksa menelan kenyataan bahawa kasih sayang suamiku terpaksa kukongsi dengan begitu ramai manusia yang disekelilingnya. Dan aku gagal untuk memiliki kasih sayang itu secara total.
Titis airmata mulai bertakung lantas jatuh menuruni pipi. Aku berdiri di tepi tingkap melihat keretanya meluncur pergi dengan laju. Benar-benar dia sibuk dengan kerja atau sengaja pura-pura sibuk? Memang aku tidak tahu apa yang dia lakukan di luar rumah. Jangan-jangan dia keluar bertemu dengan Julia Afiqah. Siapa tahu mereka masih berhubungan tanpa pengetahuan aku.
Apakah ini balasan dosa-dosaku kerana pernah ‘memfitnah’ Julia Afiqah sehingga dia keluar dari rumah? Aku kini merasa semakin jauh daripada kasih sayang suamiku.
Fikiranku semakin kusut dan aku tidak dapat tidur dengan tenang. Pelbagai perkara yang mengganggu menyebabkan aku terjaga setelah tidur dalam tempoh yang singkat. Tengkukku rasa amat sakit. Tapi aku cuba juga untuk bangun. Pangkal ari-ari rasa tidak selesa, seperti rasa ingin membuang air kecil. Memang itu biasa bagi perempuan hamil… Kerap kali ingin ke tandas, terutama kalau kepala bayi sudah berada di bawah.
Kugagahi berjalan menghala ke bilik air. Tapi kepalaku seakan hendak pitam. Dunia kurasakan berputar ligat. Aduh… Keluhku sendiri sambil cuba untuk meneruskan langkah masuk ke bilik air. Namun semasa memijak lantai bilik air, aku hilang pertimbangan. Tidak sempat berpegang ke mana-mana, tubuhku terjerembab. Aku terjerit kuat, sebelum pandanganku jadi hitam.

“PUAN! Puan!!!” Suara Kak Linda cemas sekali, sambil menepuk pipi Najiha beberapa kali. Najiha cuba membuka kelopak matanya yang berat. Tubuhnya terasa amat lemah dan sakit. Bahagian belakangnya terasa dingin dan basah. Dia berusaha untuk bangun tetapi tidak berdaya.
Dia meraba-raba perutnya yang terasa amat sakit. Dia turut merasa vaginanya basah. Ada darah yang terpercik dari celah-celah paha. Oh! Tuhan… Apa dah jadi? Apakah anaknya selamat? Najiha menjerit-jerit meminta Kak Linda menghubungi Imran bersama sisa-sisa tenaga yang ada. Kemudian dia jatuh pengsan semula apabila semakin banyak darahnya yang tertumpah membanjiri lantai bilik air.
Imran pulang serta merta. Kak Linda diminta menghubungi ambulans. Imran terus ke hospital sementara Kak Linda menjaga Danial di rumah. Najiha segera mendapat rawatan doktor dan dimasukkan ke unit ICU. Doktor sedang berusaha untuk menyelamatkan bayi mereka. Semoga kedua-dua selamatnya. Memang Najiha sudah hampir bersalin, tinggal 2 minggu sahaja lagi tarikh jangkaan yang diberikan oleh doktor.
“Dia terlalu lemah… Kekurangan banyak darah.” Terang doktor perlahan tetapi jelas. Imran segera menawarkan darahnya.
“Okey, you ikut jururawat untuk tentukan group darah you dulu, lepas tu baru boleh tahu samada darah you sesuai atau pun tidak.”
Imran menarik nafas perlahan-lahan. Semoga ada keajaiban berlaku. Besar harapannya agar kumpulan darah mereka sama. Imran sendiri tidak pernah membuat ujian blood grouping. Jadi dia memang tidak tahu kumpulan darahnya. Namun dia tahu orang yang mempunyai kumpulan darah O boleh menderma darahnya kepada sesiapa sahaja sebab sel darah memerahnya tidak mengandungi samada faktor A atau B.
Hasil pemeriksaan mendapati darah Imran termasuk dalam darah kumpulan AB. Darah kumpulan AB hanya boleh menderma darah kepada penerima darah AB sahaja sedangkan Najiha termasuk dalam kumpulan darah O. Penderma darah O harus dicari bagi menyelamatkan nyawa Najiha dan bayi Imran.
Buntu fikiran Imran apabila diberitahu doktor tabung darah di hospital tidak mencukupi. Takkan nak tunggu penderma. Aduh! Penderma darah O harus dicari segera tetapi siapa? Siapa yang sanggup? Aduh… Kepalanya jadi pening!
“Kita tak punya banyak masa. Selewat-lewatnya awal pagi esok dia harus dibedah.”
Imran menelefon kakak sulung Najiha, tetapi panggilannya tidak berjawab. Mereka tiada di rumah. Dia turut menelefon ke kampung. Ibubapa mertuanya memberitahu Kakak sulung Najiha pergi bercuti bersama keluarganya ke luar negara. Dia tidak tahu siapa yang harus dihubungi lagi. Najiha hanya mempunyai dua adik beradik sahaja.
Imran pulang sebentar untuk membersihkan diri. Tadi dia masuk sekejap ke wad ICU, Najiha sedang berehat. Walaupun dia dalam keadaan sedar, tetapi dia terlalu lemah. Senyumannya penuh paksaan. Mukanya pucat. Imran menggenggam tangannya, tidak sampai hati untuk mengucapkan kekesalannya. Dia hilang kata-kata bila melihat betapa lemahnya tubuh Najiha saat itu. Najiha cuba berkata sesuatu, tetapi dia menahannya. Namun Najiha tetap jua mahu berkata;
“Cari… Fiqah.” Kata Najiha.
Imran tidak menjawab. Kepalanya tertunduk. Kenapa Najiha meminta dia mencari Julia Afiqah. Hairan… Mata Najiha sedang menatapnya penuh mengharap.
“Kenapa?” Tanya Imran perlahan.
“Saya nak jumpa dia…” Kata Najiha dengan suara yang tersangkut-sangkut. “Nak sangat jumpa dia…”
Imran terus menundukkan kepalanya. Pertanyaan demi pertanyaan mulai mengisi kepalanya. Kenapa Najiha beria-ria sangat inginkan pertemuan? Permintaan itu terdengar penting sekali.
“Bertenanglah. Usah fikirkan pasal adik. Rehat dan fikirkan kesihatan awak dulu Jiha. Awak perlu rehat …”
“Tak boleh bang…” Bantah Najiha sambil tangannya lemah cuba berpaut pada lengan Imran. “Tolonglah faham. Saya mesti jumpa dia sekarang…”
“Pergilah cari ya bang…” Pinta Najiha bersungguh-sungguh. “Kalau boleh malam ni juga. Saya rasa saya macam tak larat sangat, macam dah tak sempat lagi untuk jumpa dan minta maaf dengan dia…”
Minta maaf? Dada Imran tersentap. Dia tidak mengerti. Ada satu rahsia antara mereka yang aku tak tahu? Bisik hati Imran bertalu-talu.
Imran keluar dari bilik ICU lantas terus menghubungi Julia Afiqah.
“Adik! Abang nak jumpa adik.” Kata Imran perlahan.
Julia Afiqah tidak menjawab. Dia menunggu Imran melanjutkan kata.
“Sebenarnya ini bukan permintaan abang. Kak Jiha yang nak jumpa dengan adik.”
“Kenapa?” Barulah dia bertanya. Hatinya sungguh berat untuk berjumpa lagi dengan Najiha.
“Sekarang ni Kak Jiha berada di ICU. Dia tengah sarat mengandung, petang tadi terjatuh dalam bilik air. Sekarang ni tengah menunggu masa untuk dibedah. Tapi menghadapi masalah darah pula…” Julia Afiqah terkejut mendengar suara Imran yang begitu sedih dan tertekan. Dia tidak pernah mendengar suara Imran begitu payah untuk meluncur keluar mulut.
Julia Afiqah terkejut apabila memberitahu dia berada di hadapan rumah gadis itu. Buru-buru Julia Afiqah keluar untuk menemui Imran. Mereka bertemu di hadapan pagar sahaja. Julia Afiqah masih berada di bahagian dalam sementara Imran berada di luar. Dia bagaikan hendak mengingatkan diri sendiri bahawa sudah terbina benteng kukuh antara mereka. Tidak bisa diruntuhkan.
Wajah Imran jelas muram dan sugul. Sekali pandang sudah dapat diteka kesedihan yang bermukim di wajah dan di hati abang sepupunya itu.
Julia Afiqah terdiam lama setelah mengetahui segala yang menimpa Najiha. Imran jadi gelisah melihat kebisuannya itu. Entah apa yang bersarang dalam kepala Julia Afiqah saat itu. Terlalu ingin dia tahu. Apa yang dirasakan, Julia Afiqah terlalu berat hati untuk bertemu dengan Najiha.
Julia Afiqah menggeleng. “Maaf, saya tak mahu jumpa dia… Kirim salam saja. Apa yang berlaku antara kami, sudah saya lupakan. Sudah saya maafkan.”
Imran semakin tidak mengerti. Julia Afiqah terus bergerak masuk ke dalam, membiarkan Imran berdiri di tepi pagar yang sudah berkunci dari dalam. Imran masih memerhati dari jauh. Julia Afiqah masuk ke dalam rumah lantas menutup pintu rapat serapatnya.

