Tuesday, August 5, 2008

Megalomania II Bab 21-34#

Bab 21


SALIM memandang ke arah pintu dapur apabila terdengar ianya dibuka dari luar. Azizah masuk bersama sebiji baldi plastik yang telah kosong. Salim yang sedang menuang minumannya ke dalam gelas terpegun memandang. Azizah memakai baju kurung kedah yang agak lusuh, kain batiknya diikat senteng hingga menampakkan betisnya yang berbentuk cantik, walaupun kulitnya tidaklah begitu putih.
Salim tahu, Azizah baru selesai mencuci pakaian lantas menjemurnya di bahagian luar rumah. Sejak menumpang di rumah itu, Azizah tidak pernah menyebut hendak pulang. Malah dia telah menjadikan rumah itu seperti rumahnya sendiri. Dia rajin. Dapur itu kelihatan kemas dan bersih. Azizah tidur di dapur. Dia telah meletakkan sebuah katil dan tilam lama untuk kegunaan Azizah. Dan keadaan itu sudah pun berterusan selama seminggu.
Kebanyakan orang tidak mengetahui kehadiran Azizah. Hanya Deris sahaja yang tahu kewujudannya di situ. Azizah sering kali keluar mencuci di bilik air yang terletak berhampiran dapur pada awal pagi dan menjemur pakaian ketika cuaca masih gelap. Belum ada pekerja ladang yang datang bekerja. Dia akan duduk di dalam rumah tidak akan menjengukkan mukanya keluar hinggalah menjelang petang. Apabila Salim pulang dari ladang, dan berehat bersama Deris di ruang depan, Azizah terus menyingkir dirinya ke dapur. Dia tidak akan datang jika tidak dipanggil. Selalunya Salim akan meminta Azizah menyediakan minuman untuk dia dan Deris.
Antara dia dan Azizah tidak pernah wujud sebarang ketegangan. Malah mereka hampir-hampir tidak bercakap apa-apa. Terkadang Salim akan mengintip Azizah, ingin mengetahui apa yang dilakukan oleh perempuan itu begitu aman di dapur. Seringkali dia melihat Azizah hanya termenung di atas katil usang itu dan titisan airmatanya kelihatan berjuraian jatuh ke pipi. Salim segera berjingkit-jingkit kembali ke ruang dalam dengan hati penuh tanda tanya. Salim sering buntu, gagal mencari perkataan yang sesuai untuk diucapkan pada Azizah. Dia hanya membiarkan Azizah di situ wujud bagaikan tidak wujud sahaja.
“Kau terlalu rajin…” Kata Salim setelah dua hari dia tidak bertegur sapa dengan Azizah. Hanya perintah yang diulang-ulangnya setiap kali balik dari kerja. Itulah sahaja kata-kata yang ditujukan kepada gadis malang itu.
“Saya tak ada apa nak buat.” Balas Azizah.
“Tapi membasuh pakaian aku bukan kerja kau sebenarnya… Aku boleh lakukannya sendiri dan tidak perlu kau susah-susah.”
“Itu adalah sebagai tanda berterima kasih.”
“Kau tak mahu balik ke bandar? Macamana dengan pekerjaan kau? Dah seminggu di sini. Mesti mereka tertanya-tanya mengapa kau tak datang bekerja.”
Azizah diam. Lama dia membatukan dirinya. Dia merasakan dia sudah kehilangan segalanya. Dia tidak ingin kembali ke bandar. Dia mahu terus berada di rumah itu, biarpun dia tahu di situ dia tidaklah begitu selamat. Bila-bila masa sahaja dia akan dibaham harimau ganas. Berada lebih lama hanya semakin mendekatkan dirinya dengan bahaya.
“Aku rasa lebih baik kau balik ke bandar. Aku akan suruh Deris hantar kau balik ke rumah Sheila.” Dia mulai mengumpan Azizah supaya bercerita.
Azizah memandang tepat ke muka Salim. Salim tidak peduli. Dia meneguk minumannya hingga isi di dalam gelasnya kering. Dia meletakkan gelas kosong kembali di atas meja. Kini dia bergerak ke pintu menghala ke bahagian tengah rumah, menoleh sejenak ke muka Azizah yang masih merenungnya.
“Kenapa kau tak mahu lagi balik ke rumah dia?”
“Saya… Saya telah diusir pergi. Saya memang mahu pindah dari rumah itu.” Akhirnya Azizah tidak berupaya lagi menyimpan cerita itu lebih lama daripada pengetahuan Salim.
“Apa yang terjadi? Bukankah hubungan kamu berdua begitu baik dan intim? Aku fikir, kau akan mengikut sahaja ke mana Sheila pergi, walaupun setelah dia berkahwin dengan Andy Farhan.” Kata Salim, suaranya mengandungi ketegangan. Dia cemburu mengingatkan bahawa Sheila akan berkahwin dengan Andy Farhan.
“Mereka tak jadi kahwin. Itulah punca segala ketegangan yang wujud antara kami. Kak Sheila begitu tertekan. Kehilangan abang Farhan adalah satu misteri yang tidak terungkai. Dan saya… tersepit antara rasa kasihan dan kasih sayangnya yang masih bersisa… Musnah segalanya apabila muncul gadis tu…” Kata Azizah dengan penuh hati-hati.
Cerita itu memang memeranjatkan Salim. Perkahwinan mereka tergendala kerana Andy Farhan menghilang diri. Ke mana? Bisik hatinya ingin tahu.
“Andy Farhan hilang?” Ini cerita paling baik dan sensasi yang pernah didengarinya sejak keluar daripada penjara. Mereka tidak jadi kahwin? Hati Salim bersorak girang. Harapan masih ada untuk dia mendekati Sheila. Tapi…
“Abang Farhan hilang di hari perkahwinannya. Dia tidak muncul hinggalah semua orang mencarinya tetapi sudah tiga bulan berlalu dia masih jua belum pulang. Pihak polis gagal mencarinya. Yang peliknya, tiada sebarang panggilan untuk meminta wang tebusan. Tiada sebarang ugutan…”
Cerita itu begitu menarik perhatian Salim. Dia mendengar cerita Azizah dengan teliti hingga dia tidak berani menyampuk. Apabila Azizah berhenti bercakap, dia memandang gadis itu, mengharapkan dia menyambung kata-kata. Azizah bungkam. Mereka saling berpandangan beberapa ketika, kemudian Salim berkata; “Dia terlalu ramai musuh berbanding kawan.”
“Abang Farhan seorang lelaki yang baik. Mengapa semua orang di sekeliling membencinya? Mengharapkan hidupnya musnah dan hilang segala-galanya.”
Salim menggeleng-gelengkan kepalanya. “Kau tak faham. Kau terlalu naif.”
Lelaki itu diam beberapa ketika sebelum ketawa lembut dan berkata lagi; “Jangan terlalu cepat menilai orang, Azizah. Jangan lekas tertipu dengan kelembutan kata-kata di bibir. Kau tidak akan tahu hati seseorang. Kadang-kadang kau merasakan bahawa kau sudah mengenali seseorang itu dengan sesungguhnya, tetapi sebenarnya kau hanya mengenali dia amat sedikit… sedikit sekali.”
“Barangkali seperti Kak Sheila…” Kata Azizah, ingin berkata lagi tetapi tidak jadi apabila suaranya ditingkah satu suara lain dari arah tangga hadapan. Salim dan Azizah saling pandang-memandang, tidak dapat menduga siapakah tetamu yang datang. Entah mengapa suara itu amat dikenali Salim, tetapi mustahil! Bisik hati Salim sambil terus menerjang ke pintu tengah yang mengarah ke bahagian luar.
Salam terdengar lagi buat kali kedua, setelah tiada sahutan. Salim membuka pintu dengan pantas, untuk memastikan bahawa telinganya tidak berbohong.
“Mak?” Serunya perlahan, sebaik sahaja terpandang muka Makcu Bedah dan Pak Rashid yang berdiri di hadapan tangga rumah.
“Siapa?” Tanya Azizah pula dari belakang Salim. Dia benar-benar ingin tahu, kerana yakin yang datang itu pasti bukannya pekerja ladang.
“Mak aku…” Kata Salim perlahan-lahan dan dia hampir-hampir terduduk apabila Makcu Bedah telah pun terlihat Azizah yang berada di belakangnya. Makcu Bedah benar-benar terkejut melihat Salim bersama dengan seorang perempuan muda di rumah itu.


“MAK tak mahu dengar apa-apa alasan lagi. Cukuplah sudah pelbagai perkara yang kau buat yang memalukan keluarga kita. Sekarang ni kau berzina pula dengan perempuan ni… Mengapa kau tak habis-habis nak menconteng arang ke muka kami?” Tanya Makcu Bedah. Dia benar-benar kecewa. Setelah apa yang berlaku terhadap anak lelakinya itu, amat sukar dia untuk mempercayai setiap kata-katanya lagi. Dia datang setelah mendengar cerita orang bahawa Salim sudah keluar dari penjara.
Dia turut mendengar pelbagai cerita yang dibawa orang. Untuk memastikan kesahihannya, dia telah mengajak Pak Rashid ke Rumpun Makmur. Biarpun anaknya itu bekas banduan, anak tetap anak. Kasih sayangnya masih bersisa… Walaupun Salim pernah memalukan keluarganya, tetapi sebagai darah dagingnya sendiri dia tetap ingin memberikan kemaafan. Dia tahu, Salim rasa malu untuk kembali ke kampung. Dia pasti Salim sengaja melontar diri sendiri ke daerah dan tempat orang lain. Tetapi apa yang dia tidak pasti dan yakin adalah sikap Salim yang tidak pernah berubah.
“Kau ni pun satu, dah tak ada maruah diri sanggup ikut jantan balik ke rumah? Dah tak tahu halal dan haram? Segalanya main redah sahaja… Ingat boleh bahagia hidup dengan cara begini? Ini namanya membelakangkan Tuhan dan agama.” Dia memandang pula ke arah Azizah yang duduk menekurkan mukanya ke lantai. Air jernih turun melebat di pipi. Tidak sempat hendak membela diri dia sudah disumpah seranah. Memandang gadis itu hati Makcu Bedah segera teringat pada Sheila. Jika Sheila jadi menantunya, alangkah baik. Mereka begitu cepat menjadi rapat dan serasi biarpun hanya beberapa kali bertemu.
“Mak… Mak salah…”
“Kau diam Salim!” Tengking Makcu Bedah, sambil memandang pada Pak Rashid. Lelaki itu sejak tadi tidak bersuara apa-apa. Memang dia pendiam tetapi baik hati. Dia tidak ingin menganggu Makcu Bedah yang becok memarahi Salim. Biar… Bisik hatinya. Dia sebenarnya turut tidak menyukai apa yang Salim lakukan.
“Sekarang… Kalau kau masih lagi mahu menganggap kami ni emak bapak engkau, mak mahu kau kahwin dengan perempuan ni.” Kata Makcu Bedah dengan tegas. “Kahwin dan bertaubat, faham?”
Salim dan Azizah benar-benar terkejut mendengar kata-kata Makcu Bedah. Mereka tidak berani untuk memandang antara satu sama lain, bimbang disalahertikan oleh kedua-dua ibubapanya.
“Sekarang juga kamu berdua ikut mak balik ke Kerdau. Kita buat serba sedikit persiapan. Kalau boleh mak nak tengok kau kahwin hari ni juga. Mak tak mahu kau orang bantah apa yang mak katakan ni, kalau kau masih anggap mak ni mak kau. Kalau kau masih hormatkan ayah kau… Jika tidak, anggaplah kami berdua dah mati….” Beberapa titis airmata Makcu Bedah berderai di pipi. Tidak sanggup dia hendak meneruskan kata-katanya lagi menyaksikan peristiwa tidak diduga.
Salim hanya membisu seribu bahasa.

DAN tika suria pun terbenam di ufuk, Azizah sudah rasmi menjadi isteri Salim. Di rumah Pak Rashid dan Makcu Bedah diadakan sedikit kenduri selepas asar. Hanya jamuan kecil. Hidangan pulut dan rendang ayam menjadi santapan penduduk kampung. Ramai saudara mara Makcu Bedah yang datang bertandang. Semuanya menyembunyikan rasa terkejut di sebalik senyuman apabila menemui Azizah di bilik pengantin. Mereka pastilah menyangka perkahwinan tergesa-gesa itu mengandungi rahsia.
Saudara mara Salim memerhati muka Azizah dengan teliti. Mereka hanya tersenyum dalam paksa. Tiada keikhlasan… Bisik hati Azizah kesal. Dia masih berdiri di muka tingkap yang mengadap ke halaman. Dilihatnya Salim masih duduk di bawah khemah kecil yang didirikan di hadapan rumah. Dia masih berbual dengan beberapa orang rakan sekampung. Nampaknya, kepulangan Salim diterima dengan baik. Kecurigaan mereka mungkin sudah beralih arah, bisik hati Azizah lagi sambil memerhati langit yang merah.
Tuhan… Bisik hatinya sendiri. Begini rupanya kisah hidupku…. Takdir Tuhan tidak terduga. Pemergiannya dari rumah itu telah mengubah hidupnya buat selama-lamanya. Kini dia isteri Salim… Dia cuba menyakinkan dirinya dia telah menjadi seorang isteri kepada seorang lelaki yang pernah menjadi tunangan Sheila. Lelaki yang dibencinya? Tetapi mengapa kebencian itu telah lenyap sama sekali? Aneh… Bisik hatinya. Dia tidak lagi merasa takut, malah satu rasa tenteram yang sukar untuk ditafsirkan mengisi dadanya. Langit merah yang indah direnungnya lagi dengan penuh asyik.
Kak Sheila… Bisiknya lagi sendiri. Percayakah kakak Zah dah bernikah dengan Salim? Percayakah kakak kami bukan lagi orang asing tetapi pasangan suami isteri. Tetapi dapatkah kami capai bahagia? Tiba-tiba soalan itu menujah tempurung kepalanya, membuat dahinya berkerut. Apakah perkahwinan itu hanya sekadar di atas kertas semata-mata?
Dia tidak sedar bilakah Salim beredar dari ruang halaman. Saat dia mencari kelibatnya di bawah khemah tiada sesiapa lagi di situ. Wajah langit turut berubah, semakin tua dan kelam. Dia harus menutup tingkap. Siang sudah pun berganti malam. Kehidupannya sebagai isteri telahpun bermula….


Bab 22

“PAPA…” Serunya dengan girang sambil tersenyum. Sudah agak lama dia tidak mendengar suara bapanya itu. Kesibukan telah membataskan pertemuan, namun sesekali masih tetap berhubung. Jarak yang jauh tidak pernah menjadi penghalang. Yang jadi persoalan adalah keinginan, antara mahu dan tidak mengeratkan hubungan dan kemesraan.
“Sibuk?” Tanya bapanya dengan lunak.
“Taklah papa. Sarah baru aje sampai, mengadap meja yang bertimbun dengan kerja.”
“Oooo… Begitu rupanya, pukul sepuluh setengah baru datang. Nanti papa minta bahagian pengurusan ketatkan lagi undang-undang. Baru padan muka Sarah… dapat memo!”
Maisarah tergelak. “Sarah tak makan saman di sini.” Katanya dengan lebih lunak. “Siapa berani pecat? Sebab pengurus pentadbiran tu kamceng gila dengan Sarah.” Dia meneruskan tawanya kemudian bertanya lagi; Papa di mana?”
Dia tahu bapanya itu jarang berada di dalam negeri. Sibuk mengalahkan menteri saja. Bisik hatinya lagi. Dulu dia sering memberontak apabila amat jarang dapat bersama dengan bapanya itu. Mereka bukan seperti keluarga lain yang sering keluar bersiar-siar bersama. Sekarang dia dan adik beradiknya yang lain sudah tidak kisah lagi. Samada bapanya ada di rumah atau tidak keadaannya tetap sama. Setelah meningkat dewasa, ketiadaan bapanya bersama mereka bukan lagi satu kejanggalan. Mamanya juga berperasaan begitu. Mereka sudah terbiasa menjalani hidup sendiri-sendiri. Untuk berkumpul satu keluarga memang sukar sekali. Pasti ada sahaja anggota keluarga yang tidak hadir di saat-saat merancang untuk berkumpul.
Kini dia sudah berada jauh dari rumah ibubapanya. Abang dan kakaknya juga turut membawa haluan masing-masing. Mereka tidak kisah lagi untuk pulang… Seperti dia juga, tidak pernah terfikir untuk balik. Terkadang orang menyangka bahawa dia bersendirian, tidak punya keluarga.
Di pejabat juga begitu. Tiada sesiapa pun tahu bahawa dia adalah anak kepada pemilik syarikat itu. Dia lebih senang begitu. Dia tidak suka menggunakan title bapanya untuk berada di tempatnya sekarang. Dia bermula dari bawah sebagaimana pekerja-pekerja lain. Malah ada juga yang cuba mengaitkan namanya dengan nama pemilik syarikat tempat dia bekerja tetapi dia menafikan sekeras-kerasnya.
“Hanya satu kebetulan, nama bapa I sama dengan nama pengarah urusan syarikat, tetapi tiada kaitan apa-apa.” katanya cuba menyakinkan sesiapa saja.
“Di Mentakab. Lebih tepat lagi di dalam bilik papa di tingkat atas bilik kamu!”
“Hei…” Dia ketawa lembut. “Itu sudah bagus. Bukan selalu papa dapat datang ke anak syarikat papa ni. Macam anak tiri sahaja kami di sini. Papa lebih suka berada di KL.”
“Macam merajuk aje…” Jawab bapanya ketawa. “Datang ke bilik papa sekarang, kita bersembang sekejap. Masih ada masa. Papa akan masuk mesyuarat pukul sebelas pagi.”
“Lain kalilah…”
“Tengok tu, jumpa papa sendiri pun tak mahu!”
Maisarah ketawa lagi. “Papa mahu rahsia terbongkar? Biar semua orang tahu Sarah ini anak papa? Biar semua orang tahu bahawa nama Sarah adalah Maisarah binti Datuk Mustafa?”
Datuk Mustafa ketawa juga. “Yalah. Buatlah kerja…” Dia mengeluh perlahan. “Tapi malam ni kita jumpa. Bawa Sheila. Papa nak jumpa dia. Ada sesuatu yang papa nak katakan padanya…”
“Hmmm… Hati-hati bila sebut nama dia papa! Jangan terlalu obvious sangat papa!”
“Baiklah Cik Sarah. Jangan lupa ajak Cik Sheila bersama supaya saya boleh ‘berkenalan’ dengannya. Malam minggu depan kita jumpa di Center Point Coffee House.”
“OK.” Talian diputuskan, tetapi fikirannya terus bekerja. Bagaimanakah dia harus memujuk Sheila supaya mengikutnya makan malam bersama? Dia amat bimbang sekiranya Sheila sudah punya rancangan dengan Jasman. Lelaki itu tidak putus-putus meneruskan usahanya hendak memikat Sheila dengan pelbagai cara.


“SHEILA… you ada tak baju Farhan?” Pertanyaan yang tiba-tiba itu mengejutkan Sheila yang sedang asyik menonton televisyen. Rancangan drama Filipina dari saluran TV berbayar itu menambat perhatian. Kisah cinta penuh liku, terpisah kerana pengkhianatan. Setiap kali pelakon utamanya mengalirkan airmata sedih, dia turut merasakan air hangat meniti di pipi.
Kini setiap petang dia pulang awal, semata-mata untuk mengikuti kisah percintaan Christian dan Arabella. Sheila sengaja ingin membebaskan diri daripada belenggu kerja, mencari waktu untuk diri sendiri. Mengadap TV adalah satu-satunya aktiviti hiburan yang dia tahu… Kerja tidak akan habis-habis! fikirnya. Dia harus mencari waktu untuk istirahat. Sejak ketiadaan Azizah di rumah itu, dia seperti mengelak untuk pulang awal. Tetapi sampai bila dia harus melakukan itu semua? Dia terpaksa menerima kenyataan bahawa persahabatan mereka sudah pun terlerai… Dia kehilangan seorang demi seorang insan yang rapat dan menyayanginya. Memang sakit, memang perit menghadapi perpisahan ini. Tetapi dia tidak ingin terus menangis dan meratap. Sekurang-kurangnya bersama dia kini ada dua orang insan sebagai pengganti. Jasman… bisik hatinya. Lelaki itu sentiasa bersedia untuk mendengar luahan perasaannya dan Maisarah juga selalu ada di sisi di saat dia memerlukan. Sebenarnya dia tidak pernah kehilangan apa-apa.
“Baju Abang Farhan? Nak buat apa?”
“I… I boleh merasa sesuatu…” Maisarah ingin meneruskan pembohongannya tetapi dia ragu-ragu sendiri. Percayakah Sheila? Selalunya apabila seseorang itu terlalu mengharap, dia akan percaya pada apa saja yang memungkin dia mendapat sesuatu yang dihajati.
“Dengan memegang bajunya mungkin I dapat tahu sesuatu, tentang dirinya… misalnya di mana dia berada…”
Mata Sheila terbelalak memandang ke muka Maisarah. Wajah itu membayangkan rasa tidak percaya yang besar. Maisarah rasa menyesal yang amat sangat. Dia bimbang sekiranya pembohongannya itu tidak dapat ditutup lagi.
“Maksud you kuasa psikik?”
Maisarah mengangguk lambat.
“Mengapa dulu tak beritahu? Tak perlulah kita pergi menemui Mak Biah… Semuanya tidak masuk akal betul. Cerita Mak Biah pun tak boleh dipercayai langsung. Sekarang ni, you pula mengaku punya kuasa psikik?”
Maisarah terdiam. Menyesali tindakannya yang terburu-buru. Sheila seorang peguam, pastilah dia menginginkan sesuatu dengan bukti sahih, bukannya sekadar punya kuasa luar biasa. Orang bodoh pun belum tentu mahu percaya…
“You tak percaya tak apalah. Tapi cubalah dengar dulu apa yang hendak I katakan. I tak suka tonjolkan diri, sebab itulah I diam sahaja selama ini. I tak mahu you salah anggap macam sekarang. Setiap dari kita memang punya naluri, punya gerak hati. Memang patut you tak percaya pada alam mistik dan benda ghaib, sebab benda itu semua tak boleh dilihat dengan mata kasar. Tapi jangan hanya percaya pada benda yang you lihat sahaja tanpa mengambil kira benda-benda halus yang tidak boleh diwujudkan melalui pandangan mata kasar. Terpulanglah…”
Sheila diam sahaja, dia tidak tahu apakah Maisarah bercakap benar atau sebaliknya. Selama ini dia memang tidak pernah bertemu dengan mereka yang mengakui mempunyai kuasa sedemikian rupa. Lagipun kekecewaannya sudah terlalu dalam, harapannya sudah kian kecundang dan dia tidak ingin terus mengharap lagi. Dia mahu melupakan kenangan silam itu dan menghadapi kenyataan bahawa jodoh memang tiada antaranya dengan Andy Farhan. Pun, belum sesaat dia melupakan wajah tunangannya itu.
“Nanti kejap…” Kata Sheila, bangun dan berlalu ke kamar tidur. Tidak lama kemudian dia turun bersama sehelai jaket milik Andy Farhan.
“Dia pernah pinjamkan jaket ni suatu masa dulu. I lupa nak pulangkan. Bolehkah…?” Dia bertanya, tapi tidak dengan sepenuh hati. Dilihatnya Maisarah memandang jaket kulit yang berhulur ke arahnya tanpa suara.
Maisarah menganggukkan kepalanya. “Tapi bukan sekarang…” Katanya perlahan. “Malam nanti I akan cuba…” Diambilnya jaket itu lalu dibawanya masuk ke dalam kamar. Setelah dia menutup pintu kamarnya, dia mencampakkan jaket itu di atas katil kemudian ketawa sendirian. Percaya juga kau akhirnya! Dia meneruskan tawanya hingga hatinya benar-benar puas.
Dihumban tubuhnya ke atas katil sambil meramas-ramas jaket milik lelaki kacak itu. Dia memejamkan mata, cuba mengimbas kembali pertemuan yang pernah terjadi. Otaknya ligat berfikir bagaimanakah dia harus memberitahu Sheila satu lagi pembohongan tanpa sebarang syak wasangka.
Awal pagi esoknya dia terus meluru ke kamar Sheila, mengetuknya dengan bertalu-talu. Sheila yang baru sahaja berbaring semula setelah mendirikan solat subuh terkejut mendengar ketukan kuat itu. Tergesa-gesa dia bangun membuka pintu.
“Kenapa Sarah?” Dia bertanya kehairanan.
“You takkan percaya… You takkan percaya Sheila!”
“Apadia?” Tanya Sheila masih terus diburu rasa hairan.
“I telah bermimpi. Mimpi itu begitu jelas, seakan-akan benar terjadi. I telah pergi ke satu tempat. Malah I boleh gambarkan segalanya dengan jelas.”
Dahi Sheila berkerut. “Bagaimana? Apa yang you mimpikan ni?”
“Tempat Farhan disembunyikan. Maksud I dia telah diculik oleh orang dan disembunyikan di suatu tempat sulit.”
Sheila tidak bersuara apa-apa, hanya menelan air liur. Dipandangnya muka Maisarah yang kelihatan ceria dan bertenaga hendak menceritakan mimpinya. Dia sudi mendengar tetapi dia tidak sudi untuk mempercayainya.
“Ceritalah…” Seru Sheila perlahan.


“APA yang dia sedang buat?” Tanya Manaf sambil mengetuk pangkal puntung rokoknya di atas permukaan kuku ibujarinya. Dia sering mengetuk-ngetuk puntung rokoknya sebelum menyalakan api, seolah-olah perbuatan adalah satu kemestian. Kemudian barulah dia mencucuh api lantas menyedut nikmat tembakau gudang garam itu.
Dia samasekali tidak pernah peduli pada sekian banyak iklan serta kempen yang mempamerkan tentang keburukan menghisap rokok. Apalagi rokok gudang garam yang punyai keistimewaan tersendiri kerana digoreng dengan pelbagai rempah ratus bersama tembakau. Rasanya yang manis terasa di bibir setiap ianya disedut, memberikan nikmat tidak terhingga. Peduli apa pada paru-paru yang menerima bahananya. Peduli apa… Barangkali menghisap rokok itu harus hingga ke penghabisan hidupnya kelak.
“Nampaknya perempuan tu masih bercakap-cakap dengannya walaupun dia sebenarnya tidak melayaninya langsung.”
“Biar, kita tunggu sekejap lagi…” Kata Manaf, sambil terus menyedut rokoknya. Pinggan dan gelas di meja sudahpun kosong. Maisarah mengangkat tangan memanggil pelayan untuk membuat pesanan baru.
Beberapa minit berlalu, Manaf leka menghabiskan rokoknya sambil mata memandang penyanyi di pentas sedang mengalun suara. Sesekali Maisarah menjeling ke arah Farhan dan dilihatnya lelaki itu sedang memanggil pelayan.
“Dia nak blah dah…” Beritahu Maisarah.
“OK.” Manaf turut membuat bayaran. Mereka keluar. Kedua-duanya melihat Andy Farhan sudah masuk ke kereta. Manaf cepat-cepat masuk ke pajero diikuti oleh Maisarah. Mereka mengekori kereta Andy Farhan dari jarak yang agak jauh, tidak ingin menimbulkan kecurigaannya. Tiba di satu jalan sunyi, dia memotong kereta itu lantas bergerak laju beberapa meter ke hadapan, pantas menyembunyikan pajero di dalam semak. Kemudian Maisarah menunggu ketibaan kereta Andy Farhan di tepi jalan lantas menahannya.
“Kenapa?” tanya Andy Farhan, sambil menurunkan cermin keretanya.
“Tolong! Abang saya… dia cedera…cedera…dilanggar orang!” Seru Maisarah dengan cemas yang sengaja dibuat-buat. Andy Farhan parkir ke tepi jalan dan mengikutnya ke tepi semak. Di situ Manaf telah sedia menunggu dengan sebatang kaku lantas terus memukul tengkuk lelaki itu. Andy Farhan rebah ke bumi. Tubuhnya diangkat ke dalam pajero. Kemudian Maisarah memandu pajero meninggalkan tempat itu, sementara Manaf memandu kereta Andy Farhan, lantas meletakkannya di suatu lain yang jauh dari jalan itu. Rancangan itu telah mereka atur serapi yang mungkin. Dengan pajero itu juga Maisarah telah membawa Andy Farhan ke rumah kecil lagi terpencil di tepi hutan berdekatan dengan Taman Negara. Syarikat Datuk Mustafa memang mendapat konsesi menebang balak di kawasan berdekatan. Jadi rumah itu sering dijadikan tempat untuk berehat. Kini rumah itu akan dikunci dan tiada seorang pekerja pun dibenarkan untuk mendekatinya.
Datuk Mustafa juga telah mengarahkan orang-orangnya menyiapkan sebuah rumah kongsi agak jauh dari rumah kecil itu. Justeru itu para pekerjanya tidak akan datang lagi ke rumah itu. Malah dia turut meminta Manaf mengada-ngadakan cerita bahawa rumah itu tidak selamat lagi untuk dihuni dan dikunjungi.


“RUMAH tu terletak di mana?” Tanya Sheila ingin tahu. Cara Maisarah bercerita seolah-olah dia mengalaminya sendiri dan bukannya bermimpi… bisik hati Sheila.
“Di… di… tepi hutan, berdekatan Taman Negara.”
“Taman Negara?”
Maisarah mengangguk lambat. Sorry papa… dia berbisik di dalam hati. Sarah terpaksa buka sedikit dari rahsia kita. Untuk mendapatkan kepercayaan Sheila, dia terpaksa melakukannya. Jika tidak, segalanya pasti akan menjadi sia-sia. Dia mesti beri peluang pada Sheila terus meletakkan kepercayaannya. Dan itu semua bukanlah mudah.
“Patutlah I rasa sesuatu semasa kita pergi bercuti ke Taman Negara…”
“You rasa sesuatu…?” Sheila sedikit terperanjat. “Mengapa tak beritahu I apa-apa.”
“Itulah macam I cakap tadi, bukan semua orang percaya. I paling takut kalau orang cakap I pembohong.”
Sheila terdiam, dia merasa tersindir. Tidak lama kemudian Sheila berkata; “I mesti beritahu Uncle Bahtiar.” Dia sudah bangkit dan bergerak ke meja solek. Handphone dicapai dan digenggam.
“Jangan! Jangan libatkan sesiapa lagi. Kita usaha berdua sahaja… macamana? I tak kuasa nak yakinkan orang lain. I takut mereka tak percaya. Kita cuba cari sendiri rumah tu, OK?”
“Gila! Bukankah itu kerja gila?”
“Percayalah. Kita akan dapat menemuinya…Ini adalah suatu petanda yang baik. Sekurang-kurangnya I dah tahu lokasinya. Taman Negara.” Maisarah menggenggam tangan Sheila dengan erat. Dilihatnya airmata gadis itu hampir menitis tetapi dia menahannya. Sheila tidak mahu butiran mutiara jernih itu putus lagi di pagi yang jernih itu. Jika menangis pun, biarlah tika bersendirian.


Bab 23

BEBERAPA kali dia mendengar suaminya menyeru nama Sheila di dalam tidur. Dia tergamam, berdiri kaku di celahan pintu yang baru dikuak. Dadanya berdebar-debar, bimbang Salim akan terjaga. Rasa ingin tahunya menggunung tinggi. Setiap malam Salim berkeadaan begitu, diganggu igau dalam setiap lenanya. Biarpun sudah seminggu menjadi suami isteri tetapi dia tetap tidur di dapur. Dia dan Salim tidak pernah menikmati malam pertama.
Apakah dia kecewa diperlakukan seperti itu, lebih-lebih lagi apabila Salim masih terus termimpi-mimpikan Sheila? Apakah dia merasai sesuatu yang ganjil? Hari demi hari hubungan itu semakin sulit. Salim tidak pernah mempedulikannya samasekali seolah-olah dia tidak wujud. Hatinya terasa kosong. Selebihnya hanya rasa hina dina yang tidak tertanggung. Sheila masih bersama mereka, biarpun jarak yang memisahkan begitu jauh. Dia percaya pertemuan mungkin tiada lagi antara mereka. Mengingati pun dia tidak sanggup!


“HEI, awalnya keluar… Nak ke mana?” Tanya Jasman dari arah tembok di sisi kanan rumah Sheila. Sheila menoleh tidak jadi hendak masuk ke kereta. Belum sempat dia menjawab, Maisarah lebih dahulu menyampuk; “None of your business.”
“Amboi! Sombongnya… I sebenarnya tak tanya you. I tanya Sheila.”
Sheila hanya menggelengkan kepalanya dan tersenyum memandang Jasman. Dia sebenarnya tidak suka pada kekasaran sikap Maisarah itu. “Kami ada hal…”
“OK. Hal yang masih rahsia, yang I tak boleh tahu. Tapi I takkan mengalah… Semakin banyak rahsia semakin menarik untuk dibongkar. Kalau semuanya sudah terlerai, tak adalah apa-apa lagi untuk diperkatakan, bukankah begitu? Memang baik jika simpan rahsia supaya tidak kehabisan modal untuk berbicara!” Kata Jasman masih lagi dengan muka manis. Tidak langsung menunjukkan kekecewaannya.
“Begitukah caranya you menafsir seseorang perempuan?” Tanya Sheila ingin tahu. “Setelah you dapat memilikinya, akan ditinggalkan begitu saja. Maklumlah dah tak ada apa-apa lagi yang tertinggal…”
“Jangan salah tafsiran, Sheila sayang. I tak maksudkan apa yang I katakan mengenai seorang perempuan.”
“Habis… mengenai apa, Encik Jasman? Beritahulah, supaya I tidak terkeliru. I selalu confuse bila bercakap dengan you. You bercakap tentang diri I tetapi memesongkannya ke arah orang lain!”
“Cepatlah Sheila!” Maisarah menggesa. “Kalau nak berborak, cari masa yang lebih sesuai. Sekarang kita mesti bertolak pergi supaya tiba tepat pada waktunya.”
“OK. Pergilah Sheila. Tentu perkara yang you berdua hendak lakukan lebih penting daripada perbualan ini. Jaga diri baik-baik dan selamat berjaya.” Ucap Jasman meneruskan senyumannya.
Maisarah cepat-cepat masuk ke dalam kereta dengan muka masam, sementara Sheila ikut duduk di sebelahnya. Dia terus beredar tanpa mempedulikan Jasman yang leka memerhati.
“Miang… gatal! Pantang berjumpa, asyik nak menggoda saja!” Kutuk Maisarah dengan nada suara yang mengandungi kemarahan. Sheila hanya tergelak. Dia tahu siapa yang Maisarah maksudkan.
“You… You pernah ada boyfriend Sarah?”
Pertanyaan itu mengejutkan Maisarah. Dia menjeling Sheila di sisinya tanpa suara. Agak lama dia terdiam kemudian menjawab; “I tak pernah percayakan lelaki. I bencikan kaum tersebut terutamanya yang chauvinist dan bias…”
“Tapi suatu masa nanti kalau ada jodoh, you harus berkahwin dengan lelaki juga bukan? Kaum Adam adalah kaum yang terpilih oleh Tuhan untuk menjadi pemimpin bagi kaum Hawa. Malah kalau you kutip semula ayat-ayat suci dari al-Quran, Hawa dijadikan Tuhan dari tulang rusuk Nabi Adam, supaya sentiasa dekat dengannya…”
“I takkan kahwin.” Jawabnya dengan nada tegas dan sombong. Kemudian dia terus diam lagi beberapa ketika. Sheila membiarkan Maisarah hanyut dalam arus fikirannya. Dia mengagak, ada sesuatu yang berlaku yang membuat Maisarah dingin terhadap lelaki.
“I tahu you masih mengimpikan majlis perkahwinan yang indah dan gemilang bersama Andy Farhan. Tapi apakah itu semua akan terjadi? Apakah you akhirnya akan bernikah dengan lelaki pujaan you tu? Atau you akan menjadi tua, bersendirian menghabiskan sisa-sisa hidup di rumah orang-orang tua?”
Sheila tidak menjawab. Dia tidak pernah membayangkan hidup sepi sendirian tanpa suami dan anak-anak. Tiba-tiba dia merasakan ingatan-ingatan itu begitu kejam. Kata-kata itu bagaikan satu doa untuk melihat dia merana, menjadi satu kenyataan.
“Mengapa you cakap macam tu? Seolah-olah you mahu itu semua berlaku pada I?” Tanya Sheila sedikit tersinggung.
Maisarah ketawa, tadi dia terlalu mengikut rasa hati yang marah. “Tidaklah. Kalau I mahu lihat you hidup sendirian macam tu, tak adalah I nak tolong you cari Andy Farhan. Lebih baik I duduk di rumah saja, mengadap TV di hari minggu macam ni!”
Sheila terdiam, kata-kata Maisarah terus bermain-main dalam ingatan, menjadi stigma yang mencalar perasaan. Kereta dipandu laju melintasi Jambatan Sultan Ahmad Shah, di bawahnya terentang sayup mata memandang, Sungai Pahang yang berliku-liku bagai ular dipalu. Sheila memandang Maisarah bertanya dingin setelah perbualan terputus lama antara mereka.
“Apakah you tersalah jalan? Tadi you kata kita akan ke Taman Negara.”
Maisarah mengangguk. “Memang. Tapi bukan ikut Jerantut. Kita melalui jalan kampung.” Terang Maisarah. Sheila mengerutkan keningnya kehairanan. Dia tidak sangka Maisarah amat mahir dengan jalan-jalan di situ, lebih-lebih lagi apabila bersangkut-paut dengan jalan rentas yang hanya diketahui oleh penduduk tempatan.
“Mengapa?”
“Entahlah. Gerak hati I menyatakan kita ikut jalan ini. Sebenarnya jalan ini adalah jalan darat walaupun agak jauh sikit. Tapi percayalah, melalui jalan ini you akan dapat melihat pelbagai pengalaman menarik juga. Ada banyak rumah-rumah kampung yang akan kita tempuhi. Pelbagai rekabentuk, melambangkan taraf hidup penduduk kampung itu sendiri. Kita akan singgah sekejap di Gunung Senyum.”
“Gunung Senyum. Buat apa nak singgah di situ? Ada apa-apa yang menarik?”
“Nanti you tengoklah sendiri, kehebatan gunung tersebut. I minat mendaki gunung. Sudah lama tak melakukannya. Dulu kerap kali pergi… sekarang sejak dah kerja tak ada masa. Jika ada pun, itulah masih terbelenggu dengan pelbagai hal lain pula.”
“Hei, you rasa menolong I ni satu bebanankah?”
Maisarah segera menggeleng. “Tidak… Tidak sayang. I tak langsung rasa ini satu bebanan. Malah I rasa gembira dapat mengenali you dan mendampingi you. Tak perlu libatkan orang lain, terutama sekali si Jasman tu. Menyibuk betul. Selalu hendak tahu apa yang you buat, ke mana you hendak pergi. Dia fikir, dia tu siapa?”
“Dia tu sebenarnya seorang yang prihatin.”
“Ah! Mengarut. Ada sebab dia buat macam tu!”
Sheila diam. Kata-kata Maisarah tidak disenanginya. Dia yakin Jasman ikhlas. Keikhlasan itu tidak perlu dipertikaikan. Mereka hanya bersahabat, seperti jua persahabatannya dengan Maisarah.
“Apa pun sebab musababnya, I tak pernah rasa terganggu dengan kehadiran Jasman.”
“Jadi, you sukakan dia?” Pertanyaan itu bernada keras sedikit, hingga Sheila terkejut. Dipandangnya muka Maisarah yang tegang. Matanya terus terpaku ke jalan raya. Dia langsung tidak menoleh ke arah Sheila yang masih memandangnya penuh tandatanya.
“Ya. Suka… Sebagai sabahat. Persahabatan lebih jujur dari cinta. Lagipun apabila percintaan terputus, tidak akan pernah terjalin persahabatan.” Jawab Sheila dengan penuh keyakinan.
“Maksud you persahabatan boleh beralih kepada cinta? Seperti yang terjadi di antara you dengan Salim?”
Sheila diam. Dia tidak menyangka bahawa dalam diam Maisarah tahu terlalu banyak tentang kisah hidupnya.
“You tahu tentang Salim juga? You kenal dia…?”
Maisarah terdiam, baru menyedari bahawa dia sudah terlanjur kata; “Tak… I tak kenal dia. Tapi I pernah dengar Azizah menyebut namanya dan bercerita tentang hubungan you berdua. You pernah bertunang dengannya kan? Tapi tak jadi kahwin…”
“Ya, macam tu lah nasib I, selalu tak jadi kahwin. Mungkin benar juga, I akan habiskan masa tua di rumah kebajikan.” Kata-kata itu memang pahit, tetapi jika harus menjadi kenyataan dia akan menerimanya dengan tabah.
Maisarah terus memandu dengan laju, di wajahnya tergambar ketegangan yang kian hebat. Sheila menepuk pahanya yang berbalut dengan seluar jean ketat. Maisarah menoleh sejenak. Mukanya masih terus tegang.
“Mungkin kita akan sama-sama duduk di rumah orang-orang tua, katil sebelah menyebelah.”
Maisarah tergelak kecil.
Perjalanan kian jauh dan Sheila tidak jemu-jemu memerhati sekeliling. Benar bagai dikata, rumah-rumah itu mengingatkan dia akan perjalanan yang dilaluinya suatu masa dulu. Sudah lama dia tidak mengunjungi rumah agam Zaiton dan Bahtiar.
Sheila tidak ingat lagi sudah berapa buah kampung yang dilintasinya. Matahari semakin garang memancar, memantulkan sinarnya melalui cermin hadapan kereta. Jalanraya bertar hitam itu semakin sempit, menunjukkan bahawa perjalanan mereka sudah semakin jauh ke pedalaman.
Mereka memasuki sempadan kampung. Rumah-rumah semakin jauh kedudukannya antara satu sama lain.
“Kampung apa ni? Nampaknya macam tak ramai orang… Rumah pun hampir-hampir tak kelihatan.” Kata Sheila.
Maisarah mengangguk. Sheila memerhati sekeliling. Memang kawasan kampung itu diselubungi hutan. Gerun juga dia memikirkan bagaimanakah penduduk kampung itu boleh hidup di kawasan yang terpencil dan jauh daripada bandar.
“Kampung Rumpun Makmur.” Beritahu Maisarah. Sheila memerhati muka Maisarah bersama rasa kagum. Sebaik sahaja dia berkata begitu, tiba-tiba kereta yang sedang dipandu laju terhinggut-hinggut, pergerakannya semakin perlahan dan akhirnya berhenti.
“Kenapa ni?”
“Tak tahu…” Kata Maisarah, memerhati ke arah bahagian hadapan kereta yang tiba-tiba dipenuhi asap.
“Minta-minta janganlah rosak di tempat terpencil macam ni…” Doa Sheila penuh harapan. Maisarah tergesa-gesa bergerak keluar dari kereta lantas membuka bahagian hadapan. Asap terus galak naik berkepul-kepul, memecah ke permukaan udara yang panas terik itu. Kerisauan di hati Sheila bertambah apabila melihat muka Maisarah yang muram. Dia dapat meneka masalah yang bakal melanda mereka. Terkandas di tempat sunyi dan terpencil itu, di pinggir kampung yang tidak berorang. Kepada siapa hendak diharapkan? Keluhnya sendiri di dalam hati.

“BANG! BANG!” Seru Deris tergesa-gesa mendekati Salim yang sedang sibuk memerhati para pekerjanya memasukkan buah-buah tembikai ke dalam lori. Sepuluh biji bakul besar sudah tersusun di dalam lori pick-up berwarna merah itu. Musim mengutip buah-buah tembikai yang sudah tua, semakin rancak. Ramai pekerja diupah bekerja di ladang. Salim hanya datang untuk menyelia mereka bekerja. Jika dia tidak berpuas hati, dia akan mengarahkan mereka menurut kehendaknya. Kebanyakannya akan segera patuh dan akur.
Kepalanya ditutupi topi jerami itu dibuka sambil dikibasnya ke dada. Panas terik mentari tengahari itu tiada sesiapa pun yang sanggup menahannya.
“Hah! Kenapa Deris?” Tanya Salim kehairanan.
“Aku nampak… Ada dua orang perempuan tak jauh dari rumah ni…” Beritahu Deris dengan suara tersekat-sekat. Termengah-mengah dia menghela nafas, tidak sabar hendak menyampaikan berita ‘sensasi’ yang baru dilihatnya.
Salim ketawa. “Apalah kau ni! Macam tak pernah tengok perempuan. Biarlah. Peduli apa aku dengan dua orang perempuan tu?”
“Tapi ini lain. Aku tengok kereta mereka rosak di tepi jalan tak jauh dari rumah abang. Mereka tu orang luar, tapi aku cam mereka bang… Aku cam…” Kata Deris dengan bersungguh-sungguh.
“Siapa mereka?”
“Sheila… Sheila dengan kawannya.”
“Kau jangan main-main, Deris. Nanti tak pasal-pasal makan penampar sulung aku ni!” Balas Salim marah. Dia menyangka Deris cuba mempermain-mainkannya.
“Sumpah bang! Memang salah seorang daripada perempuan tu adalah Sheila. Aku cam walaupun aku tengok dia dari jauh. Kan dulu abang yang suruh aku pergi mengintip pergerakannya?”
Salim terdiam, memerhati tepat ke muka Deris. Pemuda itu tersengeh-sengeh. Dia tahu apa yang terkandung dalam fikiran Salim.
“OK. Bagi sini kunci motor, aku pergi tengok sekejap. Kalau bukan Sheila… Adalah orang yang akan makan penampar nanti!”
Deris menelan air liur pahit. Dia takut jika Salim benar-benar melaksanakan kata-katanya itu. Biarpun baru mengenali Salim, tetapi dia tahu lelaki itu jenis manusia yang akan mengotakan apa saja yang diucapkannya.


SHEILA mengelap mukanya yang berpeluh dengan tisu. Sudah hampir setengah jam mereka terduduk di tepi jalan, memikirkan apakah ikhtiar yang harus dilakukan. Kereta tidak boleh digerakkan, enjin terlalu panas. Air di dalam tangki sudah pun kering. Matahari pula terik membakar. Mereka harus membiarkan enjin sejuk terlebih dahulu kemudian mencari sumber air untuk memasukkannya ke dalam tangki. Tapi di manakah pertolongan itu akan mereka dapatkan?
Kedua-duanya menoleh ke satu arah, apabila terdengar bunyi deru motorsikal. Di sebalik semak, tiba-tiba muncul sebuah motorsikal. Sheila segera membuat agakan rambang, bahawa di sebalik semak itu adanya simpang yang menghala ke rumah orang. Motorsikal itu sedang menghala ke arah mereka. Lelaki yang menunggang motorsikal itu memakai topi jerami yang lebar, menutup sebahagian daripada kepalanya. Dia kelihatan seperti seorang pekerja ladang. Bajunya tampak buruk sekali dan seluar bermudanya juga sudah lusuh. Motorsikal itu semakin mendekat dan wajah lelaki itu kian jelas. Sheila mengerutkan keningnya benar-benar terperanjat apabila melihat lelaki itu adalah Salim. Jika dia punya kesempatan, mahu dia melarikan diri tetapi dia hanya duduk membatu. Seluruh tubuhnya yang kepanasan tiba-tiba dihujani peluh dingin. Dia meramas-ramas tangannya yang sejuk seperti airbatu. Mata mereka saling berpandangan sebaik sahaja Salim memberhentikan motorsikalnya. Pandangan Salim hangat dan memberangsangkan. Bibirnya tersenyum ramah, sebaliknya Sheila hanya menggigit bibir penuh gelisah.
Kenapa dia ada di sini? Apa dia buat di kampung terpencil ni? Hatinya digayuti pertanyaan demi pertanyaan yang tidak berjawab.
“Kenapa ni? Kereta ni ada masalah?” Salim bertanya. Pertanyaan itu ditujukan kepada mereka berdua. Maisarah lebih dahulu bangkit, menceritakan masalah yang dihadapi.
“Hmmm… Jangan bimbang. Saya akan cuba menolong.” Balas Salim, kembali semula ke arah motorsikalnya. “Tunggulah sekejap.” Dia senyum sekali lagi ke arah Sheila. Sheila hanya membalas senyuman itu hendak tak hendak sahaja.
“You kenal lelaki tu…?” Tanya Sheila menduga. Maisarah menggelengkan kepalanya.
“Tidakkah you punya firasat tentang dia? You pernah katakan bahawa you punya gerak hati. Haaa… Betullah gerak hati you tu! Sesuatu akan berlaku, di sini…”
“Hei, jangan nak menyindirlah!” Maisarah menggigit bibir menyimpan rasa amarahnya di dalam hati.
“I tak menyindir. Tadi tu… You tak kenal? Dialah Salim, bekas tunangan I.”
“Haaa… Itukah Salim? Patutlah you tiba-tiba kaku macam patung. Pasti you terkejut jumpa dia di sini. Apa dia buat di sini?” Maisarah terkejut. Bibirnya tercebik sedikit. “I ingat dia seorang lelaki yang handsome, macho…”
“Dulu, dia handsomelah juga… Tapi tadi I tengok, dia macam pekerja ladang!” Sheila tiba-tiba ketawa. Buat pertama kalinya dia merasakan penampilan Salim benar-benar berlainan. Dia mengakui tidak pernah melihat Salim berada dalam keadaan seperti itu. Kulitnya kelihatan lebih gelap daripada dulu, mukanya berminyak dan sekarang dia sudah memiliki kumis. Dia nampak lebih tua daripada usia, padahal dia bukanlah tua benar. Usianya belum pun mencecah tiga puluh tahun tapi kelihatan seperti lelaki yang berusia 35 tahun! Benar-benar buruk… dan tua! bisik hatinya lagi.
Apakah perasaan itu wujud kerana didasari rasa benci? Atau sememangnya dia cuba menafikan kenyataan bahawa sesekali dia tetap teringat pada kenangan lalu. Persahabatan yang pernah terjalin… Tapi persahabatan itu tiada keikhlasan. Salim hanya berpura-pura baik untuk menambat hati. Masihkah Salim bersikap demikian? Atau dia sudah insaf?
Sejurus kemudian Salim datang kembali. Dia lebih banyak membuat kerja daripada bercakap. Dia memang cekap… bisik hati Sheila yang masih duduk di tubir jalan di atas rumput, memerhati sahaja ke arah Maisarah dan Salim yang masih membelek-belek bahagian enjin kereta tersebut. Akhirnya Maisarah menutup bonet kereta itu sambil menyapu-nyapu kedua belah tangannya.
“At last, selesai. Dah boleh teruskan perjalanan.” Kata Salim sambil tersenyum.
“Terima kasih, encik…” Maisarah sengaja menggantungkan kata-katanya, mengharap Salim memperkenalkan dirinya.
“Salim.” Balas lelaki itu tersenyum. “You?”
“Maisarah.” Kata Maisarah pula sambil menjeling ke arah Sheila. “Itu kawan I, Sheila.”
“Aku kenal dia…” Jawab Salim sambil mengangkat tangannya ke arah Sheila. Sheila hanya tersenyum dari jauh. Tidak mungkin dia akan datang mendekati Salim. Biarlah Salim tahu, bahawa antara mereka ada batas dan jarak yang memisahkan.
“You berdua ni nak ke mana? Macamana boleh sesat ke sini?”
“Hmmm… Sebenarnya kami nak ke taman Negara, bercuti.”
Salim mengangguk. “Aku rasa segalanya dah OK. Tak ada masalah lagi. Selamat bercuti.” Dia memandang Sheila, berharap gadis itu akan datang mendekatinya. Tetapi Sheila tidak bergerak dari tempat dia duduk. Dia terasa malu hendak datang kepada gadis itu. Dia juga punya maruah dan harga diri. Kelihatannya dia benar-benar tidak diperlukan lagi… bisik hati Salim. Biarpun Sheila tidak berteman kini, tetapi Salim tahu Sheila tidak akan sudi lagi menjadikan dia sebagai kawan jauh sekali kekasih.
Ahh… Sheila. Tidak sudi engkau datang menghampiri dan mengungkapkan ucapan terima kasih. Apakah sekarang dia terlalu hina di mata Sheila? Apakah kesilapan lalu itu tidak boleh dimaafkan. Apakah dia harus mencurahkan seribu kebaikan, barulah Sheila mempercayai bahawa cintanya tidak pernah padam.
Salim bergerak pergi. Tidak sanggup menoleh lagi ke arah Sheila. Hatinya pedih, sayu, marah, rindu dan kecewa. Semuanya saling beradu dan beramukan dalam dadanya.


Bab 24

SALIM tidak berselera hendak menjamah nasi dan lauk yang tersaji di hadapannya. Malam itu isterinya menyediakan ikan tilapia merah masak masam manis. Hatinya rusuh. Mengingati masakan ikan tilapia itu membuat segalanya seperti berulang kembali. Kenangan itu masih bermain-main di kepalanya. Makan tengahari bersama Sheila di rumah emaknya di Kerdau. Diajarnya Sheila makan ikan patin dan tilapia. Betapa manisnya kenangan tika mereka masih bersama. Seleranya bagaikan terbantut. Pandangannya terus dibayangi wajah Sheila. Pertemuan singkat tengahari tadi benar-benar menghantuinya. Setelah pulang dari ladang, dia masih gagal untuk melupakan pertemuan tidak terduga itu. Dipandangnya pinggan yang masih penuh. Di situ dia terlihat wajah Sheila yang muram.Wajah yang langsung tidak dibayangi senyuman.
Sheila! Bisik hatinya. Mengapa kita harus berpisah? Mengapa persahabatan dan percintaan kita harus berakhir dengan persengketaan. Apakah semuanya salahku seorang? Tidak! Kesalahan itu bukan terletak pada dirinya seorang. Andy Farhan turut menyumbang ke arah musnahnya persahabatan yang erat antara mereka. Di manakah lelaki itu sekarang? Dia terasa bagaikan ingin bersemuka dengan Andy Farhan. Apakah yang akan dilakukannya? Menghadiahkan sebiji penumbuk padu di mukanya?
Sheila! Seru hatinya lagi. Aku masih cinta padamu! Rasa cinta ini sungguh-sungguh menyeksa dirinya. Dia memejamkan mata, cuba menghapuskan bayangan wajah Sheila yang sentiasa datang bertandang. Dipandangnya Azizah yang leka membasuh pinggan di sinki. Di situ dia terlihat bayangan wajah Sheila. Dia terasa bahawa Azizah itu persis Sheila. Salim menggosok-gosok matanya. Hatinya rasa tambah sakit dan pedih. Azizah tidak akan menjadi Sheila… bisik hatinya. Dia tetap Azizah… perempuan itu telah pun menjadi isterinya.
“Azizah…” Dia memanggil. Panggilan itu agak lembut sedikit dari biasa.
“Ya, Encik Salim.”
Biarpun jawapan itu mengandungi rasa hormat dan takut, tetapi hati Salim tidak terhibur. Rasa marah dan tidak senang tetap wujud. Dia selalu merasakan apa sahaja yang diucapkan oleh Azizah menyakitkan telinga dan menaikkan darahnya.
“Jangan panggil aku Encik Salim lagi, faham? Kau tak tahukah aku sekarang ni bukan lagi macam dulu? Kau tak nampakkah yang aku ni tak ubah macam kuli ladang tembikai. Apakah kau buta? Aku ni tak lagi handsome, kacak, menarik macam masa aku masih lagi seorang peguam. Peguam yang mahsyur… yang punya ramai kenalan, yang ada kekasih hati yang cantik. Sekarang ni aku…” Dia tidak sanggup lagi hendak menyebut apa-apa. Hatinya terasa semakin pedih dan terhina. Satu rasa yang amat sakit untuk ditelan.
Betapa setiap insan itu amat bencikan penghinaan dan menyukai sanjungan. Dia tidak akan berjaya membangunkan semangat untuk meneruskan hidup ini jika hatinya diselubungi rasa hina dan rendah diri. Tidak! Dia harus berusaha untuk menjadi lebih baik dan kembali seperti dahulu, menjalani hidup yang terurus.
Azizah menggigit bibir. Malam itu sikap Salim aneh. Tidak pernah dia bersikap begini. Selama ini biarpun dia lebih suka diam sahaja, biarpun kedinginannya itu tidak menyenangkan hati Azizah. Tetapi keanehannya malam bagaikan memberikan satu tanda bahawa dia akan melakukan sesuatu yang di luar dugaan.
“Habis… Habis… saya nak panggil apa?” Tanya Azizah tergagap-gagap.
“Panggil apa saja! Panggilan yang lazim seorang isteri terhadap suaminya. Kau ni memang terlalu bodoh untuk menilai sesuatu ikatan. Jangan panggil Encik Salim lagi! Apakah kau mengerti apa maksudku?”
“Encik Salim mahu saya panggil… panggil abang? Kalau itu yang Encik Salim maksudkan, saya akan menurut.” Azizah berkata dengan wajah polos. Matanya menatap tepat ke wajah Salim. Namun hanya sebentar. Cepat mukanya tertunduk semula dengan wajah yang merah membahang.
“Dengar sini…” Kata Salim sambil memegang tengkuk Azizah agar mendongak memandang mukanya. Tidak dipedulikan sama sekali pada ketakutan yang bersarang di dalam dada Azizah saat itu.
“Malam ni, kau tidur di bilik aku…”
“Tidur di bilik….” Ulang Azizah dengan bibir menggeletar.
“Ya. Kenapa? Kau tak mahu tidur di bilik aku? Kau takut? Aku suami engkau Azizah. Aku berhak ke atas engkau. Apakah kau tak mahu memberikan hak aku sekiranya aku mahu menuntutnya. Sekarang… siapkan kerja engkau secepatnya. Aku tunggu di bilik.”
Salim bingkas bangun, memanjat tangga papan yang menghala ke tingkat atas. Dia meluru masuk ke bilik tidur, kepalanya dipenuhi dengan pelbagai pemikiran. Pemikiran yang kacau bilau. Lampu dihidupkan hingga bilik itu menjadi terang. Kemudian dia bergerak ke tingkap, membukanya. Di dada langit terlihat kerlipan bintang. Malam itu begitu indah. Beberapa minit kemudian dia terdengar gerakan di muka pintu yang ternganga. Dia menoleh. Dilihatnya Azizah berdiri di tengah-tengah pintu. Wajahnya dibayangi ketakutan. Salim memandangnya tidak berkelip. Penampilan Azizah malam itu langsung tidak mengghairahkan perasaannya.
Perempuan itu memakai baju kurung kedah yang lusuh, berkain batik senteng. Bahagian hadapan baju kelihatan sedikit lembab kerana dia baru sahaja lepas mencuci pinggan. Salim merengus kasar. Mengapa aku harus bernikah dengan perempuan ini? Bisik hatinya marah. Perempuan bodoh dan hodoh yang tidak tahu berpakaian. Perempuan yang tidak pandai menyenangkan hati langsung!
“Duduk di situ!” Sergah Salim. Lelaki itu bergerak ke sudut bilik. Di situ tergantung sehelai seluar jean. Azizah tidak berani memandang. Dia duduk di hujung katil. Kedua-dua belah pahanya dirapatkan. Dia merasakan seluruh tubuhnya menggigil ketakutan. Habislah dia sekali ini… fikirnya dengan hati yang gentar teramat sangat.
Salim menarik tali pinggang dari seluar jeannya yang tergantung. Tali pinggang itu digulung kemas di dalam genggaman. Matanya seperti terjojol keluar, merenung Azizah yang tertunduk. Pandangan itu penuh dengan rasa geram dan dendam. Tiba-tiba dia melibas ekor tali pinggang itu sekuat hatinya ke arah belakang Azizah. Wanita itu terkejut. Belakangnya terasa amat perit, pedih. Azizah terduduk di lantai, cuba mengelak libasan kali kedua yang terasa lebih kuat. Dia menjerit.
“Sakit, encik Salim. Tolong!… Jangan pukul saya! Sakit!!”
“Oh! Sakit ya…” Kata Salim sambil ketawa. Puas hatinya melihat tubuh Azizah menggelepar kesakitan di atas lantai. Wanita itu berpaut pada tiang katil, sambil membetulkan kainnya kelihatan sedikit terselak menampakkan betis.
“Sungguh kasihan…” Salim menggelengkan kepalanya. Hatinya belum puas. Dia mahu terus melihat tubuh Azizah menggelepar bagai ayam disembelih. Satu rasa keseronokan yang sudah lama tidak dirasai. Rasa satu kemenangan yang hebat.
Airmata Azizah bercucuran kerana kesakitan yang amat sangat. Bukan hanya rasa sakit kerana denyut akibat kesakitan di bahagian belakang, tetapi juga rasa ngeri yang tidak terhingga. Dia tidak pernah menyangka akan diperlakukan begini oleh Salim. Dia rasa dirinya begitu hina tidak ubah seperti binatang.
Salim membongkok lantas memegang mukanya. “Kau rasa sakit Azizah? Kesakitan yang aku alami lebih pedih jika dibandingkan dengan engkau. Engkau rasa denyutnya di bahagian ini bukan? Jika diubati, kesakitannya akan hilang dalam sehari dua.” Katanya sambil mengurut belakang Azizah. “Tapi aku… aku sakit di sini…” Dia menunjuk pula dadanya. “Dapatkah kau ubatinya? Dapatkah kau mengurangkan rasa sakit itu Azizah? Tidak. Engkau bukan penawarnya. Engkau tidak mungkin jadi ubat kepada kesakitan aku ni!”
Azizah memejam matanya yang dipenuhi air jernih. Dia tidak ingin melihat muka Salim yang bengis itu. Saat itu dia mengharap biar sahaja malaikatul maut datang menyambar nyawanya. Tetapi dia terus bernafas dengan kencang, apabila Salim merentap kain batiknya. Rentapan kuat itu membuat airmatanya terus laju merembes keluar, tidak berani langsung hendak menjerit ataupun merayu simpati. Dia sedar bahawa penderitaannya bukan setakat berakhir di situ sahaja.


AZIZAH tidak dapat tidur sepanjang malam. Dia hanya duduk di sudut bilik, memerhati ke arah katil. Salim sudah pun tidur, dengkur halusnya terdengar. Airmatanya sudah lama kering. Tiada gunanya dia menangis lagi. Dia cuba mengingat kembali kejadian-kejadian lalu sebelum dia meninggalkan rumah Sheila. Semua ini berlaku kerana Maisarah… bisik hatinya sambil menyeka airmata. Jika dia tidak meninggalkan rumah Sheila pastilah dia tidak akan menjadi isteri lelaki seperti Salim.
Dia meramas tangannya sendiri, rasa takutnya sudah pun menghilang diganti dengan rasa sayu yang amat sangat. Mengapa dia harus diperlakukan begini? Bisik hatinya. Malang sering datang bertimpa-timpa dalam hidupnya. Dia pernah cuba untuk membunuh diri walaupun dia tahu perbuatan itu adalah berdosa. Biar bagaimana sukarpun dia harus jua meneruskan hidupnya di sisi lelaki yang sudah menjadi suami. Apakah dia akan kuat dan tegar untuk berhadapan dengannya di masa akan datang.
Kokok ayam terdengar jauh. Mata Azizah terasa bertambah pedih. Dia mengerdipkan kelopak matanya yang tiba-tiba semakin memberat. Dia perlu tidur dan berehat. Semoga dengan munculnya mentari esok hari, penderitaan ini akan berlalu…
Azizah terasa pipinya ditepuk lembut. Hidungnya terhidu bau yang wangi. Azizah membuka kelopak matanya dan terus terpandangkan wajah Salim yang basah. Lelaki itu baru selesai mandi dan bau harum sabun masih melekat di tubuhnya.
“Azizah…” Seru Salim perlahan. Nadanya amat berlainan dengan malam tadi. Azizah memeluk tubuhnya sendiri, mengelak dari memandang muka Salim yang begitu dekat dengannya.
Salim cuba tersenyum. “Maaf…” Ucapan Salim kedengaran lembut merayu. “Malam tadi, aku hilang pertimbangan… Macam orang gila. Percayalah. Aku menyesal memperlakukan engkau seperti itu. Maaf…” Salim menyentuh bahunya tetapi Azizah mengelakkan dirinya daripada bersentuhan lagi dengan lelaki itu.
Tidak sepatah pun dia menjawab. Dia terus tunduk meragui ucapan maaf dan penyesalan yang diucapkan oleh Salim.
“Tak mahu maafkan aku, tak mengapa! Tapi bangunlah untuk bersihkan diri…” Kata Salim lagi dengan lembut dan melemparkan senyuman.
Azizah terus diam membatu, airmatanya kembali lebat.
“Aku berjanji tidak akan mengulanginya lagi.” Kata Salim sambil mengangkat tangannya. “Jika aku ulanginya, biar aku mati disambar petir!”
Azizah mengangkat mukanya, memandang tepat ke muka Salim. Cepat-cepat dia meletakkan jari telunjuknya di bibir Salim.
“Jangan cakap macam tu, encik Salim. Saya dah maafkan encik Salim.”
“OK.” Salim menganggukkan kepalanya beberapa kali.
Tiba-tiba Salim mengucup dahinya dengan lembut. Kucupan hangat itu mengejutkan Azizah. Dipandangnya muka Salim yang tersenyum. Rasa hati Azizah tidak keruan, mukanya terasa panas. Dia pantas bangkit dan berjalan laju ke pintu bilik. Melupakan tubuhnya yang masih terasa sakit dan sengal-sengal kerana dia tidur dalam keadaan duduk.
Dia berdiri di hadapan sinki sambil menadah air ke dalam cerek. Kucupan Salim di dahinya masih terasa. Dia meraba-raba dahinya, tidak percaya Salim mengucupnya sebentar tadi. Segala kesakitan malam semalam beransur-ansur hilang…


Bab 25

“KAU mahu aku lepaskan kau?” Tanya Azlan sambil merenung lelaki yang terbujur di lantai itu dengan suara lembut, separuh berbisik. “Jawablah! Kau mahu bebas macam dulu semula?”
Lelaki itu tidak menjawab. Dia terus diam, matanya hanya merenung bilik tidak bersiling itu. Matanya terkebil-kebil bagaikan tidak mendengar setiap patah kata yang ditujukan kepadanya. Azlan cuba menafsir apakah yang sedang bermain dalam kotak fikir lelaki itu. Tidakkah dia percaya? Fikirnya sendiri. Atau dia sedang khayal tentang kebebasan, tentang kekasih yang sudah sekian lama tidak ditemui. Dan rindunya pasti membumbung tinggi di awan. Pun dia peduli apa? Dia tidak kenal erti cinta dan rindu.
“Hoi! Aku bercakap dengan kaulah. Kau mahu bebas? Kau mahu melihat mentari muncul lagi? Sudah berapa bulan kau tidak melihat cahaya mentari yang gemilang. Betapa seronoknya melihat matahari terbit dan terbenam. Kau sudah lupa?” Tanya Azlan lagi dengan nada suara yang keras. Dia bukanlah seorang yang penyabar.
“Andy Farhan!” Seru Azlan. “Aku baru tahu nama kau Andy Farhan. Selama ini aku tak tahu. Surat khabar ni menceritakan segala yang aku tak tahu dan tak peduli selama ini.” Kata Azlan sambil mencampakkan secebis akhbar yang dijadikan bungkusan makanan ke muka Andy Farhan. Dia terbaca berita itu secara tidak sengaja. Suratkhabar itu turut menyertakan sekeping gambar Andy Farhan. Keluarganya menawarkan sejumlah wang pada sesiapa sahaja yang tahu di manakah dia berada.
RM sejuta… Bisik hati Azlan. RM sejuta itu terlalu banyak jika diperolehi oleh orang miskin dan bangsat sepertinya. Tiba-tiba keinginan untuk memiliki wang sebanyak itu memuncak. Tapi kemuncak rasa nikmat itu menjunam ke dasar lembah apabila dia melihat sepotong nama. Tidak disangka nama itu harus muncul. Noreen Sheila… Peguam itu! Bisik hatinya lagi. Peguam itulah yang mendesak agar adiknya tampil ke muka pengadilan. Peguam itu memang celaka. Perempuan itu rupa-rupanya adalah tunangan lelaki yang menghuni bilik kurungan itu. Rasa dendam kesumatnya mulai membara. Penderitaannya juga berpunca daripada Sheila. Dia disumbatkan ke penjara gara-gara Sheila. Dia terpisah daripada adik kesayangannya Azizah.
“Kalau aku bebaskan kau… aku akan memperolehi RM sejuta.” Kata Azlan sambil ketawa. “Kau akan kembali kepada keluarga kau semula. Bernikah dengan tunangan kau Sheila. Dan aku… aku akan mulakan hidup baru jauh dari sini. Tapi… Tapi apalah ertinya…” Azlan menelan air liur pahit. Dia tidak pernah memasang angan-angan sebagus itu! Dia sudahpun kehilangan Azizah. Dia kehilangan ‘cinta’nya yang pertama dan terakhir.
Dia merenung dalam ke wajah Andy Farhan. Lelaki itu tidak mempedulikan renungannya itu. Dia tahu, pembebasannya tidak mungkin akan berlaku. Dia tidak perlu menyimpan apa-apa harapan lagi…
Tubuhnya terlalu lemah. Lemah dan tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Dia tidak mengerti. Sesekali dia terfikir, ada sesuatu berlaku pada dirinya. Dia selalu khayal dan dia mulai ketagihan untuk meneguk minuman yang diberi Azlan. Kalau dia tidak mendapatkannya dia akan merasa tidak keruan. Hatinya jadi terlalu sedih dan dia akan menangis mendayu-dayu bagaikan anak kecil.
“Matahari baru saja terbit…” Kata Azlan. “Hari ni kita bermain-main mahu? Satu permainan yang menarik. Aku pemburu dan kau adalah binatang buruanku.” Kata Azlan seperti berbisik. “Tengok ni! Aku dah isi peluru pada laras senapangku. Dalam masa satu jam, kau mesti keluar dari hutan ni. Kalau kau berjaya mencari jalan keluar, kau akan bebas. Kau mesti berikan aku wang itu! Tetapi kalau kau tak berjaya… peluru ini akan mengoyakkan kulit daging kau…” Azlan ketawa lepas. Puas.
“Suka tak permainan ni?” Tanya Azlan lagi setelah ketawanya mereda. Rasa hatinya agak riang. Pagi itu dia ketawa dengan bersungguh-sungguh.
“Kau sungguh-sungguh?” Kali ini barulah Andy Farhan berani bertanya.
“Ya.” Azlan mengangguk.
Andy Farhan mencubit lengannnya dengan kuat. Dia tidak bermimpi. Memang Azlan sedang menawarkan pembebasan walaupun ianya penuh risiko. Hatinya tiba-tiba melonjak dan keinginannya untuk bebas datang kembali. Dia bangkit dan duduk berhadapan dengan Azlan yang kini turut duduk di lantai simen kotor itu.
“Sebenarnya aku dah bosan duduk dalam hutan… menjalankan tugas ni. Kerja ni buat aku jadi gila.” Kata Azlan tanpa mengharapkan pengertian Andy Farhan. “Aku tak pernah tahu dengan siapa aku bekerja.”
“Kalau aku berjaya keluar dari hutan ni…” Kata Andy Farhan lagi dengan penuh keyakinan. “Aku akan tunaikan segala permintaan kau.”
Azlan gelak kecil. “Segala permintaanku?” Katanya meminta kepastian. “Sanggupkah kau menunaikan segala permintaanku walaupun permintaan tu mustahil?”
“Tiada yang mustahil.”
Azlan angguk. “Sekarang keluarlah…” Azlan bergerak ke pintu bilik, membukanya seluas mungkin.
Andy Farhan bangkit, ingin meluru ke pintu tetapi lututnya terlalu lemah. Dia hanya mampu merangkak dan berpegang pada jenang pintu. Apa dah jadi pada dirinya… bisik hatinya. Mengapa tubuhnya amat lemah tidak bermaya. Bagaimana dia harus keluar dari situ apabila tenaganya langsung tiada. Yang ada hanya semangat…
Tika dia berada di pintu hadapan, tubuhnya disambar cahaya matahari yang hangat. Aku sangkakan mendung akan berterusan tetapi rupa-rupanya tidak. Kini aku merasakan kembali kehangatan sinar suria… Bisiknya dalam keharuan. Dalam kecelaruan, dia terdengar bunyi pajero memasuki kawasan itu. Azlan yang berada di belakangnya sedikit terperanjat melihat pajero Manaf yang baru tiba. Dia mengangkat senapangnya ke arah pajero yang berhenti di tengah-tengah ruang laman sempit itu.
Celaka! Kenapa jantan ni muncul hari ni! Sumpahnya. Sudah terlalu lewat untuk menolak Andy Farhan kembali ke bilik. Apa pun yang bakal terjadi harus dihadapinya.
Manaf benar-benar terkejut melihat Andy Farhan berada di ambang pintu. Lelaki itu kelihatan amat lemah tidak bermaya, tetapi matanya bersinar membawa satu harapan baru. Azlan berdiri di belakang Andy Farhan. Manaf keluar dari pajero bersama selaras senapang. Dia menghalakan muncungnya ke arah mereka berdua.
“Gila! Kau nak bebaskan dia?” Jerit Manaf dengan kuat.
Jeritan itu melenting kuat ke udara diikuti dengan bunyi letupan senapang. Sekujur tubuh tumbang berlumuran darah. Burung-burung di dahan berdekatan rumah kecil itu mengembangkan sayap terbang menjauh, ketakutan mendengar bunyi senapang itu. Beberapa saat berlalu dalam diam, hanya erangan kecil dari tubuh lelaki yang terkapar di tanah.


“SORRY…” Seru Maisarah sambil menjeling Sheila. “I tidak merasai apa-apa lagi di sini. Semuanya dah hilang… I…”
“Tadi you kata kita dah makin hampir. Taman Negara…” Balas Sheila kecewa dan menyesal. Mengapa mesti dia mempercayai Maisarah. Sudah begitu jauh mereka pergi. Petang kian larut. Senja akan berlabuh sebentar lagi. Dan mereka baru memasuki kawasan felda Jengka setelah menempuh kawasan ladang kelapa sawit. Sebenarnya Maisarah sedang mengarahkan Sheila ke Bandar Pusat Jengka. Disebabkan tidak tahu apa-apa, Sheila hanya mengikut arahannya.
“Ya, tapi… tapi entah mengapa, tiba-tiba I tidak dapat lagi merasakan kehadirannya. Ada sesuatu yang berlaku padanya.” Kata Maisarah sambil meramas-ramas jaket Andy Farhan yang berada di atas ribanya, seolah-olah dia benar-benar mempunyai kuasa untuk merasai sesuatu.
Selepas bertolak dari Rumpun Makmur tadi, Sheila mengambil alih memandu kereta. Maisarah membiarkan sahaja gadis itu memandu, sementara dia menjadi penunjuk arah. Malam akan menjelang tidak sampai setengah jam lagi. Senja sudah pun merangkak datang. Mereka berdua kepenatan serta mengantuk. Sheila memberhentikan kereta ke tubir jalan.
“Apa yang you rasa sekarang?” Tanya Sheila ingin tahu.
“Entahlah. Tiba-tiba ianya hilang… kosong.”
Sheila mengeluh. Bohong! Bisik hatinya sambil menjeling Maisarah. Wajah itu nampak muram. Kau cuba bohongi aku! Hatinya berbisik lagi. Entah mengapa Maisarah harus berbuat begitu terhadap dirinya. Hatinya kuat menyatakan bahawa dirinya sedang dipermain-mainkan.
“Sekarang ni macamana? Hari dah gelap.” Kata Sheila dengan suara tertekan. “I letih dan mengantuk. I rasa lebih baik kita balik saja.”
“Sorry.” Seru Maisarah perlahan.
“Sorry no cure…”
“I know. Tapi kesabaran walaupun pahit pasti ada manisnya di kemudian hari.” Bisik Maisarah perlahan sambil menyentuh bahu Sheila, meramasnya lembut. Memang perkataan maaf tidak langsung menyembuhkan luka dan kesakitan. Terkadang perkataan itu langsung tidak bermakna apa-apa bila hati terus sakit berdarah.
“Setakat itu yang mampu I lakukan.”
“I telah berhenti berharap untuk bertemu lagi dengannya.”
“Mengapa cepat putus asa?”
“I bencikan penderitaan ini. I mahu melupakannya terus dari ingatan I. Untuk apa menyimpan rindu lagi bila I tahu pertemuan tidak mungkin terjadi. Jiwa I dah letih, tubuh I dah lelah dengan semua ini. I rasa nak rehat panjang dari kerja, pergi jauh ke suatu tempat…”
“You kecewa dan cuba larikan diri dari kekecewaan itu.”
Sheila diam, kereta telah kembali dipecut di atas aspal, meninggalkan segala jejak di belakangnya. Dia tidak ingin menoleh lagi.


TELEFON bimbit Manaf berbunyi nyaring. Agak lama ianya berdering. Setelah berfikir beberapa detik, barulah lelaki itu menekan punat untuk menjawab panggilan. Dia tidak bersuara apa-apa, hanya menanti suara yang muncul di hujung corong.
“Hello Manaf? Apa dah jadi? Aku cuba hubungi kau sepanjang hari ni tapi tak dapat jawapan. Sekarang kau di mana? Sudah kau bereskan Azlan dan jantan tu?”
Lelaki itu hanya merengus kasar. Tiada suara yang terbit dari bibirnya.
“Hello! Hello! Kau dengar tak ni? Bunuh saja Azlan dan Farhan tu, jika mereka hanya menyusahkan! Jangan tunggu lagi. Aku dah bosan… Bosan tahu tak? Dah tak ada faedahnya lagi mereka tu hidup. Bunuh saja, faham!!” Talian terus dimatikan.
Lelaki itu mencampakkan handphone Manaf di atas meja. Dia merengus kasar dan menumbuk meja. Suara asing yang didengarinya tadi amat menyakitkan telinganya. Jadi, Manaf datang untuk membunuh mereka berdua. Patutlah Manaf datang membawa senapang. Tetapi mujur dia lebih dulu bertindak… Belum sempat Manaf memetik picu senapangnya, dia terlebih dahulu bertindak menembak dada lelaki itu hingga ia terbungkam ke tanah. Mati dengan darah berlumuran di sana sini. Dia juga telah mengebumikan Manaf berhampiran rumah itu.
Sekarang… Dia sedang berfikir apa yang harus dilakukannya. Dia mesti meninggalkan tempat itu secepat mungkin. Pajero Manaf masih ada di luar. Dia boleh memandu keluar malam itu juga, lari sejauh yang boleh. Tapi bagaimana dengan Andy Farhan? Dia tidak boleh meninggalkannya begitu saja di situ. Rugi! Bisik hatinya. Kalau dia membebaskan Andy Farhan, dia akan mendapat wang RM sejuta. Dia akan jadi kaya.
Azlan bingkas bangun, berjalan ke bilik kurungan Andy Farhan. Dia membuka pintu dan melangkah masuk. Lelaki itu sedang tidur di lantai. Tidurnya tampak nyenyak.
“Bangun!” Seru Azlan kuat.
Andy Farhan membuka matanya memandang Azlan. “Malam ni kau bebas…” Katanya.
“Bebas?” Andy Farhan bertanya, tidak percaya. Dia belum melupakan kejadian pagi tadi. Tidak sangka-sangka Azlan melepaskan tembakan dan membunuh lelaki yang baru tiba itu. Dia tahu, Azlan seorang yang kejam dan sanggup melakukan apa saja untuk mencapai matlamatnya.
“Ya.”
“Sebelum tu, aku ingin tahu siapa yang mengarahkan kau untuk membebaskan aku?”
“Tiada sesiapa.” Jawab Azlan tegas. “Aku hanya mahu wang yang ditawarkan oleh keluarga kau.”
“Selama ini siapa yang menyuruh kau mengurung aku di sini?”
“Aku tak tahu!” Jawab Azlan mulai meradang. Dia tidak suka pertanyaan-pertanyaan Andy Farhan itu. “Jangan buat kepala aku pening dengan soalan-soalan kau tu, Andy Farhan! Kau mahu bebas, aku bebaskan kau sekarang. Aku tak tahu siapa yang jadi dalangnya. Tapi yang aku tahu, ada orang yang mahu kita berdua mati, kau faham? Aku mesti tinggalkan tempat ni!”
Azlan bergerak ke pintu, membiarkan pintu bilik itu ternganga luas. Andy Farhan memerhati cuma. Dia bangkit dengan tubuh terhuyung hayang berjalan ke pintu depan yang turut terbuka luas. Malam hitam pekat dan suara bising penghuni hutan juga tidak terdengar. Malam itu benar-benar sunyi. Pajero di hadapan rumah kedengaran bergerak pergi. Azlan telah memberinya kebebasan… Tapi dapatkah dia keluar di tengah malam pekat itu tanpa sebarang kenderaan yang akan membawanya keluar dari situ.
“Oi! Tunggu!!!” Dia menjerit kuat, melihat pajero itu semakin hilang deruannya di dalam hutan yang gelap dan hitam tanpa cahaya. Dia terkejut mendengar telefon bimbit menjerit nyaring di atas meja. Andy Farhan bergerak ke meja, mencapai telefon bimbit itu dan mendengar suatu suara sebaik sahaja melekapkannya ke telinga.
“Manaf! Kau dah bunuh Azlan dan Farhan? Sekarang kau tinggalkan tempat itu. Bakar rumah itu supaya tiada sebarang bukti. Faham?” Suara itu memberikan arahan. Andy Farhan terkejut. Suara itu bagaikan pernah didengarinya. Belum sempat dia berbuat apa-apa talian diputuskan.


ROSNAH mengarahkan Richard terus memandu. Lelaki itu patuh pada arahan dan perintahnya. Jalan-jalan di situ memang buruk dan tubuhnya terlambung-lambung ke atas setiap kali pajero itu memasuki lekak-lekuk jalan tanah merah. Memandu di waktu malam di kawasan pedalaman ini, memang amat menguji kesabaran. Di kiri kanan hanya ladang kelapa sawit. Sudah hampir sejam mereka merentasi ladang kelapa sawit yang sunyi sepi itu akhirnya barulah pajero itu memasuki kembali ke jalan utama.
Baru beberapa meter pajero itu bergerak di atas jalan raya, Rosnah mengarahkan dia memasuki simpang kecil. Dia hampir-hampir tidak dapat melihat simpang itu.
“Masuk simpang tu! Masuk!!” Perintah Rosnah dengan kuat. Richard terkejut. Mujur pajero itu tidak dipandu dengan laju jadi masih sempat untuk dia memasuki simpang yang dikatakan oleh Rosnah. Dia terus memandu meredah jalan tanah merah yang berlubang-lubang. Rosnah hanya diam sahaja biarpun keadaan di dalam pajero itu amat tidak selesa.
Pajero itu terus merangkak-rangkak di jalan yang sungguh buruk dan sedikit becak, sebelum membelok lagi ke suatu arah. Dia sekali lagi terkejut kerana terlihat suluhan lampu pajero dari arah satu lorong. Richard terpaksa berhenti ke tepi jalan untuk memberi pajero itu laluan. Hatinya tertanya-tanya siapakah pemandu pajero itu. Dia hanya melihat bayangan tubuh seorang lelaki di dalamnya.
Akhirnya lampu pajero itu menyuluh ke arah sebuah rumah. Rumah itu beratap zink, berdinding separuh batu. Biarpun rumah itu kecil tetapi kelihatan kemas dan selesa. Pintu rumah kelihatan terbuka luas dan lampu yang terpasang melimpahkan sedikit cahaya keluar. Rosnah dan Richard keluar dari pajero lantas meluru ke pintu yang terbuka luas.
Wanita itu memandang ke dalam rumah dan terpandang sesusuk tubuh yang sedang berdiri di meja. Lelaki itu sedang menekan punat telefon bimbit. Dia terkejut melihat kehadiran kedua-dua manusia itu. Disangkanya pajero Azlan yang kembali ke situ. Tetapi sangkaannya meleset. Dia telah melihat Rosnah. Mereka saling bertatapan beberapa ketika, sebelum Rosnah bersuara keras;
“Richard!”
Richard sepantas kilat menghunus pistolnya. “Jangan bergerak, jika tidak aku tembak.”
Tubuh Andy Farhan berpeluh dingin. Dia memerhati sahaja ke arah pistol yang terhunus ke arahnya. “Angkat tangan, letakkan tangan kau ke dinding.” Kata Richard dengan tegas.
Andy Farhan terpaksa akur. Dia tidak punya pilihan. Dia terpaksa mengikut apa saja arahan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Ketika Richard mara dan menyentuh lengannya hendak mengilasnya ke belakang, saat itulah dia bertindak. Mereka bergelut di lantai. Rosnah menjerit-jerit. Tubuh Andy Farhan yang lemah itu tidak mungkin dapat menandingi tenaga Richard. Dia tumpas. Sekelip mata sahaja tangannya sudah dikilas ke belakang dan diikat dengan tali. Dia terbujur tidak bermaya. Rosnah tersenyum puas. Hanya sekilas dia melihat senyuman bekas emak tirinya sebelum matanya ditutup dengan sehelai kain. Mulutnya disumbat dengan kain buruk hingga dia tidak dapat bersuara apa-apa. Kemudian dia ditolak keluar dari rumah kecil itu.
Andy Farhan benar-benar kecewa. Kebebasannya hanya satu mimpi semata-mata.


Bab 26

TIBA-TIBA dia menyedari satu kesilapan besar yang telah dilakukannya. Meninggalkan Andy Farhan di rumah itu akan mendedahkannya kepada bahaya. Bukan sahaja dia bahaya kepada lelaki itu tetapi dirinya turut terlibat. Dia tidak tahu siapakah lelaki yang menghubungi Manaf, memberikan arahan agar dia dan Andy Farhan dibunuh. Sebentar tadi dia telah berselisihan dengan sebuah pajero. Milik siapa pajero tersebut? Bisik hatinya tidak keruan.
Tidak mungkin dia ingin berpatah kembali ke belakang. Itu namanya menempah maut! Azlan terus memandu dengan fikiran bercelaru. Sudah beberapa jam dia memandu pajero milik Manaf itu. Dia sendiri tidak tahu di manakah dia berada kini. Jalan yang lurus itu terasa amat panjang, seolah-olah tidak akan berakhir. Kawasan di kiri kanan jalan gelap gelita, cahaya hanya datang dari pajero yang sedang dipandunya itu sahaja. Ke manakah destinasinya? Dia tidak tahu. Apa yang pasti dia tidak boleh terus memandu pajero itu. Dia harus meninggalkannya di mana-mana, kemudian menaiki kenderaan lain untuk ke Kuala Lumpur.
Tidak… Dia tidak boleh ke mana-mana. Dia tidak mempunyai wang langsung! Ke manakah dia harus membawa langkah jika dalam saku seluarnya hanya dipenuhi debu? Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Dia masih mempunyai wang. Bukankah Manaf telah memberikannya setiap bulan wang upahan, tetapi dia meminta lelaki itu memasukkannya ke dalam akaun. Sebelah tangan Azlan meraba-raba beg sandang yang dibawa bersamanya. Tangannya tersentuh buku akaun miliknya ada di dalam beg tersebut. Barulah hatinya terasa sedikit damai. Tetapi kedamaian dan ketenangan yang bertamu di hatinya tidak lama. Tiba-tiba sahaja pajero itu beransur-ansur perlahan dan berhenti. Azlan memerhati ke dashboard dan terlihat jarum meter tangki minyak sudah menunjukkan bahawa isinya sudah benar-benar kering. Azlan memukul setering kereta dengan hati yang geram. Mengapa ini harus terjadi? Marahnya sendiri. Kalau nak habis minyak pun, janganlah di tempat yang gelap gelita.
Dia menolak pajero itu ke tepi. Mahu tidak mahu dia terpaksa menunggu beberapa jam lagi. Barangkali pada awal subuh nanti, ada lori-lori yang akan melintasi jalan itu dan menumpangkannya ke bandar terdekat. Begitulah harapan yang baru ditanam dalam dirinya. Sebaik sahaja dia tiba di bandar nanti, tempat pertama yang hendak dituju adalah bank.


“KATAKANLAH… apa lagi yang harus I lakukan untuk you, I akan lakukannya dengan sebaik mungkin. Tetapi tolonglah… Jangan terus berdiam diri macam ni. You tahu I terseksa apabila you tak mahu bercakap dan berborak dengan I macam dulu!”
Sheila memandang tepat ke muka Maisarah. Keningnya bercantum. Dia tidak jadi hendak memasukkan bajunya ke dalam beg pakaian yang terletak di atas katil.
“Sejak hari minggu tu, you macam marahkan I…” Kata Maisarah lagi.
“Marah?” Sheila berpusing-pusing mengelilingi katilnya sendiri sambil tangannya menyeluk saku seluar. Dia tidak berhasrat hendak memberitahu Maisarah destinasi percutiannya itu. Dia hanya memandang tajam ke muka gadis itu yang sedang berdiri di ambang pintu. Maisarah datang mendekati katil Sheila yang berselerak.
“I tak marah. Bukankah I dah katakan, I nak pergi bercuti seorang diri, selama seminggu. I nak lupakan semua peristiwa pahit yang telah terjadi. Bila I balik nanti, I harap semangat I akan kembali pulih, untuk meneruskan perjuangan ini.”
“Jadi, you tak marahkan I?” Tanya Maisarah lagi sambil duduk di bibir katil. “Bukan niat I nak bohongi you, Sheila.”
“Tidak. Lupakan saja. I dah terima kenyataan bahawa kehilangan abang Farhan sudah ditakdirkan. Mungkin pertemuan kami hanya setakat itu sahaja. I dah lelah mengharap. Harapan untuk hidup bersamanya hanya satu mimpi.”
“You dah mulai pesimis terhadap hidup yang masih panjang dan berliku-liku ini, Sheila.” Kata Maisarah seakan-akan mencabar.
“Mengapa you mesti memberikan satu persepsi yang sangat buruk tentang sikap I? Biarkan I sendiri urus hidup ini, I tak perlukan orang lain untuk beri pandangan dan pendapat!” Kata Sheila dengan bibir menggertap geram.
“OK.” Maisarah mengalah. “Maaf, jika kata-kata I tadi menyinggung perasaan you. Tapi sebelum you pergi bercuti esok, apa kata malam ni kita keluar dinner?”
Sheila memandang ke muka Maisarah, mencari ketulusan dan keikhlasan di wajah gadis itu. Dia tidak segera memberikan persetujuannya. Dia hanya membiarkan gelombang kepedihan melanda dirinya beberapa saat. Dalam hatinya merasakan bahawa persahabatan antaranya dengan Maisarah penuh dengan kepura-puraan. Dia ingin menghamburkan kemarahannya tetapi segalanya tersekat. Tidak. Dia tidak boleh melepaskan kemarahan itu terhadap Maisarah. Dia yang memilih persahabatan terjalin antara mereka. Dan itu adalah satu kesilapan yang dia tidak berani akui.
Perhubungan ini jauh berbeza dengan perhubungan dia dan Azizah. Tulus, suci dan saling mengasihi. Dia merindui satu kehidupan yang syahdu di rumah itu… hanya dia dan Azizah. Sheila mengeluh namun akhirnya mengangguk.
“Tidak begitu ramai orang nampaknya pada malam minggu ni…” Kata Maisarah girang semasa mereka melabuhkan punggung, di coffee house itu. Mata gadis itu memerhati sekeliling seperti tercar-cari seseorang, tetapi langsung tidak kelihatan orang yang dicari-carinya. Tak jadi datangkah? Hatinya sempat berbisik.
Pelayan datang ke meja mereka, menyerahkan menu. “Order air aje dulu…” Kata Maisarah. “Saya masih tunggu seseorang…” Katanya pada pelayan lelaki itu.
Sheila terkejut mendengar kata-katanya itu. Dia memandang tepat ke muka Maisarah yang tersenyum. Saat itu dia membenci senyuman yang terpamer walaupun senyuman itu nampak begitu manis. Memang gadis itu sentiasa penuh dengan kejutan! Bisik hatinya geram. Dia menggigit bibirnya dengan kuat. Jika diikutkan hati mahu dia meminta diri untuk pulang sahaja. Entah berapa kali dia rasa tertipu dengan sikap Maisarah.
“You tunggu siapa?” Tanya Sheila ingin tahu, matanya memerhati ke pintu masuk. Ramai orang sudah mulai mengunjungi coffee house itu. Dia sempat melihat jam di pergelangan tangan yang menunjukkan tepat ke angka sembilan malam.
“Adalah…” Jawab Maisarah tersenyum-senyum. “Nak kenalkan dia pada you…”
“Agh! Jangan nak cari pasallah.” Sheila merengus, tidak dapat lagi menahan sabar dengan sikap berteka teki Maisarah itu. Rasa hatinya tambah geram melihat gadis itu tersenyum senang sepanjang masa, sedang dia sentiasa berusaha membendung rasa marah.
“Relaks.” Kata Maisarah. “Bukankah hidup mesti diteruskan, jadi apa salahnya jika I kenalkan you dengan seseorang yang istimewa?”
“Jangan nak mengarut!”
“Alaa… I gurau ajelah Sheila. Janganlah serius sangat. I tension bila you serius dan moody macam ni. I rindukan Sheila yang dulu. Baik hati, mesra dan selalu tersenyum.”
Maisarah menyentuh tangannya dengan lembut tetapi segera dia menariknya seolah-olah terkena api yang marak membakar.
“Daddy I…” Kata Maisarah perlahan. “Adalah seorang lelaki hebat tetapi amat sukar untuk memahaminya. I tak pernah mengakui bahawa dia sentiasa benar dalam setiap tindakannya tetapi I memang menghormatinya sebagai orang tua… menyayanginya sebagai bapa biarpun dia amat jarang bersama dengan kami.” Cerita Maisarah tanpa dipinta. “Haaa… Itupun dia dah datang!”
Sheila berpaling. Matanya menangkap seraut wajah yang baru memasuki ruang itu. Tubuh lelaki itu tinggi dan tegap, berkulit sawo matang. Wajahnya langsung tidak kacak, tetapi mempunyai karisma. Rambutnya sudah tampak sedikit beruban tetapi tersisir dengan kemas. Melihat pakaiannya yang ditempah khas di butik terpilih, pasti dia seorang berduit, ahli perniagaan yang berjaya… Bisik hati Sheila. Dia melangkah dengan yakin, tanpa teragak-agak memperlihatkan bahawa dia seorang lelaki yang kaya raya serta berpengaruh.
Maisarah mengangkat tangannya ke arah lelaki itu. Datuk Mustafa tersenyum dari jauh dan berjalan pantas ke arah meja mereka. Bibirnya terus tersenyum mesra apabila bertemu pandang dengan Sheila.
“Ini pastinya Cik Sheila…” Katanya sambil menghulurkan tangannya. “Banyak yang saya dengar tentang you dari Sarah, Cik Sheila.”
Sheila cuba melemparkan senyumannya, biarpun bukan dengan sepenuh hati. Dia rasa tidak selesa kerana harus bersama lelaki itu. Bukan dia tidak kenal padanya, malah sudah kerap kali mendengar namanya disebut orang. Cuma dia tidak menyangka bahawa malam itu mereka akan makan semeja. Dan yang lebih mengejutkannya adalah perhubungan antara Maisarah dan Datuk Mustafa. Jika diukur dan dilihat dari segi rupa paras, memang wajah Maisarah langsung tidak menyalin wajah bapanya itu.
Dia membenamkan matanya ke muka lelaki tua itu, mencari sesuatu yang hilang. Lampu suram coffee house itu tidak banyak menolongnya untuk mengungkapkan satu kebenaran. Wajah itu entah mengapa membuat dadanya berdetak kuat. Dia kehairanan dan bertanya sendiri. Mengapa aku? Mengapa dadaku berdebar-debar? Bisik hatinya gementar.
“Kenapa?” Tanya Maisarah apabila melihat Sheila yang terus membisu seribu bahasa. Beef stiknya juga tidak berusik. Dia hanya termenung jauh.
“Tak ada apa-apa.” Balasnya perlahan berharap pertemuan itu segera berakhir. Dia hanya ingin pulang untuk tidur dan esoknya meninggalkan tempat itu…


MUKANYA pucat lesi. Bibirnya yang kering serta menggelupas itu terasa semakin kering dan sedikit perit apabila dia cuba menggerakkannya untuk meluahkan kata. Matanya memandang tepat ke muka kerani itu, seolah-olah tidak percaya apa yang baru diucapkan. Lama dia berkeadaan begitu hingga kerani itu merasa gelisah.
“Betulkah…Bolehkah dicuba sekali lagi?” Dia bertanya lagi dengan penuh ragu, sambil menyuakan buku akaunnya itu.
“Ya.” Jawab kerani itu sambil meneliti raut wajahnya yang agak comot. Pakaiannya juga begitu. Tetapi dia tidak peduli samasekali pada penampilan dan bau badannya yang kurang enak. Dia hanya inginkan kepastian sahaja tentang isi buku akuannya itu.
“Di dalam akaun ini hanya ada RM33. 55 sen. Saya tidak silap. Hanya itu sahaja yang ada.”
Celaka! Sumpahnya di dalam hati. Selama ini dia telah ditipu. Semua duitnya disapu oleh Manaf. Memang celaka… Bisik hatinya marah. Pintu cermin bank itu ditolaknya sambil melangkah keluar. Di dalam genggamannya hanya terdapat sedikit wang. Dia terpaksa menutup akaunnya itu. Hanya tiga puluh tiga ringgit yang tergenggam di tangan. Hatinya terus rusuh. Dengan apa dia harus meneruskan hidup? Perlukah dia kembali ke rumah kecil di tepi hutan itu untuk mencari Andy Farhan? Mustahil… bisik hatinya. Barangkali dia sudah pun menemui ajalnya! Dia teringat pada pajero yang berselisihan dengannya. Dia pasti pajero itu menuju ke rumah kecil itu. Perlahan-lahan dia bersyukur… sekurang-kurangnya dia masih lagi hidup!
Dia memandang ke arah jalan raya. Ketika itu dia terlihat sebuah kereta berwarna merah terang sedang melintas perlahan. Dapat dia melihat wajah pemandu kereta itu. Eh! Bukankah itu Sheila? Bisik hatinya. Dia berlari ke tepi jalan. Saat yang sama dia terlihat sebuah teksi mendekat, segera ditahannya dengan tangan. Teksi itu berhenti dan dia pun melompat masuk.
“Ikut kereta merah di depan tu!!” Arahnya pada pemandu teksi tersebut.


SHEILA memilih untuk menginap di chalet murah sahaja. Dia pernah pergi ke situ dahulu bersama Azizah. Entah mengapa, di saat dia ingin mencari ketenangan, dia teringat pada ketenangan di tepian Pantai Cherating. Dia memerhati ke arah pantai. Deburan ombak terdengar kuat dibawa bayu laut yang bertiup kencang. Ombak kelihatan tinggi bergulung. Laut sedang bergelora… fikir Sheila. Langsung tidak sesuai keluar mandi manda. Wujudkah kedamaian apabila ombak menerjang kuat ke bibir pantai? Bisiknya sendiri sambil terus berdiri kukuh di hadapan chalet kecil bercat coklat gelap itu.
Rambutnya menampar pipi, dipuput angin yang semakin rakus. Angin pantai memang dingin tetapi membawa bahang hangat tanpa disedari. Dia memerhati kehijauan alam yang mengelilinginya. Sunyi. Kawasan chalet itu seperti tidak berorang langsung. Di tepian pantai juga begitu. Dari jauh dia hanya melihat beberapa kujur tubuh yang berjalan meninggalkan pantai untuk naik ke darat. Dia memerhati jam. Tepat pukul 12 tengahari. Patutlah… bisik hatinya. Matahari yang sedang tegak di atas kepala. Memang kepanasan tidak terasa apabila berada di tepi pantai… tahu-tahu kulit sudah terbakar dibaham matahari.
Sheila membuka pintu chalet dan meletakkan begnya di muka pintu. Dia melepaskan lelahnya di atas tangga chalet. Ingin menikmati angin yang rakus bertiup. Memang dia kepenatan memandu dari Mentakab ke Cherating. Berapa puluh kilometer sudah direntas. Dia tidak peduli, asal hatinya tenang dan kebahagiaannya kembali. Mampukah dia mencipta bahagia bila hati dan perasaannya masih terus dibelenggu kenangan lama? Mengapa kenangan itu tidak mahu hilang dari hatinya?
Dia memerhati sekeliling chalet yang bertutup rapat. Kebanyakan chalet itu kosong, tidak berpenghuni. Sekarang bukanlah musim cuti. Terdapat juga gerai kecil di pantai tetapi kelihatan sepi, seperti telah lama ditinggalkan. Gambaran itu bagaikan hatinya sendiri, sepi dan terasing. Entah bilakah hatinya yang sepi itu akan kembali diketuk dan didatangi seseorang?


“AWAK gila kah? Dah terlalu jauh kita mengekori kereta tu!” Kata pemandu teksi itu tidak dapat menahan sabar lagi. “Ni meter dah naik melambung awak nak bayar ke?” Marahnya lagi sambil menjeling penumpang yang duduk tenang di kusyen belakang. Menyesal tidak berguna lagi. Sudah hampir kering minyak teksinya kerana menurut kehendak penumpangnya itu. Entah lelaki itu siuman ataupun tidak. Hatinya ragu-ragu dan bimbang. Sepatutnya dia sudah meminta lelaki itu turun sahaja, biarpun harus berdepan dengan risiko kerugian.
“Apa awak ingat saya tak ada duit?” Jawab Azlan meradang. Dia rasa terhina mendengar kata-kata lelaki itu.
“Kalau ada duit bayarlah…” Kata Pemandu teksi itu. “Saya tak boleh pergi lebih jauh lagi daripada ini. Tangki minyak teksi saya pun dah hampir-hampir kering.”
“Jalan sajalah… Jangan banyak soal!!” Perintah Azlan keras. Dia tidak mahu kehilangan kereta Sheila yang telah diekori sejak tadi. Dia ingin tahu tempat tujuan Sheila. Dia tidak boleh terlepas jejak Sheila biarpun hanya beberapa langkah.
Pemandu teksi tidak berani bersuara lagi. Dia amat risau jika Azlan melakukan sesuatu ke atasnya. Saat itu dia hanya teringat pada anak isterinya di rumah. Ketika kereta Sheila memasuki simpang kecil menuju ke chalet terpencil di tepi pantai itu, Azlan mengarahkan pemandu teksi itu supaya berhenti. Pemandu teksi merasa lega kerana akhirnya lelaki itu akan meninggalkan teksinya.
Azlan keluar dan menutup pintu teksi dengan kuat. Dengan selamba dia melangkah pergi ke arah simpang yang kecil menghala ke pantai. Pantai tidak jauh dari situ. Dia sudah dapat melihat laut yang terbentang dari jauh.
“Oi!” Pemandu teksi berteriak kuat. “Awak nak lari macam tu aje? Awak tak mahu bayar?”
“Apa? Bayar?” Kata Azlan sambil berpaling. Dia meraba-raba beg sandangnya dan mengeluarkan sepucuk pistol. Pistol itu terasa sejuk ketika disentuh dengan tangannya. Azlan berjalan ke arah pemandu teksi.
“Bayaran?” Tanya Azlan perlahan, sambil terus meraba-raba pistol itu, teragak-agak hendak mengeluarkannya dan menghalakannya ke muka pemandu teksi. Tangannya terus meraba-raba sesuatu dan tersentuh pula dengan seutas jam tangan.
“Tuihhhh!!” Pemandu teksi meludah ke tanah melalui tingkap teksinya yang terbuka. “Awak ni memang penipu! Nak saya report polis?”
Azlan menggigit bibir menahan marah. “Nah!” Katanya sambil mencampak jam tangannya ke dalam teksi. “Hanya itu yang aku ada… Kalau kau jual jam tu, laku juga dua tiga puluh ringgit.” Kata Azlan dengan suara yang agak keras. “Sekarang, pergi dari sini! Berambus!!” Katanya lagi dengan mata terjegil dan muka yang bengis.
Pemandu teksi cepat-cepat memusing keretanya meninggalkan tempat itu. Azlan tertawa sendiri melihat ketakutan yang bertamu di wajah pemandu teksi. Tahu takut! Bisik hatinya sambil bersiul-siul girang, membuka langkah menghala ke pantai.
Aku datang Sheila… bisik hatinya. Aku datang menuntut hutang yang belum lunas. Bersedialah gadis manis. Aku bukanlah seorang yang penyabar. Kini saatnya sudah tiba untuk kau melunaskan hutang tersebut, kau haruslah menunaikannya dengan cepat. Jika tidak…. Dia ketawa sendiri. Tawanya agak kuat dibawa angin lalu yang rancak bertiup.


Bab 27

AKU ingin menyerahkan cinta dan diri ini hanya untukmu, sayang. Mengapa engkau masih tercari-cari sesuatu yang tidak abadi sifatnya? Mengapa engkau menganggap aku hanyalah boneka mainan yang tidak berharga… begitu coretan Mawarni di dada diarinya beberapa tahun lalu. Diari yang kini terbentang di hadapannya. Sudah puas dia membaca diari itu, segalanya sudah hafal di dalam ingatan.
Nyawa anaknya telah gugur bagaikan gugurnya sehelai daun di musim rontok, melayang tanpa arah dan tujuan. Akhirnya tersungkur ke bumi, dipijak dan tidak langsung tidak dihargai. Begitulah nasib cinta dan dirimu nak… Bisik hati Rosnah sambil mengusap gambar Mawarni. Sudah hampir sejam dia membelek-belek album lama. Sudah sekian lama juga dia membaca dan menghayati diari milik anak perempuannya itu.
Terlalu banyak impian yang tidak kesampaian… bisik hatinya lagi. Terlalu rapuh usiamu anak. Dan terlalu kejam insan yang telah meragut kehidupanmu yang suatu masa dulu teramat indah. Kau lahir dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Tetapi lelaki itu telah meragut semuanya dengan penuh kezaliman. Lelaki itu tidak lain dan tidak bukan, adalah Andy Farhan. Cintamu pada dirinya hanya sia-sia nak… Sia-sia! Dia tidak pernah kenal cinta. Dalam hatinya cuma ada kebencian. Lihatlah nak… lihatlah nanti bagaimana ibu ajar dia tentang cinta dan kasih sayang!
Rosnah menutup album dan diari, lantas menyimpannya semula di dalam laci meja. Dia berlalu keluar dari kamar itu. Langkahnya diatur laju menuju ke tingkat bawah. Kemudian dia terus melalui suatu ruang kecil menghala ke tingkat bawah tanah. Dia terus menuju ke arah satu pintu yang berkunci rapat. Rosnah mengeluarkan segugus kunci lantas membuka pintu tersebut. Dia berdiri di tengah-tengah pintu yang ternganga memandang puas ke arah tubuh yang terkulai lesu di atas lantai tanpa alas. Tubuh itu masih dalam keadaan terikat. Dia melaung memanggil Kudus. Lelaki itu berlari-lari datang setelah mendengar namanya yang dilaung dengan begitu kuat.
Rosnah memerintahkan agar Kudus memberi lelaki yang terbaring itu makan setelah membukakan ikatan tangan dan kakinya. Kudus agak kaget… terkejut dengan ‘tugas’ baru yang diberikan oleh Rosnah. Tetapi dia akur, mana mungkin dia berani membantah.


SHEILA terlihat bayang-bayang orang serta lampu chalet yang bernyala terang. Chalet itu tidak jauh daripada chalet tempat dia menginap, hanya selang beberapa buah sahaja. Rasa hatinya agak lega kerana bukan hanya dia seorang sahaja yang tinggal di situ.
Sejak senja tadi, dia melihat gerai kecil di tepi pantai itu sudah pun dibuka. Kerusi meja kelihatan sudah disusun rapi. Bau ikan bakar yang harum ditebar angin hingga ke chalet, membuat perutnya terasa lapar. Dia mengintai di tingkap, matanya menangkap beberapa orang sedang duduk di gerai kecil itu. Dia segera bersiap-siap untuk keluar makan malam. Biarpun masih disaluti rasa bimbang dan ragu, dia harus juga keluar untuk mengisi perut. Sebenarnya dia boleh saja keluar ke Kuantan. Jarak dari Cherating ke Kuantan bukanlah jauh benar… Tetapi sejak petang tadi dia tidak punya keinginan langsung untuk ke mana-mana. Sepanjang petang dia hanya menghabiskan masanya di tepi pantai. Ombak terus menggempur pantai, bergulung lalu pecah dan buihnya bermain-main di kaki Sheila.
Sesekali dia memerhati ke arah laut yang terbentang, menghadap ombak yang sedang bergulung, membiarkan ianya terhempas lantas percikan kuat zarah air itu memabasahi baju. Dan dia hanya membiarkan sahaja, tidak akan melarikan dirinya jauh dari gigi air. Saat itu rasa hatinya puas, kegembiraannya mencecah hati dan buat setika dia lupa pada apa yang sedang sarat dalam kepalanya.
Namun dia terkejut tika berpaling ke pantai, di bawah pohon cemara yang berbaris panjang dia terlihat seorang lelaki sedang memerhati aksinya. Lelaki itu asyik sekali memandangnya dari jauh, membuat hati Sheila berdebar-debar. Siapa? Bisik hatinya gusar. Mengapa dia memandang aku begitu? Sheila benar-benar rasa bimbang. Dia memerhati ke arah laut dan ombak datang bergulung semula, menghempas ke pantai, membasahi tubuhnya sekali lagi. Sheila menoleh semula ke arah pohon cemara, mendapati lelaki itu masih seperti tadi, memerhati dirinya.
Masihkah lelaki itu ada di kawasan itu? Fikir Sheila sambil berjalan ke pintu. Agh! Apa yang hendak ditakutkan? Bukankah ramai orang di gerai itu. Dia percaya dia tidak akan diganggu dan diperhati seperti petang tadi. Minta-minta lelaki itu tidak akan menghadirkan dirinya di situ!
Sheila mendekati gerai di tepian pantai itu dengan langkah teragak-agak. Hanya dua meja yang terisi dengan pelanggan. Kelihatan sepasang kekasih berbangsa Inggeris sedang menikmati makan malam. Sheila memilih untuk duduk di meja berhampiran dengan pasangan tersebut, meminggirkan meja yang dihuni empat lelaki tempatan. Dua daripada lelaki itu menghadapinya sementara dua orang lagi membelakanginya. Dia tetap merasa tidak senang, kedatangannya diperhati oleh kedua-dua lelaki itu, sementara pasangan bangsa asing itu langsung tidak peduli samasekali.
Seorang budak lelaki remaja segera mendekati mejanya untuk mengambil pesanan makanan. Dia memilih untuk menikmati ikan terubuk bakar, nasi putih, sayur kailan goreng ikan masin serta minuman jus karot. Setelah itu dia hanya duduk diam menunggu. Mahu tidak mahu dia terpaksa menjadi pendengar kepada perbualan lelaki tempatan yang duduk selang beberapa meja dari mejanya. Lagipun perbualan mereka terdengar begitu kuat. Mentang-mentanglah tak ada orang lain! Gerutu hatinya sendiri.
“Jadi, kau pun baru saja bertukar ke sana?”
“Ya.” Jawab suara itu lagi dengan tenang. “Walaupun ianya bukankah satu syarikat besar, tetapi aku berpuas hati dengan gaji yang ditawarkan. Aku tak rasa rugi langsung meninggalkan KL. Lagipun tugas di sini jauh lebih mencabar…”
“Maksudnya….” Tanya temannya ingin tahu lebih lanjut. “Di situ kau telah menjalankan tugas yang bukan kerja kau yang sebenarnya. Maksudku dapatkah kau laksanakan tugas itu dengan baik sedangkan kau sebenarnya berada di dalam bidang yang lain…”
“Dah tentu aku boleh buat, kerana aku ada mengambil kursus tentang pengurusan dan kewangan. Aku boleh lakukannya dengan baik dan tiada masalah langsung. Jika ada pun masalah, hanyalah tentang perempuan! Perempuan yang aku cintai tetapi tidak langsung menyintai aku. Lebih menyakitkan dia menyintai orang yang telah tiada. Aku terpaksa bersaing dengan orang yang tidak wujud!”
“Kesian!” Sampuk temannya yang lain.
“Lebih teruk daripada tu… Aku takut dia jatuh cinta pada lelaki lain!”
“Hmmm, kau takut pada bayang-bayang sendiri. Apa istimewanya perempuan ni hingga kau lupa pada kewujudan perempuan lain? Dalam dunia ni ramai perempuan-perempuan cantik tahu?” Kata lelaki itu lagi sambil menjeling ke arah Sheila. Gadis itu tidak pedulikan jelingan lelaki itu.
“Dekat meja kita ni pun ada seorang perempuan cantik…”
Semua lelaki itu menoleh ke arah meja Sheila, kecuali Jasman. Dia hanya tertawa.
Ketika itu makanan yang dipesan Sheila sampai ke meja. Gadis itu tergamam melihat seekor ikan terubuk yang besar diletakkan di dalam pinggan bujur disertakan dengan pencecah air asam jawa yang dicampur dengan cili padi dan bawang merah. Besarnya ikan ni! Keluh hati Sheila. Mampukah dia menghabiskannya seorang?
Seleranya tiba-tiba terbantut. Dia tidak akan berselera makan bersendirian. Selama ini dia sering berkongsi menikmati hidangan makan malam, bersama Azizah. Perkongsian itu membangkitkan rasa ghairah untuk menghabiskan makanan hingga ianya benar-benar licin. Kini keghairahan itu semakin menghilang dan dia benar-benar tidak mengerti. Hatinya seringkali merindui saat-saat tika mereka bersama.
Dia tidak pernah mencari Azizah. Dia tidak tahu di mana gadis itu sekarang. Kembali ke Cherating ini berseorangan, hanya memulangkan kenangan demi kenangan.
Gema tawa yang memecah di meja berdekatan mematikan lamunannya.
“Perempuan!” Dia terdengar lelaki itu berkata lagi terus diburu tawa yang panjang. “Mereka sebenarnya bukan masalah besar, asalkan kau pandai mengawalnya. Seperti kau memegang tali layang-layang. Jangan ditarik tali supaya ia boleh terbang tinggi dan juga jangan pula dilepaskan bebas begitu saja, nanti ia akan terus pergi jauh…”
“Ya… Aku hargai nasihat kau tu!”
Sheila berpaling ke arah mereka. Entah mengapa suara itu amat dikenalinya. Dia yakin sekali, suara itu milik siapa. Dia memerhati sejenak ke arah meja ke empat-empat lelaki itu yang sedang rancak berbual. Tawa mereka masih terdengar bersisa. Apabila Sheila berpaling memerhati, salah seorang lelaki itu mengangkat kening ke arahnya dan mengenyitkan mata.
Sheila hanya menggigit bibir, kemudian terus memusing mukanya. Menyampah! Bisik hatinya geram. Pantanglah kita pandang mereka, mulalah perasan! Bisik hati Sheila. Tetapi suara itu… Bisik hatinya, suara itu benar-benar membuat dia ingin berpaling semula. Dia amat berharap lelaki yang memakai baju t berwarna merah terang dan berseluar bermuda itu berpaling ke arahnya. Jika dilihat daripada belakang begitu, dia seperti dapat meneka siapakah dia? Hmmm… Kenapa? Kenapa aku seperti terdengar-dengar suaranya di sini?
Saat itu bagaikan doanya terpenuh, lelaki itu berpaling ke arahnya. Dia tersenyum.
“Sheila!”
“Jasman??” Dia tidak mengerti perasaannya saat itu.
Semangatnya bagaikan kembali apabila bertemu muka dengan Jasman di situ. Beberapa hari kebelakangan ini dia merasa hidupnya semakin terasing. Dia masih merasa marah, geram, kecewa dan akhirnya merasa kesepian yang tidak berkesudahan. Semuanya kerana ketiadaan seseorang yang bermakna dalam hidupnya.
Tiba-tiba dia merasakan dia amat memerlukan seseorang untuk berada dekat dengannya. Dan lelaki itu adalah Jasman. Dan malam itu hasratnya terpenuh.


“YA ALLAH…” Bisiknya sendiri sambil memerhati lelaki yang lemah tidak berdaya itu. Aku kasihankan lelaki ini. Mengapa dia diperlakukan begini? Mengapa? Selama ini aku tidak tahu, bahawa Rosnah adalah seorang yang kejam. Sanggup dia menganiayai lelaki ini, dikurung seperti makhluk yang tidak bertamadun. Siapakah dia? Benarkah dia tidak siuman seperti yang didakwa oleh Rosnah?
“Makanlah nak…” Seru Kudus apabila dilihatnya Andy Farhan langsung tidak mahu menyentuh makanannya. Dia hanya memerhati sahaja ke arah pinggan berisi nasi dan ayam goreng itu. Sejak semalam dia tidak makan apa-apa. Tiada yang berubah…. Bisik hatinya pilu. Dia tetap terkurung dan diberi makan seperti anjing! Tiba-tiba dia bencikan kehidupan yang penuh seksaan ini. Mengapa? Rintih hatinya pedih. Mengapa sanggup Rosnah memperlakukan dia begitu? Jika ada dendam antara Rosnah dan Bakhtiar mengapa dia yang harus menjadi mangsa? Jika ada rasa benci Rosnah terhadap uminya, mengapa dia yang harus menanggung tempias rasa benci dan marahnya itu.
Dia tidak mahu hidup lagi! Hatinya menjerit. Harapan untuk melihat sinar mentari telah musnah sama sekali. Mengapa tidak Rosnah membunuhnya sahaja supaya hatinya puas? Mengapa dia harus dikurung di situ? Mengapa? Andy Farhan tiba-tiba menjerit sekuat hatinya membuat Kudus terperanjat dan terlompat ke arah pintu. Daun pintu ditutupnya dengan segera, takut pada sebarang kemungkinan. Rosnah telah berpesan supaya berhati-hati dengan lelaki itu. Menurut Rosnah lelaki itu tidak siuman dan dia mungkin akan bertindak di luar dugaan.


“I TAK SANGKA you ada di sini…” Kata Sheila sambil merenung muka Jasman masih lagi tidak percaya. “Macam mimpi saja kan?”
“Hmmm… Bukan mimpi. You sedang berdepan dengan kenyataan.” Beritahu Jasman tersenyum panjang. “Sebenarnya I ke Kuantan untuk bertemu dengan kawan…” Katanya sambil menunjuk ke arah salah seorang rakannya. “Dia yang ajak I makan di sini… Menurutnya, ikan bakar di sini sedap. Ikannya segar dan pencecahnya juga istimewa.”
“Hmmm, memang sedap. Marilah join I makan. Lagipun takkan I boleh habiskan ikan ni seorang.” Sheila mempelawa ikhlas. “Jadi, you tinggal di mana?”
Jasman tidak menjawab. Dia hanya tersenyum lagi. Tak mungkin dia akan berterus terang dengan Sheila bahawa dia sengaja menjejaki gadis itu kerana bimbangkan keselamatan dirinya. Memang dia tahu Sheila sedang bercuti. Borang cuti Sheila ada di atas mejanya pagi semalam. Walaupun Sheila tidak menuliskan destinasi percutiannya tetapi dia hanya mengagak pastilah gadis itu pergi ke tempat yang pernah dikunjunginya. Tidak mungkin gadis itu akan pergi jauh kerana dia tahu, dalam diam Sheila masih mencari dan cuba menjejaki Andy Farhan, dengan caranya sendiri.
Kau silap Sheila… Bisik Jasman. Kau terlalu percayakan Maisarah… gadis penipu itu! Mengapa tidak, kau letakkan kepercayaan padaku? Mengapa tidak sayangku? Sukar sangatkah untuk kau mempercayai aku? Jika tidak sebagaimana kau mempercayai Andy Farhan, tapi cubalah kau percaya walau hanya sekali. Memang aku berharap agar kau tidak bertemu semula dengan Andy Farhan, kerana aku benar-benar telah jatuh cinta padamu. Tapi mahukah kau percaya? Hati Jasman berbisik sendiri, sambil merenung muka Sheila. Gadis itu sedang menikmati ikan bakar yang kelihatan amat sedap, tetapi seleranya tertunda. Apabila Sheila mengangkat mukanya, dia cepat menunduk merenung gelasnya yang masih penuh. Pertemuan itu membuat dia hilang selera kerana terlalu gembira. Dia hampir-hampir tidak percaya, firasatnya benar.
Selama ini dia terasa bahawa mereka semakin jauh, terhalang oleh kehadiran Maisarah. Dia juga tahu Azizah telah tersingkir jauh, entah ke mana gadis itu kini. Dia tidak akan terburu-buru untuk mendekati Sheila. Dia harus lakukan dengan penuh hati-hati, agar dia tidak tersingkir seperti Azizah. Dia dapat mengagak niat di hati Maisarah, gadis lesbian itu!
“You seorang aje? Sarah tak ikut?”
Sheila menggeleng. “I nak cari ketenangan, buat apa ramai-ramai? Lebih baik seorang diri kan?”
“Jadi, kehadiran I mengganggu?” Tanya Jasman inginkan kepastian. Dia telah pun berpindah dari meja kawan-kawannya dan duduk semeja dengan Sheila.
“I pernah dengar satu ungkapan. Two is better than one.” Jasman mengenyitkan matanya. “Lagipun you tak takutkah seorang diri di sini. Chalet ni sunyi, tak ramai orang langsung. Agh! I lupakan you nak cari ketenangan, mestilah di tempat yang sunyi dan terpencil.”
Sheila menganggukkan kepalanya. “Eh, kenapa you beria-ria sangat? You bimbangkan keselamatan diri I. Tahulah I jaga diri…” Sheila tiba-tiba teringat pada lelaki yang mengintipnya di bawah pohon cemara semasa dia sedang bermain air ombak di tepi pantai petang tadi. Rasa takut datang menjenguk dirinya saat itu membuat jari-jarinya tergenggam kuat. Dia memandang Jasman dan berkata; “Sanggup ke you menginap di chalet ni semata-mata untuk memastikan keselamatan diri I terjamin?”
“Kerana you I sanggup lakukan apa saja…” Kata Jasman sambil tertawa lembut. “I akan kembali ke Kuantan untuk ambil beg pakaian yang ditinggalkan di hotel dan bermalam bersebelahan dengan chalet you di sini. Atau you lebih suka kalau kita menginap dalam satu chalet? Boleh berjimat cermat gitu!” Jari telunjuknya dengan nakal bermain-main di lengan Sheila yang terdedah. Dapat dilihatnya bulu roma di lengan Sheila yang tersusun cantik. Seksi. Bisik hatinya. Betapa dia mengimpikan untuk melihat bukan sekadar kulit lengannya yang halus dan cantik…
“Haaa… Jangan nak mengada-ngada tahu!” Pantas tangan Sheila menepis dan mencubit lengan Jasman yang berada begitu dekat dengan lengannya sendiri. Jasman mengaduh kuat.
“I gurau saja. Tapi you cubit betul-betul!” Katanya sambil terus mengaduh.
Sheila ketawa. Lucu rasa hatinya apabila melihat muka Jasman yang tadi berseri-seri kini berubah kelat menahan sakit. Tapi benar-benarkah dia kesakitan akibat cubitannya tadi? Bisik hati Sheila kemudian, kesal jika dia harus menyakiti lelaki yang dirasakan amat baik terhadap dirinya itu. Dan apakah tidak salah kiranya dia jatuh cinta pada lelaki seperti Jasman? Bukankah dia seorang teman yang baik?
Dia sebenarnya serit untuk bersahabat lagi. Dia teringat pada seraut wajah Salim, diikuti dengan wajah Azizah. Dia pernah menyayangi mereka berdua sebagai sahabat, tetapi ke manakah mereka kini di saat-saat seperti ini? Bukankah Salim telah bertukar menjadi musuh, begitu juga dengan Azizah… Pasti Azizah juga membencinya!


“RUPA-RUPANYA itu yang terjadi…” Kata Makcu Bedah sambil memerhati ke arah muka menantunya itu. Selepas tiga bulan pernikahan antara anaknya dan Azizah, baru hari itu dia datang lagi ke rumah mereka. Dia masih melihat katil buruk yang diletakkan di dapur, tempat Azizah selalu berbaring.
“Kau dihalau keluar oleh Sheila dan menumpang di rumah ni.” Katanya lagi mengulangi kata-kata yang diungkapkan oleh Azizah sebentar tadi.
“Bukan dihalau mak…” Azizah cuba memperbetulkan kata-kata Makcu Bedah.
“Memang saya yang mahu pergi dari rumah tu… Saya tak tahan dengan perangai sombong kawannya tu!” Adunya dengan suara sebak, enggan menyebut nama Maisarah lagi. Mengingati nama itu amat menyakitkan hatinya serta menghancurkan perasaannya.
“Samalah tu! Dia tuduh kau dengan satu tuduhan yang tidak kau lakukan. Dah tentulah kau ingin pergi dari rumahnya, samalah juga dia seperti menghalau kau keluar.”
Azizah diam. Dia tidak mahu membantah kata-kata emak mertuanya itu.
“Macamana hubungan kau dengan Salim sekarang?” Tanya Makcu Bedah. “Kau tahu yang Salim tu pernah bercinta dan bertunang dengan Sheila. Agaknya dia masih ingat pada Sheila?”
Azizah diam lagi. Hatinya tersentuh kepiluan yang dalam. Bagaimana dia harus menceritakan pada emak Salim, bahawa lelaki itu hampir setiap malam bermimpikan kehadiran Sheila? Apakah sanggup dia menyatakan bahawa Salim seringkali merasakan bahawa dirinya adalah Sheila dan bukannya Azizah. Dan yang lebih teruk daripada itu, Salim memperlakukan dirinya seperti sampah, diambil dan dibuang sesuka hati. Mood Salim sentiasa berubah-ubah. Apabila malam datang, dia ganas seperti singa yang terluka tetapi keesokan harinya menyesali semua perbuatannya terhadap Azizah.
“Mak yakin dia dah pun melupakan Sheila…” Kata Makcu Bedah cuba menyakinkan dirinya sendiri. Dia memerhati perubahan jelas pada tubuh Azizah. Tubuh menantunya itu kelihatan sedikit berisi, terutama sekali di bahagian perut. Sebagai orang tua dia telah dapat melihat perubahan pada leher dan dada perempuan itu.
“Azizah… kau mengandung?”
Azizah memandang emak mertuanya itu. Dia tidak menjawab, cuma menggigit bibir. Dia rasa malu yang amat sangat.
“Entahlah…” Jawabnya lemah.
“Baringlah di sini sekejap.” Kata Makcu Bedah. Azizah menurut. Dia membaringkan tubuhnya di atas katil yang ada di dapur itu. Makcu Bedah meraba-raba perut Azizah serta merasai bahagian ari-arinya.
Dia mengangguk lambat. “Memang… Kau ni dah berisi.” Katanya sambil tersenyum mesra. Tangannya mencari tangan menantunya itu lantas menggenggamnya dengan erat. “Kau mengandung. Jaga diri kau baik-baik. Jaga makan kau elok-elok.” Nasihatnya dengan lembut. “Mak akan nasihatkan Salim supaya dia jaga kau baik-baik. Mak tak akan benarkan dia buat sesuatu yang menyakitkan hati kau dan budak dalam kandungan kau tu. Ini cucu mak…” Kata Makcu Bedah sambil memegang pula pipi Azizah dengan lembut.
Azizah tunduk. Dia sedar perubahan dirinya. Memang dia sedang mengandung… Tetapi dia belum memberitahu Salim akan hal itu. Dia tidak pasti apakah Salim suka atau sebaliknya? Tiba-tiba dia risau sendiri, bagaimana jika Salim tidak menyukai kandungannya itu…
“Jangan beritahu abang Salim, mak…” Kata Azizah mengharap. Dia bingkas bangkit dan duduk di sebelah emak mertuanya itu. Dipandangnya seluruh muka tua Makcu Bedah. Dahi wanita itu berkerut.
“Jangan beritahu berita ini kepadanya. Biar saya beritahu dia sendiri…”
“Hmmm… Yalah. Suka hati kau lah.”
“Terima kasih.”
“Tak payah berterima kasih dengan mak, Azizah. Mak faham keadaan kau ni. Mak tahu anak mak macamana. Tapi kau bersabarlah ya!” Kata Makcu Bedah seikhlas hati. Tubuh Azizah dipeluknya kemas. Airmata Azizah bertitisan di atas bahu emak mertuanya.


Bab 28

TELEFON di atas meja Bakhtiar tidak henti-henti berdering. Dia sudah malas hendak menjawab panggilan yang datang. Kepalanya buntu. Akhirnya dia menekan interkom meminta setiausahanya agar tidak menyambung panggilan ke mejanya. Dia tidak akan menjawab sebarang panggilan lagi. Kepalanya benar-benar pening dan dadanya mulai sesak.
“Apa dah jadi ni?” Kata Zaiton cemas. “Mengapa barang-barang kita tak sampai ke pelabuhan. Ke mana lori-lori itu telah pergi? Kesasar dan sesat? Tak mungkin. Kebanyakan pekerja-pekerja kita tu semuanya sudah mahir dengan jalan-jalan ke pelabuhan Kuantan tu, macamana boleh tak sampai-sampai? Macamana kita nak jawab dengan pelanggan kita?” Tanpa sedar dia telah menyoal pelbagai perkara yang membuat dada Bakhtiar semakin sendat, untuk bernafas. Dia tercungap-cungap mencari ruang udara untuk menghela nafas.
Bakhtiar tidak menjawab, dia masih memegang dadanya yang sakit. Zaiton mendekati suaminya dan menolongnya memakan ubat.
“Maafkan Ton bang…” Katanya kesal. Dia tidak sepatutnya memberikan tekanan terhadap suaminya itu.
Setelah Bakhtiar tenang kembali barulah dia dapat bersuara; “Pasti ada sesuatu yang berlaku.” Kata Bakhtiar dengan suara yang lemah. “Jika diikutkan hati abang dah tak mahu uruskan ini semua. Tapi Farhan tak ada… Tak ada sesiapa yang dapat selesaikan masalah syarikat.”
Zaiton termenung panjang. “Mungkin baik juga jika kita jual sahaja saham syarikat pada mereka yang berminat. Selama ini memang ada yang hendak sangat memiliki saham Rimbajati.”
“Siapa?” tanya Zaiton ingin tahu.
“Ramai yang berminat, termasuklah Datuk Mustafa.”
“Datuk Mustafa? Mengapa dia minat dengan syarikat ni? Bukankah dia dah banyak syarikat?”
Bakhtiar mengangkat bahu. “Entahlah…” Balasnya perlahan. Jari Bakhtiar pantas menekan punat interkom memanggil setiausahanya masuk. Setelah setiausaha berdiri di hadapan mejanya dia bersuara; “Hubungi Datuk Mustafa. Aturkan pertemuan saya dengannya secepat mungkin di pejabat ini. Katakan padanya, ada satu tawaran yang ingin saya ajukan kepadanya, sekiranya dia masih lagi berminat.”
Setelah setiausahanya keluar, Zaiton bersuara agak lantang; “Abang! Abang tahu apa yang abang lakukan ni?”
Bakhtiar mengangguk. “Ya. Abang akan jual saham bahagian abang tu kepadanya. Jika Ton masih sayangkan syarikat ni, janganlah jual bahagian Ton tu. Manalah tahu jika Farhan masih hidup dan akan kembali.”
“Tapi… Tapi apa gunanya setakat saham bahagian Ton tu? Kita takkan berkuasa lagi dalam syarikat kita sendiri.”
Bakhtiar mengangguk. “Tapi jangan lupa bahagian Sheila…” Katanya lambat-lambat. “Dah tentulah Sheila akan memihak kepada kita Ton… Dan Ton akan kekal sebagai Pengarah Urusan Rimbajati.”
“Abang… Jangan yakin sangat bang! Sebenarnya saya tak mahu mengharap pada Sheila. Walau bagaimana pun saya mahu abang berfikir panjang tentang penjualan saham tu. Ingatlah… sher Rimbajati telah banyak dipecah-pecahkan kepada orang-orang yang bukan di kalangan saudara mara kita. Kedudukan kita dalam syarikat ini semakin goyah sekiranya abang jual sher pada Datuk tu! Percayalah cakap Ton… Jika syarikat ni terlepas, kita bukan lagi orang penting di sini. Syarikat yang dimulakan oleh bapa Ton ni akan jadi hak orang lain.”
Bakhtiar tidak menjawab. Dia merasakan tekanan semakin kuat menghempap dirinya selepas ketiadaan Andy Farhan. Enam bulan telah berlalu, tiada tanda-tanda Andy Farhan akan kembali. Setiap saat dia suami isteri terus menanti. Penantian yang tidak pasti. Dia bagaikan telah pergi buat selama-lamanya dalam hidup mereka. Dan tiada apa lagi yang diingini oleh Bakhtiar selain dari berehat panjang dari memikirkan soal duit dan harta dunia. Mungkin sudah tiba masa baginya untuk menumpukan perhatian pada ibadah dan hari mati. Tapi apakah Zaiton akan menurut jejak langkahnya kelak?


SETIAP pagi mereka sama-sama mengharungi ombak di pantai. Hari kedua, ketiga, keempat dan kelima tetap begitu, tetap bersama setiap pagi, tengahari dan petang. Dan petang terakhir itu, tiba-tiba Jasman menyentuh tangannya lantas menggenggamnya dengan erat. Sheila tidak menepis ataupun menolaknya. Dia membiarkan Jasman memegang erat tangannya sambil berjalan-jalan di sepanjang pantai yang lengang itu.
Laut tidak lagi bergelora. Angin petang itu begitu damai dan lembut. Burung-burung berterbangan bebas. Sheila mendongak ke langit. Jasman ikut mendongak dan tersenyum sendiri. Mereka berpandangan dan tersenyum tanpa suara.
“I dah lama impikan suasana damai seperti petang ni…” Kata Jasman setelah begitu lama berdiam diri. “Berjalan dengan you sambil berpegangan tangan macam ni… Menikmati petang yang nyaman. I berharap saat dan ketika ini, semuanya terhenti dan kita akan kekal begini selama-lamanya.”
“Maksud you terus berjalan-jalan sepanjang hidup I di pantai ni… I tak mahulah!” Sheila merentap tangannya dari pegangan Jasman.
“Esok I nak balik. Kembali bertugas.”
“Kembali bertugas…” Seru Jasman perlahan. “Pernah tak you terfikir, tiba-tiba Andy Farhan muncul di hadapan you. Semuanya akan kembali seperti dulu. Perkahwinan you akan diteruskan. Dan semuanya akan pulih seperti sedia kala. Pernahkah you terfikir, apa pula yang akan terjadi pada I?”
Sheila diam. Hatinya terusik. “Apa yang akan terjadi?” Dia bertanya, memandang tepat ke dalam mata hitam Jasman yang suram. Jasman memandang jauh ke laut lepas.
“Barangkali semuanya akan terbalik. I akan jadi macam you, menderita, sengsara dan hidup dalam kesepian, menolak sesiapa sahaja yang hadir di dalam hidup I… Mengapa I jatuh cinta pada you, sedangkan I…” Dia terhenti berkata-kata, memandang tepat ke muka Sheila. Gadis itu menentang matanya, menggelengkan kepala perlahan-lahan.
“You ni sungguh dramatik…”
“You fikir selama ini I hanya berlakon? Menyukai, menyayangi dan menyintai you bukannya lakonan, Sheila!”
“Maaflah.” Kata Sheila perlahan-lahan. “I tak tahu. Kadang-kadang I buntu dan tak tahu apa nak buat. I rasa, I takkan jatuh cinta lagi Jasman… Tapi bila bersama you… Agh! Entahlah I tak tahu!”
Jasman menggigit bibir, ingin memberi keyakinan pada Sheila apabila dilihatnya wajah gadis itu yang berubah muram.
“I rasa seperti baru semalam I kehilangan Abang Farhan. I rasa dia masih ada di mana-mana, akan kembali ke pangkuan I. Tapi persoalannya apakah I masih menyintai dia Jasman? Apakah I masih menyintainya seperti dulu?” Sheila merenung dalam-dalam mata Jasman yang turut merenung ke dalam matanya. Mata itu seolah-olah berbicara, bahasa yang dia tidak mengerti.
“Atau apakah I dah mulai menyintai you?” Sheila terus berpaling, wajahnya dibayangi mendung. Hatinya benar-benar terseksa menanggung perasaan yang bergelora. Dia takut untuk melalui percintaan, pertunangan dan perkahwinan. Semuanya akan berakhir dengan penuh tragis sebelum dia dapat tiba ke kaki pelamin. Dia merasakan tubuhnya lemah dan jiwanya lemas menentang gelora yang tidak putus-putus melanda. Dia tidak tahu ke mana harus lari. Semua tempat dia pergi hanya satu penyeksaan belaka.
Sheila terus berlari ke darat, meninggalkan Jasman yang terpaku memerhati. Nafasnya lelah kerana berlari terlalu laju. Dia jatuh tersungkur di bawah pohon cemara, di atas pasir halus masih terasa hangat. Dia cuba bangun. Di saat itu matanya terlihat sepasang kaki berkasut but hitam begitu hampir dengannya. Dia mendongak ke atas dan terpandang seraut wajah. Wajah itu! Bisik hatinya ketakutan. Wajah berjambang, bengis dan menakutkan yang ditemui ketika sesat di dalam hutan di Taman Negara.
Sheila menjerit ketakutan. Sekelip mata lelaki itu hilang dari pandangannya dan Jasman menerpa ke arahnya lantas bertanya; “Kenapa?”
“I… I takut!” Adu Sheila, sambil membenamkan kepalanya ke dada Jasman. Dia merasa selamat berada di dalam dakapan lelaki itu. Tangannya mencengkam kuat baju Jasman tidak ingin dilepaskan. Jasman dapat merasakan tubuh Sheila yang menggigil ketakutan.


“KENAPA kau sembunyikan perkara ni daripada aku? Mengapa? Apa yang kau takutkan sangat? Mengapa kandungan tu dah berusia empat bulan baru nak beritahu?” Tengking Salim dengan kuat. Tidak sudi dia memandang muka Azizah yang basah dipenuhi airmata. Dia benar-benar meradang dan marah.
“Saya takut… takut encik Salim suruh saya gugurkannya.”
“Memang! Itulah yang akan aku minta kau lakukan. Gugurkannya. Tapi dah empat bulan… Dah lewat untuk buat macam tu!” Kata Salim suaranya masih keras. “Kau sanggup nak lahirkan dan bela dia nanti? Kau sanggup pikul tanggungjawab sebagai ibu? Aku tak tak sanggup dan aku tak mahu…”
Tangisan Azizah semakin kuat. Dia hampir-hampir meraung apabila menyedari bahawa Salim bukan hanya bencikan dia tetapi lelaki itu turut membenci kandungannya itu. Tapi anak itu adalah anak Salim. Mengapa anak itu harus dibenci?
“Saya sanggup jaga dia…” Kata Azizah bersama tangisan panjang. “Saya akan jaga dia dengan sebaik-baiknya. Kalau encik Salim tak mahukan dia tak mengapa. Tapi izinkan saya melahirkannya. Izinkan saya meneruskan kandungan ini. Saya berjanji kami… kami tidak akan menyusahkan encik Salim. Langsung tidak…”
Mendengar janji itu, kemarahan Salim sedikit reda.
“OK. Kau lahirkanlah anak kau tu…” Katanya kemudian setelah sejurus mendiamkan diri. “Tapi ingat jangan sesekali menyusahkan aku nanti. Kau yang mahukannya, jadi apa-apa hal yang berlaku kemudian hari, kau tanggung sendiri, faham?”
Azizah mengangguk sahaja. Memang dia menginginkan anak itu lebih dari segalanya. Dia sanggup mati, asal saja anak itu hidup. Hidup untuk terus menyambung keturunannya di muka bumi ini. Anak yang suatu masa akan mendoakannya apabila dia mati kelak. Anak yang akan memberikan dia kasih sayang, sesuatu yang tidak dirasainya lagi sejak dia berpisah dengan keluarganya di kampung. Anak itu adalah harapannya, segala-gala yang dia miliki kini.


MEREKA pulang bersama meskipun datang berasingan. Kini kereta Sheila yang dipandu oleh Jasman sudah tiba di hadapan rumah. Sheila lihat kereta Maisarah ada di bawah porch, tetapi dia hairan mengapa tingkap tidak langsung dibuka. Barangkali dia tidur… Bisik hati Sheila sambil menolak pintu hadapan perlahan-lahan.
Memang suasana di dalam rumah begitu sunyi. Matanya menangkap pintu bilik Maisarah yang renggang. Dia terdengar suara erangan datangnya dari dalam bilik Maisarah yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu. Sheila terus menuju ke situ untuk memberitahu Maisarah kepulangannya. Dia ada membeli sedikit keropok lekor di Jaya Gading. Bolehlah mereka makan bersama nanti. Dia sudah pun melupakan apa yang terjadi di antara mereka. Dia tidak mahu kehilangan kawan. Dia takut untuk hidup sendiri setelah menyedari bahawa dia masih dilingkari bahaya yang tersembunyi.
“Sarah!” Dia menyeru sambil menolak pintu yang renggang itu tanpa mengetuknya terlebih dahulu.
Matanya tertuju ke arah katil Maisarah. Ada dua insan di atas katil itu. Dia terperanjat. Benar-benar tidak menduga apa yang terpapar di hadapan mata. Matanya terbeliak, benar-benar tidak percaya. Dia rasa malu yang amat sangat. Oh! Tuhan… Serunya sendiri sambil menutup pintu kembali dengan cepat dan kuat. Bunyi dentuman di pintu mengejutkan kedua-dua insan yang sedang asyik di atas katil.
“Siapa?” tanya teman Maisarah terkejut sambil merangkak turun dari katil, mengaut bajunya yang terdampar di atas lantai.
“House mate I dah balik…”
“Dia nampak kita?”
“Dah tentulah nampak.”
“Macamana?”
“You balik dulu. Nanti I call you!” Kata Maisarah sambil menggigit bibir. Diperhatinya rakan wanitanya itu membetulkan rambutnya yang terhurai panjang. Baju dan seluar jean disarung pantas ke tubuh. Kemudian sekilas ciuman hinggap di pipi sebelum berlalu keluar. Maisarah terus terpaku di atas katil sambil memeluk selimut. Apa yang harus dilakukannya?
Sheila memerhati sahaja ke arah teman wanita Maisarah yang berjalan pantas keluar. Perempuan itu memandangnya sekilas, memberi senyuman tawar yang tidak langsung berbalas. Hati Sheila sakit… benar sakit di atas perbuatan Maisarah selama ini. Langsung dia tidak menduga, siapa Maisarah. Patutlah selama ini… fikirnya, Maisarah cuba merapatinya tetapi dia tidak pernah pun terfikir ke arah itu! Dia fikir sentuhan dan hubungan rapat itu sebagai biasa. Dia dan Azizah pun rapat juga. Mereka selalu berbual dan bergurau, tidur bersama dan berpelukan… Tetapi bukan seperti itu! Agh! Geli geleman dan jijik dia mengingatkan perbuatan Maisarah.
Maisarah keluar dari bilik dan berjalan mendekati Sheila. Dia duduk di sofa, menahan nafas dan berkata; “Maafkan I, Sheila…”
“I boleh maafkan you, Sarah… walaupun I belum boleh melupakan apa yang you lakukan tadi.” Kata Sheila perlahan. “Tapi I harap you akan kemaskan barang-barang you sekarang juga. Kalau boleh keluar dari rumah I petang ni juga. Kalau tak boleh, I harap awal pagi esok you akan keluar selama-lamanya dari rumah ni. Itu saja yang boleh I katakan sekarang.” Katanya tanpa memandang muka Maisarah.
“I harap setelah you keluar dari rumah ni, you akan bertaubat sebelum pintu taubat tertutup. Jika pun you tak malu pada I, hendaknya you malulah pada Tuhan Yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui.” Sheila terus bangun meninggalkan Maisarah yang terpaku tanpa suara. Dia naik ke biliknya dengan hati yang hampa dan kecewa. Akhirnya dia melepaskan tangisan sedihnya di atas bantal yang setia menunggu.
Dalam sedu sedan yang menghambatnya, dia teringat pada Azizah. Sekali lagi dia harus mengaku merindui kehadiran Azizah setiap kali dia balik ke rumah itu.


Bab 29

MAKCU BEDAH semakin kerap mengunjungi Kampung Rumpun Makmur setelah dia mengetahui Azizah berbadan dua. Pelbagai petua yang diperturunkan kepada menantunya itu. Dan hari itu Makcu Bedah datang membawa bantal kecil serta peralatan lain untuk bakal cucunya yang akan lahir. Diam-diam Salim memerhati dari kejauhan. Dan pagi itu entah mengapa hatinya melonjak-lonjak ingin tahu apa yang diperkatakan oleh emaknya dan Azizah.
Dia mengendap perlahan-lahan di tepi tingkap dapur. Biarpun dia sepatutnya berada di ladang untuk melihat para kulinya membersihkan ladang, dia tidak peduli. Rasa ingin tahunya melonjak. Selama ini emaknya seakan-akan tidak peduli padanya langsung. Perhatian hanya tertumpu pada Azizah sahaja.
Ladang tembikai Salim sudah tidak berbuah dan semakin menua. Kebanyakan pokok-pokok itu akan dicantas dan dibuang. Semaian pokok-pokok baru telah pun bermula beberapa minggu lepas. Tetapi tetap ada beberapa bahagian lain yang masih menghasilkan buah. Buahnya sudah tidak begitu elok lagi. Ianya tidak boleh lagi dipasarkan melainkan dipetik untuk dimakan sahaja.
“Mengapa mak susah-susah datang bawa bantal dan selimut bayi ni mak…” Kata Azizah sambil membelek bantal comel yang dibawa oleh emak mertuanya.
“Bukannya susah…” Balas Makcu Bedah. “Mak gembira nak sambut cucu. Lagipun tak ada apa buat di rumah tu, jadi mak menjahitlah apa yang patut…”
Azizah mengangguk. Dia gembira dengan layanan yang diberi oleh Makcu Bedah. Tidak sangka emak mertuanya itu seorang wanita yang baik hati.
“Macamana dengan Salim sekarang?” Tanya Makcu Bedah ingin tahu.
Azizah tersenyum, menyembunyikan sendu jauh di sudut hatinya. Dia tidak akan membuka apa-apa rahsia rumahtangganya kepada Makcu Bedah. Wanita itu sudah tua. Azizah tidak ingin menambahkan rasa susah di hatinya memikirkan perihal Salim yang tidak bertimbangrasa itu. Dia mahu Makcu Bedah berbangga dengan Salim. Dia mahu Makcu Bedah merasa bahawa Salim telah kembali seperti dulu, seorang anak yang baik dan menyenangkan hati orang tua.
“Dia baik mak… Dia dah berubah sebaik sahaja mengetahui saya mengandung.” Kata Azizah berbohong. “Dia sangat gembira untuk menerima kehadiran bayi ni. Dia telah memilih beberapa nama… Antara nama-nama yang sudah dipilihnya…” Azizah teragak-agak kemudian menyambung lagi; “Arief Aiman. Sedap tak nama tu mak?”
“Ya. Memang sedap nama tu. Bagus pula maksudnya kan? Syukurlah. Anak ini adalah rahmat yang diberikan Tuhan dalam rumahtangga kau, Zah. Anak ini pengikat kasih sayang.” Kata Makcu Bedah. “Hati yang keras pun akan menjadi lembut. Perasaan benci akan bertukar sayang.”
“Harapnya begitulah mak.” Balas Azizah perlahan cuba memberikan senyuman tulus. Jauh disudut hatinya tahu perkara itu adalah mustahil sama sekali. Salim tetap tidak berubah, terkadang menjadi lebih teruk… Biarpun sedang hamil, terkadang dia tetap membelasah Azizah tanpa belas. Dan keesokan harinya seperti biasa dia akan menyesali perbuatannya itu.
“Cepatlah lahir cucuku…” Bisik Makcu Bedah sambil mengusap perut Azizah yang semakin membusung.
Azizah mengeluh perlahan. Dia tidak dapat berkata apa-apa lagi dihalangi rasa sebak. Ditundukkan mukanya, dia tidak ingin mendung yang bertamu dilihat oleh emak mertuanya itu. Makcu Bedah sibuk mengeluarkan senaskah al-Quran di dalam beg yang dibawa bersama.
“Kau pandai mengaji?” Tanya Makcu Bedah.
Azizah mengangkat muka, terkejut mendengar pertanyaan itu. Dia boleh membaca al-Quran, walaupun tidak mengetahui tajwid. Tetapi setakat membaca untuk diri sendiri dia yakin boleh melakukannya. Semasa kecil dahulu dia turut diasuh agar membaca al-Quran.
“Ni mak bawakan al-Quran. Bukalah surah Maryam dan Yusuf. Surah Maryam kalau dibaca selalu sepanjang waktu hamil akan memudahkan bersalin. Sementara Surah Yusuf pula untuk mendapat anak yang cantik…” Kata Makcu Bedah tersenyum-senyum. “Tapi mak rasa anak kamu nanti pastilah cantik, kerana kamu ni pun cantik orangnya, Zah…”
Azizah diam sahaja. Tetapi al-Quran yang dihulur disambutnya juga.
“Sebaik-baiknya ajaklah Salim tu mengaji sekali…” Kata Makcu Bedah. “Sebenarnya Salim tu pandai mengaji semasa dia kecil. Umur 12 tahun dia dah khatam quran. Ahhh… Dia memang anak yang baik. Mak macam tak percaya apa yang berlaku. Entahlah!” Keluh Makcu Bedah perlahan. “Tapi percayalah, dia pandai mengaji quran. Ajaklah dia sama-sama membaca al-Quran ni, lebih afdhal dilakukan bersama suami isteri. Insya Allah mudah kau bersalin nanti, selamat cucu mak dunia akhirat, sebab sejak dari dalam kandungan sudah diperdengarkan dengan ayat-ayat Allah.”
Airmata Azizah berlinangan. “Insya Allah mak. Saya akan ajak dia membaca al-Quran ni bersama-sama.”
Bibir Salim tercebik. Jangan kau harap, Azizah! Cetusnya sendiri sambil terus melangkah menjauh dari tingkap rumah itu bersama hati yang rusuh. Dia tidak dapat melupakan apa yang dikatakan oleh emaknya sebentar tadi. Emaknya sudah memaafkannya! Tetapi wanita tua itu tidak pernah menunjukkan sikap bahawa dia sudah dimaafkan. Setiap kali emaknya datang, pastilah dia hanya akan berbual-bual berjam-jam dengan Azizah sahaja. Selama ini Salim menyangka emaknya datang kerana Azizah semata-mata.
Rupa-rupanya emak masih sayangkan aku… Bisik hati Salim.

SAYANG seribu kali sayang… Dia tidak tahu di manakah Andy Farhan. Orang yang paling setia kepadanya juga entah ke mana menghilangkan diri. Dia kehairanan. Matanya memerhati sekeliling rumah kecil yang sepi itu. Tiada apa-apa lagi di situ. Arahan terakhirnya kepada Manaf tidak dipatuhi. Rumah itu tidak dibakar hangus seperti yang diarahkan. Penghuninya lesap entah ke mana. Apa yang harus dilakukannya sekarang? Apa?
Telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Dia melihat paparan di skrin. Maisarah.
“Ada apa, Sarah?” Dia bertanya malas. Entah mengapa anak perempuannya itu menghubunginya.
“Sarah dah tinggalkan rumah Sheila. Kami bergaduh. Semua ini terjadi kerana kesilapan Sarah.” Beritahu Maisarah dalam sedu sedan.
“Habis, sekarang kau tinggal di mana?” Dia bertanya acuh tak acuh.
“Di hotel.”
“OK. Nanti daddy datang jumpa kau, tapi sekarang ni tak boleh. Malam nanti…” Katanya sambil mematikan panggilan. Telefon dimasukkan kembali ke dalam poket. Tapi tidak sampai seminit ianya berbunyi lagi. Datuk Mustafa merengus sambil merogoh poket seluarnya, mengeluarkan telefon bimbit itu semula. Tanpa melihat paparan di skrin telefon dia terus melekapkan alat komunikasi itu ke telinganya. Fikirnya Maisarah yang menelefonnya lagi;
“Ada apa lagi?” Serunya marah.
“Datuk Mustafa?” Jawab satu suara lain. “Saya Annie, SU Encik Bakhtiar dari Rangkaian Rimbajati.”
“Annie? Ya… Ya.” Jawab Datuk Mustafa, nada suaranya berubah lembut.
“Boleh Datuk datang ke Rimbajati hari ni? Ada perkara penting yang ingin dibincangkan oleh Encik Bahtiar.”
“Hari ni? Pukul berapa?”
“Terpulang pada Datuk.”
“Baik. Pukul satu?” Kata Datuk Mustafa sambil melihat jam tangannya. “Pukul satu saya akan ke sana.” Putusnya dengan pantas. Ada satu harapan baru bertunas. Dia yakin Bakhtiar sudah mengalah. Permainan ini sudah hampir tamat… I will win! Games over! Bisik hati Datuk Mustafa. Akhirnya Bakhtiar lelah dan letih menghadapi tekanan. Dia akan dapat memiliki sebahagian saham Rangkaian Rimbajati. Tidak lama lagi syarikat itu akan digabungkan dengan syarikatnya sendiri dan dia akan memegang saham terbesar lantas dapat menguasai seluruh projek pembalakan yang ada di negeri Pahang ini. Syarikatnya akan naik dan gah di mana-mana. Tiada saingan lagi!
Tetapi hanya satu yang jadi persoalannya… Di mana Andy Farhan? Apakah dia masih hidup? Apakah Manaf telah melaksanakan perintahnya agar lelaki itu dibunuh bersama dengan Azlan? Atau Andy Farhan sudah pun terlepas dari kurungan dan akan datang untuk menikamnya pula dari belakang. Tidak… dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Andy Farhan tidak akan tahu! Dia tidak pernah mendedahkan dirinya pada sesiapa! Tiada siapa pun yang tahu, melainkan anaknya Maisarah dan Manaf.
Mana Manaf? Soalan itu menghantuinya di sepanjang perjalanan kembali ke bandar Jerantut. Dia menjeling jam di pergelangan tangan. Masih ada dua jam sebelum temujanjinya dengan Bakhtiar. Masih sempat untuk dia pergi ‘melawat’ kedai milik Manaf. Manalah tahu sekiranya lelaki itu ada di kedai. Semasa dia melintasi kedai Manaf, dilihatnya kedai itu bertutup rapat. Mengapa? Bisik hatinya kehairanan. Mengapa lelaki itu tidak lagi berniaga? Dia duduk sejenak di dalam pajero sambil memerhati ke arah kedai yang bertutup rapat itu. Tidak lama kemudian kelihatan seorang wanita menghampiri kedai dan membuka gril yang bertutup rapat serta berkunci. Dia yakin wanita itu adalah isteri Manaf. Cepat-cepat dia turun dari pajero dan mendekati wanita yang sedang menolak pintu gril dan meloloskan diri untuk masuk ke dalam kedai. Wanita itu terkejut mendengar sapaan Datuk Mustafa.
“Suami saya…” Kata wanita itu teragak-agak. “Dah seminggu hilang.”
“Hilang?” tanya Datuk Mustafa benar-benar terkejut dengan berita yang baru didengari. “Ya. Saya dah report ke balai. Polis ada jumpa pajeronya di tepi jalan, dekat Jengka 7 sana. Tapi dia tak ada… dia hilang begitu saja.” Beritahu wanita itu dengan nada sedih. “Kedai ni pun dah seminggu tutup…” Beritahunya sambil menyeka airmata.
Datuk Mustafa diam, hilang kata-kata. Dia terus meninggalkan wanita itu yang kelihatan terpinga-pinga. Kesal juga hatinya, kerana dia harus mendedahkan dirinya pada wanita itu. Pastilah wanita itu tertanya-tanya siapakah dirinya dan mengapa dia bertanya tentang suaminya yang telah seminggu hilang itu. Ke manakah sebenarnya Manaf? Apakah Manaf sudah mati, dibunuh oleh Azlan? Bukankah lelaki itu juga ganas dan gila?
Dahi Datuk Mustafa mulai berpeluh meskipun di dalam pajero itu berhawa dingin. Dia merasa lututnya semakin lemah dan akhirnya dia memandu ke tepi jalan. Hatinya risau bukan kepalang apabila teringat pada Azlan. Dia takut rahsianya terbongkar dan jika benar Manaf sudah pun mati, apakah selepas ini Azlan akan memburunya pula? Mustahil! Bisik hatinya sambil tangannya menyentuh gear. Azlan tidak kenal siapa dirinya dan lelaki itu tidak pernah tahu siapakah yang telah mengupahnya untuk menjaga Andy Farhan. Dia akan selamat… Dia tersenyum sendiri, meneruskan perjalanan yang tergendala.


DIA bencikan kegagalan. Kegagalan demi kegagalan akan membuat dia kelihatan lemah. Dia sebenarnya bukanlah lemah sebagaimana yang disangka kebanyakan orang. Biarpun dia tidak memiliki wang yang banyak, tetapi wang bukan segala-galanya. Pagi itu dia harus akur terhadap perutnya yang lapar dan wang sudah tiada langsung di dalam genggamannya. Dia penat dan lelah berjalan kaki entah berapa kilometer jaraknya. Dia mesti mendapatkan wang untuk mengalas perut.
Tidak kira bagaimana dan apa caranya pun, perut perlu diisi agar dapat menyalurkan tenaga ke seluruh tubuh. Masih ada tugasannya yang belum selesai yang mesti dikerjakan.


KUDUS menadah tangannya ke langit. Subuh itu dia agak lama bermunajat di atas sejadah. Hatinya resah sejak kedatangan ‘penghuni’ baru di rumah itu. Entah mengapa dia berperasaan begitu. Pertama kali bertemu Rosnah, dia menganggap wanita itu seorang yang baik dan penuh simpatik. Tetapi semakin lama dia mengenalinya, keperibadiannya yang buruk itu kian terserlah dan rasa hormat Kudus sedikit demi sedikit terhakis. Dia terus bertugas di situ pun kerana memikirkan sukar untuk mendapat pekerjaan lain, memandangkan dia tidak punya dokumen yang sah. Dia menemui Rosnah di ladang sawit. Dulu dia bekerja di ladang, tetapi sejak menjadi penjaga rumah banglo itu, pekerjaannya semakin ringan walaupun harus berdepan dengan pelbagai perkara yang tidak menyenangkan hatinya.
Dia tidak tahu apa-apa berkenaan dengan lelaki yang dikurung di bilik bawah tanah rumah gedung itu, tetapi dia dapat merasakan sesuatu. Lelaki itu tidak seharusnya diperlakukan sedemikian rupa. Jika benarpun dia tidak siuman, mengapa tidak dihantar sahaja ke hospital mental untuk mendapatkan rawatan. Mengapa mesti dikurung seperti anjing? Sedangkan anjing-anjing peliharaan Rosnah sendiri diberi makan dan dilayan dengan baik. Inikan pula manusia…
Apakah sebenarnya perhubungan antara lelaki itu dengan Rosnah? Rasa ingin tahunya memuncak, tetapi dia tidak berani bertanya kepada majikannya itu. Dia sedar siapa dia di rumah itu, sekadar orang yang diberi gaji dan tanggungjawab menjaga harta kepunyaan isteri seorang jutawan. Jutawan itu sendiri amat jarang datang ke rumah itu. Terkadang dia terfikir apakah benar Rosnah masih seorang isteri apabila dia sanggup menjalin hubungan dengan pengurus ladang sawit itu. Perhubungan itu bukan lagi rahsia bagi Kudus. Hatinya selalu resah kerana dia terlibat dalam perkara yang dianggap subahat. Berdosakah dia kerana menutup mata terhadap apa yang berlaku?
Dia melipat sejadah dan menyimpannya di tempat biasa. Tingkap tunggal di bilik itu buka. Matahari masih belum terbit, suasana sekeliling nyaman dan berangin. Kudus merasa dingin kerana tubuhnya hanya dibaluti sehelai t.shirt pagoda dan berkain pelekat sahaja. Dia segera menukar baju dan seluar kemudian masuk ke dapur.
Di dapur dia mendapati isterinya Suminah sedang menyediakan sarapan. Kopi O panas sudah tersedia untuknya ditemani semangkuk lontong. Aroma kopi yang harum membangkitkan selera. Dia terus menghadapi sarapannya tanpa suara. Dia tidak juga berani hendak membincangkan perihal penghuni baru yang hadir di rumah itu beberapa hari lepas. Dia bimbang perbincangan itu akan didengari oleh Rosnah, walaupun dia tahu majikannya itu masih tidur.
“Tadi malam puan besar berpesan agar lelaki itu tidak perlu diberi makan pagi…” Kata Suminah memecah kesunyian. Dia menoleh dan tersentak bagaikan tidak percaya Suminah akan berbicara tentang perkara yang sedang bermain dalam kepalanya. “Cuma dihantar air minuman saja.”
“Ada kau tanyakan kenapa tak perlu diberi makanan… Aku lihat tubuhnya kurus dan menggigil, seperti orang sakit.”
“Katanya enggak perlu! Jika diberi makan pun, dia enggan makan.”
“Mustahil.” Kudus geleng kepala.
“Dia gila…”
“Aku tak percaya. Kalau gila sekalipun tidak perlu dikurung seperti itu!”
“Entahlah!” Balas isterinya acuh tak acuh, meneruskan kerjanya.
Kudus ingin melanjutkan kata tapi dia terdengar suara Rosnah berteriak kuat dari tingkat atas. Rosnah menyeru namanya. Dia terburu-buru bangun dan berlari datang biarpun belum sempat menyudahkan sarapannya.
“Saya datang! Saya datang!!” Sahutnya sambil berlari-lari keluar dari arah dapur. Dipandangnya Rosnah yang berdiri di pertengahan tangga, masih dengan baju tidur tipis yang menggiurkan. Kudus beristighfar di dalam hati. Bukan sekali dua dia melihat Rosnah dalam pakaian sebegitu.
“Tepat pukul lapan nanti, kau pergi ke alamat ni…” Katanya sambil melangkah turun tangga dan mengunjukkan secebis kertas. “Jemput doktor tu datang ke sini. Hari ni aku rasa tak sihat.” Kudus mengangguk sambil matanya menjeling jam dinding. Dia segera keluar apabila tiada apa-apa lagi yang hendak diperkatakan oleh Rosnah.


DATUK Mustafa mengetuk pintu beberapa kali. Agak lama dia menunggu barulah pintu dibuka dari dalam. Dahinya berkerut apabila terpandang muka Maisarah yang kelihatan lesu. Rambutnya biarpun pendek tetapi nampak kusut tidak bersikat.
“Buat apa? Tidur?” Tanya Datuk Mustafa sambil menjeling jam tangan. Baru pukul lapan malam, masakan dah tidur? Bisik hatinya.
Maisarah mengangguk. “Mengantuk sangat. Lagipun tiada apa nak buat…” Beritahunya malas. Lagipun hati sedang lebur dan hancur. Tiada mood hendak melakukan apa-apa selain daripada tidur.
“Jom! Turun makan. Tentu belum makan malam lagi ni!” Teka bapanya sambil melangkah masuk ke dalam bilik hotel itu. Dia melabuhkan punggungnya di sofa. Maisarah tidak bersuara, pantas tangannya mencapai tuala dan masuk ke kamar mandi. Sepuluh minit kemudian dia keluar dari bilik air, siap mengenakan sehelai t.shirt dan seluar jean.
Datuk Mustafa memerhati anaknya itu yang bersiap ala kadar sahaja. Alat solek tidak pernah disentuh. Sudah lama dia menyimpan rasa hairan kerana anaknya itu tidak gemar bersolek. Ketika dia bertemu dengan Maisarah dan Sheila di Centrepoint, dia cuba membandingkan penampilan kedua-dua gadis itu. Sheila kelihatan anggun, penuh kewanitaan sementara Maisarah nampak ringkas sahaja. Memang sejak dia remaja, dia adalah gadis tomboy yang lincah dan bebas. Tidak disangka pula walaupun usia sudah mencecah 25 tahun dia terus bersikap begitu. Sikap itu sudah sebati dengan dirinya. Maisarah terus menyarung sneakers yang terletak di tepi pintu.
“Apalagi, jomlah! Memang Sarah lapar gila ni!” Kata Maisarah apabila dilihat Datuk Mustafa asyik memerhati dirinya sejak dia keluar dari bilik air tadi.
Datuk Mustafa bangun mengiringi anaknya keluar.
“Sarah…” Seru Datuk Mustafa ketika mereka sudah duduk menghadapi meja. Makanan yang dipesan belum tiba. Cuma minuman sahaja yang tersaji di hadapan mereka.
“Sarah ni nampak ringkas sangatlah, mengapa Sarah tak suka bersolek macam Sheila tu? Kan cantik, anggun dan menarik dipandang. Kadang-kadang daddy tertanya-tanya, bilalah kau nak kenalkan daddy pada teman lelaki. Asyik-asyik daddy tengok kau sentiasa bersama kawan perempuan sahaja…”
Maisarah merengus kasar. “Hmmm… Jangan sebutlah nama Sheila tu! Boring!” Maisarah cebirkan bibirnya, seraya berpaling ke arah lain.
“Kenapa? Apa dah jadi antara kamu berdua? Dulu daddy tengok bukan main baik lagi?”
“Sebenarnya daddy tak tahu apa-apa. Janganlah sampai tersalah menilai orang daddy.” Kata Maisarah seolah-olah mengingatkan bapanya.
“First impression…” kata Datuk Mustafa ketawa. “Dia cantik, baik dan punya daya penarik.”
“Jadi, daddy sukalah perempuan macam tu?”
Datuk Mustafa mengangguk. “Suka.”
Maisarah menjeling tajam cuba menafsirkan apa yang dikatakan oleh bapanya. Mukanya masam mencuka. Dia memutar straw di dalam gelas lantas menyedutnya perlahan-lahan. Masam! Bisik hatinya. Mengapa fresh orange ni langsung tak sedap!
“Jangan marah, Sarah. Daddy ada berita baik ni!”
“Berita apa?” Tanya Maisarah tidak sabar. Dia sebenarnya sudah lama tahu bahawa bapanya itu mempunyai isteri muda. Tetapi dia tidak mahu menyakitkan hati maminya dengan mendedahkan cerita itu. Biarlah hanya dia yang tahu… Dia yakin, Datuk Mustafa sendiri tidak menduga bahawa rahsianya itu sudah diketahui oleh Maisarah. Biarpun dia tidak pernah kenal siapakah isteri muda bapanya itu, tetapi dia tetap merasakan bahawa antara mereka pastilah akan tetap bermusuhan biarpun mereka tidak saling mengenali antara satu sama lain.
“Daddy dah dapat memiliki sher Rangkaian Rimbajati…” Beritahu Datuk Mustafa girang. “Walaupun ianya belum rasmi, tetapi dua tiga hari segalanya akan jadi kenyataan. Peguam belum lagi mengeluarkan sebarang surat… tapi percayalah, Rangkaian Rimbajati akan jadi milik daddy!”
“Macamana dengan Andy Farhan? Daddy akan lepaskan dia?”
Datuk Mustafa diam.
“Daddy akan lepaskan dia tak? Apa yang daddy mahu dah pun daddy dapat…”
“Sebenarnya…” Kata Datuk Mustafa lambat-lambat. “Daddy pun tak tahu di mana dia sekarang. Daddy juga tak tahu ke mana Manaf dan Azlan pergi. Mereka bertiga tu hilang… hilang begitu saja…”
“Apa? Hilang? Andy Farhan sudah dapat meloloskan dirinya?” Dia seperti tidak percaya dengan apa yang didengari.
“Biar betul daddy?” Kata Maisarah meminta kepastian.
“Itulah yang terjadi. Rumah tu dah kosong… Tidak berorang. Daddy tak tahu…” Dia tidak dapat meneruskan kata-katanya. Matanya tertumpu ke pintu masuk. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihat. Rosnah! Bisik hatinya tidak keruan. Dia melihat Rosnah bergandingan mesra dengan seorang lelaki… Lelaki yang jauh lebih muda daripada isterinya itu.
Mereka kelihatan begitu mesra, berpegangan tangan. Lelaki itu memimpinnya ke arah meja kosong, menarik kerusi untuk Rosnah duduk. Datuk Mustafa terkedu, hilang kata-kata. Matanya tertuju ke arah Rosnah dan Richard. Tangannya tergenggam kuat lantas permukaan ditumbuk tanpa sedar. Air di dalam gelas masing-masing bergoncang. Maisarah cepat-cepat memegang gelas supaya isinya tidak tertumpah.
Datuk Mustafa benar-benar marah dan meradang. Maisarah dapat melihat dengan jelas perubahan pada wajah bapanya yang girang bertukar tegang. Dia tidak ingin bertanya. Dia tahu pertanyaan akan mengundang kemarahan bapanya itu.
“Kita makan di tempat lain…” Kata Datuk Mustafa seraya bangun. Maisarah tidak membantah. Kedua-dua beranak itu bergerak keluar. Datuk Mustafa sengaja tidak menoleh ke arah Rosnah. Dia tahu memang Rosnah dan Richard tidak menyedari kehadiran mereka di coffee house itu. Lebih baik begitu! Cetus hati Datuk Mustafa. Sampai masanya kelak tahulah dia menjatuhkan hukuman terhadap Rosnah!
“Kita nak makan di mana daddy? Perut Sarah ni dah lapar sangat. Dah dekat setengah jam kita berpusing-pusing sahaja di keliling bandar ni!”
“Daddy dah hilang selera nak makan…” Kata Datuk Mustafa.
“Kenapa? Mengapa kedatangan perempuan dan lelaki tu tadi begitu mengganggu perasaan daddy?”
Datuk Mustafa diam sejenak, berfikir bagaimanakah dia harus memecahkan cerita itu.
“Siapa dia?” Maisarah separuh mendesak. “Mesti mereka punya hubungan apa-apa dengan daddy kan?”
“Memang…” Akui Datuk Mustafa.
“Apa sebenarnya hubungan daddy dengan perempuan tu? Sarah yakin daddy pasti punya hubungan dengan perempuan tu kan? Siapakah dia?”
“Kau nak tahu siapa dia?”
Maisarah mengangguk. “Tentulah nak tahu!”
“Isteri daddy…” Beritahu Datuk Mustafa, sambil menjeling anaknya.
“Isteri? Isteri muda daddy?” Maisarah menggigit bibir, sedikit kecewa. Jadi benarlah apa yang pernah didengari bapanya itu telah bernikah lain. Dia terdiam beberapa saat. Sampai hati bapanya menduakan maminya yang setia, yang tidak pernah mengambil kisah apa yang dilakukannya biarpun harus ditinggal-tinggalkan begitu lama. Terkadang berminggu-minggu malah berbulan bapanya tidak balik ke rumah mereka di KL. Kalau balik pun cepat-cepat ingin pergi pula. Dia merasa sedikit sakit, geram dan marah tetapi menahan segalanya di dalam hati.
“Mami tak tahu apa-apa tentang perkahwinan baru daddy ni?” Tanya Maisarah.
Datuk Mustafa menggeleng.
Maisarah tersenyum. Dia baru terfikir tentang sesuatu. Dia tidak akan melepaskan peluang itu begitu saja. “Tentu daddy tak mahu mami tahu rahsia ini kan?”
Datuk Mustafa menjeling Maisarah, tertanya-tanya apakah maksud di sebalik kata-kata itu. Dia teringat pada wajah girang Rosnah bersama Richard. Hatinya disaluti cemburu. Dia cuba mengawal diri daripada menjadi berang. Jika diikutkan hati mahu dia menumbuk muka Richard hingga anak muda itu terbongkang ke tanah. Tetapi itu tidak boleh dilakukan. Dia tidak mahu menjatuhkan harga diri dan maruahnya sendiri.
“Apa maksud kau?” Tanya Datuk Mustafa keras. Dia merasakan kata-kata anaknya itu mengandungi ugutan.
“Sarah nak daddy masukkan nama Sarah sebagai pemegang saham dalam Rangkaian Rimbajati. Sheila juga salah seorang daripada ahli lembaga pengarah…”
“Kau fikir bisness ni main-main Sarah?” Marah Datuk Mustafa. “Kau fikir, syarikat tu adalah medan untuk kau saling berbalah dan membalas dendam. Apa yang tak kena? Dah bergaduh dengan Sheila dan keluar dari rumahnya tu… sudahlah!”
“Alah! Sarah belajar dari daddy juga! Bukankah daddy juga ingin balas dendam pada kawan daddy tu kerana sebab-sebab peribadi. Jadi tak salah jika Sarah ikut jejak daddy. Lagipun Sarah sayangkan Sheila dan tak mahu berpisah dengannya.”
Datuk Mustafa terkejut, dia membrek kuat dan pajeronya tersasar ke tubir jalan.
“Apa sebenarnya hubungan kalian berdua?”
Maisarah menggigit bibir, terlanjur sudah mulutnya berkata-kata. Dia takut rahsia pula yang terbarai. Entah apa pula kata bapanya itu. Dia takut pada penghinaan. Dirinya memang kekurangan sesuatu!
Datuk Mustafa memandang tajam ke muka anaknya itu. Kemudian matanya jatuh pada tubuh anaknya yang kurus itu. Memang dia tidak melihat pun tanda-tanda pada diri anaknya itu seorang perempuan normal. Dada anaknya yang leper dan kecil tidak layak langsung dengan usianya yang semakin meningkat. Dia tidak seseksi Sheila. Potongan badan yang menarik, dadanya bulat dan penuh serta memiliki punggung yang menawan. Kalau dia menyarung pakaian apa sahaja tetap nampak menarik, apalagi jika tidak berpakaian. Datuk Mustafa menggelengkan kepalanya. Ingatan itu tiba-tiba sangat menyakitkan hatinya! Apakah dia dapat bertemu dengan Sheila lagi?
Tentu! Jika dia dapat memiliki sher di Rangkaian Rimbajati mereka akan selalu bertemu.
Maisarah enggan memberikan jawapannya sebaliknya bertanya bapanya dengan nada tegas; “Macamana nak masukkan nama Sarah ataupun tidak? Kalau tak pasti rahsia daddy dengan perempuan tu akan terbongkar.”
Dalam hatinya berbisik dia akan menyiasat siapakah perempuan yang menjadi ibu tirinya itu.
“Nak beritahu mami kau? Beritahulah!” Kata Datuk Mustafa mencabar. “Jangan ingat daddy takutkan mami kau. Selama ini perkara itu dirahsiakan kerana tak mahu menyakitkan hatinya. Sekarang ni, daddy dah tak kisah. Suka hatilah… Nak beritahu, silakan!”
Maisarah menggigit bibir, kesal dengan sikap bapanya. Walau bagaimana pun dia tidak akan memberitahu maminya apa-apa! Daddy menang! Bisik hatinya. Rahsia daddy akan tetap menjadi rahsia.
“Sekarang… keluar! Kau dah pandai melawan dan mengugut daddy. Keluar!! Kau rasa kau tu dah terlalu pandai?” Datuk Mustafa menghalau Maisarah keluar dari pajeronya.
Maisarah terkedu. Direnung bapanya menagih simpati. Titisan airmatanya mengalir perlahan menunjukkan betapa dia menyesal di atas kata-katanya sebentar tadi. Dia pernah tersingkir dan tidak ingin penyingkiran itu berlaku lagi… Lebih-lebih lagi lelaki itu bapanya sendiri.
“Maafkan Sarah daddy… Maafkan Sarah!” Rayunya dalam sebak.
Datuk Mustafa diam dan menggigit bibir. Tanpa suara dia memecut kembali pajeronya di atas aspal. Barulah Maisarah dapat bernafas dengan lega.


Bab 30

DIA resah gelisah sendiri, berjalan mundar mandir mengelilingi kamar, cuba mencari ketenangan. Hatinya dihantui ketakutan, dadanya terus berdebar-debar tidak menentu. Bukan dia sengaja hendak mengada-adakan ceritakan untuk menarik perhatian lelaki itu. Tidak sekali. Memang dia melihat lelaki itu dengan jelas, bukan dikuasai oleh rasa mengantuk ataupun khayal. Memang lelaki itu wujud. Lelaki yang sama, yang dilihatnya di Taman Negara juga di Chearating. Kini lelaki itu berada di hadapan rumahnya. Lelaki itu mengekorinya! Tapi kenapa dan mengapa? Siapakah dia?
Telefon di meja kecil sisi katil dicapai, dia mendail nombor dengan tangan yang menggeletar.
“Jas, ada orang depan rumah I!” Sheila berbisik perlahan melalui corong telefon. Suaranya tenggelam timbul.
“Apadia?” Jasman bertanya dalam kecelaruan, tangannya menggagau suis lampu di sisi katil. Kepalanya masih berpinar-pinar, terkejut apabila mendengar deringan telefon lantas terbangun dari tidur yang lena. Jam kecil di sisi katil menunjukkan ke angka satu pagi. Dia ingin marah tetapi apabila suara yang muncul di hujung corong telefon itu adalah Sheila yang kedengaran gementar, kemarahannya lenyap.
“Ada orang depan rumah I!” Ulang Sheila dengan suara yang tetap seperti tadi. Takut.
Jasman mengeluh berat. Matanya yang pedih dipejam celikkan beberapa kali. Hmmm… mengapa Sheila belum tidur lagi? Bisik hatinya. Apa yang dia buat berjaga hingga pukul satu pagi dan sekarang mengadu ada orang di hadapan rumahnya. Sudah berkali-kali dia menyatakan ada orang yang mengekorinya tetapi Jasman tidak pula melihat sesiapa.
“I perasan dah dua hari dia duduk di tempat yang sama, sambil memandang tepat ke arah bilik tidur I setiap malam.” Adu Sheila lagi.
Jasman menyelak langsir tingkap yang terletak berhampiran katil, sambil memerhati ke arah jalan yang lengang di hadapan rumah. Lampu di tepi jalan menerangi sekitaran. Cahaya bulan juga terang menyuluh seluruh maya yang kaku membeku. Dia tidak melihat sesiapa. Di seberang jalan memang tiada rumah orang. Hanya serumpun semak samun kecil dan terdapat juga tong sampah besar. Semuanya sunyi dan lengang. Dia tidak melihat sesiapa seperti yang didakwa oleh Sheila.
“Tak nampak sesiapa pun!” Balas Jasman.
“Tadi memang dia benar-benar ada.” Kata Sheila lagi cuba menyakinkan Jasman. Dia turut mengintai di tepi tingkap dan tidak melihat bayangan itu lagi. “Tadi dia betul-betul ada, berpakaian serba hitam dan memegang sebilah pisau yang berkilat. Beberapa kali dihalakannya ke rumah I.” Dia mengimbau peristiwa yang baru berlalu. Terasa benar-benar ngeri. Pisau itu tampak berkilat dipanah cahaya lampu serta bulan yang mengambang penuh. Dan lelaki berjambang itu memandang tepat ke tingkap bilik tidurnya, seolah-olah punya kuasa untuk melihat menembusi dinding yang padu.
Jasman termenung sejenak. Apakah itu semua hanya khayalan Sheila semata-mata, didorong rasa takut kerana tinggal bersendirian. Ada house mate mengapa disingkir jauh? Sempat hatinya merungut. Biarpun dia tidak menyukai Maisarah, tetapi sekurang-kurangnya Sheila punya teman.
“Hei, nak I temankan? Kita boleh duduk bersama dalam satu bilik sambil… Hmmm… Buat sesuatu yang menarik? Cakap sajalah yang you perlukan I, semata-mata nak tarik perhatian I! I akan selalu di sisi you. Memang suasana malam ni begitu dingin, ya?”
Sheila menggigit bibir, geram dia mendengar kata-kata Jasman yang langsung tidak serius itu.
“Apa maksud you? I berkhayal, takutkan sesuatu yang tidak wujud? I sengaja nak tarik perhatian you. Itu yang sebenarnya you maksudkan. Jasman! I bukan perempuan murahan! Dan I tidak akan lakukan itu semua untuk menarik perhatian you. Good night!” Sheila menghempas gagang.
“Good morning…” Seru Jasman perlahan meletakkan gagang dengan perlahan di tempatnya semula. Dia menggelengkan kepala. Hmmm. Perempuan! Keluhnya.
Dah merajuk pula… Jasman merungut sendiri sambil termenung menongkat dagu. Apa yang harus dia lakukan sekarang? Pergi ke rumah Sheila untuk mengembalikan ketenangan di hati perempuan itu? Patutkah dia pergi di tengah malam-malam buta begini? Dia menekan nombor telefon Sheila, tetapi panggilannya tidak berjawab.
Jasman berbaring semula tetapi matanya enggan terlelap. Dia bangkit, turun ke tingkat bawah sambil memerhati jam dinding. Dia duduk di sofa, mencapai majalah lelaki. Bosan. Peti televisyen dihidupkan. Manalah tahu sekiranya rasa mengantuk datang semula. Hmmm… Ini semua kau punya pasallah! Marahnya sendiri. Dah elok-elok orang tengah sedap tidur, kau kacau pula. Nanti kalau aku mengacau kau, tahu pula kau marah… Rungut hatinya melepaskan rasa geram.
Dia bangun membuka pintu hadapan. Perlahan-lahan kakinya dibawa melangkah hingga ke pintu pagar. Dia meninjau-ninjau dari kejauhan. Cahaya bulan yang terang membantunya untuk melihat ke seberang jalan. Tiada sebarang gerakan dan bayang-bayang orang. Semuanya sunyi dan terasing. Dia berpatah balik ke belakang, menuju ke pintu depan yang dibiarkan terbuka. Dia melangkah masuk, dan terpandang gitar di sudut ruang tamu. Sudah lama gitar miliknya itu tercatuk sahaja di situ, sekadar menjadi hiasan.
Jasman mencapai gitar itu lantas memeluknya. Jari-jarinya bermain-main dengan tali tangsi enam selari, cuba memainkan lagu. Lagu itu mengimbau kenangan lalu. Camelia, kau pernah selitkan sekuntum mawar di tali gitarku ini… Dia tersenyum sendiri. Kau memang nakal, memaksaku menyanyikanmu sepanjang malam hingga kau terlena. Dia memejamkan mata, cuba mengimbau kenangan lalu yang indah itu. Dan tidak lama kemudian suaranya pun mengalun syahdu memecah sunyi malam.


“HEI! Bangunlah…” Seru suara itu. “Bangunlah perlahan-lahan anakku…” Suara itu terdengar demikian lunak. Andy Farhan menggosok matanya. Dia merasa kepala dan badannya ringan dan dengan mudahnya dia dapat bangun lalu berdiri. Dilihatnya pintu bilik tempat dia dikurung terbuka luas. Tetapi suasana sekeliling tampak gelap. Dia tahu malam sudah menghampiri dinihari kerana udara di sekelilingnya begitu dingin sekali.
“Nak ke mana?” Dia bertanya.
“Keluar… Melihat bulan. Lagipun ada orang ingin bertemu dengan anak.”
“Siapa?”
“Seseorang yang akan buat anak gembira semula. Seperti dulu… Ingat tak lagi peristiwa dulu?”
Dia memerah ingatan, cuba mengingati sesuatu. Tetapi ingatannya tidak setajam dulu lagi. Dia memukul kepalanya sendiri. Dia telah lama berada di dalam kurungan itu dan fikirannya tidak dapat lagi bekerja dengan baik. Ingatannya semakin hari semakin lemah. Banyak perkara sudah tidak dapat diingat dan tidak ingin dikenang lagi.
Dia berjalan ke pintu, mengikuti jejak lelaki itu. Beberapa minit kemudian dia sudah berada di luar rumah, menghadapi sebuah taman yang dipenuhi bunga-bungaan. Didongakkan kepalanya ke langit. Bintang kelihatan bergemerlapan serta cahaya bulan memancar gemilang. Indah. Keindahan yang sudah sekian lama tidak ditatapnya. Dan tidak jauh dari situ dia mendengar geresik tapak kaki. Dia menoleh dan matanya menangkap seraut wajah dalam samar-samar cahaya rembulan.
“Siapa?” Dia bertanya lembut. Perempuan itu tidak menyahut. Dia tersenyum. Senyumannya tersembunyi dilindungi bebayang yang jatuh di wajah. Tetapi dia seolah-olah kenal pada wajah itu dan susuk tubuh itu. Dan juga haruman yang dipakainya. Dia datang mendekati dan menyeru lemah; “Sheila? Sheilakah itu?”
Perempuan itu mengangguk dan bersuara; “Ya, Sheila bang…”
“Sheila…” Balasnya tersenyum. “Sheila… Oh, lega rasanya kita bertemu lagi sayang…” Dia mengangkat tangan lantas meletakkannya di atas bahu Sheila. Sepantas itu pula tubuh itu ditarik dan diraih ke dalam dakapannya. Dapat dia rasakan kehangatan tubuh yang lembut itu berada dalam pelukannya. Dia berharap ini semua bukan mimpi. Bukan…
“Sheila…” Serunya perlahan, berharap ianya bukanlah mimpi ataupun khayalannya semata-mata.
“Sheila…Abang cinta padamu.”
“Saya tahu. Saya juga cintakan abang.”
“Abang nak dengar lagi pengakuan itu Sheila. Sheila cinta abang…”
“Sheila…” Dia menyeru, ingin mendengar suara itu lagi berbisik. Ingin melihat wajah itu lagi tersenyum padanya. Tetapi hampa. Airmatanya berlinangan, sebelum berguguran. Dia menyeru lagi dalam suasana sepi itu. Kedinginan ada di mana-mana. Dia tetap keseorangan… Tiada bulan yang menjadi saksi pertemuan. Tiada apa-apa… Hanya kekosongan. Hanya satu mimpi yang mengacau tidur yang tidak pernah nyaman. Dia menangis… menangis semahu hatinya. Dia tidak ingin tidur lagi hanya semata-mata untuk bermimpi indah kemudian apabila dia terjaga yang didapati hanyalah dirinya sendiri masih terus terkurung di tempat yang terasing itu.
Setelah puas menangis dia melepaskan jeritan… Seperti serigala yang melolong ke arah rembulan. Jeritan itu melengking kuat, kemudian berubah menjadi sayu sebelum ianya lenyap sama sekali.

SHEILA tersentak dan terjaga dari tidur. Malam itu tidak tahu berapa kalikah dia tertidur dan jaga kembali. Sungguh meletihkan apabila tidurnya tidak nyenyak. Dadanya berdebar-debar sahaja sambil mata merayapi seluruh ruang bilik tidur. Lampu di sisi katil sengaja dipasang, dia takut untuk tidur dalam kegelapan. Sekurang-kurang dia akan cepat dapat mengetahui jika sesuatu atau seseorang hadir dalam bilik tidurnya itu. Agh! Tak ada sesiapa di bilik itu melainkan dia seorang. Dia cuba menyakini bisikan hatinya sendiri.
“Abang Farhan…” Bisiknya perlahan. Dia bermimpi bertemu dengan lelaki itu lagi. Sudah sekian lama dia tidak bermimpi. Mimpi itu terasa benar-benar terjadi. Dia menangis pilu sendiri. Dia masih terasa akan kehangatan tubuh yang memeluknya dengan erat. Dia memeluk tubuhnya sendiri dan menangis semahu hatinya.
“Abang, sampai bilakah saya harus menanggung beban rindu ini. Bebaskanlah saya dari menanggung penderitaan ini. Bebaskan diri saya untuk menikmati hidup saya yang masih panjang, bang! Tolonglah! Bantulah saya untuk melupakan kenangan pahit ini. Saya tak berdaya bang. Setiap kali rindu ini bertandang, rasa hati saya begitu sakit, begitu pilu dan begitu seksa… Kita takkan bertemu lagi. Saya mesti terima hakikat ini!”
Dia menyeka airmatanya. Mulai malam ini, segalanya akan berubah. Dia perlukan seseorang untuk menyokong dan membantunya supaya dia berupaya untuk bangkit daripada kesedihan ini. Dia ingin bangun dari mimpi-mimpi sedih ini dan menghadapi hidup baru, sekali lagi merasai indahnya apabila dicintai. Bukan sekadar hanya di dalam mimpi. Dia harus kuat untuk melupakan kenangan itu.
Kemudian ingatannya mengembara semula, mengingati bagaimana prihatin dan baiknya Jasman, sentiasa memberikan dia sokongan moral di saat-saat dia memerlukannya. Dia juga seorang yang romantik… tetapi sebentar tadi Sheila telah menghempas telefon dengan kuat kerana melayan rasa marah dan tersinggung. Dia harus keluar untuk menemui lelaki itu tidak kira pukul berapa saat dan tika itu. Dia mesti pergi ke rumah Jasman untuk memohon satu kemaafan dan memulakan satu perhubungan baru yang lebih indah!
Jam dinding menunjuk ke pukul tiga lima puluh lima minit pagi. Dia cuba menekan nombor telefon rumah Jasman. Hanya pada deringan ke tiga, telefon sudah pun diangkat. Dia sedikit terkejut kerana ternyata Jasman tidak langsung tidur.
“You masih berjaga?” Tanya Sheila.
“Ya… Lepas you call tadi, I tak boleh tidur hingga sekarang.” Beritahu Jasman.
“Sorry.” Seru Sh
eila rasa bersalah. “I tak sepatutnya marahkan you tadi. Kalau you tak boleh tidur hingga ke pagi, apa kata jika you datang ke rumah I? I akan buatkan kopi untuk you… Boleh juga kita berbual-bual.”
Jasman diam sahaja.
“Sebenarnya I dah tidur tapi terjaga. Sekarang susah pula nak tidur.”
“No, thanks.” Jasman menolak lembut. Dia tidak akan ke mana-mana. Dia ingin terus memetik gitar itu dan mendendangkan lagu bersama ‘Camelianya’.
Sheila meletakkan gagang. Kecewa di atas penolakan Jasman. Terkadang dia tidak mengerti apa yang lelaki itu mahu darinya. Terkadang dia begitu hangat dengan godaan tetapi apabila Sheila mulai memberikan respon, dia bagaikan cuba menarik diri.
Gila! Bisik hati Sheila. Dia bangkit, menghala ke pintu depan. Rasa takutnya sudah hilang sama sekali. Dia harus beranikan diri menghadapi apa jua! Memang benar-benar dia sudah gila. Dan dia tidak pernah melakukan perkara segila ini… Pergi ke rumah lelaki pada jam empat pagi. Tetapi lelaki itu adalah Jasman. Sebenarnya bukanlah sukar untuk jatuh cinta pada lelaki sekacak dan sebaik Jasman. Bisik hati Sheila menyakinkan diri sendiri. Mulai malam itu dia akan menutup kisah kasihnya bersama Andy Farhan buat selama-lamanya.
Dia melangkah pantas ke rumah Jasman. Daun pintu pagar ditolak kasar, hingga menerbitkan bunyi yang agak kuat. Sebaik sahaja kakinya menginjak jalan raya, dia terasa ada satu bayang muncul dari arah belakangnya. Sepantas kilat lehernya dipaut kuat dari belakang membuat kepalanya terdongak. Sheila cuba meronta-ronta sekuat tenaga. Ketakutan membuat tenaganya datang, tanpa disedari. Namun pertahanan dirinya roboh, lelaki itu jauh lebih kuat darinya. Dia cuba menjerit tetapi mulutnya dipekup kasar dengan tapak tangan lelaki itu. Dia diseret ke dalam rumpun semak samun berhampiran tong sampah besar di pinggir jalan. Lelaki itu menampar mukanya beberapa kali dan menolaknya hingga jatuh tertelentang di atas tanah yang lembab dan kotor. Dia tidak berdaya untuk bangun biarpun dia mencubanya beberapa kali. Dia rebah. Tubuhnya tiba-tiba lemah dan hidungnya terus menghidu bau sampah yang amat busuk.


“TOLONG… TOLONGLAH! Jangan apa-apakan saya!” Sheila merayu diiringi esak tangis. Suaranya semakin lemah tetapi dia yakin lelaki itu mendengar kata-katanya. Lelaki itu berpakaian serba hitam itu langsung mempedulikan rayuannya. Tubuhnya rasa sakit akibat diseret dan mukanya masih perit akibat tamparan yang kuat. Dia cuba bangun dan merangkak ke arah tong sampah, tidak menghiraukan bau yang melemaskan hidungnya.
Lelaki itu pantas mengheret dan menolaknya dengan kuat tanpa belas ke atas tanah semula dan beberapa tamparan kuat hinggap lagi di pipi.
“Aku sepatutnya lakukan ini lama dahulu…” Katanya dengan suara yang keras.
“Kau memang patut menerima balasan di atas perbuatan kau terhadapku!”
“Tidak! Aku tak pernah menyakitimu. Tolonglah lepaskan aku!”
Airmatanya kian lebat membasahi pipi, menahan kesakitan yang teramat sangat. Tenaganya semakin lemah tetapi dia tidak akan menyerah kalah. Lelaki itu pantas menarik zip seluarnya hingga ianya jatuh melorot ke bawah. Sheila yang terbaring terlentang tidak berdaya di atas rumput terus mencuba untuk bangkit.
Lelaki itu ketawa melihat dia terkial-kial hendak melepaskan diri. Tangannya menumbuk liar, tetapi langsung tidak mengena sasarannya.
“Jangan!!!” Dia menjerit sekuat hatinya. Tetapi jeritannya itu terlalu lemah untuk didengari. Dia memejamkan mata, menyerah segalanya pada takdir. Oh! Tuhan… Aku hanya makhlukmu yang kerdil lagi lemah. Jika ada belas ehsanmu, hindarilah aku dari menerima nasib buruk ini. Bantulah aku Ya Allah… Demi Tuhan yang aku sembah bantulah aku dengan kudrat dan IradatMu…
Airmatanya terus melebat apabila gaun tidurnya yang sememangnya sudah basah lencun dilumuri lumpur itu dikoyak dengan sekali rentap. Bunyi bajunya yang terkoyak berkeresak keresek memecah sunyi. Kini hanya tertinggal lingerie hitam membalut dada dan bahagian bawah ari-arinya. Lelaki itu tertawa buas, dalam samar cahaya bulan dapat dia melihat lekuk-lekuk tubuh perempuan yang sedang dihempapnya itu. Tawanya memecah kuat dan gemanya menjadi momok yang menakutkan Sheila. Dia tidak berani membuka mata, tetapi masih terus berdoa kesucian diri yang terpelihara sekian lama tidak berakhir di tangan lelaki ganas itu.
Doanya bagaikan didengari Tuhan, perlahan-lahan dia merasakan beban di tubuhnya menjadi ringan. Ada suara pekikan yang meningkah tawa lelaki itu. Dia membuka matanya serta merta. Terkejut dengan kehadiran seseorang yang tidak diduga. Dilihatnya kedua-dua lelaki itu bergumpal saling tumpas menumpas antara satu sama lain. Akhirnya, lelaki berpakaian hitam itu berjaya ditumpaskan. Dia tertiarap di tanah pengsan akibat pukulan Jasman yang bertubi-tubi. Jasman menghubungi Inspektor Razif agar datang untuk memberkas pesalah itu dan membawanya ke lokap.
Sheila masih duduk dan menangis teresak-esak. Jasman mendekati, memeluknya dengan erat. Langsung tidak menghiraukan tubuhnya yang dipenuhi lumpur dan kekotoran. Segera pula dia menanggalkan bajunya dan memberikannya kepada Sheila supaya dia dapat menutup dadanya yang terdedah. Sheila menangis dan terus menangis. Tiada kata dan ucapan yang dapat diluahkan melainkan membiarkan Jasman dengan penuh kebebasan mengangkat tubuh dan menggendongnya masuk ke dalam rumah.


Bab 31

DATUK MUSTAFA menenyeh hujung puntung rokok ke dalam astray. Menghabiskan sisa-sisa whisky di dalam gelas berleher bangau dan melangkah keluar daripada kelab itu. Fikirannya menerawang, mengingati kembali pertemuan tidak disangka dengan Rosnah serta kekasihnya yang muda belia. Hatinya rusuh, marah dan hampa. Akhirnya dia ambil keputusan untuk balik ke rumah Rosnah.
Semasa dia menjenguk ke kamar tidur, dia mendengar bunyi deruan air di bilik mandi. Rosnah sudah pulang, kini sedang membersihkan diri. Dia berdiri di tepi pintu bilik yang tidak berkunci, melalui pintu kaca yang menutup bahagian shower dia dapat melihat susuk tubuh Rosnah yang menggiurkan.
Tuhan, dia masih terlalu cantik. Jiwa, hati dan perasaannya mungkin tidak seindah tubuhnya itu, fikirnya sendiri. Datuk Mustafa terus berdiri di situ, menilai diri dan hati nurani wanita itu. Pun fikirannya lebih tertumpu pada sesuatu yang tergambar di hadapan mata. Rambut Rosnah yang basah, masih lebat, tubuh yang montok dan dadanya yang kelihatan membonjol tinggi serta perutnya yang kempis adalah gambaran yang menggetarkan perasaannya. Dan yang lebih menghiris kalbunya, mengingatkan bahawa tubuh itu pastilah sudah kerap kali berada dalam dakapan lelaki muda yang dilihatnya tadi.
Dadanya berdebar-debar, cepat-cepat dia membuang tali leher, baju kemeja dan seluarnya. Dia menolak pintu bilik air itu hingga terkangkang luas, kemudian berjalan ke arah shower dan menolak pintu kaca yang menutupinya. Rosnah terperanjat dengan kehadiran yang tiba-tiba itu.
Rasa marah dan meradang, serta nafsu yang membuak-buak dalam dirinya membuat dia bagaikan kehilangan harga diri. Dia memalingkan tubuh Rosnah, mencium leher isterinya itu dengan rakus. Rosnah yang masih terperanjat menolaknya dengan kasar sambil berkata; “Mus! Mengapa ni? Stop it! I tak mahu… Stop it!”
Datuk Mustafa terkejut mendengar suaranya yang keras, lebih-lebih lagi Rosnah tidak lagi memanggilnya ‘abang’ sebaliknya hanya menggelarnya Mus sahaja satu panggilan yang sudah lama tidak terdengar. Tetapi dia dapat meneka akan perubahan itu! Semuanya adalah kerana kekasih muda belia isterinya itu.
Rosnah cepat-cepat mencapai jubah mandi, membalut tubuh yang terdedah. Dia mencapai tuala, segera mengelap rambutnya yang basah. Dia menjauhkan dirinya daripada Datuk Mustafa, berdiri di hadapan cermin besar samasekali tidak peduli pada lelaki itu yang terpaku memerhati. Lelaki itu benar-benar marah, kemarahan yang diluar kawalan lagi. Dia menerkam dan menolak tubuh Rosnah hingga santak ke dinding, muka wanita itu ditentang dengan matanya yang tajam. Kemudian segala-galanya datang semula, dia teringat keintiman perhubungan Rosnah dengan lelaki di coffee house, beberapa jam tadi.
Rasa kecewanya datang menghambat diri, dia meleraikan tubuhnya dari tubuh Rosnah, menjauh dan keluar dari bilik air itu. Tiba-tiba dia merasa sesuatu yang kurang, perempuan itu sudah disentuh lelaki lain dan rasa jijik menjadi semakin besar dalam dirinya. Dia teringat pada isteri pertamanya yang setia dan sentiasa menanti kepulangannya.
Dia mencapai baju semula, memakainya dengan pantas. Sebaik siap berpakaian lengkap, dia ingin melangkah keluar tetapi terdengar suara Rosnah yang baru keluar dari bilik mandi. Suara itu terdengar tidak lagi marah sebaliknya bernada biasa; “Mengapa tak beritahu nak ke sini?”
“Perlukah beritahu untuk balik ke rumah I sendiri?” Tanya Datuk Mustafa.
“Rumah you? Dah lupa you dah serahkan segalanya termasuk ladang sawit di belakang banglo ini pada I, tanpa pengetahuan isteri pertama you tu?”
Datuk Mustafa mengangkat kening, seperti baru teringat sesuatu; “Oh ya? Betulkah seemuanya milik you termasuk…” Dia tidak menghabiskan kata-katanya, dia ingin menyebut bahawa ‘pengurus’ ladang sawit itu juga telah menjadi hak Rosnah jua.
“Jadi mulai sekarang I kena beritahu kalau mahu ke sini supaya rahsia you tidak terbongkar?” Kata Datuk Mustafa tanpa memandang muka Rosnah. Dia masih berdiri di hadapan pintu tidak bergerak.
“Rahsia? Rahsia apa? Bukankah you yang banyak simpan rahsia? Tapi I juga dah tahu semua rahsia you, terutama sekali tentang Andy Farhan. Tak payah main sembunyi-sembunyi lagi!”
Datuk Mustafa memandang Rosnah yang kini sudah siap berpakaian, sehelai gaun tidur berwarna merah hati dari kain satin yang berkilau. Rambutnya masih dibaluti tuala. Dia tersenyum sinis. Bibirnya walaupun tidak bersapu lipstik tapi masih tampak berseri.
“Andy Farhan!” Datuk Mustafa merengus kasar. “Jadi… Ini semua kerja you lah dengan jantan tak guna tu! You yang bebaskan dia? Di mana dia sekarang?”
“Bebas? Tak… Tak! Dia belum bebas. Cuma dia berada di tempat yang selamat. Dulu puas I bertanya di mana you sorokkan dia, kini I dah tahu…” Kata Rosnah lagi dengan bangga sambil menggoyangkan jari telunjuknya. “Lagipun antara I dan dia masih ada hutang yang belum berbayar. Kalau you nak tahu sangat, dia sekarang berada dalam genggaman I. Dan I takkan lepaskan dia selagi hati I masih belum puas.”
Datuk Mustafa ketawa pendek, menggelengkan kepalanya. “I sebenarnya dah mulai bosan dengan you. You mencari kepuasan diri you saja. Bila you rasa dah tak perlukan seseorang, you akan campakkan sesuka hati. I dah bosan…” Katanya dengan suara tertekan. “Lebih baik kita berpisah saja. Kita bercerai. You boleh buat apa yang you mahu, bersama kekasih you tu!”
Dia keluar menghempas pintu dengan kuat. Rosnah memandang ke arah pintu yang tertutup rapat. Terkejut sedikit kerana Datuk Mustafa mengetahui perhubungannya dengan Richard. Tetapi kemudian dia hanya tersenyum lantas menghempaskan tubuhnya ke atas tilam. Sekali lagi dia menjadi janda! Janda bergaya dan kaya raya. Dia amat pasti tentang statusnya itu dan harus berpuas hati kerananya.


“MINUMLAH air ni…” Seru Kudus dengan lembut sambil mengangkat sedikit kepala anak muda yang lemah itu. Bibirnya yang kering menyentuh permukaan gelas, lantas menghirup sedikit dari air yang penuh. Air dingin itu melalui kerongkongnya dengan cepat. Matanya yang lemah memandang tepat ke muka Kudus. Dia cuba tersenyum kemudian bertanya; “Air apa ni?”
“Air. Air yang akan menyembuhkan apa jua penyakit.” Kata Kudus dengan tenang. Malam Jumaat itu Kudus telah membaca ayat-ayat Allah. Surah Yassin diulang baca seribu kali.
Andy Farhan menggoyangkan tangannya yang lemah. Dia tidak kuasa bertanya lagi. Dia ingin terus meneguk air itu sehingga habis, bagi membasahkan tekaknya yang kering dan perit. Kudus membantunya untuk minum hingga air di dalam gelas itu kosong. Kasihan… Bisik hati kecil Kudus.
Dia tidak tahu apalagi yang harus dilakukan untuk membantu lelaki itu. Biar apa pun penyakit yang dihidapi, semoga dengan pertolongan Tuhan lelaki itu bisa bangun semula untuk memperjuangkan sisa-sisa hidupnya. Dan Kudus telah berazam hendak membantunya.
Sejak kebelakangan ini dia sering memikirkan bagaimanakah dia dapat membantu Andy Farhan. Biarpun dia tidak ingin kehilangan pekerjaan dan tempat berlindung, tetapi dia mesti melakukan sesuatu…. Kini dia selalu mengawasi ke manakah Rosnah pergi dan dia berharap wanita itu akan pulang ke Kuala Lumpur supaya dia dapat mengatur satu rancangan. Tetapi kelihatannya Rosnah tidak ingin pulang lagi ke ibukota. Wanita itu sentiasa ada di rumah, keluar hanya sebentar cuma bersama Richard.

“I DAH berpisah dengan orang tua tu…” Beritahu Rosnah sambil mengulum senyum. Richard sedikit terkejut tetapi menyembunyikannya jauh di dalam hati. Dia hanya tersenyum dan berkata; “Itu berita paling bagus yang I dapat sepanjang minggu ni…”
Rosnah tertawa lembut. “Kita harus merasmikan perhubungan kita…”
“Apa maksud you? I tak mengerti!” Potong Richard sebelum Rosnah menghabiskan kata-katanya.
“Takkan tak faham?”
“I memang tak faham…” Richard mengangkat bahu. “Kalau you maksudkan, ingin mengajak I berkahwin… Well, apa yang I akan dapat daripada perkahwinan itu?”
“I adalah pemilik ladang ni…” Beritahu Rosnah dengan bangga.
“You? Bukankah ladang dan kilang tu hak Datuk?”
“Tidak. Dia dah serahkan semuanya pada I.”
“You pasti tentang tu? Lebih baik you pastikannya betul-betul…” Kata Richard sambil memandang tepat ke muka Rosnah. “Jika benar you pemiliknya, dimanakah dokumen yang sah yang menyatakan ianya adalah milik you dan pastikan semuanya disahkan oleh peguam you. Jika tidak, I takkan percaya! Datuk tu banyak tipu muslihat. Entah-entah tiada sesuatu apa pun yang jadi milik you… You akan ditinggalkan sehelai sepinggang. Dan I takkan bersama perempuan yang papa kedana dan tua pula!”
“What??” Rosnah terperanjat mendengar kata-kata Richard, baru menyedari bahawa lelaki itu hanya inginkan wangnya sahaja. Cinta yang selalu diungkapkan adalah palsu semata-mata. Wajahnya yang ceria pagi itu berubah menjadi kusam. Dia merengus kasar, bangun meninggalkan pejabat Richard. Richard langsung tidak memanggilnya agar kembali kepadanya. Lelaki itu membiarkan dia melangkah pergi, penuh kehampaan dan kecewa.
Rosnah kembali ke rumah, menerjah masuk ke dalam kamar tidur lantas membongkar almari. Setiap sudut laci dan digagau dengan tangannya mencari sesuatu. Tetapi benar bagai dikata! Dia terlupa sesuatu… Penyerahan itu hanya satu penyerahan yang tidak bererti tanpa kertas hitam putih. Memang Datuk Mustafa pernah berkata bahawa rumah dan tanah ladang itu telah ditukar hakmilik keatas namanya tetapi mereka sebenarnya tidak pernah ke pejabat peguam untuk menandatangani sebarang dokumen. Rupa geran tanah dan ladang itu juga tidak pernah dilihatnya! Dia terduduk. Seluruh badannya terasa lemah longlai, sebelum jatuh terkulai di atas lantai. Matanya tepat memandang siling tetapi pandangannya kosong.
Dia tidak mendengar pintu ditolak dari luar, dan namanya diseru beberapa kali. Setelah bahunya digoncang barulah dia menoleh. Dia menangkap wajah Suminah, isteri Kudus yang berwajah polos itu sedang memandangnya penuh tandatanya;
“Kenapa puan?” Seru wanita itu dengan penuh resah.
Rosnah cuba bangun, biarpun kepalanya terasa berat. Dia duduk berlunjur dan bertanya; “Apa hal?”
“Puan sihat?”
“Er… Aku tak apa-apa.” Jawabnya lemah sambil memegang kepalanya. Tubuhnya masih terasa menggigil dan hatinya terasa benar-benar kecut dan kerdil. Dia tidak memiliki satu pun di rumah itu… Airmatanya hampir menitis. Dia teringat semalam dia baru sahaja menerima surat perceraian daripada peguam Datuk Mustafa. Tetapi semalam hatinya penuh bangga dan tiada setitis airmata pun yang gugur ke bumi.
“Ada orang mahu berjumpa puan. Telah saya jemput dia masuk ke ruang tamu.” Beritahu Suminah. Hatinya masih diburu rasa hairan melihat wajah Rosnah yang pucat itu.
“Siapa?”
“Saya enggak tahu. Seorang gadis muda dan cantik bersama seorang lelaki. Juga muda dan ganteng, puan!” Penerangan itu membuat Rosnah tersentak. Rasa ingin tahunya menghimpit diri, dia bangkit bergerak keluar dari bilik tidurnya. Sempat dia membetulkan rambutnya yang kusut.
Benar seperti kata-kata Suminah, di sofa kelihatan seorang gadis dan seorang lelaki sedang duduk tenang, menunggu kehadirannya. Mereka langsung tidak berbual-bual sesama sendiri, dan duduk pula di sofa berasingan. Rosnah menuruni tangga perlahan-lahan, mendekati sofa dari arah belakang gadis itu.
“Siapa kamu?” Dia bertanya tegas, wajahnya langsung tidak mempamerkan senyuman. Gadis itu menoleh, merenungnya sejenak seolah-olah ingin menelanjangi tubuhnya saat itu. Tiba-tiba dia merasakan bajunya begitu buruk, tidak sesuai dengan dirinya saat itu. Alangkah baiknya jika dia sempat menukar baju terlebih dahulu.
“Soalan yang bagus.” Jawab gadis itu sinis. “Biar saya perkenalkan diri saya. Nama saya Maisarah binti Datuk Mustafa. Dan ini adalah peguam daddy, Encik Kumar.”
Muka Rosnah terus menjadi pucat semula, hilang segala keangkuhannya dan dia hampir-hampir jatuh terduduk semula di lantai, tetapi dia cepat mengawal dirinya, lantas berkata; “Ya. Apa hal datang? Saya tak senang sekarang.”
“Saya takkan ambil masa yang lama untuk menyampaikannya….” Balas Encik Kumar. “Puan diminta meninggalkan rumah ini dalam masa 24 jam, kerana rumah ini bukan hak puan.”
“Tidak! Saya tidak akan ke mana-mana. Rumah ni hak saya…”
Encik Kumar memandang Maisarah yang terus tersenyum sinis.
“Ini adalah arahan daripada Datuk Mustafa sendiri. Puan mesti tinggalkan rumah ini dan puan tidak dibenarkan sama sekali menyentuh barang-barang yang ada. Hanya yang jadi milik puan adalah pakaian-pakaian puan sahaja. Saya juga diarahkan untuk mengambil kereta yang puan gunakan sekarang… Jika puan enggan, puan akan didakwa dan dihadapkan ke mahkmah…”
“Apa?” Kepala Rosnah berpinar-pinar sebelum rebah ke lantai.


“CIK SHEILA, ada client menunggu you. Kenapa lambat masuk hari ni?” Tegur penyambut tetamu sebaik sahaja Sheila dan Jasman masuk ke ruang pejabat. Jasman melepaskan tangan Sheila, tersenyum malu ke arah penyambut tetamu yang memerhati mereka berdua penuh persoalan. Hairan dia melihat kedua-duanya datang bersama dan perpegangan tangan pula hingga ke dalam pejabat.
Hai, sejak bila pula Sheila jadi macam orang buta, hingga perlu dipimpin hingga ke muka pintu… Bisik hatinya sambil tersenyum menyindir.
“Oh! I pergi sarapan terlebih dahulu dan…”
“Sarapan ke dating ni…” Usiknya sambil tergelak kecil. Sheila tidak membalas usikan itu, dia hanya tersenyum dan terus bergerak memasuki ruang tamu pejabat. Matanya mencari tetamu yang dimaksudkan. Matanya menangkap seraut wajah murung, matanya terlindung disebalik kaca mata hitam. Dia memakai skaf pendek berwarna kuning, rambutnya tampak terjurai beberapa helai di dahi.
Sebaik sahaja mereka saling berpandangan, dia bangun terlebih dahulu dan menghulurkan tangannya ke arah Sheila; “Cik Sheila?”
“Ya. Saya.” Akui Sheila sambil menyambut tangan yang terhulur.
“Saya, Rosnah. Rosnah Abu Bakar.”
Sheila mengangguk lantas segera mengajak Rosnah masuk ke pejabatnya. Walau apa pun masalahnya dia lebih suka berbincang secara tertutup di biliknya. Setelah mempersilakan tetamunya itu duduk dan setiausahanya sudah pun menghidangkan kopi panas, barulah dia memulakan bicara;
“Apa yang boleh saya lakukan untuk bantu puan?”
Rosnah menceritakan segalanya pada Sheila dengan teliti, menerangkan ketidakadilan yang dilakukan Datuk Mustafa terhadapnya. Dia dihalau seperti anjing kurap dan akhirnya airmatanya bertitisan ke pipi. Dia turut menceritakan bahawa dia tidak punya apa-apa, tiada tempat berlindung, tiada wang dan segala-galanya.
“Saya kehilangan segalanya, termasuk anak…” Katanya dalam sedu sedan.
“Anak?”
“Ya. Anak saya sudah meninggal, mati dibunuh. Walau bagaimana pun, pembunuhnya…” Dia tidak menghabiskan kata-katanya itu. Dia teringat bahawa dia telah meninggalkan segalanya di rumah itu, tidak sempat memikirkan apa yang harus dilakukan terhadap Andy Farhan. Tetapi dia tidak pula berpesan pada Kudus agar membebaskan Andy Farhan ataupun sebaliknya. Dia tidak tahu apakah tindakan Maisarah seterusnya? Dia tidak ingin tahu. Dia punya masalah yang lebih besar jika dibandingkan dengan masalah itu…
“Dibunuh?” Sheila tertarik ingin mengetahui lebih lanjut.
“Setahun lalu, bandar ni heboh dengan berita kematiannya. Dia dibunuh dengan kejam. Pernah you dengar nama Mawarni Herman? Tentu pernah bukan? Anak tiri Bahtiar… Itulah anak perempuan I yang cantik tetapi malang.”
Jadi, wanita ini adalah ibu Mawarni? Bekas isteri uncle Bahtiar dan kini sudah pun bercerai pula dengan Datuk Mustafa… Bisik hati Sheila. Datuk Mustafa kini sudah pun menjadi ahli lembaga pengarah Rangkaian Rimbajati. Petang nanti akan diadakan satu mesyuarat bagi memilih Pengarah Urusan yang baru. Sheila tidak tahu… Apakah dia akan memihak kepada Zaiton atau sebaliknya? Dia benar-benar buntu. Aduh! Bilakah semua ini akan berakhir? Bisik hatinya penuh kegetiran.
Telefon di atas mejanya tiba-tiba berdering panjang. Sheila meminta maaf untuk mengangkat telefon. Dia terkejut mendengar suara Maisarah. Sudah lama mereka tidak saling berhubung dan kehadiran suara itu benar-benar menganggunya.
“Sheila!” Seru Maisarah dengan suara yang tenggelam timbul. Ternyata talian tidak begitu baik. Tetapi Sheila menunggu gadis itu bercakap dengan penuh sabar.
“Ya.”
“I dah jumpa tunang you. I dah jumpa Andy Farhan!”
“Apa?” Sheila terkejut, dadanya berdebar-debar kemudian membalas lambat-lambat. “Sarah! You takkan berjaya membohongi I lagi…”
“Sumpah! I dah jumpa dia. I dah jumpa!!!” Suara Maisarah kedengaran girang.
“Di mana? Di mana you jumpa Abang Farhan?”
Tiba-tiba suara Maisarah tenggelam timbul dan terus hilang dari pendengarannya. Sheila masih memegang gagang telefon, merenungnya sejenak kemudian menghempasnya dengan kuat ke tempatnya. Dia tidak akan mempercayai lagi kata-kata Maisarah, gadis penipu dan licik itu, bisik hatinya.
Telefon berdering lagi beberapa saat kemudian, tidak sempat Sheila menyambung perbualan antara dia dan Rosnah. Dia kembali mendengar suara Maisarah, suara itu kedengaran lebih jelas kini; “Tapi ada harga yang terpaksa you bayar untuk bertemu semula dengan tunang you…” Kata Maisarah dengan tegas.
“OK. Apadia?” Tanya Sheila juga tegas sambil matanya memerhati wajah Rosnah yang gelisah. Rosnah bangun perlahan-lahan dari sofa dan mendekati pintu. Sheila perasan wajah itu berubah apabila dia menyebut nama ‘Farhan’ sebentar tadi. Dan tanpa sepatah kata Rosnah berjalan ke pintu. Sheila mengangkat tangan meminta dia menunggu, tetapi panggilan itu tidak dihiraukannya. Dia telah pun hilang dari sebalik pintu yang bertutup rapat.


“MAAFKAN saya mak long…” Seru Sheila perlahan. Dipandangnya muka Zaiton yang merah. Di wajah itu kini mengalir titisan air jernih. Umpama mutiara jernih yang putus, ianya terus tumpah ke dada. Zaiton membiarkan airmatanya terus mengalir. Tiada usaha untuk menghapuskannya.
“Tolong keluar dari bilik ni Sheila… Aku tak sanggup untuk memandang muka kau lagi.” Kemarahan Zaiton masih menyala biarpun sudah sejam mesyuarat berakhir. Datuk Mustafa berjaya menguasai Rangkaian Rimbajati. Zaiton hanya memiliki sebahagian kecil saham syarikat. Hanya 25% pegangan Zaiton kini. Dia kecewa teramat kecewa kerana Sheila memilih untuk mengundi Datuk Mustafa. Dia juga tidak mendapat sokongan daripada ahli-ahli lembaga pengarah yang lain.
Sheila memahami kekecewaan Zaiton tetapi terpaksa dia menurut kehendak Maisarah. Tetapi dia tidak akan berterus terang dengan emak saudaranya itu. Perkara itu sengaja dirahsiakan. Biarpun begitu perhitungan antaranya dengan Maisarah belum tamat. Dia ingin tahu rentetan peristiwa penemuan Andy Farhan seperti yang didakwa Maisarah.
Sheila melangkah ke pintu, menarik daun pintu dan berkata lembut; “Saya lakukannya kerana…”
“Tak perlu berikan sebarang alasan, sebab aku tak ingin mendengar apa-apa. Anak saudara yang aku harap-harapkan untuk membantu, memberi sokongan kini lebih suka dan senang menyokong orang lain yang tiada pertalian darah. Aku kesal, sedih dan kecewa. Aku dah kehilangan semuanya…”
“Tak… Bukan semuanya maklong. Percayalah. Segalanya akan kembali seperti biasa. Abang Farhan…”
“Jangan kau sebut tentang Farhan lagi Sheila. Sekiranya dia pulang, kau bukan lagi calon yang sesuai untuk jadi isterinya. Aku akan pastikan kau akan terus jauh daripada keluarga aku untuk selama-lamanya.”
Airmata Sheila berderai mendengar kata-kata Zaiton. Dia terus meninggalkan bilik Zaiton, keluar daripada bangunan syarikat itu dan seterusnya keluar daripada hidup orang-orang yang paling disayanginya. Dia harus menerima hakikat bahawa jodohnya dengan Andy Farhan memang tiada… Sudah tersurat sejak azali bahawa mereka hanya sekadar bercinta tetapi bukan untuk hidup semati sebagai pasangan suami isteri.
Di kereta Jasman menunggunya. Kedatangan Sheila disambutnya mesra. Senyuman Jasman tidak berbalas. Hairan Jasman melihat muka Sheila yang basah. Tetapi lelaki itu tidak bertanya apa-apa. Dia percaya, Sheila akan menceritakannya kelak. Dalam soal ini dia tidak suka mendesak, biarkan gadis itu mencari ketenangan terlebih dahulu.

DALAM kabus dinihari yang pekat, hening dan tenang, sebuah kereta mendaki bukit lantas berhenti di hadapan pagar rumah Zaiton. Pemandunya keluar dari kereta yang baru berhenti itu, lantas membuka pintu sebelah. Dia kelihatan memimpin seorang lelaki hingga ke pintu pagar. Lelaki yang dipimpinnya itu kelihatan begitu lemah.
“Maafkan bapak nak…” Seru Kudus. “Setakat ini sahaja bapak dapat menghantar anak.”
Andy Farhan cuba melemparkan senyuman. Dia terus terduduk di tepi pagar. Lututnya terlalu lemah untuk terus berdiri. Dipegangnya tangan Kudus dengan erat seperti tidak mahu dilepaskan.
“Terima kasih, bapak.” Serunya perlahan.
“Bapak harus segera balik sebelum orang lain tahu…” Kata Kudus sambil memandang ke arah rumah agam di hadapannya itu. Hatinya kagum. Memang keluarga Andy Farhan kaya raya. Rumah itu jauh lebih besar dan hebat daripada rumah Rosnah.
Andy Farhan menganggukkan kepalanya. “Bila keadaan dah reda, bapak bersama ibu datang lagi ke mari…” Pintanya bersungguh-sungguh. “Pertolongan bapak terlalu besar buat saya.”
“Jasa bapak kecil, nak … Kamu seharusnya berterima kasih pada anak tiri Rosnah.” Jawab Kudus. Tetapi Andy Farhan seolah-olah tidak mendengarkannya.
“Tapi air itu, bapak berjaya menyembuhkan saya daripada ketagihan. Memang menakjubkan.” Kata Andy Farhan lagi.
“Bersyukurlah kepada Allah…” Kata Kudus dan segera kembali semula kereta yang ditinggalkan. Kereta itu memecut pergi meninggalkan kawasan itu, lenyap dalam masa yang singkat ditelan kabus yang masih menebal.
Sebaik sahaja kereta itu hilang, lelaki itu mendongak memandang pagar yang bertutup rapat dan berkunci. Andy Farhan berpaut lemah di pagar itu, mendongak dan memerhati rumah agam yang tertegak kukuh. Dia memandang langit yang cerah, fajar sudah pun menyingsing. Tidak lama lagi mentari akan muncul. Dia ingin duduk di situ, melihat mentari… dia tidak menyangka bahawa pagi itu dia akan melihat mentari muncul lagi setelah sekian lama dikelilingi kegelapan.


Bab 32

“ADA orang nak jumpa I di Centrepoint coffee house…” Beritahu Sheila sambil merenung muka Jasman. “Boleh you temankan I pergi jumpa dia?”
Jasman mengangkat kening. “You perlukan I sebagai peneman. Siapa dia?”
“Adalah…” Sheila tersenyum manis dan menjeling manja.
“Hei! Siapa ni? Beritahulah I. I dah mulai cemburu ni. Manalah tahu entah-entah you nak jumpa kekasih lama tak?”
“Kekasih lama?” Dahi Sheila berkerut. Saat itu di matanya hanya terbayang wajah Andy Farhan. Spontan matanya memandang telefon di sudut ruang tamu yang menyepi. Apakah dia mengharapkan untuk mendengar bisikan cinta dari lelaki itu lagi? Sudahkah lelaki itu pulang? Kuatkah semangatnya untuk menelefon Zaiton lantas bertanya tentang kepulangan Andy Farhan. Tiba-tiba dia teringat kata-kata Zaiton, bahawa selepas apa yang terjadi di dalam mesyuarat lalu, keluarga itu akan menjauhkan diri daripadanya. Dia tidak akan diterima lagi.
Jasman mengangkat kening dan mengenyitkan matanya. “You ada kekasih lama…”
“Jadi, you tak ada?” Tanya Sheila. Dia benar-benar ingin tahu. Tidak pernah dia bertanya tentang hal itu. Terkadang dia merasa tidak perlu mengimbau peristiwa pahit masa lalu.
“Ada.” Jawab Jasman sepatah.
Sheila memandang tepat ke mukanya yang selamba. Dia menggigit bibir mendengar jawapan Jasman.
“Ramai. Tak terhitung. I rasa you ni yang ke tiga belas!” Tambah Jasman lagi. Dia memerhati muka Sheila yang berubah. Ada riak cemburu. Dia ketawa lepas.
“You cemburu tak?”
“Buat apa I nak cemburukan masa lalu you? I lebih suka berfikir tentang masa depan. I tak mahu menoleh lagi ke belakang…”
“Tetapi penting untuk menoleh ke belakang, melihat jejak yang ditinggalkan supaya kita tidak lupa daripada mana kita datang.” Balas Jasman pula.
“I tak lupa dari mana I datang. Keperitan hidup yang dilalui masa lalu selalu mengingatkan I supaya tidak lupa diri.” Sheila termenung sejenak, mengingati sesuatu, mukanya jadi keruh.
Jasman bangun dan bergerak ke dapur. “You nak minum? Biar I buatkan jus orange nak tak?”
Sheila tidak menjawab, masih melayan angan. Jasman membiarkan sahaja Sheila tenggelam dalam angan-angan. Dia masuk ke dapur. Rumah Sheila sudah menjadi seperti rumahnya sendiri. Dia tahu apa yang ada di dalam kabinet dapur gadis itu. Tahu juga di mana letak barangan seperti gula, asam garam dan segalanya. Jika mereka bernikah tentulah tidak jadi masalah lagi! Dia boleh terus berpindah sahaja ke rumah sebelah… dia senyum sendiri. Tapi sudikah Sheila? Dia sentiasa meluahkan rasa cintanya pada Sheila seperti biasa gadis itu buat tidak peduli sahaja. Kadang-kadang dia terasa bagaikan hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
Jasman menyediakan dua gelas minuman. Dia mengintai ke arah ruang tamu, dilihatnya Sheila masih termenung. Jauh menungan Sheila… bisik hatinya. Apakah dia masih mengingati Andy Farhan? Masihkah bersisa cinta buat lelaki itu?
Dia mengacau sedikit gula di dalam gelas Sheila. Dia tahu Sheila tidak sukakan minuman yang manis. Kemudian dia menyeluk saku bajunya dan membuka sesuatu. Benda itu dicuci dibawah paip bersama airbatu lantas dimasukkannya ke dalam gelas Sheila. Kemudian ditambahnya airbatu hingga benda itu tertutup dan terselindung.
Dia senyum. Dua biji gelas diangkat ke ruang tamu, satu diletakkan di hadapan Sheila sementara segelas lagi untuk dirinya sendiri.
“Minumlah…”
Sheila mencapai gelas dan menyedutnya sedikit. “Kenapa masam sangat ni?”
“You kan tak suka banyak gula, jadi I bubuh sedikit sahaja.”
Sheila menggelengkan kepalanya. “I dah berubah…” Kata Sheila perlahan.
“OK. Perubahan yang membawa kebaikan tak apa. Tapi jangan ubah perasaan dan hati you terhadap I, sudahlah.”
“Apa maksud you? Perasaan I pada you masih sama seperti dulu.”
Jasman merenung Sheila. Dia senyum. “I love you.”
“You belum beritahu lagi siapa kekasih lama you…” Ulang Sheila, sengaja mengelak daripada mengungkapkan kata cinta. Berat mulut untuk menuturkannya biarpun hati sudah lama menerima.
Jasman ketawa. “Hmmm… I fikir perkara itu tak penting diungkit. Untuk apa lagi? Bukankah yang penting adalah masa sekarang. You juga yang kata tadi, tak mahu fikir tentang masa lalu. Hanya masa depan yang indah buat kita berdua.”
“I tak kata pun masa depan kita berdua…”
Jasman mengeluh perlahan. “I tak mengharap you untuk menyintai I seperti you cintakan Andy Farhan. Jika ada sedikit ruang di hati you untuk I, itu sudah memadai kan? I akan terus menyintai you sepenuh hati I… Seperti yang pernah I katakan pada you dulu, you adalah seorang wanita istimewa, bukan hanya cantik dan bijak tetapi punya karisma.” Jasman tersenyum panjang.
Sheila menghirup minumannya sedikit demi sedikit. Kata-kata pujian Jasman dipandang sepi. Akhirnya minuman itu disedutnya hingga habis. Tetapi matanya terpaku ke arah sesuatu yang berkilau terkepung dicelah-celah airbatu di dalam gelas. Dahinya berkerut. Dipandangnya Jasman yang meneruskan senyuman. Sheila mengeluarkan cincin berlian yang berkilau itu dengan jari-jarinya.
“Apa ertinya ni? You melamar I?” Dia bertanya lembut, bibirnya bergetar.
“Ya. Sudi you jadi isteri I?” Tanya Jasman sambil mendekati dan mencapai tangan Sheila lantas dipegangnya erat. Sheila tunduk, membelek-belek cincin yang berkilau itu. Cincin itu digenggamnya, terasa begitu sejuk. Dia membuka genggaman tangannya semula. Tidak percaya. Jasman melamarnya? Akhirnya dia tersenyum, pasrah dan menganggukkan kepalanya.


BAHTIAR dan Zaiton berdiri di tepi katil, memandang susuk tubuh anaknya yang terlantar. Wayar masih berselirat dilengan. Semalam pergelangan tangannya sedikit bengkak, tetapi pagi itu semuanya sudah bertambah baik. Pagi itu dia juga sudah boleh bangun dan duduk walaupun masih enggan untuk diajak berbual terutama sekali tentang kehilangan dan kepulangannya yang tidak terduga itu.
Sudah tiga hari dia berada di hospital. Doktor yang merawat memberitahu, tiada apa yang perlu dikhuatirkan. Paru-parunya berada dalam keadaan baik. Tiada jangkitan kuman ataupun virus biarpun dia terkurung lama di bilik yang tidak mendapat sinar matahari. Bahtiar amat bersyukur mendengar berita itu. Tubuh Andy Farhan masih mampu bertahan, tidak mengalami batuk ataupun demam. Dia tidak perlu risau akan kesihatan Andy Farhan. Dia akan pulih dengan dorongan dan semangat keluarganya. Dia juga digalakkan mengambil makanan yang berzat. Tubuhnya akan cepat berisi semula, yang penting pemakanannya harus dijaga rapi selama beberapa minggu akan datang.
Zaiton melemparkan senyuman. Sejak kembali Andy Farhan langsung tidak menyebut nama Sheila. Zaiton amat takut sekiranya tiba-tiba Andy Farhan akan bertanya tentang gadis itu.
Andy Farhan menyentuh tangan uminya dan berkata; “Boleh berikan Han cermin muka?”
Zaiton mengerut kening tetapi segera membuka beg tangannya. Cermin kecil sebesar tangan itu segera diserahkan kepada Andy Farhan. Lelaki itu membelek mukanya yang cengkung. Kulitnya nampak kusam, tidak bermaya. Matanya terperosok ke dalam. Rambutnya tidak terurus, biarpun misai dan janggut liar yang tumbuh di muka sudah pun dicukur bersih. Buruk! Bisik hatinya terkejut melihat dirinya. Diperhatinya betul-betul tangannya yang sendiri. Urat-urat tumbul dengan jelas. Dirabanya pula dadanya, hanya kulit yang membungkus tulang. Dia terlalu kurus… bisik hatinya.
Cermin itu dicampakkannya ke tepi dan dia berbaring di katil sambil menarik selimut. Buruk! Bisikan hatinya bergema semula. Dia tidak ingin bertemu sesiapa! Tidak! Lebih-lebih lagi Sheila… Dia tidak ingin berjumpa dengan orang lain selain daripada ibubapanya.
Zaiton memandang Bahtiar. Mereka saling berpandangan melihat aksi Andy Farhan yang terus membalut dirinya dengan selimut.
“Kenapa Han?” Zaiton bertanya.
“Han tak nak jumpa sesiapa pun! Jangan benarkan orang lain masuk ke bilik ni selain daripada doktor.” Kata Andy Farhan dari bawah selimut.
Ibubapanya saling berpandangan.
“Ya. Berehatlah.” Kata Zaiton. Wajahnya kelihatan gusar. Sikap Andy Farhan banyak berubah. Apakah anaknya itu sudah tidak siuman?
“Kami tidak akan benarkan sesiapa pun masuk. Lagipun tiada sesiapa pun tahu kau dah balik, Farhan.” Kata Bahtiar. “Kita juga minta doktor rahsiakan hal ini. Abah akan usahakan supaya kau boleh keluar dari wad ni dan dirawat di rumah sahaja. Tapi kau haruslah ikut jadual pemakanan yang telah ditentukan oleh doktor supaya kau cepat pulih.”
Andy Farhan menganggukkan kepalanya. Dia masih mengalami trauma. Terkadang dia terasa segalanya masih mimpi. Terkadang dia takut untuk tidur. Setiap kali terbangun, dia memerhati sekeliling untuk memastikan segalanya benar dan dia akan mencubit lengannya sendiri hingga terasa sakit. Kemudian barulah dia percaya yang dia sudah pun kembali ke pangkuan keluarganya.


“I INGAT you datang seorang. Bukankah I dah kata, jangan libatkan orang lain. Ini antara kita berdua saja.” Kata Maisarah dengan muka yang masam.
“Kami dah bertunang…” Beritahu Sheila sambil menunjukkan cincin yang tersarung di jarinya ke arah Maisarah. Pertemuan malam itu atas ajakan Maisarah dipenuhi oleh Sheila dengan hati yang berat. Jasman di sisinya hanya tersenyum, melihat muka Maisarah yang kelat. Berita itu bukan berita gembira buat Maisarah.
“Andy Farhan dah balik.” Kata Maisarah. “Untuk memastikannya you boleh telefon keluarganya.” Sambungnya lagi, langsung tidak mengucapkan tahniah di atas berita pertunangan Sheila dan Jasman. Mereka bertunang berdua sahaja… tanpa melibatkan ahli keluarga. Sejenak Sheila merasa sedih. Dia tidak punya keluarga lagi… Begitu juga di pihak Jasman, langsung keluarganya tidak tahu menahu. Kini, berita itu pula tidak langsung disambut oleh Maisarah dengan sebarang ucapan.
Sheila diam sejenak kemudian berkata; “Betulkah begitu? Sebenarnya I dah tak berminat lagi hendak tahu tentang Abang Farhan.” Dia menjeling Jasman. Lelaki itu tersenyum.
“Benarkah you tak berminat lagi? Jadi, I tak perlu ceritakan apa yang berlaku? Maksud I bagaimana I menemuinya dan siapa yang menjadi dalangnya? You tak mahu perempuan itu dibawa ke muka pengadilan? You nak biarkan dia lari begitu saja?”
Mendengar kata-kata itu barulah Sheila tampak berminat. “OK. Siapa yang bertanggungjawab, kalau you punya maklumat beritahu sahaja kepada pihak polis. Jasman boleh temankan you ke balai, boleh tak sayang?” Sheila menoleh ke arah Jasman. Lelaki itu menganggukkan kepalanya. Dia tersentak apabila Sheila memanggilnya sayang, tetapi hatinya senang.
“Ya. Bila you hendak pergi ke balai? I juga suka perkara ini selesai, sesiapa sahaja yang bertanggungjawab harus didakwa.”
“Kalau you nak dakwa, dakwa sahaja bekas isteri Bahtiar. Dia yang menculik dan mengurung Andy Farhan di dalam bilik bawah tanah di rumah daddy I.” Kata Maisarah lancar. “Tak percaya, tanya orang gaji kami!”
“Puan Rosnah?” Sheila terkejut. Dahinya berkerut. “Emak Mawarni? I tak percaya… benar-benar tak percaya!”
“Percayalah. Kali ni tak bohong…” Maisarah bangkit, ingin segera meninggalkan meja Sheila dan Jasman.
“Hei! Nanti dulu!” Jasman membantah, pantas mencengkam pergelangan tangan Maisarah. “Ke mana you nak pergi. Hal ini belum selesai.” Kata Jasman dengan suara tegas. Senyuman sudah hilang dari bibirnya. Tangannya terus mencengkam pergelangan tangan Maisarah, sementara sebelah tangan lagi menyeluk poket dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia bercakap dengan seseorang, mematikan talian dan menoleh pada Maisarah semula.
“Sekarang, ceritakan pada I apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana penemuan itu terjadi?”
Maisarah terdiam sejenak, berfikir. Dia tidak tahu bagaimana harus memulakan ceritanya. Ianya saling kait mengait. Dia menyesal kerana bertemu dengan Sheila dan Jasman di situ. Dia memandang ke pintu masuk, tiba-tiba terpandang seorang lelaki. Lelaki itu mendekati meja mereka. Dia menggigit bibir… Siapa tidak kenal Inspektor Razif di bandar itu.


Bab 33

“TOLONG…” Rayunya memohon simpati. Rambut dan mukanya sudah basah ditimpa hujan lebat. Bajunya juga basah kuyup. Sejuk tubuhnya tidak terkira, tetapi dia terpaksa juga menahan kereta yang lalu di tengah-tengah hujan yang sedang menggila. Tiada pilihan lain. Dia terpaksa berhujan demi isterinya.
Lelaki itu menurunkan cermin keretanya dan bertanya; “Kenapa? Apa yang berlaku?”
“Kereta saya rosak…” Katanya sambil menunjuk ke arah kereta yang tersadai di pinggir jalan. “Isteri saya sakit, hendak bersalin. Tolonglah hantar kami ke hospital terdekat. Tolonglah encik. Tolonglah cepat!!”
Tanpa berfikir panjang, lelaki itu menganggukkan kepalanya. Dia memandu ke tepi jalan, kemudian keluar dari kereta bersama payung. Di dalam kereta buruk itu memang terdapat seorang wanita yang sedang mengerang kesakitan. Perutnya terlihat memboyot. Benar, perempuan ini hendak bersalin. Mukanya berkerut menahan sakit dan matanya terpejam.
Kedua-dua lelaki itu mengangkat perempuan yang sedang sarat itu ke dalam kereta. Lelaki itu masuk dan terus memandu keretanya dengan laju menuju ke hospital.
Jam terus bergerak pantas, malam sudah berganti siang. Salim tertidur di kerusi panjang. Bajunya yang tadi basah lencun kini sudah kering di badan. Dia terjaga apabila bahunya disentuh oleh jururawat yang bertugas.
“Encik! Isteri encik dah pun bersalin.” Beritahunya sambil tersenyum.
“Sudah bersalin?”
Jururawat itu menganggukkan kepalanya.
Kepala Salim terasa kosong, ringan dan dia tidak dapat bersuara. Anak… bisik hatinya. Zuriatnya sudah lahir ke dunia ini. Apa yang dirasakannya sekarang? Hatinya melonjak, rasa tidak sabar ingin melihat wajah anaknya. Perasaan itu terasa demikian aneh, dia tidak pernah alami sebelum ini. Jururawat membawanya ke bilik bayi dan menunjukkan katil anaknya. Bayi itu nampak sihat dan berisi. Kulitnya halus apabila disentuh.
“Encik boleh azankan budak ni… Lepas tu encik boleh bertemu dengan isteri encik.” Kata Jururawat meninggalkan Salim bersama bayinya yang sedang tidur nyenyak.
Salim menghulur tangannya untuk mengangkat bayinya. Dia menggendong dan memeluknya erat. Bayi itu terasa hangat, harum dan memberangsangkan fikirannya. Bayinya membuka kelopak matanya perlahan-lahan.
“Assalamualaikum, anakku…” Bisik Salim.
Dia senyum lantas meletakkan bibirnya di pipi bayi. Airmatanya berlinangan. Dan beberapa saat kemudian dia mendekatkan bibirnya ke telinga bayi itu lantas mengazankannya perlahan-lahan.
Airmatanya bertitisan, menyedari kebesaran Tuhan. Dia rasa bertuah, kerana diberikan anugerah ini. Airmatanya terus berguguran laju. Saat itu dia teringat pada seraut wajah polos Azizah. Segera bayi itu diletakkan di katilnya semula. Dia mengatur langkah untuk menemui isterinya itu.
Ketika dia menolak pintu bilik yang menempatkan isterinya, dia terdengar suara doktor memanggil.
“Boleh masuk ke bilik saya sekejap.” Kata Doktor Salleh tenang, memberikan senyuman ikhlasnya.
Salim hanya mengangguk.
“Saya…” Katanya lambat-lambat. “Tidak ingin memberikan awak terlalu banyak harapan, encik Salim. Isteri awak mengalami pendarahan dalaman yang teruk, keadaannya begitu lemah. Dan saya tidak yakin dia akan selamat. Tetapi… keajaiban hanya berlaku sekiranya Tuhan menginginkannya. Awak berdoalah… Semoga dia selamat. Kami tak boleh buat apa-apa lagi.” Kata-kata itu diucapkan dengan tenang, penuh hemat.
Salim tidak menyedari airmatanya berjatuhan lagi ke pipi. “Apakah maksud doktor… Apakah dia… Akan meninggalkan saya, meninggalkan saya dan anak kami yang baru lahir?”
Doktor Salleh mengangguk. “Dia tidak akan dapat bertahan lebih lama. Pergi temui dia sekarang. Kami sudah lakukan apa yang terdaya. Pembedahan itu berjaya menyelamatkan salah seorang dari mereka berdua… hanya bayi awak…” Dia tidak meneruskan kata-katanya. “Pergilah temui dia sekarang.” Katanya berusaha untuk terus tenang, biarpun dadanya sebak juga melihat tangisan lelaki itu.
Salim masuk untuk menemui Azizah yang terbaring lemah. Matanya memandang kosong ke wajah Salim. Salim menarik kerusi untuk duduk di sisi katil, berdekatan dengan isterinya. Azizah cuba tersenyum melihat airmata yang lebat bertamu di wajah Salim. Dia yakin doktor telah menerangkan keadaan dirinya kepada suaminya itu. Dia tahu, Salim menyesal di atas perbuatannya selama ini. Tetapi itu semua sudah tidak penting lagi kini. Saat untuknya kembali sudah tiba. Tuhan telah pun memanggilnya dan Tuhan juga telah memperlihatkan dia sesuatu yang indah. Dapat dia rasakan cinta Salim terhadap dirinya biarpun hanya sedetik. Hatinya saat itu tiada kesedihan lagi.
“Walau apa pun yang terjadi pada saya… jangan menyesal ya, encik Salim…” Katanya perlahan tetapi jelas. Tiada airmata seperti selalu. Wajahnya tenang. Matanya bercahaya seolah-olah dia sedang bergembira. Diangkat tangannya yang lemah lantas disapunya airmata yang berderai di pipi Salim.
“Dan juga jangan menangis kerana saya…” Azizah mengangkat tangannya hendak menyapu airmata Salim yang bertambah lebat. Salim menyambar tangan Azizah, memegang dan menciumnya bertalu-talu. “Maafkan abang Azizah. Ampunilah abang. Abang masih ingin hidup bersamamu. Masa untuk kita masih ada. Masa untuk abang memperbaiki segalanya masih ada kan? Katakan Azizah. Kita pelihara anak kita bersama-sama, penuh kasih sayang… Beri abang satu peluang. Hanya satu peluang…”
Azizah menggeleng. “Masa yang kita punya hanyalah sekarang… hanya sedetik bang. Tapi saya bahagia. Saya sangat bahagia. Saya sayang abang dan anak kita.” Azizah tersenyum. “Tolong jaga Arief Aiman untuk saya, sebab saya tak mungkin dapat melakukannya. Tolong jaga dia sebaik mungkin.”
Salim menelungkupkan mukanya, menangis semahu hatinya mendengar kata-kata akhir Azizah. Bibir Azizah bergerak-gerak perlahan mengucapkan Kalimah syahadah… Tangan isterinya terus digenggam biarpun pegangan itu terasa semakin longgar dan lemah. Dan akhirnya ia jatuh terkulai. Salim mengangkat muka merenung wajah Azizah yang tenang. Bibirnya seperti sedang tersenyum. Dia kucup dahi isterinya perlahan-lahan, buat kali terakhir.


“I YAKIN dan percaya kata-kata Maisarah tu…” Kata Sheila, mengimbau kembali peristiwa malam semalam di mana Maisarah membuka cerita tentang segalanya. “Kali ini dia tidak berbohong. I tahu bagaimana rupa dan wajahnya tika dia berbohong.”
“Sebab you dah banyak kali tertipu dengannya bukan? Muka dia pucat bila melihat Inspektor Razif datang ke meja kita.”
Sheila mengangguk.
“Tapi I rasa masih ada cerita yang mahu disembunyikannya. Mustahil hanya seorang perempuan tu dan kekasihnya saja yang melakukan penculikan itu. Hanya Andy Farhan yang dapat menceritakan kebenaran.” Kata Jasman sambil membukakan pintu cermin untuk masuk ke ruang lobi wad. “Hanya dari dia kita akan mengetahui cerita sebenar dari awal hinggalah ke penghujungnya.”
Jasman terus menuju ke kaunter dan menemui jururawat bertugas. Pada mulanya Jururawat menafikan adanya pesakit yang disebut oleh Jasman itu. Hospital itu adalah hospital swasta. Sudah tentulah pihak hospital amat mementing kebajikan pelanggannya tetapi setelah didesak akhirnya dia mengalah dan memberikan nombor bilik Andy Farhan.
“Dia memang dirawat di sini… Masuk ke wad ni beberapa hari lalu.” Kata Jasman sambil memimpin Sheila memasuki lorong yang menghala ke wad. Setiap pintu di kiri kanan lorong bertutup rapat dan dilekatkan dengan nombor. Akhirnya lelaki itu berhenti di depan salah satu bilik.
“Dah sedia nak jumpa kekasih lama?”
Sheila tidak keruan apabila mendengar pertanyaan itu. Dia diam sejenak dan berkata; “I rasa I dah cukup bersedia.”
“OK. Kita masuk bersama-sama.”
“Nanti dulu! Apa yang hendak you katakan padanya? Kan lebih baik sekiranya Inspektor Razif yang jalankan tugasnya?”
“Kita datang sebagai kawan…” Balas Jasman tidak mahu kalah. Sebenarnya dia hendak menilai perasaan Sheila terhadap Andy Farhan.
“OK.” Balas Sheila. Sebagai kawan. Benarkah mereka boleh berkawan? Tidak. Dia sebenarnya takut untuk berdepan dengan Andy Farhan. Biarpun pohon cintanya telah tiada, daun-daunnya sudah gugur dibawa angin lalu dan bunga-bunganya sudah menyembah bumi tetapi akarnya masih ada di taman hatinya. Pertemuan akan membuat akar itu bertunas semula.
Dia harus menghindari pertemuan itu. Dia teringat pada kata-kata Zaiton, supaya dia mengakhiri setiap bentuk perhubungan yang ada antaranya dengan Andy Farhan. Kepalanya tergeleng-geleng.
“Tidak…” Katanya hampir berbisik. “Sebagai kawan… juga tidak boleh!”
“Apadia?” Tanya Jasman inginkan kepastian. Tangannya diangkat hendak menolak pintu tetapi Sheila menahannnya.
“You masuklah! I tak mahu! Sorry!”
“Tapi kenapa?”
Sheila hanya menggeleng.
“You takut? Tak yakin pada diri sendiri?”
Sheila tidak membalas pertanyaan itu. Dia terus berpusing pergi, melangkah dengan pantas tidak menoleh lagi ke belakang. Jasman pantas mengejar dan menyambar tangan Sheila.
“Lepaskan tangan I!” Jerit Sheila kuat, minta dilepaskan. Jasman memandangnya mengharap penjelasan. Sheila merenjis tangannya dengan kuat, melarikan diri melalui lorong yang luas dan panjang, sebelum membelok dan hilang di sebalik bangunan. Jasman terpaku memerhati cuma. Dia tidak lagi mengejar gadis itu.

KAU masih cintakan dia… masih tidak dapat lupakan dia sebenarnya, Sheila! Bisik hatinya. Biarpun sudah puas dia menafikannya, tetapi suara hatinya terus bergema dengan kuat. Dia memekup telinganya, sambil terus berjalan laju. Dia tidak tahu di mana dia berada, yang pasti dia masih berada di dalam bangunan hospital yang luas itu. Akhirnya dia berhenti melangkah, memerhati sekeliling dan terpandang pintu besar yang tertulis wad bersalin.
Hmmm… Sudah jauh rupanya dia meninggalkan wad yang menempatkan Andy Farhan sebentar tadi. Dia menoleh lagi ke belakang, untuk memastikan kalau-kalau Jasman masih mengejarnya. Tetapi tiada. Di tengah-tengah lorong itu dia keseorangan.
Apakah dia akan berpatah semula, mencari Jasman dan memohon maaf. Ataupun mungkin ada baiknya jika dia pulang sahaja. Tetapi tadi, Jasman memandu keretanya dan kunci kereta dipegang oleh lelaki itu. Mahu tidak mahu dia terpaksa mencari Jasman. Dia menekan telefon bimbitnya hendak mendail nombor. Tetapi saat itu dia terasa tubuhnya dilanggar seseorang dari belakang dan telefon bimbitnya terjatuh ke lantai.
Dia terkejut, memandang ke arah lelaki yang melanggarnya. Lelaki itu juga menoleh ke arahnya. Mereka saling bertatapan sejenak, masing-masing hilang kata-kata. Sheila memerhati ke arah Salim yang sedang memangku seorang bayi. Mata Salim nampak merah dan mukanya masih dibasahi airmata. Jelas dia melihat wajah Salim yang sugul dan sedih.
“Sorry, aku terlanggar kau, Sheila. Tak perasan tadi!” Kata Salim lemah, tidak dapat menyembunyikan kesedihannya. “Telefon kau terjatuh…” Katanya lagi. Dia tidak dapat hendak menolong Sheila mengutip handphonenya kerana memegang bayi yang sedang nyenyak tidur. Sheila masih terpaku memerhati dirinya. Lidah gadis itu kelu melihat Salim hadir di hadapannya, begitu dekat mereka berdiri.
Sudah lama mereka tidak bertemu. Rasanya bagaikan sudah berkurun. Langsung Sheila tidak menduga dia akan melihat wajah Salim yang sedih dan pilu. Tiba-tiba keadaan wajah itu begitu menghiris kalbunya. Dia ingin tahu apa yang membuat wajah lelaki itu begitu…
“Kau rupanya, Salim! Apa kau buat di sini? Mengapa kau nampak sedih…”
“Aku…” Salim tidak dapat menghabiskan kata-kata apabila anak di dalam kendongannya menangis. Dia menepuk-nepuk punggung bayinya beberapa kali, memujuk dengan lembut dan akhirnya bayi itu tenang semula.
“Anak siapa?” Tanya Sheila.
“Anakku.” Jawab Salim perlahan. “Mungkin kau tak tahu… Atau kau tak mahu tahu, aku dah pun bernikah dan kini aku sudah pun kehilangan isteri. Anakku ini kehilangan ibu…” Kata Salim lagi dan airmatanya kembali berlinangan.
“Maafkan aku…” Seru Sheila perlahan, barulah dia membongkok untuk mengutip handphonenya. Saat itu Salim terus melangkah meninggalkan Sheila. Tetapi setelah beberapa langkah dia berjalan dia menoleh dan berkata; “Sheila… barangkali kau nak tahu siapa isteriku. Dia punya kaitan dengan kau…”
Sheila diam, hanya menunggu.
“Azizah. Isteriku Azizah sudah kembali kepada Tuhan pagi ni…”
“Apa?” Sheila menerpa ke arah Salim, tanpa sedar dia menggoncang bahu lelaki itu.
“Azizah? Azizah adik angkat aku tu maksud kau? Katakan saja bukan dia… bukan dia!” Meskipun dia cuba menahan airmata tetapi ianya gugur juga satu persatu ke pipinya.
Salim mengangguk dan airmatanya terus bercucuran lagi. Setelah sekian lama mereka tidak berkongsi apa-apa perasaan, tiba-tiba pagi itu kesedihan yang datang bertamu membuat mereka saling bertangisan. Dan Sheila bagaikan sudah lupa segala yang terjadi antaranya dan Salim. Dia mengambil bayi dari pangkuan Salim, lantas memeluknya erat dan mencium pipi bayi itu bertalu-talu bersama airmata yang lebat mengalir.

JASMAN kembali ke bilik wad Andy Farhan. Dapat dilihatnya pintu bilik itu terbuka dan masuk seorang wanita diikuti dengan beberapa orang lelaki. Cepat dia mencelah dan ikut masuk. Di dalam bilik itu terdapat enam orang semuanya. Bilik itu serta merta menjadi padat. Sebaik sahaja wanita itu melihat wajah Jasman, segera dia bertanya keras;
“Awak siapa? Siapa benarkan awak masuk ke bilik ni?”
“Dia bersama saya…” Sahut satu suara. Jasman senyum ke arah Inspektor Razif yang pantas menjawab soalan kasar Zaiton. Nampaknya wanita itu benar-benar gelisah apabila ada ramai orang di dalam bilik anaknya yang terlantar lemah.
Bahtiar bersuara lembut, memohon simpati. “Maaflah… Harap sesiapa yang tidak berkenaan tu, tolong keluar…”
Tiada sesiapa pun yang berganjak dari situ. Beberapa saat kemudian terlihat cahaya lampu lensa kamera berkilauan memanah ke arah katil Andy Farhan. Zaiton menjadi berang dan menghalau wartawan itu keluar dengan segera. Kini hanya tinggal Inspektor Razif, Jasman, Bahtiar dan seorang lelaki yang hanya berdiri di satu sudut, memerhati ke arah katil Andy Farhan. Lelaki itu masih tidur, tidak menyedari bahawa biliknya dipenuhi orang.
“Farhan…” Seru Zaiton perlahan. Tangan anaknya dipegang dan diusap lembut.
Dahi Farhan berkerut dan matanya yang bertutup rapat kelihatan perlahan terbuka. Dia memerhati sekeliling dan terlihat ramai orang yang mengelilingi katilnya. Matanya berhenti berputar, merenung Jasman. Dia? Mengapa dia ada di sini? Bisik hatinya. Lelaki itu kelihatan segak dengan jaket kulit membalut tubuh yang sasa. Cepat-cepat Andy Farhan menarik selimut dan menutup seluruh muka hingga ke kepala.
“Aku tak mahu jumpa sesiapa!!!” Jeritnya dengan kuat dari bawah selimut.
“Maafkan saya, dia masih belum betul-betul tenang untuk menjawab sebarang soalan.” Kata Bahtiar kepada Inspektor Razif.
Inspektor Razif mengangguk. “Bila agaknya kami boleh ambil keterangannya supaya boleh meneruskan proses untuk mendakwa orang yang terlibat dalam penculikan itu?”
Bahtiar menggeleng. “Entahlah…” Jawab Bahtiar. “Saya berharap dia cepat sembuh. Esok dia akan dibawa bertemu dengan pakar psikitri. Mungkin selepas jiwanya benar-benar tenang… Percayalah! Saya juga mahu orang yang bertanggungjawab melakukan penganiayaan ini mendapat balasan dan dihadapkan ke mahkamah.”
Inspektor Razif mengangguk. Pastilah ianya akan memakan masa dan kes itu tidak akan dapat diselesaikan dengan cepat. “Kita keluar dulu…” Kata Inspektor Razif pada Jasman. “Rupanya dia masih trauma…”
Jasman hanya mengangguk.
Lelaki yang berdiri di sudut bilik itu tersenyum, menepuk bahu Bahtiar dan berkata; “Aku juga ingin minta diri, Bahtiar. Harap anak kau cepat sembuh untuk kembali bekerja. Aku suka untuk bekerja bersamanya…”
Bahtiar mengangguk. “OK.”
“Hei! Siapa yang bercakap tadi tu?” Kata Andy Farhan tiba-tiba, menarik selimutnya hingga menampakkan wajah yang cengkung tidak bermaya. Keempat-empat lelaki itu saling berpandangan;
“Aku kenal suara tadi…” Kata Andy Farhan sambil memandang tepat ke muka Inspektor Razif. “Aku kenal suara yang bercakap dengan abah tadi.”
“Siapa maksud kau?” Tanya Bahtiar dengan dahi berkerut.
Bahtiar memandang Datuk Mustafa. Muka Datuk Mustafa kelihatan sedikit pucat. Tiada senyuman apalagi tawa besar. Bibirnya yang tebal kelihatan terkatup rapat.
“Aku pernah dengar suara itu!” Katanya lagi sambil memerhati setiap wajah yang ada di situ.
“I tak cakap apa-apa tadi!” Jasman bersuara tenang dan bersahaja.
“OK. Sekarang kawan saya ni dah pun bercakap. Bagaimana? Saya rasa you masih siuman bukan?” Sahut pula Inspektor Razif.
“Dah tentu aku siuman…” Balas Andy Farhan. “Aku bukannya gila.”
“Tapi mengapa mengelak untuk beri keterangan?” Soal Inspektor Razif. Kini dia memandang Datuk Mustafa. “Ada apa-apa yang datuk nak katakan?”
“I rasa tak ada apa-apa… Elok bawa dia jumpa pakar sakit jiwa, Bahtiar! I nak keluar sekarang.” Katanya dengan tegas dan terus berjalan ke pintu.
“Nanti dulu!” Andy Farhan menahan Datuk Mustafa daripada berlalu pergi. Dia yakin pada pendengarannya. Dia masih ingat kata-kata yang bergema di telinga, lewat corong telefon bimbit yang ditinggalkan di rumah kecil di tepi hutan itu. Sayangnya telefon itu hilang semasa dia dibelasah Richard dan dibawa Rosnah ke rumahnya.
“Manaf! Kau dah bunuh Azlan dan Farhan? Sekarang kau tinggalkan tempat itu. Bakar rumah itu supaya tiada sebarang bukti. Faham?” Andy Farhan mengulangi kata-kata Datuk Mustafa. Wajah Datuk Mustafa serta-merta pucat. Dia masih ingat lagi kata-katanya sendiri yang ditujukan kepada Manaf. Dia diam sejenak, kemudian tersenyum sinis.
“Kata-kata orang yang tidak siuman tidak boleh dipakai.” Kata Datuk Mustafa mencabar.
“Manaf yang mana satu?” Tanya Inspektor Razif. “Apakah Manaf itu sama dengan Manaf yang hilang, tanpa kesan? Isterinya telah buat laporan kehilangannya di balai polis Jerantut beberapa minggu lalu. Berita kehilangannya telah disebarkan di semua balai polis yang daerah, hingga kini masih belum ditemui. Sementara Azlan pula telah kami berkas atas kesalahan memiliki senjata merbahaya, mencuri dan juga cubaan rogol.” Inspektor Razif mendekati Datuk Mustafa. “Boleh datuk datang ke balai untuk bantu kami jalankan siasatan. Kami telah pun memanggil bekas isteri datuk dan anak perempuan datuk…”
Datuk Mustafa diam tidak menjawab.


Bab 34 [Tamat]

“DI MAHKAMAH sekarang ni, Datuk Mustafa dan bekas isterinya saling tuduh menuduh dan saman menyaman. Dan jika sabit kesalahan, Datuk Musafa akan dihukum kerana jenayah yang dilakukannya. Datuk Mustafa dan Rosnah sama saja. Mereka sama-sama melakukan jenayah… Begitu juga dengan Maisarah. Turut membantu bapanya tu!” Kata Sheila memerhati Jasman yang sedang melarikan keretanya memasuki Jalan Tok Muda Awangah. Jalan itu agak sibuk sejak diadakan perbicaraan yang menjadi tajuk utama akhbar-akhbar tempatan. Begitu banyaknya skandal dan jenayah yang dilakukan oleh Datuk Mustafa terbongkar.
“I tak mahu terlibat lagi… Walaupun Rosnah ada datang meminta bantuan daripada I. Akan terus melupakan kerjaya yang I sekarang dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan.” Tambah Sheila lagi.
“Perniagaan?” Jasman agak terkejut, ternyata Sheila telah mengatur rancangan tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.
“You lupa, I salah seorang ahli lembaga pengarah Rimbajati?”
Jasman mengangkat kening cuma.
“You tahu, apa jadi pada Azlan?” Tanya Sheila, dia belum dapat melupakan bagaimana Azlan cuba memperkosa dirinya pula setelah dia memperlakukan adiknya Azizah tanpa belas kasihan. Malah dia sudah pun menerima hukumannya dipenjara. Tetapi naluri dan jiwanya telah sebati dengan kejahatan tidak akan dapat ditawar-tawar agar menjadi insan yang berhemah.
“Dia dituduh membunuh Manaf… Juga cubaan merogol serta mencuri… Pastilah dia akan berada di dalam penjara untuk tempoh yang lama, lebih lama daripada dahulu.” Dia menjawab sendiri soalan itu. Jasman terus diam, berfikir dan menimbang keputusan Sheila untuk berada di Rangkaian Rimbajati, bermakna akan berdepan dengan Andy Farhan semula. Tiba-tiba dia merasakan itu semua adalah satu ancaman baru untuknya! Tapi apa yang penting sekarang adalah mengikat Sheila dengan tali perkahwinan agar dia tidak akan jatuh ke tangan Andy Farhan… sebelum segalanya terlewat.
Mereka berdua datang ke Jalan Tok Muda Awangah, bukan untuk ke mahkamah, sebaliknya tujuan utama adalah ke pejabat kadhi yang terletak di jalan yang sama. Dapat dilihatnya kehadiran orang ramai di kawasan mahkamah yang terletak berhampiran dengan pejabat kadhi dan perpustakaan daerah.
Kawasan pejabat kadhi tampak sedikit lengang, dengan mudah Jasman mendapat tempat meletak kereta. Dia keluar terlebih dahulu, membukakan pintu kereta untuk Sheila.
Pagi itu Sheila mengenakan sepasang kurung putih bersih dan berkain songket kuning lembut. Selendang lace putih menutup kepalanya. Dia memang kelihatan ringkas tetapi anggun. Sementara Jasman tetap segak dengan baju Melayu putih dan bersamping kuning. Mereka beriringan masuk ke pejabat kadhi. Kedua-duanya memandang ke dalam dan terlihat kawan-kawan Jasman yang akan menjadi saksi sudah pun menunggu kehadiran mereka.
“Amboi! Bakal pengantin datang bersama nampaknya!” Tegur Inspektor Razif yang tidak lagi memakai uniform. Dia mengenakan baju Melayu berwarna biru.
Sheila tersipu-sipu dan mukanya sudah merah padam. Dia malu mendengar usikan teman-teman Jasman. Saat itu dia merasa sedih kerana tiada sesiapa mengiringinya untuk menjalankan upacara akad di pejabat kadhi itu.
Segalanya berjalan lancar. Dengan sekali lafaz mereka sah sebagai suami isteri. Sejam kemudian kedua-keduanya beriringan keluar dari pejabat kadhi, menuju ke kereta. Sheila memerhati sejenak ke bangunan pejabat yang tersergam indah. Hari itu dia telah rasmi menjadi milik lelaki itu. Dipandangnya Jasman yang tersenyum mesra. Tangan mereka sejak tadi bertaut erat.
Dalam kegembiraan itu hatinya tetap sedih. Tiada majlis apa-apa bagi menyambut upacara perkahwinannya. Tiada paluan kompang, tiada persandingan. Maskahwinnya pula hanya senaskhah al-Quran. Memang dia mahukan majlis yang ringkas dan sederhana. Dia pernah mendengar bahawa maskahwin yang paling ringan lebih afdhal. Dan dia mengharap keberkatanNya.
Saat dia hendak memasuki kereta, dia terlihat kereta Bahtiar masuk ke perkarangan pejabat kadhi tersebut. Sheila tidak jadi hendak masuk ke kereta. Bahtiar keluar dari kereta yang diparkir terburu-buru di tepi pagar pejabat itu.
Separuh berlari dia datang ke arah Sheila; “Dah selesai? Kalian dah bernikah?” Dia bertanya tidak sabar.
Sheila diam, teragak-agak dia hendak menjawab. Apalagi apabila dia terpandang Andy Farhan yang baru keluar dari kereta bapanya. Lelaki itu nampak semakin sihat meskipun dia memerlukan bantuan tongkat untuk berjalan. Namun tubuhnya sudah nampak berisi sedikit. Dia cuma memerhati dari jauh. Wajahnya disaluti kepiluan. Dia terpaku sahaja tidak mampu hendak menggerakkan kakinya mendekati Sheila.
Akhirnya kau jadi milik orang lain.. Bisik Andy Farhan. Ke manakah kau campakkan cinta yang agung-agungkan hanya buat diriku? Hanya dengan sedikit dugaan, cintamu telah beralih arah, dalam masa tidak sampai setahun!
Sheila menundukkan mukanya, tidak sanggup hendak terus memandang Andy Farhan meskipun dari kejauhan.
“Al-hamdulillah. Kami sudah pun bernikah.” Jawab Jasman, sambil memaut bahu Sheila dengan erat.
“Tahniah.” Ucap Bahtiar sambil menghulur tangan. Wajahnya murung dan kecewa. Dia memaling muka ke arah Andy Farhan sambil menganggukkan kepalanya. Andy Farhan tidak sanggup untuk terus berada di situ. Dia masuk ke kereta dan duduk dengan tenang, mengharap untuk meninggalkan tempat itu secepat mungkin.
Sheila memerhati langkah Bahtiar yang berjalan menghala ke keretanya dan terus memandu keluar dari kawasan itu.
Abang, kau tetapku cinta, selamanya. Tetapi ungkapan itu biar hanya tersimpan di hati dan hanya dia seorang yang mengetahuinya. Biar dia sendiri menahan seksa dan gelora perasaan… Tetapi membunuh perasaan cinta ini tidak sekali-kali! Kata orang, mustahil menyintai dua lelaki dalam satu masa, tetapi itulah yang terjadi. Jasman… Lelaki itu juga disayangi dan dikasihinya dengan sepenuh hati.
“Are you OK?”
“Ya.” Jawab Sheila perlahan, airmata yang ditahan daripada menitis, akhir jatuh jua di pipi. Dia mengesatnya dengan selendang yang masih menutup kepala. Dia tidak ingin Jasman melihat airmatanya itu. Lelaki itu tekun memandu, membawanya pulang ke rumah mereka di Bukit Mentakab.
“Tak. Ada sesuatu yang tak kena! You menangis.” Kata Jasman, terus jua tidak memandang ke mukanya. Matanya tertumpu ke jalan raya. “Kerana Andy Farhan?”
“Bukan kerana dia… percayalah.” Sahut Sheila perlahan, menahan getaran yang mencengkam dadanya.
“Habis kerana apa? Menyesal dengan perkahwinan ini? Bukankah I berhak untuk memperjuangkan cinta I pada you? I tak pernah menyesal, biarpun I tahu, dalam hati you masih ada dia.”
“Perkahwinan kita yang terlalu ringkas. Tiada apa-apa majlis untuk meraikan kita sebagai mempelai.” Balas Sheila, cuba mencari helah. Matanya masih terbayang-bayang wajah penuh sendu milik Andy Farhan. Dia memejamkan matanya cuba menghapuskan bayangan itu, tetapi masih gagal.
“I masih ada emak… I akan bawa you balik jumpa emak.”
“OK. Bila?” Balas Sheila, berusaha menghapuskan kesedihannya. Dia tidak sepatutnya bermuram durja di hari pernikahannya. Bukankah dia sudah membuat pilihan yang tepat?
“Selepas kita berbulan madu.” Kata Jasman menoleh padanya, mengulum senyum bermakna.
Tiba-tiba telefon bimbit Jasman berbunyi. Ianya adalah bunyi isyarat pesanan ringkas. Sheila memerhati sahaja telefon bimbit itu. Tiba-tiba dia menjangkau tangannya mencapai telefon bimbit yang terletak di atas dashboard.
“Boleh I buka dan baca mesej?” Dia bertanya lembut.
Jasman nampak serba salah kemudian berkata; “Bukalah.” Katanya sepatah. Dia mahu membuktikan bahawa tiada rahsia antara mereka selepas perkahwinan itu.
Pantas jari-jari Sheila bermain di permukaan punat telefon. Mesej itu datangnya daripada LIA. Siapa Lia? Bisik hati Sheila. Tidak sabar hendak mengetahui isi kandungan mesej tersebut;
Abang! Kenapa dah lama tak balik? Kami di sini merindui abang.
Dada Sheila berdebar-debar. Dia memandang Jasman, dan bertanya dengan suara yang agak kuat. “Siapa Lia?”
“Alamak!” Jasman terperanjat mendengar pertanyaan Sheila yang kuat itu. Kereta yang dipandu kesasar ke tubir jalan lantas berhenti di situ juga. Dia betul-betul terkejut mendengar cara Sheila menyebut nama Lia, penuh dengan nada cemburu.
“Siapa Lia?” Ulang Sheila, hatinya mulai geram apabila pertanyaannya tidak mendapat sambutan.
“You cemburu? Itu tandanya you sayang dan cintakan I ya?” Tanya Jasman, hatinya kembang. Dia ketawa terbahak-bahak melihat muka Sheila yang merah padam. Tangan Sheila memukul dadanya, bertambah geram menyaksikan tawa Jasman yang meledak kian kuat. Jasman pantas menyambar tangan Sheila. Dipegangnya kedua-dua tangan isterinya itu dengan kukuh.
“Baru sebentar tadi, kita bernikah, sayang. Terlalu banyak rahsia peribadi I yang you belum tahu. Bersabarlah sayang…” Kata Jasman sambil mencium hujung jari Sheila. “I akan bawa you pulang, kenalkan you dengan semua ahli keluarga I. Camelia… atau Lia, adalah adik pupu I .” Cerita Jasman. “Memang kami pernah bertunang tetapi putus. Sebab agaknya jodoh I bukannya dengan dia!” Dia senyum penuh erti.
“Hmmm… Persis hubungan I dengan Abang Farhan?”
Jasman tersenyum dan berkata lembut; “Nampaknya macam tulah! I juga cemburukan semua kenangan yang pernah you ukir bersama dia. Tetapi biarlah kenangan itu berlalu pergi meninggalkan kita. Dan sekarang satu lagi perkara I cemburu bila you memanggil dia ‘abang’. Dan you masih lagi memanggil I dengan panggilan Jasman sahaja…” Kata Jasman sambil mendekatkan bibirnya ke pipi Sheila. Sheila mengelakkan dengan menolak muka Jasman perlahan-lahan. Tapi lelaki itu seolah-olah peduli, penolakan itu membuat dia rasa geram.
“OK, kalau itu yang you mahu, I akan ubah segala-galanya sebaik sahaja kita tiba di rumah nanti. Apakah you suka, kita memulakan segalanya di rumah kita… lebih aman dan damai?” Tanya Sheila apabila Jasman tidak lagi berminat hendak bercakap. Mukanya sudah semakin mendekat ke pipi Sheila. Tangannya juga semakin kukuh hinggap di bahunya.
Jasman inginkan memiliki cinta yang lebih besar dan unggul dari rasa cinta wanita itu terhadap Andy Farhan. Dia yakin tangisan tadi bukanlah tangisan sedih dan kecewa kerana kehilangan cinta lelaki yang pernah menjadi tunangannya. Dia berjanji pada dirinya, kedatangan Sheila ke kampungnya kelak akan disambut meriah dengan paluan kompang.
Dia akan meminta emaknya mengadakan kenduri besar-besaran untuk menyambut kedatangan menantunya.
Hmmm… Sayang sekali, abang Azizul sudah tiada untuk melihat majlis perkahwinannya! Bisiknya sendiri.

[Selesai]
Terima Kasih kerana membaca..
Kepada yang membeli novel ini terima kasih!
Sila teruskan menyokong karya saya dan selamat membaca Megalomania III..^^

No comments: