Bab 1 SAAT dia melangkah masuk ke ruang tamu, didengari suara riuh orang berbual. Dia tidak tahu siapakah tetamu yang datang bertandang pada petang itu. Memang terdapat dua buah kereta di halaman rumah tadi.
Dengan gaya teragak-agak dia masuk, lalu memandang ke arah ruang tamu luas itu kelihatan dipenuhi orang. Tiada satu pun sofa yang kosong. Termasuk juga kerusi kayu jati panjang itu semuanya di duduki orang.
Supaya tidak dikatakan kurang sopan, dia memberi salam. “Assalamualaikum.” Suaranya seperti berbisik sahaja namun cukup untuk didengari oleh semua yang ada. Mereka semuanya terhenti bercakap sebaik sahaja melihat dia muncul.
Dia terasa malu sekali apabila semua mata tertuju kepadanya seorang. Ada sekurang-kurangnya lapan orang yang tidak dikenali di ruang itu. Tetamu itu terdiri daripada tiga orang wanita separuh usia, seorang lelaki muda dalam lingkungan usia pertengahan dua puluhan dan empat orang lelaki sebaya bapanya. Di situ ada juga emak dan ayahnya, Murad dan Idora abang sulungnya Kamarudin serta adik bongsunya Rohaya. Wajah Murad dan Idora tampak begitu serius, seolah-olah hendak menelannya hidup-hidup. Dia pulang tidak kena pada masanya.
Sepatutnya dia pulang lewat malam, tapi petang itu dia sakit perut dan meminta izin daripada pengurusnya, pulang awal untuk berehat. Justeru itu pukul lima petang dia sudah sampai di rumah. Idora memandangnya tajam, memberi isyarat supaya dia cepat-cepat berlalu masuk ke dalam.
“Waalaikum salam.” Ada suara balasan, datangnya dari lelaki muda, berkaca mata. Kacak orangnya. Zuraidah memerhati sebentar kemudian menunduk dan berjalan perlahan menghala ke bahagian. Dadanya berdebar-debar. Entah mengapa debar itu tidak mahu hilang. Tubuhnya terasa lemah. Dia letih, perutnya pun masih sakit mencucuk.
Dia tersilap makan semalam. Mungkin terlalu banyak makan jeruk betik dan mangga.
Terdengar pertanyaan daripada salah seorang tetamu yang tidak dikenali itu; “Siapa tu?” Tertarik dia hendak bertanya saat terlihat seorang gadis melangkah masuk melalui pintu utama. Gadis yang masih mengenakan uniform kerja berwarna merah tua itu, kelihatan anggun penuh sopan santun saat melintasi, lalu memandang sekilas cuma ke arah mereka tadi.
“Anak saya, nombor dua.” Kata Murad. Zuraidah mendengar suara ayahnya yang selalu terdengar kuat, kini bercakap dengan nada rendah di hadapan tetamu.
Ahhh… betapa Murad menjadi seorang yang hipokrit di hadapan tetamunya yang seramai tujuh orang itu. Zuraidah tahu ayahnya suka bercakap dengan nada kuat dan menengking, terutama sekali apabila berhadapan dengannya.
“Dia bekerja di mana?” Tanya suara yang sama.
“Di kompleks beli belah. Tentu Tuan Syed pernah ke kompleks tu.”
“Saya jarang membeli belah. Sibuk dengan kerja. Bondanya si Fairouz memang selalu.” Jawab lelaki yang dipanggil Tuan Syed itu sambil tertawa kecil memandang isterinya Puan Sharifah Aliah. Puan Sharifah Aliah hanya tersenyum mendengar sindiran suaminya. Namun dia tidak langsung terasa hati.
“Abang tu memang seluar baju dia saya yang belikan.” Sampuk Puan Sharifah Aliah mesra sambil tertawa kecil. Dia menjeling suaminya. Pasangan itu nampak mesra dan intim, sesuatu yang tidak berlaku antara Idora dan Murad. Idora tahu benar, namun dia cuba melupakan dan menganggap ianya tidak penting. Dia lebih mementingkan kebahagiaan Rohaya sekarang.
Semua yang ada di situ turut ketawa sporting, termasuk Idora walaupun hatinya mendongkol.
“Dah lima tahun kerja kat situ. Sesuai nampaknya dengan jiwa dia. Maklumlah tak ada kelulusan, itu aja kerja yang dapat.” Kata Murad, seolah-olah meremehkan pekerjaan si anak. Dia menganggap pekerjaan Zuraidah tidak penting dan bergaji kecil sahaja.
“Tak apa. Asalkan halal. Di mana-mana pun sama saja, Encik Murad. Yang penting kita tekun dan ikhlas.” Jawab Tuan Syed Alias bagaikan membela pula.
“Puan Sharifah, mengapa tidak kita teruskan saja perbincangan kita yang terhenti tadi…” Kata Idora menukar arus perbualan antara mereka.
“Ya, elok juga. Kami pun dah lama di sini…” Balas Puan Sharifah Aliah bersetuju.
“Anak-anak Encik Murad, empat orang semuanya?” Tanya Tuan Syed Alias meminta kepastian. Sebelum itu Murad menyebut anaknya hanya tiga. Yang sulung Kamarudin, seorang tentera, Rohaya dan Zarul.
“Ehh, lupa. Ada empat sebenarnya. Yang bongsu lelaki masih belajar, tinggal di asrama.” Beritahu Murad lagi.
Idora mencebirkan bibirnya. Dalam hati ada rasa terkilan yang bukan sedikit. Berapa orang anak pun dah tak ingat! Suaminya itu hanya ingat pada anak-anak dengan madunya sahaja, memang ada tiga orang. Tapi kalau anak-anak dengan Idora, dia selalu terlupa.
“Begitu rupanya. Seri nampaknya kita. Anak saya pun empat juga, tapi semua lelaki.” Kata Tuan Syed Alias. “Kalau jadi, Rohaya ni menantu pertama kami. Walaupun Fairouz bukan anak sulung. Tak kisahlah. Jodohnya datang dulu…” Kata Tuan Syed Alias sambil memandang anak lelaki yang duduk di sisinya. Jejaka itu hanya tersenyum.
“Hmmm… Tak juga. Saya sebenarnya ada satu lagi isteri.” Jawab Murad, teragak-agak. Dia tersenyum. Terselit sedikit rasa bangga. “Di sana ada tiga orang lagi…”
“Isteri?” Tanya Tuan Syed Alias bagaikan terkejut.
“Bukan tiga lagi isteri, tapi tiga orang anak.” Jawab Murad ketawa.
Tuan Syed Alias ikut ketawa. Kedua-dua saudara lelaki Tuan Syed Alias juga ketawa merasakan perkara itu lucu tetapi tidak bagi Idora dan wanita-wanita yang ada di situ. Mereka berwajah masam sahaja tanpa sebarang kata.
“Tak kisahlah. Asal bahagia Murad.” Balas Tuan Syed Alwi, abang kepada Tuan Syed Alias.
“Ya, betul.” Sahut Murad.
“Walau macamana pun saya harap anak-anak kita akan bahagia hidup gembira selama-lamanya. Saya rasa tu lah juga doa setiap ibubapa bila anak-anak berniat nak berumahtangga. Murad, kalau awak ada sebarang rasa tidak puas hati tu, eloklah disuarakan. Supaya perhubungan ni lebih ikhlas.”
“Ya. Saya tak ada apa-apa, ikut saja. Orang kata biar rendah maskahwin lebih afdal.”
Idora menjeling suaminya. Wajahnya masam. Cepat-cepat membalas kata-kata suaminya yang dirasakan tidak wajar. “Kalau boleh nak buat seperti orang lain juga. Maklumlah perkahwinan ni sekali saja seumur hidup.” Balasnya bersama niat ingin menyindir suaminya yang berkahwin sebanyak dua kali.
“Betul kata Idora. Saya setuju. Perkahwinan hanya sekali seumur hidup. Mesti buat yang terbaik dan meriah.” Balas Puan Sharifah Aliah diiringi tawa.
Idora rasa puas. Dia mendapat sokongan daripada bakal besannya. Kini dia tahu dengan pasti berapa hantaran yang akan dia sebut kelak. Puan Sharifah Aliah menyokong setiap kata-katanya.
Dia tidak sabar hendak memiliki menantu kaya raya dan berbesan dengan keluarga Puan Sharifah Aliah. Pasti akan lebih senang hidupnya kelak setelah berbesan dengan keluarga Tuan Syed Alias yang memang terkenal di daerah itu. Keluarga itu memiliki banyak perniagaan termasuk perniagaan di luar negara.
“Lebih cepat dikerjakan lebih baik. Budak-budak dah suka… Kita sebagai orang tua ikut saja.” Puan Sharifah Aliah menambah sambil menjeling Rohaya. Ada senyuman menghiasi wajah gadis itu. Rohaya tertunduk malu sambil membalas jelingan bakal emak mertuanya. Kemudian dia menjeling pula wajah lelaki muda yang duduk tidak jauh daripada Puan Sharifah Aliah.
Wajah anak muda itu selamba sahaja. Dia tersenyum sambil mengangkat kening.
Zuraidah duduk di atas katil, perlahan-lahan merebahkan badannya. Perbincangan antara ibubapanya dengan tetamu tidak diundang itu didengarinya dengan jelas. Suara mereka lantang berbincang disulam tawa mesra.
Dia mengerti. Tidak lama lagi di rumah itu bakal diadakan majlis. Majlis pertunangan antara Rohaya dengan lelaki bernama Syed Fairouz. Ada juga sesekali nama Syed Fairouz dibawa-bawa dalam perbualan antara Rohaya dengan emaknya. Tapi Zuraidah masih belum kenal lelaki itu. Tidak pernah Rohaya menjemput lelaki itu datang ke rumah mereka. Tiba-tiba sudah ada rombongan datang merisik. Apakah tidak terlalu mendadak? Mungkin Rohaya sudah lama mengenal lelaki itu tanpa pengetahuannya.
Dia memang tidak rapat langsung dengan adiknya itu. Lebih-lebih lagi mereka tinggal berlainan bilik. Dia tidak pernah mengambil tahu hal-hal peribadi adiknya itu. Sejak zaman persekolahan mereka tidak sepakat dalam banyak hal. Antara dia dan Rohaya memang tidak pernah rapat dan mesra, walaupun mereka ada pertalian darah. Sejak kecil memang tidak pernah ada keserasian… asyik bergaduh sepanjang masa.
Idora amat rapat dengan Rohaya. Adiknya itu sentiasa bercerita apa saja dengan emaknya. Berlainan dengan Zuraidah yang selalu memencil diri dan menyimpan rahsia hatinya sendiri-sendiri. Lagipun tiada sesiapa di rumah itu sudi mendengar rintihan hatinya.
Ayahnya tidak pernah mahu mengerti. Lelaki yang keras, berhati waja itu tidak sempat hendak mendengar semua masalah anak-anaknya. Dia lebih gemar berada di luar rumah, kononnya mencari rezeki. Tetapi Zuraidah tahu ayahnya mempunyai keluarga lain, di luar sana. Zuraidah kenal dengan emak tirinya, walaupun tidak rapat. Kerap kali dia melihat wanita itu membeli belah bersama ayahnya di kompleks tempat dia bekerja. Malah Zuraidah kenal juga anak-anak bapanya dengan wanita itu. Cuma kemesraan tidak pernah wujud antara mereka. Zuraidah tahu, emaknya tidak suka. Malah dia tidak pernah berusaha mendekati mereka. Mereka juga tidak berbuat begitu. Persengketaan memang wujud sejak dulu sehingga kini tidak pernah reda.
Suatu masa dulu ibu tirinya pernah cuba berbaik-baik dengan Zuraidah. Namun apabila Idora mengetahuinya, Zuraidah dimaki hamun dan disumpah. Zuraidah tidak berani lagi mendekati wanita yang menjadi madu yang pahit dalam hidup ibunya. Bagi bapanya memiliki dua isteri itu semacam satu kebanggaan pula. Namun Zuraidah sedar, dia tidak berhak untuk membuat penilaian terhadap sikap dan tindakan bapanya itu. Mungkin Idora sendiri mempunyai kelemahan yang tidak disenangi oleh Murad.
Zuraidah tertanya-tanya sendiri apakah lelaki yang menyahut salamnya sebentar tadi yang bakal menjadi tunangan adiknya?
“Tapi Rohaya ada kakak. Perlukah kami menyediakan apa-apa hadiah untuk kakaknya?” Tiba-tiba Puan Sharifah Aliah bersuara, sedikit kesal.
Tersentap Zuraidah jadinya. Sekali gus hatinya merasa sedih. Dia selalu merasakan dirinya dilupakan orang. Sudah tiga kali pinangan untuk Rohaya datang. Semasa Rohaya masih di tingkatan lima sudah ada yang datang melamar. Ramai yang tergila-gilakan rupa paras adiknya yang cantik bak ratu. Berkulit kuning langsat, berambut hitam dan panjang.
Sedangkan untuk Zuraidah sekali pun tidak. Usianya sudah mencapai usia 23 tahun. Dia berkulit hitam manis, berambut kerinting kasar yang dibiarkan terhurai panjang hingga ke pinggang. Wajahnya juga mulus, dengan sepasang mata yang bulat dan besar. Biar pun hidungnya yang agak mancung, namun tidak semancung hidung Rohaya.
Tapi dia bukan tidak cantik… Dia manis, anggun dalam gaya yang tersendiri.
Tahun ini Rohaya yang baru menginjak 22 tahun, sudah tiga kali dipinang orang. Pinangan yang terpaksa ditolak. Dan kali ini pasti pinangan itu bakal diterima.
Kini adiknya itu yang baru menjadi guru, akan dihantar ke Sarawak tidak lama lagi.
“Tak payah susah-susah. Rasanya untuk Idah tak perlu apa-apa…” Jawab Idora.
“Jangan macam tu! Kasihan dia. Malu rasanya kalau kami mengabaikan kakak Rohaya. Kami tetap akan sediakan cincin dan beberapa helai persalinan untuknya.” Tanya wanita itu lagi.
Idora diam sejenak kemudian berkata perlahan; “Terpulanglah pada Puan Sharifah. Saya mengikut saja. Bagi saya, apa yang penting adalah perkahwinan antara Syed Fairouz dan Rohaya sendiri yang harus diutamakan. Jangan sampai tak jadi.”
Puan Sharifah Aliah mengangguk. “Insya Allah, jadi. Bulan depan kita tetapkan tarikh pertunangan mereka. 2 Muharram ni bolehkan… Hari jumaat.” Cadang Puan Sharifah Aliah.
Semua yang ada bersetuju sahaja dengan cadangan wanita itu.
“Insya Allah.” Jawab Tuan Syed Alias dan Murad hampir-hampir serentak.
Persetujuan sudah dicapai antara kedua-dua belah pihak. Tidak lama kemudian tetamu itu meninggalkan rumah Murad. Buat beberapa saat suasana tenang dan senyap. Suara Murad juga tidak terdengar. Zuraidah percaya bapanya itu juga sudah keluar. Murad tidak betah duduk lama-lama di rumah itu.
Di muka pintu bilik terdengar ketukan bertalu-talu. Zuraidah tersentap. Dia bangun lalu terus membuka pintu; “Siapa suruh engkau masuk ikut depan tadi? Dah tahu orang ramai ada kat depan, kenapa tak ikut pintu belakang?” Marah Idora sebaik sahaja melihat raut wajah Zuraidah.
Zuraidah diam sahaja. Dia tidak sangka emaknya akan marah-marah begitu.
“Nasib baiklah keluarga Syed boleh terima walaupun Rohaya ada kakak. Mujur juga mereka tak kisah. Sanggup hadiahkan kau cincin dan kain.”
“Tak payahlah. Tak perlu beri apa-apa. Kalau Rohaya nak nikah pun… nikahlah. Tak payahkan fikir pasal Idah.”
“Sombong!” Kata Idora. Wajahnya mulai memerah. “Dahlah rupa hitam, sombong pula. Kau ingat kau tu laku sangat? Orang dah nak beri hadiah, berterima kasih pun tak mahu!”
Zuraidah diam. Dia tidak mahu bertengkar dengan emaknya walaupun dia merasakan Idora memang sengaja mencari kesalahannya. Perkara sekecil itu pun hendak diperbesar-besarkan. Tidak perlu dia dimarahi atas alasan yang begitu kecil. Dia pun rasa malu tadi, kerana tersilap membawa langkah.
“Itu soal jodoh mak. Bukan soal rupa buruk ataupun lawa. Kalau mak rasa kulit Idah hitam, ada orang yang lebih hitam dari Idah. Mak tengoklah kulit orang negro tu!” Kata-kata Zuraidah tidak mampu dijawab oleh Idora. Memang kata-kata itu mengandung kebenaran yang jelas dan tidak dapat disangkal.
“Lagipun hitam-hitam Idah ni, tetap anak mak.”
“Kau ni kalau tak menjawab, tak sah! Memang engkau anak derhaka. Hidup engkau takkan bahagia.” Idora menyumpah.
Entah mengapa dia sering menghukum Zuraidah begitu. Dia tidak senang dengan kata-kata anak itu yang dirasakan begitu sinis. Zuraidah suka menjawab setiap patah kata-katanya. Sejak kebelakangan ini dia merasakan satu perubahan besar pada diri anak itu. Zuraidah tidak lagi diam, menerima setiap kata-katanya seperti masa dia kecil dulu. Malah Zuraidah semakin berani.
Namun bagi Zuraidah apa yang dia lakukan adalah semata-mata membentengi dan melindungi diri sendiri. Dia pun tidak sanggup selama-lamanya dihina.
Alah! Kerja jadi jurujual kat kompleks tu dah sombong dengan aku…. Belum lagi dapat kerja yang lebih baik. Budak ni kalau dah ada kawan lelaki nanti… entahlah. Lagilah sombong agaknya! Tapi kau tu tak dapat jantan! Kulit hitam, mana ada jantan suka! Tengok kulit Rohaya yang putih melepak tu, betul-betul ikut kulit aku… gerutu Idora di dalam hati.
Idora amat yakin, Zuraidah juga tidak akan mendapat kerja yang lebih baik. SPM pun hanya dapat pangkat 3. Lainlah Rohaya yang bijak dan cergas, seorang guru yang bertauliah dari Maktab Perguruan Durian Daun, Melaka. Justeru itulah Idora meminta keluarga Syed Fairouz segera masuk meminang. Dia bimbang untuk melepaskan Rohaya bertugas jauh daripada keluarga.
“Mak! Mengapa emak suka sangat kata Idah anak derhaka?” Tanya Zuraidah berani. Ditentangnya wajah emak yang merah dan berang.
Hati Zuraidah amat pedih. Mengapa emaknya suka mendoakan dia hidup susah, tidak mendapat kebahagiaan. Kebahagiaan itulah yang selalu diburu orang. Hidup tanpa kegembiraan, seolah-olah mati sebelum ajal. Mengapa emaknya enggan mendoakan yang baik-baik untuknya. Begitu bencikah Idora pada dirinya sehingga sering menghukum dia dengan kata-kata yang kesat.
“Memang engkau anak derhaka.” Jawab Idora.
“Buktikan Idah ni anak derhaka. Takkanlah hanya dengan menjawab kata-kata emak tu, mak tuduh Idah derhaka. Kata-kata mak tu menyakitkan hati, sebab tu lah Idah terpaksa jawab. Idah tak tahan. Mak suka maki Idah. Mak tak sayangkan Idah macam mak sayangkan abang long, Rohaya dan Zarul. Mak suka kata kulit Idah hitam macam ayah. Tapi kulit Idah taklah hitam sangat…”
Zuraidah memandang wajah emaknya dengan mata berkaca. Dia menggigit bibirnya dengan kuat. Rasa sakit. Dibiarkan sahaja. Rasa sakit di bibirnya tidak setanding dengan rasa sakit di hati. Benarkah kata-kata emaknya dia anak derhaka? Benarkah? Mengapa harus dia yang menerima kata-kata nesta seperti ini? Sedangkan abang dan adik-adiknya juga kadang-kadang melawan kata-kata Idora, tetapi tidak pula emaknya menuduh mereka derhaka.
Emaknya selalu beralah dengan mereka, tetapi kalau dengan Zuraidah, Idora tetap keras. Benarkah kata orang, sukarnya menjadi anak ke dua. Yang sering tersisih dan disia-siakan. Bukan seperti anak pertama dan bongsu yang mendapat keistimewaan di hati ibu bapa. Barangkali dia lahir di bulan gelap, justeru itu kedukaan selalu mengekori bak hitamnya warna bebayang.
“Engkau tu terkenan! Mak benci sangat dengan keling yang selalu bersihkan rumput depan rumah kita dulu masa mengandungkan kau…” Sampuk Rohaya. “Betul kan, mak?”
Idora merengus, dia tidak menjawab.
“Tapi janganlah tuduh Idah derhaka hanya kerana perkara kecil.”
“Kalau kau tak berubah, masih suka menjawab kata-kata aku, memang begitu hukumnya.” Jawab Idora setelah diam beberapa ketika. “Bukan aku yang letak hukum begitu tapi Tuhan. Anak derhaka takkan cium bau syurga… Tak dapat hidup aman di dunia ini. Semua perkara yang dia buat sia-sia. Hidupnya tak ada erti, tak ada makna. Pahala pun tak dapat.”
Hati Zuraidah terus tersayat. Apa yang telah dia lakukan sehingga dia dituduh sedemikian rupa? Dia tidak pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama. Dia taat bersembahyang. Dia taat menuruti perintah Tuhan. Cuma dia tidak tahan dengan kata nesta emaknya lalu dia menjawab, menafikan setiap tuduhan dan kata-kata yang meluncur keluar dari mulut Idora.
Itupun hanya kebelakangan ini sahaja. Dulu dia hanya diam seperti batu yang dingin, keras dan tiada perasaan.
Jikalau dia pulang lewat dari kerja, Idora akan menhujaninya dengan tuduhan, dia pergi berpelesiran dengan jantan. Pernah beberapa kali dulu, pengurus departmentnya Ah Boon yang memang punya hati padanya menghantar dia pulang. Panjang tuduhan dan leteran Idora. Dia dikatakan pergi menyundal dengan bangsa berbangsa Cina pula, setelah dengan orang Melayu tiada yang mahu. Nanti pasti balik dengan perut buncit. Dia akan menconteng arah ke muka Idora dan Murad.
Nasibnya malang sejak melahirkan Zuraidah… kata Idora. Zuraidah tidak mengerti mengapa emaknya berkata begitu. Dia tidak tahu. Barangkali ada sejarah pahit yang menimpa Idora. Namun hidup Idora kembali bahagia selepas kelahiran Rohaya yang membawa tuah. Itulah yang selalu diucapkan emaknya.
Setiap kebaikan yang dilakukan oleh Zuraidah tiada ertinya buat Idora. Tetap saja dia merasakan perkara itu biasa, satu kewajipan seorang anak terhadap keluarganya. Kalau Zuraidah tidak memasak makanan untuk ahli keluarganya, wanita itu menuduh dia tidak tahu membalas jasa. Tak kenang budi… Tak sedar diri! Sedangkan Rohaya hanya bersenang-senang, goyang kaki. Dia tidak boleh diusik. Abang sulungnya lagilah tidak boleh dicemburui. Dia juga harus dilayan umpama raja.
Zuraidah hanya rapat sedikit dengan adik lelaki bongsunya yang masih belajar. Zarul pelajar tahun lima, tinggal di asrama. Hanya pada musim cuti sahaja adiknya itu ada di rumah. Hanya Zarul yang memahami dirinya dan menyatakan Idora serta Murad tidak adil dalam membahagikan kasih sayang antara mereka adik beradik.
LELAKI itu memandang ke arah perempuan yang berjalan laju sambil membawa gelas kertas berisi minuman dan sebuku burger. Kelihatan perempuan itu sedang bergelut dengan waktu. Dia duduk dengan pantas di salah satu kerusi kosong di ruang restoran makanan segera yang lengang itu. Sebaik duduk, terus dia membuka novel tebal yang tadi dikepit di bawah ketiak. Sambil minum dan memamah burger, matanya sesekali memerhati jam di pergelangan tangan.
Dia tersenyum sendiri melihat gelagat perempuan itu. Dalam sibuk makan, masih sempat lagi baca novel…rungutnya sendiri dengan kepala tergeleng. Perempuan itu tekun membaca novel yang agak tebal isinya.
Dia teringat pertemuan pertama dengan perempuan itu di suatu petang di rumahnya sendiri. Memang dia akui agak terkejut melihat perempuan itu. Dia selalu makan di restoran makanan segera yang terletak di dalam bangunan yang sama dengan kompleks itu. Sesekali dia melihatnya namun tidak pernah memberikan sebarang perhatian sehinggalah pada petang itu. Barulah dia sedar, ada sesuatu yang menarik tentang dirinya. Dia lain daripada perempuan lain. Kulitnya sayo matang dan wajahnya ada iras-iras pelakon dari Amerika Latin, Salma Hayek. Kebetulan dia memang peminat setia pelakon tersebut. Justeru dia merasakan bahawa gadis itu adalah ‘jelmaan’ Salma Hayek yang dipuja dan diminatinya.
Sejak itu dia selalu datang ke situ, pada waktu rehat sekadar untuk melihatnya dari jauh. Dia tidak berani menghampiri. Dia tidak tahu apakah perempuan itu jenis yang mudah didekati ataupun sebaliknya. Namun apa yang dia saksikan perempuan itu seringkali tidak berteman. Ke mana pergi bersendirian. Baik sewaktu pulang dari kerja ataupun semasa rehat. Dia yakin gadis itu tidak mempunyai kekasih.
Dia memang biasa di kawasan itu. Pejabatnya terletak bersebelahan dengan bangunan kompleks tersebut. Anehnya, perempuan itu tidak pernah sedar dan peduli pada orang lain. Dia membuat kesimpulan perempuan itu memang suka memencil diri. Ahhh… Perempuan, jangan suka memencil diri, kelak kau akan dipencil orang. Dia mengeluh. Petang itu dia mengambil keputusan untuk mendekatinya tetapi bukan di restoran itu.
Dia memerhati perempuan itu melangkah keluar. Makanannya sudah pun habis. Langkah perempuan itu laju memasuki kompleks lalu terus menghala ke tangga bergerak. Dari sebalik dinding cermin restoran itu dia dapat melihat ruang kompleks yang luas dan ramai pengunjungnya itu. Kemudian matanya kembali memandang ke arah meja yang tadi dihuni perempuan itu. Ada sesuatu tertinggal di atas meja. Dia bangkit, bergerak mendekati meja. Dia mendapati selesai sapu tangan putih, bersulam di bahagian tepinya. Cantik dan berseni. Terdapat juga sulaman huruf ‘Z’ di satu sudut saputangan itu. Mata lelaki itu menjeling jam di pergelangan tangan. Waktu rehatnya masih ada lima belas minit. Masih sempat… bisiknya pada diri sendiri sambil tersenyum.
Dia menaiki tangga bergerak, naik ke tingkat satu dan berjalan menghala ke department barangan lelaki. Dia bergerak perlahan mengitari kawasan itu lalu terlihat perempuan itu sedang sibuk menyusun baju. Dia mendekati, menegur; “Ada tak sesiapa beritahu awak, yang wajah awak seiras dengan Salma Hayek?”
Perempuan itu berpaling sehingga rambutnya yang panjang menghurai bergoyang dengan lembut; “Apadia?” Gadis itu bertanya dengan nada terkejut. Dia tidak tahu apakah gadis itu mendengar ataupun pura-pura tidak mendengar kata-katanya tadi.
“Saya nak cari baju kemeja…” Dia segera mengubah haluan kata-kata.
Mata mereka bertembung dalam jarak yang dekat. Lelaki itu menanggal cermin mata hitamnya berkata lagi; “Awak ni…” suaranya jadi tergantung di udara, demi melihat wajah perempuan itu yang begitu serius, tanpa secebis senyuman.
“Saya… kenapa?” Dia bertanya kembali.
Entah mengapa dia mengharap senyumannya terukir. Apakah senyuman gadis itu semanis pelakon pujaan hatinya? Ataupun perempuan itu tidak pandai memberikan senyuman kepada para pelanggannya.
“Awak ni, Zuraidah… Kakak Rohaya kan?”
“Ya, betul saya Zuraidah. Adik saya Rohaya. Saya tak kenal awak… macamana awak tahu nama saya?” Tanya Zuraidah dingin.
Tangan terus sibuk menggantung baju yang baru dikeluarkan daripada plastik. Dia telah meletakkan tanda harganya sebentar tadi. Selepas makan tengahari tadi, dia tidak berlengah-lengah menyambung kerja yang belum selesai.
“Awak tak ingat saya?”
Zuraidah memandangnya sekali lagi. Barulah dia perasan lelaki itu adalah bakal tunangan Rohaya. Lelaki itu datang ke rumah mereka beberapa minggu yang lalu bersama keluarganya untuk merisik adik perempuannya itu. Mereka akan bertunang tidak lama lagi.
“Oh… awak rupanya.” Jawab Zuraidah acuh tak acuh saja. “Awak cari apa? Baju kemeja?”
Tiba-tiba kepala lelaki itu tergeleng. Tidak jadi hendak mencari baju. Dia tersenyum. “Saya nak beli sapu tangan.” Katanya kemudian.
“Sapu tangan di bahagian sana…” Kata Zuraidah sambil menunjuk ke sebelah kirinya. Ada jurujual lain di situ. Dia berharap lelaki itu akan segera pergi, kerana dia perlu mengeluarkan beberapa stok yang baru tiba. Dia harus meletakkan tanda harga dan menggantungnya. Di bahagian itu ada dua orang rakan setugas, tetapi mereka keluar makan sekarang. Jadi, dia hanya tinggal seorang. Tetapi selalunya selepas makan tengahari tidak ramai pelanggan. Pelanggan kembali penuh selepas jam lima petang hingga sembilan malam.
“Saya nak beli sapu tangan yang ada pada awak…” Kata lelaki itu sambil mempamer senyuman menggoda. Bibir Zuraidah tercebik. Geram dan rasa menyampah saling beradu. Dia meraba-raba poket uniformnya dan mendapati sapu tangannya tiada. Dia memandang tepat ke wajah lelaki itu, tidak mengerti. Sapu tangannya tertinggal di restoran Macdonald tempat dia makan tengahari tadi.
“Ni… sapu tangan awak.” Ucap lelaki itu setelah dia mengeluarkan sapu tangan yang amat dikenali oleh Zuraidah dari poket seluarnya. Dia menayangkannya di hadapan wajah gadis itu.
“Yang mahalnya saputangan ni ada bekas gincu dan bibir awak, serta calitan sos.” Katanya sambil tergelak kecil.
Pantas Zuraidah ingin merampas sapu tangan tapi tindakannya itu terlewat. Lelaki itu pantas menggenggam saputangan tersebut lalu menyimpannya semula ke dalam poket seluar.
“Bagi balik…” Kata Zuraidah agak kuat.
Lelaki itu menggeleng. “Awak dah tinggalkannya, anggap saja ia dah hilang.” Dia terus berlalu pergi namun Zuraidah mengejarnya.
“Awak ni…” Suaranya tidak terkeluar. Dia menentang mata lelaki itu yang jinak memandang wajahnya yang berang. Dia menggigit bibir. Ada rasa marah. Namun lelaki itu enak sahaja tersenyum. “Awak tahu… saya suka awak. Pertama kali saya tengok awak, saya sukakan awak…”
“Awak gila. Awak nak bertunang dengan adik saya.”
“Belum lagi. Sedangkan perkahwinan pun boleh dibatalkan, ini kan pula baru hendak bertunang.”
Zuraidah merengus. Tidak ingin dia melayani lelaki itu lagi. Entah apa yang dia mahu… fikir Zuraidah dengan hati yang rusuh. Sengaja nak sakitkan hati orang. Mengapa aku selalu jumpa orang yang menyakitkan hati saja? Zuraidah berlalu pergi, tidak perlu dia melayani lelaki itu lagi. Menyampah! Gerutunya di dalam hati.
“Hai… Termenung aja?” Tegur Shanti rakan setugasnya yang baru masuk selepas waktu makan tengahari.
“Tak ada customer… nak buat apa lagi, termenunglah.” Jawab Zuraidah. “Baju-baju stok baru tadi aku dah gantung semuanya.” Beritahu Zuraidah.
Shanti mengangguk sahaja.
Ah… Mengapa aku tak dapat lupakan wajah Syed Fairouz tadi. Beraninya dia datang mengusikku sedangkan dia akan bertunang dengan Rohaya. Lelaki ni memang gila… Entah apa yang mereka mahu?
Tapi… Dia kata dia sukakan aku? Gila betul! Baru aje dia nampak aku, berani cakap macam tu? Mesti dia jenis lelaki playboy… Hm, bahaya! Jangan terlibat dengan lelaki begini. Nanti aku juga yang akan dapat susah. Tapi macamana pula dengan lelaki macam Borhan?
Sekonyong-konyong dia teringat pada teman siber yang tidak pernah ditemuinya. Ada ketikanya dia akan pergi ke CC untuk melayari internet ataupun chatting. Terkadang Borhan menghubungi melalui telefon. Namun mereka belum pernah bertemu muka. Beberapa kali Borhan mengajaknya bertemu. Pun Zuraidah enggan. Dia malu dan takut… Selama ini tidak pernah punya teman lelaki. Dia tidak tahu bagaimana harus memberikan reaksi.
Dia bukan anti lelaki. Dia hanya suka berkawan sahaja. Di kompleks itu pun dia ramai kawan. Malah pengurusnya Ah Boon juga merupakan kawan Zuraidah. Pernah Ah Boon meluahkan perasaannya ingin menjadi Zuraidah lebih daripada kawan tetapi dia menolak dengan lembut. Dia tidak mahu mengecewakan dan menyakitkan hati sesiapa. Baginya selagi perhubungan itu berlandaskan persahabatan, hatinya tidak akan disakiti dan dikhianati. Kebanyakan lelaki tidak jujur dalam percintaan. Jika seseorang perempuan itu tidak memiliki apa yang diingininya, perempuan itu tidak akan dipedulikan, tidak diberi perhatian dan tidak akan didampingi langsung. Itulah yang berlaku kepadanya… Sejak remaja tiada pendamping sejati. Apabila teman-teman sekelas sibuk mempunyai kekasih dia tidak punya walaupun seorang.
Sesekali dia memang ingin punya teman lelaki untuk ke pesta, ataupun ke disko. Teman yang boleh dipercayai, yang mampu melindunginya, bukan yang suka mengambil kesempatan. Bukan seorang yang suka menggoda dan mudah tergoda seperti Syed Fairouz. Sekonyong-konyong wajah lelaki itu muncul semula mengacau ketenangan mindanya. Dia mengeluh sambil meneliti jam.
Lambat lagi waktu pulang…
Lewat malam itu hujan turun sebaik sahaja kompleks ditutup. Dia terpaksa menunggu hujan teduh. Mulanya ramai orang di hadapan kompleks menanti hujan berhenti. Namun sejam kemudian hujan masih terus turun dengan lebat. Kebanyakan daripada mereka beredar pergi, mencari haluan tanpa mempedulikan hujan yang kian lebat.
Tiba-tiba dia terasa bahunya ditepuk dengan agak kuat dari belakang. Dia terperanjat demi terpandangkan wajah itu melalui cahaya lampu yang terang di hadapan kompleks.
“Belum balik lagi? Hujan lebat ni…”
“Tahu pun awak. Dah hujan, macamana saya nak balik.”
“Saya tahu caranya. Saya hantar awak balik…”
Dia memandang wajah lelaki itu mencari kesungguhan. Benarkah bagai dikata? Sanggup lelaki itu menghantarnya pulang? Bagaimana jika kata-kata itu hanya satu pembohongan?
“Kenapa awak pandang saya macam tu? Awak tak percaya pada saya? Saya kan bakal adik ipar awak, walaupun umur saya lebih tua. Tak lama lagi saya terpaksa panggil awak kakak.” Sindir lelaki itu sambil tertawa kecil.
Zuraidah meluat mendengar tawa lelaki itu. Apakah pilihan yang dia ada. Aku hanya mengharapkan kejujuran darinya. Kuharap dia baik dan jujur, sebagaimana baik dan kacak wajahnya. Kuharap juga di hatinya tiada niat buruk…
Zuraidah mengangguk. “Tapi janji awak takkan buat perkara yang tak baik.”
“Awak ni, macam saya ni orang jahat pula. Saya takkan buat apa-apa pada awaklah.” Dia tertawa lagi, sambil mengembangkan payung yang ada di tangannya. Mereka berjalan seiring menuju ke kawasan parkir yang terletak bersebelahan dengan bangunan kompleks.
Lelaki itu memandu keretanya dengan tenang, membelah hujan. Mereka masih berada dalam kawasan bandar. Kalau dia memecut lebih laju, tidak sampai lima belas minit, Zuraidah percaya dia sudah sampai di rumahnya yang terletak di Jalan Air Puteh. Namun lelaki itu memandu keretanya dengan perlahan, meredah hujan lebat. Kemudian dia memusing kenderaan, melalui jalan lain, jalan yang bukan jalan biasa bagi Zuraidah.
“Mengapa ikut jalan ni?” Zuraidah bertanya cemas.
Lelaki itu tertawa lembut. Dia sedar Zuraidah mulai cemas dan takut.
“Ni jalan rentas lah. Lebih dekat. Awak tak pernah ikut jalan ni?”
Zuraidah menggeleng.
“Mungkin sebab awak selalu teksi atau bas. Bas memang tak lalu di kawasan ni…”
Zuraidah mengangguk lambat. Memang dia akui kebenarannya. Bas atau teksi selalu melalui jalan utama sahaja dan tidak pernah menyimpang melalui jalan kecil seperti itu.
“Jangan bimbanglah! Percaya saja pada saya…”
“Macamana saya nak percaya? Saya baru je kenal awak.” Katanya sambil menjeling lelaki itu yang masih mengenakan baju kemeja dan tali leher yang dipakainya siang tadi. Kerja apakah lelaki ini sehingga jam sepuluh malam belum pulang, masih memakai baju yang sama siang tadi?
Dia tahu keluarga Tuan Syed Alias mempunyai banyak syarikat tetapi takkanlah anaknya sendiri bekerja hingga lewat malam begini? Ketika sedang kalut memikir tentang diri lelaki itu, tiba-tiba keretanya berhenti mendadak. Zuraidah terperanjat, matanya memandang ke hadapan ke arah viper yang bergerak laju menentang hujan yang menimpa cermin kenderaan. Lelaki di sisinya menepuk permukaan setering, mengeluh; “Agh! Buat hal pula! Kenapa? Janganlah buat hal sekarang!” Katanya sambil menyentuh kunci dan cuba menghidupkan enjin.
Lelaki itu turut memandang ke situ, mengeluh separuh merungut; “Hmm, kenapalah kau memalukan aku depan perempuan ni… Nak habis pun carilah masa lain…”
“Apa yang berlaku ni?”
“Err… Maaflah. Sebenarnya minyak kereta ni habis. Saya tak perasan tadi…” katanya dengan wajah kesal. Dipandangnya wajah Zuraidah yang bertambah masam. Dia cuba melemparkan senyuman.
Zuraidah menggigit bibir. Dalam situasi begini lelaki itu masih tenang dan senyum sahaja. Bagaimana mereka harus beredar dari situ? Minyak keretanya kering. Jalan itu pula lengang, tiada kereta yang lalu. Jika ada kereta yang melalui jalan itu mahukah memberikan pertolongan kepada mereka.
“Apa nak buat sekarang?” Tanya Zuraidah.
“Terpaksa tunggu kereta lalu atapun berjalan kaki cari stesen minyak.”
“Apa? Tunggu di sini? Hei… Saya takkan tunggu di sini sepanjang malam dengan awak.” Zuraidah tidak percaya lelaki itu berkata begitu. Masakan dia harus berada di dalam kereta itu bersama dengannya dalam keadaan hujan yang sedang menggila.
“Awak nak meredah hujan? Pergilah! Silakan. Saya ada payung, tapi kat dalam boot belakang. Awak pergilah ambil. Tapi hujan lebat dengan angin yang kuat ni kalau awak berjalan kaki pun pasti awak akan basah lejut.”
Bencinya! Kenapalah mesti terperangkap di sini dengan dia! Oh! Hujan cepatlah berhenti… Doa Zuraidah di dalam hati. Namun dia terpaksa duduk tenang di situ, meskipun dadanya berdebar-debar. Dia terhidu bau yang wangi di dalam kereta itu. Bau itu mententeramkan perasaannya yang sedang berkecamuk.
Zuraidah memerhati ke bahagian belakang kereta. Langsung kereta tiada melintasi jalan itu. Betapa dia ingin segera sampai di rumah. Perutnya terasa pedih, kelaparan. Biasanya bila sampai di rumah dalam keadaan hujan begini, dia akan menyediakan secawan milo panas.
Lelaki di sisinya tenang sahaja, malah dia bernyanyi kecil lagu yang tidak diketahui oleh Zuraidah. Jari-jarinya yang panjang itu mengetuk permukaan setering. Agh! Cemburunya Zuraidah kerana dia kelihatan begitu girang, seolah-olah masalah itu kecil sahaja. Sedangkan Zuraidah begitu gelisah. Entah mengapa hatinya resah sahaja. Takutkah dia bila bersama dengan lelaki itu?
Dia tidak mengerti mengapa rasa hatinya begitu gementar.
Zuraidah memang keletihan dan mengantuk. Tenaganya sudah digunakan sepenuhnya sepanjang hari itu. Kenapalah dia harus ditimpa masalah? Dan mengapa pula dia harus mengikut kehendak lelaki itu yang kononnya ingin menghantar dia balik.
Mereka saling berpandangan di dalam samar-samar cahaya lampu jalan terletak tidak jauh dari situ. Wajah masing-masing dapat dilihat dengan jelas. Tiba-tiba lelaki itu ketawa…
“Kenapa awak gelak?” Tanya Zuraidah geram. Nafasnya masih tersangkut-sangkut. Dia tidak suka mendengar tawa lelaki itu.
“Awak takut bila bersama saya. Macam saya ni hantu. Percayalah, saya takkan apa-apakan awak. Relaks.”
Zuraidah menggigit bibirnya dengan kuat. Dia membuang pandang ke arah lain, tidak sanggup menentang mata lelaki di sampingnya itu.
“Dah lama awak kenal Rohaya?” Dia sengaja bertanya untuk mengelak daripada dikatakan takut dan gentar bersama dengan lelaki itu. Hakikatnya bukan itu yang dia rasa. Ada rasa percaya yang ditanam di hati sejak ketemu dengannya. Dari sinar matanya terpamer keikhlasan. Justeru itu dia menerima pelawaan lelaki itu.
“Saya kenal awak lebih lama daripada saya kenal dia.”
Zuraidah berpaling memandang lelaki itu dengan dahi berkerut.
“Jangan merepeklah Syed Fairouz… Awak kenal dia dulu daripada saya, macamana awak boleh kata macam tu? Malam ni awak tak ada date dengan Rohaya ke?”
“Jangan panggil saya Syed Fairouz.” Kata lelaki itu dengan nada tegas.
“Habis nak panggil awak apa?” Cabar Zuraidah.
“Sebab saya lebih tua, panggil saja Abang Syed.” Kata lelaki itu sambil tersenyum. Dia mengeluarkan sapu tangan Zuraidah yang sudah lencun dari dalam poket seluarnya. “Boleh tak awak sulamkan saya sehelai sapu tangan yang cantik dan letakkan nama saya di sudutnya macam awak punya ni?”
Zuraidah mengangguk.
“Boleh. Apa-apa pun boleh asal awak pulangkan sapu tangan saya tu…” Katanya lalu terus menyambar sapu tangan itu. Namun lelaki itu memegangnya kejap, tidak ingin dilepaskan. Zuraidah terus merentapnya dengan kuat. Lelaki itu tetap memegangnya dengan kuat.
“Jangan tarik kuat sangat, nanti koyak…” Lelaki itu tersenyum, membuat Zuraidah melepaskan pegangannya. Memang dia sayangkan sapu tangan itu dan tidak ingin ianya terkoyak. Lelaki itu menyimpan sapu tangan itu di dalam poket seluarnya semula, membuat Zuraidah bertambah geram. Apalagi melihat senyuman kemenangan terukir di bibirnya.
“Saya tak suka lelaki yang asyik tersenyum…” Kata Zuraidah.
“Saya suka perempuan yang garang, agresif dan dingin. Kebanyakan perempuan garang dan tegas ni hanya pura-pura sahaja. Sebenarnya mereka punya hati yang lembut dan sensitif.” Jawab lelaki itu terus jua tersenyum biarpun Zuraidah memandangnya dengan wajah serius.
“Saya tak peduli siapa yang awak suka. Saya nak balik. Badan saya rasa sejuk semacam. Ini semua awak punya pasallah.”
“Percayalah saya juga kesal. Tapi kalau awak nak balik, awak kena berjalan kaki. Tunggulah hujan teduh sekejap lagi. Selalunya kalau awak balik kerja apa yang awak buat?”
“Tidurlah buat apa lagi.”
“Setiap malam itu saja kegiatan awak? Habis kerja terus balik ke rumah. Tidur. Esoknya bekerja semula…” Kata lelaki itu tertawa pendek kemudian menyambung; “Awak tahu tak, kita ni seolah-olah ada persamaan?”
“Merepeklah awak ni… Malas saya nak layan. Lebih baik saya balik.” Katanya sambil membuka pintu kereta, tetapi air hujan menyerbu masuk. Cepat-cepat dia menutup pintu semula.
“Tunggu ajelah hujan reda… Awak nak baju awak basah ke? Nanti hilanglah susuk awak!” Kata lelaki itu sambil menyandarkan tubuhnya ke kusyen kereta yang baru saja direndahkan. Zuraidah tidak berkata apa-apa. Dia berdoa hujan akan segera berhenti, supaya dia boleh pulang. Tidak lama kemudian dia terdengar suara lelaki itu berdengkur. Penat sangat rupanya dia. Dalam keadaan udara yang dingin dan deru hujan itu memang mudah tertidur. bisik hati Zuraidah sendiri.
Hisy… Aku pun rasa mengantuk sangat ni. Tapi kenalah tahan. Mati aku, kalau aku pun tertidur juga kat sini. Dengus Zuraidah sendiri sambil mengerdipkan kelopak matanya beberapa kali. Dia tidak mahu tidur. Biar dia tunggu hujan reda. Dikeluarkannya handphone dari dalam beg tangan. Dia membelek-belek handphone sambil berfikir siapa yang harus dihubungi. Ah! Dah pukul sebelas lebih pasti semua orang dah tidur… fikirnya.
Zuraidah menjeling ke arah lelaki di sisinya. Jelas lelaki itu terlelap sambil memeluk tubuhnya. Di kusyen belakang terlihat sehelai kot hitam.Zuraidah menjangkau tangannya, lalu mencapai kot itu. Diselimutinya dada lelaki itu. Kesian dia… sejuk nampaknya, bisik hati Zuraidah.
Tidak lama kemudian hujan teduh. Zuraidah mengambil keputusan untuk keluar dari kereta itu tanpa memberitahu lelaki yang masih tidur dengan nyenyak. Dia bergerak perlahan menghala ke hadapan. Takutkah dia berjalan sendirian di tepian jalan yang lengang itu? Kebanyakan rumah bertutup rapat. Namun jalan itu terang benderang. Tiada yang perlu dia takutkan. Dia terus melangkah. Sesekali dia menoleh ke belakang dan terlihat kereta lelaki itu semakin jauh dari pandangan.
Tiba-tiba sebuah kereta melintasi jalan itu. Lalu tanpa teragak-agak Zuraidah menahannya. Kereta itu berhenti di tepi jalan. Zuraidah lega, mendapati kereta itu dipandu oleh jiran berdekatan dengan rumahnya. Dia kenal pada lelaki itu yang dipanggil orang Encik Mustafa. Lelaki itu rasa pelik mengapa Zuraidah berjalan kaki sendirian sedangkan jam sudah hampir dua belas tengah malam.
“Saya ingat bukan orang tadi…” Kata Encik Mustafa buat lawak. “Mengapa lambat sangat balik kerja Idah?”
“Panjang ceritanya…” Jawab Zuraidah sambil masuk ke dalam kereta. “Masa keluar kerja tadi hujan lebat. Puas tunggu hujan berhenti. Call teksi pula teksi tak ada…”
“Jadi, Idah jalan kaki?” Tanya Encik Mustafa ingin tahu.
“Tak.” Jawab Zuraidah sepatah. Dia teragak-agak hendak meneruskan ceritanya. Dia takut cerita itu nanti disampaikan oleh Encik Mustafa pada isterinya. Cerita itu pasti tidak akan berhenti setakat itu sahaja. Pastilah akhirnya sampai jua di telinga emaknya. Itu yang paling dia takuti. Zuraidah terdiam lama. Encik Mustafa tersenyum mesra, memandang Zuraidah.
“Ok, tak apa. Tak payah cerita. Saya faham…” Jawab Encik Mustafa. Walaupun dia tidak tahu apa yang terjadi, namun dia tetap memberikan pengertian. Dan Zuraidah pun tidak ingin menceritakan apa yang telah menimpanya sebentar tadi.
“Terima kasih. Idah harap Encik Mus takkan cerita apa-apa pasal ni dengan emak.”
“Jangan bimbang.” Jawab Encik Mustafa, tersenyum penuh pengertian.
Bab 2
SINAR mentari terasa panas, menikam cermin kereta. Lelaki itu terjaga dari tidur. Tubuhnya terasa lenguh. Kedinginan sudah hilang diganti dengan hangatnya sinar mentari pagi. Tubuhnya ditutup kot hitam, menghalang kedinginan yang mencengkam malam tadi. Matanya dipejam celikkan beberapa kali. Silau. Dia terus bingkas, duduk tegak sambil mata memerhati ke arah kusyen di sebelah.
Dia keseorangan. Zuraidah telah pergi. Dia yakin perempuan itu pulang sendiri. Mengapa dia tidak dikejutkan? Dia meraba-raba handphone di dalam poket. Lalu terus mendail nombor telefon rumah. Pembantu rumah menjawab panggilannya; “Boleh suruh sesiapa di kat rumah tu datang ke sini ni… Saya ada kat Jalan Air Puteh ni. Kereta saya tak boleh hidup, minyak habis. Cepat sikit!” Panggilan terus dimatikan.
Setengah jam dia menunggu, barulah adiknya muncul. Syed Fairouz ketawa melihat wajah Syed Faiez yang kusam. Baju kemejanya renyuk seribu. Dia berdiri di sisi kereta dengan wajah serius memandang adiknya datang dengan motorsikal.
“Semalam engkau tak isi minyak ke? Aku tak perasan langsung yang minyak kereta engkau tak ada.”
“Sorrylah. Aku lupa isi semalam. Lagipun aku jarang pakai kereta ni…” Jawab Syed Fairouz.
“Yalah. Mentang-mentanglah banyak kereta.” Jawab Syed Faiez menyindir. “Sekarang kau pergi beli minyak. Cukuplah untuk hidupkan kereta ni… aku tunggu.” Lanjut lelaki itu sambil memandang tepat ke wajah Syed Fairouz.
“Ok. Tunggulah kejap. Aku pergi beli.” Jawab Syed Fairouz sambil beredar dari situ dengan segera.
Tidak lama kemudian adiknya kembali dengan membawa satu bekas minyak berisi lebih kurang tiga liter minyak petrol.
“Malu betul malam tadi.” Cerita Syed Faiez sambil memerhati adiknya menuang minyak ke dalam tangki kereta. “Kereta habis minyak masa aku bersama dengan perempuan pulak tu. Lepas tu, dia tinggalkan aku kat sini…”
Syed Fairouz ketawa. “Cerita pasal engkau kena tinggal dengan perempuan ni dah biasa sangat aku dengar! Kau tengok macam aku ni… Mana pernah perempuan tinggalkan aku. Aku yang tinggalkan dia orang. Tak mainlah frust-frust ni…” Kata Syed Fairouz dengan bangga.
“Tak baik mainkan hati dan perasaan orang, Fairouz. Aku harap pertunangan kau dengan Rohaya berakhir hingga ke jinjang pelamin. Ada kau jumpa dengan dia?” Tanya Syed Faiez ingin tahu.
Syed Fairouz hanya tersengih. Daripada aksi adiknya itu Syed Faiez mengerti, bahawa malam semalam adik lelakinya itu melayani perempuan lain.
“Berubahlah sikit Fairouz, engkau dah nak bertunang…”
“Baru nak bertunang. Belum tentu jadi. Aku akan berubah bila dah kahwin nanti…” Jawab Syed Fairouz. “Ha, dah boleh bawak dah kereta ni! Pastikan lepas ni terus pergi ke stesen minyak, Faiez! Mengendalikan kereta ni macam layan perempuan juga! Pastikan semua keperluan terisi. Kena belek-belek dan belai selalu. Kalau lalai… jadilah macam kau ni tersadai kat tepi jalan.”
“Aku tahulah apa nak buat! Ramai sangat perempuan nanti susah juga, Fairuouz! Kalau rahsia engkau terbongkar, habislah. Jangan sampai jadi lebai malang. Semuanya terlepas.” Balas Syed Faiez lalu masuk ke kereta lalu terus memandu pergi.
SYED FAIEZ berada di pejabat hingga lewat malam. Memang dia sering menghabiskan kerja hingga lewat malam begitu, terutama sekali kalau malam minggu. Dulu semasa dia masih bercinta dengan Katrina, dia selalu pulang awal pada hari Sabtu. Tidak sabar hendak menghabiskan malam minggu dengan kekasih hati.
Namun sejak ditinggalkan oleh Katrina tanpa sebarang sebab dan alasan yang pasti, dia lebih suka menghabiskan masa di pejabat, sendirian. Dengan bekerja dia dapat melupakan Katrina dan sejarah percintaan yang pahit. Namun dia tidak mudah serik. Jika Katrina meninggalkannya sendiri tanpa pesan, tidak susah untuknya melupakan dan mencari perempuan lain yang lebih baik.
Tiba-tiba tumpuannya tergendala, dia teringatkan seraut wajah perempuan itu. Apakah dia pulang dengan selamat? Memang rumahnya tidak jauh dari situ. Tetapi Zuraidah tidak biasa dengan jalan itu. Dia selalunya mengikut jalan besar.
Syed Faiez memerhati jam di dinding, hampir pukul sepuluh malam. Dia tergesa-gesa keluar dari pejabat, bimbang terlewat. Sebaik sahaja berada di hadapan kompleks itu dia terlihat kelibat Zuraidah yang sedang berjalan seorang diri menghala ke tepi jalan.
“Zuraidah! Zuraidah!” dia memanggil dari jauh. Zuraidah berpaling, kaget melihat lelaki itu separuh berlari menghala ke arahnya.
“Hm… Ingatkan siapa tadi.”
“Sayalah! Buah hati awak. Kenapa awak tak kejutkan saya malam semalam… Awak balik naik apa?”
“Apa? Buah hati? Cakap tu janganlah ikut sedap mulut awak saja… Awak tu bakal tunang adik saya.” Kata Zuraidah sambil menggigit bibir menahan geram. “Semalam awak tidur berdengkur macam gajah. Saya tumpang kereta orang, kebetulan orang tu jiran dekat rumah saya…”
“Oh gitu. Tak apalah yang penting awak selamat. Risau saya bila terjaga pagi tadi awak tak ada.”
Zuraidah terkejut. “Awak tidur di situ?”
“Ya. Saya sedar-sedar hari dah siang…”
Zuraidah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Awak ni tidur mati… Tak sangka boleh tidur dalam kereta sampai ke pagi…”
“Awak ingat saya teruk sangat ya? Sebenarnya saya tak pernah tidur dalam kereta. Itulah pertama kali. Saya terlalu letih. Kerja sepanjang hari hingga ke malam. Bukan senang nak jumpa orang yang rajin macam saya.” Jawab Syed Faiez sambil tersenyum.
“Huh! Masuk bakul angkat sendiri. Saya tahu awak ni jenis orang yang macamana…”
“Okey… macamana?” Tanya lelaki itu Syed Faiez separuh mencabar.
“Awak ni playboy. Dah nak bertunang tapi masih mengurat…”
“Ohhh… Awak fikir, saya nak mengurat awak ya? Awak ingat, awak cantik sangat macam Salma Hayet? Saya tak hairan, walaupun muka awak macam Salma Hayet, pelakon yang saya puja-puja tu. Niat saya cuma…”
Belum sempat Syed Faiez menghabiskan kata-katanya, Zuraidah segera memotong. “Apa niat awak? Awak kan tengah bercinta dengan adik saya… tapi mengapa awak nak goda saya pulak? Nak bertunang kononnya. Kenapa awak main-mainkan dia? Kenapa awak mendekati saya? Kalau awak lelaki yang jujur sepatutnya awak tak cuba menggoda saya…”
“Hah! Menggoda pulak dah!” Syed Faiez ketawa. “Kalau awak fikir, saya menggoda awak, silap. Nah! Ambil balik sapu tangan awak yang comot ni! Lagi satu… tak payahlah buatkan saya sapu tangan tu dengan sulaman nama saya. Saya boleh beli kat mana-mana, jauh lebih cantik lagi!”
“Hah! Saya pun tak pernah terfikir dan teringin nak sulamkan awak sapu tangan.”
“Betul ke? Tapi saya yakin awak akan sulamkan sapu tangan untuk saya. Awak akan sulam macam ni… Love, SF & Z.”
“Sumpah! Tak mungkin berlaku.”
“Akan berlaku!” Tegas Syed Faiez.
“Tak!” Balas Zuraidah juga tegas.
Zuraidah memusing badannya bergerak meninggalkan Syed Faiez. Lelaki itu memerhati sahaja. Dia tersenyum sendiri. Dia tahu Zuraidah akan jadi miliknya tidak lama lagi. Dia sukakan cabaran dan menganggap penolakan gadis itu adalah satu cabaran.
Dia teringat kata-katanya sendiri dengan Puan Sharifah Aliah selepas pulang daripada rumah Zuraidah tempohari. Kata-kata itu terakam dengan jelas dalam mindanya; “Bonda, tak salahkan kalau adik kahwin dengan adik, abang kahwin dengan kakaknya…”
“Memang tak salah.” Jawab Puan Sharifah Aliah. “Faiez sukakan kakak Rohaya tu ya? Nampak budaknya baik dan bersopan juga kan?”
“Hmmm… Nampaknya begitulah. Tapi Faiez takut nak bercinta lagi. Lepas dikecewakan Katrina, serik rasanya. Tapi lepas tengok budak tu…”
“Zuraidah…” Sampuk Puan Sharifah Aliah. “Kata emak dia, namanya Zuraidah.”
“Hmmm, lepas nampak dia hari itu, rasa macam ada magnet yang menarik Faiez supaya dekat dengannya…”
“Cubalah dekati dia, kenali dulu hati budinya …” Sokong Puan Sharifah Aliah. “Kalau dia baik, sesuai… bolehlah disunting menjadi isteri. Jangan sesekali mainkan perempuan, Faiez. Hati perempuan amat lembut, sensitif dan mudah terluka.”
“Faiez tahu… Hati lelaki juga begitu. Tak ada bezanya. Cuma lelaki tak suka menunjukkan perasaannya.”
“Action speak louder than word.” Kata Puan Sharifah Aliah sambil tertawa kecil.
Itulah yang sedang dia lakukan sekarang, melakukan tindakan demi tindakan. Namun dirinya telah disalahertikan. Zuraidah menyangka dia adalah Syed Fairouz. Dia tidak menyalahkan Zuraidah. Barangkali gadis itu tidak mengenali Syed Fairouz. Disebabkan dia yang hadir sewaktu majlis merisik tempohari lalu Zuraidah menyangka dialah Syed Fairouz.
Syed Faiez tertawa sendiri. Rasa seronok pula dia menghadapi Zuraidah dalam keadaan salah sangka begitu. Biarlah begitu, dia sekadar menduga Zuraidah sahaja… Dia seronok bercanda begitu dan membuat Zuraidah marah. Lambat laun dia akan berterus terang. Dan Zuraidah pun pasti akan kenal jua siapa manusia Syed Fairouz dan Syed Faiez. Antara dia dan adiknya, terlalu banyak beza dari segi perangai dan paras rupa walaupun lahir dari rahim yang sama.
Pantas dia mengejar Zuraidah yang sudah berjalan jauh ke hadapannya.
“Hei! Zuraidah! Saya hantar awak balik.”
“Tak payahlah. Nanti kereta awak rosak lagi…” Jawab Zuraidah sambil terus berjalan laju. Syed Faiez mengejarnya lalu mencapai tangan gadis itu. Pantas Zuraidah menepisnya dengan kasar.
“Apa pegang-pegang ni? Saya bukannya barang yang boleh dipegang-pegang sesuka hati.”
“Oh! Sorry. Saya tahu awak orang bukannya barang. Kalau pegang barang tak seronok, sebab tak boleh berikan reaksi. Pegang orang, lebih baik sebab ada tindakbalas.”
“Gatal!” Kutuk Zuraidah sesuka hati.
“Saya cakap perkara yang benar kan? Tapi pegang awak ni tak ubah macam pegang batu… keras, dingin dan kaku.”
“Malaslah nak layan awak…” Jawab Zuraidah.
“Saya tak salahkan awak. Mungkin salah saya… Hmmm, maaflah cik Zuraidah. Saya teringin nak ajak awak makan malam. Saya belum makan. Awak dah makan?” Dia bertanya tulus sambil memandang wajah Zuraidah yang masam.
Perempuan itu memeluk tubuhnya, seolah-olah kedinginan. Udara malam nyaman sekali, sehingga Syed Faiez rasa enggan hendak masuk ke ruang bangunan yang panas. Kalau boleh dia ingin berjalan beriringan dengan Zuraidah mengelilingi bandar itu. Biarkan angin malam yang dingin membelai tubuh mereka berdua.
Perut Zuraidah memang terasa pedih. Dia lapar. Waktu rehat pukul tujuh petang tadi hanya minum milo panas.
“Belum.”
“Kita pergi makan kat gerai tomyam di tepi laut.”
Zuraidah menggeleng. “Jauh sangat.”
“Kalau macam tu, kita pergi gerai yang dekat-dekat sini saja.” Pelawa Syed Faiez tidak mudah berputus asa.
Akhirnya Zuraidah bersetuju.
“Ok… jomlah.”
Syed Faiez teruja. Tidak sangka Zuraidah akan bersetuju. Ah… Bukankah aku dah agak, perempuan ni hanya keras-keras kerak nasi saja. Kalau direndam air, akan lembut juga.
“Okey… Kita jalan kaki, boleh?”
“Awak tak bawa kereta?” Tanya Zuraidah ingin tahu.
“Kenapa? Takut kereta saya habis minyak lagi di tengah jalan lagi. Kalau dengan awak, saya sanggup ulangi peristiwa tu berulang-ulang kali.” Katanya sambil tergelak.
Zuraidah mencebirkan bibirnya. “Begitu ke caranya awak memikat perempuan? Bukan dengan bunga dan coklat?”
“Awak suka bunga dan coklat? Bunga apa ya? Pasti bunga ros merah, sebab kebanyakan perempuan suka warna merah menyerlah. Perempuan juga suka coklat walaupun akan buat gigi cepat rosak dan buruk.”
“Hei, Syed Fairouz, boleh tak kalau awak tak merepek-repek dan cakap straight to the point aje? Saya tak suka bunga ros merah, tapi saya suka ros pink. Warna pink warna kegemaran saya. Dan saya tak suka makan coklat. Saya lebih suka buah-buahan seperti epal dan strawberi.”
“Ok, mulai sekarang saya akan ingat! Tapi awak janganlah panggil saya Syed Fairuoz. Tu nama adik saya.”
“Jadi awak ni bukan Syed Fairouz?” Wajah Zuraidah terasa hangat, malu tidak terkira. Tapi mengapa lelaki itu yang datang pada majlis merisik di rumahnya beberapa minggu yang lalu.
“Nama saya Syed Faiez, abang Syed Fairouz. Saya anak sulung dalam keluarga Tuan Syed Alias dan Puan Sharifah Aliah.” Beritahu Syed Faiez berterus terang.
“Oh, maafkan saya. Saya tersalah sangka rupanya. Maafkan saya…” Ucap Zuraidah masih diselimuti rasa malu.
“Tak apa. Saya juga salah tak berterus terang dari awal. Sebenarnya seronok tengok awak marah-marah, menyangka saya Syed Fairouz. Tapi percayalah, saya pun tak mahu menipu awak lama-lama. Sebab tu lah malam ni saya berterus terang.” Katanya sambil ketawa kecil.
Zuraidah berhenti berjalan, memandang tepat ke wajah Syed Faiez. Rasa pelik kerana lelaki itu suka apabila dia marah-marah. Sebenarnya dia bukannya berniat hendak marah pun. Malah dia senang punya teman. Sekadar teman tidak lebih dari itu. Walaupun terkadang dia teringin punya kekasih yang akan membawanya ke parti ataupun menghadiri makan malam istimewa ditemani cahaya lilin.
Zuraidah mengeluh. Dia tahu itu sekadar angan-angannya sahaja. Lelaki itu tidak akan muncul untuk menjadikannya kekasih. Dia belum pernah bertemu dengan lelaki yang tepat. Apakah Syed Faiez orangnya? Tak mungkin! Apalagi lelaki itu bakal abang ipar Rohaya. Nanti orang kata, dah tak ada orang lain nak dibuat kekasih ataupun suami? Balik-balik datang daripada keluarga yang sama juga…
Mengapa dia harus berfikir terlalu jauh begitu? Mereka baru kenal, dia sudah berfikir yang bukan-bukan pula.
Zuraidah kembali berjalan perlahan. Jalan itu lengang. Tiada orang yang berjalan di situ kecuali mereka berdua. Sesekali kereta yang melintas dengan laju.
“Awak pernah bercinta Zuraidah?” Tanya Syed Faiez, begitu mendadak. Zuraidah terkejut, malu. Apakah dia akan mengaku tidak pernah jatuh cinta dan punya teman lelaki. Apakah dia akan memberitahu hakikat sebenarnya pada Syed Faiez bahawa hatinya masih kekosongan?
Zuraidah menggeleng. “Saya rasa cinta tu tak wujud.” Demikian tanggapan Zuraidah tentang cinta. Sekurang-kurangnya rasa cinta itu belum wujud dalam hatinya. Dia tidak tahu bagaimanakah rasa bila mencintai dan dicintai. Barangkali di dunia ini hanya dia seorang yang tidak merasainya. Alangkah pedihnya kenyataan itu.
“Oh… betul ke macam tu?” Tanya Syed Fairouz seakan-akan mencabar. “Saya pernah bercinta dan dikecewakan. Bagi saya cinta itu ada. Sentiasa ada… Cuma saya tidak pasti apakah cinta yang saya dapat adalah cinta yang suci atau cinta palsu. Awak faham maksud saya, Zu? Boleh saya panggil awak Zu?”
Zuraidah memandang sekilas ke wajah Syed Faiez. Dia senang Syed Faiez memanggilnya ‘Zu’ sahaja, terasa mulai ada kemesraan antara mereka. Dia mengangguk.
Zuraidah memerhati figura dan bentuk wajah lelaki itu dari sisi. Kacak dan tinggi. Hidung mancung, seperti orang Arab. Agh! Memang keluarganya berdarah keturunan Arab dan Melayu. Wajahnya kacak dan kulit putih kemerahan. Syed Faiez terlalu kacak, langsung tidak sesuai dengannya yang berkulit hitam manis dan bertubuh genit pula.
Berjalan dengan jejaka itu buat Zuraidah rasa rendah diri. Teringat ejekan kawan-kawannya semasa kecil, terasa begitu kuat menyentuh cuping telinga. Walaupun masa kecil dulu dia percaya pada ejekan itu, bahawa dia seorang kanak-kanak yang berwajah hodoh, busuk dan berkulit hitam. Namun Zuraidah tahu dia tidaklah terlalu buruk atau busuk. Namun tiba-tiba dia rasa begitu hodoh jika berganding dengan Syed Faiez. Tiba-tiba dia teringat pada kenangan waktu kecil dulu. Dia dipanggil ‘Bedah’ oleh emak dan adik-beradiknya sekiranya mereka sedang marah. Malah kawan-kawan sebayanya juga memanggil dia nama ‘Bedah’. Nama yang amat dia benci.
Zuraidah seperti ingin memekup telinganya namun dia tetap terdengar-dengar nyanyian itu bergema lagi.
Pukul lalat, pukul lalat hinggap di kaki
Bedah buruk, Bedah buruk semua kawan-kawan lari.
Barangkali bila Syed Faiez semakin mengenalinya, dia akan dibenci. Dia perempuan malang yang mempunyai banyak kelemahan. Lelaki itu akan meninggalkannya sendiri bersama hati yang luka. Tidak. Dia tidak akan jatuh cinta pada lelaki ini. Benar! Cinta itu tidak wujud. Zuraidah tidak gemar bercakap soal cinta. Kewujudan cinta dari pandangan matanya hanya semata-mata untuk memperdaya wanita yang lemah. Namun dia bukan selemah yang disangka. Dia tidak perlukan sesiapa untuk melindunginya…
Mereka terus berjalan beberapa langkah. Tiba-tiba kaki Zuraidah terperosok ke dalam sebuah lubang yang ternganga di tepi jalan itu. Dia terperanjat lalu jatuh terduduk. Tidak disangka jalan itu buruk dan rosak. Syed Faiez memegang lengannya, membantu dia berdiri.
“Awak okey ke? Tak nampak lubang tu tadi…”
“Tak perasan.” Kata Zuraidah sambil mulut berdesis menahan sakit. Kakinya terseliuh sedikit tetapi digagahi juga berjalan. Mujur dia hanya memakai kasut tanpa tumit. Bekerja sebagai jurujual yang banyak bergerak dan berjalan, dia tidak pernah memakai kasut bertumit tinggi. Jika dia cekal hendak mencuba juga, alamatnya kakinya akan terus terkehel dan berjalan seperti orang cacat.
“Awak boleh berjalan?”
“Boleh. Jangan bimbanglah….”
“Memang saya bimbang, takut awak jadi cacat kerana saya!”
“Tak apa. Saya boleh berjalan, takkan jadi cacat. Lagipun dah dekat dengan gerai tu…” Kata Zuraidah.
Gerai yang terletak di seberang jalan itu hanya beberapa meter sahaja dari situ. Cahaya lampu yang cemerlang boleh dilihat dari situ. Tidak jauh dari tempat itu juga dapat dilihat bangunan Hotel Grand Continental yang tinggi menjulang.
Mereka berdua bergerak menghala ke gerai tersebut. Zuraidah berusaha menahan sakit biarpun dia merasakan kakinya semakin parah apabila dia memaksa diri melangkah. Namun akhirnya dia tersungkur jua. Dengan pantas Syed Faiez memaut pinggang Zuraidah lalu terus mengendung tubuh genitnya. Lelaki itu berpatah semula ke belakang, menghala ke sebuah klinik tidak jauh dari situ.
“Turunkan saya!” Pintu Zuraidah panik. Tidak pernah dia dilayan begitu rupa oleh seorang lelaki, apalagi jejaka itu baru dikenalinya. Dia rasa malu yang amat sangat.
“Shhh… Diam sajalah. Kita ke klinik tu! Jangan ambil mudah kalau kaki terseliuh. Kalau darah beku di sendi kaki nanti lagi teruk! Bukan hanya tak dapat berjalan, silap-silap kena bedah. Lebih teruk lagi jadi lumpuh, mahu?”
Zuraidah tidak percaya kata-kata lelaki itu. Masakan hanya jatuh dan terseliuh boleh menjadi lumpuh. Namun dia tidak lagi berkata apa-apa hanya membiarkan Syed Faiez membawanya ke klinik yang masih dibuka. Dia segera mendapati rawatan. Kakinya dibalut dengan bandage.
“Kalau masih sakit dalam masa seminggu, datang semula. Buat x-ray. Tapi saya yakin tak ada apa-apa, lagipun awak ditemani oleh lelaki yang baik dan prihatin macam dia!” kata doktor yang bertugas sambil tersenyum menyindir ke arah Syed Faiez yang setia berada di dalam bilik rawatan.
Zuraidah rasa malu tidak terkira namun jauh di sudut hati terasa bahagia… amat bahagia!
Bab 3
‘WE perfect for each other’ Tulis Syed Faiez dalam sekeping kad yang diselitkan di celah-celah bunga ros merah jambu dan sebuah bakul kecil berhias indah, terisi dengan buah strawberi.yang sedang masak ranum. Terkejut Zuraidah menerimanya pada suatu pagi yang cerah, saat dia baru memulakan tugas.
Shanti, rakan setugas Zuraidah bergocoh-gocoh merapatinya ingin tahu siapakah jejaka yang memberinya hadiah tersebut. Zuraidah segera menyimpan bunga dan bakul berisi buah strawberi itu di dalam loker. Syed Faiez hanya datang sebentar menghantarkan sendiri bunga itu kemudian terus berlalu untuk masuk ke pejabat. Dia berjanji akan datang menemui Zuraidah waktu makan tengahari nanti.
“Kau ada apa-apa ke dengan pakwe handsome tu? Aku tengok makin kerap dia ke sini jumpa kau, hampir tiap-tiap hari…” Kata Shanti sambil menepuk bahu temannya itu. Tidak lepas dia memandang ke arah Syed Faiez walaupun jejaka itu sudah hilang dari pandangan.
“Pejabat dia dekat-dekat sini aje, sebab tulah dia selalu datang.” Jawab Zuraidah selamba, sibuk menepuk hapuk dengan sebatang bulu ayam, walaupun sebenarnya tiada pun habuk yang melekat pada barangan di atas rak tersebut. Namun dia perlu berpura-pura sibuk kerana sejak tadi menyedari kehadiran Ah Boon, pengurus department tersebut. Sejak kebelakangan ini, Ah Boon selalu menunjukkan wajah masam bila memandangnya. Ada saja yang tak kena di mata Ah Boon. Dia akan naik angin ataupun marah pada Zuraidah tanpa sebab yang munasabah.
Dia sedar kekerapan Syed Faiez datang menemuinya di situ tidak disenangi Ah Boon. Suatu masa dulu Ah Boon pernah cuba memikatnya, tetapi Zuraidah pura-pura tidak mengerti. Lalu Ah Boon menganggapnya sebagai seorang perempuan yang dingin, anti lelaki. Namun kemunculan Syed Faiez yang sering mendampinginya kebelakangan ini, membuat Ah Boon sakit hati.
Selama ini dia menganggap lelaki yang dikenalinya hanya teman biasa, begitu juga caranya dia melayan Ah Boon. Hanya teman biasa. Namun dengan Syed Faiez dia berubah menjadi perempuan manja dan minta dibelai. Sejak kebelakangan ini juga dia seringkali tampil kemas, bersolek dan mulai belajar mendandan rambut.
“Bukan tu jawapannya Zu! Cakap ajelah kau bercinta dengan dia… betul kan? Hmmm, sejak bila ya? Sejak kaki kau terseliuh, sampai ambil cuti tiga hari. Hari ni hantar bunga dan buah strawberi. Eeee… jealousnya aku. Hari ni hari valentine.” Kata Shanti sambil menggoyang-goyangkan tangannya. “Huh! Aku pun tak pernah dapat bunga daripada Kumar walaupun dah dua tahun bercinta. Hmmm… Kumar pun masih belum balik dari outstation! Tak guna betul dia tu!” Shanti mengeluh kecewa.
“Tak guna, tak guna pun boy friend kau juga. Kalau dia tak telefon, mula lah muka monyok. Tu la… Lain kali cari boyfriend tak kedekut!” Komen Zuraidah sambil mengulum senyum.
“Ooo…Betullah lelaki tu boyfriend engkau ya? Beruntunglah kau… dahlah baik, handsome pula tu!” Puji Shanti tak habis-habis.
Zuraidah hanya menjawab kata-kata itu dengan senyuman. Memang mereka telah menjadi pasangan kekasih biarpun usia perkenalan baru dua bulan. Hatinya mulai tertarik dan menyukai Syed Faiez sejak kakinya terseliuh dahulu. Biarpun dia pernah menyatakan hatinya tidak ingin dimiliki sesiapa, namun dia kalah dengan jejaka yang satu itu. Akhirnya dia membuka seluruh pintu hatinya untuk dicintai dan mencintai.
Zuraidah tiba-tiba mengeluh perlahan. “Aku tak tahu… Entahlah. Mungkinlah dia seorang yang istimewa. Tak pernah aku rasa macam ni dengan sesiapa.”
“Dulu Ah Boon beria-ria memikat engkau… kau tak layan. Tapi dengan lelaki ni aku tengok senang aje kau terima. Kau ni memilih yang best saja agaknya!”
“Aku tahu Ah Boon tu sungguh-sungguh nak pikat aku. Tapi aku tak yakin boleh hidup bahagia dengan dia. Aku dengan dia, berlainan agama dan bangsa. Kalau kami bercinta pun susah juga kemudian hari, sebab tu lah aku tolak saja dia. Aku anggap dia hanya kawan. Tapi sekarang ni, aku rasa dia macam tak suka dengan aku, marah dengan aku.”
“Ya lah… Dia puja engkau dari jauh, tetiba kau serah hati kat orang lain.”
“Hati aku ni bukan reti diajak berbincang. Hanya pada Faiez aje hati aku terpaut nak buat macamana. Bukan aku pandang kedudukan atau pun muka dia. Sumpah… Tak!” Kata Zuraidah separuh berbisik. “Hmmm, dahlah! Jangan berborak lagi. Ah Boon datang ke sini tu…”
Shanti akur. Namun belum sempat meninggalkan ruang tempat Zuraidah bertugas, dia disergah oleh Ah Boon. “Pagi-pagi dah berborak. Pergi susun kasut kat sana. Keluarkan model baru tiba semalam. Cepat!!”
Shanti cepat-cepat beredar. Ah Boon memerhati ke arah Zuraidah yang berdiri membelakanginya, masih menepuk-nepuk baju yang tergantung dengan sebatang bulu ayam.
“Siapa itu lelaki?” Tanya Ah Boon.
“Lelaki mana?” Tanya Zuraidah kembali, berpaling memandang Ah Boon, pura-pura tidak mengerti. Padahal dia tahu, tentu saja maksud Ah Boon adalah Syed Faiez.
“Jangan tipu sama aku. Itu lelaki kau punya boy-friend kan? Dulu kau cakap tak ada minat sama lelaki. Itu lelaki melayu banyak special… Hari-hari kau keluar sama dia.”
“Ah Boon! Itu hal peribadi aku… boleh tak kau tak payah masuk campur?” Tanya Zuraidah dengan berani. Entah mengapa dia jadi berani hendak menentang Ah Boon kali ini. Dia tahu, buruk akibatnya kalau dia bergaduh dengan Ah Boon. Pasti dia tidak akan selesa bekerja sekiranya dia berbalah dengan lelaki Cina itu.
Ah Boon tidak menjawab. Wajahnya yang putih bersih itu menjadi merah padam. Dia berpaling pergi sambil membetulkan tali lehernya. Zuraidah kesal. Mengapa dia harus berkata begitu pada Ah Boon. Dulu lelaki itu baik dengannya. Walaupun tidak kerap, tetapi mereka pernah makan malam bersama dan Ah Boon menghantarnya pulang. Tapi disebabkan sikap Idora yang menuduhnya macam-macam dia tidak mahu lagi Ah Boon menghantarnya balik. Dia mulai membatasi perhubungan dengan Ah Boon, hanya sebagai kawan biasa, satu tempat kerja.
Namun Zuraidah sedar, kebaikan Ah Boon dan teman-teman setugas lain juga membuat dia bertahan lama bekerja di situ. Ah Boon seorang pengurus yang baik dan tidak cerewet. Hanya sejak akhir-akhir ini sahaja dia menunjukkan sikap yang tidak menyenangkan. Padahal sebelum ini dia mudah diajak berbincang sekiranya ada sebarang kesulitan, terutama sekali berkaitan dengan pelanggan.
Walau bagaimana pun bekerja di situ, tiada cabaran yang begitu besar. Cabaran ketika berhadapan dengan pelanggan, bagi Zuraidah yang telah bekerja selama 5 tahun, tiada apa-apa yang perlu digeruni dan ditakuti lagi. Memang menjadi amalan; ‘customer’s always right’ biarpun dia berhadapan dengan pelanggan paling cerewet. Namun dia tetap beralah dan melempar senyum walaupun hati tertekan, marah dan meradang.
“Boon! Sorry…” Seru Zuraidah sambil bergerak mendekati Ah Boon yang terus berjalan laju meninggalkannya.
“Sorry, for what? For breaking my heart?” Tanya Ah Boon kembali, berhenti melangkah dan memandang Zuraidah.
“Aku berkasar tadi. I’m so sorry… Buat niat nak lukakan hati kau, Boon.”
“Its okey. Memang itu kau punya hal peribadi, aku tak boleh campur. Cuma aku ingin tahu, siapa dia…”
“Hmmmm… boy friend aku…” Jawab Zuraidah teragak-agak.
“Jangan bagi dia datang sini selalu. Ini tempat kerja, okey. Jumpa di luar saja. Lain kali kalau aku tengok dia sengaja masuk cari engkau, berbual-bual sedangkan pelanggan yang ada kau tak layan…”
“Mana pernah aku abaikan pelanggan.” Bantah Zuraidah.
“Memang ada… Kau tak layan pelanggan sebab sibuk berbual dengan dia. Aku tak mahu tengok kau berbual masa bekerja… even with Shanti.”
“Sekarang masih pagi lah! Mana ada costumer? Kenapa dengan Shanti pun tak boleh berbual sekejap. Aku tahu buat kerja aku…” Rasa geram Zuraidah mendengar kata-kata Ah Boon yang tidak berasas. Jelas anak muda Cina itu sengaja mencari balah dengannya.
“Hey, I am in charge here. Do what I say. Tu… Ada customer nak beli baju! Pergi layan…” Kata Ah Boon sambil memuncungkan mulutnya ke arah seorang lelaki yang berada tidak jauh dari situ. Lelaki itu sedang membelek-belek baju kemeja yang banyak bergantungan di tempatnya. Zuraidah terus berlalu meninggalkan Ah Boon dengan hati yang masih membendung rasa geram.
“FAIEZ, lain kali Faiez jangan datang kat tempat kerja Zu ya…” Kata Zuraidah dengan berhati-hati semasa mereka sama-sama menikmati makanan tengahari.
“Kenapa?” Tanya Faiez tidak mengerti.
“Pagi tadi, lepas Faiez pergi, Zu bertengkar dengan pengurus department Zu.”
Syed Faiez hanya mengangkat kening.
“Dia marah bila tengok Faiez selalu datang, tapi tak beli barang. Faiez datang jumpa Zu saja. Katanya Zu layan Faiez sampai lupa pada customer… Geram Zu dia tuduh macam tu! Dulu dia dengan Zu baik sangat. Tak kisah apa pun, kalau datang lambat pun ada ampun… Sekarang ni, bukan main. Pandang Zu aje macam nak telan.”
Syed Faiez ketawa.
“Ehhh… Orang cakap dia ketawa pula…”
“Dia cemburu tu!” Kata Syed Faiez. “Dia ada hati dengan Zu ke?”
“Dulu memanglah dia nak ngorat Zu. Macam-macam hadiah dia bagi, tapi Zu tak layan. Zu malas nak layan sampai dia ingat Zu ni anti lelaki. Yalah… Dah lima tahun kerja kat situ, Zu tak pernah layan lelaki. Mana-mana yang nak berkenalan dengan Zu, Zu buat tak tahu aje. Banyak kad perniagaan yang Zu buang aje dalam tong sampah tau!”
“Hmmm… Zu! Zu… Bertuahlah Faiez dapat memiliki Zu!” Kata Syed Faiez sambil menggenggam tangan Zuraidah. “Selama ni Faiez tak tahu pun yang Zu tak pernah layan lelaki, tak pernah bercinta…”
“Faiez yang pertama.”
“Bagus.” Jawab Syed Faiez. “Sejak bila perasaan itu ada dalam hati Zu?”
“Hmmm… perasaan tu memang ada sejak dulu. Perasaan cinta yang Zu simpan diam-diam. Sejak jumpa Faiez, perasaan tu mula membesar dalam hati Zu, macam baby…”
“Wow!” Kata Syed Faiez. Tangannya yang memegang tangan Zuraidah diangkat dan dikucupnya mesra.
“Janganlah buat macam tu! Malu… Kat sini ramai orang.” Kata Zuraidah sambil segera menarik tangannya dari pegangan Syed Faiez. Café itu memang dipenuhi orang, namun mereka duduk di meja kecil yang agak tersorok.
“Malam ni kita keluar… kita pergi ke tempat yang istimewa.” Kata Syed Faiez. Hatinya mulai bergelora dengan rasa cinta yang kian membara dalam dadanya. Walaupun Zuraidah bukan wanita pertama yang hadir dalam hidup namun kehadirannya telah membuat dia dapat melupakan perempuan yang pernah mengecewakan hati dengan mudah. Mengenang nama Katrina kini tidak lagi melukakan hati malah lega wanita itu pergi dari hidupnya.
Dia bersyukur, terputusnya perhubungan dengan Katrina membuat dia bebas untuk mengikat tali cinta dengan Zuraidah. Harapan dan impiannya, perhubungan mereka akan berkekalan. Dia pun telah membayangkan pada bondanya untuk menyunting Zuraidah. Adiknya Syed Fairouz sudah bertunangan pada bulan lalu. Selepas tiga hari bertunang, Rohaya berlepas ke Sarawak. Janji pertunangan itu hanya setahun sahaja, akan segera diakhiri dengan pernikahan.
Bagus juga… kuharap Fairouz melupakan sikap playboynya tu! Bisik hati Syed Faiez.
“Ke mana?” Tanya Zuraidah ingin tahu.
“Surprise.” Jawab Syed Fairouz sambil tersenyum melerek. Dia tidak akan memberitahu apa-apa pada Zuraidah. Malam itu malam valentine, jadi dia mahu memberikan satu memori indah yang tidak akan dilupakan oleh gadis itu. Makan malam istimewa di tempat yang indah dan mengasyikkan. Dia berharap Zuraidah akan menyukainya.
Syed Faiez menghantar Zuraidah hingga tiba di department tempat gadis itu bertugas; “Mana manager Zu tu?”
“Kenapa?” Tanya Zuraidah tidak mengerti. Dia tidak mahu Syed Faiez bergaduh dengan Ah Boon.
“Tu di sana tu… yang pakai suit merah hati.”
“Baguslah, kalau dia ada. Pastikan dia tengok apa yang Faiez buat!”
“Faiez nak buat apa?” Tanya Zuraidah tidak mengerti. Dadanya mulai berdebar-debar, bimbang Syed Faiez melakukan sesuatu yang tidak terduga.
Syed Faiez bergerak ke arah rak baju. “Dia cakap Faiez datang sini nak kacau kan? Jadi Faiez nak borong banyak baju kemeja dan t.shirt. Faiez juga nak borong beberapa pasang kasut. Jadi, dia tak boleh marahkan?”
“Faiez!!!” Zuraidah menahan gelak melihat kesungguhan Syed Faiez ingin membeli belah di situ.
Ah Boon hanya memerhati dari jauh. Syed Faiez benar-benar membeli belah di situ. Dia memborong sepuluh helai kemeja Valentino, tali leher dari jenama yang sama, disertai dengan kafling Dunhill pelengkap gaya. Kemudian memilih kasut kulit Larrie dan t.shirt jenama Calvin Klein.
“Faiez, biar betul ni…” Bisik Zuraidah. “Beribu nanti habis beli ni semua.”
“Tak apa Zu! Tak cukup duit cash, Faiez ada credit kad. So jangan risau… Memang dah lama Faiez tak shopping. Lagipun semua baju ni Faiez boleh pakai ke pejabat.” Kata Syed Faiez selamba.
Zuraidah hanya mengangkat kening. Diam-diam dia mengawasi tingkah laku Ah Boon dari jauh. Dilihatnya Ah Boon tetap berwajah mencuka biarpun Syed Faiez datang ke situ sebagai pelanggan.
“Jumpa malam ni…” Bisik Syed Faiez setelah menyelesaikan bayaran di kaunter, menggunakan kad credit.
Zuraidah mengangguk, memerhati Syed Faiez yang bergerak turun melalui ascalator dengan barang yang sarat di kiri dan tangan kanannya. Sempat juga matanya memerhati Ah Boon dari jauh. Mata lelaki itu juga tidak lepas dari memerhati mereka berdua. Ah! Biarkan dia… bisik hati Zuraidah. Ah Boon sepatutnya dapat menerima keadaan ini dengan hati terbuka. Cinta tak boleh dipaksa. Cinta datang sendiri tanpa dipinta. Dia amat mengharapkan pengertian daripada Ah Boon, supaya tiada dendam di hati antara mereka.
Bab 4
IDORA merasakan satu perubahan besar pada diri Zuraidah. Anak perempuannya itu selalu sibuk berada di luar rumah, walaupun pada hari cuti. Jika selama ini Zuraidah gemar memerap di dapur, memasak ataupun mengemas namun kini dia lebih suka meninggalkan ruang dapur sunyi sepi.
Semakin dalam dia memikirkan perihal Zuraidah, dia semakin rasa tertekan. Dia tahu Zuraidah lain, bukan seperti Rohaya anak perempuan kesayangannya. Zuraidah yang dingin, sinis dan moody itu kini berubah seratus peratus. Kerap kali dia terdengar Zuraidah menyanyi sendiri dengan girang. Lagu-lagu cinta dan rindu. Lagu itu membayangkan dirinya sedang dilamun asmara. Idora tahu. Idora juga pernah mengalami zaman muda dan cinta yang indah. Cuma keindahan itu tidak kekal lama apabila memasuki alam perkahwinan.
Siapakah lelaki yang berjaya menakluki hati anak perempuannya itu? Apakah dia seorang lelaki yang baik ataupun seorang lelaki tidak bertanggungjawab yang hanya mengambil kesempatan?
Dulu dia mengesyaki Zuraidah menjalin hubungan dengan seorang lelaki Cina. Menurut Zuraidah, lelaki itu pengurus di tempat kerjanya. Namun dia tidak percaya sepenuhnya pada kata-kata Zuraidah itu. Sudah lama tiada kepercayaan dalam dirinya terhadap Zuraidah. Dia selalu dibebani rasa curiga, geram dan tidak senang pada setiap tindakan Zuraidah. Walaupun bukan seratus peratus, tetapi dia merasakan Zuraidah terlalu banyak menyalin dan mengikut perangai suaminya, Murad. Bukan sekadar perangainya tetapi juga wajah dan kulitnya banyak mengikut Murad.
Kulit Zuraidah bukanlah hitam legam. Jauh di sudut hatinya mengakui Zuraidah bukan tidak cantik. Walaupun kulitnya tidak seputih Rohaya, tetapi dia punya daya tarikan yang lain. Sungguhpun genit, tetapi dia punya potongan pinggang yang ramping serta dada yang bulat penuh. Memang memikat. Pinggulnya juga bukan main melentik. Pendeknya menggoda habis… Namun dia selalu memperlecehkan Zuraidah. Sesungguhnya dia sengaja berbuat demikian.
Idora melepaskan keluhan. Bukan mudah untuknya menghadapi dugaan hidup yang dirasakan terlalu pahit sepanjang perkahwinannya dengan Murad. Mujur dia mempunyai pekerjaan untuk menampung hidup, walaupun tidak dapat bermewah-mewah. Sebenarnya Murad tidak mampu untuk berkahwin dua, tetapi suaminya itu terlalu keras hati. Sikap itu diturunkan pada anaknya Zuraidah. Apabila teringatkan Zuraidah, Idora selalu merasakan darahnya naik membuak.
Dia masih menunggu kepulangan Zuraidah, biarpun jam sudah beredar ke pukul dua pagi. Entah ke mana anak itu pergi. Dia maklum benar, kompleks ditutup pada pukul sepuluh malam. Jarak antara pusat bandar ke rumah mereka di Jalan Air Puteh bukannya jauh. Tetapi mengapa Zuraidah mengambil masa yang panjang? Dia mengesyaki malam ini Zuraidah pastinya pergi berpelesiran dengan lelaki.
Kau dah pandai sekarang, Bedah! Kau dah mula lupa diri sejak ada teman lelaki! Aku tahu teman lelaki kau tu pasti bukanlah sebaik dan sehebat tunangan Rohaya, Syed Fairouz. Engkau hanya bertemankan lelaki biasa, entah siapa-siapa! Kalau aku tahulah siapa teman lelaki engkau… pasti aku ganyang budak tu! Berani dan cekal membawa anak orang malam-malam buta, dah pukul dua pagi tak balik lagi!
Kau jangan conteng arang ke muka aku Bedah! Jaga kau kalau kau tak balik sekejap lagi, aku balun kau dengan kayu. Aku tak kira… Kau dah besar panjang ke atau budak kecik ke bagi aku sama saja. Dah lama kau tak kena balun macam masa kau kecik-kecik dulu. Memang patut kau kena. Kalau Kamarudin ada pun, kau pasti kena balun juga. Kau ingat kau boleh lepas… Nanti kau Bedah! Idora semakin marah. Kalau dia marah pada Zuraidah, dia akan memanggilnya ‘Bedah’. Idora tahu, Zuraidah tidak suka pada panggilan nama ‘Bedah’. Zuraidah akan naik angin dan melawan setiap kali dipanggil Bedah. Tetapi Idora tidak peduli asalkan hatinya puas dapat menyakiti hati anaknya itu.
Idora terus duduk di kerusi goyangnya, sambil matanya tidak lepas memandang ke pintu yang bertutup rapat. Entah bilakah waktunya pintu itu akan terkuak. Pasti Zuraidah terkejut mendapati kepulangannya ditunggu malam itu. Selalunya Idora tidak pernah menunggu. Dia sibuk dengan pelbagai persatuan dan kegiatan jualan langsung yang telah dipeloporinya sejak dia masih muda. Di atas kegigihan dan ketekunannya menjalankan perniagaan jualan langsung itu, dia telah memiliki kereta. Bukan itu sahaja, dia turut dapat membesarkan rumah dan membeli tanah. Jika mengharapkan Murad tidak mungkin dia dapat hidup senang seperti sekarang.
Namun malam itu dia tiada sebarang kegiatan. Di rumah hanya tinggal dia bersendirian. Murad ke rumah madunya, memenuhi giliran di sana. Bagi Idora, sejak dia bertambah usia begini, dia tidak peduli sangat di mana Murad hendak bermalam. Semakin hari semakin jelak melayani suaminya itu. Lebih baik Murad berada di rumah sana, supaya madunya dapat memenuhi kehendak Murad. Lagipun Idora lebih cenderung menjaga badannya supaya terus langsing dan menarik walaupun umurnya sudah empat puluh sembilan tahun.
Kamarudin masuk hutan selama tiga bulan. Jika Kamarudin ada, dia tidak akan sesunyi ini. Ada juga teman berbual. Anak lelaki bongsunya pula hanya ada di rumah pada musim cuti sekolah. Dalam kebosanan ini, fikiran dan mindanya hanya tertumpu pada Zuraidah, yang masih tinggal sebumbung dengannya.
Rohaya sudah lama bertolak ke Sarawak, menjalani tugas sebagai guru. Dia percaya anak itu pandai menjaga diri. Dia bukannya liar seperti Zuraidah yang sentiasa pulang kerja pada waktu tengah malam. Anak perempuan orang lain sudah masuk tidur, tetapi Zuraidah baru pulang. Mulanya dia malu juga pada jiran tetangga kerana Zuraidah sering bekerja malam. Namun lama-kelamaan dia mulai lali dan tidak menghiraukan apa orang hendak kata. Dia sendiri pun kadang-kadang lebih banyak masa berada di luar rumah pada waktu malam.
Beberapa kali Idora menguap. Orang yang ditunggu-tunggu tidak juga pulang. Dia mengambil keputusan untuk masuk ke dalam bilik tidur. Tiada gunanya menunggu Zuraidah yang jelas tidak akan pulang pada malam itu. Bila Zuraidah pulang nanti, tahulah dia bagaimana hendak mengajarnya.
MEREKA berjalan bergandingan sepanjang lorong berturap batu-batu sungai berwarna putih bersih. Ada lampu berwarna warni mengerlip dan mengerdip di setiap saat, digantung pada pepohon bunga mengelilingi taman herba itu. Bulan di dada langit memeriahkan suasana di taman yang diterangi cahaya taram temaram.
Bunyi air di pancuran buatan, bagaikan muzik yang membelai jiwa. Mereka terus bergerak menghala ke wakaf bali yang menggamit pandangan sejak Zuraidah tiba di rumah Syed Faiez. Wakaf bali berbumbung tinggi, dan dilindungi tabir putih terbuai-buai dipuput angin. Ada jambatan kayu menghala ke wakaf, yang dikepung kolam berisi ikan kap.
Di taman itu terdapat pepohon wangi seperti kesidang, cempaka, kemuning wangi, vanila dan kemboja. Baunya yang harum semerbak tersebar jauh, membuat Zuraidah rasa terbuai. Mereka berdua melabuhkan punggung di atas lantai wakaf yang diletakkan dengan bantal tiga segi dari negara Thai. Zuraidah leka melihat ikan yang berenang bebas.
Rumah itu milik Syed Faiez, terletak di pinggir bandar. Menurut Syed Faiez rumah itu hadiah daripada keluarganya. Namun Syed Faiez tidak tinggal di situ, malah dia jarang sekali mengunjungi rumah itu. Ada kenangan yang mahu dilupakannya. Namun malam itu entah mengapa dia harus mengajak Zuraidah ke situ. Mereka menikmati makan malam di situ. Syed Faiez menunjukkan bakat memasak. Nyata tidak mengecewakan. Stik yang dimasaknya lazat. Dia turut menyediakan pencuci mulut.
“Kenapa Faiez tak tinggal di sini?” Tanya Zuraidah ingin tahu.
“Kalau kita dah kahwin nanti… Bolehlah tinggal di sini.” Jawab Syed Faiez sambil tersenyum menyakat.
Zuraidah tidak memberikan sebarang reaksi. Wajahnya sudah merah padam. Dia pura-pura marah sebaliknya berkata; “Siapa kata Zu nak kahwin dengan Faiez?”
“Jadi, Zu tak mahu kahwin dengan Faiez? Zu nak kahwin dengan siapa?”
“Dengan sesiapa saja… Tapi bukan dengan Faiez.” Jawab Zuraidah, hanya bergurau sahaja padahal dia tidak akan bertangguh-tangguh sekiranya Syed Faiez melamar.
“Ala… Tipulah Zu tak mahu kahwin dengan Faiez.” Jawab Syed Faiez sambil menyinggul bahunya. Mereka duduk saling berhimpitan sambil menghulur kaki ke dalam kolam. Terasa air yang beralun perlahan, dilanda ikan yang jinak di dalam kolam tersebut.
“Zu dah mengaku cintakan Faiez. Faiez lelaki pertama dalam hidup Zu. Zu takkan tinggalkan Faiez. Pedih rasanya ditinggalkan kekasih Zu. Faiez dah rasa macamana kecewanya bila impian yang dibina hancur berkecai. Sebenarnya rumah ini adalah hadiah bonda untuk Faiez sekiranya Faiez berkahwin dengan Katrina. Tapi Katrina tinggalkan Faiez…” Kata Syed Faeiz dengan suara yang lirih.
Zuraidah memandang wajah lelaki di sampingnya itu. Dia terkejut dan tidak sangka Syed Faiez akan bercerita tentang masa lalunya di malam itu. Malam Valentine pertama mereka pula. Nama Katrina, bekas kekasih Syed Faiez terasa begitu menyakitkan telinganya. Dadanya berdebar. Entah mulai saat itu dia jadi benci pada sepotong nama itu, meskipun dia tidak kenal siapakah manusia bernama Katrina itu.
Sakit rasanya menelan kenyataan. Suatu masa dulu Syed Faiez pernah mempunyai kekasih. Dia bukan yang pertama bagi lelaki itu. Dia tidak tahu dia kekasih yang ke berapa bagi Syed Faiez. Dia berharap dia tidak perlu mengetahui lebih banyak tentang lalu lelaki itu.Lebih baik dia tidak tahu, hatinya tidak akan terluka. Namun terlanjur Syed Faiez sudah bercerita, dia terpaksa melayaninya juga.
“Kenapa dia tinggalkan Faiez?”
Syed Faiez hanya mengangkat bahu. Dia enggan meneruskan ceritanya sebaliknya berkata; “Tak payahlah cerita pasal Katrina. Faiez pun dah lupakan dia lama dulu.”
“Kalau dia datang semula dalam hidup Faiez macamana?”
“Jangan bimbang, Faiez takkan terima dia semula. Mengapa mesti Faiez terima orang yang menghadiahkan seribu luka pada Faiez?”
“Faiez, Zu pun tak ada apa-apa nak beri pada Faiez, hanya cinta yang benar-benar tulus dan suci…”
“Itu dah cukup bagi Faiez.” Balas Syed Faiez sambil memeluk bahu Zuraidah. Dia tersenyum mesra, lalu tanpa sebarang amaran dia mengucup kening Zuraidah. Zuraidah membiarkan sahaja. Dia rasa bahagia bila bersama Syed Faiez. Dia tidak kisah pada waktu yang terus beranjak. Mereka terpaku memerhati bulan yang mulai turun ke kaki langit, menandakan hari sudah hampir dinihari. Cahaya bulan semakin pudar…
Malam itu mereka sudah sepakat untuk menghabiskan masa bersama. Zuraidah pun tidak membantah, menurut sahaja segalanya. Sebelum mengenali Syed Faiez dia tidak pernah segila ini. Tidak pernah, dia melayani lelaki seperti dia meladeni Syed Faiez. Dia tidak peduli dan tidak kisah akan risiko yang dihadapinya. Dia amat pasti Idora akan mengamuk besar jika dia tidak pulang sepanjang malam. Apalagi dia tidak langsung menghubungi emaknya itu memberitahu dia tidak balik malam itu. Lebih teruk lagi, dia telah memati telefon bimbitnya agar dia tidak diganggu.
Syed Faiez bangun tiba-tiba meminta izin untuk masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian dia keluar dengan sebuah gitar. Dia tersenyum mesra sambil memeluk gitarnya duduk di atas lantai wakaf di hadapan Zuraidah. Dia mulai memetik gitarnya penuh asyik dan mulai berlagu dengan suara yang begitu merdu.
Kau bebaskan aku dari dibelenggu kesepian
Sekian lama telah kutunggu
Akan percintaan ini
Kau buatku rasa sesungguhnya dunia ini indah
Cantiknya cinta yang kau persembah
Membuatku terasa tiada lain yang kumahu
Hanyalah kasih darimu
Menemaniku sepanjang waktu
Sepanjang hayatku oh kasihku
Dengarlah hanya satu janjiku buatmu
Sesungguhnya kasihku padamu takkan termamah dek masa
Hati Zuraidah tersentuh. Bukan kerana suara Syed Faiez yang beralun dengan lembut dan syahdu. Namun bait-bait senikata lagu dari nyanyian penyanyi Rem itu benar-benar dihayatinya dengan sepenuh hati. Malam ini telah menjadi malam yang mengasyikkan hingga airmatanya mengalir.
“Faiez… Indahnya lagu tu. Suara Faiez mengalahkan suara Rem. Selama ni Zu jarang dengar lagu tu… tapi setelah Faiez yang mendendangkannya, Zu terasa lagu tu sungguh bermakna.”
“Hmmm, nampaknya Rem tak boleh cari makanlah ni!” Gurau Faiez tersenyum senang.
“Terima kasih, Faiez kerana mencintai Zu seadanya.” Kata Zuraidah dengan suara yang sebak.
“Sebenarnya masih banyak kisah hidup Zu yang Faiez tak tahu. Zu selalu bernasib malang, Faiez. Faiez tak takut ke nanti nasib Faiez pun berubah jadi malang bila bersama dengan Zu?”
“Kenapa Zu cakap macam tu? Bukan semua orang bernasib malang selalu Zu. Setiap peristiwa yang berlaku ada hikmahnya. Sebenarnya tiada nasib malang atau nasib baik Zu. Itu takdir yang sudah tersurat. Kita perlu bersabar menempuhi dugaan itu…”
“Faiez, Zu tak pernah rasa bahagia selama hidup ni. Ada-ada saja yang menimpa Zu, buat kegembiraan Zu tidak kekal lama. Tapi sejak bertemu Faiez, Zu rasa hidup Zu amat indah. Cuma Zu berharap keindahan itu berkekalan.
“Sudah tentu sayang. Percayalah… Walau apa pun terjadi, Faiez janji tidak akan tinggalkan Zu. Zu juga harus berjanji tidak akan mengecewakan Faiez.”
Zuraidah mengangguk, yakin cinta mereka akan sentiasa bertaut. Seperti bulan dan matahari yang akan terbit setiap waktu, begitulah juga perhubungan mereka akan terus kekal selagi wujudnya dunia ini. Mereka sama-sama menatap langit yang semakin cerah. Sepanjang malam itu Syed Faiez dan Zuraidah langsung tidak melelapkan mata.
Esok adalah hari cuti bagi Zuraidah, namun Syed Faiez terpaksa masuk ke pejabat. Walaupun syarikat milik keluarga, tetapi dia tetap seorang pekerja yang mematuhi disiplin dan waktu kerja. Di situlah letaknya tanggungjawab dan kejujuran.
Lewat pukul enam pagi, Syed Faiez menghantar Zuraidah pulang. Walaupun ada sekelumit rasa bersalah dalam hatinya, namun dia tidak kesal sepanjang malam itu mereka habiskan bersama. Banyak cerita yang diluahkan oleh Zuraidah. Dan dia mengerti dan memahami segala yang diluahkan.
“Cukuplah Faiez hantar Zu di sini saja…” Kata Zuraidah. “Biar Zu berjalan kaki ke rumah. Dah tak jauh hanya tinggal dua meter saja lagi. Nanti kalau mak nampak, lain pula jadinya. Dia akan tuduh Zu macam-macam. Lagipun Zu belum mahu mak tahu, perhubungan kita.”
“Suka hati Zu lah. Tapi Faiez harap Zu akan beritahu juga nanti. Tak adalah Faiez rasa macam dah larikan anak dara orang.” Kata Syed Faiez sambil tergelak kecil.
“Zu takut mak tak merestui kita Faiez. Mak tu lain sikit. Apa yang Zu buat semua tak kena, tak betul. Jadi, Zu yakin mak pasti tak setuju kita ada hubungan. Lagipun adik Zu dah bertunang dengan adik Faiez.”
“Zu… Jodoh kita tak tahu! Sebenarnya bonda Faiez tak ada masalah. Dia pun dah lama tahu Faiez sukakan Zu. Sejak kali pertama tengok Zu di rumah masa kami datang merisik Rohaya untuk Fairouz. Balik aje ke rumah, Faiez terus tanya bonda pendapat dia tentang Zu…”
Zuraidah terkejut. Dia memandang Faiez. Lelaki itu menganggukkan kepalanya. “Betul Zu, Faiez tak tipu. Bila-bila masa saja kalau Zu setuju, Faiez akan bawa Zu jumpa bonda.”
“Belum lagi, Faiez. Zu belum bersedia. Kalau boleh biar Rohaya kahwin dulu…”
“Kita kahwin serentak nanti.” Antara gurau dan serius, Syed Faiez berharap ianya segera jadi kenyataan. Tidak salah sekiranya mereka mengadakan majlis bersama-sama.
Zuraidah sekadar tersenyum, lalu terus keluar dari kereta Syed Faiez. Dia melambai sebelum kereta lelaki itu bergerak pergi. Kemudian menapak perlahan, penuh hati-hati menghala ke rumah. Saat membuka pintu pagar, Zuraidah terkejut apabila terlihat wajah Mak Su jiran sebelah rumahnya keluar untuk membuang sampah. Dahinya berkerut melihat Zuraidah yang baru pulang. Wanita itu menegurnya dengan nada menyindir; “Eh, Idah! Baru balik ke?”
“Err… Ya, makcik.”
Bibir Mak Su tercebik. Zuraidah benci melihat cebikan yang hodoh itu. Dia tahu dalam hati Mak Su sedang mengutuknya. Zuraidah tidak ingin melayani wanita tua itu, dengan cepat dia menutup pintu pagar. Tergocoh-gocoh dia berjalan menghala ke pintu depan, sambil tangannya lincah mengeluarkan kunci dari beg tangan.
Mak Su terus memerhati dari arah pintu pagar hadapan rumah.
Apa pandang-pandang? Gerutu Zuraidah di dalam hati, sambil menolak daun pintu perlahan-lahan. Hatinya rasa tidak keruan. Dia mendapati lampu di bahagian ruang tamu tidak dipasang, sebaliknya lampu dapur menyala terang. Idora sudah pun bangun. Tidak sempat dia memanjat tangga naik ke tingkat atas dia telah disergah oleh Idora dengan suara yang kuat; “Engkau dari mana? Dengan siapa engkau tidur malam tadi?”
Zuraidah terkejut bukan kepalang. Jambangan bunga dan hadiah yang diberi oleh Syed Faiez yang tadi dipeluknya erat, jauh ke lantai. Ruang itu jadi terang benderang, setelah Idora membuka semua lampu yang ada. Dia ingin melihat wajah anak perempuannya yang mulai belajar pulang kesiangan. Dia tidak sangka Zuraidah semakin berani membuka langkah, mengubah haluan hidupnya. Bukan jalan yang baik dipilih tetapi jalan yang bakal memalukan dia dan Murad.
“Idah dari rumah Shanti… Tidur kat rumah dia.” Jawab Zuraidah tergagap-gagap.
“Siapa engkau tipu ni Bedah! Engkau ingat aku ni bodoh? Engkau ingat aku tak tahu… Ni siapa yang bagi hadiah dengan bunga ni? Engkau dah berani tidur dengan jantan? Siapa jantan tu? Mana dia? Kalau kau dah gatal sangat, kahwin saja. Jangan malukan aku dan ayah kau, Bedah!” Kata Idora dengan suara yang keras. Dia benar-benar menyinga pagi itu. Zuraidah tidak sangka emaknya terlalu marah.
Memang patut emak marah aku… fikir Zuraidah. Dia terasa dirinya bersalah. Tidak pernah dia buat perangai pulang di waktu pagi begini. Memang tidak pernah. Selama ini kecurigaan Idora bertempat. Dia memang bersalah dalam soal ini jadi lebih baik dia tidak meninggikan suara dengan Idora.
“Tak. Idah bukannya nak memalukan emak dan ayah. Idah tak buat apa-apa. Percayalah pada Idah, mak!” Zuraidah separuh merayu dengan suara yang lembut dan perlahan.
“Kalau dah buat salah takkan nak mengaku.” Rungut Idora. Dia memandang tajam ke arah Zuraidah yang berlari-lari anak naik melalui tangga. Cepat Idora mengejar, lalu mencengkam rambut panjang Zuraidah dari belakang.
“Nanti dulu! Banyak lagi perkara aku nak cakap dengan kau!” Idora mencengkam dan menarik rambut Zuraidah yang panjang terhurai. Zuraidah berhenti melangkah. Terasa sakit rambutnya dicengkam begitu.
“Sakit! Mak… Lepaskan!”
Hati Idora masih belum puas. Dia melepaskan rambut Zuraidah, lalu badan anaknya itu dipaling supaya menghadapinya.
“Kau pergi menyundal dengan siapa?” Tanya Idora, sambil tangannya terangkat hendak menampar pipi Zuraidah. Tapi anak itu lebih pantas, lalu menepis tangan Idora ke tepi. Wajahnya garang, matanya terbeliak. Idora tidak menyangka, Zuraidah boleh jadi berubah tingkah laku, melawannya dengan begitu handal sekali.
“Idah tak pergi menyundal!!! Mak jangan nak tuduh-tuduh tak tentu pasal!” Jerit Zuraidah kuat lalu melarikan dirinya masuk ke dalam bilik.
Idora tidak sempat menghalang, Zuraidah sudah pun menutup pintu bilik tidurnya rapat, lalu menguncinya dari dalam. Idora bertambah berang lalu memukul pintu beberapa kali. Zuraidah membatu diri. Dia tidak akan membuka pintu lalu melayani kemarahan emaknya. Dia bimbang, kesabarannya tidak setinggi mana. Dia pasti akan melawan setiap patah kata yang terbit dari mulut wanita itu. Lalu dia akan terhukum lagi sebagai anak derhaka. Sesuatu yang paling dia benci dan ingin elakkan seboleh yang mungkin.
Kemarahan Idora tidak berhenti setakat itu sahaja. Seminggu kemudian, apabila Kamarudin pulang ke rumah, dia menceritakan segala yang dilakukan oleh Zuraidah pada sulungnya itu. Zuraidah benar-benar rasa terseksa. Kamarudin bertindak ganas, memukulnya seperti dia anak-anak kecil. Malah kini abangnya itu sering datang ke kompleks dan mengawasi siapakah lelaki yang mendampinginya. Dia memberitahu Syed Faiez supaya mereka tidak bertemu dalam waktu terdekat ini. Dia tidak mahu rahsia perhubungan mereka terbongkar. Mereka akan bertemu semula seperti biasa apabila Kamarudin kembali masuk ke hutan untuk bertugas.
Syed Faiez terpaksa akur, biarpun dia terasa tindakan Zuraidah itu tidak berasas. Jika benar hati mencintai, kenapa harus takut dan bimbang untuk menjelaskan pada Idora kedudukan sebenar. Bagi Syed Faiez biarkan satu dunia satu percintaan mereka. Tidak perlu ataupun takut.
Bab 5
TANPA DIDUGA, hari ini Zuraidah bergaduh besar dengan Ah Boon. Dia sering memberikan tekanan pada Zuraidah, jelas lelaki itu semakin tenggelam dengan perasaan benci melihat perhubungan Zuraidah dengan Syed Faiez.
Semuanya berlaku kerana kehadiran seorang gadis cantik yang tidak dikenali oleh Zuraidah. Gadis itu mengambil masa yang cukup lama untuk memilih baju buat kekasihnya. Dia cerewet sekali. Memilih sehelai kemeja dan tali leher mengambil masa yang cukup lama. Akhirnya Zuraidah meninggalkan gadis itu lalu melayani pelanggan yang lain, namun gadis itu memanggilnya dengan nada yang angkuh; “Hei! Salesgirl! Mari sini! Saya nak awak tukar baju kemeja ni dengan yang lain. Awak ni tak tahu buat kerja ke? Kenapa awak beri saya baju yang dah koyak? Bukan hanya koyak tapi ada kesan kotoran.” Suaranya lantang sekali, membuat beberapa orang pelanggan memandang ke arahnya.
“Apa ni! Tak jaga kualiti. Service tak memuaskan hati langsung! Saya bukan dapat baju ni free, saya bayar dengan duitlah! Bodoh!!” Gadis itu terus marah-marah.
Zuraidah terkejut dan rasa malu. Dia pasti baju yang diberikan kepada gadis itu tadi tidak koyak. Sudahlah dia terpaksa mencari saiz dan warna yang dikehendaki, sehingga terpaksa mencarinya di stor, tetapi kini gadis itu mendakwa baju itu koyak pula. Saat itu Ah Boon mendekati gadis itu dan memohon maaf beberapa kali. Malah Ah Boon meminta gadis itu supaya tidak beredar pergi.
Ah Boon memerintah Zuraidah supaya mencari baju yang dihajati. Malangnya warna baju itu tiada lagi di stok, walaupun saiz yang sama berlambak-lambak. Zuraidah memberikan cadangan supaya gadis itu mengambil warna yang lain ataupun menukar jenama lain yang tidak kurang baik dan bermutu. Namun gadis itu terus menengking; “Awak nak memerintah saya? Kalau saya kata nak warna hijau tetap warna hijau ni, awak faham tak? Awak kena ingat, saya ni pelanggan sedangkan awak hanya seorang jurujual. Jangan nak tunjuk pandai depan saya.”
“Maaf, cik. Saya bukan nak tunjuk pandai. Tapi saya hanya mencadangkan saja…” Jawab Zuraidah.
Rasanya sudah banyak kali dia memohon maaf, rasa bagaikan dia tidak ada maruah lagi. Dia harus menebalkan muka menghadapi gadis cerewet itu. Orangnya memang cantik, tinggi lampai dan berkulit putih tapi perangainya tidak secantik wajah dan penampilan.
Gadis itu terus berkeras, bagaikan sengaja menunjukkan sikap egonya yang tinggi. Dia berlalu dengan gaya sombong, tidak akan terpujuk lagi dengan kata-kata lembut dan manis. Ah Boon beria-ria memanggilnya semula. Anehnya dia lekas terpujuk dengan kata-kata Ah Boon. Ah Boon berjanji memberikan gadis itu potongan harga istimewa, walaupun baju itu mahal harganya dan berjenama terkenal pula. Ah Boon melayaninya tanpa jemu. Akhirnya gadis itu membeli dua helai kemeja lain berserta tali leher Mark & Spencers tanpa banyak soal.
Setelah gadis itu pergi, Ah Boon berkata padanya dengan nada marah; “Lain kali kalau tak mahu kerja di sini lagi, hantar saja surat berhenti.”
“Boon! Kenapa kau cakap macam tu? Aku masih mahu kerja…”
“Tapi kau makin cuai. Tak layan customer dengan baik. Hanya pandai layan lelaki saja.” Bidas Ah Boon.
“Kau ni saja nak cari salah aku Boon! Kenapa? Kenapa kau ni… jealous sangat dengan aku? Tak boleh tengok aku bahagia…”
“Siapa yang jealous dengan engkau? Aku tak jealous pun! Aku juga ada girlfriend, tapi aku boleh buat kerja aku dengan baik. Excellent. Ehhh… baliklah! Kahwin, duduk rumah senang cerita.” Ejek Ah Boon tanpa simpati.
Zuraidah merengus kasar. Dia memaling wajahnya daripada menatap wajah Ah Boon. Hatinya sakit tidak terkira. Dia merasakan Ah Boon sudah melampau batas. Dia tidak tahu mengapa Ah Boon sanggup memperlakukan dia seperti itu. Ah Boon telah berubah sama sekali daripada seorang pengurus yang bertimbang rasa menjadi seorang yang keras dan mudah meradang.
Zuraidah tidak menghiraukan kata-kata Ah Boon, walaupun dalam hatinya mulai rasa tidak ingin datang ke situ lagi keesokan hari. Barangkali dia perlu mencari kerja baru, tapi di mana? Di situ dia sudah punya ramai kawan-kawan. Dia tidak sanggup untuk pergi bekerja di tempat lain dan membina semula persahabatan dengan orang-orang yang tidak dikenali.
Zuraidah mengeluh berat. Semangatnya bagaikan hilang untuk menempuhi hari esok.
DAHI Syed Faiez berkerut, bibirnya kering. Dia memandang sahaja ke arah gadis itu yang berdiri di tengah-tengah pintu pejabatnya. Gadis itu tersenyum mesra yang tidak dibalasnya dengan segeranya. Jika diikut hatinya dia mahu menghalau gadis itu pergi, tetapi dia tidak mahu memalukannya. Lalu dia berdiri, bertanya dengan nada terkawal; “Apa you buat kat sini, Kat?”
“I nak jumpa you lah.” Jawab Katrina selamba, menutup pintu lalu menghampiri mejanya.
Gadis itu lincah mengeluarkan sebuah bungkusan berbalut cantik dari dalam beg kertas yang dibimbitnya tadi. Bungkusan itu diletakkan di atas meja Syed Faiez yang besar dan kemas itu. Syed Faiez memerhati sahaja, tanpa sebarang kata dia menunggu Katrina yang memulakannya.
“Ni untuk you Faiez.”
“Tak payah susah-susah. I tak perlukan apa-apa daripada you. Boleh tak you keluar dari ofis I ni? I’m busy! Tak ada masa nak layan you.”
Katrina pura-pura tidak mendengar kata-kata Syed Faiez. Sebaliknya dia menyandarkan badannya dengan selesa ke penyandar kerusi, sambil mendongakkan sedikit kepalanya. Dia rasa sedikit penat, menghabiskan masa dengan shopping sepanjang hari itu. Kemudian dia datang menemui Syed Faiez di situ. Dia yakin Syed Faiez memang selalu ada di pejabatnya.
“I faham you sibuk. You buatlah kerja you, I akan tunggu. Sekejap lagi dah waktu minum petang. So, kita boleh minum sama-sama.”
“Siapa kata I nak pergi minum dengan you?”
“Faiez… You macam marah je.”
Syed Faiez tersenyum sinis. “Siapa yang tak marah, kalau hati dipermainkan. You pergi macam tu aje, tanpa pesan. Puas I cuba menghubungi you, tapi you tak jawab. I dapat tahu daripada Lizzie you ada boyfriend baru. Jadi, I ni apa? Barang permainan you? Sorry, I tak boleh terima. I harap you keluar dari pejabat I. Sekejap lagi I nak pergi minum dengan girlfriend I, faham?”
“You dah ada pengganti I?”
“Ya, dia jauh lebih baik dan cantik daripada you…” jawab Syed Faiez selamba.
Tanpa diduga, airmata Katrina berguguran satu persatu di pipinya. Dia teresak-esak sambil menundukkan wajahnya. Syed Faiez kaget, tidak sangka gadis itu akan mengalirkan airmatanya dengan begitu mudah. Mengapa dia harus datang hari ini? Mengapa harus dia menangis apabila mengetahui hatinya sudah dimiliki orang lain? Bukankah dulu dia juga yang telah membuang dan menyisihkan cinta Syed Faiez.
“Maafkan I, Faiez. I menyesal tinggalkan you dulu…”
“Tak ada yang perlu dimaafkan. Dan tak ada yang harus disesali. Semuanya sudah terjadi. Kita dah pilih jalan hidup sendiri. Jadi, tolong jangan datang ataupun hubungi I lagi okey.”
“Berkawan dengan I pun you tak sudi, Faiez?”
Syed Faiez diam sahaja. Dia bergerak ke arah pintu, membukanya sambil berkata; “Tolong keluar. I nak buat kerja.”
“You halau I?”
“I buka menghalau, tapi you datang tak kena pada masanya…”
“Jadi, I boleh datang lain kali?”
“Tak juga… I mahu pergi selama-lamanya dari hidup I, itu saja!”
“Faiez! Begitu benci sekali you pada I. Tak apa! I tahu I salah. I akan lakukan apa saja asalkan you terima I semula. I akan pastikan you mencintai semula seperti dulu, tiada apa pun yang berubah.”
“Oh! Itu hanya angan-angan you saja, I dah orang lain dalam hidup I sekarang.”
“Siapa dia? I yakin orang itu tak sehebat I. I yakin, cinta baru tu takkan semegah dan setanding dengan cinta yang pernah I berikan pada you suatu masa dulu.”
Katrina terus bangun dan melangkah keluar. Namun dia meninggalkan bungkusan hadiah untuk Syed Faiez di atas meja lelaki itu. Dia berharap Syed Faiez sudi menerima hadiah itu walaupun tidak lagi mencintai dirinya.
Syed Faiez hanya terpaku memerhati gadis itu melangkah pergi. Memang dia akui cinta pertamanya adalah milik Katrina. Dia jadi takut pada dirinya sendiri kini. Benarkah dia mampu untuk mengekalkan cinta keduanya. Apakah ianya akan musnah dengan kembalinya Katrina ke daerah itu. Bayangan wajah Katrina bermain di mata. Bertambah cantik dan anggun penampilannya. Tergugatkah rasa cintanya yang baru tumbuh terhadap Zuraidah?
Tidak lama kemudian Syed Faiez keluar dari pejabatnya lalu terus menemui Zuraidah untuk mengajaknya minum. Mereka minum di cafe tidak jauh dari tempat kerja masing-masing. Pertemuan petang itu tidak seceria biasa. Zuraidah tenggelam dalam masalah yang masih membelenggu dirinya dan Syed Faiez juga masih tidak dapat melupakan insiden Katrina datang menemuinya. Mereka berdua sama-sama diam membisu, tanpa ada keinginan untuk memecahkan tembok dingin itu.
Akhirnya Zuraidah bersuara; “Faiez, Zu rasa nak cari kerja lain.”
“Kerja lain? Kerja apa?” Tanya Syed Faiez sambil memandang tepat ke wajah gadis itu.
“Hm, entahlah. Zuraidah tengah fikirkan kerja apa yang sesuai dengan Zu. Selama ni Zu tak tahu buat kerja lain selain daripada jadi jurujual.”
“Tak payah banyak fikir Zu… Kerja aja dengan Faiez.”
“Kat pejabat Faiez ada kerja kosong ke?”
Syed Faiez menggeleng, dia tersenyum di atas kenaifan Zuraidah.
“Kerja di rumah Faiez. Jadi isteri Faiez sepenuh masa…” Katanya sambil mencapai tangan Zuraidah dan menggenggamnya erat.
Zuraidah terdiam. Lama. Dia termenung jauh. “Tapi Zu rasa biarlah Rohaya kawin dulu Faiez. Zu belum bersedia. Boleh berikan Zu sedikit masa lagi?”
“Okey… Faiez tak kisah. Tapi jangan lama-lama sangat. Faiez memang nak kawin dengan Zu. Apa kata esok, Faiez bawa Zu jumpa bonda?”
Zuraidah terkejut. Dia menarik tangannya dengan cepat daripada genggaman Syed Faiez. “Jumpa bonda Faiez? Seganlah… Zu tak bersedia lagilah nak jumpa dia.”
“Zu takut ke?” Tanya Syed Faiez sambil membaca riak ragu dan bimbang di wajah Zuraidah.
Zuraidah mengangguk. Memang dia gentar untuk berhadapan dengan ibu kekasih hatinya itu. Dia bimbang dirinya tidak disukai lalu disingkirkan oleh wanita itu.
“Zu tak pernah ada kekasih sebelum Faiez. Zu tak tahu bagaimana nak berhadapan dengan bonda Faiez. Macamana kalau dia tak sukakan Zu? Zu takut dia tak sukakan Zu. Zu juga takut mak tak benarkan kita bernikah Faiez.”
“Jangan bimbang pasal bonda Faiez, Zu. Zu selalunya bertimbang rasa dan tidak banyak soal. Kalau Faiez dah suka, bonda akan ikut saja. Tapi kebimbangan Zu tentang mak Zu memang berasas. Faiez dapat rasakan yang dia akan jadi masalah dan rintangan dalam perhubungan kita. Tapi percayalah, hati Faiez dah nekad untuk memperisterikan Zu, tidak kira apa yang terjadi.”
Terharu hati Zuraidah mendengar kata-kata Syed Faiez; “Zu percaya pada Faiez. Terima kasih. Zu rasa tambah yakin perasaan cinta Faiez pada Zu memang ikhlas. Tapi macamana kalau mak Zu menentang perhubungan kita?”
“Kenapa dia harus menentang cinta kita, Zu?”
“Entahlah, tapi selama ini mak suka menentang apa saja yang Zu lakukan. Dia memang bencikan Zu. Zu tak tahu sebab apa, tapi antara kami memang tak ada kemesraan. Komunikasi antara kami hanyalah meluahkan kemarahan yang meluap-luap. Kadang-kadang Zu tak tahan, akhirnya Zu melawan. Faiez, Zu bukan anak yang baik. Zu tak mahu nanti Faiez rasa menyesal kerana mencintai perempuan hina macam Zu.”
“Jangan cakap macam tu, Zu! Selama kita berkawan, Faiez dapat menilai diri Zu. Bagi Faiez, Zu sempurna. Jangan bimbang sayang… Faiez tahu membezakan perempuan macamana Zu ni. Yang pasti, Zu bukan macam Katrina.” Saat itu Faiez terbayangkan wajah Katrina. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Tidak disangkanya Katrina dengan beraninya datang kembali dengan wajah selamba, setelah meninggalkannya tanpa pesan.
Memang perempuan itu jenis tidak tahu malu dan suka berbuat sesuatu mengikut hati dan kehendaknya saja tanpa memikirkan perasaan orang lain. Tiba-tiba Syed Faiez terfikir, Katrina kembali ke daerah itu dengan hajat tertentu. Mengapa dia tidak terus lenyap, seperti mana dia pergi tanpa sebarang pesanan ditinggalkan. Dia datang dan pergi seperti angin lewat, yang hanya memberikan sedikit kesan kemudian semuanya kembali biasa, tenang dan nyaman. Dia amat berharap Katrina terus tidak muncul lagi di hadapannya.
TANPA disedari oleh Zuraidah dan Syed Faiez, tingkah laku mereka berdua diintip oleh Katrina dari kejauhan. Katrina benar-benar tidak sangka, kekasih Syed Faiez adalah Zuraidah, jurujual yang menyakitkan hatinya itu. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Patutlah dia rasa benci dan tidak suka pada Zuraidah walaupun baru pertama kali bertemu pagi tadi. Rupa-rupanya kau perampas kekasih aku! Bisik hati Katrina. Walaupun dia sedar kenyataannya dialah yang meninggalkan Syed Faiez untuk bersama dengan lelaki lain dulu, namun dia tetap menyatakan bahawa Zuraidah perampas kekasihnya. Bagi Katrina, Syed Faiez tetap miliknya walaupun dia telah melukai dan meninggalkan jejaka itu.
Dia akan berusaha untuk merebut hati lelaki itu kembali. Lagipun dia tahu semua kelemahan dan kebaikan lelaki itu kerana mereka berkawan demikian lama. Perkenalan mereka bermula sejak mereka sama-sama menuntut di universiti dulu. Dia tidak harus berlengah-lengah lagi untuk memulakan langkah pertama, memikat hati Syed Faiez semula.
Katrina berjalan laju meninggalkan tempat itu lalu terus menuju ke keretanya. Dia tersenyum sendiri, masuk ke dalam kereta dan memandu pergi. Dia yakin tentang arah dan desKatrinasi tujuannya pada petang itu. Akhirnya dia tiba di hadapan sebuah rumah dia tingkat yang terletak di bahagian lot tepi. Pintu pagar kelihatan bertutup rapat. Katrina keluar dari kereta, lalu bergerak mendekati pintu pagar. Dia menekan loceng.
Tidak lama kemudian muncul seorang wanita dari pintu hadapan rumah. Dia memerhati ke arah pintu pagar yang bertutup rapat. Seorang gadis yang amat dikenalinya berdiri di situ, sambil melemparkan senyuman dari kejauhan. Gadis itu mengangkat tangan, melambai girang. Mahu tidak mahu, dia membalasnya dengan senyuman mesra, lalu bergerak membuka pintu pagar.
“Makcik, apa khabar?” Tegur Katrina ramah sambil menghulur tangannya. Dia menunduk, lalu mencium tangan Puan Sharifah Aliah.
“Baik. Kau pula apa khabar, Katrina?”
“Baik juga makcik. Katrina baru jumpa Faiez tadi.”
“Jumpa Faiez?” Puan Sharifah Aliah bagaikan tidak percaya, Katrina dan Syed Faiez kembali berkawan. Dulu anak lelakinya itu pernah mengadu, betapa luka dan kecewa hatinya ditinggalkan oleh gadis itu. Tanpa sebab, gadis itu menghilang diri. Hanya khabar daripada Lizzie, teman baik Katrina bahawa gadis itu kini berada di Kuala Lumpur dan bekerja di sana. Khabar angin menyatakan dia punya kekasih dan lelaki itulah yang mengajaknya bekerja di ibu kota.
Namun mengapa hari ini, Katrina balik ke daerah itu dan mendakwa masih punya hubungan dengan Syed Faiez.
“Ya, auntie. Faiez tak beritahu auntie yang kami dah berbaik-baik semula? Dia juga yang suruh Katrina datang sini jumpa auntie.”
Puan Sharifah Aliah menggeleng. Memang sejak kebelakangan ini Syed Faiez selalu sibuk. Jarang mereka dapat berbual-bual. Hari minggu pun Syed Faiez tiada di rumah. Dia mengagak anak terunanya itu ada kekasih, tetapi dia tidak sangka pula yang Syed Faiez kembali berbaik-baik dengan Katrina.
“Betul ke? Tak pernah pun dia sebut nama Katrina lagi kebelakangan ni. Memang auntie terkejut. Tapi tak apalah… Mari kita masuk, berbual di dalam saja.” Pelawa Puan Sharifah Aliah. Wanita itu seorang yang baik hati dan penyayang. Dia mudah menerima sesiapa saja. Tidak kira teman lelaki ataupun wanita anaknya pasti akan dilayaninya dengan baik dan mesra.
Senang hati Katrina bukan kepalang melihat menerima Puan Sharifah Aliah. Langsung wanita itu tidak tahu apa yang berlaku antara mereka. Dia yakin kemenangan berpihak padanya sekiranya mengambil hati Puan Sharifah Aliah. Katrina mengeluarkan bungkusan hadiah daripada beg kertas yang dibawanya bersama lalu dihulur ke arah wanita itu; “Ni ada buah tangan untuk auntie. Katrina baru balik dari Jakarta. Harap auntie sukakan kain telekung yang Katrina belikan khas untuk auntie.”
Wajah Puan Sharifah Aliah jadi berseri-seri menenerima hadiah daripada Katrina itu. Dia membuka dan membelek-belek kain telekung bersulam indah dengan benang emas. Terdapat taburan sulaman bunga-bungaan kecil berwarna merah lembut. Memang cantik dan lembut sekali kain cotton dari Indonesia itu. Selain lembut, ianya tidak panas dan amat selesa dipakai ketika bersolat.
“Oh… Memang cantik sekali Katrina. Auntie pun kalau ke Indonesia, tak pernah lepas dari beli telekung. Tekunannya memang cantik, lain daripada tekunan orang-orang kita di Malaysia. Lamakah Katrina berada di Jakarta?”
“Adalah lebih kurang seminggu. Katrina juga pergi ke Bali.”
“Katrina pergi dengan siapa?”
“Bersama keluarga. Dah lama merancang nak bercuti bersama tapi baru kali ni jadi…” Katrina tergelak kecil walaupun tiada yang lucu dalam kata-katanya.
“Yalah…. Mummy dan daddy kau sihat?”
“Al-hamdulillah, semuanya sihat.” Balas Katrina sambil memerhati sekeliling ruang yang sunyi itu. Kemudian matanya beralih semula ke arah meja di sisi sofa lalu terpandangkan foto majlis pertunangan.
“Majlis pertunangan siapa ni?” Tanya Katrina, sedikit curiga. Lalu sekonyong-konyong terbayang wajah Zuraidah dan Syed Faiez di cafe tadi yang kelihatan begitu mesra berpegangan tangan tanpa menghiraukan orang sekeliling. Jelas benar mereka berdua sedang dilamun asmara.
Puan Sharifah Aliah tertawa pendek. “Ni majlis pertunangan Syed Fairouz. Rohaya, nama tunangnya tu, seorang guru. Sekarang ni bertugas di Sarawak.” Beritahu Puan Sharifah sambil memandang tepat ke wajah Katrina. “Katrina pula, bila lagi?”
Wajah Katrina merah padam mendengar pertanyaan Puan Sharifah Aliah. Pertanyaan yang datang tanpa duga langsung. Namun dia tetap tersenyum lalu berkata; “Itu kena tanya Faiez. Kami memang ada merancang, tapi tak tahu lagi bila waktu yang tepat.”
Puan Sharifah Aliah menyembunyikan rasa terkejut. Dia tidak tahu menahu tentang rancangan anak lelaki sulungnya itu untuk melamar Katrina. Dan dalam masa yang sama Syed Faiez menyatakan dia terpikat dan sukakan Zuraidah. Manakah satukah gadis pilihan hati anaknya itu.
Bab 6
PETANG semakin larut, matahari kian terbenam lalu hilang dari langit. Hanya tinggal cahaya yang indah bertebaran di atas permukaan laut, lalu menyimbah ke pantai yang putih bersih. Pantai itu lengang dan sepi. Sepasang kekasih kelihatan masih leka di persisir pantai. Jemari tangan mereka lekat menjadi satu, sambil kaki melangkah beriringan.
Rambut Zuraidah terbuai disapa angin laut yang bertiup perlahan. Pandangannya terpaut pada laut yang terbentang luas dan telinganya terbuai dengan alunan ombak seolah-olah itulah pertama kali dia melihat laut dan pantai. Padahal di tempat kelahirannya juga ada laut dan pantai, namun ianya bagaikan tidak sama dengan Pantai Teluk Kemang. Ini jelas sekali disebabkan kehadiran jejaka di sisinya.
“Faiez, keluarga Faiez ada banyak sekali rumah. Di Teluk Kemang ni pun ada rumah banglo hak keluarga Faiez. Zu tahu, betapa kayanya keluarga Faiez… Kadang-kadang Zu rasa rendah diri pula.”
“Kenapa Zu rasa rendah diri? Walaupun ada banyak rumah, tapi bila nak tidur, Faiez hanya gunakan satu bilik tidur dan satu katil saja. Tak dapat nak guna semuanya. Tak ada bezanya kita Zu, sama saja.”
“Faiez memang betul. Tapi ini semua buat Zu jadi takut. Zu banyak kekurangan, sedangkan Faiez terlalu banyak kelebihan. Bukankah ada jurang yang besar antara kita, Faiez?”
“Cinta tak kenal perbezaan darjat dan usia. Tengoklah cinta antara Siti Khadijah dan Nabi Muhammad, Zulaikha dan Nabi Yusuf. Zu tahu tak kisah Nabi Yusuf?”
Zuraidah mengangguk memandang wajah Syed Faiez sekilas kemudian berkata; “Sedih ya kisah Nabi Yusuf. Baginda dicemburui saudara kandungnya sendiri kerana baginda lebih disayangi oleh ayahandanya. Sanggup abang-abangnya bertindak melampaui batas dengan mencampakkannya ke dalam perigi. Abang-abangnya berbohong menyatakan dia dimakan oleh serigala. Ayahanda baginda sangat sedih dan menangis sehingga matanya menjadi buta. Terharu betul Zu bila melihat kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya… Zu tak rasa tu semua…” Suara Zuraidah berubah lirih dan sedih, dia teringatkan perhubungan antara dia dan keluarganya sendiri.
“Mak tak sayangkan Zu. Ayah pula terlalu lebihkan keluarganya yang satu lagi… Rasa macam Zu ni tak ada tempat.”
“Zu, Zu ada tempat yang istimewa di hati Faiez.” Pujuk Faiez sambil memaut bahunya dengan kukuh. “Walaupun cinta Faiez pada Zu tak setanding tingginya dengan cinta insan-insan mulia itu, para nabi tapi Faiez sanggup berkorban untuk Zu. Percayalah…”
“Terima kasih Faiez. Memang Zu akui, Tuhan Maha adil. Dia tetap beri Zu rasa bahagia. Walaupun Zu rasa terabai dari mendapat kasih sayang mak ataupun ayah, tapi Zu tak pernah rasa terabai di sisi Faiez.”
“Bila kita ada anak nanti, janganlah kita abaikan anak-anak kita, Zu. Kita akan beri mereka kasih sayang sepenuhnya dan tiada perbezaan antara mereka samada lelaki ataupun perempuan. Setuju?” Tanya Syed Faiez sambil menoleh pada Zuraidah.
“Insya Allah.”
Syed Faiez berhenti berjalan. Dia mengambil sebatang ranting kecil yang terbaring di atas pasir di hadapan mereka. Lalu dia menulis namanya dan Zuraidah di permukaan pasir itu. Kemudian ditambahnya dengan nama seorang perempuan. Nurdina Maria.
“Hei! Nama siapa ni?” Tanya Zuraidah, mulai dijentik cemburu. Sempat dia terfikir apakah itu nama bekas kekasih Syed Faiez selain daripada Katrina.
“Anak perempuan kita.” Jawab Syed Faiez ketawa. “You berikan nama anak lelaki!”
“Aminal Nashriq.” Tulis Zuraidah di atas permukaan pasir.
“Anak-anak kita… Dina dan Nashriq! Bahagianya.” Kata Syed Faiez sambil ketawa.
Zuraidah memukul bahunya namun Syed Faiez pantas mengelakkan diri. Dia berlari menjauhi gadis itu sambil tertawa. Zuraidah mengejarnya hingga mereka sama-sama kepenatan. Syed Faiez melabuhkan punggungnya di atas pasir membiarkan ombak kecil melanda kaki dan tubuhnya. Zuraidah menuruti langkahnya, duduk di sisi lelaki itu. Zuraidah dan Syed Faiez sama-sama tertawa bahagia, mengingati keindahan impian dan angan-angan mereka berdua.
Tiba-tiba Syed Faiez mendekatkan hidungnya, mencium pipi Zuraidah sekilas lalu berbisik; “Kita kahwin sajalah Zu. Mari kita pergi jumpa mak Zu sekarang juga!”
Zuraidah memandang Syed Faiez, tidak menyangka lelaki itu tidak sabar-sabar ingin bernikah dengannya. Dia masih juga belum pasti tentang idea perkahwinan yang selalu dilontarkan oleh jejaka itu. Sedikit sebanyak dia rasa takut. Apakah perkahwinannya akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat?
“Faiez, Faiez lupa ke kita berada di mana? Kan kita baru nak memulakan percutian di sini. Baru aje sampai tadi… dah nak ajak Zu balik?”
“Hm, kalau Zu ada di sisi Faiez, Faiez selalu lupa pada dunia ni…”
Zuraidah hanya ketawa lembut, menarik Syed Faiez supaya bangun. “Dah gelap dah ni Faiez. Jom lah kita balik. Baju Zu pun dah basah ni…”
Mereka sama-sama berjalan menghala ke rumah banglo bercat putih yang dapat dilihat daripada tepian pantai itu. Banglo besar milik Tuan Syed Alwi, dijadikan tempat untuk bercuti. Malah Tuan Syed Alwi membenarkan para pekerjanya menggunakan banglo itu sekiranya ada yang berniat hendak bercuti dan bermalam di Teluk Kemang. Banglo itu terjaga dengan rapi. Setiap hari penjaga banglo itu datang untuk membersihkan rumah. Bagi staff syarikat Syed Alwi yang ingin bercuti di situ perlu mendapatkan kunci daripada penjaga rumah banglo tersebut yang tinggal berhampiran. Namun bagi Syed Faiez, dia memiliki kuncinya sendiri.
Mereka berdua masuk ke dalam rumah. Syed Faiez terus ke dapur, setelah mengeluarkan barang-barang makanan yang dibeli sebelum datang ke situ. Malam ini mereka akan membuat barbekue yang akan dinikmati oleh dia dan Zuraidah.
“Kat mana bilik tidur?” Tanya Zuraidah.
“Kat atas. Ada enam bilik tidur. Pilihlah yang mana Zu mahu. Tapi Faiez akan tidur di bilik bawah saja. Bahaya kalau Faiez tidur sebilik dengan Zu…” Kata Syed Faiez bergurau dan tertawa menyakat.
Zuraidah mencegilkan matanya sambil berkata; “Marilah, kalau berani!”
“Faiez memang tak berani. Takut pada yang di atas!” Jari telunjuknya diangkat dan dihalakan ke langit. Menandakan dia takut pada Tuhan.
“Tahu pun!” Jawab Zuraidah sambil terus memanjat tangga naik ke tingkat atas. Saat dia tiba di tingkat atas, rambang mata dia memilih bilik tidur. Semuanya kemas dan cantik. Akhirnya dia memilih bilik hujung, yang tingkapnya mengadap ke laut.
“Hmmm… Pandai pun Zu memilih bilik mengadap ke laut. Sebenarnya bilik ni pun bilik kegemaran Faiez.”
“Jangan banyak cakap! Zu takkan pindah ke bilik lain. Kan Faiez nak tidur kat bilik bawah tadi?” Sindir Zuraidah.
“Yalah. Faiez tahu Faiez belum dapat lesen untuk sebilik dan sekatil dengan Zu. Hmmm… bila agaknya Zu?” Tanya Syed Faiez berdiri di belakang Zuraidah yang memandang ke laut, jauh terbentang. Malam itu terang, terlihat bulan yang baru naik. Cahayanya gemilang, berwarna kuning tembaga beradukan dengan buih-buih ombak yang kelihatan tumpah di permukaan laut yang tenang. Begitu cantik sekali.
Syed Faiez memeluk Zuraidah dari belakang. Aneh, Zuraidah menyerah sahaja dengan hati penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang. Syed Faiez mencium bahunya kemudian rambutnya yang lebat terhurai. Dia memaling lembut badan Zuraidah supaya menghadapinya; “Zu, Katrina ada datang jumpa Faiez beberapa hari yang lalu…”
“Jadi…”
“Sebab itulah Faiez nak menikah dengan Zu secepatnya. Zu tak tahu Katrina tu akan buat apa saja untuk dapatkan Faiez semula. Terus terang Faiez kata Faiez dah tak ada apa-apa perasaan pada Katrina lagi.”
“Kalau Faiez tak ada perasaan apa-apa lagi pada Katrina, mengapa ada rasa takut dalam mata Faiez? Faiez bimbang hati Faiez akan berpaling, mencintai Katrina semula?” Tanya Zuraidah.
“Bukan macam tu, Zu. Faiez rasa Katrina takkan datang mengganggu hidup Faiez sekiranya kita berkahwin.”
Zuraidah mengangguk. “Okeylah… Nanti Zu akan beritahu mak tentang Faiez. Lepas tu bolehlah Faiez datang, memohon restu daripada mak.”
Syed Faiez tersenyum. Tiba-tiba hidung Zuraidah kembang kempis, terhidu bau hangit yang dibawa angin begitu kuat sekali.
“Faiez! Zu terbau benda hangit lah! Faiez bau tak?”
“Alamak! Daging bakar… Dah hangus agaknya!” Kata Syed Faiez sambil berlari turun ke tingkat bawah. Zuraidah mengekorinya sambil menggeleng-gelengkan kepala di atas kelalaian lelaki itu.
Selepas makan malam, mereka hanya duduk berbual di tepian pantai, mendengar suara ombak. Jam terus beranjak, beberapa kali Zuraidah tersengguk-sengguk lalu, Syed Faiez menyuruhnya masuk tidur. Mereka kembali ke dalam rumah, namun terkejut saat terdengar bunyi kereta memasuki halaman. Syed Faiez mengintai di tingkap berdekatan pintu utama, terlihat kereta adiknya Syed Fairouz baru tiba dan parkir di sisi keretanya.
Mereka berdua terkejut, berdiri kaku berdekatan dengan pintu saat terdengar Syed Fairuoz membuka pintu dari luar. Syed Fairouz juga terkejut melihat kehadiran seorang wanita bersama dengan abang sulungnya itu. Dia tahu Syed Faiez ada di situ kerana telah melihat kereta abangnya tersadai di luar. Namun dia tidak sangka Syed Faiez bersama dengan perempuan lain. Bukan Katrina. Dia tidak tahu Syed Faiez ada kekasih lain… selain daripada Katrina. Syed Faiez dan Zuraidah juga terkejut kerana mendapati Syed Fairouz juga tidak bersendirian. Dia bersama dengan seorang gadis yang tidak dikenali.
“Siapa ni?” Syed Fairouz bertanya terlebih dahulu, meskipun pertanyaan yang sama bermain dalam kepala Syed Faiez.
“Kenalkan ni Zuraidah… kakak kepada Rohaya, tunang kau Fairuoz.” Kata Syed Faiez dengan wajah serius.
“Apa? Dia ni kakak Rohaya?” Syed Fairouz terkejut. Airmukanya berubah.
“Ya. Betul, saya kakak tunang awak.” Jawab Zuraidah tegas.
“Kau buat hubungan dengan kakak Rohaya?” Syed Fairouz bagaikan tidak percaya. “Dah tak ada orang lain ke, Faiez?” Tanya Syed Fairouz menyindir.
“Apa salahnya? Aku rasa tak ada yang tak kena di sini, Fairouz. Kau tu yang jelas lebih bersalah daripada aku. Siapa yang kau bawa ke sini malam ni? Kan kau dah ada tunang?”
“Tunang?” Sampuk gadis di sisi Syed Fairouz. “You dah bertunang?”
Syed Fairouz terdiam. Dia nampak serba salah. Memang dia tidak pernah memberitahu gadis itu tentang pertunangannya dengan Rohaya.
“Penipu!!” Kata perempuan itu lalu terus meluru ke luar.
Syed Fairouz merengus, memandang marah ke wajah Syed Faiez. “Kau rosakkan segala-galanya. Aku tak peduli apa kau nak buat… dengan siapa kau nak bercinta. Dengan Katrina ke atau dengan perempuan ni! Tapi kau jangan campur dalam urusan aku!” Katanya dengan keras kemudian meluru keluar.
Zuraidah hampir-hampir tidak percaya dengan apa yang baru dilihat dan didengarinya. Syed Faiez turut menggelengkan kepala, kesal sekali dia terhadap sikap Syed Fairuoz.
“Dia memang kaki perempuan. Masa dia cakap dengan bonda nak bertunang dan berkahwin dengan Rohaya, bonda betul-betul lega. Ingatkan dia dah berubah! Tapi tengoklah sendiri… Dia sanggup tipu gadis itu. Entah berapa ramai gadis lagi yang ditipunya!”
Zuraidah terduduk lemah di sofa. Dia memandang Syed Faiez dengan wajah yang mengandungi seribu rasa curiga; “Faiez! Faiez pun macam tu juga ke? Ada apa-apa yang Faiez sembunyikan daripada Zu? Entah-entah Faiez pun nak main-mainkan perasaanku. Zu tak percaya Faiez dah tak ada apa-apa dengan Katrina…”
Syed Faiez terkejut mendengar pertanyaan Zuraidah yang dibauri rasa curiga dan bimbang. Jelas kini kejujurannya menjerut batang lehernya sendiri. Dia tidak sangka Zuraidah akan jadi curiga dan cemburu membabi buta.
“Zu nak balik sekarang juga…” Kata Zuraidah lalu berlari naik ke tingkat atas, untuk mengambil beg pakaiannya.
Bab 7
MASA berputar dan musim terus beralih. April datang dengan bahang sinar mentari yang membakar kulit. Zuraidah tiada mood untuk keluar walaupun waktu makan tengaharinya sudah tiba. Dia kecewa mengingati musim percintaannya yang indah semakin hilang serinya. Syed Faiez mendiamkan dirinya apabila terus merasa curiga di atas kejujuran jejaka itu.
Dia takut menempuh hidup ini bersendirian. Dulu dia menganggap tanpa cinta, dia boleh hidup sendiri dan mencipta bahagia. Namun setelah mengenali cinta dia tidak sanggup hidup tanpanya. Dia merasa hidupnya tidak sempurna.
Sudah seminggu Syed Faiez tidak menghubunginya. Dia benar-benar buntu. Apakah dia pergi mencari Syed Faiez? Apakah dia perlu memohon maaf kerana terus diamuk rasa cemburu dan curiga yang berpanjangan. Bukankah sudah berkali-kali lelaki itu menyatakan pendiriannya akan terus setia padanya.
Dia benar-benar dilanda rasa takut dan bimbang. Zuraidah mengerling jam, mendapati sepuluh minit sudah berlalu. Dia bingkas bergerak, mencapai beg tangan lalu terus turun ke tingkat bawah. Zuraidah menuju ke restoran yang terdapat di tingkat bawah kompleks lalu membeli dua bungkus nasi ayam. Kemudian dia berjalan laju menghala ke pejabat Syed Faiez.
Dia pernah pergi ke pejabat Syed Faiez pada waktu malam, di saat semua orang sudah pun balik. Dia tahu di mana letaknya pejabat lelaki itu. Namun kini dia teragak-agak apabila penyambut tetamu tidak membenarkannya masuk. Apakah alasan yang harus dia berikan? Setiap orang yang ingin bertemu dengan lelaki itu harus membuat appoinment. Apakah seorang kekasih perlu membuat appoinment juga? Gila! Perempuan yang menjadi penyambut tetamu itu tidak kenal padanya, malah mereka tidak pernah tahu dia adalah kekasih Syed Faiez. Niatnya hendak membuat kejutan tidak menjadi.
Penyambut tetamu mengangkat gagang dan bercakap melalui corong telefon dengan Syed Faiez; “Encik Syed, ada perempuan nak jumpa encik.” Beritahu penyambut tetamu itu dengan nada teragak-agak. Zuraidah mendengar penyambut tetamu itu bersuara dengan nada perlahan, menyambung kata; “Tak tahu namanya. Tapi dia pakai uniform kompleks beli belah…Rasanya dia seorang jurujual…”
Zuraidah rasa terhina. Begitu pedih perasaannya menghadapi kenyataan. Dia sedar kini memang ada jurang antara mereka. Dia sedar juga, dirinya tidak setanding dengan lelaki yang penting dan berpangkat seperti Syed Faiez.
Dia tidak menunggu penyambut tetamu itu melanjutkan kata-katanya, lalu terus menolak pintu cermin untuk bergerak keluar dari ruang penyambut tetamu yang dingin itu. Namun langkahnya terhenti, dia mendengar suara Syed Faiez dari belakangnya; “Zu!”
Zuraidah berpaling, menghadapi Syed Faiez yang berdiri tegak di hadapannya. Dia melihat kekasihnya itu begitu segak, mengenakan kemeja berwarna hijau muda dan dipadankan dengan tali leher berwarna hijau pekat. Dia tergamam. Dia tidak tahu Syed Faiez nampak begitu segak dengan kemeja hijau itu. Entah mengapa dia bagaikan pernah melihat baju itu.
“Kenapa Zu tak call handphone Faiez dulu, baru datang sini?” Syed Faiez bertanya dengan nada tergesa-gesa.
Zuraidah hanya mengangkat bahu. Dia tahu kedatangannya ke situ adalah satu kesilapan. Dia menggigit bibirnya dia kuat. Syed Faiez melihat di tangan Zuraidah terdapat dua bungkus polisterina putih. Dia mengagak Zuraidah membawa makan tengahari untuknya. Sayang sekali dia makan tengahari awal tadi.
“Okey. Zu silap datang ke sini. Maafkan Zu kerana memalukan Faiez, datang ke sini dengan memakai uniform ni. Sorry…” Zuraidah terus berlalu meninggalkan Syed Faiez yang terpaku memerhati.
Tiba-tiba Zuraidah berpatah semula dan terus menyerahkan salah satu bungkusan nasi itu ke arah Syed Faiez. “Zu datang nak makan tengahari dengan Faiez. Ambillah nasi ni… Harap Faiez belum makan.”
“Zu… Faiez sebenarnya dah makan.” Kata Syed Faiez kesal. Hatinya digayuti rasa bersalah.
“Kalau dah makan, buang saja dalam tong sampah.” Kata Zuraidah lalu berjalan laju menghala ke tangga. Syed Faiez hanya terpaku memerhati Zuraidah yang berjalan laju tidak menoleh lagi ke belakang.
Zuraidah terus turun ke tingkat bawah menggunakan tangga sahaja. Nafasnya termengah-mengah turun dari pejabat Syed Faiez yang berada di tingkat 3. Walaupun bagaimana tidak sempat sampai di tingkat bawah, dia sudah terduduk di atas tangga tingkat satu. Dia mengurut dadanya mencari ketenangan. Namun ketenangan itu tidak kunjung tiba. Dadanya bertambah sesak dan sebak. Dia teresak-esak sendiri di ruang sepi dan kosong itu. Memang tangga itu jarang digunakan orang. Penghuni bangunan itu lebih senang menggunakan lif walaupun untuk naik ke tingkat satu.
Dari kejauhan Zuraidah terdengar bunyi kasut memijak anak tangga di belakangnya. Dia segera menyeka airmata yang masih mengalir dengan lebat. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu dia menangis di situ. Dia harus pergi, namun dia terasa begitu lemah sekali. Perutnya terasa senak dan sakit. Dia amat lapar namun tiada selera untuk memamah makanan. Barangkali nasi ayam itu hanya akan menjadi habuan bakul sampah.
Dia terasa bahunya disentuh. Zuraidah menoleh, mendapati Syed Faiez ada di sisinya. Syed Faiez memeluk bahunya sambil memohon maaf beberapa kali.
“Tadi Faiez ada meeting awal. Tak sempat makan pagi. Sebab tu lah Faiez terus makan tengahari pukul 12.30 tadi. Sorry…” Kata Syed Faiez sambil menghulur sapu tangan. “Kesat airmata tu. Nanti orang tahu Zu menangis… mata Zu merah dan bengkak.”
Zuraidah tidak menghirau sapu tangan yang terhulur ke arahnya.
“Zu… Please! Jangan buat macam ni.” Pujuk Syed Faiez. “Jom naik ke pejabat Faiez. Zu boleh makan. Tak ada orang kat pejabat Faiez, tak perlu risau.”
“Tak apalah. Biar Zu makan di bilik rehat tempat kerja Zu saja.” Zuraidah menolak lembut sambil bangun.
“Zu! Jangan macam tu!”
“Zu tak mahu memalukan Faiez.”
“Malu apa? Penyambut tetamu tu… Salmi namanya, dia tak kenal Zu. Nanti Faiez kenalkan dia dengan Zu. Jadi lain kali bila Zu datang lagi, dia takkan halang Zu masuk cari Faiez, Okey?”
Syed Faiez menarik Zuraidah supaya mengikutnya naik. Tidak lama kemudian mereka sudah berada di ruang penyambut tetamu itu semula.
“Salmi… Kenalkan, ini Zuraidah. Lain kali kalau Zu datang, benarkan dia terus masuk ke bilik saya, okey?”
Salmi mengangguk. Dia tersenyum memandang Zuraidah. Hatinya tertanya-tanya apakah hubungan gadis itu dengan Syed Faiez.
“Okey, Encik Syed…” Jawab Salmi.
“Jom, masuk bilik Faiez, Zu!” Ajak Syed Faiez mesra sambil memaut bahu Zuraidah.
“Err… Encik Syed! Cik Katrina dan Puan Sharifah baru datang tadi. Mereka ada di dalam bilik Encik Syed. Mereka datang masa Encik Syed keluar tadi…”
“Apa?” Syed Faiez terperanjat. Air mukanya berubah. Dia merenung Zuraidah dengan wajah pucat. Zuraidah tidak menunggu lagi lalu terus meluru keluar. Dia tidak sanggup untuk mendengar rayuan dan pembohongan Syed Faiez lagi.
Syed Faiez terpaku sejenak, membiarkan Zuraidah melarikan dirinya sekali lagi. Kemudian dia bergerak laju menuju ke biliknya.
“BONDA!” Seru Syed Faiez sebaik sahaja pintu biliknya dibuka dari luar.
Puan Sharifah Aliah sedang duduk di sofa panjang berwarna krim yang ada di ruang biliknya yang luas itu, bersama dengan Katrina. Mereka kelihatan mesra sekali sedang meneliti sebuah majalah yang terkembang di atas ribaan Katrina.
Puan Sharifah Aliah memandang ke arah anak lelakinya yang baru masuk.
“Kau ke mana?” Tanya Puan Sharifah Aliah.
“Bonda buat apa di sini?” Tanya Syed Faiez sambil menjeling Katrina yang duduk tenang sahaja, masih terus membelek majalah di atas ribaannya.
“Kami datang ni nak ajak kau lunch. Bonda baru balik shopping dengan Katrina.”
“Bonda, boleh tak Faiez nak cakap dengan Katrina sekejap?”
Puan Sharifah Aliah mengangguk, dia bergerak keluar dari bilik kerja anaknya itu.
“Katrina! Sejak bila you dengan bonda I berbaik-baik ni? Apa tujuan you?” Tanya Syed Faiez.
Katrina mengangkat wajahnya, tersenyum mesra. Dia puas hati kerana berjaya memikat hati Puan Sharifah Aliah. Dengan mudah dia dapat membina hubungan mesra dengan Puan Sharifah Aliah. Dia tahu, tidak lama lagi dia akan dapat menawan hati Syed Faiez semula. Dia pasti lelaki itu amat sayangkan bondanya dan tidak akan menolak permintaan daripada wanita yang telah melahirkannya itu.
“Tak ada apa-apa. I ikhlas…” Jawab Katrina. “Lagipun tak salah kalau I berkawan dengan bonda you. Dia baik dan memahami I.”
“Hah! Kalau you nak berkawan dengan bonda, suka hati youlah! Tapi jangan nak babitkan I nanti. Dan jangan datang ke sini dengan bonda I lagi.”
“Tadi dia yang ajak I ke sini. Takkan I nak tolak?” Sambut Katrina lagi dengan wajah selamba dan suara yang tenang.
Sebaliknya Syed Faiez diamuk rasa geram, kesabarannya kecundang dan kemarahannya mengatasi pertimbangan akal. “Huh! I tak senang nak ke mana-mana sekarang. I banyak kerja…”
“Banyak kerja atau pun you sibuk mengejar jurujual tak sedar diri tu!” Sindir Katrina, dengan wajah yang sinis.
“Ehhh… Mana you tahu ni?”
“I tahu segala-galanya. I buat ‘homework’ lah. Tak payah nak sorok hubungan you dengan dia. I dah tahu semuanya. Hmm, tak sangka. Ingatkan you bercinta dengan gadis yang lebih cantik dan standardnya jauh lebih tinggi dari I tapi hanya setakat jurujual saja.” Ejek Katrina seenaknya. “Tak lama lagi I yakin hubungan you dengan dia akan hancur!”
“Katrina! Jangan masuk campur dalam urusan peribadi I. Siapa pun dia, I cintakan dia lebih daripada I cintakan you dulu…”
Katrina tidak menjawab, dia bangkit lalu terus bergerak ke pintu.
“Sama-sama kita lihat samada hubungan you berdua boleh bertahan ataupun tidak.” Jawab Katrina terus menyindir lagi dengan lebih pedas. “Atau pun dia akan tinggalkan you kerana sedar siapa dirinya, tidak setanding dan tidak setaraf dengan you, Faiez!”
Syed Faiez tidak menjawab. Di matanya terbayang-bayang wajah Zuraidah yang sedih, berendam airmata. Masih wujud di matanya bayangan Zuraidah yang berlari-lari meninggalkannya sebentar tadi. Apakah perhubungan cinta mereka akan gagal menempuhi dugaan dan rintangan?
Bab 8
“AYAH mahu Faiez in charge projek baru kita di Jerantut tu. Ayah harap kau takkan kecewakan ayah. Fairouz memang tak boleh harap. Dah berapa hari dia tak masuk ke pejabat. Entah ke mana dia pergi, ayah pun tak tahu.” Kata Tuan Syed Alias, penuh harapan. Di masa yang sama dia juga melahirkan rasa kecewa dengan sikap adik Syed Faiez.
Syed Faiez mengangguk sahaja. Barangkali dia perlu menjauhkan diri sejenak daripada Zuraidah. Sejak kebelakangan ini, hubungan mereka dilanda badai. Zuraidah enggan memberikannya kemaafan, meneruskan rajuknya. Namun dia yakin perhubungan mereka akan pulih. Pasti perpisahan sejenak ini memberi mereka peluang untuk menilai hati dan perasaan masing-masing.
Dia tidak ingin memiliki cinta yang hanya sesat. Jika boleh dia ingin percintaan mereka kekal selamanya. Namun mana mungkin itu semua dapat dilakukan apabila hal sedikit pun menjadi begitu besar di mata Zuraidah?
“Satu lagi ayah dah lantik pembantu baru Faiez untuk sama-sama kendalikan projek ni. Ayah tahu kau memang boleh bekerjasama dengan dia.” Bapanya menekan intercom memberitahu setiausahanya agar memanggil gadis yang dimaksudkannya masuk menemuinya; “Tolong panggil Katrina masuk sekejap!”
Syed Faiez terkejut mendengar nama Katrina. Lidahnya serta merta menjadi kelu. Dia tidak tahu apa yang harus dia perkatakan. Memang dia akui Katrina bijak dalam memanfaatkan suasana. Gadis itu memang cekap dalam membuka langkah untuk hadir dalam hidupnya semula.
Katrina masuk lima minit kemudian. Syed Faiez terkejut sekali melihat penampilannya yang elegent. Bau wangian gadis itu hinggap di hidungnya tatkala mereka duduk bersebelahan menghadapi meja Tuan Syed Alias yang luas.
“Walaupun projek ni buat projek terbesar kita, tapi bagi ayah semua projek yang kita dapat penting. Lepas ni kau bincang dengan Katrina. Semua maklumat dan fail pasal projek tu ada dengan Katrina. Katrina… You terus bincang dengan Faiez lepas ni, okey?”
“Baik, uncle.” Jawab Katrina. “Faiez, jom pergi ke bilik I sebab fail tu ada kat sana.”
Mahu tidak mahu Syed Faiez terpaksa membontoti Katrina ke bilik. Dia benar-benar kehairanan dan tidak tahu menahu mengenai mengenai kemasukan Katrina ke dalam syarikat milik bapanya itu.
“Sejak bila mula bekerja dengan ayah?”
“Sebenarnya I baru start hari ni…” Beritahu Katrina setelah mereka berada di dalam biliknya. Dulu bilik itu dihuni oleh salah seorang eksekutif syarikat yang sudah pun bertugas di cawangan lain. Kini bilik itu dihuni Katrina pula. Begitu cekapnya gadis itu memikat dan menambat hati ibubapanya. Bagaimana pula dengan dia? Jelas sekali dia tidak akan mudah terpedaya.
Tangan Katrina lincah mengeluarkan fail dari dalam laci meja dan mulai membukanya dengan pantas. “Projek ni adalah rumah teres di satu kawasan pinggir bandar Jerantut…” Katanya dengan suara yang tenang dan terkawal. Syed Faiez hanya mendengarnya sekali lalu. Fikirannya menerawang entah ke mana. Tiada satu pun kata-kata Katrina yang melekat dalam mindanya saat itu. Dia tahu, ayahnya menyimpan harapan yang tinggi. Tidak patut dia mengabaikan tanggungjawab yang telah diberikan. Tapi persoalannya mengapa dia harus bersama Katrina menguruskan projek itu? Tiada orang lainkah? Ada berapa ramai pengurus projek dalam syarikat perumahan ayahnya itu. Mengapa dia harus bertugas dengan Katrina?
“Macamana you boleh bekerja di syarikat ni Kat? Dan I baru dapat tahu hari ni… ayah tak ada beritahu apa-apa pun sebelum ni mengenai kemasukan you ke dalam syarikat.” Syed Faiez tidak menghiraukan penerangan Katrina yang panjang lebar mengenai projek yang akan mereka tangani bersama.
“Mulanya I tolong uncle buat marketing. I’m good in marketing field you know. Tapi tak sangka uncle percayakan I. Projek yang kita nak buat ni I yang dapatkan tender daripada kerajaan negeri. So, here I am… Takkan I nak tolak tawaran yang begitu baik daripada uncle. I dapat komisyen dan gaji yang lumayan.”
Mata duitan! Bisik Syed Faiez di dalam hatinya. Dia mencebikkan bibirnya sambil berkata; “I rasa you boleh uruskan sendiri projek ni tanpa kehadiran I kan? Sebab you begitu cekap dan efisyen, jadi tak perlulah I ada. You boleh buktikan kemampuan you.” Kata Syed Faiez sambil bangun. “I akan beritahu ayah, you mampu kendalikannya sendiri. So, good luck to you. Harap you boleh bawa banyak keuntungan kepada syarikat kami…” Syed Faiez terus bangun, meninggalkan bilik Katrina. Gadis itu terkedu, memerhati sahaja.
Syed Faiez terus bergerak kembali ke bilik ayahnya. Dia tidak akan pergi bersama Katrina ke Jerantut. Biarkan gadis itu menguruskan projek terbabit tanpa dirinya. Dia lebih senang terus berada di sini, bersama dengan insan yang disayanginya. Dia tidak akan membiarkan rajuk Zuraidah terus berpanjangan, nanti akan menyebabkan kekecewaan yang lebih teruk di hati gadis itu. Dia perlu menegaskan pada Katrina sekali lagi, bahawa perhubungan mereka tidak akan bersambung semula lalu menganggap kelukaan lama itu telah pun terubat dengan mudah. Dia bukannya berdendam. Cuma hatinya tiada lagi kepercayaannya terhadap Katrina. Dia pasti Katrina punya muslihat tertentu untuk merapatinya semula.
KEKOSONGAN rumah itu membelenggunya dalam kesepian. Dia memandang di setiap sudut ruang tamu yang tidak berorang, sebaik sahaja pulang dari kerja malam itu. Entah ke mana semua orang pergi. Kereta Idora tiada di garaj, menandakan emaknya tiada di rumah. Ayah pula usah diharap, pasti berada di rumah emak tirinya.
Zuraidah memang tidak pernah memikirkan perihal ayah yang tidak peduli padanya sama sekali. Ayah hanya merasa perlu pulang ke rumah itu kalau dia kesempitan duit. Ayah selalunya meminta duit daripada Idora ataupun pada Kamarudin, abang sulungnya. Namun beberapa bulan dulu ayahnya beralih kepada Zuraidah pula, meminta wang. Bukan sedikit jumlahnya. Terkejut benar Zuraidah di atas permintaan ayahnya yang meminta duit daripadanya sebanyak RM3,000.00. Katanya dia dibelenggu hutang. Dia berhutang dengan peminjam wang atau along. Zuraidah berkeras tidak akan memberikan lelaki itu duit. Ayahnya naik radang, lalu dia mulai mengungkit, menyatakan tiada gunanya dia punya anak seperti Zuraidah.
Dia menyumpah Zuraidah dengan kuat, di hadapan khalayak ramai di dalam kompleks. Zuraidah rasa malu tidak terkira. Sampai hati ayahnya memaki hamun di hadapan orang ramai. Kebanyakan yang ada di situ sedang sibuk membeli belah tetapi sempat juga memandang dan mendengar kata-kata kesat Murad.
Zuraidah memang memiliki duit simpanan, tetapi dia tidak akan mengeluarkan wang itu sewenang-wenangnya. Wang itu hanya digunakan untuk waktu-waktu sukar. Walaupun tidak banyak, tetapi wangnya yang tersimpan ada lebih kurang sepuluh ribu ringgit. Dia tidak pernah memberitahu sesiapa tentang simpanannya itu. Dia telah bekerja di kompleks itu lebih kurang lima tahun lamanya dan menabung sedikit demi sedikit. Dia tahu dengan pasti, jika ditimpa kesusahan tiada sesiapa yang akan membantu termasuk ibubapa dan adik beradiknya. Zuraidah merasakan hidupnya benar-benar bersendirian walaupun dia masih berada di bawah satu bumbung dengan ibunya.
Entah mengapa dia merasakan dunia ini hanya mengajarnya sesuatu yang kejam dan menyakitkan. Dunia ini hanya dipenuhi dengan orang-orang yang membencinya. Dia tiada tempat untuk pergi. Dia tiada sahabat karib…Dan tidak lama lagi dia juga akan kehilangan kekasih.
“Seven lonely days seven lonely nights. Seven lonely days, cry cry for you…” Zuraidah tiba-tiba teringatkan bait-bait lagu itu lalu bernyanyi sendiri dengan hati yang pilu. Sudah seminggu lamanya dia tidak bertemu dengan Syed Faiez. Dia terasa bagaikan sudah setahun masa yang ditempuhinya. Masa-masa itu penuh dengan penyeksaan yang begitu dalam, menyakit dan menyeksa batinnya.
Barangkali mereka tidak akan bertemu lagi. Zuraidah tidak pasti. Namun dia harus membuat satu keputusan penting. Dia bukan sahaja berdepan dengan masalah cinta tetapi juga masalah di tempat kerja. Zuraidah tidak seronok lagi bekerja di situ. Lantas hari ini dia telah mengambil cuti selama seminggu. Memang jarang sekali mengambil cuti begitu lama tanpa sebab-sebab yang kukuh. Cuti yang dipohonnya daripada pihak pentadbiran tidak mengambil masa yang lama untuk diluluskan, seolah-olah Ah Boon memang mahu dia ‘berambus’ dengan cepat dari tempat itu.
Apa yang harus aku buat selama seminggu ini? Seminggu akan datang, bakal dilalui dengan penuh kebosanan. Itu sudah pasti! Ke mana aku harus pergi? Pergi bercuti seorang diri ataupun memerap saja di rumah? Tanya hati Zuraidah sendiri sambil melangkah longlai menuju ke bilik tidur.
Esoknya Zuraidah bangun lewat, saat matahari sudah meninggi. Dia terburu-buru bangun, membersihkan diri dan turun ke dapur. Dia mendapati dapur kosong sahaja, tidak berorang. Dia mengagak sendiri emaknya tidak balik malam semalam. Zuraidah menyediakan sarapan untuk dirinya sendiri. Hanya semug milo panas dan dua keping roti. Dia minum sambil menonton rancangan ‘Martha Steward’. Terhibur juga dia menonton rancangan tersebut dan sempat pula menyalin resepi muffin yang diajar oleh selebriti terkenal itu.
Zuraidah berhasrat hendak menyediakan muffin coklat chip yang diajar oleh Martha dalam rancangan yang ditontonnya tadi. Petang nanti adalah waktu yang sesuai untuk menikmati muffin. Walaupun harus memamahnya seorang diri, Zuraidah tidak kisah. Tiba-tiba Zuraidah terfikir untuk melakukan pelbagai perkara sepanjang cutinya, untuk melegakan rasa stress yang melanda diri kebelakangan ini. Dia akan berkebun, bersenam dan menyediakan kek ataupun muffin setiap petang. Itu janjinya pada diri sendiri. Apa yang pasti dia ingin bergembira dalam kesendiriannya itu.
Memang mudah menyediakan muffin tersebut jika diikuti caranya dengan betul. Zuraidah puas hati benar, saat melihat muffin yang dibuatnya menjadi begitu enak, gebu, lembut dan lembab. Terima kasih Martha! Bisik Zuraidah sambil melahap muffin yang masih panas, baru dikeluarkan dari oven. Sedang enak menikmati muffin itu sendirian, dia terdengar loceng pintu ditekan orang. Zuraidah terkedu sejenak, kemudian buru-buru membuka pintu. Sempat dia menjulurkan hujung lidahnya, membersihkan sudut bibir yang barangkali dipaliti sisa-sisa muffin. Malu, kalau dilihat orang bibirnya comot.
Saat pintu terbuka dia tidak menemui sesiapa. Dia memandang ke bawah dan terlihat seekor patung beruang yang besar berada di tepi kaki. Dia mengambil patung beruang itu, membeleknya dengan dahi berkerut. Leher patung beruang itu dililit dengan reben berwarna pink. Sebentuk cincin berlian yang indah terikat pada leher patung beruang itu. Tanpa sedar Zuraidah tersenyum sendiri. Tidak perlu dia meragui siapakah yang menghantar patung beruang itu, lalu dia memeluknya dengan erat sambil tersenyum.
Di dalam rumah dia terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Zuraidah berlari-lari mengambil telefon bimbitnya. Tanpa melihat di skrin dia terus menjawab; “Hello…”
“Alangkah bahagianya kalau Zu peluk Faiez macam Zu peluk patung beruang tu tadi… Erat betul, sambil tersenyum!” Kata Syed Faiez.
“Faiez! Faiez kat mana?”
“Kat depan rumah Zu. Zu tak perasan langsung rupanya…”
“Tadi Zu pandang kat depan rumah, tak nampak sesiapa pun!” Jawab Zuraidah.
“Masa Zu pandang, Faiez menyorok!”
“Faiez ni macam budak-budak!” Kata Zuraidah, dia tergelak.
“Zu pun macam budak-budak. Sikit-sikit nak merajuk. Masih tak percaya pada cinta Faiez. Zu ingat Faiez main-main lagi ke?”
“Tak… Sekarang Zu percaya pada Faiez. Faiez masuk ya? Zu ada buat muffin!”
“Muffin? Tentu sedap kan…”
“Hmmm, memang sedap.” Jawab Zuraidah bagaikan menggoda Syed Faiez supaya segera masuk ke rumah.
“Tak apa ke Faiez masuk? Makcik ada ke?”
“Mak tak ada. Masuk ajelah Faiez. Tak elok orang tengok duduk kat luar pagar lama-lama sangat. Makcik sebelah rumah Zu busybody…” Kata Zuraidah sambil terus bergerak membuka pintu. Dia berjalan laju ke arah Faiez, membuka pintu pagar lalu mengajak lelaki itu masuk.
“Hmmm… sedapnya bau. Dari sini pun dapat hidu bau muffin yang Zu buat.” Kata Syed Faiez sambil tersenyum mesra. “Tengok kat tepi bibir Zu pun ada kesan muffin lah!” Syed Faiez sengaja menyakat.
Wajah Zuraidah berubah, merah padam. Dia malu. Bukankah tadi dia sudah pun membersihkannya dengan lidah. Mengapa Syed Faiez menyatakan masih ada kesan muffin.
“Kat mana?”Tanya Zuraidah, jari-jarinya spontan menyapu sudut bibir dan pipinya.
Syed Faiez, mengangkat tangan, jari telunjuknya pantas bergerak di sudut bibir Zuraidah yang separuh terbuka. Hujung jari sengaja bergerak lembut di bibir itu, seolah-olah sedar melukis bentuk bibir Zuraidah yang agak tebal dan bulat di bahagian bawah tetapi tipis di sebelah atasnya.
Spontan dia mendekatkan bibirnya, mengucup bibir itu perlahan dengan penuh rasa rindu yang membuak-buak. Seminggu tidak bertemu, dia merasa begitu lelah menanggung rindu. Tengahari tadi dia ke kompleks, Shanti menyatakan Zuraidah cuti pada hari itu. Lalu Syed Faiez terus ke rumah Zuraidah, mendapati rumah itu sepi. Dia yakin Zuraidah tinggal seorang diri.
Zuraidah membiarkan Syed mengucupnya. Pertama kali bibirnya disentuh begitu lembut dan syahdu. Kemudian Zuraidah segera mengajak Syed Faiez ke dapur. Dia masih rasa gementar dan takut jikalau Syed Faiez berhasrat mengulangi kucupannya yang hangat, penuh ghairah itu. Walaupun rasa takut dan gentar, namun tiba-tiba Zuraidah teringin mencubanya lagi lain kali. Ahhh… gila betul perasaanku! Apakah ini dorangan rasa cinta ataupun hasil pujukan iblis? Bentak hati Zuraidah. Kelukaannya bagaikan terubat dengan pertemuan yang tidak pernah diangan-angankan. Lebih-lebih lagi Syed Faiez hadir ke rumahnya petang ini…
Mereka sama-sama duduk menghadapi meja makan bulat di dapur, menikmati jus oren dan muffin coklat.
Setelah selesai minum dan makan, tiba-tiba Syed Faiez melutut di hadapan Zuraidah yang masih duduk di kerusinya. Tergamam Zuraidah melihat aksi Syed Faiez itu, sehingga dia tidak tidak berbuat apa-apa untuk mencegah dan menghalangnya.
“Zuraidah binti Murad, sudikah awak berkahwin dengan saya, Syed Faiez bin Syed Alias?” Tanya Syed Faiez dengan suara yang lirih.
Jantung Zuraidah bagaikan berguguran mendengar permintaan Syed Faiez dengan suaranya yang terdengar begitu syahdu dan mersik. Jika boleh dia mahu Syed Faiez mengulanginya sekali lagi. Zuraidah terpaku, dadanya terus berdebar. Debaran yang dia tidak mengerti. Dia rasa begitu bahagia hingga tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Syed Faiez mulai gelisah, Zuraidah kelihatan tergamam. Dilihatnya airmata Zuraidah mengalir perlahan-lahan menuruni pipi. Walaupun Zuraidah tidak mengenakan sebarang make-up, namun dia merasakan wajah gadis itu begitu cantik. Kecantikan asli yang telah memikat hatinya.
“Oh… Faiez! Tak perlu Faiez melutut macam ni. Dah tentu Zu mahu kahwin dengan Faeiz.” Akhirnya Zuraidah mampu bersuara, dia terus duduk di hadapan Syed Faiez kemudian memeluknya dengan erat.
Syed Faiez tersenyum bahagia.
“Zu… Terima kasih kerana menerima Faiez.” Bisik Syed Faiez di telinga Zuraidah.
“Faiez, Zu yang seharusnya berterima kasih pada Faiez. Faiezlah yang membawa kebahagiaan dan keajaiban dalam hidup Zu. Tanpa Faiez, hidup Zu takkan lengkap.”
“Faiez mengalami perasaan yang sama Zu, kita saling lengkap melengkapi. Faiez sanggup berkorban untuk Zu.”
“Betul kah Faiez sanggup berkorban untuk Zu?”
“Betul Zu. Apa saja Faiez sanggup lakukan demi memastikan Zu bahagia, sayang.” Ucap Syed Faiez penuh syahdu.
Zuraidah tersenyum. Dia yakin dan pasti pada perasaannya sendiri. Dia juga yakin niat Syed Faiez benar-benar tulus. Kini tiada sesiapa pun yang akan dapat memisahkan mereka melainkan takdir.
Kebahagiaan mereka berdua petang itu terganggu. Pintu hadapan kedengaran terbuka dari luar, dan suara Idora muncul memanggil nama Zuraidah. Wanita itu meminta Zuraidah keluar, membantunya mengeluarkan barang dari dalam kereta.
“Mak Zu balik…” Kata Zuraidah sedikit kaget, lalu jari-jemarinya yang masih bertaut dengan jari Syed Faiez, direntapnya dengan segera.
“Tak apa. Biarlah dia balik! Kita sama-sama hadapi. Biar Faiez beritahu hasrat hati Faiez padanya. Zu jangan takut…” Kata Syed Faiez.
“Ya Allah! Zuraidah! Zuraidah!! Berapa kali aku panggil kau terus diam membisu. Kau dah pekak ke tak dengar aku panggil?” Suara Idora meninggi apabila panggilan tidak bersambut. Dia mulai naik angin. Sudahlah sepanjang hari dia letih memandu jauh dari Kelantan. Kini Zuraidah pula menyepi. Dia tahu Zuraidah ada di rumah. Pintu dan gril tidak berkunci sewaktu dia tiba tadi.
Zuraidah dan Syed Faiez saling berpandangan. Dahi Syed Faiez berkerut. Dia memang tidak sangka Idora akan bercakap dengan nada kasar begitu. Patutlah Zuraidah rasa tertekan sekali.
“Kau membuta ke Bedah? Ataupun kau dah mati! Cepat turun!” Jerit Idora yang sudah berdiri di tengah-tengah ruang tamu. Namun dia terperanjat melihat Zuraidah yang baru keluar dari dapur bersama-sama dengan Syed Faiez.
Berlapis-lapis dahi wanita itu melihat anaknya bergandingan dengan lelaki. Dia memang tidak cam pada anak muda itu. Dia merasakan pernah melihat anak muda itu tetapi tidak ingat di mana…
“Kau buat apa di dapur? Siapa lelaki ni? Ini kerja kau ya? Berani bawa jantan masuk ke dalam rumah masa aku tak ada.” Sergah Idora garang.
“Makcik! Sabar dulu… Biar saya terangkan satu persatu. Biar saya kenalkan diri saya.”
“Eloklah kau kenalkan diri kau, supaya aku tahu siapa mak bapak engkau. Kau buat tak senonoh dengan anak aku dalam rumah ni? Eh, Bedah… Apa lagi yang kau tercegat di situ. Pergi ambil barang dalam kereta, bawa masuk!”
“Zu! Jangan pergi mana-mana.” Kata Syed Faiez lalu memegang erat pergelangan tangan Zuraidah.
Idora jadi marah, dia merasakan Syed Faiez biadap terhadapnya.
“Makcik, maaf kalau makcik anggap saya biadap. Saya mesti terangkan pada makcik. Kami tak buat apa-apa di dapur, hanya minum dan makan. Saya ingin mengambil Zuraidah sebagai isteri saya yang sah…”
“Hah! Adat mana kau pakai ni? Kau ingat kau tu orang putih ke? Kalau kau nak memperisterikan anak aku, Zuraidah yang hitam legam ni… hantar ajelah rombongan meminang. Lepas tu aku yang akan tentukan samada nak terima ataupun tak…” Kata Idora dengan nada sinis. “Lagipun aku takkan benarkan dia menikah, selagi adiknya tak menikah, faham?”
“Saya faham. Saya kenal betul dengan tunang Rohaya… Dia adalah adik saya, Syed Fairouz.” Mendengar kata-kata itu membuat Idora terdiam. Dia memandang tepat ke wajah lelaki itu, kemudian baru menyedari dengan siapa dia berhadapan kini. Syed Faiez…. Dia teringat lelaki itu pernah datang bersama dengan Tuan Syed Alias dan isterinya Puan Sharifah Aliah serta saudara mara mereka dulu. Apa yang dia tidak mengerti, bagaimana pula Syed Faiez boleh bercinta dengan Zuraidah?
Pandai benar Zuraidah menyembunyikan rahsia perhubungannya dengan bakal abang ipar Rohaya. Sekarang dia mengerti, mengapa Zuraidah selalu pulang lewat. Kadang-kadang langsung tidak pulang…
Setelah dia tahu siapa jejaka di sisi anaknya itu sedikit sebanyak dia merasa malu di atas keterlanjuran kata-katanya tadi. Namun dia tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan terus mendiamkan diri. Rasa kebenciannya ditimbunkan pada Zuraidah, seolah-olah anaknya itu sengaja memerangkap dirinya supaya bercakap dengan nada kasar dan tidak beradab. Dia tidak sedar langsung bahawa sikap lemah lembut dan manis yang selalu dipamerkan itu bukan peribadinya yang sebenar. Hanya satu kepura-puraan.
“Saya tahu makcik takkan izinkan Zu berkahwin, walaupun saya bersedia untuk mengahwininya bila-bila masa saja…” Kata Syed Faiez lagi dengan tenang.
Dada Idora menggelegak dengan kemarahan yang lebih besar. Entah apa lagi keburukan dirinya yang diceritakan oleh Zuraidah pada lelaki itu. Seharusnya hal keluarga disimpan saja, tetapi mengapa anak itu sanggup mengata ibunya sendiri di hadapan orang lain?
“Pasal rombongan meminang tu, pasti rombongan itu akan datang dengan secepat mungkin. Tapi saya harap makcik akan terima dengan senang hati.”
“Aku dah cakap tadi, aku takkan benarkan Zuraidah menikah dulu. Jadi, tak usahlah menghantar rombongan. Biarkan Rohaya dan Syed Fairouz kahwin dulu sebab dia orang dah bertunang…”
“Baiklah, kami tunggu. Tapi saya harap makcik dapat merestui perhubungan kami dan takkan menghalangnya. Saya benar-benar sayangkan Zuraidah.”
Idora mengangguk juga akhirnya, lalu terus berlalu meninggalkan mereka. Syed Faiez dan Zuraidah saling berpandangan, tersenyum dan akhirnya tertawa dalam nada rendah. Bimbang tawa mereka sampai di telinga Idora. Idora memang masih berada di hadapan pintu bilik tidurnya, dapat menangkap tawa ria pasangan kekasih itu. Dia merengus kasar, lalu terus masuk ke kamar.
Zuraidah menghantar Syed Faiez pulang dengan rasa hati yang kembang berbunga. Dapat dirasakan kebahagiaannya kini ada di hadapan mata. Dia tidak perlu bimbang dan takut lagi. Idora tidak akan menghalang perhubungan mereka. Biarpun mereka harus menunggu Rohaya berkahwin dahulu pada tahun hadapan, Zuraidah tidak kisah sama sekali.
Zuraidah mengangkat barang-barang dari dalam kereta, lalu membawanya masuk ke rumah setelah Syed Faiez pulang. Dia mendapati Idora berbelanja besar. Ibunya itu membeli berkotak-kotak pinggan mangkuk dan juga cadar. Pasti ibu dan rakan persatuannya bermain kutu. Itu memang kegiatan biasa yang dilakukan oleh Idora. Wanita itu turut membeli beberapa helai comforter, pastilah untuk kawan-kawannya. Kalau di kalangan kawan-kawannya, Idora memang terkenal seorang yang pemurah dan baik hati. Tetapi jika dengan Zuraidah, dia tidak ubah seperti gergasi jahat dalam mimpi ngeri gadis itu.
Idora yang menunggu masa Syed Faiez pergi meninggalkan rumah itu terus saja meluru keluar apabila lelaki itu berlalu.
“Hah! Patutlah kau ni sombong semacam, dah berani melawan aku! Rupa-rupanya dah ada kekasih! Anak sulung Tuan Syed Alias. Bukan main lagi kau ya…” Tempelak Idora.
Zuraidah memandang emaknya, tidak sangka Idora akan berkata begitu.
“Aku tak yakin Syed Faiez tu betul-betul ikhlas. Pasti ada sesuatu yang dia mahukan dari kau. Kau selalu tak balik rumah sejak kebelakangan ni… Kau dah tidur dengan dia ke?” Pertanyaan Idora yang begitu berterus terang itu mengejutkan Zuraidah. Sungguh-sungguh.
“Tak mak. Sumpah Idah tak buat apa-apa dengan dia.” Memang Zuraidah akui Syed Faiez lelaki yang baik. Walaupun dia mempunyai peluang yang banyak untuk melakukan perbuatan sumbang itu namun ianya tidak pernah berlaku.
“Kau tak payah nak bersumpah-sumpah Bedah. Sumpah tu akan memakan diri kau juga nanti.” Idora menempelak. Dia memandang tajam ke wajah Zuraidah.
Zuraidah diam, menahan sabar supaya dia tidak melawan kata-kata Idora. Biarkan saja telinganya sakit, hatinya terbuku dan terkilan. Tuduhan Idora terlalu berlebihan. Idora tiada hati dan perasaan terhadapnya. Dia hanya dipandang sebagai anak yang menyusahkan. Sedangkan Zuraidah tidak pernah lupa tanggungjawabnya di rumah itu. Sejak dia mula bekerja, sekurang-kurangnya RM150 diberikan kepada Idora sebagai wang dapur. Namun Idora tidak pernah menghargainya, malah Idora sentiasa meremeh-remehkan pemberian Zuraidah. Wang itu tidak banyak langsung, tiada apa-apa yang dapat dibeli dengan wang yang diberi.
Hanya buat beli belacan… kata Idora selalu, setiap kali Zuraidah memberinya duit.
“Mengapa mak selalu melayan Idah macam ni?” Tanya Zuraidah.
“Habis, kau nak aku layan kau macamana lagi? Kau tak sedar, kau datang dari mana? Dari mana ha? Kau tu lahir ibarat macam renjisan najis dari seekor lalat yang kotor… Kalau bukan kerana aku, kau takkan lahir. Kalau bukan kerana aku juga kau takkan besar, tengok dunia ni… Kau jangan nak melawan, menyombong diri Zuraidah! ” Tengking Idora.
Zuraidah mulai teresak, dia merasakan betapa hina dirinya dipandang begitu oleh ibunya sendiri. Bukankah itu semua kehendak Tuhan jua? Dia takkan lahir jika tidak dengan izinNya. Tidak kira keluar daripada rahim sesiapa pun, tetapi dia tetap akan hadir jika sudah begitu kehendak Tuhan. Sepatutnya Idora sedar hakikat itu…
Zuraidah terus membawa diri masuk ke dalam kamar tidur. Tidak sanggup hendak mendengar penghinaan Idora lagi.
Bab 9
“TENGOK cincin aku… cantik tak?” Tanya Zuraidah sambil menghulur tangannya ke arah Shanti.
“Wow! Zu cantiknya! Faiez yang beri ya? Bertuahnya kau…” Kata Shanti sambil membelek-belek jari manis Zuraidah yang tersarung cincin. “Jadi kau dah bertunang dengan Faiez?”
Zuraidah tersenyum. “Bertunang hanya antara kami berdua. Walaupun mak aku dah tahu, tapi keluarga Faiez belum tahu lagi rancangan kami.”
“Mak kau restu?” Tanya Shanti. Memang gadis itu mengetahui serba sedikit kisah hidup Zuraidah, walaupun dia tidak menceritakan semuanya.
Zuraidah mengangguk sahaja. Dia memang berharap Idora tidak menghalang perhubungannya. Walaupun dia belum melupakan tempelakan dan hinaan Idora, namun dia berharap emaknya tidak akan menyakitkan hati Syed Faiez. Biarkan saja dia dihina oleh ibunya sendiri, tak mengapa. Dia tidak kisah. Paling tidak pun, hanya mengalirkan airmata sedih. Namun dia belum pernah terniat hendak berpaling, meninggalkan rumah Idora. Belum lagi…
“Ehem…” Serta merta mereka menoleh apabila terdengar suara dehem Ah Boon di belakang. “Ni apa borak-borak lagi? Tengok jam…” Desak Ah Boon dengan suara yang keras. Dia memandang Zuraidah lalu berkata kasar; “Kenapa kau tak cuti terus?”
“Apa maksud kau Boon? Nak suruh aku berhenti?” Tanya Zuraidah.
“Yalah. Apa guna kerja, boyfriend kaya?” Sindir Ah Boon seenaknya.
“Aku akan berhenti bila aku mahu berhenti kerja, Ah Boon. Tak payah kau suruh ataupun paksa.” Jawab Zuraidah sinis lalu terus mencapai penyapu bulu ayam.
Ah Boon berlalu meninggalkan Shanti dan Zuraidah. Dia tidak menoleh lagi ke belakang, masuk ke dalam pejabat tidak jauh dari ruang itu.
Shanti mengangkat ibu jarinya membuat isyarat ‘good’ ke arah Zuraidah. Zuraidah tergelak lalu mulai membuat kerjanya. Hari itu, merupakan hari yang sibuk bagi Zuraidah. Kebetulan hujung bulan. Ramai pelanggan yang membeli belah di situ. Jadi, dia tidak punya masa berehat ataupun termenung. Petang itu dia dikejutkan oleh satu berita yang baru didengari oleh Shanti daripada rakan-rakan setugas mereka yang lain.
“Ada berita baik. Rupa-rupanya hari ni hari terakhir Ah Boon bertugas di sini. Malam ni ada parti perpisahan.” Kata Shanti.
“Betul ke?” Tanya Zuraidah tidak percaya.
“Aku dengar dia orang cerita. Nanti kita dapat department manager yang baru…”
“Hmmm… Baguslah. Dah lama Ah Boon jadi pengurus di sini.” Kata Zuraidah dengan hati yang lega. “Dia minta tukar atau ditukarkan?”
“Dia minta tukar…” Kata Shanti separuh berbisik. “Aku rasa dia frust. Kasihan juga kan?”
Zuraidah tidak menyahut. Dia tidak tahu apakah perasaannya yang sebenar. Patutkah dia mengasihani Ah Boon yang telah mendera dan memarahi dia seenaknya semata-mata kerana cemburu? Memang tidak patut! Namun jika Ah Boon bertukar, bagaimana pula dengan pengurus yang baru itu? Baikkah orangnya ataupun lebih teruk daripada Ah Boon.
“Aku dengar, manager baru kita nanti dah kahwin… Jadi jangan takut dan bimbang!” Kata Shanti sambil menepuk bahu Zuraidah.
“Baguslah.” Jawab Zuraidah sepatah.
AH BOON tiada lagi pada keesokan harinya, diganti oleh seorang lelaki berketurunan India bernama Mr. Raymond. Mr. Raymond baik orangnya, cepat mesra dan mudah diajak berbincang. Zuraidah senang hati. Namun kegembiraannya tidak kekal lama. Dia terlihat sekali lagi gadis itu… Gadis cerewet yang pernah datang ke situ dan hanya Ah Boon sahaja yang berjaya meladeninya.
Dada Zuraidah berdebar-debar apabila mereka saling berhadapan. Gadis itu memandangnya, masih dengan pandangan yang sama angkuh dan egonya seperti pertemuan yang lepas. Zuraidah memang tidak akan melupakan wajah itu. Bibirnya yang tipis dan nampak lembut disaluti dengan lipstik yang berkilau itu tidak akan menuturkan kata-kata yang manis dan mesra. Zuraidah pasti dia akan menengking ataupun menjerit pada bila-bila masa saja.
Zuraidah tidak mengerti apa yang dia cari di ruang itu yang menempatkan hanya pakaian dan peralatan lelaki. Dia boleh pergi ke department lain, di tingkat atas untuk mencari blouse ataupun seluar keluaran terbaru. Tetapi mengapa dia cenderung datang ke situ… Mengapa? Soalan itu terus bermain-main dalam kepala Zuraidah. Matanya melilau mencari Shanti, berharap teman setugasnya itu tidak melayani pelanggan. Sayang sekali Shanti sedang sibuk.
“Zuraidah…” Kata gadis itu sambil memandang pada tag nama yang tertulis di dadanya. “Zuraidah… langsung tak glamour.” Ejeknya sambil terus memerhati Zuraidah dari atas ke bawah.
Zuraidah rasa terhina. Memang tubuhnya tidak bersalut dengan pakaian mahal, hanya uniform kerja. Di lehernya tiada sebarang rantai berlian yang berkilau, seperti yang dimiliki oleh gadis itu. Tiba-tiba dia teringat pada cincin di jarinya. Cincin berlian itu pasti mahal harganya. Spontan dia mengangkat jari-jemari pura-pura membetulkan rambutnya yang panjang melepasi bahu. Mata gadis itu tertuju pada cincin berlian di jari manisnya. Zuraidah memerhati pula jari-jari gadis itu. Kosong, tiada sebarang cincin yang tersarung.
Wajah gadis itu tidak berubah langsung, dia tetap selamba walaupun rasa sedikit terkejut melihat cincin indah yang berkilau, memukau.
“Ada apa-apa yang boleh saya bantu? Awak nak cari apa?” tanya Zuraidah. Dia perlu menjalankan tugasnya, walaupun dia tidak menyukai ‘pelanggan’nya itu.
“Saya nak cari awak sebenarnya. Saya nak jumpa awak.” Kata gadis itu.
“Untuk apa? Saya tak ada apa-apa urusan dengan awak.”
“Ada. Memang ada. Hal ni berkaitan dengan Syed Faiez.”
Apabila nama Syed Faiez disebut, Zuraidah segera memberikan perhatian. “Apa maksud awak? Apa hubungan awak dengan dia?”
“Saya Katrina. Katrina Anne Robinson. Saya bakal isteri Faiez.”
Zuraidah menggigit bibir, terkejut dengan ungkapan yang baru didengarinya. Namun dia tidak mudah lagi percaya pada omongan kosong. Jadi, dialah Katrina bekas kekasih Syed Faiez. Gadis berdarah campuran Inggeris dan Melayu. Patutlah dia cantik. Walaupun rupa wajahnya lebih banyak kemelayuan, tetapi namanya melambangkan siapa dirinya. Memang Syed Faiez pernah memberitahu Zuraidah tentang Katrina. Namun dia tidak sangka, mereka pernah bertemu dulu. Dapat dia rasakan, gadis itu sengaja mencari balah dengannya dan menyusahkan dirinya. Dia tahu betapa merbahayanya gadis itu. Dia suka memutar belitkan kata, begitulah menurut kata Syed Faiez.
Zuraidah selamba sahaja, walaupun Katrina memperkenalkan siapa dirinya dengan nada angkuh dan bangga. Zuraidah pura-pura sibuk mengemas.
“Awak datang ni setakat nak beritahu, awak ni bakal isteri Faiezlah ya? Okeylah… Awak boleh pergi, saya sibuk.” Kata Zuraidah, lalu terus mendekati pelanggan yang baru tiba di ruang itu.
Katrina kaget, dia ditinggalkan begitu saja oleh Zuraidah. Wajahnya merah menahan rasa marah, lalu dia terus menerkam ke arah Zuraidah dan membalikkan tubuh gadis itu. “Heh! Awak jangan hubungi Faiez lagi. Jangan dekati dia, kalau tidak… nahas awak! Sedar sikit diri awak tu, hanya jurujual bodoh! Dahlah tak cantik, tak ada pelajaran pula, ada hati nak kahwin dengan Faiez.”
“Biar jadi jurujual tapi bukan penggoda lelaki. Bukan juga seorang yang tak ada maruah, sehingga sanggup menagih-nagih daripada orang yang sudah tak inginkan kita… Faiez cintakan saya. Saya rasa awak pun tahu hakikat tu.” Jawab Zuraidah selamba.
Katrina rasa marah mendengar sindiran Zuraidah. Dia tidak tahu dari manakah Zuraidah tahu dia menagih cinta daripada Syed Faeiz.
“Kau ni memang melampau! Kau ingat kau hebat sangat? Kalau setakat lelaki macam Faiez tu, sepuluh pun aku boleh dapatkan!” Sergah Katrina dengan lebih kuat.
Pelanggan yang ada di sisi Zuraidah, terkebil-kebil mendengar kata-kata Katrina itu. Dia terus melarikan diri, meninggalkan Zuraidah. Zuraidah terpaksa menghadapi Katrina. Dia takut jika sekiranya Katrina bertindak di luar dugaan dan berlakunya sesuatu yang tidak diingini di situ. Memang memalukan…
Katrina memang berniat hendak memalukannya. Pantas Katrina menolak tubuh Zuraidah hingga terdorong ke belakang, lalu terlanggar gantungan baju yang ada di situ. Zuraidah jatuh tersembam ke lantai, baju-baju serta besi yang menjadi tempat gantungan baju ikut jatuh menimpa Zuraidah. Suasana jadi kelam kabut dan gempar. Beberapa orang staff di situ menyedari kejadian itu lalu mereka datang membantu. Katrina terus berjalan laju menghala ke pejabat pengurusan yang terletak di tingkat paling atas bangunan itu.
Dia tergelak sendiri, melihat Zuraidah yang terkial-kial hendak bangun. Dahi Zuraidah terkena besi. Kelihatan satu tanda biru di dahinya. Zuraidah segera melarikan diri ke bilik rehat. Dia teresak di situ, malu dan tidak menduga akan diperlakukan demikian oleh Katrina.
Shanti datang menemani Zuraidah. “Zu, apa yang berlaku? Kau bergaduh dengan customer ke?” Tanya Shanti ingin tahu. “Pihak pengurusan nak jumpa kau Zu. Bergaduh dengan customer memang sesuatu yang tidak harus berlaku. Aku harap, kau pandai-pandailah jawab… jangan sampai kau dipecat!”
Zuraidah tidak peduli sekiranya dia dipecat sekali pun. Dia tidak sanggup lagi berada di situ. Pasti Katrina akan datang lagi mengganggunya dengan kata-kata kesat dan perbuatan yang memalukan. Orang lain tidak akan nampak kesalahan Katrina tetapi hanya akan menuduh dia sebagai tidak tahu melayani pelanggan. Zuraidah berharap dia tidak perlu berada di situ untuk ‘dihukum’ oleh pihak pengurusan sebagai seorang pekerja yang biadab.
Tiadakah sesiapa yang melihat keadaan sebenar, bahawa dia adalah mangsa yang tidak bersalah?
MATA Zuraidah merah dan bengkak. Dia begitu sedih sekali harus meninggalkan tempat itu. Sudah lima tahun dia bekerja di situ, tetapi pihak pengurusan tidak pernah mengambil kira khidmatnya itu. Dia telah diberi kata dua; samada memohon maaf ataupun berhenti kerja. Menurut pihak pengurusan sudah beberapa mereka menerima aduan daripada pelanggan yang sama, menyatakan layanan Zuraidah begitu buruk sekali. Malah pelanggan itu mengugut tidak akan membeli belah di situ lagi…
Tidak! Dia tidak akan memohon maaf pada Katrina. Tidak sekali-kali. Mengapa tiada sesiapa pun sedar, hal yang sebenarnya berlaku? Bukan dia yang menyerang Katrina sebaliknya dialah yang diserang. Hatinya sakit. Tidak perlu dia terus mempertahankan diri apabila dia tahu dengan pasti, tiada kepercayaan lagi yang boleh diraih.
Hari masih awal. Rasa ganjil jika terus balik ke rumah saat itu. Zuraidah pun tidak tahu hendak ke mana, setelah dia keluar dari kompleks. Dia tidak menoleh lagi ke arah bangunan bercat hijau yang baru sahaja ditinggalkannya. Dia benci mengingatkan betapa dia telah dipecat dengan begitu mudah, walaupun telah berkhidmat selama lima tahun. Kesetiaan, ketekunan dan kerajinan yang ditunjukkan selama ini tidak bererti hanya kerana seorang manusia bernama Katrina.
Siapa Katrina sebenarnya? Anak rajakah atau anak seorang hartawan? Soal Zuraidah sendiri. Apa yang pasti, dia tetap hamba Allah yang pastinya suatu hari ini akan tetap mati dan meninggalkan dunia dengan hanya berbalut sehelai kain kafan. Mengapa dia harus sombong dan ego? Mengapa? Soal Zuraidah bertalu-talu hanya pada dirinya sendiri.
Kini dia tidak lagi mempunyai pekerjaan. Dia tidak tahu apa yang harus dibuat. Apakah dia akan mencari kerja? Sanggupkah duduk di rumah sepanjang hari menghadapi tingkah emaknya? Tidak. Dia tidak sanggup. Sedangkan dia bekerja mencari duit sendiri, Idora tetap benci, inikan pula dia kini adalah penganggur terhormat.
Dia harus mendapatkan pekerjaan, tidak kira di mana. Dia mesti keluar bekerja seperti biasa pada esok hari. Zuraidah terus berjalan melewati dari sebuah kedai ke sebuah kedai. Dia memang tidak tahu melakukan pekerjaan lain, selain daripada menjadi seorang jurujual. Dia sedikit kesal. Apakah tidak terlalu lewat buatnya menyambung pelajaran? Dia masih muda… Namun dia bagaikan sudah hilang semangat dan keinginan untuk meneruskan hidup. Jangan sampai disebabkan manusia seperti Katrina… dia kehilangan hasrat untuk meneruskan kehidupan! Tidak… Dia tidak boleh hilang semangat.
Akhirnya Zuraidah memberanikan diri menapak ke pejabat Syed Faiez. Dia tidak tahu mengapa dia harus ke situ. Dia benar-benar tidak tahu.
Salmi, si penyambut tetamu memandang wajahnya sekilas semasa dia tiba di ruang itu. Zuraidah terus meminta untuk bertemu dengan Syed Faiez.
“Encik Syed Faiez sedang meeting dengan bapanya, Tuan Syed Alias. Cik boleh tunggu kalau cik mahu.” Beritahu Salmi.
“Lama ke?” Tanya Zuraidah.
“Biasanya lama. Lebih kurang satu atau dua jam.”
Zuraidah melepaskan keluhan. “Tak apalah. Terima kasih.” Zuraidah terus berlalu meninggalkan pejabat Syed Faiez. Dia mengambil keputusan untuk balik ke rumah.
“Ha… Kenapa kau balik awal ni?” Tanya Idora, apabila melihat Zuraidah pulang lebih awal daripada kebiasaannya. Pukul dua petang sudah ada di rumah.
Zuraidah tidak menjawab, lalu terus bergerak laju naik ke bilik. Idora memerhati sahaja, tidak mengerti apa yang berlaku.
Pada jam lima petang, Syed Faiez menelefon, suaranya kedengaran sedikit terkejut; “Zu! Apa yang berlaku? Faiez kat tempat kerja Zu sekarang. Mengapa Shanti kata Zu dah tak kerja lagi?”
Zuraidah menahan dirinya daripada teresak lagi. Sudah puas dia menangis sepanjang petang itu. Dia asyik teringatkan Katrina yang memakinya dengan kata-kata kesat. Sungguh tak adil. Mengapa dia yang harus terhukum.
“Zu tak nak kerja di situ lagi…” Kata Zuraidah tenang, cuba tidak menghamburkan airmata sehingga Syed Faiez dapat mengesan kesedihannya.
“Baguslah kalau Zu dah berhenti. Faiez pun tak berapa suka Zu kerja kat situ.” Jawab Syed Faiez berterus terang.
“Oh! Rupanya Faiez pun memandang hina pada pekerjaan Zu? Rupanya dalam diam-diam Faiez tak suka?”
“Bukan macam tu, Zu. Jangan salah faham. Faiez tak suka Zu melayan ramai pelanggan lelaki kat situ. Kalau kerja di bahagian wanita tu, bolehlah juga Faiez pertimbangkan. Lagipun Faiez ingin bakal isteri Faiez seorang yang ada wawasan.”
“Macam Katrina?”
“Janganlah dibawa nama Katrina dalam soal ni, Zu! Katrina lain. Dia memang terpelajar. Kami sama-sama belajar di universiti dulu.”
“Yalah. Katrina memang hebat… Semua orang puji dia. Kalau dah tahu Katrina begitu hebat sekali, mengapa Faiez tak pilih dia saja?” tingkah Zuraidah.
Syed Faiez sedar perbualan mereka semakin lama semakin menjurus ke arah pertengkaran dan Katrinalah yang menjadi puncanya.
“Zu ada jumpa Katrina ke? Rasanya tak pernah Faiez kenalkan Katrina pada Zu.” Soal Syed Faiez tiba-tiba.
Lelaki itu masih ingat, dia memang tidak pernah memperkenalkan Katrina kepada Zuraidah. Hanya menyebut nama gadis itu beberapa kali. Dia tidak mahu Zuraidah mengetahui sejarah perhubungan mereka daripada orang lain, sebab itulah dia berterus terang. Lebih-lebih lagi sekarang Katrina bekerja di syarikat bapanya, walaupun mereka tidak lagi satu pejabat. Katrina telah diberikan tugas menjayakan projek di Jerantut. Namun Katrina pastilah akan tetap turun ke bandar itu sebulan sekali ataupun dua minggu sekali.
Dia memang tidak memberitahu pada Zuraidah tentang Katrina yang kini bekerja di syarikat perumahan milik keluarganya itu. Dia tidak pasti apakah reaksi Zuraidah sekiranya mengetahui hakikat itu. Namun dia berharap Zuraidah tidak tersalah sangka dan menganggap yang bukan-bukan.
“Memang dia datang jumpa Zu hari ini. Dia serang Zu! Hina Zu… mentang-mentanglah Zu ni hanya kerja jurujual! Dia fitnah Zu pada pihak pentadbiran sehingga Zu dipecat.”
“Apa?” Syed Faiez terperanjat dengan tindakan Katrina. “Zu sabar ya… sekejap lagi Faiez datang jemput. Zu di rumah ke?”
“Ya.” Jawab Zuraidah, lalu terus mematikan panggilan.
“Faiez tak sangka Katrina akan buat macam tu…” Kata Syed Faiez kesal.
Mereka kini berada di dalam kereta, dan sedang menuju ke tasik yang terdapat di Pantai Selamat. Cuaca petang itu begitu redup dan nyaman. Mereka berjalan-jalan di taman berhampiran lalu terus melabuhkan punggung di kerusi yang tersedia. Terlihat laut yang terbentang tidak jauh dari situ.
“Ada banyak hal yang Faiez takkan sangka dilakukan oleh Katrina…” Jawab Zuraidah, memaling wajahnya dan melihat ke arah anak-anak yang bermain di taman permainan berdekatan.
“Bukan setakat fitnah Zu, dia sanggup malukan Zu. Dia tolak Zu hingga jatuh dan dihempap besi penyangkut baju. Tengoklah dahi Zu yang lebam ni…” Kata Zuraidah sambil menunjukkan dahinya yang ditampal plaster.
Syed Faiez menggelengkan kepala.
“Memang perangai Katrina tak dapat dijangka. Dia berani buat apa saja untuk dekat dengan Faiez dan singkirkan Zu. Zu mesti sedar hakikat tu! Sekarang ni dia dah bekerja di syarikat ayah.”
Mata Zuraidah terbeliak. “Bila?”
“Adalah lebih kurang sebulan.”
“Dah sebulan baru Faiez beritahu Zu?” Tanya Zuraidah menyembunyikan rasa kesalnya jauh di sudut hati.
“Faiez nak beritahu Zu tapi selalu lupa. Walau macamana pun Faiez tahu macamana nak elakkan diri darinya. Ayah pun tak boleh paksa Faiez terima orang yang Faiez tak suka. Berita baik, bonda dan ayah dah tahu hubungan kita.”
“Betul ke?”
“Ya… sayang. Betul. Sebab tu lah Faiez gembira Zu dah berhenti kerja. Bolehlah Zu belajar atau ambil kursus. Zu muda lagi… Tak salah sambung belajar.”
“Memang ada niat Zu nak ambil kursus komputer.”
“Bagus. Faiez sokong usaha Zu tu. Pasal belajar komputer tu, biar Faiez yang support. Tak banyak mana. Kalau Zu ambil kursus jangka pendek, selama enam bulan aje Zu dah mahir gunakan komputer.”
Zuraidah mengangguk. Syed Faiez menggenggam tangannya berkata dengan nada lembut; “Kalau dah dapat sijil nanti, Zu boleh kerja dengan Faiez. Jadi setiausaha Faiez…”
Zuraidah tersenyum pahit. Dia tidak tahu melakukan kerja-kerja setiausaha. Tugas itu dirasakannya terlalu berat. Namun Syed Faiez memberikan dia sokongan padu, menyatakan dia boleh mengambil kursus kesetiausahaan. Kursus demi kursus yang akan dijalaninya memastikan dia tumbuh menjadi seorang yang berpendidikan dan punya wawasan dalam hidup. Dan tiada sesiapa lagi yang akan meremeh dan merendahkannya, terutama sekali Katrina.
Bab 10
KATRINA berjalan laju menghala ke bahagian pakaian lelaki. Matanya melilau mencari kelibat Zuraidah namun dia tidak terlihat langsung wajah gadis itu. Shanti datang menghampiri. Setelah beberapa kali datang ke situ, Shanti mulai perasan siapakah Katrina.
“Cari apa cik?” tanya Shanti sengaja menunjukka keramahannya.
“Jurujual yang nama Zuraidah tu… mana?” Tanya Katrina.
“Hm, cari Zu ya? Dia berhenti, sebab tak lama lagi nak kahwin.” Jawab Shanti selamba, sengaja hendak mengenakan Katrina.
Wajah Katrina berubah masam mencuka. Dia merengus lalu terus meninggalkan tempat itu. Rasa hatinya membuak-buak dengan kemarahan. Kahwin? Bisiknya di dalam hati. Benarkah begitu. Ataupun Zuraidah dibuang kerja dan sekarang sedang menganggur.
Namun dia mendengar dengan jelas kata-kata bekas rakan setugas Zuraidah. Berhenti untuk berkahwin. Agh! Tak boleh jadi! Aku tak boleh biarkan saja hal ini berlaku… gerutu hati Katrina lalu terus kembali ke keretanya.
Hari itu dia perlu menyelesaikan beberapa urusan, bertemu dengan client. Kemudian dia harus kembali ke site untuk memastikan kerja-kerja dijalankan dengan teratur dan sempurna. Walaupun tidak betah berada di pekan kecil Jerantut, namun dia terpaksa menyesuaikan diri. Dia telah menyanggupi untuk menerima tugasan itu lantas dia mesti melaksanakannya dengan sebaik mungkin.
Walau bagaimana pun hatinya sedikit rusuh dan marah. Dia tidak tahu apakah benar Syed Faiez dan Zuraidah akan bernikah dalam waktu terdekat. Tidak mungkin dia akan bertanya sendiri pada Puan Sharifah Aliah. Wanita itu pernah memberitahu Katrina, sesiapa pun pilihan Syed Faiez, dia tidak kisah. Dia tidak akan memaksa Syed Faiez menurut kehendaknya. Dia memberikan kebebasan kepada anak-anaknya untuk memilih pasangan hidup masing-masing.
“Walaupun Faiez memilih seorang jurujual bodoh sebagai isteri, auntie akan terima juga?” Katrina teringat pertanyaannya pada Puan Sharifah Aliah suatu masa dulu. Puan Sharifah Aliah hanya tertawa kemudian mengangguk; “Yang pasti, dia memilih perempuan dan bukannya pondan! Kalau pondan, memang patut auntie risau kan?” Kata Puan Sharifah Aliah sambil tertawa kecil. Katrina jadi benci pada kata-katanya itu.
Katrina dapat merasakan bahawa Puan Sharifah Aliah bagaikan menempelak dirinya. Jelas wanita itu mengetahui sesuatu. Barangkali Syed Faiez telah menceritakan pada bondanya tentang perpisahan yang terjadi antara mereka adalah kesalahannya sendiri. Meninggalkan Syed Faiez dalam kekecewaan untuk mengejar lelaki lain, kemudian dia ditinggalkan lelaki itu. Apabila dia berpaling untuk kembali ke dalam hidup Syed Faiez semula, Zuraidah sudah pun mengisi hati lelaki itu.
Agh! Mudahnya cinta Syed Faiez padaku berakhir. Sedangkan tempoh percintaan mereka agak lama lebih kurang tiga tahun… Keluh Katrina. Namun dia tidak mengaku kalah, selagi Syed Faiez belum bernikah dengan Zuraidah. Dia akan terus mencuba tidak kira bagaimanakah caranya dia harus mendapatkan kembali kasih sayang Syed Faiez.
Kini dia buntu, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia memandu ke tubir jalan, memberhentikan kereta dan mematikan enjin. Dia membuka beg tangan lalu mengeluarkan telefon bimbit. Dia membuka phone book di dalam telefonnya bimbitnya dan mencari-cari nama lelaki itu.
Dia tersenyum sendiri, apabila melihat nombor lelaki itu lalu terus mendail dengan pantas;
“Hello, Syed Fairouz! Katrina di sini…”
“Katrina? Katrina yang mana satu ni?” Tanya Syed Fairouz.
Huh! Dasar playboy… kutuk Katrina di dalam hati. Barangkali dia memiliki senarai deretan gadis yang bernama Katrina sehingga tidak tahu yang mana satukah yang menghubunginya. Lalu Katrina tergelak kecil, merasakan pertanyaan Syed Fairouz begitu lucu sekali.
“Katrina… bakal kakak ipar you lah!”
“Oh… Ingatkan Katrina mana tadi? Hmmm… bakal kakak ipar? Hei, kan you dah putus dengan Faiez? Sekarang Faiez bercinta dengan orang lain. Tak silap I namanya Zuraidah.”
“You sukalah jurujual tu jadi kakak ipar you, Fairouz? Daripada dia, lebih baik I yang jadi kakak ipar you kan?”
“Hmmmm… Entahlah. Tapi kenapa you tak pikat Faiez supaya dia kembali pada you?”
“Faiez terlalu cintakan perempuan tu! Bonda you pun sukakan dia. You macamana pula?”
“Biasa aje. Lagipun I tak campur hal Faiez dan Faiez pun tak ambil tahu hal I.”
“Gitu rupanya. I nak jumpa you lah Fairouz… Ada hal sikit nak bincang.”
“Tentang apa?”
“Tentang Zuraidah. Dia tu bukan calon isteri yang baik untuk abang you… I tahu banyak rahsia dia. Dia pernah buat hubungan dengan lelaki Cina. Dia tu dah tak ada apa-apa, dah ditebuk tupai!” Katrina sengaja membuat fitnah.
Syed Fairouz terdiam beberapa ketika. Sebenarnya dia tidak berminat hendak tahu hal Zuraidah. Dia tidak ingin tahu apa yang dilakukan oleh perempuan itu. Bagi Syed Fairouz tiada sengketa antara dia dan Zuraidah. Lagipun Katrina sendiri pun bukannya baik sangat! Katrina juga pernah tidur dengan lelaki. Dia gadis moden yang tidak lagi mementingkan keperawanannya akan diserahkan hanya pada seorang suami di malam perkahwinan.
Zuraidah pernah melihat dia bersama dengan wanita lain, namun sedikit pun gadis itu tidak mengkhabarkannya pada Rohaya. Semasa Syed Fairouz menemui Rohaya beberapa minggu lalu, tunangnya itu bersikap biasa sahaja. Syed Fairouz yakin rahsianya belum terbongkar.
Justeru itu dia tidak mencari sebab untuk berbalah dengan Zuraidah.
“Boleh tak kita jumpa ni?” Tanya Katrina separuh mendesak.
“Boleh, no problem. I pun tak ada buat apa-apa malam ni…” Jawab Syed Fairouz, membayangkan sesuatu. Tentu seronok bersama gadis secantik Katrina. Semasa Katrina masih menjadi kekasih Syed Faiez, mereka tidak begitu mesra. Namun dia memang kenal pada gadis itu.
Katrina muncul di hadapannya tepat jam sembilan malam. Mereka bertemu di coffee house sebuah hotel yang terletak di pusat bandar. Syed Fairouz menyambutnya dengan mesra, memberikan layanan mesra bagaikan mereka pasangan yang sedang bercinta. Syed Fairouz gemar melayani wanita dengan penuh santun, romantis dan istimewa. Buat beberapa ketika Katrina bagaikan terbuai, lupa tujuan sebenar dia datang menemui Syed Fairouz.
Mereka makan malam, menari dan berbual di coffee house, kemudian meninggalkan tempat itu dengan kereta masing-masing. Namun mereka belum jua berpisah, kereta Katrina mengekori kereta Syed Fairouz menuju ke apartmentnya. Syed Fairouz menunggu Katrina keluar dari kereta kemudian sama-sama berjalan menuju ke apartmentnya yang terletak di tingkat dua.
“Okey… Sekarang apa rancangan you untuk singkirkan Zuraidah daripada hidup abang you, Fairouz?” Tanya Katrina bagaikan tidak sabar, sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di sofa.
“Hm, I ingat you yang ada rancangan. I tak ada apa-apa, sebab I tak ada masalah dengan Zuraidah.”
“I ingat you ada apa-apa rancangan…” Kata Katrina sedikit kesal.
“You yang ada niat tak baik pada dia. You nak I buat apa?”
“You akan bantu I singkirkan Zuraidah…. Lepas tu tolong I dapatkan Faiez?” Soal Katrina semula.
“Apa yang I dapat kalau I tolong you Katrina?” Tanya Syed Fairouz bergerak ke dapur mengambil dua biji gelas lalu menuang minuman jus oren yang sudah siap dibancuh di dalam peti sejuk. Dia membawanya semula ke ruang tamu, menyerahkan segelas air ke arah Katrina. Namun Katrina tidak terus meneguk minuman itu sebaliknya meletakkannya sahaja di atas meja kopi.
“I tahu you tak mahu duit. Keluarga you kaya. You tak perlukan duit dari I…” Balas Katrina dengan nada bersahaja, kemudian tangannya menarik sedikit gaun malam yang dipakainya. Gaun itu tersingkap hingga menampakkan pahanya. Syed Fairouz memerhati paha gadis itu yang nampak putih melepak. Dia teruja. Betapa aksi gadis itu yang menggiurkan, membuat dadanya berdebar-debar kencang.
Syed Fairouz mengangguk, mengerti. Mata Syed Fairouz tidak lepas dari memandang wajah dan tubuh Katrina yang duduk dengan gaya seksi di atas sofa panjang yang ada di ruang tamu itu. Syed Fairouz bergerak memasang lampu berterendak di atas meja kecil sisi sofa. Kemudian dia menutup lampu siling. Katrina membiarkan sahaja ruang itu menjadi suram. Cahaya dari lampu berterendak hanya menyuluh wajah dan tubuhnya. Syed Fairouz semakin dekat, bergerak ke arahnya dengan senyuman penuh makna.
CIRI-CIRI seorang wanita yang bijak adalah dia pandai memanfaatkan situasi, bijak menggunakan apa yang ada pada dirinya dan juga pandai menggoda sehingga lelaki jatuh ke tangannya. Lelaki itu sanggup berbuat apa saja untuknya.
Alangkah bagusnya jika lelaki itu adalah Syed Faiez… bisik Katrina sendiri sambil memerhati ke arah katil. Syed Fairouz masih tidur dengan nyenyak sedangkan dia sedang bersiap-siap untuk meninggalkan apartment lelaki itu. Dia harus segera ke Jerantut kerana pada jam sepuluh pagi nanti dia ada mesyuarat. Namun dia sempat meninggalkan pesanan supaya Syed Fairouz menghubunginya. Pertemuan tidak harus diakhiri setakat itu sahaja…
Bagi seorang lelaki yang suka bergembira, enjoy dan berseronok seperti Syed Fairouz, dia tidak kisah dengan sesiapa pun dia berkawan. Dia tidak kisah walaupun harus menghabiskan duit. Namun lebih menguntungkan sekiranya dapat sesuatu secara percuma, seperti yang dia perolehi malam tadi…
Syed Fairouz tidak pernah terfikir untuk membina hubungan yang lebih lama dan jauh dengan Katrina. Jika perlu dua tiga kali bertemu sahaja sudah cukup, dia akan mengakhiri hubungan itu dengan segera. Namun dia sedar, Katrina punya daya penarik. Dia tidak akan melepaskan Katrina semudah dia melepaskan gadis-gadis lain.
“Lupakan saja Faiez, Katrina. Apa I ni tak cukup baik dan sempurna untuk you?” Tanya Syed Fairouz pada suatu malam semasa Katrina mengunjungi apartmentnya lagi.
Katrina tertawa lembut, berkata; “You dah mula sukakan I, Fairouz? Macamana dengan tunang you?”
“Baru bertunang… belum kahwin lagi.” Jawab Syed Fairouz selamba.
“Sejauh mana pula hubungan you dengan Rohaya? I percaya you berdua dah pernah tidur bersama kan?” Tanya Katrina tanpa berselindung dan segan silu.
Syed Fairouz ketawa. “Hmmm… Kalau tak dapat apa-apa, masakan I sanggup terbang ke Sarawak, seminggu sekali atau dua minggu sekali. Banyak duit dihabiskan beli tiket kapalterbang, tahu?”
Katrina ketawa sahaja. Dia memang sudah meneka bahawa Rohaya bukan lagi perawan. Dia kenal benar pada lelaki seperti Syed Fairouz. Dia juga tahu, Syed Faiez tidak seliar adiknya. Memang lelaki sepertinya amat sesuai untuk menjadi suami dan ayah yang baik sekiranya berkeluarga kelak.
Syed Faiez masih tetap menimbangkan pahala dan dosa. Dia menghormati prinsip Syed Faiez. Jarang dia menemui lelaki yang jujur seperti itu. Disebabkan itu jugalah dia masih terus mencintai Syed Faiez biarpun dia pasti perasaan cinta sudah tiada lagi bersisa untuknya. Mengingati hakikat itu hatinya jadi sakit. Dia teringatkan waktu-waktu indah percintaannya dengan Syed Faiez. Pasti Zuraidah kini turut merasakan betapa indahnya berada di samping lelaki itu.
Katrina tiba-tiba resah gelisah. Dia berjalan mundar mandir di ruang tamu rumah Syed Fairouz. Dia geram apabila mendapat tahu kini Zuraidah mengikuti pelbagai kursus dan Syed Faiezlah yang membiayainya. Gadis itu ingin berubah, menjadi seorang yang berilmu dan mempunyai wawasan dan matlamat hidup.
Katrina memasang api rokok, cuba mententeramkan dirinya sendiri. Dia berkata dengan nada rendah, seperti berbisik sahaja; “You pernah benar-benar mencintai seorang gadis, Fairouz?”
Syed Fairouz menoleh memandang Katrina, tertawa kecil cuma. Dia tidak segera menjawab; “I selalu mencintai seorang gadis dalam satu masa, tengoklah bila I bersama siapa. Kalau I bersama Rohaya… I memang sayangkan dia. I jaga dia, pastikan dia mendapat layanan yang istimewa, hantar dia balik dengan selamat. Bukankah itu menyayangi namanya?” Syed Fairouz diam sejenak kemudian menyambung; “Bila I bersama gadis lain juga begitu. I tetap menjaga, memberi layanan dan memberi perhatian. Itulah cara menunjukkan kasih sayang…”
“Dalam hidup you terlalu ramai perempuan Faiez. Tu yang I tak suka…” Balas Katrina.
“I tak minta you suka pada I. Tapi terus terang I kata I suka pada you.”
Katrina mematikan api rokoknya yang masih panjang di dalam astray. “I tak ada mood lah malam ni. I nak balik.”
“Masih awal lagi ni…” Duga Syed Fairouz sambil menjeling jam di pergelangan tangannya. “Kita pergi minum dulu, lepas tu I akan hantar you balik.”
Katrina mengangguk sahaja.
Mereka beriringan keluar daripada apartment itu lalu sama-sama bergerak ke kereta.
“FAIEZ… Tak perlulah buat sampai macam ni. Malu rasanya Zu…”
“Kenapa Zu harus malu?”
“Kita belum ada apa-apa ikatan Faiez. Tapi Faiez dah terlalu banyak tolong Zu… Beri Zu pelbagai hadiah. Sekarang Faiez belikan Zu kereta kancil pula…”
“Kereta ni untuk kemudahan Zu pergi berulang alik ke kolej tempat Zu belajar. Kadang-kadang Faiez sibuk dengan kerja dan mesyuarat tak ada masa nak hantar Zu. Kalau Zu ada kereta, boleh Zu gunakan untuk pergi dan balik sendiri.”
“Tapi… Tapi…” Zuraidah masih teragak-agak, pemberian itu terasa belum besar. Dia memandang sahaja ke arah kereta kancil berwarna kelabu yang tersadai di hadapan pagar rumahnya. Kereta itu baru dihantar oleh Syed Faiez.
“Zu ada lesen kan?”
“Ada… Tapi dah lama tak bawa kereta, rasa kekok juga.”
“Lebih baik Zu biasakan diri. Apa kata Zu bawa kereta tu, hantar Faiez balik ke pejabat.” Pinta Syed Faiez sambil menghulurkan kunci. Mahu tidak mahu dia terpaksa menghantar Syed Faiez. Setelah dia meninggalkan pejabat Syed Faiez, dengan memandu kereta kancil itu, perasaannya benar-benar teruja. Dia tidak bermimpi untuk memiliki kereta itu. Namun tanpa diduga dia dapat memilikinya tanpa perlu meminta-minta dan menagih.
Alangkah baiknya hati Syed Faiez… bisiknya tersenyum sendiri.
Dia pulang ke rumah setelah puas berpusing-pusing mengelilingi bandar. Idora tertanya-tanya dari manakah dia mendapat kereta itu. Dengan selamba Zuraidah memberitahu kereta itu adalah hadiah daripada Syed Faiez. Dahi Idora berlapis-lapis kehairanan dan tidak percaya. Dia yakin Zuraidah telah memberikan ‘sesuatu’ sebagai balasan di atas pemberian Syed Faiez.
“Kau jangan main-main Idah! Orang takkan beri benda tanpa mengharapkan balasan apa-apa. Kau ada buat ‘apa-apa’ dengan lelaki tu?”
“Tak ada mak… Memang tak ada.” Jawab Zuraidah.
“Kau jangan tipu! Aku ni dulu hidup, lebih dulu makan garam. Aku tahu, engkau tu bukan lagi perawan. Kau dah pernah buat dengan dia kan? Mengaku sajalah! Kau ni memang tak senonoh! Memang tak tahu malu! Berani kau buat dosa…”
Idora terus memaki hamun tanpa sebarang perasaan. “Kalaupun betul kau belum serahkan yang ‘itu’ tapi mesti kau benarkan diri kau tu dipeluk dan dicium dek lelaki tu! Itu semua tetap satu dosa Zuraidah! Dosa… Itu semua tetap zina. Zina tu balasannya neraka… Kau ni adalah isi neraka!”
Geram hatinya tidak terkira apabila Zuraidah hanya mendiamkan diri dan mengambil langkah ‘selamat’ dengan mengunci diri di dalam bilik tidurnya. Di dalam kamarnya Zuraidah teresak sendiri. Sepatutnya dia membiasa diri dengan maki hamun dan tuduhan ibunya namun hatinya tetap merasa sakit. Dia tidak tahu bagaimana lagi harus berhadapan dengan ibunya. Idora memang bencikan dirinya… Tidak mungkin ada rasa kasih sayang untuknya. Walau bagaimana pun sehingga kini kasih sayang Zuraidah tidak luak untuk emaknya walaupun Idora selalu menuduhnya melakukan sesuatu yang tidak dilakukannya…
Bab 11
WALAUPUN Katrina menyatakan dia tiada mood malam itu, namun setelah dipujuk oleh Syed Fairouz mereka tetap menghabiskan masa di disko. Pulang lewat jam satu pagi. Kemudian meneruskan ‘acara’ yang paling digemari oleh lelaki itu ketika bersama perempuan.
Syed Fairouz merasakan bahawa Katrina tidak ubah seperti kuda jinak yang tidak lagi begitu enak ditunggangi. Namun dia tetap ingin bersama dengan perempuan itu, membiarkan dirinya ditenggelami dengan air yang memabukkan. Lain halnya bila bersama dengan Rohaya, ada rasa cinta yang menggebu yang menakluki seluruh jiwa raganya. Justeru itulah dia memilih Rohaya sebagai bakal isterinya. Suci, lembut dan jujur. Dia amat arif untuk membezakan antara perempuan yang diingini kerana cinta dan lantaran nafsu semata-mata.
Tiada keistimewaannya pada diri Katrina. Dia sama sahaja dengan wanita-wanita lain yang pernah ditemui dan ditidurinya. Namun aneh, sekali dia masih terus bersama Katrina sehinggalah malam ini…
Dia tahu niat Katrina untuk mendekati Syed Faiez tidak kesampaian. Malah dia sendiri tidak akan mengizinkan Katrina mendekati abangnya itu lagi. Dia juga tidak ingin Katrina menyakiti Zuraidah. Walaupun dia tidak kenal Zuraidah secara dekat, namun dapat dia rasakan Zuraidah seorang gadis yang baik. Jika Zuraidah tiada keistimewaan, masakan Syed Faiez begitu cintakan perempuan itu. Dia tahu segala perkembangan hidup Zuraidah kebelakangan ini. Ianya bukan satu rahsia lagi dalam keluarganya.
Malah bondanya merestui perhubungan antara Syed Faiez dan Zuraidah. Mereka berhak untuk hidup bahagia bersama… bisik hati Syed Fairouz. Dan aku tidak akan menghancurkan kebahagiaan abangku sendiri… Demikian dia memutuskan kata dan membuat keputusan untuk terus mendampingi Katrina. Sekurang-kuranya dia tahu setiap pergerakan Katrina. Gadis itu tidak akan merahsiakan apa-apa daripada pengetahuannya. Pagi Sabtu itu, dia meninggalkan Katrina yang masih nyenyak tidur di apartmentnya lalu terbang ke Sarawak, memenuhi janji dengan tunangannya. Syed Fairouz memang tidak melepaskan peluang untuk bersama Rohaya, sentiasa membuktikan bahawa cintanya hanya pada gadis itu.
Jika terjadinya perkahwinan antara mereka kelak, dia juga akan membuktikan bahawa dia seorang suami yang baik di rumah, ketika di hadapan isterinya. Walau bagaimana pun dia tidak mahu berjanji sekiranya dia berada di luar rumah…
Begitulah hari berikutnya dia kembali semula ke Semenanjung dan menyambung semula hubungan intim dengan Katrina. Mereka bertemu seperti biasa, makan malam kemudian ke disko.
Malam itu kepala Syed Fairouz terasa berat. Pening. Namun dia mengakui dia belum mabuk. Berkali-kali Katrina meminta agar Syed Fairouz membenarkan dia memandu kereta, namun lelaki itu menolak, malah memarahi Katrina dengan kata-kata yang agak kesat; “Diamlah! I tahu apa yang I buat… Boleh tak you duduk diam-diam saja? You ni banyak cakap… I bosan dengan perempuan yang banyak cakap. Nasib baiklah Rohaya tak macam you. Jika tak, dah lama I tinggalkan.”
“Nak tinggalkan I… Silakan. I tak peduli, tak kisah langsung…” Balas Katrina. “Berkawan dengan you, I tak dapat apa-apa. You ni bukannya jenis manusia baik yang boleh diajak berunding… Bukan macam Faiez.”
“You ingat I mudah diperalatkan. You ingat I akan dengar cakap you?” Tanya Syed Fairouz berang. Dia terus memandu laju. Fikirannya berkecamuk. Antara sedar dan mabuk, dia kadang-kadang tidak tahu apa yang dia tuturkan lagi.
“Perlahanlah sikit! Ni jalan raya bukannya litar lumba kereta.” Seru Katrina sambil memegang setering, berharap Syed Fairouz sedar bahawa dia telah memandu begitu laju sekali.
“I tahulah. Tak payah ajar.” Balas Syed Fairouz sambil menepis tangan Katrina. Dia terus menekan minyak.
“Fairouz! Jangan memotong… Tengok kat depan tu ada lori…”
“Aghhh!!!” Syed Faiez merengus, marah. Namun dia terus berusaha untuk mengendalikan keretanya.
“Fairouz!” Katrina terjerit cemas, demi melihat lori yang meluru laju ke arah mereka. Syed Fairouz berusaha mengendalikan keretanya namun kelajuan yang tinggi membuat dia gagal memberhentikan kereta. Di saat-saat cemas itu dia cuba membawa kereta itu ke tepian jalan agar tidak berlanggar dengan lori yang datang dari hadapannya. Malangnya kereta itu terbabas, lalu terus bergerak laju menuju ke tubir jalan dan melanggar tembuk di hadapannya.
Terdengar dentuman keras. Kedua-duanya tidak sedar lagi apa yang berlaku di sekeliling mereka.
KATRINA berusaha membuka matanya dengan payah. Dia merasakan tubuhnya amat lemah. Ada denyutan sakit yang mencucuk-cucuk seluruh tubuh. Dia membuka mata, terkejut melihat kakinya yang berbalut, tergantung. Dia cuba mengangkat kedua-dua tangan yang juga berbalut dengan kain putih. Lehernya juga. Aduh… Dia mengeluh perlahan namun suaranya tersekat di kerongkong.
Di hujung katil dia terlihat wajah sugul emaknya. Di situ juga ada Syed Faiez. Wajah lelaki itu juga muram dan sedih.
“Faiez…” Tegurnya lemah. “Macamana Fairuoz?”
Syed Faiez tidak menjawab. Wajahnya terus muram. Katrina tertanya-tanya apa yang berlaku. Berapa lamakah sudah dia terbaring di situ. Mengapa ibunya juga membisu apabila dia bertanya keadaan Syed Fairouz. Dia kembali mengingat apa yang berlaku pada malam itu.
“Keadaan Fairouz kritikal…” Beritahu Syed Faiez perlahan, hampir-hampir tidak terkeluar suaranya. “Dia masih koma. Hari ni dah masuk hari ke tiga.”
“Tiga hari?” Tanya Katrina tidak percaya. Dia terasa bahawa kejadian itu baru berlaku malam tadi.
“Ya, Tiga hari. Tapi you dah sedar semula. You akan selamat Katrina!” Kata Syed Faiez perlahan, walaupun suaranya tenang namun ada sebak yang disembunyikan.
“I harap, Fairouz juga selamat.” Balas Katrina dengan nada suara yang tersekat-sekat.
“I tak tahu apa yang you buat dengan Fairouz pada malam tu. Puas I fikirkan apa sebenarnya hubungan you dengan Fairouz. Tapi baik juga seandainya Fairouz selamat supaya I boleh tanya dia sendiri. Rohaya sekarang ada bersama Fairouz di ICU.”
“Rohaya tahu I bersama Fairouz malam kejadian tu?”
“Memang dia tahu… Perkara tu bukan rahsia lagi.” Jawab Syed Faiez, sedikit tegas dan dingin. “Seluruh family I dan family Rohaya juga tahu. Cuma mereka tak tahu apa hubungan sebenar kalian berdua…”
Katrina diam, meneguk airliur pahit kemudian memejamkan matanya rapat-rapat. Syed Faiez menunggu Katrina berkata sesuatu namun dilihatnya gadis itu terus memejamkan matan. Syed Faiez meninggalkan bilik rawatan Katrina, kembali ke wad ICU tempat adiknya dirawat.
Suasana pilu menyelubungi ruang itu. Puan Sharifah Aliah sedang mengesat airmata, sementara Tuan Syed Alias menyandarkan tubuh ke dinding. Dua orang lagi adik lelakinya yang ada di ruang itu hanya duduk termenung. Tiada sesiapa pun yang menyedari kedatangannya ke ruang menunggu itu. Pintu terbuka dari dalam bilik rawatan. Tersembul wajah Rohaya yang basah dengan mata merah sedang ditemani Zuraidah bergerak keluar dengan langkah longlai. Tanpa amaran tiba-tiba tubuh Rohaya jadi lembik lalu terus terjelepuk di atas lantai. Rohaya pengsan.
Kelam kabut Syed Faiez dan Zuraidah mengangkat tubuh Rohaya lalu meletakkannya dia atas kerusi panjang di ruang menunggu. Seorang doktor keluar dari wad ICU, mencari-cari wajah Tuan Syed Alias kemudian terus menuju ke arah lelaki itu. Doktor itu bersuara tenang, memegang bahu Tuan Syed Alias; “I am sorry…” Katanya lembut.
Puan Sharifah Aliah bangun, mendekati suaminya sebaik sahaja mendengar kata-kata maaf daripada doktor itu. “Syed Fairuoz tak dapat diselamatkan. Dia dah tiada sebentar tadi. Maafkan saya.”
Kata-kata tenang dan lembut itu tetap mengejutkan seluruh keluarga Tuan Syed Alias. Patutlah Rohaya pengsan semasa dia keluar dari bilik ICU itu tadi. Dia telah mendengarkan penerangan doktor itu lebih dahulu.
“Fairouz… Fairouz… Ohhhh…” Suara Rohaya yang merintih pilu, sebaik saja dia tersedar dari pengsan membuat semua yang ada di situ menoleh padanya. Zuraidah mendekati Rohaya, memeluknya erat cuba menenangkan adiknya yang sedang dilanda duka. Sebagai abang sulung, Syed Faiez bertindak, menguruskan segala-galanya sehingga jenazah adiknya dibawa pulang.
Berita kehilangan Syed Fairuoz melemahkan semangat ibubapanya. Memang tiada sesiapapun menduga dia pergi dalam usia yang begitu muda. Walaupun Syed Fairouz seorang anak yang tidak bertanggungjawab, namun ketiadaannya amat dirasai oleh Puan Sharifah Aliah dan Tuan Syed Alias. Malah mereka meratapi pemergian anak lelaki kedua dalam keluarga itu selama beberapa hari. Sehingga sebulan berlalu, kehilangan itu masih tetap dirasai.
Sementara keadaan Rohaya lebih teruk daripada apa yang dijangka. Dia asyik menangis sepanjang hari, tidak lalu makan dan minum. Dia kerap kali jatuh pengsan. Akhirnya dia dibawa ke wad. Setiap hari Zuraidah dan Idora bergilir-gilir menjaganya di hospital. Pagi itu semasa Zuraidah sampai, bagi menggantikan Idora yang akan pulang ke rumah untuk berehat, doktor bertugas memanggilnya.
Zuraidah tidak tahu apa yang ingin dibincangkan oleh doktor itu dengannya. Doktor cuba menerangkan dengan penuh diplomasi keadaan sebenar diri Rohaya. Mengapa kesedihan dan kemurungan yang dialaminya tidak mahu surut sehingga menyebabkan anggota badannya lemah dan tidak berdaya. Tubuhnya menolak makanan dan minuman. Rohaya tidak ingin untuk meneruskan hidupnya lagi…
Namun doktor sedang berusaha untuk memulihkan semangat dan memberi dia satu kekuatan baru demi bayi yang sedang dikandungnya. Zuraidah terperanjat besar mendengar bahawa Rohaya sedang mengandung. Dia yakin dan pasti anak itu adalah milik Syed Fairouz. Lidah Zuraidah menjadi kering dan kelu. Dia tidak tahu bagaimanakah caranya harus memberitahu Idora. Dia berharap doktor sendiri yang akan mengkhabarkan perkara itu kepada ibunya. Doktor berjanji akan menjelaskan pada Idora kelak…
Esoknya Zuraidah datang untuk mengambil alih tugas Idora menjaga Rohaya yang masih belum dibenarkan keluar dari wad. Pagi itu, tiba-tiba Idora mengajak Zuraidah bersarapan di kafeteria hospital. Malah Idora membelikan nasi dan minuman untuk anak perempuannya itu, sementara Zuraidah hanya menanti di meja.
“Kau dah tahu kan?” Tanya Idora memulakan bicara sambil memamah nasi lemak di dalam piringnya.
“Tahu apa, mak?” Tanya Zuraidah kembali, satu pertanyaan yang tulus.
“Ah… Tak usah pura-puralah. Doktor dah beritahu kau yang Rohaya mengandung!” Jawab Idora. Wajahnya serius, terus memamah makanan di dalam piringnya. Sesekali dia meneguk minuman kopi O yang sudah mulai sejuk.
“Ya.” Balas Zuraidah sepatah.
“Fairouz dah mati, Rohaya pula mengandung. Siapa yang nak bertanggungjawab…” Kata Idora separuh merungut. “Jangan sesekali kau beritahu ayah kau soal ni, Idah. Kita mesti mencari jalan untuk menyelamatkan maruah keluarga kita dengan apa cara sekali pun.”
“Macamana?” Tanya Zuraidah benar-benar tidak tahu penyelesaian yang harus dilakukan.
“Sepanjang malam tadi mak cuba memikirkan jalannya. Sepanjang malam mak tak boleh tidur. Hanya satu jalan saja yang mak nampak, boleh selesaikan masalah ni. Maruah kita akan terselamat, kita takkan dihina dan dikata orang macam-macam!” Idora memandang jauh, kemudian kembali memandang wajah Zuraidah yang duduk dihadapannya. “Kita mesti beritahu keluarga Tuan Syed pasal Rohaya. Dia mengandungkan anak Fairouz.”
“Hmmm…Idah tak berani mak!” Jawab Zuraidah dengan cepat. “Lagipun bukan salah Fairouz. Rohaya juga bersalah dalam soal ni. Belum tentu keluarga Faiez akan terima hal yang memalukan ni. Mesti dia menganggap Rohaya yang tak ada maruah, sanggup serah diri pada anak mereka sedangkan mereka berdua baru bertunang, belum sah sebagai suami isteri.”
“Kau jangan nak mengata adik kau sendiri, Zuraidah!” Idora menengking tiba-tiba. “Kalau bertepuk sebelah tangan takkan menjadi. Jadi jangan nak letak kesalahan pada Rohaya seorang. Kau mesti beritahu Faiez pasal Rohaya! Bincang baik-baik dengan dia apa yang patut dibuat.”
Zuraidah meneguk airliur pahit, tidak mengerti apa maksud di sebalik kata-kata emaknya itu.
“Apa yang nak Idah bincangkan dengan Faiez mak?” Tanya Zuraidah seperti orang bodoh.
“Kau tak tahu apa yang nak bincang? Bodohnya kau ni! Beritahu dia apa yang berlaku pada Rohaya, angkara adik dia. Jangan nak ambil mudah kalau dah buntingkan anak orang…” Kata Idora dengan nada marah. “Kalau kau tak mahu telefon, beritahu dia pasal Rohaya, biar mak yang telefon dia. Bagi sini handphone engkau tu!”
Zuraidah teragak-agak hendak mencapai telefon bimbit di dalam beg tangannya. Dia tidak tahu bagaimanakah reaksi Syed Faiez.
“Err… Tak apalah mak. Biar Zu beritahu Faiez dulu baik-baik. Kami akan bincangkan apa yang patut dilakukan.”
Idora mengangguk kasar. Dia berharap Zuraidah tidak akan bertangguh-tangguh untuk beritahu Syed Faiez. Jika Zuraidah enggan berbuat demikian, dia sanggup untuk menemui jejaka itu. Dia sanggup membuang segala rasa malu demi maruah anak perempuannya itu.
Dapatkah keluarga Tuan Syed Alias menerima berita itu dengan dada lapang dan tangan terbuka. Dia yakin maruah Rohaya yang tercalar itu akan tetap robek, dan tiada sesiapa pun di kalangan keluar Tuan Syed Alias yang sanggup untuk membebatnya. Melainkan jika dia meminta Zuraidah melakukan sesuatu…
Bab 12
“MAK…” Seru Rohaya perlahan, sambil mencari tangan Idora. Idora pantas menggenggam tangan anak perempuan kesayangannya itu. Wajah Rohaya yang pucat lesi, sudah seminggu terbaring di katil hospital direnungnya lama. Ada kesedihan di hati, namun dia tidak mempamerkannya. Kesedihan hatinya akan membuat Rohaya hilang semangat untuk meneruskan hidup. Justeru itu dia sentiasa mempamerkan senyuman penuh ketabahan.
“Ya sayang…”
“Aya nak keluar dari hospital ni… Nak balik rumah.”
“Okey. Nanti mak bincang dengan doktor. Aya boleh balik kalau dah betul-betul sihat.”
“Aya dah sihat sikit mak…” Balas Rohaya sambil cuba untuk bangun. “Lagipun Aya tak mahu menyusahkan mak, kena jaga Aya setiap hari. Aya tahu, banyak urusan mak yang tertangguh sebab Aya.”
“Jangan cakap macam tu! Mak sikit pun tak salahkan kau. Percayalah. Mak sanggup jaga kau di sini sebab mak sayangkan kau, Rohaya.”
Airmata Rohaya mengalir perlahan menuruni pipi.
“Mak masih sayangkan Aya walaupun Aya kecewakan mak… malukan mak?” Tanya Rohaya dengan suara yang lirih.
“Siapa kata kau malukan mak sayang. Perkara tu takkan berlaku kalau Fairouz tak pengaruhi kau kan?” Balas Idora sambil membelai rambut Rohaya.
“Aya tak mahu salahkan sesiapa. Aya sayangkan Fairouz. Yang Aya tahu sekarang, Aya mengandung anak dia. Fairouz dah mati! Anak Aya takkan ada ayah.” Kata Rohaya dengan suara yang serak, menahan dirinya daripada meraung. Tetapi dia tidak cukup kuat. Dia meraung dengan kuat sambil memeluk Idora. Idora menepuk bahunya meminta dia bersabar.
“Sabar… mak akan cari jalan untuk selesaikan masalah kau ni Rohaya. Jangan bimbang. Berehatlah sayang! Mak akan selesaikan masalah kau ni secepat mungkin sebab perut kau takkan menunggu lebih lama. Lambat laun orang akan tahu…” Kata Idora.
Rohaya mengangguk sambil menyeka airmata. Tangisan penyesalan memang tiada gunanya. Dia tahu dia juga bersalah, tidak berfikir panjang tentang akibat daripada perbuatan itu. Kini dia tidak berani berhadapan dengan masyarakat selagi masalah yang membelit diri tiada jalan penyelesaian. Dia tidak sanggup untuk balik ke Sarawak, meneruskan tugas seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Terlalu berat terasa beban yang harus dipikul di atas pundak. Peristiwa demi peristiwa yang dilaluinya terasa amat pahit untuk ditelan. Dia baru mengetahui satu kenyataan, bahawa Syed Fairouz mempunyai ramai kekasih. Salah seorang daripadanya gadis yang cedera yang berada di dalam kereta semasa dia mengalami kemalangan. Dengar khabar gadis itu selamat.
Mengapa gadis itu harus selamat? Mengapa tidak gadis itu sahaja yang mati dan Syed Fairouz selamat… Mengapa? Soal Rohaya bertalu-talu pada dirinya sendiri.
Idora mencium dahi Rohaya, berkata dengan suara lembut memujuk; “Mak pergi jumpa doktor sekejap. Kalau doktor kata kau dah boleh balik… Kita balik saja ya sayang?”
Idora bangun untuk keluar. Di bahagian lobi dia terserempak dengan Zuraidah dan Syed Faiez yang datang untuk melawat Rohaya. Idora memberitahu Zuraidah dia ingin berjumpa dengan doktor. Dia berharap Zuraidah akan menemani Rohaya sehingga dia kembali.
“Kau orang berdua pergilah jumpa Rohaya. Mak pergi sekejap saja.” Kata Idora lalu tergesa-gesa berlalu.
Rohaya memandang ke pintu apabila melihat Syed Faiez. Sangkanya Syed Faiez datang seorang diri. Dia mengangkat badannya perlahan-lahan, bangun lalu duduk berlunjur di atas katil. Bantal di kepala dijadikan sandaran. Rohaya memandang Syed Faiez tidak berkelip.
Zuraidah muncul dari arah belakang Syed Faiez. Tiba-tiba Rohaya begitu kecewa, matanya mencerminkan perasaan hampa yang begitu dalam. Di wajah lelaki itu, dia bagaikan melihat bayangan wajah Syed Fairouz. Rohaya sendiri tidak tahu siapakah yang lebih kacak antara Syed Fairouz dan Syed Faiez. Apa yang pasti, wajah mereka agak seiras, hanya Syed Faiez lebih tinggi dan kulitnya lebih cerah daripada adiknya. Potongan rambut mereka tidak jauh bezanya… Yang berbeza hanya sikap dan penampilan Syed Faiez yang jauh kelihatan lebih matang.
“Apa khabar Rohaya? Dah okey sikit hari ini?” Tegur Syed Faiez sambil cuba melemparkan senyuman.
Rohaya tidak membalas senyuman itu sebaliknya menjeling masam ke arah Zuraidah yang kini berdiri di sisi Syed Faiez. Kemudian Zuraidah bergerak mendekati gobok di sisi katil lalu meletakkan raga rotan comel, berhias reben dan bunga di tangkainya. Di dalam raga itu terdapat buah-buahan segar seperti oren, epal dan pir.
“Aya nak buah epal? Biar Idah potongkan ya…” Kata Zuraidah sambil mengambil pisau kecil yang tersimpan di dalam laci. Rohaya memandang sahaja buah-buahan itu tanpa sebarang selera. Matanya lebih tertuju ke arah pisau di tangan Zuraidah. Kilauan pisau yang tajam itu menarik minatnya hingga mata Rohaya enggan beralih dari situ.
“Tak payahlah. Aku tak ada selera nak makan.” Jawab Rohaya, matanya masih memandang pisau itu. Zuraidah menyimpannya semula di dalam laci gobok di tepi katil.
“Okeylah. Nanti kalau ada selera, suruh aje mak potongkan.” Balas Zuraidah sambil melemparkan senyuman.
“Bila boleh keluar dari wad ni, Rohaya?” Tanya Syed Faiez.
“Entah.” Jawab Rohaya dingin. “Mak baru nak pergi bincang dengan doktor. Ikutkan hati, nak balik hari ni juga. Rasanya dah okey sikit.”
“Tapi muka kau pucat Aya. Berehatlah dulu di sini lebih lama.”
“Pucat? Kau nak cakap aku tak cantik lagi Bedah? Kau ingat aku suka duduk lama-lama kat sini? Kau tak tahu aku bosan… sedih, macam nak naik gila duduk kat sini. Kau tak faham! Kau tak rasa macamana kehilangan tunang! Kau tengah bahagia sekarang…” Rohaya separuh menjerit, kemudian menangis dengan kuat.
Zuraidah terpaku, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Syed Faiez bertindak pantas, memegang tangan Rohaya kemudian mengurut belakangnya dengan lembut.
“Shhh… Rohaya, kami faham perasaan kau.” Kata Syed Faiez.
“Apa yang kau faham Faiez? Apa? Aya dah tak mahu hidup lagi. Tanpa Fairouz, hidup Aya tiada ertinya. Biar Aya mati bersama-sama Fairuoz.” Tangis Rohaya menjadi lebih panjang, tangannya berpaut di bahu Syed Faiez.
Syed Faiez berusaha menenangkan dirinya sehingga dia berhenti menangis. Tidak lama kemudian dia kembali berbaring. Syed Faiez menarik selimut, menyuruh dia tidur. Zuraidah mengajak Syed Faiez cepat-cepat keluar. Dia sedar, Rohaya masih dalam keadaan trauma kesan daripada perpisahan tanpa diduga dengan Syed Fairouz.
Mereka masuk ke kafeteria hospital untuk minum petang. Zuraidah langsung terlupa bahawa Rohaya tidak boleh dibiarkan bersendirian dalam keadaan fikirannya yang sedang berkecamuk. Emosinya juga masih terganggu.
“Faiez, Zu nak beritahu satu perkara tentang Rohaya. Harap Faiez tak terperanjat.”
“Apadia Zu?” Tanya Syed Faiez, meneguk minuman nescafe panas di hadapannya perlahan-lahan. Matanya memandang tepat ke wajah Zuraidah.
“Tak tahu macamana nak beritahu Faiez. Zu malu sebenarnya, nak sebut perkara ni. Tapi Zu terpaksa cakap juga.”
“Cakap ajelah Zu. Jangan buat Faiez berteka teki pula…”
“Faiez, Rohaya mengandungkan anak Fairouz.”
“Apa?” Syed Faiez tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut mendengar kata-kata yang baru disampaikan oleh Zuraidah. “Zu pasti ke?”
“Dua hari lepas, doktor sendiri beritahu Zu. Kandungannya tak boleh digugurkan sebab dah masuk 4 bulan. Bahaya jika pengguguran dilakukan. Zu tak tahu apa nak buat Faiez. Mental dan fizikal Rohaya terganggu. Dia lebih tertekan lagi apabila menyedari perutnya akan tambah membesar. Fairouz pula dah tiada…”
Syed Faiez terdiam lama. Patutkah dia memberitahu keluarganya tentang hal ini? Bagaimana reaksi ibubapa dan saudara mara? Dia memang tahu perangai buruk adiknya yang mempunyai girlfriend keliling pinggang. Tapi tak sangka pula dia telah meniduri Rohaya sebelum majlis perkahwinan mereka. Apa yang dia kejar-kejar sangat? Tinggal beberapa bulan saja lagi mereka akan bernikah. Mengapa harus melakukan perkara yang dimurkai Tuhan itu?
Oh… Perasaannya jadi sedih. Pintu taubat telah pun tertutup buatmu Fairouz… bisik hatinya. Pedih. Dan siapakah yang akan menanggung beban dari perbuatan dosamu itu? Ya Allah! Bagaimanakah harus kupohon keampunan bagi pihak adikku itu? Memang jelas dan nyata pintu taubat sudah pun tertutup serapat-rapatnya. Syed Fairouz pergi dalam keadaan diri yang masih hanyut dalam arus noda dan dosa.
“Faiez, Zu buntu… Tak tahu macamana nak tolong Rohaya. Apa yang harus kita buat Faiez?”
“Faiez juga buntu.” Jawab Syed Faiez sambil memegang kepalanya. “Kalau kandungan dia tak boleh digugurkan, dia terpaksa teruskan juga. Tak baik membunuh bayi yang tak berdosa. Jangan ditambah lagi dosa yang ada. Sebaiknya Rohaya bertaubat dengan taubat nasuha. Rohaya harus memulakan hidup baru tanpa Fairouz.”
“Betul. Apa yang Faiez cakap memang benar, sedikit pun tiada salahnya. Rohaya perlu bertaubat, perlu kembali ke jalan yang betul. Tapi kita perlu tolong dia Faiez. Kita tak boleh biarkan dia terus hanyut. Jelas keluarga kami yang akan dapat malu. Keluarga kami yang tanggung semua ini Faiez. Mak tak mahu maruah Rohaya tercalar! Maruah Rohaya adalah maruah mak dan Zu juga!”
“Mahu tak mahu, mak Zu kena terima. Mak Zu terpaksa menerima ini semua, Zu. Kalau Fairouz masih hidup, tentu keluarga Faiez akan mempercepatkan pernikahan mereka. Malangnya… Fairouz dah tak ada. Apa yang dapat dibuat lagi, Zu?”
Zuraidah diam sejenak kemudian menyambung; “Cakap memang senang Faiez! Betapa susahnya hendak menerima keadaan ni. Mak desak Zu supaya lakukan sesuatu. Katanya ada cara untuk selesaikan masalah ni… Dia suruh kita berbincang. Kita yang cari jalan penyelesaiannya.”
Syed Faiez hanya merenung Zuraidah tidak berkelip.
“Tapi mak belum cakap, bagaimanakah cara penyelesaian tu…” Sambung Zuraidah membalas renungan Syed Faiez.
IDORA masuk ke bilik Rohaya setelah selesai berbincang dengan doktor. Doktor masih belum membenarkan Rohaya keluar daripada wad itu. Keadaan mental Rohaya belum stabil, dia mengalami trauma yang dahsyat.
Idora tergamam sebaik sahaja masuk. Dia terjerit cemas. Di atas katil bercadar putih itu dia melihat darah Rohaya membuak-buak datang daripada pergelangan tangannya yang baru dikelar dengan pisau. Mata Rohaya separuh terbuka, kepalanya terkulai ke tepi katil. Jururawat segera datang memberi pertolongan bagi menyelamatkan nyawanya.
Idora rasa marah kerana Zuraidah meninggalkan Rohaya sendirian. Doktor memang mengingatkan ahli keluarganya supaya tidak meninggalkan dia bersendirian. Memang seseorang yang mengalami masalah seperti Rohaya, merasakan hidup tidak berguna lagi. Dan langkah yang paling baik adalah mengambil nyawanya sendiri.
“Kau tahu apa yang terjadi pada Rohaya? Dia kelar tangan dia sendiri, tahu tak? Kau mahu tengok adik kau mati? Kenapa kau tinggalkan dia sorang?”
“Ya Allah! Idah tak sangka Rohaya akan buat macam tu, Mak! Idah tak tahu…”
“Apa yang kau tahu? Kalau dah bersama dengan Faiez tu kau jadi lupa segala-galanya. Lupa dunia, lupa adik kau yang tengah menderita. Kau hanya tahu kebahagiaan kau saja…” Tuduh Idora sengit. Dia merengus kasar.
“Mujur dia tak mati sebab aku cepat-cepat masuk semula lepas jumpa doktor tadi. Kalau dia mati… Memang salah kau, Zuraidah.”
“Ya Tuhan, mak janganlah tuduh Idah macam tu! Bukannya Idah mahu ini semua berlaku…” Balas Zuraidah dengan dada yang sebak.
Idora tidak bersuara. Bibirnya dikertap kuat. Lama dia termenung. Zuraidah setia menunggu emaknya berbicara. Rohaya sudah pun dibawa masuk kembali ke wad. Malam itu Zuraidah akan menjaga Rohaya. Idora melarang Zuraidah tidur. Dia bimbang Rohaya kembali mengulangi perbuatannya siang tadi. Sebentar lagi Idora akan pulang ke rumah untuk berehat.
“Kau tak sayangkan adik kau, tak sayangkan aku. Sedangkan kau bukannya ada emak ataupun adik perempuan yang lain selain daripada Rohaya.” Kata Idora lagi, sengaja hendak menyakitkan hati Zuraidah. Bukan dia tidak tahu selama Rohaya sakit, Zuraidah turut menjaga Rohaya bergilir-gilir dengannya. Murad hanya datang sesekali sahaja pada waktu melawat. Itu pun hanya sebentar. Tidak sempat panas punggung duduk di kerusi, Murad sudah angkat kaki.
“Siapa kata Idah tak sayang emak ataupun Rohaya. Idah sayang mak…”
“Kalau betul kau sayang, kau sanggup berkorban untuk adik kau?” Idora bagaikan mencabar semula kata-kata Zuraidah.
“Apa maksud mak?” Tanya Zuraidah tidak mengerti.
“Selama ni mak tak pernah minta apa-apa dari kau. Mak tak pernah minta duit ringgit kau sebab mak tahu kau kerja setakat jurujual aje. Tak mampu nak beri mak banyak duit. Mak cari duit sendiri untuk pastikan kita hidup senang. Ada rumah, ada kereta cukup segala-galnya. Mak banyak berkorban untuk kau, besarkan kau hingga jadi besar panjang macam ni…”
Zuraidah diam, membiarkan sahaja Idora mengungkit segala jasa dan budinya.
“Mak nampak hanya satu saja jalan untuk selamatkan Rohaya daripada tanggung malu. Satu saja cara nak rawat jiwa Rohaya yang parah, yang tak ada semangat hendak hidup tu. Satu je…”
“Apadia mak?” Tanya Zuraidah ingin tahu. Hatinya sedikit teruja. Sekurang-kurangnya Idora punya satu cara untuk menyelesaikan masalah Rohaya sekaligus mengelakkan mereka sekeluarga mendapat malu.
“Rohaya mesti kahwin dengan Faiez.”
“Apadia?” Zuraidah terkejut, bagaikan ada bom yang meletup di hadapan matanya dia terlonjak, lalu terus bangun dari kerusi.
“Kau mesti pujuk Faiez supaya kahwin dengan Rohaya… Tolonglah mak!” Kata Idora sambil memegang tangan Zuraidah. Dia menarik tangan gadis itu supaya duduk semula di kerusi, di sisinya.
“Inilah pertama kali mak merayu, meminta tolong daripada kau Idah! Mak tak pernah minta apa-apa. Salahkah kalau mak minta kau berkorban demi maruah adik kau… demi maruah mak dan keluarga kita? Mak tahu, Faiez dengar cakap kau. Faiez sayangkan kau… Dia pasti sanggup berkorban untuk kau… untuk keluarga kita, Idah!” Kata Idora dengan lembut, airmatanya berlinangan. Tidak lama kemudian airmata itu mengalir lebat di pipinya. Pertama kali Zuraidah melihat emaknya mengalirkan airmata di hadapan. Betapa terharu dan pilunya perasaan Zuraidah melihat airmata Idora yang menyentuh pipinya. Betapa dia turut merasai kesakitan yang dirasakan oleh Idora saat itu.
Idora menggenggam tangannya erat-erat. Terasa halus dan hangat telapak tangan emaknya. Ada kasih yang mengalir melalui tautan tangan antara mereka. Idora memeluk Zuraidah. Dakapan itu erat. Zuraidah merasa denyut jantung emak dan dirinya bersatu. Dia rindukan pelukan itu. Rasanya sudah bertahun-tahun Idora tidak memeluknya. Dia sudah lupa bagaimanakah rasanya berada di dalam dakapan seorang ibu yang melahirkannya ke dunia ini. Tenteram sekali rasa di hati apabila didakap erat oleh ibunya begitu.
“Mak tahu, kau rasa berat hati… pedih, kecewa atas permintaan mak ni kan? Tapi tolonglah Rohaya. Fikirkan tentang pahala dan ganjaran yang kau dapat dengan pengorbanan ini. Kau akan buat Rohaya tersenyum semula, Idah. Kau akan buat Rohaya dan anak dalam kandungannya bahagia. Kau akan buat mereka punya tempat dalam masyarakat. Kau akan buat anak saudara kau yang bakal lahir tu ada seorang ayah… Semuanya dalam tangan kau Idah! Fikirkan kata-kata mak ni …”
Zuraidah diam. Dia masih merasakan hangat tangan Idora memegang tangannya. Masih dirasakan airmata hangat Idora yang jatuh di atas bahunya.
“Idah akan fikirkannya, mak.” Zuraidah berjanji setulus hati.
“Terima kasih, sayang.” Ucap Idora sambil mencium pipi Zuraidah. Pertama kali Zuraidah merasa dirinya disayangi oleh Idora. Zuraidah terharu. Hatinya menjadi cair dengan kasih sayang yang baru ditunjukkan oleh emaknya. Dia berikrar di dalam hati untuk memujuk Syed Faiez. Apakah Syed Faiez akan bersetuju?
“Mak balik dulu ya. Malam ni kau fikirkan betul-betul. Mak nak dengar keputusan kau awal pagi esok.” Kata Idora, bangun meninggalkan Zuraidah.
Idora melangkah keluar. Sambil berjalan meninggalkan lobi wad itu, dia mengesat airmatanya dengan sehelai tisu. Airmata penuh kepura-puraannya itu begitu cepat sekali kering disapa angin. Dia tersenyum sendiri, sambil berlenggang menghala ke parking lot. Dia tahu rancangannya itu akan berjaya menambat hati Zuraidah. Dia pasti, Rohaya akan bernikah dengan Syed Faiez tidak lama lagi. Lalu perbuatan sumbang Rohaya dan Syed Fairouz akan tertutup, tidak akan diketahui jiran tetangga dan rakan taulannya.
Selamat! Semuanya akan selamat… Bisik hatinya sambil melempar tisu ke dalam tong sampah berdekatan pintu sebelum melangkah keluar dari ruang lobi.
Bab 13
ZURAIDAH tertidur sejenak, buku yang sedang dibacanya jatuh ke lantai. Dia berbaring di atas sofa panjang yang terdapat di dalam wad Rohaya. Tadi Rohaya tidur nyenyak setelah disuntik dengan ubat penenang. Doktor bimbang dia akan mengulangi perbuatannya siang tadi, lalu langkah terbaik adalah membiarkan dia tidur.
Namun Rohaya cuba melawan ubat yang disuntik ke dalam tubuhnya. Dalam tidur dia bermimpi, bertemu dengan Syed Fairouz. Dia merayu lelaki itu agar membawanya pergi tetapi Syed Fairouz enggan. Syed Fairouz mahu dia meneruskan hidup tanpa dirinya…
Lalu dia meneriakkan nama lelaki itu sekuat hatinya, bayangan wajah Syed Fairouz menghilang diganti oleh siling putih yang kosong. Dia terjaga, terkebil-kebil sebentar kemudian tidur semula. Mimpi itu berulang-ulang datang dan pergi. Rohaya kerap kali tidur namun terjaga semula dan tidur lagi. Fikirannya benar-benar tidak tenteram. Dia rasa seperti ingin melarikan diri ke tempat yang jauh, yang tidak akan ditemui oleh sesiapa pun jua. Dia yakin dia tidak akan merindui emak, ayah dan adik beradiknya. Dia tiada tempat di situ lagi…
Kali ini Rohaya terjaga lebih lama. Matanya memerhati sekeliling. Rohaya nampak Zuraidah yang tertidur dengan nyenyak di sofa. Kakinya lurus nampak menggerekot kesejukan, hanya dibaluti seluar panjang hitam. Pendingin udara terasa begitu sejuk mencengkam di dalam bilik itu. Mengalahkan berada di kutub utara… rungut Rohaya sendiri. Mengapa Zuraidah tidak membawa selimut ataupun memakai sweater. Agh! Bodohnya kau Bedah! Gerutu Rohaya sendiri.
Walaupun dia tahu kakaknya itu kepenatan, namun tiada sedikit pun singgah rasa simpati. Zuraidah sedang bahagia di samping Syed Faiez.Tiba-tiba dia tercuit rasa cemburu yang bukan sedikit. Rasa cemburu, tidak puas hati dan marah mulai memenuhi hatinya secara mendadak. Dadanya berdebar-debar, perasaan tidak puas hati yang meluap-luap muncul tanpa sebarang amaran. Dia merasakan separuh daripada kehidupan indah dan manisnya direntap dan ditarik secara tiba-tiba. Dia tidak boleh terima keadaan itu.
Rohaya rasa ingin menjerit, tetapi apakah orang akan mendengar jeritan batinnya itu? Adakah yang simpati? Apakah Zuraidah simpati padanya sedangkan selama ini dia selalu menyeksa perasaan dan menyakiti hati Zuraidah? Bila dia jatuh sakit, Zuraidah sanggup bersusah payah menjaganya. Tidak! Dia tidak ingin menerima budi Zuraidah…
Rohaya memandang siling tidak berkelip. Lebih baik dia tidur daripada berfikir yang bukan-bukan. Sesuatu yang tidak rasional selalu muncul dalam relung otaknya.
Zuraidah terlelap selama sejam lebih. Dia tersentap dan terjaga secara tiba-tiba. Ah! Aku sepatutnya tak tidur. Bagaimana jika Rohaya terjaga lalu melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Zuraidah memandang Rohaya. Dilihatnya mata Rohaya terbuka luas.
“Rohaya! Kau okey?” Tanya Zuraidah sambil mendekati katil adiknya.
Rohaya menoleh. Dia memandang Zuraidah sejenak lalu berkata; “Aku nak air.”
Zuraidah menuang air lalu memberikannya pada Rohaya. Dia menarik selimut.
“Kau tidur semula ya…” Kata Zuraidah sambil menguap. Dia masih mengantuk sebenarnya. Tidur yang hanya sejenak itu buat dia rasa bertambah letih.
Rohaya tidak mahu tidur lagi. Sepanjang hari dia sudah tidur, malam juga dia tidur. Penat rasanya tubuh badannya apalagi ditambah dengan rasa pedih yang mencucuk-cucuk tangkai hati.
“Aku tak mahu tidur lagi. Kau tidur lah.” Kata Rohaya tanpa memandang wajah Zuraidah. “Buku apa yang kau baca tadi?”
Zuraidah tersenyum. Dia mengutip buku yang jatuh ke lantai.
“Buku agama. Kau nak baca?”
“Buku agama, tak payahlah.” Jawab Rohaya sambil memejamkan matanya.
Zuraidah duduk semula di atas sofa, menyandarkan badannya yang keletihan. Tidak sampai lima minit dia terlelap semula.
Tiba-tiba Rohaya rasa seperti ingin membuang air kecil. Dia menanggalkan tiup yang menghubungkan dengan botol berisi air yang disalurkan ke tubuhnya. Dia kehilangan banyak air di dalam badan. Rohaya rasa rimas. Dia menanggalkan tiub itu, lalu cuba bangun dari katil. Namun dia tidak berdaya untuk mengangkat tubuhnya. Dia terlalu lemah.
Dia memandang Zuraidah yang sudah pun terlelap dalam keadaan duduk.
Huh! Dah tidur semula! Cepatnya dia tertidur semula tak sampai lima minit! Rungut Rohaya sambil memandang dengan bibir tercebik ke arah Zuraidah.
Selama ini dia tidak begitu baik dengan kakaknya, mereka selalu bertelagah sejak kecil hingga dewasa. Dia memang tidak langsung menghormati Zuraidah, malah dia turut mengutuk dan mengata gadis itu. Padahal Zuraidah seorang perempuan yang baik. Namun kebaikan dan kesantunan yang ditunjukkan oleh Zuraidah itulah yang membuat dia bertambah benci. Dia merasakan bahawa Zuraidah hanya berpura-pura baik sedangkan dalam hati gadis itu, menyimpan rasa benci padanya sama dengan apa yang dia rasa.
Tengoklah tu! Tidur mati… rungut Rohaya sendiri sambil berusaha untuk bangun ke bilik air sendiri. Namun dia benar-benar tidak berdaya.
“Idah… Idah…” Dia menyeru perlahan, namun Zuraidah terus jua tertidur.
“Bedah! Bedah!” Dia memanggil lebih kuat. Lalu Zuraidah terus terjaga. Dia terus bangun, berdiri. Terpinga-pinga sebentar. Tidak sangka dia tertidur lagi. Zuraidah memandang ke arah katil, dia melihat Rohaya sedang duduk tegak di atas katilnya.
Rohaya tersenyum pahit memandang Zuraidah.
“Aku nak pergi toilet. Tolong aku…” Pinta Rohaya.
Zuraidah tergesa-gesa bangun. “Biar Idah ambil bekas kencing.”
“Gila kau! Aku tak mahu kencing atas katil. Aku nak pergi toilet.”
“Okey. Biar Idah pergi ambil kerusi roda. Kau tahan aje sekejap ya…”
Zuraidah kembali ke bilik Rohaya, mengangkat gadis itu dengan sisa-sisa tenaga yang ada. Kepalanya masih pening, terjaga dari tidur lalu terus mendadak bangun, namun ditahannya saja. Dia menolak Rohaya ke bilik air, kemudian membawanya semula ke dalam bilik.
“Kau nak apa-apa lagi?” Tanya Zuraidah.
Rohaya tidak menjawab. Dia memerhati Zuraidah mengambil roti dari dalam bakul lalu menyerahkannya pada Rohaya. Rohaya menggeleng. “Aku tak laparlah!”Jawab Rohaya.
Zuraidah mengangguk sahaja. “Air? Milo atau air kosong?”
Rohaya menggeleng. “Kau tak faham ke aku tak ada selera nak makan. Aku rasa macam nak mati saja…” Kata Rohaya lagi sambil menggigit bibirnya. Kemudian menyembamkan kepalanya ke atas bantal. Dia menangis.
“Aya… Ingat pada Tuhan. Minta ampun banyak-banyak dari Dia. Jiwa engkau tak tenang sebab engkau banyak berpaling dari Dia, Aya!”
“Jangan nak ajar aku, Bedah! Aku tahu kau baik… Kau tengah bahagia dengan Faiez bolehlah cakap macam tu! Kalau berada di tempat aku, barulah padan dengan dengan muka kau. Sekarang ni nasib aku malang, aku kehilangan tunang. Kau takkan faham. Kau hanya tahu gelakkan aku. Kau suka tengok aku merana, kecewa macam ni kan?”
“Aya! Idah tak gelakkan Aya. Sikit pun tak… Siapa kata Idah suka tengok kau macam ni. Idah sedih, kalau kau sedih.” Pujuk Zuraidah sambil mendekati adiknya. “Percayalah Aya… Idah akan lakukan apa saja untuk memastikan hidup kau bahagia. Idah sanggup berkorban untuk kau.”
Rohaya mengangkat kepalanya, memandang Zuraidah. Mata gadis itu direnungnya tajam. Dia tidak percaya langsung pada kata-kata Zuraidah.
“Betul ke Idah? Ah! Kau tipu aku. Selama ni aku tak pernah baik dengan kau. Takkanlah kau sanggup berkorban untuk aku!” Kata Rohaya, enggan percaya pada kata-kata Zuraidah.
“Percayalah! Idah sanggup berkorban apa saja untuk adik Idah.”
Di mata Rohaya muncul satu cahaya kegembiraan. Manakala di wajahnya yang pucat jelas merona merah. Dia tersenyum, memegang tangan Zuraidah.
“Apa yang kau akan buat untuk tolong aku, Idah? Bagaimana?”
“Idah harap kau setuju dengan rancangan mak… Idah dah fikirkannya berkali-kali. Mak cadangkan supaya kau kahwin dengan Faiez, untuk tutup malu! Supaya anak kau ada ayah.”
“Idah… Betul ke? Kau akan benarkan aku kahwin dengan Faiez? Mahukah Faiez, terima aku Idah?” Tanya Rohaya bertalu-talu. Ada harapan yang baru tumbuh di hati. Dia benar-benar tidak menduga Zuraidah sanggup berkorban sejauh itu. Serahkan Syed Faiez padanya. Apakah Zuraidah sudah gila ataupun dia memang bodoh…
“Itu serahkan saja pada Idah, Aya. Idah akan pujuk dia supaya setuju dengan permintaan mak. Kalau dia benar-benar cintakan Idah, dia akan setuju tanpa banyak soal.”
Rohaya tersenyum. Zuraidah ikut tersenyum meskipun dalam hatinya ada sendu yang baru bertamu. Namun duka itu akan disimpannya jauh-jauh di sudut hati. Bibirnya akan sentiasa mengukir senyum, menandakan dia ikhlas mahu melepaskan kekasih hati kepada adiknya bagi menutup aib keluarga yang disayanginya.
Apa yang terpaksa dia lalui begitu pahit sekali. Menyerahkan lelaki yang dikasihi kepada adik sendiri. Sebahagian daripada hidupnya terasa sudah tiada. Sebahagian daripada hatinya terasa mati. Namun tiada airmata untuk ditangisi saat ini…
AWAL pagi Idora datang ke hospital memenuhi gilirannya menjaga Rohaya. Rohaya tidur nyenyak setelah doktor melakukan pemeriksaan pada jam lapan pagi tadi. Dia diberikan suntikan ubat tidur supaya boleh berehat dalam tempoh yang lama. Idora menyentuh bahu Zuraidah dengan lembut, mengajaknya sarapan di kafeteria.
“Awalnya mak datang. Baru pukul lapan setengah…”
“Mak tahu kau penat, tak tidur malam tadi jaga Rohaya. Kau baliklah berehat. Dah berapa hari kau tak ke kolej. Kalau masalah Rohaya ni cepat selesai, bolehlah kau cepat-cepat habiskan belajar.” Kata Idora menunjukkan sikap prihatin. Namun tiada sesiapa pun tahu itu hanya satu kepura-puraan.
“Tak apa mak. Idah dah dapat pun sijil komputer. Cuma Idah belum habis buat kursus setiausaha tu, tinggal beberapa bulan aje lagi. Mesti Idah dapat kejar.”
“Ya lah… Mak harap pun macam tu. Eh, kau nak makan apa? Biar mak order.” Kata Idora, sambil bangun berdiri menunggu Zuraidah membuat pesanan. Zuraidah memerhati emaknya dari atas ke bawah.
Zuraidah merasakan pakaian Idora tidak langsung sesuai dipakai ke hospital bagi menjaga orang sakit. Emaknya berseluar ketat berwarna hitam, dipadankan dengan kemeja singkat dan sendat berjalur putih di atas kain berlatar merah terang. Rambut Idora yang sudah banyak dimesrai dengan uban itu diwarnakan keperangan. Malah emaknya memiliki jambul yang terurai menutupi dahi. Gaya emaknya mengalahkan Zuraidah sendiri yang baru berusia dua puluh tiga tahun.
Zuraidah hanya mengenakan t.shirt simple berwarna hijau kosong yang longgar, berlengan panjang untuk melindungi tubuhnya dari kedinginan. Suasana di dalam wad demikian sejuknya hingga mencucuk tulang. Dia menyarung seluar jean hitam dan sandal tidak bertumit. Zuraidah langsung tidak membawa beg tangan, hanya beg kertas kecil berisi telekung. Di dalam beg itu juga dia menyimpan telefon bimbit dan dompet.
Namun Idora sungguh bergaya, mengalahkan dia hendak pergi shopping, dengan beg tangan dan kasut bertumit tinggi. Idora juga mengenakan solekan walaupun tidak begitu tebal.
“Roti bakar dan milo panas aje lah mak. Idah tak ada selera… penat dan mengantuk ni.” Jawab Zuraidah, tidak mahu membiarkan Idora terus menunggu.
“Hmmm… Mak pun nak makan roti bakar juga. Jemu makan nasi lemak. Lagipun takut badan naik.” Jawab Idora lalu terus bergerak laju menghala ke kaunter kafeteria.
Idora berusaha menjaga badan dan penampilannya. Bagi Idora usia bukan alasan untuk mengelakkan diri daripada bersolek dan berdandan.
Idora kembali dengan dua set roti bakar serta dua cawan milo panas.
“Dah fikirkan hal semalam?” Tanya Idora seperti tidak sabar sahaja dia menunggu keputusan Zuraidah.
Zuraidah mengangguk. “Idah akan pujuk Faiez supaya terima Rohaya.”
Idora tersenyum mesra. “Bagus. Mak tahu kau sayangkan Faiez. Faiez juga macam tu… Kalau Faiez nak tinggalkan Rohaya lepas anaknya lahir, mak tak kisah. Yang penting Rohaya ada suami dan anaknya boleh menggunakan nama Faiez.”
Zuraidah menggigit bibir. Dia ingin membantah. Apa yang ingin dilakukan oleh Idora nyata bersalahan dengan agama, menggunakan nama lelaki yang bukan bapa kandung anak itu. Anak Rohaya adalah anak luar nikah yang sepatutnya diletakkan nama Abdullah di belakang namanya.
Namun Zuraidah tidak berani menyatakan pendapatnya. Dia harus membenarkan sahaja Idora menjalankan rancangannya mengahwinkan Rohaya dengan Syed Faiez. Kemudian sekiranya tiada penyesuaian mereka boleh bercerai dan Zuraidah boleh kembali ke pangkuan Syed Faiez. Begitu mudahnya rencana yang diatur oleh Idora.
Walau bagaimana pun Zuraidah tidak tahu Idora punya rancangan lain yang tersimpan dalam hatinya. Dia tidak akan memberitahu Zuraidah apa-apa. Rahsia akan kekal jadi rahsia hatinya seorang. Dia mahu Rohaya tetap mengahwini ahli keluarga Tuan Syed Alias yang kaya raya. Rohaya dan anaknya akan mewarisi harta mereka yang melimpah ruah. Rohaya dan anaknya yang bakal lahir akan hidup penuh kemewahan. Malah sekiranya Rohaya berkahwin dengan Syed Faiez, dia tidak perlu bekerja lagi.
Semua kesenangan itu hanya patut dimiliki oleh Rohaya. Anaknya yang cantik rupawan dan bijak. Zuraidah boleh mencari jalan hidupnya sendiri kelak. Dia pasti Zuraidah akan menemui lelaki lain yang sesuai dengannya. Sejak mengetahui siapa Syed Faiez, dia merasakan lelaki itu tidak langsung sesuai dengan Zuraidah.
“Kau mesti pujuk Faiez betul-betul. Yakinkan dia. Mak tahu bukan senang kau nak pujuk Faiez. Ni… ada ubat untuk lembutkan hati Faiez. Ambil! Bubuh dalam minumannya!” Kata Idora sambil meletakkan sebuah botol kecil berwarna putih. Di dalamnya terdapat cecair jernih.
“Hisy… Tak naklah. Mak nak guna-gunakan Faiez?” Zuraidah tidak setuju dengan cara Idora. Tidak sangka Idora punya cara yang kotor untuk menundukkan supaya mengikut kehendaknya.
“Kau hanya gunakannya kalau Faiez berkeras dan menolak rancangan kita…” Kata Idora sambil menepuk lembut tangan Zuraidah.
Rancangan kita? Soal hati Zuraidah tidak keruan. Bukan rancangan kita mak… Tapi rancangan mak untuk menghancurkan cinta kami dan memastikan Rohaya hidup bahagia. Secara mendadak rasa pilu datang mencuit hati Zuraidah. Dia tertunduk. Roti bakar yang tadi masih panas, terbiar. Saat Zuraidah menggigitnya sedikit ia telah pun menjadi liat. Zuraidah meneguk minumannya. Air milo itu terasa tawar dan dingin. Entah mengapa seleranya terus hilang. Dia meminta diri daripada Idora untuk berlalu pergi dari situ. Dia tidak pasti harus ke mana. Namun yang jelas dia ingin bersendirian dan menangis sepuas-puasnya.
KERETA kancil pemberian Syed Faiez tersadai di bawah pohon rhu di tepian Pantai Batu Hitam. Zuraidah berjalan sendirian di persisir pantai yang lengang itu. Dia benar-benar bersendirian. Entah ke mana pengunjung pantai ini... Jika hari minggu ramai orang namun hari itu bukanlah hari minggu. Ianya adalah satu hari paling duka dalam hidup Zuraidah.
Dia menghabiskan masanya dengan menangisi nasib diri. Dia bakal kehilangan cinta pertamanya. Kata orang cinta pertama amat sukar untuk dilupakan. Cinta pertama akan terus melekat di hati sampai mati. Zuraidah tahu, dia tidak akan bertemu lagi dengan lelaki yang baik seperti Syed Faiez. Hanya kau satu-satunya lelaki yang baik, penyayang dan prihatin! Bisik hati Zuraidah.
Aku terlalu sayangkan kau Faiez, melebihi rasa sayang dan cinta pada diri sendiri. Namun aku juga sayangkan emak dan adikku. Mereka seperti juga engkau adalah sebahagian daripada diriku dan hidupku. Apalah sangat pengorbanan ini jika dibandingkan dengan kebahagiaan Rohaya yang akan punya suami dan anaknya akan punya ayah. Aku pasti anak itu akan sentiasa disayangi, dimanjakan… Bukan seperti diriku yang ketandusan kasih sayang emak dan ayah. Airmata Zuraidah berlinangan buat beberapa ketika sebelum ianya jatuh menuruni pipinya.
Setelah puas menghabiskan masanya bersendirian, Zuraidah kembali ke kereta. Dia mengambil telefon bimbit lalu terus mendail nombor telefon Syed Faiez. Lelaki itu baru sejurus keluar dari bilik mesyuarat. Panggilan daripada Zuraidah dijawabnya segera. Dia terdengar suara Zuraidah begitu sayu. Gadis itu mengajaknya bertemu.
Syed Faiez terus keluar dari pejabat, memandu ke Pantai Batu Hitam. Di sana Zuraidah menunggunya bersama senyuman panjang.
“Zu! Ada apa ni? Macam tergesa-gesa aje nak jumpa Faiez…”
“Faiez… Zu nak minta sesuatu daripada Faiez.”
“Apadia sayang? Mintalah apa saja Faiez akan tunaikan.”
“Hari ni Zu nak habiskan masa sehari suntuk dengan Faiez. Faiez lupakan dulu soal di pejabat, lupakan semua masalah. Hari dan malam ini, Zu ingin memiliki Faiez sepenuhnya…” Kata Zuraidah lalu melontarkan tubuhnya ke dalam dakapan Syed Faiez.
Syed Faiez agak terkejut dan sekali gus teruja. Dia membalas pelukan Zuraidah, tangannya mengusap belakang gadis itu perlahan-lahan. Beberapa detik kemudian tubuh mereka mulai renggang. Dia menatap wajah gadis itu dalam-dalam. Zuraidah mendongak, menadahkan wajahnya dengan bibir separuh terbuka. Bersedia untuk dikucup.
Syed Faiez tidak melakukan sebarang kucupan, sebaliknya bertanya dengan penuh kehairanan; “Zu, what’s wrong with you, today?”
Zuraidah membuka matanya, merenung Syed Faiez.
“Tak ada apa-apa! Zu cuma nak bergembira bersama Faiez. Tu aje…” Jawab Zuraidah, segera menundukkan wajahnya bimbang lelaki itu dapat merasakan keanehan pada diri dan tingkah lakunya.
“Jangan bohong dengan Faiez, Zu!” Jelas Syed Faiez tidak mudah untuk diperdaya oleh Zuraidah. Selama ini dia tidak pernah bertindak agresif. Syed Faiezlah yang selalu mengusik dan menyakatnya tetapi mereka tidak sampai pada tahap melakukan dosa besar.
“Bohong apa pula Faiez? Zu ingin bersama Faiez. Satu hari satu malam aje tak boleh ke? Zu nak Faiez ambil cuti hari ni…”
“Apa yang akan kita buat?” Tanya Syed Faiez bernada nakal. Kemudian tertawa terbahak-bahak apabila Zuraidah memukul-mukul dadanya dengan kuat. Ditangkapnya tangan Zuraidah, lalu dipegang kuat. Diciuminya kedua-dua telapak tangan Zuraidah dengan penuh kasih sayang.
“Okey… Zu nak manjakan Faiez… atau Faiez yang harus manjakan Zu?”
Zuraidah berfikir sejenak. “Faiez, Faiezlah tempat Zu bermanja, mencurah kasih sayang dan memberikan layanan terbaik. Begitu juga sebaliknya kan? Apa kata kita balik ke rumah Faiez. Tapi sebelum tu kita pergi Beserah, beli ikan segar. Lepas tu Zu akan masak makanan tengahari untuk Faiez.”
“Lepas makan?”
“Kita berbual puas-puas hingga petang.”
“Malam?”
“Malam Faiez pula yang masak. Faiez pandai masak makanan Barat. Kita makan bersama ditemani cahaya lilin. Lepas makan kita berbual lagi hingga ke subuh.”
“Wah! Letih tu asyik berbual saja… Tak boleh buat apa-apa lagi ke?” Tanya Syed Faiez nakal, sengaja hendak mengusik.
Wajah Zuraidah memerah. “Ehhh… kata nak dapatkan lesen dulu.”
“Okeylah. Faiez setuju. Faiez tahu, Zu penat asyik berulang alik ke hospital menjaga Rohaya. Faiez akan jaga Zu, urut kaki Zu yang kepenatan nanti. Ada apa-apa perubahan ke pada Rohaya?”
“Setakat ni tak ada. Masih trauma… Selalu sebut nak mati saja.” Kata Zuraidah sedikit kesal.
“Kalaulah Zu kehilangan Faiez… macamana agaknya?” Soal Syed Faiez ingin tahu. Zuraidah diam, memikirkan kata-kata Syed Faiez. Terasa bagaikan lelaki itu tahu apa yang akan berlaku pada perhubungan mereka. Percintaan yang akan berakhir mulai hari esok.
“Entahlah… Zu belum kehilangan Faiez.” Jawab Zuraidah beriring dengan keluhan.
Dia tidak ingin membayangkan kehilangan jejaka itu dari sisinya. Namun dia akan tetap kehilangan keesokan harinya. Dada Zuraidah tiba-tiba jadi sebak. Dia ingin menangis lagi tetapi ditahannya. Dia tidak akan menangis di hadapan Syed Faiez. Seharusnya dia menghadiahkan senyuman dan tawa ria. Bukan airmata. Dia mahu meninggalkan kenangan manis yang akan mereka kenang sepanjang hayat.
“Faiez takkan kehilangan Zu. Selama-lamanya Faiez takkan melepaskan Zu. Faiez harap Zu juga tidak akan melepaskan Faiez…” Syed Faiez berkata penuh harapan, memeluk bahu Zuraidah erat.
Zuraidah tidak menjawab, sebaliknya menggesa Syed Faiez supaya segera beredar dari situ.
“Cepatlah ke pasar! Nanti ikan segar habis… pasar pun tutup!”
“Tunggulah dulu Puan Zuraidah!” Kata Syed Faiez menyaingi Zuraidah yang bergerak laju menuju ke kereta.
“Puan Zuraidah?”
“Yalah! Kan hari ni kita berlakon jadi suami isteri. Kita sama-sama pergi ke pasar, lepas tu balik ke rumah kita. Bahagianya Faiez rasa…” Tawa Syed Faiez membumbung tinggi. Zuraidah hanya menggigit bibir. Kemudian barulah dia tertawa lembut, sambil berharap tawanya yang penuh kepura-puraan itu tidak akan dikesan oleh Syed Faiez.
“Faiez tak sabar nak jadikan hari bahagia kita satu kenyataan, Zu!” Syed Faiez meluahkan perasaannya dengan hati yang tulus.
Kau akan dapat isteri dan anak tidak lama lagi Faiez… bisik hati Zuraidah sendiri.
Bab 14
“MASA mak mengandungkan kau Idah… Mak alah teruk. Pelik betul alahan mak tu! Ayah kau tak boleh datang dekat mak, ataupun berada dalam rumah. Mak akan muntah-muntah hingga badan mak jadi lembik. Hampir-hampir pengsan. Tapi bila ayah kau tak ada mak okey je. Boleh bangun, bergerak dalam rumah dan memasak. Mak berkeadaan macam tu selama sembilan bulan. Sebaik saja engkau lahir, alahan mak terus hilang. Tapi apalah gunanya lagi, mak kehilangan kasih sayang ayah kau, mak terpaksa berkongsi kasih dengan orang lain…” Kata Idora dengan nada suara perlahan. Dia memandang ke wajah Zuraidah yang menunduk sahaja.
Sehari suntuk Zuraidah menghilang diri. Idora tidak tahu ke mana anak perempuannya itu pergi. Risau juga Idora memikirkan sesuatu yang buruk telah terjadi. Siapa tahu Zuraidah mengajak Syed Faiez melarikan diri. Gagal dan hancur berantakanlah rancangannya. Dia tidak sanggup untuk memikirkan hal itu walaupun sesaat. Maruah Rohaya harus diselamatkan. Benih yang bercambah di dalam perut Rohaya harus diberikan seorang ayah.
Namun Zuraidah pulang pada awal pagi itu dengan wajah tenang, setenang air di tasik. Idora cuba membaca apa yang terkandung dalam hati dan fikiran anak perempuannya itu. Dia tahu Zuraidah sedang membendung rasa kecewa. Namun Idora buat tak tahu sahaja. Dia tidak mahu tahu kekecewaan yang melanda hati Zuraidah.
Idora tahu buat masa ini dia mengharapkan Zuraidah. Jadi dia tidak boleh berkasar ataupun menunjukkan sikap permusuhan dengan anak itu. Walaupun hatinya tidak begitu rela namun dia terpaksa berbaik-baik dengan Zuraidah. Masih diingatnya dengan jelas disebabkan Zuraidah rumahtangganya hancur. Dia dimadukan oleh Murad dengan perempuan yang paling dibencinya.
Selama sembilan bulan dia mengalami alahan yang pelik itu. Sepanjang masa itu juga Murad mengambil kesempatan bercinta dengan madunya. Murad tidak balik selama berbulan-bulan. Malah Murad jadi seronok kerana dapat berpelesiran dengan perempuan yang lebih muda darinya. Murad tidak senang melihat wajahnya yang tembam dengan perut yang memboyot. Bukan itu sahaja, Murad jadi muak dia selalu tidak sihat, muntah dan pengsan selalu kalau suaminya itu ada di sisi.
Murad tidak tahan apabila berdekatan dengannya, terhidu pelbagai bau yang masam. Pakaiannya tidak terurus. Saat mengandungkan Rohaya, Idora tidak mengalami sebarang alahan. Malah dia boleh ke sana ke mari, dengan bebas. Sayang sekali sudah terlambat untuknya memperbetulkan keadaan rumah tangganya. Murad yang gilakan perempuan itu, mengambil keputusan mengahwininya walaupun suaminya itu tidak mampu untuk beristeri dua.
Lalu Idora terpaksa berusaha untuk memberi makan dan membesarkan anak-anaknya sendiri. Murad bertambah culas untuk memberikan nafkah apabila dilihatnya Idora semakin berjaya dalam perniagaan jualan langsung yang diceburinya. Hasil penat lelah dan titik peluhnya itu tidak disia-siakan. Idora selalu beringat untuk menabung dan juga membeli peralatan rumah untuk keselesaan dia dan anak-anak.
“Mak rasa semuanya salah Idah? Mak mahu Idah bayar balik kesusahan dan penderitaan mak kehilangan ayah dengan meminta Idah berkorban untuk Rohaya?” Tanya Zuraidah bagaikan tidak percaya dengan kata-kata emaknya itu.
Idora menggeleng. “Bukan macam tu Idah… Mak tak minta dibalas. Mak hanya mahu kau kenang budi mak selama ini.”
Zuraidah diam. Airmatanya menitis laju. Dia terus menundukkan wajahnya memandang lantai.
“Kau dah pujuk Faiez? Faiez setuju dengan rancangan kita? Katakan kau dah berjaya pujuk dia untuk menikah dengan Rohaya.” Desak Idora tidak sabar.
Zuraidah menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Dia setuju…” Jawab Zuraidah hampir-hampir tidak terdengar.
“Bila?”
“Faiez perlu bincang dengan keluarganya dulu. Tapi Faiez kata secepat mungkin. Harap mak senang hati. Idah harap Rohaya takkan stress lagi. Harap traumanya berkurangan. Dia boleh balik ke rumah secepat mungkin.”
Idora tersenyum panjang. “Dah tentu.” Jawab Idora sambil terus bangun menuju ke pintu. “Hari ni kau tak perlu datang ke hospital. Mak harap dengan berita ni Rohaya akan kembali tenang. Rohaya akan punya semangat untuk meneruskan hidup.”
“Idah juga harap macam tu!” Balas Zuraidah lalu terus berlari masuk ke dalam bilik tidurnya. Dialah yang kehilangan semangat untuk meneruskan hidupnya yang masih panjang. Dia telah pun kehilangan Syed Faiez. Mulai hari ini dia kembali hidup bersendirian. Jika dulu dia punya hasrat dan impian yang begitu tinggi untuk mencari cinta sejati… Kini cinta itu telah tiada lagi. Cinta yang dia genggam perlahan-lahan dilepaskan demi untuk melihat kebahagiaan adiknya dan mendapatkan kasih sayang ibunya.
Hanya satu harapan yang tertinggal, dia berharap Idora terus bersikap baik dan lunak padanya. Jika kehilangan Syed Faiez adalah harga yang harus dia bayar untuk mendapatkan kemesraan dan kasih sayang Idora, dia sanggup untuk menghadapinya. Dia tidak ingin kehilangan seorang ibu. Kasih sayang dan kemesraan yang baru dikecapi itu terasa begitu indah dan nikmat. Dia berharap kemesraan itu berpanjangan. Idora tidak akan berubah menjadi Idora yang dulu semula.
SYED FAIEZ memejamkan matanya, seperti tidak percaya apa yang dikatakan oleh Zuraidah sebentar tadi. Sepanjang hari itu mereka menghabiskan masa bersama dengan penuh tawa ria. Malam jua berlalu dengan penuh ceria. Akhirnya Syed Faiez dan Zuraidah sama-sama kepenatan. Syed Faiez menyuruh Zuraidah masuk tidur. Namun Zuraidah enggan. Dia mengajak Syed Faiez duduk di wakaf bali. Di situ ada bantal dan kusyen kecil. Jika mengantuk boleh tidur sekejap. Namun Zuraidah tidak ingin terlepas daripada melihat fajar menyingsing.
Zuraidah berbaring di atas pahanya. Sesuatu yang tidak pernah dilakukan olehnya dengan lelaki lain. Syed Faiez juga tidak pernah membenarkan sesiapa berbaring di atas pahanya sebelum ini walaupun dia pernah bercinta dengan Katrina.
“Zu! Zu tahu tak, Zu orang pertama yang berbaring di atas paha Faiez.”
“Ya ke? Hmmm… bertuahnya Zu! Selesanya berbaring di atas paha Faiez.” Jawab Zuraidah sambil tertawa kecil. “Zu tidur sekejap ya. Nanti kejutkan tau… Zu nak pastikan sebelum menutup mata Zu tengok wajah Faiez dan sebaik membuka mata semula Zu juga nampak wajah Faeiz.”
Permintaan Zuraidah kedengaran pelik namun Syed Faiez menurut sahaja. Siapa yang tidak mahu terus bersama kekasih. Setiap malam pun dia sanggup menjadikan paha sebagai bantal buat Zuraidah tidur… Lalu mereka sama-sama berada di wakaf di sisi rumah Syed Faiez. Suatu masa dulu, mereka pernah berjaga hingga ke pagi di wakaf tersebut. Syed Faiez masih ingat lagi segala-galanya. Aneh sungguh insan bercinta… Tidak kira malam atau siang, jika sudah bersama terasa masa berlalu dengan cepat.
Sebaik sahaja fajar menyingsing, Zuraidah menghadapi Syed Faiez lalu berlutut di hadapannya. “Faiez, Faiez pernah kata sanggup berkorban apa saja untuk Zu. Zu pun sanggup berkorban apa saja untuk Faiez. Maafkan Zu, Faiez. Hari ni Zu nak minta Faiez kotakan kata-kata Faiez.”
Dahi Syed Faiez berkerut, tidak mengerti. Dia diam sahaja, namun tangannya menyentuh bahu Zuraidah dengan lembut. Zuraidah memegang kedua tangan Syed Faiez, meletakkannya di atas paha lelaki itu.
“Zu mahu putuskan perhubungan kita, Faiez.”
“Zu! Zu dah gila ke?” Tanya Syed Faiez, terkejut bercampur hairan.
“Zu masih waras. Faiez melupakan Zu, ambil Rohaya jadi isteri Faiez. Kita bawa haluan masing-masing mulai hari ini.”
“Apa? Apa yang Zu mengarut ni? Kenapa Faiez harus mengambil Rohaya pula sebagai isteri Faiez?” Kepala lelaki itu tergeleng-geleng mendengar kata-kata Zuraidah.
“Faiez tahu kan, Rohaya mengandungkan anak Fairouz. Mak tak mahu mendapat malu, Rohaya melahirkan anak tanpa ayah. Zu mohon pada Faiez supaya setuju untuk mengahwini Rohaya secepat mungkin.”
“Zu!!!” Syed Faiez terjerit, benar-benar tidak menduga kata-kata yang keluar dari bibir gadis itu.
“Ohhh… Inilah sebabnya Zu habiskan sepanjang hari dan malam dengan Faiez?” Kata Syed Faiez separuh marah separuh pilu.
“Tolonglah Faiez. Zu rayu Faiez supaya bersetuju mengahwini Rohaya. Sejak kebelakangan ni hubungan Zu dengan mak bertambah baik. Zu semakin memahami keadaan mak. Zu terima alasan mak mengapa dulu dia seperti membenci Zu. Sebenarnya tiada ibu yang tak sayangkan anaknya, begitulah kata mak. Zu pun sayangkan emak dan adik Zu. Zu sayangkan keluarga Zu, tak mahu maruah keluarga kami tercemar.
Memang bukan hanya keluarga Zu saja yang akan dapat malu. Cerita ini akan tersebar dengan cepat, keluarga Faiez pun terbabit juga. Jadi, Faiez kahwin sajalah dengan Rohaya. Tidak kira berapa lama. Ataupun kalau Faiez tak bahagia… Faiez ceraikan saja Rohaya. Kalau cinta Faiez masih ada untuk Zu… Kita akan kembali bersama.”
“Semudah itu Zu? Zu fikir semudah itu kita boleh bertukar tempat? Macam kita main dam, mengatur buah untuk mencapai matlamat dan tujuan?”
Zuraidah menggigit bibir.
“Zu tahu ianya bukan mudah. Faiez ingat mudah ke Zu nak lepaskan Faiez pada adik Zu sendiri? Setiap hari Zu terpaksa melihat kebahagiaan Rohaya tetapi apa yang ada pada Zu? Hanya airmata… itu sudah pasti.”
Syed Faiez terdiam. Lama. Dia tenggelam dalam arus fikirannya.
“Kalau Faiez rasa tak sesuai dengan Rohaya… mungkin kita boleh sambung semula perhubungan kita. Tapi tak baik kalau Faiez bernikah dengan Rohaya kemudian bercita-cita hendak menceraikannya. Jadi, Zu rasa lebih baik sekiranya Faiez lupakan Zu. Hari ini dan malam yang telah kita lalui bersama, akan sentiasa terpahat kukuh dalam hati Zu. Zu takkan lupa…Percayalah Faiez.” Sambung Zuraidah apabila dilihatnya lelaki itu terus diam dan termenung.
Syed Faiez terus diam lagi buat beberapa saat. Ini semua tidak pernah terfikir dan terlintas langsung di fikirannya. Sampai begitu sekali Zuraidah ingin berkorban untuk mendapatkan kasih sayang Idora?
Namun Syed Faiez merasakan keputusan itu adalah sesuatu yang kurang tepat. Apabila difikir-fikirkan semula, memang tiada orang lain yang dapat menggantikan tempat Syed Fairouz di sisi Rohaya. Hanya dirinya sahaja… Dua orang adik lelakinya masih belajar. Syed Farid masih menuntut di universiti sementara Syed Firdaus masih berada di tingkatan lima.
Syed Faiez sudah semakin dekat dengan rumah kedua-dua ibubapanya. Akhirnya kereta Syed Faiez berhenti dan berlabuh di bawah porch yang luas di banglo milik Tuan Syed Alias dan Puan Sharifah Aliah. Syed Faiez bergerak masuk, memberikan salam penuh takzim di muka pintu. Dia mendapati kedua ibubapanya ada di rumah pagi itu. Mereka berdua sedang menghadapi meja makan, menikmati sarapan pagi.
“Bonda… ayah! Faiez nak cakap satu berita yang penting.” Kata Syed Faiez memulakan bicara di hadapan ibu dan bapanya.
Kedua-dua ibunya tercengang dan tertanya-tanya apakah berita yang ingin disampaikan oleh Syed Faiez.
Bab 15
SUDAH beberapa hari Zuraidah duduk termenung menghadapi tingkap bilik tidur yang menghadapi laman belakang rumah. Dia baru sahaja berpindah bilik tidur. Bilik tidur hadapan kini kosong, dalam proses mengecat dan menghias. Bilik itu akan menjadi bilik tidur pengantin.
Mengingati detik perkahwinan Rohaya yang kian hampir, hati Zuraidah bertambah sayu. Pertahanan dirinya roboh dan lebur. Setiap kali bangun dari tidur, dia terpaksa menjalani satu lagi hari yang panjang, penuh dengan kesukaran. Sejak kebelakangan ini dia tidak lagi punya minat untuk menghadirkan diri ke kelas toturial. Malah dia sudah lama tidak menjenguk ke kolej tempat dia belajar.
Apa dah jadi pada diriku? Keluhnya sendiri sambil bangun. Dia terfikir hendak melakukan sesuatu hari itu. Sudah beberapa hari dia membuang masa begitu saja. Di dalam rumah suasana sibuk sekali. Hanya dia yang tidak tahu hendak berbuat apa. Lalu dia turun ke tingkat bawah, lalu terus keluar melalui pintu dapur. Dia mencari sabit rumput, parang dan cangkul. Dia mulai menebas rumput dan semak samun.
Matahari semakin tinggi. Tubuhnya mulai berpeluh dan seluruh mukanya terasa panas berbahang. Namun dia terus juga membersihkan kawasan belakang rumah itu sehingga semak samun menjadi bersih. Lebih kurang pukul satu tengahari, dia masuk ke rumah untuk mandi dan makan kemudian menyambung kerja sehingga petang. Tiga hari dia mengerjakan kawasan belakang itu sehingga ianya jadi terang. Semak dan rumput sudah bersih dan licin. Sedap sekali mata memandang.
Idora tidak berkata apa-apa, dia melihat sahaja Zuraidah bekerja. Dia tidak tahu apakah rancangan Zuraidah membersihkan kawasan belakang rumah itu. Barangkali Zuraidah ingin bercucuk tanam. Dia membiarkan sahaja. Belum masanya untuk dia menegur dan menegah.
Pagi itu Zuraidah keluar awal. Dia tidak lagi memiliki kereta. Kereta kancil yang pernah dihadiahkan oleh Syed Faiez dia serahkan pada Rohaya. Rohaya tersenyum menerima pemberian itu. Rohaya sudah pulih daripada trauma. Malah gadis itu seperti tidak pernah mengalami sebarang masalah. Dia sentiasa tersenyum gembira menanti hari pernikahannya yang akan menjelang tiba lebih kurang seminggu lagi.
Zuraidah pulang lewat tengahari dengan menaiki teksi. Tidak lama kemudian sebuah lori kecil tiba di hadapan rumah Idora. Idora terjenguk-jenguk ingin tahu apa yang berlaku. Saat itu dia sedang sibuk menggantung langsir baru seluruh rumah. Maklumlah tidak lama lagi dia akan menerima ramai tetamu.
Rupa-rupanya Zuraidah ke bandar membeli pelbagai jenis pokok-pokok herba, pelbagai jenis pokok bunga dan lain-lain perkakas untuk membina sebuah taman kecil berserta dengan kolam kecil. Idora menggelengkan kepalanya, jelas dia tidak menyukai rancangan Zuraidah. Namun sudah terlewat untuk berbuat apa-apa.
Zuraidah mengupah orang membina kolam kecil dengan pancutan air di belakang rumah itu. Lalu Zuraidah menanam bunga-bunga itu dengan penuh semangat. Disusunnya dengan cantik dan kemas. Dia teringatkan taman di sisi taman di rumah Syed Faiez.
Aku tak mampu nak bina wakaf. Lagipun tempat ini terlalu sempit nak bina wakaf bali.Bisik Zuraidah pada dirinya sendiri. Tiba-tiba dia jadi berminat pada kerja-kerja landskap. Puas hatinya melihat hasil kerjanya sendiri. Dengan bantuan beberapa orang pekerja daripada nurseri tempat Zuraidah membeli anak-anak pokok bunga, taman kecil itu siap dalam masa tiga hari sahaja.
Pagi ini ketika Zuraidah membuka sekali lagi tingkap kamar tidurnya, dia dapat melihat taman kecilnya yang indah. Di sinilah hatinya mulai hidup semula. Semangatnya mulai terbangun lagi melihat taman kecilnya yang indah menerima sinar matahari.
“Idah…”
Zuraidah menoleh ke belakang apabila terdengar suara Idora dari celah daun pintu. Idora tidak lagi memanggilnya dengan panggilan ‘Bedah’ lagi. Betapa dia merasakan sikap Idora telah jauh berubah. Memang kasih sayang sudah hadir semula di hati ibunya. Zuraidah tidak harus kesal kerana melepaskan Syed Faiez. Dia hanya seorang lelaki… Zuraidah yakin dia akan menemui cinta yang baru dalam diri lelaki lain.
“Ya mak…”
“Mak nak cakap sikit.” Kata Idora.
Zuraidah beralih dari tingkap, lalu duduk di bibir katil. Idora juga ikut duduk di sisi Zuraidah. Dia merenung wajah anak itu. Zuraidah tersenyum. Sempat dadanya berdebar, diasak persoalan apa yang ingin Idora katakan dengannya. Kelihatan begitu serius wajah Idora. Bibirnya bergerak-gerak ingin berkata sesuatu namun Idora masih tidak berupaya untuk meluahkannya.
“Mak nak cakap apa?”
“Mak nak ucapkan terima kasih pada Idah…” Kata Idora perlahan.
Laaa…begitu rupanya! Ingatkan apalah yang mak nak cakapkan…
“Jangan berterima kasih pada Idah mak. Idah yang harus berterima kasih pada mak.”
Idora tersenyum, disentuhnya pipi Zuraidah sebentar. Kemudian dia menundukkan wajahnya.
“Tiga hari lagi Rohaya dah nak kahwin. Kau tak tahu betapa risau dan bimbangnya perasaan mak. Mak tak boleh bayangkan jikalau sesuatu terjadi. Selagi dia tak kahwin dengan Faiez, selagi itulah hati mak tak tenteram. Mak takut Faiez berubah hati… Mak takut Idah.” Kata Idora, memandang Zuraidah dengan wajah sedih.
“Faiez takkan mungkir janji mak…” Balas Zuraidah yakin.
“Mak harap dan berdoa pun macam tu lah. Demi untuk kebahagiaan Rohaya, mak tak putus-putus berdoa. Tapi mak masih terkilan. Masa takut lepas Rohaya kahwin nanti, dia tak dapat bahagiakan Faiez. Tak dapat beri kasih sayang dan perhatian pada Faiez. Kerana hati Faiez masih lagi milik engkau, Idah…”
“Janganlah mak risau. Masa akan memulihkan hatinya. Juga hati Idah. Idah rasa tak perlu mak fikirkan yang bukan-bukan. Idah takkan memandang Faiez sebagai kekasih lagi, tapi sebagai adik ipar mak!” Saat dia menuturkan kata-kata itu airmatanya hampir-hampir tumpah. Dia membuang pandang ke arah lain. Wajahnya jadi hangat.
“Idah, mak rasa eloklah kau pindah dari sini buat sementara waktu. Mak harap kau tak ada pada hari pernikahan Rohaya dengan Faiez. Mak takut bila Faiez tengok kau nanti…”
“Mak…”
“Idah, mak minta sungguh-sungguh ni. Kalau boleh kau jauhkan diri kau dari Faiez dan Rohaya. Macamana Rohaya dan Faiez nak cipta bahagia kalau kau sentiasa ada di hadapan mata mereka? Pusing ke kanan Faiez nampak muka engkau.. Pusing ke kiri Rohaya nampak kelibat engkau. Hidup mereka takkan tenang, Idah!”
“Apa maksud mak ni? Mak nak Idah buat apa?” Tanya Zuraidah, suaranya mulai tegang.
“Mak nak kau pergi dari rumah ni. Kau pergi ke Kuala Lumpur. Tinggal dengan Makcik Jamilah, kawan mak. Kau ingat tak lagi pada dia?”
Zuraidah benar-benar terkejut mendengar cadangan emaknya. Mengapa emaknya sanggup menghalau dia keluar dari rumah itu dengan cara paling halus begitu? Idora memang pentingkan diri sendiri, tidak pernah memikirkan hati dan perasaan anaknya. Mengapa emak harus buat Zu macamana? Keluh Zuraidah di dalam hati.
“Engkau tahan hati ke tengok Faiez dengan Rohaya kahwin? Kalau maklah, dah lama mak lari. Mak tak sanggup tengok kekasih sendiri bernikah. Mak tak sanggup berkongsi kasih sayang. Mak tak rela kasih mak dikhianati…”
Zuraidah mulai mengerti. Emaknya tidak pernah redha dan menerima bahawa dia memang hidup bermadu. Emaknya masih dihantui kenangan silam di mana dia dimadukan ketika masih mengandungkan Zuraidah. Memang takdir itu tidak dapat diubah. Namun sekurang-kurang Idora harus redha dengan ketentuan Ilahi.
“Pergilah Idah… tinggalkan rumah dan bandar ni. Mulakan hidup baru di tempat lain. Kalau betul kau nak lupakan Faiez, kau harus pergi. Kau takkan dapat melupakan Faiez kalau terus berada di sini… di rumah ni. Kau akan dihantui rasa kecewa setiap kali melihat Rohaya dan Faiez bersama.”
Zuraidah mengunyah kenyataan kata-kata Idora. Dia diam membisu.
“Ni ada sikit duit. Kau ambillah buat belanja sebelum kau dapat kerja… Kau tak perlu risau. Mak dah telefon makcik Jamilah kau. Dia benarkan kau duduk di rumah dia buat sementara waktu. Lepas tu kalau dah ada kerja dan dapat kawan baru, kau pindahlah.” Cadang Idora lagi.
Zuraidah masih tidak menjawab. “Kau bersiap-siaplah. Sejam lagi mak hantar kau ke stesen bas. Mak dah tempahkan tiket semalam.” Beritahu Idora lagi lalu terus keluar dari kamar tidur Zuraidah.
Zuraidah termenung memandang duit yang baru diletakkan emaknya di atas katil. Duit bernilai lima puluh ringgi itu kelihatan tersusun rapi. Tangan Zuraidah mencapai wang itu, mengiranya dengan hati yang walang. Idora memberinya wang sebanyak RM500.00 untuk memulakan hidup barunya di tempat lain… tempat yang asing sama sekali baginya.
Zuraidah bangun perlahan-lahan menuju ke arah almari. Dia membuka pintu almari itu seluas-luasnya. Semua baju-baju dimasukkan ke dalam sebuah beg yang besar. Hatinya bertambah walang dan sedih. Dia memasukkan setiap barang yang disayanginya, tidak tertinggal walau satu apa pun.
Aku takkan balik lagi ke sini… begitu janji Zuraidah semasa berdiri di hadapan cermin solek yang ada di kamar itu. Di atas meja solek yang telah kosong, itu dia meletakkan wang bernilai RM500.00 yang diberikan Idora kepadanya. Dia tidak akan menyentuh wang itu langsung. Bukan sombong ataupun bangga diri… bukan! Dia tidak mahu menyusahkan Idora. Biar wang itu digunakan untuk memeriahkan lagi majlis perkahwinan yang tidak akan dihadirinya.
Sepanjang perjalanan, sepatah pun Zuraidah tidak bersuara. Idora juga begitu. Dia melarikan keretanya menuju ke terminal bas. Setelah memberhentikan keretanya di kawasan parkir, Zuraidah terus meluru keluar dari kereta. Namun Idora menghalangnya dengan menyambar tangan Zuraidah dengan pantas; “Zuraidah! Kau marahkan mak?” Dia bertanya.
Zuraidah menggeleng.
Dia bingung, tidak tahu apa yang dia rasa. Yang pasti ada pelbagai rasa beradu dalam jiwanya saat itu. Rasa marah, kecewa, merajuk, hampa… saling bercampur baur. Sehingga dia tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Benar-benar kosong pemikirannya, tiada ungkapan yang sesuai untuk meluahkan perasaannya.
“Mak percaya, kau akan bersetuju dengan kata-kata mak hari ni, Zuraidah. Kau akan lebih bahagia berada jauh dari tempat ni. Pergilah bina masa depan kau di sana. Bila kau dah memulakan perjalanan kau, jangan sesekali menoleh ke belakang” Idora ingin berkata lagi begini; Pergilah dan tak usah balik-balik lagi. Lega hatiku kerana dapat melepaskan kau pergi jauh. Pasti aku tidak akan merindui kau… Anak yang tidak pernah aku inginkan. Anak yang telah membuat aku hidup merana, penuh penderitaan kerana berebut kasih dengan maduku…
Zuraidah keluar, mengambil beg pakaiannya lalu terus memasuki bangunan terminal. Tidak menoleh ke belakang ke arah Idora yang memerhati. Tiada kata-kata yang ingin dia ucapkan pada Idora. Tiada kata ampun maaf, melainkan ucapan selamat tinggal buat selama-lamanya. Itupun hanya terungkap di dalam hati sahaja…
Setelah berada di dalam bas, barulah airmata Zuraidah berjuraian. Mujur bas tidak penuh dan dia duduk di kusyen belakang bersendirian. Zuraidah menangis merenung bandar Kuantan untuk kali terakhir. Dia memerhati dengan dada yang sebak. Di sinilah dia membesar, mengenal hidup dan cinta. Di sini jua segalanya berakhir. Dia benar-benar tidak sangka ini yang diminta oleh Idora untuk memastikan kebahagiaan itu milik Rohaya.
Aku boleh pergi sendiri tanpa disuruh dan dipinta… Bisik hati Zuraidah. Aku memang ingin pergi dari sini. Tapi aku masih punya hasrat untuk melihat Faiez dalam pakaian pengantinnya, sepasang songket biru laut yang indah. Ingin kutatap wajahnya saat dia melangkah memasuki rumah ini bagi menjalani upacara ijab dan kabul. Ingin kulihat dia melangkah ke kamar pengantin, menyarung cincin buat Rohaya. Ingin kusaksikan segalanya…
Namun impian itu jua sudah pun musnah. Aku tidak punya peluang untuk menatap wajah Faiez lagi. Pertemuan yang lalu, memang benar-benar pertemuan yang terakhir antara mereka. Zuraidah memejamkan matanya, teringat pada saat-saat akhir perpisahannya dengan Syed Faiez.
Mereka sama-sama menangis, sambil menggenggam erat tangan masing-masing. Untuk beberapa ketika Syed Faiez enggan melepaskan tangannya. Syed Faiez membiarkan airmatanya mengalir. Tidak pernah dia melihat airmata seorang lelaki. Zuraidah menyeka airmata Syed Faiez.
“Faiez, Zu bukannya tiada… Zu masih ada di dunia ini. Zu masih hidup. Janganlah ditangisi Zu begitu, seolah-olah Zu dah tiada.”
Aku sudah mati… bisik Zuraidah sendiri. Aku memang sudah mati dan tidak wujud lagi dalam hidup Syed Faiez bin Syed Alias. Namanya juga harus aku hapuskan dari hatiku biar betapa pedih dan sakit sekali pun. Zuraidah berikrar sendiri di dalam hatinya.
Bab 16
SYED FAIEZ tercari-cari di manakah wajah yang dirindui. Namun dia tidak dapat melihat wajah Zuraidah di mana-mana. Zuraidah sudah hilang di mata. Zuraidah memang tiada di celah-celah para tetamu yang hadir di majlis perkahwinannya. Di manakah kau Zu? Mengapa kau tiada… Apakah kau sengaja lari untuk mengelakkan diri daripada menyaksikan bermulanya detik-detik penderitaan dalam sejarah hidupku? Atau kau tidak sanggup untuk melihat bukan dirimu yang berada di sisiku saat ijab kabul ini dilangsungkan.
“Faiez… Masuk ke dalam cepat! Tuan kadhi dah lama tunggu!” Suara Puan Sharifah Aliah singgah di tepi telinganya. Dalam keriuhan dan kemeleut orang ramai itu, dia terus tercari-cari. Telinganya menangkap setiap suara… asing semuanya.
Puan Sharifah Aliah mendorong anak lelakinya itu masuk ke bahagian tengah rumah.Ruang yang terbentang dengan dua bidang permRohayani berwarna merah hati, berbunga indah itu di penuhi para tetamu. Di tengah ruang itu juga sudah menanti seorang lelaki berserban putih dan berjubah. Lelaki itu adalah tuan kadhi yang akan menikahkannya. Di sisinya Murad, bapa Rohaya kelihatan segak dengan baju Melayu putih dan bersamping hitam. Idora juga ada, berkebaya kuning berselendang panjang. Rambutnya rapi bersanggul.
Syed Faiez memerhati ke segenap ruang, mencari buah hatinya. Namun tidak kelihatan di mana-mana. Dari arah tangga kelihatan Rohaya diiring turun dari kamar pengantin oleh seorang gadis pengapit. Sempat dia memandang wajah Rohaya yang cantik bersolek, mengenakan baju kurung moden berwarna putih, dengan selendang organza putih menutupi rambutnya.
Syed Faiez menarik nafas, dadanya diruntun pilu. Payah rasanya menghirup nafas. Orang ramai dan suasana malam pernikahan seperti ini tidak pernah dia bayangkan. Dia menurut nasihat Puan Sharifah Aliah supaya majlis akad dijalankan di sebelah malam selepas isyak. “Udara malam sejuk sikit, semoga tenang jiwa kau Faiez! Dapat melafazkan akad dengan sekali lafaz saja.”
Kini Syed Faiez rasa rimas, biarpun kipas angin di siling berputar ligat. Orang dirasakan terlalu ramai di dalam rumah itu. Jika boleh dia mahu menghalau semua orang keluar dari situ, biar hanya dia dan tuan kadhi serta beberapa orang saksi sahaja…
“Panas la bonda…” Syed Faiez melepas keluhan, berbisik ke telinga Puan Sharifah Aliah. Pantas Puan Sharifah Aliah mengelap peluh yang merenik di dahi anak lelakinya itu.
“Sabarlah! Sekejap saja upacara ni… Lepas tu selesailah. Dah boleh balik. Tinggal esok saja acara persandingan dan makan beradab.”
Selepas esok apa pula… bisik hati Syed Faiez. Dia pasti segalanya tidak akan berakhir hari esok. Malah hari esok adalah permulaan pada kehidupan penuh kepura-puraan. Jika esok adalah permulaan sudah tentu ada pengakhirinya. Tapi persoalannya di manakah dia berpijak sekarang. Jikalalau tiada pengawalan dan pengakhiran, sudah pasti dia berada di tengah-tengah persimpangan hidup. Dia masih boleh memilih laluan manakah yang mahu ditempuh.
Dia memandang ke belakang. Terlihat ibubapa dan ahli keluarganya yang lain. Wajah masing-masing cemas dan gelisah. Dia tidak boleh memutar masa untuk kembali ke belakang semula. Tidak dia terpaksa meneruskan jua apa yang sudah dirancang. Hidup yang penuh dengan penyeksaan dan penderitaan ada di hadapan. Dapatkah dia mempertahankan perkahwinan ini? Bukankah berdosa sekiranya berkahwin kemudian bercita-cita untuk bercerai berai?
Dua kali Tuan Kadhi memicit tangannya, Syed Faiez masih tidak menjawab akad nikah yang diucapkan. Syed Faiez terdengar suara hingar bingar yang membingitkan telinganya. Dia terasa juga Puan Sharifah Aliah mencuit pahanya dari belakang.
“Faiez! Tolong jangan berkhayal!” Bisik Puan Sharifah Aliah.
Tuan Syed Alias menepuk bahu anaknya beberapa kali. Dia tahu apa yang dialami oleh Syed Faiez adalah sesuatu yang sukar.
“Tenang Faiez…” Pujuk Tuan Syed Alias.
Tuan Kadhi berhenti sejenak, meminta Murad menyuruh para tetamu, terutama sekali kanak-kanak yang membuat bising keluar dari ruang itu. Memang malam itu terasa sedikit panas, ditambah dengan ramainya orang yang menghadiri majlis itu. Diam-diam Puan Sharifah Aliah mengakui kesilapan Idora yang mahu majlis akad diadakan di rumah. Kalau dibuat di masjid, tentu tetamu tidak akan seramai ini…
Setelah beberapa ketika berhenti, Tuan kadi kembali menyambung tugasnya menikahkan Syed Faiez dan Rohaya. Kali ini Syed Faiez membalas lafaz akad itu dengan tenang dan terang. Semua saksi yang ada mendengarnya dengan jelas lalu menganggukkan kepala.
Puan Sharifah Aliah merasa lega sekali, diusap bahu anaknya dengan hati gembira. Jika diikutkan hati, Syed Faiez mahu beredar dengan seberapa segera. Namun dia terpaksa menyudahkan upacara itu. Dia menyalami tangan ibubapa mertua dan isterinya serta para tetamu. Tangan Rohaya yang digenggamnya kejap terasa begitu dingin dan lembut. Dia memandang kosong ke wajah Rohaya tanpa sebarang perasaan. Saat itu lensa kamera ditujukan kepadanya lalu dia diminta mengukir senyuman. Pun senyumannya begitu payah, tiada sebarang seri di wajah.
Saat melangkah ke pintu dia masih mencari-cari seraut wajah Zuraidah. Namun gadis itu memang tiada. Ah… Zu, di manakah kau sekarang? Mengapa hatiku menyatakan yang tiada lagi di sini… Kau telah hilang dari sisi, dari mataku. Kewujudanmu hanya menghiasi mimpi-mimpiku saja kini, tak lebih dari itu. Sendiri aku merinduimu sedangkan kau hilang entah ke mana.
Sampai hati kau Zu… Kau pinta aku mengahwini dia. Kemudian kau seksa aku dengan rindu yang panjang. Aku lelah Zu. Aku lelah menghitung hari-hariku tanpamu di sisi. Aku fikir, masih ada ruang pertemuan walaupun ada tembok yang membentengi kita. Alangkah sedihnya kenyataan ini, kau memang telah pergi buat selamanya. Memandangmu dari jauh pun tidak dapat kulakukan kini…
Syed Faiez melangkah memasuki kereta tanpa sepatah kata. Dia tidak berusaha lagi untuk menoleh ke arah rumah Idora yang meriah dengan para tetamu malam itu. Dia mahu pulang dan melelapkan mata, walaupun tidurnya sukar sekali kebelakangan ini.
“Faiez… Kau tak apa-apa, nak?” Tanya Puan Sharifah Aliah yang duduk di dalam kereta di sisi anak lelakinya.
Syed Faiez menoleh memandang ibunya, cuba mengukir senyum.
“Faiez okey bonda.” Jawabnya perlahan kemudian menyambung; “Bonda nampak tak Zuraidah di rumah makcik Idora tadi?”
Puan Sharifah Aliah tersenyum mendengar Syed Faiez memanggil Idora, makcik. Dia bukan berniat hendak mempersendakan Syed Faiez. Dia juga ingin tahu di manakah Zuraidah. Langsung dia tidak melihat kelibat gadis itu. Semua adik-beradik Rohaya ada di ruang tamu tadi semasa upacara akad nikah kecuali Zuraidah.
“Faiez, sekarang Idora dah jadi ibu mertua Faiez. Jangan lupa panggil dia emak.” Kata Puan Sharifah Aliah mengingatkan. Dia sedar, tiada ibu yang mahu berkongsi panggilan ‘emak’ dengan wanita lain tetapi dia harus terima hakikat bahawa Syed Faiez sudah menikah dengan Rohaya. Dia berharap anaknya itu turut menerima hakikat itu.
Syed Faiez diam sahaja, dia memandang jauh ke hadapan.
“Bonda tak nampak pun Zuraidah tadi. Mungkin dia ada di dapur…”
Syed Faiez tidak berkata apa-apa lagi. Dia terus membisu.
“Hah! Siapa yang nak tengok kekasih sendiri menikah, ya tak?” Sampuk Tuan Syed Alias yang duduk di kusyen hadapan, di sebelah pemandu peribadinya.
“Eh, abang ni! Mengapa cakap macam tu? Kan Zuraidah ikhlas. Tak payah persoalkan lagi hal tu, boleh tak?” Pinta Puan Sharifah Aliah.
“Yalah.” Jawab Tuan Syed Alias. “Kalau awak, benarkan tak saya kahwin lagi satu?” Dia sengaja hendak mengusik.
“Abang ada hati lagi ke? Tak malu dengan anak-anak? Anak-anak semua dah besar, abang nak buat perangai pula.” Puan Sharifah Aliah mencebirkan bibirnya.
“Ehh… Tengoklah bonda kau tu Faiez. Bergurau sikit pun dah tarik muka empat belas.” Kata Tuan Syed Alias sambil tergelak kecil.
“Kalau saya nak kahwin lagi satu, dah lama saya buat Yah. Tapi saya sayangkan awak..”
“Malulah bang… Cakap macam tu depan anak. Depan Pak Din…” Balas Puan Sharifah Aliah, menggigit bibir menahan senyum. Hakikatnya dia senang hati mendengar ungkapan suaminya itu. Tuan Syed Alias dan Pak Din, si pemandu kereta hanya tertawa. Syed Faiez juga tersenyum. Hatinya lapang sedikit. Betapa bahagia kehidupan ibubapanya, saling menyayangi, sentiasa bersama dan sepakat dalam segala hal. Tetapi apakah dia mampu mencipta bahagia dengan Rohaya?
Syed Faiez merasakan dia sedang menempuhi satu perjalanan yang sukar, dipenuhi onak dan duri. Dia tidak pasti akan berjaya menempuhinya atau pun tidak. Barangkali dia akan segera mencari jalan keluar dengan memberikan kata perpisahan pada isterinya, Rohaya. Hanya bayangan perpisahan sahaja yang mengisi hati dan dadanya sepanjang pulang ke rumah Tuan Syed Alias. Esok masih ada agenda yang belum dilaksanakan. Dia harus ke rumah Idora lagi… barangkali akan terus menetap di sana.
“FAIEZ nak ke mana?” Tanya Rohaya apabila melihat Syed Faiez sedang menukar pakaian. Majlis petang itu baru sahaja usai. Para tetamu sudah pun pulang. Suasana riuh rendah dengan orang ramai serta muzik yang bergema membawa alunan lagu ‘Selamat Pengantin Baru’ nyanyian Anita Sarawak sudah pun berhenti.
Penat bergambar dan melayani para tetamu belum hilang, Syed Faiez sudah menukar pakaian biasa, t.shirt putih dan jean. Lelaki itu berhasrat hendak keluar. Dia menoleh pada Rohaya yang duduk di tepi katil, masih mengenakan songket biru laut. Tidak rimaskah dia dengan pakaian itu? Sempat hati Syed Faiez bertanya.
“Keluar.” Jawabnya sepatah. Dia mencapai kunci kereta.
Rohaya tidak melanjutkan soalan lagi. Dia membiarkan Syed Faiez keluar dari kamar itu. Tidak lama kemudian terdengar kereta Syed Faiez yang berada di luar pagar mengaum pergi. Idora yang masih ada bersama beberapa orang jiran di luar rumah, hanya memerhati sahaja.
Syed Faiez tidak pulang hingga malam menjelang. Rohaya tidak tertangiskan dirinya di atas katil pengantin yang indah itu. Dia ditinggal seorang diri di malam pernikahannya. Idora datang memujuk.
“Biarlah Faiez pergi… Dia pasti balik esok. Kalau tak esok, dia akan balik ke sini lusa. Minggu depan kan masih ada majlis di sebelah keluarganya pula? Dia akan balik jemput kau, Rohaya!”
“Dia bencikan Rohaya, mak!” Rohaya teresak dalam dakapan Idora.
“Tak. Dia tak bencikan Rohaya. Dia masih belum melupakan Zuraidah.”
“Tapi Bedah kan tak ada di sini lagi. Mengapa dia masih rindukan Bedah?” Rohaya mendengus, separuh menjerit. Dia mengangkat kepalanya memandang wajah Idora.
“Ini soal cinta susah nak dijelaskan Rohaya. Kau pun tahu, kau pernah bercinta juga kan?” Balas Idora kembali.
“Tapi Rohaya dapat lupakan Fairouz sebaik sahaja Faiez muncul dalam hidup Rohaya, mak.”
Idora mengeluh, kemudian berkata dengan lembut sambil menggosok-gosok belakang anaknya. “Percayalah, Faiez juga akan lupakan dia. Sekarang kau dah jadi isterinya, pandai-pandailah kau mengambil hati. Tunjukkan kelebihan yang ada pada diri kau… Lama-lama nanti dia akan sukakan kau. Percayalah cakap emak ni! Susah-susah sangat kita bomohkan saja Faiez tu!”
Rohaya tersenyum. Dia memeluk erat emaknya. “Rohaya sayang emak. Kalau emak tak ada, tak tahu apa akan jadi pada Rohaya.”
“Mak pun sayangkan kau…” Balas Idora sambil mengucup ubun anak perempuannya itu.
Bab 17
MALAM ini malam pernikahan Rohaya dan Faiez. Sudahkah mereka diijab kabulkan dan sah sebagai suami isterinya? bisik hati Zuraidah tidak keruan. Matanya memandang jam dinding di ruang tamu itu. Baru sebentar tadi jam berdenting, menunjukkan tepat ke angka sembilan malam.
“Majlis akad selepas isyak…” Dia terdengar Idora berbincang dengan keluarga Syed Faiez.
Bagaimanakah perasaan Faiez sekarang? Sudahkah dirinya dilupakan… Ataupun Faiez sedang bergembira bersama dengan Rohaya yang kini sudah pun sah menjadi isterinya.
Zuraidah memejamkan matanya rapat-rapat. Tiga hari yang lalu dia meninggalkan rumah Idora. Rumah yang telah didiaminya selama 23 tahun. Terlalu pedih hati dan perasaan, tidak tertanggung rasanya memikul beban derita. Namun dia bersyukur, ada jalan yang mudah di hadapannya sebaik sahaja keluar dari rumah Idora. Dia tidak pernah terfikir akan datang ke kota ini, menjadi salah seorang penghuninya… Walaupun baru tiga hari menjejakkan kaki di sini, dia mulai menaruh harapan untuk mencari kehidupan baru. Dia malu melupakan kehidupannya di masa lalu.
Masih diingatnya, lewat pukul dua petang dia tiba di Puduraya. Sebaik turun daripada perut bas dia tercengang-cengang sejenak mencari arah dan tujuan. Bukan dia tidak pernah ke Kuala Lumpur. Dia pernah datang ke situ dengan kawan-kawan sekerjanya dulu. Mereka pergi melawat tugu negara, taman tasik perdana dan beberapa tempat lagi. Dia juga pernah dibawa oleh Syed Faiez ke KLCC. Dia dan lelaki itu pernah menonton wayang di situ beberapa kali.
Dia juga pernah dibawa oleh Syed Faiez berjalan-jalan sekitar ibu kota, membeli belah dan menikmati lazatnya makanan di sini. Kini dia bersendirian. Dia takut sesat jalan. Walau bagaimana pun ketakutan yang paling buruk adalah takut untuk memulakan perjalanan. Lalu dia menguatkan semangat untuk terus melangkah setapak demi setapak sehingga kakinya menghala ke tangga. Dia terus memanjat tangga naik ke tingkat atas. Ruang itu padat dengan orang ramai, dengan tujuan masing-masing. Tempat duduk yang ada kelihatan penuh sesak. Zuraidah terpinga-pinga, mencari tempat untuk dirinya sendiri. Dia berjalan sekeliling mencari ruang yang tidak begitu bising, untuk menelefon kawan Idora yang dikenali hanya dengan nama Jamilah.
Nombor telefon Jamilah ada di dalam beg tangannya. Dia menggagau mencari cebisan kertas yang diserahkan oleh Idora tadi. Dia kesal sendiri kertas itu tiada di dalam beg tangannya. Apakah ianya tercicir di dalam kereta Idora? Mana mungkin ianya tercicir. Dia yakin benar kertas itu dimasukkan ke dalam beg tangan. Mengapa kini cebisan kertas itu tiada?
Zuraidah kecewa dan terkilan. Bagaimanakah dia hendak menghubungi Jamilah sekiranya dia tidak memiliki nombor telefon wanita itu. Dia tidak punya alamat rumah. Menyesal dia tidak mengambil alamat rumah Jamilah daripada Idora. Namun penyesalan itu sudah tidak bererti lagi. Idora hanya memberikan nombor telefon sahaja. Apa yang harus dia buat sekarang? Ke mana hendak dituju?
Dia boleh menelefon Idora, meminta nombor telefon Jamilah daripada ibunya. Tetapi dia telah berjanji pada diri sendiri tidak akan menoleh ke belakang. Tidak akan meminta pertolongan daripada Idora sekiranya ditimpa kesusahan. Dia tidak akan bercakap dengan Idora lagi! Selama-lamanya…
Dia benar-benar marah, merajuk dengan sikap Idora yang sanggup menghalaunya dengan cara yang halus. Tiba-tiba dia teringat kembali kepada kata-kata terakhir Idora, sebelum dia melangkah keluar dari kereta wanita itu; “Kau akan lebih bahagia berada jauh dari tempat ni. Pergilah bina masa depan kau di sana. Bila kau dah memulakan perjalanan kau, jangan sesekali menoleh ke belakang.” Kata-kata itu bagaikan memberi satu gambaran bahawa tiada jalan untuknya kembali.
Benarkah di sini ada kebahagiaan? Apa yang dia lihat sekarang adalah satu kekeliruan. Jalan yang ada terlalu bersimpang siur hingga dia tidak tahu hendak memilih yang mana satu. Kalau boleh dia ingin kembali kepada permulaan sebuah kehidupan. Dapatkah dia mengubah takdir? Tidak… Takdir telah tersurat buatnya sejak azali. Mahu atau pun tidak, dia terpaksa melaluinya.
Dia terasa hanya diperdaya dengan penuh bijaksana oleh Idora. Sampai hati Idora menghumban dia ke lubuk derita. Jika Idora membencinya mengapa dia tidak dicekik sahaja sehingga mati semasa dia masih lagi bayi?
Ke mana hendak pergi? Tanya Zuraidah pada dirinya sendiri berulang kali. Zuraidah terus menapak keluar daripada bangunan puduraya. Kini dia berjalan sendirian mengheret beg pakaiannya menghala ke sebuah perhentian bas. Di hadapan perhentian bas itu terdapat bangunan tinggi menjulang. Zuraidah mendongak, membacanya di dalam hati. Menara Maybank. Bisiknya sendiri. Di hadapannya pula terlihat bangunan Cahaya Suria dan Kotaraya.
Perhentian bas itu penuh dengan orang. Zuraidah menyelitkan diri, mencari tempat duduk. Dia memandang bas dan teksi yang melintasi, berhenti mengambil penumpang dan bergerak semula. Sudah setengah jam berada di situ, dia tidak tahu hendak ke mana.
Zuraidah merasa perutnya pedih. Dia belum makan tengahari. Dia terlalu lapar setelah menempuh perjalanan panjang. Sejak pagi dia tidak makan apa-apa. Dia bergerak perlahan mencari restoran ataupun gerai makan. Sudah jauh dia berjalan. Dia tidak tahu ke mana, hanya mengikut gerak kakinya sahaja. Dia sudah sesat… bisiknya sendiri, namun terus jua dia berjalan mengheret beg. Tidak jemu dia menyusuri jalan, melintas dan terus berjalan lagi, mengikut hala tujuan orang-orang yang bergerak di hadapannya. Akhirnya dia tiba di Jalan Masjid India, setelah merentas beberapa jalan yang tidak diketahui.
Dia hanya tahu dia sudah tiba di Jalan Masjid India apabila terlihat penanda jalan, berdekatan dengan bazar tempat ramai orang berniaga pelbagai jenis barangan.
Zuraidah mencari gerai. Dia masuk makan nasi goreng dan meneguk sirap, bagi membasahi tekaknya yang kering. Selepas makan dia berjalan lagi. Dia sudah terlalu penat. Kepalanya pening melihat pusuan orang yang terlalu ramai. Dia berhenti di tepi sebuah bank. Entah di mana aku berada sekarang… Bisik hatinya sambil memerhati orang yang lalu lalang, langsung tidak menghiraukannya. Ah… siapa yang peduli padanya, seorang gadis sesat di kota raya… Bisik Zuraidah pada dirinya sendiri. Dia melihat bangunan-bangunan tinggi menjulang di sekelilingnya dengan hati yang tidak ketentuan.
Namun tiba-tiba dia terperanjat. Terasa ada orang yang menepuk bahunya dari belakang. Dia menoleh. Matanya melotot memandang wajah gadis itu. Dia tidak percaya pada matanya. Aduhai, mata apakah sudah pandai membohonginya sekarang? Benarkah yang berdiri di hadapan dengan pakaian mewah lagi elegen adalah gadis itu? Sudah berapa tahun mereka tidak bersua muka.
Zuraidah melonjak. Hidup yang lemah lesu kini berubah sudah apabila terlihat raut wajah yang masih dikenalinya itu.
“Zuraidah kan?”
“Ya… Kau ni Marissa?”
“Ya! Ingat juga kau ya?” Sahut Marissa itu sambil tersenyum panjang.
“Ingat!... Ingat! Takkan aku lupa kau antara kawan baik aku…”
Marissa hanya ketawa kecil mendengar kata-kata Zuraidah
“Wah! Cantiknya kau sekarang! Hampir-hampir aku tak kenal tadi. Cantik, bergaya… macam artis!” Seru Zuraidah terkejut bercampur gembira. Dia benar-benar tidak menduga akan bertemu dengan kawan sekelasnya itu di Kuala Lumpur.
Dia memandang Marissa dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Gaya dan penampilan gadis di hadapannya itu melambangkan dia seorang gadis yang hidup dibaluti kemewahan. Dulu, semasa mereka masih dalam satu kelas tingkatan lima di SMART, Kuantan Marissa tidaklah secantik ini. Malah kulitnya agak gelap dan bertubuh agak berisi. Kini dia berkulit putih melepak, kurus dan tinggi. Rambutnya dipotong pendek dan kemas.
“Eh, kau dari mana nak ke mana?” Tanya Marissa sambil memerhati beg pakaian besar milik Zuraidah yang ada di sisinya. Dia yakin Zuraidah bersendirian di situ. Dapat dilihat wajah Zuraidah yang masih diselubungi wajah murung walaupun bibirnya terukir senyum.
“Aku lari dari rumah!” Kata Zuraidah tidak sanggup untuk menyatakan bahawa dia sebenarnya ‘dihalau’ oleh Idora setelah dia menyerahkan cintanya pada Rohaya.
Marissa tertawa lucu mendengar kata-kata Zuraidah. Bukan niatnya hendak mentertawakan Zuraidah. Dia juga melalui hal yang sama… lari dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap bapa tirinya. Sebaik sahaja tamat peperiksaan dia sudah berada di ibu kota, mencari kerja. Tapi itu lima tahun yang lalu.
“Kau tinggal kat mana sekarang?”
Zuraidah menggigit bibir. “Tak ada tempat tinggal. Aku baru je sampai, tak tahu nak ke mana. Jauh juga aku merayap dari Puduraya sampai ke sini.”
Memang dia tiada tempat untuk bermalam. Dia tidak tahu hendak ke mana lagi. Barangkali dia akan bermalam di masjid atau di mana saja.
“Jom, ikut aku ajelah! Kau boleh duduk kat rumah aku sementara waktu.” Ajak Marissa bersungguh-sungguh. “Lagipun aku duduk sorang. Rumah aku besar juga. Ada tiga bilik tidur.”
Zuraidah memang tidak punya pilihan lain selain daripada mengikut Marissa. Dia rasa bersyukur dipertemukan dengan Marissa dalam keadaan dia benar-benar memerlukan bantuan.
“Kenapa kau datang ke sini? Maksud aku mengapa memilih Kuala Lumpur? Banyak lagi tempat-tempat yang lain yang tak kurang menarik, peluang kerja yang luas. Macam Johor Bharu ataupun Pulau Pinang.” Kata Marissa, benar-benar ingin tahu. Ketika itu mereka dalam perjalanan pulang.
“Entahlah. Gerak hati aku lebih kuat hendak ke sini. Lagipun di sinilah yang selalu disebut orang sebagai syurga dunia.”
Marissa ketawa. “Syurga dunia? Atau neraka… Kuala Lumpur! Silap-silap boleh tenggelam dan bergelumang di dalam lumpur…”
Zuraidah tidak mengerti. Dia hanya diam sambil matanya memerhati pemandangan hutan batu yang dilewati oleh kereta Marissa.
Zuraidah belum pulih dari rasa terkejut melihat kereta mewah yang dimiliki oleh Marissa. Sekali gus hatinya tertanya-tanya bagaimanakah kawannya itu beroleh kesenangan. Marissa tidak lulus SPM, dia bukan tergolong dalam pelajar yang pandai namun dia punya wajah yang cantik. Hanya bermodalkan kecantikan sahaja Marissa mendapat kesenangan tinggal di Kuala Lumpur ini.
Zuraidah memberitahu Marissa, di sini dia tidak kenal sesiapa. Lalu diceritakan tentang kehilangan nombor telefon kawan emaknya, Jamilah. Sebenarnya ke rumah Jamilah adalah destinasi tujuan utamanya. Dia percaya dengan bantuan Jamilah, dia akan mendapat pekerjaan dan perlindungan.
“Hoi! Macamana nak cari makcik Jamilah kau tu! KL ni besar. Alamat tak ada, nombor telefon tak ada. Hanya ada nama Jamilah…” Marissa menempelak, ketawa lepas. “Nasib baik jumpa aku! Kalau tak jumpa aku tadi, ke mana engkau nak pergi?”
“Yalah. Engkaulah penyelamat aku… Kalau tak jumpa engkau tadi tak tahu apa akan jadi. Tapi aku takkan balik lagi ke rumah emak aku. Selama-lamanya aku takkan jejakkan kaki aku di Kuantan lagi.” Demikian azam dan tekad Zuraidah.
“Sejak datang ke sini, aku tak pernah balik, tak pernah kirim berita. Biarlah orang anggap aku dah mati. Tapi sebenarnya aku hidup jauh lebih baik dan senang kalau dibandingkan lima tahun dulu.” Jawab Marissa, sambil memandang sekilas ke wajah Zuraidah.
“Macamana kau boleh hidup senang di sini?” Tanya Zuraidah ingin.
Jika Marissa boleh berjaya dan hidup senang lenang mengapa dia tidak boleh menuruti langkah kawannya itu? Dia tidak akan membodohkan diri lagi melakukan kerja yang sia-sia. Jadi jurujual selama lima tahun, apa yang dia dapat? Hanya sedikit simpanan… Itu saja yang dia ada.
Dia tidak memiliki pengalaman hidup yang menarik. Hanya perkara yang sama berlaku setiap hari. Kena marah dengan pelanggan perkara biasa… Tiba-tiba sekonyong-konyong wajah Katrina menghantuinya. Zuraidah menghela nafas dengan kuat… Bila mengingati wajah dan nama itu, hatinya jadi rusuh dan marah.
Dia juga tidak akan melakukan perkara bodoh dengan jatuh cinta buat kali kedua. Cinta sudah tiada lagi dalam kamus hidupnya.
“Nantilah aku cerita…” Kata Marissa enggan memanjangkan ceritakan.
Sudah tiga hari dia menumpang di kondo mewah milik Marissa. Di kondo itu Marissa tinggal seorang diri. Zuraidah tidak tahu apakah pekerjaan Marissa. Dia mengurungkan niatnya hendak bertanya. Dia takut sekiranya dituduh menyibuk. Marissa membenarkannya menumpang di situ, sudah cukup baik baginya. Lagipun Marissa pernah berjanji akan bercerita kisah hidupnya. Malangnya sehingga kini tiada suatu pun yang diketahui tentang hidup baru Marissa.
Ruang tamu kondo itu serba lengkap dengan sofa mewah, meja makan serta tv plasma yang melekap di dinding. Bilik tidur Marissa juga mencerminkan kemewahan dan kesenangan. Segala milik Marissa adalah lambang seorang wanita muda yang cantik, hidup serba serbi mewah. Daripada kereta, rumah hinggalah ke barang-barang perhiasannya. Tiada suatu pun yang murah nilainya. Tiba-tiba Zuraidah merasakan Marissa cukup bertuah. Menjadi manusia bernama Marissa, Zuraidah merasakan hidup gadis itu begitu indah.
Marissa memerap sahaja sepanjang hari di rumah. Sejak tinggal di situ, Zuraidah mendapati Marissa hanya keluar sekejap pada sebelah pagi, membeli sarapan. Kemudian menghabiskan masa dengan menonton televisyen sahaja. Pukul sepuluh atau sebelas, dia masuk tidur hingga petang. Dia akan keluar pada jam tiga atau empat petang untuk membeli makanan.
Marissa berjanji akan menolong Zuraidah mendapatkan pekerjaan. Namun sudah tiga hari dia berada di situ… Marissa belum mengusahakan apa-apa. Malam dia keluar, entah dengan siapa dan pulang entah jam berapa. Zuraidah tidak tahu langsung. Dia sudah tidur ketika Marissa pulang dan esoknya dia bangun lewat jam sepuluh pagi. Marissa memberi Zuraidah sebuah kamar tidur yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur gadis itu.
Zuraidah terasa apa yang dia lalui selama tiga hari ini seperti mimpi. Dia tidak sangka akan menerima budi Marissa. Makan dan minumnya ditanggung oleh Marissa. Lalu Zuraidah mencadangkan pada Marissa, supaya membeli barang-barang dapur. Dia mendapati di dapur Marissa langsung tiada bahan-bahan mentah. Tetapi Marissa hanya berkata; “Kalau kau rajin masak… Masaklah! Tapi aku tak makan malam. Jaga badan. Kau tahu, duduk di KL ni kita harus jaga badan dan penampilan. Kalau selekeh, tak ada orang nak pandang, terutama sekali lelaki.” Kata Marissa.
Selama tiga hari juga Zuraidah menghabiskan masa dengan termenung, mengenang masa lalu dan merenung nasib masa depan. Dia rasa benar-benar terhina dengan tindakan Idora, menghalaunya keluar dari rumah setelah dia melepaskan lelaki yang dicintainya ke tangan Rohaya. Lalu penyelesaian kepada rasa marah dan rajuknya pada Idora, berubah menjadi benci dan dendam… sungguh-sungguh. Biarlah dia menjadi anak derhaka, seperti mana yang selalu diucapkan oleh Idora kerana membenci ibu kandungnya sendiri.
Kebencian itu akan dibawanya ke mana saja dia pergi. Dia berjanji tidak akan kembali ke rumah Idora lagi sebagai satu balasan dendam terhadap perbuatan ibunya yang dirasakan terlalu kejam.
“Zu! Kau belum tidur lagi?” Terdengar suara Marissa menyentak lamunan panjang Zuraidah. Dilihatnya Marissa baru pulang lalu mencampakkan kasutnya ke belakang pintu. Marissa mempunyai satu tabiat buruk. Dia tidak suka mengemas. Kasutnya yang banyak dilonggok sahaja di tepi pintu walaupun ada almari kasut berhampiran. Zuraidah tidak senang hati melihatnya lalu pagi tadi dia mengemas semua kasut-kasut Marissa yang berselerak.
Dia tiada kerja lalu dia cuba menyibukkan diri dengan mengemas di rumah Marissa. Dari ruang dapur hinggalah ke ruang bilik tidur.
“Belum.” Jawabnya sambil memerhati Marissa yang berpakaian agak seksi malam itu. Dia mengenakan baju berwarna merah terang dengan sulaman labuci bentuk bintang di bahagian dada. Baju itu bertali halus, mendedahkan bahu dan dadanya, dipadankan dengan sehelai seluar panjang ketat berwarna hitam. Terserlah bentuk paha dan kakinya yang panjang dan cantik.
“Kenapa?” Tanya Marissa kehairanan. Matanya memandang jam dinding yang sudah hampir pukul tiga pagi.
“Aku tak boleh tidur.” Jawab Zuraidah. “Kau ke mana? Lambatnya kau balik…”
“Aku kerja…” Balas Marissa acuh tak acuh, masuk ke dapur yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu. Keluar semula ke ruang itu dengan segelas air sejuk di tangan.
“Kau kerja malam?” Tanya Zuraidah ingin tahu.
Marissa mengangguk, merenung wajah Zuraidah yang polos dan jujur.
“Aku risau. Dah tiga hari aku di sini… Aku tak ada kerja. Aku tak boleh tumpang kau selama-lamanya kan? Aku juga nak kerja. Kat tempat kerja kau ada kerja kosong?”
Marissa merenung wajah Zuraidah agak lama. Dia tidak tahu apakah dia harus mempercayai Zuraidah ataupun tidak. Sebenarnya dia memang tidak ingin memberitahu Zuraidah pekerjaan sebenarnya. Dia tak suka! Dia bimbang sekiranya Zuraidah menceritakan perihal pekerjaannya itu kepada orang lain, terutama sekali ibunya. Mereka tinggal dalam satu daerah dan Zuraidah kenal dengan ibu Marissa. Tapi sejak bertemu dengan Zuraidah, beberapa kali gadis itu berikrar takkan balik lagi ke Kuantan. Bolehkah dia mempercayai kata-kata Zuraidah?
“Kau nak kerja macam aku?” Tanya Marissa tidak pasti dengan kata-kata Zuraidah. “Lebih baik tak usahlah Zu. Kau cari saja kerja lain…” Ada kejujuran dalam tutur kata kawannnya itu.
“Aku pernah jadi jurujual, lima tahun. Kerja teruk... Gaji tak pernah cukup.” Kata Zuraidah bersama keluhan panjang. Jika boleh di ibu kota ini dia tidak mahu lagi melakukan pekerjaan yang sama.
Marissa hanya tersenyum tiada sebarang komen keluar dari bibirnya.
Zuraidah memandang Marissa, masih belum puas hati.
“Tak bolehkah aku kerja di tempat kerja kau, Rissa? Aku sebenarnya dah bosan kerja jadi jurujual asyik kena marah dengan pelanggan.”
Marissa menyembunyikan wajah kurang senangnya daripada pandangan Zuraidah. “Pekerjaan aku agak mencabar sebenarnya Zu… Nanti kau tak sanggup hadapinya. Aku lain, aku dah biasa! Bila kau dah memasuki dunia aku, kau tak boleh keluar semula. Kau faham maksud aku?”
Zuraidah menggeleng. Dia tidak mengerti. Baginya jika Marissa mampu hidup mewah dengan pekerjaan yang dia lakukan sekarang, mengapa tidak dia menuruti jejak gadis itu? Dia sudah bosan dengan kerja jadi kuli… Di arah buat itu ini, tapi hasilnya tidak seberapa.
“Aku tak salahkan kau. Memang semua orang takkan faham. Okeylah…Aku penat sangat ni.” Kata Marissa, cuba mengelak dari terus bercerita. Dia menghabiskan air di dalam gelas lalu bergerak ke kamarnya.
“Rissa, kau marah?” Zuraidah bertanya pantas, bimbang Marissa terasa hati.
“Taklah!” Jawab Marissa sepatah, tanpa memandang Zuraidah. Dia terus bergerak ke kamar tidur, berhenti sejenak di tengah-tengah pintu lalu berkata lagi pada Zuraidah yang masih duduk di sofa; “Aku betul-betul letih, mengantuk ni!”
Lalu daun pintu ditutup rapat. Suasana kembali dibungkus sepi. Zuraidah masih duduk di sofa, memerhati gelas kosong yang ditinggalkan oleh Marissa tadi.
Dia sedar, kawannya itu telah banyak berubah. Ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Marissa. Namun Zuraidah tidak akan mendesak atau pun bertanya dengan lebih mendalam sekiranya Marissa enggan berkongsi apa-apa. Dia sedar, dia menumpang di situ. Justeru itu dia amat berhati-hati apabila bercakap dengan Marissa kini. Ke manakah dia akan pergi sekiranya dihalau oleh Marissa nanti?
Mengingati hal itu dia tidak berani lagi mengambil tahu lebih banyak tentang diri Marissa. Malah dia jadi takut sekiranya tersilap cakap apabila berhadapan dengan kawannya itu. Dia tiada sesiapa di sini… jangan sampai perhubungannya dengan Marissa hancur.
Marissa menghantarnya ke sebuah kompleks beli belah keesokan hari. Temannya itu berjanji akan menjemputnya di tempat dia diturunkan petang nanti. Sepanjang pagi itu dia merayau-rayau di serata kompleks itu mencari pekerjaan. Namun hampa, tiada kerja kosong di mana-mana. Kemudian dia menapak keluar dari kompleks lalu memasuki satu demi satu kedai di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman. Namun tetap saja tiada kekosongan di mana-mana.
Dia kepenatan sendiri. Namun dia tidak boleh putus asa. Dia harus terus jua mencuba. Jika tidak dapat hari ini mungkin boleh dicuba hari esok. Untuk hidup di kota ini memerlukan kecekalan dan kekuatan. Lalu terus menyusuri jalan biarpun lututnya terasa amat lenguh sekali. Dia mencari public phone untuk menelefon Marissa supaya menjemputnya pulang.
“Dapat tak kerja?” Marissa bertanya.
Zuraidah menggeleng lemah.
“Jangan cepat putus asa.” Nasihat Marissa.
“Putus asa tu belumlah lagi. Tapi aku rasa penat sangat.”
“Relaks. Kita pergi minum, makan. Moga hilang penat kau tu. Esok masih ada. Tapi esok kau pergi sendiri… Aku ada hal.”
Zuraidah mengangguk sahaja. Dia tidak mahu menyusahkan Marissa. Esoknya dia masih terus mencari. Dia menaiki LRT sendirian. Dia perlu membiasakan diri dengan tempat baru itu. Dia tidak mahu terlalu bergantung pada Marissa setiap kali hendak keluar rumah.
Tiga hari berturut-turut dia mencari masih belum menemukan sebarang hasil. Akhirnya dia jadi jemu dan muak. Lalu sepanjang hari itu dia hanya duduk di rumah. Bosan jangan dikira kerana tiada teman berbual. Marissa entah ke mana menghilang. Dia pulang lewat jam lima. Tangannya sarat dengan barang-barang. Rupa-rupanya dia pergi shopping sendirian tanpa mempelawa Zuraidah. Agh! Kalau Marissa ajak pun dia bukannya ada banyak duit untuk berbelanja. Duit yang ada pun terpaksa berjimat cermat.
Terselit rasa cemburu di hatinya saat Marissa menunjukkan baju yang baru dibeli. Katanya dibeli oleh kawannya. Tadi mereka keluar bersama, sebab itulah dia tidak mempelawa Zuraidah.
“Mahalnya blouse ni…” Rungut Zuraidah semasa dia membelek blouse itu lalu melihat tanda harganya.
Marissa hanya tergelak. “Orang yang belikan… takkan nak tolak.”
“Siapa yang beli? Kekasih?” Zuraidah ingin tahu.
Marissa menggeleng. “Kawan.”
Kawan bagaimanakah yang sanggup menghabiskan duit membelikan baju yang mahal begini? Tanya Zuraidah di dalam hatinya, penuh kehairanan.
“Kalau aku masih belum dapat kerja dalam minggu ni, boleh tak kau tolong carikan aku kerja di tempat kerja kau, Rissa?”
“Zu… Aku tak mahu kau jadi macam aku.” Balas Marissa merenung Zuraidah sejenak kemudian menggelengkan kepalanya.
“Aku mahu jadi macam kau… Kau hidup mewah. Bagi perempuan yang muda macam kita ni, apa lagi yang dikejar kalau bukan kemewahan kan? Kalau dah tua, tentu kita takkan minta ini semua.” Kata Zuraidah lagi.
“Kalau aku ada pilihan yang lain, aku takkan memilih kerja yang aku buat sekarang…”
Zuraidah menelan airliur pahit. Dia masih samar-samar, tidak dapat menangkap maksud di sebalik kata-kata Marissa. Teruk sangatkah pekerjaannya sehingga Marissa berkali-kali mengingatkan Zuraidah supaya tidak mengikut jejak langkahnya.
“Aku bukan tak mahu ajak kau kerja dengan aku, Zu. Tapi ini semua untuk kebaikan kau juga.” Kata Marissa lagi menyambung kata-kata yang terputus. “Aku tak mahu kau jadi macam aku. Lambat laun kau akan terikut-ikut dengan gaya hidup aku sekarang…”
Zuraidah menanti Marissa melanjutkan kata-kata. Namun Marissa diam beberapa ketika, kemudian berjalan laju menghala ke biliknya. Daun pintu ditutupnya dengan agak kuat. Zuraidah terpinga-pinga ditinggalkan sendiri di ruang tamu itu.
Selepas selesai solat isyak, Zuraidah ke dapur. Dia mendapati suasana rumah sunyi sepi. Zuraidah memasak air. Dia berhasrat hendak makan roti dan minum milo sahaja.
Zuraidah memandang ke arah bilik tidur Marissa yang bertutup rapat. Dia mendekatkan telinganya ke arah daun pintu. Apakah Marissa tidur ataupun sudah keluar? Dia mengetuk pintu namun tiada jawapan dari dalam. Entah mengapa timbul rasa ingin tahu di hati Zuraidah. Dia menolak daun pintu bilik tidur Marissa yang tidak berkunci. Terpegun dia melihat bilik tidur temannya itu. Bilik itu luas, serba lengkap.
Dia memerhati sekeliling, ke arah almari baju yang mempunyai enam pintu. Meja solek yang luas dan besar dipenuhi dengan pelbagai jenis alat make-up, bedak dan minyak wangi tersusun dengan rapi. Zuraidah masuk memerhati ruang bilik tidur itu dengan bebas. Dia masih terhidu bau haruman yang dipakai oleh Marissa tertinggal di dalam bilik itu.
Tangan Zuraidah terasa gatal hendak menarik laci meja solek itu. Dia mendapati di dalamnya terdapat perhiasan milik Marissa. Di situ juga terdapat beberapa buah akaun bank. Marissa memegang salah satu buku akaun itu terlalu ingin mengetahui apakah Marissa mempunyai duit yang banyak.
Zuraidah membuka helaian buku bank milik Marissa. Matanya tertumpu ke arah angka yang tercatat di dalam akaun Marissa. Banyaknya duit Marissa… bisik hatinya tidak keruan. Bukan sepuluh ribu atau dua puluh ribu tetapi seratus lima puluh ribu. Zuraidah tidak akan percaya sekiranya dia tidak melihat sendiri buku akaun Marissa.
Bagaimana dengan buku-buku akaun yang lain? Apakah mempunyai jumlah yang banyak juga? Apakah pekerjaan sebenar temannya itu?
Zuraidah termenung panjang memikirkan kehidupan Marissa yang mewah itu. Rasa cemburunya tambah menggunung, sehingga dia terasa ingin mengikuti jejak gadis itu walaupun berkali-kali Marissa mengingatkan dan melarangnya.
Apalah malangnya hidup aku. Tanpa cinta, tanpa duit. Mengapa harus Marissa dapat semuanya dengan mudah? Duit dan cinta seorang lelaki! Zuraidah bertanya pada dirinya sendiri.
Zuraidah keluar dari bilik tidur Marissa bersama hati yang kian sarat dengan rasa cemburu. Dia terasa begitu kerdil dan tidak berdaya. Mengapa takdir hidupnya begini? Tanya Zuraidah bertubi-tubi pada dirinya sendiri.
Seperti malam-malam yang lalu, Marissa tidak pernah ada di rumah setiap malam. Terkadang dia keluar sendiri, terkadang dia dijemput lelaki. Zuraidah tertanya-tanya siapakah lelaki yang datang menjemput Marissa? Ada rasa cemburu yang bergayut di tangkai hatinya. Sangkaan Zuraidah bahawa Marissa tidak mempunyai kekasih jelas meleset. Dari dalam kamar dia terdengar tawa mesra Marissa bersama seorang lelaki.
Tiba-tiba dia teringat suatu ketika dulu dia juga punya seseorang yang bertakhta di hati. Dia memiliki cinta lelaki itu. Bersama dengan Syed Faiez dia merasa indahnya sebuah kehidupan. Apabila lelaki itu tiada di sisinya lagi, hanya kepahitan yang terasa.
Malam itu Zuraidah kembali mengenang Syed Faiez. Airmatanya menitis menyentuh pipi. Dia meraung sendirian di dalam kamar tidurnya dicengkam perasaan pedih dan pilu. Zuraidah tertidur dalam kekeliruan perasaan yang bercampur baur dengan rasa sedih dan pilu pada takdir yang tersurat buatnya.
DALAM kekaburan cahaya malam yang hadir tanpa bintang dan bulan, Syed Faiez mendongak untuk ke sekian kalinya. Sudah hampir dua jam duduk sendirian di wakaf bali di sisi rumah itu, dia masih terus dilamun angan.
Di sini ada kenangan abadi yang tetap tersimpan di sudut hati. Suatu masa dulu di sini ada kemanisan tetapi kini hanya kepahitan. Hari ini hidupnya penuh hampa. Apakah esok ada sinar gembira? Dia tidak pasti! Esok pun belum tentu dia ada di dunia ini lagi. Tuhan, pedih sekali lukanya kali ini. Lebih pedih daripada dia kehilangan wanita yang pertama yang hadir memberikannya cinta.
Zu… walau di mana kau berada, izinkan aku merinduimu. Izinkan aku mengenangmu dalam tidur dan jagaku. Kuharap masih ada cinta yang bergetar halus dalam dirimu. Biarpun berkali-kali kau menyatakan cintamu hanya untukku namun kau hilang jua dari sisi. Aku tidak tahu ke mana harus mencarimu. Barangkali kau sendiri tidak ingin aku menjejakimu…
Syed Faiez mematikan api rokoknya di dalam astray. Sudah beberapa batang rokok dihabiskannya malam itu. Dia memegang kotak rokok yang sudah kosong isinya. Syed Faiez mengeluh beberapa kali. Dia tidak ingin meninggalkan tempat itu. Lalu dia merebahkan tubuh di atas lantai wakaf bali, kepalanya di alas dengan kusyen. Tidak lama kemudian dia terlelap keletihan.
Dia terasa bahunya disentuh lembut, membuat dia membuka matanya. Suasana dingin awal subuh itu membuat tubuhnya yang hanya memakai seluar panjang dan t.shirt berlengan pendek kesejukan. Dia menggosok mata sambil memandang wajah lelaki itu yang sedang menggeleng-gelengkan kepalanya; “Faiez buat apa di sini? Faiez tak sepatutnya ada di sini. Sepatutnya Faiez ada di rumah mertua Faiez sekarang! Pergi balik ke sana. Jangan sampai maruah dan harga diri Faiez jatuh menjunam hingga orang tak hormat lagi.” Perlahan namun tegas kata-kata Tuan Syed Alias.
“Ayah tak suka tengok Faiez main-main dalam soal perkahwinan. Sekali Faiez dah mengahwini perempuan tu, Faiez mesti tunjuk contoh sebagai seorang suami yang baik dan bertanggungjawab. Soal cinta hanya satu permainan perasaan semata-mata. Hidup yang sebenarnya bukan kerana cinta tetapi kerana Allah. Buat segalanya kerana Allah… Pergi balik ke rumah Rohaya sekarang. Layan dia baik-baik…”
Syed Faiez diam, tidak menyahut walaupun sepatah. Dia terus bergerak meninggalkan tempat itu menghala ke rumah Idora.
Bab 18
“AKU rasa kau bertuah… Kau memiliki semua yang diidam-idamkan oleh seorang perempuan. Kau ada kekasih, duit dan harta.” Kata Zuraidah pada satu pagi minggu saat dia menghidangkan sarapan. Roti bakar, telur goreng yang dihancurkan berserta secawan milo kosong diletakkan di hadapan Marissa.
“Dulu aku selalu cemburu dengan kau…” Balas Marissa.
“Cemburu dengan aku? Kenapa?” Tanya Zuraidah tidak mengerti.
“Kau memiliki apa yang aku tak ada. Kau ada ayah… adik beradik. Aku tak ada ayah. Ayah aku dah mati. Mak pula berkahwin dengan lelaki yang aku benci…” Marissa bercerita perlahan seolah-olah hanya pada dirinya sendiri saja. “Aku tak sangka kau cemburukan aku sekarang. Bukankah terbalik namanya tu?” Marissa ketawa.
Zuraidah pura-pura tergelak biarpun dia merasa tidak lucu langsung. Tiada yang lucu dalam hidupnya untuk dijadikan bahan jenaka.
“Aku terpaksa menyerahkan lelaki yang aku cintai semata-mata untuk menyelamatkan maruah adik aku. Aku rasa tak berbaloi melakukan pengorbanan bila akhirnya emak aku tetap halau aku keluar dari rumah…” Cerita Zuraidah tiba-tiba walaupun dia tidak berniat langsung untuk memberitahu Marissa. Namun hari itu entah mengapa dia seolah-olah memancing simpati kawannya itu.
“Emak kau halau kau keluar? Kau bukannya lari…”
Zuraidah menggelengkan kepala. “Emak aku halau aku dengan cara lembut…” Kata Zuraidah, airmatanya berlinangan. “Kadang-kadang aku rasa tak ada tempat lagi di dunia ni. Tak tahu ke mana nak pergi. Apa yang aku buat serba tak kena. Kau tak tahu betapa seksanya aku di rumah kau ni tak ada kerja… Entah sampai bila aku akan menumpang kau...” Dia melepaskan keluhan berat setelah meluahkan segala yang terbuku di hati.
Marissa diam. Dia tidak sangka Zuraidah melalui waktu-waktu yang begitu sukar.
“Kau betul-betul nak kerja kat tempat aku? Kau tak menyesal? Apa-apa terjadi pada kau nanti, jangan salahkan aku Zu!”
“Kenapa aku nak salahkan kau?” Tanya Zuraidah semula. “Kau tolong aku dapatkan kerja. Aku nak salahkan kau? Gila…”
“Kau tahu aku kerja apa? Kat mana?” Tanya Marissa rasa kurang mulai bertapak di hatinya. Sungguh pun dia cuba untuk mengelak namun temannya itu terus mendesak. Dia tidak berdaya untuk mengelak lagi. Dia perlu memberitahu Zuraidah.
“Kalau kau kasihankan aku… benarkan aku kerja di tempat kerja kau Rissa.”
“Kau ni degil Zu…” Kata Marissa seperti marah. Dia merenung dalam ke wajah Zuraidah. Ingin rasa diceritakan sejarah pahit hidupnya tetapi dia mengurungkan niat di hatinya. Dia tidak mahu bercerita apa-apa. Dia tidak akan membuka pekung di dada sendiri. Malu. Di mana harus dia meletakkan muka?
“Tengoklah diri kau sekarang… Kau cantik, bergaya dan kaya. Kerja kau langsung tak menyusahkan. Mengapa kau tak mahu ajar aku, Rissa.”
“Bukan tak mahu Zu! Aku tak mahu kau terlibat…”
“Katakan saja kau sebenarnya hanya nak senang seorang diri saja.” Tuduh Zuraidah tiba-tiba.
Marissa tersenyum mendengar kata-kata Zuraidah.
“Kau silap Zu. Aku bukannya nak senang seorang diri. Aku mahu tengok kau hidup mewah seperti aku. Ada segala-galanya. Tapi kau tak harus lalui apa yang aku lalui ni Zu….”
Marissa memejamkan matanya sejenak, berharap kenangan pahit itu akan hilang. Namun saat dia membuka matanya, bayang itu enggan hilang. Dia memandang Zuraidah yang sedang mengawasi wajahnya yang tiba-tiba disimbah peluh dingin, meskipun udara di dalam rumah itu dingin dan nyaman.
“Aku semakin tak faham.” Kata Zuraidah.
“Kalau kau ajak aku bertukar tempat dengan kau, aku sanggup Zu. Aku sanggup jadi seperti suatu masa dulu, hidup tanpa duit dan harta. Dulu, waktu mula-mula datang ke sini aku juga bekerja di pusat beli belah.” Jawab Marissa sambil bangun.
“Mari ikut aku!” ajak Marissa.
Zuraidah mengikut Marissa masuk ke kamarnya. Dia membuka salah satu dari deretan pintu almari baju yang ada di kamar itu. Di dalam almari itu terlihat deretan laci. Dibuka salah satu laci itu lalu dia mengeluarkan sebuah kotak sederhana besar. Dia membuka kotak itu kayu berukir cantik itu. Di dalamnya terdapat pelbagai perhiasan emas dan permata yang berkilauan.
Terkejut Zuraidah melihat perhiasan milik Marissa.
“Banyaknya perhiasan kau, Rissa.
Marissa mengangguk.
“Memang semua ni milik aku. Semua emas dan permata ni asli Zu.”
“Aku percaya.” Jawab Zuraidah sambil merenung wajah Marissa dalam-dalam.
“Kau tentu nak tahu dari mana aku dapat perhiasan ni.” Kata Marissa.
“Ya, dari mana?”
“Semua ini adalah hadiah daripada lelaki… Lelaki yang hanya mahukan tubuh dan kemesraan daripada aku. Tapi bukan cinta dan tanggungjawab. Sekarang kau faham apa pekerjaan aku, Zu? Aku kerja GRO Zu!” Kata Marissa.
Zuraidah benar-benar terperanjat mendengar kata-kata Marissa. Barulah dia mengerti.
“Sekarang…” Kata Marissa. “Aku dah tak maruah lagi untuk aku lindungi di hadapan kau. Sekurang-kurangnya aku masih merasa baik di hadapan kau sedangkan kau tak tahu kenyataannya aku hidup bergelumang dengan dosa. Aku seperti menelanjangi diriku sendiri untuk ditonton oleh kau. Katakan sekarang, apakah perasaan kau berubah? Kau masih pandang aku seorang kawan yang mulia dan baik?” Airmata Marissa mengalir. Dia tidak sangka dengan meluahkan rahsia hidupnya pada Zuraidah, airmatanya lebat mengalir.
Sudah lama dia tidak mengalirkan airmata. Kesedihan dan kepiluan yang tersimpan kini terluah sudah. Dia menangis sungguh-sungguh.
Zuraidah tidak menjawab. Lidahnya kelu.
“Marissa… aku minta maaf.” Kata Zuraidah sambil memeluk Marissa. Mereka saling berpelukan dan menangis.
“Hidup aku dah kotor Zu…” Tangis Marissa kian menjadi-jadi. “Hidup aku dah tak bererti lagi lepas aku dirogol oleh bapa tiri aku. Sebab tu lah aku lari dari kampung…”
“Maafkan aku. Aku buat kau mengingati kisah pahit tu… Maafkan aku Rissa. Janganlah menangis lagi.” Kata Zuraidah sambil menyeka airmata Marissa dengan hujung jarinya.
“Kau pun menangis juga…” Balas Marissa. Mereka berpandangan lalu akhirnya sama-sama ketawa.
“Kau harus ingat satu perkara. Aku memang tak mahu kau jadi macam aku. Aku mahu kau jauhi manusia lelaki kerana mereka bukan jujur pada kita. Mereka hanya memperalatkan kita untuk dapatkan apa yang mereka hajati. Bila dah dapat… kita akan dibuang. Macam orang pernah cakap, habis manis sepah dibuang.”
Zuraidah mengangguk, mulai mengerti.
“Walaupun berat aku nak ceritakan ini semua pada kau… Tapi aku terpaksa cerita juga supaya kau faham. Aku harap kau tak bencikan aku.” Kata Marissa lagi.
Zuraidah menggelengkan kepalanya dengan cepat. “Aku tak bencikan kau, Rissa. Kau cekal, berani beritahu aku ini semua. Kau tetap kawan aku… Aku tak peduli apa kerja yang kau buat. Aku tak kisah…Aku rasa kau baik. Hati kau tetap mulia.”
“Aku memang mahu kau terus tinggal dengan aku di rumah ni, sekurang-kurangnya aku ada kawan. Tapi aku takut kalau-kalau Hakim balik dari oversea nanti, dia tak suka kau ada di sini.”
“Siapa Hakim tu?”
Marissa terdiam. Hatinya agak marah kerana Zuraidah mengajukan soalan bodoh. Mengapa susah sangat Zuraidah nak faham… gerutunya di dalam hati.
“Hakim yang belikan aku kondo ni. Walaupun dia beli atas nama aku, tapi aku perlu hormati dia kan?” Kata Marissa. “Kalau dia dah balik, bermalam di sini, aku harap kau takkan keluar dari bilik kau okey?”
Zuraidah terkejut.
“Bila dia balik?”
“Esok…”
Zuraidah mengangguk sahaja. “Okey, aku takkan keluar dari bilik.” Janji Zuraidah, matanya memanah tepat ke wajah Marissa.
“Good.” Jawab Marissa sepatah.
SETIAP pagi, apabila Zuraidah duduk di berenda kondo yang terletak di lereng bukit itu, dapat dilihatnya trafik jam menghala ke Kuala Lumpur. Fikirannya pun terus menjalar mengingati kehidupan Marissa. Sebelum ini dia selalu menyangka Marissa bertuah memiliki segala-galanya tapi jelas kini tanggapannya tidak benar.
Marissa sanggup menjual maruah dan harga dirinya untuk mendapat kesenangan dan kemewahan. Zuraidah pula terus mempertahankan maruah dan harga dirinya biarpun dijerut kesukaran.
Dia masih belum mendapat pekerjaan. Setiap hari membelek surat khabar dan menelefon tetapi tiada sebarang hasil yang menggembirakan. Dia tiada pengalaman kerja di pejabat. Kursus kesetiausahaan yang diambilnya dulu tidak sempat ditamatkan. Dia hanya punya sijil komputer. SPM pun pangkat tiga. Kerja apa yang dapat diraih di kota yang mencabar ini? Orang lain datang temuduga dengan deretan sijil dan pengalaman bekerja tetapi hanya pengalaman menjadi seorang jurujual.
Tidak… Dia tidak mahu selama-lamanya menjadi seorang jurujual. Duitnya kian susut. Dia tidak boleh mengharap Marissa membelanjanya makan dan minum setiap hari.
Lewat petang itu hujan turun dengan lebat, menyebabkan jalan raya dibawah bukit kelihatan bertambah sesak. Zuraidah gemar duduk memerhati kenderaan yang bergerak perlahan. Suasana rumah sepi, dia ditinggal sendiri seperti biasa. Marissa keluar melayani temannya yang bernama Hakim yang baru pulang ke tanah air.
Zuraidah berlalu ke kamar tidur, berbaring sebentar sebelum masuk waktu maghrib yang tinggal hanya sepuluh minit saja lagi. Dia mandi, bersolat maghrib dan isyak. Keletihan menyebabkan dia terus merebahkan tubuh dan tidur. Kini dia jarang menikmati makan malam. Marissalah ‘mengajar’nya supaya tidak mengambil makan malam.
Dia teringat suatu masa dulu, kalau keluar dengan Syed Faiez menikmati makan malam. Selalu dia rasa tidak kenyang. Makan malam dengan kekasih selalu makan tidak pernah habis. Malah hanya mencicip sedikit sahaja kemudian selebihnya hanya saling merenung, memperteguhkan janji ingin sehidup semati. Apa sudah jadi sekarang? Yang pasti mereka tetap terpisah jua. Barangkali buat selama-lamanya mereka tidak akan bertemu.
Malam itu, dia tertidur dengan ingatan yang kian lama kian pudar terhadap lelaki bernama Syed Faiez. Dia merasakan masa sudah terlalu jauh berlari meninggalkannya. Untuk apa dia mengenang lagi lelaki yang sudah menjadi suami kepada adiknya sendiri.
Zuraidah terkejut dan terjaga di tengah malam apabila terdengar suara tawa serta muzik agak kuat dari ruang tamu. Dia menegakkan badannya. Dia sedar, ada beberapa orang lelaki di dalam rumah itu. Zuraidah membuka pintu perlahan-lahan dan mengintai. Benar sangkaannya. Ada tiga orang lelaki, bersama tiga orang wanita, termasuk Marissa sendiri. Marissa kelihatan sedang duduk di atas ribaan seorang lelaki yang agak berumur. Bukan sedikit rasa terkejut di hati Zuraidah melihat aksi Marissa malam itu. Apakah itu teman lelakinya yang bernama Hakim? Sudah agak tua, namun sisa-sisa ketampanannya masih terserlah. Berhidung mancung, misainya tebal dan tersusun rapi.
Mereka sedang berpesta minuman keras dan berjoget. Tawa dan suara sumbang mereka yang mabuk tenggelam timbul dalam alunan muzik yang amat bising. Hati Zuraidah tidak keruan, belum lepas dari kejutan. Memang memeranjatkan baginya. Dia tidak pernah melihat situasi begini seumur hidupnya. Apakah ini kehidupan yang dipilih oleh Marissa?
Zuraidah teringat janjinya pada Marissa tidak akan keluar dari bilik sekiranya dia ada tetamu. Kini dia mengerti mengapa Marissa melarangnya keluar. Namun tekaknya terasa amat haus. Bagaimana dia harus menahannya? Menyesal rasa hati kerana tidak membawa bekalan minuman ke dalam bilik.
Dia menekan punat ditombol pintu bilik, memastikan ianya terkunci dan tidak akan dapat dibuka dari luar. Zuraidah cuba untuk tidur tetapi matanya enggan terlelap. Setelah sejam berlalu, suara-suara bising itu pun menghilang, bagaikan ditelan kesuraman malam. Zuraidah memerhati sekeliling ruang bilik yang gelap dan sepi. Tekaknya benar-benar rasa kering. Dia harus bangun dan keluar ke dapur.
Dia bergerak ke pintu, lalu menguaknya perlahan-lahan. Ruang tamu gelap dan sepi. Tiada sesiapa lagi. Barangkali tetamu Marissa sudah pulang semuanya. Dia berjalan perlahan-lahan melintasi ruang tamu yang disimbah cahaya samar-samar. Tidak perlu membuka lampu kerana dia tahu setiap susunan perabot. Dengan mudah dia sudah berada di hadapan pintu dapur. Dia membuka lampu dapur. Sekelip mata ruang itu jadi terang.
Zuraidah bergerak menuju ke arah peti sejuk, membukanya lalu mengambil botol air kosong. Dia menuangnya ke dalam gelas. Dia minum dengan rakus. Saat itu telinganya terdengar bunyi telapak kaki di belakangnya. Dia segera menoleh, terkejut apabila bertemu pandang dengan seraut wajah yang amat asing sekali.
Lelaki itu juga terkejut, merenungnya tidak berkelip. Gelas di tangan Zuraidah hampir terlepas. Dengan cepat dia meletakkan gelas di atas kabinet berdekatan peti sejuk. Tubuhnya masih kaku, tidak mampu bersuara apa-apa.
“Ada orang!” Seru lelaki itu yang kelihatan bingung dan ragu.
Zuraidah memerhati wajahnya sekilas. Dia takut hendak memandang lebih lama pada lelaki bertubuh besar dan tegap itu. Namun dia dapat mengagak lelaki itu sudah agak tua dalam lingkungan usia 50an.
“Siapa kamu?”
Zuraidah kelu tidak terkata.
“Siapa kamu?” Ulang lelaki itu apabila Zuraidah tidak bersuara.
“Saya… Saya kawan Marissa.”
“Kawan Marissa? Apakah kamu tidak mempunyai nama?” Soal lelaki itu lagi. Suaranya yang tegas itu mengejutkan Zuraidah.
“Zuraidah.”
Lelaki itu mengangguk beberapa kali.
Zuraidah terus berlalu meninggalkan ruang dapur, dengan dada yang berdebar kencang. Dia takut dan bimbang. Dia dapat mengagak siapakah lelaki itu. Pasti dia adalah Dato’ Hakim. Marissa pernah memberitahu Zuraidah tentang lelaki itu. Dia dah tahu aku tinggal di sini… apakah aku akan dihalau pergi? Soal Zuraidah sendiri lalu terus terduduk di atas katil.
Suasana sepi kembali seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tiada suara ataupun pergerakan di luar. Zuraidah tidak dapat tidur semula selepas itu. Matanya terkebil-kebil memandang siling sehingga jam locengnya berbunyi menandakan sudah masuk waktu subuh. Zuraidah termenung sejenak, tidak lagi bingkas bangun untuk mengerjakan suruhan Tuhan.
Entah mengapa pagi ini dia benar-benar jadi malas untuk mengerjakan kebaikan.
BAHAGIAN II
Kau semakin jauh dari hidupku
Sendiri aku sesat mencarimu dalam
rindu yang panjang
Kita kini hidup sendiri-sendiri
Mencari erti bahagia
Apakah akan ditemui di hujung jalan sana
Kegembiraan yang sebenar
Atau ini semua hanya satu kepalsuan
Yang tersembunyi
Tidak pernah nampak nyata
Bab 19
RAUT wajah itu mengingatkan dia pada seseorang. Rambutnya yang panjang lagi hitam dengan wajah yang polos, bersih dan suci tidak dapat dilupakannya. Betapa dia mencuba namun wajah itu tidak mahu hilang dari pandangan. Ahhh… benar sekiranya orang berkata di dunia ada tujuh orang wajah yang serupa. Sekurang-kurangnya dia menemui wajah yang hampir-hampir serupa dengan insan yang pernah bertakhta di hatinya. Lalu dia merasakan masa lalunya telah berputar kembali. Dia melepaskan keluhan.
Alangkah mustahilnya masa dapat diputar semula. Gadis itu masih muda belia sedangkan manusia yang dikenangnya itu pasti sudah jua seusia dengannya sekarang.
“Yang… Kenapa you termenung saja?” Pertanyaan Marissa mengejutkannya dari lamunan yang panjang. Dia menoleh, memberikan senyuman. Sudah setengah jam dia duduk termenung di birai katil, memikirkan seseorang yang sudah puluhan tahun tidak ditemuinya.
“Hm, tak ada apa-apa.”
“Cepatlah mandi! You kata nak ke pejabat hari ni…”
“Ya… ya…” Jawabnya sambil bingkas bangun menuju ke bilik air.
Marissa sudah menyediakan baju kemeja dan seluar serta tali lehernya. Wanita muda itu tidak ubah seperti seorang isteri, menyediakan segala keperluan buatnya. Isterinya Datin Saleha sudah jarang mahu melayaninya seperti yang Marissa lakukan. Malah isterinya lebih suka jika dia memilih dan mengambil bajunya sendiri. Mulai dari saat mereka baru berkahwin sehinggalah usia perkahwinan yang sudah mencapai 30 tahun.
“Terima kasih.” Katanya apabila Marissa membantu dia mengemaskan tali leher serta menyarung kot.
“Hakim, you ke sini lagi malam ni?” Tanya Marissa ingin tahu.
Dia menggeleng.
“Mungkin tak. I balik ke rumah malam ni.” Beritahu Dato’ Hakim sambil memandang wajah Marissa yang kelihatan manis biarpun gadis itu belum mandi. Dia masih mengenakan jubah mandi berwarna putih bersih. Rambutnya yang pendek tetap saja kemas seolah-olah dia tidak tidur malam tadi.
“Are you sure? Kalau you tak datang, I nak pergi kerja malam ni…”
“Okey. Malam minggu nanti I datang.” Balas Dato’ Hakim yang sudah bergerak ke pintu untuk keluar dari bilik tidur Marissa. Namun dia berpaling semula ke arah Marissa yang masih berdiri di tengah-tengah bilik tidur memerhati dirinya.
“Errr… bilik sebelah ni… ada orang?”
Wajah Marissa berubah sedikit. Curiga. Bagaimana Dato’ Hakim tahu bilik tidur sebelah itu ada penghuninya? Bukankah dia sudah mengingatkan Zuraidah supaya tidak keluar dari bilik itu sekiranya dia didatangi tetamu.
“Hmmm… Ya, kawan I. Dia tumpang di sini beberapa hari saja. I…”
“It’s okey. Tak apa. I tak kisah.” Jawabnya sambil menggoyangkan tangannya tanda dia benar-benar tidak kisah.
Marissa menggigit bibir, bimbang. Marahkah Dato’ Hakim kerana membawa Zuraidah tinggal bersamanya? Mengapa Zuraidah harus engkar pada kata-katanya supaya tidak keluar. Namun gadis itu tetap keluar juga hingga bertemu dengan Dato’ Hakim.
“Betulkah you tak marah? Dia boleh tinggal di sini? I sunyi sebenarnya tak ada kawan. Kalau you benarkan dia tinggal di sini…”
“Terpulang pada you.” Balas Dato’ Hakim. “Rumah ni I dah berikan pada you. I tahu you sunyi. Elok juga ada kawan kan? Hmmm… budak tu, kerja apa?”
“Dia belum dapat kerja lagi. Dah puas dia mencari tapi tak dapat-dapat.”
“Dia ada kelulusan ke?” Tanya Dato’ Hakim. Entah mengapa dia harus beria-ria. Ada hasrat yang tersimpan di hatinya kini. Keinginan itu datang tiba-tiba. Wajah lembut dan polos itu masih diingatnya. Dia yakin gadis itu seorang yang baik.
“Katanya dia ada sijil komputer. Tapi SPM pangkat tiga saja…” Jawab Marissa. “Dia ambil kursus setiausaha tapi tak sempat ditamatkan. Sesuatu terjadi…” Marissa tidak melanjutkan kata. Tidak perlu dia memanjangkan cerita tentang Zuraidah. Dia yakin Dato’ Hakim pun tidak ingin tahu sejarah hidup kawannya itu.
“You nak tolong dia ke Hakim?” Tanya Marissa bersama senyuman manisnya. Dia mendekati Dato’ Hakim, sambil memeluk lelaki itu dari belakang. Dilentukkan kepalanya di bahu lelaki itu dengan manja.
“Hmm, kalau dia sungguh-sungguh nak kerja, datang sajalah ke pejabat.” Kata Dato’ Hakim. “Kebetulan setiausaha I nak bersalin tak lama lagi. So, dia boleh gantikan sekejap tempat Surina sehingga dia habis pantang. Sementara Surina masih belum bercuti, dia boleh ajar budak tu apa yang patut.”
Marissa mengangguk. “Terima kasih sayang. I akan beritahu dia. Kasihan dia memang perlukan kerja. Sementara pun tak apa. I akan beritahu Zuraidah. Bila dia boleh datang?”
“Bila-bila saja. Hari ni juga boleh.” Jawab Dato’ Hakim sambil tersenyum. Marissa menghantar Dato’ Hakim hingga ke muka pintu. Dia tersenyum, melambai mesra sebelum menutup pintu.
Kemudian dia bergerak pantas menuju ke bilik Zuraidah. Diketuknya pintu bertalu-talu. Zuraidah membuka pintu dengan pantas, kehairanan. Dahinya berkerut-kerut melihat Marissa berdiri di hadapan pintu bilik tidurnya.
“Kau keluar juga malam tadi ya? Kan aku dah cakap jangan keluar kalau Dato’ Hakim ada?” Kata Marissa, pura-pura memarahi Zuraidah.
Wajah Zuraidah sudah pucat. Dia takut Dato’ Hakim bertindak menghalaunya keluar dari rumah itu. Di mana dia hendak tinggal? Sudahlah tiada kerja, rumah tempat berlindung pun tiada.
“Aku…. Aku memang keluar. Tapi dah pukul empat atau lima pagi. Aku haus sangat. Pergi minum air kat dapur….” Cerita Zuraidah perlahan dan teragak-agak. “Aku… Aku terkejut, tiba-tiba dengar suara orang tegur dari belakang aku…”
Marissa ketawa. “Tak apa… Zu! Jangan takutlah. Aku sengaja menyakat engkau. Aku dah tanya dia tadi, dia tak marah kau tumpang kat sini. Hm, ada berita baik. Dia suruh kau datang ofis dia hari ni… ada kerja untuk kau!”
“Marissa! Betul ke?”
“Ya. Betul! Bersiaplah, aku hantar kau ke pejabat Hakim. Tapi kalau kau dah kerja kat sana, jangan sesekali bergossip tentang aku ya? Kalau Datin Suraya tahu, mampus aku!” Marissa bagaikan memberi amaran.
“Okey! Jangan bimbang.” Balas Zuraidah kegirangan.
“Jangan nakal-nakal ya…” Pesan Marissa sambil mengenyitkan matanya. Zuraidah hanya tersenyum simpul walaupun dia tidak mengerti apakah maksud Marissa yang sebenar.
“GOOD LUCK!” Ucap Marissa sambil melempar senyuman.
Dia menghantar Zuraidah hingga ke hadapan pintu wisma yang berdiri megah di tengah-tengah kota raya. Zuraidah keluar dari kereta Marissa, melambai dengan hati yang berat, matanya terus memerhati kereta Marissa bergerak pergi meninggalkannya.
Dia masih berdiri di luar wisma tersebut, teragak-agak untuk melangkah masuk. Orang-orang yang tidak dikenalinya berjalan masuk tanpa mempedulikannya yang masih tercegat di hadapan pintu. Akhirnya dengan langkah lemah Zuraidah berjalan lambat menghala ke meja pengawal keselamatan yang terletak di ruang lobi wisma itu.
Tidak beberapa lama kemudian dia sudah berada di tingkat 16 wisma tersebut. Dahi penyambut tetamu berwajah manis itu berkerut setelah Zuraidah memberitahu tujuan kedatangannya ke situ adalah untuk bertemu dengan Hakim.
“Hakim? You mean Dato’ Hakim Ismail?”
Zuraidah terkedu. Apakah dia tersalah sebut nama itu? Bukankah Marissa menyebutnya beberapa kali dengan nama Hakim sahaja. “Hakim kata kau boleh datang terus ke pejabat. Dia akan jumpa kau nanti pukul sepuluh pagi, tepat. Tak boleh lewat seminit pun! Dia tu tegas orangnya… Okey?” Suara Marissa terngiang-ngiang di telinga Zuraidah.
Zuraidah masih tidak menjawab. Dia serba salah, wajahnya mulai pucat sedikit. Kaki tangan dan badannya sejuk menggigil, seperti berendam dalam air batu. Akhirnya kepala Zuraidah terangguk-angguk beberapa kali. Dia sudah tidak pasti lagi pada kata-kata Marissa.
Apakah Marissa hanya mempermainkannya? Oh Tuhan! Keluh Zuraidah sendiri hampir-hampir pengsan. Dia melihat jam yang sudah beralih lagi ke angka sembilan sepuluh minit pagi.
“Siapa nama awak?” Tanya penyambut tetamu itu lagi sambil memandang wajahnya sekilas. Sudah dua kali Zuraidah menyebut namanya pada penyambut tetamu itu tetapi jelas gadis itu begitu cepat lupa.
“Zu… Zuraidah. Zuraidah binti Murad.”
Penyambut tetamu bercakap sebentar dengan seseorang di telefon, kemudian meletakkan gagang semula. Dia memandang Zuraidah kemudian berkata dengan nada tenang, terkawal; “Dato’ want to see you now.” Dia menunjukkan arah bilik Dato’ Hakim.
Zuraidah melangkah perlahan, mencari arah yang ditunjukkan. Langkahnya perlahan memasuki ruang pejabat Dato’ Hakim yang terasa begitu dingin mencengkam. Di hadapan bilik itu terlihat seorang wanita muda, sedang sarat hamil duduk menghadapi mejanya. Apabila melihat Zuraidah masuk dia terus menyapa; “You Zuraidah ya? Nak jumpa Dato’ kan? Masuklah!” Dia tersenyum.
Zuraidah rasa senang hati melihat senyuman wanita muda itu lalu membalasnya dengan tulus. Dia memerhati ke arah pintu yang bertutup rapat. Di daun pintu tertulis jelas nama ‘Dato Hakim’ Pengarah Urusan ISB Sdn Bhd.
Zuraidah mengetuk pintu sebanyak tiga kali. Terdengar suara menyuruhnya masuk dari dalam. Dia terus melangkah masuk, matanya mengawasi bilik yang terasa dingin dan senyap. Di sebelah kanan bilik itu terdapat sebuah meja cermin yang berkilau. Seorang lelaki dalam usia lima puluhan duduk di kerusi. Rambutnya tampak memutih namun segak dalam pakaian suit hitam.
Benarkah lelaki ini yang dilihatnya malam tadi? Apakah ianya satu ilusi semata-mata? Wajah itu masih wajah yang sama, walaupun dalam suasana yang sama sekali berlainan. Jika malam tadi dia melihat seorang lelaki yang tidak berkarisma langsung, kini dia berhadapan dengan seorang lelaki hebat yang tidak mungkin punya skandal yang buruk. Zuraidah meneguk air liurnya perlahan-lahan.
Dia menutup pintu di belakangnya agak kuat. Masih tidak terkeluar suaranya untuk menegur, mengucapkan selamat pagi ataupun salam. Dia tergamam. Dia berdiri seperti patung, di hadapan pintu yang tertutup rapat.
“Please, come in! Have a seat.” Tegur Dato’ Hakim sambil memandang ke wajahnya yang pucat. Lelaki itu tersenyum, membuat segala rasa kekhuatiran dan kegugupannya Zuraidah hilang sedikit
Dia duduk dengan tertib sambil matanya menunduk, tidak berani memandang Dato’ Hakim yang kelihatan sibuk membelek organizernya.
“You lewat…” Komennya setelah dia menutup organizernya itu. Kini dia melihat jam di tangannya pula. “I tak ada banyak masa. Jadi, I tak boleh cakap panjang-panjang dengan you.” Dia melepaskan keluhan.
“I harap you lupakan kejadian malam tadi…” Kata Dato’ Hakim dengan wajah serius. “Tiada sesiapa pun tahu tentang Marissa. Kalau you mahu kerja di sini, kerjalah baik-baik. You akan dapat banyak peluang belajar, mencari pengalaman di sini.”
Zuraidah mulai bimbang dia tidak dapat memuaskan hati Dato’ Hakim, lalu mengecewakan Marissa yang percaya padanya. Hatinya masih berbelah bahagi, dapatkah dia melakukan kerja-kerja yang diserahkan kepadanya dengan baik. Dia masih Zuraidah yang dulu, seorang jurujual dan tidak mungkin akan dapat menjadi seorang setiausaha ataupun eksekutif yang hebat. Dia memiliki sijil tetapi tidak memiliki kemahiran bekerja.
Dia juga tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris. Nampaknya orang-orang ibu kota ini amat gemar menggunakan bahasa penjajah itu. Ah… Kenapalah orang-orang yang tinggal di ibukota ini gemar sangat menggunakan bahasa Inggeris. Tak boleh berbahasa melayu sahaja? Keluh Zuraidah di dalam hatinya.
“Terima kasih Dato’” Ucap Zuraidah dengan sopan.
“Okey.” Dato’ Hakim menekan interkom dengan pantas memanggil seseorang yang bernama Surina masuk ke biliknya.
Tidak lama kemudian Surina masuk. Surina diperkenalkan kepada Zuraidah sebagai setiausahanya. Surina yang mengambil cuti bersalin tidak lama lagi. Jadi Zuraidah akan menggantikannya selama tiga bulan.
Zuraidah rasa senang berkenalan dengan Surina. Dia seorang yang periang dan baik. Sepanjang hari itu Surina mengajarnya serba sedikit perkara yang perlu dia lakukan. Surina menyerahkan tugas-tugas mudah, seperti menghubungi client dan menyusun jadual mesyuarat yang perlu dihadiri oleh Dato’ Hakim.
“Saya akan mulai bercuti dua minggu lagi.” Kata Surina. “Jadi, sempatlah ajar awak apa yang perlu. Sebenarnya tak susah mana menjadi setiausaha Dato’ Hakim. Dia baik. Kalau tak tahu, jangan segan-segan bertanya. Jangan diam saja… Itu yang buat Dato’ marah.”
Zuraidah mengangguk sahaja. Dia berharap akan dapat menyesuaikan dirinya dengan cepat.
“MACAMANA kerja? Okey tak?” Tanya Marissa sebaik saja dia muncul di ambang pintu kondo petang itu. Sudah tiga minggu bekerja di syarikat Dato’ Hakim. Surina pula sudah seminggu bercuti. Zuraidah kelam kabut sejak ketiadaan Surina. Kadang-kadang dia sakit hati kerana Dato’ Hakim masih memanggil Surina. Sebenarnya dia memanggil Zuraidah. Macamanalah Zuraidah hendak menyahut sedangkan nama orang lain yang diseru. Apabila Zuraidah tidak menyahut, Dato’ Hakim akan marah-marah, mengapa dia membisu meskipun dipanggil bertalu-talu.
“Kenapa dulu kau tak beritahu aku, dia tu bergelar Dato’?” Tanya Zuraidah. Sudah lama dia ingin bertanya tentang hal itu namun tidak punya kesempatan. Betapa malunya dia kerana bertanya pada penyambut tetamu itu dengan nama Hakim sahaja. Sehingga kini dia masih rasa segan pada penyambut tetamu yang bernama Lily setiap kali mereka bertemu.
Marissa tergelak. “Aku lupalah! Memang aku panggil dia Hakim aje… jadi lupa orang memang panggil dia Dato’ di ofis.”
“Hmmm, letih rasanya hari ni. Aku masih lagi di peringkat belajar tentang pelbagai perkara, ditimbunkan dengan pelbagai fail… Aku terpaksa meneliti dan membacanya satu persatu.”
“Tak ada kerja yang relaks sebenarnya Zu! Kalau kau mahu, jom lah ikut aku ke spa.” Marissa mempelawa. “Kau boleh relaks, tenangkan fikiran dan lupakan masalah, macamana? Nak pergi tak? Jangan bimbanglah soal duit, aku yang belanja, okey?”
Zuraidah melonjak riang. “Betul kau nak belanja. Oh, Rissa… Kau ni memang baik. Terima kasih.”
Tiga bulan kemudian, satu perubahan besar berlaku dalam hidup Zuraidah. Dia bukan lagi Zuraidah yang selekeh dan tidak pandai berdandan. Kulitnya pun sudah semakin cerah kerana sering pergi spa dan salon. Dia turut memotong rambutnya, pendek dan kemas. Malah diwarnakan pula keperangan. Tubuhnya bertambah langsing dan nampak tinggi.
“Zuraidah? Betul ke kau ni Zuraidah?” Tegur Surina yang masuk kerja pada hari itu setelah bercuti selama tiga bulan.
“Ya.” Jawab Zuraidah sepatah sambil tersenyum. Walaupun hatinya rasa sedikit gundah. Dia terpaksa meninggalkan pejabat Dato’ Hakim kerana tugasnya berakhir hari ini, sebaik sahaja Surina kembali ke pejabat. Esok dia tidak pasti apakah dia masih mempunyai pekerjaan.
“Surina!!!” Jerit Dato’ Hakim dari dalam biliknya.
“Oh! Dia dah panggil aku! Dia tahu aku bekerja semula hari ni…” Kata Surina, bergegas mengambil pen dan shorthand writing menghala ke bilik Dato’ Hakim. Namun tidak sampai lima minit kemudian dia keluar semula dengan wajah kelat.
“Dia panggil engkaulah!” kata Surina bagaikan kecewa sahaja.
Zuraidah mengangkat bahu. “Kau tahu, walaupun kau cuti tapi dia tetap panggil nama engkau! Dia masih tak ingat nama aku!” Zuraidah terus bergerak laju ke arah bilik Dato’ Hakim.
“Zuraidah… You maklumkan. Kalau ikutkan surat tawaran dari syarikat ni, tugas you berakhir hari ni. Tapi I puas hati dengan kerja-kerja you selama tiga bulan. You’re a fast learner. Cepat belajar dan cekap. Jadi I buat keputusan untuk kekalkan you di sini. Harap you gembira dan terima tawaran ni dengan senang hati. Gaji you akan saya naikkan. Sekarang panggil Surina masuk…”
Zuraidah tidak sangka dia menerima sesuatu yang menggembirakan hari itu. Buru-buru dia mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Hakim. Kemudian keluar memberitahu Surina bahawa Dato’ Hakim ingin bertemu dengannya. Sejurus kemudian Surina keluar daripada bilik Dato’ Hakim, wajahnya muram. Dia mengemas mejanya, memasukkan barang-barang di dalam kotak.
Zuraidah memerhati penuh hairan dari arah meja yang terletak berhadapan dengan meja Surina.
“Kenapa?” tanya Zuraidah ingin tahu.
Surina memandangnya dengan wajah masam. “Tak adil! Ini betul-betul tak adil! Aku yang ajar engkau tiga bulan dulu, macamana engkau boleh jadi lebih pandai dan dihargai daripada aku? Dato’ tak adil!”
Zuraidah diam. Dia tahu Surina sedang dibendung kemarahan.
“Senang hati kau kan? Aku ditukarkan ke bahagian pentadbiran.”
Zuraidah bangun mendekati meja Surina. “Aku tak tahu apa-apa. Semua keputusan di tangan Dato’. Aku…”
“Apa kau dah buat? Dia lebih sukakan kau. Walaupun kerja kau tak sebaik kerja aku… tapi aku tak dihargai. Semata-mata kerana aku dah kahwin! Sekarang dah ada anak.”
Zuraidah terdiam, dia kembali ke mejanya duduk diam-diam di sana. Dia rasa amat bersalah pada Surina. Bukan niat hendak merampas pekerjaan gadis itu. Surina berlalu meninggalkan ruang itu dengan cepat. Dia tidak berkata apa-apa lagi pada Zuraidah yang hanya memandang dengan hati kesal. Tidak lama kemudian terdengar Dato’ Hakim memanggilnya lagi dengan kuat. Kali ini Dato’ Hakim sudah ingat namanya. Malah Dato’ Hakim kini memanggilnya Zu sahaja. Betapa Zuraidah rasa benar-benar dihargai.
Bab 20
MARISSA memerhati Zuraidah mengemas baju. Semua baju-baju itu dimasukkan ke dalam beg. Zuraidah akan ke Jakarta esok, menghadiri satu seminar. Inilah pertama kali Zuraidah ke luar negara. Betapa dia rasa amat teruja. Dia akan melalui satu pengalaman baru yang tidak pernah dia bayangkan sebelum ini. Dato’ Hakim menghantarnya ke Jakarta selama seminggu. Malah lelaki itu turut menyertainya bersama. Cuma hal itu dirahsiakan daripada Marissa.
Sejak kebelakangan ini dia kerap kali menipu Marissa. Dia rasa bersalah namun dia tetap melakukannya juga. Hubungannya dengan Dato’ Hakim bertambah baik dan intim. Dia tidak pernah menduga lelaki itu suka kepadanya. Dia benar-benar tidak sangka! Zuraidah masih melayaninya seperti biasa… masih menghormati dan menganggap hanya perhubungan antara boss dan pekerja, walaupun Dato’ Hakim selalu menunjuk tanda-tanda dia menyukai Zuraidah lebih dari itu.
“Berapa orang staff yang ikut seminar ni?” Tanya Marissa ingin tahu.
“Hmmm… dua tiga orang.” Jawab Zuraidah acuh tak acuh.
“Hakim pergi?” Tanya Marissa ingin tahu. Sejak seminggu yang lalu, Dato’ Hakim tidak menghubunginya langsung. Dia selalu memberi alasan sibuk. Marissa tidak menjawab segera.
“Dah seminggu dia tak call aku. Sibuk betul nampaknya…” Rungut Marissa tidak puas hati. Dia cuba menghubungi Dato’ Hakim tetapi selalu panggilannya tidak dijawab ataupun masuk voice mail. Menyampah betul!
Marissa melepaskan batuk beberapa ketika. Sejak dua atau tiga bulan yang lalu dia kerap kali mengalami batuk dan sakit tekak berpanjangan. Baik sebentar kemudian batuk semula. Dia rasa tidak selesa betul. Sudah lama dia tidak meneguk air batu, biarpun di hari yang panas terik sekalipun dia terpaksa menahan diri.
“Aku tengok batuk kau menjadi-jadi sejak kebelakangan ni… Kau dah pergi jumpa doktor?”
“Dah berapa kali pergi. Tapi masih sama. Diberi ubat batuk saja. Baik sekejap lepas tu, batuk semula.” Jawab Marissa. Dia batuk lagi dengan lebih kuat dan lama hingga matanya berair.
“Kenapa tak jumpa doktor pakar saja? Manalah tahu ada penyakit lain…” Cadang Zuraidah.
“Hm, tengoklah dulu. Aku malas betul nak jumpa doktor.”
“Tunggu aku balik dari Jakarta nanti, aku temankan kau pergi jumpa doktor, okey?”
Marissa hanya mengangguk.Wajahnya tampak begitu layu hari ini. Dia tidak bermake-up dan mendandan rambut seperti biasa. Malah dia mengalami batuk-batuk itu juga dia kerap kali tidak pergi bekerja lagi di sebelah malam. Berada di pub tempat kerjanya yang sentiasa diselubungi dengan asap rokok membuat batuknya bertambah teruk.
“Aku terfikir nak berhenti kerja saja…” Kata Marissa tiba-tiba. Zuraidah yang sudah selesai mengemas baju, duduk di tubir katil di sisi temannya itu.
“Aku tak tahan duduk dalam pub tu lagi. Asap rokok tu buat dada aku sesak.”
“Aku rasa, elok juga kau berhenti kerja Rissa. Kau dah ada segala-galanya, duit pun banyak.”
“Ehhh… Mana kau tahu aku ada duit banyak?” Tempelak Marissa sambil merenung tajam ke wajah Zuraidah.
Zuraidah menutup bibirnya, dia terlepas cakap. Suatu masa dulu dia pernah mencuri-curi melihat buku akaun Marissa. Namun dia tidak cukup berani untuk memberitahu Marissa perbuatannya itu.
“Aku agak saja. Dah lama kau bekerja, tentulah banyak duit.”
“Memang aku ada niat nak buka salon ataupun butik. Tapi aku perlu buat persediaan juga. Aku perlu ikut kursus dulu. Tapi aku ni tak minat nak duduk dalam dewan dengar pembentangan kertas kerja. Mulalah aku rasa mengantuk. Silap-silap aku tidur berdengkur.” Kata Marissa, mentertawakan diri sendiri.
“Engkau tu memanglah. Kau tahu, aku rasa lain pula. Seronok sebenarnya dengar ceramah ataupun pembentangan kertas kerja. Banyak idea-idea, pengalaman hidup yang akan kita kutip. Jadi aku rasa tak ada apa yang rugi. Lebih-lebih lagi kalau pembentang tu tak membosankan, bijak menguasai keadaan.”
“Yalah. Mentang-mentanglah dia nak pergi seminar esok…” Kata Marissa, sambil terbatuk-batuk lagi. Zuraidah menggosok-gosok belakangnya dengan lembut sambil berkata; “Kerana kaulah aku dapat menikmati ini semua Rissa. Kau yang tunjukkan aku jalan lalu aku hanya perlu menyusurinya. Mujurlah aku kenal dengan Dato’ Hakim. Dia beri aku banyak peluang…”
Marissa mengangguk. Memang sudah kerap kali dia mendengar Zuraidah memuji Dato’ Hakim sebagai seorang lelaki yang baik dan hebat. Dia memang akui kehebatan dan kebaikan lelaki itu. Sudah lama dia mengenali Dato’ Hakim. Banyak sungguh budi lelaki itu terhadapnya. Lalu Marissa tidak pernah terfikir untuk meninggalkan lelaki itu ataupun mengkhianatinya. Dia akan tetap setia menunggu, walaupun lelaki itu tidak pernah berjanji mahu mengambilnya sebagai isteri.
Terkadang dia terfikir, bagaimanakah kehidupannya di masa tua kelak? Sampai bila dia harus menghambakan diri pada manusia lelaki. Apa yang diharapkan daripada manusia seperti Dato’ Hakim hanya mahukan tubuhnya sahaja. Bukannya cinta dan kasih sayang. Itu semua tidak pernah hadir baik bagi dirinya mahukan lelaki itu. Sebenarnya dia terasa hidupnya kian hambar dan kosong.
Lalu dia cemburu pada Zuraidah yang tidak pernah merasai apa yang dia rasa. Zuraidah masih mampu bergembira dengan hidupnya yang masih bersih dan suci dari noda dan dosa.
“Jaga diri baik-baik di tempat orang Zu…”
Zuraidah ketawa. “Kau ni kadang-kadang boleh jadi kakak aku berbanding kawan Rissa. Aku bangga dengan kau. Kau selalu nasihatkan aku… Tapi kau sendiri macamana?”
Bukan niat Zuraidah hendak menempelak Marissa. Tetapi dia ikhlas, berharap kawannya itu akan berubah.
“Jangan ditanya tentang diri aku Zu. Aku sudah tak tertolong lagi…”
“Apa maksud kau tak tertolong lagi. Kau boleh keluar dari ini semua kalau kau mahu.”
“Okeylah. Aku mengaku aku belum mahu meninggalkannya. Aku masih seronok. Enjoy, sementara masih muda dan masih hidup. Puas hati?”
Zuraidah menggelengkan kepalanya. “Kau ni memang tak mahu insaf!” Rungutnya perlahan sahaja.
SEKEMBALINYA dari Jakarta, Zuraidah terus pulang ke rumah. Tidak sabar hendak menemui Marissa. Dia tidak mengerti mengapa dadanya berdebar sebaik memasuki pintu. Dia berharap akan menemui Marissa di ruang tamu, menonton televisyen atau lepak-lepak sambil membaca majalah. Namun wajah Marissa tidak kelihatan.
Ke manakah dia pergi? Jangan-jangan ada sesuatu yang buruk berlaku sepanjang masa seminggu aku tak ada. Bisik hati Zuraidah sendiri sambil menolak daun pintu bilik tidur temannya itu.
Dia mendapati Marissa terbaring layu di atas katil. Wajahnya pucat sekali. Di atas meja sisi katil terlihat botol minuman air kosong serta gelas yang masih berisi air. Ubat batuknya juga berselerakan di atas meja kecil itu.
Zuraidah mendekati, memangku kepala Marissa yang lemah.
“Apa dah jadi dengan kau Rissa? Seminggu aja aku pergi kau dah sakit teruk begini. Hari ni kita ke hospital ya?”
“Kau dah balik? Kau balik dengan Hakim ke?” Tanya Marissa bertalu-talu seolah-olah dia tahu apa yang berlaku antara Zuraidah dan Dato’ Hakim di Jakarta.
Zuraidah terdiam. Jauh di sudut hati dia rasa bersalah yang amat sangat. Betapa dia ingin berkata benar pada sahabatnya itu tetapi tak mungkin. Berkali-kali Marissa mengingatkannya agar tidak menurut jejak langkahnya yang sumbang. Namun Dato’ Hakim terlalu istimewa dan hebat untuk ditolak. Walaupun tua tetapi dia masih punya karisma.
Zuraidah sendiri pun tidak sedar bilakah dia mulai tertarik pada lelaki itu. Barangkali dia menyukainya saat pertama kali saling bertatapan di ruang dapur kondo di awal dinihari itu. Atau lebih lewat daripada itu… Saat pertama kalinya Dato’ Hakim memanggilnya ‘Zu’ sahaja setelah tiga bulan asyik memanggilnya dengan nama ‘Surina’. Entahlah! Zuraidah tidak dapat hendak menjawabnya.
“Dia dah balik. Tapi mengapa dia tak jawab call aku? Mengapa dia tak datang ke sini lagi Zu? Kau tahu kenapa?”
Zuraidah menggeleng. “Aku tak tahu…” Jawab Zuraidah. “Tapi aku tahu kau perlu ke hospital dengan segera.”
“Aku terlalu lemah, tak larat lagi hendak memandu. Kau pula tak tahu memandu, macamana kau nak bawa aku ke hospital? Biarlah aku di sini saja, sekejap lagi aku pasti baik, boleh bangun.” Kata Marissa kemudian mulai batuk-batuk dengan keras semula sehingga wajahnya yang pucat merona merah dan matanya berair.
Zuraidah berlari ke ruang tamu, menerkam ke arah telefon di sudut ruang lalu menghubungi teksi.
“Kau bersiap-siap. Aku dah panggil teksi. Kita ke hospital.” Kata Zuraidah tegas. Walaupun penat setelah menempuh perjalanan jauh namun demi kesihatan Marissa dia tidak boleh bertangguh menghantar gadis itu ke hospital. Sebaik sahaja mendapati rawatan dari doktor, Marissa terus ditahan di dalam wad. Doktor yang merawat Marissa ingin bertemu dengan keluarga gadis itu untuk berbincang sesuatu.
“Marissa tak ada keluarga. Saya… satu-satunya kawan yang dia ada.” Kata Zuraidah pada doktor muda itu. Sempat Zuraidah menjeling tag nama yang tersemat di baju doktor itu. Doktor Iqbal.
“Oh!” Doktor Iqbal mengangkat keningnya, diam sejenak kemudian berkata; “Okey. Tak apa. Marilah ikut saya ke bilik. Saya percaya saya boleh beritahu awak tentang penyakit Marissa.”
“Apakah sakitnya doktor?” Tanya Zuraidah ingin tahu sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di bilik Doktor Iqbal.
Doktor Iqbal diam sejenak, dia meneliti hasil x-ray yang ada di hadapannya. Zuraidah menunggu, membiarkan doktor muda itu membelek laporan yang ada di atas mejanya dengan aman.
“Disyaki dia mengidap tibi.” Kata Doktor Iqbal. “Kami masih belum pasti lagi. Beberapa ujian perlu dilakukan dengan teliti. Awak tinggal bersama dengannya?”
“Ya, kami memang tinggal satu rumah.”
“Sejak bila?”
“Lebih kurang setahun.”
Doktor Iqbal mengangguk. “Awak tahu penyakit tibi ni merbahaya?”
Zuraidah diam sahaja, mengangguk tidak menggeleng pun tidak.
“Penyakit ni boleh berjangkit disebabkan oleh sejenis kuman berbentuk silinder dikenali dengan nama bacili. Kuman ini mudah berjangkit dari seorang ke seorang yang lain.” Terang Doktor Iqbal dengan tenang.
“Penyakit ni boleh sembuh kalau diberi rawatan awal. Tapi selalunya pesakit tak sedar dia dihinggapi penyakit ini. Selalunya dah terlewat. Kuman dah pun menyerang paru-paru atau bahagian tubuh dan tulang. Tanda-tandanya adalah batuk yang berpanjangan, demam pada waktu petang…”
Zuraidah meneguk air liur pahit. Dia tidak sangka. Memang Marissa selalu batuk kebelakangan ini. Dia tidak sihat tetapi tetap digagahinya juga bekerja pada waktu malam. Dia turut mengakui sendiri di dalam hatinya Marissa terdedah kepada asap rokok dan udara yang tidak segar langsung. Jarang sekali Marissa keluar menyedut udara bersih. Siang hari hanya terperap di bilik dan tidur sahaja.
“Saya akan beritahu awak perkembangannya dari masa ke semasa. Buat masa ini Marissa akan dipantau dan diasingkan daripada wad pesakit biasa.” Kata Doktor Iqbal sebelum melepaskan Zuraidah keluar dari biliknya. Zuraidah mengeluh berat. Tidak sangka Marissa menghadapi masalah seperti ini. Dulu dia kelihatan sihat dan ceria, kini dia tidak ubah seperti sekuntum bunga popi merah yang layu dan pudar warnanya.
Zuraidah menghubungi Dato’ Hakim, memberitahu tentang kesihatan Marissa yang tidak begitu memberangsangkan. Anehnya, Dato’ Hakim tidak ambil kisah langsung, sebaliknya hanya menyatakan dia sibuk dan tidak punya masa untuk melawat Marissa. Lagipun dia tidak mahu rahsia antara dia dan Marissa terbongkar.
Zuraidah termenung panjang mendengar kata-kata Dato’ Hakim. Lalu peristiwa di Jakarta kembali melintasi ingatannya. Dia teringat betapa mesra dan erat pegangan tangan mereka semasa membeli belah di Jalan Surabaya, Jakarta. Dato’ Hakim membelikannya banyak hadiah-hadiah untuknya.
Dan malam itu buat pertama kalinya dia dengan rela hati menyerah diri pada lelaki itu. Zuraidah sedikit kesal. Mengapa dia harus terpedaya dengan pujukan iblis. Namun dia tidak dapat menolak bahawa begitu banyak pula budi yang telah diberikan oleh Dato’ Hakim. Dia tidak dapat menolak… Tak mungkin menolak lelaki itu keluar daripada hidupnya lagi.
“KALAU sesuatu berlaku pada aku… kematian menjemput aku lebih dulu…” Kata Marissa dengan suara yang tersekat-sekat. Bibirnya kelihatan kering sekali. Dia semakin lemah, suaranya jauh berubah. Dengan begitu cepat Marissa mengalah pada penyakit yang sedang dideritainya.
Doktor Iqbal telah mengesahkan bahawa memang Marissa menghidapi penyakit tibi. Dia telah diasingkan daripada wad-wad yang lain. Zuraidah datang melawatnya sekurang-kurangnya sekali sehari, tetapi harus mengurangkan lawatan itu di masa akan datang. Doktor tidak membenarkan dia sering datang melawati Marissa lagi.
Penyakit tibi mudah berjangkit, kumannya merebak melalui udara walaupun Zuraidah memakai penutup mulut khas. Namun Doktor Iqbal mengingatkannya agar tidak terlalu kerap datang ke situ.
“Tak ada apa-apa akan berlaku pada kau…” Kata Zuraidah, penuh rasa simpati pada kawannya itu. Satu-satunya teman yang telah melindunginya sejak berada di ibu kota ini.
“Aku tahu, penyakit aku makin teruk. Aku sebenarnya dah lama rasa tak sihat. Cuma aku tak beritahu sesiapa. Sekiranya aku tak ada…”
Zuraidah diam. Dia tidak menghalang Marissa berkata apa-apa lagi.
“Aku ada sejumlah duit dan barang perhiasan. Aku serahkan semuanya pada kau, Zu. Aku harap kau gunakannya dengan baik. Aku harap kau tidak akan terjebak dan hanyut seperti aku Zu. Aku percayakan kau. Kau kawanku yang baik dan taat pada Tuhan. Tolong doakan aku. Moga Tuhan ampunkan dosa-dosa aku…”
Airmata Zuraidah berlinangan. Dia tidak sedar airmata itu pun telah menuruni pipinya. Kata-kata Marissa menyayat hati dan menyiat perasaannya. Dia yakin dan pasti nasihat demi nasihat daripada Marissa supaya dia tidak terjebak dengan Dato’ Hakim tidak akan tercapai. Dia telah pun berada di samping lelaki itu dan amat senang berada di sisinya. Dia sudah jauh berubah sekarang…
“Maafkan aku Marissa. Hari ni hari terakhir aku datang melawat kau… Selamat tinggal.” Ucap Zuraidah dalam sendu. Dia tidak sanggup lagi untuk berada di hadapan Marissa dan bercakap tentang nilai-nilai penuh kebaikan dan kebenaran bila mana dia tidak lagi berpegang pada nilai tersebut. Seminggu kemudian dia mendapat panggilan daripada Doktor Iqbal, menyatakan Marissa sudah tiada. Segala urusan jenazah dan pengebumiannya diuruskan oleh pihak hospital kerana Marissa tidak punya waris. Zuraidah hanya diam terpaku. Oh! Tuhan… Dia masih punya waris, ibunya aku kenal betul! Patutkah aku menghubungi dia?
Namun dia teringat pesanan Marissa supaya ibunya tidak diberitahu. Malah dia telah menyerahkan semua harta dan wangnya ke atas Zuraidah. Zuraidah memerhati sekeliling ruang tamu kondo yang sepi itu. Dia kini tinggal sendiri… benar-benar sendiri.
Namun ketukan di pintu mengejutkannya. Dia bergegas membuka pintu. Di luar dia melihat raut wajah itu. Zuraidah tidak tahu samada hendak tersenyum ataupun sebaliknya. Di sini dia bersendiri… Tanpa Marissa lagi. Barangkali dia akan memerlukan lelaki di hadapannya kini?
[Sila teruskan bersama saya..**]