Bab 47

BAHAGIAN V
TIADA RAHSIA… SELAMANYA MENJADI RAHSIA

JANGANLAH berdendam! Bisik hatiku pada diri sendiri. Dendam itu hanya akan menggelapkan cermin hati. Biarlah dia berlaku kejam dan menyakiti hatimu tetapi jangan engkau membalasnya. Kalau kau balas, tiada bezalah kau dengan dia! Kata orang, teruslah berbuat baik kepada orang yang menyakiti hatimu, hanya itu saja caranya untuk membuat dia berubah dan menyesal. Mengapa aku harus bersikap keras hati? Orang yang keras hati jauh dari rahmat dan hidayah Allah. Mereka yang menyayangi hambaNya akan dikasihi Allah pula.
Pagi itu kuatur juga langkah ke hospital. Aku perlu menemui Kak Jiha. Apa juga yang ingin dikatakannya, akan aku terima dengan hati terbuka. Biar pun harus melukai hatiku sendiri. Hatiku pun sudah lali, berkali-kali dilukai dan disakiti. Akhirnya aku sudah tidak kisah lagi pada setiap kesakitan itu.
Aku terus bertanya pada petugas hospital di mana Kak Jiha ditempatkan. Namun tidak sempat aku mendapatkan jawapan, kulihat Mak Lang bersama ibubapa Kak Jiha berjalan keluar dari satu lorong. Di belakang mereka terlihat juga Abang Imran dan Danial. Segera kuamati setiap wajah mereka. Semua wajah itu dibayangi kesedihan. Aku terus berjalan menghala ke arah Mak Lang. Dia terkejut melihatku.
“Fiqah!”
Abang Imran juga terkejut. Dia memandang padaku. Kulihat matanya merah. Mata Mak Lang juga merah seperti baru lepas menangis. Apa yang berlaku? Mengapa semua orang sedih? Tanyaku di dalam hati. Bibirku gagal membentuk kata-kata. Terasa dingin dan menggeletar pula kedua-dua bibirku untuk bertanya.
Tiada sesiapa pun yang mahu bersuara. Mak Lang memelukku sambil membisikkan ke telingaku yang Kak Jiha sudah tiada pada awal subuh tadi. Dia tidak sempat memasuki bilik pembedahan. Dia dijangka akan dibedah pada jam lapan pagi. Walaupun bekalan darah sudah diterima tetapi dia tidak sempat dibedah. Itulah yang lebih menyedihkan bila bayi Abang Imran juga tidak dapat diselamatkan.
“Tuhan lebih sayangkan dia.” Kata Mak Lang bersama linangan airmata.
Tanpa sedar airmataku mengalir. Mengapa ini yang terjadi? Mengapa aku keras hati tidak mahu mengikut Abang Imran pada malam semalam? Menurut Mak Lang, Abang Imran sentiasa berada di sisinya hingga ke saat akhir.
Berhari-hari aku memikirkan hal itu. Surat terakhir daripada Kak Jiha ada di tanganku. Belum jua kubuka biarpun sudah tiga hari berlalu. Mengapa aku tidak punya kekuatan untuk membuka dan membaca isi kandungannya? Mengapa? Menurut Abang Imran, Kak Jiha menulis surat itu lewat tengah malam sebelum pemergiannya menghadapi seruan Ilahi. Tetapi Abang Imran tidak tahu apakah isi kandungannya. Kak Jiha menyimpan rahsia itu sekemas mungkin. Abang Imran juga menjaga amanah itu dengan sebaik mungkin, tidak membuka surat Kak Jiha yang ditujukan kepada aku seorang.
“Tak nak buka surat tu?” Tanya Emilia apabila dilihatnya aku merenung surat itu sejak tadi.
“Kau bukalah!” kataku sambil menghulur surat itu ke arahnya.
“Tak mahulah. Surat tu ditujukan pada kau. Lebih baik kau sendiri yang buka. Biar aku turun dulu, supaya kau boleh baca dengan aman, okey?”
Emilia keluar dari bilik lantas menutup pintu di belakangnya rapat-rapat. Kukumpul sisa-sisa kekuatan sebelum mengoyakkan hujung sampul surat terakhir daripada Kak Jiha.
Fiqah,
Pernah kau dengar orang berkata cinta itu menjadikan kita manusia yang tidak rasional. Kita jadi tamak, kejam dan pentingkan diri sendiri. Barangkali itulah yang terjadi pada Kak Jiha. Kak Jiha jadi tamakkan cinta Abang Imran, ingin memilikinya seorang diri, enggan berkongsi dengan sesiapa!
Cinta itu telah membenihkan cemburu yang bukan kepalang dahsyatnya. Bukan niat di hati hendak melukai hatimu dik. Tidak sekali. Namun kini Kak Jiha sedar, diri ini sudah tiba ke penghujung masa. Justeru itu tiada apa yang Kak Jiha inginkan daripada hidup ini lagi selain doa dari orang-orang yang menyayangiku.
Dan tiada titipan apa-apa untuk Fiqah yang dapat Kak Jiha beri, hanya setitis harapan agar diri ini kau maafkan. Setiap patah kata yang pernah dilontarkan yang menghiris hati dan perasaanmu Kak Jiha pohon dengan seribu kemaafan. Sepanjang malam ini Kak Jiha tunggu kedatanganmu, tetapi kau tak muncul.
Pun Abang Imran ada menyatakan yang kau sudah memaafkan, apa jua yang berlaku antara kita sudah kau lupakan. Terima kasih dik. Sekarang Kak Jiha boleh pergi dengan tenang. Cuma harapan Kak Jiha, semoga hatimu dan Abang Imran boleh bersatu… Niat Kak Jiha mahu bertemu pada malam ini adalah untuk menceritakan rahsia yang kau simpan sekian lama dan Kak Jiha sendiri ingin menyerahkan dirimu pada Abang Imran…
Semoga kau bahagia adikku.
Kak Jiha.
Aku tidak percaya apa yang tertulis di atas kertas itu. Bagaikan mimpi aku merasakan segalanya tidak mungkin berlaku. Untuk apa menyatukan hati yang tidak pernah bertemu? Kami tak mungkin bersama biarpun Kak Jiha sudah tiada. Cinta dan kasih sayang Abang Imran hanya untuk Najiha dan tidak pernah ada untukku. Segalanya jelas terbukti di hadapan mataku.
Abang Imran yang tidak pernah kulihat menitiskan airmata, menangis pada hari Kak Jiha kembali kepada Tuhan. Semangatnya hilang selama beberapa minggu gagal menjalankan tugasnya dengan baik. Akhirnya kudengar Mak Lang berkata; Abang Imran mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
Gila!
“Berhenti kerja? Habis Abang Imran nak buat apa?”
“Katanya nak balik kampung. Tinggal dengan Mak Lang. Mak Lang pun suka sebab kebun kelapa tak ada orang uruskan. Kalau dia ada, boleh dia uruskan. Dia juga boleh buka syarikat sendiri di Kuantan. Itulah rancangannya…” Kata Mak Lang semasa aku menghubunginya suatu pagi.
Hatiku jadi hampa bila mengenangkan Abang Imran tiada lagi di Kuala Lumpur. Rumahnya sudah disewakan kepada orang lain. Dia telah membawa semua barang-barangnya pulang ke kampung. Aku tahu, Mak Lang gembira dengan keputusan Abang Imran. Apakah aku juga akan menuruti langkah Abang Imran, pulang ke kampung? Kota ini pun tidak menjanjikan apa-apa.
Namun hatiku menghalang. Untuk apa balik ke kampung? Apakah kau masih mengintip peluang untuk bersama dengan dia? Tidak! Jadilah perempuan yang bermaruah Julia Afiqah! Bukannya seorang perempuan murahan yang memburu cinta daripada lelaki. Biarkan cinta itu datang sendiri… Bukan perlu kau buru dan kau kejar! Amat sukar untuk kuakui, betapa sepinya hidup tanpa cinta.
Kini setelah setahun berlalu, hatiku masih belum memiliki kekuatan untuk membuka satu rahsia. Semuanya masih tetap tersimpan dengan kukuh. Pada awal Februari itu Mak Lang menelefon memberitahu tentang majlis sambutan harijadi Danial. Sudah dua tahun usia anak Abang Imran.
“Sebenarnya nak buat doa selamat dan majlis tahlil sekali, memperingati pemergian Kak Jiha kamu. Dah setahun pun… Baru kali ini Imran bercadang untuk buat majlis. Kat rumah ni pun dah lama tak ada apa-apa majlis.” Kata Mak Lang. “Kau balik ya? Ajaklah kawan-kawan serumah kau nanti, terutamanya Emilia tu!” Mak Lang sudah tahu bahawa Emilia adalah kawan baikku satu-satunya, tempat aku meluahkan segala duka dan kesedihanku.
“Baiklah Mak Lang. Sabtu ni saya balik…” Janjiku.
Sabtu itu aku dan Emilia berangkat pulang ke kampung. Rakan-rakan serumah yang lain tidak turut serta. Mereka punya rancangan tersendiri.
“Seronoknya suasana di sini…” Kata Emilia sebaik sahaja turun dari kereta. Dia memandang sekeliling dengan hati kagum. Aku sendiri pun turut merasa kagum. Sejak Abang Imran pulang, rumah Mak Lang sudah kembali berseri seperti suatu masa dulu. Jelas dia rajin menjaga kawasan sekeliling rumah. Halaman bersih, indah dan berseri-seri dengan bunga-bunga yang berjaga rapi. Pokok buah-buahan sedang lebat berbuah. Aku jadi rindu pada waktu lalu, yang sudah sekian lama aku tinggalkan.
Abang Imran tiada di rumah semasa kami sampai lebih kurang pukul empat petang. Kata Mak Lang dia ke minimarket. Majlis tahlil akan dibuat pada sebelah pagi kemudian diikuti dengan jamuan makan tengahari. Ayam, ikan dan sayur-sayuran akan dibeli pada awal pagi esok. Jiran-jiran terdekat akan dipanggil membuat kerja gotong royong memasak pada sebelah pagi.
Abang Imran pergi membeli barang-barang keperluan yang masih belum mencukupi. Danial yang kini sudah berusia dua tahun tinggal dengan neneknya. Dia amat mesra dengan Mak Lang, hampir tidak mahu berenggang. Malah dia takut-takut dan tidak mahu mendekati aku dan Emilia.
Dia sudah lupa suatu masa dulu dia amat rapat denganku, malah menangis setiap kali aku hendak keluar rumah.
“Comelnya…” Kata Emilia sambil mencubit pipinya yang gebu. Danial menyembunyikan dirinya di belakang Mak Lang.
“Cepat salam dengan Mak adik dan Auntie Emy.” Kataku sambil menarik tangannya supaya keluar dari belakang Mak Lang.
“Mula-mula malulah kononnya…” Kata Mak Lang. “Lama-lama nanti, kamulah orangnya! Selalu buat nakal, kacau orang!” Mak Lang tertawa.
Kulihat Mak Lang benar-benar ceria sejak Abang Imran balik. Tubuhnya pun nampak segar dan sihat. Malah sedikit berisi pula. Senang hati anak lelaki kesayangannya kini tidak ke mana-mana lagi, sentiasa menemani dia di rumah itu. Ada pula cucu yang comel dan menghiburkan.
“Bawa masuk beg kau tu Fiqah.” Kata Mak Lang. “Ajak Emy masuk.”
Aku membawa beg pakaian masuk ke bilik tidur. Terkejut sekali bilik tidurku begitu kemas dan cantik. Malah perabot dan katil semuanya baru.
“Abang Imran kau punya kerja lah tu… Minggu lepas dia beli baru semua perabot ni. Katanya katil kau tu dah lama tak bertukar. Takut kau tidur nanti, runtuh pula. Engkau tidur lasak…” Kata Mak Lang sambil ketawa.
“Ha’ah! Memang Fiqah ni tidur lasak makcik! Kalau dia tidur dengan saya, siap terajang saya ke bawah katil.” Balas Emilia sambil ketawa. “Elok beli katil baru! Manalah tahu runtuh karang, siapa nak jawab.”
“Tapi kenapalah dia beli katil besar. Katil bujang cukuplah! Bukannya selalu saya balik ke sini…” Komenku, namun hatiku senang lantas terus aku melabuhkan punggungku di atas tilam empuk. Maklumlah tilam dan cadarnya pun baru!
“Itu tandanya dia nak suruh kau balik selalu! Tak faham-faham lagilah dia ni…” Usik Emilia lagi sambil tergelak. Aku mencubit lengan Emilia. Dia mengelak dan terus tergelak lagi. Aku bimbang dia terlepas cakap di hadapan Mak Lang. Mati aku! Menyesal juga aku bercerita dari A hingga Z dengan dia. Sekarang seronoklah dia menyakat dan mengusik aku.
“Entah… Baliklah selalu. Bukannya seronok apa duduk di KL tu.” Balas Mak Lang sambil bergerak keluar meninggalkan kami berdua di kamar itu. Emilia ikut melabuhkan punggungnya kemudian berbaring menelentang.
“Bagus juga citarasa abang Imran ni! Bilik ni kecil tapi nampak besar pula dengan hiasan kertas dinding warna biru cerah. Cantik. Macam bilik hotel.” Pujinya.
“Dahlah. Tak payah puji-puji melangit.” Bantahku, tak suka mendengar dia memuji Abang Imran. Apalagi kekaguman itu lahir dari hatinya. Namun memang benar ia layak mendapat pujian. Sentuhan yang sangat kreatif. Almari baju dan meja solekan daripada kayu jati terpilih. Ada juga meja kecil dan kerusi menghadapi tingkap, tempat aku merenung bulan. Abang Imran masih ingat pada tempat tingkap kesayanganku yang dihiasi dengan langsir organza warna putih bersih. Wah! Malam ni boleh merenung bulan…
“Termenung panjang nampaknya! Mengimbas kenangan lama?” Tanya Emilia sambil menepuk pahaku.
“Taklah.” Jawabku cepat. “Jom ke dapur, kita tengok apa yang boleh dimakan. Lapar ni!”
Kami berdua terus bergerak ke dapur. Namun langkahku terhenti apabila terlihat Abang Imran ada di dapur sedang mengangkat sebuah kotak besar. Mukanya nampak berpeluh-peluh. Dia juga terkejut melihat aku sehingga kotaknya terjatuh ke atas kakinya. Dia mengaduh kesakitan sebaliknya aku dan Emilia mentertawakannya.
“Sakitnya!” Keluh Abang Imran sambil mengaduh.
“Barang apa dalam kotak tu?” Emilia bertanya setelah tawanya reda.
“Susu.”
“Hmmm… Patutlah sakit. Haaa… Fiqah! Kenapa tercegat macam patung. Cepatlah bagi ubat pada abang kau yang sakit ni.”
“Tak payahlah!” Jawab Abang Imran lantas cepat-cepat berjalan keluar melalui pintu dapur.
Wajah Abang Imran merah padam. Emilia mentertawakan Abang Imran. Emilia rasa amat seronok kerana dapat mengusik aku. Geramnya aku pada Emilia. Rasa ingin aku cubit-cubit lengannya biar dia rasa sakit pula. Aku segera menjerang air. Di bawah tudung saji terdapat kuih kasui. Sedapnya. Dah lama tak makan kuih kasui yang disediakan oleh Mak Lang. Aku membancuh teh. Mak Lang ke dapur. Dia meminta aku membawa minuman petang ke berenda depan.
“Abang Imran kau pun belum minum petang lagi tu…” Kata Mak Lang.
“Buat air sedap-sedap sikit Fiqah!” Kata Emilia sambil mengenyitkan matanya.
“Kau jangan sibuklah!” Kataku marah.

LEWAT petang semua anak-anak Mak Lang pulang. Rumah jadi riuh rendah. Sudah lama tidak kurasakan keseronokan itu. Namun masih ada sesuatu yang kurang. Hanya Kak Sabita sahaja yang tiada. Sudah menjadi semacam satu kemestian di rumah itu, setiap kali pulang semuanya harus salat berjemaah di ruang depan. Sayang sekali aku sedang bercuti, jadi waktu maghrib dan Isyak aku habiskan di dapur dengan memasak makan malam.
Sudah lama aku tidak memasak dalam jumlah yang banyak. Entah apa rasanya. Kuharap ianya dapat memenuhi citarasa semua orang. Aku memerhati reaksi setiap orang semasa makan. Mereka semuanya makan dengan berselera kecuali Abang Imran. Dia orang yang paling awal berhenti makan. Lalu dia terus keluar ke ruang depan semula.
Akhirnya aku tinggal seorang diri lagi mencuci pinggan mangkuk. Emilia masuk ke dapur. Dia bertanya di mana letak gula dan kopi. Aku menyuruh dia mencari di tempat biasa Mak Lang meletakkan gula, kopi dan teh.
“Aku nak buat air. Ada air panas tak?” Emilia bertanya sambil bergerak mengambil teko di atas rak pinggan.
“Ada. Baru je masak.”
Dia membancuh kopi. Tapi hanya sebuah teko kecil disediakan.
“Kenapa sikit sangat?” Tegurku. “Kan ramai kat luar tu, tentu tak cukup.”
“Hanya abang Imran dengan Abang Yahya aje yang nak minum. Budak-budak tu dengan emak dia orang semua dah tidur. Letih agaknya…” Beritahu Emilia.
“Tadi, Abang Imran yang suruh buat kopi.” Emilia terus membancuh kopi dengan lincah. Aku memerhati dia dari jauh. Kulihat dia serius sahaja. Tidak lagi mengusikku seperti petang tadi. Aku meneruskan kerja-kerja yang ada. Masih banyak pinggan dan gelas yang belum dicuci bersih.
Emilia keluar meninggalkan aku sendiri di dapur. Setelah kerja-kerjaku selesai aku keluar, mencari Emilia. Barangkali dia sedang menonton televisyen. Tetapi di ruang depan televisyen sudah pun dipadamkan. Tiada sesiapa pun di ruang itu. Semuanya sudah masuk tidur. Awal-awal dah masuk tidur? Bisik hatiku sambil memerhati jam yang menunjukkan ke angka sepuluh malam.
Pintu depan terbuka luas. Sayup-sayup kudengar suara tawa dari luar. Aku menjenguk. Terlihat Emilia dan Abang Imran ada di bawah kanopi kecil yang dibina di halaman. Sebuah meja panjang diletakkan di situ. Cahaya lampu menerangi halaman. Mereka sedang rancak berbual sambil menghadapi seteko kopi dan dua biji cawan. Ternyata mereka hanya berdua sahaja. Tidak nampak pun Abang Yahya.
Apakah aku akan melangkah mendekati mereka berdua? Apa yang sedang Emilia dan Abang Imran bualkan? Terdengar begitu rancak dan tawa mereka berdua terdengar kuat. Emy! Jaga engkau! Jangan sampai engkau pecahkan rahsia aku…
Aku menunggu Emilia masuk ke kamar. Puas kutunggu dia masuk ke kamar tidur. Pukul dua belas tengah malam barulah terjongol. Aku segera berpura-pura tidur dengan membiarkan majalah menutup mukaku.
“Oi! Jangan buat-buat tidurlah!” Kata Emilia sambil menggeletek aku.
Aku terjerit kegelian.
“Mengapa kau tak keluar tadi? Aku nampak kau jenguk kat pintu…”
“Malaslah. Aku beri peluang kau berkenalan dan berbual dengan Abang Imran.”
Emilia ketawa. “Dia tu memang handsome. Sekali tengok macam Fahrin Ahmad. Dua kali tengok macam John Abraham…”
Aku menggigit bibir. Hati semakin tidak senang mendengar pujiannya. Cemburukah aku melihat kemesraan sahabatku dan Abang Imran? Sejak pulang Abang Imran langsung tidak menegurku. Aku merasakan bagaikan orang asing di hadapannya. Hatiku benar-benar tidak suka diperlakukan begini.
Sebaliknya dia kelihatan amat mesra dengan Emilia tadi, seolah-olah mereka sudah lama kenal. Apakah dia terpikat pada sahabatku ini? Dan Emilia juga suka padanya?
Aku berbaring menelentang kemudian memejamkan mata rapat-rapat. Emilia ikut berbaring, matanya memandang siling, kemudian menoleh padaku. Aku membuka mata, memandangnya. Dia masih merenung aku…
“Tentu kau nak tahu apa yang kami bualkan tadi…” Kata Emilia sambil tersenyum nakal.
Aku menggigit bibir. Kepalaku spontan tergeleng.
“Aku tak mahu tahu apa-apa…” Balasku acuh tak acuh.
“Jangan bohonglah!” Emilia mentertawakanku. “Kami bercakap tentang kau tadi.”
“Ooo… Jadi kau mengumpat aku?”
“Taklah.” Balas Emilia kemudian, matanya memandang siling kemudian tersenyum sendiri. “Aku langsung tak sebut tentang kau pun! Abang Imran menceritakan pengalamannya semasa berada di luar negara…” Kata Emilia sambil mengurut rambutnya sendiri. “Tak sangka ya. Aku ingatkan Abang Imran tu serius dan pendiam orangnya. Tetapi bila dah lama berbual rupa-rupanya dia lucu sekali. Sebab itulah aku asyik ketawa saja tadi…”
Oh! Begitu rupanya, bisik hatiku sedikit kesal. Tidakkah Abang Imran bertanya apa-apa tentang diriku?
“Dia memang macam tu, orang yang tak kenal dia betul-betul pasti sangka dia seorang yang sombong.” Balasku pula mengiyakan kata-kata Emilia. Agh! Betapa rindunya aku hendak mendengar suara Abang Imran bercerita, bergurau senda dan mengusikku lagi. Tapi itu semua hanya khayalanku saja. Abang Imran sudah berubah sikap terhadapku.
“Dia seorang lelaki yang baik dan bersopan. Maaf, aku harap kau tak marah kalau aku katakan, aku suka caranya, pemikirannya… Fiqah! Kalau kau lambat buka langkah dia akan jatuh ke tangan orang lain. Kau juga yang akan merana.”
Aku tersentap, memandangnya tidak berkelip. Apakah maksud kata-katanya itu?
Aku mengeluh sambil menarik selimut. “Tidurlah. Dah lewat…” Balasku enggan melayani dia berbual lagi.
Malam itu aku tak dapat tidur. Aku terkebil-kebil sendirian di dalam kamar yang gelap, memikirkan kata-kata Emilia sebentar tadi. Saat itu aku terdengar dengkur Emilia yang sudah pun terlelap. Cemburunya aku kerana dia dapat tidur dengan nyenyak selepas berbual panjang dengan Abang Imran. Aku tidak dapat tidur memikirkannya. Aku tahu aku harus tabah menempuhi apa jua.
Apa yang mampu aku lakukan untuk kembali mendakap cintaku? Aku tak berani membuka langkah terlebih dahulu.


Bab 48

BILA bersendirian, kenangan lalu tetap datang menggoda. Berada di dalam kamar kerjanya yang dingin dan sepi itu dia tidak pernah lagi tersentuh rasa selesa. Resahnya berpanjangan dari pagi membawa ke petang. Dia teringat pada saat kali terpandangkan gadis itu. Manis, lembut dan penuh sopan santun.
Dilepaskannya keluhan. Sesungguhnya masa-masa lalu tidak akan berulang. Kerana dirimu aku jadi begini, Fiqah! Hatiku dipenuhi rasa hampa, kecewa dan sedih. Aku kembali jadi lelaki, yang mengharapkan cinta dan kasih sayang seorang wanita. Entah mengapa kian lama hati ini tidak biasa melupakanmu. Sejak kau datang ke wad tempohari, ingatanku terhadapmu kian teguh biarpun kutahu hatiku bakal terluka.
Kau sungguh muda, polos dan naif. Tapi aku telah melukai hatimu dengan begitu kejam, tanpa simpati. Mengapa aku bertindak begitu, aku sendiri tidak tahu! Dan kini aku sedang menghitung dosa-dosa laluku terhadapmu, Fiqah. Mengapa kau harus datang, memberikanku kemaafan. Mengapa tidak kau datang dengan kebencian supaya aku dengan mudah dapat melupakanmu tanpa sebarang rasa kesal.
Faruq merenung tangan kirinya yang masih berbalut. Tangan kanannya sudah pun pulih dan dia sudah boleh menulis, menandatangani sebarang dokumen yang perlu. Setelah hampir 3 bulan berlalu, dia sudah mulai pulih sepenuhnya. Dia sudah keluar dari wad dan kembali menjalankan tugasnya seperti biasa.
Dia merenung goresan kata-kata yang ditulis Julia Afiqah. Jika boleh dia tidak mahu menanggalkan balutan tersebut. Tetapi dia harus jua membukanya beberapa lagi. Keadaan tangannya itu sudah semakin membaik. Pun dia tetap akan menyimpan catatan itu sebagai kenangan abadi. Kata-kata yang terukir di situ sudah pun hafal dalam kepalanya. Terkadang dia tersenyum sendiri mengingatinya dan terkadang pula dia mengalirkan airmata.
Sayangku,
Bisakah dikembalikan semula saat indah malam itu tika kau di sisiku. Hatiku terluka mengingati dirimu yang bukan milikku lagi. Pulanglah ke sisiku lantas bisikkan kata yang kau tetap sayang dan cinta padaku selama-lamanya.
Angan-angan ini memang indah Fiqah! Bisik hati Faruq sambil merenung tulisan tangannya sendiri. Selama ini dia tidak pernah mencatat nota cinta dan kini dia harus meluahkan segala yang membekam dalam dadanya. Ilhamnya tidak pernah pudar tatkala terkenangkan wajah manis Julia Afiqah. Saat dia melangkah melalui pintu kondo sepinya malam ini dia merasakan Julia Afiqah sedang menunggunya seperti biasa di muka pintu.
“Abang dah balik sayang. Kau masak apa malam ini?” Bisiknya sendiri pada dinding yang kaku dan ruang tamu yang sepi membungkam. “Agh! Tak usah masaklah sayang. Kita makan di luar saja, bagaimana? Tentu kau suka… Makan malam dengan diiringi cahaya lilin…” Dia memandang ke arah dapur yang kosong, merasakan Julia Afiqah berdiri di sisi kabinet masih mengenakan apron.
Dia tersentak sendiri. Sedar bahawa masa tidak akan berputar kembali. Aku boleh jadi gila keranamu… Julia Afiqah! Gila! Keluh Faruq sendiri sambil berjalan lambat menghala ke kamar tidurnya. Sejak Julia Afiqah pergi meninggalkan rumah itu dia tidak pernah membuka pintu kamar tidur yang pernah dihuni bekas isterinya itu. Dia tidak punya kekuatan untuk melihat sebuah kamar kosong melompong yang tiada lagi tertinggal walaupun sehelai pakaian milik Julia Afiqah.
Selepas mandi, Faruq cepat-cepat keluar dari kondominium itu tidak sanggup untuk terus berada dalam kesepian. Kini dia tidak lagi memandu sendiri sebaliknya menggunakan khidmat pemandu. Datin Mahani tidak membenarkan dia memandu lagi setelah dia mengalami kemalangan dahsyat tempohari. Malam itu dia tidak tahu hendak ke mana. Disuruhnya pemandu berpusing mengelilingi kota namun akhirnya dia pulang ke rumah ibubapanya yang juga sepi dan sunyi. Faruq bagaikan hendak menjerit rasanya ketika pembantu rumah memberitahu Datin Mahani dan Datuk Kamarul telah pergi ke luar negara bercuti selama dua minggu.
Faruq akhirnya mengambil keputusan untuk ke satu tempat. Drebar menganggukkan kepalanya walaupun malam itu dia rasa pening dengan kerenah majikannya yang benar-benar tidak keruan.

“HEI! Fiqah… aku rasa kereta Faruq ada di depan rumah…” Kata Emilia.
Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya telefon bimbit Julia Afiqah berbunyi. Julia Afiqah memandang ke arah telefon bimbitnya serba salah hendak menjawab panggilan daripada lelaki itu. Dia hanya memandang skrin kemudian teragak-agak dia menekan punat telefon.
“Ya…”
“Fiqah! Boleh kau turun sekejap?”
Ya Allah! Seru hati Julia Afiqah sambil meletakkan tangannya di atas dada. Mengapa dia datang lagi? Mengapa? Bukankah antara kami sudah tiada apa-apa lagi. Janganlah hendaknya dia mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan. Sesungguhnya aku tidak berdaya untuk memberikan walaupun secebis harapan.
Julia Afiqah hilang suara untuk berkata. Dia tidak tahu apakah dia akan keluar menemui Faruq.
“Please, sekejap aje Fiqah! Anggap ini pertemuan yang terakhir…”
“Okey.” Akhirnya dia terpaksa bersetuju.
Julia Afiqah segera bersiap-siap untuk keluar. Dia mengenakan jubah dan tudung lantas terus menemui Faruq. Faruq mengajaknya masuk ke dalam kereta tetapi Julia Afiqah enggan. Dia tidak mahu ke mana-mana. Jika benar pertemuan itu hanya sekejap lebih baik mereka bertemu di tepian jalan itu sahaja.
“Tolonglah. Kan tak baik dilihat oleh jiran-jiran.” Rayu Faruq memohon simpati. “Kita keluar makan di mana saja, di tempat pilihan kau Fiqah.”
“Kalau macam tu, di gerai saja…” Kata Julia Afiqah lantas teringatkan gerai makan yang dibuka pada waktu malam tidak jauh daripada taman perumahannya itu.
Mereka menuju ke sana. Faruq rasa sedikit senang. Julia Afiqah duduk di sisinya di kusyen belakang. Mereka berdua tidak bersuara di sepanjang perjalanan yang memakan masa hanya sepuluh minit itu. Entah mengapa Faruq jadi segan untuk bercakap apa-apa kerana tidak mahu segalanya didengari oleh pemandu yang sedang memecut kereta BMWnya itu.
Dia mentertawakan diri sendiri. Pertemuan malam ini terasa seperti pertemuan antara dua orang remaja yang baru mengenal dunia cinta. Dia jadi takut untuk berkata sesuatu yang mungkin melukai hati Julia Afiqah. Dia tidak ingin pertemuan yang baru terjadi itu berantakan.
Akhirnya tiba jua di gerai. Mereka makan juga tanpa banyak berbicara. Entah ke mana hilangnya setiap ulas bicara yang mahu dia persembahkan ke hadapan Julia Afiqah. Semuanya jadi hilang tatkala melihat sinar pilu dalam matanya. Jelas sinar itu mengandungi kesedihan yang tidak tertanggung. Faruq kian terdorong ingin tahu apa yang berlaku padanya.
“Fiqah, kau nampak sedih. Apakah aku tak salah tengok? Kau seperti baru lepas menangis…”
Julia Afiqah mengangkat wajahnya memandang Faruq, cuba memberikan senyuman penuh paksaan. Dia menggeleng.
“Memang abang salah tengok…” Dia tersenyum sedikit kemudian melanjutkan kata; “Saya tak mahu meniru alasan yang selalu diberikan orang. Mata dimasuki habuk! Ya, saya memang menangis tadi. Menangisi hari-hari silam dan juga meratapi masa-masa kelam di hadapan saya.”
“Kalau kau anggap aku sahabat, apa salahnya kau bercerita. Bukankah dulu kita telah membazirkan begitu banyak masa dengan sia-sia. Sampai sekarang aku terus menerus rasa kesal terhadap masa lalu. Kalaulah dulu aku berfikir lebih jauh barangkali kita tak perlu jadi orang asing malam ini! Barangkali kita masih lagi suami isteri, sedang bergembira merayakan ulangtahun perkahwinan kita, Fiqah!” Faruq menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Kau ingat tarikh hari ni?”
“Ulang tahun perkahwinan?” Tanya Julia Afiqah bagaikan sudah melupakan tarikh keramat itu.
Faruq mengangguk. “Kalau kita masih bersama… malam ini ulangtahun ke 3 perkahwinan kita. Begitu cepat masa yang telah berlalu rupanya.”
“Sudahlah bang… Saya sebenarnya tidak mahu mengungkit lagi kisah lama. Kita dah setuju untuk melupakannya saja kan? Kita hanya boleh bersahabat.” Julia Afiqah enggan bercakap lagi tentang hari depan mereka berdua.
Faruq mengangguk biarpun hatinya tidak merelakan. Dia tidak mahu sekadar menjadi sahabat. Jika boleh dia mahu kembali semula pada ikatan yang dulu. Ikatan yang suatu masa dulu tidak berharga langsung baginya. Kini dia merasakan hidupnya dan kebahagiaanya di hari depan adalah bersama dengan Julia Afiqah.
“Persahabatan yang aneh…” Kata Faruq sambil cuba untuk melemparkan senyuman pahit. “Aku masih mengharap kau berikan aku satu peluang. Satu peluang pun cukuplah untuk aku kembali ke dalam hidup kau. Aku sangat mencintai kau Fiqah!”
“Jangan cakap macam tu abang Faruq. Saya tak mahu memberi harapan, saya juga tak mahu berjanji…”
Setengah jam kemudian mereka sudah kembali ke kereta. Faruq tahu garis pertemuan itu hampir tiba ke penamatnya tidak lama lagi. Selepas ini pasti pertemuan tidak akan terjadi lagi antara mereka. Bukankah dia sudah katakan tadi pertemuan ini adalah yang terakhir. Jika dia tidak berkata begitu tadi, pasti Julia Afiqah tidak akan mahu bertemu.
“Kau terlalu cintakan Imran?” Tanya Faruq.
Sebenarnya pertanyaan itu tidak perlu. Dia sudah tahu hakikat yang sebenar. Mungkin dia harus berhenti mengharap untuk menjalin kembali perhubungan yang telah terputus. Tidak mungkin tali yang putus akan bersambung dan hati yang luka dapat diubati. Sudah puas dia merayu, namun segalanya bagaikan mencurahkan air di daun keladi.
Julia Afiqah menggeleng juga.
“Jadi, aku masih punya harapan? Katakanlah Fiqah? Masihkah aku punya harapan untuk memiliki hatimu semula?”
Julia Afiqah tidak menjawab. Mereka sudah tiba di hadapan pagar rumahnya. Dia buru-buru keluar dari kereta, tidak menoleh lagi ke belakang. Saat dia membuka pintu pagar, dia terlihat sebuah kereta di situ. Kereta itu milik Imran. Dadanya berdebar, dia terus berjalan laju menghala ke pintu depan yang sememangnya terbuka. Terdengar suara Latipah sedang berbual dengan Emilia.
Mengapa emak saudaranya itu datang? Apakah tujuan kedatangannya pada waktu malam-malam buta begini? Mengapa pula kedatangannya itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu? Jika dia tahu Latipah ada di Kuala Lumpur, dia tidak akan keluar dengan Faruq.
Dia memberi salam dengan suara yang tenang biarpun dadanya bergementaran.
“Waalaikumsalam.” Jawab Emilia dan Latipah serentak.
Julia Afiqah melangkah masuk. Lututnya terasa lemah apabila bertemu pandangan dengan Latipah, Imran dan Danial. Wajah Latipah ceria melihat kepulangan Julia Afiqah. Mengapa mereka datang? Soalan itu tetap berlegar-legar dalam kepala Julia Afiqah.
“Kau dari mana?” Tanya Latipah lembut.
Julia Afiqah bergerak mendekati lantas menyalami tangan Latipah. Seperti selalu dia akan mencium tangan wanita itu. Kemudian dia bergerak ke arah Imran pula. Hal yang sama dilakukan. Tangan lelaki itu turut diciumnya. Kemudian dia duduk di sebuah kerusi tunggal yang terletak tidak jauh dari sofa tempat Emilia dan Latipah duduk. Kelihatan Emilia dan Latipah duduk begitu rapat, menunjukkan betapa rapatnya perhubungan mereka kini. Sepanjang hayat Julia Afiqah dia tidak pernah duduk demikian rapatnya dengan Latipah.
Latipah seorang yang tegas dan tidak pernah memberi muka kepada anak-anak perempuannya. Dengan Julia Afiqah juga begitu. Namun selepas Julia Afiqah menjaganya di hospital dulu, dia mulai bersikap lebih lunak dan lembut.
Pertanyaan Latipah belum dijawab. Julia Afiqah memandang Emilia yang tersenyum mesra. Dia yakin Emilia tidak menceritakan pada Latipah bahawa dia keluar dengan Faruq. Apakah dia akan memberitahu Latipah tentang pertemuannya dengan Faruq?
“Keluar dengan kawan?” Tanya Latipah lebih lanjut apabila dia tidak mendapat sebarang jawapan daripada anak saudaranya itu.
“Rupanya dalam diam-diam, kau dah ada pengganti Faruq…” Kata Latipah dengan wajah kesal. Keceriaan yang tadi mewarnai wajahnya sudah hilang entah ke mana.
Julia Afiqah serba salah. “Bukan pengganti Mak Lang…” Akhirnya dia menjawab. “Saya keluar dengan Faruq tadi.”
“Kau keluar dengan bekas suami kau tu?” Latipah berusaha menyembunyikan rasa terkejut. Dia memandang Imran. Imran juga kelihatan terkejut. Wajahnya jelas berubah. Bibirnya kelihatan menggertap. Dia tertunduk. Julia Afiqah memerhati wajah itu bersama hati pilu. Mengapa abang harus datang malam ini untuk mengetahui bahawa saya masih punya ‘hubungan’ dengan Faruq.
“Kau masih berbaik-baik dengan dia?”
Julia Afiqah mengangguk lantas menceritakan dia pernah melawat Faruq yang kemalangan di hospital. Sejak itu mereka kembali berhubung sebagai kawan.
Latipah terdiam agak lama. Kemudian menarik nafas lalu berkata; “Fiqah…” Serunya dengan suara yang tenang, langsung tidak terburu-buru seperti yang biasa dilakukannya. “Mak Lang tak mahu kau lakukan kesilapan lagi…”
Julia Afiqah menggeleng. “Saya tahu. Pengalaman mendewasakan saya Mak Lang. Kesilapan itu tidak akan berulang. Percayalah…” Katanya cuba menyakinkan Latipah.
“Tapi Mak Lang tak suka dengar kau berkawan dengan Faruq. Kalau kau ada niat nak berkahwin lagi, Mak Lang benar-benar tak suka jika kau kahwin semula dengan lelaki tu!”
“Tak Mak lang.” Sampuk Julia Afiqah dengan cepat. “Saya tak ada niat pun hendak berkahwin semula. Saya melalui pengalaman yang sangat pahit bersama Faruq. Mak Lang tak tahu siapakah sebenarnya dia…”
“Apa maksud kau, Fiqah?” Tanya Latipah ingin tahu. Dahinya berkerut.
“Suatu masa dulu saya hanya berdiam diri semasa Mak Lang menyalahkan saya di atas perceraian saya dengan Faruq. Tapi malam ni saya ingin beritahu Mak Lang apa yang berlaku. Saya tak pernah curang padanya. Tak pernah ada sesiapa dalam hati saya, kecuali…” Kata-kata Julia Afiqah tersekat, dadanya sebak dan airmatanya mulai berlinangan.
“Dia bukan seorang lelaki sejati. Dia pernah punya kekasih… Adie…” Kata Julia Afiqah sambil memandang Imran. “Adie tu kekasih Faruq, abang Imran. Bukan hanya Adie seorang, malah ramai lagi. Kebanyakan model yang pernah bekerjasama dengan dia, adalah bekas kekasih-kekasihnya…”
“Astaghafirullah…” Ucap Latipah sambil menepuk dahinya. Dia benar-benar terkejut.
Imran jua terkejut mendengar cerita Julia Afiqah. Kepala Imran tergeleng beberapa kali. Dia seperti tidak percaya apa yang baru didengari oleh telinganya sendiri.
“Walaupun sekarang dia dah insaf, nak mulakan hidup baru… Tapi saya dah tawar hati untuk hidup berumahtangga. Saya dah buat keputusan. Biarlah saya hidup sendiri sampai bila-bila…” Semasa dia berkata begitu, mata Imran memanah ke dalam matanya dengan tajam. Julia Afiqah pura-pura tidak melihat sinar matanya yang tajam bak pancaran laser itu.
“Mengapa macam tu sekali tekad dan azam kau Fiqah? Kau masih muda. Sedih hati Mak Lang bila dengar kau tak mahu mempunyai teman hidup lagi setelah melalui pengalaman pahit itu. Jangan cepat putus asa sayang…” Kata Latipah sambil mengusap kepala Julia Afiqah. Tubuh genit gadis itu dipelukkan erat.
“Buat masa ni hati saya belum terbuka untuk sesiapa Mak Lang…” Jawab Julia Afiqah tenang. “Walaupun suatu masa dulu, sikap Abang Faruq amat melukakan tapi saya juga kasihankan dia. Saya pernah berkongsi hidup dengannya dan saya kenal hati budinya. Saya tahu dia bukan lelaki yang jahat Mak Lang. Banyak perkara yang berlaku telah menginsafkannya…”
Latipah cuba menelan kebenaran kata-kata Julia Afiqah. Malam ini dia merasakan bahawa Julia Afiqah adalah seorang wanita yang sudah dewasa. Dia sedar dia tidak boleh lagi memaksa seperti suatu masa dulu. Dia harus menghormati apa jua keputusan Julia Afiqah. Lantas tujuannya datang malam itu tidak jadi diungkapkan. Dia memandang kesal ke wajah Imran.
“Kita balik…” Katanya perlahan.
Julia Afiqah menghantar kepulangan emak saudara dan sepupunya ke muka pintu. Saat itu hatinya menangis. Mengapa harus lidahnya mengatakan sesuatu yang bukan sepatutnya? Haruskah diakuinya hatinya mengharapkan Abang Imrannya seorang? Haruskah dia membuka rahsia hatinya yang telah lama tersimpan. Dia kini begitu kuat menggenggam maruah dan harga diri. Biar Imran tidak tahu perasaannya yang sebenar. Biar… Sebagaimana kata-katanya tadi, dia mahu hidup sendiri selama-lamanya! Semoga dia cukup kuat untuk menghadapinya.
Bang, bukan cinta dan nafsu yang sayakan darimu. Bukan juga cumbu rayu. Saya rindu pada kehidupan lalu yang murni dan indah. Walaupun kini apa yang kita lalui adalah cinta sepi, tetapi dari kejauhan ini tetap kurasakan sekuat mana getaran cintaku padamu.


Bab 49

HATI Imran benar-benar hancur mendengar kata-kata Julia Afiqah sebentar tadi. Dia telah menutup pintu hatinya untuk dicintai dan mencintai. Apa yang kau harapkan lagi dari Julia Afiqah? Kau fikir, dia akan menerimamu Imran? Alangkah gilanya fikiran kau tu! Cukuplah bermimpi di siang hari. Marah hatinya bertalu-talu.
Tahukah adik, rindu ini tidak kunjung padam. Aku datang membawa bebanan rindu yang sarat. Tapi mengapa kau harus hadiahkan sebuah kelukaan? Demikian lama kucari satu kekuatan untuk membuka rahsia hatiku pada emak. Di saat aku datang membawa segunung cinta, kau menyatakan bahawa hatimu sudah tertutup menerima seorang yang bernama kekasih.
Imran memandu tenang biarpun fikirannya bercelaru. Sejak meninggalkan rumah Julia Afiqah tadi, dia terus mengutip semula kata-kata gadis itu. Kata-katanya begitu tegas sekali. Dia seolah-olah tidak kenal lagi pada Julia Afiqah. Mana adiknya yang lembut dan pemalu itu? Mana hilangnya sikap keanak-anakan yang dulu memikat hatinya. Mana? Mengapa kini dia berhadapan dengan seorang wanita yang keras jiwa dan hatinya.
Kepahitan dan kekecewaan yang mewarnai hidupnya telah membuat Julia Afiqah jadi begitu. Dia yakin masih ada sisa-sisa harapan buatnya. Bukankah Julia Afiqah menyakinkan emaknya bahawa dia dan Faruq hanya kawan. Lagi-lagi Faruq… Bisik hati Imran. Mengapa harus Faruq terus hadir di antara mereka?
Benarkah hanya Faruq lelaki yang pernah hadir dalam hidup Julia Afiqah? Tiadakah lelaki lain? Mustahil gadis secantik dia tiada teman lelaki…
Malam telah kian larut semasa mereka tiba di kampung. Namun Imran tidak terus masuk tidur. Entah mengapa dia harus membawa tubuhnya yang kepenatan ke perpustakaan. Di situ dia telah menempatkan kembali ensiklopedia kesayangannya. Semasa berpindah balik ke kampung, Imran telah membersihkan dan membaik pulih perpustakaan kecil itu. Ianya sudah kembali seperti dulu semula. Di situ tempat dia menghabiskan waktu-waktu terluang, mengulangi apa yang pernah Julia Afiqah lakukan semasa dia tinggal di rumah itu.
Tiba-tiba dia terpandang deretan ensiklopedia miliknya yang tersusun rapi semasa berbaring di atas kerusi cleopatra. Memang matanya pedih tetapi dia masih ingin melayan angan, mengingati detik-detik pertemuan dengan Julia Afiqah. Tiba-tiba Imran bangun lalu mengambil salah sebuah ensiklopedia tersebut. Dia membelek-beleknya secara rambang dan terlihat sekeping nota terselit di perut buku. Terkejut, Imran membaca cacatan itu dengan dada berdebar.
Narmi,
Kesedihan hatiku ini tak bisa kuungkap dengan kata-kata. Biar kutulis di dada kertas putih ini sayangku. Puisi cintaku padamu harus kubuang jauh ke lautan tak bertepi. Harus kubunuh rasa yang baru tumbuh di jiwa. Rasa yang kusebut cinta. Waktu bakal memisahkan kita kekasih. Dengarkanlah bicara jiwaku ini. Sesungguhnya kau tidak mungkin kumiliki. Dan diriku bakal menjadi kepunyaan dia, walaupun hatiku tidak rela!
Julia Afiqah
Catatan Julia Afiqah? Bisik hatinya sendiri. Siapa Narmi? Dialah ‘kekasih’ adik. Aduhai… Memang adik punya kekasih… bisik hati Imran tidak keruan. Ehhh… Ini nama aku dieja dalam keadaan terbalik! Oh tuhan! Aku pernah terjumpa catatan yang sama dulu, kenapalah aku tak perasan pada nama itu? Bisik hati Imran lagi.
Nama aku? Akulah Narmi! Dahi Imran dipercik peluh dingin. Matanya yang tadi pedih kini mulai bersinar dan segar semula. Selama ini Julia Afiqah mencintainya dalam rahsia? Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Tapi kenapa tadi dia menafikan segalanya malah menyatakan dia mahu hidup sendiri selamanya?
Oh Tuhan… Pasti dia masih mahu terus merahsiakan segalanya sampai bila-bila! Dik, rahsiamu tidak akan jadi rahsia lagi. Akan aku laungkan ke seluruh pelosok dunia bahawa aku juga cinta padamu. Dan aku berharap agar kau fahami erti cintaku. Andainya aku seorang pelukis sudah pasti akan kulakar sebuah lukisan dan sekiranya aku pandai bersyair akan kulagukan rindu dan cintaku hanya untukmu.
Imran tersenyum sambil merenung lagi coretan tangan Julia Afiqah. Bagaimana harus kuterjemahkan rasa yang membekam dalam dadaku ini, dik? Tiba-tiba dia bingkas bangun, lalu terus bergerak laju ke luar. Daun pintu depan dibukanya seluas mungkin. Tanpa mengira badan yang kepenatan dia terus menuju ke kereta. Kereta dipandu menghala ke Kuala Lumpur.
Hampir jam 3 pagi dia tiba di rumah Julia Afiqah. Keadaan sekeliling sudah sunyi sepi. Semua orang sudah nyenyak tidur. Dia tidak peduli. Dia berjalan gagah menghala ke pintu lantas daun pintu digegarnya kuat. Setelah menunggu agak lama barulah pintu dibuka dan lampu dinyalakan. Julia Afiqah sendiri yang membuka pintu.
Dia kelihatan terperanjat melihat wajah Imran. Matanya digosok beberapa kali. Rambutnya yang panjang terhurai ke belakang diseka dengan hujung jari beberapa kali. Dia masih tidak percaya. Antara mimpi dan jaga… Dia tidak percaya Imran ada di hadapan pintu rumahnya.
“Abang? Abang masih ada di sini?”
Imran tidak menyahut, hanya matanya sahaja merenung dalam ke wajah Julia Afiqah yang kebingungan. Tanpa diduga gadis itu, tangannya diheret keluar menghala ke pintu pagar yang ternganga luas. Julia Afiqah terpinga-pinga. Pegangan tangan Imran kemas dan kejap seolah-olah tidak mahu dilepaskan.
Julia Afiqah meronta supaya pegangan itu terlerai. Namun Imran tidak peduli, tangan itu terus diheretnya hingga tiba ke tubir jalan. Julia Afiqah merentap tangannya dan menjerit kuat; “Abang! Apa yang abang buat ni? Apa yang berlaku?”
Tangan Julia Afiqah terus dilepaskannya apabila terdengar suara keras gadis itu. Imran memutarkan badannya tidak tentu arah. Dia nanar sejenak dikuasai rasa cinta yang dalam yang telah lama bermukim jauh di sudut hatinya. Julia Afiqah memerhati sahaja tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Fikirannya bergalau dengan pelbagai soalan. Mengapa tingkah laku Imran amat berbeza, semakin mengelirukan hati dan fikirannya.
Imran memerhati Julia Afiqah yang berdiri kaku di tengah jalan yang lengang. Lampu jalan yang malap menyuluh wajah dan susuk tubuhnya. Bebayang menimpa wajah gadis itu, sehingga dia tidak dapat melihat riak di wajahnya. Walaupun jarak antara mereka hanya tiga langkah, tetapi Imran terasa bagaikan amat jauh. Dan dia kepingin sekali menghapuskan jarak itu. Apa Julia Afiqah akan menolaknya? Apakah yang sedang bergalau dalam fikirannya saat itu?
Rambut Julia Afiqah yang panjang terhurai sesekali dipuput bayu dinihari yang kian larut. Julia Afiqah memeluk tubuhnya sendiri tidak tahan dengan kedinginan yang kian mencengkam itu.
“Kau nak tahu apa yang berlaku adik? Kau betul-betul nak tahu…” Kata Imran sambil berjalan mendekati.
“Julia Afiqah…” Pertama kali Imran memanggil Julia Afiqah dengan namanya sendiri. “Cinta itu amat indah. Namun keindahan itu belum sempurna selagi ianya tidak diluahkan. Abang cintakan adik… Benar-benar abang cintakan adik sepenuh hati abang.” Kata Imran perlahan seakan berbisik.
Julia Afiqah menarik nafas dalam-dalam. Dadanya berdebar apabila Imran berbicara tentang cinta. Dalam masa yang sama hatinya turut pilu.
“Kenapa dik? Kenapa adik kata nak hidup sendiri selama-lamanya? Abang ada di sisimu. Kalau kau mencintai abang sepenuh hati, mengapa kau harus sisihkan abang? Lari jauh dari abang. Mengapa kau memilih untuk hidup sengsara dan merana? Mengapa?” Soal Imran bertalu-talu.
“Abang takkan biar adik hidup sengsara sendiri. Dan kita tak perlu kita lalui semua kepahitan ini sejak dari mula. Tapi Tuhan mempunyai rencananya sendiri. Sehingga malam ini rahsia hatimu sudah terungkap Fiqah…”
“Abang dah tahu?” Tanya Julia Afiqah sambil menggigit bibirnya menyembunyikan getaran yang ada.
“Ya sayang. Abang dah tahu semuanya. Abang dah jumpa nota tu... Abang juga terlalu sayang dan cintakan Fiqah. Kalaulah rahsia cinta ini terungkai lebih awal tentu kita sudah bahagia sekarang. Namun segalanya masih belum terlewat untuk kita membina hidup baru bersama. Abang harap abang akan dapat membahagiakan adik untuk selama-lamanya, sehingga akhir hayat kita…” Bisik Imran.
Julia Afiqah terdiam. Lidahnya kelu. Dia hanya membiarkan tubuh genitnya ditarik ke dalam dakapan Imran. Erat. Cinta itu satu anugerah. Justeru itu ianya harus diluahkan. Bagaikan satu keajaiban, apabila cinta itu telah diungkapkan Imran kembali dalam hidupnya lantas mengakhiri semua penderitaannya. Julia Afiqah mendongak memandang langit yang dikoyak fajar. Dia tahu hari-hari mendatang dalam hidupnya kini dipenuhi dengan kebahagiaan.

Bab 50# [Tamat]

KEBAHAGIAAN kini menjadi milikku selamanya. Hari ini tika berdiri di berenda rumah Mak Lang, aku memandang jauh ke arah halaman. Tiga orang anak-anakku Danial, Arshad dan Adila sedang bermain basikal. Suara tawa mereka terdengar memecah. Kulihat mereka berlumba-lumba, meninggalkan Adila jauh di belakang. Basikal Adila paling kecil. Terdapat dua roda kecil mengapit tayar belakang basikalnya.
Dia menjerit menangis apabila ketinggalan jauh daripada dua orang abangnya. Aku hanya memerhati, membiarkan anak-anak bebas bermain pagi ini. Kegembiraan mereka begitu jelas dalam tangisan ada tawa mengiringi. Adila hanya menangis sebentar cuma, segera kedua-dua abangnya datang memujuk. Hatiku senang sekali melihat betapa rapatnya mereka. Dan betapa mereka saling menyayangi antara satu sama lain.
Petang ini ada majlis harijadi buat Danial. Usianya sudah cukup tujuh tahun. Begitulah masa berlalu dengan cepat, lebih-lebih lagi di saat hati gembira.
Inilah kehidupan yang telah aku lalui. Pertemuan dengan manusia-manusia di sekeliling tambah mendewasakan aku yang mentah dan bodoh ini! Kini sudah kutahu hitam putih dan pahit manis sebuah kehidupan. Apalagi dalam meniti usia dua puluh tujuh tahun sekarang, aku sudah punya dua orang putera dan seorang puteri.
Aku terus menuju ke dapur. Sarapan belum disediakan. Ketika sedang membancuh tepung untuk membuat cucur, kurasakan ada sepasang tangan yang berlingkar di pinggang. Terkejut aku jadinya dengan kemunculan dia. Ahhh… Lelaki ini gemar sekali mengusikku sepanjang masa. Itulah yang menambah kemesraan dan kebahagiaan kami.
Dia memberikan kucupan mesra dan hangat. Kemudian kami sama-sama menyediakan sarapan pagi. Rumah ini kembali berseri dan ceria. Namun masih ada yang kurang. Mak Lang masih menanti kepulangan Kak Sabita. Begitu lama dia menyepi diri. Tiada sesiapa pun yang pernah terserempak atau menemui dia di mana-mana.
Aku berharap dan berdoa dia akan pulang jua. Kami semua sangat merinduinya. Dan semoga doa kami ini akan terkabul pada tahun ini.
Sudah lima tahun aku pulang ke kampung, menghuni rumah Mak Lang selama-lamanya. Mak Lang memberikan sebahagian daripada hak yang pernah menjadi milik ibuku. Meskipun berkali-kali kukatakan aku tak kisah langsung. Namun tetap jua Mak Lang menghadiahkannya kepadaku dan cucu-cucunya. Betapa aku terharu kerana ianya turut mendapat restu daripada adik-beradik Abang Imran yang lain.
Beberapa tahun ini hidupku sentiasa dipenuhi dengan kegembiraan. Setahun sekali Emilia dan suaminya, akan datang mengunjungi kami bersama anak-anak mereka.
Abang Imran sibuk menggantung belon di ruang tamu. Aku menyediakan kek coklat untuk Danial. Sekarang aku sudah mahir membuat kek. Malah semua orang memuji kekku yang gebu dan lembut. Anak-anak sudah ramai yang datang. Makanan ringan, kuih muih dan mee goreng sudah tersedia.
“Cepat! Cepat!” Abang Imran memanggil anak-anak mengelilingi meja. Dia telah menghidupkan lilin. Tujuh batang semuanya. Namun belum sempat anak-anak menyanyikan lagu selamat hari jadi, Adila telah meniup lilin tersebut.
“Adila! Jangan tiup lilin tu! Hari ni hari jadi along.” Tegur Danial.
Adila hanya tersengih. Aku tertawa melihat gelagat Adila. Abang Imran sekali lagi memasang lilin sambil memberi amaran pada Adila supaya lilin itu tidak ditiup.
Suara anak-anak menyanyi lagu selamat hari lahir begitu gamat dan riuh. Jamuan ringan pun selesai tidak lama kemudian, namun kami masih berbual-bual di ruang depan. Anak-anak semua sudah keluar ke halaman.
Dalam kemeriahan kami berbual, terdengar orang memberi salam. Semua yang ada di ruang tamu memandang keluar. Kami semua terkejut melihat kehadiran Kak Sabita pada petang itu. Dia pulang bersama dua orang kanak-kanak. Dari raut wajah kedua-duanya kami yakin dia adalah anak-anak Kak Sabita.
“Kak Ita! Al-hamdulilah. Doa kami termakbul. Kak Ita balik juga hari ni…” Kataku sambil menyambutnya di muka pintu.
Kak Sabita terharu, airmatanya bercucuran. Kami berpelukan. Mak Lang juga menyambut kepulangan Kak Sabita dengan linangan airmata kegembiraan.


Selesai..

Syukur Alhamdullilah..Semoga anda membaca dengan riang dan komen bebanyak ek!

Terima Kasih!

No comments: